Sepanjang tahun 2024, Toyota Motor Corp telah menjual sebanyak 10.82 juta unit kenderaan, menyaksikan pengeluar itu kekal menjuarai takhta global untuk tahun kelima berturut-turut.
Biarpun angka tersebut turun 3.7 peratus berbanding tahun 2023, Toyota menjelaskan terdapat permintaan yang tinggi terhadap kenderaan hibrid jenama itu.
Tempat kedua disandang oleh kumpulan Volkswagen, dengan jumlah jualan 9.03 juta unit manakala kumpulan Hyundai pula mencatatkan angka 7.23 juta unit.
BYD buat kali pertama berjaya memintas Honda, Nissan dan Suzuki dengan jumlah jualan sebanyak 4.27 juta unit pada tahun lepas.
Sebagai perbandingan, Honda menjual sebanyak 3.81 juta unit, diikuti Nissan sebanyak 3.35 juta unit dan Suzuki sebanyak 3.25 juta unit.
Tidak termasuk jenama-jenama di bawah naungan seperti Hino dan Daihatsu, angka jualan kenderaan jenama Toyota sahaja sudah mencecah angka 10.16 juta unit, turun 1.4 peratus selepas terbabit dalam isu skandal pensijilan kenderaan, diikuti produksi sesetengah model yang terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
Di pasaran utama, Toyota mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 4.3 peratus kepada 2.73 juta unit kenderaan di Amerika Utara, diikuti peningkatan 3.6 peratus kepada 1.17 juta unit kenderaan di Eropah.
Angka jualan Toyota di China menyaksikan penurunan 6.9 peratus kepada 1.78 juta unit kenderaan disebabkan oleh perang harga berterusan oleh pengeluar utama domestik.
Populariti animasi Initial D berjaya membuatkan harga kereta sports terpakai era 80-an dan 90-an menjadi semakin tidak masuk akal dan di luar kemampuan – baik yang versi skala penuh mahupun model diecast.
Berita baik, anda kini boleh mendapatkan sebuah Toyota Corolla AE86 Sprinter Trueno kedai tofu serba baharu pada harga yang lebih masuk akal dan tidak mencederakan poket (dan akaun bank).
Lebih tepat lagi, ia sebuah model kereta bersaiz 270 mm dan boleh memuatkan tisu kering dan juga tisu basah yang sesuai dijadikan hiasan atas meja kerja.
Dihasilkan oleh Toyota dan Kodansha (pemilik Initial D), kotak tisu AE86 ini boleh dibeli secara rasmi di kedai Camshop Jepun.
Walaupun berstatus sebagai kotak tisu, model skala ini memiliki perincian seperti unit lampu depan dan belakang lengkap dengan lampu kabus kuning, paip ekzos serta unit roda yang boleh berpusing sepenuhnya.
Sebuah kotak tisu kedai tofu drift ini berharga sekitar ¥7,700 (RM222) dan akan mula dijual seawal Februari 2025.
Selain daripada kotak tisu, laman Camshop Jepun itu turut menjual beberapa barangan bertemakan anime Initial D termasuklah tetikus tanpa wayar.
UMW Toyota Motor mengakhiri tahun 2024 dengan momentum jualan melepasi paras 100,000 unit untuk tahun ketiga berturut-turut.
Sepanjang bulan Disember 2024, UMWT mencatatkan angka jualan melebihi 12,800 unit yang disumbangkan oleh model popular seperti Hilux, Vios dan juga Corolla Cross.
Ini menjadikan jumlah jualan tahunan Toyota Malaysia secara keseluruhan mencecah lebih 102,300 unit.
Untuk tahun yang sama, UMWT merekodkan 1.42 juta pelanggan untuk khidmat selepas jualan.
Prestasi memberangsangkan ini mengukuhkan lagi kedudukan Toyota di dalam pasaran Malaysia yang didorong oleh permintaan pelanggan terhadap kenderaan yang menawarkan kecekapan, kebolehpercayaan dan ciri keselamatan termaju.
Sebagai jenama yang telah menjadi sebahagian di dalam landskap automotif Malaysia sejak berdekad lamanya, Toyota terus memainkan peranan penting dalam membentuk ekosistem mobiliti negara menerusi pendekatan pelbagai laluan (Multi-Pathway Approach).
Dengan menawarkan barisan kenderaan yang pelbagai, Toyota memenuhi keperluan pelanggan yang semakin berkembang dan dalam masa yang sama menyokong peralihan negara ke arah mobiliti mampan.
Bersempena dengan penganjuran majlis penutup Toyota Gazoo Racing musim ketujuh, UMW Toyota Motor melancarkan tiga model berprestasi tinggi untuk pasaran Malaysia, iaitu GR Yaris 2025, GR Corolla 2025 dan sedan Corolla GR Sport 2025.
Menurut Presiden UMW Toyota Motor, Datuk Ravindran K berkata, “Pemanduan bukan sekadar bergerak dari satu destinasi ke destinasi lain, tetapi satu pengalaman penuh emosi yang menghubungkan jiwa dengan jalan raya, dan menghidupkan rasa gembira dalam setiap perjalanan.
“Dengan pelancaran model GR dan GR Sport, Toyota meneruskan legasinya dengan mengangkat pengalaman memandu ke tahap yang luar biasa. Dibangunkan dengan semangat prestasi, model ini direka khas untuk memberi inspirasi dan keterujaan kepada setiap rakyat Malaysia.”
Toyota GR Yaris 2025 facelift
Hot hatch yang lahir dari penglibatan Toyota di dalam sukan WRC ini masih lagi dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo yang mampu menjana kuasa 300 PS dan 400 Nm.
Untuk pasaran Malaysia, ia masih lagi ditawarkan dalam versi manual enam nisbah kelajuan serta sistem pacuan semua roda GR-Four.
Prestasi enjin ditambah baik dengan kehadiran sub-radiator dan sistem semburan intercooler untuk operasi optimum di bawah tekanan ekstrem.
Difahamkan, GR Yaris versi transmisi automatik lapan nisbah kelajuan (DAT) dijangka akan menyusul kemudian.
Perubahan pada bahagian luaran melibatkan struktur bampar hadapan serba baharu lengkap dengan jeriji Functional Matrix Ver. 2 yang mampu memaksimumkan aliran udara dan penyejukan, diikuti dengan unit lampu belakang baharu, sistem ekzos serta diffuser.
Sementara untuk ruang kabin, susun atur papan pemuka diberikan nafas baharu sepenuhnya yang menerapkan eleman daripada sukan perlumbaan rali dan Super Taikyu Series.
Berbanding GR Yaris yang terdahulu, panel kawalan dan skrin paparan telah diposisikan pada sudut 15 darjah yang mampu memudahkan pemandu mencapai fungsi yang diinginkan.
Bukan itu sahaja, posisi pemanduan telah ditambah baik, di mana pemandu kini duduk 25 mm lebih rendah serta cermin pandang belakang telah ditinggikan.
Selain itu, terdapat juga skrin kluster digital penuh TFT bersaiz 12.3 inci.
GR Yaris 2025 facelift dijual pada harga RM315,600.
Toyota GR Corolla 2025 facelift
Sama seperti hot hatch GR Yaris, GR Corolla facelift juga dikuasakan oleh enjin tiga silinder G16E-GTS menghasilkan kuasa 300 PS dan 400 Nm, dipadankan dengan kotak gear manual 6-kelajuan dan sistem pacuan semua roda GR-Four.
Aspek pemanduan GR Corolla dipertingkatkan dengan sistem gantungan yang telah dinaiktaraf – memberikan manfaat dari segi kadar cengkaman, ketangkasan dan kestabilan yang lebih baik.
Dari segi aerodinamik pula, GR Corolla telah diberikan rekaan bampar serba baharu untuk aliran udara yang lebih optimum, sementara gerbang roda juga dilebarkan untuk imej yang lebih berani.
Imej hot hatch yang diinspirasikan daripada sukan rali ini disempurnakan dengan kemasan dalaman yang turut dikemas kini dengan tempat duduk khusus untuk pemanduan berprestasi, kemasan gun-metallic, skrin paparan tengah 9 inci, serta skrin kluster digital 12.3 inci.
Terdapat beberapa pilihan warna menarik seperti Platinum White Pearl Mica, Precious Black, Precious Metal dan Emotional Red 2.
Toyota GR Corolla 2025 dijual pada harga bermula RM367,000.
Toyota Corolla GR Sport 2025
Sebuah lagi model yang dilancarkan ialah sedan Corolla GR Sport 2025, pilihan yang lebih praktikal dan sporti dalam masa yang sama.
Sedan segmen C ini masih lagi dikuasakan oleh enjin 1.8 liter menghasilkan 139 PS dan 172 Nm, namun dengan transmisi CVT Sport Sequential Shiftmatic 10-kelajuan maya.
Dari segi penampilan, Corolla GR Sport membawakan skema warna dua tona, diikuti dengan jeriji khas GR Sport berserta corak heksagon, aksen aerodinamik pada bampar, rim aloi GR Sport 18 inci, diikuti dengan spoiler belakang.
Masuk ke dalam ruang kabin, Corolla GR Sport membawakan tempat duduk balutan suede dan kulit premium, roda stereng GR, skrin tengah bersaiz 10 inci lengkap dengan Apple CarPlay dan Android Auto.
Sedan ini tersedia dalam beberapa pilihan warna dua tona termasuklah Platinum White Pearl Mica, Red Mica Metallic dan Attitude Black Mica.
Toyota Corolla GR Sport 2025 dijual pada harga bermula RM149,800.
Jika anda merasakan Toyota Land Cruiser (dan Prado) terlalu besar untuk dimuatkan dalam garaj, usah risau kerana ESB Style kini membawakan elemen SUV off-road tersebut untuk minivan Toyota Roomy.
Pakej yang digelar sebagai ‘Landc Roomy’ itu meminjam beberapa elemen rekaan Land Cruiser, seperti contoh struktur jeriji yang besar dan lebar lengkap dengan bampar yang agresif.
Disebabkan limitasi ruang, agak sukar untuk memuatkan kesemua elemen Land Cruiser pada minivan ini.
Jadi, ESB Style hanya mengehadkan perubahan tersebut pada bahagian hadapan, namun untuk bampar belakang tetap diberikan sentuhan yang sporti, diikuti dengan rim keluli berwarna putih yang dibaluti tayar Toyo Open Country R/T.
Tidak ketinggalan, sistem gantungan telah ditinggikan 30 mm bagi membolehkan ‘Landc Roomy’ ini meredah laluan off-road ringan dengan lebih mudah.
Untuk ruang kabin pula, ESB Style menawarkan aksesori seperti “Fox Mat” boleh lipat di mana ia boleh mengubah ruang kabin Roomy menjadi sebuah van pekhemah.
Berikut merupakan senarai harga aksesori yang ditawarkan oleh ESB Style untuk panduan:
• Bampar hadapan – ¥100,000 (RM2,848)
• Bampar belakang – ¥60,000 (RM1,709)
• Kit suspensi – ¥50,000 (RM1,424)
• Set rim keluli – ¥60,000 (RM1,709)
• Fox Mat – ¥25,000 (RM712)
Di Jepun, Toyota Roomy bukanlah sebuah kei van, memandangkan ia didatangkan dengan dimensi yang lebih besar, dan dikuasakan pula oleh enjin tiga silinder sebaris 996 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 98 PS.
Versi aspirasi semula jadi pula hanya mampu menghasilkan kuasa setinggi 69 PS, namun anda boleh mendapatkan Toyota Roomy (atau Daihatsu Thor/Subaru Justy) dengan pilihan pacuan roda depan atau pacuan semua roda (AWD).
Toyota mengumumkan kemas kini terbaharu di mana Alphard/Vellfire model tahun 2025 kini mendapat opsyen enjin plug-in hybrid (PHEV).
Tetapan PHEV ini menggabungkan enjin 2.5 liter (A25A-FXS) dengan motor elektrik, serta bateri lithium-ion yang mampu menawarkan jarak gerak sejauh 73 km untuk sekali cas penuh.
Secara keseluruhan, sistem ini boleh menjana kuasa setinggi 306 PS.
Sama seperti kereta hibrid Toyota biasa, mod BEV akan diutamakan penggunaannya untuk mencapai kadar penggunaan bahan api yang lebih rendah (16.7 km/liter atau 5.98 liter/100 km).
Menurut Toyota, pek bateri lithium-ion telah diposisikan dibawah lantai untuk memaksimumkan ruang kabin, dan dalam masa yang sama merendahkan lagi titik graviti sebanyak 35 mm berbanding model HEV.
Tempoh pengecasan bateri (sehingga 80 peratus) mengambil masa sekitar 38 minit sahaja.
Selain menawarkan pemanduan yang lebih senyap (dengan tambahan insulasi bunyi), lebih selesa dan kurang gegaran, Toyota juga turut memperkenalkan kawalan Smooth Stop yang menghalang kesan nose-dive semasa proses nyahpecutan dibuat untuk memastikan penumpang kekal selesa.
Model PHEV juga kini didatangkan dengan “My Room Mode” yang membolehkan pengguna menikmati ruang kabin yang selesa untuk bekerja, berehat atau melakukan aktiviti lain semasa sedang mengecas.
Selain daripada fungsi Vehicle-to-Load (V2L), kedua-dua Alphard/Vellfire PHEV turut dilengkapi dengan fungsi Vehicle-to-Home (V2H) untuk tujuan kecemasan, di mana satu tangki bahan api dan bateri cas penuh boleh menyalurkan tenaga selama 5.5 hari.
Antara penambahbaikan lain yang dibuat termasuklah sistem Digital Inner Mirror dan kamera perakam pemanduan depan dan belakang sebagai ciri standard untuk semua varian, diikuti sistem audio premium JBL dengan 15 pembesar suara dan sistem infohibur belakang 14 inci untuk trim Z dan Z Premier.
Toyota Auto Body juga turut menyediakan Alphard Spacious Lounge versi empat tempat duduk yang menawarkan ruang kaki yang lebih luas, serta dilengkapi pelbagai kemudahan yang serba mewah.
Di Jepun, harga jualan Alphard PHEV bermula dari JPY 10,650,000 (RM306,177) manakala Vellfire PHEV pula berharga dari JPY 10,850,000 (RM311,927)
Toyota Hilux Champ merupakan trak versi bajet yang dihasilkan oleh Toyota sebagai satu alternatif yang lebih mampu milik kepada trak pikap saiz pertengahan Hilux.
Selain menjadi kuda kerja, Hilux Champ juga sebenarnya berpotensi menjadi sebuah kereta penumpang – juga sebagai satu alternatif kepada Toyota Fortuner.
Di Indonesia, Hilux Rangga (nama lain bagi Hilux Champ) versi SUV akan ditawarkan secara rasmi oleh Toyota Astra Motor, dengan konfigurasi tiga baris, tujuh tempat duduk.
sumber: Instagram Indra Fathan
Kerja-kerja pembinaan badan SUV baharu itu akan dikendalikan oleh syarikat New Armada.
Boleh dikatakan seksyen hadapan SUV ini masih lagi mengekalkan reka bentuk asal Hilux Rangga, namun segalanya berubah bermula dari tiang B ke belakang.
Elemen rekaan bersegi banyak menguasai bahagian sisi dan belakang Hilux Rangga SUV, dan jika anda perasan struktur bumbung Rangga SUV adalah lebih tinggi berbanding Hilux Rangga versi trak pikap.
Di bahagian belakang, terdapat perkataan RANGGA pada pintu tailage, diikuti dengan unit lampu yang lebih asas rekaannya.
Sumber: Instagram Indra Fathan
Ruang kabin Rangga SUV menampilkan susunan tempat duduk 2+3+2 yang dibaluti bahan seakan kulit.
Disebabkan kehadiran tempat duduk baris ketiga, ruang kargo adalah sedikit terhad, walaupun saiz keseluruhan lebih besar berbanding trak pikap.
Model Rangga SUV ini akan mula dijual di Indonesia pada tahun hadapan, dengan harga jualan anggaran bermula dari bawah Rp 400,000,000 (RM111 ribu).
Sebagai perbandingan, trak pikap Hilux Rangga paling murah mempunyai tanda harga Rp 188,700,000 (RM53 ribu), sementara Toyota Fortuner yang lebih besar saiznya berharga dari Rp 573,700,000 (RM160 ribu).
Para peminat Land Cruiser 70 Series di Australia boleh menarik nafas lega apabila model SUV off-road klasik moden itu kini ditawarkan semula dengan kotak gear manual.
Disebabkan undang-undang emisi yang lebih ketat, Toyota menamatkan penjualan LC70 yang dilengkapi dengan nadi V8 4.5 liter, sekaligus menghentikan penawaran model bertransmisi manual.
Namun begitu, Toyota kini menawarkan kembali kotak gear manual untuk Land Cruiser 70 Series yang dikuasakan oleh enjin diesel turbo 2.8 liter berkuasa 201 hp dan 450 Nm.
Biarpun kurang empat silinder, enjin 2.8 liter tersebut menawarkan kuasa kuda dan tork yang hampir sama berkuasa dengan model V8.
Di pasaran Australia, LC70 boleh juga didapati dalam versi auto enam-kelajuan, di mana angka daya kilas meningkat kepada 500 Nm pada putaran enjin yang lebih awal, sekitar 1,600 rpm berbanding 2,400 rpm pada versi manual.
Untuk model manual, ia mempunyai nisbah gear yang unik, di mana nisbah yang lebih pendek untuk gear satu hingga tiga untuk prestasi yang dipertingkatkan, sementara gear lima pula mempunyai nisbah yang lebih panjang untuk kecekapan bahan api dan mengurangkan bunyi bising enjin.
Toyota turut memasang komponen flywheel baharu, namun terpaksa membuang fungsi kawalan menurun cerun.
Land Cruiser 70 Series versi manual dijual pada harga bermula dari AU$77,800 (RM221,033).
Selain daripada pasaran Australia, Land Cruiser 70 Series yang sudah berusia 40 tahun itu turut ditawarkan di pasaran Jepun dan Emiriah Arab Bersatu.
Selain pelancaran sedan segmen D Toyota Camry, UMW Toyota Motor turut sama melancarkan crossover segmen C, Toyota Corolla Cross 2025 facelift.
Tidak seperti model terdahulu, Corolla Cross facelift membawakan perubahan rekaan yang lebih ketara terutama pada bahagian hadapan.
Ia membawakan struktur bampar serba baharu, jeriji hadapan dengan elemen rekaan sarang lebah, unit lampu utama Bi-LED dengan grafik DRL ala Lexus, dan lampu membelok jenis sekuential.
Varian GR Sport pula hadir dengan rekaan bumbung hitam dua tona eksklusif untuk penampilan yang lebih sporti.
Dua varian tertinggi 1.8 HEV dan GR Sport HEV dikuasakan oleh enjin 2ZR-FXE 1.8 liter berkuasa 98 PS/142 Nm dipadankan dengan motor elektrik 72 PS/163 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 122 hp yang dipadankan dengan transmisi eCVT.
Varian 1.8V pula masih lagi kekal dengan penawaran enjin 1.8 liter 2ZR-FBE menghasilkan 140 hp dan 177 Nm.
Sementara ruang kabin pula dilengkapi dengan skrin kluster digital 12.3 inci, skrin paparan audio 10.1 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, brek parkir elektrik, sistem telematik kenderaan, serta fungsi menghidupkan enjin jarak jauh untuk kemudahan dan keselesaan gaya hidup.
Dari segi keselamatan, Corolla Cross facelift dilengkapi dengan Toyota Safety Sense 2.0 (TSS 2.0) merangkumi sistem pra-pelanggaran, amaran keluar lorong (LDA), bantuan pengesanan lorong (LTA), kawalan jelajah radar dinamik (DRCC) dan bantuan suluhan tinggi automatik (AHB).
Selain itu, ia juga dilengkapi dengan sistem pemantauan titik buta (BSM), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), serta Drive-Start Control untuk menghalang pecutan yang tidak disengajakan.
Harga jualan Toyota Corolla Cross 2025 adalah seperti berikut:
1.8V: RM133,800
1.8 HEV: RM140,800
1.8 HEV GR Sport: RM148,800
UMW Toyota Motor melancarkan sedan generasi kesembilan Toyota Camry 2025 bersempena dengan penganjuran Kuala Lumpur International Mobility Show 2024 (KLIMS 2024).
Ia dikuasakan oleh enjin Dynamic Force 2.5 liter (186 PS/221 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik 136 PS/208 Nm dan bateri lithium-ion, menghasilkan kuasa 230 PS yang digandingkan dengan transmisi eCVT.
Dengan sistem hibrid generasi ke-5 yang lebih maju, Toyota Camry 2025 ini mampu menawarkan jarak gerak keseluruhan sejauh 1,250 km.
Reka bentuk luaran Camry baharu ini menonjolkan tema agresif yang diilhamkan daripada ikan yu Hammerhead, elemen mewah daripada Toyota Crown, tirai udara untuk kestabilan pengendalian, diikuti dengan rim aloi bersaiz 18 inci.
Susun atur kabin juga telah disemak semula supaya tampil lebih minimalis dan mewah, dengan skrin kluster digital 12.3 inci, skrin infohibur tengah sebesar 12.3 inci yang lengkap dengan sambungan Apple CarPlay (tanpa wayar) dan Android Auto (dengan wayar), sistem audio JBL serta skrin paparan head-up.
Selain itu, terdapat juga tempat duduk berventilasi untuk pemandu dan penumpang dengan sokongan untuk tulang belakang, rekaan roda stereng yang elegan, tempat duduk belakang dengan fungsi larasan sudut sandaran sebanyak lapan darjah, panel kawalan pada tempat perehat tangan tengah, kawalan iklim tiga zon, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar dan kehadiran slot pengecasan USB.
Terdapat enam pilihan warna iaitu Cement Grey, Dark Blue Mica, Precious Metal, Emotional Red, Platinum White Pearl dan Attitude Black.
Dari segi keselamatan, Camry 2.5 HEV dilengkapi dengan sistem Toyota Safety Sense 3.0 (TSS 3.0), merangkumi fungsi seperti sistem pra-pelanggaran, kawalan jelajah radar dinamik (DRCC), amaran keluar lorong (LDA), bantuan pengesanan lorong (LTA), bantuan papan tanda (RSA), bantuan suluhan tinggi automatik (AHB), bantuan keluar selamat (SEA), serta ciri seperti tujuh beg udara, sistem pemantauan keliling (PVM), dan sistem pemantauan titik buta (BSM).
Harga jualan untuk Camry 2025 bermula dari RM248,800.
Kita perlu berterima kasih kepada Toyota kerana masih lagi sudi menghasilkan barisan model kereta berprestasi tinggi dalam era moden untuk dinikmati para peminatnya.
Setelah bertahun-tahun khabar angin tersebar, Toyota akhirnya mengesahkan plet nama ikonik Celica akan membuat kemunculan semula.
Pengumuman tersebut dibuat oleh naib presiden eksekutif Toyota, Yuki Nakajima bersempena dengan penganjuran Rally Japan baru-baru ini.
“Sejujurnya, tiada sebarang tanda-tanda (Celica) pada ketika ini. Namun, terdapat ramai pihak di dalam syarikat yang sedang menantikan kehadiran Celica.
“Jadi, saya tertanya-tanya sama ada boleh mengatakan hal ini di dalam forum awam, tapi kami sedang membangunkan Celica!”
Perkembangan terbaharu ini muncul beberapa minggu selepas Toyota mendedahkan petunjuk dalam siri animasi GRIP berhubung kemunculan beberapa kereta sports baharu termasuklah Celica, GR GT3 dan MR2, serta mengemaskini barisan sedia ada (GR86, GR Supra).
Menariknya, untuk acara pameran SEMA 2024, Toyota turut mengambil kesempatan mempamerkan sebuah kereta konsep dinamakan sebagai GR86 Rally Legacy Concept (gambar utama) yang mengambil inspirasi daripada Celica GT-Four era 90-an.
Selain daripada liveri stail Castrol, GR86 ini dilengkapi dengan enjin GR Yaris berkuasa 300 hp/370 Nm yang dipadankan dengan sistem pacuan semua roda GR-Four bagi menepati tema Celica yang cuba dibawakan.
Adakah anda teruja dengan kemunculan semula nama Celica?
UMW Toyota Motors (UMWT) menutup tirai Toyota Eco Youth (TEY) edisi ke-23 dengan jayanya pada majlis yang berlangsung di Concorde Hotel, Shah Alam, selepas berakhirnya pameran dan konvensyen selama tiga hari bermula 12 hingga 14 November 2024.
Pameran dan konvensyen yang berlangsung selama tiga hari itu turut mengetengahkan projek-projek berkaitan alam sekitar oleh 10 finalis terbaik dari 15 sekolah yang mengambil bahagian dari seluruh pelusuk negara.
Acara ini turut menyerlahkan komitmen Toyota terhadap pemuliharaan alam sekitar dan visinya ke arah neutral karbon menjelang 2050.
Program TEY, satu inisiatif pendidikan alam sekitar peringkat kebangsaan yang dilancarkan pada 9 Mei 2024 itu telah meraih penyertaan daripada 15 sekolah di seluruh negara, melibatkan pelajar berusia 13 hingga 17 tahun.
Para peserta terbabit dalam Metodologi Penyelesaian Masalah 8 Langkah Toyota yang mengasah pemikiran kritis serta membina kemahiran menyelesaikan masalah secara praktikal.
Setiap sekolah menerima geran sebanyak RM3,000 untuk membangunkan projek yang dapat menangani cabaran alam sekitar dalam komuniti mereka, selaras dengan Cabaran Alam Sekitar Toyota 2050 dan matlamatnya untuk mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050.
Pada 13 November 2024, 10 sekolah terbaik membentangkan projek mereka kepada panel hakim, pembentangan yang mengetengahkan penyelesaian kreatif dan berimpak tinggi mereka dalam membantu menangani isu ekologi komuniti setempat.
Kriteria penilaian berpaksikan kepada keaslian, kejelasan, kerelevanan dan kreativiti pameran. Penilaian di tapak pameran menyumbang 40% kepada markah akhir setiap sekolah, dengan mata tambahan diperoleh daripada pembentangan projek, pameran dan penglibatan media sosial.
Berikut adalah senarai 10 sekolah terbaik dalam TEY2024:
SMK Bukit Batu, Johor
SMK Alor Janggus, Kedah
SMK Sultan Ismail, Kelantan
SMK Seri Bentong, Pahang
SMK Choong Hua, Perak
SM Sung Siew Sandakan, Sabah
SMK Bukit Indah, Selangor
SMK Bandar Samariang, Sarawak
SM Saint Anne, WP Labuan
SMK Putrajaya Presint 8(1), WP Putrajaya
Majlis penutup turut dilengkapkan dengan pengumuman para pemenang dalam pelbagai kategori, penghargaan untuk meraikan dan menggalakkan sumbangan mereka ke arah kelestarian alam sekitar.
Berikut adalah senarai pengiktirafan dan anugerah bagi TEY2024:
Juara: SMK Choong Hua, Perak
Naib Juara: SM Sung Siew Sandakan, Sabah
Tempat Ketiga: SMK Alor Janggus, Kedah
Pembentangan Terbaik: SM Sung Siew Sandakan, Sabah
Pameran Terbaik: SMK Alor Janggus, Kedah
Media Sosial Terbaik: SMK Choong Hua, Perak
Guru Penasihat Terbaik: Lee Tack Hooi & Yeak Hwai Keen, SMK Choong Hua, Perak
Anugerah tahun ini yang menjadi sebahagian daripada jumlah keseluruhan hadiah berjumlah RM77,000 yang diumumkan, mencerminkan komitmen UMWT untuk merangsang inovasi dan kreativiti dengan tumpuan terhadap pemuliharaan alam sekitar dalam kalangan belia.
UMW Toyota turut mengumumkan bahawa program Toyota Eco Youth akan diteruskan pada tahun 2025 bagi menyokong inovator muda, selain menggalakkan lagi sikap kebertanggungjawaban dalam pemuliharaan alam sekitar ke arah masa depan lebih hijau dan lestari.
Toyota Hilux BEV telah diperkenalkan di Thailand beberapa tahun lepas dengan membawakan konfigurasi badan kabin tunggal.
Untuk lebih disesuaikan dengan kerja-kerja di tapak perlombongan, Toyota membuat keputusan untuk memperkenalkan unit prototaip Hilux BEV berdasarkan bentuk badan kabin tunggal.
Menerusi kerjasama dengan syarikat perlombongan BHP, Toyota mahu unit prototaip Hilux BEV ini memberikan data-data yang cukup berharga untuk membentuk model produksi yang sebenar.
Untuk tempoh 12 bulan akan datang, trak pikap Hilux BEV ini akan digunakan untuk menggantikan peranan trak diesel untuk pelbagai jenis operasi di Port Hedland, salah satu tapak perlombongan bijih besi terbesar di dunia.
Unit prototaip Hilux BEV double-cab ini mempunyai rupa paras yang sama sahaja dengan versi enjin diesel, dan hanya dibezakan menerusi kehadiran port pengecasan pada fender hadapan.
Selain itu, Toyota telah memasang bull-bar di bahagian hadapan, lengkap dengan lampu LED tambahan.
Setakat ini, Toyota masih lagi merahsiakan spesifikasi Hilux BEV prototaip ini daripada pengetahuan umum.
Toyota Hilux BEV SEA Electric
Toyota Land Cruiser 70 Series BEV
Namun ini bukanlah kali pertama kita mendengar berita tentang penggunaan Hilux elektrik menggantikan trak berkuasa diesel di kawasan perlombongan.
Beberapa tahun lepas, Toyota Australia telah menghasilkan trak pikap Land Cruiser 70 Series berkuasa elektrik sebagai salah satu usaha untuk mengurangkan emisi.
Tahun lepas, syarikat SEA Electric dan MEVCO telah mengumumkan kerjasama bernilai AU$1 bilion untuk membangunkan 8,500 unit EV menggunakan Hilux dan Land Cruiser sebagai asas untuk digunakan oleh industri perlombongan.
Malah di UK, Toyota sendiri menjalankan inisiatif menguji sehingga 10 unit prototaip Toyota Hilux yang dikuasakan oleh unit pacuan sel bahan api (FCEV) yang disesuaikan daripada sedan hidrogen Toyota Mirai.
Beberapa bulan yang lalu, media automotif antarabangsa melaporkan bahawa BMW akan berhenti menghasilkan Z4 selepas Mac 2026. Berita ini membuatkan peminat kepada kembarnya iaitu Toyota GR Supra tidak senang duduk. Adakah Toyota akan mengikut jejak langkah BMW?
Nampaknya peminat GR Supra kini boleh menarik nafas lega kerana dalam perkembangan terbaru, Toyota nampaknya akan terus menawarkan kereta sport itu sekurang-kurangnya untuk satu generasi lagi.
Bercakap kepada CarExpert, naib presiden jualan, pemasaran dan operasi francais Toyota Australia, Sean Hanley berkata tanggapan bahawa Supra akan dihentikan adalah spekulatif semata-mata.
“Tiada rancangan untuk menghentikan jenama Supra dalam syarikat kereta ini. Saya tahu itu. BMW bukan Toyota.”
“Dan, terus terang, saya tidak menjangka bahawa jenama Supra akan hilang. Sama sekali,” ujar Hanley.
Tambah beliau lagi, Supra mempunyai sejarah yang panjang, sekali gus menjadikannya model yang penting dalam rangkaian model GR.
Selain GR Supra, rangkaian model GR turut terdiri daripada GR Yaris, GR Corolla dan GR86.
Ini satu perkembangan yang menarik kerana seperti yang kita semua tahu, Z4 dan GR Supra dibangunkan secara bersama oleh BMW dan Toyota. Kedua-duanya juga dipasang oleh Magna Steyr di kilang yang terletak di Graz, Austria.
Jika BMW menghentikan pengeluaran Z4, ini bermakna Toyota perlu mencari rakan teknikal baharu untuk membangunkan GR Supra generasi seterusnya. Anda rasa, siapakah ‘calon’ yang paling sesuai untuk projek yang mengujakan ini?
Toyota Motor Corp dalam satu kenyataan Jumaat lalu mengesahkan jumlah produksi keseluruhan di peringkat global pada bulan Ogos menurun 11.2 peratus kepada 709,571 unit berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Penurunan ini adalah disebabkan oleh skandal ujian persijilan kenderaan serta penutupan sementara kilang akibat ribut taufan yang melanda Jepun pada lewat bulan Ogos.
Selain itu, angka pengeluaran domestik juga menurun 22.2 peratus kepada 185,680 unit apabila pengeluaran model popular seperti Corolla Axio, Corolla Fielder dan Yaris Cross kekal digantung sejak Jun lepas.
Toyota menyambung kembali operasi pemasangan tiga model tersebut pada awal bulan September selepas pihak kementerian pengangkutan Jepun mengesahkan aspek keselamatan kenderaan tersebut.
Prestasi jualan domestik Jepun juga mencatatkan penurunan 9.1 peratus kepada 109,505 unit.
Sementara itu, produksi kenderaan Toyota di luar Jepun turut mencatatkan penurunan, merosot 6.5 peratus kepada 523,891 unit selepas kempen panggil semula melibatkan model Grand Highlander dan Lexus TX di Amerika Utara.
Pengeluar Jepun itu berdepan persaingan yang sengit di Tanah Besar China, di mana jualan di China menjunam 13.5 peratus.
Selain Toyota, Nissan mencatatkan penurunan 15.5 peratus kepada 236,016 unit disebabkan jualan SUV X-Trail yang lemah di China, manakala Honda pula menyaksikan penurunan 11.3 peratus kepada 307,870 unit.
Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, Toyota sedang membangunkan siri enjin empat silinder sebaris generasi baharu 1.5 dan 2.0 liter untuk mencapai sasaran neutral karbon.
Dengan saiz yang lebih kompak dan ringan, enjin generasi baharu itu dijangka lebih berkuasa dan dalam masa yang sama menawarkan tahap penjimatan bahan api yang lebih baik.
Toyota mempunyai harapan yang cukup tinggi pada enjin baharu ini, sehinggakan salah seorang daripada jurutera syarikat itu berpendapat ia mampu mengatasi enjin 2JZ yang sangat popular dalam kalangan peminatnya.
Perkara itu didedahkan oleh wartawan Kuruma News yang menghadiri acara yang dianjurkan oleh Lexus baru-baru ini.
Enjin enam silinder sebaris 2JZ
Di sana, para pengamal media Jepun diberikan peluang untuk menguji Toyota Hilux dan Lexus IS yang dilengkapi dengan enjin baharu 2.0 liter turbo.
Kedua-dua model tersebut mempunyai talaan kuasa yang berbeza, di mana Hilux berkuasa 300 hp dengan garis merah 6,200 rpm, sementara Lexus IS pula berupaya menghasilkan 400 hp dengan garis merah yang lebih tinggi (7,100 rpm).
Menurut Kuruma News, walaupun dengan talaan yang berbeza, kedua-dua model hampir tidak mempunyai sela turbo dan dalam masa yang sama menawarkan pemanduan yang menyeronokkan.
Sebuah lagi outlet media Jepun, Best Car Web mendedahkan Lexus mungkin sedang membangunkan prototaip Lexus RC berkuasa 600 hp.
Model prototaip tersebut dikatakan mempunyai kotak gear manual enam nisbah kelajuan, dan dibangunkan untuk sukan permotoran.
Tidak mustahil satu hari nanti model prototaip RC 600 hp ini akan turut ditawarkan di bawah divisyen prestasi tinggi Lexus F.
UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan ia telah menjual sebanyak 8,500 unit kenderaan pada bulan Ogos 2024, menunjukkan penurunan sebanyak 500 unit berbanding 9,000 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.
Pencapaian terbaru ini menjadikan jualan semasa tahunan setakat Ogos 2024 (YTD) kepada 64,000 unit. Tiga model yang menjadi penyumbang utama adalah Vios, Hilux dan Corolla Cross.
Pada 16 Ogos lalu, UMWT membuka tempahan untuk Hilux, Fortuner dan GR86 yang ditambah baik untuk model tahun 2024.
Hilux kini didatangkan dengan Vehicle Stability Control untuk varian 2.4 Single Cab, serta ciri Remote Engine Start dan Panoramic View Monitor untuk varian-varian terpilih.
Fortuner pula tampil dengan pakej kit badan GR (Gazoo Racing) dan Remote Engine Start, manakala GR86 diberikan penambahbaikan dari segi pengendalian dan respon pendikit.
Bukan itu sahaja, kereta sport dua pintu itu kini juga dilengkapi dengan perakam video digital (DVR) pada bahagian depan dan belakang.
“Prestasi jualan Ogos 2024 serta penambahbaikan yang dibuat pada ketiga-tiga model tersebut, mencerminkan komitmen kami terhadap menyediakan solusi mobiliti yang memacu inovasi dan kepuasan pelanggan,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.
Bagi bulan September 2024, UMWT memperkenalkan promosi “Move in Harmony” di mana pelanggan berpeluang menikmati pelbagai penjimatan termasuk promosi bernilai sehingga RM9,500 untuk Yaris, dengan ansuran bulanan serendah RM658.
Bukan itu sahaja, program Toyota Service Savers pula menawarkan kemudahan dalam bentuk ansuran bulanan bermula serendah RM31.
Bagi peminat sukan permotoran, pusingan kedua Toyota Gazoo Racing musim ketujuh bakal kembali ke Litar Antarabangsa Petronas Sepang dari 27 hingga 29 September ini.
Divisyen penyedia perkhidmatan mobiliti Toyota, Kinto kini menyediakan pelan sewaan baharu di bawah program Vintage Club by Kinto di Jepun untuk tempoh masa yang terhad.
Ada dua kereta konsep klasik yang boleh dipilih oleh para peminat, iaitu Toyota AE86 G16E Concept serta AE86 BEV Concept.
Dua kereta klasik ini boleh disewa bermula 17 Oktober sehingga 20 Disember 2024 di Toyota Mobility Tokyo GR Garage dengan kos cuma 20,000 yen (RM590) untuk tempoh tiga jam.
Permohonan slot telah pun dibuka pada 19 September yang lepas, dan akan ditutup pada 30 September ini di mana pemohon terpilih akan diumumkan menerusi notifikasi e-mel pada 3 Oktober.
Toyota AE86 G16E Concept dibangunkan oleh Toyota Motor Corporation dengan menyumbat enjin tiga silinder sebaris G16E daripada GR Yaris bagi menggantikan nadi 4AGE yang asal.
Enjin aspirasi semula jadi (NA) tersebut telah ditala semula untuk pemanduan yang lebih responsif.
Toyota AE86 BEV Concept pula merupakan satu alternatif restomod sifar emisi dengan menggunakan kepakaran elektrifikasi daripada Lexus.
Dalam masa yang sama, Toyota cuba untuk menerapkan aspek pemanduan yang menyeronokkan dengan mengekalkan elemen seperti bentuk badan, berat, nisbah agihan berat depan/belakang AE86.
Paling penting, AE86 elektrik ini turut mengekalkan padanan transmisi manual!
Bergantung kepada pasaran, Toyota GR Supra boleh didapati dengan pilihan enjin BMW, sama ada nadi empat silinder sebaris 2.0 liter (258 PS/400 Nm) atau enjin enam silinder sebaris 3.0 liter dengan kuasa mencecah 387 PS/500 Nm.
Namun untuk tujuan perlumbaan, Toyota bakal mengenepikan khidmat nadi buatan Jerman itu dan mengutamakan enjin bentangan V8 untuk dimuatkan dalam perut GR Supra.
Jentera lumba GR Supra bernadi V8 itu akan bertempur di dalam acara Supercars Championship di Australia bermula tahun 2026, di mana Toyota menjadi pengeluar ketiga yang menyertai perlumbaan tersebut menentang jentera lumba Ford Mustang dan Chevrolet Camaro.
Menurut laporan, jentera lumba GR Supra itu dibangun secara dalaman oleh Toyota Australia di Altona untuk memenuhi peraturan GEN3 Supercars Championship.
Enjin V8 yang dimaksudkan itu sebenarnya telah pun wujud dalam jentera berprestasi tinggi Lexus, seperti IS F, GS F, LC 500 dan RC-F.
Nadi aluminium 5.0 liter aspirasi semula jadi itu (kod 2UR-GSE) mampu menghamburkan kuasa setinggi 481 PS/535 Nm pada model RC-F, atau 477 PS dengan daya kilas 540 Nm pada model LC 500.
Berbalik semula kepada jentera lumba GR Supra V8, ia akan menampilkan liveri perlumbaan pasukan Walkinshaw Andretti United (WAU) dan dikendalikan oleh pelumba Chaz Mostert dan Ryan Wood.
Pasukan WAU sebelum ini berlumba dengan jenama Holdens dari 1987 hingga 2023, sebelum beralih kepada jenama Ford untuk tempoh tiga musim, dan akan bekerjasama dengan Toyota bermula tahun 2026.
Usah gembira terlalu awal, kerana GR Supra dengan enjin V8 ini hanya akan wujud dalam versi perlumbaan sahaja.
GR Supra versi jalanan masih lagi akan dikekalkan dengan penawaran enjin enam silinder sebaris sehinggalah produksinya ditamatkan dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Namun sebelum itu, Toyota dilapor akan melancarkan model Supra GRMN dengan enjin enam silinder yang telah ditala semula, casis yang lebih tegar serta aspek aerodinamik yang telah ditambah baik.
Kes tertinggal anak di dalam kereta sudah terlalu kerap berlaku, bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara-negara lain.
Menyedari keseriusan perkara ini, Toyota telah memperkenalkan sistem Advanced Rear Seat Reminder yang berupaya mengesan pergerakan pada kerusi belakang selepas enjin dimatikan dan pintu dikunci.
Model pertama yang menerima sistem ini adalah Toyota Sienna 2025, MPV tiga baris tempat duduk yang dijual di pasaran Amerika Utara.
Sistem peringatan tempat duduk belakang bukanlah inovasi baharu dalam dunia automotif namun Advanced Rear Seat Reminder lebih canggih kerana ia mampu membuat panggilan ke telefon pengguna.
Menurut Toyota, sistem ini menggunakan sensor yang disembunyikan di dalam pelapik bumbung dan radar 60 GHz untuk mengesan sebarang pergerakan pada tempat duduk barisan kedua dan ketiga.
Jika sistem mengesan pergerakan selepas gear P dimasukkan dan enjin dimatikan, serta pintu pemandu dibuka dan ditutup dan kenderaan dikunci, ia akan memasang lampu kecemasan dan membunyikan penggera pintu sebanyak sembilan kali.
Jika masih terdapat pergerakan yang dikesan dan pintu masih belum dibuka 90 saat selepas amaran awal dicetuskan, Advanced Rear Seat Reminder akan membunyikan hon pula.
Pengguna yang mengaktifkan notifikasi Advanced Rear Seat Reminder pada aplikasi Toyota dan mempunyai langganan Safety Connect yang aktif akan menerima notifikasi dan pesanan teks SMS empat minit selepas hon dibunyikan.
Akhirnya, jika masih tiada apa-apa tindakan selepas dua minit, sistem akan cuba membuat panggilan telefon secara automatik.
Walau bagaimanapun, jika pintu tidak dikunci, lampu kecemasan tidak akan dihidupkan manakala penggera pintu dan hon tidak akan dibunyikan. Sebaliknya, pengguna akan dimaklumkan menerusi SMS selepas 10 minit dan panggilan telefon dua minit selepas itu.
Adakah Toyota akan memperkenalkan Advanced Rear Seat Reminder pada pasaran-pasaran lain? Kami berharap begitu kerana ia berpotensi menyelamatkan banyak nyawa.