Arkib Kategori: BERITA

Range Rover Velar L560 facelift masuk pasaran Malaysia – harga dari RM639k

JAGUAR Land Rover Malaysia telah mengumumkan pelancaran Range Rover Velar L560 versi facelift ke pasaran tempatan.

Ia boleh didapati dalam tiga versi iaitu P250 Dynamic SE (M dan H Spec) dan P250 Dynamic HSE (L Spec), pada harga bermula daripada RM638,800.

Dari segi penampilan, model ini boleh dibezakan dengan yang terdahulu menerusi rekaan baharu pada lampu hadapan, lampu belakang dan gril radiator.

Versi L Spec dilengkapi dengan lampu hadapan Pixel LED yang nipis dengan lampu nyalaan siang berbentuk permata, serta lampu LED 3D pada bahagian belakang.

Untuk model facelift, Velar boleh didapati dalam dua warna luaran iaitu Metallic Varesine Blue dan Premium Metallic Zadar Grey.

Untuk rim, H Spec dan L Spec dilengkapi dengan rim Style 1075 berukuran 22 inci dalam warna kelabu gelap berkilat manakala M Spec mendapat rim 20 inci Style 1089 berwarna hitam berkilat.

Di dalam, terdapat sistem infohibur Pivo Pro yang boleh diakses menerusi skrin sentuh melengkung berukuran 11.4 inci. Sistem ini menawarkan antara muka baharu, sistem pengecaman suara AI dan kemas kini perisian melalui udara.

Selain itu, SUV mewah ini juga didatangkan dengan sistem pembatalan bunyi jalan raya aktif yang berfungsi dengan pembesar suara Meridian bagi menjadikan kabin lebih senyap, sekali gus membantu mengurangkan tahap keletihan semasa memandu.

Turut disertakan adalah Technology Pack yang merangkumi paparan head-up, kamera 3D, Park Assist dan Wade Sensing yang berfungsi ketika meredah air.

Sebagai tambahan, L Spec didatangkan dengan sistem pembersihan udara kabin dan sistem pencahayaan ambien dengan 30 pilihan warna.

H Spec dan L Spec dilengkapi dengan sistem Adaptive Dynamics dengan suspensi udara elektronik yang memastikan kekerasan suspensi dioptimumkan mengikut keadaan pemanduan. Sistem ini juga menyediakan kalibrasi khusus untuk pemanduan off-road.

Range Rover Velar L560 kini dibuka untuk tempahan. Sila layari https://www.landrover.com.my/ untuk maklumat lanjut.

Volvo akan hentikan pengeluaran model diesel pada awal 2024

ANDA mungkin sedia maklum bahawa Volvo merancang untuk hanya menjual kereta elektrik menjelang 2030. Menjelang 2040 pula, ia mensasarkan untuk menjadi sebuah syarikat neutral iklim.

Bagi mencapai matlamat-matlamat berkenaan, pengeluar kenderaan dari Sweden itu mengumumkan bahawa ia akan menghentikan produksi semua model diesel menjelang awal 2024.

Ini bakal menjadikan Volvo antara pengeluar kenderaan pertama di dunia yang mengambil langkah demikian.

Pengumuman terbaru ini adalah susulan keputusan Volvo untuk menghentikan pembangunan enjin pembakaran dalaman (ICE) baharu yang diumumkan pada November tahun lalu.

Menurut Volvo, mereka telah menjual semua pegangan sahamnya di dalam Aurobay, sebuah syarikat trenkuasa yang dibangunkan dengan kerjasama Geely pada 2021.

Volvo EX30

“Trenkuasa elektrik adalah masa depan kami, dan lebih hebat berbanding enjin pembakaran: ia lebih senyap, kurang getaran, lebih murah untuk diselenggara dan tidak menghasilkan sebarang pelepasan,” kata Jim Rowan, Ketua Eksekutif Volvo Cars.

Menurut Volvo lagi, keputusannya untuk menghentikan jualan enjin diesel menggambarkan betapa cepatnya industri kereta dan permintaan pelanggan berubah dalam menghadapi krisis iklim.

Hanya empat tahun lalu, majoriti kereta Volvo yang dijual di Eropah dikuasakan oleh enjin diesel. Kini, trend tersebut telah berubah dengan kebanyakan kereta Volvo di benua itu merangkumi model elektrik sepenuhnya atau hibrid plug-in.

Penurunan jumlah kereta diesel akan memberikan kesan positif terhadap kualiti udara. Walaupun CO2 yang dihasilkan oleh enjin diesel tidak sebanyak enjin petrol, ia melepaskan lebih banyak gas termasuk nitrogen oksida (NOx) yang mempunyai kesan buruk terhadap udara terutamanya di kawasan padat.

Prototaip Porsche Panamera 2024 giat jalani ujian, bakal dilancar 24 November ini

PORSCHE telah melancarkan Cayenne baharu pada April lepas, dan kini mereka sibuk pula dengan satu lagi pengenalan penting sebelum hujung tahun. Panamera generasi ketiga bakal didedahkan pada 24 November depan di acara Icons of Porsche Festival.

Pengeluar Jerman itu melabelkan Panemera sebagai generasi baharu, dan bukannya facelift. Buat masa ini, sedan prestasi tinggi itu sedang menjalani ujian-ujian dan penilaian di Amerika Syarikat, Scandinavia, Afrika Selatan, Asia, dan Sepanyol.

Kereta sports empat pintu itu bakal ditawarkan dengan lebih dari empat versi powertrain plug-in hybrid (PHEV). Generasi sebelum ini sudah pun mempunyai tiga versi PHEV, tetapi generasi baharu akan ditambah dengan varian PHEV keempat, dengan talaan prestasi tinggi.

Dalam ujian yang dijalankan setakat ini, Porsche membuat perkiraan dan prototaip Panamera telah menggunakan lebih 70 peratus pemanduan dengan kuasa elektrik berbanding sebelumnya.

Kesemua model E-Hybrid akan mendapat motor elektrik lebih berkuasa, diintegrasikan sepenuhnya dalam perumah kotak gear 8-kelajuan dwi-klac PDK baharu. Motor itu dibekalkan kuasa dari pek bateri 25.9kWh yang boleh dicas melalui pengecas dalaman 11kW.

Beberapa pilihan enjin pada Panamera akan ditawarkan, termasuklah 3.0-liter V6 twin-turbo dan 4.0-liter V8 twin-turbo. Kesemua enjin juga telah direka untuk menepati piawaian Euro 7 yang akan berkuat kuasa pada 2025.

Panamera baharu juga akan mendapat suspensi udara dengan penyerap hentak dwi-injap baharu yang membolehkan compression dan rebound secara berasingan. Sebagai opsyen tambahan, anda juga boleh pilih untuk mendapatkan kawalan penyerap hentak aktif untuk kawalan dinamik dan keselesaan lebih mantap.

Selepas pelancaran pada November nanti, Porsche Panamera 2024 ini bakal memasuki pasaran awal tahun depan.

Proton tandatangan MoA baharu dengan Smart, kaji kemungkinan pemasangan tempatan

PROTON baru-baru ini menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) dengan smart Automobile di Ekspo China-ASEAN (CAEXPO) 2023.

Perjanjian ini dimeterai tepat 20 bulan selepas kedua-dua pihak menandatangani dokumen yang serupa pada tahun 2022 yang membawa kepada pelantikan Proton sebagai pengedar rasmi smart di Malaysia dan Thailand.

MoA tersebut ditandatangani oleh Roslan Abdulah, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, dan Mandy Zhang, Naib Presiden Jualan Global, Pemasaran dan Selepas Jualan, bagi pihak smart Automobile.

Turut hadir di majlis itu ialah Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, Tong Xiangbei, Presiden Global smart Automobile, dan Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif, PRO-NET dan Unny Shankar, Pengarah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sebagai wakil kementerian.

MoA pertama adalah untuk meneroka potensi Proton untuk menjual penawaran EV smart di ASEAN, manakala dokumen baharu ini pula adalah untuk kedua-dua pihak mengkaji kemungkinan untuk memasang kenderaan smart secara tempatan di kilang Proton di Tanjung Malim.

Dr Li Chunrong berkata MoA baharu ini membawa kerjasama Proton dan smart ke tahap baharu denga perbincangan mengenai pemasangan kenderaan smart di negara ini.

“Sebagai pengeluar automotif, Proton sentiasa berhasrat untuk meningkatkan penglibatan kami dengan smart, iaitu bukan sekadar pengedar untuk rantau ASEAN sahaja, kerana terdapat banyak kecekapan untuk dimanfaatkan kerana kedua-dua syarikat adalah ahli Kumpulan Geely,” katanya.

Sejak pemeteraian MoA pertama, Proton telah menghantar kumpulan pekerja ke China untuk menjalani latihan sambil kerja khusus untuk industri EV.

Ia juga telah menguji smart #1 secara meluas di Malaysia untuk mendapatkan pengetahuan tentang prestasinya apabila dipandu dalam iklim yang unik dan keadaan jalan raya di sini.

PRO-NET juga telah menandatangani MoU dengan Gentari, membina hubungan kerja dengan pemegang kepentingan ekosistem EV lain, melantik sepuluh pengedar smart serta memperkenalkan smart #1 kepada orang ramai di pelbagai acara.

Langkah terbaharu ialah pelancaran aplikasi Hello smartApp yang menawarkan empat ciri pertama di Malaysia termasuk penyepaduan 70 peratus peta pengecasan daripada pengendali pengecasan, untuk mengenalpasti ketersediaan, tempahan dan pembayaran untuk pengecas EV dalam negara.

“Melangkah ke hadapan, semua aktiviti pengeluaran kami akan tertumpu di Automotive High Tech Valley (AHTV) di Tanjung Malim, yang juga akan membantu dalam matlamat kami untuk menjadikan Malaysia hab EV serantau,” tambah Dr Li Chunrong.

Logo Tesla di ibu pejabat Cyberjaya sudah dinaikkan

LOGO Tesla dilihat sudah dinaikkan dan dipasang di depan bangunan ibu pejabat serantau mereka di Cyberjaya. Gambar itu dikongsi oleh Richard Ker di Facebook miliknya.

Terdapat gambar waktu siang dan malam menunjukkan kerja-kerja pemasangan dan menaikkan logo besar berbentuk huruf T dan tulisan “TESLA” tersebut.

Tesla pada Julai mengumumkan akan menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor.

Pejabat itu akan digunakan untuk semua operasi korporat, pemasaran, latihan, aktiviti sokongan pelanggan dan perkhidmatan kenderaan, dilengkapi dengan alat diagnostik termaju dan kakitangan dengan juruteknik Tesla yang terlatih.

Ia juga akan menubuhkan pusat pengalaman di kawasan metropolitan utama di seluruh Malaysia, memberikan pelanggan pengalaman secara langsung memandu model EV terkini.

Dalam laporan pada Julai itu juga, Tesla bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia berkata, langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

“Memandangkan Tesla berazam untuk memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan rakyat Malaysia, lebih banyak modelnya akan diperkenalkan pada masa hadapan.

“Pelanggan Malaysia kini boleh mengakses laman sesawang rasmi Tesla untuk membuat pesanan mereka,” katanya.

Tesla pada masa ini telah melancarkan dua model di Malaysia dalam masa beberapa bulan, bermula dengan Model Y dan terkini, Model 3.

Volkswagen Tiguan generasi ke-3 diperkenalkan – lebih aerodinamik, ada varian PHEV

TIGUAN merupakan antara model keluaran Volkswagen yang paling popular dengan jualan peringkat global mencecah 7.6 juta unit sejak ia diperkenalkan buat pertama kali pada 2007.

Kini, SUV itu telah pun memasuki generasi ketiga dengan reka bentuk yang lebih segar, ukuran yang lebih panjang dan sudah tentunya pelbagai teknologi serta kelengkapan baharu. Model ini akan memasuki pasaran seawal tahun 2024.

Menurut Volkswagen, ukuran panjang Tiguan telah bertambah sebanyak 3 cm, manakala ukuran tinggi, lebar dan jarak roda sama seperti model sebelum ini. Walaupun perubahan saiz luaran tidak begitu ketara, kapasiti ruang but model ini membesar 37 liter kepada 652 liter.

Seperti yang boleh dilihat, penampilan luaran Tiguan kini lebih ‘lembut’ jika dibandingkan dengan model terdahulu. Lampu LED-nya mempunyai bentuk yang lebih rata, manakala bukaan radiator kini terletak pada sudut kiri dan kanan bampar untuk pengaliran udara yang optimum.

Rekaan baharu ini secara tidak langsung menjadikan Tiguan lebih aerodinamik, di mana kadar pekali seretannya menurun dari 0.33 kepada 0.28. Bahagian belakang pula tampak lebih lebar dengan lampu LED melintang yang dikontraskan dengan panel berwarna hitam.

Ruang dalaman SUV ini menampilkan susun atur panel instrumen digital yang lebih kemas dan pintar. Kelengkapan yang tersedia termasuk Digital Cockpit berasaskan MIB4, skrin sentuh 15 inci dengan struktur menu dan grafik baharu, serta paparan head-up display.

Selain itu, Tiguan juga didatangkan dengan tombol ‘pengalaman pemanduan’ multifungsi dengan skrin mini OLED pada konsol tengah. Ciri ini membolehkan pemandu memilih profil, mengawal multimedia dan juga mengubah warna pencahayaan ambien.

Sebagai alternatif, pemandu juga boleh mengakses pelbagai fungsi kenderaan dan sistem infohibur menerusi sistem bantuan suara IDA baharu. Satu lagi ciri baharu adalah tempat duduk ergoActive Plus yang mempunyai pelarasan lumbar pneumatic empat hala, fungsi urutan, serta pemanasan dan ventilasi automatik.

Dibina menggunakan platform MQB evo, Tiguan akan ditawarkan dengan beberapa pilihan enjin turbodiesel (TDI), turbo petrol (TSI), turbo petrol mild hybrid (eTSI) dan hibrid plug-in (eHybrid). Perincian mengenai trenkuasa ini belum didedahkan namun Volkswagen berkata model-model hibrid mempunyai jarak pandu elektrik sejauh 100 km.

Bukan itu sahaja, semua versi eHybrid menyokong pengecasan AC yang lebih pantas, manakala pengecasan pantas DC juga akan tersedia secara standard buat pertama kalinya untuk Tiguan.

Volkswagen turut menaik taraf kawalan casis adaptif (DCC) dengan pilihan DCC Pro yang mempunyai penyerap hentak dua injap. Vehicle Dynamics Manager yang diperkenalkan menerusi Golf GTI turut disertakan pada model ini. Ia berfungsi untuk mengawal differential lock elektronik (XDS) dan DCC Pro.

Ciri-ciri lain yang disertakan, sama ada secara standard atau opsyen, termasuk lampu matrix IQ.Light HD, Side Assist, Front Assist (Autonomous Emergency Braking), Lane Assist, Rear View, Dynamic Road Sign Display, Park Assist Pro dan Trailer Assist.

PM perjelas sebab harga minyak tidak boleh diturunkan

UMUM sedia maklum bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah berjanji untuk menurunkan harga petrol sekiranya beliau dilantik menjadi Perdana Menteri.

Kini, setelah diangkat sebagai PM ke-10 susulan keputusan PRU15, ucapan itu secara berterusan dijadikan modal politik oleh pihak pembangkang terhadapnya.

Ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) di Dewan Rakyat semalam, Anwar mengambil kesempatan untuk menjelaskan perkara itu.

Jelas beliau, harga petrol tidak boleh diturunkan kepada RM1.50 seliter susulan perkembangan membabitkan kadar semasa minyak mentah dunia.

Anwar berkata, harga semasa petrol di Malaysia masih berada pada tahap rendah, iaitu RM2.05 seliter, berbanding Arab Saudi yang menetapkan pada kadar RM2.84 seliter.

Justeru, beliau yang juga Menteri Kewangan menyifatkan, tidak wajar jika cadangan diajukan beliau ketika 2018 itu, berterusan dimanipulasi, tanpa mengambil kira perkembangan semasa.

“Masa itu (2018), berapa harga minyak di Arab Saudi, 50 sen per liter, manakala di Malaysia (RM2.21 seliter).

“Sekarang semasa saya jadi Perdana Menteri, berapa harga petrol? Minyak di Arab Saudi RM2.84 seliter, manakala di Malaysia RM2.05 seliter.

“Kita kena ambil kira ini, kenaikan atau penurunan minyak. Itu maknanya, (harga) minyak kita masih rendah.

“Justeru, tidak tepatlah jika mahu terus menggunakan komen dan hujan dibuat bersama-sama ketika kita dalam Pakatan Rakyat, sebelum ini,” katanya.

Smart #1 dibuka untuk tempahan di Malaysia – tiga varian, harga dari RM200k hingga RM250k

SELEPAS dipertontonkan kepada wakil media Julai lalu, smart #1 kini secara rasminya dibuka untuk tempahan di Malaysia.

Hatchback elektrik itu akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Pro, Premium dan Brabus, dengan harga anggaran bermula dari RM200,000 hingga RM250,000 dengan cukai jualan dan perkhidmatan.

Menurut smart Malaysia, tempahan untuk #1 (disebut hashtag one) boleh dibuat menerusi aplikasi Hello smart dengan bayaran tempahan RM1,000 yang boleh dikembalikan semula.

Apa yang menarik, 501 pelanggan pertama yang membuat pra-pesanan akan menerima manfaat #1 Early-Bird berbentuk kredit pengecasan bernilai RM1,001 yang akan dikreditkan ke akaun pemilik selepas kereta diserahkan.

 

 

Varian Pro tampil dengan roda aloi 19 inci seretan rendah untuk kestabilan dan bumbung halo panoramik untuk pencahayaan dan pemandangan semula jadi.

Ia dilengkapi dengan bateri LFP berkapasiti 49 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 315 km berdasarkan kitaran WLTP.

Varian Premium pula menawarkan ciri-ciri tambahan seperti lampu hadapan CyberSparks LED + Matrix, gril hadapan bercahaya dan bateri NMC berkapasiti 66 kWh dengan jarak pandu sejauh 440 km.

#1 Pro boleh didapati dalam lima warna luaran iaitu Digital White, Laser Red, Cyber Silver, Quantum Blue, dan Future Green. #1 Premium pula menawarkan pilihan Atom Grey-Matte dan Lumen Yellow selain lima warna berkenaan. Kesemua warna ini dipadankan dengan bumbung Eclipse Black kecuali Atom Grey-Matte.

Untuk ruang dalaman,#1 Pro menampilkan trim standard After Dark, manakala varian Premium menerima trim Dark Matter dua tona iaitu putih dan hitam.

Dari segi prestasi, #1 Pro dan Premium kedua-duanya dipacu oleh motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Motor elektrik tersebut menjana 272 PS (200 kW) dan 343 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 6.7 saat dan kelajuan maksimum 180 km/j.

#1 Pro menyokong pengecasan AC 7.2 kW yang memerlukan enam jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus, manakala #1 Premium pula boleh menampung sehingga 22 kW yang boleh melakukan pengecasan yang sama dalam tiga jam sahaja.

Pengecasan pantas DC pula boleh dilakukan pada kapasiti sehingga 150 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam 22 minit untuk varian Pro dan 29 minit untuk Premium.

#1 Brabus

Sebagai varian sporty, #1 Brabus tampil dengan tujuh kombinasi warna luaran. Jika memilih bumbung Radiant Red, pembeli boleh memilih warna luaran Atom Grey-Matte, Meta Black atau Cyber Silver. Bumbung berwarna hitam pula boleh berpasangan dengan warna Digital White, Laser Red dan Cyber Silver.

Seperti varian Pro dan Premium, mereka yang memilih warna Atom Grey-Matte boleh mendapatkan bumbung yang sama dengan warna badan.

#1 Brabus dipacu oleh dua motor elektrik yang menghasilkan 428 PS (315 kW) dan 543 Nm. Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.9 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Ia dilengkapi dengan bateri NMC 66 kWj yang sama seperti #1 Premium namun jarak pandunya lebih dekat iaitu 400 km.

Prestasi pengecasannya juga sama dengan varian Premium iaitu tiga jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus menggunakan pengecas AC 22 kW atau 29 minit dengan pengecas DC 150 kW.

BYD Atto 3 capai 500,000 unit pengeluaran selepas 19 bulan di pasaran

BYD baru-baru ini meraikan pencapaiannya mencatat pengeluaran yang ke-500,000 unit Atto 3 di kilangnya di Hefei, hanya 19 bulan selepas model itu dilancarkan ke pasaran.

Sebagai model pertama yang dibangunkan untuk pasaran global, Atto 3 telah menjadi kenderaan tenaga baharu (NEV) terlaris di beberapa negara termasuk Singapura, New Zealand, Thailand, Israel dan Sweden.

Setakat hari ini, BYD beroperasi di lebih 50 buah negara. Atto 3 muncul sebagai NEV terlaris di Israel selama sembilan berturut-turut dan ia kini merupakan kenderaan elektrik tulen paling laku di Thailand sehingga Ogos 2023.

Menurut BYD, pencapaian ini menggariskan pertumbuhan pengaruh syarikat itu dan kejayaannya dalam pasaran automotif di peringkat global.

Dibina menggunakan e-Platform 3.0, Atto 3  menampilkan bahasa reka bentuk ‘Dragon’s Face’ yang menggabungkan elemen kebudayaan China yang berabad lamanya dengan elemen global kontemporari.

Nadi utama Atto 3 sudah tentulah bateri Blade BYD yang menawarkan keselamatan dan jarak pandu yang jauh. Di Malaysia, Atto 3 boleh didapati dengan bateri berkapasiti 49.92 kWj untuk Standard Range dan 60.48 kWj untuk Extended Range, dengan jarak pandu sehingga 480 km.

Gabungan reka bentuk menonjol dan teknologi canggih ini membolehkan BYD merangkul pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa termasuk 2022 New Zealand Car of the Year dan VAB Electric Family Car of the Year di Belgium.

Aspek keselamatan model ini juga tidak kurang hebatnya dengan penarafan lima bintang dari Euro NCAP.

Toyota Yaris dikemaskini untuk 2023, harga bermula RM88,000

TOYOTA Yaris cukup popular di kalangan pembeli di Malaysia dengan jualan melebihi 60,300 unit sejak dilancarkan ke pasaran pada 2019.

Bagi meneruskan kejayaan model hatchback itu, UMW Toyota Motor kini memperkenalkan versi facelift (dikenali sebagai Yaris IMP) yang tampil dengan reka bentuk lebih segar dan beberapa kelengkapan baharu.

Seperti sebelum ini, Yaris ditawarkan dalam dua varian iaitu 1.5E dan 1.5G. Kedua-duanya menampilkan rekaan bampar hadapan dan belakang yang lebih sporty, serta pilihan warna dua tona dengan bumbung hitam.

Untuk pilihan warna, terdapat Red Mica Metallic dan Platinum White Pearl yang boleh didapati dalam versi satu atau dua tona. Sementara itu, Silver Metallica hanya tersedia dalam satu tona.

Di dalam, kedua-dua varian Yaris kini mendapat paparan berukuran sembilan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas wayarles, rekaan fabrik tempat duduk yang lebih menonjol serta port USB Type-C.

Turut disertakan secara standard untuk model IMP adalah kluster instrumen Optitron dengan grafik berwarna putih dan merah, dan juga perakam video pemanduan (DVR) dengan ketersambungan telefon.

Sebagai varian tertinggi, Yaris 1.5G didatangkan dengan kelengkapan tambahan berupa balutan kulit lembut pada stereng, paddle shifter, tag RFID dan sensor bantuan parkir pada bahagian hadapan dan belakang.

Dari segi keselamatan, kedua-dua varian dilengkapi dengan tujuh beg udara, 3D Panoramic View Monitor dan Toyota Safety Sense yang merangkumi ciri-ciri seperti Pre-Collision System, Lane Departure Alert, Blind Spot Monitoring dan Rear Cross Traffic Alert.

Tiada sebarang perubahan pada bahagian enjin, bermakna Yaris masih lagi dikuasakan oleh enjin 2NR-FE 1.5-liter empat silinder Dual VVT-i yang menghasilkan 107 PS pada 6,000 rpm dan 140 Nm pada 4,200 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi CVT dengan fungsi Sport Sequential Shiftmatic tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan.

Harga jualan (OTR tidak termasuk insurans) Yaris IMP bermula dari RM88,000 untuk 1.5E dan RM91,600 untuk 1.5G. Ia didatangkan dengan waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.

BMW Group Malaysia jual lebih 1,600 unit EV dalam tempoh 8 bulan

BMW Group Malaysia mengumumkan pencapaian mereka sebagai pembekal kenderaan elektrik (EV) premium nombor satu di Malaysia dengan penyerahan kenderaan EV jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad melebihi 1,600 unit dalam tempoh lapan bulan.

Menurut syarikat itu, angka tersebut melangkaui 1,557 unit jualan EV BMW dan MINI yang dicapai pada keseluruhan tahun 2022.

Pencapaian itu mencerminkan komitmen BMW Group Malaysia ke atas “Sheer Electric Driving Pleasure” serta memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai pengeluar kenderaan premium nombor satu di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Dalam sebuah era yang berada di ambang transformasi, kami teruja untuk mengetuai usaha anjakan elektrifikasi di Malaysia – dibantu dengan dukungan daripada para pelanggan, wakil pengedar, dan rakan-rakan kongsi kami.”

Tambah de Visser lagi, pencapaian itu juga mengiktiraf kedudukan BMW Group Malaysia dalam segmen EV premium dan seluruh ekosistem EV di negara ini.

Dalam usahanya untuk memacu peralihan kepada mobiliti elektrik, BMW Group Malaysia meluaskan lagi usaha sama strategik dengan Gentari melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu Gentari Green Mobility Sdn Bhd, bagi memudahkan dan meluaskan akses kepada pengecasan EV.

Kedua-dua organisasi ini kini memberi nafas kepada Charge Go, sebuah perkhidmatan pengecasan EV mudah alih yang dapat membekalkan kemudahan pengecasan pantas DC pada bila-bila masa, di mana-mana jua.

Bagi meraikan pencapaiannya, BMW Group Malaysia turut berkerjasama dengan ChargEV di samping JomCharge dan Gentari untuk menawarkan pakej-pakej pengecasan tanpa had kepada pemilik EV BMW dan MINI.

Bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2023, 200 pemilik EV BMW dan MINI terawal yang membuat pendaftaran berpeluang membeli pakej-pakej berkenaan pada harga RM2,400 dan RM1,800 daripada mana-mana pembekal solusi pengecasan tersebut.

Pakej ini menawarkan pengecasan tanpa had di semua fasiliti ChargEV atau JomCharge dan Gentari di seluruh negara selama 12 bulan setelah diaktifkan dan hanya boleh digunakan bagi kenderaan elektrik yang didaftarkan.

Bermaz gesa pemilik henti pandu Citroen C3, C4, DS3, DS4 dan DS5

BERMAZ Auto Alliance Sdn Bhd (BAASB) menggesa pemilik kenderaan Citroen dan DS di Malaysia untuk segera berhenti memandu kenderaan mereka sekiranya penggantian beg udara Takata masih belum dilakukan.

Menurut BAASB, kempen panggilan semula beg udara Takata yang dilakukan sejak 2020 itu melibatkan model C3, C4, DS3, DS4 dan DS5 yang dikeluarkan dari 2009 hingga 2017.

Kereta-kereta berkenaan dilengkapi dengan beg udara Takata dengan inflator yang mengandungi bahan kimia yang mungkin merosot terutamanya apabila terdedah kepada cuaca panas dan lembap untuk satu tempoh panjang.

Keadaan ini mungkin akan menyebabkan inflator tersebut pecah ketika letupan, di mana serpihan logam yang berterabur boleh mengakibatkan kecederaan serius atau kematian.

Oleh kerana sudah terdapat kes kematian yang disebabkan oleh isu ini, pemilik atau pemandu model-model tersebut digesa untuk menghubungi BAASB dengan kadar segera untuk menukar beg udara.

Kerja-kerja penggantian adalah percuma dan BAASB akan menyediakan kereta ihsan (courtesy car) bagi memudahkan urusan pelanggan sehingga proses penggantian beg udara selesai.

BAASB berkata pihaknya telah mencuba untuk menghubungi pemilik kenderaan yang terlibat dalam kempen panggilan semula ini, termasuk menerusi surat, penghantaran kurier, emel, teks pesanan dan panggilan telefon.

Untuk maklumat lanjut, hubungi talian Pengurusan Perhubungan Pelanggan di 03-7627 8818 atau emel kepada customersupport@baasb.com.my.

Harga Lotus Eletre dan Emira naik sehingga RM96k di Malaysia

LOTUS Car Malaysia telah mengumumkan harga terkini bagi Hyper SUV Eletre dan kereta sport Emira yang berkuat kuasa serta merta.

Menurut pemegang francais tunggal itu, kemaskini harga ini adalah berikutan perkembangan pertukaran ringgit berbanding matawang asing utama dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

Berbeza dengan harga anggaran asal yang diumumkan pada majlis pelancaran April lalu, harga cadangan untuk Eletre S adalah RM698,000 (naik daripada RM648,000). Sementara itu, varian tertinggi iaitu Eletre R kini berharga RM838,000 (naik daripada RM798,000).

Harga Eletre yang disenaraikan berkuatkuasa di Semenanjung Malaysia dan Langkawi. Harga baharu untuk varian asas Eletre akan diumumkan kelak memandangkan ia tidak ditawarkan sehingga sekurang-kurangnya pada tahun 2025.

Bagi Emira pula, harga asal untuk Emira i4 First Edition ialah RM1,095,000 di Semenanjung Malaysia dan RM509,000 di Langkawi. Unit terhad dengan harga pengenalan RM998,800 ditawarkan berdasarkan kepada siapa cepat dia dapat.

Emira V6 First Edition versi manual pula berharga RM1,289,000 di Semenanjung Malaysia (naik daripada RM1,205,800) dan RM529,000 di Langkawi (naik daripada RM478,800).

Emira V6 First Edition versi automatik kini ditawarkan pada harga RM1,309,000 di Semenanjung Malaysia (naik daripada RM1,225,800) dan RM539,000 di Langkawi (naik daripada RM493,800).

Mereka yang berminat untuk melihat secara dekat kedua-dua model ini boleh mengunjungi Lotus Store di Level 3, Pavilion Kuala Lumpur sehingga 30 September 2023. Di sana, Eletre S berwarna kuning Solar Yellow dan Emira V6 berwarna merah Magma Red ada dipamerkan.

Dibuka bermula 10am hingga 10pm setiap hari, bilik pameran itu menawarkan pengalaman tersendiri yang dibantu oleh Lotus Experts dan konfigurator yang membolehkan pelanggan menukar spesifikasi kereta mereka.

Vespa 946 10° Anniversario masuk pasaran Malaysia – tak sampai 20 unit, harga RM100k!

DIDI Group, pengedar rasmi jenama Vespa di Malaysia, telah melancarkan model edisi terhad Vespa 946 10° Anniversario ke pasaran tempatan.

Dihasilkan sempena Tahun Arnab mengikut kalendar zodiak Cina, model ini dijual pada harga RM99,900 tidak termasuk insurans. Hanya 1,000 unit dihasilkan untuk pasaran global dan untuk Malaysia, Didi Group dilaporkan membawa masuk kurang 20 unit.

Apa yang menarik tentang edisi 10° Anniversario? Selain berasaskan model 946 yang sememangnya diketahui sudah cukup istimewa, edisi ini tampil menonjol dengan grafik kartun arnab pada bahagian hadapan dan belakang.

Selain itu, ia didatangkan dalam skema warna hijau muda yang diserlahkan lagi dengan kemasan berwarna kelabu pada bahagian badan dan rim. Tempat duduk pula dibalut upholsteri kulit berwarna hitam berserta jahitan tangan.

Seperti versi standard, 946 10° Anniversario menggunakan rangka steelplate monocoque dengan pelbagai komponen aluminium rim, bar hendal, panel sisi, mudguard hadapan serta penyokong tempat duduk dan cermin.

Ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal sejukan udara bersesaran 155 cc yang mampu menghasilkan 12.7 hp pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm pada 6,500 rpm.

Skuter bergaya ini didatangkan dengan rim aloi berukuran 12 inci dan menggunakan sistem brek yang terdiri daripada cakera berkembar 220 mm dan ABS dwi-saluran. Turut disertakan adalah sistem kawalan cengkaman ASR.

Tidak cukup dengan itu, lampu hadapan, belakang dan isyarat membelok semuanya LED, manakala panel instrumen dilengkapi dengan panel LCD pelbagai fungsi.

Litar RC taraf antarabangsa akan dibina di Melaka

LOKASI parkir di Pantai Tanjung Bidara di sini, akan dibangunkan sebagai litar terbesar kereta kawalan radio (RC) bertaraf antarabangsa bermula pertengahan tahun hadapan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, langkah itu bagi menarik peminat sukan itu, bukan sahaja di Malaysia malah luar negara sekali gus bertepatan dengan Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Litar TRCC Raceway di Tampin, Negeri Sembilan.

Menurutnya, Jabatan Belia dan Sukan negeri dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) akan berbincang supaya perancangan di atas tanah seluas 0.809 hektar dapat direalisasikan tidak lama lagi untuk menambahkan hab pelancongan sukan.

Katanya, pihak berkaitan akan melihat reka bentuk pembinaan litar tersebut dari segi panjang dan kelengkapan kemudahan lain seperti meja pit, tempat mengecas dan bengkel RC.

Gambar oleh: RC Car Action

“Saya akan mencadangkan kawasan itu dijadikan kawasan litar baharu yang bertaraf antarabangsa untuk peminat-peminat RC di seluruh negara.

“Kita lihat pada hari ini lebih 100 orang termasuk peserta yang hadir, dan ini merupakan hobi terbaik bagi memastikan anak-anak muda terlibat dengan aktiviti berfaedah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Kejohanan Melaka Master RC Challenge 2023 di BBRC Kupang, Kampung Balik Batu Tanjung Bidara.

Sementara itu, pengerusi penganjur, Anuar Tompang, 52, berkata, sebagai penduduk tempatan dia menyambut baik hasrat Ketua Menteri yang mahu memberi limpahan rezeki kepada penduduk menerusi tapak trek baharu.

Menurutnya, meskipun trek di kampung itu sepanjang lebih 200 meter, namun dengan adanya kemudahan yang lebih lengkap, pelancong akan lebih ramai.

“Sedangkan pengajaran kecil ini banyak rumah inap desa dan chalet berdekatan tempat ini telah penuh disewa peserta.

“Bayangkan kalau penganjuran peringkat antarabangsa, lagi bertambah ramai pelancong di pusat peranginan Tanjung Bidara,” katanya.

Jaminan dan servis percuma 7-tahun untuk model Peugeot terpilih, hingga 31 Oktober sahaja

BERMAZ Auto Alliance Sdn Bhd, pengedar tunggal Peugeot di Malaysia kini menawarkan jaminan dan penyelenggaraan percuma 7-tahun, selain subsidi insurans kenderaan untuk tempoh masa terhad.

Untuk subsidi, perkara ini tertakluk kepada terma dan syarat.

Promosi jaminan 7-tahun tersebut sah untuk model Peugeot 2008, 3008, dan 5008. Anda juga perlu membuat tempahan sebelum 31 Oktober 2023 bagi melayakkan diri mendapat jaminan 7-tahun tersebut.

Pendaftaran juga perlu dibuat dalam tempoh dinyatakan dan dibuat di wakil-wakil pengedar sah Peugeot. Untuk mengetahui lebih lanjut, anda boleh lawati mana-mana bilik pameran atau terus ke BAuto Roadshow yang akan diadakan di 1 Utama Shopping Centre dari 11 hingga 15 Oktober depan.

Suzuki mahu tambah pelaburan motosikal di Malaysia

SUZUKI Motor Corp berhasrat meningkatkan lagi pelaburan dalam bidang pembuatan motosikal di Malaysia selain mengeratkan kerjasama dengan rakan teknikal tempatannya, KMSB Motors Sdn Bhd.

Gambar oleh: Twitter Anwar Ibrahim

Perkara itu dinyatakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu ciapan di X (Twitter). Katanya, penambahan pelaburan dan peningkatan kerjasama itu dimaklumkan sendiri Presiden Suzuki Motor Corp, Toshihiro Suzuki kepada beliau dalam satu kunjungan hormat yang berlangsung petang Jumaat.

“Sayugia, keputusan pelaburan ini amat saya alukan hatta ia akan memberi manfaat kepada pelbagai pihak dalam rantaian industri pembuatan motosikal,” tulisnya di hantaran X tersebut.

Pertemuan itu turut disertai Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Isham Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Wira Arham Abdul Rahman, dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan, KMSB Motors Sdn Bhd, Ahmad Faez Yahaya.

“Saya singgung bahawa Kerajaan Perpaduan mengamalkan dasar memudahkan urusan pelabur dalam dan luar negara.

“Dengan kerjasama ini, saya berharap Malaysia akan terus menjadi pilihan pelabur dari negara Jepun,” kata Anwar.

Mercedes GLC300 versi CKD diperkenal, RM51k lebih murah, kini RM378,888

KIRA-kira lima bulan selepas Mercedes-Benz GLC serba baharu generasi X254 menjengah pasaran Malaysia, kini seperti biasa, versi pemasangan tempatan (CKD) pula ditawarkan. Ia hadir dalam varian GLC300 4Matic dengan harga RM378,888, iaitu RM51,000 ‘lebih murah’ dari harga CBU RM429,888.

Dengan pengurangan harga, anda masih mendapat sebuah SUV premium dengan penuh kelengkapan. Ciri luaran pada GLC300 ini termasuklah lampu Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, rim AMG aloi 20-inci, dan rel bumbung aluminium.

Ia juga dilengkapi dengan bumbung suria panoramik jenis gelungsur yang tiada pada versi CBU, serta Handsfree Access iaitu pintu but berkuasa dengan pengesan kaki.

Di bahagian kabin pula, Mercedes GLC300 kelahiran Pekan ini didatangkan dengan pakej AMG Line yang merangkumi stereng sports dengan balutan kulit Nappa, dan kemasan kulit papan pemuka Artico.

Terdapat juga karpet AMG, kemasan kulit dengan trim metal, pemijak sisi menyala, pakej Keyless Go, Boot Comfort, sistem penghawa dingin automatik, lampu ambien, cermin akustik, dan soket 12-volt di ruang kargo.

Unit infotaimen dikekalkan, iaitu sistem MBUX dengan paparan tengah 11.9-inci dan paparan instrumen 12.3-inci. Ciri lain termasuklah pengecas tanpa wayar, sistem audio Burmester 3D, pakej USB, dan sambungan Apple CarPlay serta Android Auto.

Aspek mekanikal turut dikekalkan pada GLC300, iaitu unit 2.0-liter petrol 4-silinder bersama sistem mild hybrid 48v. Enjin ini menghasilkan 258hp pada 6,000rpm dan 400Nm tork dari 2,000 hingga 3,200rpm. Kuasa disalurkan ke semua roda melalui kotak gear automatik 9G-Tronic 9-kelajuan dan sistem pacuan 4Matic.

Kad debit, kredit kini diterima di plaza tol GCE, AKLEH

PROJEK Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) mengumumkan bahawa ujian rintis Sistem Pembayaran Terbuka (SPT) kini dimulakan di dua lebuh raya kendaliannya iaitu Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) dan Lebuhraya bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Menerusi SPT, pengguna kenderaan Kelas 1 (kereta) boleh membuat bayaran tol di GCE dan AKLEH menggunakan kad debit, kad kredit atau kad prabayar di Lorong yang telah dikenal pasti dengan papan tanda khas pada gantry.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PROLINTAS, Dato’ Mohammad Azlan Abdullah berkata sistem berkenaan mula dijalankan di ketiga-tiga plaza tol GCE iaitu Plaza Tol Bukit Jelutong, Plaza Tol Elmina dan Plaza Tol Lagong bermula 13 September lalu.

“Sementara itu, Plaza Tol Datuk Keramat, Lebuhraya AKLEH sudah menerima pembayaran tol baharu itu sejak 9 September lalu. Satu lorong disediakan di setiap plaza tol untuk proses percubaan sistem itu selaras dengan piawaian yang ditetapkan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” ujarnya.

SPT merupakan tambahan untuk kaedah pembayaran sedia ada seperti kad Touch ‘n Go, SmartTag dan Identifikasi Frekuensi Radio (RFID).

“Inisiatif ini dijangka menyediakan kemudahan dan fleksibiliti untuk pengguna lebuh raya di plaza tol dengan lebih banyak pilihan pembayaran tol sekali gus menyumbang kea rah penambahbaikan industry lebuh raya negara secara keseluruhannya,” jelas beliau.

Hyundai Ioniq 6 kini dalam varian Lite dan Plus – harga dari RM219,888

SEMASA dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada Julai lalu, Hyundai Ioniq 6 ditawarkan dalam dua varian sahaja iaitu Max RWD dan Max AWD, yang masing-masing berharga RM289,888 dan RM319,888.

Kini, Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah memperkembangkan barisan sedan EV itu dengan penambahan dua varian baharu yang dikenali sebagai Lite RWD dan Plus RWD.

Kedua-dua varian berkenaan dilengkapi dengan motor elektrik tunggal yang mampu menjana 151 PS (111 kW) dan 350 Nm, membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 185 km/j.

Untuk bateri pula, varian Lite dan Plus dilengkapi dengan bateri litium-ion polimer berkapasiti 53 kWj yang dikatakan mampu memberikan jarak pandu sejauh 429 km dengan satu cas penuh. Angka ini adalah berdasarkan kitaran WLTP.

Pengecasan kuasa bateri dari 10 hingga 80 peratus boleh dilakukan dalam hanya 18 minit menggunakan pengecas pantas DC 350 kW atau 58 minit dengan pengecas DC 50 kW.

Sebagai perbandingan, varian-varian Max memerlukan 73 minit untuk pengecasan dari 10 hingga 80 peratus menggunakan pengecas DC 50 KW.

Sementara itu, pengecasan penuh dari 0 hingga 100 peratus mengambil masa kira-kira 5.5 jam menggunakan pengecas AC dengan kapasiti 11 kW.

Menurut HSDM, kebanyakan ciri yang ada pada varian-varian Max turut tersedia pada varian Lite dan Plus.

Ini termasuk tujuh beg udara, Lane Keeping Assist, Forward Collision-Avoidance Assist, Smart Cruise Control dengan Stop & Go, Vehicle-to-Load (V2L), skrin berkembar 12.3 inci, Android Auto dan Apple CarPlay, pencahayaan ambien 64 warna, pengecas wayarles dan tailgate berkuasa.

Harga atas jalan tidak termasuk insurans untuk varian-varian baharu ini bermula dari RM219,888 untuk Lite RWD dan RM249,888 untuk Plus RWD.

Kedua-duanya didatangkan dengan waranti bateri selama lapan tahun atau 160,000 km. Dengan bayaran tambahan sebanyak RM10,000, pelanggan boleh menaik taraf waranti standard dua tahun/50,000 km kepada lima tahun/100,000 km serta mendapat pakej servis selama tiga tahun/50,000 km.

Bukan itu sahaja, HSDM juga akan memberikan keahlian Shell Recharge Gold percuma selama setahun kepada 30 pelanggan pertama.

Seperti varian-varian Max, Ioniq 6 Lite dan Plus boleh didapati dalam warna Abyss Black Pearl, Nocturne Grey Matte, Biophilic Blue Pearl, Dive Blue Solid dan Gravity Gold Matte.