Arkib Kategori: BERITA

Ford perkenal aplikasi karaoke pada F-150 Lightning, Mustang Mach-E

Pemilik Ford kini boleh menghilangkan rasa bosan ketika terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas atau menunggu kereta mereka siap dicas menerusi aplikasi karaoke yang dibangunkan bersama syarikat muzik dan media dari Kanada iaitu Stingray.

Menurut Ford, aplikasi tersebut akan tersedia menerusi kemaskini perisian pada F-150 Lightning terlebih dahulu, diikuti dengan Mustang Mach-E.

Apa yang menarik, aplikasi karaoke Stingray menyediakan pelbagai jenis genre lagu dari rock, country, pop, R&B K&J Pop dan Latin, dengan 38 pilihan bahasa termasuk 10 bahasa dalam aksara tempatan seperti Thai, Ibrani, Rusia dan Yunani.

Bukan itu sahaja, aplikasi itu juga mempunyai antaramuka berbilang bahasa dengan 36 bahasa tersedia.

Ciri ini boleh digunakan semasa kereta bergerak atau pun berhenti. Lirik lagu yang sedang dimainkan akan dipaparkan pada skrin sentuh sistem infotainment semasa kereta berhenti dan akan hilang sebaik sahaja kereta bergerak bagi memastikan tumpuan pemandu tidak terganggu.

Semasa kereta bergerak, aplikasi tersebut akan memaparkan kod QR pada skrin sekiranya kenderaan mengesan kehadiran penumpang pada tempat duduk penumpang hadapan dan tali pinggang keledar dipasang.

Penumpang perlu mengimbas kod QR tersebut menggunakan telefon pintar bagi membuka laman web khas yang membolehkan mereka mengawal aplikasi karaoke itu menerusi telefon mereka.

Menerusi cara ini, penumpang boleh menambah lagu ke senarai main (playlist) mereka, menukar lagu, melihat lirik dan mengawal sistem audio kenderaan dengan menggunakan telefon.

Aplikasi karaoke Stingray tersedia untuk F-150 Lightning yang mempunyai sistem infotainment SYNC 4A terlebih dahulu, diikuti dengan Mustang Mach-E di pasaran Amerika Syarikat, Kanada, Mexico dan Eropah.

Bukan itu sahaja, ia juga boleh dimuat turun pada Explorer, dan beberapa model Lincoln tahun 2025 iaitu Navigator, Aviator dan Nautilus.

Remaja rugi RM2,000 jadi mangsa penipuan iklan RX-Z murah di TikTok

Seorang remaja terpaksa menanggung kerugian RM2,000 selepas menjadi mangsa penipuan pembelian motosikal jenis Yamaha RX-Z melalui aplikasi TikTok.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, remaja berusia 18 tahun itu mula melihat iklan jualan motosikal tersebut jam 3 petang pada Ahad.

Menurutnya, iklan oleh akaun ‘motosikal trusted malay’ di aplikasi itu menawarkan motosikal berkenaan pada harga RM4,000.

“Mangsa yang bekerja sebagai buruh tertarik dengan iklan tersebut dan telah menghubungi suspek melalui aplikasi mudah alih WhatsApp dan menyatakan persetujuan untuk membeli motosikal itu.

“Mangsa kemudian telah membuat pemindahan wang sebanyak RM2,000 sebagai bayaran deposit ke akaun yang diarahkan pada jam 4 petang hari yang sama,” katanya di sini pada Selasa.

Menurut Azli, mangsa menyedari ditipu apabila berasa curiga selepas suspek meminta dia membuat bayaran penuh bagi pembelian motosikal tersebut.

“Mangsa seterusnya membuat semakan ke atas akaun kedai tersebut dan mendapati ia adalah ‘scammer’.

“Lelaki tersebut tampil membuat laporan polis pada hari yang sama untuk tindakan lanjut dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

Lotus Theory 1, konsep supercar tiga tempat duduk berkuasa 1,000 PS

Lotus nampaknya masih lagi belum jemu untuk terus memperkenalkan model pantas berkuasa elektrik.

Terbaharu, pengeluar Britain itu memperlihatkan sebuah model konsep yang digelar sebagai Lotus Theory 1.

Supercar berkuasa elektrik itu membawakan tetapan dua motor elektrik dengan sistem pacuan semua roda yang mampu menjana kuasa 1,000 PS.

Pecutan 0-100 km/j mengambil masa kurang daripada 2.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum 320 km/j.

Pek bateri 70 kWh pula membenarkan jarak gerak sejauh 402 km untuk sekali cas penuh.

Binaan casis karbon turut membantu mengekalkan berat badan kurang daripada 1,600 kg.

Selain itu, rekaan luaran Theory 1 juga dikatakan mengambil inspirasi daripada S1 Esprit, dengan profil baji yang tajam serta bentuk cab-forward yang mengimbau kembali layout enjin tengah model Esprit.

Model konsep ini juga turut menampilkan beberapa inovasi yang menarik.

Seperti contoh, sistem robotik adaptif Lotuswear yang dibangunkan bersama Motorskins itu mampu memberikan maklum balas haptik kepada pemandu menerusi bonjolan yang terhasil pada tempat duduk dan roda stereng.

Lotus Theory 1 juga turut didatangkan dengan sistem stereng steer-by-wire, di mana pemandu boleh menentukan nisbah dan respons stereng mengikut kemahuan masing-masing.

Di tengah-tengah tab karbon Theory 1 menempatkan susun atur tiga tempat duduk di mana tempat duduk tengah dikhususkan untuk pemandu manakala penumpang pula duduk di sebelah kanan dan kiri pemandu.

Terdapat skrin paparan head-up disertakan, diikuti dengan unit pembesar suara yang ditanam pada struktur perehat kepala untuk setiap tempat duduk.

Presiden Yamaha cedera diserang anak perempuan sendiri di rumah

Presiden Yamaha Motor, Yoshihiro Hidaka, 61 tahun, dilapor cedera diserang anak perempuannya sendiri menggunakan pisau dapur di kediaman mereka pada Isnin lalu.

Menurut laporan Kyodo News, pihak polis telah menahan Hana Hidaka, 33 tahun kerana disyaki cuba membunuh bapanya sekitar jam 3.00 pagi di kediaman di Iwata, wilayah Shizuoka.

Pihak polis bertindak balas terhadap panggilan yang diterima daripada anak perempuan presiden tersebut yang mendakwa telah dipukul bapanya.

Mereka menambah, wanita tersebut turut menghubungi pihak polis jam 5.30 pm sehari sebelum kejadian.

Wakil syarikat yang berpangkalan di Iwata berkata, pihak syarikat tidak akan memberikan sebarang ulasan terhadap kes tersebut memandangkan ia masih lagi dalam proses siasatan.

Sistem Advanced Rear Seat Reminder Toyota berpotensi selamatkan nyawa kanak-kanak

Kes tertinggal anak di dalam kereta sudah terlalu kerap berlaku, bukan sahaja di Malaysia tetapi di negara-negara lain.

Menyedari keseriusan perkara ini, Toyota telah memperkenalkan sistem Advanced Rear Seat Reminder yang berupaya mengesan pergerakan pada kerusi belakang selepas enjin dimatikan dan pintu dikunci.

Model pertama yang menerima sistem ini adalah Toyota Sienna 2025, MPV tiga baris tempat duduk yang dijual di pasaran Amerika Utara.

Sistem peringatan tempat duduk belakang bukanlah inovasi baharu dalam dunia automotif namun Advanced Rear Seat Reminder lebih canggih kerana ia mampu membuat panggilan ke telefon pengguna.

Menurut Toyota, sistem ini menggunakan sensor yang disembunyikan di dalam pelapik bumbung dan radar 60 GHz untuk mengesan sebarang pergerakan pada tempat duduk barisan kedua dan ketiga.

Jika sistem mengesan pergerakan selepas gear P dimasukkan dan enjin dimatikan, serta pintu pemandu dibuka dan ditutup dan kenderaan dikunci, ia akan memasang lampu kecemasan dan membunyikan penggera pintu sebanyak sembilan kali.

Jika masih terdapat pergerakan yang dikesan dan pintu masih belum dibuka 90 saat selepas amaran awal dicetuskan, Advanced Rear Seat Reminder akan membunyikan hon pula.

Pengguna yang mengaktifkan notifikasi Advanced Rear Seat Reminder pada aplikasi Toyota dan mempunyai langganan Safety Connect yang aktif akan menerima notifikasi dan pesanan teks SMS empat minit selepas hon dibunyikan.

Akhirnya, jika masih tiada apa-apa tindakan selepas dua minit, sistem akan cuba membuat panggilan telefon secara automatik.

Walau bagaimanapun, jika pintu tidak dikunci, lampu kecemasan tidak akan dihidupkan manakala penggera pintu dan hon tidak akan dibunyikan. Sebaliknya, pengguna akan dimaklumkan menerusi SMS selepas 10 minit dan panggilan telefon dua minit selepas itu.

Adakah Toyota akan memperkenalkan Advanced Rear Seat Reminder pada pasaran-pasaran lain? Kami berharap begitu kerana ia berpotensi menyelamatkan banyak nyawa.

4 Wheels Fest bakal berlangsung di Genting Highlands 28-29 Sept

Dengan peningkatan populariti aktiviti outdoor seperti perkhemahan dan pemanduan off-road, kenderaan pacuan empat roda (4WD) kini menjadi pilihan gaya hidup ramai.

Bagi memenuhi keperluan komuniti yang semakin berkembang ini, By The Billions akan menganjurkan acara 4 Wheels Fest pada 28 dan 29 September ini di kawasan letak kereta Resort World Awana, Genting Highlands dari 10 pagi hingga 7 malam. Masuk adalah percuma.

Acara yang didedikasikan terhadap gaya hidup outdoor ini bakal mengumpulkan lebih 200 kenderaan, selain menyatukan pemilik dan peminat 4WD, rakan dan keluarga dengan pelbagai hiburan dan aktiviti menarik.

Bukan itu sahaja, peserta dan pengunjung juga berpeluang mendapatkan pelbagai aksesori, peralatan dan barangan pada harga eksklusif.

Lebih menarik lagi, pelbagai hadiah cabutan bertuah bernilai sehingga RM35,000 turut ditawarkan oleh penaja-penaja terkemuka seperti ARB, Old Man Emu, Tough Dog, RY Ventures, TJM, PIAA, HELLA, Bendix, YSS Suspension, Mannol, dan Santapan by Kembara Kitchen.

 

Para peserta juga ditawarkan peluang untuk mendapatkan penginapan percuma di Resorts World Awana.

Bagi mereka yang ingin memanjangkan keseronokan empat roda, festival ini juga akan menandakan permulaan Rainforest Trophy Expedition yang akan berlangsung selama lima hari empat malam bermula dari 29 September.

Rainforest Trophy Expedition merupakan jenama berprestij di bawah Rainforest Challenge dan disenaraikan dalam tiga cabaran off-road paling sukar di dunia. Ia diadakan sebagai penghormatan kepada ekspedisi Camel Trophy yang cukup popular pada era 80-an dan 90-an.

Ekspedisi ini akan membawa peserta melalui perjalanan sejauh lebih 500 km, termasuk laluan off-road sepanjang 100 km menerusi Jejak Tekai berdekatan dengan sempadan Taman Negara, sebelum berakhir di Holiday Villa Cherating, Pahang.

Semasa ekspedisi ini, syarikat pengeluar seperti Ford akan mengambil peluang untuk menunjukkan kehebatan Ranger Raptor. GWM juga akan turut serta dengan model Tank 300 mereka.

Menurut penganjur, ekspedisi ini merupakan peluang terbaik bagi pemilik 4WD untuk menguji kenderaan mereka dalam persekitaran yang terkawal namun menyeronokkan.

Untuk pendaftaran dan maklumat lanjut mengenai 4 Wheels Festival dan Rainforest Trophy Expedition, layari https://linktr.ee/bythebillions.

Mercedes-Benz GLC350e dilancarkan di Malaysia, ganti GLC300

Selain barisan E-Class W214, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) turut melancarkan GLC350e 4Matic yang dipasang secara tempatan di Pekan, Pahang.

Menggantikan GLC300 yang ditawarkan sebelum ini, varian baharu ini dikuasakan oleh enjin 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 204 PS pada 6,100 rpm dan 320 Nm dari 2,000 hingga 4,000 rpm.

Menyokong enjin tersebut adalah sebuah motor elektrik yang menjana 135 PS (100 kW) dan 440 Nm, memberikan kuasa keseluruhan berjumlah 313 PS dan 550 Nm.

Dengan transmisi 9G-Tronic, GLC350e boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.7 saat dan mencapai kelajuan maksimum 218 km/j.

Motor elektrik berkenaan mendapat bekalan tenaganya daripada bateri voltan tinggi berkapasiti 25.4 kWj yang menawarkan jarak pandu elektrik sejauh 131 km mengikut kitaran WLTP. Bateri tersebut menyokong pengecasan AC 11 kW.

Dari segi kelengkapan, GLC350e menawarkan kelengkapan yang sama dengan GLC300. Ini bermakna ia didatangkan dengan kit badan AMG Line, rim AMG 20 inci, lampu Digital Light dan bumbung suria panoramik.

Masuk ke dalam, anda akan menemui upholsteri kulit Artico, kemasan mikrofiber Microcut, skrin sentuh infotainment 11.9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, panel instrumen 12.3 inci, dan sistem audio Burmester 3D.

Walau bagaimanapun, ruang but GLC350e sedikit kecil iaitu 490 liter berbanding GLC300 yang menawarkan ruang but sebesar 620 liter. Ini disebabkan pek bateri yang diletakkan di bawah lantai but.

Tambahan baru pada GLC350e adalah sistem Driving Assistance Package Plus yang merangkumi ciri-ciri seperti Active Distance Assist DISTRONIC, Active Lane Keeping Assist, Active Stop-and-Go Assist, Active Steering Assist, Active Brake Assist, Active Lane Keeping Assist dan Active Blind Spot Assist.

Turut disertakan adalah ciri Parking Package dengan kamera 360 darjah dan Active Parking Assist dengan PARKTRONIC.

Harga jualan GLC350e bermula dari RM398,888 (OTR tidak termasuk insurans).

Nissan daftar tanda dagang ‘Z Warrior’, petanda kemunculan Z versi off-road?

Segmen kereta sports off-road yang kini disertai oleh Porsche 911 Dakar dan Lamborghini Huracan Sterrato mungkin bakal dimeriahkan dengan sebuah lagi pendatang baharu, kali ini dari negara Matahari Terbit.

Menurut laporan, Nissan telah mendaftarkan tanda dagang ‘Z Warrior’ di pejabat IP Australia yang memberikan petunjuk kemunculan kereta sports Z khusus untuk menawan laluan off-road.

Nissan sebelum ini telah memperlihatkan sebuah konsep Safari Rally Z Tribute yang cukup menarik perhatian.

Diinspirasikan daripada jentera Datsun 240Z yang telah memenangi East African Safary Rally 1971, Nissan Z generasi baharu itu telah diberikan talaan suspensi KW Safari yang lebih tinggi 2 inci, serta rim prototaip Nismo Safari 17 inci yang dibaluti tayar Yokohama Geolander M/T G003.

Penambahan beberapa unit pencahayaan pada hud, bampar dan tiang A melengkapkan lagi rupa paras sebuah jentera rali yang sebenar.

Unit enjin asal juga telah ditala, di mana enjin bentangan V6 3.0 liter turbo berkembar itu telah dipasangkan dengan beberapa komponen Nismo termasuklah klac berkembar, flywheel, unit penukar haba, tangki coolant, sistem kemasukan udara sejuk, pelindung enjin gentian karbon dan sistem ekzos jenis cat-back.

Untuk makluman, Nissan Australia turut menawarkan trim Warrior untuk model seperti Navara dan juga Patrol di mana kedua-dua model ini dilengkapi dengan kit badan dan aksesori yang memang dikhususkan untuk menawan pelbagai jenis bentuk muka bumi.

 

Nissan Safari Rally Z Tribute 2023

Datsun 240Z Rally 1971

Ford Ranger PHEV 2025 debut, kuasa 275 hp, 690 Nm, jarak gerak EV 45 km

Kira-kira setahun selepas pengumuman dibuat, Ford akhirnya secara rasmi melancarkan trak pikap saiz pertengahan Ford Ranger versi plug-in hybrid (PHEV) di IAA Transportaion 2024, Hannover.

Ford Ranger PHEV 2025 dikuasakan oleh enjin EcoBoost 2.3 liter turbo yang dipadankan dengan motor elektrik tunggal 101 hp yang diletakkan dalam perumah transmisi.

Secara keseluruhan, nadi PHEV ini mampu menjana kuasa setinggi 275 hp dan 690 Nm yang jauh lebih bertenaga berbanding Ranger berenjin petrol dan diesel sedia ada (kecuali Raptor).

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda menerusi transmisi automatik 10 nisbah kelajuan dan sistem e-4WD yang menampilkan kekunci pembeza belakang dan kotak pemindahan dwi-julat.

Pek bateri berkapasiti 11.8 kWh itu membolehkan trak pikap ini bergerak dalam keadaan sifar emisi sejauh 45 km, dan boleh dicas penuh dalam masa kurang empat jam.

Selain fungsi brek regeneratif, Ford Ranger PHEV turut dilengkapi dengan sistem Pro Power Onboard, membolehkan para pemilik menggunakan perkakasan kuasa, mengecas peranti elektronik atau sebagai genset untuk kegunaan aktiviti luar grid.

Secara standard, sistem Pro Power Onboard ini membekalkan kuasa 2.3 kW, atau opsyen 6.9 kW.

Disebabkan penambahan sistem PHEV, para jurutera Ford telah menala kembali sistem gantungan trak pikap ini, namun masih lagi mampu membawa muatan seberat 1 tan selain berupaya menunda muatan sehingga 3,500 kg.

Dari sudut luaran, penampilan Ford Ranger PHEV 2025 adalah sama sahaja dengan Ford Ranger standard, kecuali dengan kehadiran port pengecasan yang terletak berdekatan dengan penutup tangki bahan api pada fender belakang.

Dalam masa yang sama, Ford turut melancarkan Ranger Stormtrak edisi khas eksklusif untuk Ranger PHEV.

Antara ciri unik yang dimuatkan termasuklah set rim aloi bersaiz 18 inci, corak sarang lebah pada jeriji, decal khas, kemasan perkataan PHEV, serta warna eksklusif Chill Grey.

Selain itu, Ranger Stormtrak ini juga dilengkapi dengan unit lampu LED Matriks, Flexible Rack System pada bed belakang, diikuti dengan sistem bunyi B&O 10 pembesar suara, skrin infohibur 12 inci dan kamera keliling 360 darjah.

Ford Ranger PHEV akan dipasang di kilang Silverton, Afrika Selatan dan bakal dieksport untuk pasaran Australia, Eropah dan New Zealand menjelang musim bunga 2025.

Goodyear sumbang tayar Cargo Marathon 2 kepada St John Ambulance Malaysia

Goodyear Malaysia baru-baru ini menderma 60 unit tayar Goodyear Cargo Marathon 2 kepada pertubuhan St. John Ambulance Malaysia dengan nilai sumbangan melebihi RM25,000.

Sejak hampir dua dekad, Goodyear Malaysia memainkan peranan aktif dalam menyokong St. John Ambulance untuk memastikan kenderaan kecemasan mereka dilengkapi dengan tayar berprestasi tinggi.

Kolaborasi jangka panjang ini mencerminkan misi dan komitmen Goodyear untuk menyumbang kepada masyarakat dengan memperkasakan pihak yang menjaga kesihatan dan keselamatan awam.

“St. John Ambulance merupakan asas perkhidmatan perubatan kecemasan di Malaysia, dan Goodyear berbesar hati untuk menyokong kerja-kerja kemanusiaan dan amal mereka yang tertumpu pada usaha menyelamatkan nyawa,” kata Ashwin Rajgopal, Pengarah Urusan Goodyear Malaysia.

“Sumbangan terbaharu kami ini mengesahkan dedikasi kami untuk memastikan kenderaan St. John Ambulance mampu berfungsi dengan terbaik di bawah sebarang keadaan jalan raya. Dengan melengkapkan ambulans mereka dengan tayar berteknologi canggihi, kami dapat meningkatkan keselamatan dan kecekapan operasi mereka supaya bantuan disampaikan dengan segera, tanpa sebarang kelewatan,” ujarnya lagi.

Tayar Goodyear Cargo Marathon 2 dipilih untuk memenuhi keperluan perkhidmatan St. John Ambulance dalam respons kecemasan termasuklah di pusat hemodialisis, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2.

Ia mempunyai ciri unggul termasuklah kompaun benang polimer untuk memastikan prestasi pemanduan dan brek di jalan basah yang dipertingkatkan, serta corak bunga tertutup untuk memastikan ketahanan yang dipertingkatkan diikuti perjalanan yang lebih senyap dan lancar.

Proton e.MAS 7 jalani ujian intensif, pastikan EV lasak dan sesuai dengan pasaran tempatan

Pro-Net mendedahkan bahawa kenderaan elektrik nasional pertama iaitu e.MAS 7 kini sedang menjalani ujian jalan raya tempatan.

Menurut Pro-Net, fasa ujian intensif itu melibatkan enam unit e.MAS 7 yang dipandu oleh jurutera pakar Proton merentasi setiap pelusuk di Semenanjung Malaysia.

Ia merangkumi Ujian Ketahanan Adaptif (DAT), Ujian Jalanan Elektrikal (ERT), Ujian Sistem Bantuan Pemandu (ADAS), dan Ujian Kebolehpercayaan Kualiti (QRT), serta penambahbaikan yang berterusan pada sistem navigasi, Digital Head Unit (DHU), dan Penyedia Sistem Telematik (TSP).

Setakat ini, jurutera Proton telah menjalankan simulasi DAT yang dapat membaca faktor persekitaran dan corak lalu lintas unik di Malaysia.

Sistem navigasi dalam kereta telah diperinci dengan teliti untuk menggambarkan peta jalan raya Malaysia dengan tepat dan mengoptimumkan penangkapan frekuensi radio untuk stesen tempatan, memfokuskan laluan luar bandar, kawasan pergunungan, serta stesen kereta api untuk menguji sambungan rangkaian internet.

Sistem elektrik ini disasarkan untuk melengkapkan ujian jalan sejauh 10,000 km semasa Ujian ERT dijalankan untuk memastikan integrasi kesemua fungsi elektronik berjalan dengan lebih lancar.

Sistem ADAS telah diuji dengan teliti dalam pelbagai situasi seperti tempat letak kereta di pusat membeli-belah, di simpang jalan dan di jalan bertingkat.

Jurutera Proton juga telah menyesuaikan komponen perisian utama, memastikan sistem DHU dapat menterjemah bahasa asal pasaran China ke dalam Bahasa Inggeris Malaysia dengan tepat dan disesuaikan dengan tetapan tempatan, bukan hanya sekadar bergantung pada terjemahan umum.

Usaha kolaborasi antara Proton dan Geely ini membuktikan bahawa Proton e.MAS 7 bukan sekadar kenderaan yang ditukar jenama, tetapi merupakan kenderaan yang benar-benar berjiwa Malaysia.

Ujian ketahanan kenderaan, termasuk penyelesaian masalah dan pemeriksaan sistem yang ketat, memastikan daya ketahanan kenderaan mengikuti spesifikasi tempatan.

Jurutera Pro-Net telah melaksanakan 49 proses tambahan ciri unik daripada Geely untuk memastikan e.MAS 7 memenuhi piawaian tertinggi di peringkat tempatan dan global.

Ujian ini merangkumi segala aspek dari prestasi beban kenderaan sehingga ke kawalan kestabilan elektronik dan kebolehan meredah air yang telah dipertingkatkan — di mana hasil ujian e.MAS 7 melepasi Geely Galaxy E5 dengan kedalaman paras air 400 mm.

Ujian ini dijalankan pada bulan Julai dengan kedalaman air yang telah ditetapkan termasuk dengan ujian bonggol jalan untuk menggambarkan keadaan sebenar jalan raya di Malaysia. Satu isu ditemui dan diperbaiki selepas ujian tersebut dijalankan.

Seterusnya, e.MAS 7 akan menjalani akreditasi ASEAN NCAP. Ia juga akan menjalankan QRT untuk mencapai 100,000 km dalam ujian pecutan, prestasi brek dan penggunaan kuasa. Di samping itu, ujian perisian juga menjadi fokus utama jurutera Proton.

Kia buka hab latihan global di Glenmarie, pertama di rantau APAC

Kia Asia Pasifik melancarkan pembukaan hab latihan global Kia Asia Pasific Training Centre yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.

Ia merupakan hab latihan global kelima yang dibuka oleh Kia selepas pembukaan di Amerika Syarikat, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jerman dan Rusia.

Menurut Kevin Ahn selaku Presiden dan CEO Kia Asia Pasifik berkata, “Malaysia telah dipilih daripada senarai 34 buah pasaran APAC disebabkan lokasi yang strategik, membolehkan kami untuk memenuhi keperluan industri yang semakin berkembang.”

Pusat latihan tersebut menampilkan pelbagai jenis kemudahan termasuklah bilik pengajaran teori yang dilengkapi dengan paparan berteknologi tinggi, pusat sumber berkomputer, simulasi pembaikan maya, serta perkakasan khas seperti alat diagnostik Kia.

Model EV terkini Kia seperti EV6 dan EV9, serta model yang bakal dilancarkan seperti EV5 dan EV3 juga turut tersedia untuk tujuan latihan.

Terletak di sebelah pusat latihan ialah Kia 3S Flagship Centre yang menawarkan pendedahan dunia sebenar kepada para pelatih untuk memantapkan lagi kemahiran mereka.

Setelah tamat program, setiap peserta akan menerima sijil pengiktirafan daripada Kia Asia Pasifik yang mengesahkan kemahiran dan kepakaran mereka dalam rangkaian global Kia.

Difahamkan, hab latihan itu mampu memuatkan sehingga 80 orang pelatih pada satu-satu masa, dengan sasaran untuk melatih sehingga 3,000 orang dalam masa setahun untuk menyokong kesemua 34 buah negara dalam rantau Asia Pasifik.

Ducati Malaysia buka bilik pameran di Johor Bahru

Ducati Malaysia telah melancarkan pusat pengedaran terbarunya di Johor Bahru, sekali gus menandakan kehadiran semula Ducati ke Johor selepas 10 tahun.

Menurut Ducati Malaysia, pembukaan cawangan ini merupakan sebahagian daripada komitmennya untuk memperluaskan lagi kehadiran jenama Ducati di selatan Semenanjung Malaysia.

Pusat pengedaran baharu itu terletak secara strategik di No.9 Jalan Permas 9/17, Masai Johor, iaitu bersebelahan Aeon Permas Jaya.

Dengan pelaburan berjumlah RM3.5 juta, kemudahan berkeluasan 2,418 kaki persegi itu merangkumi bilik pameran yang boleh memuatkan sehingga 16 motosikal pada satu-satu masa, serta pusat servis yang canggih dan serba lengkap.

Menurut Ducati Malaysia, pusat servis itu berukuran 2,135 kaki persegi dan dilengkapi dengan empat ruang servis dengan kapasiti untuk menyelenggara sehingga 200 motosikal sebulan.

Selain itu, terdapat juga ruang khas yang mempamerkan barangan dan aksesori tulen Ducati, serta ruang berasingan untuk Scrambler Ducati yang lengkap dengan pakaian, aksesori dan ruang rehat tersendiri.

Ducati Malaysia berkata ia menetapkan sasaran untuk menjual 30 unit motosikal Ducati menjelang akhir tahun ini dan 100 unit pada 2025.

 

Buat masa ini, terdapat lebih 200 motosikal Ducati di Johor dan bilik pameran ini dijangka menjadi lokasi tumpuan Ducatisti di rantau ini.

Pusat pengedaran Ducati Johor dibuka setiap Isnin hingga Sabtu dari 10 pagi hingga 7 malam. Bilik pameran tetap beroperasi pada hari Ahad dari 10 pagi hingga 3 petang.

BMW M5 Touring lebih garang dengan M Performance Parts

BMW M5 Touring baharu, yang diperkenalkan kepada dunia pada Ogos lalu, adalah antara kereta terberat dalam pasaran dengan berat keseluruhan sekitar 2,508 kg.

Oleh itu, BMW telah memperkenalkan pilihan aksesori M Performance Parts yang merangkumi pelbagai jenis komponen yang diperbuat daripada gentian karbon dan gentian sintetik aramid.

Tidak pasti berapa banyak berat yang dapat dikurangkan namun kit ini membuatkan M5 Touring kelihatan lebih garang, sepadan dengan prestasinya yang seakan supercar.

Ia bermula dengan bahagian hadapan, di mana M5 Touring mendapat splitter gentian karbon yang membuatkan bampar kelihatan lebih menonjol.

Di belakang pula terdapat diffuser gentian karbon yang terbahagi kepada dua bahagian. Ia boleh dipadankan dengan ekzos M Performance untuk impak visual yang lebih hebat.

Selain itu, kit M Performance Parts juga merangkumi pelekat badan dalam warna Frozen Black, serta tambahan untuk skirt sisi (sill extensions) untuk membuatkan wagon ini nampak lebih lebar.

Untuk penampilan yang lebih agresif, pelanggan juga boleh mendapatkan cermin sisi gentian karbon dan pelindung aerial M Performance.

Turut ditawarkan adalah penutup tangki minyak yang boleh menjadikan “setiap isian minyak seperti hentian pit”, karpet lantai M Performance, pelindung kunci yang diperbuat daripada Alcantara dan kulit, serta beg tayar.

Sudah tentu, aksesori M Performance Parts ini tidak membawakan sebarang peningkatan dari segi prestasi. Namun M5 Touring sebenarnya sudah cukup menggerunkan dengan enjin 4.4-liter biturbo V8 hibrid yang menjana 717 hp dan 1,000 Nm.

Bentley Flying Spur Speed 2025, kini dengan nadi V8 hibrid yang lebih berkuasa!

Ini ialah generasi keempat sedan mewah Bentley Flying Spur Speed 2025, dengan rupa paras yang hampir seiras dengan sedan generasi ketiga.

Sememangnya tidak banyak perubahan besar dibuat pada aspek luaran, melainkan dengan rekaan jeriji, rim aloi baharu bersaiz 22 inci, serta rekaan liang bukaan pada bampar.

Malah untuk ruang kabin juga perubahan yang dibawakan lebih bersifat minima, kecuali corak “Precision Diamond” yang dibawakan pada tempat duduk dan juga panel pintu.

Perubahan besar sebenarnya datang pada ruang enjin, di mana nadi W12 yang telah dihentikan produksi itu telah digantikan dengan unit rangkaian kuasa Ultra Performance Hybrid.

Enjin bentangan V8 4.0 liter turbo berkembar itu mampu menghasilkan kuasa 592 hp, digandingkan dengan motor elektrik 187 hp.

Secara keseluruhan, Bentley Flying Spur 2025 mampu menjana kuasa 771 hp dan 1,000 Nm, menjadikan pecutan 0-100 km/j diselesaikan dalam masa 3.5 saat sahaja.

Pek bateri 25.9 kWh pula menawarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 76 km.

Dalam mod pemanduan EV, Flying Spur 2025 ini boleh bergerak menggunakan kuasa 187 hp/450 Nm dengan kelajuan dihadkan kepada 140 km/j sahaja.

Gandingan bateri dan tangki bahan api penuh membolehkan Flying Spur Speed ini bergerak sejauh 829 km.

Secara standard, Bentley melengkapkan model Flying Spur Speed ini dengan pelbagai teknologi casis yang moden, termasuklah Bentley Performance Active Chassis, stereng semua roda, suspensi Bentley Dynamic Ride, torque vectoring aktif dan pembeza gelincir terhad kawalan elektronik.

Untuk memastikan tiada dua Bentley Flying Spur memiliki spesifikasi kemasan yang sama, Bentley menawarkan sehingga 10 bilion pilihan penyesuaian tersedia tidak termasuk opsyen bespoke daripada divisyen Mulliner.

Untuk luaran sahaja, terdapat lebih 101 pilihan warna, diikuti dengan 700 kombinasi warna upholsteri kulit, lapan kemasan venir kayu dan tiga kemasan teknikal untuk ruang kabin.

Bentley menawarkan sistem audio 650 watt dengan 10 pembesar suara sebagai ciri standard, namun pembeli boleh mendapatkan naik taraf sistem Bang & Olufsen 1,500 watt dengan 16 pembesar suara, atau sistem 2,200 watt dengan 19 pembesar suara dan Active Bass Transducers tertanam pada tempat duduk depan.

Tidak cukup dengan itu, Flying Spur ini turut dilengkapi dengan kaca berlamina pada bahagian cermin hadapan dan sisi untuk menjadikan kabin 9dB lebih senyap.

Akhir sekali, terdapat opsyen Wellness Seating Specification tersedia untuk kesemua empat tempat duduk untuk memastikan setiap penumpang kekal selesa sepanjang masa.

Toyota Prius pecah rekod dunia, catat 2.5L/100 km untuk perjalanan lebih 5,000 km!

Satu rekod baharu dunia untuk kadar penggunaan bahan api yang paling rendah telah tercatat dalam Guinness World Record untuk jarak pemanduan melebihi 5,000 km, iaitu 2.5L/100 km.

Jauh lebih jimat berbanding angka rasmi 57 MPG (4.12 liter/100 km) yang dikeluarkan oleh Toyota!

Wayne Gerdes memandu sebuah Toyota Prius LE dari Los Angeles City Hall menuju ke New York City Hall, dengan jarak perjalanan sejauh 5,168.7 km.

Sepanjang perjalanan tersebut, beliau perlu menempuh laluan berketinggian 2,100 m selain menempuh kawasan gurun Mojave di mana suhu boleh mencecah setinggi 40 darjah Celcius.

Untuk mencapai angka tersebut, Gerdes mencadangkan beberapa tips yang boleh digunakan untuk meningkatkan tahap kecekapan penggunaan bahan api.

Antaranya ialah bergerak dengan perlahan dari pegun dan dalam masa yang sama mengekalkan tekanan yang sekata pada pedal pendikit.

Selain itu, untuk berhenti di satu-satu tempat, Gerdes lebih gemar mengalihkan kaki daripada pendikit lebih awal dan menggunakan momentum kereta sebanyak mungkin.

“Untuk cubaan rekod sebegini, ia memerlukan perancangan yang rapi. Anda perlu mempunyai pelan, dan mampu untuk mengubah perancangan dengan cepat.

“Jadi, sekiranya keadaan berubah, anda harus menukar perancangan anda. Ubah laluan. Fikirkan apa yang anda boleh lakukan untuk mencapai matlamat tersebut,” ujarnya lagi.

Toyota Prius LE mempunyai kapasiti tangki bahan api sebesar 43 liter, jadi berdasarkan pengiraan ringkas, Gerdes mungkin mampu mencapai jarak sejauh 1,693 km setiap kali pengisian tangki penuh dibuat.

Ia ternyata satu angka yang cukup impresif, memandangkan angka rasmi yang dikeluarkan oleh Toyota hanyalah sekitar 1,036 km sahaja.

Mercedes-Benz E-Class W214 kini di Malaysia – dua varian, harga dari RM356k

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) telah melancarkan model sedan E-Class generasi ke-10 (W214) untuk pasaran tempatan.

Sedan eksekutif itu ditawarkan dalam dua varian yang dipasang secara tempatan iaitu E200 Avantgarde Line dan E350e AMG Line. Harga jualan bermula dari RM355,888 untuk E200 dan RM418,888 untuk E350e.

E200 merupakan model mild hybrid yang menggabungkan enjin 2.0-liter empat silinder dengan 204 hp/320 Nm, dan Integrated Starter-Generator (ISG) yang membekalkan tenaga tambahan sebanyak 17 kW dan 205 Nm.

Hasilnya, ia boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 240 km/j.

Sementara itu, E350e pula menampilkan trenkuasa hibrid plug-in yang menawarkan kuasa keseluruhan sebanyak 313 hp dan 500 Nm.

Menurut Mercedes-Benz, varian ini boleh bergerak sejauh 118 km dan memecut sehingga 140 km/j dengan menggunakan kuasa elektrik yang dibekalkan oleh bateri bervoltan tinggi dengan kapasiti 25.4 kWj.

Apa yang menarik, selain pengecas AC 11 kW, E350e turut menyokong pengecasan pantas sehingga 55 kW yang mengambil masa kira-kira 20 minit untuk mengecas bateri dari 10% hingga 80%.

Selain trenkuasa, E200 dan E350e juga banyak berbeza dari segi penampilan dan kelengkapan. Sebagai varian tertinggi, E350e tampil lebih garang berbanding E200 dengan kit badan AMG Line dan rim aloi AMG berukuran 20 ini.

Selain itu, varian itu juga didatangkan dengan lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, serta bumbung suria panoramik.

Di dalam, E350e dilengkapi dengan sistem MBUX Superscreen yang merangkumi tiga skrin iaitu panel instrumen digital 12.3 inci, skrin sentuh 14.4 inci dan skrin penumpang 12.3 inci.

Sistem infohibur MBUX kini mempunyai App Store di mana pengguna boleh memuat turun pelbagai jenis aplikasi seperti TikTok, Angry Birds, Zoom, Webex dan pelbagai lagi.

Untuk aplikasi persidangan video seperti Zoom dan Webex, pengguna boleh membuat panggilan atau rakaman video menggunakan kamera swafoto yang terletak di atas papan pemuka.

Bukan itu sahaja, aplikasi penstriman muzik seperti Spotify dan Apple Music juga telah diintegrasikan ke dalam sistem MBUX.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan pencahayaan ambien (Active Ambient Lighting pada E350e) yang membaluti bahagian hadapan panel instrumen dan panel pintu.

Selain itu, E-Class kini menawarkan fungsi kunci kenderaan digital yang membolehkan pengguna membuka kunci atau menghidupkan enjin dengan menggunakan iPhone atau Apple Watch.

Sebagai pelengkap pakej, varian E350e juga mendapat sistem audio Burmester 4D dengan 21 pembesar suara, termasuk dua transducer pada setiap tempat duduk untuk fungsi urutan akustik.

Tesla Malaysia buka pusat servis, stesen Supercharger V4 di Pulau Pinang

Tesla Malaysia mengumumkan pembukaan pusat servis baharu yang terletak di Seberang Jaya, Pulau Pinang.

Pembukaan pusat servis yang turut dilengkapi dengan bengkel badan dan cat (B&P) itu dijangka dapat menampung jumlah pelanggan yang semakin meningkat di wilayah utara tersebut.

Selain daripada itu, pemilik Tesla boleh mengecas kenderaan elektrik mereka di stesen Supercharger V4 yang terletak di kawasan parkir kenderaan tingkat B1 Gurney Plaza.

Terdapat empat nozel pengecas 250 kW disediakan dengan kadar caj RM1.25/kWh.

Sehingga kini, Tesla menyediakan sehingga 12 stesen Supercharger dengan jumlah sebanyak 56 buah nozel pengecas, serta 13 buah stesen Pengecas Destinasi dengan 69 buah pengecas di seluruh Malaysia.

Mitsubishi Xpander 2024 facelift, tempahan dibuka, harga anggaran RM115k

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan pembukaan tempahan bagi model MPV tujuh tempat duduk Mitsubishi Xpander 2024 facelift.

Menurut CEO Mitsubishi Motors Malaysia, Shinya Ikeda berkata, “Xpander bukan sahaja meraih populariti di Malaysia, malah ia juga popular di rantau ASEAN.

“MMM telah memperkenalkan Xpander untuk pasaran Malaysia pada tahun 2020, dan pada bulan lepas kami meraikan 40,000 pemilik Xpander di atas jalan raya. Sebagai model MPV bukan nasional nombor satu, Xpander kini merupakan salah satu model terpenting bagi Mitsubishi Motors,” ujarnya lagi.

Versi facelift membawakan perubahan bersifat kosmetik, di mana Xpander 2024 kini tampil dengan unit pencahayaan yang lebih moden dan agresif, kit badan berserta spoiler belakang yang dapat memenuhi citarasa gaya hidup aktif.

Xpander juga menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 225 mm – yang terbaik dalam kelasnya – serta ruang kargo sebesar 837 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

Selain itu, Xpander facelift didatangkan dengan ciri seperti kamera perakam video pemanduan serta brek parkir elektrik yang dapat membantu meningkatkan pengalaman pemanduan secara keseluruhan.

Untuk pasaran Malaysia, Xpander 2024 masih lagi dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter berkuasa 105 PS dan 141 Nm, dipadankan dengan kotak gear automatik empat kelajuan, berbanding transmisi CVT di pasaran ASEAN yang lain.

Untuk tempoh terhad, Mitsubishi Xpander 2024 facelift boleh ditempah pada harga RM115k, di mana 500 pelanggan pertama yang menempah menerusi Mitsubishi Online Showroom akan menerima Naturehike Camping Wagon bernilai RM400.

BYD Xia diperkenalkan secara rasmi, alternatif kepada Denza D9 yang lebih mampu milik?

Di samping Denza D9 dan M6, BYD kini mempunyai satu lagi penawaran yang boleh memberikan saingan sengit dalam pasaran MPV.

Ia dikenali sebagai BYD Xia dan menurut syarikat itu, Xia merupakan model flagship dalam siri Dynasty. Namanya dipilih sempena dinasti tertua dalam sejarah China yang mula memerintah pada 2070 SM.

Xia mempunyai ukuran panjang 5,145 mm, lebar 1,970 mm dan tinggi 1,805 mm, menjadikannya 105 mm lebih pendek, 10 mm lebih lebar dan 115 mm lebih rendah berbanding D9. Ukuran tapak roda Xia adalah 3,045 mm, 65 mm lebih pendek berbanding tapak roda D9.

Tanpa pengaruh Mercedes-Benz seperti yang ditunjukkan menerusi D9, reka bentuk luaran Xia jelas nampak kurang mewah. Ini masuk akal kerana BYD adalah jenama untuk pasaran massa, manakala Denza pula adalah sub-jenama BYD sendiri yang mengkhususkan dalam kenderaan mewah.

Namun begitu, rekaannya masih mampu menarik perhatian pembeli dengan elemen ‘Dragon Face’ dan gril besar pada bahagian hadapan, serta lampu melintang yang merentangi sepenuhnya bahagian belakang.

Ruang dalaman masih belum didedahkan namun menurut CarNewsChina, Xia menawarkan tujuh tempat duduk dalam konfigurasi 2+2+3, di samping ciri-ciri seperti skrin sentuh besar dan stereng flat bottom.

Xia tampil dengan trenkuasa hibrid plug-in DM-i generasi kelima yang dikhabarkan menggabungkan enjin turbo 1.5-liter dengan 200 hp dan sebuah motor elektrik berkuasa 268 hp.

Trenkuasa itu dilaporkan menawarkan jarak pandu elektrik sejauh 200 km, menunjukkan yang ia mungkin dilengkapi dengan bateri Blade berkapasiti tinggi.

Selain itu, Xia menggunakan sistem suspensi boleh laras dengan sistem elektromagnetik DiSus-C seperti yang digunakan oleh Tang dan Han. Teknologi lain yang turut disertakan termasuk DiPilot ADAS dan sistem kokpit DiLink 150.

Xia akan memasuki pasaran China tahun ini dengan harga bermula dari 300,000 yuan (RM182,756), lebih murah daripada D9 yang dijual pada harga antara 339,800 yuan hingga 469,800 yuan (RM207,010-RM286,210).