Arkib Kategori: BERITA

Ujian akhir: Porsche 718 Cayman GT4 RS catat 7 minit 9.3 saat di Nurburgring

PORSCHE 718 Cayman GT4 akan mendapat ‘adik’ yang lebih hardcore, iaitu Cayman GT4 RS yang akan membuat kemunculan global secara rasmi November ini.

Untuk fasa ujian akhir dan pemanduan penilaian, jentera ini mempamerkan prestasi dinamik dan potensinya di litar Nurburgring.

Merupakan 718 pertama yang ‘memakai’ lencana RS, Cayman ini mencatatkan masa 7:09.300 minit di litar Green Hell, dipandu oleh Jörg Bergmeister.

Ia juga sebelum ini mencatatkan masa 7:04.511 di bahagian litar lebih pendek, bermakna ia 23.6 saat lebih pantas dari 718 Cayman GT4 ‘biasa’.

Untuk melindungi pemandunya dalam catatan masa ini, jentera berenjin tengah ini dilengkapi dengan tempat duduk perlumbaan. Tayarnya adalah Michelin Pilot Sport Cup 2 R, iaitu tayar pilihan khas untuk kereta ini.

“Semasa pembangunan, kami memberikan 718 Cayman GT4 RS segalanya memberikannya karakter RS sebenar: ringan, lebih downforce, lebih kuasa, dan sudah tentu lebih respon untuk pemandu,” kata Andreas Preuninger, pengarah GT Model Line.

“Catatan masa di Nordschleife ini satu bukti kukuh tentang betapa ketaranya penambahbaikannya pada dinamik pemanduan.”

Menurut pemandu ujian, Jörg Bergmeister, 718 Cayman GT4 RS ialah jentera pemanduan yang tiada komporomi. “Ia terasa lincah seperti go-kart di jalan pergunungan, tetapi tetap stabil dan seimbang di litar.”

“GT4 RS ini antara jentera Porsche paling responsif pernah dihasilkan. Dan anda hanya perlu merasai sendiri bunyinya yang menakjubkan,” tambah Bergmeister yang juga telah menghabiskan lebih 500 jam dalam pembangunan 718 Cayman GT4 RS.

Kerajaan tumpu pembangunan EV, yakin terima sambutan rakyat

KERAJAAN akan terus memberi keutamaan terhadap program pembangunan, validasi dan pengkomersialan teknologi kenderaan elektrik (EV) tempatan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, ia bukan sahaja memacu pertumbuhan ekonomi malah, menjadikan Malaysia sebuah negara berteknologi tinggi menjelang 2030.

Jelas Datuk Seri Dr Adham Baba, kerajaan kini berusaha meneroka lebih banyak aspek berkaitan teknologi EV menerusi Program NanoMalaysia Energy Storage Technology Initiative (NESTI).

“Program ini menekankan pembangunan dan pengkomersialan sistem simpanan tenaga bagi kegunaan mobiliti elektrik termasuk bateri, ultra kapasitor, penyimpanan hidrogen dan reaktor, sistem pengurusan tenaga dan kitar semula bateri,” katanya.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menggunakan pendekatan ‘whole of nation’ bagi meningkatkan penerimaan terhadap teknologi EV.

Secara tidak langsung, pendekatan itu mampu menjadikan Malaysia sebagai pengeksport komponen EV tersohor di rantau Asean.

Terdahulu, Dr Adham yakin penggunaan EV bakal menerima sambutan baik daripada rakyat negara ini.

“MOSTI yakin penerimaan awam terhadap kenderaan EV akan meningkat dalam jangka pendek memandangkan kenderaan EV jimat tenaga.

“Ia hanya memerlukan infrastruktur pengisian yang sederhana melibatkan sistem pertukaran bateri.

“Teknologi EV juga mempunyai potensi yang besar untuk perkhidmatan pengangkutan awam dan penghantaran menjelang 2030,” katanya lagi.

DHL, Pen Aviation jalin kerjasama guna dron bawa barangan di pelabuhan

PERKHIDMATAN penghantaran barang menerusi pesawat tanpa pemandu (UAV) bakal direalisasikan tidak lama lagi.

Ia merupakan hasil kerjasama syarikat kurier DHL Express (Malaysia) Sdn Bhd dengan Pen Aviation Sdn Bhd.

Pengarah Urusan DHL Express Malaysia dan Brunei Julian Neo berkata, penggunaan UAV penting terutama bagi penghantaran barangan ketika waktu kritikal.

“Kami berusaha menyelesaikan tiga masalah dalam perkhidmatan penghantaran.

“Ini termasuk kos tinggi untuk mengambil dan menghantar bekalan kargo kecil ke kapal, meningkatkan kecekapan dalam pengendalian kargo serta menambah baik keselamatan dan jaminan perkhidmatan,” katanya.

Jelas Julian lagi, matlamat jangka panjang adalah mewujudkan kumpulan gabungan pesawat terdiri daripada dron kargo bersaiz sederhana dan dron kargo bersaiz besar.

Dron PEN55V direka dan dibina secara perkongsian dengan Cavok-UAS iaitu syarikat dari Perancis yang mahir dalam bidang pertahanan serta keselamatan.

PEN55V merupakan UAV dengan berat pelepasan maksimum 55 kilogram yang mempunyai daya tahan selama 2.5 jam.

Selain itu, ia juga berupaya membawa maksimum beban bayar 15 kilogram bagi setiap penerbangan.

Berdasarkan perjanjian DHL dan Pen Aviation, UAV PEN55V digunakan untuk penghantaran barangan kepada pelabuhan laut jarak jauh.

Antara tugasan dilakukan termasuk mengambil dan menurunkan bungkusan yang mempunyai berat sehingga 15 kilogram dari dek kapal kargo ke pelabuhan.

Hyundai Staria yang futuristik ini sudah tiba di Malaysia, tempahan dibuka

BARU sahaja tengok pengenalan globalnya beberapa bulan lepas, kini Hyundai Staria yang futuristik telah tiba di Malaysia dan bakal dilancarkan minggu depan (27 Oktober 2021). Tempahan juga sudah dibuka.

Hyundai Staria ialah MPV premium dengan pelbagai konfigurasi sehingga 11 tempat duduk. Tetapi untuk pasaran Malaysia, Sime Darby Auto Hyundai membawakan satu varian sahaja iaitu Premium, dengan tujuh tempat duduk.

Dapat dilihat rupa luaran Staria ini hampir seperti sebuah kapal angkasa, dan rekaannya menggunakan satu garisan panjang dari depan, bumbung dan hingga ke belakang.

Di depan, satu bar lampu nipis melintang dengan lampu posisi dan DRL LED. Di bawahnya, terdapat gril radiator besar yang juga ‘ditarik’ hingga ke tepi, hampir sama lebar dengan badannya. Gril ini mempunyai elemen tiga-dimensi dan di sini juga terletaknya lampu utama LED kiub.

Bahagian dalam Hyundai Staria pula direka dengan konsep lounge seperti di lapangan terbang atau hotel, dimana ia akan membuatkan penumpang merasa selesa dan relaks. Malah, tempat duduk baris kedua Staria lebih besar dari baris pertama dan ketiga.

Semua tempat duduk dibaluti dengan Nappa Leather, dan keselesaan ditambah dengan kabin yang luas serta mudah dilihat ke luar, hasil dari rekaan beltline atau dasar tingkap sisi yang rendah.

Kedua-dua tempat duduk baris kedua dan ketiga juga boleh digelungsurkan ke depan atau belakang sebanyak 300mm, bergantung kepada keperluan. Ruang kargo maksima adalah hampir 5,000 liter.

Ruang yang luas pada Staria diperolehi kerana tidak seperti Starex yang menggunakan pacuan roda belakang, Staria menggunakan pacuan roda depan. Jadi, tiada sebarang shaf di bawah kabin, malah suspensi belakang menggunakan multi-link.

Staria dipacu oleh enjin 2.2-liter CRDi diesel yang sama dari Santa Fe, tetapi ditala agar mempunyai kuasa lebih rendah, sekitar 177PS dan 431Nm tork. Ini kerana Hyundai Staria mementingkan keselesaan dan kelancaran pemanduan. Kotak gear pula ialah automatik 8-kelajuan.

Hyundai Staria Premium kini dibuka untuk tempahan, dan jika anda berminat, lawati sahaja mana-mana bilik pameran sah. Kami akan maklumkan harga dan maklumat lain selepas pelancaran nanti.

Toyota labur AS$3.4 bilion hasilkan bateri EV di Amerika Syarikat

TOYOTA meneruskan langkah berani dengan memperuntukan dana cukup besar bagi projek pembangunan penghasilan bateri kenderaan elektrik.

Memetik laporan media, syarikat itu dikatakan telah memperuntukan lebih AS$3.4 bilion bagi projek tersebut.

Projek dijangka mengambil masa lebih 10 tahun itu turut melibatkan pembinaan kilang di Amerika Syarikat khusus bagi memproduksi bateri kenderaan elektrik.

Setakat ini, Toyota menyasarkan keseluruhan projek pembinaan fasiliti pengeluaran bateri kenderaan elektrik akan bermula seawal tahun 2025.

Bagi tujuan itu, lebih 1,750 peluang pekerjaan juga bakal diwujudkan oleh Toyota.

Sebelum ini, Toyota mendedahkan memperuntukan dana keseluruhan 1.5 trilion yen atau RM54.65 bilion untuk pembangunan dan pembekalan bateri kenderaan elektrik.

Menjelang tahun 2030, Toyota mensasarkan penjualan sebanyak 2 juta unit kenderaan elektrik.

Ia turut melibatkan penghasilan 15 buah model kenderaan elektrik sebelum tahun 2025.

Kia Forte (Cerato atau K3) 2021 dikemaskini untuk mencabar Honda Civic!

SEDAN segmen-C mungkin didominasi oleh Honda Civic namun ini tidak bermakna pengeluar-pengeluar lain akan hanya mengibarkan bendera putih sebagai tanda menyerah kalah.

Kia, sebagai contoh, telah mengemaskini Forte generasi ketiga (juga dikenali sebagai Cerato dan K3) dengan rekaan lebih segak dan kelengkapan baharu dalam usahanya untuk memberi saingan kepada Civic.

Penampilan Forte diperkemaskan menerusi rekaan lampu dan jeriji hidung harimau yang lebih langsing, bampar hadapan dan belakang yang kelihatan lebih lebar serta trunk spoiler. Rim juga direka semula dan boleh didapati dalam saiz 16- hingga 17-inci, bergantung pada varian.

Pada dua varian teratas iaitu GT Line dan GT, lampu kabus LED diintegrasikan pada lubang kemasukan udara, manakala lampu belakang pula mempunyai grafik LED yang lebih sporti.

Di dalam, varian FE dan LXS didatangkan standard dengan skrin sesentuh berukuran lapan inci dengan Apple CarPlay tanpa-wayar dan Android Auto, manakala GT Line dan GT mendapat paparan 10.25-inci, di samping Smart Key dengan fungsi Remote Start.

Selain itu, kluster LCD TFT 4.2-inci disertakan sebagai ciri standard pada kesemua varian, begitu juga dengan brek parkir elektronik dengan ciri Auto Hold. Pelanggan bagaimanapun boleh memilih untuk mendapatkan port pengecas USB belakang dan upholsteri kulit sintetik Syntex.

Seperti sebelum ini, Forte boleh didapati dengan dua jenis enjin. Untuk varian FE, LXS dan GT Line adalah enjin 2.0-liter MPI empat silinder yang menjana 147hp dan 179Nm. Enjin naturally-aspirated ini digandingkan dengan kotak gear jenis Intelligent Continuously Variable Transmission (IVT).

Sebagai varian tertinggi dalam barisannya, Forte GT tampil dengan enjin turbo 1.6-liter GDI empat silinder yang boleh didapati dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan atau manual 6-kelajuan.

Kuasa yang dihasilkan agak tinggi iaitu 201hp dan 265Nm. Turut disertakan pada varian ini adalah ekzos sport berkembar dan suspensi multi-link.

Akhir sekali, model ini juga mendapat beberapa sistem bantuan pemandu termaju (ADAS) baharu. Ini termasuklah Lane Following Assist (LFA), Highway Driving Assist (HDA), Navigation Based Smart Cruise Control (NSCC) dan Safe Exit Warning (SEW).

Ia merupakan tambahan kepada ciri-ciri sedia ada yang telah ditambah baik seperti Blind Spot Collision Avoidance Assist (BCA), Forward Collision-Avoidance Assist (FCA), Rear Cross-Traffic Collision Avoidance Assist (RCCA) dan pelbagai lagi. Menurut Kia, Forte ditawarkan dengan 15 ciri ADAS kesemuanya, dengan enam daripadanya disertakan standard.

Di Amerika Syarikat, Forte dijual pada harga bermula dari USD19,090 (RM79,414) hingga USD23,490 (RM97,718).

Yamaha TMax 560 baharu jengah pasaran Malaysia, harga RM72,888

BARU-BARU ini Hong Leong Yamaha (HLYM) telah melancarkan sebuah lagi jentera terbaharu di pasaran negara.

Mula diperkenalkan di peringkat global pada penghujung 2019, TMax 560 dibawakan dengan dua varian warna untuk pasaran Malaysia iaitu Tech Kamo dan Power Grey.

Model terbaharu kali ini, Yamaha membuat beberapa penambahbaikan terutama melibatkan bahagian enjin.

Foto ihsan Yamaha

Kapasiti enjin dipertingkatkan iaitu dari 530cc kepada 562cc dengan 47.6 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm.

Berdasarkan reka bentuk model kali ini, ternyata Yamaha telah memberi banyak sentuhan baharu termasuk bahagian lampu hadapan dan belakang.

Foto ihsan Yamaha

Selain itu, bahagian tempat duduk juga direka semula menjadikan jentera ini lebih ergonomik dan selesa.

Berikut antara ciri istimewa lain terdapat pada TMax 560:

      • Brek cakera berkembar 267 mm di hadapan

      • Brek cakera berkembar 267 mm di belakang

      • Rim 15 inci

      • Tangki bahan api 15 liter

      • Penghadang angin kawalan elektrik

      • Cruise control

      • Pemanas tangan dan tempat duduk

      • Suspensi belakang boleh laras

      • Fork berwarna emas

      • Dua pilihan mod tunggangan

      • Kawalan cengkaman dan brek ABS

    Foto ihsan Yamaha

    Setakat ini harga ditawarkan bagi seunit TMax adalah RM72,288 tidak termasuk insurans.

Bilangan kenderaan ke Kelantan dijangka meningkat sempena Maulidur Rasul

BILANGAN kenderaan ke Kelantan dijangka bertambah menjelang cuti umum pada Selasa bersempena sambutan Maulidur Rasul.

Susulan itu, pihak polis akan terus melakukan pemantauan rapi bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.

Terdapat lebih 154 pasukan polis diwujudkan bagi tujuan itu sekaligus membuktikan ketegasan pihak berkuasa yang tidak akan berkompromi dalam kes pematuhan SOP.

Sementara itu, Kelantan menerima lebih 32,000 kenderaan sejak 14 hingga 16 Oktober.

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata, jumlah kemasukan itu melibatkan laluan di pintu masuk utama Gua Musang, Jeli dan Pasir Puteh.

Katanya, kebanyakan kenderaan memasuki Kelantan adalah mereka yang merupakan perantau pulang ke kampung serta pelancong domestik.

“Di sekitar pusat bandar Kota Bharu, kita dapati berlaku pertambahan kenderaan tetapi tidak begitu sesak.

“…kemungkinan mereka mengikut jadual perjalanan masing-masing dan keadaan itu akan sentiasa dipantau pasuka ditubuhkan baru-baru ini,” katanya.

Mulai hari ini, Kelantan antara negeri yang akan beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara.

Lexus ES 250 facelift kini dengan varian F Sport, 204hp, harga bermula RM296k

LEXUS ES 250 facelift diperkenalkan oleh UMW Motor dan hadir dengan tiga pilihan, termasuk varian baharu F Sport.

Harga bermula pada RM296,663 untuk Premium, RM329,910 untuk Luxury, dan RM345,134 untuk F Sport yang anda lihat ini. Harga adalah atas jalan tanpa insurans, termasuk pengecualian cukai 50 peratus untuk kereta CBU.

Apa yang menarik mengenai Lexus ES 250 ini? Ianya antara model paling laris Lexus dengan lebih 2.65 juta unit telah terjual merangkumi tujuh generasi. Rekaan dinamik dan tajam yang anda dapat lihat ini ialah hasil dari konsep yang Lexus gelarkan sebagai Provocative Elegance.

Harus diketahui juga Lexus ES 250 generasi ketujuh ini dibina di atas pelantar Global Architecture K (GA-K) iaitu dari Toyota New Global Architecture (TNGA) yang menjadi asas Camry. Tetapi Lexus ES 250 ini lebih dari sekadar Camry yang lebih mahal.

Versi facelift ini mendapat rekaan Spindle Grille baharu. ES 250 Premium diberikan lampu bi-LED, manakala Luxury dan F Sport dilengkapi lampu LED kompak 3-tahap dengan rekaan DRL baharu. F Sport juga dapat dibezakan dari rupa yang lebih sporti serta rim aloi khas 19-inci dengan kemasan Dark Premium Metallic.

Pilihan warna untuk ES 250 adalah: Sonic Quartz, Sonic Titanium, Graphite Black Glass Flake, Red Mica Crystal Shine, Ice Ecru Mica Metallic, Deep Blue Mica, dan dua warna baharu Sonic Iridium dan Sonic Chrome. F Sport pula boleh didapati dengan dua warna eksklusif heat Blue Contrast Layering atau White Nova Glass Flake.

Untuk bahagian kabin, kesemua varian ES 250 mendapat tema warna baharu, kemasan hitam atau Brown Walnut untuk Premium dan Luxury, serta kemasan aluminium Flare Red atau Black untuk F Sport.

Teknologi juga cukup canggih, dengan skrin sesentuh 8- dan 12.3-inci yang diubah kedudukannya untuk lebih ergonomik untuk pemandu dan penumpang.

Antara ciri unik pada ES 250 ini adalah Nanoe-X yang memperbaiki kualiti udara kabin, jam analog (F Sport), dan meter gegelung logam dengan kesan 3D yang diinspirasikan dari supercar LFA.

Lexus ES 250 dikuasakan oleh enjin 2.5-liter empat-silinder petrol yang mampu menjana 204hp dan 247Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda depan dengan transmisi Direct-Shift 8-kelajuan.

Pecutan ke 100km/j dapat dicapai dalam 9.1 saat dan kelajuan maksima ialah 210km/j.

ES 250 juga hadir dengan ciri keselamatan Lexus Safety System+ dengan teknologi seperti Pre-Collision System+, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Keep Asssit, Lane Tracing Assist, dan Adaptive Highbeam System.

Jadikan kereta cantik berkilat dengan Armor All, buat di rumah sahaja!

NORMA baharu ketika pandemik ini banyak memberi kesan kepada operasi perniagaan, malah terdapat perubahan tingkah laku pengguna dengan lebih ramai orang melakukan aktiviti DIY disebabkan kesukaran mendapatkan perkhidmatan yang sering digunakan sebelum ini.

Di kalangan pemilik kereta, ramai antara mereka membiarkan kereta tidak bergerak di rumah berikutan pelaksanaan amalan bekerja dari rumah dan sekatan perjalanan.

Disebabkan hal ini, ramai pemilik kereta tidak dapat membersihkan kereta mereka secara profesional untuk hasil yang sangat memuaskan, dan terpaksa melakukannya sendiri.

Untuk golongan ini, Armor All kini bersedia menawarkan produk yang membolehkan mereka membersihkan kereta dengan hasil setanding khidmat profesional, hanya dari rumah.

Armor All dilancarkan oleh Energizer Malaysia yang meluaskan portfolio jenamanya di Malaysia untuk produk penjagaan kereta berkualiti tinggi.

Sinonim dengan pengeluaran inovasi dan teknologi baharu di dunia, selain pelbagai jenis produk terbaik yang dihasilkan, Energizer Holdings telah memperoleh jenama Armor All pada tahun 2018.

“Kualiti formulasi Armor All membolehkan kami menawarkan produk penjagaan kereta yang berkesan, yang menjadikan kereta kelihatan lebih menarik dengan harga yang berpatutan,” kata Diane Lee, Pengarah Perniagaan – Malaysia & Singapura, Energizer Holdings Inc.

“Dengan pelbagai rangkaian produk semua dalam satu dan juga produk penggunaan 1-langkah yang ada, ianya mudah untuk mendapatkan hasil bertaraf profesional di rumah – sebagaimana dijanjikan oleh slogan ‘Kelihatan cantik dengan mudah’.”

Aaron Abner Ang, Ketua Pemasaran – Malaysia, Singapura & Indonesia, Energizer Holdings Inc berkata: “Untuk meningkatkan pendedahan terhadap Armor All, kami telah menceburi dunia Grand Prix, dengan melantik Jenson Button sebagai duta global pertama untuk Armor All.”

Bilangan kenderaan di lebuhraya meningkat, 3.8 juta sejak Rabu lalu

STATISTIK pasukan Polis Diraja Malaysia mendapati terdapat peningkatan bilangan kenderaan di beberapa lebuhraya utama negara.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, lebih 3.8 juta kenderaan telah dicatatkan sejak Rabu.

Peningkatan itu dipercayai ada kaitan dengan kebenaran rentas negeri berkuatkuasa pada 11 Oktober lalu.

Katanya, pihak polis akan terus memantau aliran trafik dan bersedia melakukan tindakan penguatkuasaan lebih ketat.

“JSPT bekerjasama dengan syarikat konsesi lebuh raya. Tindakan advokasi dan penguatkuasaan akan dilaksanakan kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Untuk rekod, Lebuh raya Utara Selatan mencatatkan kehadiran 1,075,408 kenderaan, Lebuh raya KL-Karak (97,758) serta Lebuh raya Pantai Timur Fasa 1 (34,041).

Plaza Tol Gombak menunjukkan peningkatan kenderaan paling mendadak iaitu sebanyak 108 peratus atau bersamaan 57,719 berbanding 27,204 pada Rabu minggu lalu.

Berikut adalah jumlah kenderaan dicatatkan di beberapa plaza tol lebuhraya utama seluruh negara yang lain:

  • Plaza Tol Jalan Duta – 54,733 kenderaan

  • Plaza Tol Sungai Besi – 35,881 kenderaan

  • Plaza Tol Skudai – 18,336 kenderaan

  • Plaza Tol Juru – 39,068 kenderaan

  • Plaza Tol Bentong – 40,039 kenderaan

  • Plaza Tol Karak – 9,561 kenderaan

Jalan Batang Kali-Genting Highlands bakal muncul dalam Assetto Corsa

BUAT enthusiasts atau pemandu tegar di Malaysia, beberapa laluan sering menjadi pilihan seperti Kuala Kubu Bharu, Sg. Koyan menuju Cameron Highlands, Ulu Yam, dan Batang Kali menuju Genting Highlands.

Tidak lama lagi, cara untuk ‘menikmati’ jalan-jalan ini tidak akan terhad kepada memandu kereta sebenar sahaja, sebaliknya boleh dibuat dari rumah sahaja. Ini kerana ‘litar-litar’ ini akan direalisasikan dalam permainan simulasi Assetto Corsa.

Dibangunkan oleh AntuDusun melalui Project Kaido, mereka berkongsi rekaan-rekaan mereka ke laman Facebook Malaysian Touge Simracing dan menyenaraikan lokasi-lokasi popular seperti Simpang Pulai, Sumpitan, dan Ulu Yam.

Terbaharu, mereka menayangkan video ‘litar’ terbaharu iaitu laluan Batang Kali-Genting Highlands atau juga dikenali sebagai Ulu Yam.

Selain bentuk dan selekoh jalan yang disimulasikan sebaik mungkin, perincian turut ditambah seperti papan-papan tanda, latar belakang gunung-ganang, garisan kuning jalan, malah lengkap dengan sekatan jalan raya (SJR) serta pondok polis!

Jangan lupa perlahankan kereta anda di sini, barulah real, bukan?

Bagi kami, Project Kaido bukan sahaja satu platform terbaik untuk menyerlahkan bakat pereka grafik Malaysia, malah ia akan menjadikan sesi pemanduan hujung minggu lebih mudah dan selamat.

Tidak semestinya kita perlu memandu keluar kereta, lebih-lebih lagi dengan meningkatnya insiden kemalangan di Litar Ulu Yamburgring sejak akhir-akhir ini.

Selain itu, tunjukkan sokongan anda dengan melanggan kepada pautan Patreon mereka dengan bayaran hanya RM12. Semoga mereka boleh membawakan lebih banyak laluan dan ‘litar’ ke dunia simulasi Assetto Corsa di masa depan.

Honda dedah model touring baharu 21 Okt, reka bentuk mengancam!

MENJELANG dua bulan memasuki tahun baharu 2022, Honda bakal tampil memperkenalkan jentera terbaharunya dalam waktu terdekat ini.

Menerusi teaser dikeluarkan Honda Europe, jentera terbaharu itu dijangka merupakan sebuah model daripada ‘keluarga’ touring.

Hasil pemerhatian media dan peminat motosikal, ramai menjangkakan ia merupakan model NT1100.

Ia kerana ia kelihatan hampir sama dengan lukisan paten sebuah jentera yang pernah bocor sebelum ini.

Foto tangkap layar ihsan video Honda

Jika diperhatikan secara lebih dekat, model bakal diperkenalkan kali ini juga dijangka mempunyai rekaan kerangka lebih tinggi dan enjin besar.

Ramai juga meneka Honda akan menggunakan asas daripada Africa Twin untuk model ini dengan enjin 1084cc dua silinder.

Bagi mereka yang ‘kaki’ touring, pendedahan penghadang angin tinggi di hadapan jentera dan tempat duduk lebar pastinya amat cukup mengujakan.

Foto tangkap layar ihsan video Honda

Selain itu, Honda turut mendedahkan aksesori beg barangan serta panel meter bertingkat.

Setakat ini, pelancaran model terbaharu tersebut dijangka akan dibuat Honda pada 21 Oktober ini.

Jom sama-sama nantikan!

Petronas teruskan kerja amal, sumbang 100 tablet kepada pelajar sekolah

ANAK syarikat Petronas iaitu Malaysian Refining Company Sdn Bhd (MRCSB) menyumbang 100 tablet kepada pelajar-pelajar sekolah rendah.

Sumbangan diberikan kepada pelajar daripada keluarga memerlukan yang tinggal di kawasan Sungai Udang dan Pantai Kundur, Melaka.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif MRCSB Khairol Anuar Shukri berkata, sumbangan diharap membantu para pelajar berkenaan meneruskan sesi pembelajaran di rumah

“Covid-19 telah mendatangkan cabaran dan kesan yang berbeza kepada semua orang.

“Ada segelintir daripada kalangan masyarakat yang terpaksa menghadapi kehidupan seharian yang lebih mencabar dalam norma baharu ini.

“Kami bersyukur kerana dapat bersama-sama membantu pelajar-pelajar di sini agar mempunyai akses yang lebih baik terhadap proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

“Semoga bantuan ini dapat membantu bagi meringankan beban mereka,” katanya.

Antara pelajar terlibat adalah daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Udang, SK Pantai Kundor dan SK Kampong Gelam.

Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada pelajar daripada SK Kem Gerakhas dan Sekolah Rendah Islam (SRI) Annuriah Addiniah.

Terdahulu, Khairol Anuar berkata, MRCSB akan terus komited dalam membantu mereka yang memerlukan bantuan di masa hadapan.

Lakaran: Hindustan Ambassador bukan lagi seperti dulu, kini sebuah sedan futuristik!

NAMA Hindustan Ambassador mungkin asing dalam kalangan peminat kereta dunia namun di India, ia dianggap sebagai antara kereta paling ikonik di negara itu.

Ini kerana ia merupakan model kereta pertama yang dipasang di negara itu dan pengeluarannya juga bertahan selama lebih lima dekad iaitu dari 1956 hingga 2014.

Ambassador dibangunkan oleh Hindustan Motors yang menggunakan model Morris Oxford III sebagai asas. Walaupun mempunyai reka bentuk yang sederhana tanpa sebarang suntikan  kemewahan, ia pernah menjadi simbol status suatu ketika dahulu disebabkan popularitinya di kalangan penjawat awam dan pegawai kerajaan.

Jadi, apakah kaitan Ambassador dengan sedan hitam ini? Apa yang anda lihat ini sebenarnya adalah lakaran digital Ambassador versi 2021 yang dihasilkan oleh Amol Satpute untuk projek latihan praktikalnya (internship) bersama Tugbotz Design.

Satpute sebelum ini pernah bekerjasama dengan DS Automobiles dan Honda semasa menjalani program pertukaran di Strate, Paris.

Seperti yang boleh dilihat, interpretasi moden ini langsung tidak sama seperti model asal yang mana rekaannya sering dikatakan menyerupai topi bowler.

Malah, bentuk badannya menyerupai Aston Martin Lagonda Taraf, dengan lampu hadapan langsing serta gril besar yang jelas diinspirasikan daripada sedan British itu. Lampu nyalaan siang berbentuk cincin pula adalah elemen yang dipinjam daripada model-model Aston Martin Zagato.

Namun menurut perekanya, ada beberapa ciri reka bentuk Ambassador asal yang diterapkan pada versi moden ini seperti fender belakang yang menonjol serta bonggol pada bahagian bonet.

Ini digabungkan dengan ciri-ciri moden seperti lubang udara sisi pada fender hadapan, garis bumbung yang rendah seakan coupe dan jalur trim krom di sekeliling tingkap dan bahagian bawah badan.

Bahagian belakang pula menampilkan rekaan dek yang elegan yang disumbangkan oleh lampu LED langsing menegak dan tulisan ‘AMBASSADOR’ pada bahagian but.

Bampar belakang dilengkapi dengan diffuser namun ia kelihatan agak kosong tanpa kehadiran muncung ekzos. Ini menimbulkan persoalan, adakah Ambassador akan dihidupkan semula sebagai sebuah kereta elektrik?

 

Sukar untuk diperkatakan kerana setakat ini, tiada tanda-tanda yang menunjukkan Hindustan Motors mempunyai perancangan untuk mengembalikan Ambassador ke pasaran.

Idea Satpute ini juga berkemungkinan besar akan kekal sebagai lakaran digital sahaja namun sekurang-kurangnya ia satu percubaan yang baik.

Penyusunan semula, AirAsia Investment kembali dikenali sebagai AirAsia Aviation

AIRASIA Group Bhd menamakan semula anak syarikat milik penuhnya, AirAsia Investment Ltd kepada AirAsia Aviation Ltd.

Ia susulan langkah penyusunan semula mewujudkan perbezaan di antara perniagaan syarikat penerbangan dan digital.

Memetik laporan Bernama, Bo Lingam yang merupakan bekas presiden (penerbangan) AirAsia Group dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif kumpulan AirAsia Aviation.

Linggam bertanggungjawab menyelia empat syarikat penerbangan AirAsia Group iaitu AirAsia Malaysia, AirAsia Filipina, AirAsia Thailand dan AirAsia Indonesia.

Jelas Lingam, perubahan struktur itu membantu memacu pertumbuhan dalam perniagaan sebagai syarikat penerbangan dan digital.

“Entiti AirAsia Aviation memegang pelaburan syarikat penerbangan sedia ada kami dan mengorak laluan bagi usaha baharu untuk dibentuk apabila sampai masanya.

“Kami akan terus mengkaji pasaran baharu bagi operasi dari sana pada masa akan datang, seperti Kemboja, supaya kami dapat menghubungkan kembali Asean dengan tawaran tambang nilai dan gaya hidup terbaik,” katanya lagi.

Honda akan perkenal e:N Series di China khas untuk kenderaan elektrik

HONDA Motor melaporkan mereka akan melancarkan sebuah jenama elektrik (EV) di China tahun depan. Jenama itu akan dikenali sebagai “e:N Series” dan hanya akan menawarkan elektrik bateri (BEV), sel bahan api hidrogen dan hibrid di negara itu bermula 2030.

Honda telah menghasilkan kenderaan pembakaran dalaman (ICE) yang cekap dan mencatat jualan 1.6 juta kenderaan di China tahun lepas.

e:N Series akan mula mengeluarkan 10 model dengan kerjasama GAC dan Dongfend Motor dalam lima tahun akan datang, kata Honda.

Dengan kerjasama GAC-Honda dan Dongfeng-Honda itu, mereka akan turut membina kilang pemasangan khas EV yang dijangka mula beroperasi pada 2024.

Model-model baharu yang dirancang akan menggunakan sistem operasi baharu dan kini sedang dibangunkan berdasarkan platform produk automotif yang direka khas untuk EV. Honda juga akan mewujudkan seksyen e:N Series khas di setiap bilik pameran mereka.

Jualan kenderaan EV, PHEV dan sel bahan api hidrogen di China dijangka mencapai tiga juta unit tahun ini, menurut China Association of Automobile Manufacturers.

Honda akan terus menjual kenderaan pembakaran dalaman (ICE) biasa walaupun selepas 2030, kata mereka.

Kenapa Rolls-Royce Cullinan Klassen ini berharga lebih RM4 juta?

TIDAK semua mampu untuk memiliki kenderaan mewah berjenama Rolls-Royce.

Bagi berkemampuan dan telah pun memilikinya pula, sudah pasti kenderaan mewah itu akan dijaga bak ‘menatang minyak yang penuh’.

Sedar akan hakikat ini syarikat automotif Klassen tampil menawarkan solusi khas buat individu yang ingin memiliki sebuah Rolls-Royce Cullinan yang sangat premium.

Foto ihsan Klassen

Klassen menawarkan pakej perlindungan paling mantap dengan pemasangan perisai pada Rolls-Royce Cullinan yang menepati piawaian CEN 1063 Level BR6.

Berdasarkan pakej disenaraikan Klassen, pemasangan perisai meliputi bahagian siling dan lantai.

Uji kaji dilakukan mendapati perisai tersebut mampu menahan dua serangan bom jenis DM51 yang meledak secara serentak.

Berikut antara ciri keselamatan lain yang ditawarkan Klassen:

Penggunaan cermin kaca kalis peluru berlapis

Perisai melindungi komponen elektronik

Tayar jenis run-flat

Sebuah Rolls-Royce Cullinan Klassen boleh dibeli pada harga 833,000 euro atau bersamaan lebih RM4,000,000.

Foto ihsan Klassen

Pasca kebenaran rentas negeri, penerbangan ke Sarawak ditambah

KEKERAPAN penerbangan ke Sarawak ditambah bagi menyokong pemulihan ekonomi dan pembukaan semula sektor pelancongan.

Menteri Pengangkutan Negeri Sarawak Datuk Lee Kim Shin berkata, sebanyak 76 penerbangan seminggu telah diluluskan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

“Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak sedang berbincang dengan syarikat penerbangan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Malaysia Airport Holdings Berhad (MAHB) dan pihak berkepentingan lain.

“Ini bagi mengukuhkan lagi proses berkenaan melalui penggunaan aplikasi Teknologi Maklumat (IT) secara menyeluruh dan lebih mesra pengguna.

“Dalam masa sama meningkatkan kecekapan pihak berkuasa untuk memproses data dan memantau kemasukan penumpang, selain mengelak kesesakan dan memendekkan masa proses kemasukan di Lapangan Terbang Sarawak,” katanya.

Menurut Lee perbincangan antara pihak berkepentingan adalah penting bagi memastikan pelaksanaan jadual baharu berjalan lancar.

“Adalah diharapkan ini akan melancarkan proses pergerakan penumpang dan pelancong ke Sarawak kerana kita telah pun berada dalam Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara.

“Kami percaya dengan peningkatan kekerapan jadual penerbangan ini, syarikat-syarikat penerbangan akan menawarkan tambang berpatutan kepada orang awam dan pelawat,” katanya lagi.

Berikut merupakan bilangan penerbangan ke Sarawak yang terbaharu:-

Kuching 42 penerbangan seminggu
Miri 9 penerbangan seminggu
Bintulu 4 penerbangan seminggu
Sibu 6 penerbangan seminggu
Limbang dan Lawas 2 penerbangan seminggu
Mulu 3 penerbangan seminggu

Porsche Taycan Cross Turismo tiba di Malaysia – 0-100 sepantas 3.3 saat, harga bermula RM645k

ANDA pasti tahu Porsche Taycan, sedan sports elektrik (EV) pertama jenama Jerman itu. Kini, Porsche melancarkan pula Taycan Cross Turismo, satu versi dengan penampilan crossover/wagon lebih rugged, sesuai untuk mereka yang sukakan aktiviti luar (outdoor) dan lasak.

Tiga varian ditawarkan untuk anda pilih, iaitu Taycan 4 Cross Turismo (RM645,209), Taycan 4S Cross Turismo (RM728,727), dan Taycan Turbo Cross Turismo (RM968,928).

Memandangkan ia sebuah EV, mari kita lihatkan aspek mekanikal kereta ini dahulu. Taycan Cross Turismo menampilkan teknologi bateri 800-volt yang membolehkan pengecasan pantas.

Performance Battery Plus padanya mempunyai kapasiti 93.4kWh. Output dihasilkan adalah seperti berikut:

Taycan 4 Cross Turismo: 280kW (380PS), overboost Launch Control sehingga 350kW, 0-100km/j dalam 5.1saat, kelajuan maksima 220km/j, jarak 437km
Taycan 4S Cross Turismo: 360kW (490 PS), overboost Launch Control sehingga 420kW, 0-100km/j dalam 4.1saat, kelajuan maksima 240km/j, jarak 436km
Taycan Turbo Cross Turismo: 460kW (625PS), overboost Launch Control sehingga 500kW, 0-100km/j dalam 3.3saat, kelajuan maksima 250km/j, jarak 425km

Berbanding Taycan biasa, varian Cross Turismo membawakan trim pada gerbang roda, bampar depan, belakang dan sisi unik. Dengan pakej Off-Road Design, ia juga mendapat flap khas pada bucu bampar depan dan belakang.

Rekaan kabinnya hampir serupa dengan Taycan sedan, iaitu bahagian atas berbentuk sayap serta paparan infotainment 10.9-inci di tengah. Terdapat juga kompas di atas papan pemuka dari pakej Off-Road Design.

Berbanding Taycan biasa, model Cross Turismo adalah 20mm lebih tinggi. Seperti juga model-model Porsche lain, Taycan Cross Turismo dilengkapi teknologi casis canggih untuk kawalan terbaik dalam semua pemanduan.

Antaranya adalah Porsche 4D Chassis Control, PASM (Porsche Active Suspension Management), penyerap hentak elektronik, dan suspensi Smartlift untuk meninggikan kenderaan melepasi laluan-laluan curam.

Baharu pada Taycan Cross Turismo ialah mod pemanduan Gravel, dimana ia menambah ketinggian kereta sebanyak 30mm untuk pemanduan di jalan tidak rata.

Dalam mod ini juga, sistem seperti PASM, PTM (Porsche Traction Management), PTV+ (Porsche Torque Vectoring Plus) dan PSM (Porsche Stability Management) akan ditala khas untuk pemanduan off-road.

Ia juga menawarkan ruang kepala belakang lebih luas serta kapasiti kargo melebihi 1,200 liter apabila tempat duduk dilipat. Ini menjadikannya cukup praktikal untuk pengembaraan jarak jauh.