Mforce Bike Holdings mengumumkan inisiatif Mforce.Cas bagi menggalakkan penggunaan motosikal elektrik di kalangan rakyat Malaysia.
Program tersebut menawarkan rebat sehingga RM2,400 sebagai alternatif untuk menghadapi ketidaktentuan harga bahan api yang dihadapi pada ketika ini.
Tempoh terhad
Program Mforce.Cas ini akan berlangsung bermula 1 April 2026 hingga 30 Jun 2026.
Menerusi program ini, pengguna boleh menikmati rebat bagi pembelian motosikal elektrik daripada jenama-jenama seperti EZI, Zeeho, Yadea dan QJMotor.
Kesemua motor elektrik yang ditawarkan di bawah program ini mempunyai sijil Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Malaysia.
Permohonan dalam talian
Rakyat Malaysia yang berminat boleh memohon menerusi portal rasmi dalam talian https://mforcecas.my.
Pendaftaran adalah percuma sepenuhnya dan proses kelulusan akan dibuat dalam tempoh 24 jam sahaja.
UMW Toyota Motor (UMWT) melancarkan model SUV segmen B berkuasa elektrik Urban Cruiser 2026 untuk pasaran Malaysia.
Unit import sepenuhnya (CBU) dari India ini ditawarkan pada harga RM198,000.
Urban Cruiser hadir dengan jaminan kenderaan selama 5-tahun tanpa had perbatuan.
Sementara komponen bateri dan pacuan elektrik pula dilindungi jaminan 8-tahun tanpa had perbatuan.
Spesifikasi Urban Cruiser EV
SUV ini dipacu oleh motor elektrik tunggal yang mampu menjana 174 PS dan 193 Nm.
Empat mod pemanduan disediakan iaitu Eco, Normal, Snow dan Sport, serta pemanduan pedal tunggal.
Pek bateri lithium-ion phosphate 61.1 kWh mampu menawarkan jarak pandu sejauh 426 km (data WLTP).
Urban Cruiser menyokong pengecasan AC 7 kW dengan tempoh pengecasan 9.5 jam dari 15-100 peratus, serta pengecasan DC sepantas 50 minit (15-80 peratus).
Terdapat mod pengecasan ‘My Room’ membolehkan pemandu menikmati pendingin hawa dan sistem audio dengan selesa dalam kabin.
Luaran
SUV segmen B ini membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,285 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,635 mm dan jarak antara roda 2,700 mm.
Walaupun jarak antara roda yang panjang, SUV ini boleh mencapai radius putaran sekecil 5.2 meter.
Suspensi terdiri daripada topang MacPherson di depan dan tetapan multi-link di belakang.
Muka depan menampilkan rekaan ikan yu kepala tukul yang sinonim dengan rekaan semasa Toyota.
Antara ciri luaran lain termasuklah lampu utama bi-LED, lampu belakang LED, lampu DRL serta rim aloi 18 inci.
Empat warna pilihan tersedia iaitu Pearl Arctic White, Pearl Bluish Black, Grandeur Grey dan Land Breeze Green.
Kabin
Ruang kabin Urban Cruiser membawakan kombinasi warna perang dan hitam, diikuti trim perak gelap, piano black dan satin metalik.
Antara ciri yang tersedia:
skrin kluster digital 10.25 inci
skrin infohibur 10.1 inci
sokongan Apple CarPlay/Android Auto
sistem audio premium JBL
pad pengecasan peranti pintar tanpa wayar
slot pengecasan USB Type-A & Type-C
sistem pencahayaan ambien
bumbung kaca panorama
Ruang kargo adalah sebesar 238 liter dan boleh mencapai kapasiti sebesar 562 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Ruang sebesar 807 mm antara tempat duduk depan dan belakang boleh mencapai sehingga 967 mm, terima kasih kepada tempat duduk baris belakang yang boleh dilaraskan kedudukannya.
Keselamatan
Toyota Urban Cruiser hadir dengan kelengkapan keselamatan termaju yang dibantu oleh sistem kamera monokular, penderia keliling dan radar.
UMW Toyota Motor (UMWT) baru sahaja melancarkan model trak pikap elektrik Toyota Hilux BEV 2026 untuk pasaran tempatan.
Unit yang dipasang di kilang Thailand (CBU) ini dijual pada harga dari RM226,300.
Ia hadir dengan jaminan 5-tahun dengan had perbatuan sehingga 150,000 km dan jaminan bateri 8-tahun yang boleh dilanjutkan untuk tahun ke-9 dan 10.
Prestasi Hilux BEV
Trak pikap elektrik ini dikuasakan oleh motor elektrik berkembar, masing-masing menghasilkan 206 Nm didepan dan 267 Nm di belakang.
Secara keseluruhan, ia mampu menjana kuasa setinggi 196 PS dan 343 Nm.
Pek bateri lithium-ion 59.2 kWh mampu menawarkan jarak pandu sejauh 315 km (data NEDC) untuk sekali cas penuh.
Hilux BEV ini menyokong pengecasan AC 10 kW dengan tempoh masa pengecasan 10-100 peratus dalam masa 6.5 jam.
Dengan pengecasan pantas DC 150 kW, tempoh masa tersebut dipendekkan kepada 30 minit (10-80 peratus).
Luaran
Hilux BEV membawakan ukuran dimensi sepanjang 5,320 mm, lebar 1,855 mm, tinggi 1,865 mm dan jarak antara roda sepanjang 3,085 mm.
Tema ‘Cyber Sumo’ diterapkan pada rupa Hilux baharu ini, dengan rupa depan menampilkan struktur jeriji tertutup, diikuti dengan rim aloi 17 inci yang unik.
Selain itu, terdapat juga sistem pencahayaan LED yang merangkumi unit projektor, serta lampu nyalaan siang (DRL) yang mempunyai ciri iluminasi sekunder.
Kabin
Kokpit Hilux BEV membawakan ciri berikut:
sistem stereng kuasa elektrik (EPS)
kemasan kombinasi upholsteri kulit dan trim sentuh lembut
tempat duduk pemandu larasan 10-tahap
tempat duduk penumpang depan larasan manual 6-tahap
skrin kluster digital 12.3 inci
skrin infohibur 12.3 inci
sokongan Apple CarPlay & Android Auto
port pengecasan USB Type-C (X2)
Keupayaan
Hilux BEV mempunyai had muatan 750 kg, berbeza dengan keupayaan Hilux diesel yang mampu membawa muatan sehingga 1,000 kg.
Menurut Toyota, keupayaan tersebut memberikan keseimbangan yang optimum antara jarak pandu, kuasa dan kegunaan.
Sudut pendekatan dan pelepasan Hilux BEV adalah mirip kepada model Hilux standard, dan mampu meredah air sedalam 700 mm.
Aspek pemanduan turut ditambah baik dengan penambahan struktur crossmember, serta tetapan suspensi belakang jenis de Dion.
Selain itu, Hilux BEV turut mendapat tetapan Multi-Terrain Select (MTS) dengan lima mod tersedia untuk senario pemanduan berbeza.
Pemandu boleh memilih tetapan seperti Rock, Sand, Mud, Dirt dan mod Mogul yang khusus untuk laluan beralun.
Keselamatan
Trak pikap ini didatangkan standard dengan kelengkapan Toyota Safety Sense (TSS), merangkumi fungsi berikut:
Kawalan Jelajah Radar Dinamik (DRCC)
Bantuan Pengesanan Lorong (LTA)
Pemantauan Titik Buta (BSM)
Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
Bantuan Suluhan Tinggi (AHB)
Hilux elektrik ini juga turut dilengkapi sistem pemantauan keliling (PVM) yang amat berguna ketika di kawasan parkir.
Jenama premium BYD, iaitu Denza bakal memeriahkan acara Goodwood Festival of Speed pada tahun ini dengan sebuah model flagship baharu.
Model tersebut sebelum ini diperlihatkan dengan nama Z Concept pada Shanghai Auto Show tahun lepas.
Versi produksi warna jingga terang
Denza turut mendedahkan imej awal versi produksi warna jingga terang yang berselindung di sebalik Stella Li (Naib Presiden Eksekutif BYD) dan Daniel Craig (pelakon watak James Bond).
Berdasarkan gambar tersebut, ia masih lagi mengekalkan reka bentuk seperti model konsep asal.
Antara ciri yang boleh dilihat termasuklah:
lampu utama bentuk berlian yang tajam
bampar hadapan agresif
rim dua tona
Apa yang tidak disertakan pada model versi produksi itu ialah splitter hadapan dan spoiler belakang yang besar.
Spesifikasi asas masih rahsia
Denza masih belum mengesahkan spesifikasi penuh unit rangkaian kuasa yang bakal menggerakkan model Z ini.
Namun, besar kemungkinan ia akan menggunakan sistem yang sama seperti model Z9 GT, terdiri daripada tiga motor elektrik, kuasa melebihi 952 hp dan bateri Blade 100 kWh.
Angka tersebut ternyata mudah untuk membuatkan Porsche 911 mengeluarkan peluh sejuk.
Ia juga dijangka menampilkan teknologi canggih seperti:
suspensi magnetorheological
sistem stereng steer-by-wire
keupayaan crab-walk
Bekas ejen rahsia bantu promosi Denza Z
BYD turut menjalinkan kerjasama dengan pelakon terkenal Daniel Craig untuk kempen global Denza.
Ia bertujuan untuk mengukuhkan kehadiran jenama itu di Eropah, Amerika Latin, Timur Tengah dan Afrika.
Belum pun sempat dilancarkan secara rasmi, jenama Afeela milik Sony Honda Mobility (SHM) akhirnya berkubur terlebih dahulu.
Dalam kenyataan rasmi, SHM mejelaskan mereka akan meneruskan perbincangan dengan pihak Sony dan Honda berkenaan hala tuju dan masa depan syarikat.
Mengikut perancangan awal, syarikat kerjasama Honda dan Sony itu bakal melancarkan sebuah sedan elektrik Afeela 1 pada hujung tahun ini.
Sebuah lagi model SUV bakal diperkenalkan pada tahun 2028.
Punca utama: Rombakan strategi EV Honda
Antara sebab utama kenapa projek ini terhenti berkait rapat dengan rombakan besar strategi Honda yang diumumkan awal bulan ini.
Bagi mengelakkan kerugian bernilai 2.5 trilion yen (RM62 bilion), Honda dilapor membatalkan beberapa program EV penting termasuklah:
0 Saloon
0 SUV
Acura RSX
Tanpa sokongan perkakasan, platform dan aset teknikal, SHM mengakui mereka tidak lagi mempunyai laluan realistik untuk membawa model tersebut ke pasaran seperti yang dirancang.
Lebih mengejutkan, pengumuman ini hadir tidak lama selepas SHM Amerika merasmikan Afeela Studio dan hab pengedaran di Torrance, California pada 16 Mac lepas.
Dengan pembatalan ini, pelanggan yang telah membuat tempahan Afeela 1 akan menerima bayaran balik penuh.
Vision-S 01 sebagai titik mula
Sony mengejutkan dunia dengan pengenalan model Vision-S 01 pada CES 2020, diikuti Vision-S 02 dua tahun berikutnya.
Kerjasama antara Honda dan Sony (Sony Honda Mobility) pula ditubuhkan pada tahun 2022.
Jenama Afeela diumumkan secara rasmi pada tahun 2023, diikuti pengenalan model produksi sebenar Afeela 1 pada tahun 2025 dengan sasaran harga US$89,900 (RM356 ribu).
Afeela 1 dikuasakan oleh dua motor elektrik (483 hp) yang dipadankan dengan pek bateri lithium-ion 91 kWh dan keupayaan pengecasan pantas DC 150 kW.
Untuk sekali cas penuh, sedan elektrik ini boleh bergerak sejauh 480 km.
Penamat buat jenama Afeela?
Usah risau, sedan ini sebenarnya masih lagi boleh dipandu ‘secara halal’ menerusi platform Gran Turismo 7.
Menerusi kerjasama antara SHM dan Polyphony Digital, Afeela 1 telah ditambah secara rasmi ke dalam GT7 pada April tahun lepas.
Pihak Polyphony Digital turut menghasilkan bunyi e-motor, diikuti audio khas yang dapat memberikan perasaan kelajuan, brek dan daya selekoh untuk Afeela 1.
MINI Malaysia mengumumkan ketibaan model MINI Paul Smith Edition yang ditawarkan dalam unit terhad.
Model MINI Cooper SE edisi istimewa ini memfokuskan kepada bahasa rekaan ikonik “Icon with a Twist” daripada pereka fesyen Paul Smith.
Kolaborasi MINI x Paul Smith sejak 1998
Kerjasama kreatif antara MINI dan Paul Smith telah terbina sejak berdekad lamanya, bermula dengan model klasik pada tahun 1998.
Buat pertama kalinya, kerjasama ikonik ini tersedia untuk skala produksi yang lebih besar yang menggabungkan penggayaan Britain dengan keseronokan pemanduan elektrik.
Ciri unik
Antara ciri-ciri unik yang ada pada bahagian luar model ini termasuklah:
aksen Nottingham Green pada cermin sisi, jeriji radiator dan penutup hab roda
bumbung warna Nottingham Green
jalur istimewa Paul Smith
rim aloi 18 inci dengan logo Paul Smith
emblem MINI warna Black Blue
perkataan Paul Smith warna Anthracite Grey pada pintu tailgate
Terdapat juga lampu lopak yang memaparkan ‘hello’ tulisan tangan Paul Smith untuk menyambut ketibaan pemandu dan penumpang.
Ruang kabin MINI Paul Smith Edition pula diserikan dengan perincian berikut:
mesej “Every day is a new beginning” tulisan tangan pada pelapik ambang pintu
tempat duduk JCW Sports balutan upholsteri Vescin warna Nightshade Blue
kemasan rajutan Shadow Stripe dengan logo Paul Smith
upholsteri Shadow Stripe pada papan pemuka
hiasan jalur kulit hitam dengan jahitan biru pada bahagian penumpang
tiga gambar latar eksklusif rekaan Paul Smith pada skrin infohibur
Prestasi
MINI Paul Smith Edition mampu menghasilkan kuasa 218 hp dan 330 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 6.7 saat.
Kelajuan maksimum pula sekitar 170 km/j.
Pek bateri 54.2 kWh menawarkan jarak pandu antara 387 km hingga 402 km.
Dengan keupayaan pengecasan DC sehingga 95 kW, bateri boleh dicas dari 10-80 peratus dalam tempoh masa kurang 30 minit.
Warna
Terdapat dua warna istimewa ditawarkan iaitu Inspired White dan Statement Grey.
Warna Inspired White merupakan tafsiran moden kepada salah satu warna ikonik MINI Classic Pepper White sejak awal penubuhannya.
Sementara Statement Grey pula memberikan penghormatan kepada warna MINI Austin Seven dari tahun 1959.
Harga
MINI Paul Smith Edition dijual pada harga RM222,222 atas jalan tanpa insurans, atau RM228,522 dengan pakej MINI Service & Repair.
Dengan pakej pembiayaan Easy Drive, MINI Paul Smith Edition boleh dimiliki pada harga bulanan serendah RM2,367 berdasarkan pinjaman 75 peratus untuk tempoh lima tahun.
BYD Malaysia mengumumkan pelantikan Jacob Ma sebagai Pengarah Urusan baharu yang akan mengawasi kedua-dua jenama BYD dan Denza.
Beliau menggantikan Eagle Zhao yang akan menggalas jawatan Presiden Pengarah PT BYD Motor Indonesia.
Legasi kukuh Eagle Zhao
Eagle Zhao meninggalkan legasi kukuh selepas memacu pertumbuhan pesat BYD dan DENZA di Malaysia.
Sepanjang tempoh beliau menerajui operasi tempatan, lebih 30,000 unit berjaya diserahkan kepada pelanggan, selain memperluaskan rangkaian pengedar, meningkatkan keupayaan selepas jualan dan mempercepatkan penerimaan kenderaan tenaga baharu di negara ini.
Usaha tersebut menjadikan BYD antara jenama EV yang berkembang paling pantas di Malaysia.
Eagle menyifatkan Malaysia sebagai “bab yang amat bermakna” dalam perjalanan kerjayanya dan yakin momentum yang dibina akan terus mengukuhkan kedua-dua jenama.
Jacob Ma bawa pengalaman antarabangsa
Mengisi kekosongan tersebut, Jacob Ma membawa pengalaman antarabangsa dari ibu pejabat BYD di Shenzhen.
Beliau sebelum ini mengetuai Unit Latihan BYD selama lima tahun dan kemudian berkhidmat sebagai Naib Presiden PT BYD Motor Indonesia selama dua tahun.
Jacob mempunyai latar belakang dalam pembangunan bakat, penyelarasan organisasi serta pengalaman awal dalam industri penerbangan, termasuk projek pemindahan teknologi.
Kepakaran ini dijangka membantu BYD Malaysia memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.
Jacob menegaskan komitmen BYD untuk terus memperkenalkan produk inovatif, meningkatkan pengalaman pelanggan dan memastikan pertumbuhan mampan bagi BYD dan DENZA di Malaysia.
Fokus kepimpinan baharu
Sebagai Pengarah Urusan, Jacob akan mengetuai strategi menyeluruh merangkumi:
Jualan dan pemasaran
Pembangunan rangkaian pengedar
Operasi selepas jualan
Pengukuhan pembezaan jenama BYD dan DENZA
Pengembangan portfolio produk untuk kekal kompetitif
Lotus Cars Malaysia mengumumkan ketibaan model EV Lotus Eletre dan Emeya yang telah dikemas kini untuk pasaran tempatan.
Harga jualan adalah seperti berikut:
Lotus Emeya 600 2026 – RM489,000
Lotus Eletre 600 2026 – RM499,000
Naik taraf spesifikasi
Kedua-dua model itu tadi mendapat naik taraf kelengkapan, seperti:
Active Rear Spoiler
tempat duduk balutan kulit Nappa
tali pinggang keledar tiga-warna gelap
sistem pencahayaan ambien
Selain itu, terdapat juga pilihan naik taraf rim saiz besar (21 inci untuk Emeya atau 22 inci untuk Eletre), tayar Pirelli P Zero dan angkup brek 6-omboh.
Kelengkapan standard lain masih lagi dikekalkan seperti:
sistem suspensi udara adaptif dengan Continuous Damping Control (CDC)
sistem audio premium KEF
kawalan iklim empat-zon
skrin paparan head-up 29 inci
lampu matriks LED
Terdapat pelbagai pilihan warna tersedia seperti Zenith White, Kaimu Grey dan Stellar Black, serta warna istimewa seperti:
Galloway Green
Boreal Grey
Fireglow Orange
Solar Yellow
Prestasi
Lotus Eletre dan Emeya varian 600 ini dikuasakan oleh sistem motor elektrik berkembar dan pacuan semua roda (AWD).
Dengan hamburan kuasa 610 hp dan 710 Nm, Lotus Emeya 600 boleh memecut sepantas 4.15 saat dari 0-100 km/j.
Sementara Eletre 600 pula mengambil masa 4.5 saat.
Kedua-dua model ini dilengkapi pek bateri 102 kWh, dengan jarak pandu sejauh 580 km (Emeya cecah 610 km) untuk sekali cas penuh.
Lebih 300 EV Lotus atas jalan raya
Menurut Reza Mutalib selaku Pengarah Eksekutif Karrus Automotive Group, “Pengenalan Lotus Eletre dan Emeya MY27 ini mencerminkan komitmen berterusan kami untuk membawakan kenderaan elektrik berprestasi terbaik Lotus ke Malaysia.”
Jelasnya lagi, sehingga kini sudah lebih 300 kenderaan elektrik Lotus didaftarkan di Malaysia.
TQ Wuling baru-baru ini mencatatkan satu pencapaian penting apabila kumpulan pertama Bingo EV versi CKD telah diserahkan kepada pelanggan di Malaysia.
Ia menandakan peralihan jenama itu daripada fasa pengenalan kepada pemilikan sebenar.
Menurut Wan Wei Sun selaku Ketia Perniagaan TQ Manufacturing Sdn Bhd berkata, “Detik ini lebih daripada sekadar menyerahkan kenderaan, ia melambangkan kepercayaan, keyakinan dan permulaan kepada lebih banyak perjalanan pemilikan.
“Kami amat menghargai pelanggan pertama kami kerana mempercayai TQ Wuling dan menjadi sebahagian daripada perjalanan EV kami di Malaysia.
Pelanggan awal Bingo EV kongsi pengalaman
Kebanyakan pemilik awal berkongsi faktor seperti praktikaliti, nilai dan ketenangan minda merupakan ciri utama yang menentu keputusan pembelian mereka.
“Saya amat tertarik dengan rekaan retro-moden Bingo EV sejak dari mula.
“Selepas memandu uji, saya amat teruja dengan respons dan mudah untuk dipandu di dalam bandar.
“Selain rupa paras, sokongan penyelenggaraan yang wujud di Malaysia memberikan ketenangan minda. Ia bergaya, praktikal dan sesuai dengan bajet saya,” ujar Intan, salah seorang pemilik terawal Bingo EV.
Seorang lagi pelanggan, Christine berkata, “Sejak menerima unit Bingo EV, kami sangat menikmatinya. Ia mempunyai ruang yang luas, sistem pendingin hawa yang sesuai dengan cuaca panas kita, dan keupayaan pemanduan yang hebat.
“Untuk kegunaan harian, ia satu pilihan yang tepat. Apa yang mengagumkan ialah harga yang berpatutan dan betapa mudahnya ia bergerak dalam kesesakan trafik.
ADAS sebagai ciri standard
Seiring dengan penyerahan pertama, TQ Wuling turut mengumumkan Bingo EV CKD ini hadir dengan ciri bantuan ADAS sebagai ciri standard untuk kedua-dua varian.
Antara ciri ADAS yang dimuatkan termasuklah:
Amaran Titik Buta (BSW)
Bantuan Penukaran Lorong (LCA)
Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
Amaran Kelajuan Rendah untuk Pejalan Kaki
Amaran Bukaan Pintu (DOW)
Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
Bingo EV turut dilengkapi pengelap cermin automatik, sistem kunci/nyahkunci ketika beredar dan sistem nyahkunci automatik selepas impak.
Tambahan pula, Bingo EV didatangkan dengan enam beg udara, menjadikan Malaysia pasaran pertama menerima konfigurasi ini.
Spesifikasi serta perincian bagi model TQ Wuling Bingo EV boleh dibaca pada PAUTAN INI.
iCaur Malaysia mencatatkan satu pencapaian baharu dengan jumlah kenderaan berdaftar kini mencecah 1,800 unit di jalan raya.
Pencapaian ini mencerminkan permintaan terhadap iCaur, seterusnya mengukuhkan kedudukan dalam segmen kenderaan tenaga baharu (NEV) off-road.
Kelab rasmi ditubuhkan
Dalam satu acara penyerahan kepada pemilik yang ke-1,800, kelab rasmi pertama jenama tersebut (Kelab Pemilik iCaur Malaysia) turut ditubuhkan.
Direka sebagai nadi komuniti iCaur, kelab pemilik ini menghimpunkan para pemilik menerusi pertemuan, pengalaman bersama, dan aktiviti gaya hidup.
Kelab ini berpaksikan kepada dua teras utama:
Perjalanan Pengubahsuaian yang memberi peluang kepada pemilik untuk bertukar idea dan meraikan kreativiti
Pembangunan Komuniti yang menumpukan kepada usaha mengeratkan hubungan sesama ahli menerusi pelbagai aktiviti menarik
iCaur V23 laris sepanjang Februari 2026
Dengan 179 pendaftaran, iCaur V23 muncul sebagai EV ketiga paling laris di Malaysia, sementara iCaur 03 pula berada di tangga ketujuh.
Sepanjang tahun 2025, iCaur 03 merupakan EV ke-14 paling laris dengan 836 unit telah didaftarkan dalam tempoh empat bulan pertama.
Menurut Francis Chin, Pengarah Kanan iCaur Malaysia berkata, “pencapaian 1,800 kenderaan menandakan detik bermakna bagi iCaur Malaysia.
“iCaur kekal komited untuk menerajui segmen NEV pengembaraan lasak, serta menarik minat generasi yang menghargai keunikan diri, ekspresi peribadi serta inovasi melalui ekosistem tersendiri,” ujarnya lagi.
Stellantis Malaysia mengumumkan kemas kini over-the-air (OTA) untuk SUV Leapmotor B10.
Antara ciri utama yang ditambah termasuklah:
keupayaan pemanduan pedal tunggal
sokongan Apple CarPlay dan Android Auto (berwayar dan tanpa wayar)
fungsi arahan suara yang lebih meluas
Terima kasih kepada naik taraf ini, operasi sistem infohibur menjadi lebih pantas diikuti format split screen untuk memudahkan pemandu.
Ciri keselamatan turut ditambah baik dengan sistem pengesan kehadiran dalam kabin yang dioptimumkan, diikuti fungsi ACC & LCC yang diperhalusi untuk mengurangkan nyahpecutan mendadak ketika di selekoh.
Pengedaran OTA bermula Februari 2026
Kemas kini OTA ini telah mula diedarkan kepada para pemilik seawal Februari.
Pemilik Leapmotor B10 hanya perlu menunggu notifikasi dalam kenderaan dan boleh mengemas kini secara terus melalui sistem kenderaan.
Pro-Net mengumumkan promosi istimewa untuk kereta elektrik e.MAS sempena musim perayaan yang bakal menjelang.
Promosi berupa rebat bernilai RM500 itu sah untuk semua tempahan yang dibuat antara 31 Oktober 2025 hingga 23 Mac 2026.
Pelanggan perlu melengkapkan pendaftaran kenderaan selewat-lewatnya 30 September 2026.
Prestasi jualan cemerlang
Sehingga Februari 2026, Proton mencatatkan pendaftaran e.MAS 5 melepasi 5,000 unit di seluruh negara.
Daripada jumlah tersebut, sebanyak 3,068 unit telah diserahkan kepada pelanggan pada bulan Januari, dan lagi 1,562 unit pada bulan Februari.
Ini mencerminkan permintaan yang berterusan serta keyakinan pengguna yang semakin meningkat terhadap model ini.
Proton e.MAS 5 dilancarkan secara rasmi tahun lepas dengan tanda harga bermula dari RM59,800 untuk varian Prime, dan dari RM72,800 untuk varian Premium.
BYD Sime Motors terus memperluaskan lagi rangkaian jualan dan servis EV di seluruh negara bagi menjadikan pengalaman pemilikan yang lebih mudah diakses.
Sehingga kini, BYD sudah mempunyai lebih 40 buah bilik pameran di seluruh negara.
BYD turut menyasarkan 34 buah pusat servis beroperasi sepenuhnya pada tahun 2026 selepas sembilan lagi fasiliti siap dibangunkan.
BYD tembus beberapa lokasi strategik
Jenama EV itu turut meluaskan kehadirannya di beberapa lokasi strategik termasuklah di Muar, Kluang, Kuala Terengganu, Sungai Petani dan Juru.
Pusat 3S BYD Ipoh turut menyediakan hab pengecasan EV yang pertama di bandar tersebut dengan kemudahan pengecas DC 180 kW dan 240 kW.
Sementara Pusat 3S BYD Sri Hartamas pula terletak di dalam pusat membeli belah yang menggabungkan aspek jualan, servis dan juga alat ganti.
Selain itu, terdapat 12 pusat badan & cat (B&P) yang telah beroperasi di seluruh negara.
Aspek selepas jualan turut disokong oleh 80 juruteknik EV bertauliah daripada BYD Academy serta gudang alat ganti berpusat untuk memastikan stok mencukupi dan tempoh menunggu lebih singkat.
Pembukaan BYD Mansion di Pulau Pinang
BYD Sime Motors turut mengumumkan BYD Mansion di Macalister, Pulau Pinang akan mula beroperasi tahun ini.
Fasiliti baharu itu menggandingkan elemen kebudayaan tempatan ke dalam falsafah rekaan bagi mencipta ruang yang unik dan premium.
Rekaan baharu itu akan dijadikan sebagai satu standard untuk diterapkan pada bilik pameran BYD yang lain.
Prestasi cemerlang BYD tahun 2025
Berikut merupakan pencapaian BYD sepanjang tahun 2025:
Penyerahan kenderaan sebanyak 14,407 unit atau peningkatan 68 peratus berbanding 2024
10,000 pelanggan pertama dicapai dalam 20 bulan, 10,000 seterusnya dalam masa 13 bulan
Jenama ke-6 paling laris dan jenama bukan nasional no.4 di Malaysia
Melihatkan perkembangan semasa, BYD optimis untuk mencapai sasaran 30,000 pelanggan di Malaysia pada April 2026.
Gentari dengan kerjasama Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengumumkan pembukaan stesen pengecasan pantas EV di PETRONAS Penchala Link (arah Damansara).
Stesen pengecas antara bandar ini menyediakan pengecas DC 200 kW yang dilengkapi tiga muncung pengecas.
Berbanding pengecas 24 kW sedia ada, masa pengecasan dapat dikurangkan kira-kira 20 minit.
Ini membolehkan pengguna mengecas kapasiti bateri lebih 60 peratus dan tempoh berhenti yang lebih singkat.
Stesen pengecas Gentari ini mampu meningkatkan akses kepada pengecasan berkelajuan tinggi memandangkan ia merupakan satu-satunya pengecas 200 kW dalam radius lima kilometer.
Inisiatif ini mencerminkan perancangan koridor strategik LLM serta komitmennya memperkukuh infrastruktur lebuh raya Malaysia untuk era EV.
Kerjasama Gentari dan LLM mengubah fungsi lebuh raya daripada sekadar penghubung antara negeri kepada infrastruktur yang dapat menyokong pergerakan EV antara bandar disumbangkan oleh lokasi strategik dan selaras dengan keperluan perjalanan sebenar.
Ferrari akhirnya mendedahkan nama rasmi bagi model kenderaan elektrik pertama (EV) mereka, iaitu Ferrari Luce yang sebelum ini digelar sebagai Elettrica.
Luce membawa maksud cahaya dalam bahasa Itali.
Serentak dengan pengumuman nama tersebut, Ferrari turut sama mendedahkan rekaan sebenar kabin Luce.
Sentuhan bekas pereka iPhone pada kabin Ferrari Luce
Ferrari bekerjasama dengan LoveForm, sebuah firma rekaan yang diasaskan oleh bekas pereka Apple Jony Ive.
Jony Ive sebelum ini memainkan peranan penting untuk produk seperti Apple Watch, iMac, iPhone, Macbook serta sistem operasi iOS.
Tidak menghairankan bila kita lihat susun atur kokpit Luce lebih mirip kepada sebuah kereta buatan Apple berbanding jenama Ferrari itu sendiri.
Fob kunci unik
Bermula dengan fob kunci itu sendiri, ia diperbuat daripada kaca Corning Gorilla dengan paparan E Ink.
Apabila dimasukkan ke dalam dok konsol tengah, kunci itu akan berubah warna daripada kuning ke hitam, dalam masa yang sama panel kawalan akan dihidupkan.
Kokpit klasik moden
Berbanding trend EV masa kini yang dipengaruhi skrin besar, Luce menekankan pendekatan kawalan fizikal yang lebih natural.
Roda stereng klasik tiga jejari gaya Nardi 50-60an itu dibina daripada aluminium 100 peratus kitar semula, dan 400 gram lebih ringan berbanding stereng Ferrari biasa.
Terdapat dua modul analog yang diinspirasikan daripada F1, dan setiap butang diuji bagi memastikan rasa mekanikal dan bunyi yang memuaskan.
Meter kluster & stereng bergerak seiring
Di sebalik stereng terdapat skrin kluster digital, terdiri daripada dua panel paparan bertindih untuk efek tiga dimensi gaya aviasi.
Skrin paparan tersebut akan turut bergerak sama ketika kedudukan stereng dilaras.
Walaupun digital, Ferrari tetap mengekalkan paparan gaya analog yang ringkas dan mudah dibaca sepintas lalu.
Skrin tengah boleh laras
Uniknya skrin tengah ini, ia boleh dilaras kedudukan supaya menghadap ke arah pemandu atau penumpang.
Terdapat palm rest untuk operasi yang lebih stabil dan ergonomik.
Ia turut menampilkan kawalan fizikal untuk sistem iklim kabin, dan empat mod paparan iaitu jam, kronograf, kompas dan launch control.
Sedia memandu?
Pada konsol tengah, anda akan melihat tuil transmisi yang terletak bersebelahan dengan lokasi dok kunci itu tadi.
Ia diperbuat daripada kaca Corning Gorilla dan mempunyai efek grafik yang tersendiri.
Tombol Launch Control pula terletak pada panel atas kepala.
Spesifikasi teknikal Ferrari Luce
Unit rangkaian kuasa Ferrari Luce dibangunkan sepenuhnya secara dalaman menampilkan tetapan empat motor elektrik.
Dua pada gandar depan menghasilkan kuasa 141 hp setiap satu, manakala dua di belakang menghasilkan 416 hp setiap satu.
Kuasa keseluruhan mencecah 986 hp dengan pecutan 0-100 km/j dalam 2.5 saat.
Pek bateri NMC (buatan SK On) 122 kWh pula menawarkan jarak pandu sehingga 529 km mengikut data WLTP.
Lamborghini Lanzador merupakan cubaan pengeluar dari Sant’Agata Bolognese untuk cuba memasuki dunia sifar emisi.
Ia merupakan sebuah grand tourer 2+2 yang diberikan penggayaan agresif Lamborghini, dan dipacu oleh dua motor elektrik.
Lanzador sejuk sebelum masuk produksi
Sayang sekali, projek Lanzador ini tidak mampu untuk direalisasikan disebabkan tiada permintaan daripada pelanggan.
Menurut laporan The Sunday Times, CEO Lamborghini Stephan Winkelmann mendedahkan permintaan untuk kenderaan sebegini “hampir sifar”.
Jelasnya lagi, kebanyakan pembeli di dalam segmen itu mahukan kereta yang menawarkan penampilan, bunyi dan rasa seperti supercar.
Kereta pantas perlukan bunyi dan rasa macam supercar
Beliau menambah, bunyi yang datang daripada enjin merupakan faktor utama jualan bagi kenderaan mewah, dan sukar untuk mendapatkan pengalaman tersebut daripada motor elektrik.
“Kenderaan elektrik (EV) dalam bentuk sekarang gagal menawarkan hubungan emosi yang khusus itu,” ujarnya.
Winkelmann mengakui pihaknya mengambil masa lebih daripada setahun sebelum membuat keputusan untuk tidak meneruskan produksi Lanzador.
Setelah perbincangan dibuat bersama pelanggan dan pengedar, Lamborghini secara senyap menamatkan projek tersebut pada akhir tahun 2025.
Lamborghini Lanzador PHEV menyusul
Namun begitu, Lamborghini merancang untuk memperkenalkan versi plug-in hybrid (PHEV) menjelang akhir dekad ini.
Melihatkan kepada perkembangan tersebut, Lamborghini turut membuat keputusan untuk tidak meneruskan projek Urus EV, bimbang ia sukar untuk dijual.