Arkib Tag: trak pikap

Tiga kelemahan yang wujud pada trak pikap Mitsubishi Triton 2025

Sejujurnya, penulis bukanlah seorang yang gemar memandu trak pikap, tapi pengalaman memandu Mitsubishi Triton 2025 tempoh hari masih lagi segar dalam ingatan.

Selain daripada rupa paras yang lebih malar segar, Triton baharu kini menggunakan platform dan enjin baharu, sistem gantungan yang telah ditala, serta susun atur ruang kabin yang lebih mesra pengguna.

Senang cerita, Triton baharu ini menawarkan pemanduan berprestasi atas jalan raya, dan masih lagi mampu menawan laluan off-road yang lebih sukar dan mencabar.

Cuma pada pendapat penulis, ada tiga kekurangan yang perlu diberikan perhatian oleh Mitsubishi untuk menjadikan penawaran Triton yang lebih bernilai dan berbaloi dengan setiap ringgit yang dibelanjakan.

 

1. Tiada kamera 360 darjah

Tahukah anda, Triton 2025 menggunakan platform baharu yang menawarkan ukuran dimensi yang lebih panjang, lebih lebar dan lebih tinggi.

Ini bermakna, trak pikap generasi keenam ini merupakan model yang paling besar pernah dihasilkan dalam sejarah Triton.

Sayang sekali, peningkatan ukuran dimensi ini tidak disertakan dengan ciri kamera keliling 360 darjah (atau 540 darjah).

Ketiadaan ciri ini membuatkan pemanduan sedikit sukar terutama ketika menempuh lokasi yang sempit, atau ketika menyelusuri laluan semak-samun yang tidak bertar.

Struktur bonet depan yang agak tinggi juga membuatkan penulis ada kalanya kurang yakin untuk meneruskan pemanduan di tempat sempit.

 

2. Getaran stereng yang halus boleh buatkan pemanduan sedikit penat

Berdasarkan pengalaman, penulis mendapati respons stereng Triton baharu ini amat mudah untuk dikendalikan, biarpun Triton kini sudah bertambah besar.

Ciri Amaran Penukaran Lorong (LCA) yang dimuatkan juga menjadikan pemanduan Triton lebih selamat, di mana ia hanya akan bergegar apabila pemandu didapati tidak menggunakan lampu isyarat untuk menukar lorong.

Ketiadaan ciri bantuan pengekalan lorong (LKA) tidak menjadi satu masalah besar pun. Cuma apa yang penulis perasan ialah sistem stereng Triton ini menghasilkan getaran halus semasa berada di lebuh raya.

Untuk pemanduan jarak dekat, getaran halus ini tidak menjadi masalah, cuma pemandu akan menjadi sedikit penat setelah menempuh jarak pemanduan yang jauh.

 

3. Struktur headrest belakang yang tidak mesra penumpang (dan pemandu)

Ketika beralih ke tempat duduk belakang, penulis mendapati kerusi belakang Triton 2025 menawarkan sudut sandaran yang selesa dan tidak terlalu menegak.

Cuma, keselesaan itu tidak disertakan dengan struktur headrest yang mampu menyokong kedudukan kepala yang selesa.

Jika anda perhatikan, headrest penumpang baris kedua mempunyai sudut yang condong ke depan, jadi penumpang belakang akan rasa duduk sedikit tegak berbanding kebiasaan.

Kedudukan headrest tengah juga boleh menghalang medan penglihatan cermin pandang belakang, jadi cabut sahaja headrest tersebut sekiranya trak pikap anda tidak membawa penumpang ekstra.

Anda boleh baca penemuan dan ulasan kami tentang Mitsubishi Triton 2025 pada pautan di bawah:

Mitsubishi Triton 2025, lima perkara baru yang kami jumpa – Pandu Uji Ringkas

 

 

Mitsubishi Triton 2025, lima perkara baru yang kami jumpa – Pandu Uji Ringkas

Mitsubishi Triton generasi baharu telah pun selamat dan selesai dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan minggu lalu setelah lebih setahun diperkenalkan di peringkat global.

Boleh dikatakan, hampir keseluruhan aspek pada trak pikap ini telah dirombak semula, seperti platform, enjin, sistem gantungan, susun atur ruang kabin dan paling penting rupa paras yang nampak lebih gagah dan ‘berani’.

Jadi, adakah perubahan yang disebutkan tadi memberikan kesan yang besar pada trak pikap Triton ini?

Awal bulan yang lalu, penulis bersama rakan-rakan media lain telah dijemput untuk menguji sendiri memandu Mitsubishi Triton 2025 dari ibu kota menghala ke Pantai Timur.

Berikut merupakan input ringkas kami setelah puas melenjan trak pikap ini selama dua hari:

 

1. Pemanduan lebih stabil dan meyakinkan

Mitsubishi Triton 2025 menggunakan platform serba baharu dengan ukuran dimensi yang lebih panjang, lebih lebar dan lebih tinggi, menjadikan penampilan keseluruhan nampak lebih gagah di atas jalan.

Casis ladder-frame yang digunakan pada Triton baharu ini juga lebih tegar, mengutamakan penggunaan keluli tegangan tinggi (1,180 MPa) untuk meminimumkan penambahan berat badan.

Selain itu, Triton baharu juga dilengkapi sistem suspensi dengan jarak gerak yang lebih panjang serta bar penstabil yang lebih tebal, diikuti dengan sistem stereng kuasa elektronik (EPS) sedikit sebanyak menyumbang kepada aspek pemanduan yang lebih stabil dan meyakinkan.

Berdasarkan pengalaman, Triton menawarkan respons stereng yang mudah untuk dikendalikan, tidak terlalu berat atau terlalu ringan sehingga membuatkan pemandu terpaksa bersilat sepanjang masa.

Selain daripada itu, perjalanan juga lebih selesa disebabkan oleh kurang gegaran dan bunyi bising dirasakan dari dalam ruang kabin sepanjang perjalanan, walaupun terpaksa menempuh pelbagai jenis kualiti tar jalan raya.

 

2. Enjin baharu lebih bertenaga

Selain platform, Triton 2025 juga kini menggunakan nadi diesel serba baharu.

Biarpun kapasiti tidak banyak berubah, enjin 2.4 liter turbo MIVEC (kod nama 4N16) itu kini menghasilkan kuasa setinggi 204 PS dan daya kilas 470 Nm.

Dengan kotak gear automatik 6-kelajuan, Triton tidak perlu berusaha lebih untuk memotong geng lori treler kargo atau mereka yang sedang mencari rumah sewa di tengah-tengah lebuh raya.

Pada kelajuan standard lebuh raya, pemanduan Triton dirasakan agak lincah dan bertenaga, macam sedang pandu sebuah SUV pula rasanya.

Ciri Active Yaw Control (AYC) yang biasa didapati pada model berprestasi tinggi Mitsubishi turut ditawarkan pada Triton baharu, memberikan lebih keyakinan terutama ketika melayan laluan yang berliku.

Namun harus diingat, Triton masih lagi sebuah trak pikap, dan anda harus tahu batas dan had yang wujud pada sebuah trak pikap, serta kemahiran pemandu itu sendiri untuk mengendalikan kenderaan yang tinggi titik gravitinya.

 

3. Pemanduan off-road lebih meyakinkan

Kami sempat menguji pengendalian trak pikap Triton ini pada laluan off-road di Janda Baik, diikuti dengan sesi pemanduan off-road khas yang disediakan semasa pelancaran rasmi tempoh hari.

Pada kami, gandingan platform, enjin, sistem gantungan dan sistem 4WD Super Select II itu tadi turut memberikan kelebihan kepada Triton untuk menempuh laluan yang lebih sukar dan mencabar.

Berdasarkan pengalaman, sukar untuk kami merasakan kekasaran yang ketara dari dalam kabin walaupun trak pikap ini dipecut laju atas laluan berdebu, ataupun ketika sedang menempuh laluan yang berbatu.

Kuasa yang diperah daripada enjin diesel 2.4 liter itu juga berjaya disalurkan kepada roda dengan lancar untuk memastikan trak ini terus bergerak ke hadapan atau keluar dari halangan mengikut apa yang diarahkan oleh pemandu.

Dengan penggunaan stereng EPS, pengendalian dalam laluan off-road juga lebih meyakinkan terutama bagi mereka yang mungkin tidak biasa mengendalikan kenderaan yang lebih besar.

Sistem 4WD Super Select II dengan operasi pemilihan mod on-the-fly juga amat mudah untuk digunakan bagi menyesuaikan trak pikap ini dengan pelbagai jenis keadaan permukaan jalan.

Secara standard, Triton menyediakan sehingga tujuh mod pemanduan yang boleh dipilih menerusi pemilihan pacuan 2H, 4H, 4HLc dan 4LLc, tidak ketinggalan ciri Hill Descent Control (HDC) yang membolehkan pemandu mengawal kenderaan semasa menuruni cerun tanpa perlu bergantung kepada brek.

 

4. Beast Mode buatkan Triton nampak lebih gagah

Pada mulanya, sukar juga untuk penulis menerima perubahan rupa yang wujud pada Triton baharu ini.

Jika diletakkan bersebelahan dengan Triton generasi terdahulu, mungkin ramai yang cenderung untuk memilih Triton dengan rekaan Dynamic Shield yang lebih tajam.

Untuk Triton baharu, elemen Dynamic Shield itu telah diperbaharui dengan tema Beast Mode yang buatkan penampilan Triton ini nampak lebih gagah.

Lampu nyalaan siang LED berbentuk L itu sengaja direka seakan renungan mata helang yang tajam, sementara lampu belakang dengan grafik berbentuk T itu menonjolkan lagi kelebaran trak pikap ini.

Selain itu, reka bentuk badan yang agak berpetak ini membuatkan Triton ini nampak macam trak pikap Amerika.

 

5. Ruang kabin lebih moden, lebih mesra pengguna

Triton baharu menerapkan elemen rekaan Horizontal Axis untuk membuatkan susun atur papan pemuka lebih kemas dan tidak menyemakkan pemandangan.

Penulis amat gemar dengan gandingan meter analog dan skrin digital menggunakan latar belakang hitam yang sangat mudah untuk dibaca dan kurang gangguan warna-warna fancy yang boleh mengganggu tumpuan pemanduan.

Triton baharu juga menampilkan butang-butang dan tombol operasi fizikal yang besar dan mudah untuk digunakan.

Ini merupakan satu perkara penting, kerana kebanyakan pemandu olskool seperti penulis bergantung kepada memori otot untuk mengubah tetapan seperti suhu, kelajuan hembusan angin sejuk atau sekadar mengubah arah tiupan angin tanpa perlu kerap mengalihkan tumpuan pandangan semasa memandu.

Skrin tengah juga tidak perlu terlalu besar sehingga mengganggu medan penglihatan, cukup memadai dan dalam masa yang sama masih lagi menawarkan fungsi yang didambakan kebanyakan pengguna – Apple CarPlay dan Android Auto.

Satu perkara yang buatkan penulis suka pada Triton ialah ciri corong pendingin hawa yang terletak pada siling, cuma ia memerlukan sedutan udara yang sejuk dari arah hadapan untuk membuatkan penumpang di belakang rasa selesa.

Tempat duduk baris kedua juga selesa untuk digunakan dengan sudut yang tidak terlalu tegak, cuma struktur headrest itu sendiri membuatkan penumpang duduk sedikit menegak berbanding kebiasaan.

 

Antara kekurangan ketara yang wujud pada Triton baharu ialah ketiadaan ciri kamera keliling 360 darjah mungkin akan membuatkan anda rasa pemanduan Triton terutama di jalan yang sempit atau laluan off-road sedikit sukar, disebabkan dimensi Triton yang sudah bertambah besar, lebar dan tinggi.

Radius putaran trak pikap ini juga telah bertambah besar, disebabkan jarak antara roda yang bertambah panjang berbanding model terdahulu.

Sekiranya tiada penumpang ketiga, anda disarankan untuk mencabut headrest tengah kerana kedudukannya boleh mengganggu medan penglihatan cermin pandang belakang.

 

Mitsubishi Triton 2025, platform & enjin baharu, lima varian, dari RM102k

Jadi, apa pendapat anda tentang Mitsubishi Triton 2025 serba baharu ini? Adakah ia mampu menjadi satu pembelian yang berbaloi untuk tahun ini?

Lebih banyak info dan perincian akan kami kongsikan kepada anda sekiranya diberikan peluang untuk menguji Mitsubishi Triton dengan lebih mendalam pada masa akan datang.

 

Mitsubishi Triton 2025 (Pandu Uji Ringkas)

JAC T9 2025 versi 2.0L diesel dan BEV diperlihatkan, harga dari RM120k, pelancaran Jan 2025

Evolvelectric Motors selaku pengedar rasmi kenderaan JAC Motors di Malaysia hari ini mempertontonkan model trak pikap saiz pertengahan JAC T9 2025 yang bakal dilancarkan pada Januari tahun depan.

Untuk pasaran tempatan, ada dua pilihan rangkaian kuasa yang ditawarkan, iaitu versi 2.0L diesel turbo serta varian elektrik (BEV).

Kedua-dua versi T9 membawakan ukuran dimensi yang sama, panjang 5,330 mm, lebar 1,965 mm, tinggi 1,920 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,110 mm.

Jarak kelegaan tanah adalah setinggi 210 mm, diikuti sudut pendekatan 27 darjah, sudut pelepasan 23 darjah dan keupayaan untuk meredah air sedalam 800 mm.

JAC T9 Grand-ES menggunakan nadi empat silinder sebaris diesel turbo 2.0 liter dengan kuasa 167 hp @ 3,600 rpm dan daya kilas 410 Nm @ 1,500-2,500 rpm.

Enjin diesel itu tadi dipadankan dengan sistem pacuan empat roda (4WD) dan transmisi automatik ZF lapan-kelajuan.

Sementara JAC T9 Grand-BEV pula dibekalkan dengan gandingan dua motor elektrik.

Motor pada gandar hadapan berkuasa 94 hp/176 Nm manakala motor gandar belakang pula menghasilkan 215 hp/342 Nm, dengan kuasa keseluruhan mampu mencecah 516 Nm.

Pek bateri LFP buatan CATL berkapasiti 88 kWh membenarkan jarak gerak sejauh 340 km (data WLTP).

JAC T9 Grand-BEV juga menyokong pengecasan AC 11 kW (pengecasan 15-100 peratus dalam 6 jam 50 minit), serta pengecasan pantas DC 88 kW di mana bateri boleh dicas 30-80 peratus dalam tempoh 35 minit sahaja.

Untuk bahagian luar, JAC T9 datang dengan ciri seperti lampu utama LED, lampu nyalaan siang DRL LED, lampu belakang LED, tempat pemijak sisi, sports bar belakang, serta rel bumbung.

Masuk ke dalam ruang kabin, JAC T9 menyediakan kelengkapan seperti skrin kluster tujuh inci, skrin tengah 10.4 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk hadapan larasan enam tahap, sistem pencahayaan ambien, pengecasan peranti tanpa wayar dan enam pembesar suara.

Untuk penumpang belakang pula disediakan corong pendingin hawa baris kedua, slot USB tambahan serta soket kuasa untuk perkakasan elektronik.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah tujuh beg udara, kamera keliling 360 darjah, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), brek kecemasan autonomi (AEB), amaran keluar lorong (LDW), bantuan kekal lorong (LKS), kawalan jelajah adaptif (ACC) dan sistem pengecaman papan tanda trafik (TSRS).

Tidak menghairankan apabila kedua-dua versi trak pikap JAC T9 ini turut mendapat penarafan lima bintang dalam ujian penilaian kenderaan baharu Australasian NCAP (ANCAP).

Harga jualan anggaran untuk trak pikap JAC T9 2025 bermula bawah RM120,000 untuk versi diesel, sah sehingga 31 Disember ini untuk 300 orang pelanggan pertama, dengan jaminan lima tahun tanpa had perbatuan.

Sementara JAC T9 Grand-BEV pula dijual dengan harga anggaran bawah RM200,000 dan hadir dengan jaminan pengeluar selama enam tahun atau had perbatuan 200,000 km, sah untuk 100 orang pelanggan pertama yang menempah sebelum 31 Disember 2024.

JAC T9 Grand-ES

 

JAC T9 Grand-BEV

Mitsubishi Triton 2025, platform & enjin baharu, lima varian, dari RM102k

Mitsubishi Motors Malaysia selesai melancarkan trak pikap generasi baharu Mitsubishi Triton untuk pasaran tempatan.

Ia boleh didapati dalam lima varian utama, terdiri daripada empat varian kabin berkembar dan satu varian kabin tunggal yang dikhaskan untuk kerja-kerja berat.

Menggunakan platform serba baharu yang lebih tegar, Triton 2025 menawarkan ukuran dimensi yang lebih besar, dengan panjang 5,360 mm (+55 mm), lebar 1,930 mm (+115 mm), tinggi 1,815 mm (+35 mm) dan jarak antara roda 3,130 mm (+130 mm).

Secara standard, Triton didatangkan dengan suspensi jenis double wishbone di depan, diikuti spring dedaun di belakang yang dibantu dengan talaan untuk aspek pengendalian dan keselesaan yang lebih baik.

Selain platform baharu, Triton juga hadir dengan enjin diesel baharu MIVEC kod 4N16, dengan kuasa 181 hp @ 3,500 rpm dan daya kilas 430 Nm @ 2,250-2,500 rpm.

Varian tertinggi Athlete mendapat tetapan turbo dua tahap dengan piawaian Euro 5, dengan kuasa setinggi 204 PS @ 3,500 rpm dan daya kilas 470 Nm @ 1,500-2,750 rpm.

Selain itu, varian Athlete turut mendapat sistem stereng elektronik (EPS) dan juga sistem 4WD Super Selec II yang menawarkan sehingga tujuh mod pemanduan (Normal, Eco, Gravel, Sand, Mud, Snow, Rock).

Hanya dua varian terendah (termasuk varian kabin tunggal) dilengkapi dengan kotak gear manual enam kelajuan, manakala selebihnya hadir dengan kotak gear automatik 6-kelajuan.

Triton baharu kini menampilkan bahasa rekaan Dynamic Shield yang dipertingkatkan dengan pendekatan “Beast Mode”.

Ciri luaran termasuklah lampu utama LED, lampu nyalaan siang (DRL) LED, rim 18 inci (16 inci untuk varian rendah), diikuti dengan grafik berbentuk T pada lampu belakang.

Ruang kabin pula menggunakan konsep Horizontal Axis yang lebih moden, menampilkan meter analog, skrin MID LCD tujuh inci, skrin sentuh tengah dengan sokongan Apple CarPlay/Android Auto, enam pembesar suara kawalan iklim dua zon, corong penyejuk udara untuk penumpang baris kedua, tempat duduk balutan leatherette premium, roda stereng balutan kulit, serta tombol gear balutan kulit.

Varian asas mendapat sistem audio yang lebih ringkas dengan 4 pembesar suara, tempat duduk fabrik, diikuti dengan roda stereng dan tombol gear urethane.

Dari segi keselamatan, Mitsubishi Triton mendapat sehingga tujuh beg udara, ABS, EBD, Bantuan Mula Mendaki, Kawalan Kestabilan Aktif, Bantuan Menurun Cerun (HDC), serta kelengkapan keselamatan termaju seperti Sistem Mitigasi Pelanggaran Hadapan, Kawalan Jelajah Adaptif (ACC), Amaran Titik Buta (BSM), Amaran Penukaran Lorong (LCA), Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA) dan Bantuan Suluhan Tinggi (AHB).

Untuk pasaran tempatan, harga jualan Mitsubishi Triton 2025 adalah seperti berikut:
Triton Single Cab (MT) – RM101,980
Triton GL (MT) – RM114,980
Triton GL (AT) – RM116,980
Triton Premium (AT) – RM145,980
Triton Athlete (AT) – RM165,980

Secara standard, Mitsubishi Triton 2025 datang dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau had perbatuan 200,000 km (yang mana tiba dahulu), kecuali Mitsubishi Triton Athlete yang hadir dengan jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun, sah untuk pendaftaran sehingga 31 Disember 2024 sahaja.

Mitsubishi Triton Single Cab 2025

Mitsubishi Triton 2024, tempahan kini dibuka, lima varian, harga dari RM102,000

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini secara rasmi membuka tempahan bagi model trak pikap generasi keenam Mitsubishi Triton 2024.

Ditawarkan dalam lima varian, harga jualan anggaran Mitsubishi Triton bermula dari RM102,000 untuk varian Single Cab, dan dari RM170,000 untuk varian Triton Athlete.

Mitsubishi Triton serba baharu membawakan beberapa perubahan yang besar dari segi luaran dan dalaman.


Ia kini menampilkan bahasa rekaan baharu Beast Mode, enjin diesel baharu 2.4 liter turbo (4N16) yang mampu menjana kuasa 184 PS/350 Nm (Single Cab), atau setinggi 204 PS/470 Nm untuk varian tertinggi.

Triton baharu juga datang dengan casis mega rangka yang dibangunkan baharu menawarkan ketahanan dan kelasakan, serta saiz badan yang lebih besar berbanding model terdahulu.

Sistem suspensi baharu juga kini menawarkan kestabilan pengendalian dan keselesaan pemanduan, diikuti dengan sistem pacuan empat roda Super Select-II dan tujuh mod pemanduan.


Aspek keselamatan trak pikap ini telah ditambah baik dengan fungsi Active Yaw Control, dan kelengkapan sistem bantuan pemandu termaju (ADAS).

Ia juga turut menawarkan kemudahan serba moden seperti slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, serta pelbagai ruang storan barangan tersedia di dalam ruang kabin.

Akhir sekali, untuk mereka yang mahukan kuda kerja, Triton Single Cab menawarkan dek kargo yang paling besar di dalam segmennya, dengan dimensi 2,340 mm lebar dan 1,580 mm panjang.

Bagi 500 orang pertama yang membuat tempahan trak pikap Mitsubishi Triton 2024 akan menerima kotak storan boleh lipat sebesar 60 liter bernilai RM450.

Setelah beraksi di litar, Kia Tasman kini diuji di padang pasir Al Qudra

Anda mungkin sudah tahu bahawa Kia sedang sibuk membangunkan trak pikap pertama mereka yang dikenali sebagai Tasman.

Dalam perkembangan terbaru, syarikat itu berkata Tasman kini sedang menjalani fasa ujian peringkat seterusnya di gurun Al Qudra, Emiriah Arab Bersatu.

Sebelum ini, trak pikap jenis ladder frame itu telah menjalani beberapa jenis ujian termasuk pemanduan off-road di Alabama Hills, California, meredah air dan pemanduan di litar lumba untuk menguji pengendalian, kekuatan casis dan kemampuan menundanya.

Kali ini, sebuah unit prototaip pra-produksi Tasman dibawa ke padang pasir Al Qudra bagi memastikan ia mampu menangani cuaca panas dan kondisi pemanduan yang mencabar.

Menurut Kia, ia telah menjalankan sekurang-kurangnya 1,777 jenis ujian berbeza, dengan lebih 18,000 pusingan ujian berjaya dilengkapkan setakat ini.

Tiada perincian teknikal yang telah diumumkan namun menurut laporan, Tasman bakal mendapat enjin turbodiesel 2.2-liter seperti yang digunakan oleh Sorento, serta pilihan pacuan dua roda dan empat roda.

Selain itu, trak pikap ini juga dikatakan mempunyai muatan maksimum sehingga 998 kg dan kapasiti menunda mencecah hampir 3.5 tan.

Di mana Tasman akan dijual juga masih belum diketahui namun menurut laporan media Korea Selatan, ia berkemungkinan besar akan ditawarkan di pasaran Timur Tengah, Afrika dan Australia.

Tasman dijangka akan membuat kemunculan sulungnya menerusi acara Jeddah International Motor Show di Arab Saudi yang akan berlangsung dari 29 Oktober hingga 2 November depan.

Maxus eTerron 9, trak pikap elektrik untuk pasaran Eropah, jarak pandu 430 km

Syarikat pengeluar automotif China, Maxus baru sahaja melancarkan model terbaharu, iaitu trak pikap elektrik eTerron 9 untuk pasaran Eropah.

Tidak seperti trak pikap elektrik yang sudah wujud di pasaran, Maxus eTerron 9 membawakan binaan casis semi-monocoque yang agak unik.

Ia menjanjikan kelebihan yang wujud pada kedua-dua binaan badan unibodi dan body-on-frame dalam satu casis tunggal.

Maxus eTerron 9 dikuasakan oleh dua motor elektrik yang menawarkan sistem pacuan semua roda, dengan kuasa keseluruhan 436 hp dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat.

Trak ini menyediakan beberapa mod pemanduan termasuklah Normal, Sand, Mud dan Custom, serta sistem gantungan udara yang boleh dilaraskan ketinggiannya.

Pek bateri lithium iron phosphate 102 kWh pula membolehkan trak ini dipandu sejauh 430 km untuk sekali cas penuh (data WLTP), selain menyokong pengecasan pantas DC 115 kW (20-80 peratus dalam tempoh 40 minit).

Maxus eTerron 9 mempunyai fungsi Vehicle-to-load (V2L) yang menyediakan outlet kuasa 2.2 kW dan 6.6 kW.

Rupa luaran Maxus eTerron 9 ini mengingatkan kita pada model trak pikap yang terkenal, seperti contoh muka depan dengan unit pencahayaan berbentuk C seakan Ford F-150, diikuti profil sisi seakan Hummer EV.

Untuk ruang dalam kabin pula, Maxus eTerron 9 menampilkan rekaan papan pemuka yang ringkas, dengan panel tunggal yang menempatkan skrin berkembar, roda stereng dua jejari, serta kemasan kulit dua tona.

Terdapat sehingga 20 ruang storan untuk meletakkan barangan, diikuti tempat duduk pemandu larasan lapan tahap lengkap dengan fungsi urut dan pengudaraan.

Tempat duduk hadapan juga boleh dibaringkan rata untuk menyediakan ruang rehat sepanjang 1,700 mm.

Dari segi dimensi, trak ini berukuran sepanjang 5,500 mm, atau 140 mm lebih panjang berbanding Ford Ranger.

Ia juga mampu untuk membawa muatan panjang sehingga 2,400 mm pada bahagian bed belakang, terima kasih kepada ciri pintu tailgate automatik serta pintu tengah yang boleh dibuka.

Selain itu, Maxus eTerron 9 ini mampu untuk menunda muatan sehingga 3,500 kg, serta had muatan sekitar 620 kg.

Tidak cukup dengan itu, terdapat ruang kargo hadapan sebesar 236 liter dengan pintu frunk berkuasa elektrik.

Jualan trak pikap Maxus eTerron 9 di Eropah akan bermula pada suku keempat tahun ini.

Ford Ranger PHEV 2025 debut, kuasa 275 hp, 690 Nm, jarak gerak EV 45 km

Kira-kira setahun selepas pengumuman dibuat, Ford akhirnya secara rasmi melancarkan trak pikap saiz pertengahan Ford Ranger versi plug-in hybrid (PHEV) di IAA Transportaion 2024, Hannover.

Ford Ranger PHEV 2025 dikuasakan oleh enjin EcoBoost 2.3 liter turbo yang dipadankan dengan motor elektrik tunggal 101 hp yang diletakkan dalam perumah transmisi.

Secara keseluruhan, nadi PHEV ini mampu menjana kuasa setinggi 275 hp dan 690 Nm yang jauh lebih bertenaga berbanding Ranger berenjin petrol dan diesel sedia ada (kecuali Raptor).

Kuasa tersebut disalurkan kepada roda menerusi transmisi automatik 10 nisbah kelajuan dan sistem e-4WD yang menampilkan kekunci pembeza belakang dan kotak pemindahan dwi-julat.

Pek bateri berkapasiti 11.8 kWh itu membolehkan trak pikap ini bergerak dalam keadaan sifar emisi sejauh 45 km, dan boleh dicas penuh dalam masa kurang empat jam.

Selain fungsi brek regeneratif, Ford Ranger PHEV turut dilengkapi dengan sistem Pro Power Onboard, membolehkan para pemilik menggunakan perkakasan kuasa, mengecas peranti elektronik atau sebagai genset untuk kegunaan aktiviti luar grid.

Secara standard, sistem Pro Power Onboard ini membekalkan kuasa 2.3 kW, atau opsyen 6.9 kW.

Disebabkan penambahan sistem PHEV, para jurutera Ford telah menala kembali sistem gantungan trak pikap ini, namun masih lagi mampu membawa muatan seberat 1 tan selain berupaya menunda muatan sehingga 3,500 kg.

Dari sudut luaran, penampilan Ford Ranger PHEV 2025 adalah sama sahaja dengan Ford Ranger standard, kecuali dengan kehadiran port pengecasan yang terletak berdekatan dengan penutup tangki bahan api pada fender belakang.

Dalam masa yang sama, Ford turut melancarkan Ranger Stormtrak edisi khas eksklusif untuk Ranger PHEV.

Antara ciri unik yang dimuatkan termasuklah set rim aloi bersaiz 18 inci, corak sarang lebah pada jeriji, decal khas, kemasan perkataan PHEV, serta warna eksklusif Chill Grey.

Selain itu, Ranger Stormtrak ini juga dilengkapi dengan unit lampu LED Matriks, Flexible Rack System pada bed belakang, diikuti dengan sistem bunyi B&O 10 pembesar suara, skrin infohibur 12 inci dan kamera keliling 360 darjah.

Ford Ranger PHEV akan dipasang di kilang Silverton, Afrika Selatan dan bakal dieksport untuk pasaran Australia, Eropah dan New Zealand menjelang musim bunga 2025.

Isuzu D-Max sertai perarakan Merdeka seluruh negara

ISUZU D-Max baru-baru ini menyertai kontinjen perarakan Hari Merdeka bukan di satu lokasi, tetapi di beberapa lokasi seluruh negara.

Kontinjen-kontinjen itu terdiri dari pemilik Isuzu D-Max yang bersama-sama mempamerkan semangat patriotik mereka apabila menyertai Konvoi Merdeka Isuzu 2024. Ini merupakan sebahagian daripada usaha syarikat untuk meraikan sambutan kemerdekaan Malaysia yang ke-67 tahun ini.

Seramai kira-kira 3,300 peserta melibatkan sebanyak sekitar 900 unit Isuzu D-Max berkumpul di 36 cawangan Isuzu di seluruh negara, dari Alor Setar hingga ke Keningau, sebelum berkonvoi ke destinasi pilihan di kawasan masing-masing.

Pelbagai pengisian aktiviti turut diatur untuk peserta bersantai meraikan Hari Merdeka tahun ini, termasuklah antaranya santapan durian, merakit jeram, glamping, mencari harta karun, berkelah dan banyak lagi.

Konvoi Merdeka Isuzu 2024 meneruskan kejayaan Konvoi Merdeka 66 yang berlangsung tahun lalu yang menyaksikan penyertaan sekitar 600 buah D-Max.

Sebagai satu perhimpunan serentak yang terbesar melibatkan perarakan Isuzu D-Max di negara ini, konvoi berkenaan berhasrat untuk menghimpunkan pemiliknya disamping memperingati tarikh bersejarah berkenaan.

“Susulan daripada kejayaan Konvoi Merdeka 66, pemilik D-Max telah menyuarakan kepuasan serta keinginan mereka untuk terlibat lagi dalam acara serupa yang telah berhasil memupuk pertalian lebih erat dalam kalangan mereka,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe.

“Disebabkan itu, kami berhasrat untuk meneruskan lagi  aktiviti berkenaan,” tambahnya.

Beliau juga sempat melepaskan peserta konvoi di cawangan Isuzu Indah Utara di Alor Setar, Kedah yang melibatkan sebanyak 80 buah Isuzu D-Max dalam perjalanan menuju Tasoh Lake Resort di Perlis sempena acara ini.

Adakah SUV jauh lebih selamat berbanding kereta kecil?

Dengan pelaksanaan undang-undang yang lebih ketat, kita seharusnya beruntung kerana terdapat pelbagai pilihan kereta keluarga yang lebih selamat untuk dipertimbangkan.

Namun, seperkara yang harus kita semua maklum, jumlah kereta di atas jalan raya juga semakin meningkat saban tahun.

Ini bermakna, kadar kemalangan juga tidak mungkin akan turun secara mendadak.

Perdebatan soal keselamatan antara kereta dan SUV juga sekali-sekala menghiasi ruangan Group FB, forum dan Whatsapp.

Ada yang mendakwa kereta yang lebih besar mempunyai tahap keselamatan yang lebih baik.

Dakwaan ini turut diperkukuhkan dengan data rasmi di mana kadar kematian pemandu adalah yang tertinggi di kalangan kenderaan kecil, berbanding kenderaan bersaiz besar.

Apabila kita melihat dari sudut fizik, kenderaan yang lebih besar mempunyai daya momentum yang lebih tinggi berbanding kenderaan yang ringan.

Jadi, apabila berlaku pelanggaran antara kenderaan yang tidak sama saiz, sudah pasti kenderaan yang lebih kecil akan merasai impak yang lebih hebat saat kedua-dua kenderaan nyahpecut secara mendadak.

Jadi, adakah SUV dan kenderaan bersaiz besar lain seperti trak pikap jauh lebih selamat berbanding kereta kecil?

Tidak juga, sekiranya anda mengambil kira ciri tipikal yang wujud pada mana-mana SUV/trak pikap, iaitu jarak kelegaan tanah yang tinggi.

Disebabkan ciri ini, kebanyakan SUV dan trak pikap mempunyai titik graviti yang lebih tinggi dan lebih berisiko untuk terlibat dalam kemalangan disebabkan oleh keadaan cuaca atau kemalangan olengan (rollover).

Kes-kes kemalangan melibatkan SUV dan trak pikap yang dipandu pada kelajuan tinggi juga kerap berlaku, disebabkan ada di kalangan pemandu itu sendiri yang tidak memahami had dan batasan yang ada pada kenderaan dengan jarak lega bumi yang tinggi.

Janganlah disebabkan anda memandu kenderaan yang lebih tinggi, ego juga naik sama tinggi dan langsung tidak mengendahkan keselamatan pengguna jalan raya lain.

Akhir sekali, tanpa mengira apa jua jenis kenderaan yang anda pandu, pastikan ia berada dalam keadaan yang baik dan diselenggara secara berkala.

Paling mustahak, pastikan juga anda faham dengan keadaan kesihatan diri, dan berhenti rehat sekiranya anda sendiri perasan petanda diri sudah kepenatan semasa memandu.

 

Ford Super Duty akan menjadi ‘lebih mesra alam’ dengan hibrid

FORD akan mula memperkenalkan sedikit elektrifikasi untuk barisan trak Super Duty mereka. Berita ini bukanlah begitu signifikan untuk pasaran Malaysia kerana model itu tidak dijual di sini, tetapi bagi anda yang mengikuti perkembangan dunia automotif, ini petunjuk hala tuju pengeluar utama dunia.

Ford mengumumkan mereka akan membina kilang pemasangan Super Duty yang ketiga di Oakville Assembly Complex, Ontario, Kanada yang akan mula memasang kenderaan pada 2026. Langkah ini akan menjadikan angka pengeluaran trak itu sebanyak 100,000 unit setahun.

Tidak banyak perincian yang kita boleh dapati buat masa ini, tetapi Ford berkata kilang Oakville itu akan “membuka jalan untuk membawa teknologi pelbagai-tenaga untuk trak Super Duty generasi baharu, memberikan pelanggan lebih kebebasan untuk memilih dan menyokong pelan elektrifikasi Ford”.

Kita boleh simpulkan “pelbagai-tenaga” merujuk kepada hibrid. Tetapi sama ada plug-in hybrid, mild hybrid, atau sel bahan api hidrogen, kita belum dapat ketahui.

Pengumuman ini juga hadir selepas Ford – sama seperti pengeluar kenderaan lain – kini memikirkan semula pelan masa depan untuk kenderaan elektrik sepenuhnya (EV). Kilang Oakville asalnya dibina untuk mengeluarkan SUV EV tiga baris tempat duduk.

Ford kini masih mempunyai perancangan untuk mengeluarkan SUV EV itu tetapi belum menetapkan dimana dan bila ia akan mula dikeluarkan. Ia mula dirancang untuk 2025, kemudian ditangguhkan hingga 2027. Boleh jadi ia ditangguhkan lagi.

Buat masa ini, Ford Super Duty di Amerika Utara ditawarkan dengan pilihan enjin diesel 6.7-liter V8 berkuasa 500hp dan 1,626Nm tork serta enjin petrol 7.3-liter V8 dengan output 430hp dan 657Nm tork.

BYD Shark diperkenalkan di Mexico – trak pikap PHEV dengan jarak pandu 840 km

BYD secara rasminya memperkenalkan trak pikap pertamanya iaitu Shark di Mexico. Menurut CEO BYD Americas, Stella Li, Mexico dipilih kerana ada peningkatan dalam permintaan untuk trak pikap di negara itu.

Apa yang menarik, Shark dilancarkan beberapa jam selepas Joe Biden mengumumkan peningkatan tarif ke atas kenderaan elektrik dari China daripada 25% kepada 100%.

Reuters melaporkan bahawa BYD tidak mempunyai sebarang perancangan untuk memasarkan Shark di Amerika Syarikat.

Seperti yang dilaporkan sebelum ini, Shark menggunakan trenkuasa hibrid plug-in baharu yang dikenali sebagai DMO (Dual-Mode Off-Road).

Trenkuasa PHEV itu menampilkan gabungan enjin turbo petrol 1.5-liter dan dua motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 430 hp, cukup untuk membolehkan Shark memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 5.7 saat.

Spesifikasi bateri tidak dinyatakan namun trak ini menawarkan jarak pandu elektrik sejauh 100 km (kitaran NEDC) dan jarak pandu keseluruhan sejauh 840 km. Kadar penggunaan bahan api adalah sekitar 7.5 liter untuk setiap 100 km.

Seperti Leapord 5, Shark dibina menggunakan casis ladder frame. Ia mempunyai ukuran panjang 5,457 mm, lebar 1,971 mm, tinggi 1,925 mm dan jarak roda 3,260 mm. Ini menjadikannya lebih besar berbanding Ford Ranger dan Toyota Hilux.

Casis digabungkan dengan sistem gantungan bebas pada bahagian depan dan belakang yang dikatakan menawarkan keseimbangan dari segi pengendalian dan keselesaan.

Sebagai sebuah trak pikap, Shark mempunyai kapasiti tunda maksimum mencecah 2,500 kg. Bahagian bed pula menawarkan ruang kargo sebesar 1,450 liter dengan had muatan 835 kg.  Untuk pemanduan off-road, terdapat tiga mod yang boleh dipilih iaitu Sand, Mud dan Snow.

Masuk ke dalam, anda akan menemui beberapa elemen yang sinonim dengan jenama BYD termasuk skrin sentuh sistem infohibur berukuran 12.8 inci yang boleh berpusing dan kluster instrumen digital 10.25 inci.

Selain itu, terdapat juga Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, sistem arahan suara “Hi BYD”, fungsi karaoke (mikrofon dijual berasingan), pengecas wayarles 50W dan paparan head-up 12 inci.

Sistem keselamatan pula merangkumi enam beg udara dan sistem ADAS dengan ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Intelligent Navigation System (ICC), Forward Collision Warning (FCW), Rear Collision Warning (RCW), Rear Cross Collision Warning (RCTA), Rear Cross Collision Braking (RCTB) dan bermacam lagi.

Di Mexico, Shark boleh didapati dalam dua varian iaitu GL dan GS. Harga jualan bermula dari 899,980 peso (RM250,356) untuk GL dan 969,800 peso (RM269,777) untuk GS.

Isuzu D-Max facelift dilancarkan – lebih garang, lebih canggih

SELEPAS dikemaskini pada Februari tahun lalu, Isuzu D-Max generasi ketiga kini diberikan facelift yang menyaksikan ia tampil dengan rekaan lebih segar dan lebih banyak kelengkapan.

Tiada sebarang perubahan dari segi pilihan varian dalam barisan D-Max. Seperti sebelum ini, terdapat lima varian yang ditawarkan seperti berikut:

  • X-Terrain 3.0L 4X4 AT
  • Premium 1.9L 4X4 AT & 3.0L 4X4 AT
  • Auto Plus 1.9L 4X2 AT
  • Standard 1.9L 4X4 MT & 1.9L 4X4 AT
  • Single Cab 1.9L 4X4 MT & 3.0L 4X4 AT

Harga jualan bermula dari RM98,949.20 untuk Single Cab 1.9L hingga RM157,938.49 untuk X-Terrain.

Perubahan reka bentuk yang paling ketara boleh dilihat pada bahagian hadapan di mana D-Max mendapat lampu Bi-LED yang lebih tajam, gril honeycomb yang lebih besar dan perumah lampu kabus dengan liang aliran udara.

Untuk model ini, lampu isyarat membelok dintegrasikan bersama dengan lampu nyalaan siang LED pada lampu utama.

Di belakang, selain lampu LED, pintu tailgate turut direka semula dan kini menampilkan pemegang baharu dengan lubang kunci bagi membolehkan tailgate dikunci jika pemilik memasang kanopi atau penutup.

Rim didatangkan dalam saiz 18 inci dalam rekaan baharu Tough Style untuk X-Terrain dan Sporty Style untuk Premium. Tayar yang digunakan adalah bersaiz 265/60 R18.

Warna Valencia Orange yang ditawarkan sebelum ini kini digantikan dengan warna baharu yang digelar sebagai Namibu Orange Mica. Selain itu, warna Islay Grey, Onyx Black dan Dolomite White Pearl masih lagi ditawarkan.

Untuk bahagian dalam, varian X-Terrain ini tampil dengan beberapa kelengkapan baharu yang biasanya terdapat pada SUV mahal.

Sebagai contoh, pemandu akan disambut oleh lampu selamat datang (welcome light), serta lampu ambang pintu dan ruang kaki ketika membuka pintu.

Rasa mewah ini ditingkatkan lagi dengan upholsteri kulit pada tempat duduk dan stereng, serta corak Miura pada panel pintu. Menurut Isuzu, corak paralellogram ini diinspirasikan daripada rekaan origami klasik Jepun.

Dari segi kelengkapan, D-Max kini dilengkapi dengan skrin sentuh 10 inci (satu inci lebih besar berbanding sebelum ini) yang menawarkan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, kamera undur dan Around View Monitor.

Turut disertakan adalah panel instrumen e-Lumax dengan paparan multi-info berukuran tujuh inci, port pengecas USB-C, pengecas wayarles dan sistem audio kelilin dengan lapan pembesar suara.

Sistem keselamatan telah dikemaskini menerusi penggunaan kamera stereo generasi keempat yang mempunyai sudut pandangan yang lebih lebar iaitu 120 darjah, berbanding 40 darjah sebelum ini. Jarak pengesanan juga bertambah dari 120 meter kepada 150 meter.

Satu lagi penambahan adalah Rear Cross Traffic Brake. Apabila kenderaan mengesan ada kenderaan datang ketika mengundur, ia akan memberikan isyarat audio dan visual. Jika ia menjangka akan berlaku perlanggaran, sistem akan mengenakan brek.

Di samping itu, pemanduan off-road kini menjadi lebih mudah dengan adanya Rough Terrain Mode untuk semua model Double Cab 4X4.

Apabila diaktifkan, sistem ini akan mengesan tahap cengkaman setiap roda dan menyalurkan kuasa ke roda yang mempunyai lebih banyak cengkaman. Ia boleh digunakan dalam semua mod transmisi iaitu 2H, 4H dan 4L.

Tiada sebarang perubahan pada enjin. Enjin turbodiesel 3.0-liter empat silinder sebaris 4JJ3-TCX masih menghasilkan 190 PS dan 450 Nm, manakala enjin 1.9-liter empat silinder RZ4E-TC mempunyai 150 PS dan 350 Nm.

Toyota Hilux GR Sport II mahu cabar Ranger Raptor tanpa kuasa mencukupi

Para peminat trak pikap di United Kingdom kini boleh mendapatkan penawaran terbaharu Hilux GR Sport II daripada Toyota yang diposisikan sebagai pencabar ‘sebenar’ kepada Ford Ranger Raptor.

Toyota menyifatkan Hilux GR Sport II ini sebagai trak pikap Hailak yang paling sedap untuk dipandu.

 

Antara perubahan yang dibawakan termasuklah dimensi trek 150 mm lebih lebar, jarak lega bumi 20 mm lebih tinggi, diikuti dengan penambahbaikan dari segi karakteristik pengendalian termasuklah respons stereng yang lebih jitu dan suspensi yang telah disemak semula.

Selain itu, trak pikap GR Sport II ini turut menggantikan brek gelendong gandar belakang kepada sistem brek cakera.

Sayang sekali, Toyota tidak langsung menyentuh aspek prestasi Hilux GR Sport II ini.

Sebaliknya, ia masih lagi mengekalkan nadi diesel turbo 2.8 liter yang mampu menjana kuasa 201 hp dan 500 Nm, sistem transmisi automatik enam kelajuan dan pacuan empat roda (4WD), serta keupayaan menunda beban seberat 3,500 kg – antara yang terbaik dalam kelasnya.

 

Dari segi penggayaan, Hilux GR Sport II ini membawakan rupa paras yang agresif, terima kasih kepada struktur jeriji berserta perkataan TOYOTA besar, bampar depan sporti, skid plate palsu, fender flare lebar, serta sport bar aerodinamik.

Keempat-empat sudut dipadankan dengan set rim aloi hitam bersaiz 17 inci yang dibaluti tayar all-terrain.

Untuk ruang kabin, Toyota menggunakan upholsteri kulit hitam dan suede untuk tempat duduk sports, logo GR pada perehat kepala, tali pinggang keledar merah, serta pedal aluminium.

Terdapat juga sistem audio premium JBL dengan sembilan buah pembesar suara yang menjadi pelengkap kepada skrin infohibur, serta sokongan Apple CarPlay tanpa wayar dan Android Auto (berwayar).

 

Untuk pasaran UK, harga jualan Hilux GR Sport II bermula dari £49,750 (RM252,880).

Dongfeng Concept Pickup 2024 – ‘Tesla Cybertruck’ buatan China, 1035 hp!

Jika anda merasakan rekaan luaran Tesla Cybertruck terlalu bersegi dan tidak selamat untuk digunakan, anda tidak keseorangan.

Dongfeng cuba untuk menghilangkan trauma yang dialami oleh para peminat trak pikap dengan memperlihatkan model Concept Pickup 2024 bersempena dengan acara Beijing Auto Show tahun ini.

 

Dibina berdasarkan platform papan selaju EV, Concept Pickup ini dikatakan mampu menghamburkan kuasa setinggi 1,305 hp, jauh lebih bertenaga berbanding varian CyberBeast Tesla Cybertruck.

Daripada sudut luaran, tidak dapat dinafikan Concept Pickup ini banyak diinspirasikan daripada Tesla Cybertruck.

Namun, jika dibandingkan dengan rekaan Cybertruck yang agak bersegi, Concept Pickup Dongfeng ini membawakan rekaan yang lebih lembut, dengan kemasan panel badan yang lebih sedap mata memandang dan garisan bumbung yang lebih rata.

 

Terdapat juga bar lampu LED yang bertenggek di atas bumbung, kehadiran ruang storan pada bahagian hadapan, bukaan pintu jenis suicide, tempat pemijak sisi boleh lipat, serta rekaan rim aerodinamik.

Dongfeng memperlihatkan kegunaan sebenar bahagian bed belakang trak pikap ini dengan memuatkan struktur khemah pop-out.

Susun atur dan rekaan ruang kabin pula nyata lebih moden dan menerapkan pendekatan yang lebih minimalis.

 

Terdapat roda stereng berbentuk segi empat, diikuti skrin lebar memenuhi bahagian atas papan pemuka, tempat tangan berpaut pada penghujung, rekaan lantai yang rata, serta kerangka tempat duduk dipercayai diperbuat daripada bahan gentian karbon.

Buat masa ini, pihak Dongfeng masih belum memutuskan sama ada Concept Pickup ini bakal direalisasikan atau dikekalkan sebagai model konsep.

 

Tesla Cybertruck akhirnya dapat mod off-road dengan pengunci differential

TESLA Cybertruck telah membuat kemunculan di Malaysia baru-baru ini selepas beberapa bulan berada dijual di seluruh dunia. Tetapi ia tidak mempunyai beberapa ciri utama sebuah trak pikap (itu pun jika anda mahu guna Tesla Cybertruck ini seperti sebuah trak pikap).

Apa pun, kemas kini perisian tidak lama lagi akan memberikan Cybertruck pengunci differential dan beberapa ciri off-road lain untuk membolehkan anda memandunya di laluan mencabar.

Ciri ini dinamakan Off-Road Mode, yang akan menambah baik pengendalian di batu-batu, kerikil, salji tebal, dan pasir.

Pengunci differential itu boleh didapati di model dwi-motor pacuan semua-roda. Model tiga motor pula boleh dikunci differential depannya, sementara differential belakang memasuki mod Overland.

Trail Assist pula membantu kelancaran di kelajuan perlahan di atas permukaan tidak rata supaya pemandu boleh fokus kepada kawalan stereng.

Terdapat juga Baja Mod yang boleh membantu keseimbangan dan pengendaliannya jika pemandu menetapkan Stability Assist pada tahap Minimal. Ia berfungsi dengan kawalan naik dan menuruni bukit.

Tetapi bukan semua kemas kini adalah untuk fungsi off-road. Tesla juga memperbaiki kebolehan trak ini untuk mengagak beban dan melaraskan suspensi adaptif dengan sesuai.

CyberTent Mode pula mengimbangi suspensi supaya trak ini kekal tegak walaupun ia berada di permukaan senget. Ini membolehkan anda tidur di atas permukaan rata (sekiranya anda mahu tidur di dalam Cybertruck). Ia juga membiarkan lampu dan soket kuasa dihidupkan.

Kemas kini terbaharu Cybertruck ini diumumkan oleh Tesla di laman X (Twitter) mereka.

TAC-6, trak 6×6 berperisai, guna asas Land Cruiser 79 Series

Toyota Land Cruiser 70 Series merupakan antara model SUV/trak pikap off-road yang sukar untuk dimatikan, dan masih lagi model kenderaan yang boleh dipercayai untuk dibawa ke mana sahaja.

Selain daripada digunakan oleh orang awam, Land Cruiser 70 Series turut digunapakai oleh syarikat-syarikat perlombongan dan tidak ketinggalan pasukan pertahanan di serata dunia.

Ini ialah TAC-6, sebuah Toyota Land Cruiser 79 Series enam roda yang dihasilkan oleh syarikat pengeluar dari Afrika Selatan, iaitu Armormax Defence.

Pada mulanya, pihak Armormax dikehendaki oleh French Special Forces untuk menghasilkan sebuah kenderaan tentera yang boleh bertahan di bawah apa jua keadaan, dan tidak memerlukan sebarang latihan khusus.

Bermula dari sebuah Land Cruiser 79 Series, Armormax kemudian memanjangkan casis asal dengan menambah gandar ketiga, unit transfer case kedua, diikuti dengan komponen aci pemacu tugas berat Dana.

Sistem gantungan asal spring dedaun boleh dikekalkan, atau dinaiktaraf kepada sistem suspensi yang mampu meninggikan jarak lega bumi sebanyak empat inci.

Terdapat pilihan enjin V6 4.2 liter atau V8 4.8 liter, di mana kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan sistem kotak gear automatik ZF yang dibina khusus untuk model TAC-6.

Menurut Armormax, kotak gear lapan nisbah kelajuan ini dikatakan mampu bertahan dalam apa jua keadaan pemanduan, dan boleh menampung daya kilas sehingga 1,000 Nm.

Sistem penyejukan khas turut dimuatkan untuk membantu pemanduan di dalam keadaan cuaca panas dan berpasir.

Tidak lengkap penawaran TAC-6 tanpa sistem pertahanan yang khusus.

Untuk model ini, Armormax menawarkan perlindungan tahap B6 dapat dapat menahan serangan peluru raifal berkuasa tinggi, selain kelengkapan pertahanan lain yang boleh disesuaikan mengikut keperluan.

Untuk memudahkan urusan pemanduan, Armormax memasang sehingga dua tangki bahan api, masing-masing sebesar 210 liter dan 90 liter, dengan jarak pemanduan mampu mencecah melebihi 2,000 km.

Tidak cukup?

Anda boleh memilih tangki bahan api yang lebih besar dengan kapasiti sehingga 560 liter untuk model kabin berkembar, atau sehingga 610 liter untuk model kabin tunggal.

 

Kia perlihat rekaan sebenar trak pikap Tasman, pesaing Ranger, Hilux, Triton

Kia bakal melancarkan trak pikap global pertamanya, iaitu Kia Tasman pada penghujung tahun ini, di mana ia akan mula dijual secara rasmi pada tahun 2025.

Trak pikap saiz pertengahan itu merupakan jawapan sebenar pengeluar automotif Korea Selatan kepada model trak pikap seperti Ford Ranger, Mitsubishi Triton dan juga Toyota Hilux.

Berikut merupakan beberapa fakta menarik berkenaan Kia Tasman 2026 yang perlu anda tahu:

 

1. Khusus untuk pasaran tertentu

Walaupun disifatkan sebagai model global, Kia Tasman mungkin sekali tidak akan muncul di pasaran Amerika Syarikat walaupun kelibat model itu ada dikesan diuji di California.

Apa yang pasti, Kia mengesahkan model trak pikap ini akan ditawarkan di pasaran Korea Selatan, Afrika, Timur Tengah dan juga pasaran Australia.

 

2. Platform ladder-frame

Untuk sebuah model pesaing sebenar kepada Ford Ranger, Kia perlu menggunakan platform yang bersesuaian.

Seperti yang kita semua maklum, trak pikap yang sebenar perlulah menggunakan platform ladder-frame, bukannya binaan unibodi seperti Hyundai Santa Cruz.

Buat masa ini, Kia mempunyai sebuah model SUV yang menggunakan struktur binaan body-on-frame, iaitu Kia Mohave, dan mungkin sekali Kia Tasman berkongsi pelantar binaan yang sama.

 

3. Enjin 2.2 liter diesel

Kia merancang untuk menawarkan Tasman dengan nadi diesel 2.2 liter turbo, dipadankan dengan konfigurasi pacuan 4×4 dan 4×2.

Terdapat juga ura-ura munculnya versi Tasman GT yang dipadankan dengan nadi bentangan V6, sementara Tasman EV pula dijangka muncul lewat tahun 2026.

 

4. Ruang kabin berkongsi elemen rekaan dengan Kia EV9

@eftm

Inside the KIA TASMAN ute! First video as some lads post the first video of inside the first big Korean Ute for Australia #leak #exclusive #sneak #mule #test #kia #tasman #eftm

♬ original sound – EFTM.com

 

Kia masih lagi merahsiakan rekaan ruang kabin daripada pandangan umum.

Namun berdasarkan satu video TikTok yang tersebar, susun atur ruang kabin Kia Tasman membawakan persamaan dengan model SUV elektrik Kia EV9.

Antara yang boleh dikesan termasuklah tempat duduk dengan fungsi memori, tetapan skrin berkembar, pencahayaan ambien, pad pengecasan peranti tanpa wayar, serta tuil penukaran gear pada kolum stereng.

BYD Shark – trak pikap PHEV akan diperkenalkan tidak lama lagi

BYD mengumumkan bahawa trak pikap pertamanya akan dikenali sebagai Shark, sekaligus menjadikannya model terbaru syarikat itu yang menggunakan nama haiwan laut selepas Dolphin, Seal dan Sea Lion.

Bakal membuat kemunculan sulungnya di Beijing Motor Show tidak lama lagi, Shark akan menampilkan trenkuasa hibrid plug-in baharu yang dikenali sebagai DMO (Dual-Mode Off-Road).

Perincian mengenai trenkuasa tersebut masih belum diumumkan namun menurut laporan, ia mungkin menampilkan gabungan enjin turbo petrol 1.5-liter dan dua motor elektrik yang sama seperti yang digunakan oleh Fang Cheng Bao 5.

Untuk Fang Cheng Bao 5, gandingan tersebut menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 680 PS dan 760 Nm. SUV off-road itu juga dikatakan menawarkan jarak pandu elektrik sejauh 125 km atau sehingga 1,200 km dalam mod hibrid.

Selain versi PHEV, terdapat kemungkinan yang Shark juga akan ditawarkan dalam versi elektrik (EV) pada masa akan datang.

Dari segi reka bentuk, gambar-gambar Shark yang tidak memakai sebarang pelekat penyamaran yang tular baru-baru ini menunjukkan yang trak pikap itu mempunyai wajah hadapan seakan Ford Ranger.

Di dalam, terdapat panel instrumen digital, paparan tengah, stereng flat bottom, dan barisan suis yang disusun berdekatan dengan tuil gear di bahagian konsol tengah.

Adakah Shark akan masuk ke pasaran Malaysia? Masih belum ada pengumuman rasmi namun BYD sebelum ini pernah berkata yang trak pikap itu akan dijual di pasaran global.

Trak pikap BYD dikesan di China, versi RHD tersedia!

Laman web CarNewsChina baru-baru ini melaporkan kemunculan sebuah model prototaip trak pikap jenama BYD meluncur di atas jalan raya.

Berdasarkan imej paten yang telah tersebar sebelum ini, rekaan trak pikap BYD ini membawakan rupa paras yang mengingatkan kita pada model trak pikap Ford F-150 Lightning dan Ford Ranger.

 

Bukan itu sahaja, BYD dilapor sedang menguji trak pikap versi pemanduan sebelah kanan, berdasarkan kedudukan getah penyeka kaca serta imej ruang kabin yang berjaya dirakamkan.

Tidak seperti model-model EV BYD yang mempunyai rekaan yang lebih moden, pengeluar China itu menggunakan pendekatan yang lebih konvensional untuk trak pikap ini.

Seperti contoh, ia membawakan rekaan arka roda yang bersegi, cermin sisi yang besar, tempat pemijak sisi yang diintegrasikan kemas, serta sport bar pada bed belakang.

 

Untuk ruang kabin pula, trak pikap BYD ini menampilkan sepasang skrin digital, roda stereng rekaan bawah rata, terowong transmisi yang agak besar, serta kehadiran gugusan butang suis di bahagian konsol tengah.

Rekaan konsol tengah itu dikatakan diambil daripada model Fang Cheng Bao Bao 5 (Leopard 5), memberikan bayangan iamungkin sekali ada kaitan dengan model SUV off-road yang telah dilancarkan sebelum ini.

Tiada sebarang perincian berkenaan trenkuasa yang bakal digunakan, namun besar kemungkinan trak pikap BYD ini akan ditawarkan dalam versi elektrik (EV) serta versi plug-in hybrid (PHEV).

 

 

Memandangkan trak pikap ini turut muncul dalam versi pemanduan sebelah kanan, ia mungkin akan ditawarkan di pasaran utama dunia yang mementingkan pemanduan di sebelah kiri jalan, seperti contoh Australia, Jepun, dan juga Afrika Selatan.

Mungkin sekali akan masuk pasaran Malaysia kelak?