Arkib Tag: MotoGP

Moto2: UMW Grantt International Sdn Bhd terus taja Hafizh

Pelumba Moto2 Hafizh Syahrin Abdullah terus menerima tajaan daripada UMW Grantt International Sdn Bhd.

Ia merupakan tahun kedua kerjasama di antara Hafizh dengan syarikat pengeluar dan pengedar minyak pelincir itu.

Perjanjian ditandatangani Pemangku Pengarah Bahagian Pembuatan dan Kejuruteraan UMW Anas Nasrun Mohd Osman dan Hafizh Syahrin, semalam.

Memetik kenyataan UMW Grantt International Sdn Bhd, perjanjian itu memberi kelebihan bagi kedua belah pihak.

Ini kerana selain menyediakan sokongan kewangan kepada Hafizh, secara tidak langsung ia dapat mempertingkatkan perkembangan sukan permotoran di Malaysia.

Pada masa sama, penajaan itu menjadi platform bagi UMW memperkenalkan minyak pelincir keluaran mereka di persada antarabangsa.

Sah beraksi di Portimao, adakah Marquez masih ‘berbisa’?

TERLEPAS saingan merebut kejuaraan MotoGP musim lalu akibat kecederaan, pelumba Repsol Honda Marc Marquez bakal membuat penampilan semula.

Marquez tiba di Portimao untuk menyertai semula MotoGP bagi perlumbaan Grande Premio 888 de Portugal, hujung minggu ini.

Rata-rata peminat Marquez teruja dengan perkembangan ini selepas pelumba kelahiran Sepanyol itu terpaksa berehat sejak Julai tahun lalu.

Namun, timbul persoalan apakah Marquez akan terus ‘berbisa’ seperti sebelum ini?

Kecederaan bukan suatu yang asing bagi pelumba MotoGP.

Sebelum ini, Marquez telah beberapa kali cuba menyertai semula perlumbaan namun, gagal berbuat demikian.

Berdepan kecederaan patah lengan kanan akibat kemalangan di Jerez musim lalu, Marquez bergelut untuk mencapai prestasi terbaiknya.

Ia terbukti apabila Marquez disahkan tidak cergas dan terlepas dua perlumbaan awal musim ini.

Pemerhatian terhadap beberapa pelumba lain yang pernah berdepan kecederaan serius, kembali beraksi di litar bukan mudah.

Kebanyakan pelumba gagal memberi aksi 100 peratus sama ada kerana masih merasai kesakitan atau tidak dapat melupakan pengalaman ‘ngeri’ lalu.

Justeru, berbalik kepada persoalan apakah Marquez mampu memberi tekanan kepada pelumba lain di Portimao hujung minggu ini?

Pelbagai andaian dapat dibuat.

Bagaimanapun, jika menilai daripada rekod dimiliki Marquez, pelumba ini bukan biasa-biasa.

Penulis yakin, Marquez mampu memberi saingan sengit kepada pelumba lain apatah lagi perlumbaan baru memasuki pusingan ketiga.

Ayuh sama-sama kita nantikan!

Kelibat Dovizioso di Jerez, peminat MotoGP berteka-teki

PELUMBA motosikal profesional kelahiran Itali, Andrea Dovizioso memberi kejutan bagi peminat MotoGP apabila muncul di litar Jerez, Sepanyol bagi menguji jentera RS-GP 2021 untuk pasukan Gresini Aprilia.

Kemunculan Dovizioso menimbulkan pelbagai spekulasi serta tanda tanya sama ada dirinya akan kembali menyertai perlumbaan MotoGP.

Bagaimanapun, laporan media antarabangsa mendedahkan Dovizioso telah menandatangani kontrak bersama pasukan Aprilia sebagai pelumba ujian sepanjang musim ini.

Sebelum ini, Dovizioso bersama pasukan Ducati mengambil keputusan untuk berehat sebagai pelumba MotoGP.

Sepanjang rekod sebagai pelumba MotoGP, Dovizioso merupakan antara pelumba yang memberi saingan sengit terutama kepada wakil Honda, Marc Marquez.

Pada musim lalu, Dovizioso mengumpul 135 mata keseluruhan perlumbaan MotoGP yang menyaksikannya berada di kedudukan keempat carta pelumba.

Quartararo bersinar di Doha, Zarco pertama carta keseluruhan pelumba

GRAND Prix (GP) Doha menyaksikan pelumba pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP, Fabio Quartararo berjaya menduduki tempat pertama perlumbaan dalam satu aksi mendebarkan awal pagi tadi.

Memulakan perlumbaan di petak kedua, Quatararo mencatatkan masa keseluruhan 42’23.997.

Pelumba pasukan Ducati Pramac Racing Johann Zarco pula berada di tempat kedua dengan masa keseluruhan 42’25.454, diikuti rakan sepasukan Jorge Martin di tempat ketiga (42’25.497).

Sementara itu, pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT) terus gagal bersinar di pusingan kedua MotoGP selepas pelumbanya Franco Morbidelli hanya menamatkan perlumbaan di tempat ke-12.

Legenda MotoGP yang juga mewakili pasukan Petronas SRT musim ini, Valentino Rossi juga sekadar terpaksa berpuas hati menduduki tempat ke-16 perlumbaan.

Selesai pusingan kedua perlumbaan musim ini, kedudukan keseluruhan pelumba menyaksikan Zarco berada di tempat teratas, diikuti Quartararo di tempat ke dua dan Maverick Vinales (Monster Energy Yamaha MotoGP), ketiga.

Perlumbaan MotoGP seterusnya akan berlangsung pada 18 April ini di GP 888 de Portugal.