BMW M3 CS Touring – wagon jahat untuk geng ‘ayah ayah’

Pada pertengahan 2022, BMW M memperkenalkan M3 Touring, iaitu M3 berbadan wagon yang pertama dalam sejarah jenama itu. Ini disusuli dengan varian M3 yang paling hardcore dalam barisannya iaitu M3 CS sedan.

Kini, divisyen itu membawakan pula M3 CS Touring, yang secara asasnya adalah gabungan kedua-dua model berkenaan.

Dalam erti kata lain, ia menawarkan prestasi tinggi yang mengghairahkan seperti M3 CS sedan (dan M4 CS) tetapi dalam bentuk yang lebih praktikal.

Ini bermakna, seperti dua model yang disebutkan itu, M3 CS Touring juga dikuasakan oleh enjin 3.0-liter twin-turbo enam silinder sebaris yang telah ditala bagi menghasilkan 550 PS pada 6,250 rpm dan 650 Nm dari 2,750 rpm hingga 5,950 rpm.

Jika dibandingkan dengan M3 Touring versi facelift (BMW panggil Life Cycle Impulse atau LCI), model ini mempunyai 20 PS kuasa tambahan.

Gabungan transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan pacuan semua roda M xDrive membolehkan jentera seberat 1,850 kg ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.5 saat dan 0 hingga 200 km/j dalam 11.7 saat.

Kelajuan maksimum pula dihadkan secara elektronik pada 300 km/j dengan M Driver’s Package yang disertakan secara standard.

Bercakap tentang berat, BMW berjaya menyingkirkan kira-kira 15 kg menerusi penggunaan komponen-komponen yang diperbuat daripada gentian karbon (CFRP) seperti bonet, splitter, liang ambilan udara, cermin sisi, diffuser, kerusi bucket dan stereng.

Walaupun mempunyai bentuk badan yang sama dengan M3 Touring, versi CS tampil lebih menyerlah dengan kit badan yang lebih agresif, lampu nyalaan siang berwarna kuning, perincian merah pada gril dan spoiler, serta rim double spoke berukuran 19 inci di depan dan 20 inci di belakang.

Pilihan warna terhad kepada empat sahaja iaitu British Racing Green, Laguna Seca Blue, Sapphire Black, dan Frozen Solid White. Tak kira warna apa yang dipilih, bumbung dan spoiler didatangkan dalam kemasan hitam berkilat.

Di dalam, selain kerusi bucket tadi, ia juga boleh dibezakan dengan stereng flat bottom dengan penanda jam 12 berwarna merah dan logo ‘CS’ pada konsol tengah.

BMW tidak memberitahu jumlah M3 CS Touring yang akan dihasilkan seperti versi sedan, pengeluarannya dijangka dihadkan kepada kurang 2,000 unit.

BMW 3 Series G20 dikemas kini untuk tahun 2025

BMW Malaysia telah mengumumkan beberapa penambahbaikan baharu untuk rangkaian BMW 3 Series, merangkumi elemen reka bentuk yang diperbaharui, ciri digital yang lebih canggih dan peningkatan dalam kelengkapan dinamik.

Rangkaian 3 Series baharu kini menampilkan ruang dalaman yang diperbaharui. Ia termasuk stereng M Sport baharu dengan tanda jam 12 di bahagian tengah, yang kini merupakan ciri standard, serta ventilasi udara bergeometri baharu.

Selain itu, ruang kabin turut dihiasi dengan butiran lebih halus pada panel instrumen dan penutup panel pintu atas, serta permukaan berbentuk geometri baharu untuk 330 Li.

Keselesaan sedan ini juga telah dipertingkatkan menerusi penyesuaian suspensi yang ditambah baik untuk kawalan yang lebih lancar semasa di jalan raya dan permukaan tidak rata.

Interaksi dan kawalan intuitif 3 Series baharu kini diperkasakan dengan BMW Operating System 8.5 terkini yang boleh diakses menerusi skrin lengkung. Sistem operasi ini dilengkapi struktur menu QuickSelect berorientasikan sentuhan untuk memberikan akses yang lebih efisien kepada ciri-ciri kenderaan yang relevan.

Turut disertakan adalah ciri Video Realiti Terimbuh (AR) yang dikemas kini untuk Parking Assistant berasaskan kamera dan ultrasonik, serta prestasi pengenalan suara yang ditingkatkan untuk BMW iDrive Intelligent Personal Assistant.

Untuk model tahun 2025, 3 Series memperkenalkan dua warna metalik baharu iaitu Fire Red dan Arctic Race Blue, di samping pilihan sedia ada iaitu Alpine White, Black Sapphire metalik, M Brooklyn Grey metalik dan M Carbon Black metalik.

Dengan penambahbaikan tersebut, harga jualan untuk waranti standard selama dua tahun meningkat sebanyak RM6,000 untuk semua varian; RM272,800 untuk 320i M Sport, RM308,800 untuk 330i M Sport, RM314,800 untuk 330Li M Sport dan RM385,800 untuk M340i xDrive M Sport Pro.

Bukan itu sahaja, varian hibrid plug-in iaitu 330e M Sport nampaknya telah digugurkan sebagai sebahagian daripada kemas kini ini.

Cruiser vintaj BMW R12 dilancarkan di Malaysia – RM123,000

BMW Group Malaysia telah memperluaskan lagi barisan model-model Motorrad-nya menerusi pelancaran BMW R12 yang dijual pada harga RM123,000.

Motosikal ini mempamerkan reka bentuk luaran dengan inspirasi gaya vintaj yang digabungkan dengan pelbagai teknologi moden.

Untuk pasaran Malaysia, R12 boleh didapati dalam warna Aventurin Red Metallic yang diserlahkan lagi menerusi rim tempaan aloi ringan, sistem ekzos keluli tahan karat dan aci pacu terbuka.

Ia didatangkan dengan lampu hadapan LED dengan sistem Adaptif Pro dan lampu belakang LED dengan lampu brek dinamik untuk penglihatan maksimum pada waktu siang dan malam.

Di bahagian tengah, terletak nadi R12 iaitu enjin boxer dua silinder empat lejang berkapasiti 1,170 cc dengan teknologi penyejukan air dan empat injap pada setiap silinder, serta kotak gear enam kelajuan.

Hasilnya, enjin berkenaan mampu menghasilkan 95 hp pada 6,500 rpm dan 110 Nm pada 6,000 rpm, membolehkan R12 mencapai kelajuan maksimum 200 km/j.

Dari segi elektronik, R12 menawarkan mod tunggangan Rock & Roll, serta ciri-ciri seperti Dynamic Traction Control (DTC), ABS Pro dengan sudut kecondongan optimum, serta Gear Assistant Shift Pro.

Ia juga didatangkan standard dengan Comfort Package yang merangkumi Cruise Control, Hillstart Control, Gear Shift Assistant Pro dan pemanas grip, semuanya direka untuk keselesaan tunggangan jarak jauh.

Turut disertakan adalah sistem Keyless Ride, port pengecas USB dan Connected Ride Control untuk pengalaman tunggangan yang intuitif dan terhubung.

850i E31 kuning berharga RM85k ini adalah mimpi ngeri peminat BMW

Golongan purist, alihkan pandangan anda sekarang kerana kami akan menunjukkan sebuah BMW 8 Series (E31) yang boleh mendatangkan kemurungan dan membuatkan anda tidak dapat tidur malam.

Ya, objek berwarna kuning radioaktif dengan empat roda dan kit badan yang cukup hodoh ini adalah sebuah 850i Coupe keluaran tahun 1990. Dan percaya atau tidak, ia boleh menjadi milik anda pada harga £14,995 (RM84,715) sahaja.

Walau bagaimanapun, laman web Signature Motor Company, di mana kereta ini diiklankan, tidak menyatakan sebarang perincian penting mengenai kereta ini seperti sejarah pemilikan mahu pun perbatuannya.

Menurut syarikat itu, ia merupakan 850i standard yang menampilkan enjin 5.0-liter V12 yang mampu menghasilkan 296 hp. Dikeluarkan dari 1990 hingga 1994, 850i ditawarkan dengan pilihan transmisi automatik empat kelajuan dan manual enam kelajuan. Unit ini adalah versi manual.

Tidak dinafikan lagi, enjin V12 dan transmisi manual adalah gandingan yang cukup menggoda bagi mana-mana peminat kenderaan namun untuk unit ini, kit badannya terlalu buruk dan boleh merosakkan penglihatan sesiapa sahaja yang melihatnya.

Ini kerana rekaan bampar depan dan belakang, serta skirting sisi terlalu bersegi dan mempunyai terlalu banyak lubang. Menjadikan keadaan lebih buruk adalah spoiler belakang yang gedabak dan rim krom yang langsung tidak sepadan dengan bentuk kereta ini.

Nasib baiklah kereta ini masih boleh dikenal pasti menerusi gril kidney dan lampu pop-up pada bahagian depan. Dari belakang, anda pasti tidak dapat cam ini E31 kerana lampu asalnya telah digantikan dengan enam lampu berbentuk bulat yang dibeli dari kedai aksesori murahan.

Seperti yang dijangka, ruang dalamannya telah ‘dinodai’ dengan upholsteri kulit palsu berwarna hitam dan kuning, serta stereng dan tombol gear aftermarket. Sesiapa yang membeli kereta ini nampaknya perlu berbelanja besar untuk mengembalikannya kepada keadaan asal.

BMW Group Malaysia perluas pusat pengedaran alat ganti serantau di Senai

BMW Group Malaysia telah melancarkan pusat pengedaran alat ganti serantau BMW Group yang diperluaskan bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20 fasiliti itu.

Mula ditubuhkan di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) Gelang Patah pada 2004, pusat pengedaran alat ganti serantau BMW Group telah berpindah ke fasiliti canggihnya yang terletak di Zon Perindustrian Bebas Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Bahru pada 2016.

Sebagai salah satu fasiliti BMW terbesar seumpamanya di rantau Asia Pasifik, pusat pengedaran alat ganti serantau BMW Group ini pada asalnya merupakan gudang berkeluasan 45,000 meter persegi.

Dengan penyiapan perluasan terbaharunya, fasiliti tersebut kini meliputi 65,000 meter persegi, seterusnya memperkukuhkan komitmen BMW Group terhadap kecemerlangan operasi di rantau dan pelaburan negara ini.

Perluasan terbaharu pusat pengedaran alat ganti serantau BMW Group membawakan beberapa penambahbaikan yang ketara, termasuk kawasan penyimpanan bateri voltan tinggi (HV) yang dibina khusus serta sistem rak lorong sangat sempit (VNA) yang moden.

Konfigurasi dua tingkat fasiliti ini menyediakan peluang untuk perluasan pada masa hadapan, manakala penggunaan bumbung panel solar menyokong inisiatif kemampanan BMW Group dengan lebih meluas.

Sejak penubuhannya di Zon Perindustrian Bebas di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, fasiliti berkenaan telah menyaksikan pertumbuhan yang berterusan dalam perolehan tahunannya.

Meningkatkan keupayaan perniagaan daripada EUR 141 juta (RM661 juta) pada 2017 kepada lebih EUR 277 juta (RM1.3 bilion) pada 2023, peningkatan hampir 97% dalam pertumbuhan dan hampir dua kali ganda daripada ketika fasiliti tersebut mula beroperasi.

Menurut BMW Group Malaysia, fasiliti ini mengendalikan lebih 100,000 inventori masuk dan keluar setiap bulan, mengekalkan tahap perkhidmatan sekitar 90% untuk lebih 20 pasaran yang berbeza di rantau ini.

Ia juga menguruskan stok dengan hampir 52,000 alat ganti, yang mana sekitar 30 daripadanya merupakan bateri voltan tinggi, serta mengekalkan kadar pengambilan dan pembungkusan tepat waktu melebihi 99% serta kadar 99.5% bagi barangan yang dihantar dalam kondisi sempurna.

Setiap minggu, 15 unit kontena 40-kaki dihantar menerusi pengangkutan laut BMW Group dan 33,000 meter padu menerusi penghantaran udara. Di peringkat domestik, fasiliti ini menguruskan 42 trak untuk penghantaran keluar ke Malaysia, Singapura, dan Thailand setiap minggu.

BMW, EA realisasikan kereta hero BMW M3 GTR dari permainan NFS Most Wanted

Masih ingatkah anda terhadap permainan video Need For Speed: Most Wanted yang diterbitkan pada tahun 2005?

Sedar atau tidak, sudah hampir 20 tahun imej kereta ikonik BMW M3 GTR ‘menghantui’ kita dan kini model tersebut direalisasikan sendiri oleh BMW!

Menerusi kerjasama dengan Electronic Arts, BMW telah menghasilkan semula model ikonik M3 GTR dan akan mempamerkannya di muzium BMW Welt, Munich bermula 27 November 2024 hingga 6 Januari 2025.

Unit M3 GTR NFS: Most Wanted yang dihasilkan ini merupakan jentera lumba sebenar M3 GTR E46 bernombor #42 yang dipandu oleh Jörg Müller dan J.J. Lehto untuk pasukan BMW Motorsport pada tahun 2001 sebelum dilayangkan dengan liveri yang mirip dengan kereta hero permainan video tersebut.

Untuk tujuan perlumbaan, BMW telah membangunkan unit enjin bentangan V8 4.0 liter (kod P60B40) yang mampu menjana kuasa 444 hp.

Undang-undang homologasi perlumbaan yang ditetapkan pada ketika itu menyebabkan BMW menghasilkan pula 10 unit M3 GTR Strassenversion – versi yang halal untuk dipandu atas jalan raya.

Dengan enjin yang sama, BMW M3 GTR Strassenversion hadir dengan kuasa yang telah direndahkan kepada 380 hp, dipadankan dengan kotak gear manual yang lebih konvensional.

Jentera perlumbaan M3 GTR ini kemudian menjadi inspirasi bagi rekaan liveri yang wujud pada BMW GTR NFS: Most Wanted yang menjadi popular di kalangan peminat permainan video pada tahun 2005.

Anda sebenarnya boleh ‘memandu’ jentera ini di rumah masing-masing sekiranya anda mengemaskini permainan Need For Speed: Unbound Vol. 9 yang turut membawakan beberapa model kenderaan baharu termasuklah motosikal BMW S1000RR.

BMW M5 Touring lebih garang dengan M Performance Parts

BMW M5 Touring baharu, yang diperkenalkan kepada dunia pada Ogos lalu, adalah antara kereta terberat dalam pasaran dengan berat keseluruhan sekitar 2,508 kg.

Oleh itu, BMW telah memperkenalkan pilihan aksesori M Performance Parts yang merangkumi pelbagai jenis komponen yang diperbuat daripada gentian karbon dan gentian sintetik aramid.

Tidak pasti berapa banyak berat yang dapat dikurangkan namun kit ini membuatkan M5 Touring kelihatan lebih garang, sepadan dengan prestasinya yang seakan supercar.

Ia bermula dengan bahagian hadapan, di mana M5 Touring mendapat splitter gentian karbon yang membuatkan bampar kelihatan lebih menonjol.

Di belakang pula terdapat diffuser gentian karbon yang terbahagi kepada dua bahagian. Ia boleh dipadankan dengan ekzos M Performance untuk impak visual yang lebih hebat.

Selain itu, kit M Performance Parts juga merangkumi pelekat badan dalam warna Frozen Black, serta tambahan untuk skirt sisi (sill extensions) untuk membuatkan wagon ini nampak lebih lebar.

Untuk penampilan yang lebih agresif, pelanggan juga boleh mendapatkan cermin sisi gentian karbon dan pelindung aerial M Performance.

Turut ditawarkan adalah penutup tangki minyak yang boleh menjadikan “setiap isian minyak seperti hentian pit”, karpet lantai M Performance, pelindung kunci yang diperbuat daripada Alcantara dan kulit, serta beg tayar.

Sudah tentu, aksesori M Performance Parts ini tidak membawakan sebarang peningkatan dari segi prestasi. Namun M5 Touring sebenarnya sudah cukup menggerunkan dengan enjin 4.4-liter biturbo V8 hibrid yang menjana 717 hp dan 1,000 Nm.

Buat pertama kalinya BMW atasi jualan EV Tesla di Eropah

Tesla kini bukan lagi kuasa besar dalam segmen kenderaan elektrik, sekurang-kurangnya di benua Eropah.

Berdasarkan data yang diperoleh daripada JATO Dynamics, BMW telah berjaya menjual sebanyak 14,869 unit EV sepanjang Julai 2024.

Untuk perbandingan, Tesla telah menjual sebanyak 14,561 unit untuk tempoh yang sama.

Biarpun dengan perbezaan yang kecil, ini menunjukkan pengeluar Jerman itu kini berjaya mengatasi jualan EV Tesla walaupun dalam masa yang sama masih lagi menawarkan pilihan kenderaan berkuasa petrol serta hibrid kepada pengguna.

Analisis JATO Dynamics menunjukkan prestasi jualan bagi dua model penting Tesla (Model Y dan Model 3) menurun pada bulan lepas, di mana jualan Model Y menurun 16 peratus kepada 9,544 unit manakala Model 3 pula jatuh 17 peratus kepada 4,694 unit.

Tesla mungkin masih boleh berbangga kerana Model Y masih lagi merupakan EV yang paling laris terjual, mengalahkan Volvo EX30 (6,573 unit) dan Volkswagen ID.4 (5,295 unit).

Walaupun berjaya memegang gelaran EV paling laris terjual, angka tersebut sebenarnya masih lagi jauh ketinggalan berbanding prestasi jualan model yang paling laris terjual di Eropah, iaitu Dacia Sandero.

Sepanjang tempoh Julai, Dacia Sandero berjaya menduduki tangga pertama dengan jualan sebanyak 22,398 unit, diikuti Volkswagen T-Roc (19,254 unit) dan Toyota Yaris Cross (17,314 unit).

BMW iX2 xDrive30 M Sport ranggi dan mengujakan – Pandu Uji

Seperti seteru utamanya dari Stuttgart, BMW secara aktifnya telah meluaskan penawaran kenderaan elektrik di Malaysia.

Selepas melancarkan model-model seperti i5, i7 dan ix1, BMW Malaysia pada Mei lalu memperkenalkan ahli terbaru barisan i iaitu iX2. Ia ditawarkan dalam varian tunggal xDrive30 M Sport pada harga RM297,000.

Apakah sebenarnya iX2?

Seperti mana iX1 adalah versi elektrik kepada X1, iX2 secara asasnya adalah X2 yang dipacu oleh elektrik. Perbezaan utama antara iX1 dan iX2 terletak pada reka bentuk, di mana iX2 tampil lebih ranggi dengan rekaan lebih bersegi dan bumbung ala coupe.

Bukan itu sahaja, ia juga mempunyai gril bercahaya Iconic Glow, rim lebih besar (20 vs 19 inci inci) dan pakej M High-Gloss Shadowline dengan extended content yang membawakan kemasan hitam pada gril radiator, logo tailgate dan cermin sisi.

Namun di sebalik imej luaran yang lebih menonjol itu, iX2 xDrive30 mempunyai trenkuasa elektrik dengan motor berkembar yang sama dengan iX1 xDrive30 yang menjana output keseluruhan sebanyak 313 PS (dengan fungsi boost) dan 494 Nm.

Di atas kertas, prestasi kedua-dua model ini tidak jauh berbeza di mana iX2 memerlukan 5.6 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j, manakala iX1 pula mengikut di belakang dengan masa 5.7 saat.

Walaupun menggunakan bateri 66.5 kWj yang sama, iX2 menawarkan jarak gerak WLTP yang lebih jauh iaitu 449 km berbanding 438 km oleh iX1. 11 km mungkin tidak kedengaran banyak namun ia boleh memberikan perbezaan besar terutamanya ketika hampir kehabisan bateri.

Jadi, untuk perbezaan harga sebanyak hampir RM12,000, anda mendapat sebuah EV yang lebih bergaya dan jarak gerak yang lebih jauh. Berbaloi atau tidak untuk berbelanja lebih untuk iX2?

Bagi penulis, ia bergantung kepada citarasa individu itu sendiri. Mereka yang lebih konvensional dan bukan jenis yang mengambil risiko akan memilih iX1, manakala mereka yang suka menonjol akan lebih tertarik kepada iX2.

Mereka yang memilih iX2 bukan sahaja akan menggemari rekaan luarannya, malah juga akan berpuas hati dengan ruang kabinnya yang nampak dan rasa moden serta canggih. Hampir setiap inci permukaan yang boleh disentuh terasa mewah dan premium.

Benda pertama yang menarik perhatian adalah paparan melengkung besar yang memuatkan dua paparan iaitu kluster instrument digital 10.25 inci dan skrin sentuh sistem infohibur 10.7 inci.

Sistem operasi BMW OS 9 memberikan grafik yang terang dan jalas serta antaramuka yang intuitif dan lebih mesra pengguna, namun ada beberapa fungsi yang perlu ‘dikorek’ dari menu untuk diakses. Ia layak dipuji namun penulis secara peribadi lebih menggemari MBUX.

Dari segi keselesaan dan praktikaliti, ruang kabin Sport Activity Coupe cukup selesa untuk empat penumpang. Kerusi depan boleh dilaras dan mempunyai sokongan peha, manakala tempat duduk belakang tidak terlalu tegak dan menawarkan ruang kepala dan kaki yang cukup luas.

Ada ruang untuk penumpang kelima namun dia tidak akan berasa begitu selesa terutamanya ketika perjalanan jauh kerana kerusi tengah agak kecil.

Ruang storan boleh tahan banyak. Setiap pintu mempunyai ruang storan dan pemegang gelas yang cukup besar, manakala di bawah konsol tengah terdapat satu lagi ruang di mana anda boleh menyimpan barang seperti dompet.

Di bawah perehat tangan juga ada ruang simpanan tetapi ia tidak cukup dalam, bermakna ia hanya sesuai untuk objek leper seperti kad.

Selain menerusi port pengecas USB Type C yang disediakan, telefon boleh dicas di atas pad pengecas tanpa wayar yang mempunyai seakan bar pengapit untuk menahan telefon daripada bergerak.

Di belakang, iX2 menawarkan ruang but yang lebih besar berbanding iX1 dengan kapasiti 525 liter, namun disebabkan rekaan bumbung coupe-nya, memuatkan barangan yang tinggi boleh menjadi agak sukar.

Tetapi untuk trip hujung minggu bersama keluarga, ruang but ini boleh memuatkan sekurang-kurangnya tiga atau empat bagasi dengan mudah. Kereta ini juga sesuai untuk sesi membeli-belah di Ikea kerana tempat duduk belakangnya boleh dibaringkan rata secara 40:20:40.

Karakter pemanduan yang ditunjukkan oleh iX2 adalah seperti yang boleh dijangka dari sebuah EV bertaraf premium – laju, selesa di atas jalan yang rata dan senyap.

Mungkin tidaklah terlalu senyap kerana setiap pecutan ditemani dengan bunyi efek (digelar Iconic Sound) yang dibangunkan dengan kerjasama komposer terkemuka, Hans Zimmer. Namun dari segi NVH, amat memuaskan.

Lebih menarik lagi, kereta ini didatangkan dengan pedal boost yang memberikan kuasa tambahan selama 10 saat namun output yang dibekalkan sebenarnya sudah cukup untuk kebanyakan situasi pemanduan harian.

Selain itu, iX2 boleh membantu mengurangkan beban pemandu menerusi sistem Driving Assistant Plus yang didatangkan standard dengan ciri-ciri seperti Lane Control Assistant, Automatic Speed Limit Assist, Autonomous Emergency Braking dan bermacam lagi.

Sepanjang empat hari memandunya, penulis merekodkan tahap penggunaan tenaga sekitar 15 hingga 16 kWh bagi setiap 100 km dengan gaya pemanduan normal, melibatkan 70% jalan bandar dan selebihnya lebuh raya.

Sudah tentu, mendapatkan jarak gerak seperti yang diiklankan oleh pengeluar boleh dikatakan sesuatu yang hampir mustahil namun dengan iX2, anda boleh memanjangkan jarak dengan menggunakan sistem brek janaan semula yang menawarkan empat tahap termasuk Adaptive.

Jalan bersimpang-siur tidak menjadi masalah untuk kereta ini kerana sistem suspensinya agak keras, bermakna ia cemerlang dalam bab mengurangkan olengan badan. Cuma, kadang-kala anda boleh merasakan yang berat bateri sedikit sebanyak menjejaskan pengendaliannya.

Walaupun keras, sistem suspensinya boleh dikatakan agak selesa untuk pemanduan di lebuh raya. Namun ketika melalui jalan-jalan di kawasan bandar yang berlubang dan tidak rata, setiap hentakan boleh dirasakan dengan jelas di dalam kabin.

Di bandar, iX2 secara keseluruhannya mudah dipandu cuma apabila mengundur, pandangan menerusi cermin pandang belakang sedikit terjejas disebabkan cermin belakang yang agak kecil. Nasib baik ada kamera 360 darjah yang sangat terang.

Kalau ini tidak mencukupi, anda juga boleh menggunakan Reversing Assistant dan Lateral Parking Aid untuk parkir dengan lebih mudah.

Konklusi

Adakah iX2 xDrive30 M Sport masuk akal dalam pasaran sekarang? Sejujurnya, pada harga hampir RM300,000, anda sebenarnya boleh mendapat sebuah EV lain yang menawarkan kuasa yang tinggi dan jarak yang lebih jauh iaitu Volvo C40.

Namun bagi penulis, iX2 ada tarikannya sendiri. Ia kelihatan jauh lebih menarik dan pengendaliannya juga cukup mengujakan, sesuatu yang tidak ada pada EV dari Sweden itu. Kadang kala, itu sudah cukup memadai.

Spesifikasi BMW iX2 xDrive30 M Sport

Harga: RM297,000
Kuasa: 313 PS (dengan boost)
Tork: 494 Nm
Bateri: 66.5kWj
Jarak gerak: 449 km (WLTP)

BMW M5 G90 tampil lebih agresif dengan kit M Performance Parts

BENAR, reka bentuk itu subjektif tetapi jika anda tanya penulis, BMW M5 generasi G90 nampak kurang berbisa walaupun pada hakikatnya, ia mempunyai ‘jantung’ hibrid baharu yang mampu menghasilkan 717 hp dan 1,000 Nm.

Nasib baiklah BMW telah memperkenalkan M Performance Parts untuk menyerlahkan sisi atletik serta meningkatkan aerodinamik sedan berprestasi tinggi itu.

Menurut syarikat itu, komponen-komponen luaran M Performance Parts diperbuat daripada gentian karbon. Ini termasuk splitter depan dan diffuser belakang – kedua-duanya dibahagikan kepada dua bahagian.

Turut disertakan adalah sill extensions iaitu tambahan kepada skirt sisi, spoiler belakang serta trim muncung ekzos yang diperbuat daripada campuran titanium/gentian karbon dan dihiasi dengan logo M5.

Tidak cukup dengan itu, BMW turut menawarkan penutup tangki minyak gentian karbon dan set pelekat berwarna Frozen Black yang dikatakan tahan cucian kereta komersial. Rim aloi ringan M Performance pula boleh dipesan mulai musim panas tahun depan.

Apa yang menarik, pelanggan juga boleh mendapatkan beg khas untuk menyimpan tayar. Baru lah motorsport, kan?

Untuk ruang dalaman, tidak banyak yang ditawarkan kecuali karpet lantai yang dihiasi dengan warna kontras dan selongsong kunci yang dibalut kulit nappa berwarna hitam.

Dengan enjin 4.4-liter biturbo V8 yang dibantu oleh sistem hibrid, transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan pacuan xDrive, M5 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.5 saat.

Ia mungkin kedengaran hebat, tetapi model baharu ini sebenarnya 0.2 saat lebih perlahan berbanding M5 F90 dek kerana berat keseluruhannya yang hampir mencecah 2.5 tan.

Bagaimanapun, tidak seperti model generasi terdahulu, M5 kini boleh bergerak sejauh 69 km tanpa menggunakan setitik bahan api dengan adanya pek bateri berkapasiti 18.6 kWj.

Pereka bentuk BMW dan Rolls-Royce, Ian Cameron dibunuh dipercayai oleh pencuri

IAN Cameron, pereka bentuk BMW dan Rolls-Royce, telah dibunuh dengan tragis di kediamannya di Bavaria pada 12 Julai. Beliau berumur 74 tahun.

Isterinya, Verena Kloose, berjaya lari dan keluar dari rumah sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa, tetapi polis tidak dapat menangkap suspek.

“Kami sangat terkejut dan bersedih atas berita bekas pereka Rolls-Royce kami,” kata BMW dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Automotive News.

CEO Rolls-Royce, Chris Brownridge berkata: “Ian memainkan peranan signifikan dalam membentuk Rolls-Royce selepas dibeli oleh BMW Group.

“Sepanjang waktu Ian, beliau mengetuai pasukan rekaan untuk keluarga Phantom dan Ghost, mencipta kenderaan kontemporari yang kekal dengan rekaan tradisi jenama ini.”

Cameron juga sebahagian dari pasukan rekaan yang mereka bentuk BMW Z8. Rekaannya yang paling popular ialah Rolls-Royce Phantom 2003 yang ‘membentuk’ haluan rekaan setiap Roller hingga hari ini.

Beliau terlibat dengan reka bentuk luaran Range Rover L322 semasa jenama itu di bawah BMW.

Tetapi kerjaya Cameron bermula di Pininfarina pada 1975, dan beliau mempunyai firma rekaan sendiri selepas bersara dari BMW.

Menurut penyiasat, suspek pembunuhan itu disyaki sedang cuba mencuri koleksi kereta-kereta mewah Cameron di kediamannya di Lake Ammersee.

The Times melaporkan kuasa elektrik rumah Cameron dipotong dan kamera keselamatan dimatikan, jadi tiada rakaman penyerang itu, tetapi polis Jerman sedang giat memburu.

Pemilik BMW ini terima pampasan RM8.95 juta selepas pintu soft-close putuskan jarinya

MUNGKIN ada yang rasa kereta BMW mereka sudah cukup mahal sehingga mengganggu poket mereka, tetapi ada yang menjadi ‘lebih kaya’ selepas memiliki BMW.

Seorang lelaki Amerika telah memenangi saman bernilai USD1.9 juta (RM8.95 juta) selepas jarinya tersepit dan putus disebabkan pintu dengan fungsi penutupan soft-close.

Godwin Boateng, seorang jurutera perisian yang bekerja sendiri, mendakwa pintu soft-close pada BMW X5 2013 miliknya tidak berfungsi dengan baik dan menyepit hujung ibu jarinya.

Gambar oleh: NY Post

Dalam kejadian pada Julai 2016 itu, Boateng meletakkan jarinya pada pintu pemandu X5 itu dengan keadaan pintu terbuka kira-kira satu kaki.

Pintu itu kemudiannya tertutup dan menyepit ibu jarinya hingga putus. Pakar bedah tidak dapat menyambung semula jarinya.

Boateng menyaman BMW dengan jumlah USD3 juta (RM14.13 juta), dengan mengatakan beliau akan kerugian USD250,000 (RM1.12 juta) pendapatan setahun sebagai jurutera perisian yang bekerja sendiri.

BMW memeriksa X5 milik Boateng dan memutuskan tiada masalah pada pintu soft-close itu.

Syarikat Jerman itu juga berkata manual pemilik ada menyatakan amaran mengenai pintu dan mengatakan bahawa “plaintif faham sejak kecil agar tidak meletakkan jari atau bahagian badan antara pintu dan bingkainya semasa ditutup.”

Kes itu menjadi tular, dan awal bulan ini, juri setuju untuk memberikan pampasan bernilai USD1.9 juta (RM8.95 juta).

Gambar oleh: NY Post

BMW tidak didapati bersalah kerana pintu rosak, tetapi juri tetap berpendapat syarikat itu bersalah 100 peratus atas kecederaan ibu jari Boateng.

Dalam tuntutan saman, Boateng berhujah bahawa pintu soft-close BMW lebih merbahaya berbanding tingkap yang menggunakan pengesan untuk mengenal pasti objek antara tingkap dengan bingkai.

Saman itu turut memasukkan keterangan grafik mengenai kecederaan jari Boateng, mengatakan pintu itu “dengan tidak begitu lembut menyepit dan memutuskan daging, urat saraf, salur darah, tendon, otot, dan struktur tulang ibu jari kanan Boateng.”

Selepas penilaian, BMW terus berkata tiada sebarang kerosakan mengenai kenderaan itu atau fungsi pintu soft-close. Tetapi tidak dipastikan sama ada mereka akan membuat sebarang perubahan rekaan atau tidak di masa depan.

BMW M5 2025 – Lima Perkara Yang Perlu Anda Tahu

Generasi kelapan BMW 5 Series telah pun diperkenalkan sejak dari tahun lepas lagi dan kini BMW M5 2025 telah tiba untuk terus mencipta kontroversi rekaan yang tidak berkesudahan.

Berikut merupakan senarai lima perkara yang perlu anda tahu pasal BMW M5 2025:

 

1. Nadi V8 577 hp + sistem hibrid 194 hp = 717 hp

Berita baik, BMW M5 2025 masih lagi mengekalkan penawaran enjin bentangan V8 4.4 liter turbo berkembar, namun dengan kuasa 577 hp dan 750 Nm.

Kuasa itu digandingkan dengan bantuan motor elektrik berkuasa 194 hp/450 Nm yang disumbatkan ke dalam transmisi M Steptronic lapan nisbah kelajuan.

Kuasa keseluruhan jentera ini mampu mencecah 717 hp dan daya kilas sehingga 1,000 Nm.

Ia juga turut mengenepikan tradisi pacuan roda belakang untuk memberikan laluan kepada sistem pacuan semua roda xDrive, lengkap dengan sistem Active M Differential di mana M5 boleh mengagihkan kuasa kepada satu roda tunggal untuk membalas kesan understeer.

 

2. M5 G90 kini berstatus anak gajah 2.5 tan

Berbanding model-model terdahulu, M5 2025 merupakan model M5 yang paling berat pernah dihasilkan dalam sejarah, iaitu sekitar 2,445 kilogram, terima kasih kepada penambahan sistem hibrid yang disumberkan daripada BMW XM.

Biarpun M5 2025 jauh lebih bertenaga, pecutan 0-100 km/j adalah lebih perlahan 0.2 saat berbanding catatan 3.2 saat oleh BMW M5 (generasi F90).

 

3. Boleh gerak tanpa setitik minyak

Secara teknikalnya, BMW M5 2025 merupakan sebuah sedan pantas plug-in hybrid (PHEV) yang mampu menawarkan jarak sifar emisi sejauh 40 km.

Cukup jauh untuk tidak menyakitkan hati jiran rumah sebelah yang memiliki sebuah Mercedes-AMG C 63 generasi baharu PHEV yang hanya didatangkan dengan enjin empat silinder sebaris sahaja.

 

4. Rupa M5 yang kurang agresif

Membezakan antara BMW M5 dan 5 Series standard ialah kehadiran bampar yang lebih agresif, jeriji buah pinggang yang nampak kosong, jarak trek yang lebih lebar diikuti empat tip ekzos serta padanan rim bersaiz 20 inci depan dan 21 inci belakang dengan tiga rekaan berbeza.

Secara standard, BMW M5 dibekalkan dengan sistem pemberhentian terdiri daripada angkup brek enam omboh dan rotor bersaiz 16.1 inci di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor bersaiz 15.7 inci di belakang.

BMW M turut menawarkan naik taraf brek seramik M Carbon dengan rotor yang lebih besar (16.5 inci depan).

 

5. Kelengkapan kabin yang mengutamakan keselesaan


Tidak seperti BMW M2 yang mendapat opsyen tempat duduk karbon, BMW M5 hanya ditawarkan dengan tempat duduk M Multifunction yang lebih mengutamakan keseimbangan antara keselesaan perjalanan jarak jauh dan sokongan semasa melayan track day.

Susun atur papan pemuka adalah sama sahaja dengan model 5 Series standard, namun boleh dibezakan dengan kehadiran roda stereng rekaan baharu, sistem pencahayaan spesifik M5, paparan grafik spesifik M pada sistem infohibur 14.9 inci, serta sistem audio Bowers & Wilkins.

Di pasaran Amerika Syarikat, harga jualan BMW M5 2025 bermula dari $119,500 (RM563,682), jauh lebih mahal berbanding BMW M5 F90.

 

BMW X5 Silver Anniversary Edition, model X pertama dilengkapi dengan pakej xOffroad

HAMPIR 25 tahun lalu iaitu pada 1 September 1999, X5 generasi E53 yang pertama keluar dari kilang pemasangan BMW di Spartanburg, South Carolina, sekali gus mencipta kategori Sports Activity Vehicle (SAV) yang digunapakai oleh BMW sehingga ke hari ini.

Bagi meraikan peristiwa bersejarah itu, BMW akan menawarkan X5 edisi istimewa yang dikenali sebagai Silver Anniversary Edition. Ia berasaskan X5 xDrive40i generasi G05 dengan penambahbaikan yang memfokuskan kepada pemanduan off-road.

Untuk bahagian luaran, X5 Silver Anniversary Edition didatangkan dalam warna Lime Rock Grey Metallic dari katalog BMW Individual.

Warna itu dipadankan dengan trim Extended Shadowline yang merangkumi perincian kemasan berwarna gelap pada bingkai tingkap, rel bumbung, saluran udara Air Breathers dan gril kidney.

Di dalam, kerusi sport didatangkan dalam upholsteri kulit yang boleh didapati dalam warna hitam, Cognac, Coffee atau Silver Sensafin. Trim gentian karbon pada konsol tengah dan papan pemuka, yang sebelum ini didatangkan standard pada X5 M60i dan X5 M Competition, turut disertakan pada model ini.

Ciri-ciri lain yang tersedia termasuk paparan melengkung dengan BMW Operating System 8.5, Live Cockpit Professional, head-up display dan paparan realiti terimbuh (AR). Anda juga akan menemui plak Silver Anniversary Edition pada konsol tengah.

Apa yang menjadikan model ini lebih menarik adalah pakej xOffroad yang tidak ditawarkan pada mana-mana model BMW X.

Pakej berkenaan merangkumi empat mod pemanduan iaitu xSnow, xSand, xGravel dan xRocks yang berfungsi untuk melaraskan ketinggian kenderaan, penukaran gear, pemetaan pendikit, Traction Control dan pelbagai fungsi lagi.

Bukan itu sahaja, model ini juga dilengkapi dengan sistem suspensi udara, differential lock mekanikal pada gandar belakang dan plat perlindungan bawah badan.

Turut disertakan adalah paparan khas xOffroad View yang menyediakan maklumat seperti jarak lega tanah, olengan dan tahap cerun muka bumi. Terdapat juga kamera luaran yang memberikan pandangan dari pelbagai sudut dari luar ketika kereta bergerak pada kelajuan bawah 35 km/j.

Sebagai pelengkap, BMW turut memberikan rak bumbung, pelapik bagasi dan karpet lantai pelbagai cuaca. Pelanggan juga dapat menikmati diskaun untuk tayar General Grabber All-Terrain.

X5 Silver Anniversary Edition akan dihadkan kepada 1,000 unit sahaja di Amerika Syarikat, dengan harga jualan bermula dari $79,900 (RM376,074).

BMW X3 generasi keempat diperkenalkan secara rasmi

BMW telah memperkenalkan X3 generasi keempat yang dikenali dengan kod nama G45. Menggantikan G01 yang terdahulu, Sports Activity Vehicle (SAV) baharu itu tampil dengan reka bentuk lebih menonjol, casis yang dinaik taraf serta pelbagai teknologi baharu.

Ini apa yang anda perlu tahu mengenai BMW X3 baharu:

Saiz bertambah besar

X3 G45 mempunyai ukuran panjang 4,755 mm, lebar 1,920 mm dan tinggi 1,660 mm, menjadikan ia 34 mm lebih panjang, 29 mm lebih lebar dan 25 mm lebih rendah berbanding model sebelum ini. Jarak roda pula meningkat 1 mm kepada 2,865 mm.

Bahasa reka bentuk baharu

Menurut BMW, bahasa reka bentuk baharu yang ditampilkan pada X3 memberikannya penampilan seakan monolithic. Ini diserlahkan lagi dengan struktur baharu untuk gril, serta elemen pencahayaan berbentuk L untuk lampu nyalaan siang, lampu sisi dan lampu isyarat membelok.

Terdapat sembilan warna yang ditawarkan untuk X3 baharu, satu warna solid dan selebihnya metalik, termasuk Dune Grey. Unit yang dipasang di Spartanburg boleh dipesan dengan warna BMW Individiual.

Bergantung kepada varian, model ini didatangkan dengan rim aloi ringan berukuran 18 hingga 21 inci. Pakej M Sport dan M Sport Pro turut ditawarkan.

Ruang kabin serba canggih

Seperti kebanyakan model BMW semasa, X3 tampil dengan paparan melengkung (Curved Display) dan Interaction Bar. Tuil gear diberikan sentuhan baharu, manakala konsol tengah dan trim pintu diserikan elemen pencahayaan dalam warna kontras.

Untuk sistem infotainmen, ia menggunakan BMW iDrive versi terbaru dengan QuickSelect yang dikuasakan oleh BMW Operating System 9. Sistem operasi ini juga membawakan pelbagai perkhidmatan digital yang boleh didapati secara atas udara.

Ciri-ciri lain yang disertakan secara standard termasuk sistem kawalan iklim tiga zon, kaca akustik, Comfort Access, tailgate automatik, pencahayaan ambien, pengecas tanpa wayar dan BMW Live Cockpit Plus. Pelanggan juga boleh memilih untuk mendapatkan BMW Live Cockpit Professional yang membawakan head-up display dan paparan realiti terimbuh (AR).

Lebih banyak sistem bantuan pemandu

X3 didatangkan standard dengan ciri-ciri seperti Front Collision Warning, Lane Departure Warning, Speed Limit Info serta pakej Driving Assistant yang merangkumi Lane Change Warning dan Speed Limit Assist.

Parking Assistant, yang turut disertakan sebagai kelengkapan standard, merangkumi Reversing Assistant dan Reversing Assist Camera.

Sebagai tambahan, BMW turut menawarkan Steering and Lane Control Assistant, Automatic Speed Limit Assist dan Route Speed Control untuk digunakan bersama Active Cruise Control dengan fungsi Stop & Go.

Satu lagi ciri tambahan iaitu Parking Assistant Professional membolehkan pemandu mengawal pergerakan parkir dari luar kereta menggunakan telefon pintar.

Pilihan enjin PHEV dan mild hybrid

Untuk model generasi baharu ini, X3 boleh didapati dalam varian mild hybrid (20 xDrive, 20d xDrive dan M50 xDrive) dan PHEV (30e xDrive). Varian 20 xDrive dikuasakan oleh enjin petrol 2.0-liter empat silinder turbo (190 PS/310 Nm), manakala 20d xDrive dikuasakan oleh enjin turbodiesel 2.0-liter empat silinder (197 PS/400 Nm).

X3 M50 xDrive pula mempunyai enjin 3.0-liter enam silinder sebaris dengan teknologi mild hybrid yang menjana 381 PS dan 540 Nm, manakala X3 30e xDrive pula tampil dengan enjin 2.0-liter empat silinder turbo dan motor elektrik yang menjana kuasa keseluruhan sebanyak 299 PS dan 450 Nm.

Lokasi pemasangan

X3 baharu akan dipasang di kilang pemasangan BMW Group di Spartanburg di Amerika Syarikat dan Rosslyn di Afrika Selatan. Ia akan memasuki pasaran Eropah dan AS pada suku keempat tahun ini, diikuti dengan pasaran-pasaran lain bermula Januari 2025.

BMW Malaysia lancar 218i Gran Coupe, X3 sDrive20i dan X3 xDrive30e Final Edition

BMW Malaysia hari ini memperkenalkan model Final Edition untuk tiga model pemasangan tempatannya iaitu 218i Gran Coupe, X3 sDrive20i dan X3 xDrive30e.

Ketiga-tiga model ini mengekalkan trenkuasa dan pakej M Sport yang sedia namun tampil dengan beberapa ciri tambahan.

 

Untuk 218i Gran Coupe Final Edition, penampilan sedan itu kini diserlahkan lagi menerusi tambahan ‘Shadowline with Extended Contents’ dan rim aloi ringan M jejari-Y berukuran 18 inci dalam gaya 533 M Bicolour.

Selain itu, ruang kabin dilengkapi telefoni dengan pengecasan tanpa wayar dan sistem pembesar suara HiFi 205W dengan 10 pembesar suara.

 

X3 sDrive20i Final Edition dan X3 xDrive30e Final Edition pula mendapat ‘M Lights Shadowline’ dan ‘M high-gloss Shadowline with Extended Contents’. Eksklusif untuk X3 xDrive30e adalah brek M Sport berwarna merah berglos tinggi.

Untuk sistem bantuan pemanduan pula, kedua-dua X3 Final Edition didatangkan dengan Active Cruise Control dengan fungsi Stop&Go, di samping Driving Assistant yang memang sedia ada.

X3 xDrive30e Final Edition juga dilengkapi dengan head-up display, serta Parking Assistant Plus yang memberikannya kamera pandangan sekeliling 360 darjah dan Remote View 3D.

 

Untuk Final Edition, kedua-dua model menampilkan ciri telefoni dengan pengecasan tanpa wayar.

Daripada segi pilihan warna, 218i Gran Coupe Final Edition boleh didapati dalam warna luaran Skyscraper Grey, Black Sapphire dan Alpine White, manakala upholsteri dalaman tersedia dalam kulit Dakota berwarna hitam dengan jahitan biru.

X3 sDrive20i Final Edition dan X3 xDrive30e Final Edition ditawarkan dalam warna luaran Carbon Black, Alpine White dan M Brooklyn Grey.

 

Untuk ruang dalaman, varian sDrive20i didatangkan dengan upholsteri kulit Vernasca berwarna mocha atau hitam, kedua-duanya dengan jahitan dekor. Varian xDrive30e pula tampil dengan kulit Vernasca berwarna mocha dengan jahitan dekor atau kulit Vernasca hitam dengan jahitan biru.

Harga jualan 218i Gran Coupe Final Edition bermula dari RM223,800. Pelanggan yang memilih pakej Tambahan Servis & Pembaikan Inklusif akan dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM20,600.

Sementara itu, X3 sDrive20i Final Edition dan X3 xDrive30e Final Edition masing-masing dijual pada harga RM311,800 dan RM357,800. pakej Tambahan Servis & Pembaikan Inklusif untuk kedua-dua varian dijual pada harga RM26,700.

BMW 1 Series 2025 – muka baharu atas platform lama, tiada huruf “i”, transmisi DCT sahaja

BMW akhirnya secara rasmi melancarkan model generasi baharu 1 Series (generasi F70) menggantikan generasi F40 yang telah berada di pasaran sejak tahun 2019.

Biarpun disifatkan sebagai model generasi baharu, 1 Series 2025 ini sebenarnya masih lagi menggunakan platform UKL2 yang sama digunakan pada model 1 Series terdahulu.

 

 

Ia masih lagi mengekalkan dimensi lebar 1,800 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,670 mm, namun dengan ukuran yang lebih panjang (+42 mm) dan lebih tinggi (+25 mm).

Apa lagi perubahan yang wujud pada 1-Series 2025?

 

1. Tiada lagi akhiran “i”

BMW 1 Series merupakan model BMW pertama yang tidak lagi menggunakan akhiran “i” yang sebelum ini merujuk kepada varian petrol.

Ini kerana, BMW telah mengubah strategi mereka dengan menggunakan huruf “i” eksklusif untuk nama kenderaan elektrik mereka.

 

2. Rekaan luaran yang lebih lembut

Tidak seperti model 1 Series terdahulu, BMW 1 Series 2025 membawakan garis badan yang lebih lembut, sepasang lampu utama yang dengan rekaan lebih ringkas, diikuti dengan struktur jeriji buah pinggang yang lebih kecil.

Sementara bahagian belakang pula sedikit agresif dengan rekaan lampu menyamai model crossover X2.

 

3. Ruang kabin moden

Masuk ke dalam ruang kokpit, anda akan disambut dengan panel paparan melengkung yang mengintegrasikan skrin kluster digital 10.25 inci dan skrin infohibur sebesar 10.7 inci.

Terdapat juga sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard, namun keseluruhannya rekaan papan pemuka 1-Series lebih minimalis tanpa kehadiran butang fungsi yang pelbagai.

Ciri lain termasuklah penggunaan fabrik khas Arktur, kawalan iklim dua zon automatik, sistem pencahayaan ambien, dan opsyen untuk menambah skrin paparan head-up, bumbung kaca panorama dan sistem audio Harman Kardon.

 

4. Kargo sebesar 1,200 liter

Secara standard, BMW 1 Series menawarkan ruang sebesar 380 liter di belakang tempat duduk yang boleh dilipat nisbah 60:40 atau 40:20:40.

Apabila tempat duduk tersebut dilipat, ia menyediakan ruang sehingga 1,200 liter.

 

5. Pilihan enjin petrol, diesel, atau versi hot hatch

Bergantung kepada pasaran, BMW 1 Series 2025 boleh didapati dengan pilihan enjin 2.0 liter diesel turbo (148 hp/360 Nm), enjin 2.0 liter diesel (161 hp/280 Nm), atau enjin petrol tiga silinder sebaris 1.5 liter (168 hp/280 Nm) dengan sistem hibrid ringan 48V.

Anda boleh mendapatkan versi hot hatch M135 xDrive yang lebih berkuasa, menampilkan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 296 hp di Eropah, atau sehingga 312 hp/400 Nm untuk pasaran luar Eropah.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 4.9 saat sebelum mencecah kelajuan maksimum 250 km/j.

 

6. Tiada pilihan transmisi manual

Untuk pertama kalinya dalam sejarah produksi 20 tahun, BMW 1 Series kini tidak lagi dibekalkan dengan pilihan transmisi manual.

Sebaliknya, semua varian kini datang standard dengan kotak gear klac berkembar (DCT) Steptronic tujuh nisbah kelajuan.

 

BMW Concept Skytop sebuah konsep futuristik dengan inspirasi masa silam

BMW suka mempertontonkan kereta baharu di acara Villa d’Este. Tahun ini, mereka mendedahkan Skytop, sebuah jentera convertible dua tempat duduk yang dikatakan mengambil inspirasi dari Z8 dan 503.

“BMW Concept Skytop ialah model unik dengan reka bentuk eksotik, mengikut tradisi Concorso d’Eleganza Villa d’Este,” kata Adrian van Hooydonk, ketua bahagian BMW Group Design.

“Ia menawarkan kombinasi pemanduan dinamik dan elegan di tahap tertinggi, mengikut model-model sebelumnya seperti Z8 atau BMW 503.”

Hubungan Concept Skytop dengan Z8 cukup jelas. Lampu belakang nipis dengan hidung seperti jerung merupakan inspirasi jelas dari roadster awal 2000-an itu. Reka bentuk hud berukir, lampu depan kecil, dan dek belakang menegak pula mengingatkan kita pada 503 dari tahun 1950-an.

BMW tidak memberikan sebarang perincian atau spesifikasi prestasi, tetapi jika diteka, mungkin ia menggunakan enjin 4.4-liter V8, kotak gear automatik 8-kelajuan, dan pacuan semua-roda dari M8 Competition.

Tema seperti M8 diteruskan ke bahagian dalam. Papan pemukanya seperti diambil terus dari 8-Series, dengan paparan instrumen digital, infotainmen, dan konsol tengah seperti yang biasa kita lihat.

Tetapi bar guling unik di belakang tempat duduk nampak betul-betul unik untuk konsep ini, yang menampilkan tingkap berkuasa. Bumbung pula ialah dengan mekanisma dua-bahagian yang boleh dicabut secara manual dan disimpan di but.

Walaupun Skytop nampak seperti sebuah konsep yang masuk akal untuk direalisasikan, kami tida rasa ia akan dikeluarkan secara rasmi.

BMW telahpun mempunyai 8-Series coupe dan convertible, jadi pastinya tiada alasan untuk menghasilkna versi targa sebegini walaupun ia nampak begitu cool.

Malaysia Autoshow 2024: BMW CE 02, F 900 GS, R 1300 GS dan S1000 XR dilancarkan

DI samping i5 M60 dan 520i, BMW Group Malaysia turut melancarkan empat motosikal baharu di Malaysia Autoshow 2024 yang berlangsung di MAEPS, Serdang.

Menurut syarikat itu, pelancaran ini adalah bukti dedikasinya untuk memahat tanda aras baharu dalam industri ini serta menjanjikan pengalaman yang mengujakan bagi para peminat motosikal di Malaysia.

BMW CE 02 (RM38,500)

Diperkenalkan di peringkat global pada Julai tahun lalu, CE 02 dibangunkan untuk persekitaran bandar dan urban, dengan rekaan yang lasak, praktikal dan minimalis.

Ia dikuasakan oleh sebuah motor elektrik pada tayar belakang yang mampu menghasilkan 15 hp dan 55 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 50 km/j dalam tiga saat dan mencapai kelajuan maksimum 95 km/j.

Dengan bateri berkapasiti 6 kWj, CE 02 menawarkan jarak gerak sehingga 100 km. Proses pengecasan bateri ini juga dijadikan lebih mudah dengan rangkuman alat pengecas eksternal 900 W.

Selain itu, ia juga menyokong fungsi pengecasan pantas dengan kapasiti sehingga 1,500 W yang mengambil masa 1 jam 40 minit untuk pengecasan 20%-80% atau 3 jam 30 minit untuk pengecasan 0%-100%.

BMW F 900 GS (RM88,500)

Jentera F 900 GS baharu kini tampil dengan keupayaan off-road, jelajah, dan kembara yang lebih unggul. Salah satu faktor yang menyumbang adalah pengurangan berat sebanyak 14 kg, menjadikan jumlah berat terkini 219 kg sahaja.

Selain itu, sesaran enjinnya dua silinder sebarisnya turut ditingatkan dari 853 cc kepada 895 cc. Ia menghasilkan 105 hp pada 8,500 rpm dan 93 Nm pada 6,750 rpm, cukup untuk F 900 GS memecut sehingga 200 km/j.

F 900 GS didatangkan dengan Enduro Pro Package, yang meliputi fork terbalik bersadur nitrida titanium boleh laras, central spring strut, bingkai sport, bar hendal hitam, penaik bar hendal, serta rantai M-Endurance.

Bukan itu sahaja, ia turut hadir dengan pelbagai kelengkapan yang praktikal serta mesra penunggang seperti pelindung enjin, pelindung tangan, serta brek kaki dan tuil gear boleh laras.

BMW R 1300 GS (RM138,500)

R 1300 GS kini tampil dengan pelbagai elemen dan penambahbaikan terkini yang termasuk lampu Matrix LED dengan ciri Headlight Pro, lampu hadapan LED tambahan serta tangki bahan api aluminium dalam rekaan baharu.

Enjin boxer dua silindernya kini lebih kompak dan mempunyai nilai sesaran 1,300 cc tepat. Ia mampu menjana 145 hp pada 7,750 rpm dan 149 Nm pada 6,500 rpm, menjadikannya enjin boxer BMW yang paling berkuasa pernah memasuki produksi bersiri.

Selain itu, R 1300 GS terus menerajui kelasnya dengan rekaan serba baharu yang berjaya mengurangkan berat keseluruhan dari 249 kg kepada 237 kg. Badan yang ringan ini dipadankan dengan Pelarasan Suspensi Elektronik Dinamik (DSA) yang melaraskan redaman dan kadar spring berdasarkan mod tunggangan dan keadaan jalan raya.

Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuk empat mod tunggangan (Rain, Road, Eco dan Enduro), skrin TFT berwarna 6.5 inci, ABS Pro, Dynamic Traction Control (DTC), Keyless Ride dan pelbagai lagi.

BMW S 1000 XR (RM129,500)

Menampilkan rekaan baharu, S 1000 XR merupakan motosikal kembara sport yang menggabungkan keupayaan jarak jauh dan dinamik berprestasi tinggi.

Sudut hadapannya mengekalkan siluet yang dinamik yang dipadankan dengan teknologi pencahayaan yang canggih seperti lampu membelok LED, lampu tambahan LED dan Headlight Pro DRL (Daytime Riding Light).

Turut disertakan adalah pendakap pannier terintegrasi, kompartmen kad tol, ruang muatan di bawah tempat duduk, serta ciri-ciri elektronik seperti mod tunggangan Rain, Road, Dynamic, dan Dynamic Pro, Dynamic Traction Control (DTC) dan DTC Wheelie.

Dengan enjin 999 cc empat silinder sebaris yang menghasilkan 170 hp pada 11,000 rpm dan 114 Nm pada 9,250 rpm, S 1000 XR dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Malaysia Autoshow 2024: BMW perkenal i5 M60, 520i versi CKD

ACARA Malaysia Autoshow 2024 menyaksikan kemunculan dua model 5 Series baharu iaitu i5 M60 xDrive dan 520i pemasangan tempatan (CKD).

i5 M60 xDrive (RM480,000 anggaran)

Merupakan varian i5 kedua yang dilancarkan di Malaysia selepas eDrive40, i5 M60 sebagai varian yang lebih sporty tampil dengan sepasang motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 601 PS dan 795 Nm.

Ini membolehkan sedan mewah itu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.8 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 230 km/j.


Dengan bateri berkapasiti 89.3 kWj, i5 M60 menawarkan jarak pandu sejauh 516 km (kitaran WLTP) dengan satu cas penuh.

Pengecasan dari 0 hingga 80% mengambil masa 34 minit menggunakan pengecas pantas DC 205 kW. Ia juga menyokong pengecas AC 22 kW yang boleh melakukan pengecasan penuh dalam 4 jam 15 minit.

Dari segi penampilan, varian M60 mendapat gril kidney M Performance dengan bingkai bercahaya BMW Iconic Glow, rim aerodinamik berukuran 21 inci, serta beberapa komponen M Sport Pro termasuk spoiler belakang M, garis bayang berglos tinggi M dan brek M Sport.

Di dalam, keadaan terasa familiar dengan adanya ciri-ciri seperti BMW Curved Display yang menggabungkan panel instrumen 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci, serta sistem audio Bowers & Wilkins 655W.

520i (RM340,000 anggaran)

Dipasang secara tempatan di Kulim, Kedah, 520i mempunyai trenkuasa hibrid ringan (mild hybrid) 48V dengan enjin B48 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 208 hp dan 330 Nm,

Dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang memacu roda belakang, ia boleh melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 7.5 saat. Kelajuan maksimum adalah 230 km/j.

Penampilan luarannya hampir sama dengan i5, dengan rupa paras yang kemas dan sporty, serta dilengkapi tayar aerodinamik 19 inci baharu dalam warna 934 Bicolour Grey.

Kelengkapan di dalam juga sama, dengan Curved Display yang terdiri daripada paparan instrumen 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci.


Selain itu, terdapat juga BMW Interaction Bar yang inovatif memudahkan kawalan terhadap penghawa dingin dan fungsi lain untuk meningkatkan pengalaman pemanduan.

Untuk sistem bantuan pemandu, 520i didatangkan dengan pelbagai ciri termasuk Kawalan Pemanduan Aktif, Bantuan Kawalan Stereng dan Lorong, serta sistem Amaran Keluar Lorong.