Toyota GAZOO Racing yang diperkenalkan di Malaysia sejak 2017 kini kembali untuk musim yang kelima.
Festival GAZOO Racing pada tahun ini akan memfokuskan kepada beberapa bahagian iaitu perlumbaan di dalam litar dan juga secara maya, melalui Festival Toyota GAZOO Racing dan GR Velocity Esports Championship.
Musim kelima ini akan membawakan Vios Challenge one-make series yang akan berlangsung sebanyak tiga pusingan. Pusingan pertama akan berlangsung pada 18 hingga 20 Mac ini, diikuti dengan pusingan kedua pada 24 hingga 26 Jun dan pusingan akhir pula akan berlangsung pada 23 hingga 25 September nanti.
Perlumbaan kali ini juga akan dibahagikan kepada empat kelas perlumbaan iaitu promotional, super sporting, sporting dan rookie.
Selain itu, pelumbaan ini akan dilangsungkan secara maya dengan penganjuran GR Velocity Esports Championship musim kelima. Acara ini telah menarik hampir 1000 orang peserta dan satu juta tontonan sejak diperkenalkan pada tahun 2018.
Dalam masa sama, Toyota dan GAZOO Racing akan memperkenalkan beberapa model baharu versi GR dan GR-Sport untuk tahun 2022. Untuk rekod, sehingga kini hanya terdapat tiga model sahaja yang ditawarkan bagi pasaran Malaysia iaitu GR Supra, GR Yaris dan GR-Sport Vios.
Di samping itu, UMW Toyota Motor juga merancang untuk melebarkan rangkaian GR Garage ke seluruh negara. Ini termasuk tawaran bagi pembelian alat ganti aftermarket secara komprehensif dan juga cenderahati buat pemilik Toyota dan juga versi GR.
GAZOO Racing juga turut mengumumkan juara tiga kali Vios Challenge bagi kategori super sporting class, Tengku Djan Tengku Mahaleel selaku duta bagi festival ini.
PERLUMBAAN penutup bagi Season 4 Toyota Gazoo Racing dan Vios Challenge malam tadi menyaksikan drama dan aksi ditemani hujan renyai-renyai. Acara diakhiri dengan penyampaian hadiah untuk kesemua empat kelas kejuaraan.
Prince of Drift Malaysia yang juga duta Toyota Gazoo Racing Malaysia, Tengku Djan menamatkan perlumbaan dengan merangkul kejuaraan ketiganya dalam kategori Super Sporting.
Sementara itu, Clement Yeo dalam kategori Sporting memenangi kejuaraan pertama beliau manakala Shukri Yahaya akhirnya memenangi kejuaraan keseluruhan bagi kateogir Promotional.
Bagi kategori Rookie, pelumba muda yang berpengalaman dalam simulator, Naquib Azlan menjuarai kategori ini.
Perlumbaan finale semalam yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang menyajikan antara aksi paling sengit sepanjang musim dengan tidak kurang dari tiga pelumba yang merebut kejuaraan keseluruhan.
“Dengan musim mencabar disebabkan pandemik, kami tetap bersyukur dapat menamatkan kejuaraan,” kata Akio Takeyama, Chief Motorsport Officer untuk Toyota Gazoo Racing Malaysia.
“Pengenalan perlumbaan malam juga menjadikan Vios Challenge lebih sukar dijangka dan ia menyeronokkan bagi pelumba serta penonton.”
“Kami akan kembali lagi musim depan, dan diharapkan dengan acara lebih besar!” tambah Takeyama.
Perlumbaan finale malam tadi juga dihadiri oleh Menteri Belia dan Suka, Dato’ Seri Ahmad Faizal Bin Dato’ Azumu yang sempat bertemu dengan pelumba-pelumba dalam kategori Rookie dan Promotional.
PUSINGAN kedua Vios Challenge di Litar Antarabangsa Sepang menandakan kembalinya aksi untuk musim ke-4 siri perlumbaan itu dan ia mencatat lebih dua juta penonton online.
Dalam dua hari perlumbaan (Sabtu dan Ahad) itu juga, ia menyajikan aksi perlumbaan keadaan jalan kering dan basah berikutan musim hujan. Ini juga memberikan cabaran kepada barisan pelumba baharu dan sedia ada.
Perhatian pusingan kali ini tertumpu kepada pemandu baharu yang juga seorang pelumba Touring Car, iaitu Mitchell Cheah yang menjuarai perlumbaan. Turut menjadi tumpuan ialah pelakon Shukri Yahaya yang merekodkan keputusan terbaiknya dalam siri ini dengan kemenangan dalam kedua-dua Race 1 dan Race 2.
“Melihat dari aksi dalam dan luar litar, jelas sekali semua orang teruja untuk kembali berlumba,” ulas Akio Takeyama, Chief Motorsport Officer untuk Gazoo Racing Malaysia.
“Sebagai penganjur, salah satu cabaran kami sepanjang hujung minggu bukanlah menguruskan perlumbaan, tetapi memastikan semuanya selamat dan mematuhi SOP bagi membendung dari Covid-19,” tambahnya.
Untuk masa ini, acara Vios Challenge masih diadakan secara tertutup tanpa kehadiran penonton awam, selari dengan SOP yang digariskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
SUPER SPORTING CLASS
Tidak seperti Race 1 dalam cuaca panas, Race 2 pula ditemani hujan, membuatkan pemandu bukan sahaja menghadapi cabaran litar yang licin, tetapi juga penglihatan terhad.
Tetapi keadaan ini menyebelahi Syafiq Ali dari M7 Japan Project Team yang melonjak ke tempat keempat di selekoh pertama sambil diekori rapat rakan sepasukannya, Faidzil Alang.
Tetapi aksi pusingan pertama itu terbantut apabila Safety Car terpaksa masuk selama tiga pusingan, dengan Syafiq di depan Faidzil, diikuti oleh Hayden Haikal yang bermula dari petak depan, serta Mitchell Cheah di tempat keempat.
Mark Darwin (Laser Motor Racing) di tempat kelima manakala pendahulu kejuaraan, Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel di tempat keenam.
Mark berpusing dan terbabas memasuki selekoh pertama selepas Safety Car keluar, dan kehilangan masa lalu jatuh ke tempat ke-12.
Pertarungan di depan begitu sengit antara Cheah yang cuba menggugat kedudukan. Selepas memotong Hayden, dia kemudiannya bersaing dengan Faidzil untuk tempat kedua lalu terus mengejar Syafiq yang berada 2.1 saat di depan.
Dengan keadaan semakin buruk, Safety Car dipanggil pada pusingan ke-10, ‘memadamkan’ sebarang jarak yang telah dibuat oleh Syafiq, dan disebabkan hujan semakin lebat, bendera merah dinaikkan dan perlumbaan dihentikan.
Perlumbaan dimulakan semula beberapa minit kemudian, sekali lagi di bawah kawalan Safety Car, dan dengan berbaki satu pusingan Syafiq bertahan dan terus menjadi juara. Dia hanya berjarak separuh kereta dari Cheah di tempat kedua, dan Faidzil di tempat ketiga.
SPORTING CLASS
Dengan keadaan jalan basah, hujan membuatkan Adam Khalid (Crestmax Motorsport) perlu memberikan impak besar, dimana beliau mara dari tempat ke-15 di petak mula untuk memenangi perlumbaan 20 pusingan itu.
Adam tamat di depan Mirza Syahmi Mahzan (Aylezo Motorsport) dan Eric Yong di tempat ketiga.
ROOKIE CLASS
Dalam Rookie Class, Amer Harris yang berusia 17 tahun merupakan pelumba muda terbaik keseluruhan.
Beliau menjuarai perlumbaan di depan pelumba sebaya Mika Hakimi dan Putera Adam yang berusia 14 tahun. Ia merupakan kemenangan podium kedua Amer pada hujung minggu itu dimana beliau tamat Race 1 di tempat ketiga.
PROMOTIONAL CLASS
Keputusan Race 2 dalam kelas ini hampir sama dengan Race 1 dimana pelakon Shukri Yahaya memperoleh kemenangan kedua dalam perlumbaan sengit 18 pusingan itu, tamat 7.1 saat di depan pengacara Nabil Ahmad. Di tempat ketiga ialah Zizan Razak.
Bermula dari petak ketiga, Shukri memberikan tekanan dari mula selepas beliau memotong Wany Hasrita, Akio Takeyama, dan Nabila Razali serta Khai Bahar.
Dengan dua kemenangan itu, Shukri dan Zizan kini merebut kejuaraan keseluruhan dalam Promotional Class.
Pusingan ketiga dan terakhir untuk Vios Challenge musim ini akan diadakan pada 20 dan 21 November ini di Litar Anatarabangsa Sepang sekali lagi, kali ini perlumbaan malam!