Arkib Kategori: BERITA

7 model rebadge Proton yang paling ikonik

Perkataan rebadge mempunyai konotasi yang cukup buruk dalam kalangan peminat kereta di Malaysia. Bagi golongan ini, rebadging atau pelencanaan semula adalah satu amalan hina yang tidak sepatutnya dilakukan oleh mana-mana syarikat yang mensasarkan untuk menjadi pengeluar kenderaan terkemuka.

Tetapi mereka tidak tahu bahawa rebadge mempunyai kelebihan tertentu yang boleh membantu syarikat itu berkembang dalam peringkat awal perniagaannya.

Kelebihan utama rebadge adalah ia membantu syarikat menjimatkan kos R&D. Membangunkan sesebuah kenderaan dari awal menelan belanja yang amat tinggi dan tidak semua jenama, terutamanya yang baharu, berani berbuat demikian kerana tidak mahu berdepan risiko kerugian besar.

Jadi melalui proses rebadge, syarikat bukan sahaja dapat mengurangkan perbelanjaan R&D, malah dapat menjual produk mereka pada harga lebih mampu milik untuk pasaran sasaran mereka.

Bagi Proton, inilah jalan yang telah diambil sejak mula ditubuhkan pada 1983. Dengan Mitsubishi sebagai rakan teknikalnya pasa masa itu, pengeluar kenderaan nasional itu akhirnya melancarkan kereta pertamanya iaitu Proton Saga dua tahun selepas penubuhannya.

Sedar tak sedar, rupanya sudah hampir 40 tahun berlalu sejak kereta pertama Proton itu diperkenalkan. Hari ini, Proton secara teknikalnya masih lagi rebadge kereta dari pengeluar lain cuma penglibatannya dalam keseluruhan proses lebih mendalam.

Bagi mengimbas semula kenangan, jom lihat tujuh kereta rebadge Proton yang paling ikonik pernah ditawarkan:

Saga

Kereta yang memulakan segala-galanya buat Proton. Dilancarkan oleh Tun Mahathir, Saga dibina berasaskan Mitsubishi Lancer Fiore dan dijual sehingga 1992 sebelum digantikan oleh Saga Iswara. Ia kini dalam generasi ketiga yang dibangunkan menggunakan platform Proton sendiri.

Wira

Wira merupakan model rebadge kedua dari Proton yang dikeluarkan selama 16 tahun dari 1993 hingga 2009. Dibangunkan berdasarkan Lancer tahun 1991, ia boleh didapati dalam bentuk sedan empat pintu atau hatchback lima pintu yang dikenali sebagai Aeroback. Ia mempunyai beberapa versi menarik seperti 1.8 EXI Limited (C99) dan Sembilu.

Satria

Model generasi pertama Satria dikeluarkan dari 1994 hingga 2006 dengan menggunakan Mitsubishi Mirage Cyborg sebagai asas. Hatchback ini telah melahirkan dua model berprestasi yang ditala oleh Lotus iaitu Satria GTi dan Satria R3. Ia digantikan oleh Satria Neo yang dijual sehingga 2015.

Putra

Foto: Wikipedia

Siapa sangka, jenama yang baru bertapak sudah berani menghasilkan coupe? Dibina menggunakan asas Mitsubishi Mirage Asti, Putra hanya boleh didapati dengan enjin 1.8L 4G93P yang turut digunakan oleh Wira 1.8 EXI Limited dan Satria GTi.

Arena

Foto: wheel-size.my

Juga dikenali sebagai Jumbuck di pasaran luar negara, Arena secara asasnya adalah Wira yang telah dipotong dan disambungkan dengan ruang kargo seperti trak pikap. Ia boleh didapati dalam tiga varian iaitu Freestyle, Sportdeck dan Fastback, setiap satu dengan spesifikasi berbeza bagi memenuhi keperluan pelanggan yang pelbagai.

Juara

Foto: Facebook ProtonPro

Satu lagi model rebadge yang dihasilkan dengan kerjasama Mitsubishi, Juara merupakan van mikro yang menggunakan Mitsubishi Town Box Wide sebagai asas. Ia dipasarkan sebagai kenderaan gaya hidup namun sambutan yang diterima hambar menyebabkan Proton menghentikan jualannya pada 2004, iaitu hanya tiga tahun selepas dilancarkan.

X70

Dilancarkan pada penghujung 2018, X70 merupakan model penting dalam lembaran sejarah Proton kerana ia merupakan produk pertama yang terhasil selepas penggabungan dengan Geely, serta SUV pertama bagi Proton. Ia dilihat sebagai model yang bertanggungjawab mengembalikan kepercayaan pelanggan terhadap pengeluar kenderaan nasional itu.

500 unit pertama Jaecoo J7 diserah kepada pengedar

JAECOO Malaysia secara rasminya telah menyerahkan 500 unit Jaecoo J7 yang pertama kepada para wakil pengedar.

Syarikat itu berkata, ia telah bekerja keras sepanjang tempoh tujuh bulan lepas untuk memantapkan ekosistem dan rangkaian kendiri, dan akhirnya menjayakan pelancaran rasmi SUV itu pada pertengahan Julai lalu.

Tiga minggu selepas pelancaran, jenama kini memenuhi janjinya untuk menyerahkan kelompok pertama SUV J7 pada suku ketiga tahun ini, iaitu dalam tempoh masa yang dijadualkan.

“Kami amat teruja untuk menyerahkan 500 unit pertama SUV J7 kami dan sudah tentu seronok untuk memberi peluang kepada pelanggan memandu SUV kegunaan lasak premium terhangat di Malaysia,” kata Naib Presiden Eksekutif Chery Corporate Malaysia, Leo Chen.

500 unit J7 yang diserah kepada wakil pengedar merupakan varian pacuan semua roda (AWD). Manakala, kelompok J7 seterusnya yang akan diserahkan pada bulan September kelak akan terdiri daripada varian pacuan dua roda (2WD).

Jaecoo J7 dijual pada harga RM148,800 bagi varian AWD, dan RM138,800 bagi 2WD, meletakkannya sebagai pencabar utama dalam kategori SUV segmen C, iaitu sebagai sebuah jenama mewah yang mampu dimiliki.

“Tumpuan kami ialah untuk mengekalkan momentum kukuh bagi memenuhi pesanan yang dibuat untuk J7 pada bulan-bulan akan datang. Kami juga berbesar hati untuk berkongsi bahawa rangkaian kami bersedia untuk membawakan pengalaman pelanggan premium yang berpegang kepada falsafah jenama “From Classic, Beyond Classic” Jaecoo, dari saat penyerahan kenderaan kepada perkhidmatan lepas jualan,” kata Naib Persiden JAECOO Malaysia, Emily Lek.

Kedua-dua varian Jaecoo J7 disediakan dengan waranti tujuh tahun/150,000 km, sebagai bukti keyakinan jenama tersebut terhadap inovasi dan kualitinya.

Para pelanggan disokong oleh rangkaian pengedar yang meliputi 35 lokasi di seluruh negara, sebuah kilang pengeluaran terkhusus dan gudang alat ganti tulen Jaecoo, untuk memastikan sokongan lepas jualan yang pantas dan lancar.

Dacia Sandero kalahkan Tesla Model Y sebagai kereta paling laris di Eropah Jan-Jun ’24

Kereta elektrik kini bukan lagi satu produk yang diburu ramai, dan trend yang semakin sendu itu kini memeningkan kepala kebanyakan syarikat pengeluar EV.

Penurunan permintaan terhadap EV yang turut melanda benua Eropah menyaksikan Tesla Model Y terpaksa turun takhta dan tidak lagi menjadi kereta yang paling laris terjual.

Data terbaharu daripada Kesatuan Eropah (EU) mendedahkan Dacia Sandero muncul sebagai kereta yang paling laris terjual sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2024, di mana sebanyak 143,596 unit telah didaftarkan.

Dacia Sandero menjadi pilihan utama kebanyakan pembeli disebabkan harga jualan yang agak murah, bermula dari €11,500 (RM56 ribu).

Duduk di tempat kedua ialah VW Golf dengan 126,993 unit, diikuti Renault Clio (114,623 unit), VW T-Roc (111,381 unit) dan Peugeot 208 (107,097 unit).

Tesla Model Y pula nampaknya terpaksa berpuas hati di tangga kelapan dengan jumlah jualan sebanyak 101,181 unit untuk tempoh enam bulan pertama tahun ini.

Berikut merupakan senarai kereta yang paling laris terjual di Eropah sepanjang Januari-Jun 2024.

1. Dacia Sandero (143,596 unit)
2. VW Golf (126,993 unit)
3. Renault Clio (114,623 unit)
4. VW T-Roc (111,381 unit)
5. Peugeot 208 (107,097 unit)
6. Skoda Octavia (102,945 unit)
7. Citroen C3 (102,304 unit)
8. Tesla Model Y (101,181 unit)
9. Toyota Yaris Cross (99,694 unit)
10. Toyota Yaris (93,576 unit)

Ini 7 ciri kereta yang paling tak berguna, tak ada pun tak apa!

SEPERTI industri-industri lain, industri automotif telah mendapat banyak manfaat daripada kemajuan teknologi. Dari dahulu hingga ke hari ini, kepelbagaian inovasi yang dibawa ke hadapan oleh para pengeluar telah menjadikan pemanduan semakin efisien, seronok dan selamat.

Namun ketika syarikat-syarikat kereta berlumba-lumba memperkenalkan teknologi terkini kepada pengguna, tidak dinafikan ada di antara rekaan yang dihasilkan tidak membawa sebarang kelebihan kepada pemanduan, malah menyusahkan serta mengganggu tumpuan pemandu.

Pada pendapat penulis, ini adalah tujuh ciri kereta yang paling tidak berguna:

Integrasi aplikasi pemesejan

Sistem seperti Apple CarPlay dan Android Auto sangat berguna jika anda inginkan akses cepat ke aplikasi navigasi seperti Waze dan penstriman muzik seperti Spotify. Tetapi fungsinya tidak terhad setakat itu sahaja – ia juga boleh membaca dan membalas mesej yang anda terima dalam aplikasi Whatsapp atau Telegram menerusi arahan suara. Ini sudah tentu akan mengganggu tumpuan pemandu.

Arahan suara

Fungsi arahan suara direka untuk membantu pemandu mengawal fungsi-fungsi tertentu kereta tanpa perlu menggunakan tangan. Bunyi macam bagus tetapi berdasarkan pengalaman penulis, ada sistem arahan suara yang sukar mengenal pasti dialek Bahasa Inggeris yang dituturkan oleh pemandu Malaysia, jadi keseluruhan proses menjadi lebih rumit dan akhirnya, pemandu tidak dapat menumpukan perhatian.

Kawalan gestur

Ini satu lagi ciri yang tidak ada kegunaan sebenar selain menjejaskan tumpuan pemandu di jalan raya. Fungsi sistem ini sama sahaja dengan arahan suara tetapi ia tidak menggunakan suara, sebaliknya pergerakan tangan untuk melakukan kerja-kerja mudah seperti menguatkan atau memperlahankan radio atau menerima panggilan. Apa salahnya guna butang dan tombol yang dah disediakan?

Meter daya G

G-Force (G untuk graviti) ialah ukuran pecutan, yang dicipta apabila objek memecut, memperlahankan atau menukar arah. Di dalam pesawat, meter daya G penting supaya juruterbang tahu yang mereka tidak melangkaui batasan semasa membuat penerbangan. Di dalam kereta? Ia hanya digunakan untuk menunjuk-nunjuk sama sesi track day.

Pengecas tanpa wayar

Kebanyakan, kalau bukan semua, kenderaan masa kini didatangkan dengan port pengecas USB Type A dan Type C bagi membolehkan penumpang mengecas peranti mereka ketika berada di dalam kereta. Kabel sudah cukup baik untuk pengecasan namun kabin boleh menjadi agak berselerak. Oleh itu, pengeluar mula meletakkan pengecas tanpa wayar di dalam kabin. Bagus cuma ia mengambil masa yang lama untuk mengecas dan selalunya, telefon akan menjadi panas.

Auto Start/Stop

Foto: bestride.com

Sistem ini direka khas untuk menjimatkan penggunaan bahan api namun cara ia beroperasi sangat mengganggu pemanduan, terutamanya ketika memandu di dalam trafik yang agak sesak. Malah, perkara pertama yang penulis lakukan apabila mengambil kereta pandu uji adalah dengan memadamkan fungsi ini. Berapa banyak sangat petrol yang dapat dijimatkan dengan sistem ini? Belum lagi sentuh bab wear and tear.

Pendingin hawa yang boleh dikawal menerusi skrin sentuh

Semakin lama, jumlah butang dan tombol fizikal yang digunakan di dalam kereta semakin berkurangan. Semua fungsi kini disepadukan di dalam sistem infohibur dan hanya boleh diakses menerusi skrin sentuh. Pendekatan ini memang berkesan dalam menghasilkan kabin yang lebih kemas tetapi sebagai pemandu, fungsi-fungsi tertentu seperti pendingin hawa masih memerlukan kawalan secara fizikal bagi membolehkan kami mengekalkan tumpuan di jalan raya.

Volvo EX30 kini dibuka tempahan – EV dengan 422hp, jarak pemanduan sehingga 480km

VOLVO Car Malaysia (VCM) nampaknya akan melancarkan EX30 tidak lama lagi. Tempahan telah dibuka, dan anda yang berminat boleh mula mendaftar di laman khas baru dibuka.

Volvo EX30 ialah kenderaan elektrik (EV) kompak generasi baharu dari pengeluar Sweden itu. Ia mempunyai ukuran 4,223mm panjang, 1,837mm lebar, 1,555mm tinggi, dan jarak roda 2,650mm.

Bergantung kepada varian, SUV ini dibekalkan dengan bateri nikel manganese kobalt (NMC) berkapasiti 69kWh. Ia boleh dicas menggunakan AC 11kWh (7.5 jam) atau DC 153kW (26.5 minit dari 10 hingga 80 peratus).

Belum dapat dipastikan lagi varian mana yang pasaran Malaysia akan dapat, tetapi EX30 didatangkan dengan tiga pilihan konfigurasi motor.

Core Single Motor Extended Range dan Ultra Single Motor Extended Range masing-masing dengan satu motor elektrik di belakang, dengan output 268hp dan 343Nm, dan jarak pemanduan 480km.

Varian lebih tinggi ialah Ultra Twin Motor Performance dengan dua motor elektrik, dan output 422hp dan 543Nm tork. Jarak pemanduan sedikit rendah, iaitu 460km mengikut kitaran WLTP.

Seperti Volvo sebelum ini, kabin EX30 cukup minimalis tetapi menggunakan rekaan baharu sepenuhnya. Papan pemuka mendapat skrin infotainmen menegak bersaiz 12.3-inci dengan perisian seperti Google, Apple, dan Qualcomm. Terdapat juga ECARX, dan semua ini boleh dikemas kini secara over-the-air.

EX30 juga didatangkan dengan kunci digital yang boleh diintegrasikan dengan pelbagai model telefon pintar, dengan aplikasi untuk fungsi seperti mengecas, lokasi, mengunci, dan memanas. Park Pilot Assist pada EX30 merupakan versi terkini.

Berminat dengan SUV elektrik terbaharu Volvo? Anda boleh daftarkan minat di pautan ini.

Motosikal 150cc dan ke atas wajib ada ABS menjelang 2025 – MIROS

Motosikal baharu dengan kapasiti enjin 150cc dan ke atas yang dijual di negara ini mestilah dilengkapi dengan Anti-lock Braking System (ABS) bermula 1 Januari 2025. Perkara ini dinyatakan oleh Malaysian Institute of Road Safety Research (MIROS).

Menurut laporan oleh The Star, keperluan mandatori itu susulan kajian dua tahun oleh Kementerian Pengangkutan bagi menangani pertambahan kematian membabitkan motosikal.

“ABS mampu mengurangkan kemalangan dan kematian melibatkan motosikal sehingga 30 peratus. Ia membantu mengelakkan tergelincir supaya penunggang tidak hilang kawalan motosikal,” kata pengerusi MIROS, Dr Wong Shaw Voon.

Ditanya sama ada ABS boleh di-retrofit pada motosikal lama yang dibeli sebelum 1 Januari 2025, katanya ia bergantung kepada model.

Wong memberi peringatan kepada pemilik motosikal supaya tidak memasang ABS sekiranya ia tidak boleh dibuat.

Sistem ini menggunakan pengesan pada kedua-dua tayar untuk menentukan kelajuan roda dan memastikan roda tidak terkunci, dan pengesan ini bertindak 10 kali sesaat.

Ini meningkatkan kestabilan motosikal dan membenarkan penunggang mengawal dengan lebih baik jika tayar tidak tergelincir.

Pada masa ini, ABS hanya ditawarkan pada motosikal berkapasiti lebih besar seperti 400cc dan ke atas. Tetapi, terdapat juga motosikal antara 160cc hingga 200cc dilengkapi ABS.

Menurut angka Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dijangkakan berlaku satu kematian setiap dua jam disebabkan oleh kemalangan motosikal di Malaysia.

Pada 2022, 6,080 orang terkorban dalam kemalangan jalan raya seluruh negara. Tahun lepas, angka meningkat menjadi 6,443.

Pakar psikologi Malaysia Traffic and Road Safety, Prof Dr Rozmi Ismali menggariskan kenaikan kemalangan motosikal yang drastik dalam kalangan penghantar makanan sejak 2020.

“Kebanyakan mereka baru menamatkan sekolah, cari paling cepat mencari pendapatan pada masa ini ialah dengan menjadi penunggang penghantar makanan.

“Disebabkan masih muda, mereka cenderung menunggang laju dan melanggar undang-undang jalan raya kerana mahu membuat lebih banyak penghantaran dalam sehari,” katanya.

Rozmi mencadangkan penunggang penghantar makanan diberikan latihan keselamatan jalan raya tambahan.

Katanya, modul latihan sebegini mampu meliputi aspek mental dan emosional untuk menjadi penunggang motosikal yang lebih baik.

“Insentif juga boleh diberikan kepada syarikat-syarikat penghantaran dengan rekod keselamatan yang baik dari kalangan penunggang mereka,” tambahnya.

Volkswagen Golf GTI Edition 50 dilancarkan di Malaysia – RM268k

Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah melancarkan model edisi istimewa Golf GTI Edition 50 yang dihasilkan sempena ulang tahun ke-50 hatchback itu.

Ia dijual pada harga cadangan (RRP) RM267,990. Harga RRP itu termasuk Pakej Jaminan Volkswagen yang memberikan pemilik penyelenggaraan, jaminan tanpa had perbatuan dan bantuan tepi jalan selama lima tahun.

GTI Edition 50 boleh dibezakan dengan versi standard menerusi kit badan Oettinger, rim Pretoria 18 inci, perumah cermin sisi berwarna hitam, emblem eksklusif Edition 50 dan kemasan sisi sporty yang diinspirasikan daripada honeycomb signatur GTI.

Penampilan luarannya disempurnakan dengan filem penapis haba “Edition 50 VW” dan emblem “50” pada tiang B. Ia boleh didapati dalam dua warna iaitu Oryx White dan Moonstone Grey.

Emblem itu juga boleh ditemui pada bahagian tengah stereng, bersama-sama dengan plat sisi aluminium dan karpet “Edition 50” pada bahagian depan.

Tiada sebarang perubahan pada trenkuasa. Enjin turbo 2.0-liter TSI yang dipadankan dengan transmisi DSG tujuh kelajuan itu masih menghasilkan 245 PS dan 370 Nm tork.

Dari segi kelengkapan, GTI Edition 50 didatangkan standard dengan sistem audio Harman Kardon berkuasa 480 watt dengan 10 unit pembesar suara, skrin sentuh Discovery Media 10 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, serta kluster instrumen digital 10.25 inci.

Aspek keselamatan disokong oleh teknologi IQ.DRIVE dan sistem bantuan pemandu termaju seperti Travel Assist dengan Adaptive Cruise Control (ACC), Side Assist, Front Assist, Lane Assist dan paparan head-up.

GTI diperkenalkan buat pertama kali pada acara Frankfurt Motor Show 1975. Selepas hampir lima dekad dan lapan generasi kemudian, nama GTI terus mengekalkan posisinya selaku hatchback paling diminati di seluruh dunia.

GTI Edition 50 akan dipamerkan dalam acara Golf Fan Fest yang diadakan pada 24 Ogos 2024 bertempat di North Paddock Litar Antarabangsa Sepang. Ia juga boleh dilihat secara dekat di pengedar-pengedar Volkswagen bermula 17 Ogos 2024.

EVC, Gentari jadi CPO pertama terima lesen pemasangan pengecas EV di Sabah

EV Connection (EVC), pengendali rangkaian pengecasan JomCharge, dan Gentari menjadi pihak pertama menerima lesen untuk pemasangan sistem pengecas EV awam di Sabah dari Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS).

Lesen ECoS adalah setara dengan lesen yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) di Semenanjung Malaysia dan adalah penting dalam memastikan pemasangan selamat yang mematuhi piawaian keselamatan untuk melindungi penggunaan awam.

EVC dan Gentari juga merupakan pengendali poin pengecas pertama di Semenanjung Malaysia yang dilesenkan oleh ST.

ECoS ialah sebuah badan berkanun yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri Sabah sejak 10 Januari 2023. Ia beroperasi sebagai pengawal selia rasmi bagi sektor tenaga dalam portfolio Ketua Menteri.

Matlamat utama ECoS adalah untuk memastikan tenaga yang selamat, mampan, mampu milik dan boleh diakses untuk negeri Sabah.

It memainkan peranan penting dalam membentuk landskap tenaga Sabah, mempromosikan amalan tenaga yang bertanggungjawab, dan menjaga kepentingan kedua-dua pengguna dan alam sekitar.

Sebelum majlis penyerahan lesen, ECoS telah menganjurkan sesi taklimat yang dihadiri oleh wakil daripada Bomba, pihak berkuasa tempatan, kontraktor pemasangan dan pengendali titik pengecasan EV (CPO).

“Gentari komited terhadap menyokong peralihan mobiliti hijau di seluruh Malaysia. Menjadi CPO pertama yang dilesenkan di Sabah dengan kerjasama EVC menggariskan fokus Gentari terhadap keselamatan, kebolehpercayaan dan tumpuan pelanggan dalam operasi kami,” kata Ketua Pegawai Operasi Gentari, Haikal Zubir.

“Kami amat berbesar hati untuk menjadi antara CPO yang pertama bersama Gentari untuk menerima lesen daripada ECoS. Keselamatan awam semasa mengecas sentiasa amat penting kepada kami dan kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan ECoS dalam memastikan perkara ini,” kata Pengarah Urusan EVC, Ir Lee Yuen How.

Dengan bilangan EV yang terus berkembang di Sabah, EVC dan Gentari komited untuk menyokong infrastruktur pengecasan EV Sabah yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan tersebut.

Ini selaras dengan agenda tenaga lestari sebagai inisiatif strategik yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju & Pelan Induk Tenaga Sabah 2040 dan juga selaras dengan sasaran kerajaan persekutuan untuk mencapai 10,000 pengecas awam menjelang 2025.

Proton akan kembali ke pasaran eksport termasuk UK

PROTON kini giat mengembangkan pasaran eksportnya dan dikatakan bakal kembali ke United Kingdom (UK), kata CEO, Li Chunrong.

Proton Satria Neo 2006 di UK. Gambar oleh: Autocar

Menurut laporan media UK, Autocar, perkembangan ini juga merangkumi pasaran-pasaran baharu pemanduan sebelah kanan (RHD) seluruh Asia dan Afrika Selatan, selain kembali ke Australia serta New Zealand.

Ia bertujuan meningkatkan jualan global Proton susulan pembukaan ibu pejabat dan pusat pengeluaran baharu yang kini dalam pembinaan di Tanjung Malim, Perak.

Dikenali sebagai Automotive Hi-Tech Valley (AHTV), fasiliti dengan pelaburan bilion Ringgit ini adalah hasil dari Geely dan DRB-Hicom Berhad.

Pertambahan kapasiti pengeluaran ini akan menjadi titik penentu dalam pelan jangka masa panjang Proton untuk mengembangkan jualan global mereka.

“Dengan pelaburan yang ada, Proton akan mempunyai kapasiti untuk kembali ke pasaran-pasaran yang telah ditinggalkan, sambil menembusi pasaran baharu,” sumber Autocar melaporkan.

Tiada garis masa didedahkan untuk Proton kembali ke UK, tetapi dilaporkan ia dijangka pada “akhir dekad ini”. Proton pernah menjual kenderaan di UK dari 1989 hingga 2014.

Pada 2023, Geely mengumumkan perancangan untuk melabur dalam pembangunan AHTV.

Buat masa ini, Proton menjual model-model berasaskan Geely iaitu X50, X70, dan S70 selain model-model yang dibangunkan sendiri seperti Saga, Persona, dan Iriz.

Proton juga baru-baru ini melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertama mereka iaitu eMAS 7.

Agak-agaknya model mana yang akan menjadi pilihan untuk dieksport ke pasaran-pasaran baharu nanti?

Tesla tidak pernah buat komitmen bina kilang EV di Malaysia – Menteri

Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di Malaysia, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Menerusi hantaran di platform X, yang dahulunya dikenali sebagai Twitter, beliau menjelaskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) ada mengadakan perbincangan dengan pengasas Tesla, Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi bukan melibatkan perkara itu.

“Pertamanya, laporan (berita asing) tersebut bukanlah kenyataan rasmi Tesla, sebaliknya hanya memetik sumber yang anonymous ataupun tak bernama. Jadi, bila ditanya, jawapan saya (sebelum ini) ialah wartawan perlu semak kesahihan berita ini dengan Tesla, kerana sumber berita ini bukanlah Tesla.

“Kedua, MITI pun tak pernah buat pengumuman Tesla akan buka kilangnya di Malaysia. Memang kita adakan perbincangan dengan Elon Musk dalam usaha menarik pelaburan, tetapi Tesla tidak pernah membuat komitmen untuk membuka kilang di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah portal berita dalam talian Thailand, The Nation semalam yang memetik sumber enggan dikenali dalam kerajaan itu, mengenai Tesla membatalkan rancangan membangunkan kilang di Malaysia, Thailand serta Indonesia.

Laporan itu turut menyatakan perbincangan Tesla pada masa ini hanya menjurus kepada usaha berkaitan stesen pengecasan dan menggantung rancangan membangunkan kilang bukan sahaja di Thailand malah juga di peringkat dunia.

“Tesla tidak meneruskan (rancangan) di Malaysia, Indonesia atau lokasi lain kecuali di China, Amerika Syarikat dan Jerman,” lapor portal berita itu.

Pada 20 Julai, 2023, pengeluar automotif elektrik multinasional terkemuka Amerika, mengumumkan pengembangan strategiknya ke pasaran Malaysia melalui Tesla Malaysia Sdn Bhd.

Menurut kenyataan bersama Tesla dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan MITI.

Selain akan memperkenalkan barisan kenderaan elektrik (EV) yang canggih kepada pengguna Malaysia, Tesla juga komited untuk melabur dalam menyediakan rangkaian yang luas stesen pengecasan pantas dan pengecasan biasa merentas lokasi strategik di Malaysia serta menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor.

JPJ ganti kamera AwAS, guna teknologi pengecaman nombor plat

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan penggantian kamera Automated Awareness Safety System (AwAS) melibatkan kamera sedia ada secara berfasa di lokasi yang telah diwartakan, kata Ketua Pengarah JPJ Aedy Fadly Ramli.

Dalam kenyataan hari ini, Aedy Fadly memaklumkan penggantian kamera AwAS berkenaan adalah selaras dengan penambahbaikan sistem kamera AwAS sedia ada selari dengan perubahan teknologi terkini yang menggunakan teknologi Automated Number Plate Recognition (ANPR) bagi memastikan kamera itu beroperasi dengan lebih baik.

“Penggantian ini melibatkan kamera model Redflex yang perlu ditukar atas faktor kerosakan besar dan tidak mendapat sokongan daripada pihak prinsipal,” kata JPJ.

Beliau berkata pengoperasian kamera AwAS juga untuk memastikan penguatkuasaan yang melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju dan gagal mematuhi lampu isyarat berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) selaras usaha mengurangkan statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.

Justeru, JPJ menyeru dan memohon kerjasama semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dan bertoleransi dengan pengguna jalan raya yang lain demi keselamatan diri dan keluarga ketika di jalan raya.

“Jabatan ini juga sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara, seterusnya berada pada tahap yang terbaik,” katanya.

KOVE Malaysia Racing Team sertai Asia Cross Country Rally 2024 (AXCR 2024)

Mdua Motor Sdn Bhd (KOVE Malaysia) mengumumkan penyertaan pasukan KOVE Malaysia Racing Team dalam acara Asia Cross Country Rally (AXCR) 2024 di Thailand untuk tahun ini.

Ia merupakan satu penghormatan yang istimewa memandangkan KOVE Malaysia Racing Team merupakan satu-satunya wakil tunggal Malaysia dalam acara AXCR yang berprestij ini.


Pasukan itu akan diwakili oleh pelumba Hazim Hayazi yang sebelum ini pernah mencapai beberapa kejayaan penting termasuklah juara Kelas C GIVI Rimba Raid 2023, juara ‘King of Royal Rumble’ dalam Royal Rumble Hard Enduro Rider 2023, tempat ketiga WRC Orange Enduro 2023 (Kategori Terbuka) dan tempat keempat Gamuda Gardens Advenduro-X 2024 (Kelas C).

Hazim akan menunggang jentera KOVE 450 Rally yang dilengkapi dengan sistem navigasi ‘roadbook’, serta kit perlumbaan yang mirip kepada perlumbaan Dakar Rally.

Beliau akan disokong oleh dua orang juruteknik muda berpengalaman dari bahagian teknikal dan logistik KOVE Racing Team.

AXCR 2024 menjanjikan perjalanan lebih 2,000 km yang mencabar dan mendebarkan dari Surat Thani ke Kanchanaburi, di mana ia akan berlangsung selama enam hari bermula 12 hingga 17 Ogos ini.

KOVE Malaysia akan menggunakan AXCR 2024 sebagai medan untuk membuktikan ketahanan dan prestasi motosikal KOVE dalam pelbagai keadaan persekitaran, dan menguji keupayaan luar biasa jentera KOVE 450 Rally.

Nilu27 perkenalkan hypercar V12 seksi dengan pintu gullwing dan manual 7-kelajuan

KITA ucapkan selamat datang kepada pembuat supercar baharu, Nilu27. Ia sebuah jenama yang diasaskan oleh pereka Koenigsegg dan Bugatti, Sasha Selipanov. Model pertama yang didedahkan ialah NILU.

Tidak menggunakan teknologi terlalu canggih atau kompleks seperti turbo atau hibrid, sebaliknya NILU didatangkan dengan enjin V12 naturally-aspirated dan kotak gear manual. Ini ialah sebuah hypercar untuk purist.

Tetapi bukan semua pada hypercar ini adalah old-school. Di dalam kerangka chasisnya terdapat struktur monocoque gentian karbon yang dipasang dengan subframe tubular aluminium-aloi.

Enjin V12 adalah dari Heartley Engines yang berpangkalan di New Zealand, berkapasiti 6.5-liter. Nilu27 berkata ia “akan rev seperti motor elektrik”.

Tidak seperti enjin kebanyakan yang mempunyai kemasukan di dalam “V” dan ekzos di luar, aliran udara pada enjin V12 ini terbalik. Throttle body individu berada di luar, dan ekzos keluar di atas dan di dalam “hot V”.

Ekzos Inconel ini menggunakan konfigurasi 12-to-1 dan dihasilkan menggunakan pencetak 3D. Kuasa spesifik tidak dinyatakan, tetapi Nilu27 berkata V12 ini menjana “lebih” dari 1,000hp.

Nilu berkata hypercar ini mementingkan tindak balas. Kerana itu tombol gearnya menggunakan bentuk seperti tiang dan mempunyai mekanisma pengunci khas yang memastikan kereta tidak akan termasuk ke gear undur secara tidak sengaja.

Juga tiada butang yang terlalu banyak pada Nilu ini. Tiada butang pada stereng, dan tiada mod pemanduan. Satu-satunya skrin ialah yang diintegrasi pada cermin pandang belakang untuk meningkatkan pandangan belakang.

Tempat duduk tidak boleh dilaras, manakala bahagian lain seperti kotak pedal, perehat kepala, dan cermin sisi boleh dilaras secara manual menggunakan suis dan tombol yang dimesin khas.

Di bawah kulitnya, terdapat double-wishbone dan suspensi pushrod. Ini disokong oleh rim 20- dan 21-inci dengan pengunci tengah, yang dibaluti tayar Michelin Pilot Sport Cup 2R. Brek pula adalah dari Brembo.

Nilu berkata hanya 15 unit edisi pelancaran NILU akan dibina, tetapi tidak menyatakan sama ada ianya versi jalanan. Dalam pengumumannya, syarikat itu juga berkata sedang merancang untuk membina 54 unit “homologasi jalanan”, bermakna 15 unit tadi berkemungkinan versi litar sahaja.

Hypercar ini akan membuat kemunculan pertama di Pebble Beach semasa acara Monterey Car Week pada 15 Ogos depan. NILU akan dipasang di Irvine, California sebelum pengeluarannya dipindahkan ke luar negara.

Mercedes-AMG A45 S 4Matic+ Limited Edition dilancarkan, 10 unit sahaja, RM559k

MERCEDES-Benz Malaysia (MBM) telah mengumumkan ketibaan model edisi terhad Mercedes-AMG A45 S 4Matic+ Limited Edition ke pasaran tempatan.

Oleh kerana ia model edisi terhad, hanya 10 unit yang akan ditawarkan di Malaysia, dengan setiap satu dijual pada harga RM558,888. Tempahan boleh dibuat menerusi bilik pameran dalam talian Mercedes-Benz Store.

Pertama sekali, A45 S Limited Edition boleh dibezakan dengan versi standard menerusi warna AMG Green Hell Magno yang  diperkenalkan buat pertama kali pada 2018 menerusi Mercedes-AMG GT R.

Warna itu dipadankan dengan jalur berwarna kuning pada bahagian badan dan rim, serta logo AMG pada bonet dan ’45 S’ pada pintu. Ia menggunakan rim aloi AMG tujuh jejari berukuran 19 inci yang ditawarkan khas untuk model Limited Edition.

Tersorok di sebalik rim itu adalah angkup brek AMG High Performance dalam warna hitam berkilat dengan logo AMG berwarna putih.

Turut disertakan adalah penutup tangki bahan api dengan logo AMG dan lampu selamat datang yang akan memancarkan logo AMG ke tanah apabila pintu dibuka.

Selain itu, ia didatangkan dengan tiga pakej iaitu AMG Night Package, AMG Night Package II dan AMG Aerodynamics Package.

AMG Night Package merangkumi elemen berwarna hitam dan hitam berkilat seperti splitter depan, cermin sisi dan beltline, manakala AMG Night Package II pula membawakan kemasan hitam pada radiator, trim krom hitam pada fender depan, tailgate, logo bintang Mercedes, pemegang pintu dan rim.

AMG Aerodynamics Package, seperti namanya, merangkumi komponen aerodinamik termasuk spoiler belakang AMG.

Di dalam, anda akan menemui tempat duduk AMG Performance yang dibalut upholsteri kulit Artico dan mikrofiber Microcut. Seperti bahagian luaran, jalur kuning turut digunakan untuk menghiasi kerusi, panel pintu dan panel instrumen.

Selain itu, terdapat juga stereng AMG Performance dengan balutan kulit nappa/Microcut, label ’45 S’ pada perehat kepala, trim aluminium dengan corak AMG dan tulisan ‘AMG’ berwarna kuning, karpet AMG dan logo AMG bercahaya pada bendul pintu.

A45 S Limited Edition dikuasakan oleh enjin turbo 2.0-liter empat silinder yang menghasilkan 421 hp pada 6,750 rpm dan 500 Nm dari 5,000 hingga 5,250 rpm.

Dengan transmisi automatik klac berkembar lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic+, ia boleh memecut dari 0 higgga 100 km/j dalam 3.9 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 270 km/j.

Toyota Vios Challenge musim ketujuh bermula, tampil jentera lumba Vios generasi baharu

UMW Toyota Motor mengumumkan kemunculan semula siri perlumbaan Vios Challenge untuk musim ketujuh yang akan bermula pada hujung minggu ini, membawakan hadiah bernilai RM630,000 secara keseluruhan.

Untuk tahun ini, Vios Challenge akan menampilkan sehingga tiga pusingan dan enam perlumbaan individu yang akan mengambil tempat di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang.

Pusingan pertama Toyota Vios Challenge akan berlangsung 9-11 Ogos ini serentak dengan penganjuran Siri Kejohanan Malaysia (MCS), sementara pusingan kedua pula pada 27-29 September ini. Kedua-dua pusingan ini akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook dan YouTube.

Sementara pusingan akhir akan berlangsung pada 3-5 Januari 2025 di mana ia akan dibuka kepada umum dengan pelbagai tarikan dan program dirancang untuk memeriahkan lagi suasana.

Vios Challenge musim ketujuh akan menampilkan tiga kelas utama, iaitu Kelas Sporting, Kelas Super Sporting dan Kelas Rookie.

Antara yang bakal mencuri tumpuan dalam Kelas Super Sporting ialah kemunculan juara tiga kali Tengku Djan Ley, Mitchell Cheah, Eddie Lew, William Ho, Tom Goh, dan Freddie Ang.

Selain itu, Kelas Super Sporting bakal menyaksikan penyertaan pelumba muda seperti Putera Adam, adik beradik Naquib dan Nabil Azlan, Bradley Benedict, Ady Rahimy serta Aman Nagdev dari India.

Kelas Sporting pula menyenaraikan nama-nama seperti Dato’ Dr Ken Foo, Kenneth Koh, Dannies Ng, Shafiq Samsudin, Ricky Tan, Lim Chung Beng, serta pelumba muda Elson Yew, Amirul Haikal, Timothy Yeo dan Ashen Arumugam.

Kelas ini juga bakal menampilkan pelumba luar, iaitu Panithan Rakpaibulsombut dari Thailand serta Daniel Inosuke Ooi dari Singapura.

Sementara TGR Rookies pula akan menampilkan barisan 24 orang pelumba muda yang baru sahaja menamatkan program GAZOO Racing Young Talent Development Program.

Antara nama-nama yang bakal mencuri tumpuan termasuklah pelumba gokart Brandon Ho (22 tahun), Adam Mikail (18 tahun), Amirul Afiq (22 tahun), Audrey Leong (17 tahun), Kingston Tan (19 tahun) serta pelumba simulasi Raja Amirul (21 tahun).

Musim ketujuh Vios Challenge akan menjadi pentas utama bagi jentera lumba Toyota Vios generasi terkini menunjukkan kehebatannya.

Ia masih lagi mengekalkan enjin 1.5 liter yang dipadankan dengan transmisi manual lima kelajuan, namun dengan platform dan casis yang lebih stabil, dan aspek aerodinamik yang telah disemak semula untuk membolehkannya mencatatkan pusingan masa terpantas.

 

AXCR 2024: Team Mitsubishi Ralliart tampilkan Delica Mini sebagai kereta sokongan

Mitsubishi Motors menerusi pasukan Mitsubishi Ralliart menyasarkan gelaran juara dalam perlumbaan Asia Cross Country Rally 2024 (AXCR 2024) yang dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 17 Ogos ini.

Dalam pertandingan yang akan diadakan di kawasan tengah dan selatan Thailand, pasukan Mitsubishi Ralliart akan menampilkan sehingga empat buah jentera pikap Triton generasi baharu, diikuti pasukan kereta sokongan yang terdiri daripada Delica D:5, Outlander PHEV dan kei car Delica Mini!

Jentera Triton tersebut telah pun diuji prestasinya menerusi ujian ketahanan sejauh 800 km atas jalan biasa dan laluan off-road pada lewat Jun yang lalu, diikuti sesi ‘shakedown’ pada 6 Ogos yang lepas untuk memastikan ia berada dalam keadaan yang optimum untuk pertandingan tahun ini.

Menurut pengarah pasukan Hiroshi Masuoka, “selain menaik taraf prestasi pemanduan dan lebar bunga tayar, kami juga turut menambah baik suspensi belakang dengan menggunakan kepakaran yang diperoleh daripada bekas pemenang Rali Dakar, iaitu Pajero.

“Penambahbaikan juga telah dibuat pada kekuatan asalnya, seperti pengendalian atas laluan yang ekstrem supaya jentera rali yang digunakan kali ini dapat memberikan prestasi yang kami harapkan.

Seperti yang disebutkan tadi, pasukan Mitsubishi Ralliart akan menampilkan empat buah minivan Delica D:5, SUV Outlander PHEV dan sebuah kei car Delica Mini sebagai kereta sokongan.

Salah satu daripada empat unit Delica D:5 tersebut akan digunakan sendiri oleh pengarah pasukan Hiroshi Masuoka untuk pemeriksaan laluan yang akan digunakan oleh jentera rali, di mana ia dilengkapi dengan suspensi khas yang meninggikan jarak lega bumi sebanyak 20 mm.

Kesemua kereta sokongan Mitsubishi Ralliart tersebut dilengkapi dengan rim aloi Work CRAG T-GRABICII (rim Work Emotion M8R untuk Outlender PHEV), serta balutan tayar off-road Yokohama GEOLANDER.

Selain itu, kesemua enam kereta sokongan akan menampilkan grafik badan yang sama seperti jentera rali Triton.

Sebanyak 67 buah jentera akan bersaing dalam pertandingan AXCR tahun ini, terdiri daripada 46 dalam kategori auto, 19 dalam kategori motosikal dan 2 kategori sidecar.

Acara pembukaan akan diadakan pada 11 Ogos di tengah-tengah kawasan Surat Thani, selatan Thailand, dan berakhir di Skywalk Kanchanaburi pada 17 Ogos.

 

Supercar pun boleh kongsi komponen dengan kereta biasa, ini 10 contoh paling menarik!

MEMBANGUNKAN sebuah kereta baharu menelan kos yang sangat tinggi dan pengeluar biasanya akan melakukan pelbagai cara untuk mengurangkan belanja.

Antara caranya adalah rebadge atau perkongsian enjin dan pelantar, sebagai contoh BMW Z4 dengan Toyota GR Supra. Pilihan paling popular pula ialah berkongsi beberapa komponen kecil seperti bahagian dalaman, lampu, atau cermin sisi.

Seperti kita tahu, kos pembangunan supercar pula jauh lebih tinggi dengan pengeluaran mereka yang sedikit. Jadi, pengeluar kereta pernah mengambil komponen-komponen dari kereta biasa untuk digunakan pada supercar dan tidak diketahui ramai. Jom kita lihatkan 10 contoh paling menarik!

1. Lotus Esprit dan Morris Marina – pembuka pintu

Lotus terkenal dalam sejarah untuk menjimatkan kos dengan menggunakan komponen dari kereta lain, seperti lampu belakang Toyota AE86 pada Esprit Mk3, dan lampu Renault 4 pada Elise generasi pertama.

Contoh lain ialah Esprit generasi pertama yang menggunakan pembuka pintu dari kereta yang tidak begitu popular, Morris Morina.

2. Lamborghini Diablo dan Nissan 300ZX – lampu depan

Bukanlah sesuatu yang pelik jika kenderaan dari jenama premium menggunakan komponen yang diambil dari kereta biasa.

Contoh paling popular mungkin ini, iaitu Lamborghini Diablo dan Nissan 300ZX. Komponen yang digunakan? Lampu depan. Diablo facelift menggunakan lampu depan dari Nissan 300ZX.

Malah, Lamborghini cuba ‘menyorok’ logo Nissan dengan strip gentian karbon kecil, membuatkannya kelihatan seperti komponen khas Lamborghini.

3. Jaguar XJ220 dan Citroen CX – cermin sisi

Jaguar XJ220 pernah memegang rekod kereta terpantas di dunia dengan kelajuan maksima 349km/j, tetapi ia dibangunkan dengan kos yang lebih rendah dari yang dijangka.

Enjin V12 asal diturunkan kepada V6 dan begitu juga pintu gullwing. Ia juga menggunakan lampu belakang Rover 200 untuk merendahkan lagi kos.

Paling popular ialah supercar ini juga menggunakan cermin sisi dari Citroen CX. Antara sebabnya adalah cermin ini tidak diintegrasi dengan pintu seperti kereta-kereta lain. Malah, cermin ini juga pernah digunakan pada Aston Martin, Lotus, dan TVR.

4. Pagani Zonda dan Rover 45 – butang pendingin hawa

Semasa dilancarkan pada 1999, Pagani Zonda terus menjadi hit dengan kuasanya yang tinggi dan kemampuan di litar.

Ia dipacu enjin 7.3-liter V12 dengan kelajuan maksima lebih 320km/j, ia juga mempunyai gaya yang luar biasa, menyebabkannya sukar dilupakan.

Tetapi di bahagian kabin, panel kawalan pendingin hawa Pagani Zonda ini diambil dari Rover 45.

5. Aston Martin DB7 dan Mazda 323 Familia – lampu belakang

Ford pernah membeli Aston Martin pada 1989 dan pada masa yang sama, mempunyai pelaburan dalam Mazda. Jadi beberapa perkongsian komponen berlaku antara jenama-jenama ini untuk pengurusan kewangan lebih baik.

Aston Martin DB7 bukan sahaja pernah menggunakan pembuka pintu dalam dari Miata, tetapi juga pernah menggunakan lampu belakang dari Mazda 323 Familia. Aston Martin menambah penutup plastik untuk menyorok lampu ini, tetapi ia masih jelas kelihatan.

6. Dodge Viper dan Mitsubishi 3000GT – cermin sisi

Dodge Viper memang sebuah kereta yang liar bila dilancarkan pada 1990. Dengan enjin 8.0-liter V10 (asalnya dari trak) menghasilkan 450hp pada versi GTS.

Mitsubishi 3000GT juga merupakan sebuah kereta sports, walaupun sedikit berbeza kategori dari Viper. 3000GT mempunyai lebih banyak teknologi, aero aktif, stereng roda belakang, dan AWD.

Kedua-dua jentera ini cukup berbeza, tetapi mereka berkongsi cermin sisi yang sama.

7. Ferrari California dan Chrysler Sebring – unit infotainmen

Fiat Chrysler Automobiles (FCA) pernah menjadi satu gergasi automotif dan ini menyebabkan perkongsian komponen tidak dapat dielakkan.

Sebagai contoh, Ferrari California dengan Chrysler Sebring. Kedua-duanya adalah produk kumpulan FCA tetapi kedua-duanya adalah kenderaan berbeza. Cuma kedua-dua kereta sports ini pernah berkongsi unit infotainmen yang sama.

8. Chevrolet Corvette C5 dan Oldsmobile Aurora – pemegang pintu

Chevrolet Corvette generasi kelima (C5) merupakan sebuah kereta sports yang menawan. Dilancarkan pada 1997, ia mendapat pengendalian dan enjin lebih baik dari versi C4, menjadikannya jauh lebih baik untuk dipandu.

Oldsmobile Aurora pula ialah sebuah sedan biasa. Ia mendapat enjin V8 4.0-liter yang menghantar kuasa ke roda depan. Aurora juga ’menderma’ pemegang pintunya kepada Corvette C5.

9. McLaren-Mercedes SLR dan Mercedes Sprinter – tuil lampu

Salah satu contoh bagaimana sesebuah pengeluar kereta boleh menjadi sangat komprehensif ialah Mercedes SLR McLaren dengan Mercedes Sprinter. Satu ialah sebuah supercar berteknologi tinggi, satu lagi ialah van panel untuk kegunaan komersial.

Walaubagaimanapun, kedua-dua kenderaan ini berkongsi tuil lampu yang sama. Ianya tombol yang dipasang pada kolumn stereng.

10. Lotus Evora dan Proton Persona – cermin sisi

Akhir sekali ialah contoh yang begitu dekat dengan kita rakyat Malaysia.

Seperti yang kita semua tahu, Proton pernah memiliki Lotus. Antara manfaat yang diperolehi ialah Proton mendapat pengetahuan kejuruteraan dari Lotus dan sebab itulah Proton terkenal dengan pengendalian yang baik. Kesemuanya dipelajari dari pengeluar kereta sports British itu.

Tetapi seperti contoh-contoh di atas, perkongsian komponen akan berlaku. Lotus Evora pernah mendapat komponen yang didermakan oleh Persona 2009, iaitu cermin sisi.

Proton jual 15,103 unit kenderaan pada Julai, tertinggi sejak September 2022

PROTON mencatatkan permulaan yang kukuh bagi separuh kedua tahun ini dengan jualan mencecah 15,103 unit kenderaan pada bulan Julai (domestik dan eksport).

Angka tersebut adalah yang tertinggi sejak September 2022 dan bersamaan peningkatan sebanyak 37.3% berbanding bulan Jun.

Menurut Proton lagi, jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) adalah sebanyak 88,799 unit, membolehkannya mengekalkan kedudukannya di tempat kedua dalam carta jualan automotif.

Jumlah volum industri (TIV) untuk bulan tersebut dianggarkan sebanyak 73,761 unit, meningkat sebanyak 27.1% berbanding bulan sebelumnya, manakala bahagian pasaran Proton pada bulan Julai telah meningkat kepada 20.5%.

Pertumbuhan jualan Proton pada bulan Julai diterajui oleh Proton Saga dengan 7,855 unit terjual, pencapaian terbaik untuk model tersebut sejak Oktober 2013.

Ini membawa jumlah jualan YTD untuk Saga kepada 42,693 unit, yang merupakan 8.8% lebih tinggi daripada jualan pada tahun 2023.

Model-model lain dari Proton juga mencapai keputusan yang cemerlang. X50 mencatat jualan terbaiknya tahun ini dengan jualan sebanyak 2,585 unit pada Julai, menjadikan jumlah jualan YTD kepada 12,789 unit.

Persona juga mencatatkan jualan terbaiknya untuk tahun 2024 dengan 1,911 unit terjual, menjadikan jumlah jualan YTD sebanyak 11,664 unit.

S70 pula mencatat 1,636 unit jualan pada bulan Julai dan mempunyai jumlah kumulatif YTD sebanyak 12,550 unit.

“Julai telah menjadi bulan jualan terbaik untuk Proton pada tahun 2024 setakat ini, menetapkan arah bagi separuh kedua tahun 2024 yang produktif.

“Proton sedang merangka banyak rancangan yang akan dilaksanakan dalam bulan-bulan akan datang, dimulakan dengan pelancaran Proton X70 2025 pada bulan Ogos. Pada masa yang sama, kerja asas untuk pelancaran model EV pertama Proton juga sedang dijalankan dengan pantas sebagai persediaan untuk pelancaran EV pertama Malaysia,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif , Proton Edar.

Mitsubishi XFORCE peroleh skor lima bintang ujian ASEAN NCAP

ASEAN NCAP mengumumkan SUV terbaharu Mitsubishi, iaitu XFORCE telah berjaya memperoleh skor lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu yang telah dijalankan.

Berdasarkan ujian tersebut, Mitsubishi XFORCE memperoleh skor keseluruhan sebanyak 79.15 mata, di mana ia dinilai berdasarkan empat kategori berikut:
-Perlindungan Penumpang Dewasa (AOP) – 34.89/40.00
-Perlindungan Penumpang Kanak-kanak (COP) – 17.03/20.00
-Bantuan Keselamatan (SA) – 14.85/20.00
-Keselamatan Penunggang Motosikal (MS) – 12.39/20.00

Secara standard, Mitsubishi XFORCE dilengkapi dengan ciri seperti empat beg udara, ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), peringatan tali pinggang keledar untuk penumpang depan dan belakang, serta teknologi perlindungan pejalan kaki.

Selain itu, terdapat juga bantuan keselamatan seperti Brek Kecemasan Autonomi (AEB), Pengesanan Titik Buta (BSD), Amaran Pelanggaran Hadapan (FCW) dan Bantuan Suluhan Tinggi Automatik (AHB).

Mitsubishi XFORCE dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter berkuasa 103 hp dan 141 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT dan pacuan roda hadapan.

Walaupun dengan sistem 2WD sahaja, XFORCE tetap mempunyai ciri-ciri sebuah SUV off-road, seperti jarak lega bumi 222 mm, sudut pendekatan 21 darjah, sudut pelepasan 35 darjah, serta empat mod pemanduan (Normal, Gravel, Mud, Wet).

Lebih 19,000 bas persiaran dan ekspress diperiksa JPJ, 667 dikenakan tindakan

LEBIH 19,000 kenderaan termasuk bas persiaran dan ekspres diperiksa oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Bersepadu sejak 2 Julai sehingga 31 Julai lalu.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dalam operasi tersebut sebanyak 667 bas telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Anthony Loke. Gambar oleh: Malay Mail

“Operasi Khas Bersepadu memfokuskan kepada semua bas persiaran dan ekspres berada dalam keadaan selamat serta pemandu yang mempunyai lesen kompeten dan kenderaan yang mematuhi semua peruntukan undang-undang ditetapkan.

“Hasil pemeriksaan daripada 2,547 pemandu bas persiaran dan ekspres, seramai 26 pemandu telah positif dadah.

“Sebanyak 19,456 kenderaan diperiksa; 667 diambil tindakan; 14 buah disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); 1,600 notis mengikut JPJ P22, Seksyen 61 (1) Seksyen 59 dan lain-lain.

“Dalam operasi ini, pihak JPJ dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) telah melakukan saringan ujian air kencing ke atas pemandu bas persiaran dan ekspres,” katanya.

Tambah Anthony, JPJ juga melaksanakan Operasi Khas Kenderaan Perdagangan yang memfokuskan kenderaan perkhidmatan barangan dan awam.

Ia berkaitan kesalahan teknikal, kesalahan lalu lintas serta kesalahan-kesalahan utama yang bermula sejak 1 Ogos lalu hingga 31 Ogos 2024.

“Hasil dapatan sejak 1 Ogos hingga 5 Ogos, menunjukkan seramai 21 orang pemandu dikesan positif dadah, ia hasil pemeriksaan saringan ujian air kencing ke atas 276 orang pemandu kenderaan perdagangan dalam tempoh lima hari operasi tersebut dijalankan.

“Ini bermakna dalam setiap 13 orang pemandu terdapat seorang yang berada di bawah pengaruh dadah apabila menjalankan tugas iaitu memandu di jalan raya. Ini adalah keadaan yang amat membimbangkan,” jelasnya.

Tegasnya, JPJ tidak akan berkompromi dengan para pemandu-yang tidak kompeten dalam mengendalikan kenderaan perdagangan dan perkhidmatan awam.

Tambah beliau, langkah tersebut bagi memastikan keselamatan semua pengguna jalan raya seterusnya mengurangkan kadar kemalangan jalan raya.