Volvo EX30, yang dilancarkan ke pasaran Malaysia pada September lalu, adalah kereta elektrik yang mengujakan. Pertama sekali, saiznya kecil (ia kereta Volvo paling kecil setakat ini) jadi ia sangat sesuai untuk kegunaan bandar.
Yang kedua, dengan lampu tukul Thor berpiksel, overhang depan dan belakang yang pendek, serta dapra lebar yang diisi tayar bersaiz besar, EX30 tampil begitu moden dan sporty, dan ini sudah pastinya akan memikat golongan muda.
Yang ketiga, jika anda beli varian tertinggi iaitu Ultra Twin Performance, anda boleh mengalahkan kebanyakan kereta sport dan supercar moden dalam pecutan 0-100 km/j. Ini kerana EX30 boleh melakukannya dalam 3.6 saat sahaja namun anda perlu mengaktifkan mod Performance AWD terlebih dahulu.
Walau bagaimanapun, masih ada tiga benda yang penulis tidak suka tentang EX30. Jom kita lihat apakah ia:
Terlalu bergantung kepada skrin
Seperti model-model Volvo yang lain, rekaan ruang kabin EX30 mengetengahkan konsep minimalis. Tetapi tidak seperti C40, XC90 dan beberapa model Volvo lain yang masih mempunyai butang fizikal untuk kawalan audio dan tombol gear, EX30 tidak mempunyai sebarang butang fizikal kecuali butang kecuali dua suis tingkap kuasa pada konsol tengah.
Ini bermakna kawalan untuk sistem infohibur dan pendingin hawa perlu dilakukan menerusi skrin sentuh. Bagi sebuah EV, ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana kebanyakan pengeluar lain juga melakukan perkara yang sama namun dengan EX30, anda mungkin akan merasa agak janggal kerana anda juga perlu menggunakan skrin sentuh untuk mengubah cermin sisi dan membuka glove box.
Tiada head up display
Mungkin untuk membuatkan papan pemuka nampak lebih bersih dan kemas, selaras dengan konsep minimalis yang dibawa, EX30 tidak mempunyai panel instrumen digital. Anda mungkin menyangka yang Volvo akan memberikan head up display (HUD) sebagai alternatif, tetapi tidak.
Sebaliknya, semua maklumat berkaitan pemanduan (kelajuan, kedudukan gear dan fungsi ADAS) dipaparkan pada skrin sentuh. Ada dua sebab kenapa ini tidak ideal: Pertama, anda perlu mengalihkan pemandangan dari jalan raya untuk melihat maklumat-maklumat berkenaan. Kedua, semua maklumat tersebut dipaparkan pada bahagian atas skrin dan saiz tulisan juga agak kecil.
Sound bar tidaklah sehebat yang disangka
EX30 tidak mempunyai pembesar suara konvensional pada panel pintu depan dan belakang bagi menghasilkan ruang simpanan tambahan. Sebagai ganti, Volvo meletakkan soundbar Harman Kardon pada bahagian atas papan pemuka.
Ia memang nampak eksklusif dan menarik, dan seperti yang kita tahu, kualiti audio Harman Kardon memang antara yang terbaik dalam industri namun tanpa pembesar suara pada bahagian belakang, pengalaman mendengar muzik sedikit terjejas kerana bunyi yang dihasilkan hanya tertumpu pada bahagian depan kabin.
Diperkenalkan buat pertama kali di Beijing Autoshow pada April lalu, Mix merupakan model kelima Zeekr dan yang pertama dibina menggunakan platform SEA-M.
Menurut Zeekr, platform SEA-M adalah kesinambungan kepada platform SEA yang boleh menyokong pelbagai jenis produk mobiliti dari kenderaan penumpang seperti robotaxi dan MPV kepada kenderaan komersial untuk kegunaan logistik.
Syarikat itu berkata pembangunan platform baharu itu melibatkan kos sebanyak RMB 7 bilion (kira-kira RM4.2 bilion).
Dari segi saiz, MIX mempunyai ukuran panjang 4,688 mm, lebar 1,995 mm dan tinggi 1,755 mm. Ukuran tapak roda pula adalah 3,008 mm, memberikan MIX ruang kabin yang cukup luas dan fleksibel.
Sebagai contoh, kedua-dua tempat duduk depan boleh berputar 270 darjah, manakala konsol tengah boleh digerakkan dan diubah menjadi meja kecil. Kerusi belakang pula dilengkapi dengan perehat kaki dan boleh dibaringkan.
Bukan itu sahaja, Zeekr mendakwa MIX mempunyai lantai kabin yang paling rata dalam industri dan ini memberikan pengguna lebih 20 mod senario kabin.
Selain itu, pengguna juga mendapat kokpit canggih yang terdiri daripada stereng flat bottom, panel instrumen digital, skrin sentuh besar, pengecas tanpa wayar dan pencahayaan ambien.
MIX dipacu oleh motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang mampu menjana 422 hp. Dengan bateri berkapasiti 77 kWj yang dibekalkan oleh CATL, MPV elektrik ini mampu bergerak sejauh 712 km dengan satu cas penuh.
Bagaimanapun, perlu diingat bahawa jarak yang dinyatakan itu adalah berdasarkan kitaran CLTC yang kurang realistik berbanding NEDC dan WLTP.
Menurut laporan, Zeekr akan melancarkan MIX ke pasaran China pada 23 Oktober ini.
Stellantis Malaysia secara rasminya melancarkan SUV elektrik Leapmotor C10, sekali gus menandakan kemasukan jenama itu ke pasaran tempatan.
C10 ditawarkan dalam satu varian sahaja yang dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang memacu roda belakang. Ia ditawarkan dengan harga pengenalan RM149,000 sehingga 30 November ini. Selepas itu, harga jualannya akan bermula dari RM159,000.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, C10 merupakan SUV elektrik bateri lima tempat duduk yang mempunyai ukuran panjang 4,739 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,680 mm dan tapak roda 2,825 mm.
Ia didatangkan standard dengan LED ‘Angel Wing’ dengan lampu nyalaan siang, liang kemasukan udara dengan penutup gril aktif, rim ‘Trident’ 20 inci, pemegang pintu jenis flush.
Seperti rekaan luaran, ruang kabin C10 juga mengetengahkan konsep minimalis, tanpa sebarang butang. Semua fungsi dikawal dengan ciri arahan suara dan skrin sentuh sistem infotainment 14.6 inci yang dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon. Apple CarPlay dan Android Auto tidak disertakan.
Selain itu, terdapat juga kelengkapan seperti panel instrumen bersaiz 10.2 inci, pengecas tanpa wayar 15W, empat port USB (Type A dan Type C), soket 12V, bumbung kaca panoramik, lampu ambien dan sistem audio 12 pembesar suara dengan kesan bunyi AI, empat mod dewan konsert dan amplifier 800W.
Menurut Leapmotor, ruang kabin C10 mempunyai ukuran panjang 1.8 meter dan lebar 1.2 meter. Dalam Camp Mode dan Nap Mode, tempat duduk boleh dilipat rata menjadi seperti sebuah katil berkembar yang sesuai untuk pelbagai aktiviti.
Di belakang, terdapat ruang but seluas 435 liter atau 1,410 liter jika tempat duduk belakang dilipat rata. Ruang ini boleh diakses menerusi pintu tailgate kuasa yang menawarkan beberapa pilihan ketinggian.
C10 dipacu oleh motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan 214 hp (160 kW) dan 320 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.5 saat.
Ia menggunakan bateri LFP berkapasiti 69.9 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 424 km berdasarkan kitaran WLTP. Selain pengecasan AC 6.6 kW, bateri ini juga menyokong pengecasan pantas 84 kW yang boleh memulihkan kuasa bateri dari 30% hingga 80% dalam 30 minit.
Bukan itu sahaja, pek bateri itu juga didatangkan dengan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) dengan kapasiti output 3.3 kW.
Untuk sistem keselamatan pula, C10 dilengkapi dengan tujuh beg udara dan sistem ADAS Tahap 2 bergelar Leap Pilot yang merangkumi ciri-ciri berikut:
Adaptive Cruise Control (ACC)
Lane Centering Control (LCC)
Traffic Jam Assist (TJA)
Front Collision Warning (FCW)
Autonomous Emergency Braking (AEB)
Blind Spot Detection (BSD)
Door Opening Warning (DOW)
Emergency Lane Keeping (ELK)
Lane Departure Warning (LDW)
Lane Keep Assist (LKA)
Rear Collision Warning (RCW)
Rear Cross-Traffic Alert And Braking (RCTA + RCTB)
Intelligent Speed Assist (ISA)
Driver Drowsiness Alert Warning (DDAW)
Advanced Driver Distraction Warning (ADDW)
Untuk pasaran Malaysia, C10 ditawarkan dalam empat warna luaran iaitu Glazed Green, Pearly White, Canopy Grey dan Tunda Grey. Ruang dalaman pula didatangkan dalam warna Criollo Brown khas untuk Glazed Green dan hitam untuk warna-warna lain.
Ia didatangkan dengan jaminan selama enam tahun atau perbatuan sejauh 150,000 km, serta jaminan bateri selama 8 tahun atau 160,000 km, mana-mana tiba dahulu. Selang servis adalah selama 1 tahun atau 20,000km, mana-mana tiba dahulu.
Sime Darby Motors telah melancarkan kenderaan elektrik BYD yang keempat untuk pasaran Malaysia iaitu BYD M6.
M6 yang merupakan model jenis MPV ditawarkan dalam konfigurasi tujuh tempat duduk dengan dua pilihan varian iaitu Standard dan Extended.
Kedua-dua varian dilengkapi dengan motor elektrik tunggal yang memacu roda depan.
Varian Standard mempunyai 161 hp (120 kW) dan 310 Nm, membolehkannya memecut dari 0-100 km/j dalam 10.1 saat.
Sementara itu, dengan 201 hp (150 kW) dan jumlah tork yang sama, M6 Extended boleh memecut dari 0-100 km/j dalam 8.6 saat.
Selain kuasa, kapasiti bateri antara dua varian ini juga berbeza.
M6 Standard didatangkan dengan bateri Blade berkapasiti 55.4 kWj yang menawarkan jarak gerak sejauh 420 km berdasarkan kitaran NEDC.
Varian Extended pula dilengkapi dengan bateri lebih besar dengan kapasiti 71.8 kWj, memberikan jarak pandu sejauh 530 km dengan satu cas penuh.
Kadar maksimum pengecasan pantas juga berbeza iaitu 89 kW untuk Standard dan 115 kW untuk Extended, yang memerlukan 40 minit untuk pengecasan 10-80%.
Bagaimanapun, ciri Vehicle-to-Load disertakan secara standard pada kedua-dua varian.
Dari segi kelengkapan, M6 didatangkan dengan lampu LED depan dan belakang, rim aloi 17 inci, skrin sentuh 12.8 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem karaoke dan kunci digital NFC.
Bumbung panoramik, pengecas tanpa wayar 15W dan tailgate elektrik turut disertakan.
Dari segi keselamatan, M6 didatangkan standard dengan enam beg udara, Tyre Pressure Monitoring System, Isofix, ABS, Electric Parking Brake, Electronic Stability Control, Traction Control dan 360 View Monitor.
Varian Extended mendapat ciri ADAS iaitu Autonomous Emergency Braking, Intelligent Cruise Control, Front and Rear Collision Warning, Blind Spot Detection dan Lane Departure Assist.
Harga jualan bermula dari RM109,800 untuk M6 Standard dan RM123,800 untuk M6 Extended.
Ia didatangkan dengan waranti enam tahun/150,000 km untuk kenderaan, lapan tahun/160,000 km untuk bateri dan lapan tahun/150,000 km untuk unit pacuan.
Selain MPV mewah 009, Zeekr Malaysia juga akan melancarkan crossover elektrik yang dikenali sebagai X, sekali gus merancakkan lagi pasaran kenderaan elektrik di negara ini.
Untuk pengetahuan anda, X sebenarnya mempunyai ‘adik beradik’ yang sebenarnya telah pun dilancarkan di Malaysia iaitu smart #1 dan #3, serta Volvo EX30.
Apa kaitan X dengan ketiga-tiga model berkenaan? Kalau anda nak tahu, walaupun rekaan model-model ini sangat berbeza, kesemuanya mempunyai ‘rangka’ yang sama iaitu platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang dihasilkan oleh Geely.
Ini bukan sesuatu yang menghairankan kerana smart, Volvo dan Zeekr semuanya bernaung di bawah payung Geely.
Dalam artikel ini, kami akan membuat perbandingan antara keempat-empat model berkenaan bagi memudahkan anda memilih model yang paling sesuai dengan bajet dan keperluan anda:
Dimensi
Walaupun menggunakan platform yang sama, keempat-empat EV ini mempunyai ukuran yang berbeza. Smart #1 adalah yang paling kecil, dengan ukuran panjang 4,270 mm, lebar 1,820 mm, tinggi 1,636 mm dan tapak roda 2,750 mm.
#3 besar sedikit dengan ukuran panjang 4,400 mm, lebar 1,844 mm, tinggi 1,556 dan tapak roda 2,785 mm.
EX30, kereta Volvo paling kecil setakat ini, mempunyai ukuran panjang 4,223 mm, lebar 1,837 mm, tinggi 1,555 mm dan tapak roda 2,650 mm.
Sementara itu, dengan ukuran panjang 4,450 mm, lebar 1,836 mm, dan tinggi 1,572 mm, X muncul sebagai model paling panjang. Bagaimanapun, ukuran tapak rodanya sama dengan #1 iaitu 2,750 mm.
Trenkuasa
Dapatkan EX30 Ultra Twin Performance kalau anda berjiwa kelajuan
Untuk kategori ini, kami akan membandingkan varian-varian motor elektrik berkembar. Apa yang menarik, keempat-empatnya mempunyai kuasa yang sama iaitu 422 hp (315 kW) dan 543 Nm.
Walau bagaimanapun, jika dilihat dari segi masa pecutan 0-100 km/j, EX30 Ultra Twin Performance adalah yang paling laju dengan masa 3.6 saat. Di tempat kedua adalah #3 Brabus dengan 3.7 saat, X dengan 3.8 saat dan akhir sekali #1 dengan 3.9 saat.
Kelajuan maksimum bagi keempat-empat model dihadkan pada 180 km/j.
Bateri dan jarak
Untuk bateri, #1 Pro dan #3 Pro didatangkan dengan bateri jenis LFP 49 kWj yang menawarkan jarak antara 315 km dan 325 km. Varian Premium bagi kedua-dua model ini pula menggunakan bateri jenis nickel manganese cobalt (NMC) 66 kWj dengan jarak dari 440 km hingga 455 km.
Varian tertinggi iaitu Brabus menggunakan bateri yang sama tetapi dengan jarak yang lebih pendek iaitu 400 km untuk #1 dan 415 km untuk #3.
EX30 menggunakan bateri NMC 69 kWj dengan jarak gerak sejauh 476 km untuk varian motor tunggal iaitu Plus dan Ultra, dan 450 km untuk varian Ultra Twin Performance yang mempunyai motor berkembar.
Sementara itu, X dilengkapi dengan bateri NMC 66 kWj yang menjanjikan jarak gerak sejauh 440 km berdasarkan kitaran WLTP.
Harga
Ini mungkin aspek yang paling penting untuk perbandingan keempat-empat crossover elektrik ini.
Bermula dengan #1, varian Pro dijual pada harga RM169,000, Premium dijual pada harga RM209,000 dan Brabus pula berharga RM249,000.
#3 Pro pula berharga RM175,000, Premium berharga RM215,000 manakala Brabus boleh dimiliki pada harga RM255,000.
Untuk EX30, varian asas iaitu Plus berharga RM188,888, Ultra berharga RM208,888 manakala Ultra Twin Performance berharga RM228,888.
Ketika artikel ini ditulis, harga rasmi Zeekr X masih belum diumumkan namun menurut syarikat itu, jangkaan harganya adalah bawah RM180,000.
Persidangan dan Pameran Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM) yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menyaksikan kemunculan pelbagai jenis kenderaan elektrik untuk kegunaan komersial.
Salah satu daripadanya adalah van elektrik CAM EC35 yang boleh didapati dalam tiga versi iaitu panel van, semi-panel van dan window van. Unit yang dipamerkan ini adalah jenis window van yang telah diubah suai menjadi ambulans.
Ketiga-tiga versi mempunyai ukuran dimensi yang sama iaitu panjang 4,500 mm, lebar 1,680 mm dan tinggi 1,985 mm, dengan tapak roda 3,050 mm. Berat kasar adalah 2,600 kg manakala had muatan adalah dari 1,025 hingga 1,090 kg.
Panel van menyediakan dua tempat duduk, semi-panel van menyediakan lima tempat duduk manakala window van mempunyai konfigurasi enam atau lapan tempat duduk.
EC35 dikuasakan oleh motor elektrik tunggal yang terletak pada gandar belakang yang menghasilkan 80 hp (60 kW) dan 200 Nm. Kuasa dibekalkan oleh bateri berkapasiti 38.7 kWj yang memberikan jarak gerak sejauh 268 km berdasarkan kitaran WLTP.
Pengecasan standard (AC) mengambil masa kira-kira lima jam untuk memulihkan kuasa bateri dari 20% hingga 80%, manakala pengecasan pantas (DC) memerlukan 80 minit untuk pengecasan 20% hingga 80% atau 2.5 jam untuk pengecasan penuh.
Kelengkapan lain yang terdapat pada EC35 termasuk tingkap kuasa, ABS, EBD, sensor undur dan kamera undur yang dipaparkan menerusi skrin berukuran lapan inci.
Sudah tentu, untuk mengubahnya menjadi sebuah ambulans, beberapa modifikasi dan ubahsuai perlu dilakukan.
Antaranya termasuk bar lampu LED, siren, pembesar suara, sistem PA, serta lapan unit lampu amaran LED (dua pada gril depan, empat pada bahagian sisi bumbung dan dua pada bahagian belakang bumbung). Semua tingkap belakang juga dipasang filem penapis haba dengan VLT 95%.
Di dalam, terdapat lantai yang diperbuat daripada kayu lapis kalis air setebal 18 mm, kabinet aluminium, dan paip oksigen dan komponen-komponen berkaitan. Turut disertakan adalah pemadam api, inverter AC, palam tiga pin, port USB, lampu siling LED dan dua unit pengusung.
Harga jualan EC35 bermula dari RM135,000 untuk panel van, RM138,500 untuk semi-panel van dan RM145,000 untuk window van lapan tempat duduk.
Harga ambulans ini pula adalah RM199,000. Ia didatangkan dengan waranti selama lima tahun/120,000 km untuk kenderaan, dan waranti selama setahun untuk pemasangan.
Denza, sub-jenama premium di bawah naungan BYD, akan memasuki pasaran Malaysia menerusi Sime Darby Auto Imports sebagai pengimport rasmi dan BYD Malaysia yang menggalas tanggungjawab sebagai pengedar rasmi.
Satu majlis tandatangan perjanjian pengimportan dan pengedaran Denza telah diadakan semalam antara BYD Auto Industry dan kedua-dua syarikat berkenaan.
Perjanjian ini menandakan perjalanan baharu dan memperkukuh hubungan antara BYD dan Sime Darby sebagai satu kumpulan, mengembangkan kerjasama dengan Sime Darby sebagai pengimport rasmi.
Ia juga akan menjadi langkah pertama Denza untuk memasuki Malaysia, di mana jenama itu akan membawa dimensi baharu ke pasaran EV tempatan dengan teknologi, ciri serta pengalaman pemanduan yang premium.
Menerusi Denza, BYD mensasarkan untuk menyediakan pengalaman EV yang lebih meluas, inovatif dan premium kepada rakyat Malaysia.
Liu Xueliang, Pengarah Urusan Bahagian Jualan Auto Asia-Pasifik BYD berkata pihaknya teruja dapat bekerjasama dengan Sime Darby Auto Imports untuk membawa Denza ke pasaran Malaysia, menandakan pencapaian penting BYD dalam usahanya untuk memperkembangkan penawaran EV di Asia Tenggara.
“Sebagai peneraju inovasi, kami bangga dapat membawa teknologi EV canggih kami ke Malaysia di mana permintaan untuk mobiliti mampan terus berkembang.
“Dengan Denza, kami boleh menawarkan pelanggan kami pengalaman yang lebih baik menerusi teknologi dan ciri premium di dalam industri EV. Kami percaya Denza akan mentakrifkan semula pengalaman premium EV dan menetapkan penanda aras baharu untuk pemandu Malaysia,” katanya.
Dennis Ho, Pengarah Urusan Pemasangan dan Perniagaan Strategik Sime Darby Motor menambah, “Kami komited untuk memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pertumbuhan kenderaan elektrik di Malaysia dan kami percaya membawa masuk Denza akan menjadi sebahagian besar daripada perjalanan ini,” katanya.
Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia pula berkata jenama itu komited dalam meningkatkan lanskap EV di Malaysia.
“Misi BYD sentiasa untuk menjadikan kenderaan elektrik mudah diakses oleh lebih ramai orang, dan dengan pengenalan Denza, kami menawarkan pemandu Malaysia pilihan premium yang merangkumi kemewahan dan kemampanan. Penerimaan pantas EV di Malaysia adalah bukti kemajuan negara dalam menerima masa depan yang lebih bersih dan hijau,” jelas beliau.
Bersempena dengan sambutan ulang tahun yang ke-80, Kia UK tampil dengan sebuah projek restomod hatchback kecil tahun 90-an keluaran jenama itu, Kia Pride EV.
Kereta kompak ini asalnya merupakan versi tukar lencana daripada Ford Festiva, dan turut dipasarkan sebagai model Mazda 121.
Jika dulu ia dilengkapi dengan enjin pembakaran dalaman 1.1 dan 1.3 liter, projek restomod terbaharu ini telah menggantikan peranan nadi tersebut dengan unit rangkaian kuasa sifar emisi berkuasa 107 hp dan 235 Nm.
Menggunakan kepakaran Electrogenic, Kia turut mengekalkan padanan transmisi manual lima nisbah kelajuan yang asal, namun dengan kit klac berorientasikan prestasi.
Biarpun dengan perubahan yang dinyatakan, berat keseluruhan Pride EV ini cuma 870 kg sahaja, atau 20 kg lebih berat berbanding model asal.
Sebagai perbandingan, EV moden Kia EV6 dengan motor elektrik tunggal 225 hp mempunyai berat badan sekitar 2,065 kg.
Kia Pride turut menawarkan beberapa pilihan mod pemanduan.
Dalam mod Eco, ia mengehadkan kuasa kepada 60 hp/118 Nm dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 11.8 saat, sama seperti model ICE yang asal.
Mod pemanduan Auto (80 hp/176 Nm) pula menawarkan pengalaman pemanduan EV yang lebih moden, serta fungsi brek regeneratif yang cukup sesuai digunakan di dalam bandar.
Mod Sport pula membolehkan pecutan 0-100 km/j diselesaikan dalam tempoh lapan saat.
Karakteristik yang sporti itu berjaya disembunyikan dengan baik menerusi pengekalan ciri tayar saiz 12 inci lengkap dengan plastik pelindung rim yang asli.
Malah soket pengecasan juga turut disorok di sebalik penutup corong pengisian bahan api asal yang boleh dikunci dari luar.
Selain rupa paras yang standard, Kia hanya menaik taraf beberapa aspek seperti contoh cat luaran White Pearl, lampu depan dan belakang, diikuti dengan balutan fabrik baharu untuk ruang kabin.
Malah, kluster meter instrumen yang asal masih lagi dikekalkan, melainkan tolok bahan api telah diubah menjadi meter indikasi kapasiti bateri.
Satu kekurangan ketara Kia Pride EV ini ialah jarak gerak yang agak terhad, sekitar 193 km sahaja.
Ini kerana tidak seperti EV moden, Kia Pride EV ini telah dipasang dengan dua unit pek bateri kecil, masing-masing berkapasiti 10 kWh (satu di hadapan dan satu lagi di bawah lantai trunk).
Dengan kuasa pengecasan 3.3 kW, ia mengambil masa kira-kira enam jam untuk siap cas sepenuhnya.
Melihatkan kepada tahap kekemasan yang ditunjukkan oleh Kia Pride EV, tidak salah rasanya untuk pengeluar tempatan untuk tampil dengan projek restomod binaan sekali menggunakan model ikonik seperti Proton Saga Knight atau Perodua Kancil.
Sime Darby Motors (SDM) mengumumkan ia telah berjaya menjual lebih 10,000 kenderaan BYD di seluruh negara sejak dilantik sebagai pengedar rasmi jenama itu pada September 2022.
Bagi meraikan pencapaian ini, Sime Darby Motors baru-baru ini menganjurkan konvoi ‘BYD Dream Drive Melaka 2024’ yang disertai lebih 60 kenderaan BYD.
Menurut syarikat itu, Melaka dipilih sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China. Ini sekaligus menjadikan negeri bersejarah itu destinasi yang sesuai memandangkan sejarah hubungannya dengan China yang terjalin sejak abad ke-15.
Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Asia Tenggara, Sime Darby Motors berkata pencapaian ini mencerminkan penggunaan EV yang semakin meningkat di rantau ini serta kedudukan kukuh Sime Darby sebagai peneraju segmen EV.
“Komitmen kami dalam menyediakan pengalaman dan perkhidmatan terbaik menerusi kerjasama strategik dengan BYD telah menyumbang kepada kejayaan ini,” katanya.
Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia pula berkata, “Pencapaian ini mencerminkan kepercayaan dan sokongan pelanggan kami yang menerima masa depan mobiliti dengan BYD. Ia telah menjadi perjalanan yang luar biasa dengan Sime Darby Motors dan kami berharap dapat meningkatkan pengalaman memandu lestari di Malaysia.”
BYD Malaysia berkata ia mensasarkan untuk menjual 10,000 kenderaan yang seterusnya dalam jangka masa yang lebih singkat.
Sime Darby Motors pula merancang untuk memperluaskan jaringan BYD di Malaysia kepada 30 bilik pameran menjelang akhir tahun ini. Buat masa ini, terdapat 26 bilik pameran BYD di seluruh negara, yang merangkumi 19 rakan kongsi peniaga, dengan 16 pusat 3S dan 10 pusat 1S.
Kalau anda ingat pada Ogos lalu, kami telah menyenaraikan lima kenderaan elektrik terbaik yang anda boleh beli pada harga antara RM100,000 hingga RM150,000.
Jika anda perasan, kelima-lima EV yang disenaraikan adalah daripada jenama China. Tetapi itu bukanlah benda yang tidak bagus kerana kebanyakan EV dari negara itu menawarkan prestasi, teknologi dan senarai kelengkapan yang baik pada harga mampu milik.
Untuk senarai lima EV terbaik yang berharga antara RM150,000 hingga RM200,000, masih terdapat ‘calon-calon’ daripada jenama China tetapi kali ini ada berita baik untuk mereka yang ingin mencuba EV daripada jenama Eropah kerana terdapat tiga model yang mungkin dapat memenuhi citarasa mereka:
Volvo EX30 Plus (RM188,888)
Baru sahaja dilancarkan di pasaran Malaysia, Volvo EX30 mungkin bukan 100% Eropah kerana ia menggunakan platform buatan Geely yang turut digunakan oleh smart #1 dan Zeekr X, serta dipasang di China, tetapi tidak dapat dinafikan lagi yang ia adalah kereta Volvo yang sebenar.
Lampu LED tukul Thor menunjukkan yang ia adalah sebuah Volvo, begitu juga dengan ruang dalaman yang minimalis yang menampilkan pelbagai jenis bahan lestari. Jika anda mementingkan prestasi, jangan risau kerana varian Plus boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.3 saat sahaja. Ingin lebih pantas? Anda boleh mendapatkan varian Ultra Twin Performance tetapi ia berharga lebih RM200,000.
BYD Seal (RM163,800-RM199,800)
Bagi penulis, mana-mana senarai EV tidak akan lengkap tanpa BYD. Untuk julat harga RM150,000 hingga RM200,000, anda boleh mendapatkan sedan flagship Seal yang ditawarkan dalam tiga varian iaitu Dynamic, Premium dan Performance.
Ketiga-tiga ini berbeza dari segi prestasi (Performance paling laju dengan pecutan 0-100 km/j dalam 3.8 saat) dan jarak (Premium boleh pergi paling jauh iaitu 570 km) namun apa yang menariknya, tidak kira varian apa yang dipilih, anda mendapat senarai kelengkapan dan ciri yang hampir sama.
XPeng G6 (RM165,000-RM185,000)
XPeng merupakan jenama EV baharu dari China yang dibawa masuk oleh Bermaz, jadi anda tidak perlu risau tentang aftersales kerana Bermaz sememangnya berpengalaman dalam hal itu.
G6 adalah model pertama XPeng yang ditawarkan di Malaysia, menawarkan reka bentuk SUV coupe yang premium serta pelbagai teknologi canggih seperti Smart Electric Platform Architecture 2.0 dengan senibina 800V, sistem bunyi keliling XOpera dan fungsi keselamatan XPILOT 2.5 pada harga bawah RM200,000.
smart #3 Pro (RM175,000)
Seperti Volvo EX30, smart #3 boleh dikatakan sebagai anak campuran Eurasia kerana ia menggabungkan teknologi daripada syarikat Asia (Geely) dan reka bentuk Eropah (dalam kes #3, Jerman kerana ia direka oleh Mercedes-Benz).
Pro adalah varian pemula dalam barisan #3, dan pada harga RM175,000, ia menawarkan nilai untuk wang yang baik untuk mereka yang meminati jenama smart. Ia mempunyai 272 PS dan 343 Nm, boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.8 saat dan boleh dipandu sejauh 325 km dengan satu cas penuh, 10 km lebih jauh berbanding #1 Pro.
MINI Electric Cooper SE (RM193,888)
Penulis yakin ramai dalam kalangan pembaca Engear TV adalah peminat MINI. Untuk generasi kedua, MINI Cooper elektrik dilihat lebih berbaloi untuk dimiliki kerana ia bukan sahaja tampil dengan penggayaan lebih moden, malah lebih berkuasa dan jarak geraknya juga bertambah sekali ganda berbanding sebelum ini.
Dilancarkan di Malaysia pada Julai lalu, Cooper SE baharu dikuasakan oleh motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 218 PS dan 330 Nm (34 PS dan 60 Nm lebih tinggi), membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat. Bateri dengan kapasiti lebih besar iaitu 54.2 kWj pula memberikannya jarak gerak sejauh 402 km dengan satu cas penuh.
Nampaknya barisan kenderaan elektrik BYD di Malaysia bakal diperluaskan lagi menerusi model baharu yang dikenali sebagai M6.
Dalam satu sesi soal jawab bersama media di Changsha, China baru-baru ini, Pengurus Besar Bahagian Jualan Auto BYD Asia Pasifik, Liu Xueliang mengesahkan bahawa MPV elektrik itu akan memasuki pasaran Malaysia tahun ini.
Walau bagaimanapun, tarikh sebenar pelancarannya masih belum diketahui, begitu juga dengan spesifikasi dan varian yang akan ditawarkan.
Namun penulis menjangkakan yang spesifikasi untuk pasaran Malaysia tidak jauh berbeza dengan apa yang pasaran Indonesia dan Thailand dapat.
Di Indonesia, M6 ditawarkan dengan konfigurasi enam atau tujuh tempat duduk, manakala di Thailand, ia hanya boleh didapati dalam versi enam tempat duduk.
Dari segi trenkuasa pula, kedua-dua pasaran itu menawarkan dua varian dengan kuasa yang berbeza. Varian asas yang dipacu oleh motor elektrik gandar depan mempunyai 163 PS/310 Nm, manakala varian lebih berkuasa (dikenali sebagai Superior di Indonesia dan Extended di Thailand) mempunyai 204 PS/310 Nm.
Seperti EV BYD yang lain, kuasa elektrik dibekalkan oleh pek bateri LFP dengan kapasiti 55.4 kWj untuk varian asas, dan 71.8 kWj untuk Superior/Extended. Ini memberikan jarak gerak NEDC sejauh 420 km untuk varian asas dan 530 km untuk varian Superior/Extended.
Varian asas M6 menyokong pengecasan pantas DC 85 kW, manakala varian Superior/Extended pula boleh menampung sehingga 115 kW, sekali gus membolehkan tenaga bateri dipulihkan dari 10% hingga 80% dalam masa 40 minit. Sementara itu, pengecasan AC pula terhad kepada 7 kW sahaja untuk kedua-dua varian.
Untuk pengetahuan anda, M6 boleh dikatakan sebagai pengganti e6 yang sepatutnya dilancarkan ke Malaysia selepas Atto 3. Jika dibandingkan dengan e6, rekaan bahagian hadapan M6 lebih selaras dengan model-model semasa BYD, dengan kemasan berwarna perak bertindak sebagai penghubung kepada lampu projektor LED.
Pada bahagian sisi, trim krom digunakan secara meluas pada bingkai tingkap dan skirt sisi, manakala di belakang, terdapat lampu yang melintang sepenuhnya yang ditemani jalur krom. Tidak seperti Atto 3, M6 menggunakan lencana ‘BYD’ yang lebih ringkas.
Ruang dalamannya lebih konvensional jika dibandingkan dengan Atto 3 atau Dolphin, namun M6 menawarkan senarai kelengkapan yang cukup meluas dengan ciri-ciri seperti skrin berputar 12.8 inci, pengecas tanpa wayar berkembar, kemasukan tanpa kunci, bumbung kaca panoramik, pendingin hawa automatik dan pelbagai lagi.
Dari segi keselamatan, terdapat enam beg udara serta ciri ADAS yang merangkumi Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, Emergency Lane Keeping Assist dan Blind Spot Monitoring.
Bagaimana pula dengan harga? Di Indonesia, M6 dijual pada harga 379 juta rupiah hingga 429 juta rupiah (RM102,968-RM116,481), manakala di Thailand pula, harganya bermula dari 829,900 baht hingga 929,900 baht (RM106,014-RM118,788).
Pengedar rasmi kenderaan BYD di Malaysia iaitu Sime Darby Motors dalam satu kenyataan mengesahkan bahawa model BYD yang dijual di negara ini tidak terlibat dalam kempen panggilan semula yang diumumkan oleh BYD di China.
Menurut Sime Darby Motors, panggilan semula itu terhad kepada kenderaan yang dijual di negara itu sahaja.
Dalam pengumuman berkenaan, BYD Auto Industry Co., Ltd. and BYD Automobile Co., Ltd. berkata ia sedang memanggil semula unit-unit tertentu Dolphin dan Yuan Plus (juga dikenali sebagai Atto 3) yang dipasang secara domestik.
“Kelompok dan model yang dipanggil balik dalam wilayah tanah besar China tidak berkaitan dengan pasaran di luar wilayah tanah besar China,” kata syarikat itu.
Pada 30 September lalu, CarNewsChina melaporkan bahawa BYD telah memanggil semula 96,714 unit Dolphin dan Yuan Plus akibat kemungkinan risiko kebakaran.
Daripada jumlah tersebut, 87,762 unit dipasang antara 4 Februari 2023 dan 26 Disember 2023, manakala selebihnya iaitu 8,952 unit dipasang dipasang antara 2 November 2022 hingga 19 Jun 2023.
Menurut portal China itu, terdapat kecacatan dalam proses pembuatan pengawal pemasangan kolum stereng kuasa elektrik (CEPS).
Apabila penutup komponen tersebut ditutup, ia mungkin mengganggu kapasitor pada papan litar pengawal yang akan menyebabkan keretakan kecil di dalam kapasitor.
Keretakan ini boleh menjadi lebih besar, sekali gus menyebabkan litar pintas dan berpotensi menyebabkan kebakaran.
Bagi menghapuskan risiko keselamatan, wakil pengedar BYD akan memasang pad penebat pada komponen pengawal berkenaan secara percuma.
Minggu lalu, Proton Centre of Excellence (COE) menjadi destinasi penamat bagi siri jelajah dunia Geely Galaxy E5 yang bermula dari China.
Walaupun digelar sebagai ‘siri jelajah dunia’, konvoi yang terdiri daripada beberapa unit Galaxy E5 pemanduan sebelah kiri itu sebenarnya hanya merentasi tiga negara Asia Tenggara iaitu Laos, Thailand dan Malaysia.
Biar pun begitu, perjalanan sejauh 3,700 km itu dilihat sudah cukup untuk membuktikan kemampuan dan ketahanan Galaxy E5 dalam dunia sebenar.
Menurut wakil dari Geely, konvoi tersebut berjaya melengkapkan perjalanan yang panjang itu tanpa sebarang masalah dan setiap unit berjaya tiba di COE dalam keadaan elok walaupun berhadapan dengan banjir di Laos yang diakibatkan oleh Taufan Yagi.
Mengambil kesempatan yang ada, Proton telah menjemput pihak media untuk memandu uji kembar kepada Proton e.MAS 7 itu di litar ujiannya di COE. Bukan itu sahaja, beberapa media terpilih juga berpeluang untuk memandu EV itu di jalan raya untuk pengalaman pemanduan yang lebih realistik.
Apa yang penulis boleh katakan, sesi pandu uji ini memberikan bayangan yang agak jelas mengenai reka bentuk, teknologi dan prestasi e.MAS 7 yang akan dilancarkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi.
Reka bentuk luaran sama sahaja?
Proton sebelum ini menekankan bahawa e.MAS 7 bukanlah model rebadge Galaxy E5. Dari sudut teknikal, dakwaan ini benar kerana e.MAS 7 sememangnya dibangunkan serentak dengan Galaxy E5. Menurut Proton, lebih 100 jurutera mereka terlibat dalam projek ini.
Walau bagaimanapun, dari segi reka bentuk luaran, kami tidak rasa Proton boleh membuat terlalu banyak perubahan pada e.MAS 7 kecuali menukar logo dan lencana asal. Elemen Infinite Weave seperti yang digunakan pada model-model lain juga tidak boleh diterapkan kerana e.MAS 7 tidak mempunyai gril.
Cuma, apa yang penulis nampak, e.MAS 7 menggunakan rim satu inci lebih kecil iaitu 18 inci berbanding Galaxy E5 yang didatangkan dengan rim 19 inci.
Ruang dalaman minimalis tetapi mewah
Seperti bahagian luaran, rekaan ruang kabin e.MAS 7 juga dijangka tidak jauh berbeza dengan Galaxy E5. Tetapi ini adalah benda bagus kerana rekaan ruang dalaman EV dari China ini agak mengagumkan, sama ada dari segi susun atur atau bahan yang digunakan.
Upholsteri kulit yang digunakan kelihatan begitu mewah dan terasa cukup lembut pada sentuhan. Paling penting, ia diaplikasikan secara meluas bukan sahaja pada tempat duduk, tetapi bahan itu juga membaluti sebahagian besar papan pemuka dan panel pintu.
Selain daripada warna putih, Geely turut menawarkan pilihan warna merah perang dan biru gelap. Adakah Proton akan menawarkan pilihan warna yang sama? Sama-sama kita nantikan.
Luas dan praktikal, sesuai untuk rakyat Malaysia
Dengan tapak roda berukuran 2,750 mm, Galaxy E5 menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa. Penulis amat kagum dengan ruang kaki penumpang belakang yang setanding dengan kereta segmen D walaupun ini merupakan SUV segmen C.
Tempat duduk belakang menawarkan sokongan peha yang mencukupi tetapi apa yang lebih menarik adalah kerusi penumpang hadapan yang didatangkan dengan fungsi Ottoman – satu ciri yang biasanya terdapat pada MPV mewah sahaja.
Bagi mereka yang sering membawa barangan yang banyak, jangan gusar kerana Galaxy E5 mempunyai 33 ruang storan termasuk laci di bawah kerusi belakang. Untuk sebuah SUV, ruang butnya tidaklah begitu besar (461 liter) namun terdapat ruang simpanan tambahan sebesar 51 liter di bawah lantai but.
Sarat dengan teknologi
Galaxy E5 dan e.MAS 7 menggunakan sistem operasi yang sama iaitu Flyme Auto yang dikuasakan oleh cip Longying One Chip 7 nm yang didakwa sebagai cip kokpit pintar pertama dari China. Selain integrasi telefon pintar, sistem operasi ini juga menawarkan ciri arahan suara untuk melakukan pelbagai perkara. Anggap sahaja ia seperti pembantu peribadi anda.
EV ini juga menggunakan sistem audio Flyme Sound berkapasiti 1,000 watt dengan 16 pembesar suara, termasuk pada perehat kepala. Bukan itu sahaja, terdapat juga pembesar suara pada bahagian luar yang berguna jika anda mahu memainkan muzik ketika berparti.
Anda juga boleh menggunakan pembesar suara luaran tersebut untuk membunyikan amaran kepada pejalan kaki atau pengguna jalan raya yang lain. Yang menariknya, pilihan bunyi yang disediakan boleh dikatakan sangat tidak konvensional. Ia termasuk bunyi “Hi”, ngauman harimau, kucing mengiau, deruman enjin supercar dan pelbagai lagi.
Galaxy E5 jelas ditala untuk keselesaan, bagaimana pula dengan e.MAS 7?
Biarpun agak singkat, sesi pemanduan di litar ujian Proton dan di jalan raya berjaya mendedahkan karakter Galaxy E5. Penulis dapat merasakan yang EV ini memang ditala untuk pemanduan yang lebih santai, berbeza dengan EV China lain yang penulis pernah cuba seperti smart #1.
Galaxy E5 didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 218 PS dan 320 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 184 km/j.
Pada zaman kini, di mana EV sudah mampu menandingi supercar dengan mudah, angka ini tidaklah begitu mengagumkan namun penulis merasakan yang Galaxy E5 sebenarnya sudah cukup pantas untuk kebanyakan pemandu di luar sana. Cuma, tindak balas pendikitnya tenang dan tidak terburu-buru, walaupun ditekan dengan agresif.
Selain itu, sistem suspensi Galaxy E5 juga boleh dikatakan sangat lembut. Dalam perjalanan menuju ke Puncak Alam, kereta ini membuktikan yang ia mampu menyerap hentakan dari permukaan berlubang dengan cukup baik sehinggakan ia hampir tidak terasa di dalam kabin. Walau bagaimanapun, penulis dapat merasakan ada sedikit lantunan ketika bergerak pada kelajuan tinggi atau melalui jalan yang beralun.
Konklusi
Seperti yang dikatakan, sesi pandu uji ini sangat berharga kerana ia dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran mengenai Proton e.MAS 7.
Dari segi reka bentuk luaran dan dalaman, serta sistem infotainment dan teknologi, penulis tidak mengharapkan perubahan yang terlalu ketara kerana pakej yang dibawakan oleh Galaxy E5 sudah cukup menarik.
Bagaimanapun, dari segi pemanduan terutamanya tindak balas pendikit dan talaan suspensi, Proton pastinya akan menggunakan kepakaran mereka bagi memastikan e.MAS 7 sesuai dengan keadaan permukaan jalan raya di Malaysia, selain dapat memenuhi permintaan pembeli EV tempatan.
Kereta elektrik yang mementingkan tahap kecekapan aerodinamik yang tinggi dan kadar pekali seretan yang rendah sememangnya mampu menawarkan manfaat dari segi jarak gerak yang lebih jauh.
Cuma kelemahannya, ia tidak akan mempunyai reka bentuk yang cantik seperti kereta tradisional yang wujud di pasaran.
Contoh terdekat yang anda boleh lihat ialah reka bentuk mana-mana sedan elektrik Mercedes-Benz, seperti EQS, EQE serta model konsep Vision EQXX.
Bercakap kepada laman automotif Australia Drive, Florian Mockenhaupt selaku Pengurus Kanan Reka Bentuk Luaran Volvo berkata, “Ia bukanlah tentang nilai estetika, tapi dengan menghasilkan kereta yang kelihatan macam tetikus Apple akan hadir dengan bermacam-macam kompromi.
Beliau menambah, kereta Volvo masa hadapan akan mendapat manfaat daripada aspek aerodinamik yang ditambah baik, dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan yang didambakan oleh pelanggan.
Mockenhaupt juga turut menegaskan Volvo tidak akan menggunakan pendekatan strategi “sosej yang sama, panjang yang berbeza” seperti yang diamalkan oleh sesetengah pesaing dari Jerman.
Memetik laporan Automotive News, CEO Volvo mengesahkan jenama itu akan melancarkan sehingga 10 buah model generasi baharu dan yang akan dikemaskini untuk tempoh 24 bulan akan datang.
Dua daripadanya merupakan model serba baharu, iaitu crossover EX60 dan sedan ES90 yang bakal ditawarkan dalam versi EV dan juga plug-in hybrid (PHEV).
Volvo Car Malaysia telah melancarkan kenderaan elektrik terbarunya iaitu Volvo EX30. Ini merupakan kenderaan Volvo terkecil dan terpantas pernah dihasilkan setakat ini.
Untuk pasaran tempatan, EX30 ditawarkan dalam tiga varian iaitu Plus, Ultra dan Ultra Twin Performance.
Plus dan Ultra menggunakan trenkuasa motor tunggal Single Motor Extended Range yang menghasilkan 272 PS/343 Nm, membolehkan pecutan 0-100 kmj dalam 5.3 saat.
Varian Ultra Twin Performance pula mempunyai motor berkembar dengan kuasa sebanyak 428 PS/543 Nm, dengan masa pecutan 0-100 kmj dalam 3.6 saat.
Semua varian dilengkapi bateri NMC berkapasiti 69 kWh yang memberikan jarak sehingga 476 km untuk varian motor tunggal dan 450 km untuk EX30 Ultra Twin Performance.
Bateri itu mampu dicas pantas menggunakan pengecas DC 175 kW dari 10 hingga 80 peratus dalam hanya 28 minit.
Ciri-ciri standard termasuk lampu depan LED, roda aloi Diamond Cut 19-inci, sistem audio premium Harman Kardon dalam bentuk sound bar, tailgate kuasa, cermin pandang belakang dan cermin sisi anti-silau, dan lampu ambien dalaman bertema.
Varian Ultra menambah ciri Park Pilot Assist, kamera 360°, tempat duduk hadapan berkuasa, dan bumbung panoramik.
Untuk sistem keselamatan, terdapat sistem bantuan pemandu canggih yang terdiri daripada Pilot Assist yang ditambah baik, Park Pilot Assist, amaran pembukaan pintu dan pencegah pelanggaran.
Pelanggan mempunyai pilihan warna luaran Cloud Blue, Vapour Grey, Crystal White, dan Onyx Black, dengan warna unik Moss Yellow yang tersedia secara eksklusif untuk varian Ultra untuk tempoh terhad di Malaysia.
Harga bermula dari RM188,888 untuk EX30 Plus, RM208,888 untuk EX30 Ultra, dan RM228,888 untuk EX30 Ultra Twin Performance.
Seperti setiap model elektrik penuh Volvo, EX30 datang dengan lima tahun Pelan Servis Volvo (VSP), perkhidmatan digital, bantuan tepi jalan 24 jam, serta jaminan kenderaan tanpa had jarak perjalanan.
Untuk ketenangan minda pengguna, bateri voltan tinggi dijamin selama lapan tahun.
Dibangunkan menggunakan platform SEA milik Geely yang turut digunakan oleh smart #1 dan Zeekr X, EX30 merupakan kenderaan Volvo yang paling kecil setakat ini.
Namun ia tidak boleh sekali-kali dipandang remeh kerana walaupun mempunyai saiz yang kompak, EX30 menawarkan semua yang pembeli dalam segmen ini inginkan – rupa, teknologi, praktikaliti dan sudah tentu, prestasi.
Terima kasih kepada aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan semasa sesi pandu uji media yang dianjurkan oleh Volvo Car Malaysia baru-baru ini, kami berjaya mendapat gambaran jelas mengenai kemampuan sebenar EX30 dan kenapa ia sangat menarik.
Tetapi sebelum itu, mari kita lihat dulu bahagian luaran dan dalaman EV dari jenama Sweden ini. Dengan ukuran panjang 4,223 mm, lebar 1,837 mm, dan tinggi 1,555 mm, ia sebenarnya lebih kecil berbanding kedua-dua kembarnya iaitu #1 dan X.
Namun bagi penulis EX30 mempunyai perkadaran (proportion) yang cukup seimbang dan sporty, dengan overhang depan dan belakang yang sama panjang, tapak roda yang panjang (2,650 mm) dan rim yang besar.
Walaupun unit-unit pandu uji ini masih dibalut pelekat penyamaran, sekali pandang anda sudah tahu ia sebuah kereta Volvo terima kasih kepada lampu nyalaan siang LED berbentuk tukul Thor yang menonjol. Sudah tentu, logo jenama itu juga terpampang jelas pada bahagian hadapan kereta ini.
Seperti yang boleh dijangka dari jenama ini, ruang dalaman EX30 tampil kemas dan rapi. Selari dengan konsep kelestarian, Volvo memilih untuk menggunakan bahan-bahan yang boleh diperbaharui dan kitar semula di hampir setiap ceruk kabin kereta ini.
Selain butang cermin tingkap pada konsol tengah, anda tidak akan menemui sebarang butang fizikal di dalam EX30. Malah, panel instrumen digital pun tidak ada di dalam kereta ini. Semua fungsi serta maklumat seperti kelajuan kenderaan dan kedudukan gear perlu diakses menerusi skrin sentuh berukuran 12.3 inci.
Pendekatan ini berkesan dalam menghasilkan ruang kabin yang minimalis namun mereka yang old school akan memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri. Manakan tidaknya, untuk mengubah cermin sisi dan membuka glove box juga perlu dilakukan menerusi skrin sentuh berkenaan.
Tidak boleh dinafikan yang ruang dalaman EX30 memang kecil tetapi penulis tidak rasa kebanyakan pengguna akan mempunyai masalah untuk menyimpan barangan mereka.
Ini kerana Volvo telah berfikir di luar kotak untuk menghasilkan sebanyak mungkin ruang penyimpanan barang. Pertama sekali, Volvo menggunakan sound bar Harman Kardon yang diletakkan pada papan pemuka bagi memastikan terdapat ruang yang cukup besar pada panel pintu.
Selain itu, pemegang cawan pada konsol tengah boleh digelongsorkan ke dalam manakala di bawahnya terdapat satu lagi ruang penyimpanan yang agak besar di mana anda boleh meletakkan barang-barang seperti dompet atau tas tangan.
Apa yang menarik, lantai ruang ini boleh dibuka untuk menghasilkan kompartmen yang lebih dalam. Terletak betul-betul di belakang kompartmen ini adalah bekas kecil yang boleh dikeluarkan.
Sekarang, berbalik kepada sesi pandu uji media yang dikatakan tadi. Dari ibu pejabat Volvo Malaysia di Petaling Jaya, kami bertolak ke lapangan terbang lama di Sungai Besi untuk dua aktiviti pemanduan yang menyeronokkan iaitu drag race dan slalom.
Aktiviti slalom bukanlah bukan benda baru untuk penulis tetapi kali ini ia sedikit berlainan kerana kami perlu melakukannya secara mengundur. Imej dari kamera yang cukup terang dan jelas banyak membantu penulis mengelak daripada terlanggar kon.
Seterusnya, aktiviti drag racing dengan Volvo V60 T8 berjaya merungkai kemampuan sebenar EX30 pada laluan lurus. Varian Ultra Twin Performance yang kami pandu mempunyai mod ‘rahsia’ yang perlu diaktifkan bagi membolehkan ia menghasilkan kuasa maksimum 428 PS dan 543 Nm.
Dengan semudah itu sahaja, EX30 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat bagi mengalahkan wagon PHEV yang sebenarnya jauh lebih berkuasa itu.
Usai berlumba di Sungai Besi, kami bergerak ke Bamboo Hills untuk demonstrasi ciri Park Pilot Assist. Ciri ini cukup mudah untuk digunakan dan boleh mengesan ruang parkir kosong dengan serta merta. Anda hanya perlu memilih ruang yang dikehendaki dan kereta ini akan melakukan segalanya untuk anda.
Kemudian, kami ke Ikea Damansara untuk aktiviti yang lain dari yang lain iaitu membeli-belah. Setiap pasukan yang terdiri daripada enam media diberikan bajet bernilai RM2,000 untuk membeli sebanyak mungkin barang untuk dimuatkan ke dalam EX30.
Terima kasih kepada ruang but yang mempunyai kapasiti maksimum 904 liter (jika tempat duduk belakang dibaringkan), kompartmen di bawah lantai but sebesar 61 liter, dan frunk sebesar 7 liter, pasukan penulis berjaya menyumbat beberapa buah kerusi, tilam futon, bantal dan banyak lagi barangan lain tanpa sebarang masalah.
Aktiviti ini menunjukkan bahawa walaupun EX30 bersaiz kompak, ruang dalamannya yang cukup versatil dan sesuai digunakan untuk ke destinasi percutian hujung minggu di Lembah Klang dan kawasan sekitar.
Dari Kuala Lumpur, kami kemudiannya menuju ke Janda Baik sebagai hentian terakhir sesi pandu uji ini. Perjalanan dari ibu kota ke pusat peranginan terkenal itu cukup seronok terutamanya ketika menyusuri Lebuhraya Karak memandangkan EX30 mempunyai pengendalian yang stabil dan mantap.
Walaupun dipandu dengan agresif sepanjang hari, ditambah pula dengan perlumbaan drag tersebut, penulis berjaya tiba ke Janda Baik dengan kuasa bateri berbaki sekitar 45%. Bayangkan jika ia dipandu dengan lebih cermat?
Untuk pengetahuan, varian Ultra Twin Performance didatangkan dengan bateri Nickel Manganese Cobalt (NMC) berkapasiti 69 kWj yang menjanjikan jarak pandu sekitar 450 km berdasarkan kitaran WLTP.
Bateri berkenaan boleh dicas dari 10% hingga 80% dalam hanya 28 minit menggunakan pengecas pantas DC 175 kW. Pengecasan AC 11 kW pula memerlukan kira-kira 7.5 jam untuk pengecasan penuh.
Konklusi
Untuk sebuah EV, Volvo EX30 menawarkan banyak kelebihan. Rekaan bahagian luaran dan dalamannya cukup moden dan sangat menarik perhatian tetapi dalam cara yang tidak keterlaluan.
Bercakap tentang ruang dalaman, kekurangan butang fizikal mungkin akan membuatkan sesetengah pelanggan berfikir dua kali sebelum membelinya namun berdasarkan pengalaman penulis, semua fungsi dan ciri yang ada boleh diakses dengan mudah. Anda hanya perlu mengambil sedikit masa untuk belajar menggunakannya.
Bagi penulis, kekuatan utama model ini terletak pada prestasi dan praktikaliti, menjadikannya pilihan yang sesuai untuk golongan muda yang mempunyai gaya hidup aktif.
Syarikat automotif China Geely sedang meninjau lokasi yang sesuai untuk mendirikan fasiliti produksi yang besar di benua Eropah.
Namun menurut sumber Reuters, naib presiden Geely Auto Group Li Chuanhai mengesahkan perancangan tersebut “tidak 100 peratus” ketika berucap di Frankfurt, Jerman minggu lalu.
Geely sebelum ini mengadakan perbincangan dengan kerajaan Poland, namun pihak berkuasa negara itu tidak melihat Geely sebagai rakan pelaburan yang ideal.
Bertempat di Frankfurt, Geely telah membuka sebuah fasiliti baharu di mana ia akan menjadi lokasi pengujian dan pembangunan 13 buah model tenaga baharu untuk memenuhi piawaian Eropah yang lebih ketat.
Selain Geely, beberapa pengeluar automotif China termasuk Chery dan GWM turut merancang untuk mendirikan kilang pemasangan di Eropah untuk mengelakkan tarif yang lebih tinggi dikenakan terhadap EV yang diimport dari Tanah Besar.
Proton meraikan pencapaian penting dengan pelancaran rasmi Jelajah Proton e.MAS 7 di Centre of Excellence (COE).
Acara bersejarah ini menyaksikan penyerahan baton daripada Jelajah Dunia Geely E5 kepada Proton e.MAS 7 yang akan memulakan babak baharu yang penuh dengan inovasi dan eksplorasi di seluruh Malaysia.
Jelajah Proton e.MAS 7 ini bertujuan untuk berinteraksi dengan rakyat Malaysia serta memberikan mereka peluang pandang pertama untuk mengalami sendiri kenderaan ini.
Ia akan menempuh lebih daripada 2,000 km merentasi pelbagai jenis laluan dan landskap, dari jalan pantai sehingga ke kawasan pergunungan sambil mempamerkan prestasinya.
Jelajah Proton e.MAS 7 akan bermula pada 5 Oktober 2024, mengembara ke setiap negeri di dalam Malaysia. Bermula dengan Negeri Sembilan, Melaka, dan Johor pada peringkat pertama, kemudian bergerak ke Pahang, Terengganu, dan Kelantan, diikuti oleh Perak, Pulau Pinang, Kedah, dan Perlis.
Jelajah ini akan diteruskan melalui KL dan Selangor sebelum menuju ke Malaysia Timur, bermula di Sabah dan berakhir di Sarawak.
Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET berkata matlamat pihaknya adalah untuk memberikan rakyat Malaysia pengalaman yang menarik tentang bagaimana kenderaan ini mengharungi keadaan jalan dan iklim unik di negara kita.
“Jelajah ini bukan sahaja akan meraikan komuniti kita yang berwarna-warni ini tetapi juga memupuk hubungan yang erat dengan para pelanggan kami,” kata Zhang Qiang.
Sebelum jelajah ini bermula, orang ramai berpeluang untuk melihat Proton e.MAS 7 dan pasukan PRO-NET beraksi di Putrajaya pada 25 September dan Shah Alam pada 26 September.
Perjalanan 3,700 km ke selatan Geely E5 menghadapi keadaan mencabar akibat Taufan Yagi. Sebagai model kembar Proton e.MAS 7, Geely E5 berjaya mengharungi air banjir dan pelbagai keadaan jalan tanpa sebarang insiden, menguatkan lagi kebolehpercayaan teknologinya.
“EV baharu ini berjaya mengharungi cuaca buruk dan keadaan jalan yang mencabar, termasuk air banjir. Ketahanan, kebolehpercayaan, dan kualiti Galaxy E5 mempamerkan keunggulan kejuruteraannya di sebalik Proton e.MAS 7 di mana menunjukkan bagaimana ia akan menjadi pengubah permainan untuk pasaran kita,” tambah Zhang Qiang.
Proton telah bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dengan dua agensi kerajaan untuk membawa pembekal syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Proton untuk menghadiri “Program Akses Pasaran, Pemindahan Teknologi & Peningkatan Vendor” di China.
Inisiatif ini bertujuan untuk memupuk inovasi, meningkatkan aktiviti, dan menyokong peralihan Malaysia ke arah mobiliti yang mampan.
Dianjurkan oleh KUSKOP dan diketuai oleh Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) serta Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF), program tersebut telah diadakan pada awal Julai untuk mempercepatkan pembangunan kenderaan generasi akan datang dan kenderaan elektrik berkuasa bateri melalui perkongsian strategik dan pertukaran teknologi.
Wakil dari MBSB Bank, Tenaga Nasional Bhd, PLUS Expressways Bhd, UEM Edgenta Bhd, Telekom Malaysia serta 22 vendor Malaysia telah dibawa untuk melawat kilang komponen EV, seperti kilang dan stesen pengecas, pengeluar bateri dan pengecas di tujuh lokasi di China, termasuk Shanghai, Nanjing dan Hangzhou.
Antara lokasi yang dilawati termasuk anak syarikat Geely iaitu Zeekr dan pengeluar bateri serta pengecas EV VREMT di Teluk Hangzhou.
Sebagai peneraju global dalam bidang EV, ekosistem menyeluruh China untuk pembangunan EV, menjadikan program ini sangat penting dengan memberikan pandangan mendalam mengenai pembuatan, kemudahan dan perkhidmatan dalam industri EV.
Untuk memudahkan interaksi antara pembekal Proton dan pembekal EV Geely, sesi padanan perniagaan diadakan di Pusat Penyelidikan Geely (GRI) di Teluk Hangzhou semasa program tersebut. 95% peserta berpuas hati dengan sesi yang membantu mengenal pasti potensi perkongsian dan kerjasama untuk rantaian bekalan komponen EV.
87% pembekal tempatan menyatakan hasrat untuk bekerjasama dengan pembekal China. Lima kategori perkongsian utama dipilih adalah pengedaran, kerjasama dalam pemindahan teknologi, rakan usaha sama, kerjasama dalam pembangunan kemahiran, dan pelaburan untuk perniagaan bersama.
Menurut KUSKOP, kerajaan komited untuk memajukan EV dan teknologi hijau. Peningkatan kerjasama dan perkongsian bertujuan untuk membina infrastruktur penting dan menyokong ekosistem EV yang mampan melalui pemindahan teknologi.
Dengan membangunkan rantaian bekalan tempatan, Malaysia berharap dapat mengurangkan kebergantungan kepada import, mencipta pekerjaan, dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Stellantis Malaysia, syarikat yang mengendalikan jenama Peugeot, DS dan Citroen, akan membawa masuk jenama EV dari China iaitu Leapmotor ke pasaran tempatan.
Model Leapmotor pertama yang akan dibawa masuk adalah C10, yang telah dipertontonkan kepada pihak media hari ini.
C10 merupakan SUV elektrik bateri lima tempat duduk yang mempunyai ukuran panjang 4,739 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,680 mm dan tapak roda 2,825 mm.
Seperti yang boleh dilihat, ia menampilkan rekaan minimalis yang digabungkan dengan elemen-elemen moden dan premium seperti jalur lampu LED melintang pada bahagian depan dan belakang, rim 20 inci serta pemegang pintu jenis flush.
Konsep minimalis diteruskan pada bahagian dalam, di mana anda akan menemui roda stereng dua jejari, panel instrumen digital 10.25 inci dan skrin sentuh sistem infotainment 14.6 inci yang dikuasakan oleh cip Qualcomm Snapdragon.
Bagaimanapun, kami difahamkan yang C10 tidak akan didatangkan dengan Apple CarPlay dan Android Auto.
Selain itu, unit yang dipertontonkan ini juga menampilkan upholsteri kulit silikon Oeko-Tex, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa dua zon, sistem pencahayaan ambien, fungsi pemanas/penyejuk tempat duduk dan bumbung suria panoramik.
Untuk keselamatan, C10 dilengkapi dengan ADAS Tahap 2 dengan 16 ciri serta kamera 360 darjah.
Spesifikasi trenkuasa untuk pasaran tempatan masih belum didedahkan tetapi untuk pasaran global, C10 mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 218 PS.
Ia dilengkapi dengan bateri jenis Lithium Iron Phosphate (LFP) berkapasiti 69.9 kWj yang mampu memberikan jarak pandu sejauh 420 km berdasarkan kitaran WLTP.
Perincian mengenai pengecasan tidak diketahui namun laman web global Leapmotor menyatakan bahawa bateri itu boleh dicas dari 30% hingga 80% dalam masa 30 minit.
Pelancaran rasmi Leapmotor C10 dijangka berlaku pada bulan Oktober ini. Harga masih menjadi tanda tanya tetapi ia sepatutnya tidak jauh berbeza dengan pesaing-pesaing terdekatnya seperti BYD Atto 3 dan Chery Omoda E5.