Arkib Kategori: BERITA

QJMotor lancar MTX150 untuk pasaran global 

QJMotor memperkembangkan tawaran motosikal di pasaran global menerusi skuter kompak, MTX 150.

Untuk rekod, MTX 150 merupakan skuter terbaru dari QJMotor yang bakal menembusi pasaran global setelah versi 125cc berjaya menempah nama di Eropah. 

Mengekalkan reka bentuk yang sama seperti varian 125cc, MTX150 ini dikuasakan enjin 150cc satu silinder yang berupaya menjana 15.8hp dan 13.7Nm. 

Selain itu, antara kelengkapan lain turut ditawarkan termasuk cakera brek tunggal depan dan belakang, pencahayaan LED penuh, panel meter digital, penyerap hentak berkembar di belakang serta tangki bahan api berkapsiti 8L. 

Menariknya, daya tarikan utama MTX150 adalah penggunaan sistem hibrid yang menyumbang kepada tahap pembakaran yang lebih efisien dan mampun mencapai 2.2L/100km atau 45km/liter. 

Buat masa ini belum ada desas-desus sama ada model ini akan turut dilancarkan di Malaysia. 

Chery Omoda 7 bakal masuk pasaran awal 2025

KIRA-kira 1,100 km dari Beijing iaitu di Wuhu, Chery telah memperkenalkan model global Omoda yang kedua iaitu Omoda 7.

Seperti Omoda 5, Omoda 7 juga merupakan sebuah SUV dan menurut Chery, ia akan dilancarkan ke pasaran pada awal tahun hadapan.

Dari segi saiz pula, Omoda 7 seperti yang dijangka lebih besar berbanding adiknya dengan ukuran panjang 4,621 mm, lebar 1,872 mm, tinggi 1,673 mm, dengan jarak roda 2,700 mm.

Untuk perbandingan, Omoda 5 mempunyai ukuran panjang 4,400 mm, lebar 1,830 mm, tinggi 1,588 mm, dengan jarak roda 2,630 mm.

Berbalik kepada Omoda 7, Chery dalam kenyataan berkata ia menampilkan bahasa reka bentuk “Stylish 360°” yang mengetengahkan siluet ala fastback untuk menarik minat golongan muda.

Antara elemen menarik yang boleh dilihat adalah gril parametrik dengan corak berbentuk heksagon, skema warna dua tona serta rekaan lampu yang tajam dengan grafik ‘Electric Energy’ pada bahagian belakang.

Di dalam, anda akan menemui stereng yang direka berdasarkan pengawal PlayStation 5 dan skrin berukuran 15.6 inci yang boleh diluncur dari bahagian tengah papan pemuka ke hadapan penumpang hadapan.

Sementara itu, tempat duduknya pula diinspirasikan daripada kerusi gaming dan dibalut kulit nubuck. Ciri-ciri lain termasuk sistem audio 12+2 pembesar suara yang menawarkan pengalaman audio seperti dewan konsert, fungsi arahan suara empat zon, sistem pewangi pintar dan sistem pembatalan bunyi ENC.

Memacu Omoda 7 adalah enjin TGDi 1.5-liter empat silinder dengan sistem hibrid plug-in. Perincian teknikal seperti kuasa dan tork tidak dinyatakan namun menurut Chery, trenkuasa ini mempunyai mod “penjimatan tenaga ekstrem” yang membolehkan ia mencapai jarak pandu sejauh 1,200 km dengan bateri dan tangki penuh.

Ciri bantuan pemandu dan keselamatan pula merangkumi 18 sistem ADAS, Auto Parking, dan enam beg udara. SUV ini juga dikatakan mempunyai ketegaran torsi (torsional stiffness) 25,000 N·m/degree.

Peugeot 408 rasmi, tiga varian, enjin 1.6T, dari RM146k

Peugeot Malaysia di bawah naungan Stellantis baru sahaja melancarkan model terbaharu Peugeot 408 2024 untuk pasaran tempatan.

Tidak seperti model 408 yang terdahulu, Peugeot 408 generasi baharu ini membawakan bentuk badan sedan fastback yang digandingkan dengan elemen crossover.

Berikut merupakan fakta ringkas Peugeot 408 2024:

 

Model pemasangan tempatan

Peugeot 408 generasi baharu ini merupakan model pemasangan tempatan (CKD) yang datang dari kilang Stellantis Gurun, Kedah.

Berstatus CKD, ia membolehkan Stellantis Malaysia menjual 408 ini dengan harga yang lebih kompetitif, bermula dari RM146,055 untuk versi Allure, RM166,055 (Premium) hingga RM196,055 untuk varian GT.

 

Enjin 1.6 liter turbo

Terdapat tiga varian utama yang ditawarkan di Malaysia termasuklah varian bertaraf mercu GT.

Kesemua varian dilengkapi dengan enjin PureTech 1.6 liter turbo berkuasa 218 hp @ 5,750 rpm dan daya kilas 300 Nm @ 2,000 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi automatik lapan nisbah kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 8.8 saat.

 

Dimensi lebih besar berbanding Civic

Peugeot 408 dibina berdasarkan platform EMP2, berkongsi pelantar dengan model SUV 308 dan Citroen C5 X.

Diposisikan dalam segmen C, Peugeot 408 membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,687 mm, lebar 1,859 mm, tinggi 1,487 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,787 mm.

Tidak ketinggalan, jarak kelegaan tanah adalah setinggi 189 mm.

Kapasiti ruang kargo adalah sebesar 536 liter, boleh dibesarkan sehingga 1,538 liter untuk varian GT, atau sehingga 1,611 liter untuk varian Allure dan Premium.

Ini bermakna, Peugeot 408 memiliki dimensi yang lebih besar berbanding sebuah lagi sedan dalam segmen C Honda Civic FE (ukuran 4,678 mm x 1,802 mm x 1,415 mm, WB 2,735 mm, jarak lega bumi 126 mm).

 

Kelengkapan standard

Kesemua varian dilengkapi dengan ciri standard termasuklah unit pencahayaan LED, penyeka kaca automatik, serta rim aloi bersaiz 18  inci dalam kemasan Granite Grey.

Sementara ruang kabin pula dilengkapi dengan kemasan upholsteri comfort vynil, skrin kluster digital 10 inci, skrin infohibur 10 inci serta sistem audio enam pembesar suara.

Varian Premium pula mendapat tambahan ciri berikut:
-rim aloi 18 inci kemasan Granite Black
-upholsteri kulit hitam
-tempat duduk pemandu larasan elektrik

Sementara varian GT pula dilengkapi dengan ciri berikut:
-rim aloi 20 inci kemasan Monolithe Black
-lampu matriks LED dengan fungsi suluhan tinggi automatik
-upholsteri kulit Dynamic Black Nappa
-tempat duduk dengan piawaian AGR, fungsi memori dan urut
-skrin kluster instrumen 10 inci 3D Quartz Display
-skrin infohibur 10 inci dengan panel sentuh kustom
-sistem audio Focal
-sistem kamera 360 darjah

 

Ciri keselamatan

Peugeot 408 mendapat kelengkapan keselamatan seperti enam beg udara, program kestabilan elektronik (ESP), sistem pengesan papan tanda trafik, kawalan jelajah, brek kecemasan automatik, bantuan suluhan tinggi, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) dan juga Active Hood untuk perlindungan pejalan kaki.

Sementara varian yang lebih tinggi pula (Premium & GT) mendapat tambahan ciri kawalan jelajah adaptif, brek kecemasan autonomi termaju, amaran pelanggaran hadapan, amaran lintasan trafik belakang, dan sistem pemantauan titik buta.

 

Peugeot 408 2024 (Malaysia)

TAC-6, trak 6×6 berperisai, guna asas Land Cruiser 79 Series

Toyota Land Cruiser 70 Series merupakan antara model SUV/trak pikap off-road yang sukar untuk dimatikan, dan masih lagi model kenderaan yang boleh dipercayai untuk dibawa ke mana sahaja.

Selain daripada digunakan oleh orang awam, Land Cruiser 70 Series turut digunapakai oleh syarikat-syarikat perlombongan dan tidak ketinggalan pasukan pertahanan di serata dunia.

Ini ialah TAC-6, sebuah Toyota Land Cruiser 79 Series enam roda yang dihasilkan oleh syarikat pengeluar dari Afrika Selatan, iaitu Armormax Defence.

Pada mulanya, pihak Armormax dikehendaki oleh French Special Forces untuk menghasilkan sebuah kenderaan tentera yang boleh bertahan di bawah apa jua keadaan, dan tidak memerlukan sebarang latihan khusus.

Bermula dari sebuah Land Cruiser 79 Series, Armormax kemudian memanjangkan casis asal dengan menambah gandar ketiga, unit transfer case kedua, diikuti dengan komponen aci pemacu tugas berat Dana.

Sistem gantungan asal spring dedaun boleh dikekalkan, atau dinaiktaraf kepada sistem suspensi yang mampu meninggikan jarak lega bumi sebanyak empat inci.

Terdapat pilihan enjin V6 4.2 liter atau V8 4.8 liter, di mana kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan sistem kotak gear automatik ZF yang dibina khusus untuk model TAC-6.

Menurut Armormax, kotak gear lapan nisbah kelajuan ini dikatakan mampu bertahan dalam apa jua keadaan pemanduan, dan boleh menampung daya kilas sehingga 1,000 Nm.

Sistem penyejukan khas turut dimuatkan untuk membantu pemanduan di dalam keadaan cuaca panas dan berpasir.

Tidak lengkap penawaran TAC-6 tanpa sistem pertahanan yang khusus.

Untuk model ini, Armormax menawarkan perlindungan tahap B6 dapat dapat menahan serangan peluru raifal berkuasa tinggi, selain kelengkapan pertahanan lain yang boleh disesuaikan mengikut keperluan.

Untuk memudahkan urusan pemanduan, Armormax memasang sehingga dua tangki bahan api, masing-masing sebesar 210 liter dan 90 liter, dengan jarak pemanduan mampu mencecah melebihi 2,000 km.

Tidak cukup?

Anda boleh memilih tangki bahan api yang lebih besar dengan kapasiti sehingga 560 liter untuk model kabin berkembar, atau sehingga 610 liter untuk model kabin tunggal.

 

Beijing Motor Show 2024: BYD Ocean-M, hot hatch EV RWD ganas bergaya

Bertempat di Beijing Auto Show, BYD memperlihatkan sebuah model konsep yang bakal direalisasikan pada tahun ini, iaitu BYD Ocean M.

Berkemungkinan besar versi produksi sebenar tidak akan seganas apa yang diperlihatkan ini, namun setidak-tidaknya kita sudah tahu BYD bakal menawarkan produk yang unik kelak.

Antara fakta yang menarik pasal BYD Ocean-M:

 

Hatchback pantas segmen C

BYD bakal memposisikan model produksi Ocean-M di antara model Dolphin dan Seal.

Bermakna, Ocean-M akan menjadi sebuah hatchback EV di dalam segmen C, dan mampu memberikan cabaran kepada model seperti MG4.

 

Reka bentuk luaran sporti

Untuk model konsep yang dipamerkan ini, BYD cuba untuk menjadikan penampilan yang lebih dekat dengan jiwa kelajuan.

Antara ciri menarik yang boleh dilihat termasuklah komponen splitter hadapan besar, sirip pada bahagian sisi, spoiler tinggi serta diffuser belakang stail GT3.

Muka depan pula mengingatkan kita pada model Lamborghini Aventador, diikuti dengan profil sisi yang tampak sporti dan dinamik

 

Hot hatch pacuan roda belakang (RWD)

Unik untuk Ocean-M ialah senibina elektrik baharu dengan sistem pacuan roda belakang.

Buat masa ini, BYD masih belum mendedahkan spesifikasi terperinci rangkaian kuasa elektrik yang bakal dipadankan pada Ocean-M.

 

Harga jualan mampu milik?

Menurut laporan Car News China, BYD menyasarkan harga jualan Ocean-M versi produksi bermula dari RMB150,000 hingga 200,000 (RM98,841-RM131,789).

 

Skandal 1MDB: Polis Jerman sita empat Bugatti Veyron Les Legendes

Sebanyak empat buah supercar edisi terhad Bugatti Veyron telah disita oleh pihak polis dalam satu serbuan di premis penyimpanan kereta persendirian Motorworld Munich, Jumaat lalu.

Menurut laporan penerbitan Jerman Bild, empat unit supercar eksklusif itu dikatakan berkait rapat dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

 

Empat unit Bugatti Veyron yang disita itu merupakan sebahagian daripada siri produksi terhad Les Legendes de Bugatti yang terdiri daripada empat edisi iaitu Rembrandt, Black Bess, Jean-Pierre Wimille dan Meo Constantini.

Ketika siri Les Legendes itu diperkenalkan pada tahun 2013, setiap satu unit dianggarkan bernilai sekitar $3 juta (RM14.31 juta).

 

Hanya 18 unit sahaja kereta Les Legendes dibina oleh Bugatti berdasarkan model Veyron Grand Sport Vitesse yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 1,200 PS @ 6,400 rpm dan daya kilas 1,500 Nm @ 3,000-5,000 rpm, pecutan 0-100 km/j dalam masa 2.6 saat dan kelajuan maksimum 375 km/j yang dihadkan secara elektronik.

Akhbar penerbitan Jerman Bild walau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti sebenar pemilik bagi setiap Bugatti Veyron yang telah disita itu.

 

Beijing Motor Show 2024: Jaecoo tayang J8 PHEV, 605hp, 0-100 5.4 saat

JAECOO J8 telah dipertontonkan di Malaysia awal tahun ini, dan versi PHEV telah didedahkan di acara Auto China 2024 yang sedang berlangsung di Beijing.

Jaecoo J8 PHEV ini mendapat pakej powertrain 1.5-liter turbo petrol TGDi yang digabungkan dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT).

Bersama dengan dua motor elektrik (satu di depan, satu di belakang), SUV ini mempunyai output keseluruhan setinggi 605hp dan 915Nm tork, cukup untuk pecutan 0-100km/j dalam masa hanya 5.4 saat.

Menurut Jaecoo, SUV ini boleh dipandu dalam mod EV sehingga 175km, sementara jarak pemanduan sejauh 1,321km untuk setiap tangki dalam mod hybrid.

Tiada perincian mengenai spesifikasi bateri, tetapi menariknya, ia boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC, malah mempunyai fungsi V2L, sama seperti Omoda E5 dan J7 PHEV.

Untuk perbandingan, Jaecoo J8 PHEV ini boleh dikatakan mirip Mazda CX-8 dari segi saiznya. Ia berukuran 4,820mm panjang, 1,930mm lebar, 1,699mm tinggi, dan mempunyai jarak roda 2,820mm.

 

Jaecoo J8 yang dipertontonkan di Malaysia tempoh hari adalah versi lima tempat duduk, tetapi unit yang kami lihat di Auto China 2024 adalah dengan konfigurasi tiga baris, enam tempat duduk.

Ciri lain pada J8 PHEV ini termasuklah lampu LED, rim 20-inci, dua paparan 12.3-inci untuk panel instrumen dan infotainmen, penghawa dingin dwi-zon, dan paparan head-up display.

Jaecoo J8 versi petrol dijangka dilancarkan di Malaysia hujung tahun ini dengan harga anggaran sekitar RM200k. Kami jangkakan J8 PHEV bakal menyusul sekitar suku pertama 2025.

Beijing Motor Show 2024: Jaecoo J7 dipertonton dengan versi PHEV – 347PS, 525Nm!

JIKA anda mengikuti perkembangan industri automotif di Malaysia, anda akan ketahui bahawa Jaecoo J7 telah dipertonton, malah telah dibuka tempahannya. Ia dijangka ditawarkan pada harga antara RM150k hingga RM160k.

Terkini, sub-jenama di bawah Chery ini memperkenalkan pula versi PHEV (plug-in hybrid), ditayangkan di Auto China 2024 di Beijing. Ia nampak hampir serupa dengan versi petrol, tetapi sudah tentu mempunyai sedikit perbezaan spesifikasi.

Ia oleh enjin 1.5-liter turbo TGDi petrol yang dikatakan versi spesifik untuk hibrid. Enjin ini digandingkan dengan Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dan motor elektrik di depan, memberikan J7 PHEV output keseluruhan sebanyak 347PS dan 525Nm tork.

Sebagai perbandingan, Jaecoo J7 biasa mempunyai enjin 1.6-liter TGDi dengan 197PS dan 290Nm tork.

J7 PHEV ini juga mampu dipandu dalam mod EV sehingga 88km. Penggunaan bahan api pula adalah serendah 4.9 liter/100km. Menurut Jaecoo, ini memberikan kemampuan J7 PHEV untuk dipandu sehingga 1,200km untuk setiap tangki.

Menariknya, J7 PHEV ini boleh dicas menggunakan DC. Walaupun tidak didedahkan berapa lama tempoh untuk pengecasan, ia pastinya boleh dibuat dalam tempoh masa yang singkat.

Satu ciri pada J7 PHEV ini ialah fungsi V2L, iaitu kemampuan mengecas perkakasan luaran. Fungsi ini juga terdapat pada Chery Omoda E5.

Dari segi rupa luaran, Jaecoo J7 PHEV boleh dibezakan dari rim 19-inci aero, flap penutup tempat pengecasan di sisi kanan, dan ketiadaan ekzos di belakang. Ciri standard juga adalah pemegang pintu retractable.

Belum dapat dipastikan sama ada Jaecoo J7 PHEV ini akan dilancarkan di Malaysia, tetapi kami rasa ia pastinya akan memberikan pilihan menarik untuk kita. Apa pendapat anda dengan spesifikasi J7 PHEV ini?

Triumph Speed 400, Scrambler 400 X kini di Malaysia – dari RM27k

TRIUMPH Motorcycles Malaysia secara rasminya melancarkan rangkaian Triumph T-Series ke pasaran Malaysia yang terdiri daripada dua model iaitu Speed 400 dan Scrambler 400 X.

Speed 400 merupakan model roadster yang menyertai barisan moden klasik di samping Speed Twin 900 dan 1200, manakala Scrambler 400 X pula tampil dengan rekaan rugged yang diilhamkan oleh Scrambler 900 dan 1200.

 

 

Kedua-dua model ini dikuasakan oleh enjin yang sama iaitu enjin TR-Series sejukan cecair silinder tunggal bersesaran 398 cc yang menghasilkan 40 PS dan 37.5 Nm. Enjin ini mematuhi piawaian emisi Euro 5 dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Walaupun berkongsi ‘nadi’, Speed 400 dan Scrambler 400 X menawarkan tetapan casis tersendiri untuk memberikan posisi tunggangan yang berbeza.

Speed 400 didatangkan dengan fork terbalik 43 mm, penyerap hentak monoshock dengan tabung, rim aluminium aloi berukuran 17 inci di hadapan dan belakang, serta cakera brek hadapan 300 mm yang dipadankan dengan angkup radial empat piston. Ia juga lebih mesra penunggang dengan ketinggian pelana 790 mm dan berat keseluruhan sekitar 170 kg.

Sementara itu, Scrambler 400 X menggunakan sistem suspensi yang sama namun dengan travel yang lebih tinggi iaitu 150 mm. Versi ini juga dilengkapi dengan rim 19 inci pada bahagian hadapan, bar hendal yang lebih lebar serta brek cakera yang lebih besar iaitu 320 mm.

 

Bukan itu sahaja, tempat letak kakinya berada pada kedudukan lebih rendah, manakala pelana dinaikkan sedikit kepada 835 mm. Beratnya juga bertambah sebanyak 9 kg berbanding Speed 400.

Untuk sistem elektronik pula, kedua-dua model mempunyai pendikit Ride-by-Wire, Traction Control dan ABS dwi saluran yang boleh dimatikan pada Scrambler 400 X untuk tunggangan off-road.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk lampu LED, skrin LCD dengan tachometer digital, baki bahan api dan posisi gear, soket pengecas USB-C dan immobiliser.

Harga jualan bermula dari RM26,900 untuk Speed 400 dan RM29,900 untuk Scrambler 400 X.

 

Genesis G80 EV Magma Concept buat kemunculan di Beijing

SELEPAS memperkenalkan GV60 Magma Concept pada Mac lalu, sub-jenama prestasi dari Genesis iaitu Magma kini kembali dengan model konsep keduanya iaitu G80 EV Magma Concept.

Diperkenalkan di Auto China 2024, ia tampil berbeza dengan model-model konsep dengan warna Acme Blue yang diinspirasikan oleh api biru yang membakar pada julat suhu tertinggi.

Jika dibandingkan dengan model asas Electrified G80, jentera yang mendapat sentuhan Magma ini tampil lebih agresif dengan rekaan bampar lebih sporty, fender lebih lebar, spoiler ekor itik, diffuser dan rim 21 inci.

Gambar ruang dalaman tidak disediakan namun menurut Magma, ruang kabin kereta konsep ini dihiasi dengan elemen-elemen mewah seperti Alcantara, upholsteri kulit dan kemasan gentian karbon dengan anyaman berwarna biru.

Dari segi prestasi, G80 EV Magma Concept mendapat beberapa naik taraf yang terdiri daripada ukuran track yang lebih lebar, sistem suspensi canggih, serta sistem brek berventilasi di bahagian hadapan dan belakang.

Tidak cukup dengan itu, rim tersebut didatangkan dengan rekaan khas yang bukan sahaja mengurangkan berat malah membantu menyejukkan cakera brek.

Magma bagaimanapun tidak mendedahkan sebarang perincian mengenai trenkuasa. Ia mungkin didatangkan dengan konfigurasi motor elektrik berkembar yang sama seperti Electrified G80 namun dengan kuasa yang lebih tinggi daripada 365 hp.

Royal Enfield Bullet 350 baharu kini di Malaysia – dari RM23,500

DIDI Group hari ini memperkenalkan Royal Enfield Bullet 350 baharu untuk pasaran Malaysia. Motosikal ikonik dengan nama yang cukup lama dalam sejarah permotoran dunia itu mendapat kira-kira 10 peratus komponen baharu sepenuhnya.

Ia dipacu enjin 349cc silinder tunggal sejukan cecair yang juga menjadi nadi kepada Meteor, Classic, dan Hunter. Enjin pada Bullet 350 ini menjana 20.2hp pada 6,100rpm dan 27Nm tork pada 4,000rpm.

Enjin ini turut dilengkapi dengan syaf pengimbang untuk mengurangkan gegaran. Transmisi ialah kotak gear 5-kelajuan.

Bullet 350 2024 ini hadir dengan casis yang diperkukuh untuk pengendalian dan ketahanan lebih baik. Fork depan kini bersaiz 41mm, manakala tayar belakang lebih lebar.

Motosikal ini menggunakan tayar 100/90R19 di depan dan 120/80/R18 di belakang. Sistem brek pula adalah cakera 300mm di depan, tetapi di belakang anda boleh pilih sama ada cakera atau dram.

Royal Enfield Bullet 350 turut dilengkapi dengan tempat duduk baharu, mudguard direka semula, tangki 13-liter, lampu depan ‘tiger eyes’, paparan LCD, dan soket pengecasan USB.

Bullet 350 ditawarkan dengan pakej Special Edition yang merangkumi dua pilihan, iaitu Special Edition berharga RM23,500 dan Gold Edition berharga RM23,900.

Special Edition mempunyai warna hitam atau maroon, manakala Gold Edition mempunyai tangki berwarna hitam dengan kemasan matte dan gloss khas, lengkap dengan lencana 3D emas.

Dalam acara yang sama, Didi Group juga memperkenalkan dua warna baharu untuk Super Meteor 650, iaitu Interstellar Grey dan Astral Green. Jentera ini hadir dengan harga RM37,900.

Lotus Evija X catat masa ketiga terpantas di Litar Neraka Hijau

Litar Nurburgring Nordschleife, atau dikenali dengan nama Neraka Hijau merupakan lokasi wajib bagi para pengeluar automotif untuk menguji prestasi jentera pantas masing-masing.

Terbaharu, Lotus telah memuat naik video rakaman pemanduan mengelilingi litar terkenal tersebut di dalam sebuah hypercar binaan sekali (one-off), iaitu Evija X.

 

 

Lotus Evija X yang sangat agresif itu mencatatkan pusingan sepantas 6:24.047 saat, namun sayang sekali ia bukanlah catatan masa yang terpantas pernah direkodkan.

Kereta yang lebih pantas berbanding Lotus Evija X? Dua jentera lumba, iaitu Volkswagen ID.R dengan catatan masa 6:05.336 saat, dan Porsche 919 Hybrid Evo (5:19.546 saat).

Lotus tidak mendedahkan perincian spesifikasi Evija X, bermakna ia berkemungkinan besar mempunyai kuasa 2,011 hp dan 1,704 Nm yang sama seperti model jalanan.

 

Apa yang mencuri tumpuan ialah kehadiran pakej aero yang sangat ekstrem, seperti contoh kehadiran splitter depan gergasi, sayap belakang besar, serta ruang kabin yang kosong tanpa kelengkapan mewah.

Aspek penting seperti gantungan, brek dan tayar telah dinaik taraf untuk memastikan jentera ini melekat dengan baik di setiap selekoh.

Disebabkan naik taraf yang disebutkan itu tadi, Evija X mampu mencapai kelajuan tertinggi 350 km/j, dengan janaan daya mendap maksimum sehingga 4,500 kg!

 

Masalah pedal tersangkut, kira-kira 17,500 Mario Kart dipanggil semula

JAKKS Pacific, pengeluar go-kart kanak-kanak bertemakan Mario Kart telah memanggil semula kira-kira 17,500 unit model Ride-On Racer Car Toys yang dijual sepanjang tempoh Oktober 2022 hingga Januari 2024.

Difahamkan, sejak model Mario Kart itu mula dijual, pihak tersebut telah menerima sebanyak 65 aduan pedal tersangkut, 15 kes kemalangan dan satu kes kecederaan.

Model go-kart yang dimaksudkan itu menggunakan sistem bateri 24 voltan dan mudah untuk dikenali terima kasih kepada liveri bertemakan Mario Kart.

Menurut pengeluar, masalah pedal tersangkut pada model tersebut akan mengakibatkan go-kart itu terus bergerak ke hadapan walaupun selepas pemandu mengalihkan kaki daripada pedal.

Untuk memudahkan urusan, pihak JAKKS Pacific akan menghantar kit pembaikan yang merangkumi segala komponen yang diperlukan untuk menyelesaikan masalah tersebut di rumah pemilik masing-masing.

JAKKS Pacific juga turut mengingatkan pemilik go-kart elektrik itu supaya mencabut kabel negatif bateri sebelum proses pembaikan diteruskan.

Mario Kart 24V Ride-On Racer Car Toys itu memiliki berat sekitar 28 kg, dimana ia mampu mencapai kelajuan sehingga 12 km/j dengan tiga mod kelajuan dan satu mod mengundur.

Selain itu, go-kart comel itu juga turut dilengkapi dengan sistem runut bunyi enjin, serta muzik tema permainan Mario Kart 8 Deluxe yang boleh dimainkan semasa ia dipandu.

 

Tesla Malaysia umum potongan harga RM8k, Model 3 bermula dari RM181 ribu

Selari dengan pendekatan yang dibuat di pasaran global, Tesla Malaysia dalam satu kenyataan mengumumkan pengurangan harga jualan sehingga RM8,000 untuk dua model kenderaan elektriknya, iaitu Model 3 dan Model Y.

Ini bermakna, anda boleh mendapatkan sedan elektrik Tesla Model 3 versi RWD dengan harga bermula dari RM181,000.

Versi Long Range AWD pula kini berharga RM210,000 berbanding harga asal RM218,000, manakala varian Model 3 Performance pula kekal tidak berubah (RM242,000).

 

Mereka yang mahukan Tesla Model Y kini boleh mendapatkan versi asas RWD pada harga bermula dari RM191,000, berbanding harga asal RM199,000 semasa pelancaran rasmi dibuat.

Versi pertengahan Model Y Long Range AWD pula berharga RM238,800 (harga asal RM246,000) manakala varian Model Y Performance pula kini berharga RM280,000 (harga asal RM288,000).

Kesemua model kenderaan Tesla buat masa ini masih lagi dikecualikan daripada cukai import, duti eksais dan cukai jualan 100 peratus, di mana pengecualian ini adalah sah sehingga akhir tahun 2025.

 

Tesla Model 3

Tesla Model Y

Ducati mahu jadikan Thailand hab eksport Asia Pasifik

PENGELUAR motosikal Itali, Ducati Motor Holding mahu menjadikan Thailand salah satu hab eksport selepas membuka kilang pengeluaran di Rayong. Ianya merupakan kilang pemasangan pertama Ducati di Asia.

Imej oleh: Bangkok Post

Kilang dengan pelaburan 400 juta Baht (RM51.6 juta) itu mampu mengeluarkan 10,000 motosikal setahun untuk fasa pertama.

“Thailand ialah satu pasaran penting bagi motosikal besar atau premium, dan kami mahu menjadikan Thailand sebagai pangkalan eksport,” kata Claudio Domenicali, CEO Ducati Motor Holding.

“Kami menghasilkan semua model Ducati di kilang Rayong. Kami memastikan produk-produk menepati standard tinggi yang ditetapkan oleh firma di Itali,” katanya.

Gambar oleh: Prestige Hong Kong

Syarikat itu berhasrat mengeksport hasil pengeluarannya ke serantau Asia Pasifik. Pasaran utamanya di luar Asia buat masa ini termasuklah Itali, Jerman, UK, dan Amerika Syarikat.

Di Thailand, pasaran motosikal berkuasa tinggi dijangka meningkat, dipacu oleh gaya hidup para penunggang.

Federation of Thai Industries (FTI) menjangkakan jualan keseluruhan motosikal berkuasa tinggi sekitar 15,000 unit di Thailand tahun ini.

BMW iX3 Final Edition tampil dengan kit M Performance – RM300k

BMW Malaysia telah melancarkan BMW iX3 Final Edition yang tampil lebih atletik dengan kemasan tambahan M Performance yang melengkapkan pakej M Sport.

Dibangunkan berasaskan versi Impressive, iX3 Final Edition mendapat kemasan M Performance yang merangkumi cermin sisi gentian karbon, kemasan ambang pintu dengan sisipan karbon, spoiler belakang dan sistem suspensi M Adaptive.

Menurut BMW, suspensi M Adapative membolehkan pemandu memilih antara tetapan standard yang selesa atau beralih kepada mod Sport untuk pengendalian yang lebih sporty.

Kelengkapan lain yang disertakan termasuk rim aerodinamik M berukuran 20 inci dengan kemasan 890 M Bicolour, lampu laser BMW dan bumbung kaca panoramik.

Untuk bahagian dalaman, iX3 Final Edition tampil dengan ciri-ciri standard seperti penyaman udara automatik dengan kawalan tiga zon, tempat duduk sport elektrik, sistem audio Harman Kardon, head-up display dan kaca akustik.

Turut disertakan secara standard adalah sistem bantuan pemandu seperti Driving Assistant Professional dan Parking Assistant Plus.

iX3 Final Edition dipacu oleh motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 260 hp (210 kW) dan 400 Nm. Ini membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.8 saat.

Sementara itu, pek bateri voltan tinggi dengan kapasiti kasar 80 kWj menawarkan jarak pandu sehingga 461 km dengan satu cas penuh berdasarkan kitaran WLTP. Menurut BMW, ia mempunyai tahap penggunaan tenaga serendah 18.5 kWj setiap 100 km.

iX3 Final Edition boleh didapati dalam warna luaran M Carbon Black Metallic, Cashmere Silver, Sophisto Grey, Mineral White, Phytonic Blue dan Piemont Red.

Upholsteri dalaman pula boleh didapati sama ada dalam Leather Vernasca Mocha dengan jahitan Décor atau Leather Vernasca Black dengan jahitan kontras biru.

Harga jualan bermula dari RM299,800. Pakej Servis & Pembaikan Inklusif BMW yang terdiri daripada waranti lanjutan selama lima tahun dan pakej servis ditawarkan pada harga RM19,800.

Beijing Motor Show 2024: Volkswagen ID.Code Concept yang boleh melihat anda

VOLKSWAGEN antara pengeluar yang menyertai acara Auto China 2024 di Beijing, dan model yang menjadi tarikan utama mereka sudah tentu ID.Code Concept.

Dari luar, ia kelihatan seperti SUV biasa, kabinnya pula sedikit radikal. Tipikal seperti sebuah kenderaan konsep dengan empat tempat duduk individual serta kokpit minimalis. Tetapi yang ingin kita bincangkan ialah teknologi padanya.

Ia menampilkan 3D Eyes yang ‘melihat’ anda mendekati kereta ini. Ciri ini sebahagian dari sistem pencahayaan interaktif yang dibawakan oleh Volkswagen untuk masa depan autonomi.

Jika anda lihat strip cahaya memanjang antara dua lampu depan, ianya dinamakan Light Cloud, yang terdiri dari 967 LED. Inilah yang membentuk ‘mata’ berbentuk-U yang membuatkan SUV ini seolah-olah sedang memandang.

Pencahayaan ini bekerja dengan Light Screen, iaitu bahagian ‘senyum’ di bawah Light Cloud. Volkwagen menggunakan cat jernih, yang mana bila Light Screen dipadamkan, nampak seperti bahagian normal.

Semasa dihidupkan, ia boleh menayangkan pelbagai maklumat dari laporan cuaca hinggalah grafik buah ceri di musim bunga. Jika ada kereta berhenti untuk memberi lalua anda membelok, ia akan menayangkan bentuk hati sebagai ucapan terima kasih.

Ada lagi ciri pelik, iaitu Smart Windows. Pada beberapa tempat di cermin, ia boleh menayangkan avatar berbentuk manusia yang boleh diajak berbual.

Kemudian, satu ciri rahsia dari Volkswagen ialah satu bentuk hubungan atau komunikasi kereta ini oleh teknologi AI. Komunikasi ini tidak terhad kepada pemiliknya sahaja.

Pelbagai kamera dan pengesan juga memberikan ID.Code fungsi Autonomous Level 4. Dengan itu, anda boleh memusingkan tempat duduk depan 180-darjah, jadi anda boleh berbual dengan penumpang belakang.

Rupa luaran ID.Code ini Volkswagen terangkan sebagai sleek dan seperti jet, memberikan kombinasi SUV praktikal dan kenderaan grand touring sporti.

ID.Code hanyalah sebuah konsep buat masa ini. Tidak dinyatakan jenis rangkaian kuasa, jarak pemanduan, atau sebarang elemen mekanikal.

Tiada juga dinyatakan pelan pengeluaran, walaupun Volkswagen berkata ID.Code memberikan klu tentang hala tuju mereka untuk masa depan di China.

Toyota Yaris G Limited dilancarkan – 600 unit sahaja, RM100k

PEMINAT Toyota Yaris kini boleh mendapatkan varian baharu yang dikenali sebagai Yaris G Limited, yang menawarkan naik taraf prestasi dan rekaan yang lebih sporty.

Bermula dengan bahagian luaran, Yaris G Limited tampil dengan kit aero yang dihiasi trim merah pada bampar hadapan, skirt sisi dan diffuser belakang.

 

Selain itu, ia juga boleh dikenali menerusi lencana G Limited pada bahagian tailgate, serta cat hitam pada bumbung, tiang, cermin sisi dan spoiler.

Ia boleh didapati pelbagai warna termasuk warna dua tona Red Mica Metallic dan Platinum White Pearl.

Apa yang lebih penting, varian ini telah diberikan peningkatan dari segi prestasi. Untuk bahagian enjin, Yaris G Limited mendapat pengawal pendikit dan cold air intake.

Pengawal pendikit mempertingkatkan nisbah input dan output untuk respon enjin yang lebih baik, manakala cold air intake pula meningkatkan pecutan dengan menyedut lebih banyak udara ke enjin.

Tidak pasti sama ada output enjin 1.5-liter empat silinder 2NR-FE kini lebih tinggi atau pun tidak, namun dalam konfigurasi asalnya, enjin itu menghasilkan 107 PS dan 140 Nm.

Pendengalian hatchback ini turut dipertingkatkan menerusi penggunaan chassis brace dan penyerap hentak yang lebih keras bagi mengurangkan olengan dan meningkatkan cengkaman.

Untuk kelengkapan, tiada sebarang perubahan bermakna ia hadir dengan ciri-ciri yang sama seperti Yaris G standard seperti lampu LED, rim 16 inci, skrin sentuh 9 inci dan Toyota Safety Sense (TSS).

Harga jualan Yaris G Limited bermula dari RM99,600 (OTR tanpa insuran) dengan waranti tanpa had perbatuan selama lima tahun.

Untuk naik taraf prestasi pula, setiap aksesori tambahan didatangkan dengan waranti selama satu tahun atau 20,000 km.

Mereka yang berminat dengan Yaris G Limited perlu cepat kerana hanya 600 unit akan ditawarkan.

Toyota bZ3C, bZ3X muncul di Auto China 2024

Segmen EV yang sudah sedia sesak di pasaran China kini dipadatkan lagi dengan kehadiran dua buah model EV daripada jenama nombor satu dunia, iaitu Toyota bZ3C dan Toyota bZ3X.

Kedua-dua model ini sebenarnya telah pun diperlihatkan pada Auto Shanghai 2023 yang dikenali dengan nama bZ Sport Crossover Concept dan bZ FlexSpace Concept.

Apa yang kami faham, model Toyota bZ3C dibangun menerusi kerjasama antara BYD, FAW dan pusat R&D Intelligent ElectroMobility Toyota (IEM), manakala model bZ3X pula hasil kerjasama antara Toyota, Guangzhou Automobile Group Co, GAC Toyota Motor Co. Ltd dan IEM Toyota.

 

Toyota bZ3C membawakan bentuk badan crossover coupe dengan struktur bumbung yang melandai rendah ke belakang, diikuti rekaan luar yang mengingatkan kita pada model bZ4X dan Prius.

Pendekatan yang minimalis seakan Tesla digunakan dalam menghasilkan ruang kabin bZ3C ini, di mana ia menampilkan skrin tengah bersaiz besar, kluster digital yang lebih kecil, sistem pencahayaan ambien yang unik.

 

Sementara Toyota bZ3X pula dilihat lebih besar dimensinya berbanding bZ3C, membawakan binaan badan SUV yang lebih tradisional dan lebih menegak.

Disebabkan garis bumbung yang lebih rata, ruang kabin bZ3X ini nampak lebih luas, dan turut menerapkan elemen rekaan yang minimalis.

 

Selain skrin infohibur dan roda stereng dua jejari, terdapat juga pad pengecasan peranti pintar tanpa wayar berkembar, sistem pencahayaan ambien, serta bumbung kaca panorama.

Sayang seribu kali sayang, ketika artikel ini sedang ditulis tiada sebarang perincian spesifikasi terutama unit rangkaian kuasa yang digunakan oleh bZ3C dan bZ3X didedahkan oleh Toyota.

Untuk makluman, Toyota pada tahun lepas telah pun melancarkan sedan elektrik Toyota bZ3 untuk pasaran China, dimana model tersebut dihasilkan menerusi kerjasama dengan BYD.

Ia dikuasakan oleh motor elektrik 241 hp/303 Nm, dipadankan dengan pek bateri berkapasiti 65.28 kWh di mana ia mampu bergerak sejauh 616 km untuk sekali cas penuh (data CLTC).

 

Toyota bZ3C

 

Toyota bZ3X

 

Toyota bZ3

Mazda EZ-6 guna asas sedan Deepal SL03, EV atau PHEV, mampu capai 1,000 km!

Bertempat di Auto China 2024 yang baru dibuka tirainya hari ini, Mazda menerusi syarikat Changan Mazda Automobile Corp. memperlihatkan dua buah model baharu, iaitu sedan Mazda EZ-6 serta model konsep Mazda ARATA.

 

Mazda EZ-6 merupakan sedan saiz pertengahan yang bakal menggantikan peranan Mazda6, dan dijangka akan dilancarkan di China pada penghujung tahun 2024.

Mazda EZ-6 secara asasnya merupakan Deepal SL03 versi tukar lencana, namun dengan elemen  bahasa rekaan KODO Soul of Motion, konsep Jinba-ittai (kereta dan pemandu bersatu), dan teknologi elektrifikasi yang disalurkan oleh Changan Automobile.

 

Di China, Mazda EZ-6 boleh didapati dalam versi kenderaan elektrik bateri (BEV) dan versi plug-in hybrid (PHEV), di mana versi EV boleh mencapai jarak gerak sejauh 600 km untuk sekali cas penuh.

Versi PHEV pula dikatakan mampu mencapai jarak pemanduan melebihi 1,000 km untuk setangki bahan api penuh.

 

Ciri lain termasuklah tetapan suspensi multi-link di bahagian belakang, spoiler belakang adaptif untuk kestabilan pemanduan berkelajuan tinggi, serta nisbah pembahagian berat ideal 50:50 untuk model BEV.

Tidak banyak perincian berkenaan spesifikasi rangkaian kuasa didedahkan, melainkan ia didatangkan dengan sistem pacuan roda belakang, dengan ukuran dimensi 4,912 mm panjang, 1,890 mm lebar, tinggi 1,485 mm dengan tetapan roda bersaiz 245/45R19.

Ruang kabin Mazda EZ-6 pula mengekalkan elemen minimalis dan mewah, disumbangkan oleh susun atur papan pemuka yang kemas, diikuti dengan penggunaan bahan balutan yang premium.

 

Dalam masa yang sama, Mazda turut memperlihatkan sebuah model konsep SUV yang digelar sebagai Mazda ARATA.

SUV tersebut direka menggunakan tema ‘SOULFUL + FUTURISTIC x MODERN’ yang menerapkan elemen moden masa depan di dalam kenderaan tenaga baharu.

Selain itu, ia juga turut menggandingkan pendekatan bahasa rekaan KODO yang menjadi identiti Mazda.

 

Sama seperti Mazda EZ-6, tidak banyak perincian spesifikasi rangkaian kuasa yang akan digunakan oleh Mazda ARATA didedahkan buat masa ini.

Apa yang pasti, SUV ini membawakan elemen aerodinamik seperti contoh kehadiran terowong udara pada bahagian hadapan, sisi bampar hadapan, diikuti bahagian tiang D.

Mazda ARATA dijangka akan muncul dalam versi produksi sebenar pada akhir tahun 2025 dengan menggunakan nama rasmi Mazda EZ-60.

 

Mazda EZ-6 Sedan

 

Mazda ARATA Concept