Arkib Kategori: BERITA

Perodua Ativa pintas Traz lagi pada Mei 2026, Proton X50 kekal raja SUV Malaysia!

Pasaran SUV kompak di Malaysia bagi bulan Mei 2026 terus menyajikan drama persaingan tiga segi di antara Perodua Ativa, Traz dan Proton X50.

Selepas pendaftaran terkumpul (YTD) Mac dan April memperlihatkan pergerakan agresif, kedudukan carta kini mula menunjukkan corak penguasaan yang semakin menarik untuk diteliti, terutamanya dalam kem Perodua.

Walau bagaimanapun, takhta kejuaraan secara individu masih lagi milik mutlak Proton X50 yang kekal kebal sebagai SUV paling laris di tanah air.

Proton X50 Kekal Mendominasi, Dekati Angka 12k Unit

Meskipun pasaran berdepan asakan hebat daripada lambakan SUV hibrid dan elektrik (EV) baharu dari China, keutamaan pengguna Malaysia terhadap Proton X50 nyata sukar digugat.

Bagi bulan Mei 2026, SUV segmen-B ini mencatatkan pendaftaran sebanyak 2,073 unit (menurun berbanding 2,468 unit pada April akibat faktor selepas raya).

Prestasi bulanan Proton X50 setakat lima bulan pertama 2026:

  • Januari: 1,891 unit
  • Februari: 2,340 unit
  • Mac: 2,858 unit
  • April: 2,468 unit
  • Mei: 2,073 unit

Jumlah Terkumpul (YTD Mei): 11,630 unit

Keupayaan enjin 1.5L Turbo yang digandingkan dengan transmisi DCT ini membuktikan pilihan rangkaian kuasa konvensional Proton masih memegang kepercayaan tertinggi dalam kalangan pembeli tempatan.

Seteru Seperjuangan: Ativa Pintas Bulanan, Traz Menang YTD!

Di kem Perodua, persaingan antara Perodua Traz dan Perodua Ativa menjadi semakin membara.

Di atas kertas, Ativa membuktikan ia masih bertaring apabila berjaya memintas pendaftaran bulanan Traz buat kali kedua berturut-turut pada bulan Mei dengan kelebihan 223 unit.

Angka pendaftaran bulanan bagi bulan Mei 2026 sahaja:

  • Perodua Ativa: 1,762 unit (April: 2,230 unit)
  • Perodua Traz: 1,539 unit (April: 2,220 unit)

Namun begitu, dari segi pendaftaran keseluruhan (YTD), Traz yang dipacu enjin 1.5L NA kekal di hadapan hasil daripada momentum konsisten pada awal suku pertama yang lalu.

Prestasi pendaftaran terkumpul (YTD sehingga 31 Mei 2026):

  • Perodua Traz (No. 9 YTD): 8,849 unit
  • Perodua Ativa (No. 10 YTD): 8,276 unit

Strategi Dua Penjuru Perodua ‘Tapau’ Proton

Kewujudan serentak Traz dan Ativa dalam portfolio Perodua ternyata merupakan satu langkah taktikal yang sangat berbisa.

Gabungan pendaftaran terkumpul duo SUV kompak Perodua kini sudah pun mencecah 17,125 unit (YTD).

Angka keseluruhan ini bukan sahaja jauh meninggalkan pencapaian individu Proton X50 (11,630 unit), malah menjadi nadi dalam membantu mengukuhkan cengkaman apabila jumlah pendaftaran keseluruhan Perodua mencecah 130,778 unit setakat Mei 2026.

Statistik Pendaftaran Kenderaan (YTD Mei 2026)

Kejutan terbesar pada bulan ini menyaksikan Honda City terpaksa akur terkeluar daripada kelompok 10 kenderaan, sekali gus membolehkan Perodua Ativa kembali membuat kemunculan semula dan berada di tangga kesepuluh:

  1. Perodua Bezza: 39,465 unit
  2. Proton Saga: 37,234 unit
  3. Perodua Axia: 30,940 unit
  4. Perodua Myvi: 23,894 unit
  5. Perodua Alza: 15,677 unit
  6. Proton X50: 11,630 unit
  7. Proton S70: 10,525 unit
  8. Proton e.MAS 5: 9,356 unit
  9. Perodua Traz: 8,849 unit
  10. Perodua Ativa: 8,276 unit

Sumber Data: data.gov.my

KLIMS2026: Proton pamer enjin hibrid 1.5 liter, kuasa 110 hp/136 Nm

Bertempat di acara KLIMS 2026, Proton turut mengambil kesempatan mempamerkan teknologi HEV yang bakal muncul pada masa akan datang.

Sistem hibrid ini menggabungkan kecekapan enjin hibrid (DHE) dengan keupayaan responsif transmisi hibrid (DHT) untuk pemanduan bandar yang lebih senyap dan lancar.

Nadi 1.5 liter cekap tenaga

Sistem ini dipacu oleh enjin 1.5 liter kitaran Atkinson yang mampu mencapai piawaian China 6b/Euro 6d, dengan kadar kecekapan terma puncak sehingga 46.5 peratus.

Enjin ini mampu menjana kuasa 110 hp dan daya kilas 136 Nm.

Ia serasi dengan bahan api RON95, selain turut hadir dengan teknologi sejukan cecair EGR, serta pam penyejukan elektrik pintar untuk meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan emisi.

Sistem transmisi DHT pula dilengkapi dengan dua motor elektrik:

  • P1 – menyokong proses menghidupkan enjin dan penjanaan kuasa
  • P3 – motor pacuan utama dan membantu pemulihan tenaga semasa nyahpecutan

Digabungkan dengan Modul Kawalan Kuasa (PCM), sistem ini direka untuk memberikan pengurusan kuasa yang responsif, cekap dan pintar untuk keperluan pemanduan harian.

Sistem HEV ini turut menawarkan mod pemanduan sifar emisi (EV Mode) membolehkan kenderaan bergerak menggunakan kuasa elektrik.

Selain EV Mode, sistem ini menawarkan pilihan seperti:

  • Series Mode
  • Parallel Mode
  • Direct Drive (ICE Mode)

Ke arah mobiliti pintar

Dato’ Ir. Rashid Musa, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton menjelaskan teknologi ini mewakili satu langkah penting dalam perjalanan jenama tersebut ke arah mobiliti pintar.

“Di KLIMS 2026, kami mahu pengunjung merasai sendiri bagaimana teknologi kami bukan sahaja maju, tapi dibangunkan berdasarkan keadaan pemanduan sebenar rakyat Malaysia.

Melengkapi pameran teknologi HEV ialah pameran zon mobiliti yang merangkumi:

  • sistem bantuan pemandu termaju (ADAS)
  • enjin i-GT
  • senibina elektrik & elektronik (EEA)
  • konsep kokpit kenderaan modular
  • kokpit pintar IHU
  • barisan model lengkap termasuk Saga, S70, X50, X70 dan X90

KLIMS2026: Proton e.MAS 7 Premium Plus rasmi, harga dari RM118,800

Pro-Net mengumumkan varian baharu bagi model SUV elektriknya, iaitu Proton e.MAS 7 Premium Plus di KLIMS 2026.

Ia dijual pada harga RM125,800, atau dari RM118,800 selepas Rebat Pelancaran Khas bernilai RM7,000 untuk tempoh terhad.

Varian Premium pula ditawarkan pada harga RM112,800 sementara varian Prime dari RM96,800.

Spesifikasi

e.MAS 7 Premium Plus kekal dengan unit pacuan motor elektrik tunggal 218 PS/320 Nm.

Namun, ia hadir dengan pek bateri AEGIS Short Blade berkapasiti 68.39 kWh yang menawarkan jarak pandu WLTP sehingga 450 km.

Ia menyokong pengecasan AC 11 kW (10-100% dalam 6.7 jam) dan pengecasan pantas DC sehingga 115 kW (30-80% dalam 20 minit).

Varian ini turut hadir dengan fungsi urut untuk tempat duduk baris hadapan, diikuti dengan tempat duduk penumpang larasan kuasa 4-tahap lengkap dengan fungsi memori dan penyandar kaki tersedia.

Akhir sekali, Proton e.MAS 7 Premium Plus didatangkan dengan tonneau cover.

Kelengkapan lain bagi varian Premium Plus ini adalah mirip kepada varian Premium, boleh baca di SINI.

Pakej Power Pack Plus

Setiap pembelian akan disertakan dengan pakej Power Pack Plus merangkumi:

  • insentif tambahan RM5,000 untuk pemilik Proton sedia ada
  • pengecas dinding 7kW percuma (bernilai RM1,500)
  • penyesuai V2L percuma (bernilai RM500)
  • data internet 5-tahun tanpa had (bernilai RM1,800)
  • jaminan kenderaan 6-tahun tanpa had
  • jaminan bateri & komponen voltan tinggi 8-tahun/160,000 km

KLIMS2026: Nissan X-Trail e-Power e-4ORCE debut, jangka lancar Q4 2026

Edaran Tan Chong Motor mempamerkan model e-Power ketiganya di acara KLIMS 2026, iaitu Nissan X-Trail e-Power e-4ORCE serba baharu.

Model ini juga disahkan akan dilancarkan di Malaysia pada suku keempat tahun ini (Q4 2026).

Spesifikasi

Ini merupakan kali pertama X-Trail T33 versi facelift muncul di rantau ini selepas ia diperkenalkan di peringkat global.

Perubahan yang paling ketara berbanding model pra-facelift ialah:

  • rekaan jeriji V-motion yang lebih kemas
  • bampar depan dan belakang baharu

X-Trail ini dipacu oleh sistem e-Power yang terdiri daripada:

  • enjin 3-silinder 1.5 liter turbo 144 PS/250 Nm (sebagai unit penjana)
  • bateri lithium-ion 1.8 kWh
  • motor elektrik depan 204 PS/330 Nm
  • motor elektrik belakang 136 PS/195 Nm

Kedua-dua motor elektrik itu tadi membentuk sistem pacuan semua roda (AWD) e-4ORCE.

Kadar penggunaan bahan api pula adalah sekitar 5.7 liter/100 km.

Kelengkapan di bahagian luar termasuklah rim aloi 19 inci, pintu tailgate berkuasa elektrik, dan bumbung kaca panorama.

Ruang kabin pula mendapat ciri seperti:

  • skrin kluster 12.3 inci
  • skrin infohibur 12.3 inci
  • sokongan Apple CarPlay/Android Auto
  • skrin paparan head-up 10.8 inci
  • upholster balutan kulit

Selain X-Trail e-Power e-4ORCE, ETCM sebelum ini menawarkan dua model e-Power iaitu Nissan Kicks e-Power dan Nissan Serena e-Power.

KLIMS2026: Hyundai Ioniq 6 N 2026 rasmi di Malaysia, harga RM449,888

Hyundai Motor Malaysia mengumumkan sebuah lagi model berprestasi tinggi untuk pasaran tempatan, iaitu Ioniq 6 N 2026.

Sedan elektrik ini merupakan unit import sepenuhnya (CBU) dengan harga jualan RM449,888.

Spesifikasi

Sama seperti Ioniq 5 N, sedan pantas ini dipacu oleh motor elektrik berkembar menghasilkan kuasa 609 PS dan 740 Nm.

Dengan mod N Grin Boost, angka tersebut melonjak kepada 650 PS dan 770 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.2 saat.

Kelajuan maksimum dihadkan pada 257 km/j.

Ioniq 6 N turut dilengkapi dengan pakej fungsi spesifik N seperti Ioniq 5 N, namun ia hadir dengan ciri eksklusif N Track Manager.

Bateri lithium-ion 84 kWh menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 487 km, selain menyokong pengecasan AC 10.5 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 350 kW (10-80% dalam 18 minit).

Kelengkapan

Ioniq 6 N membawakan ukuran sepanjang 4,935 mm, lebar 1,940 mm, tinggi 1,495 mm dengan jarak antara roda 2,965 mm.

Rim aloi tempa pula bersaiz 20 inci yang dibaluti tayar Pirelli P-Zero 275/35R20.

Antara ciri luaran termasuklah bukaan liang udara depan agresif, gandingan spoiler ekor itik dan sayap leher angsa, serta fender yang lebih lebar untuk menghasilkan angka pekali seretan serendah 0.27 Cd.

Ruang kabin pula didatangkan dengan tempat duduk N jenis bucket balutan kulit dan Alcantara, roda stereng N, paddle shifter dan juga pedal sport.

Ciri lain termasuklah:

  • skrin kluster digital 12.3 inci
  • skrin infohibur 12.3 inci
  • sokongan Apple CarPlay & Android Auto
  • Hyundai Digital Key 2
  • skrin paparan kamera sisi

Keselamatan

Sedan pantas ini hadir dengan pakej Hyundai SmartSense merangkumi fungsi berikut:

  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Depan (FCA)
  • Bantuan Mengikut Lorong (LFA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang (RCCA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi (HBA)
  • Kawalan Jelajah Pintar berasaskan navigasi
  • Bantuan Pemanduan Lebuhraya 2 (HDA2)

Warna

Terdapat pilihan warna glossy seperti Serenity White Pearl, Performance Blue Pearl, Nocturne Grey Metallic dan Abyss Black Pearl.

Pilihan warna matte pula termasuklah Nocturne Grey Matte dan Gravity Gold Matte.

Ruang kabin pula diberikan kemasan warna tona tunggal hitam dan aksen Performance Blue.

KLIMS2026: Hyundai Ioniq 5 N 2026 rasmi di Malaysia, harga RM443,888

Hyundai Motor Malaysia secara rasmi melancarkan model berprestasi tinggi Hyundai Ioniq 5 2026 untuk pasaran tempatan.

SUV elektrik ini merupakan unit import sepenuhnya (CBU) dengan harga jualan RM443,888.

Spesifikasi

Ioniq 5 N dipacu oleh motor elektrik berkembar menghasilkan kuasa 609 PS dan 740 Nm.

Dengan mod N Grin Boost, angka tersebut melonjak kepada 650 PS dan 770 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.4 saat.

Kelajuan maksimum dihadkan pada 260 km/j.

Selain N Grin Boost, Ioniq 5 N turut dilengkapi dengan fungsi spesifik seperti:

  • N Torque Distribution
  • N Launch Control
  • N Brake Regen
  • N e-Shift
  • N Active Sound+
  • N Drift Optimizer
  • N Torque Distribution
  • e-LSD

Bateri lithium-ion 84 kWh menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 448 km, selain menyokong pengecasan AC 10.5 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 350 kW (10-80% dalam 18 minit).

Kelengkapan

Ioniq 5 N membawakan ukuran sepanjang 4,715 mm, lebar 1,940 mm, tinggi 1,585 mm dan jarak antara roda 3,000 mm.

Ia dipadankan dengan rim aloi tempa saiz 21 inci yang dibaluti tayar Pirelli P-Zero 275/35R21.

Antara ciri luaran termasuklah bukaan liang udara depan agresif untuk membantu sistem penyejukan brek, diffuser, serta spoiler belakang jenis bersayap.

Ruang kabin pula didatangkan dengan tempat duduk N jenis bucket balutan kulit dan Alcantara, roda stereng N, pedal sport, serta konsol tengah yang dioptimasikan untuk kegunaan litar.

Ciri lain termasuklah:

  • skrin kluster digital 12.3 inci
  • skrin infohibur 12.3 inci
  • sokongan Apple CarPlay & Android Auto
  • Hyundai Digital Key 2

Keselamatan

SUV pantas ini turut dilengkapi dengan pakej Hyundai SmartSense merangkumi fungsi berikut:

  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Depan (FCA)
  • Bantuan Mengikut Lorong (LFA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA)
  • Bantuan Pengelakan Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang (RCCA)
  • Bantuan Suluhan Tinggi (HBA)
  • Kawalan Jelajah Pintar berasaskan navigasi
  • Bantuan Pemanduan Lebuhraya 2 (HDA2)

Warna

Terdapat pilihan warna glossy seperti Atlas White, Performance Blue, Cyber Grey Metallic, Abyss Black Pearl, Ecotronic Grey Pearl dan Soultronic Orange Pearl.

Pilihan warna matte pula termasuklah Atlas White Matte, Performance Blue Matte, Gravity Gold Matte, dan Ecotronic Grey Matte.

Ruang kabin pula diberikan kemasan warna tona tunggal hitam dan aksen Performance Blue.

KLIMS2026: Perodua perlihat konsep C2, petunjuk Bezza generasi baharu?

Bertempat di KLIMS 2026, Perodua mengambil kesempatan memperlihatkan model konsep baharu yang dinamakan sebagai Perodua C2 (atau Chapter 2).

Menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad berkata, “C2 adalah sebahagian daripada jalan cerita EV kami.

“Ia mengembangkan naratif buatan Malaysia untuk dunia, seiring dengan usaha kami menambah baik pengalaman mobiliti untuk pelanggan kami.

Konsep canggih

Perodua C2 dilengkapi dengan teknologi terbaharu serta dicipta oleh pereka muda dan berbakat yang mencerminkan visi mereka terhadap masa depan EV.

Ia diposisikan sebagai sebuah kenderaan segmen B yang dibantu dengan fungsi kepintaran buatan (AI) seperti:

  • sistem navigasi masa sebenar
  • lokasi stesen pengecasan
  • kemas kini trafik
  • ciri anti-curi
  • bantuan parkir kenderaan

 

Model ini juga menggabungkan aplikasi super P-Circle supaya pelanggan pada masa depan boleh mendapatkan akses mudah terhadap perkhidmatan seperti e-dompet dan penghantaran alat ganti tulen.

Menurut Dato’ Sri Zainal lagi, C2 mewakili fasa baharu gaya reka bentuk Perodua dan akan menjadi asas kepada EV Perodua pada masa depan.

“Kami teruja untuk berinteraksi dengan pelawat di reruai Perodua dan mendapatkan maklum balas serta pandangan mereka bagi memastikan produk baharu kami memenuhi jangkaan pelanggan,” ujarnya lagi.

 

KLIMS2026: Honda Prelude 2026 rasmi dilancarkan, harga dari RM278,000

Honda Malaysia secara rasmi melancarkan model terbaharu Honda Prelude 2026 serba baharu di KLIMS 2026.

Ditawarkan dalam varian tunggal, Honda Prelude 2026 dijual pada harga RM278,000.

Spesifikasi

Coupe Honda ini dipacu oleh unit rangkaian kuasa hibrid e:HEV yang terdiri daripada:

  • enjin 2.0 liter DOHC kitaran Atkinson, kuasa 143 PS/189 Nm
  • motor elektrik 184 PS/315 Nm
  • transmisi e-CVT

Pecutan 0-100 km/j mengambil masa 8.2 saat, dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 188 km/j.

Prelude juga dilengkapi dengan teknologi S+ Shift yang digandingkan dengan ciri Active Sound Control.

Sistem tersebut mensimulasikan penukaran gear serta respons pendikit yang lebih pantas untuk dinamik pemanduan yang lebih menyeronokkan.

Dimensi

Honda Prelude membawakan ukuran sepanjang 4,522 mm, lebar 1,880 mm, tinggi 1,355 mm dengan jarak antara roda 2,605 mm.

Kapasiti ruang kargo pula adalah sebesar 264 liter.

Keempat-empat sudut dipadankan dengan rim aloi bersaiz 19 inci.

Kelengkapan

Secara standard, Prelude didatangkan dengan lampu LED automatik, lampu nyalaan siang DRL LED, lampu belakang kombinasi, serta lampu membelok aktif.

Untuk ruang kabin, terdapat skrin kluster digital 10.2 inci, skrin infohibur sebesar 9 inci dengan sokongan Google terbina, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, dan sistem audio Bose 8-pembesar suara.

Roda stereng dan tempat duduk depan diberikan balutan upholsteri kulit, sementara tempat duduk belakang mendapat balutan fabrik.

Ciri lain termasuklah:

  • sistem kawalan iklim dua zon automatik
  • tempat duduk pemandu larasan manual 6-tahap
  • tempat duduk penumpang larasan 4-tahap
  • sistem pencahayaan ambien
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar

Keselamatan

Ciri keselamatan termasuklah tujuh beg udara, ABS, EBD, Bantuan Kestabilan Kenderaan (VSA), Auto Brake Hold (ABH), Bantuan Mula Mendaki (HSA), serta kamera undur.

Ciri bantuan pemandu termaju pula merangkumi fungsi berikut:

  • Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran (CMBS)
  • Sistem Mitigasi Keluar Jalan (RDMS)
  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Bantuan Mengikut Kelajuan Rendah (LSF)
  • Sistem Bantuan Pengekalan Lorong (LKAS)
  • Sistem Informasi Titik Buta (BSIM)
  • Sistem Pemantauan Lintasan Trafik
  • Sistem Brek Pasca-Pelanggaran

KLIMS2026: Mazda CX-5 2026 dipertontonkan, unit CBU, harga anggaran dari RM170 ribu

Bermaz Motor turut memperlihatkan model SUV baharu Mazda CX-5 2026 bertempat di acara pameran KLIMS 2026.

CX-5 generasi ketiga ini telah pun dilancarkan di peringkat global pada tahun lalu.

Penampilan bergaya

Dipersembahkan di bawah konsep Wearable Gear, CX-5 serba baharu ini tampil lebih sporti dan lebih yakin untuk pemanduan urban dan mencabar.

Dimensinya juga bertambah panjang dengan rekaan hud dan jarak antara roda yang lebih panjang, menyumbang kepada penambahan ruang kaki dan ruang kargo.

Ruang kabin CX-5 baharu ini juga membawakan susun atur yang lebih ringkas, diikuti dengan rekaan roda stereng yang menampilkan skrip MAZDA.

Skrin infohibur juga bersaiz lebih besar, dan dijangka membawakan sokongan aplikasi Google, Android Auto dan Apple CarPlay.

Spesifikasi belum rasmi

Buat masa ini, pihak Bermaz Motor masih belum mendedahkan spesifikasi rasmi termasuklah pilihan enjin yang bakal ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Namun di pasaran luar, CX-5 dipacu oleh enjin petrol Skyactiv-G 2.5 liter serta pilihan enjin hibrid ringan M Hybrid System sama seperti unit yang dipamerkan pada ketika ini.

Mazda CX-5 2026 bakal ditawarkan sebagai unit import sepenuhnya (CBU) dari Jepun, dengan harga jualan anggaran dari RM170 ribu.

Mereka yang berminat boleh mula membuat tempahan pada 12 Jun 2026 di semua pengedar sah Mazda di seluruh negara.

KLIMS2026: Mazda CX-60 3.3L MHEV 2026 rasmi di Malaysia, harga RM250k

Bermaz Motor mengumumkan pembukaan tempahan bagi varian baharu Mazda CX-60 3.3L MHEV 2026 sebagai pelengkap kepada penawaran varian 2.5L sedia ada.

Unit import sepenuhnya (CBU) dari Jepun ini dijual pada harga RM250,000.

Spesifikasi


Berbanding varian 2.5L yang menggunakan enjin 4-silinder, CX-60 3.3L MHEV ini dikuasakan oleh nadi 6-silinder sebaris 3.3 liter dengan tetapan hibrid ringan.

Enjin tersebut mampu menjana kuasa 280 hp @ 5,000-6,000 rpm dan daya kilas 450 Nm @ 2,300-3,500 rpm, dipadankan dengan motor elektrik 16 hp/153 Nm dan bateri lithium-ion 0.33 kWh.

Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda AWD menerusi transmisi automatik 8-kelajuan.

SUV ini menggunakan tetapan suspensi double wishbone dan multi-link yang sama seperti model 2.5L, diikuti dengan padanan rim 20 inci.

Kelengkapan

CX-60 3.3L MHEV ini dilengkapi dengan ciri seperti lampu LED, pilihan kemasan jeriji jenis sarang lebah atau bar, pintu tailgate berkuasa, spoiler belakang, serta plastik pelindung mengikut warna badan.

Ruang kabin pula menempatkan ciri seperti:

  • skrin kluster digital 12.3 inci
  • skrin infohibur 12.3 inci
  • skrin paparan head-up
  • sokongan Apple CarPlay & Android Auto tanpa wayar
  • sistem audio Bose 12 pembesar suara
  • roda stereng balutan kulit (pilihan warna dua tona)
  • kemasan jahitan
  • panel Gunmetal/Wood & Chrome
  • upholsteri kulit Nappa (warna Tan/Pure White)
  • tempat duduk depan larasan 10-tahap

Keselamatan

Secara standard, CX-60 dilengkapi dengan 6-beg udara, sistem ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Dinamik (DSC), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mula Mendaki (HLA), Auto Hold dan cagak ISOFIX.

Ia turut hadir dengan kamera keliling 360 darjah lengkap dengan fungsi Parking View dan See Through View.

Ciri keselamatan termaju termasuklah:

  • Bantuan Lampu LED Adaptif (ALH)
  • Sistem Pemantauan Titik Buta (BSM)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Depan (FCTA)
  • Amaran Keluar Lorong (LDWS)
  • Pengekalan Lorong Kecemasan (ELK)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LAS)
  • Amaran Tumpuan Pemandu (DAA)
  • Sokongan Brek Pintar (SBS)
  • Kawalan Jelajah Radar Mazda (MRCC)
  • Sokongan Trafik & Jelajah (CTS)

Nissan Qashqai e-POWER 2026 catat rekod satu tangki lebih 1,300 km!

Sering kedengaran kereta buatan China berjaya dipandu melebihi 1,000 kilometer dengan satu tangki petrol dan terbaru Nissan turut mencipta rekod dengan Qashqai e-POWER.

Nissan melengkapkan fasa kedua menguji kecekapan teknologi hibrid e-POWER dalam situasi dunia sebenar apabila Qashqai e-POWER berjaya mengelilingi pulau Tasmania dengan hanya satu tangki.

Pemanduan jarak jauh ini dijalankan selepas Qashqai berjaya menamatkan perjalanan dari Land’s End ke John O’Groats di United Kingdom (UK) pada awal 2026.

Dua siri pemanduan ini membuktikan kecekapan bahan api, jarak pemanduan yang jauh, serta pengalaman pemanduan menyerupai kenderaan elektrik (EV) daripada teknologi hibrid Nissan.

Pencapaian itu juga menyerlahkan prestasi konsisten sistem hibrid e-POWER dalam pelbagai keadaan iklim, rupa bumi dan corak pemanduan berbeza dan membuktikan kesesuaian kegunaan harian di Eropah.

Tanda Aras Jarak Jauh Di United Kingdom

Pada fasa pertama program ujian kecekapan dunia sebenar, Qashqai e-POWER dipandu melalui jalan ikonik dari Land’s End ke John O’Groats di UK.

Ujian ini dilakukan dalam keadaan pemanduan biasa di Eropah Utara yang melibatkan pemanduan malar di lebuh raya, kesesakan lalu lintas di kawasan bandar serta keadaan cuaca yang berubah-ubah.

Melalui perjalanan tersebut, Qashqai e-POWER mencatatkan penggunaan petrol sebanyak 3.76L/100km dan berjaya dipandu sejauh 1,347 km dengan satu tangki.

Sebaik sahaja pemanduan berakhir, paparan instrumen masih menunjukkan baki jarak sejauh 160 km.

Cabaran ini membuktikan teknologi hibrid Nissan e-POWER mampu menggabungkan aspek kesenyapan serta tindak balas responsif sebuah pemanduan kenderaan elektrik.

Pada masa yang sama, sistem ini tetap mengekalkan keselesaan dan kebolehan pemanduan jarak jauh bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman konvensional.

Cabaran Laluan Bergunung dan Berliku Di Tasmania

Bagi fasa kedua, Nissan menguji Qashqai e-POWER di Tasmania melalui laluan yang lebih mencabar.

Laluan tersebut merangkumi kawasan bergunung-ganang, jalan pesisir pantai yang berliku, perubahan ketinggian serta gabungan pemanduan di kawasan luar bandar dan lebuh raya.

Walaupun memandu dalam persekitaran yang sangat berbeza berbanding di UK, SUV ini tetap mempamerkan prestasi kecekapan dunia sebenar yang tinggi.

Ujian tersebut berjaya mencatatkan jarak perjalanan melebihi 1,300 km menggunakan satu tangki untuk melengkapkan pusingan penuh pulau Tasmania tanpa perlu mengisi semula minyak.

Tahap penggunaan bahan api yang dicatatkan sepanjang ujian di Tasmania adalah sebanyak 4.5L/100km.

Konsistensi yang ditunjukkan dalam dua perjalanan jarak jauh membuktikan ketahanan dan keupayaan penyesuaian sistem teknologi hibrid Nissan dalam pelbagai senario pemanduan yang mencabar.

Rangkaian Kuasa Modul Bersepadu 5-dalam-1

Qashqai e-POWER menggunakan rangkaian kuasa modul bersepadu 5-dalam-1 Nissan yang dipadankan dengan enjin 1.5 liter turbo yang direka semula bagi menawarkan prestasi elektrik serta praktikaliti harian.

Sistem Nissan e-POWER mempunyai perbezaan ketara berbanding sistem hibrid konvensional.

Enjin petrol hanya berfungsi secara eksklusif sebagai penjana tenaga untuk menghasilkan elektrik manakala roda kenderaan dipacu oleh motor elektrik sahaja.

Sistem ini tidak mempunyai sebarang sambungan mekanikal secara langsung antara enjin petrol dan roda kenderaan.

Rangkaian kuasa e-POWER direka untuk memberikan keselesaan dunia sebenar dengan penggunaan bahan api 4.5L/100km (WLTP) di samping meningkatkan kecekapan terma enjin.

Penggunaan motor elektrik pada sistem ini memberikan hantaran tork serta-merta serta pecutan yang lancar dan senyap.

Pengoperasian motor ini menawarkan pengalaman pemanduan seperti EV tanpa memerlukan pemilik mengecas bateri melalui palam kuasa luaran.

Sebaliknya, bateri kenderaan akan dicas secara automatik oleh enjin petrol dan bantuan sistem brek regeneratif.

Anugerah dan Pengiktirafan Antarabangsa

Atas faktor inovasi dan keupayaan dunia sebenar, model ini telah diiktiraf sebagai Hybrid Car of the Year 2025 di anugerah News UK Motor Awards untuk dua tahun berturut-turut.

Pengiktirafan dan kejayaan pemanduan jarak jauh membuktikan keupayaan Nissan dalam membangunkan SUV hibrid yang menepati keperluan pemanduan sebenar pelanggan.

Langkah ini amat bermakna ketika Nissan sedang membuat persiapan untuk menyambut ulang tahun inovasi Qashqai yang ke-20 di pasaran Eropah.

Selain itu, teknologi hibrid ini sudah pun boleh dirasa dan dimiliki oleh pengguna tempatan melalui Nissan Serena e-POWER dan Kicks e-POWER.

Spesifikasi Teknikal Nissan Qashqai e-POWER

  • Enjin: 1.5 liter pengecas turbo (Penjana elektrik)
  • Motor Elektrik: Pemacu roda utama
  • Kuasa: 140 kW (190ps)
  • Tork: 310Nm
  • Penggunaan bahan api (WLTP): 4.5L/100km
  • Pelepasan emisi (WLTP): 102g/km

Kredit gambar: Nissan

Xpeng X9 2026 facelift rasmi di Malaysia – harga dari RM280 ribu

Bermaz Xpeng Sdn Bhd secara rasmi melancarkan MPV baharu Xpeng X9 2026 facelift untuk pasaran tempatan.

Terdapat tiga varian ditawarkan, dengan harga jualan seperti berikut:

  • X9 2WD Standard Range – RM279,888
  • X9 2WD Long Range – RM297,888
  • X9 AWD Performance – RM333,888

Spesifikasi

Varian 2WD dipacu oleh motor elektrik tunggal 315 hp dan 450 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j sepantas 7.75 saat (atau 8.2 saat untuk varian Standard Range).

Sementara varian AWD pula mendapat tetapan dua motor elektrik berkuasa 496 hp dan 640 Nm, dengan keupayaan 0-100 km/j dalam masa 5.9 saat.

Varian 2WD Standard Range mendapat pek bateri LFP 94.8 kWh dengan jarak pandu sejauh 535 km (data WLTP).

Dua varian tertinggi pula dibekalkan dengan pek bateri NMC 110 kWh, dengan jarak pandu mencapai sehingga 615 km (580 km untuk AWD Performance).

MPV ini turut mendapat ciri sistem stereng roda belakang aktif.

Pengecasan

Xpeng X9 menyokong pengecasan AC 11 kW, sementara keupayaan pengecasan DC pula mencecah sehingga 542 kW (atau 537 kW untuk varian 2WD Standard Range).

Tempoh pengecasan penuh boleh mencapai sehingga 11 jam untuk AC, dan sepantas 12 minit untuk pengecasan DC (10-80 peratus SoC).

Kelengkapan luaran

Xpeng X9 facelift mendapat perubahan bersifat kosmetik, terutama pada bahagian bampar depan dan belakang yang lebih kemas.

Ketiga-tiga varian mendapat ciri yang sama di bahagian luar, antaranya:

  • lampu LED automatik dengan larasan ketinggian suluhan
  • rim aluminium 20 inci
  • pintu depan dengan fungsi tutup-lembut
  • bumbung panorama
  • kaca privasi untuk penumpang belakang
  • pintu gelangsar kuasa elektrik kiri & kanan
  • pintu tailgate berkuasa elektrik

Ruang kabin

Untuk bahagian dalam, X9 dilengkapi dengan roda stereng Ultra Fiber, skrin kluster digital 10.25 inci, skrin tengah 17.3 inci, skrin paparan head-up 21 inci serta skrin tambahan 21.4 inci yang dipasang pada bumbung.

Ia turut hadir dengan upholsteri kulit Nappa, serta tempat duduk pemandu dan penumpang depan larasan 12 tahap lengkap dengan fungsi pemanas, pengudaraan dan urut.

Tidak ketinggalan, sistem pencahayaan ambien, slot pengecasan tanpa wayar 50W, ruang simpanan (sejuk/panas), sistem pendingin hawa 5-zon dan sistem audio XOPERA dengan 27 pembesar suara.

Selain sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, X9 turut menawarkan kemas kini perisian over-the-air (OTA).

Baris kedua pula mendapat ciri berikut:

  • Sofa Seats Zero Gravity (Grand Sofa untuk varian AWD)
  • fungsi pemanas, ventilasi dan memori
  • meja boleh lipat
  • slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W
  • fungsi urut 10 poin (6 senario pintar)

Tempat duduk baris ketiga juga hadir dengan fungsi pemanas, serta boleh dilipat dalam nisbah 40:60 dengan hanya menekan satu butang.

Ruang kargo pula adalah sebesar 721 liter.

Keselamatan

Secara standard, Xpeng X9 dilengkapi dengan 9 beg udara, Program Kestabilan Elektrik (ESP), Sistem Brek Pintar (SBS), cagak ISOFIX dan Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS).

Sistem ADAS XPilot Assist pula dipacu oleh cip pemprosesan Turing AI XP5 dengan bantuan 3 radar gelombang milimeter, 12 radar ultrabunyi dan 12 kamera.

Antara ciri yang tersedia:

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
  • Amaran Keluar Lorong (LDW)
  • Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
  • Kawalan Pemusatan Lorong (LCC)
  • Pemantauan Jarak Depan (FDM)
  • Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
  • Pengecaman Papan Tanda Trafik (TSR)
  • Bantuan Suluhan Tinggi Pintar (IHB)
  • Pemantauan Keadaan Pemandu (DSM)
  • Pengesanan Titik Buta (BSM)
  • Amaran Bukaan Pintu (DOW)
  • Amaran Pelanggaran Depan (FCW)
  • Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
  • Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)

MOT lancar inisiatif Cermat Madani, tawar rebat premium insurans sehingga 10 peratus

Pemandu yang memiliki rekod pemanduan baik bakal menikmati manfaat premium insurans kenderaan sehingga 10 peratus menerusi Inisiatif CERMAT MADANI, lapor Berita RTM.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, manfaat itu bagaimanapun tertakluk kepada penilaian dan keputusan syarikat insurans yang mengambil bahagian.

Tuntutan NCD sehingga 65 peratus

Jelasnya, inisiatif tersebut bertujuan menggalakkan budaya pemanduan lebih selamat, bertanggungjawab dan berhemah melalui penggunaan maklumat serta data relevan dalam penilaian risiko insurans kenderaan.

“Sebelum ini, kadar maksimum Diskaun Tanpa Tuntutan (NCD) adalah 55 peratus.

“Kini, pemandu yang mempunyai rekod baik boleh dipertimbangkan untuk menerima tambahan manfaat premium sehingga 10 peratus,” katanya pada sidang media Majlis Pelancaran CERMAT MADANI.

Setakat hari ini, sebanyak 10 syarikat insurans telah menyertai CERMAT MADANI.

Tempoh tawaran rebat sehingga tiga bulan

Rebat tambahan itu ditawarkan tanpa syarat selama tiga bulan bermula hari ini hingga 9 September depan.

Selepas tempoh tersebut, manfaat premium akan diberi berdasarkan penilaian risiko pemandu termasuk rekod kemalangan dan saman trafik yang direkodkan dalam pangkalan data MySikap, bermula 10 September.

Pada peringkat awal, penilaian hanya melibatkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang diintegrasikan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Data berkaitan saman yang dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) belum diambil kira buat masa ini.

Litar Sepang meriah dengan kehadiran lebih 100 kereta elektrik

Litar Sepang yang biasanya dipenuhi dengan deruman enjin dimeriahkan dengan kehadiran lebih 100 pemilik kenderaan elektrik (EV) dari Malaysia dan Singapura.

Dalam acara Dongfeng Track Day yang berlangsung baru-baru ini, para peserta diberikan peluang merasai sendiri pengalaman memandu di dalam litar ikonik itu.

Sambutan luar biasa

Sambutan yang diterima tahun ini cukup memberangsangkan berbanding hanya sekitar 30 peserta dicatatkan pada tahun lalu.

Amin Ashaari, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif SoyaCincau berkata, sambutan luar biasa ini membuktikan minat terhadap EV yang semakin berkembang.

“Acara ini bukan tentang berlumba, tapi memberi peluang kepada pemilik EV merasai litar dan menguji kemampuan kereta masing-masing. Kami mahu buktikan EV tiada batasan.

Acara tersebut dimulakan dengan sesi parade lap supaya para peserta membiasakan diri dengan litar tersebut, sebelum diteruskan dengan empat sesi pemanduan, setiap satu berdurasi satu jam.

Antara jenama EV yang turut mengambil bahagian termasuklah BMW, BYD, Dongfeng, Proton, Porsche dan Tesla.

Dongfeng pamer kereta baharu

Soh Ming, Ketua Pegawai Eksekutif Volt Auto Singapura dan Malaysia menyifatkan penyertaan mereka sebagai pengalaman pertama yang sangat berharga.

“Ia peluang terbaik untuk kami menguji kereta di litar dan mengumpul data untuk penambahbaikan,” jelasnya.

Beliau turut menyatakan hasrat untuk menganjurkan lebih banyak acara litar pada masa depan, selari dengan penglibatan jenama itu dalam sukan seperti bola sepak dan pickleball di Singapura.

Dongfeng turut mempamerkan tiga model, iaitu 007, Vigo dan Box E2 selain menawarkan pengalaman taxi ride dalam model 007 yang dipandu oleh pemandu profesional.

Peserta lahir rasa teruja

Kim Chan, 39, yang pertama kali menyertai menyifatkan pengalaman itu sesuatu yang baharu.

“Seronok dan saya memang menikmatinya, Saya pernah datang menonton perlumbaan, tetapi ini pertama kali berada di atas litar. Rasa pelik juga sebab sunyi.”

Beliau menambah, peningkatan infrastruktur pengecasan membuatkannya mempertimbangkan EV sebagai kereta seterusnya.

Turut kembali untuk kali kedua ialah Ee Sheeden, pemilik Tesla Model 3 Performance yang mencatatkan masa 2:27.90 dalam sesi time attack.

Sebagai pengasas pusat modifikasi Tesla Exotic Mods, Ee mengakui beliau memang peminat tegar EV dan mengubah suai keretanya untuk kegunaan litar.

“Saya buang tempat duduk belakang dan tukar pintu belakang kepada pintu gentian kaca untuk kurangkan berat 60 kg.”

Antara pemenang lain bagi cabaran time attack ialah:

  • Firhat Mokhzani – Tesla Model 3 Performance (2:32.42)
  • Ryan Woon Tian Chong – Tesla Model 3 Performance (2:38.20)

 

MINI Aceman 2026 rasmi dilancarkan di Malaysia – harga dari RM213,888

BMW Group Malaysia mengumumkan ketibaan model elektrik serba baharu MINI Aceman 2026 untuk pasaran tempatan.

Diposisikan antara MINI Cooper dan MINI Countryman, MINI Aceman ini dijual pada harga dari RM213,888, atau RM221,288 dengan pakej Waranti dan Servis Lanjutan MINI.

Menerusi pembiayaan Easy Drive, MINI Aceman boleh dimiliki bermula RM1,680/bulan berdasarkan pinjaman 75 peratus, perbatuan 100,000 km dan tempoh 5-tahun.

Spesifikasi

EV ini dikuasakan oleh motor elektrik tunggal menghasilkan 218 hp dan 330 Nm yang memacu roda depan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 7.1 saat.

Pek bateri 54.2 kWh pula menawarkan jarak pandu sejauh 406 km mengikut data WLTP.

Ia turut menyokong pengecasan AC 11 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 95 kW, membolehkan bateri dicas 10-80 peratus dalam masa 31 minit.

Casis Aceman ditampung dengan tetapan suspensi topang MacPherson di depan diikuti sistem multi-link di belakang.

Terdapat mod Go-KART yang direka untuk meningkatkan respons pedal pendikit untuk pengalaman yang lebih mengujakan.

Kelengkapan luar dan dalam

Bahagian luar MINI Aceman menggunakan pendekatan “Charismatic Simplicity, dengan ciri seperti jeriji oktagon, lampu LED bersegi, serta lampu belakang LED menegak.

Karakter sporti MINI Acemen diserlahkan lagi dengan padanan rim 19 inci Hexagram spoke, plastik pelindung gerbang roda, rel bumbung dan plet skid.

Ruang kabin pula diserikan dengan penggunaan bahan tekstil kitar semula, papan pemuka rajutan 3D dan kemasan kulit vegan.

Antara kelengkapan yang wujud seperti skrin OLED sebesar 9.4 inci yang berfungsi sebagai pusat kawalan utama, diikuti bar togol ikonik MINI fizikal yang mudah dicapai.

Sistem infohibur Aceman ini menggunakan MINI Operating System 9, dengan tujuh pilihan MINI Experience Modes yang boleh ditetapkan.

Antara ciri lain termasuklah Kunci Digital, sambungan Apple CarPlay /Android Auto, sistem navigasi pintar masa nyata, MINI Intelligent Personal Assistant serta MINI Connected Package.

Keselamatan

MINI Aceman menawarkan ciri-ciri keselamatan seperti:

  • kawalan pemanduan adaptif
  • amaran titik buta
  • amaran penukaran lorong
  • amaran lintasan trafik belakang mengundur
  • amaran bukaan pintu
  • pengecaman papan tanda trafik
  • sokongan stereng
  • bantuan parkir dengan kamera 360 darjah

Pilihan warna

Pembeli boleh mendapatkan pilihan warna menarik untuk Aceman seperti Rebel Red, Melting Silver, Indigo Sunset Blue, Ocean Wave Green, Nanuq White dan Legend Grey.

Program CKD: Kia Malaysia, Stellantis Malaysia umum kerjasama strategik

Kia Malaysia menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Stellantis Malaysia bagi menyokong operasi pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia.

Ia turut menandakan satu pencapaian penting dalam strategi penyetempatan dan pembuatan jangka panjang Kia di sini.

Stellantis Malaysia sebagai pemasang kontrak

Di bawah kerjasama ini, Stellantis Malaysia berperanan sebagai pemasang kontrak bagi operasi CKD Kia di fasiliti Gurun, Kedah.

Fasiliti tersebut dilengkapi dengan infrastruktur pengeluaran yang komprehensif, serta keupayaan pembuatan yang mematuhi piawaian terkini Sistem Pengurusan Kualiti ISO 9001 (QMS).

Ia juga turut menyokong pemasangan pelbagai model merentasi pelbagai jenis rangkaian kuasa.

Jadi dengan ini, ia mampu menampung pengeluaran semua model semasa Kia termasuk Sportage dan Carnival, serta model baharu pada masa hadapan.

Operasi CKD dijadualkan bermula pada suku ketiga (Q3) 2026.

Perkukuh kedudukan Kia di Malaysia

Kolaborasi ini dijangka memperkukuh ekosistem pembuatan Kia di Malaysia sambil meningkatkan fleksibiliti operasi, kemampuan skala dan persediaan memperkenalkan model-model baharu.

Perkembangan ini menandakan fasa seterusnya dalam pertumbuhan jenama tersebut di Malaysia dan pasaran ASEAN yang lebih luas.

Ia juga sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjang Kia terhadap pembangunan dan perluasan serantau.

Hyung Ho Kim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Malaysia serta Kia Sales Malaysia menyifatkan kolaborasi ini penting untuk memperkukuh kedudukan Kia di Malaysia.

Isaac Yeo, Pengarah Urusan ASEAN Stellantis menambah pihaknya kekal komited untuk menyokong ekosistem automotif dan pembuatan yang lebih luas sambil mewujudkan nilai bersama kepada rakan kongsi, pembekal dan industri.

Subaru Levorg 2026 diperkenal di Jepun, pemanduan lebih sporti

Subaru memperkenalkan Levorg 2026 yang dikemas kini untuk pasaran Jepun dan meneruskan DNA grand touring yang menjadi identiti model tersebut.

Wagon prestasi itu menggabungkan teknologi terkini Subaru dengan tumpuan terhadap keselamatan, karakter sporti dan kebolehgunaan sebuah wagon.

Kemas kini terbaharu ini memberi tumpuan kepada peningkatan pengalaman pemanduan dan fungsi ketersambungan yang lebih praktikal untuk kegunaan harian.

1.8 liter boxer turbo

Levorg dibekalkan enjin 1.8 liter DOHC boxer empat silinder suntikan terus turbo DIT berkod CB18.

Enjin berkapasiti 1,795cc itu menghasilkan 177ps pada 5,200 hingga 5,600rpm dan 300Nm pada 1,600 hingga 3,600rpm.

Kuasa disalurkan ke sistem pacuan semua roda AWD menerusi transmisi Lineartronic CVT dengan mod manual lapan kelajuan.

Kapasiti tangki bahan api ialah 63 liter.

Pecutan lebih responsif dalam semua mod SI-DRIVE

Subaru menambah baik respons pecutan dalam semua mod SI-DRIVE.

Mod S kini menggunakan sistem kawalan baharu yang membolehkan karakter pemanduan berubah serta merta mengikut input pedal pendikit.

Menurut Subaru, sistem tersebut menghasilkan pecutan yang lebih linear terutama ketika keluar dari selekoh.

Apabila pedal pendikit digunakan dengan lebih lembut, sistem akan beralih kepada karakteristik setara mod I bagi menghasilkan pemanduan yang lebih lancar mengikut keadaan jalan.

Casis dan pengendalian

Levorg menggunakan sistem stereng rak dan pinion dengan nisbah gear stereng 13.5:1.

Suspensi depan menggunakan MacPherson Strut bebas manakala bahagian belakang menggunakan sistem Double Wishbone bebas.

Dalaman dengan sentuhan lebih sporti

Subaru menggunakan jahitan hitam pada stereng dan sarung tuil gear untuk beberapa varian terpilih.

Varian yang menerima kemasan tersebut ialah Smart Edition EX, V-SPORT, GT-H EX, STI Sport EX Black Interior Selection dan STI Sport R-Black Limited.

Bagi STI Sport EX, Subaru menambah penutup konsol lantai berwarna hitam bagi mewujudkan suasana dalaman yang lebih sporti dan premium.

MySubaru Connect kini boleh membantu mencari kenderaan

Subaru turut memperluaskan fungsi MySubaru Connect menerusi pengenalan fungsi kelipan lampu kecemasan (hazard light flashing).

Fungsi itu membolehkan pemilik mengesan kedudukan kenderaan dengan mengaktifkan lampu kecemasan dari jauh.

Ia direka untuk membantu pengguna mencari kenderaan dengan lebih mudah di kawasan parkir atau lokasi yang sesak.

Untuk menggunakan fungsi tersebut, pelanggan perlu melanggan Connected Security Basic dan Remote Service+.

Harga Subaru Levorg 2026 di Jepun

Subaru menawarkan enam varian untuk dipilih pelanggan di Jepun dan menyasarkan jualan sebanyak 620 unit sebulan.

  • Smart Edition EX: ¥3,630,000 (RM92,383.50)
  • V-SPORT: ¥3,685,000 (RM93,783.25)
  • GT-H EX: ¥3,795,000 (RM96,582.75)
  • STI Sport EX: ¥4,411,000 (RM112,259.95)
  • STI Sport EX Black Interior Selection: ¥4,411,000 (RM112,259.95)
  • STI Sport R-Black Limited: ¥4,686,000 (RM119,258.70)

Spesifikasi Subaru Levorg 2026

  • Enjin: 1,795cc Boxer 4 silinder 1.8 liter DOHC suntikan terus turbo DIT
  • Kuasa maksimum: 177ps @ 5,200 hingga 5,600rpm
  • Tork maksimum: 300Nm @ 1,600 hingga 3,600rpm
  • Transmisi: Lineartronic CVT dengan mod manual 8 kelajuan
  • Sistem pacuan: AWD
  • Kapasiti tangki bahan api: 63 liter
  • Penggunaan bahan api WLTC: 13.8 km/l
  • WLTC bandar: 10.1 km/l
  • WLTC pinggir bandar: 14.5 km/l
  • WLTC lebuh raya: 15.8 km/l
  • Dimensi: 4,755 mm × 1,795 mm × 1,500 mm
  • Jarak roda: 2,670 mm
  • Jarak kelegaan tanah: 145 mm

CEO Lotus kritik kereta sendiri? Kata model lebih 1,800 kg ‘biasa sahaja’

CEO Lotus, Feng Qingfeng kini menjadi perhatian selepas kenyataan beliau mengenai berat kereta sport dilihat bercanggah dengan barisan model semasa jenama itu sendiri.

Menurut laporan CarNewsChina, Qingfeng berkata mana-mana kereta sport yang melebihi 1,800 kg boleh dianggap “mediocre” atau biasa sahaja. Kenyataan itu dilihat memakan diri kerana realitinya, berat kebanyakan model semasa Lotus sudah pun melebihi angka tersebut. Ini termasuk hypercar Evija yang mempunyai berat sekitar 1,900 kg.

Situasi ini secara tidak langsung membuatkan kenyataan beliau kelihatan ironik, seolah-olah model paling eksklusif Lotus sendiri tidak memenuhi standard yang ditetapkan oleh ketua eksekutifnya.

Sasaran berat lebih ringan jadi hala tuju baharu?

Walaupun kenyataan Qingfeng mengundang kontroversi, ia mungkin memberi gambaran arah tuju masa depan Lotus. Jenama itu sememangnya terkenal dengan falsafah “light is right”, dan Qingfeng dilihat mahu mengembalikan fokus kepada nisbah kuasa-berat yang lebih ekstrem.

Jika ditafsir secara positif, Lotus mungkin sedang menuju ke arah sasaran berat sekitar 1,800 kg untuk model prestasi akan datang, sesuatu yang lebih selari dengan DNA asal jenama tersebut.

Supercar V8 hibrid 1,000 hp dalam perancangan

Menariknya, Lotus kini sedang membangunkan sebuah supercar V8 hibrid yang dijangka menghasilkan lebih 1,000 hp. Model yang buat masa ini dikenali sebagai Type 135 itu dilihat sebagai calon utama untuk menguji pendekatan baharu ini.

Jika Lotus berjaya mengekalkan berat rendah pada platform tersebut, gabungan enjin V8 hibrid dan casis ringan berpotensi menghasilkan nisbah kuasa-berat yang sangat ekstrem.

Ini bukan sahaja akan meningkatkan prestasi garis lurus, tetapi juga memberi pengalaman pemanduan yang lebih tajam dan “pure”, sesuatu yang selama ini menjadi identiti Lotus.

Audi Nuvolari 2027 diperkenalkan – V8 hibrid 1,001 PS, kelajuan maksimum lebih 350 km/j, harga RM3 juta

Audi telah memperkenalkan Nuvolari baharu, sebuah supercar hibrid edisi terhad yang dinamakan sempena pelumba legenda Itali, Tazio Nuvolari. Terhad kepada hanya 499 unit di seluruh dunia, model ini bakal menjadi kereta produksi paling berkuasa dan paling laju pernah dihasilkan oleh pengeluar dari Ingolstadt itu.

Penghantaran dijadualkan bermula pada separuh pertama tahun 2027, dengan harga bermula dari 600,000 euro (sekitar RM3.0 juta sebelum cukai dan duti) di Jerman.

Trenkuasa hibrid 1,001 PS

Kuasa dijana oleh gabungan enjin 4.0 liter biturbo V8 yang digandingkan dengan tiga motor elektrik. Enjin V8 itu menghasilkan 800 PS dan 730 Nm, manakala dua motor elektrik di gandar hadapan mampu menjana sehingga 2,150 Nm tork. Gabungan enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik ini menghasilkan kuasa keseluruhan 1,001 PS.

Dari segi prestasi, Audi mendakwa Nuvolari mampu memecut dari 0-100 km/j dalam hanya 2.6 saat, 0-200 km/j dalam 6.8 saat, serta mencapai kelajuan maksimum melebihi 350 km/j.

Teknologi diinspirasikan Formula 1

Nuvolari turut memperkenalkan sistem quattro Predictive Ride baharu yang menggunakan data seperti sudut stereng, pergerakan kenderaan dan tahap cengkaman untuk melaras agihan tork, sistem brek dan aerodinamik secara proaktif bagi memastikan tahap cengkaman dan kestabilan optimum.

Pemandu boleh memilih antara mod E-Hybrid, Balanced, Dynamic dan Dynamic+, manakala mod Track membolehkan sistem kawalan cengkaman dilaras mengikut gaya pemanduan dan keadaan litar.

Audi turut menyatakan bahawa sistem pengurusan tenaga hibrid serta fungsi Launch Control pada Nuvolari dibangunkan berasaskan teknologi Formula 1.

Binaan karbon dan aerodinamik aktif

Nuvolari merupakan model produksi pertama Audi yang menggabungkan struktur Audi Space Frame dengan panel badan gentian karbon. Hampir keseluruhan panel luaran diperbuat daripada plastik bertetulang gentian karbon (CFRP), sekali gus membantu mengurangkan berat sambil meningkatkan ketegaran struktur.

Sistem aerodinamik aktif turut menjadi antara tarikan utama. Sayap belakang boleh laras akan menyesuaikan kedudukannya mengikut keadaan pemanduan, selain turut dilengkapi sistem Drag Reduction System (DRS) seperti yang digunakan dalam Formula 1 untuk mengurangkan rintangan angin pada kelajuan tinggi.

Dalam tetapan maksimum, pakej aerodinamik ini mampu menghasilkan lebih 400 kg daya mendap (downforce).

Kabin berorientasikan pemandu

Di bahagian kabin, Audi mengekalkan pendekatan yang ringkas tetapi berorientasikan prestasi. Tempat duduk ringan berasaskan gentian karbon, kemasan aluminium dan susun atur kawalan yang kemas memastikan perhatian pemandu kekal tertumpu kepada pengalaman pemanduan.

Audi turut membahagikan kabin kepada dua zon berbeza. Bahagian hadapan menampilkan tema warna gelap yang direka untuk membantu pemandu kekal fokus, manakala bahagian belakang menggunakan warna lebih cerah yang dikenali sebagai Shadow Dune. Paparan digital dan kawalan fizikal pula direka dengan susun atur yang intuitif, memastikan semua fungsi utama mudah dicapai tanpa menjejaskan tumpuan.

Subaru Ascent 2026 dipertimbang masuk Jepun, buatan Amerika Syarikat

Selepas Toyota, Honda dan Nissan membawa masuk kenderaan dari Amerika Syarikat ke Jepun, kini giliran Subaru mempertimbangkan untuk mengimport Ascent 2026.

Subaru sedang menilai pengenalan SUV tiga baris itu dengan sasaran pelancaran pada separuh kedua tahun 2026.

Ascent turut dikenali sebagai Evoltis di beberapa pasaran lain.

Subaru merancang memanfaatkan sistem pensijilan yang dilaksanakan oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun susulan perjanjian perdagangan Jepun dan Amerika Syarikat.

Melalui pengenalan model ini, Subaru berharap dapat memenuhi pelbagai keperluan pelanggan di Jepun.

Model terbesar Subaru ketika ini

Ascent dibangunkan untuk pelanggan berorientasikan keluarga dan dihasilkan di kilang Subaru of Indiana Automotive di Amerika Syarikat.

Model itu dipasarkan terutamanya di Amerika Syarikat sejak 2018. Ia menggabungkan ciri praktikal sebuah SUV bersama rekaan luaran dan dalaman yang menampilkan imej lebih gagah.

Sebagai model terbesar dalam barisan Subaru, Ascent menawarkan ruang kabin luas serta pelbagai ciri serba guna yang direka untuk kegunaan seluruh keluarga.

Subaru turut menjelaskan bahawa penggunaan Subaru Global Platform membantu meningkatkan ketegaran badan.

Ia juga menyumbang kepada pemanduan yang lebih senyap dan selesa dengan mengurangkan getaran serta bunyi.

Panjang Ascent hampir 5 meter

Saiz badan Ascent menjadi antara tarikan utama kerana ia merupakan SUV tiga baris terbesar dalam keluarga Subaru.

Dimensinya ialah 4,999 mm panjang, 1,930 mm lebar dan 1,819 mm tinggi. Jarak roda pula mencecah 2,891 mm.

SUV ini mempunyai trek roda 1,636 mm di hadapan dan 1,631 mm di belakang. Jarak kelegaan bumi ialah 221 mm.

Bergantung kepada varian, berat (kerb) di antara 2,018 kg hingga 2,087 kg.

Rangkaian kuasa

Kuasa dijana oleh enjin 2.4 liter DOHC boxer turbo suntikan terus.

Enjin itu menghasilkan 260hp pada 5,600rpm dan 375Nm antara 2,000rpm hingga 4,800rpm.

Kuasa disalurkan ke semua roda menerusi transmisi Lineartronic CVT dan sistem Pacuan Semua Roda Simetri yang ditawarkan sebagai kelengkapan standard.

Teknologi utama Subaru

Ascent dilengkapi teknologi teras Subaru termasuk sistem bantuan pemandu EyeSight Driver Assist Technology.

Turut ditawarkan ialah sistem Pacuan Semua Roda Simetri dan fungsi X Mode yang meningkatkan keupayaan pemanduan off-road.

Harga Ascent di Amerika Syarikat

Subaru Ascent 2026 ditawarkan dalam beberapa varian di Amerika Syarikat.

Harga permulaan ialah AS$40,795 atau RM164,380 manakala varian paling mahal Onyx Edition Touring 7 Passenger ditawarkan pada harga AS$51,995 atau RM209,500.

Spesifikasi Subaru Ascent Amerika Syarikat

  • Enjin 2.4 liter DOHC boxer turbo suntikan terus
  • Kuasa 260hp pada 5,600rpm
  • Tork 375Nm pada 2,000 hingga 4,800rpm
  • Transmisi Lineartronic CVT
  • Sistem Pacuan Semua Roda Simetri
  • X Mode
  • Teknologi EyeSight Driver Assist
  • Dimensi: 4,999 mm x 1,930 mm x 1,819 mm
  • Jarak roda: 2,891 mm
  • Kelegaan bumi: 221 mm
  • Berat (kerb): 2,018 kg hingga 2,087 kg
  • Harga: AS$40,795 hingga AS$51,995 (RM164,380 hingga RM209,500)