MICHELIN telah memperkenalkan LTX Trail yang dirumus khas untuk trak pikap tinggi dan SUV bagi kegunaan jalan raya atau off-road.
Tayar ini – menurut Michelin – menawarkan jangka hayat lebih panjang dan prestasi membrek di permukaan basah cemerlang serta rekaan bunga yang menawarkan kesenyapan kabin.
Oliver Biggart, Pengarah Urusan Michelin Malaysia, Singapura dan Brunei berkata: “Michelin LTX Trail baharu merupakan tayar yang tepat bagi SUV yang semakin meraih populariti, pasarannya juga diunjurkan bakal berkembang sebanyak 5.6 peratus dari tahun ke tahun, iaitu dari 2021 hingga 2026.
“Sempurna bagi pengguna yang memiliki pikap tinggi 4×2 dan 4×4, serta SUV seperti Toyota Hilux, Toyota Fortuner, dan Nissan Navara, tayar ini juga sesuai bagi mereka yang perlu bergerak dari jalan raya biasa ke luar jalan raya atas tujuan kerja mahupun riadah.”
Michelin LTX Trail menampilkan 3 kelebihan utama:
Perbatuan sehingga 41 peratus lebih tinggi: RallyForce2 Tread Compound membekalkan daya tahan yang lebih cemerlang serta hayat servis yang maksimum bagi kegunaan di atas dan di luar jalan raya.
Keselamatan jangka panjang: Variable Thickness Sipes memberikan tapak temu (contact patch) yang dinaik taraf demi prestasi pengendalian, cengkaman, dan pembrekan yang lebih baik walaupun mengalami kehausan.
Tahap kesenyapan sehingga 19.8 peratus lebih baik: Duo-Harmony Blocks menyebarkan tenaga bunyi corak bunga merentasi spektrum yang lebih luas, lantas membekalkan pengalaman pemanduan yang lebih senyap dan menenangkan.
Untuk pasaran Malaysia, Michelin LTX Trail ditawarkan dengan sembilan saiz dengan dimensi rim 15- hingga 18-inci.
KINI ada satu lagi alternatif dalam pasaran trak pikap di Malaysia iaitu JMC Vigus Pro. Model ini diedarkan dan dijual oleh Angka-Tan Motor Sdn Bhd (ATM) yang dilantik oleh JMC (Jiangling Motors Co., Ltd).
Kerjasama di antara ATM dan JMC dimeterai selepas kedua-dua belah pihak menandatangani perjanjian Perlesenan Teknologi Kenderaan pada 1 Julai 2020.
JMC telah memberi hak penuh kepada ATM untuk mengilang, memasang dan menjual trak pikap JMC Vigus Pro 4×4, serta alat ganti dan komponen berkaitan di Malaysia.
ATM juga merancang untuk menawarkan JMC Vigus Pro menerusi 13 cawangan jualan dan servis di seluruh negara.
“Trak pikap JMC Vigus Pro 4×4 yang bergaya dan berteknologi tinggi ini sudah membuktikan keupayaannya di pasaran China. Kami tidak sabar untuk berkongsi produk baharu ini dengan peminat trak pikap di seluruh Malaysia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Warisan TC Holdings Bhd, Tan Keng Meng.
“JMC merupakan jenama kedua paling laris dalam segmen trak pikap di China bertahun-tahun lamanya. Kami ingin mengucapkan tahniah atas pelantikan Angka-Tan Motor sebagai pengedar rasmi JMC Vigus Pro 4×4 dan menyatakan penghargaan kepada Warisan TC atas sokongan mereka untuk menjadikan kerjasama ini satu realiti,” kata Presiden Jiangling Motors Co., Ltd., Xiong Chunying.
JMC Vigus Pro dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo diesel dengan VGT, mampu menjana 141hp pada 3,600rpm dan 340Nm tork pada 1,500 hingga 2,600rpm.
Kotak gear adalah unit automatik 8-kelajuan dari ZF, dan kuasa dihantar melalui sistem pacuan empat-roda 4WD BorgWarner dengan mod 2H, 4H dan 4L.
Menurut JMC, trak pikap ini menawarkan penjimatan bahan api terbaik dalam kelasnya iaitu 7.8 liter/100km atau 12.8km/liter.
Harga akan didedahkan tidak lama lagi iaitu dalam bulan ini. Walaubagaimanapun, jika anda berminat, boleh melihat JMC Vigus Pro ini dengan lebih dekat di bilik pameran mereka di Klang, Selangor.
TIDAK seperti sesetengah segmen kenderaan, trak pikap kekal popular di seluruh dunia dari dahulu sehingga kini dek sifatnya yang versatil dan tahan lasak.
Maka, tidak hairanlah jika syarikat-syarikat pengeluar kenderaan mula berusaha ke arah membangunkan ‘the next big thing’ dalam industri automotif iaitu trak pikap elektrik.
Setakat ini, segmen trak pikap elektrik dilihat bakal didominasi oleh jenama-jenama yang sudah lama bertapak seperti Tesla, Ford, Chevrolet dan GMC, namun ini tidak bermakna mereka tidak akan berhadapan dengan saingan daripada syarikat-syarikat startup. Rivian adalah salah satu daripada syarikat tersebut.
Berpengkalan di California, Rivian mempertaruhkan R1T untuk menyaingi Cybertruck, F-150 Lightning, Silverado EV dan Hummer EV di Amerika Syarikat.
Trak pikap elektrik itu diperkenalkan buat pertama kali pada 2019 namun menurut pengasas dan ketua pegawai eksekutif, RJ Scaringe, unit produksi pertama telah pun siap dibina pada 15 September lalu.
Seperti Cybertruck, R1T mempunyai reka bentuk yang futuristik namun ia tidaklah seradikal trak keluaran Tesla itu.
R1T mempunyai ukuran lebih pendek jika dibandingkan dengan Cybertruck, namun tinggi dan lebarnya tidak jauh berbeza.
Terdapat tiga varian yang ditawarkan iaitu Launch Edition (USD73,000), Adventure (USD73,000) dan Explore (USD67,500).
Menurut laman web syarikat itu, Launch Edition sudah pun habis ditempah, manakala Adventure dan Explore akan memasuki pasaran bermula Januari tahun hadapan.
Setiap varian didatangkan dengan konfigurasi quad motor di mana setiap roda dipacu oleh sebuah motor elektrik.
Model asas mempunyai 402hp/560Nm dan bateri 105kWh yang memberikan jarak pemanduan sejauh 370km, manakala model pertengahan mempunyai 754hp/1,120Nm dan jarak pemanduan melebihi 483km daripada bateri 135kWh.
Sementara itu, versi tertinggi pula bakal hadir dengan 700hp/1,120Nm dan bateri berkapasiti 180kWh dengan jarak pemanduan melebihi 644km dengan satu cas penuh.
Dari segi prestasi, ia boleh melakukan pecutan 0-100km/j dalam 3.0 saat dan mencapai kelajuan maksimum 200km/j. Namun, kelajuan di laluan lurus bukanlah tujuan utama R1T dibangunkan.
Sebagai sebuah trak pikap, ia harus berupaya mengatasi permukaan muka bumi yang mencabar. Menurut Rivian, R1T mempunyai sudut pendekatan 34-darjah, sudut pelepasan 29.3-darjah, sudut breakover 25.7-darjah, jarak lega tanah 14.9 inci dan keupayaan untuk meranduk air sedalam lebih tiga kaki.
Selain itu, trak ini juga mempunyai satu ciri unik yang dikenali sebagai Tank Turn. Secara asasnya, ciri ini membolehkan ia membuat pusingan setempat seperti sebuah kereta kebal. Ia bukanlah satu gimik semata-mata kerana ciri ini membolehkan ia keluar dari ruang yang sempat dengan mudah dan pantas.
Untuk menggalas tugas-tugas harian pula, R1T dilengkapi dengan bed berukuran 54 inci panjang dan 51.1 inci lebar, dengan kapasiti muatan hampir 800 kg. Selain itu, ia juga mempunyai kapasiti tunda sehingga 4,989 kg.
Akhir sekali, sistem bantuan pemandu Driver+ disertakan secara standard pada ketiga-tiga varian. Ia merangkumi 11 kamera, lima radar dan 12 sensor ultrasonik. Antara ciri utama Driver+ adalah Highway Assist yang membolehkan kawalan stereng, brek dan pecutan dilakukan secara automatik.
Adaptive Cruise Control, Lane Change Assist, Lane Keep Assist, Lane Departure Warning, Automatic High Beam, Forward Collision Warning, Automatic Emergency Braking dan Dynamic Brake Support turut disertakan.
PERCAYA atau tidak, Toyota Tundra generasi kedua dijual di pasaran sejak 2007 lagi. Selepas 14 tahun, trak pikap saiz penuh itu akhirnya mendapat model pengganti serba baharu yang bukan sahaja tampil dengan reka bentuk yang lebih gagah, malah pilihan enjin yang lebih berkuasa serta pelbagai kelengkapan dan teknologi terkini.
Bakal memasuki pasaran Amerika Syarikat pada akhir tahun ini sebagai model 2022, Tundra generasi ketiga dibina di atas platform F1 dengan kerangka steel-ladder berkekuatan tinggi dan bed yang diperbuat daripada aluminium komposit.
Penggunaan platform baharu ini membolehkan Toyota menggunakan suspensi multi-link pada bahagian belakang bagi menggantikan suspensi leaf spring pada model terdahulu. Gandingan kerangka yang lebih tegar dan suspensi baharu ini memberikan Tundra kapasiti muatan maksimum 880kg dan kapasiti menunda maksimum 5,443kg, iaitu 11 dan 17.6 peratus lebih tinggi berbanding sebelum ini.
Suspensi hadapan pula adalah jenis double wishbone yang ditala untuk meningkatkan kestabilan ketika memecut di laluan lurus, di samping berupaya mengurangkan olengan badan sebanyak 25 peratus ketika membelok. Penyerap hentak tiub berkembar pada suspensi hadapan dan belakang disertakan secara standard.
Bagaimanapun, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan pakej TRD Off-Road yang merangkumi penyerap hentak Bilstein. Mereka yang memilih pakej TRD Pro pula akan mendapat penyerap hentak Fox, serta beberapa penambahbaikan berfokuskan prestasi off-road seperti bar penstabil hadapan, skid plate aluminium, plat perlindungan bawah badan dan tayar all-terrain Falken.
Tundra akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin petrol twin-turbo V6. Yang pertama adalah enjin i-Force 3.5-liter Dual-VVTi yang menjana 389hp dan 649Nm.
Pilihan yang kedua iaitu i-Force Max menggunakan enjin V6 yang sama namun dengan teknologi hibrid yang terdiri daripada sebuah motor elektrik yang terletak di antara enjin dan transmisi dan bateri Ni-MH 288V di bawah tempat duduk penumpang belakang. Ia mempunyai kuasa keseluruhan sebanyak 437hp dan 790Nm.
Kedua-dua enjin tersebut dipadankan dengan transmisi automatik ECTi 10 kelajuan dengan mod penukaran gear manual, mod Tow/Haul serta mod Sport dan Sport+ untuk i-Force Max. Bergantung kepada varian, Tundra juga didatangkan dengan Multi-Terrain Select, fungsi Crawl Control yang bertindak sebagai kawalan luncur pada kelajuan rendah dan Downhill Assist Control.
Kelengkapan yang ada pada trak ini tidak tertumpu pada prestasi off-road semata-mata. Sistem multimedia serba baharu yang disertakan tidak kurang hebatnya, dengan pilihan skrin berukuran lapan- atau 14-inci, Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, fungsi arahan suara Intelligent Assistant, kemaskini perisian secara atas udara (OTA) dan pelbagai lagi. Turut disertakan adalah kluster instrumen digital 12.3-inci.
Juga dititikberatkan adalah sistem keselamatan, di mana Toyota Safety Sense 2.5 disertakan secara standard pada semua varian Tundra. Antara ciri yang disertakan termasuklah Pre-Collision System dengan pengesanan pejalan kaki, Dynamic Radar Cruise Control, Lane Tracing Assist, Auto High Beam dan Road Sign Assist.
ELON Musk telah mengesahkan bahawa pengeluaran Tesla Cybertruck akan ditunda, kini hingga ke hujung 2022.
Garis masa penyerahan trak EV itu menjadi perhatian ramai, bukan kerana popularitinya, tetapi juga disebabkan perlumbaan menghasilkan trak pikap elektrik terutamanya di pasaran Amerika Syarikat (AS).
Cybertruck sebelum ini dilihat sebagai yang pertama dalam pasaran, namun kini akan sedikit ketinggalan.
Bila Tesla mula mendedahkan Cybertruck pada 2019, mereka berkata akan mula memasarkannya pada penghujung 2021. Tetapi tahun lepas, sudah terdapat tanda-tanda ia akan ditunda.
Pertamanya, Tesla baru sahaja menyiapkan rekaan kejuruteraan trak pikap elektrik itu.
CEO Elon Musk juga menyatakan Tesla akan menghadapi beberapa cabaran dalam membawa Cybertruck ke produksi disebabkan beberapa ciri seperti badan exoskeleton besi yang memerlukan proses pembuatan baharu sepenuhnya.
Dalam satu laporan kewangan suku kedua 2021 Tesla, mereka melaporkan bahawa hanya akan memulakan pengeluaran Cybertruck selepas Model Y di Gigafactory Texas.
Produksi Model Y sepatutnya bermula hujung tahun ini, jadi ini bermakna Cybertruck hanya akan mula dikeluarkan paling cepat tahun depan.
Menurut laporan oleh Electrek, Musk mengesahkan pengeluaran Cybertruck tidak akan bermula hingga penghujung 2022.
Tambah Musk, terdapat begitu banyak teknologi baharu dalam pembangunan trak pikap elektrik itu yang akan menyukarkan proses pengeluarannya.
Tetapi beliau sempat berkata: “Ia akan menjadi satu projek istimewa. Seperti glitch dalam filem The Matrix. Seperti Neo mempunyai sebuah kereta.”
TRAK pikap antara jenis kenderaan yang mudah didapati di atas jalan raya seluruh pelosok negara.
Terdapat pelbagai sebab mengapa ramai individu memilih menggunakan kenderaan jenis ini.
Antara sebab utama ia mudah untuk mengangkut barangan sama ada bagi kegunaan persendirian mahupun tujuan perniagaan.
Bagaimanapun, tidak semua individu berkemampuan memiliki trak pikap baharu memandangkan harganya yang mungkin agak mahal.
Jangan risau, di sini kami berjaya menemui beberapa trak pikap second hand berharga kurang daripada RM20,000!
Ford Ranger 2.5 XLT
Hasil carian di aplikasi Mudah.my, kami berjaya menemui sebuah trak pikap Ford Ranger 2.5 XLT berharga RM17,000.
Model ini tidak dinafikan antara yang popular di Malaysia mungkin kerana reka bentuknya yang agak menarik.
Namun, lebih penting model ini tidak mengundang masalah major bagi pemiliknya.
Foto ihsan Mudah.my
Mitsubishi Storm 2.5 GLS
Kenderaan trak pikap seterusnya yang berjaya ditemui adalah Mitsubishi Storm 2.5 GLS.
Menurut pemiliknya, jentera ini masih dalam keadaan baik dan tidak mempunyai masalah besar.
Harga dipinta hanya RM18,000 sahaja.
Foto ihsan Mudah.my
Nissan Frontier
Nama Nissan Frontier bukan suatu yang asing bagi penggemar trak pikap.
Bagaimanapun, entah kenapa Frontier tidak begitu popular seperti trap pikap yang lain walaupun mempunyai reka bentuk yang menarik.
Sebuah Frontier keluaran tahun 2004 yang kami temui di Mudah.my berharga RM17,800.
Namun, difahamkan bahawa jentera ini mempunyai masalah penghawa dingin yang perlu diperbaiki.
Isuzu Rodeo
Sesuai dengan Namanya “Rodeo”, model ini dikatakan cukup lasak.
Menggunakan enjin diesel, jentera ini dikatakan agak popular di seluruh dunia.
Sebuah Rodeo keluaran 1999 boleh didapati pada harga RM18,800
Sangyong Actyon Sports
Sangyong Actyon Sports boleh dikatakan antara model yang agak unik dan mungkin ia boleh dikategorikan sebagai kenderaan semi monocoque.
Jika anda teringin untuk memandu model keluaran Korea Selatan ini, tidak salah untuk mencuba.
Harga yang kami berjaya temui bagi Sangyong Actyon Sports keluaran 2008 adalah RM17,500.
Mazda Pickup B2500
Memang susah untuk ditemui model Mazda Pickup B2500.
Model yang kami temui ini adalah keluaran tahun 1997 dan harganya adalah RM18,000.
Mungkin kendengaran agak mahal tetapi jika anda meminati sebuah trak pikap yang rare, tepuk dada tanya selera.
Foto ihsan Mudah.my
Datsun 720
Datsun 720 boleh dikatakan sebuah model trak pikap yang agak klasik.
Ia bukan sahaja rare dalam kelasnya tersendiri tetapi lebih penting amat tahan lasak.
Jangan terkejut kerana harganya adalah RM19,500 seperti yang ditawarkan di Mudah.my
Itu tadi beberapa senarai trak pikap yang berharga di bawah RM20,000.
Ingin tahu lebih lanjut mengenai kesemua model ini, saksikan video bersama Bro Shamsul Yunos di laman sesawang kami atau semua platform media sosial Engear.