Honda nampaknya masih lagi menguasai pasaran kenderaan ringan (kei car) di Jepun.
Untuk tahun yang ke-11 sejak tahun 2015, Honda N-Box dinobatkan sebagai kereta kecil yang paling laris dengan jumlah sebanyak 201,354 unit terjual sepanjang tahun 2025.
Malah, sepanjang bulan Disember Honda berjaya menjual sebanyak 15,570 unit N-Box, mengalahkan Suzuki Spacia di tempat kedua (11,397 unit) dan Daihatsu Tanto di tangga ketiga (9,287 unit).
Berikut merupakan kedudukan 10 kei car paling laris terjual sepanjang tahun 2025:
1. Honda N-Box: 201,354 unit
2. Suzuki Spacia: 165,589 unit
3. Daihatsu Tanto: 124,619 unit
4. Daihatsu Move: 122,349 unit
5. Suzuki Hustler: 87,972 unit
6. Suzuki Wagon R: 72,520 unit
7. Nissan Roox: 71,498 unit
8. Mitsubishi Delica Mini/ek: 58,916 unit
9. Suzuki Alto: 57,553 unit
10. Daihatsu Mira: 55,777 unit
Sementara itu, Toyota pula menguasai 8 tangga dalam senarai 10 kereta penumpang paling laris di Jepun.
Tempat pertama disandang oleh Toyota Yaris dengan jumlah jualan 166,533 unit, diikuti oleh Toyota Corolla (138,829 unit) dan Toyota Sienta (106,558 unit).
Tidak cukup dengan itu, Toyota turut menguasai segmen MPV menerusi model Alphard, Noah dan Voxy.
Honda pula menduduki tangga keenam menerusi model Freed (90,437 unit) manakala Nissan pula di tangga ke-10 dengan model Note (78,123 unit).
Berikut merupakan kedudukan 10 kereta penumpang paling laris terjual sepanjang tahun 2025:
1. Toyota Yaris: 166,533 unit
2. Toyota Corolla: 138,829 unit
3. Toyota Sienta: 106,558 unit
4. Toyota Raize: 100,851 unit
5. Toyota Roomy: 95,221 unit
6. Honda Freed: 90,437 unit
7. Toyota Alphard: 86,959 unit
8. Toyota Noah: 80,065 unit
9. Toyota Voxy: 78,760 unit
10. Nissan Note: 78,123 unit
Toyota GR Yaris bukanlah sebuah hot hatch yang ‘sempurna’ sejak dari awal pengenalannya.
Ini kerana sehingga kini masih wujud ruang untuk pembaharuan dan penambahbaikan yang dibuat oleh Toyota Gazoo Racing bagi menjadikan ia lebih sedap untuk dipandu.
Berbekalkan pengalaman berlumba di Nurburgring 24 Hours 2025, Toyota Gazoo Racing memperkenalkan GR Yaris MORIZO RR yang dibangunkan bersama-sama Master Driver Akio Toyota – atau lebih dikenali dengan nama Morizo.
Dari segi luaran, GR Yaris MORIZO RR mendapat kelengkapan seperti sayap belakang kekal yang lebih besar diperbuat daripada gentian karbon, spoiler depan, skirt sisi, hud enjin gentian karbon, angkup brek kuning, rim Matte Broze, emblem MORIZO RR dan tandatangan Morizo pada cermin hadapan.
Ruang kabin pula didatangkan dengan roda stereng eksklusif GR balutan suede dengan dimensi yang lebih kecil.
Jika anda perasan, susun atur butang fungsi juga berlainan dengan apa yang wujud pada GR Yaris sedia ada, tetapan ini lebih mirip kepada apa yang digunakan pada jentera rali GR Yaris Rally2.
Akhir sekali, tombol pemilihan pacuan GR-Four kini mempunyai fungsi khas “PUSH MORIZO” menggantikan mod Gravel pada kereta GR Yaris standard.
Dalam mod yang dibangunkan khas bersama MORIZO ini, ia akan menetapkan agihan kuasa sebanyak 50:50 untuk roda depan dan belakang.
Aspek pemanduan pula ditambah baik dengan tetapan suspensi yang telah ditala semula berdasarkan permukaan jalan di Nurburgring supaya wujud keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian yang sporti.
Sistem stereng kuasa elektrik (EPS) juga turut ditala semula oleh pihak GAZOO Racing.
Toyota GR Yaris MORIZO RR akan diproduksikan sebanyak 100 unit terhad untuk pasaran Jepun, di mana permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi rasmi TGR iaitu GR App.
Sebanyak 100 unit lagi akan turut ditawarkan di beberapa pasaran terpilih di Eropah.
Pasaran kereta baharu di United Kingdom (UK) mencatatkan pencapaian luar biasa pada tahun 2025 dengan pendaftaran mencecah 2,020,520 unit.
Angka tersebut dan sejumlah lagi maklumat dilaporkan oleh Society of Motor Manufacturers and Traders (SMMT).
Ini merupakan pertumbuhan tahun ketiga berturut-turut dan kali pertama pasaran mencecah dua juta unit sejak era sebelum pandemik.
Ford Puma, Pewaris Takhta Fiesta
Satu fakta menarik untuk pembaca Malaysia ialah bagaimana Ford berjaya mengekalkan dominasinya.
Ford Fiesta berpesta sebagai raja jalanan di UK sebagai kereta paling laris selama 12 tahun berturut-turut (2009 – 2020) dan legasi tersebut kini disambung Ford Puma.
Puma bukan sahaja menduduki tangga teratas, malah membuktikan bahawa citarasa pembeli telah beralih daripada hatchback kecil kepada crossover yang lebih praktikal.
Nissan Cemerlang
Di sebalik pelbagai cabaran yang melanda, Nissan kekal digemari pengguna di UK dengan dengan jualan Qashqai dan Juke mencecah 75,914 unit dan menduduki kelompok 10 terlaris.
Angka itu lebih tinggi berbanding Volkswagen (VW) dengan jualan gabungan 62,335 unit melalui Golf dan Tiguan.
UK merupakan “rumah” kepada salah satu kilang Nissan terbesar di dunia (Sunderland).
Dengan dua model dalam kelompok lima teratas, Nissan membuktikan bahawa strategi SUV mereka sangat kena dengan selera rakyat Britain.
10 Model Paling Laris UK 2025
Ford Puma: 55,488 unit
Kia Sportage: 47,788 unit
Nissan Qashqai: 41,141 unit
Vauxhall Corsa: 35,947 unit
Nissan Juke: 34,773 unit
Volkswagen Golf: 32,478 unit
Volvo XC40: 30,404 unit
MG HS: 30,191 unit
Volkswagen Tiguan: 29,857 unit
Hyundai Tucson: 28,613 unit
Revolusi EV: Tesla Masih Raja di Litar Elektrik
Segmen kenderaan elektrik bateri (BEV) kini menguasai 23.4% pasaran di UK, dengan hampir setengah juta unit didaftarkan sepanjang 2025.
Walaupun sejumlah jenama BEV dari China berada di UK, kedudukan pengeluar legasi masih lagi utuh.
Satu yang menarik, wakil Asia turut tersenarai dengan Kia EV3 menduduki carta kelapan terlaris.
Produk Amerika Syarikat iaitu Puma dan Model Y menerajui segmen kenderaan pembakaran dalaman (ICE) dan BEV di UK.
Tesla kekal sebagai peneraju dengan jualan gabungan Model Y dan Model 3 berjumlah 45,486 unit
Audi pula menunjukkan taring dalam segmen mewah dengan jualan 27,581 unit hasil gabungan Q4 dan Q6 e-tron.
Sementara itu Skoda semakin diminati hasil jualan Enyaq dan Elroq sebanyak 22,653 unit.
10 Model BEV Paling Laris UK 2025:
Tesla Model Y: 24,298 unit
Tesla Model 3: 21,188 unit
Audi Q4 e-tron: 14,433 unit
Audi Q6 e-tron: 13,148 unit
Ford Explorer: 12,237 unit
BMW i4: 12,158 unit
Skoda Enyaq: 11,940 unit
Kia EV3: 11,188 unit
Skoda Elroq: 10,713 unit
Volvo EX30: 10,289 unit
Petrol Masih Menguasai, Diesel Merosot
Kereta dengan bahan bakar petrol masih memegang pasaran terbesar sebanyak 46.4%, walaupun trend jualan menunjukkan penurunan berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Bagi kenderaan hibrid (HEV & PHEV), segmen ini menunjukkan pertumbuhan yang sihat di mana hibrid plug-in (PHEV) menjadi kategori yang paling pantas berkembang dengan peningkatan sebanyak 34.7%.
Dalam pada itu, enjin diesel terus merosot dan kini hanya memegang 5.1% syer pasaran, menunjukkan enjin tersebut semakin dipinggirkan oleh pengguna di UK.
Sektor armada (fleet) pula kekal sebagai pemacu utama jualan dengan lebih 1.19 juta pendaftaran, sekali gus jauh mengatasi jumlah pembelian yang dilakukan oleh individu persendirian.
Secara keseluruhan, VW merupakan jenama kenderaan penumpang terlaris di UK dengan pendaftaran berjumlah 178,607 unit atau pertambahan 12,303 unit berbanding 2024.
Lampu pop-up (ataupun lampu yang boleh disorokkan) merupakan antara ciri yang mampu membuatkan sesebuah kereta era 80-an dan 90-an nampak cool di atas jalan raya.
Namun disebabkan undang-undang keselamatan yang lebih ketat, kereta yang dilengkapi dengan lampu jenis itu akhirnya beransur-ansur lenyap dari pasaran.
Untuk mereka yang rindu dengan ciri tersebut, syarikat Jepun ini ada jawapannya.
Kit badan Neo86 mengubah muka hadapan Toyota GT86 dengan bampar bersegi gaya retro, hud enjin yang lebih ringkas dan paling penting: lampu pop-up yang berfungsi sepenuhnya!
Selain itu, terdapat juga lampu isyarat membelok berasingan, serta lampu kabus kuning yang menjadi aksesori wajib untuk kereta AE86 kedai tofu.
Melengkapkan lagi imej retro GT86 ini ialah padanan fender lebar, spoiler ekor itik, lampu belakang LED aftermarket, serta rim hitam Watanabe.
Kit Neo86 ini akan dipamerkan di Tokyo Auto Salon 2026, dan dalam masa yang sama sesi pra-tempahan akan dibuka.
Berita baik, pihak Result Japan akan turut menawarkan kit Neo86 ini bukan sahaja untuk pasaran domestik, malah ia akan turut diperluaskan ke serata dunia.
Permainan mudah alih paling popular di dunia PUBG Mobile mengumumkan kerjasama global akan datang bersama Scuderia Ferrari HP.
Kerjasama ini bakal membawa prestasi ikonik Ferrari ke dalam PUBG MOBILE pada tahun 2026, sekali gus menandakan kemunculan sulung legasi jenama tersebut dalam permainan.
Kerjasama sulung ini akan memperkenalkan rangkaian kandungan eksklusif bertemakan Ferrari dan Scuderia Ferrari HP ke dalam PUBG MOBILE.
“Kami berbangga untuk mengumumkan kerjasama pertama PUBG MOBILE bersama Scuderia Ferrari HP,” kata Vincent Wang, Ketua Penerbitan PUBG MOBILE di Tencent Games.
“Kerjasama ini membawa ketepatan serta semangat berprestasi tinggi yang menjadi identiti Ferrari ke dalam PUBG MOBILE, sekali gus memberi peluang kepada pemain di seluruh dunia untuk merasai intipati kecemerlangan dalam permainan pada tahun 2026.”
“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan PUBG MOBILE dalam kolaborasi yang menyatukan dua jenama yang didorong oleh prestasi, inovasi dan sikap tidak pernah berpuas hati,” kata Lorenzo Giorgetti, Ketua Hasil Perlumbaan di Ferrari.
“Menerusi kerjasama ini, pemain dapat merasai dedikasi Ferrari terhadap keunggulan kejuruteraan dalam persekitaran yang sepenuhnya baharu dan interaktif.”
Maklumat lanjut mengenai kerjasama PUBG MOBILE bersama Ferrari dan pasukan Formula 1 Scuderia Ferrari HP akan diumumkan tidak lama lagi, jadi nantikan perkembangan seterusnya.
Volkswagen bakal memperkenalkan model elektrik kompak baharu ID. Polo. Selepas tampil dengan sejumlah gambar samaran VW berkongsi gambar sebenar bahagian dalaman model ini.
VW memakluman reka bentuk dalaman berasaskan maklum balas pelanggan dan menekankan penggunaan butang fizikal.
Ini satu yang menarik di tengah-tengah trend butang digital dan arahan suara untuk EV.
Struktur menu juga lebih ringkas serta corak operasi yang sudah biasa dengan pengguna kenderaan VW, tetapi diperkemas untuk era elektrik.
Konsep terbaharu ini sebenarnya dibangunkan untuk semua model ID. baharu VW, dengan ID. Polo berperanan sebagai pembuka tirai.
Ciri-ciri dalaman baharu:
Susun atur paparan yang lebih jelas dan mudah difahami
Penambahan butang fizikal untuk fungsi penting
Reka bentuk stereng pelbagai fungsi dengan kawalan butang tersusun
Penggunaan bahan berkualiti tinggi, termasuk bahan kitar semula
Permukaan papan pemuka dan panel pintu berlapik fabrik untuk rasa premium
Gabungan ini bertujuan mewujudkan suasana dalaman yang mesra, selesa dan berkualiti tinggi, meskipun ID. Polo berada dalam segmen kecil dan kompak.
Seni Bina Kokpit Mendatar dengan Dua Paparan Besar
Seni bina kokpit ID. Polo menampilkan orientasi mendatar yang jelas, dengan dua paparan utama disusun dalam satu garis pandangan:
Skrin instrumen digital bersaiz 10.25 inci untuk pemandu
Skrin sentuh maklumat hibur bersaiz hampir 13 inci di tengah, antara yang terbesar dalam segmen
Skrin resolusi tinggi ini direka untuk mudah diakses bukan sahaja oleh pemandu, malah penumpang hadapan.
Di bawah skrin maklumat hibur, Volkswagen menempatkan butang berasingan untuk kawalan pendingin hawa dan lampu kecemasan, ciri fizikal yang digemari pengguna.
Turut diperkenalkan ialah:
Tombol berputar (rotary controller) untuk audio, di antara ruang telefon pintar dan pemegang cawan
Kawalan ini membolehkan pelarasan bunyi serta pertukaran lagu atau stesen dengan mudah oleh pemandu dan penumpang
Di sebalik penekanan pada kawalan fizikal, stereng ID. Polo sarat dengan butang sehingga empat tingkat atau lapis pada kedua-dua jari kanan dan kiri!
ID.Light Dipertingkat, Kini Merentasi Papan Pemuka dan Pintu
Selain kawalan digital, kereta hari ini juga dilanda trend lampu suasana.
Sistem ID.Light yang berfungsi sebagai jalur cahaya interaktif turut dipertingkatkan. Jika sebelum ini ia hanya merentasi bahagian bawah cermin hadapan, kini ia:
Merentasi keseluruhan papan pemuka
Dipanjangkan ke panel pintu hadapan buat kali pertama
Fungsi ini berperanan sebagai elemen komunikasi visual, menyampaikan maklumat dan isyarat kepada pemandu secara intuitif.
Perisian Generasi Baharu Tingkatkan Keselesaan dan Fungsi
ID. Polo turut menjadi platform pertama Volkswagen yang tampil dengan perisian generasi baharu, yang membawa beberapa fungsi tambahan penting, antaranya:
One-pedal driving untuk pemanduan lebih santai
Sistem bantuan parkir termaju
Pilihan Travel Assist generasi ketiga, yang mampu mengenal pasti lampu isyarat merah dan papan tanda berhenti
Penambahbaikan ini direka untuk meningkatkan keselesaan harian serta menyokong pemanduan separa automatik dengan lebih lancar.
Meter Retro: Sentuhan Emosi Era Golf Pertama
Satu elemen unik yang digelar sebagai Secret Sauce oleh pasukan reka bentuk Volkswagen ialah paparan retro pada panel instrumen digital.
Rekaan meter ibarat kembali ke era 80-an namun dibuat dalam bentuk digital.
Dengan hanya satu sentuhan butang pada stereng atau melalui sistem maklumat hibur, skrin digital boleh bertukar kepada rekaan klasik.
Rupa grafik ini diinspirasikan terus daripada Golf generasi pertama era 1980-an
Ciri ini bukan sekadar kosmetik, tetapi bertujuan mewujudkan hubungan emosi antara pengguna dan kenderaan, menggabungkan warisan VW dengan teknologi moden.
VW ID. Polo bakal dilancarkan pada tahun ini dan khabarnya pada harga yang mampu milik untuk pasaran Eropah.
Hyundai Motor America menutup tahun 2025 dengan pencapaian luar biasa apabila mencatat rekod jualan runcit (retail) tahunan buat kali kelima berturut-turut.
Hyundai turut merekodkan rekod jualan keseluruhan tahunan (runcit dan bukan runcit) untuk tahun ketiga berturut-turut, mencerminkan permintaan kukuh merentasi barisan model konvensional, hibrid dan elektrik.
Sepanjang 2025, Hyundai menjual sebanyak 772,712 unit kenderaan, manakala jumlah keseluruhan jualan mencecah 901,686 unit, meningkat 8 peratus berbanding 2024.
Pencapaian ini dipacu prestasi cemerlang SUV teras Hyundai, pertumbuhan kukuh kenderaan elektrifikasi, serta penerimaan pasaran yang positif terhadap model baharu dan versi dipertingkat.
Elektrifikasi Jadi Teras Pertumbuhan Hyundai
Salah satu tonggak utama kejayaan Hyundai pada 2025 ialah lonjakan jualan kenderaan elektrifikasi.
Secara keseluruhan, model elektrifikasi menyumbang 30 peratus daripada campuran jualan runcit, satu angka tertinggi dalam sejarah Hyundai Motor America.
Jualan kenderaan hibrid (HEV) meningkat 36 peratus tahun ke tahun, mencerminkan kecenderungan pengguna kepada teknologi yang menggabungkan kecekapan bahan api dan kebolehgunaan jarak jauh.
Pada masa sama, jualan kenderaan elektrik (EV) turut meningkat 7 peratus, diterajui oleh model seperti IONIQ 5, walaupun berdepan persaingan pasaran yang semakin sengit.
SUV Teras Terus Kukuh Pacu Rekod Jualan
Barisan SUV Hyundai kekal sebagai nadi prestasi jualan 2025. Tucson, Santa Fe dan Palisade masing-masing mencatat rekod jualan tahunan, sekali gus mengesahkan kekuatan Hyundai dalam segmen SUV bersaiz kompak hingga besar.
Peningkatan ketara jualan Santa Fe dan Palisade turut mencerminkan penerimaan positif terhadap reka bentuk generasi baharu, peningkatan teknologi keselamatan serta penawaran rangkaian kuasa yang lebih pelbagai termasuk hibrid.
Ranking Jualan Model Hyundai 2025 vs 2024
Berdasarkan jumlah jualan tahun penuh, berikut ialah kedudukan model Hyundai paling laris pada 2025 berbanding 2024, sekali gus menunjukkan perubahan corak permintaan pasaran:
Ranking Jualan Model Hyundai 2025
Tucson – 234,230 unit (+14%)
Elantra – 148,200 unit (+8%)
Santa Fe – 142,404 unit (+20%)
Palisade – 123,929 unit (+13%)
Venue – 29,805 unit (+21%)
Ranking Jualan Model Hyundai 2024
Tucson – 206,126 unit
Elantra – 136,698 unit
Santa Fe – 119,010 unit
Palisade – 110,055 unit
Kona – 82,172 unit
Tucson kekal sebagai model nombor satu Hyundai untuk dua tahun berturut-turut selain dominasi SUV.
Tucson pasaran Malaysia
Tucson juga ditawarkan secara rasmi di pasaran Malaysia dengan rangkaian varian yang merangkumi enjin petrol konvensional dan hibrid.
Tucson hadir dalam varian 2.0 Style, 1.6T Prime, 1.6T Prestige dan 1.6T Prestige Hybrid, dengan harga atas jalan tanpa takaful bermula sekitar RM143,888 sehingga RM198,088 (Semenanjung Malaysia).
Penawaran ini mencerminkan pendekatan Hyundai yang konsisten dalam menyediakan pilihan SUV moden, cekap dan relevan merentasi pasaran global termasuk Malaysia.
Ada beberapa projek kit badan baharu yang akan dipamerkan oleh pengeluar kit badan terkemuka DAMD di Tokyo Auto Salon 2026 pada bulan ini.
Salah satu yang mencuri tumpuan kami ialah kit badan Renonator yang mampu mengubah minivan Honda Stepwgn menjadi sebuah van gaya Amerika.
Imej asli Stepwgn yang minimalis itu telah digantikan dengan muka depan yang lebih bergaya, dimulakan dengan menggantikan lampu utama kepada lampu halogen empat segi bertindih, serta lampu membelok yang diasingkan.
Struktur jeriji juga lebih besar, diikuti dengan penutup hud yang lebih rata dan struktur tambahan bampar depan yang sengaja tidak dicat.
Unsur retro pada Renonator ini dikuatkan lagi dengan kehadiran decal kayu pada bahagian sisi, rim cakera krom Dean Cross Country serta lampu posisi amber pada bahagian bumbung.
Keempat-empat sudut gerbang roda dipasangkan dengan tayar Toyo Tires Open Country A/T.
Menariknya, DAMD mendakwa kit ini boleh dipasang tanpa pengubahsuaian yang besar, dan masih mengekalkan emblem asal Honda yang lengkap dengan penderia ADAS.
Anda juga boleh melihat minivan gaya Amerika ini dengan lebih dekat di reruai DAMD di Tokyo Auto Salon 2026 yang bakal berlangsung pada bulan ini.
Kei car kebiasaannya mempunyai rekaan yang lebih comel, sesuai dengan fizikalnya yang kecil.
Namun syarikat pengeluar kit badan terkemuka DAMD mempunyai idea untuk menjadikan penampilan kei car yang lebih agresif, lasak dan bergaya.
Seperti contoh, kit badan “Dali” (yang dipendekkan daripada Dakar Rally) berjaya mengubah rupa sebenar Mitsubishi Delica Mini yang comel menjadi sebuah jentera retro yang diinspirasikan daripada model Pajero era 80-an.
Jika anda perasan, lampu depan serba baharu itu lebih mirip kepada rekaan lampu yang wujud pada model Pajero generasi pertama.
Selain itu, ia turut hadir dengan struktur jeriji bersegi, lengkap dengan emblem asli Mitsubishi yang turut menempatkan pelbagai penderia ADAS disediakan.
Struktur bampar depan asal Delica Mini masih dikekalkan termasuklah perkataan “DELICA” dan liang pengudaraan asal, namun diperkemaskan dengan tambahan hiasan istimewa yang diakhiri dengan kemasan hitam berkilat.
Apa yang penting, segala penambahan tersebut tidak menjejaskan ukuran asal Delica Mini dan masih lagi mematuhi peraturan kei car yang ditetapkan oleh kerajaan Jepun.
DAMD turut menawarkan set decal sisi kustom, rim aloi Cantabile 15 inci yang dibaluti tayar Toyo Tires Open Country R/T, serta tidak ketinggalan rak bumbung.
Aksesori untuk ruang kabin pula masih lagi dalam peringkat fasa pembangunan. Harga pakej lengkap juga akan diumumkan kelak.
Model ini akan dipamerkan secara rasmi di reruai DAMD di Tokyo Auto Salon 2026 berlangsung pada bulan ini.
Sebuah Land Rover Defender dengan nilai sejarah penting kini ditawarkan kepada pengumpul global menerusi platform dalam talian Collecting Cars.
Unit ini merupakan Defender Heritage Edition terakhir yang dihasilkan, serta Defender keempat terakhir daripada semua varian.
Ia bukan sahaja menandakan penamat era Defender klasik, malah hadir dengan tahap keaslian dan dokumentasi yang jarang ditemui.
Defender Terakhir Dari Barisan Pengeluaran
Land Rover Defender 90 Heritage Edition ini dihasilkan pada 29 Januari 2016, iaitu hari terakhir pengeluaran Defender klasik.
Ia disahkan sebagai model Heritage terakhir yang meninggalkan kilang, sekali gus menjadikannya antara Defender paling penting pernah dihasilkan.
Sejak dari baharu, unit ini hanya mencatatkan 4,597 batu (7.4 ribu km) dan dimiliki oleh seorang pemilik persendirian sahaja.
Edisi Warisan Berinspirasikan HUE 166
Defender Heritage Edition dihasilkan bagi meraikan HUE 166, prototaip pra-pengeluaran Series I Land Rover pertama dari tahun 1947.
Edisi ini menutup tirai pengeluaran Defender klasik, dengan hanya 400 unit diperuntukkan untuk pasaran UK.
Disebabkan jumlah yang sangat terhad serta status binaan kilang, model ini menjadi buruan pengumpul, termasuk satu contoh dengan perbatuan penghantaran yang terjual pada harga enam angka pada tahun 2023.
Reka Bentuk Luaran Ikonik Heritage Edition
Unit ini disiapkan dalam warna Grasmere Green metallic dengan bumbung Alaska White, mengekalkan semua ciri visual khas Heritage Edition, termasuk:
Gril dan sekeliling lampu hadapan gaya warisan
Rim keluli tugas berat (heavy duty) berwarna badan
Bampar hadapan perak dengan penutup hujung hitam
Lampu isyarat jernih
Engsel pintu Indus Silver
Lencana warisan aluminium pada gril dan bahagian belakang
Grafik HUE 166 pada fender hadapan
Kesemua elemen ini menyumbang kepada penampilan klasik yang autentik dan dikenali peminat Defender.
Kabin Klasik Dengan Sentuhan Premium
Bahagian dalaman menggabungkan ketahanan tradisional Defender dengan kemasan lebih halus. Antara kelengkapan yang dikekalkan termasuk:
Stereng, tuil gear dan brek tangan berbalut kulit berlubang
Kemasan Bright Aluminium pada liang udara dan panel pintu
Kerusi Almond Resolve Cloth dengan logo warisan dan tag HUE 166
Alas lantai getah dan kotak simpanan berlapik
Dokumentasi Lengkap
Defender ini masih dalam keadaan asal dan sangat terpelihara. Ia didatangkan dengan fail dokumentasi lengkap, termasuk bukti pemilikan tunggal serta beberapa artikel liputan majalah yang mengesahkan kepentingan sejarah dan keasliannya.
Status Bidaan Semasa
Setakat 3:03 petang pada 29 December 2025, bidaan semasa bagi Land Rover Defender 90 Heritage Edition ini berada pada harga £65,000 (RM356,940).
Bidaan terbuka kepada pembeli antarabangsa, dengan lelongan tujuh hari akan berakhir pada 30 Disember, secara eksklusif menerusi platform Collecting Cars.
Had laju sememangnya antara peraturan paling asas dalam dunia pemanduan. Namun di Amerika Syarikat, sebuah negeri kini bersedia untuk mencabar kebiasaan tersebut dengan idea yang agak berani.
Menurut laporan, penggubal undang-undang di Arizona sedang meneliti cadangan untuk memansuhkan had laju sepenuhnya di beberapa laluan lebuhraya terpilih, sekurang-kurangnya pada waktu siang.
Cadangan ini dikemukakan oleh perwakilan negeri, Nick Kupper, menerusi satu rang undang-undang yang dinamakan Reasonable and Prudent Interstate Driving Act, atau lebih ringkas dikenali sebagai RAPID.
Sekiranya diluluskan, had laju mandatori pada waktu siang akan dimansuhkan di lebuh raya antara negeri (Interstate) yang terletak di kawasan luar bandar dengan jumlah penduduk kurang daripada 50,000 orang. Pendek kata, pemandu dibenarkan memandu mengikut kelajuan yang mereka anggap selamat, bergantung sepenuhnya kepada keadaan trafik dan jalan raya ketika itu.
Namun begitu, sebaik sahaja malam menjelma, had laju akan dikuatkuasakan semula pada 80 bsj (129 km/j), iaitu sedikit lebih tinggi berbanding had maksimum Arizona ketika ini. Untuk kenderaan komersial pula, kelajuan maksimum kekal dihadkan kepada 80 bsj (129 km/j) sepanjang masa, sama ada siang atau malam.
Sebagai langkah awal, Kupper turut mencadangkan pelaksanaan projek perintis selama setahun sebelum dasar ini diperluaskan. Laluan Interstate 8 antara Casa Grande dan Yuma dipilih sebagai zon percubaan “tanpa had laju”, dengan fokus utama untuk menilai kesannya terhadap kadar kemalangan.
Jika hasil percubaan ini memberangsangkan, laluan panjang di Interstate 10, 17, 19 dan 40, serta sebahagian Interstate 15 di bahagian barat laut Arizona, berpotensi diwartakan sebagai zon tanpa had laju.
Sudah tentu, cadangan ini mengundang kontroversi. Ramai pihak bimbang penghapusan had laju boleh meningkatkan risiko kemalangan serius.
Walau bagaimanapun, Kupper percaya data membuktikan sebaliknya. Beliau merujuk kepada negeri Montana, yang pernah melaksanakan peraturan had laju lebih longgar tanpa peningkatan ketara dalam kadar kemalangan.
Rang undang-undang RAPID dijangka dibentangkan dalam sesi legislatif Arizona pada tahun 2026. Jika diluluskan, Arizona bakal mencipta sejarah sebagai satu-satunya negeri di AS yang membenarkan kelajuan tanpa had di lebuh raya tertentu.
Selepas AUDI E5 Sportback, E7X merupakan model kedua di bawah jenama AUDI, jenama khas untuk China yang diperkenalkan pada November 2024.
Tidak seperti Audi global, jenama ini tidak menggunakan logo empat cincin, sebaliknya ditampilkan dalam bentuk tulisan AUDI huruf besar.
E7X terlebih dahulu muncul sebagai model konsep AUDI E SUV di Auto Guangzhou 2025.
SUV elektrik premium ini menggabungkan kepakaran kejuruteraan Audi dengan inovasi rakan strategik, SAIC.
E7X bakal tampil secara rasmi buat pertama kali di Auto China 2026 pada April depan sebelum dilancarkan ke pasaran pada separuh pertama 2026.
Reka Bentuk Futuristik Dengan Perkadaran Seimbang
AUDI E7X membawa bahasa reka bentuk ekspresif model konsep AUDI E SUV ke peringkat produksi dengan perkadaran badan yang kemas, stabil dan berwibawa.
Bahagian hadapan tampil menyerlah dengan lampu digital Matrix LED yang disepadukan ke dalam elemen gelung hitam yang mengelilingi muka hadapan kenderaan.
Bahagian belakang turut menyerlah dengan lampu yang mengelilingi panel pintu but.
SUV elektrik ini mempunyai dimensi berikut:
Panjang: 5,049 mm
Lebar: 2,002 mm
Tinggi: 1,708 mm
Jarak roda: 3,060 mm
Saiz keseluruhan menyumbang kepada keselesaan kabin yang lapang, di samping mengekalkan imej SUV premium yang berprestij.
Prestasi Elektrik Berteras Kejuruteraan Audi
AUDI E7X ditawarkan dengan dua pilihan rangkaian kuasa elektrik dengan kuasa 300 kW dan 500 kW.
Kedua-dua varian ini dibangunkan untuk memastikan tahap prestasi pemanduan yang tinggi, sejajar dengan falsafah Audi yang menitikberatkan keseimbangan antara respons dinamik, kestabilan dan keselesaan harian.
Model AUDI dibangunkan berasaskan Advanced Digitized Platform, hasil kerjasama rapat antara Audi dan SAIC.
Platform ini menjadi asas kepada kenderaan pintar bersambung generasi baharu yang melengkapkan portfolio global Audi di China.
Kerjasama erat pasukan pembangunan di Jerman dan China turut membolehkan tempoh pembangunan dipendekkan dengan ketara.
SUV Elektrik Premium Berfokuskan Keperluan China
Walaupun dibangunkan khusus untuk pasaran China, AUDI E7X kekal membawa elemen teras yang sinonim dengan jenama Audi.
Ini termasuk dinamik pemanduan yang menjadi identiti Audi serta tahap kualiti binaan premium.
Pada masa yang sama, integrasi menyeluruh dengan ekosistem digital China memastikan SUV ini disesuaikan dengan keperluan pelanggan tempatan yang celik teknologi dan mahukan kenderaan pintar yang lancar.
Ferrari 412 ialah antara model Ferrari yang ramai mungkin tidak kenal atau mudah lupa – ada sebabnya. Dari segi reka bentuk, ia jauh daripada imej Ferrari yang ikonik dan memukau, malah sering dianggap kurang menarik berbanding model Ferrari lain.
Walau bagaimanapun, seorang pemilik dari Amerika Syarikat melihat potensi di sebalik rupa tersebut, sehingga sanggup membelanjakan USD1.8 juta (RM7.3 juta) untuk membina sebuah 412 yang benar-benar luar biasa.
Ini bukan 412 biasa. Malah, ia mungkin 412 paling mahal dan paling berkuasa pernah dihasilkan. Dibangunkan oleh Otsuka Maxwell Design (OMD), projek restomod ini mengambil masa lebih 5,000 jam untuk disiapkan.
Fokus utama sudah tentu terletak di bawah bonet. ‘Nadi’ asalnya dibuang dan kini ia menggunakan enjin 6.5-liter V12 daripada 812 Superfast. Enjin tersebut diberikan sentuhan visual khas supaya kelihatan lebih klasik, termasuk penutup injap yang menggabungkan elemen retro dan moden.
Dari segi mekanikal, sistem suntikan terus asal telah digantikan dengan suntikan port. Otsuka Maxwell Design turut memasang 12 throttle body individu, bersama sistem pengambilan udara dan kotak udara gentian karbon rekaan khas. Semua ini dibangunkan dengan fokus terhadap prestasi dan kemasan visual.
Lebih menarik, enjin ini dipadankan dengan kotak gear manual 6 kelajuan ‘gated’. Ferrari tidak pernah menawarkan 812 Superfast dengan transmisi manual, jadi OMD mengambil transmisi automatik daripada 599 GTB dan menukarnya menjadi transmisi manual sepenuhnya.
Bahagian luaran kini kelihatan lebih menonjol dengan warna Superfast Gold dan hitam. Bampar dirapatkan, fender dilebarkan, dan lampu pop-up asal dibuang bagi menghasilkan rupa yang lebih kemas dan moden. Ia turut dipadankan dengan rim tempa Brixton bersaiz 18 inci.
Bahagian kabin turut diberi nafas baharu menerusi upholsteri Alcantara, kulit baharu, tempat duduk gentian karbon, serta karpet berkualiti tinggi seperti yang digunakan dalam Rolls-Royce.
Paling menonjol ialah penggunaan Mongolian Cashmere yang bernilai sekitar USD1,000 (RM4,050) setiap ela. Turut ditambah ialah suis kawalan khas, paparan meter digital, dan sistem infotainmen moden yang diintegrasikan dengan kemas.
Hasil akhirnya ialah sebuah transformasi dramatik yang cukup memukau. Ferrari 412 ini membuktikan bahawa dengan visi jelas (dan bajet kayangan), sebuah kereta yang sering dilepas pandang boleh berubah menjadi karya agung. Tapi, berbaloi ke dengan harga tu?
Toyota Motor Corporation mengumumkan perancangan untuk memperkenalkan tiga model yang dihasilkan di Amerika Syarikat ke pasaran Jepun bermula tahun 2026.
Tiga model tersebut ialah sedan Camry, SUV Highlander dan trak pikap Tundra, kesemuanya model popular di pasaran Amerika.
Langkah ini bertujuan memenuhi keperluan pelanggan yang semakin pelbagai di Jepun, selain menyumbang kepada usaha memperkukuh hubungan perdagangan antara Jepun dan Amerika Syarikat.
Sebagai sebahagian daripada persiapan pengenalan, Toyota akan memanfaatkan sistem baharu yang sedang dipertimbangkan oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun hasil rundingan dua hala.
Model Lama Kembali, Model Baharu Diperkenalkan
Toyota memutuskan untuk memperkenalkan semula Camry dan Highlander ke pasaran Jepun, selepas kedua-duanya pernah ditawarkan sebelum Highlander dihentikan pada 2023 dan Camry sebelum itu.
Tundra pula akan menjadi tambahan baharu yang membawa segmen trak pikap bersaiz penuh ke pasaran Jepun.
Toyota Camry (spesifikasi AS)
Sedan ini menggabungkan reka bentuk sofistikated dengan keselesaan tinggi, di samping menawarkan kecekapan bahan api yang cemerlang.
Camry merupakan model global Toyota dan sekian lama menjadi antara model terlaris di Amerika Syarikat.
Toyota Highlander (spesifikasi AS)
SUV tiga baris tempat duduk yang popular dalam kalangan keluarga, dengan ruang dalaman luas serta keupayaan off-road yang baik.
Sesuai untuk kegunaan harian di bandar mahupun aktiviti luar.
Model ini pernah dijual di Jepun sehingga tahun 2023 sebagai Toyota Kluger.
Toyota Tundra (spesifikasi AS)
Trak pikap ini terkenal dengan kuasa besar dan keupayaan menunda yang tinggi, selain kualiti, ketahanan dan kebolehpercayaan yang menjadi sinonim Toyota.
Tundra dilihat sebagai simbol budaya Amerika dan Toyota percaya gaya hidup yang semakin cenderung kepada aktiviti alam semula jadi akan mendorong pelanggan Jepun menerima tarikan unik model ini.
Lokasi Pengeluaran di Amerika Syarikat
Camry: Dihasilkan di Toyota Motor Manufacturing Kentucky (TMMK)
Highlander: Dihasilkan di Toyota Motor Manufacturing Indiana (TMMI)
Tundra: Dihasilkan di Toyota Motor Manufacturing Texas (TMMTX)
Bila sebut Nissan Skyline GT-R, kebanyakan peminat automotif pasti terbayangkan versi dua pintu yang agresif dan penuh aura JDM.
Namun, bagi generasi R32, R33 dan R34, Nissan sebenarnya turut menawarkan versi empat pintu namun ia sering dianggap lebih “biasa” dan tidak begitu berfokuskan prestasi berbanding coupe.
Tapi ada satu pengecualian yang cukup istimewa. Ketika era R33, Nissan secara senyap membangunkan satu versi Skyline GT-R empat pintu yang tidak berkompromi dari segi prestasi.
Model ini dikenali sebagai GT-R Autech, dan ia dibangunkan oleh Autech, divisyen talaan dalaman Nissan sendiri.
Apa yang menarik, GT-R Autech ini bukan sekadar Skyline empat pintu dengan rupa GT-R. Dari segi mekanikal, ia berkongsi hampir semua komponen utama dengan R33 GT-R coupe, termasuk enjin, sistem pacuan dan suspensi.
Model ini diperkenalkan secara rasmi di Tokyo Motor Show 1997, bersempena ulang tahun ke-40 Nissan Skyline.
Pengeluarannya sangat terhad, dengan hanya 416 unit dibina. Secara rasminya, kesemuanya ditawarkan untuk pasaran Jepun namun begitu, beberapa unit kini sudah mula muncul di luar Jepun melalui pasaran import.
Seperti GT-R lain pada zaman tersebut, GT-R Autech dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris 2.6-liter dwi-turbo RB26DETT.
Secara rasmi, ia menghasilkan 276 hp dan 368 Nm, selaras dengan ‘Gentlemen’s Agreement’ Jepun ketika itu. Kuasa disalurkan ke keempat-empat roda melalui sistem pacuan semua roda ATTESA dan kotak gear manual lima kelajuan.
Salah satu unit yang kini ditawarkan merupakan kereta ke-247 daripada 416 unit yang dibina, dengan jarak perbatuan hampir 240,000 km.
Walaupun sudah jauh dipandu, keadaannya masih original, hanya dipasang ekzos Fujitsubo catback. Terdapat beberapa kesan lusuh hasil dari penggunaan sejak sekian lama namun tiada kerosakan besar.
Unit ini ditawarkan di Amerika Syarikat pada harga sekitar USD44,985 (RM182,120). Bagi yang mahukan keadaan lebih cantik dan perbatuan rendah, terdapat satu lagi unit dengan hanya sekitar 57,000 km, tetapi harganya melonjak kepada hampir USD78,500 (RM317,810), sekaligus mencerminkan tahap keaslian dan kondisinya.
Bila bercakap tentang enjin rotary, nama Mazda memang akan terus terlintas di fikiran. Dari RX-7 dan RX-8 sehinggalah jentera legenda 787B yang menjuarai Le Mans, jenama dari Jepun itu memang sinonim dengan teknologi ini. Namun, dominasi itu kini mula dicabar apabila Changan tampil dengan enjin rotary baharu, sekali gus menghidupkan semula teknologi yang lama dianggap “mati”.
Changan baru-baru ini mendedahkan enjin rotary yang dikenali sebagai R05E, dan ia dikatakan sebagai enjin rotary berprestasi tinggi pertama yang dibangunkan sepenuhnya di China. Projek ini sebenarnya sudah diumumkan awal tahun ini hasil kerjasama teknikal bersama firma kejuruteraan Austria, AVL, tetapi prototaip sebenar hanya didedahkan pada Disember lalu. Jika semuanya berjalan lancar, pengeluaran dijangka bermula sekitar tahun 2027.
Walau bagaimanapun, sebelum anda teruja menantikan kereta sport rotary baharu, perlu dijelaskan bahawa R05E bukan dibangunkan untuk kegunaan jalan raya. Sebaliknya, enjin ini direka khas untuk menyokong “ekonomi altitud rendah” di China. Ia merangkumi penggunaan seperti dron, pesawat elektrik berlepas dan mendarat secara menegak (eVTOL), serta pelbagai platform udara lain yang beroperasi di bawah ketinggian 1,000 meter. Malah, kerajaan China menganggarkan sektor ini berpotensi bernilai sehingga ¥3.5 trilion menjelang 2035.
Menurut Changan, enjin rotary dipilih kerana kelebihannya berbanding sistem pacuan elektrik sepenuhnya. Antaranya termasuk operasi yang lebih lancar, saiz yang kecil, bunyi lebih senyap serta nisbah kuasa-berat yang tinggi. Dalam sesetengah keadaan, konfigurasi rotary ini dikatakan lebih praktikal berbanding sistem elektrik jika mengambil kira berat keseluruhan.
Dari segi spesifikasi, R05E menghasilkan sekitar 71 hp dan mampu berputar sehingga 6,500 rpm, dengan versi lebih berkuasa sedang dibangunkan. Ia menggunakan perumah aluminium dengan salutan komposit nanodiamond untuk mengurangkan geseran, selain rotor segi tiga melengkung, aci eksentrik ringan dan sistem imbangan khas bagi memastikan operasi stabil ketika terbang.
Menariknya, walaupun Changan mempunyai kerjasama strategik dengan Mazda di China, pengeluar Jepun itu tidak terlibat dalam pembangunan enjin ini. Sama ada teknologi ini akan dibawa ke kereta produksi masih menjadi tanda tanya, tetapi sekurang-kurangnya enjin rotary kini kembali mencuri perhatian.
Tokyo Auto Salon 2026 bakal tiba pada Januari 2026 dan Nissan bersama Nissan Motorsports & Customization Co., Ltd. (NMC) tidak ketinggalan menampilkan sejumlah model yang menarik.
Kemunculan Pertama Model Konsep NISMO
Tumpuan utama di reruai Nissan kali ini pastinya terarah kepada pendedahan sebuah model konsep NISMO khas.
Model ini bakal membuat penampilan perdana di pentas dunia dan dijangka menjadi magnet utama buat peminat prestasi tinggi.
Perincian teknikal masih dirahsiakan dan maklumat lengkap mengenai model konsep ini hanya akan didedahkan semasa sidang akhbar rasmi Nissan pada 9 Januari depan.
Fairlady Z 2026 Kini Dengan Transmisi Manual!
Satu lagi tarikan utama adalah model Fairlady Z yang telah dikemas kini dan dijadualkan memasuki pasaran Jepun pada musim panas 2026.
Model ini tampil dengan gaya reka bentuk baharu yang memfokuskan kepada peningkatan prestasi aerodinamik.
Berita baik bagi peminat pemanduan gear dan klac, Nissan bakal memperkenalkan Z NISMO yang dilengkapi dengan transmisi manual melalui varian NISMO MT.
Model ini akan dipamerkan sepanjang acara bagi membolehkan pengunjung melihat dengan lebih dekat jentera yang menjanjikan pengalaman pemanduan lebih mengujakan.
Nissan X-Trail Rock Creek Multibed Wildplay Untuk Pengembaraan Lasak
Bagi peminat aktiviti luar, Nissan akan mempamerkan X Trail Rock Creek Multibed Wildplay.
Model ini berasaskan edisi Rock Creek dengan identiti perkakasan lasak yang menjadi DNA siri tersebut.
Ia direka khusus untuk kegunaan aktiviti rekreasi luar dengan kemasan luaran dan dalaman yang tahan lasak, kerusi kalis air serta pakej aksesori bertemakan aktiviti luar yang memudahkan urusan perkhemahan.
Nissan LEAF AUTECH dan Projek Baik Pulih March – Matchys March
Segmen kenderaan elektrik turut ditonjolkan dengan kehadiran LEAF serba baharu di bawah barisan model AUTECH.
Varian ini menggabungkan elemen sporti dengan kemewahan, di mana ruang kabin diberi sentuhan berseni bagi meningkatkan kualiti ruang dalaman.
Selain itu, Nissan turut mempamerkan sebuah unit Nissan March yang unik milik Masahiko Matchy Kondo, Pengarah Pasukan Kondo Racing.
Kereta yang digelar Matchys March ini telah dibaik pulih sepenuhnya oleh pelajar dari Kolej Automobil Nissan.
Di antara perubahan yang dilakukan termasuklah kemasan luaran serta kerja penukaran sistem transmisi kepada manual.
Anda masih rindu dengan Honda Jazz yang sudah tidak lagi ditawarkan di sini?
Untuk makluman, generasi keempat Honda Jazz (atau Fit) telah pun wujud di pasaran Eropah dan Jepun sejak tahun 2020 lagi.
Ia membawakan imej yang lebih comel, namun dengan ukuran dimensi yang lebih kecil jika dibandingkan dengan City Hatchback.
Setelah versi facelift diperkenalkan pada tahun 2022, Honda Fit dijangka akan menerima kemas kini facelift yang kedua untuk model tahun 2026.
Berdasarkan imej daripada laman Autohome, Fit facelift kini menampilkan muka depan yang mengingatkan kita pada model buatan Vinfast.
Selain daripada unit lampu utama terpisah, ia juga menampilkan strukrut jeriji yang lebih nipis serta liang kemasukan udara yang agak kecil.
Untuk bahagian belakang, rekaan lampu masih lagi dikekalkan, kecuali bahagian bampar yang mempunyai tambahan struktur seakan diffuser yang menjadikan dimensi Fit bertambah panjang.
Laman Autohome juga melaporkan Fit facelift akan mendapat skrin infohibur 10.1 inci yang lebih besar, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay, Huawei Hicar dan Carlife.
Honda Fit 2026 facelift ini dijangka kekal dengan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC menghasilkan 124 PS dan 145 Nm yang dipadankan dengan transmisi CVT.
Subaru Corporation bersama subsidiari permotoran, Subaru Tecnica International (STI) bakal membawa sejumlah model hebat ke Tokyo Auto Salon (TAS) 2026 pada Januari depan.
Melalui pameran ini, Subaru meneruskan aspirasi untuk kekal sebagai jenama yang berbeza melalui dua tema utama iaitu Performance Scene dan Adventure Scene.
Performance Scene menampilkan keseronokan pemanduan, manakala Adventure Scene pula menekankan keterujaan pengembaraan.
Di Tokyo Auto Salon 2026, fokus utama gerai SUBARU/STI adalah kepada dunia Performance Scene, dengan menampilkan model produksi dan jentera perlumbaan yang mencerminkan DNA prestasi Subaru.
Model pameran yang ditampilkan adalah berasaskan model pasaran Jepun iaitu Levorg, WRX S4 dan Impreza.
LEVORG STI Sport R-Black Limited II STI Performance
Model ini dibangunkan berasaskan Levorg STI Sport EX (model pasaran Jepun) dan tampil dengan warna badan eksklusif Sunrise Yellow.
Penampilan luaran diperkemaskan dengan pelbagai komponen berwarna hitam bagi menyerlahkan karakter prestasi.
Antara ciri luaran utama termasuk:
Rim aloi 18 inci kemasan hitam kusam
Bahagian muka hadapan berwarna hitam
Cermin sisi dan antena bumbung berwarna hitam
Ruang dalaman pula menonjolkan ciri eksklusif melalui:
Kerusi hadapan RECARO® dengan balutan berlubang rona kuning
Panel instrumen kemasan suede
Padanan aksesori tulen Subaru dan komponen prestasi STI tambahan
Gabungan ini bukan sahaja meningkatkan kehadiran visual, malah mengukuhkan identiti prestasi Levorg versi STI.
WRX S4 STI Sport R-Black Limited II STI Performance
Berasaskan WRX S4 STI Sport R EX (model Jepun), varian ini turut menggunakan warna badan Sunrise Yellow yang sama, menekankan kesinambungan identiti eksklusif siri R-Black Limited II.
Ciri luaran utama merangkumi:
Rim aloi 18 inci kemasan hitam kusam
Cermin sisi hitam
Antena bumbung hitam
Untuk ruang dalaman, WRX S4 dilengkapi:
Kerusi hadapan RECARO® dengan balutan berlubang warna kuning
Panel instrumen kemasan suede
Aksesori tulen Subaru serta komponen prestasi STI
Keseluruhan pakej ini direka bagi meningkatkan kehadiran visual dan rasa istimewa, sejajar dengan imej prestasi WRX.
IMPREZA ST-H STI Performance Edition with Plus Package
Model ini diasaskan daripada Impreza ST-H (model Jepun), yang menggabungkan reka bentuk sporti namun kasual dengan prestasi pemanduan yang mantap serta praktikaliti.
Dilengkapi komponen prestasi STI yang dibangunkan hasil pengalaman Subaru dalam dunia perlumbaan, model ini menampilkan:
Reka bentuk lebih agresif
Dinamik pemanduan yang dipertingkatkan
Keselesaan tunggangan yang lebih anjal
Kestabilan pengendalian yang lebih tinggi
Edisi ini memperlihatkan bagaimana Impreza boleh diposisikan sebagai model harian yang kekal menyerlah dari sudut prestasi dan kawalan.
Generasi keenam minivan Nissan Serena (kod C28) telah pun berada di pasaran (kecuali Malaysia) sejak tahun 2022 lagi.
Ini bermakna, sudah tiga tahun berlalu dan tiba masanya untuk Nissan mengemas kini penawaran model tersebut, serentak dengan ulang tahun ke-35 Serena yang bakal disambut tahun depan.
Ada beberapa perubahan dibawakan pada Nissan Serena versi facelift ini:
Luaran
Berbanding model pra-facelift, Nissan Serena facelift menampilkan jeriji hadapan baharu dengan rekaan corak V yang tidak simetri, diikuti dengan padanan rim aloi baharu.
Tidak ketinggalan, tiga warna baharu ditawarkan iaitu Moonbow Blue, Aqua Mint dan Deep Ocean Blue.
Infohibur dikuasakan oleh Google
Buat pertama kalinya Serena ditawarkan dengan sistem infohibur NissanConnect yang dikuasakan oleh Google.
Sistem ini menyokong aplikasi Google Maps, Google Assistant dan juga kedai aplikasi Google Play Store.
Sebagai respons kepada permintaan pelanggan, Nissan turut menambah fungsi memori untuk ciri e-Pedal di mana sistem akan mengingati tetapan mod operasi yang telah dibuat sebelum kenderaan dimatikan.
Keselamatan
Aspek keselamatan turut ditambah baik, terutama pada sistem pemantauan keliling pintar (IAVM) dengan fungsi pemandangan 3D, pemandangan hadapan lebar dan pemandangan sisi berkembar ketika cermin sisi dilipat.
Nissan Serena turut menyertakan fungsi peringatan sekiranya pemandu terlupa untuk mengunci pintu, menutup lampu kecemasan, menutup tingkap atau memeriksa tempat duduk belakang.
Varian Autech Line lebih premium
Nissan turut menyediakan pilihan varian Autech Line yang menampilkan ciri berikut:
kemasan metalik pada perumah cermin sisi
rim aluminium 16 inci kemasan dark metallic silver
kemasan krom gelap pada jeriji depan
upholsteri Tailor Fit yang lebih lembut dan selesa
Varian Multi Box untuk peminat outdoor
Selain varian tujuh dan lapan tempat duduk, Nissan Serena juga boleh didapati dalam varian Multi Box.
Ia menampilkan susunan tempat duduk yang boleh memuatkan lima orang pada satu-satu masa, dan tempat duduk baris ketiga yang digantikan dengan kotak storan berkapasiti besar.
Kotak storan itu boleh digunakan sebagai ruang penyimpanan barang, bangku dan juga meja boleh lipat.
Ruang itu juga boleh dijadikan sebagai tempat tidur, di mana pengguna boleh membentangkan alas tilam yang diperbuat daripada bahan Cordura kalis air.
Pilihan enjin 2.0L NA atau 1.5L e-Power
Di Jepun, Nissan Serena hadir dengan pilihan enjin 2.0 liter aspirasi semula jadi (NA) dengan kuasa 150 PS dan 200 Nm.
Terdapat juga pilihan nadi e-Power yang terdiri daripada enjin tiga silinder 1.5 liter bertindak sebagai unit penjana kuasa untuk motor elektrik 163 PS dan 315 Nm.
Nissan Serena facelift dijual pada harga dari 2,856,700 yen (RM74,161).
The Serena has a 2-2-2 seat layout, with zero gravity-inspired seats fitted to the first and second rows (latter has ISOFIX child seat anchors).