BMW Group Malaysia hari ini memperkenalkan beberapa pengecaj pantas DC Fast Chargers di Auto Bavaria Ara Damansara dan ia boleh digunakan oleh orang awam. Ini merupakan yang pertama, dimana akan ada banyak lagi bakal dipasang di pengedar BMW i seluruh negara.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Kami telah menerajui peralihan ke arah elektrifikasi bukan sahaja melalui portfolio kenderaan elektrik kami, namun juga dengan meluaskan rangkaian infrastruktur pengecasan tempatan di seluruh negara.
“Kami telah menjalin kerjasama dengan GreenTech Malaysia untuk melahirkan sebuah ekosistem yang mampu menjulang mobiliti elektro, dan sedang meneruskan usaha untuk menunaikan komitmen tersebut bersama jaringan pengedar kami yang berdedikasi – bukan sahaja untuk pemilik BMW dan MINI, malah begitu juga dengan para pemilik kenderaan elektrik di Malaysia.
“Kami yakin langkah ini dapat meningkatkan akses ke atas infrastruktur pengecasan di seluruh negara, selain membantu menangani kekhuatiran pengguna yang ingin memiliki kenderaan elektrik di Malaysia, misalnya bagi perihal melibatkan jarak operasi kenderaan.”
BMW Group Malaysia antara peneraju EV di Malaysia sejak 2015, iaitu tahun yang telah menyaksikan BMW i yang pertama dilancarkan di sini.
Sejak itu, lebih daripada 21,000 buah kenderaan BMW dan MINI berelektrik berjaya diserahkan di peringkat tempatan.
BMW Malaysia bakal melabuhkan tirai 2021 menerusi perbarisan jentera BMW M pada 18 Disember ini di Pavillion Bukit Jalil yang baru dibuka.
Ia diadakan dengan kerjasama BMW M Owners Club dengan ahli dan pemilik yang akan tiba dari seluruh negara untuk berhimpun bagi meraikan ulang tahun BMW M yang ke-50 pada tahun 2022.
BMW M sangat sinonim dengan prestasi dan sukan permotoran, diasaskan pada Mei 1972 dengan pengenalan model pertama mereka iaitu BMW 3.0 CSL.
Hanya 1,265 unit pernah dikeluarkan dan merupakan homologasi khas untuk melayakkan kenderaan tersebut bagi perlumbaan dalam European Touring Car Championship.
Hari ini, BMW M terkenal dengan model-model prestasi tinggi yang menampilkan ciri serta teknologi terkini BMW dari litar lumba dan dizahirkan ke model jalanan yang boleh anda beli.
Sebagai meraikan musim perayaan Krismas, kanak-kanak kurang bernasib baik dari Rumah Charis akan turut diundang untuk aktiviti khas pemberian hadiah oleh ahli-ahli BMW M Owners Club.
Bagi anda peminat kereta dan BMW, bolehlah datang ke Piazza of Pavilion Bukit Jalil pada 18 Disember nanti untuk melihat jentera-jentera seperti M2, M3, M4 dan X5 M dengan lebih dekat.
Acara akan berlangsung dari 10 pagi hingga 3 petang.
SELEPAS setahun berada dalam pasaran Malaysia, BMW 218i Gran Coupe dikemaskini dengan kokpit digital BMW Live Cockpit Professional.
Sedan kompak ini dipasang secara CKD di kilang BMW di Kulim, Kedah dan ditawarkan pada harga bermula RM204,177 (atas jalan, tanpa insurans). Dengan lanjutan waranti dan pakej servis, ia akan berharga kira-kira RM12k lebih tinggi, iaitu RM216,367.
BMW Live Cockpit Professional pada 218i Gran Coupe ini merangkumi kluster instrumen digital 10.25-inci serta paparan infotainmen di tengah, juga bersaiz 10.25-inci (sebelum ini 8.8-inci).
Ia menawarkan interface baharu serta mampu mengemaskini perisian secara online (over-the-air) dan menyokong arahan suara “Hey BMW”.
Sistem kokpit dan infotainmen digital sepenuhnya ini menawarkan paparan pelbagai maklumat seperti paras petrol, kelajuan, rpm, suhu enjin, semuanya dengan susunan yang boleh dikonfigurasikan.
Ia juga menyokong pelbagai fungsi dan widget lain seperti maklumat pemanduan, penggunaan bahan api, kecekapan, media, meter G, dan radio.
Selain itu, BMW 218i Gran Coupe dilengkapi ciri standard yang sama, antaranya kti badan M Sport, lampu depan dan belakang LED, rim aloi 18-inci, keyless entry, butang push-start, suspensi M Sport, Reversing Assistant, dan sistem pendingin hawa dwi-zon.
Juga tiada perubahan pada bahagian enjin dan mekanikal. BMW 218i ini dikuasakan oleh unit 1.5-liter turbo 3-silinder yang menjana 140hp dan 220Nm tork, menghantar kuasa ke roda depan melalui kotak gear dwi-klac 7-kelajuan.
Kenderaan mewah keluaran BMW sering dijadikan ‘modal’ penipuan sindiket jual-beli kenderaan. – Foto hiasan ihsan BMW
BMW nampaknya semakin giat dengan pengenalan model-model elektrik (EV) mereka, terbaharu melancarkan iX3. Model ini diasaskan dari BMW X3 yang biasa kita lihat dan akan menjadi alternative kepada iX yang lebih besar.
Dua varian diperkenalkan, iaitu Inspiring pada RM317,360 dan Impressive pada RM336,360 (atas jalan tanpa insurans). Buat masa ini, hanya 30 unit akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia.
Jaminan standard adalah dua tahun tanpa had perbatuan. Tetapi seperti biasa, anda juga boleh tambah perlindungan menjadi lima tahun, dengan harga baharu RM330,800 (Inspiring) dan RM349,800 (Impressive).
Kedua-dua varian mempunyai pek janaan kuasa yang sama iaitu sebuah motor elektrik di belakang dengan kuasa 210kW (286hp) dan 400Nm tork. Ini memberikan iX3 prestasi pecutan 0-100km/j dalam 6.8 saat manakala kelajuan maksima 180km/j.
Kuasa dibekalkan oleh bateri lithium-ion 73.8kWh yang akan membolehkan iX3 dipandu sehingga 353km untuk setiap caj penuh. Seperti biasa, ia boleh dicaj menggunakan pengecaj biasa AC atau jenis pengecaj pantas DC.
BMW iX3 ini sebenarnya merupakan model facelift, justeru ia dilengkapi lampu depan lebih nipis, gril besar, dan lampu belakang tiga-dimensi. Kemasan lain adalah ruang kemasukan udara heksagon, sirip sisi berbentuk-L, dan diffuser belakang yang besar.
Pembaharuan di bahagian dalam adalah konsol tengah yang lebih ergonomik. Ia juga didatangkan dengan skrin infotainmen tengah 12.3-inci dan instrumen kluster digital bersaiz sama di depan pemandu.
Pakej M Sport adalah standard, bermakna BMW iX3 mendapat roda stereng, tempat duduk dan kemasan siling lebih sporti.
Bergantung kepada varian, iX3 diberikan pilihan lampu LED adaptif atau Laserlight, rim 19- dan 20-inci, kemasan kulit Vernasca, pengecaj tanpa-wayar, bumbung panoramik, kamera 360-darjah, dan bunyi pemanduan sintetik IconicSounds Electric.
Ciri keselamatan pula terdiri dari pakej Driving Assistant Professional yang hadir dengan sistem-sistem terkini, antaranya Autonomous Emergency Braking, Evasive Steering Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Centring Assist, dan Blind Spot Monitoring.
Penggunaan kereta elektrik (EV) diyakini mampu menjaga alam sekitar. – Foto ihsan BMW
BMW 2-Series Active Tourer 2022 secara rasmi telah dipertontonkan kepada umum.
Secara keseluruhan, minivan kali ini dilihat mempunyai rekaan menarik terutama di bahagian luaran.
Antara yang mencuri perhatian sudah pasti rekaan gril besar di bahagian hadapan selain lampu utama diod pemancar cahaya (LED) berbentuk tirus.
Selain itu, model ini juga didatangkan dengan saiz rim bermula dari 16 hingga 19 inci (bergantung kepada jenis varian).
Foto ihsan BMW
Berdasarkan maklumat diperoleh, BMW memaklumkan model kali ini mempunyai dimensi lebih panjang dengan ukuran 4,386 mm dan lebar pula adalah 1,824 mm.
Model BMW 2-series Active Tourer ini mempunyai keluasan ruang sekitar 470 hingga 1,455 liter jika tempat duduk baris kedua dilipat dengan nisbah 40:20:40.
Ruang kabin pula kelihatan cukup eksklusif dengan kehadiran sistem operasi iDrive 8. Ia juga memiliki paparan kluster digital 10.25 inci dan skrin sentuh tengah 10.7 inci.
Foto ihsan BMW
Terdapat juga butang pandu mula, butang kecemasan, brek parkir elektronik, tuil penukaran gear kecil dan tombol rotari untuk kawalan suara sistem audio.
Berikut antara ciri lain terdapat pada BMW 2-Series Active Tourer:
Pintu tailgate elektrik
Sistem kawalan iklim dua zon automatic
Bumbung kaca panorama (optional)
Audio Harman Kardon
Cangkuk trailer elektrik
Kesemua varian BMW 2-Series Active Tourer mempunyai sistem pacuan roda depan dan transmisi klac berkembar tujuh nisbah kelajuan.
Foto ihsan BMW
Terdapat empat varian ditawarkan BMW iaitu:-
218i – enjin inline-3 1.5 liter turbo, 136 hp/230 Nm, pecutan 0-100 km/j 9.0 saat
220i – enjin inline-3 1.5 liter turbo, 170 hp/280 Nm, pecutan 0-100 km/j 8.1 saat
223i – enjin inline-4 2.0 liter turbo, 218 hp/360 Nm, pecutan 0-100 km/j 7.0 saat
218d – enjin inline-4 diesel 2.0 liter, 150 hp/360 Nm, pecutan 0-100 km/j 8.8 saat
BMW Group Malaysia melanjutkan sokongannya kepada program bantuan makanan yang sedang dijalankan oleh dua pertubuhan tempatan.
Mereka mengumpul sumbangan bernilai RM100 bagi setiap kontrak yang dibiayai bagi mana-mana model elektrik (EV) BMW dan MINI.
BMW Group Financial Services Malaysia telah memulakan inisiatif baharu untuk mengumpul dana bagi membantu Refuge for the Refugees dan Empire Project, iaitu dua pertubuhan tempatan yang giat menyalurkan bantuan makanan kepada warga komuniti yang kurang bernasib baik disebabkan Covid-19.
Pertubuhan-pertubuhan ini turut disokong oleh BMW Group Malaysia dari segi keperluan logistik dan bantuan penghantaran.
Inisiatif ini sekali lagi akan menyalurkan sumbangan bernilai RM100 bagi pihak pelanggan BMW dan MINI, iaitu menerusi setiap kontrak yang dibiayai bagi model-model seperti 330e, 530e, 740Le xDrive, X5 xDrive45e, Cooper SE serta Cooper SE Countryman.
Kesemua kontrak yang dibiayai dari 1 September hingga 31 Disember 2021 bagi model-model yang dinyatakan tadi layak menyertai inisiatif ini.
Sumbangan tersebut akan menyokong program bantuan makanan oleh Refuge for the Refugees yang mensasarkan lebih daripada 700 buah keluarga dalam kategori B40.
Bantuan yang diberikan termasuklah bantuan makanan dan barangan keperluan yang dibekalkan oleh Empire Project ketika pandemik untuk golongan masyarakat yang tersisih di seluruh negara.
SELEPAS melancarkan CE 04 hampir dua bulan yang lalu, BMW Motorrad kini memperkenalkan pula skuter elektrik konsep yang dikenali sebagai Concept CE 02.
Menurut syarikat itu, ia dibangunkan khas untuk menarik perhatian golongan muda berusia 16 tahun ke atas yang tidak pernah menunggang motosikal sebelum ini, namun terbuka untuk mencuba sesuatu yang baharu.
“Kami ingin membangunkan jentera dua roda yang mudah diakses oleh semua orang yang mahu bebas bergerak dan berdikari,” kata Alexander Buckan, Ketua Jurureka Kenderaan BMW Motorrad.
Ini dapat dilihat menerusi reka bentuk Concept CE 02 yang ringkas dan kompak, berbeza dengan CE 04 yang bersaiz lebih besar. Selain itu, penggunaan pelana yang rata dan rendah, serta rim 15-inci yang dibalut tayar yang lebar membuatkan skuter elektrik ini kelihatan seronok untuk ditunggang.
Walaupun rekaan keseluruhannya boleh dikatakan agak basic, ia cukup lengkap dengan kelengkapan moden seperti lampu LED dengan empat elemen pencahayaan di hadapan dan dua di belakang, serta skrin digital berwarna yang memaparkan maklumat penting seperti status bateri, baki jarak tunggangan dan sebagainya.
Aspek praktikaliti juga tidak dilupakan. Penunggang boleh menyimpan barang mereka di dalam ruang penyimpanan kecil yang terletak di antara pelana dan rangka atau dengan menggunakan getah elastik yang disediakan di hadapan pelana.
Apa yang menarik, skuter ini juga mempunyai bracket pada bahagian bawah badan di mana penunggang boleh meletakkan papan seluncur mereka yang kemudiannya dijadikan sebagai tempat meletak kaki.
Dibangunkan bagi tujuan mobiliti di kawasan urban, Concept CE 02 dikuasakan oleh sebuah motor elektrik berkapasiti 11kW (15PS) yang dipasang pada rangka dan disambungkan dengan tali sawat untuk menggerakkan roda belakang. Ini membolehkan ia memecut sehingga kelajuan 90km/j.
Spesifikasi bateri serta masa yang diperlukan untuk mengecas tidak didedahkan, namun menurut BMW Motorrad, skuter seberat 120kg ini mempunyai jarak tunggangan sejauh 90km.
Syarikat itu juga tidak menyatakan jika Concept CE 02 akan memasuki fasa produksi pada masa depan, namun ia tidak mustahil memandangkan CE 04 juga pernah diperkenalkan sebagai model konsep beberapa tahun sebelum ia dilancarkan ke pasaran.
BMW Group Malaysia telah menerima 64 pratempahan bagi BMW iX, bertepatan dengan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-64.
Pratempahan bagi kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) ini telah dibuka di platform BMW Shop Online melalui https://shop.bmw.com.my/ dengan bayaran RM 5,000, hanya lima hari yang lalu.
“Kami berbesar hati untuk melihat warga Malaysia menunjukkan keyakinan mereka untuk memilih mobiliti lestari sebagai gaya hidup mereka, ia turut memperlihatkan kepercayaan kami bahawa masa hadapan kita akan berlandaskan elektrik,” ujar Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia.
“Sejak sekian yang lama, kami telah memberi komitmen untuk membentuk mobiliti masa hadapan negara, dan kami akan terus memupuk peralihan ke arah mobiliti elektro dengan menggiatkan penyediaan infrastruktur pengecasan di Malaysia serta meluaskan lagi jaringan pengedar BMW i dengan segera di bandar-bandar utama Malaysia,” tambahnya.
BMW iX ditawarkan dalam dua varian di Malaysia, iaitu xDrive40 (RM419,630) dan xDrive40 Sport (RM472,630).
xDrive40 menggunakan konfigurasi elektrik dwi-motor, satu di depan dan satu di belakang. Ini menjadikan kereta ini sebuah pacuan semua-roda.
Sistem ini menjana 240kW (322hp) dan 630Nm tork, membolehkan iX memecut ke 100km/j dalam 6.1 saat sahaja. Kelajuan maksima ialah 200km/j.
Kuasa motor elektrik dibekalkan oleh bateri lithium-ion 76.6kWh, cukup untuk jarak pemanduan 425km. Untuk pengecasan pula, anda boleh guna pengecas AC 11kW yang akan mengambil masa tujuh jam 15 minit.
Pengecas laju DC pula menggunakan penyambung CCS2 pada kadar 150kW, membolehkan bateri pada tahap 10% mencapai 80% dalam hanya 31 minit.
Kelengkapan mewah dan canggih
BMW iX dilengkapi dengan lampu depan LED dengan bantuan High Beam, rim aerodinamik 21-inci, fungsi Comfort Access, dan kemasan tingkap berwarna hitam berkilat.
Bahagian kabin pula mendapat paparan instrumen dengan skrin melengkung 12.3-inci Live Cockpit Professional dan skrin sesentuh 14.9-inci di tengah.
Kemasan kulit pada iX adalah dari sintetik Sensatec dengan pilihan warna Mocha atau Black. Ciri lain adalah tempat duduk dengan fungsi memori, pengecas wireless, dan sistem audio HiFi.
Sementara itu, varian lebih tinggi xDrive Sport didatangkan dengan rim 22-inci, lampu BMW Laserlight, kemasan brek Sport Line, lampu lebih gelap, dan grafik krom pada gril.
Kemasan dalam juga lebih premium dengan bumbung panorama kaca Sky Lounge, sistem audio Harman Kardon 18 pembesar suara, dan kemasan kayu pada konsol tengah.
Ciri keselamatan pada BMW iX termasuklah pakej Driving Assist, dan Parking Assistant. Varian Sport ditambah dengan Parking Assistant Plus dan Driving Assistant Professional.
BMW iX xDrive40 serta BMW iX xDrive40 Sport sedia ditempah melalui platform BMW Shop Online di https://shop.bmw.com.my/ dengan bayaran RM 5,000.
Para pemilik juga dapat memanfaatkan waranti bateri yang terhad hingga lapan tahun atau 160,000 km, mana-mana yang dipenuhi dahulu.
Buat masa ini, 100 pelanggan terawal yang menempah BMW iX xDrive40 dan BMW iX xDrive40 Sport yang sulung dapat menikmati tawaran eksklusif yang meliputi pemasangan alat pengecasan secara percuma serta akses pengecasan awam bertempoh 1 tahun secara percuma.
Tawaran ini terhad sehingga 22 September 2021, tertakluk kepada terma dan syarat.
PENAMBAHAN terbaharu BMW Motorrad di Malaysia adalah skuter premium C400 X dan C400 GT yang baru dilancarkan semalam.
Harga adalah seperti berikut:
C400 X: RM44,500
C400 GT: RM48,500
Harga adalah atas jalan, tanpa insurans, dengan jaminan 3 tahun.
Untuk penampilan, C400 X didatangkan dengan trim berbentuk V, postur badan menegak, lampu depan LED dan DRL sebagai standard.
BMW C400 GT pula mendapat lampu LED berkembar, lampu DRL, dan perisai angin yang sesuai untuk tujuan kembara.
Kedua-dua model dikuasakan oleh enjin 350cc silinder tunggal yang menjana 34hp dan 35Nm tork, dengan kuasa disalurkan melalui transmisi automatik CVT. Enjin ini juga mematuhi piawaian Euro 5 dan dikawal dengan pendikit elektronik.
Terdapat juga torsional drivetrain swing arm yang mengurangkan gegaran.
Ciri standard lain pada C400 X dan GT adalah soket 12V, pengecas USB, paparan FTF berwarna 6.5-inci, fungsi BMW Motorrad Connected untuk sambungan telefon pintar, Automatic Stability Control yang ditambahbaik, dan angkup brek baharu dengan ABS.
Hanya satu warna untuk BMW C400 X iaitu Black Storm (Style Triple Black) baharu. Sementara itu, C400 GT hadir dengan tiga warna – Black Storm (Style Triple Black) baharu, Callisto Grey, dan Alpine White.
SEDAN prestasi tinggi BMW kini telah tiba di Malaysia, bukan sebuah, tetapi sepasang iaitu M3 dan M4 Competition.
Harga adalah seperti berikut:
BMW M3 Competition
Harga: RM639,664 (RM664,800 sebelum pengecualian cukai SST)
Harga dengan jaminan lanjutan: RM691,040
BMW M4 Competition
Harga: RM659,357 (RM684,800 sebelum pengecualian cukai SST)
Harga dengan jaminan lanjutan: RM711,040
Jika dilihat pada harga, pengecualian cukai SST bermakna anda boleh mendapat penjimatan sehingga RM25,443. Jaminan lanjutan pula merangkumi pakej dengan jaminan 5-tahun tanpa had perbatuan dan pakej servis 5-tahun.
Kedua-dua BMW G80 M3 Competition dan G82 M4 Coupe Competition adalah hampir serupa dari segi mekanikal. Perbezaan utama adalah dari segi gaya badan; M3 ialah sedan empat-pintu manakala M4 ialah coupe dua-pintu.
BMW M3 dan M4 Competition dikuasakan oleh enjin 3.0-liter turbo S58, 6-silinder sebaris yang menjana 510hp dan 650Nm tork. Dengan kotak gear M Steptronic 8-kelajuan, pecutan 0-100 dapat dicapai dalam 3.9 saat sahaja.
M3 G82 dan M4 G82 generasi terkini hadir dengan gaya lebih agresif, menampilkan gril kidney menegak kemasan hitam, dan warna sama juga didapati pada lip depan, pemijak tepi, penutup cermin sisi, spoiler, serta diffuser. Bumbung pula adalah gentian karbon berwarna hitam Shadow Line, sebahagian dari BMW Individual.
Kelengkapan luaran lain adalah lampu LED, ekzos krom hitam, rim 19-inci depan dan 20-inci belakang dengan rekaan 826 M bicolour, dan tayar 275/35 depan serta 285/30 belakang.
Selain itu, kelengkapan standard pada M3 dan M4 adalah suspensi Adaptive M, pembeda M Sport, M Drive Professional dengan 10 tahap Traction Control, pengira catatan masa, dan drift analyser.
Bahagian kabin M3 dan M4 pula dilengkapi kemasan kulit Merino hitam, tempat duduk M Sport, stereng M, pedal kaki M, pendingin hawa tiga-zon, Comfort Access, paparan instrumen digital 12.3-inci, dan unit infotainmen Navigation Professional 10.25-inci.
Untuk pasaran Malaysia, BMW M3 dan M4 boleh dipilih dengan tujuh warna; Sao Paulo Yellow, Isle of Man Green, Alpine White, Brooklyn Grey Metallic, Toronto Red, Portimao Blue dan Black Sapphire.
BMW Z4 menjadi model terkini yang dihentikan penawaran transmisi manualnya di Australia, hanya dua unit sahaja terjual sejak 2019. Ini menjadikannya antara versi paling rare pernah dijual di negara itu.
“Disebabkan hanya dua unit BMW Z4 sDrive20i terjual dengan transmisi manual sejak suku pertama 2019, kami tidak akan jual lagi varian ini,” kata jurucakap BMW di Australia.
“Walaubagaimanapun, Z4 sDrive20i masih akan ditawarkan dengan kotak gear standard automatik 8-kelajuan Steptronic Sport,” tambahnya.
Gambar oleh: BMW Blog
Varian Z4 dengan kotak gear manual 6-kelajuan ditawarkan sebagai pilihan tambahan untuk model asas sDrive20i yang dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo 4-silinder, menghasilkan 195hp dan 320Nm tork. Ia berharga AUD89,900 (RM276k) sebelum pilihan tambahan lain.
Model Z4 dengan tiga-pedal itu mampu memecut dari 0 ke 100km/j dalam 6.8 saat (0.2 saat lebih perlahan dari automatik), dan mempunyai kelajuan maksima 241km/j.
Penyingkiran model manual dari Z4 itu mengikut jejak langkah 2-Series Coupe dan M2 Competition yang menerima nasib sama awal tahun ini.
Ini menjadikan hanya M3 dan M4 yang kekal ditawarkan dengan kota gear manual di Australia. Manual juga merupakan pilihan khas untuk 118i dan 218i Gran Coupe.
ADAKAH anda masih tercari-cari model kereta apa hendak dibeli tahun ini dengan kualiti yang super awesome?
Jika ya, penulis sarankan anda mempertimbangkan untuk membeli sebuah BMW 320i Sport baharu.
Selain memiliki harga yang tidak terlalu ‘kayangan’, model BMW baharu ini memiliki antara spesifikasi terkini untuk keselesaan pemandu dan penumpang.
Tak percaya? Jom semak ciri menarik yang ada pada BMW 320i Sport 2021 ini.
Spesifikasi enjin BMW 320i Sport baharu
BMW 320i Sport didatangkan dengan enjin petrol TwinPower Turbo 2.0 liter yang dipadankan dengan Transmisi Steptronic Sport 8 Kelajuan.
Ia mampu menjana kelajuan mencecah 235 km/j dengan output maksimum 184 kuasa kuda pada paras 5,000-6,500 rpm dan puncak tork 300 Nm pada paras 1,350-4,000 rpm.
Untuk rekod, BMW 320i Sport mampu memecut dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam masa 7.1 saat!
Papan meter digital yang direka untuk memberi paparan lebih selesa untuk pemandu. – Foto oleh BMW Malaysia
Rekaan menarik
Model terbaharu ini didatangkan dengan lampu kabus diod pemancar cahaya (LED).
Varian ini turut dilengkapi dengan set roda aloi ringan V-Spoke Style 780 Bicolour bersaiz 18 inci.
Selain itu, sedan sport premium ini juga tampil dengan BMW Live Cockpit Professional yang serba canggih.
Pada masa sama, ia turut dilengkapi skrin paparan bersaiz 10.25 inci dengan resolusi 1920×720 dan kluster paparan instrumen pula menampilkan skrin 12.3 inci.
Antara kelebihan lain BMW 320i Sport baharu ini adalah seperti berikut:
Takometer dengan keupayaan pergerakan rpm berlawanan arah jam berserta paras bahan api, kelajuan dan suhu enjin dalam gelung tiub
‘Widget’ yang boleh dikonfigurasi meliputi papan skor sukan, data pemanduan, penggunaan dan keefisienan bahan api serta meter Daya G
Memiliki bantuan Mengundur (Reversing Assistant)
Kamera Pandangan Belakang (Rear View Camera) dikuasakan sistem operasi BMW 7.0 terkini
BMW Intelligent Personal Assistant yang membolehkan pemandu mengawal fungsi kenderaan, navigasi dan sistem hiburan dengan lebih mudah
Panggilan Kecemasan Pintar (Intelligent Emergency Call) serta Telekhidmat (Teleservices) yang bertindak balas secara automatik jika berlaku kemalangan
Terdapat lima warna yang ditawarkan iaitu Phytonic Blue, Black Sapphire, Alpine White, Mineral Grey dan Sunset Orange.
Harga jualan bagi BMW 320i Sport baharu dengan waranti lanjutan dan pakej servis, tanpa SST (atas jalan, tanpa insurans) adalah RM 243,883.65.
KEUNIKAN dan kemewahan jentera keluaran BMW makin terserlah menerusi model 630i GT M Sport baharu.
Sejak diperkenalkan pada tahun 2017, 630i GT M Sport baharu ini didatangkan dengan spesifikasi terbaik yang mampu memenuhi setiap keperluan dan kehendak pelanggan.
Kenderaan ‘grand tourer’ ini memilki keupayaan dan keselesaan jarak jauh selain mampu ‘beraksi’ lasak.
Bagaimanapun, ciri-ciri mewah masih dikekalkan disulami beberapa fungsi teknologi terkini.
Menarik mengenai 630i GT M Sport
Ciri-ciri menarik terdapat pada 639i GT M Sport ini adalah reka bentuk yang sangat memukau.
Bahagian hadapan model ini dilengkapi gril ‘kidney’ dengan lampu hadapan pemancar cahaya diod atau LED.
Bagi menjamin tahap penglihatan maksimum, model ini turut didatangkan teknologi pencahayaan laser dinamik pada sistem lampu hadapan LED Matrix.
Jarak capaian lampu laser ini mampu mencecah sehingga 650 meter iaitu dua kali ganda lebih tinggi berbanding kenderaan konvensional lain.
Bahagian belakang yang 'kemas' dan 'menonjol'.
BMW 630i GT M Sport juga didatangkan dengan set roda aloi ringan M 20 inci termasuk tayar bercampur dan ‘run-flat’.
Angkup brek M Sport berwarna biru dengan designasi “M” turut menyerlahkan lagi kelasakan jentera Gran Turismo baharu ini.
Bentuk bampar baharu dan sisipan yang didatangkan dengan pakej M Sport amat menarik sekali.
Spoiler belakang berciri aktif disediakan sebagai standard, lantas meningkatkan daya turun (downforce) pada paras kelajuan tinggi.
Spoiler belakang akan dinaikkan secara automatik pada kelajuan 120 km/j dan diturunkan semula apabila jentera diperlahankan pada 80 km/j.
Sejauh mana kuasa 630i GT M Sport?
BMW 630i GT M Sport disertai Comfort Access System dan BMW Display Key.
Jentera ini mampu menjana output maksimum serta kelajuan tertinggi mencecah 250km/j.
Penggunaan bahan api direkodkan pada paras 7.3 liter bagi setiap jarak perjalanan berjumlah 100 kilometer dengan emisi CO2 berkadar 166g/km.
Ruang dalaman yang memberi keselesaan kepada pemandu dan penumpang
Berikut antara fungsi lain terdapat pada BMW 630i GT M Sport baharu:
Paparan instrumen digital
Paparan Kawalan (Control Display)
Tempat duduk sport untuk pemandu dan penumpang hadapan
Stereng berkulit M dan papar pandu (head-up display)
Penyaman udara automatik dengan empat zon kawalan
Bumbung kaca panoramik dwi-bahagian
Sistem audio Harman Kardon dengan 16 pembesar suara
Driving Assistant dan Parking Assistant Plus
Active Cruise Control dengan fungsi Stop&Go
BMW Intelligent Personal Assistant
Pengguna yang berminat dengan BMW 630i GT M Sport baharu boleh membuat tempahan dengan bayaran RM 3,000 melalui platform BMW Shop Online.
BMW 630i GT M Sport baharu boleh dimiliki menerusi pelan ansuran bulanan bermula serendah RM 4,778.00
Bagaimanapun, ia berdasarkan anggaran pinjaman 80 peratus bagi tempoh lima tahun sahaja.
Harga BMW 630i GT M Sport Baharu dianggarkan sekitar RM 430,800.00 termasuk SST dan RM 417,659.05 (tanpa SST).
NAMA Bayerische Motoren Werke atau BMW bukan suatu yang asing dalam dunia automotif.
Sejak diasaskan lebih 105 tahun lalu, jenama BMW terus melangkah gah dengan teknologi-teknologi terkini demi kepuasan pengguna.
Saya masih ingat akan kereta BMW model E38 750iL yang ditonjolkan dalam filem ‘Tomorrow Never Dies‘ di mana ia digunakan oleh ejen 007 James Bond lakonan Pierce Brosnan.
Walaupun kereta kegunaan Bond itu dilengkapi ciri-ciri futuristic bertujuan sebagai ‘penambah rasa’ filem berkenaan, ia berjaya mencuri perhatian saya.
Saya sangat sukakan BMW E38 sehingga hampir membelinya beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, hasrat tersebut terpaksa dilupakan memandangkan waktu itu saya hanya memerlukan sebuah kenderaan lebih kecil untuk kegunaan harian.
Minat saya terhadap model E38 begitu mendalam sehingga merasakan ia satu-satunya jentera terbaik pernah dihasilkan syarikat pengeluar asal Jerman itu.
Saya mempunyai persepsi tersendiri terhadap lain-lain kenderaan buatan BMW apatah lagi membabitkan model 7 Series.
Pada saya, BMW 7 Series terlalu besar dan pastinya tidak sesuai untuk kegunaan harian.
BMW sentiasa mengutamakan kekemasan interior dalaman sekaligus menonjolkan kesan eksklusif. – Foto ihsan Trinity Quest Sdn Bhd
Ada apa dengan 7 Series?
Tahun lalu persepsi saya terhadap model 7 Series berubah sepenuhnya apabila BMW Malaysia telah melancarkan model baharunya iaitu BMW 740Le dengan kod nama G12.
Pertama kali melihat kereta ini pada gambaran saya ia terlalu besar dan kelihatan ‘ganas’.
Selepas empat kali dijemput memandu uji oleh BMW, saya akhirnya berkesempatan merasai pengalaman mengendalikan model itu baru-baru ini.
Pada mulanya, saya dapat bayangkan hujung minggu bersama BMW 740Le hanya akan memberi pengalaman ‘biasa-biasa’, sama seperti lain-lain jenama kereta mewah bertaraf antarabangsa.
Jangkaan saya 100 peratus meleset sebaik memandu kereta ini. Saya langsung tidak merasai bahawa kereta ini mempunyai size yang besar dan paling penting ia tidak mempunyai blind spot begitu ketara.
'Tegap' dan berkuasa tinggi. Tidak dinafikan enjin dihasilkan BMW antara yang terbaik di dunia.
Seterusnya, saya dapati enjin kereta ini sangat senyap. Menggunakan enjin B58B30 3.0 litre turbo charged straight-six dan dipadankan dengan kotak gear lapan kelajuan, saya dapat katakan ia sangat terbaik.
Enjin B58B30 3.0 litre turbo charged straight-six mampu menghasilkan 282hp hingga 394hp! Bayangkan kereta sebesar ini mampu ‘berlari’ dari 0-100km/j dalam masa 5.1 saat!
Mungkin anda tertanya-tanya dengan kuasa sebesar itu, pasti ia memerlukan penggunaan petrol yang tinggi bukan?
Sebenarnya jika dipandu dengan cermat, anda tidak perlu risau mengenai konsumsi bahan bakar.
Mungkin kedengaran tidak masuk akal, tetapi itu realiti sebenar. Penggunaan gabungan enjin elektrik pastinya membantu kepada penjimatan bahan bakar.
Selain itu, kemasan dalaman kereta ini sememangnya tiada kekurangan. Saya merasakan kemasan dalaman BMW ini lebih praktikal terutama meter digital yang sangat jelas dan mudah digunakan.
Sistem bunyi pada kereta ini juga sangat bagus kerana ia dilengkapi dengan pembesar suara daripada Harmon Kardon. Selain itu, kerusi belakang model ini turut mempunyai fungsi kerusi urut yang pasti memberi keselesaan berganda buat penumpang.
Jika pemandu tidak tahu arah tuju dan mahu menggunakan sistem navigasi, penumpang belakang juga boleh menggunakan sistem tablet yang disediakan untuk mencari arah.Sangat canggih!
BMW 7 Series tetap selesa untuk dipandu di kawasan bandar walau mempunyai reka bentuk yang besar. – Foto oleh EnGear
Setakat ini semua tentang kereta ini sangat bagus, namun bagaimana pula dengan pemanduan kereta ini?
Saya merasakan kereta ini layak mendapat markah yang tinggi untuk pengendalian kerana walaupun ianya besar tetapi dapat dikawal dengan begitu mudah.
Sistem Xdrive pada kereta ini bermaksud keempat-empat tayar bergerak serentak memberikan cengkaman yang lebih baik di jalan raya.
Justeru, kepada anda yang berminat untuk memiliki sebuah BMW 7 series mungkin model ini boleh dipertimbangkan.