Arkib Kategori: BERITA

Kia Carnival bakal ditawarkan dalam versi CKD 7 dan 8 tempat duduk, pelancaran tidak lama lagi

KIA Malaysia Sdn Bhd telah secara rasmi mengeluarkan Carnival versi CKD (pemasangan tempatan), dengan kerjasama Kia Corporation dan Bermaz Auto. MPV itu dipasang di fasiliti Inokom di Kulim, Kedah.

Kia Carnival CKD ini bakal dilancarkan secara rasmi di Malaysia dan akan ditawarkan dengan konfigurasi 7 dan 8 tempat duduk. Ini sedikit berbeza dari Carnival CBU sebelum ini yang mendapat konfigurasi 11 tempat duduk.

Tiada perubahan dari segi enjin, dimana Carnival ini akan terus menggunakan unit 2.2-liter turbo diesel dengan output 199hp dan 440Nm tork, dipadankan dengan kotak gear automatik 8-kelajuan.

MPV bersaiz besar ini padat dengan ciri terkini dan premium untuk menawarkan keselesaan dan kemudahan kepada penumpang.

Antaranya adalah tempat duduk dengan pemanas untuk depan dan belakang, tempat duduk Premium Relaxion di baris kedua yang boleh dibaringkan, dan sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara.

Selain itu, terdapat juga pencahayaan kabin, paparan infotainmen 12.3-inci, pintu gelungsur pintar dengan ciri satu sentuhan, dan pintu but berkuasa.

Untuk keselamatan pula, Kia Carnival CKD hadir standard dengan Advanced Driver Assistance Systems (ADAS) yang merangkumi ciri seperti Forward Collision-Avoidance Assist dengan Junction Turning (FCA), Smart Cruise Control (SCC), Lane Following Assist (LFA), Lane Keeping Assist (LKA), Blind-spot Collision-Avoidance Assist (BCA), High Beam Assist (HBA) dan Safe Exit Assist (SEA).

Kia Malaysia berharap kerjasama CKD ini akan membantu menjadikan harga Carnival lebih kompetitif dalam pasaran, serta membantu bekalan MPV ini untuk pasaran tempatan dan eksport.

Nantikan laporan penuh kami selepas pelancaran rasmi Kia Carnival CKD ini nanti. Sementara itu, jemput tonton video pandu uji Carnival versi CBU yang kami telah terbitkan.

Lesen memandu khas untuk trak pikap bagi bendung kemalangan – Ketua Jurulatih TIC Advanced Driving Academy

KERAJAAN disarankan supaya mewujudkan lesen memandu khas untuk pemandu trak pikap ekoran banyak kes kemalangan maut yang melibatkan kenderaan jenis itu di negara ini.

Ketika ini, sesiapa sahaja boleh memandu trak pikap asalkan mempunyai lesen Kelas D ia­itu motokar berat tanpa muatan tidak melebihi 3,500 kilogram.

Ketua Jurulatih TIC Advanced & Performance Driving Academy, Azad Jasmi berkata: “Lesen memandu khas itu penting supaya pemandu trak pikap memiliki kemahiran serta teknik pengendalian kenderaan dengan cara yang betul dan selamat.”

Menurutnya, lesen Kelas D yang digunakan pemandu pa­cuan empat roda ketika ini tidak sesuai dengan cara pengendaliannya yang berbeza dengan kereta lain.

“Jika sebelum ini, kebanyakan mereka yang mengambil lesen memandu Kelas D akan berlatih dengan menggunakan kereta jenis Perodua Kancil atau Axia.

 

“Bagaimanapun, selepas mendapat lesen, mereka pandu pacuan empat roda yang mempunyai fizikal yang jauh lebih besar, tinggi serta enjin yang lebih berkuasa,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Azad memberitahu, secara umumnya pacuan empat roda digunakan untuk mengangkut barang atau beban dan ­ken­de­­ra­an tersebut tidak boleh dipandu terlalu laju.

Jelasnya, kedudukan titik graviti trak pikap adalah lebih tinggi menyebabkan ia menjadi kurang stabil berbanding kende­raan yang lebih rendah dan dekat dengan permukaan jalan.

“Lebih teruk apabila sikap pemilik yang tidak mengenali secara menyeluruh sifat kenderaan itu dan terus memandu laju sehingga hilang kawalan dan mudah untuk memasuki laluan bertentangan atau terbabas,” ujarnya.

Justeru, Azad mencadangkan supaya pemandu trak pikap perlu memiliki lesen memandu khas seperti pemandu lori dan bas iaitu Lesen Memandu Kenderaan Perdagangan (GDL) dan Lesen Kende­raan Pe­ngangkutan Awam (PSV).

“Keupayaan pengendalian dan memahami karakter sesebuah pacuan empat roda ini penting kerana jika berlaku kecemasan, pemandu akan tahu cara yang selamat untuk membrek supaya kereta itu tidak berpusing atau terbalik,” katanya.

Presiden Persatuan Pengguna Jalan raya Kebangsaan, Datuk Mohammad Hisham Shafie pula berkata, mana-mana individu yang mahu memandu trak pikap juga perlu menjalani latihan atau kursus bagi meningkatkan advokasi.

Katanya, antara sebab utama kemalangan masih ber­ulang disebabkan sikap pemandu selain terdapat perbezaan antara cara pemanduan pikap dengan kereta.

“Kita sedia maklum bahawa trak pikap adalah lebih besar dan memiliki kuasa yang lebih tinggi menyebabkan segelintir pemandu tidak mahu bertolak ansur dan juga bersikap ego.

“Jadi, satu program advokasi melibatkan teknik memandu dan pemanduan berhemah perlu diterapkan dalam sistem sedia ada,” ujarnya.

Katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan institut memandu juga disarankan untuk melakukan pemeriksaan ke atas pemandu untuk tempoh tiga tahun hingga lima tahun sekali bagi memastikan mereka layak untuk mengendalikan kenderaan itu.

“Sepatutnya selepas individu ambil lesen, pemandu perlu menjalani semula latihan, teori dan praktikal dalam tempoh tiga hingga lima tahun sekali.

“Ini bagi memastikan kompetensi dan kecekapan pemandu adalah berada pada tahap yang baik dan memuaskan,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan, penguatkuasaan un­dang-undang juga perlu ditingkatkan supaya tiada individu memandang ringan terhadap peraturan sedia ada.

Pusat 3S Hino dibuka di Balakong dengan enam ruang servis dan peralatan terkini

HINO Motors Sales (Malaysia) Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan pusat 3S (Sales, Service dan Spare Parts) terbaharu mereka, dioperasikan oleh Soon Seng Truck & Parts Sdn Bhd (SSTP), di Balakong. Ia terletak di lokasi strategik untuk kemudahan akses penduduk setempat dan kawasan sekitar.

Pusat 3S itu telah menerima pelaburan sebanyak RM1 juta oleh SSTP, mempunyai keluasan 20,000 kaki persegi dan mendapat kemudahan terkini oleh Hino.

Fasiliti ini dilengkapi enam tempat servis termasuklah dua tempat servis eskpres yang menjanjikan waktu penyelenggaran 45 minit bagi mereka yang membuat temu janji. Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati kemudahan lounge, WiFi, dan makanan serta minuman percuma.

Selain penyelenggaraan, SSTP juga menawarkan servis-servis seperti pembaharuan cukai jalan, insurans, serta servis tunda 24 jam.

Rakan niaga jangka masa panjang dengan Hino

SSTP telah bekerjasama dengan jenama Hino lebih 40 tahun, sejak 1978, bermula dengan pengedar alat ganti di Seremban. Pada 2008, SSTP dinaik taraf kepada 3S sebelum kemudiannya menukar lokasi ke Nilai pada 2014.

Pengarah Urusan Hino, Atsushi Uchiyama berkata semasa pelancaran 3S baharu itu: “Kami melantik SSTP Balakong sebagai pusat 3S sah Hino untuk menawarkan pusat sehenti bawah satu bumbung untuk pelanggan kami.”

“Kami percaya pusat 3S ini mudah untuk pelanggan membuat pertanyaan mengenai model-model Hino terkini, kerja-kerja badan, servis selepas jualan, serta bekalan alat ganti,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan SSTP, Chan Swe Wah berkata, “Dalam industri kenderaan komersial, hubungan dengan pelanggan menjadi keutamaan kami dan kami akan membina hubungan berpanjangan terutamanya dalam sokongan alat ganti.”

“Kawasan Balakong juga kini semakin membangun dan kami melihat perniagaan-perniagaan bercambah, dan banyak syarikat bergantung kepada pengangkutan dan logistik.”

“Dengan pembukaan pusat 3S baharu ini, kami percaya ia akan memberi manfaat kepada kebanyakan syarikat pengangkutan dan logistik,” katanya.

Pusat 3S baharu ini beralamat di No.7, Jalan Taming Jaya, Taman Taming Jaya, 43300 Seri Kembangan, Selangor.

Ia dibuka pada Isnin hingga Jumaat, dari 8:30 pagi hingga 5:30 petang. Untuk Sabtu pula, ia beroperasi dari 8:30 pagi hingga 4:30 petang.

JPJ pertimbang kenakan hukuman lebih berat terhadap mat rempit

Melihat trend merempit yang terus menular sehingga ada yang menyebabkan kematian, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memberi amaran bahawa ia sedang mempertimbangkan untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap mat rempit.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli berkata perkara tersebut akan diputuskan dalam masa terdekat.

Tambah beliau lagi, pihaknya telah mendapat arahan daripada Kementerian Pengangkutan untuk meneliti semula dan memperketatkan semula tindakan-tindakan ke atas penunggang yang melakukan kesalahan membahayakan keselamatan orang awam di jalan raya.

“Kalau cerita pasal ‘mat rempit’ memang sekarang ini isu yang sangat hangat, jadi JPJ sedang meneliti dan kita akan ambil tindakan dan kita akan maklumkan dalam masa terdekat,” katanya selepas hadir meninjau Ops Lejang Fasa 1.

Hukuman lebih ketat ini adalah untuk memastikan supaya kumpulan ‘mat rempit’ ini tidak sewenang-wenangnya melakukan kesalahan undang-undang ketika di atas jalan raya.

Sumber gambar: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia

Selain itu, JPJ juga mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai kawasan-kawasan yang sering menjadi kumpulan berkenaan untuk melakukan aktiviti lumba haram.

“Kita minta kepada orang ramai untuk maklumkan kepada kita melalui saluran aduan trafik. Kita tahu ada kawasan-kawasan panas tertentu dan memang kita tengah pantau. JPJ dan PDRM sedang memerhatikan mereka dan kita akan ambil tindakan,” katanya lagi.

Buat masa ini kesalahan-kesalahan utama yang masih dikesan dalam kalangan penunggang motosikal termasuklah tiada lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh.

Pihak JPJ tidak akan sama sekali berkompromi dengan kesalahan tersebut malah akan memastikan denda maksimum akan dikenakan terhadap pelakunya.

Dalam pada itu, amaran juga diberikan kepada semua penunggang motosikal berkuasa tinggi yang sering menjadikan lebuh raya Karak sebagai litar lumba hari minggu.

Menurut Aedy Fadly, JPJ akan terus memastikan laluan tersebut selamat digunakan oleh pengguna jalan raya yang lain daripada sebarang masalah yang mungkin ditimbulkan oleh kumpulan tersebut.

Supermoped Aveta SVR180 dilancarkan di Malaysia pada harga RM9,988

AVETA Malaysia Sdn Bhd terus menghangatkan pasaran kapcai tempatan dengan melancarkan model baharu iaitu Aveta SVR 180.

Model yang digelar sebagai ” the ultimate supermoped” itu dijual pada harga menarik RM9,988 serta didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km. Terdapat empat warna untuk dipilih iaitu merah, biru, cyan dan hitam.

SVR180 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal empat lejang DOHC bersesaran 175 cc yang mampu menghasilkan 16.8 hp (12.5 kW) pada 8,500 rpm dan 15.5 Nm pada 8,500 rpm. Enjin bertaraf Euro 4 itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik dan penyerap hentak monoshock, manakala untuk roda pula, model ini menggunakan rim 17 inci dan tayar bersaiz 90/80 di depan dan 120/70 di belakang. Ia juga dilengkapi dengan brek cakera pada bahagian depan dan belakang.

Dari segi dimensi, SVR180 berukuran 1,940 mm panjang, 690 mm lebar, 1,055 mm tinggi dan jarak antara rodanya adalah 1,288 mm. Ia mempunyai tangki bahan api sebesar 6.6 liter.

Kelengkapan lain yang tersedia pada model ini termasuk lampu utama berkembar dengan lampu nyalaan siang LED, pelindung radiator, paparan meter digital dan soket pengecas USB.

Toyota Vios 2023 disiar – rupa sporti, papan pemuka merah, lancar 9 Ogos ini!

SEBUAH video memaparkan Toyota Vios 2023 disiar hari ini. Maksud kami ialah Toyota Thailand menyiarkan video berkenaan Yaris ATIV (Vios untuk pasaran kita) yang akan dilancarkan secara rasmi pada 9 Ogos depan.

Ia juga akan menjadi pelancaran global untuk sedan segmen-B dengan namakod D92A itu.

Dalam klip video berdurasi 15 saat itu, beberapa imej disiar dengan pantas, menunjukkan apa yang kita boleh jangkakan untuk Vios serba baharu nanti.

Dapat dilihat ia menampilkan rupa depan bersegi, lampu LED nipis dengan DRL berbentuk L, gril agak besar, dan lampu signal sequential di belakang. Lampu belakang ini juga kelihatan hampir menyerupai Toyota Veloz (kembar Perodua Alza 2022).

Hanya satu gambaran bahagian dalam dipaparkan, tapi cukup jelas menampakkan rekaan papan pemuka baharu berwarna merah.

Di atasnya terdapat satu skrin infotainmen, manakala roda sterengnya meyerupai Toyota Raize dan Daihatsu Rocky. Oh ya, tempat duduknya juga menampakkan corak rekaan lebih abstrak.

Untuk bahagian enjin, Yaris ATIV akan mula ditawarkan dengan varian hibrid 1.5-liter yang juga menjadi nadi kepada Toyota Aqua (Prius C) di Jepun. Enjin 3-silinder dengan kitaran Atkinson ini menjana 91PS dan 120Nm tork.

Kemudian, terdapat juga 1.2-liter naturally-aspirated 4-silinder yang dijangka menjadi satu-satunya pilihan untuk Thailand.

Untuk pasaran-pasaran lain termasuk Malaysia, berkemungkinan 1.5-liter 4-silinder dikekalkan, tetapi dengan sedikit talaan untuk model terkini.

Sama-sama kita lihatkan perinciannya semasa pelancaran rasmi nanti.

Berbanding model-model lain dalam segmen ini, nampaknya Vios juga telah menawarkan hibrid selain Honda dengan City e:HEV. Nissan pula kekal satu-satunya pengeluar yang menawarkan enjin turbo iaitu pada Almera.

Apa pendapat anda mengenai Toyota Vios 2023 setakat ini?

Tamiya Wild One kini dengan kit sebenar yang boleh anda pandu

Syarikat Little Car Company (LCC) telah mencipta nama dengan menawarkan kereta-kereta replika seperti Bugatti Type 35 dan Aston Martin DB5 yang boleh dipandu.

Tetapi untuk projek terkini, mereka telah menghasilkan versi XXL untuk Wild One, iaitu antara kereta kawalan radio (RC) paling ikonik dari Tamiya.

Kereta kawalan radio (RC) Tamiya Wild One dalam skala 1/10. Imej oleh: Yotuube

Kereta asal Tamiya Wild One (dengan kod set 58050) mula dijual pada 1985, dan menjadi antara kit buggy RC paling popular seperti Frog dan Hornet. Malah kit ini pernah dijual semula pada 2012, membawakan kit gaya 1980-an kepada peminat RC generasi baharu.

Kini Tamiya dan LCC bekerjasama untuk merealisasikan projek Wild One Max. Ianya dikuasakan oleh bateri seperti kereta asal berskala 1/10, dan anda juga boleh membinanya di rumah.

Tetapi dengan panjang hampir 3.5meter dan berat hampir 250kg, anda pastinya memerlukan ‘ruang permainan’ yang agak besar untuk kit ini.

Wild One Max dibina menggunakan casis spaceframe besi dengan suspensi coil-over, brek Brembo, dan tayar off-road 15-inci.

Bateri 2kWh memberikan jarak pemanduan sehingga 25 batu (40km) dengan kuasa dihantar ke roda belakang, serta kelajuan sehingga 48km/j.

Ya, ia mungkin kedengaran seperti tidak sebegitu berkuasa, tetapi kita bercakap mengenai jentera yang lebih ringan dari Caterham Seven dan Perodua Kancil, serta tidak mempunyai cermin depan dan pintu. Jadi, pada kelajuan 40km/j cukup laju untuk anda pandu buggy ini.

Dan mungkin ada yang akan membandingkan Max dan mempersoalkan kenapa Ariel Nomad yang hampir serupa mempunyai 230hp lebih kuasa. Realitinya, Wild One Max ini lebih kepada mainan bersaiz besar dan bukan jentera Baja serius.

Jika anda masih mahukan lebih kuasa, Little Car Company berkata mereka sedang mempersiapkan penawaran bateri dan motor yang lebih berkuasa serta memberikan lebih jarak pemanduan.

Naik taraf lain yang sedang dipertimbangkan termasuklah harness (tali pinggan keledar) perlumbaan, serta brek dan suspensi lebih serius, ditambah dengan Tarmac Pack yang akan memberikan tayar jalanan dan mudguard.

Tetapi pilihan paling menggiurkan di sini ialah Road Legal Pack. Ini akan merangkumi lampu brek, lampu isyarat sisi, cermin dan beberapa komponen lain yang akan menjadikan Wild One Max anda mematuhi piawaian European Quadricycle Legislation dan US Neighborhood Electric Vehicle Legistlation.

Dalam erti kata lain, Road Legal Pack ini akan membolehkan anda memandu kit Tamiya sebenar ini di jalan raya secara sah!

Kit ini akan berharga kira-kira USD8,250 (RM36,745) dan anda boleh mula menempahnya dengan bayaran pendahuluan USD72 (RM320). Inilah masanya untuk merealisasikan impian anda sewaktu kanak-kanak semasa bermain dengan kereta RC Tamiya ini.

Untuk maklumat lanjut, anda juga boleh terus ke pautan ini.

Tengku Zafrul: Golongan T20 nikmati RM8 bilion subsidi bahan api

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mendedahkan bahawa golongan T20 menikmati kira-kira RM8 bilion subsidi bahan api, RM2 bilion lebih tinggi berbanding jumlah yang dimanfaatkan oleh golongan B40.

Tengku Zafrul, yang sebelum ini pernah berkata bahawa subsidi menyeluruh lebih menguntungkan golongan kaya berbanding golongan miskin, berkata kerajaan akan melaksanakan mekanisme subsidi bahan api yang lebih bersasar.

Dalam jawapan bertulis parlimen, beliau berkata mekanisme tersebut itu sedang diuji.

“Ujian (awal) akan disusuli dengan ujian yang lebih meluas,” katanya sambil menambah kerajaan mahu memastikan kebolehlaksanaan mekanisme itu di kawasan bandar dan luar bandar.

“Ia (ujian) dijangka mengambil masa antara tiga dan enam bulan sebelum sistem baharu itu dilaksanakan di seluruh negara,” katanya menjawab soalan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) mengenai apa yang kerajaan lakukan untuk memastikan subsidi disasarkan dengan lebih baik.

Tambah Tengku Zafrul lagi, mekanisme subsidi bahan api bersasar akan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan ia tidak menyebabkan inflasi atau menjejaskan pertumbuhan ekonomi.

Tahun ini, subsidi bahan api dijangka mencecah RM30 bilion.

GoCar, EV Connection bekerjasama untuk luaskan jaringan stesen pengecasan di Malaysia

GOCAR Malaysia dan syarikat penyedia perkhidmatan pengecasan EV bersepadu iaitu EV Connection telah menjalin kerjasama untuk mengembangkan akses terhadap stesen pengecas EV di negara ini.

Kerjasama itu akan membolehkan aplikasi mudah alih GoCar dan platform JomCharge milik EV Connection diintegrasikan, sekali gus meningkatkan akses ke atas lebih banyak stesen pengecasan EV serta pengecas pantas DC buat pengguna GoCar dan orang awam.

Selepas integrasi fasa pertama yang dijangka dapat disempurnakan menjelang suku ketiga tahun 2022, pengguna GoCar dan orang ramai boleh melihat lokasi-lokasi pengecasan, kebolehdapatan pengecas dan jenis pengecas yang ada dalam rangkaian EV Connection menerusi aplikasi GoCar.

Perancangan masa depan termasuklah meningkatkan perkhidmatan seperti keupayaan pra-tempahan pengecas EV, menyusun semula waktu pengecasan, membuat pembayaran dan mengetahui perkembangan terkini pengecasan kenderaan melalui aplikasi GoCar.

EV Connection kini mempunyai salah satu jaringan pengecas DC terbesar di Malaysia yang terletak sepanjang Lebuh Raya Utara Selatan. Syarikat mensasarkan untuk mengembangkannya kepada 100 stesen pengecasan menjelang akhir tahun 2022. Pengecas DC ini bersifat universal dan boleh digunakan oleh semua jenama serta model EV.

“Menerusi integrasi ini, kami percaya bahawa pengguna akan boleh merancang perjalanan dengan lebih baik dan mempunyai kemas kini pada masa sebenar mengenai lokasi pengecas EV ketika memandu. Semua ini pasti dapat mengurangkan kebimbangan, meningkatkan keselesaan dan kemudahan buat pelanggan GoCar dan pengguna EV yang lain,” kata Ketua Pegawai Eksekutif GoCar Malaysia, Wong Hoe Mun.

GoCar kini memberi fokus untuk mengembangkan akses ke atas EV melalui perkongsian, langganan dan pengecasan kereta elektrik. Baru-baru ini, syarikat telah menambah Hyundai Kona ke dalam rangkaian GoEV dan berhasrat untuk meningkatkan jumlahnya kepada 100 unit EV menjelang akhir tahun ini.

Sejak pelancaran GoEV pada Disember 2021, lebih 1,000 pengguna EV telah mencatat perjalanan lebih 500,000km. Bagi lebih 90 peratus pengguna, ia merupakan kali pertama mereka merasai pengalaman memandu sebuah EV.

EV Connection ialah satu-satunya penyedia perkhidmatan EV yang memiliki portfolio dari segi perkakasan, pemasangan, operasi, penyelenggaraan, perkhidmatan awan dan sokongan kereta elektrik yang bersepadu.

Syarikat itu merupakan pengedar sah untuk ABB dan Hager, serta berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan, Tenaga National Berhad dan MyHijau. Ia juga pemasang pengecas EV yang diiktiraf TÜV SÜD.

GoCar dan EV Connection turut merancang untuk meneroka peluang-peluang lain seperti kitar semula bateri EV, penyelesaian pengecas EV, perkongsian data dan banyak lagi.

Pengeluar alat ganti automotif rugi RM2 bilion kerana kekurangan tenaga kerja

PENGELUAR alat ganti automotif berdepan kerugian kira-kira RM2 bilion dalam eksport setahun disebabkan kesan daripada kekurangan tenaga pekerja sejak pandemik Covid-19.

Presiden Persatuan Pengeluar Peralatan Komponen Automotif Malaysia (MACPMA), Chin Jit Sin, berkata kerugian itu juga disebabkan oleh pengeksport terpaksa menolak tempahan berikutan beroperasi pada tahap 70 peratus daripada kapasiti pemasangan kilang.

“Pihak industri alat ganti automotif bimbang jika perkara itu berlarutan ia juga akan memberi kesan kepada sumbangan keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

“Setiap tahun industri ini menyumbang sebanyak dua peratus kepada KDNK, di mana pada 2019 ia menyumbang sebanyak RM26.2 bilion,” kata Jit Sin.

“Selain itu, industri ini juga mengeksport kira-kira RM5 bilion alat ganti (tidak termasuk tayar) ke lebih 60 negara di seluruh dunia setahun,” tambahnya.

Sebelum ini, dalam laporan media, industri pembuatan automotif Malaysia sedang menghadapi isu kekurangan pekerja yang meruncing dan situasi ini boleh menjejaskan ekosistem pembuatan automotif nasional (NAM) jika tidak diselesaikan segera.

Ekosistem NAM mungkin musnah dengan kehilangan lebih 500,000 pekerjaan dan menghapuskan sehingga 4.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara sekiranya isu tenaga kerja dalam industri ini tidak ditangani segera.

Jit Sin berkata, kesan kelembapan operasi itu turut menjejaskan kelewatan dalam penghantaran kenderaan.

“Kekurangan tenaga kerja yang serius secara tidak langsung boleh menjejaskan pemulihan ekonomi industri permotoran, pengeluaran kenderaan rendah kerana pengilang tidak mampu mengeluarkan produk pada kapasiti lebih tinggi.

“Sekiranya perkara ini tidak diatasi, lebih ramai pembeli kereta terpaksa menunggu lebih lama untuk memiliki kenderaan masing-masing,” katanya.

Perodua Alza dan Toyota Hilux bertembung, lima sekeluarga maut

LIMA sekeluarga termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Alza dan Toyota Hilkux di jalan raya Timur Barat arah Gerik-Jeli berdekatan Hentian Titiwangsa di Gerik petang semalam.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, Balai Bomba dan Penyelamat Gerik menerima panggilan mengenai nahas itu pada 3:45 petang.

Beliau berkata, kemalangan itu menyaksikan kesemua mangsa yang disahkan meninggal dunia menaiki Perodua Alza manakala dua lagi, yang menaiki Toyota Hilux, hanya cedera ringan.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Mohd Rodhi Othman, 58; Ahmad Khomaini Abu, 30; Sharifah Rohana Syed Sagaf, 59; Siti Aishah Mohd Rodhi, 32, dan Zara Hana Ahmad Khomaini, 5 tahun.

“Mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Jeli, Kelantan untuk mendapatkan rawatan manakala mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya sambil menambah operasi tamat sepenuhnya pada 7 malam tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, kedua-dua kenderaan masing-masing dinaiki lima orang.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Zulkifli Mahmood pula berkata, kesemua mayat dibawa ke Hospital Gerik untuk bedah siasat dan waris telah dimaklumkan untuk proses selanjutnya.

Toyota GR Supra Matte White Edition – 50 unit, untuk pasaran Jepun sahaja

Toyota telah memperkenalkan satu lagi model edisi terhad GR Supra khas untuk pasaran Jepun. Dikenali sebagai Matte White Edition, model ini hanya boleh didapati dengan transmisi manual dan pengeluarannya pula terhad kepada 50 unit sahaja.

50 unit bukanlah satu jumlah yang besar dan menyedari bahawa model ini bakal menjadi rebutan ramai, Toyota akan memilih pembeli menerusi cabutan loteri. Pendaftaran dibuka pada 20 dan 21 Julai lalu di laman web Toyota Gazoo Racing.

Jadi, apa yang istimewa mengenai model ini? Pertama sekali, ia didatangkan dalam warna eksklusif Matte Avalanche White Metallic yang dipadankan dengan aksen hitam pada bahagian splitter depan, skirt sisi, cermin sisi, tiang A, diffuser dan pelbagai lagi.

Melengkapkan rupa paras agresif jentera ini adalah rim tempaan berukuran 19 inci yang didatangkan dalam warna Frozen Gunmetal Grey dan angkup brek berwarna merah. Jika dilihat, ia mirip model A91-MT Edition yang diperkenalkan pada April lalu.

Ruang kabin pula dihiasi dengan upholsteri kulit berwarna coklat yang membaluti tempat duduk, panel pintu, stereng dan juga konsol tengah. Turut diberikan adalah plat gentian karbon pada papan pemuka yang tertera tulisan “GR Supra”, “Matte White Edition” serta lakaran model itu.

Model edisi terhad ini berasaskan varian tertinggi untuk pasaran Jepun iaitu RZ, jadi ia sarat dengan kelengkapan termasuk pad pengecas wayarles pada konsol tengah, port USB, sistem audio premium JBL dengan 12 pembesar suara dan skrin sentuh 8.8 inci untuk sistem infohibur.

Selain itu, tiada sebarang perubahan pada enjin. Seperti versi standard, model ini dipacu oleh enjin turbo 3.0-liter enam silinder sebaris dengan 387 PS dan 500 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam kelajuan.

GR Supra Matte White Edition dijual pada harga 7,890,000 yen (RM257,210), iaitu 577,000 yen (RM18,800) lebih mahal berbanding varian RZ ‘standard’.

Mercedes-Benz Malaysia lancar 3 model EV – EQS 450+, EQB 350 dan EQC 400

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) memperkukuhkan komitmen terhadap masa depan elektrik di negara ini dengan melancarkan tiga model kenderaan elektrik (EV) di bawah sub-jenama Mercedes-EQ iaitu EQS 450+, EQB 350 4Matic dan EQC 400 4Matic.

Mercedes-EQS 450+ – RM698,888

EQS merupakan salon mewah elektrik pertama daripada Mercedes-EQ yang menggunakan seni bina modular. Falsafah reka bentuk Sensual Purity yang digunakan memberikan model ini pekali seretan serendah 0.20, menjadikannya model produksi paling aerodinamik di dunia.

Untuk pasaran Malaysia, EQS 450+ didatangkan dengan pakej AMG Line, rim aloi ringan AMG berukuran 21 inci dan pakej Digital Light yang merangkumi lampu Digital Lighting, jalur reflektor pada bahagian depan dan juga Adaptive Highbeam Assist Plus.

Ruang kabin pula dihiasi dengan upholsteri kulit nappa yang membaluti tempat duduk (digelar Comfort Seats) dan stereng multifungsi, sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna dan trim kayu Anthracite pada konsol tengah.

Tarikan utama di sini adalah MBUX Hyperscreen yang menampilkan sistem navigasi realiti tambahan (augmented reality), dua set kepala wayarles, serta Apple CarPlay dan Android Auto. Turut disertakan adalah sistem audio Burmester 3D dan Keyless-Go Comfort Package dengan Hands-Free Access.

EQS 450+ mempunyai bateri berkapasiti 107.8 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sejauh 782 km dengan satu cas penuh. Motor elektriknya pula menjana 333 hp dan 565 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.2 saat dan mencapai kelajuan maksimum 210 km/j.

Mercedes-EQB 350 4Matic – Harga anggaran RM330,000

Menurut MBM, EQB merupakan EV mewah pertama di Malaysia yang menawarkan tujuh tempat duduk. Tempat duduk barisan ketiga boleh memuatkan dua penumpang dengan ketinggian sehingga 1.65 meter, malah kerusi keselamatan kanak-kanak juga boleh dipasang di sini.

Dengan ukuran tapak roda sepanjang 2,829 mm, EQB mampu menawarkan ruang kabin yang luas dan kapasiti but maksimum sebesar 1,710 liter. Tempat duduk barisan kedua boleh dilaras dalam beberapa peringkat mengikut keperluan.

Untuk bahagian luaran, model ini didatangkan dengan Electric Art, di samping rim aloi berukuran 19 inci, rel bumbung aluminium dan lampu depan LED High Performance. Pelanggan juga mendapat kunci yang dalam warna Rose Gold.

Di dalam, anda akan menemui upholsteri kulit Artico dan fabrik Cupertino dalam warna dwi tona Rose Gold dan Titanium Grey Pearl, dan balutan kulit nappa pada stereng. Antara kelengkapan yang disertakan termasuklah Keyless-Go Comfort Package, Hands-Free Access, pendingin hawa Thermotronic dan Easy-Pack Tailgate.

Dengan bateri berkapasiti 66.5 kWh, EQB 350 4Matic boleh dipandu sejauh 423 km. Pengecasan dari 10% hingga 80% kuasa bateri mengambil masa kira-kira 6 jam 15 minit dengan pengecas AC 11 kW atau 32 minit dengan pengecas pantas DC berkapasiti 100 kW.

Mercedes-EQC 400 4Matic – Harga anggaran RM390,000

EQC 400 tampil agresif dengan kit badan AMG Line yang merangkumi rim AMG multi-spoke berukuran 20 inci dan pemijak sisi aluminium. Selain itu, ia juga didatangkan dengan lampu depan Multibeam LED, manakala pengelap cermin automatik dengan sensor hujan turut disertakan secara standard.

Selaras dengan tema AMG, ruang dalaman menampilkan paddle shifter Direct Select, stereng sport multifungsi, karpet AMG dan upholsteri kulit nappa berwarna hitam pada papan pemuka. Bagi menambah lagi keselesaan, ia juga mendapat cermin akustik, pelarasan elektrik dan fungsi memori pada tempat duduk depan serta sokongan lumbar empat hala.

Ciri-ciri lain seperti pencahayaan ambien, pendingin hawa Thermotronic, Keyless-Go Comfort Package, Hands-Free Access dan Easy Pack Tailgate turut disertakan. Tidak dilupakan juga sistem multimedia MBUX, paparan Head-Up, MBUX Interior Assistant dan sistem bunyi Burmester.

EQC 400 didatangkan dengan bateri berkapasiti 80.0 kWh yang dikatakan cukup untuk jarak pemanduan antara 373 km hingga 437 km. Prestasinya juga cukup mengagumkan – pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 5.1 saat, manakala kelajuan maksimum boleh mencecah 180 km/j.

Dari segi keselamatan dan sistem bantuan pemandu pula, model ini didatangkan dengan pakej Driving Assistance yang merangkumi Active Distance Assist Distronic, Pre-Safety System dan Active Steering Assist. Turut disertakan dalam pakej adalah Adaptive Highbeam Asisst Puls dan Urban Guard dengan sistem penggera anti-kecurian dan sistem pemantauan kabin.

Ford Ranger 2022 rasmi dilancar – 7 varian, RM168,888 untuk WildTrak

FORD Ranger 2022 generasi baharu akhirnya dilancarkan hari ini secara rasmi oleh pengedarnya di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC). Terdapat tujuh varian ditawarkan, termasuklah XL, XLT, XLT Plus, dan WildTrak.

Terdapat tujuh varian ditawarkan termasuklah WildTrak, XLT Plus, XLT, dan XL, tetapi buat masa ini hanya harga dua varian diumumkan, iaitu:

Ranger WildTrak: RM168,888
Ranger XLT Plus: RM142,888

Ford Ranger baharu ini direka untuk menawarkan pemanduan dan keselesaan seperti kereta, tetapi pada masa sama mengekalkan kekuatan sebuah trak pikap dengan kemampuan off-road.

Ranger 2022 ini mempunyai jarak roda 50mm lebih panjang dari generasi sebelumnya. Sudut mendekati juga lebih tinggi (30 darjah berbanding 28.5 darjah) manakala sudut perlepasan dinaikkan kepada 23 darjah (berbanding 21 darjah).

Kedudukan suspensi belakang juga dialihkan keluar sedikit dari kerangka untuk kemampuan belokan lebih baik.

Dari segi luaran, Ford Ranger generasi baharu ini tampil dengan rekaan tegap, berkongsi DNA dengan trak pikap Ford lain seluruh dunia.

Terdapat lampu depan LED baharu berbentuk C dengan fungsi matriks dan lampu tinggi automatik (WildTrak dan XLT Plus sahaja). Ruang udara besar di gril menjanjikan aliran udara lebih baik kepada enjin dan sistem penyejukan.

Bahagian kabin Ranger membawakan keselesaan mirip seperti kereta atau SUV premium, dengan penggunaan bahan lembut.

Mendominasi papan pemuka Ranger generasi baharu ini ialah skrin infotainmen di tengah dengan saiz sehingga 12-inci (bergantung kepada varian) yang menampilkan sistem SYNC4 terkini dari Ford.

Di depan pemandu pula ialah kluster instrumen digital baharu yang memaparkan pelbagai maklumat pemanduan. Dengan hanyasatu butang, anda dapat mengakses sistem pemanduan off-road untuk memantau perkara-perkara seperti sistem pacuan, sudut pemanduan, dan pergerakan.

Bercakap mengenai mod pemanduan, Ford Ranger generasi baharu dilengkapi sehingga enam mod (bergantung kepada varian). Antaranya adalah Normal, Eco, Tow/Haul, Slippery, Mud/Ruts, dan Sand. Mod-mod ini akan melaras beberapa parameter untuk disesuaikan dengan keadaan.

Ciri lain pada Ranger baharu ini adalah pemijak sisi di belakang tayar belakang, ruang kargo lebih besar, tempat pengikat kargo, dan pintu but pelbagai fungsi.

Dari segi keselamatan pula, Ford Ranger generasi baharu mendapat ciri-ciri terkini seperti Evasive Steer Assist, Post-Collision Braking, Adaptive Cruise Control dengan Stop-and-Go, Cross Traffic Alert, Reverse Brake Assist, dan Automated Emergency Braking.

Ford Ranger ditawarkan dengan lima pilihan warna iaitu Arctic White, Meteor Grey, Aluminium Metallic, Lightning Blue, dan Absolute Black. Terdapat juga dua warna baharu untuk WildTrak iaitu Sedona Orange dan Luxe Yellow.

Ford Ranger WildTrak

Ford Ranger XLT dan XLT Plus

Ford Ranger XL

Honda Civic Type-R 2022 didedah, akan jadi model paling berkuasa pernah dikeluarkan

SETELAH lebih setahun anda disajikan dengan imej-imej lakaran dan intipan, kini Honda Civic Type-R 2022 serba baharu telah didedahkan secara rasmi. Tetapi bukan semua, kerana kuasa, prestasi dan harga belum didedahkan.

Sekurang-kurangnya kita dapat melihat dengan jelas gambar rasmi luar dan dalam hot hatch ini. Paling penting, Civic Type-R dengan kodnama FL5 ini dikatakan bakal “menjadi Type-R paling berkuasa”.

Output dijana oleh enjin 2.0-liter turbo 4-silinder dari FK8, tetapi dengan talaan semula untuk lebih kuasa. Kotak gear juga dikekalkan, iaitu manual 6-kelajua tetapi juga ditala semula, dan seperti biasa kuasa disalurkan ke roda depan.

Tiada kotak gear sequential, tiada all-wheel drive (AWD), tiada hibrid segala macam. Dari aspek janaan kuasa, hot hatch ini masih ‘old-school’.

Dari segi dimensi, Type-R 2022 ini lebih rendah, lebih panjang, dan lebih lebar dari FK8. Ia juga mendapat tayar Michelin Pilot Sport 4S yang lebih lebar, dan ini pastinya salah satunya faktor yang menyumbang kepada rekod FWD di Suzuka.

Rupa luarannya kini jelas tanpa sebarang celoreng prorotaip. Spoiler belakang Type-R yang besar nampak padan dengan badannya, dan ia bukan satu-satunya elemen baharu di sini. Lip depan juga baharu, dengan gril lebih agresif dan bampar direka semula.

Terdapat juga ruang udara di belakang fender depan, sama seperti FK8 tetapi kini dengan rekaan lain. Berserta dengan ruang kemasukan udara di depan, ini sepatutnya akan menambah baik aliran udara padanya.

Disebabkan roda dan tayar Type-R ini lebih lebar berbanding Civic FE biasa, fender di pintu belakang juga telah dilebarkan. Di belakang, Type-R 2022 mengekalkan diffuser dan ciri tiga ekzos.

 

Di bahagian dalam, seperti dijangka, Civic Type-R mendapat gandingan warna merah dan hitam. Merah pada tempat duduk sports, karpet, lencana, dan jahitan. Hitam pula di bahagian lain, termasuklah papan pemuka baharu.

Sementara itu mod pemanduan +R mengubah paparan instrumen menjadi lebih agresif dan sporti. Terdapat juga ciri data logger dan maklumat dalam masa sebenar yang menunjukkan input serta respon kereta terhadap pemandu.

Kami akan kongsikan lagi laporan menyusul apabila kami dapat lebih info seperti harga dan maklumat teknikal.

Setakat ini, apa pendapat anda mengenai Honda Civic Type-R 2022 ini?

Perodua Alza catat lebih 30,000 tempahan, tempoh menunggu sampai 10 bulan

PERODUA Alza serba baharu yang dilancarkan semalam (20 Julai 2022) telah menerima lebih 30,000 tempahan sejak 23 Jun lalu, dengan 65% daripadanya adalah untuk varian AV. Ini merupakan jumlah tempahan tertinggi dalam sejarah pengeluar kenderaan tempatan itu.

“Pencapaian ini disebabkan oleh beberapa faktor, antaranya ialah para pelanggan ingin memanfaatkan sepenuhnya inisiatif pengecualian cukai jualan yang akan tamat tempoh pada 30 Jun 2022,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Tambah beliau lagi, daripada lebih 200,000 tempahan yang diterima oleh Perodua buat masa ini, hampir 15% adalah model Perodua Alza serba baharu.

Bercakap kepada media selepas majlis pelancaran, Dato’ Zainal turut berkata bahawa tempoh menunggu untuk Alza serba baharu adalah sekitar 10 bulan. Ini memandangkan kilang pengeluaran Perodua di Sungai Choh, Rawang mampu mengeluarkan kira-kira 3,000 unit atau 36,000 unit Alza setahun.

“Tetapi jangan risau, kita akan cuba tingkatkan pengeluaran dan cuba memenuhi apa-apa permintaan daripada pelanggan,” kata Dato’ Zainal.

Alza serba baharu ditawarkan dalam tiga varian iaitu X, H dan AV, dengan harga bermula dari RM62,500 hingga RM75,500. Ia merupakan model kedua Perodua yang menggunakan platform Daihatsu New Generation Architecture (DNGA) selepas Ativa.

Mengenai pembangunan Alza serba baharu, Dato’ Zainal berkata syarikat itu melabur RM770 juta untuk membangunkan model tersebut sejak April 2018.

Apa yang menarik, ia dibangunkan secara bersama oleh pasukan pereka dan jurutera Malaysia dan rakan sejawatan mereka di Daihatsu Motor Co., Jepun. Jadi, jangan kata ini model ‘rebadge’ ya!

Pagani batalkan R&D untuk EV, akan terus gunakan enjin V12

PAGANI pernah memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) kereta elektrik (EV) pada 2018. Walaubagaimanapun hari ini, empat tahun kemudian, syarikat itu mengumumkan mereka akan membatalkan terus hasrat membangunkan kereta jenis itu.

Horacio Pagani sendiri mendedahkan berita itu kepada Autocar pada pameran motor Milan Monza di Itali bulan lepas.

Penyelidikan Pagani mendapati bahawa supercar elektriknya akan memerlukan 600kg bateri, yang mana Autocar menyatakan lebih dari separuh berat keseluruhan Huayra R (1,070kg).

Menurut Horacio, EV terlalu berat untuk supercar dan kurang aspek emosi pemanduan. Beliau sendiri membeli sebuah Tesla untuk memahami EV dengan lebih baik, dan percaya bahawa supercar elektrik perlu lebih dari prestasi semata-mata, dan telah dicapai hari ini.

Sebagai contoh, Kia EV6 GT menghasilkan 577hp dan mampu mencapai 100km/j sepantas 3.5 saat. Cabarannya, menurut Horacio, ialah untuk memberikan EV sensasi seperti terdapat pada kereta petrol biasa. Ini tidak dapat dicapai apabila bateri masih terlalu berat.

Horacio berkata dia mengimpikan untuk membina EV seberat 1,300kg tetapi memberitahu kepada Autocar bahawa ia tidak dapat dihasilkan. Malah, Pagani akan terus mengeluarkan supercar berkuasa V12 yang diperolehi dari Mercedes-Benz.

Syarikat itu pada 2019 mengumumkan mereka akan menggunakan V12 Mercedes sehingga 2026, dan enjin itu akan menjadi nadi kepada Pagani C10 yang akan dilancarkan pada September nanti.

Pagani juga tidak menemui sebarang minat dalam pasaran supercar EV. Walaubagaimanapun, Horacio menyatakan mereka akan terus melabur dalam R&D ini kerana tahu bawaha citarasa pelanggan dan situasi pasaran boleh berubah.

Yamaha NMax kini dalam dua warna matte baharu – RM9,498

YAMAHA NMax generasi semasa, yang dilancarkan di Malaysia pada Disember 2020, kini diberikan penampilan lebih segar menerusi dua pilihan warna baharu iaitu Matte Green dengan rim berwarna emas dan Matte Blue dengan rim hitam.

Menurut Hong Leong Yamaha Motor (HLYM), model tahun 2022 ini boleh didapati menerusi rangkaian pengedar bertauliah Yamaha di seluruh negara mulai 19 Julai 2022.

Ia dijual pada harga RM9,498 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans), menunjukkan peningkatan sebanyak RM500 berbanding harga jualan sebelum ini iaitu RM8,998. Seperti biasa, setiap pembelian disertakan dengan kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.

Selain pilihan warna baharu ini, spesifikasi NMax dilihat kekal seperti sebelum ini. Ini bermakna ia masih dikuasakan oleh enjin SOHC 155 cc VVA (Variable Valve Actuation) yang menghasilkan 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm pada 6,000 rpm.

Enjin tersebut dilengkapi dengan teknologi suntikan bahan api dan sistem penyejukan cecair, selain mempunyai sistem Stop & Go untuk penjimatan bahan api. Kuasa disalurkan ke roda belakang oleh tali sawat V-automatik.

NMax menggunakan suspensi jenis fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar, manakala sistem breknya terdiri daripada cakera hidraulik pada bahagian depan dan belakang. Bagaimanapun, ABS tidak disertakan pada model ini.

Kelengkapan standard yang ada termasuklah lampu LED depan dan belakang, soket pengecas 12 V dan ruang penyimpanan berkapasiti 23.3 liter di bawah tempat duduk. Semua maklumat penting pula dipaparkan pada panel LCD.

Porsche laku keras 6 bulan pertama 2022, Cayenne kekal model paling laris

PORSCHE nampaknya mempunyai prestasi jualan cukup baik untuk separuh masa pertama 2022, walaupun berhadapan beberapa cabaran.

Secara keseluruhan, pengeluar kereta sports itu telah menyerahkan 145,860 kenderaan kepada pelanggan seluruh dunia antara Januari hingga Jun, penurunan lima peratus berbanding tahun lepas.

“Selain dari kesukaran yang dihadapi dari peningkatan Covid-19 di China dan beberapa pasaran lain,  kata Detlev von Platen, ahli lembaga untuk Sales dan Marketing di Porsche AG.

“Pada masa yang sama, daya tarikan jenama dan populariti produk kami tetap kuat. Kami menjangkakan tahun kedua menjadi cukup dinamik,” tambahnya.

Situasi pasaran seluruh dunia di separuh masa pertama berbeza dan angka penyerahan kenderaan juga berbeza di setiap rantau dan pasaran.

Di Eropah, jumlah penyerahan kenderaan meningkat kepada 43,087, peningkatan tujuh peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Perkara sama dilaporkan di Jerman, iaitu pasaran tuan rumah. Penyerahan sebanyak 13,785 untuk enam bulan pertama 2022, juga peningkatan lima peratus.

Di China, Porsche berjaya menyerahkan 40,681 kenderaan walaupun berlakunya lockdown beberapa bulan di sesetengah bandaraya.

Secara keseluruhan, Porsche menjual 62,245 unit kenderaan di seluruh rantau Asia Pasifik, Afrika, dan Timur Tengah.

Di Amerika Syarikat, sebanyak 32,529 kenderaan diserahkan kepada pelanggan walaupun menghadapi beberapa masalah transit dan penghantaran.

Cayenne kekal model paling laris

Permintaan masih tinggi untuk model-model SUV. Sejumlah 41,947 unit Cayenne diserahkan kepada pelanggan sepanjang Januari hingga Jun 2022, menjadikannya model Porsche paling laris.

Ini diikuti dengan Macan di tempat kedua dengan 38,039 penyerahan. Ikon kereta sports iaitu 911, terjual sebanyak 21,616 unit di seluruh dunia.

Sementara itu, Taycan terjual sebanyak 18,877 unit walaupun terhalang oleh masalah-masalah produksi seperti rantaian bekalan.

Jualan untuk Panamera pula ialah sebanyak 15,604 unit, sementara 9,777 unit untuk 718 Boxster dan 718 Cayman.

Perodua Alza 2022 rasmi dilancarkan – 3 varian, harga bermula dari RM62,500

SELEPAS pelbagai teaser disiarkan dalam tempoh beberapa minggu ini, Perodua Alza 2022 akhirnya dilancarkan secara rasmi ke pasaran Malaysia.

Menurut syarikat itu, mereka telah menerima lebih 30,000 tempahan untuk Alza sejak tempahannya dibuka 23 Jun lalu.

Seperti yang kami laporkan sebelum ini, Perodua menawarkan model generasi baharu itu dalam tiga varian iaitu X, H dan AV. Harga (tidak termasuk insurans) bermula dari RM62,500 untuk varian X, RM68,000 untuk varian H dan RM75,500 untuk AV.

Tidak seperti model terdahulu, Alza baharu dibangunkan menerusi platform Daihatsu New Generation Architecture (DNGA) yang menawarkan kelebihan seperti ruang kabin yang lebih luas, pemanduan yang lebih baik serta ‘ground clearance’ yang lebih tinggi sebanyak 160 mm.

MPV tujuh tempat duduk ini mempunyai pilihan enjin tunggal iaitu enjin 2NR-VE 1.5-liter empat silinder Dual VVTi yang menjana 105 hp pada 6,000 rpm dan 138 Nm pada 4,200 rpm. Dengan transmisi jenis D-CVT, ia dikatakan mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api sekitar 22 km/l.

Sebagai tambahan, tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Power disertakan pada varian AV untuk memberikan prestasi pemanduan yang lebih memuaskan.

Dari segi kelengkapan, setiap varian Alza dilengkapi dengan lampu depan LED dengan fungsi Follow-Me Home & Leaving Home serta lampu belakang LED. Rim didatangkan dalam saiz 15 inci untuk varian X, dan 16 inci untuk H dan AV.

Terdapat lima warna menarik yang ditawarkan iaitu Ivory White, Glittering Silver, Garnet Red, serta dua warna baharu iaitu Elegant Black dan Vintage Brown.

Di dalam, anda akan menemui paparan audio berukuran sembilan inci dan kluster instrument TFT tujuh inci pada varian H dan AV, port USB pada bahagian depan dan belakang, brek parkir elektronik dengan Auto Hold, stereng multifungsi dan upholsteri kulit dua tona (AV sahaja).

Satu lagi penambahbaikan ketara yang dibawa oleh model baharu ini adalah aspek keselamatan. Ketiga-tiga varian didatangkan standard dengan ciri Advanced Safety Assist (ASA) terkini yang merangkumi Pre-collision Warning, Pre-Collision Assist Brake (untuk kenderaan dan pejalan kaki), Mis-pedal Operational Control dan Front Departure Alert.

Bukan itu sahaja, semua varian Alza juga mendapat ciri-ciri bantuan pemandu lain seperti Lane Departure Warning, Lane Departure Prevention, Hill Start Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Keep Control dan Blind Spot Monitor.

Bantuan untuk parkir pula terdiri daripada 360 Panoramic View Monitor, Rear Cross Traffic Alert, kamera undur, sensor sudut depan dan sensor sudut belakang. Ciri-ciri keselamatan lain yang ada termasuk enam beg udara, brek cakera belakang, ABS dengan EBD, serta Vehicle Stability Control dengan Brake Assist.

Galeri Perodua Alza 2022