Pihak berkuasa China mengarahkan Tesla untuk memanggil semula kira-kira 1.6 juta kenderaan elektrik di negara tersebut.
Tindakan panggil semula itu bertujuan untuk mengemaskini semula fungsi berkaitan bantuan pemanduan Autopilot bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Ini kerana sistem Autosteer yang terdapat dalam fungsi Autopilot mudah untuk disalahguna oleh kebanyakan pemandu Tesla.
Penyelesaiannya ialah dengan menambah amaran berbentuk audio dan visual sewaktu fungsi tersebut diaktifkan atau dimatikan.
Menurut laporan Reuters, kempen panggil semula itu melibatkan semua model Tesla yang dijual di China, termasuklah Tesla Model S, Model X, Model 3 dan Model Y.
Fungsi Autopilot itu akan ditambah baik menerusi kemaskini over-the-air (OTA), di mana pemilik tidak perlu menghantar kereta masing-masing ke pusat servis Tesla.
Sementara itu, Tesla turut mengemaskini perisian penguncian pintu melibatkan 7,538 unit Model S dan Model X di China, disebabkan kebimbangan pintu yang boleh terbuka secara automatik sewaktu kemalangan.
ANDA mungkin tahu bahawa ada beberapa pengeluar telefon pintar yang sedang merancang untuk menceburkan diri dalam perniagaan EV.
Salah satunya adalah Xiaomi, yang baru sahaja memperkenalkan EV pertamanya iaitu SU7. Ia digelar sebagai “sedan eko-teknologi berprestasi tinggi bersaiz penuh”.
Bercakap tentang saiz, ukuran dimensi SU7 adalah 4,997 mm panjang, 1,963 mm lebar, 1,440 mm tinggi dan 3,000 mm untuk jarak roda. Ini menjadikannya sedikit lebih besar berbanding Porsche Taycan dan Tesla Model S.
Model ini dibina berdasarkan platform Modena yang menawarkan senibina 400 volt dan 800 volt, dengan tiga pilihan motor elektrik iaitu HyperEngine V6, V6s dan V8s.
Untuk rekaan bahagian luaran SU7, Xiaomi menggunakan khidmat bekas pereka BMW, Chris Bangle yang bertindak sebagai perunding bagi projek ini.
Hasilnya, EV tersebut mempunyai kadar pekali seretan 0.195, menjadikannya antara kereta yang paling aerodinamik dalam pasaran.
Di dalam, pengeluar telefon pintar dari China itu menggunakan kepakarannya dalam bidang teknologi untuk melengkapkan SU7 dengan gajet terkini.
Ini termasuk skrin sentuh tengah berukuran 16.1 inci dan sistem pemanduan autonomi pintar yang merangkumi satu LiDAR, 11 kamera, tiga radar dan 12 radar ultrasonik.
SU7 akan ditawarkan dalam dua varian iaitu asas dan Max. Varian asas dikuasakan oleh HyperEngine V6 dengan 299 PS dan 400 Nm yang membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.28 saat dan mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.
Varian ini dilengkapi dengan bateri berkapasiti 73.6 kWj yang menawarkan jarak pandu sehingga 668 km.
Sementara itu, SU7 Max mempunyai HyperEngine V8s dengan sepasang motor elektrik yang menjana 673 PS dan 838 Nm. Ia memerlukan hanya 2.78 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j dan boleh memecut sehingga 265 km/j.
Dengan bateri 101 kWj, ia boleh dipandu sejauh 800 km dengan satu cas penuh. Oleh kerana varian ini menggunakan senibina 800 volt, ia boleh mendapatkan semula jarak pandu 220 km dalam hanya lima minit atau 390 km dalam 10 minit.
Sementara Tesla mengekalkan kedudukannya sebagai pengeluar kenderaan elektrik (EV) terbesar di dunia tahun 2023, pesaingnya BYD mencatatkan rekod baharu sebagai pengeluar kenderaan tenaga baharu di peringkat global.
Sepanjang tahun 2023, BYD berjaya mengedarkan kira-kira 3,024,417 unit kenderaan tenaga baharu, merangkumi EV, hibrid dan kenderaan berkuasa hidrogen.
Pencapaian ini sekaligus meletakkan BYD di dalam senarai 10 pengeluar kenderaan terbesar di dunia.
Daripada jumlah tersebut, 1.57 juta unit terdiri daripada kenderaan elektrik (sebagai perbandingan, Tesla menjual 1.8 juta unit), manakala 1.4 juta lagi terdiri daripada kenderaan plug-in hybrid (PHEV).
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, BYD secara konsisten merapatkan jurang yang ditinggalkan oleh Tesla.
Pada tahun 2022, angka jualan BYD kurang 400,000 unit berbanding Tesla, di mana perbezaan antara BYD dan Tesla berjaya dikurangkan lagi menjadi hampir separuh pada tahun 2023.
Malah pada suku keempat tahun 2023, BYD berjaya memintas Tesla dari segi jualan EV, memberikan petanda cabaran besar bakal menanti pengeluar EV dari Amerika Syarikat itu untuk terus menjadi peneraju pada tahun ini.
SEORANG wanita Australia mendakwa BYD Atto 3 miliknya telah membantunya menyelamatkan nyawa anaknya dalam satu kejadian banjir kilat pada Krismas lalu.
Menurut Kristy Holmes, gangguan bekalan elektrik yang diakibatkan oleh banjir itu menyebabkan mesin dialisis yang digunakan anak lelakinya Levi, 11 tahun, tidak dapat dihidupkan.
Menyedari kejadian itu boleh mengancam nyawa anaknya, Holmes menyambungkan mesin dialisis itu ke Atto 3 dan menggunakan kuasa elektrik dari bateri kereta itu untuk menghidupkan mesin tersebut.
Atto 3 dilengkapi dengan ciri Vehicle-to-Load (V2L) yang membolehkan pengguna menyambungkan perkakasan elektrik kepada kereta.
Secara ringkasnya, ia adalah ciri pengecasan dua hala yang menjadikan Atto 3 sebagai sebuah powerbank atau penjana beroda yang sangat berguna ketika melakukan aktiviti riadah atau dalam situasi kecemasan.
Bercakap kepada The Guardian, Holmes berkata anaknya mungkin berhadapan dengan situasi mengancam nyawa jika tidak kerana ciri V2L yang terdapat pada keretanya.
“Ia adalah kereta paling menakjubkan yang pernah saya miliki. Sekarang ia dah dapat selamatkan anak saya semasa ribut, saya rasa saya tak akan balik ke kereta petrol lagi,” katanya.
Selain Atto 3, satu lagi EV jenama BYD iaitu Dolphin turut didatangkan standard dengan V2L. Model-model EV lain yang mempunyai ciri ini termasuk Kia Niro EV, Kia EV6, Hyundai Ioniq 5 dan Hyundai Ioniq 6.
PORSCHE kini sedang membangunkan varian baharu Taycan yang menjanjikan tahap prestasi yang lebih tinggi berbanding varian-varian sedia ada.
Walaupun masih belum siap sepenuhnya, varian baharu yang belum dinamakan itu telah pun menunjukkan kemampuannya di dunia dengan catatan masa 7 minit 7.55 saat di Nurburgring.
Angka tersebut menunjukkan perbezaan sebanyak 26 saat berbanding rekod milik Taycan Turbo S yang dicatat pada Ogos 2022, serta tidak jauh di belakang hypercar elektrik Rimac Nevera.
Bukan itu sahaja, ia juga berjaya meleburkan rekod 7 minit 25.231 saat yang dipegang oleh Tesla Model S Plaid sejak Jun lalu.
Untuk membayangkan betapa lajunya varian baharu ini di Nurburgring, Porsche berkata ia boleh meninggalkan varian Turbo S sejauh 1.3 km di belakang.
Dipandu oleh Lars Kern, Taycan berkenaan dipasang dengan roll cage dan tempat duduk bucket bagi tujuan keselamatan.
Sebarang perincian mengenai trenkuasa tidak didedahkan, namun terdapat ura-ura mengatakan varian itu dilengkapi dengan tiga motor elektrik yang mampu menjana kuasa keseluruhan mencecah 1,000 hp.
Satu lagi motor pada gandar belakang dikatakan dapat memberikan pengurusan termal serta kawalan cengkaman yang lebih baik.
Dari segi penampilan, gambar rasmi yang disiarkan oleh Porsche menunjukkan varian itu lebih agresif dengan rekaan bampar yang berbeza, lip spoiler dan spoiler belakang. Rim yang digunakan juga tampak berbeza dengan pilihan rim sedia ada.
Menurut Porsche, video penuh pemanduan on-board akan disiarkan pada pertengahan Mac depan.
CHERY Omoda E5 sah bakal dilancarkan pada Mac 2024 depan, menawarkan satu lagi pilihan SUV kompak segmen-B dengan janaan elektrik (EV).
Omoda E5 dilengkapi dengan bateri lithium iron phosphate, yang dikatakan lebih mesra alam. Ianya mempunyai ketumpatan tenaga lebih tinggi untuk lebih penyimpanan, lantas menawarkan jarak pemanduan lebih jauh, menurut Chery.
Menurut Chery lagi, bateri lithium iron phosphate ini mampu mengurangkan kekerapan serta kos penukaran bateri.
SUV ini boleh dipandu sehingga 430km setiap cas. Dengan pengecasan pantas DC, ia boleh dicas antara 30 hingga 80 peratus dalam masa 30 minit sahaja.
Output adalah sekitar 201hp (150kW), Omoda E5 mampu memecut ke 100 dalam 7.8 saat dan Chery mendakwa SUV ini mempunyai kecekapan 15kWh per 100km.
Dari segi rupa, Omoda 5 EV tidak mendapat gril seperti versi petrol, sebaliknya ruang depannya bertutup. Ia juga didatangkan dengan rim aero untuk lebih kecekapan dari segi aerodinamik.
Ciri pemanduan Omoda E5 ini menampilkan fungsi Easy Start-Up, Creep, Pocket Brake, One Pedal Driving, dan AGS Active Air Intake System.
Chery Omoda E5 juga menyokong fungsi V2L iaitu pengecasan perkakasan luaran seperti ketuhar, gril bakar, periuk nasi, malah skuter elektrik.
Chery Malaysia mengumumkan model ini akan ditawarkan dengan tujuh pilihan warna badan dengan tiga warna dalaman.
Sementara itu, Omoda E5 ini akan digunakan sebagai Lead Car bagi Chery Eco Run yang akan diadakan di Dataran Wawasan Putrajaya pada Ahad, 7 Januari ini.
Membawakan tema “A New Journey To A New Green Life”, acara ini bertepatan dengan mesej perlindungan alam sekitar oleh Chery Omoda E5. Ia dianjurkan oleh Jom Run dan dijangka menarik lebih 3,000 penyertaan.
Yamaha dalam satu kenyataan mengumumkan penubuhan syarikat baharu Enyring yang menawarkan perkhidmatan penukaran bateri berasaskan langganan di Eropah.
Berdasarkan imej rasmi yang dibekalkan, perkhidmatan penukaran bateri Yamaha ini dilihat menggunakan unit bateri yang lebih kecil saiznya berbanding unit bateri Honda Mobile Power Pack e:.
Selain daripada menawarkan pelan langganan penukaran bateri skuter elektrik kepada pengguna, Enyring juga akan bekerjasama dengan peneraju di Eropah untuk mengitar semula bateri yang telah digunakan.
Dengan cara itu, Yamaha akan mencipta sebuah sistem gelung tertutup yang bergantung sepenuhnya kepada bahan kitar semula untuk menghasilkan produk terbaharu.
Enyring akan berpusat di Berlin, Jerman di mana operasi mereka hanya akan bermula pada separuh pertama tahun 2025.
Untuk permulaan, Enyring akan mendirikan infrastruktur penukaran bateri di dua bandar besar, iaitu Berlin dan Amsterdam.
Pemilihan dua lokasi tersebut dilihat amat bersesuaian di mana penggunaan basikal dan skuter elektrik telah pun menjadi popular di kalangan penduduk setempat.
Syarikat Big Four Jepun (Kawasaki, Suzuki, Yamaha dan Honda) serta syarikat tenaga Eneos telah membentuk Gachaco – perkhidmatan penukaran bateri skuter elektrik di pasaran Jepun.
Pada mulanya, Gachaco hanya disasarkan untuk kegunaan perniagaan dan penghantaran barangan sahaja dan hanya boleh digunakan untuk sesetengah model skuter elektrik Honda, seperti Benly e:, Gyro e:, Gyro Canopy e: dan EM1 e:.
Hanya EM1 e: sahaja satu-satunya model yang boleh dijual kepada umum di mana individu yang berminat boleh mendapatkan pelan langganan penukaran bateri yang ditawarkan oleh Gachaco.
Dengan mengubah status bateri sebagai sebuah perkhidmatan dan mengecualikannya daripada harga jualan, pelanggan Honda boleh mendapatkan skuter EM1 e: tersebut pada harga yang lebih rendah, sekitar 97,200 yen (RM3,167).
Apa yang mereka perlu buat adalah dengan melanggan perkhidmatan penukaran bateri Gachaco bergantung kepada penggunaan semasa.
Seperti contoh, pelan aras mula hanyalah sekitar 1,078 yen/bulan (RM35/bulan), sementara pelan standard berharga 2,805 yen/bulan (RM91.39/bulan).
Gachaco juga turut menawarkan opsyen pembayaran untuk setiap penggunaan (pay-per-use) dengan kos 180 yen untuk setiap kWh (RM5.86/kWh).
Buat masa ini, perkhidmatan penukaran bateri Gachaco yang menggunakan unit bateri Honda Mobile Power Pack e: itu hanya boleh didapati di Jepun sahaja.
Setelah sekian lama Tesla memegang gelaran sebagai pengeluar EV terbesar dunia, keadaan tersebut mungkin akan berubah sedikit masa lagi.
Ini kerana menurut laporan Bloomberg, syarikat China BYD dijangka akan memintas Tesla dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Berbanding Tesla, BYD mempunyai kelebihan dari segi penawaran model yang lebih inovatif pada harga yang lebih mampu milik, membolehkan mereka menjual kenderaan dalam volum yang lebih tinggi.
Di China sendiri, BYD kekal mendominasi carta jualan kenderaan tenaga baharu untuk tempoh 18-24 Disember 2023 dengan mengalahkan Tesla di tempat kedua.
Sepanjang tempoh tersebut, BYD telah mendaftarkan sebanyak 63,900 unit kenderaan, peningkatan sebanyak 23.6 peratus berbanding minggu terdahulu, diikuti Tesla (18,500 unit EV) dengan peningkatan sebanyak 1.09 peratus.
Untuk tempoh antara 1 hingga 24 Disember, BYD telah berjaya menjual sebanyak 180,000 unit EV di China, sementara Tesla pula mencatatkan jumlah jualan sebanyak 60,200 unit EV untuk tempoh yang sama.
Disebabkan saiz pasaran China yang agak besar, tidak menghairankan apabila wujudnya pelbagai syarikat kerjasama antara nama-nama besar seperti Geely-Baidu, serta beberapa pengeluar peranti pintar terkemuka, seperti Huawei.
Syarikat kerjasama Huawei-Seres baharu sahaja melancarkan SUV flagship enam tempat duduk Aito M9 yang menampilkan teknologi Huawei yang terkini.
Ia membawakan ukuran yang lebih besar berbanding BMW X7, dengan dimensi sepanjang 5,230 mm, lebar 1,999 mm, tinggi 1,800 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,110 mm, selain angka pekali seretan serendah 0.264 Cd sahaja!
Terdapat dua pilihan trenkuasa ditawarkan untuk M9.
Versi elektrik penuh menampilkan dua motor elektrik berkuasa 523 hp, dan pek bateri CATL 97.7 kWh yang menawarkan jarak gerak sejauh 630 km untuk sekali cas penuh.
Sementara versi range extender pula mempunyai nadi 1.5 liter turbo yang bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk dua motor elektrik 490 hp dan pek bateri CATL dengan pilihan kapasiti 42 atau 52 kWh.
Tetapan range extender itu membolehkan M9 bergerak sejauh 1,362 hingga 1,402 km untuk gandingan bateri cas penuh dan tangki bahan api penuh.
Ciri unik yang wujud pada model M9 ini ialah projektor terbina pada bahagian hadapan yang dapat mengubah mana-mana permukaan rata menjadi paparan sebesar 100 inci, diikuti projektor laser pada ruang kabin dengan panel sebesar 32 inci yang boleh disimpan.
Papan pemuka M9 menjadi perumah kepada tiga skrin, terdiri daripada skrin kluster digital 12.3 inci, skrin tengah 15.6 inci dan skrin depan penumpang bersaiz 16 inci, diikuti dengan skrin paparan head-up 75 inci dan sistem audio 2,080 watt dengan 25 pembesar suara serta teknologi pengurangan bunyi aktif.
Terdapat empat lagi tambahan tablet paparan untuk penumpang baris belakang, di mana kesemuanya dijalankan dengan sistem operasi HarmonyOS 4 Huawei.
Kesemua enam tempat duduk dalam ruang kabin M9 mempunyai larasan berkuasa elektrik sehingga 14 tahap, fungsi pemanasan dan pengudaraan, serta boleh dikonfigurasikan mengikut keperluan.
Dari segi keselamatan, Aito M9 dilengkapi dengan sistem Huawei ADS 2.0 dan 27 unit penderia.
Di pasaran China, Aito M9 sudah boleh ditempah pada harga bermula dari 469,800 yuan hingga 569,800 yuan (RM304,481-RM369,292).
Geely nampaknya sangat serius untuk bersaing dengan Tesla di pasaran China.
Selepas pengenalan model Jiyue 01 sebagai pesaing terus kepada Tesla Model Y, pasaran China kini menerima kehadiran model baharu Jiyue 07, sebuah sedan fastback berkuasa elektrik yang bakal memberikan cabaran kepada Tesla Model 3.
Jiyue 07 berkongsi platform Sustainable Experience Architecture (SEA) yang sama digunakan pada Volvo EX90, EX30, Polestar 4, dan kebanyakan model Zeekr.
Secara standard, varian asas 07 dilengkapi dengan motor elektrik 268 hp dan pel bateri 71.4 kWh, sementara versi pacuan semua roda pula hadir dengan motor elektrik berkembar 536 hp dan pek bateri 100 kWh.
Rekaan luaran 07 ini banyak berkongsi dengan SUV 01 yang telah diperlihatkan sebelum ini, di mana ia mendapat sepasang lampu utama yang agresif, bar LED melengkung, diikuti unit lampu belakang yang hampir sama.
Berdasarkan imej teaser yang dibekalkan sebelum ini, ruang kabin 07 pula menampilkan susun atur yang minimalis, bermula dengan skrin tunggal yang memanjang, diikuti dengan rekaan roda stereng jenis yoke.
Bermacam jenis barangan sukan dan aktiviti riadah anda boleh dapatkan di kedai tersebut, dengan harga jualan yang lebih mampu milik.
Jangan tak tahu, Decathlon juga kini mula menawarkan produk berbentuk basikal berkuasa elektrik menerusi jenama Van Rysel.
Basikal yang digelar sebagai Van Rysel E-EDR AF Apex ini merupakan percubaan pertama Decathlon di dalam segmen basikal jalanan elektrik ultra-ringan di mana ia menggunakan kerangka aluminium dengan berat sekitar 14 kg sahaja.
Bukan itu sahaja, selain daripada aluminium basikal ini menggunakan komponen fork hadapan yang diperbuat daripada bahan karbon, bertujuan untuk memberikan pengendalian yang lebih lincah.
Ia menggunakan motor elektrik Mahle X35 berkuasa 250W (0.34 hp) dan daya kilas 250 Nm dengan tiga tetapan bantuan, diikuti dengan sistem gear Sram APEX 12 nisbah kelajuan, dibantu dengan sistem brek hidraulik Sram APEX.
Pek bateri 250Wh 36 voltan itu membenarkan jarak sejauh 160 km untuk sekali cas penuh.
Menurut Decathlon, e-bike baharu ini telah menjalani ujian menyeluruh dalam dunia sebenar untuk tempoh enam bulan.
Decathlon meletakkan tanda harga jualan Van Rysel E-EDR AF Apex ini bermula dari 2,800 euro (RM14,318).
Penerbitan Sweden, Teknikens Värld melaporkan Volvo kini sudah pun memulakan pra-produksi sedan elektrik pertama mereka.
Ini adalah berdasarkan gambar rahsia yang berjaya diperoleh dari kilang Cixi, Wilayah Zhejiang berserta memo dalaman yang turut merangkumi spesifikasi awalan sedan elektrik tersebut.
EV dengan kod nama dalaman V551 itu bakal menggunakan nama rasmi ES90, selain berkongsi platform SPA2 yang sama dengan model SUV EX90.
Volvo ES90 itu membawakan ukuran sepanjang 4,990 mm, lebar 1,945 mm, tinggi 1,547 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,102 mm.
Ini menjadikan Volvo ES90 bersaing secara terus dengan sedan elektrik di dalam segmennya seperti BMW i5, Mercedes-Benz EQE dan Audi A6 e-tron.
Selain itu, sedan elektrik itu juga mempunyai berat sekitar 2,600 kg untuk versi dua motor elektrik AWD, dan 2,500 kg untuk versi motor elektrik tunggal pacuan roda belakang (RWD).
Pek bateri besar berkapasiti 111 kWh pula menawarkan jarak gerak sejauh 600 km untuk versi motor elektrik tunggal.
Menurut laporan itu lagi, produksi bersiri sedan elektrik tersebut akan bermula pada Mei 2024.
Ketua unit rekaan Volkswagen dalam satu hantaran di laman Instagram mendedahkan pengeluar automotif itu akan melancarkan sebuah hot hatch berkuasa elektrik pada tahun 2026.
Andreas Mindt turut berkongsi di laman media sosialnya lakaran sebuah Golf GTI yang asal sekali dengan lakaran model konsep ID. GTI yang telah pun diperlihatkan secara rasmi beberapa bulan lepas.
Lakaran tersebut mencadangkan VW akan menggunakan nama ‘Golf’ untuk model produksi ID. GTI.
Volkswagen Golf GTI pertama kali muncul pada acara Frankfurt Motor Show 1975 dengan angka produksi sebanyak 5,000 unit sahaja.
Sehingga kini, Volkswagen telah menjual lebih daripada 2.8 juta unit Golf GTI.
Beberapa bulan lepas, Volkswagen telah mendedahkan model konsep ID. GTI, gambaran kepada model hot hatch berkuasa elektrik yang bakal dilancarkan kelak.
Ia membawakan rupa luaran yang lebih sporti, rim yang diinspirasikan daripada GTI Mk1, perumah lampu yang sengaja digelapkan, trim merah, serta rekaan kokpit yang retro moden.
SELEPAS 11 hari dan 3,197km, konvoi Hyundai Ioniq 5 akhirnya berjaya menamatkan jelajah sifar emisi mereka di rantau ASEAN.
Mereka memulakan perjalanan di Singapura, kemudian melalui Malaysia, Thailand, Kemboja, dan tamat di Ho Chi Minh City, Vietnam pada 30 November 2023.
Ekspedisi ini menjadi jelajah kereta elektrik (EV) dengan paling banyak negara dilalui dalam ASEAN. Malah jarak keseluruhan 3,197km itu juga adalah tambahan 446km dari perkiraan asal.
Jelajah ini bertujuan mempamerkan kebolehan Ioniq 5 untuk perjalanan jarak jauh dan sifat mesra alamnya, terutamanya di rantau EV yang masih ragu-ragu dengan kemampuan EV.
Sebagai tambahan, Hyundai Ioniq 5 juga menunjukkan penjimatan kos, dengan hanya USD116 (RM537.60) setiap untuk keseluruhan perjalanan. Ini secara purata adalah dua kali lebih jimat berbanding perbelanjaan petrol kereta ICE biasa.
Youngtack Lee, Presiden Hyundai Motor ASEAN berkata: “Dedikasi kami dalam menjadikan EV lebih mudah diakses sebagai solusi kenderaan bersih telah berjaya membuat anjakan ke hadapan.
“Dengan kejayaan jelajah Ioniq 5 ini, kami teruja untuk menggiatkan lagi inovasi kami dalam mengembangkan infrastruktur dan ekosistem EV di rantau ini.
“Jelajah ini mungkin telah berakhir, tetapi keterujaan elektrifikasi baru sahaja bermula,” tambahnya.
Konvoi Hyundai Ioniq 5 ini terdiri dari lima kereta, dua daripadanya dikeluarkan di Indonesia dan tiga lagi di Singapura.
Kerajaan Kanada mengumumkan pelaksanaan undang-undang Electric Vehicle Availability Standard pada minggu ini, di mana ia turut merangkumi langkah untuk mengharamkan penjualan kenderaan baharu yang menghasilkan emisi pada tahun 2035.
Pendek kata, negara itu mahu semua kereta baharu terdiri daripada kenderaan sifar emisi, termasuklah EV dan kereta hidrogen.
Pelaksanaan peraturan baharu itu juga tidaklah terus mengharamkan penjualan kenderaan yang dilengkapi enjin pembakaran dalaman.
Selain daripada kenderaan sifar emisi yang disebutkan tadi, kenderaan plug-in hybrid (PHEV) juga boleh dikategorikan dalam kumpulan yang sama selagi ia dilengkapi dengan mod pemanduan EV untuk jarak minimum yang telah ditetapkan.
Kanada menyasarkan tahun 2026 di mana 20 peratus daripada kereta baharu mestilah terdiri daripada kenderaan sifar emisi (ZEV), di mana sasaran itu akan meningkat kepada 60 peratus pada tahun 2030.
Golongan ‘purist’ berkemungkinan besar tidak akan menggemari idea restomod kereta-kereta klasik menjadi sebuah kereta elektrik.
Namun, itu semua tidak menghalang syarikat Everrati untuk menjalankan projek mereka yang seterusnya, sebuah Porsche 911 yang kelima berkuasa elektrik.
Lebih menarik lagi, ia bukanlah sebuah 911 yang biasa-biasa, sebaliknya Everrati telah mengubah salah satu daripada 51 buah Porsche 911 (964) RSR 3.8 menjadi sebuah EV!
Kereta sports berwarna kuning ini didatangkan lengkap dengan badan gentian karbon yang lebar, rim HRE three-piece 18 inci, penggunaan bahan kulit Bridge of Weir, serta sangkar keselamatan untuk melindungi penumpang.
Enjin asal ICE RSR ini telah pun dibuang jauh-jauh, dan digantikan dengan motor elektrik dengan pecutan 0-96 km/j dalam masa 3.7 saat.
Pek bateri 63 kWh pula membolehkan 911 RSR ini bergerak sejauh 322 km selain menyokong pengecasan AC dan DC.
Jika anda salah seorang daripada pemilik 911 yang ‘rare’, mahukah anda korbankan kereta tersebut menjadi sebuah jentera yang lebih mesra alam?
SMART Malaysia meraikan pencapaian dengan pengedaran sebanyak 100 unit kenderaan elektrik (EV) smart #1 dalam tempoh satu bulan, baru-baru ini.
Pencapaian ini didorong oleh kerjasama 10 cawangan pengedar smart #1 yang terletak di lokasi strategik, memastikan majoriti pembeli menerima kereta mereka dalam masa yang singkat.
smart Malaysia memanfaatkan pakar jualan terlatih dan berdedikasi dalam mengendalikan setiap aspek dan butiran termasuk penyelarasan proses penghantaran kereta.
Kemudahan aplikasi digital juga membantu pencapaian ini, menjadikan proses pembelian kenderaan menjadi cepat dan efisien —dari tempahan hinggalah permohonan pinjaman.
smart turut mengumumkan bahawa mereka telah menyediakan stok kenderaan yang tersedia jauh lebih awal sebelum pelancaran rasmi smart #1.
Menurut smart dalam kenyataan media, “Pengedaran 100 unit EV yang menembusi catatan rekod pengedaran paling singkat ini amat menggembirakan kami.
“Ia membuktikan kereta kami diterima oleh segmen pembeli yang menitikberatkan gaya dan keperibadian.
“Mereka tidak hanya mencari mobiliti; mereka menghargai gabungan teknologi, keselamatan, dan ketersambungan yang ditawarkan oleh smart #1 kami.
Sementara itu, Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia berkata: “Kami gembira melihat pelanggan kami menemui kualiti ini di dalam kereta kami.”
smart #1 ditawarkan pada harga bermula RM189,000 hingga RM249,000.
Berikut adalah harga dan spesifikasi ringkas smart #1:
Pro dan Premium
RM189,000 untuk Pro, RM219,000 untuk Premium
Motor tunggal di belakang
Output 272hp, 343Nm
Jarak pemanduan 440km
0-100km/j dalam 6.7 saat
Kelajuan maksima 180km/j
Pengecasan AC 7.2kW: 6 jam untuk 10 hingga 80 peratus, 22kW dalam 3 jam
Pengecasan DC hingga 150kW: 22 minit (Pro) dan 29 minit (Premium)
Selain daripada menawarkan harga jualan yang lebih rendah berbanding pesaing, salah satu strategi yang turut digunakan oleh kebanyakan pengeluar automotif China ialah dengan memperkenalkan jenama baharu untuk menarik perhatian pembeli baharu.
Nio seperti contoh dilapor akan melancarkan sub-jenama Firefly (bukan syarikat penerbangan) di Eropah pada tahun 2025.
Berdasarkan beberapa laporan terdahulu, syarikat baharu Firefly ini akan melancarkan kenderaan dengan julat harga antara 100,000 yuan hingga 200,000 yuan (RM65k-RM131k).
Tidak terhenti setakat Firefly, Nio juga mahu memperkenalkan sebuah lagi sub-jenama Alps dengan model kenderaan berharga antara 200,000 yuan hingga 300,000 yuan (RM131k-RM197k).
Laporan Reuters menyebut, presiden Nio Lihong Qin mengesahkan jenama Firefly itu akan mendarat di Eropah pada tahun 2025.
Jenama Nio telah pun bertapak di beberapa buah negara di Eropah, dengan julat harga jualan bermula antara €50,000 hingga €91,000 (RM256k-RM465k).
Harga jualan yang agak mahal menjadikan Nio sukar untuk menjual model kenderaan mereka dalam unit yang besar.
Namun, dengan pelancaran jenama baharu Alps dan Firefly dijangka mampu mengubah keadaan tersebut pada masa akan datang.
Berita baik buat para peminat jenama Alfa Romeo, di mana pengeluar itu dijangka akan mengekalkan penawaran bentuk badan sedan klasik bagi model Giulia yang dijangka muncul tahun 2026.
Giulia EV merupakan satu daripada dua kereta segmen D Alfa Romeo yang bakal dilancarkan kelak, sebuah lagi merupakan pengganti kepada Stelvio.
Bercakap kepada Autocar sewaktu acara pratonton crossover baharu Milano, CEO-nya Jean Philippe Imparato menegaskan pengganti Giulia akan tetap mengekalkan bentuk sedan tradisional, biarpun mengetahui segmen tersebut semakin mengecil.
Beliau berkata, “bentuk badan (sedan) akan membuat kemunculan semula. Saya tidak mahu Alfa Romeo menjadi sebuah jenama SUV.”
Giulia EV juga berkemungkinan besar akan membawakan profil yang menggandingkan elemen sedan dan wagon, sama seperti model shooting brake Genesis G70 dan Mercedes CLA.
“Saya tidak mahu berputus asa dalam pasaran sedan. Ia adalah DNA Alfa untuk mempunyai sebuah sedan sporti. Namun saya juga mengakui terdapat cadangan untuk menghasilkan Giulia versi station wagon (estate).”
Alfa Romeo juga turut memberikan bayangan kemunculan semula model ikonik GTV dan Duetto dalam era EV.
“Langkah seterusnya yang sedang kami lakukan ialah: apakah jawapan untuk model GTV, dan apakah jawapan untuk model Duetto? Namun ia belum muktamad, dan saya tidak mahu mengulas tentangnya.