Arkib Tag: pandu uji

Beli Proton eMAS 7 jika anda tidak kisah tentang jarak – Pandu Uji

Pada September tahun lalu, penulis berpeluang memandu kembar kepada Proton eMAS 7 iaitu Geely Galaxy E5.

Sesi pandu uji tersebut tidak dibuat di litar ujian Proton Centre of Excellence (COE), sebaliknya ia dilakukan di jalan raya sekitar Puncak Alam untuk pengalaman yang lebih realistik.

Apa yang penulis katakan, sistem suspensi Galaxy E5 memang tidak sesuai untuk keadaan jalan raya di negara kita. Ia terlalu lembut dan mempunyai kecenderungan untuk melantun dan membuai di jalan-jalan beralun.

Talaan ini mungkin menjadi pilihan pelanggan di China namun untuk Malaysia, Proton perlu memanfaatkan kepakaran mereka bagi memastikan yang eMAS 7 sesuai untuk keadaan jalan negara kita yang lebih ‘mencabar’.

Jadi sebab itulah penulis agak teruja apabila dijemput untuk memandu uji eMAS 7 dari Shah Alam ke Melaka. Selain tidak sabar merasai sendiri sentuhan magis Proton, ini sebenarnya kali pertama penulis berpeluang memandu EV nasional pertama ini.

Reka bentuk luaran

Rasanya ramai yang sudah tahu yang penampilan luaran eMAS 7 tidak banyak berubah jika dibandingkan dengan Galaxy E5. Kedua-duanya berkongsi rekaan lampu depan dan belakang, lampu DRL berbentuk L, dan bampar yang sama.

Sudah tentu, bampar depan Proton menampilkan logo Proton eMAS (yang sebenarnya sedikit berbeza berbanding logo Proton), manakala tulisan ‘PROTON’ di bawah lampu belakang dan logo ‘eMAS 7’ pada tailgate mengukuhkan identiti EV itu pada bahagian belakang.

Penulis tidak sebarang masalah dengan ini kerana eMAS 7 kelihatan segak dan tegap di depan mata. Lampu depan yang langsing dan lampu belakang yang lebar membuatkan ia nampak lebih mahal daripada harga sebenarnya.

Ruang dalaman

Tidak mengejutkan yang susun atur bahagian dalaman eMAS 7 sangat mirip dengan Galaxy E5. Walau bagaimanapun, Proton memilih untuk menggunakan skema warna gelap berbanding warna putih seperti yang terdapat pada kembarnya.

Ya, warna cerah membuatkan ruang kabin terasa lebih lapang namun penggunaan warna gelap memberikan eMAS 7 mood yang lebih sofistikated. Bukan itu sahaja, warna ini juga lebih popular dalam kalangan pembeli di Malaysia memandangkan ia lebih mudah untuk dijaga.

Tetapi dari segi kualiti material, tidak ada perbezaan yang ketara. Upholsteri kulit yang membaluti sebahagian besar papan pemuka, kerusi dan stereng terasa begitu lembut pada sentuhan.

Cuma penulis agak kecewa yang perehat kaki pada kerusi penumpang hadapan tidak disertakan mungkin atas sebab pengurangan kos.

Kelengkapan

Namun selain itu, eMAS 7 dapat apa yang ditawarkan pada Galaxy E5. Ini termasuk skrin sentuh 15.4 inci, panel instrument 10.2 inci untuk pemandu dan sistem audio Wanos dengan 16 pembesar suara dari Flyme Sound.

Angka tersebut termasuk pembesar suara pada perehat kepala kerusi pemandu, yang berfungsi untuk menghalakan arahan dari sistem navigasi terus ke telinga pemandu.

Walau bagaimanapun, sistem Apple CarPlay dan Android Auto masih belum tersedia. Ia dijangka akan ditawarkan pada tahun ini menerusi kemas kini udara (OTA).

Tidak mengapa kerana navigasi terbina dalam eMAS 7 mudah digunakan, walaupun penampilan keseluruhannya masih boleh diperbaiki.

Bagi penulis, apa yang menarik mengenai sistem tersebut adalah ia boleh digunakan untuk mencari stesen pengecas yang berada berdekatan dengan anda.

Menurut Proton, sistem ini boleh mengesan lebih 1,700 titik pengecasan di seluruh negara menerusi kerjasama dengan pengendali titik pengecasan termasuk Gentari, JomCharge, chargEV, and DC Handal, Carput Zap dan ChargeSini.

Sistem ini sangat terperinci kerana ia akan memaparkan pelbagai informasi mengenai stesen pengecasan yang dipilih seperti pengendali, jenis, bilangan dan kapasiti pengecas yang tersedia, kadar dan pelbagai lagi.

Prestasi

Kedua-dua varian eMAS 7 iaitu Prime dan Premium didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 218 PS (160 kW) dan 320 Nm.

Perbezaan di antara kedua varian berkenaan terletak pada kapasiti bateri iaitu 49.52 kWj untuk Prime dan 60.22 Premium. Prime menawarkan jarak pandu WLTP sejauh 375 km manakala Premium pula 65 km lebih jauh.

Memandu dari Shah Alam ke Melaka, kerisauan jarak bukanlah satu masalah kerana jaraknya sekitar 160 km sahaja, tidak sampai separuh daripada jarak yang ditawarkan oleh varian Premium.

Namun untuk mengetahui sejauh mana kecekapan trenkuasa ‘12-dalam-1’ ini, penulis memandu dengan santai pada kelajuan sekitar 90 hingga 100 km/j. Setibanya di destinasi, penggunaan tenaga elektrik menunjukkan bacaan sekitar 10 hingga 11 kWj bagi setiap 100 km, bermakna penulis menggunakan kurang 30% tenaga bateri untuk perjalanan ini.

Pengendalian

Penglibatan Proton dalam projek eMAS 7/Galaxy E5 ini dapat dirasakan dengan jelas menerusi prestasi sistem suspensi eMAS 7 di dunia sebenar.

Perbezaan antara kedua model ini boleh dikatakan agak ketara, di mana eMAS 7 mendemonstrasikan ride and handling yang lebih mantap.

Peredam yang ditala semula membuatkan ia terasa lebih stabil dan tenang pada kelajuan tinggi namun pada masa yang sama, keselesaan pada kelajuan rendah juga dikekalkan.

Feel stereng boleh dikatakan agak baik untuk sebuah EV manakala kadar NVH juga patut dipuji kerana bunyi dari luar dihalang dengan baik. Bunyi dari tayar tidak ketara walaupun varian ini memakai rim 19 inci.

Konklusi

Penulis secara peribadi agak tertarik dengan eMAS 7. Pada harga dari RM109,800 hingga RM129,800, ia memberikan nilai untuk wang yang baik untuk mereka yang ingin menerokai dunia EV.

Tidak dinafikan, jarak gerak yang agak pendek agak merisaukan untuk mereka yang kerap melakukan perjalanan jauh namun jika anda bukan dari golongan ini, eMAS 7 wajar dipertimbangkan.

Spesifikasi Proton eMAS 7 Premium

Harga: RM129,800
Kuasa: 218 PS (160 kW)
Tork: 320 Nm
Bateri: 60.22 kWj
Jarak gerak: 410 km (WLTP)

MG4 XPower memang laju tetapi adakah ia pilihan terbaik? – Pandu Uji

MG4 XPower dilancarkan ke pasaran Malaysia hampir 12 bulan yang lalu sebagai kenderaan paling murah yang boleh membawa anda dari kelajuan 0 hingga 100 km/j dalam hanya 3.8 saat.

Anda boleh kata macam-macam tentang EV tetapi anda tidak boleh nafikan yang prestasi berkenaan sangat mengagumkan kerana 10 atau 15 tahun dahulu, prestasi seperti itu hanya boleh dicapai oleh kereta sport dan supercar yang bernilai ratusan malah jutaan ringgit.

Kini, terima kasih kepada kemajuan teknologi EV, anda boleh merasakan sensasi yang sama pada harga kurang dari RM160,000.

Sudah tentu, ada beberapa model EV lain yang boleh mencapai kelajuan 100 km/j lebih cepat seperti Volvo EX30 Ultra Twin Performance (3.6 saat) dan Smart #3 Brabus (3.7 saat) tetapi kedua-dua model ini berharga lebih RM200,000.

Namun adakah kelebihan MG4 XPower terletak pada kelajuan semata-mata? Bagaimana pula dengan aspek-aspek lain seperti reka bentuk, keselesaan, jarak gerak, teknologi dan sebagainya? Teruskan membaca.

Reka bentuk

MG4 adalah sebuah hatchback lima pintu dengan perkadaran yang agak unik. Pada mata penulis, ia nampak agak besar tetapi ia sebenarnya 3 mm lebih pendek berbanding BYD Dolphin yang comel itu. Jika dibandingkan dengan smart #1 pula, ia 17 mm lebih panjang namun ukuran tapak rodanya 45 mm lebih pendek.

Namun apa yang jelas, MG4 lebih rendah dan lebar berbanding kedua-dua model berkenaan, memberikannya stance yang lebih agresif dan kelebihan dari segi prestasi aerodinamik.

Penampilannya yang sporty diperkayakan lagi dengan elemen-elemen seperti bahagian depan yang tajam, spoiler bumbung berkembar dan pelindung angkup brek berwarna oren lengkap dengan tulisan ‘XPower’.

Cuma agak pelik kerana tidak ada bahagian lain yang menampilkan logo XPower kecuali angkup brek tersebut. Jika kereta ini dibuat oleh BMW atau Mercedes-Benz, anda pasti akan menjumpai logo M dan AMG di serata badan.

Ruang dalaman

Tidak seperti bahagian luarannya, reka bentuk ruang kabin MG4 lebih ringkas dan bersahaja. Mereka yang mengharapkan rekaan moden dan futuristik pasti akan kecewa kerana tiada satu elemen pun yang boleh dikatakan sebagai canggih.

Tetapi ini bukanlah sesuatu yang tidak bagus. Walaupun secara keseluruhannya ia tidak menonjol, rekaan yang ringkas seperti ini sebenarnya memudahkan peralihan dari kereta ICE ke EV.

Apa yang ada adalah apa yang anda perlu untuk pemanduan seharian – skrin sentuh dengan barisan butang fizikal di bawahnya, konsol tengah terapung yang menempatkan tombol gear dan pengecas tanpa wayar, butang kawalan pada bahagian kiri dan kanan stereng dan panel instrumen digital.

Seperti EV lain di pasaran, banyak benda perlu diakses menerusi skrin sentuh namun anda tidak perlu risau kerana stereng MG4 didatangkan dengan butang shortcut dengan logo bintang yang boleh ditetapkan untuk pelbagai fungsi seperti pendingin hawa, pemulihan tenaga dan mod pemanduan.

Apa yang penulis kurang gemar adalah penggunaan kemasan plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu. Bukan itu sahaja, tombol gear tersebut juga terasa agak longgar namun ia jauh lebih baik dari perlu memilih gear menerusi skrin sentuh.

Praktikaliti dan keselesaan

Hatchback secara umumnya menawarkan ruang kabin yang agak terhad namun dengan MG4, anda tidak perlu risau jika anda membawa lebih daripada seorang penumpang kerana ruang kabin terasa agak luas dan lapang.

Ia juga mempunyai ruang storan yang cukup besar pada konsol tengah dan setiap pintu, manakala ruang butnya juga tidak terlalu kecil iaitu 363 liter. Kerusi belakang boleh dibaringkan rata jika but tidak cukup besar.

Bercakap tentang kerusi belakang, penulis mendapat ia agak selesa dan tidak terlalu tegak. Ruang kaki dan kepala dirasakan sudah mencukupi untuk mereka yang berbadan sederhana namun alangkah baiknya jika MG meletakkan corong pendingin hawa khusus untuk penumpang belakang.

Prestasi

Seperti yang dikatakan, MG4 memang cemerlang dari segi pecutan. Ini sesuatu yang dialu-alukan jika anda dicabar oleh kereta sebelah di hentian lampu isyarat namun sejujurnya, prestasi yang ‘gila’ ini boleh menjadi agak memenatkan.

Ini kerana kereta ini boleh memecut laju dengan cukup mudah, tanpa sebarang drama seperti kereta ICE. Di lebuh raya, ini bukanlah satu masalah namun di dalam bandar, pergerakan badan akibat inersia ketika memecut (dan membrek) lama kelamaan membuatkan penulis mudah penat.

Untuk mengatasi isu ini, penulis menggunakan mod ECO untuk mendapatkan pecutan yang lebih terkawal.

Mengenai jarak pula, varian XPower bukanlah pilihan terbaik jika jarak pandu menjadi keutamaan anda. Varian ini didatangkan dengan bateri 64 kWj yang menawarkan jarak WLTP sejauh 385 km dengan satu cas penuh.

Angka ini sebenarnya okay sahaja untuk pemanduan di kawasan bandar namun harus diingat yang jarak juga bergantung kepada gaya pemanduan dan faktor-faktor lain. Jika anda mempunyai kaki kanan yang berat, angka tersebut akan jatuh dengan dramatik.

Untuk lebih selamat, anda boleh dapatkan varian Lux Extended Range yang didatangkan dengan bateri 77 kWj yang menjanjikan jarak sejauh 520 km. Ini sepatutnya cukup untuk empat hingga lima hari, bergantung kepada penggunaan.


Konklusi

Secara ringkasnya, MG4 XPower menawarkan nilai wang terbaik bagi peminat EV yang mahukan prestasi semata-mata tanpa ingin berbelanja besar.

Namun secara peribadinya, penulis melihat varian Lux Extended Range sebagai pilihan yang lebih masuk akal secara keseluruhannya. Ia RM10,000 lebih murah, dan dengan pecutan 0-100 km/j dalam 6.1 saat, ia sebenarnya sudah cukup pantas untuk kebanyakan pemandu di luar sana. Dan dengan bateri yang lebih besar, jarak bukanlah sesuatu yang perlu dirisaukan.

Spesifikasi MG4 XPower

Harga: RM159,629
Kuasa: 435 PS (320 kW)
Tork: 600 Nm
Bateri: 64 kWj
Jarak gerak: 385 km (WLTP)

Tiga benda kami kurang suka pada Hyundai Santa Fe Hybrid

Dilancarkan secara rasmi beberapa bulan lepas, nyata tidak ramai netizen yang perasan kita juga sebenarnya mempunyai sebuah alternatif SUV keluarga yang tidak kurang hebatnya, iaitu Hyundai Santa Fe Hybrid.

Kami telah pun diberikan peluang untuk memandu uji SUV hibrid ini pada penghujung tahun yang lepas, dan amat berpuas hati dengan pakej yang ditawarkan untuk para pengguna di Malaysia.

Cuma, terdapat beberapa perkara yang kurang digemari wujud pada Santa Fe Hybrid yang dilihat dapat mempengaruhi pemikiran pengguna untuk membuat keputusan memilikinya.

 

1. Penggayaan luaran yang terlalu berani untuk sesetengah pihak

Kebanyakan SUV keluarga yang wujud di dalam pasaran mempunyai pendekatan rekaan yang lebih selamat dan tidak terlalu menonjol.

Namun tidak bagi Santa Fe Hybrid, di mana versi facelift yang diperkenalkan ini mempunyai muka hadapan yang agak berani, dan mungkin sekali terlalu garang.

Kanak-kanak yang suka berimaginasi mungkin akan menganggap Santa Fe Hybrid ini sebagai sebuah ikan gergasi yang sedang menunggu masa untuk membaham mangsanya.

 

2. Posisi lampu membelok yang agak rendah di belakang

Penulis amat menggemari rekaan unit lampu belakang yang nampak lebih moden dan ringkas itu.

Cuma, adalah lebih baik sekiranya unit lampu membelok disekalikan sahaja fungsinya pada perumah lampu utama.

Kedudukannya yang agak rendah itu mungkin membuatkan sesetengah pengguna jalan raya tidak perasan niat pemandu untuk menukar lorong, walaupun lampu itu sudah dinyalakan selama beberapa saat.

Ini sangat berbeza dengan apa yang dapat diperhatikan dari sudut hadapan di mana lampu membelok seakan grafik tukul itu boleh dilihat dengan terang dan jelas.

 

3. Rekaan ruang kabin yang nampak berusia

Kebanyakan pengeluar masa kini sudah mula menggunakan pendekatan rekaan yang lebih ringkas dan minimalis untuk ruang kabin.

Namun tidak bagi Hyundai Santa Fe Hybrid ini, di mana anda dapat merasai rekaannya yang sudah agak ketinggalan beberapa tahun berbanding model pesaing.

Perkara ini adalah disebabkan oleh Hyundai Santa Fe Hybrid ini masih lagi bergantung kepada satu generasi di belakang, iaitu generasi keempat yang mula diperkenalkan di pasaran global pada tahun 2018.

Sedangkan beberapa pasaran di dunia, terutama ASEAN seperti Indonesia, Filipina dan Singapura sudah pun mula menawarkan Hyundai Santa Fe generasi kelima yang jauh lebih sofistikated dan nampak lebih moden berbanding Santa Fe Hybrid yang ada di Malaysia.

Tiga kelemahan yang wujud pada Jaecoo J7

Jaecoo J7 sudah dilancarkan kira-kira enam bulan yang lepas, dan kita masih lagi boleh melihat kelibat SUV ini di atas jalan raya, membuktikan popularitinya di kalangan rakyat Malaysia.

Bukan sekadar rupa paras yang dipertaruhkan, Jaecoo J7 turut menawarkan ciri dan fungsi yang praktikal dan sesuai untuk kegunaan seharian.

Di pasaran Malaysia, kita boleh mendapatkan J7 dengan varian pacuan dua roda (2WD) atau varian pacuan semua roda (AWD) dengan harga jualan bermula dari RM138,800.

Tidak banyak perbezaan ketara yang wujud antara kedua-dua model tersebut, malah varian 2WD dan AWD dilengkapi dengan ciri keselamatan yang hampir menyeluruh untuk menjamin pemanduan yang lebih selamat.

Nampak macam sebuah SUV yang sempurna, namun Jaecoo J7 ada kelemahan yang tersendiri.

 

1. Rupa ala Range Rover – bukan untuk semua orang

Seperti yang anda lihat, Jaecoo J7 menawarkan pakej rupa paras yang unik, dan nampak premium untuk sebuah SUV bawah julat RM150,000.

Namun begitu, rupa paras tersebut adalah satu perkara yang subjektif, di mana ada pihak yang mungkin tidak begitu menggemari rupanya seakan sebuah Range Rover itu.

Seperkara yang kami harapkan ialah struktur unit lampu belakang yang boleh dibesarkan supaya rekaan keseluruhan bahagian tersebut tidak nampak terlalu kosong.

 

2. Terlalu bergantung kepada skrin

Seperti mana-mana kereta moden, Jaecoo J7 juga tidak dapat lari daripada mengikuti trend menyumbat segala macam fungsi ke dalam skrin infohibur.

Ia bukanlah satu perkara yang negatif, sekiranya sesebuah pengeluar itu tahu untuk meletakkan fungsi yang sepatutnya untuk memudahkan urusan pemandu terutama ketika memandu seorang diri.

Ya, arahan berbentuk suara juga turut tersedia, namun tidak semua gemar melontarkan arahan berbentuk suara untuk fungsi yang selama ini boleh diubah sendiri – seperti menetapkan suhu dan kelajuan tiupan pendingin hawa.

Mujur juga terdapat butang khas AC di konsol tengah untuk memudahkan pemandu meneroka menu kawalan pendingin hawa yang tersorok di dalam skrin tengah itu.

 

3. Sistem keselamatan yang boleh ditambah baik

Secara keseluruhan, penulis amat berpuas hati dengan kecekapan sistem keselamatan yang wujud pada Jaecoo J7.

Cuma, mungkin lebih baik sekiranya sistem pengelakan keluar lorong (dan pembetulan stereng) itu ditala dengan lebih baik supaya pemandu tidak rasa ‘terputus hubungan’ dengan jalan.

Ia bukanlah satu perkara yang baik sekiranya pemandu tidak mendapat respons yang sepatutnya daripada jalan raya gara-gara sistem pembetulan stereng yang masuk campur selama beberapa saat sebelum menyerahkan semula kawalan kepada pemandu.

Ulasan penuh pandu uji Jaecoo J7 anda boleh baca pada pautan di bawah:

Cubaan seminggu bercinta dengan Jaecoo J7 – Pandu Uji

 

Cubaan seminggu bercinta dengan Jaecoo J7 – Pandu Uji

Dengan pakej harga dan rupa paras yang sangat mencuri tumpuan (ada pihak yang berpendapat macam Range Rover), Jaecoo J7 berjaya mencipta fenomena yang tersendiri di pasaran Malaysia.

Model Jaecoo J7 ini mula dipertontonkan pada awal tahun 2024, sebelum ia dilancarkan secara rasmi beberapa bulan berikutnya dengan membawakan tanda harga bermula dari RM138,800 untuk versi pacuan dua roda, dan RM148,800 untuk versi AWD.

Semenjak pelancaran rasmi, kita sendiri dapat melihat kelibat model SUV ini di mana-mana, cukup popular bak pisang goreng panas sehinggakan model jenama tempatan tenggelam seketika.

Mungkin ramai yang tertarik dengan rupa luaran yang cukup elegan itu, tidak kurang juga yang mahukan keupayaan pemanduan off-road yang ditawarkan pada Jaecoo J7.

Untuk menyiasat apakah punca sebenar populariti SUV ini, kami berjaya mendapatkan unit ujian Jaecoo J7 untuk dipandu uji selama satu minggu, dan ini merupakan pendapat kami:

 

1. Harga bawah RM150,000 untuk sebuah ‘Range Rover’, siapa taknak?

Kami akui setelah melihat Jaecoo J7 dengan lebih dekat, ia sememangnya mempunyai aura yang membuatkan ramai menganggapnya sebagai model Range Rover versi ‘marhaen’.

Terutama apabila dilihat dari sudut sisi.

Dengan pakej rupa yang nampak mewah, Jaecoo J7 dilihat dapat memenuhi idaman sesetengah pihak yang mahukan sebuah SUV dengan imej yang premium tanpa mengorbankan akaun bank.

 

2. Jaecoo J7 versi 2WD, cukup ke?

Kami diberikan unit Jaecoo J7 varian pacuan dua roda (2WD) hadapan untuk dipandu uji.

Dua perbezaan yang ketara antara model ini dengan model varian AWD sudah pasti sistem pacuan dan mod pemanduan yang disertakan.

Jaecoo J7 2WD hanya disediakan tiga mod pemanduan sahaja, iaitu Eco, Normal dan Sport, berbanding sehingga tujuh mod pemanduan untuk varian AWD (tambahan Sand, Mud, Off-road & Snow).

Namun begitu, keupayaan kedua-dua varian masih lagi sama, seperti jarak kelegaan tanah setinggi 200 mm serta boleh meredah air sedalam 600 mm.

Bagi mereka yang tidak mementingkan sangat keupayaan pemanduan off-road, versi 2WD sudah lebih daripada memadai.

Kami sendiri berpeluang untuk menguji kemampuan SUV ini meredah banjir kilat di kawasan Klang, dan ia masih lagi mampu bergerak dengan cemerlang melintasi beberapa buah kereta yang tidak berani yang sedang menunggu air surut.

Talaan suspensi Jaecoo J7 juga tidak mengecewakan apabila sekali sekala pemandu membawa SUV ini meredah jalan kampung yang tidak bertar, di mana ia masih lagi boleh dikawal dengan baik dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan yang tersendiri.

 

3. Enjin bertenaga

Menggerakkan SUV ini ialah nadi empat silinder sebaris 1.6 liter turbo menghasilkan kuasa setinggi 194 hp dan daya kilas 290 Nm.

Dengan transmisi DCT tujuh-kelajuan Getrag, Jaecoo J7 boleh memecut sepantas 9.2 saat dari 0-100 km/j.

Dari segi pemanduan, Jaecoo J7 tidak memberikan masalah besar untuk meluncur laju dan dalam masa yang sama menawarkan pemanduan yang stabil dan selesa pada kelajuan yang tinggi.

Cuma, secara lalainya Jaecoo J7 akan bermula dengan mod pemanduan Eco setiap kali punat pandu mula ditekan, dan anda harus menukarkannya kepada mod Normal untuk pemanduan mula yang lebih lancar.

Ini kerana di dalam mod Eco, kami dapat rasakan pemanduan permulaan yang tidak begitu enak, dan ada kalanya rasa macam ia seakan malas untuk pergi.

 

4. Kabin minimalis

Pendekatan yang ringkas pada bahagian luar turut diteruskan untuk rekaan ruang kabin yang lebih minimalis namun dalam masa yang sama membawakan atmosfera yang ‘rasa’ premium.

Skrin tengah bersaiz 13.2 inci itu menempatkan segala macam fungsi dan tetapan termasuklah kawalan pendingin hawa dan segala macam fungsi keselamatan yang boleh diubah.

Berita baiknya, untuk menaikkan atau menurunkan suhu kabin anda hanya perlu menekan butang yang terdapat pada konsol tengah untuk membuka menu kawalan pendingin hawa, tanpa perlu tercari-cari menu tersebut terutama setelah menu Apple CarPlay/Android Auto terpapar.

Walaupun tempat duduk hadapan tidak ditawarkan dengan fungsi larasan yang lebih menyeluruh, tapi kami amat hargai kerana ia menyediakan dimensi kusyen yang mampu menyokong bahagian bawah kaki.

Jadi, sepanjang perjalanan kami tidak rasa terlalu penat.

Menemani sepanjang pemanduan ialah alunan bunyi yang cukup sedap dan mengasyikkan memasuki gegendang telinga yang terhasil daripada lapan unit pembesar suara buatan Sony.

Ada beberapa perkara lagi yang kami suka, terutama skrin kluster digital yang masih mempunyai pilihan paparan grafik meter analog, skrin paparan head-up yang jelas dan mudah untuk dibaca, serta pemilihan kemasan upholsteri yang ada rasa premium.

Untuk tempat duduk belakang pula disediakan dua larasan sudut sandaran.

5. Pemanduan

Selain daripada rupa paras yang cukup hensem itu, Jaecoo J7 sebenarnya amat seronok untuk dipandu.

Bukan sahaja disebabkan ia mampu menarik perhatian umum, akan tetapi aspek kawalan pengendalian dan keselesaan yang ditawarkan.

Tetapan suspensi jenis topang MacPherson di hadapan dan tetapan Multi-Link di belakang sedikit sebanyak menyumbang kepada pengendalian yang baik di laluan yang berselekoh, dibantu dengan respons stereng yang cukup rasa dan perisa.

Lebih penting, aspek NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) dirasakan pada tahap yang minimum, membuatkan penumpang di sebelah boleh lelap dengan tenang tanpa gangguan yang ketara.

Dari sudut pandang pemandu, cermin hadapan Jaecoo J7 ini menawarkan medan penglihatan yang luas, dibantu dengan cermin sisi yang lebih praktikal untuk sebuah SUV bersaiz besar ini.

Jadi kebanyakan masa, penulis lebih gemar bergantung sepenuhnya kepada ciri fizikal ini, dan hanya menggunakan paparan kamera keliling untuk memastikan tiada sebarang objek di sekeliling kenderaan semasa memposisikan kereta di dalam kotak parkir.

 

6. Praktikaliti

Selain daripada kabin yang menawarkan ruang kaki dan kepala yang cukup luas untuk penumpang hadapan dan belakang, Jaecoo J7 menyediakan ruang kargo yang cukup besar.

Ruang sebesar 412 liter itu sudah cukup memadai untuk memuatkan apa jua barangan keperluan, dan boleh dibesarkan sehingga 1,349 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Tidak cukup dengan itu, Jaecoo J7 juga masih lagi mempunyai ruang untuk memuatkan tayar simpanan saiz penuh!

 

7. Ciri keselamatan menyeluruh

Dari segi keselamatan pula, Jaecoo J7 tidak lokek dengan bermacam fungsi termasuklah sistem brek kecemasan autonomi, amaran pelanggaran hadapan, amaran keluar lorong, pengelakan keluar lorong, sistem amaran pergerakan kenderaan hadapan, serta kawalan jelajah adaptif.

Terdapat juga amaran pelanggaran belakang, amaran lintasan trafik belakang, sistem pemantauan titik buta, serta tidak ketinggalan sistem pemantauan keliling dengan sudut sehingga 540 darjah.

Untuk memastikan pemanduan anda sentiasa selamat, Jaecoo J7 dilengkapi dengan peringatan had kelajuan, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS) yang sangat berguna itu.

Secara kesimpulannya, Jaecoo J7 boleh menjadi satu alternatif kenderaan pemanduan seharian jika anda sudah bosan dengan penawaran SUV yang ada di pasaran, dan mahukan sebuah kereta dengan imej premium yang boleh menarik perhatian ramai umat.

Harganya juga tidaklah begitu keras sehingga mampu membuatkan poket anda rasa kosong setiap bulan.

Tidak salah rasanya untuk berubah fikiran dan memandu pulang model ini, apatah lagi dengan pakej rupa dan spesifikasi lengkap yang ditawarkan untuk pasaran kita.

 

Spesifikasi Jaecoo J7 2WD (RM138,800)
Enjin: Empat silinder sebaris 1.6 liter turbo
Kuasa: 194 hp, 290 Nm
Transmisi: klac berkembar automatik, tujuh-kelajuan
Pacuan: Roda hadapan
Pecutan: 9.2 saat (0-100 km/j)

Honda Prelude 2026: bukan sekadar sebuah Civic coupe

Honda sebelum ini mengesahkan model konsep Prelude yang bakal direalisasikan kelak itu akan dibina menggunakan platform Civic sedia ada.

Kini, terdapat berita baik terbang dari negara Matahari Terbit, di mana sekumpulan para pengamal media Jepun diberikan peluang untuk menguji unit protaip pra-produksi di dalam litar ujian.

Sesi pandu uji ini mendedahkan beberapa perincian menarik untuk dikongsikan kepada para pembaca, terutama bagi mereka yang sudah melihat model ini dengan lebih dekat semasa acara KLIMS 2024 berlangsung minggu lalu.

Model prototaip yang masih sarat dengan pelekat samaran itu tidak banyak membawakan perbezaan yang ketara, melainkan kewujudan penderia ADAS dan cermin sisi yang lebih praktikal saiznya.

Berikut merupakan perkara baharu yang akan muncul pada Honda Prelude 2026:

 

1. Sistem hibrid generasi baharu

Menariknya, Honda Prelude merupakan model pertama yang akan dilengkapi dengan sistem hibrid dua motor generasi baharu.

Tiada perincian lanjut diumumkan buat masa ini, namun Honda mendakwa tetapan baharu ini menjanjikan kadar kecekapan 10 peratus berbanding sistem e:HEV sedia ada tanpa mengorbankan aspek kuasa.

Besar kemungkinan Prelude akan dilengkapi dengan enjin 2.0 liter kitaran Atkinson yang dibangunkan serba baharu, dipadankan dengan unit pacuan elektrik baharu yang lebih kompak dan cekap.

Tipikal untuk sebuah kereta hibrid, anda boleh jangkakan Prelude hadir dengan transmisi e-CVT yang lebih ringkas, namun ia tetap hadir dengan ciri baharu yang digelar sebagai S+ Shift.

 

2. Sistem Honda S+ Shift

sumber gambar: YouTube LOVECARS!TV!

Bakal dimuatkan pada semua model e:HEV Honda masa depan, sistem S+ Shift ini menjanjikan pemanduan yang lebih dinamik dan mengujakan.

Dengan menekan butang khas tersebut, ia akan mensimulasikan penukaran gear menerusi getaran kecil yang terhasil ketika menurunkan posisi gear, terima kasih kepada pemetaan tork yang telah diubah dalam unit pacuan elektrik.

Ciri Active Sound Control pula akan menguatkan lagi bunyi enjin yang sporti menerusi maklum balas audio menerusi unit pembesar suara, disegerakkan dengan paparan rpm pada kluster digital.

Honda Prelude 2026 turut dilengkapi dengan paddle shifter bagi membolehkan pemandu merasai pengalaman penukaran gear yang disimulasikan dalam sebuah kereta hibrid.

 

3. Platform Civic

sumber gambar: YouTube LOVECARS!TV!

Seperti yang diumumkan sebelum ini, Honda Prelude bakal menggunakan platform Civic sedia ada, akan tetapi dengan casis yang lebih tegar, aspek kestabilan stereng yang dipertingkatkan dan paling penting, 10 peratus lebih ringan.

Tidak seperti Civic, Prelude mempunyai ukuran jarak antara roda yang lebih pendek, namun jarak trek roda yang lebih lebar.

Sistem suspensi juga telah ditala semula untuk pemanduan yang lebih sporti dan selesa seperti sebuah GT.

Saluran YouTube Ride Now melaporkan Prelude akan mendapat sistem suspensi adaptif, dan sistem stereng dua paksi daripada Civic Type R yang direka untuk mengurangkan kesan torque steer.

 

4. Ruang kabin

sumber gambar: YouTube LOVECARS!TV!

Masuk ke dalam ruang kabin, anda akan dapat melihat susun atur papan pemuka yang hampir sama dengan model Civic sedia ada.

Cuma, ia telah dikemaskan dengan rekaan konsol tengah yang lebih tinggi, menampilkan butang kawalan baharu untuk penukaran gear serta kehadiran butang S+ Shift.

Untuk pemandu dan penumpang hadapan, Prelude menyediakan tempat duduk bucket yang sporti, diikuti dengan jahitan kontras berwarna putih dan biru.

Faktor rekaan coupe dengan bumbung yang lebih rendah dan jarak antara roda yang pendek menyebabkan ruang kepala dan ruang kaki Prelude ini nampak lebih kecil dan sempit berbanding Honda Civic, terutama untuk penumpang belakang.

 

5. Apa kata media Jepun?

Rata-rata maklum balas yang diterima daripada sesi pandu uji yang dijalankan di Jepun cukup positif.

Ada yang mendakwa Prelude menjanjikan pemanduan yang lebih sporti berbanding Civic (harapnya bukan Civic Type R), dan dalam masa yang sama lancar dan selesa seperti sebuah GT.

Seorang pemandu uji berpendapat tetapan stereng dan suspensi adaptif Prelude mengingatkannya pada Civic Type R.

Seorang lagi media mendedahkan Prelude menawarkan aspek pemberhentian yang lancar dan linear, terima kasih kepada sistem brek Brembo yang tersembunyi di sebalik rim hitam 19 inci dan balutan tayar Continental Premium Contact 6 itu.

 

Honda Prelude serba baharu ini akan dilancarkan pada tahun 2025, dan bertindak sebagai pengganti kepada model coupe Civic dan Accord yang telah dihentikan penawarannya.

Kami jangkakan Prelude 2026 akan membuat kemunculan rasmi pada Tokyo Auto Salon 2025 pada 10-12 Januari tahun depan.

Tiga kelemahan yang ada pada Nissan Kicks e-Power

Baru-baru ini di Pameran Mobiliti Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIMS) 2024, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) menandakan kebangkitan semulanya menerusi pelancaran Nissan Kicks e-Power.

Kicks e-Power untuk pasaran Malaysia akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Ini bermakna kita akan mendapat model generasi pertama versi facelift yang sebenarnya telah dilancarkan di negara itu empat tahun lalu.

Walaupun ia bukan produk paling segar dalam pasaran, Kicks menawarkan sesuatu yang baharu iaitu trenkuasa e-Power. Trenkuasa ini mempunyai enjin pembakaran dalaman namun tidak seperti hibrid konvensional, ia bertindak sebagai penjana sahaja.

Tayar dipacu 100% oleh motor elektrik pada setiap masa, bermakna anda dapat menikmati pemanduan yang boleh dikatakan hampir sama seperti EV tanpa perlu risau tentang pengecasan.

Ini memang menarik dan sudah tentu dapat membantu meningkatkan kecekapakan bahan api namun semasa pandu uji media baru-baru ini, penulis mendapati mempunyai tiga kekurangan.

Reka bentuk luaran berusia

Seperti yang dikatakan, Kicks e-Power sebenarnya produk yang sudah agak berusia. Ini boleh dilihat menerusi reka bentuk luarannya yang sudah jelas agak berusia jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekatnya.

Jangan salah sangka, penampilannya bukan tidak menarik tetapi ia tidak mempunyai sebarang elemen yang boleh membuatkannya kelihatan lebih menonjol di bilik pameran.

Namun seperti yang anda sedia maklum, penampilan, reka bentuk dan hal-hal yang sewaktu dengannya adalah subjektif. Tidak semua mahukan kereta yang terlampau flashy – ada yang lebih gemar tampil lebih kasual dan bersahaja.

Ruang dalaman yang kurang mengujakan

Ruang dalaman Kicks tampil kemas dan ringkas tetapi seperti bahagian luarannya, ia sudah mula menampakkan usianya.

Ini kerana susun aturnya boleh dikatakan 95% hampir sama dengan ruang kabin Almera cuma Kicks mempunyai tombol gear yang nampak lebih canggih tetapi terasa agak janggal digunakan.

Selain itu, penggunaan kemasan plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu sedikit sebanyak mencacatkan seri kereta ini. Ruang penumpang belakang juga dirasakan agak sempit, walaupun ukuran jarak rodanya 5 mm lebih panjang berbanding HR-V.

Ruang but agak besar tetapi…

Kicks e-Power mempunyai ruang but yang boleh tahan besar dengan keluasan 423 liter. Cuma sayangnya ia tidak didatangkan dengan tayar simpanan. Sebaliknya, anda akan mendapat kit pembaikan tayar.

Adakah keputusan untuk tidak menyertakan tayar simpanan dibuat atas dasar kos atau teknikal? Tidak mustahil jika ia disebabkan oleh faktor kos kerana pasaran kereta di Malaysia secara umumnya agak sensitif kepada harga.

Faktor teknikal juga masuk akal kerana trenkuasa hibrid seperti e-Power melibatkan penggunaan lebih banyak komponen dan mungkin ada di antara komponen berkenaan yang perlu diletakkan di bawah lantai but.

Chery Tiggo 7 Pro mesra poket tetapi cukup lengkap – Pandu Uji

Tiggo 7 Pro merupakan model keempat yang dilancarkan oleh Chery Malaysia selepas Omoda 5, Tiggo 8 Pro dan Omoda E5.

Seperti tiga model yang hadir sebelumnya, Tiggo 7 Pro dilihat mempunyai peranan besar dalam usaha Chery untuk memperkukuhkan kehadiran jenamanya di negara ini buat kali kedua.

Ini kerana ia bersaing dalam segmen yang cukup sengit iaitu SUV segmen C, bersama-sama dengan jenama-jenama yang lebih kukuh seperti Proton dengan X70 dan Honda dengan CR-V yang cukup popular.

Sebagai pendatang baharu, Tiggo 7 Pro berdepan cabaran besar kerana pesaing-pesaing terdekatnya diakui memang hebat-hebat belaka namun penulis mendapati SUV dari China ini terbukti mampu memberikan saingan sengit dalam segmennya.

Maksud penulis, dengan harga bawah RM130,000, Tiggo 7 Pro menawarkan nilai hebat terutamanya dari segi kelengkapan, prestasi dan keselamatan. Ia adalah alternatif yang cukup berbaloi bagi mereka yang tidak mahu berbelanja terlalu tinggi.

Penampilan Tiggo 7 Pro tidaklah terlalu menonjol jika dibandingkan dengan X70 2025 atau CR-V tetapi ia masih kelihatan cukup bergaya dengan imej matang dan segak yang sesuai untuk golongan profesional.

Seperti yang dikatakan, model ini tidak flashy tetapi ia mampu menarik perhatian dengan perincian seperti kemasan berlian ala Mercedes-Benz pada gril, lampu belakang melintang penuh dan kemasan berwarna biru pada bampar hadapan.

Ia memakai rim aloi berukuran 18 inci dengan rekaan yang cantik. Terselindung di sebaliknya adalah angkup brek berwarna merah – sesuatu yang agak janggal untuk SUV keluarga seperti ini namun mereka yang berjiwa sporty mungkin menyukainya.

Dari segi saiz, ia mempunyai ukuran panjang 4,513 mm, lebar 1,862 mm dan tinggi 1,696 mm. Ini menjadikannya lebih pendek berbanding X70 dan CR-V tetapi lebih tinggi berbanding kedua-dua model tersebut.

Sementara itu, dengan ukuran 2,670 mm, tapak rodanya sama panjang dengan tapak roda X70 tetapi 30 mm lebih pendek berbanding tapak roda CR-V.

Walaupun lebih kecil daripada pesaingnya, ruang kabin Tiggo 7 Pro dirasakan cukup besar dan luas untuk lima sekeluarga. Gabungan bahan yang digunakan pula tidak rasa murah dan membuatkan tanda harganya nampak cukup berbaloi.

Anda akan menemui upholsteri kulit (bukan tulen) membaluti sebahagian besar papan pemuka, tempat duduk dan stereng, serta sedikit trim kayu dan perincian aluminium dan hitam berkilat.

Apa yang menarik, papan pemukanya juga dihiasi dengan kemasan gentian karbon palsu, sekali gus melengkapkan imej sporty yang dicetuskan oleh angkup brek merah tadi.

Dari segi kelengkapan, boleh dikatakan pembeli mendapat segalanya yang sepatutnya ada untuk kenderaan dalam pasaran ini.

Sebagai contoh, sistem infohibur dan semua maklumat penting kenderaan boleh diakses menerusi paparan besar berukuran 24.6 inci. Ia sebenarnya merangkumi dua paparan berasingan, masing-masing sebesar 12.3 inci.

Turut disertakan adalah Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara, pengecas tanpa wayar 50W dan pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna.

Sementara itu, ciri-ciri seperti sistem pendingin hawa dua zon, pelarasan kuasa enam hala untuk pemandu dan empat hala untuk penumpang hadapan, bumbung panoramik dan Keyless Entry dengan Walk-Away Auto Lock memberikan keselesaan dan kemudahan kepada pemandu dan penumpang.

Jangan terpedaya dengan ukuran badannya yang agak kecil kerana Tiggo 7 Pro cukup luas untuk dijadikan sebagai kereta keluarga.

Tempat duduk belakang cukup besar, menawarkan sokongan peha yang mencukup dan tidak terlalu tegak. Bentuk badan konvensionalnya juga bermakna ruang kepala belakang luas dan sesuai untuk penumpang yang tinggi.

Ruang butnya, walaupun lebih kecil daripada but X70 dan CR-V dengan kapasiti 475 liter, sebenarnya masih cukup besar dan luas. Jika anda perlukan ruang yang lebih besar, lipat kerusi belakang dan anda akan mendapat ruang sebesar 1,672 liter.

Untuk sistem keselamatan pula, anda tidak perlu risau kerana Chery melengkapkan SUV ini dengan pelbagai ciri aktif dan pasif seperti Autonomous Emergency Braking, Multi Collision Brake, Blind Spot Detection, Traffic Jam Assist, Adaptive Cruise Control, Lane Change Assist dan pelbagai lagi.

Jika ini tidak mencukupi, ia juga didatangkan dengan tujuh beg udara serta sistem kamera 540 darjah lengkap dengan penanda bagi memudahkan lagi pemandu mengemudi di kawasan-kawasan sempit.

Biarpun berstatus kereta China, tiada soal dari segi kualiti kerana paparan daripada kamera cukup terang dan tajam, mengalahkan sesetengah SUV lain yang lebih mahal.

Reka bentuknya cukup segak, manakala kelengkapan yang disertakan lebih daripada mencukupi, tetapi bagaimanakah prestasi Tiggo 7 Pro di jalan raya?

Buka bonet dan anda tidak akan nampak apa-apa kerana enjin turbo 1.6-liter dan semua komponen berkaitan disembunyikan dengan baik oleh penutup plastik yang besar.

Enjin empat silinder itu menghasilkan 197 PS dan 290 Nm, lebih tinggi berbanding apa yang ditawarkan oleh enjin-enjin tiga silinder Proton dan Honda pada X70 dan CR-V.

Dengan transmisi DCT tujuh kelajuan yang memacu roda hadapan, SUV ini dikatakan boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 205 km/j.

Tidak dinafikan, gabungan enjin dan transmisi itu memberikan Tiggo 7 Pro kuasa pecutan yang agak kuat yang menjadikannya begitu seronok dipandu di lebuh raya yang terbentang luas.

Walau bagaimanapun, apabila memasuki jalan-jalan sibuk di dalam kawasan bandar, penulis mendapati trenkuasa ini kurang lancar dan ada kalanya ia tersengguk-sengguk sedikit ketika hendak mula bergerak.

Chery berkata trenkuasa ini mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api sekitar 7 l/100 km (14.2 km/l). Penulis mendapat bacaan sekitar 8.9 l/100 km (11.2 km/l) dengan pemanduan bercampur lebuh raya dan bandar. Boleh tahan juga untuk gaya pemanduan yang sedikit agresif.

Sistem suspensinya boleh dikatakan tipikal untuk sebuah kereta jenama China. Ia lembut dan selesa, manakala serapan hentakannya juga memuaskan, membuatkan penulis lebih yakin ketika melalui jalan kurang rata.

Namun begitu, kelembutan sistem suspensinya membuatkan Tiggo 7 Pro terasa sedikit goyah jika dipandu terlalu laju. Ia masih boleh mengendalikan selekoh dengan baik cuma jika terlalu dipaksa, ia akan mula bergelut.

Dalam erti kata lain, penulis merasakan yang Tiggo 7 Pro lebih sesuai untuk pemanduan santai dan bersahaja, walaupun memiliki enjin yang berkuasa dan elemen-elemen reka bentuk agresif seperti angkup brek merah dan trim gentian karbon.

Konklusi

Jika anda sedang mencari sebuah SUV segmen C yang serba boleh, Chery Tiggo 7 Pro mungkin pilihan yang paling tepat.

Reka bentuknya bukanlah yang paling menonjol dalam segmennya namun model ini mampu menarik perhatian pembeli dengan senarai kelengkapan yang cukup panjang dan prestasi yang memuaskan.

Risau tentang selepas jualan? Bertenang kerana Chery Malaysia menawarkan waranti selama tujuh tahun/150,000 km, khidmat trak tunda percuma 24/7 dan pakej servis percuma selama lima tahun untuk Tiggo 7 Pro.

Spesifikasi Chery Tiggo 7 Pro

Harga: RM123,800
Enjin: Petrol turbo 1.6-liter, empat silinder
Kotak gear: DCT tujuh kelajuan
Kuasa: 197 PS
Tork: 290 Nm

Leapmotor C10, ada ruang untuk segalanya – Pandu uji ringkas

Sebagai sebuah nama besar yang menaungi jenama-jenama popular seperti Alfa Romeo, Citroen, Maserati dan Peugeot, pastinya kedengaran agak pelik apabila jenama Leapmotor duduk di bawah naungan Stellantis.

Untuk makluman, Leapmotor (atau Ling Pao) sebenarnya merupakan sebuah syarikat automotif China yang ditubuhkan pada tahun 2015.

Hanya pada tahun 2023, Stellantis memperoleh 20 peratus pegangan dalam Leapmotor untuk meletakkannya sama baris dengan jenama-jenama Eropah yang disebutkan tadi.

Tidak perlu menunggu dengan lebih lama, Stellantis Malaysia pada April 2024 mengumumkan kehadiran Leapmotor untuk pasaran tempatan, diposisikan sebagai jenama EV mampu milik.

Model pertama yang dijual ialah sebuah SUV segmen D, Leapmotor C10 yang telah dilancarkan secara rasmi enam bulan selepas itu, dengan harga jualan RM159,000.

Baru-baru ini pihak Stellantis Malaysia mengajak para pengamal media automotif untuk merasai sendiri pemanduan Leapmotor C10 menuju ke Gambang, Pahang.

Berikut merupakan catatan ringkas kami selepas memandu SUV ini selama dua hari:

 

1. Dimensi

Tidak seperti model-model EV (rata-rata hatchback, SUV atau sedan) yang ada di pasaran, Leapmotor C10 lebih sesuai dikategorikan sebagai kenderaan elektrik untuk kegunaan keluarga.

Saiznya yang agak besar, dengan ukuran sepanjang 4,739 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,680 mm dan jarak antara roda 2,825 mm.

Dalam julat harga yang sama, Leapmotor C10 bersaing dengan model berenjin pembakaran seperti Chery Tiggo 8 Pro dan Proton X90.

Saiz yang hampir sama namun C10 didatangkan dengan konfigurasi lima tempat duduk, berbanding tujuh pada dua model yang disebutkan tadi.

2. Kuasa

Hanya ada satu varian sahaja ditawarkan di Malaysia, dengan motor elektrik tunggal pacuan roda belakang berkuasa 215 hp dan 320 Nm.

Nampak macam tinggi, tapi selepas kami memandu uji SUV elektrik ini, pecutan yang diberikan tidaklah seagresif mana-mana EV yang ada di pasaran.

Namun, ia bukanlah bermakna C10 ini sebuah ‘anak gajah’ yang malas untuk bergerak, cuma anda boleh jangkakan hamburan kuasa yang lebih lancar untuk memastikan tiada seorang pun ahli keluarga mengadu sakit leher semasa memulakan perjalanan.

Bahkan di atas lebuh raya, penulis tidak mempunyai masalah untuk memastikan SUV elektrik ini mampu memintas mana-mana lori treler yang perlahan di lorong kiri dengan selamat tanpa menyebabkan kereta yang laju di belakang menyalakan lampu suluhan tinggi – walaupun sarat dengan penumpang.

Dengan pek bateri 69.9 kWh, Leapmotor C10 boleh bergerak sejauh 420 km untuk sekali cas penuh.

Berdasarkan pemanduan yang dibuat, kami berjaya sampai ke destinasi dengan jarak gerak tersisa sekitar 112 km dan purata penggunaan tenaga sekitar 20.1 kWh/100 km, tinggi sedikit berbanding angka rasmi 19.8 kWh/100 km.

 

3. Pemanduan

Kami mengambil kesempatan untuk menguji tahap pengendalian SUV ini semasa merentasi laluan lebuh raya KL-Karak dan Genting Highlands.

Mengejutkan apabila penulis dapati SUV bersaiz besar ini juga boleh dikendalikan dengan baik di setiap selekoh dan laluan mendaki di jalan yang sangat popular itu.

Untuk kembali semula ke kelajuan yang diinginkan juga tidak mendatangkan masalah tanpa menyebabkan penumpang rasa pening dengan pecutan yang mendadak.

Cuma, walaupun C10 dilengkapi dengan sistem suspensi yang bekerja baik menyerap segala hentakan dengan cemerlang dan tayar Dunlop e-Sport Maxx yang memastikan SUV ini melekat sepanjang masa di selekoh, ia tidak diseimbangkan dengan respons stereng yang memuaskan.

Kebanyakan masa ia mampu patuh kepada setiap arahan yang diberikan oleh pemandu, namun keadaan menjadi kurang menyenangkan apabila sistem ADAS seperti bantuan pengekalan lorong kecemasan (ELKA) dan kawalan pemusatan lorong (LCC) cuba masuk campur.

Sistem yang disebutkan itu tadi akan bertindak agresif untuk membetulkan arah putaran stereng sekiranya mendapati pemandu tidak memandu kereta dengan betul.

‘Gangguan’ yang berterusan itu akan membuatkan pemandu lebih penat berbanding kebiasaan disebabkan perlu untuk melawan apa yang cuba dibetulkan oleh sistem.

Jadi, lebih senang untuk penulis matikan sahaja fungsi tersebut sejak dari awal, dan membiarkan fungsi yang lebih penting terus bekerja untuk memastikan SUV ini selamat atas jalan raya.

Penulis lebih gemar sekiranya sistem mengingati tetapan yang telah dibuat sejak dari awal, di mana pemandu tidak perlu untuk membuang masa lebih lama menatap menu di skrin setiap kali perlu memandu C10 ini keluar.

Satu perkara yang membuatkan pemanduan C10 kurang meyakinkan ialah respons pedal brek yang rasa kosong.

Perkara tersebut tidak begitu dirasai ketika pemanduan berkelajuan tinggi, di mana sistem brek beroperasi dengan baik, namun pada kelajuan rendah, ada ketikanya SUV ini rasa seperti tidak mahu berhenti biarpun pedal brek ditekan rapat ke lantai.

Seolah-olah tiada titik gigit brek dirasakan, kosong. Takkan lah setiap kali nak berhenti perlu bergantung kepada sistem brek kecemasan, kan?

4. Dalaman

Untuk sesi pandu uji kali ini, penulis memulakan perjalanan dengan duduk sebagai penumpang di baris kedua.

Kebiasaannya, penulis akan rasa cepat rasa pening dan mual apabila tidak bertugas memegang roda stereng namun kali ini penulis mampu berehat (dan tidur sebentar) dengan selesa sepanjang perjalanan.

Ini kerana penumpang boleh melaraskan sudut sandaran bagi tempat duduk belakang (ada dua sudut) supaya lebih selesa sepanjang perjalanan.

Mungkin sekali penggunaan upholsteri kulit silikon yang dinamakan sebagai Oeko-Tex banyak menyumbang kepada perjalanan yang lebih selesa, disebabkan struktur bahan yang lembut dan mesra punggung.

Ia juga mempunyai ciri kalis air dan tidak mengandungi bahan toksik yang berbahaya kepada golongan bayi – satu ciri yang sangat berguna untuk kebanyakan keluarga di Malaysia yang mempunyai anak kecil.

Selain ruang kaki yang cukup besar, penumpang di belakang juga tidak rasa lemas kerana ia menawarkan ruang kepala yang cukup besar, terima kasih kepada bumbung panorama yang cukup luas dan mempunyai tirai untuk menghalang sinaran mentari panas tengah hari.

Upholsteri berwarna hitam mungkin kedengaran sudah agak biasa, jadi terdapat opsyen untuk mendapatkan kemasan warna Criollo Brown yang lebih cerah, itu pun jika anda berminat dengan warna Glazed Green yang cukup cantik itu.

Aspek NVH juga memuaskan, boleh dikatakan bunyi bising angin daripada luar ditapis dengan baik, bunyi bising tayar juga kurang kedengaran dari dalam kabin.

Kelebihan lain yang wujud ialah ruang kargo sebesar 435 liter yang boleh ditingkatkan kepada 1,410 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.

 

5. Papan pemuka terlalu minimalis

Untuk seorang yang sudah terbiasa dengan kewujudan pelbagai jenis butang dan tombol fungsi pada sesebuah kenderaan, masuk ke dalam Leapmotor C10 mewujudkan satu perasaan yang kurang senang.

Ini kerana susun atur papan pemuka yang terlalu ringkas dan minimalis, selain banyak bergantung sepenuhnya kepada menu yang tertanam pada skrin paparan akan membuatkan tumpuan pemandu lebih mudah terganggu di atas jalan.

Jadi, jika anda berminat dengan C10, cuba elakkan memandu seorang diri, dan anda akan hargai setiap bantuan yang diberikan ketika anda mahu sesebuah tetapan diubah.

Seperti contoh, arah tiupan angin sejuk, larasan suhu, mahu mematikan suluhan lampu utama, atau sekadar mahu mematikan fungsi tertentu dalam sistem ADAS.

Lebih menyedihkan apabila tetapan cermin sisi juga perlu diakses menerusi skrin utama.

Mujur Leapmotor tidak meniru perangai Tesla dengan menghilangkan terus tuil lampu isyarat membelok dan menggantikannya dengan butang di stereng.

Lagi satu, jika anda sudah terbiasa dengan menekan butang pandu mula, anda perlu pelajari cara baharu pada C10 dengan mengimbas kunci berbentuk kad pada bahagian konsol tengah sebelum menarik tuil transmisi ke arah posisi D.

Ya, setiap kali sebelum anda memulakan perjalanan.

Satu lagi kelemahan yang kami sukar untuk terima ialah ketiadaan sokongan Apple CarPlay/Android Auto.

 

6. Ada mod ‘healing’

Satu fungsi menarik yang boleh dimanfaatkan oleh pemandu selepas setiap kali pemanduan ialah Nap Mode.

Apabila mod ini diaktifkan, anda boleh menikmati bunyi-bunyi persekitaran seperti hujan, aliran air sungai, cengkerik dan pukulan ombak di persisiran pantai semasa sedang berehat.

Anda juga boleh menetapkan tempoh masa tidur yang diperlukan, dan sistem akan mengejutkan anda setelah sesi tersebut tamat.

Dengan fungsi pengudaraan pada tempat duduk, ia akan menjadikan sesi tidur sebentar anda lebih selesa sementara menunggu masuk waktu solat atau isteri anda selesai membeli belah.

Di penghujung hari, dalam pasaran yang sudah dibanjiri dengan pelbagai jenis model EV, Leapmotor C10 nyata boleh lebih menonjol dengan kelebihan ruang yang ditawarkan, sesuai untuk kegunaan keluarga setiap hari.

Itu pun jika anda tidak kisah dengan rekaan papan pemuka yang terlalu minimalis, serta rutin yang perlu dibuat setiap hari, setiap kali sebelum memulakan perjalanan.

Dengan harga jualan bawah RM160,000, bolehkah Leapmotor C10 ini jadi satu pembelian yang berbaloi? Mungkin sekali ya.

 

Spesifikasi Leapmotor C10

Motor elektrik: Tunggal, pacuan roda belakang (RWD)
Kuasa: 215 hp, 320 Nm
Pecutan: 7.5 saat (0-100 km/j)
Kelajuan maksimum: 170 km/j
Bateri: LFP 69.9 kWh
Jarak gerak: 424 km (data WLTP)
Suspensi: MacPherson/Multi-Link
Jarak kelegaan tanah: 180 mm
Kargo: 435 liter/1,410 liter

 

Leapmotor C10 warna Glazed Green

Kempen terbaharu Peugeot Malaysia tawar sesi pandu uji selama tiga hari!

Peugeot Malaysia mengumumkan kempen terbaharu “Peugeot Weekender Experience” di mana para pelanggan boleh menikmati sesi pandu uji sehingga tiga hari.

Kempen yang pertama seumpamanya ini membenarkan pelanggan memilih tiga model berbeza iaitu crossover sedan Peugeot 408, SUV Peugeot 2008 dan trak pikap Landtrek untuk digunakan sepanjang hujung minggu, atau hari biasa.

Pelanggan juga boleh memanfaatkan fungsi ChatGPT yang terbina dalam website mikro untuk mencipta jadual perjalanan yang disesuaikan dengan personaliti dan minat masing-masing.

Menurut Pengarah Urusan Stellantis Malaysia, Jamie Francis Morais berkata, “Sejak bertahun-tahun, kita menggunakan cara tradisional di mana pelanggan melangkah masuk ke pusat pameran dan menghabiskan masa selama beberapa minit memandu di kawasan sekitar. Penggunaan cara ini tidak mempamerkan keupayaan sebenar kereta dan pengalaman pemilikan sebuah Peugeot.

“Menerusi Peugeot Weekender Experience, kami mahu mengubah bagaimana pelanggan kami merasai kenderaan kami. Kami mahu mereka memiliki kebebesan dan fleksibiliti untuk tempoh beberapa hari untuk menikmati pengalaman sebenar, dan melihat bagaimana sebuah Peugeot mampu melengkapkan keperluan gaya hidup dan mobiliti.

Terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai lesen memandu yang sah, Peugeot Weekender Experience boleh disertai dengan berkunjung ke mana-mana pusat pameran sah Peugeot dan mengimbas kod QR yang disediakan.

Alternatifnya, anda boleh berkunjung ke laman web mikro peugeotweekenderexperience.com, isi maklumat peribadi dan pilih pusat pameran yang berdekatan.

 

Haval H6 HEV, boleh ke tapau Corolla Cross Hybrid, CR-V e:HEV? – Pandu Uji

Di peringkat global, trend pemilikan kenderaan elektrik dilihat menjadi semakin perlahan.

Rata-rata pengeluar utama automotif dunia mula menarik brek tangan dan membuat pusingan U untuk kembali menghasilkan kenderaan bahan bakar fosil untuk para pelanggannya.

Apa yang pasti, teknologi zaman purba itu masih lagi belum menemukan titik penghujungnya, dan ia kini ditambah baik dengan bantuan sistem hibrid untuk jarak perjalanan yang lebih jauh berbanding kereta elektrik bateri (BEV) dan semestinya kereta ICE tulen.

Salah satu kereta hibrid buatan China yang sudah pun wujud di pasaran Malaysia ialah Haval H6 HEV.

Dilancarkan secara rasmi beberapa bulan lepas, Haval H6 HEV merupakan pendatang baharu SUV segmen C untuk melawan pesaing seperti Honda CR-V, Mazda CX-5 dan juga Proton X70.

Selain daripada pakej saiz, Haval H6 HEV juga datang dengan pakej harga yang cukup menarik perhatian – RM139,800, meletakkannya lebih murah berbanding dengan Toyota Corolla Cross Hybrid.

Adakah dengan taktik harga murah itu mampu menarik golongan pembeli daripada mendapatkan Corolla Cross, atau CR-V yang lebih sofistikated?

Kami berjaya mendapatkan unit pandu uji Haval H6 HEV untuk tempoh beberapa hari dan ini merupakan hasil penilaian kami:

 

1. Rekaan luaran

Dalam banyak-banyak SUV segmen C yang ada, boleh dikatakan Haval H6 HEV ini mempunyai rekaan yang agak selamat.

Tiada sebarang garis-garis tajam yang agresif, reka bentuknya membulat, tapi tidaklah terlalu pau rupanya macam Proton X70.

Muka depan tampak garang dengan kehadiran lampu utama LED serta struktur jeriji lebar ‘Star Matrix’, cuma rim 19 inci itu dilihat agak kecil bila duduk di bawah gerbang roda SUV ini.

Untuk bahagian belakang pula, ia mendapat bar lampu LED melintang penuh, serta gugusan empat unit lampu brek yang bertenggek pada spoiler.

Senang cerita, rekaannya memang biasa-biasa saja. Tiada apa yang ‘wow’. Melainkan kewujudan lencana HEV yang menandakan ia bukanlah SUV yang malas bergerak macam anak gajah.

Faktor rupa yang agak selamat itu juga berjaya menyembunyikan fakta bahawa ia sebenarnya sebuah SUV yang agak besar!

Dengan ukuran 4,683 mm x 1,886 mm x 1,730 mm, Haval H6 jauh lebih lebar dan lebih tinggi berbanding Honda CR-V, dengan kelebihan jarak antara roda yang lebih panjang.

 

2. Rekaan dalaman

Mengikuti trend semasa, Haval H6 HEV membawakan susun atur ruang kabin yang lebih minimalis.

Kelengkapannya juga serba lengkap, ada skrin digital 10.25 inci di hadapan pemandu, skrin infohibur 12.3 inci yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto (ciri penting untuk sebuah kereta moden!), kawalan iklim dua zon, slot pengecasan peranti tanpa wayar, bumbung kaca panorama, skrin paparan head-up dan sistem audio dengan lapan pembesar suara.

Pada bahagian konsol tengah, terdapat beberapa butang fungsi penting, cuma sayang sekali ia tidak menyertakan fungsi yang jauh lebih penting – kawalan suhu dan kelajuan hembusan angin sejuk.

Semuanya anda perlu selongkar sendiri menerusi skrin tengah. Hmmm… Sudah pasti ia mendatangkan kesulitan terutama ketika memandu seorang diri.

Penulis juga tidak begitu gemar dengan kemasan tiga tona yang menampilkan warna rose gold itu, rasa agak mengganggu tumpuan pemanduan.

Beralih kepada skrin hadapan, apa yang kami hargai ialah kesudian pihak GWM untuk tidak membanjirkan skrin tersebut dengan segala macam logo dan simbol-simbol yang menyemakkan mata memandang.

Reka letak dan grafik amat tajam dan mudah untuk dibaca, cuma sayang sekali kurang pilihan penyesuaian paparan disertakan untuk penulis yang lebih menggemari paparan meter kelajuan stail analog.

 

3. Pakej kuasa yang mengujakan

Ini merupakan antara SUV hibrid yang paling berkuasa di dalam kelasnya.

Haval H6 HEV dibekalkan dengan sistem enjin hibrid berkuasa 243 PS dan 530 Nm, terdiri daripada nadi empat silinder sebaris 1.5 liter turbo (150 PS/230 Nm), motor elektrik tunggal (177 PS/300 Nm), kotak gear DHT (Dedicated Hybrid Transmission) dua nisbah kelajuan dan sistem pacuan roda depan.

Dengan mod Sport yang tersedia, Haval H6 HEV mampu memecut sepantas 7.75 saat dari pegun sebelum mencapai kelajuan 100 km/j.

Sebagai perbandingan, Corolla Cross Hybrid didatangkan dengan enjin 1.8 liter kitaran Atkinson aspirasi semula jadi (NA) berkuasa 98 PS/142 Nm dan motor elektrik tunggal 72 PS/163 Nm, menghasilkan kuasa keseluruhan 122 PS.

Manakala CR-V e:HEV pula mendapat nadi hibrid 2.0 liter NA yang digandingkan dengan dua motor elektrik untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 181 PS dan 335 Nm.

 

4. Pemanduan

Atas kertas memang nampak bertenaga, cuma hamburan kuasa yang diberikan oleh Haval H6 HEV tidaklah seagresif kereta sports atau kereta elektrik (EV) dengan tork yang menggila.

Saat pedal pendikit ditekan rapat ke lantai, anda boleh merasai pecutan yang responsif dan lancar tanpa menyebabkan leher anda kesakitan akibat daya G yang tinggi.

Kuasa ini sebenarnya sangat diperlukan ketika anda sedang memandu dengan ruang kabin yang sarat dengan penumpang dan barang, dan ketika itu perlu memotong lori treler lapan belas tayar di hadapan yang agak perlahan di jalan lama sebab terlebih muatan.

Satu perkara yang kami boleh puji SUV ini ialah tahap gegaran enjin yang langsung tidak dirasakan dari dalam ruang kabin.

Walaupun ada ketika SUV ini memerlukan kerahan tenaga ekstra, operasi enjin 1.5 liter turbo itu sangat cekap tanpa kehadiran bunyi bising dan gegaran yang disebutkan tadi.

Dengan dimensi yang agak besar, SUV ini masih lagi senang untuk dikawal, cuma roda stereng itu dirasakan terlalu besar – terasa macam pandu lori pun ada.

Aspek pengendalian juga memuaskan di mana ia lebih ditala untuk aspek keselesaan semua penumpang.

Sistem gantungan Haval H6 HEV bekerja dengan baik untuk menyerap segala kekasaran dan lubang yang muncul dari permukaan jalan raya, dan dalam masa yang sama tidak membuai dengan teruk di laluan yang berselekoh.

Sistem brek juga berfungsi dengan cemerlang untuk menghentikan pergerakan SUV yang berat ini daripada kelajuan tinggi, cuma pada kelajuan rendah anda memerlukan masa untuk membiasakan diri dengan respons pedal supaya SUV ini tidak berhenti secara mengejut.

Menurut GWM, untuk satu tangki penuh Haval H6 HEV dikatakan mampu bergerak sejauh 1,000 km.

Angka tersebut sebenarnya telah pun dicapai oleh beberapa rakan media kami yang sudah menguji pandu SUV ini.

Berdasarkan pengalaman peribadi, penulis berjaya mencapai angka jarak pemanduan melebihi julat 700 km – angka impresif tersebut boleh dicapai walaupun penulis tidak memandu secara santai demi mendapatkan manfaat penjimatan bahan api.

Sudah pasti, ia amat berguna untuk pemanduan jarak jauh di mana anda tidak perlu untuk berhenti dengan lebih kerap untuk melakukan pengisian bahan api.

 

5. Keselesaan

Tatkala penulis amat berpuas hati dengan hamburan kuasa yang diberikan oleh SUV hibrid ini, ada perkara utama yang perlu diberikan tumpuan oleh GWM – keselesaan.

Untuk pemanduan jarak dekat, apa yang ditawarkan oleh Haval H6 HEV tidak akan mendatangkan masalah keselesaan yang ketara.

Namun bagi pihak berkeluarga yang kerap membuat pemanduan jarak jauh (balik kampung contohnya) mungkin sukar untuk mempertimbangkan SUV ini.

 

Apa yang penulis perasan ialah tempat duduk Haval H6 HEV tidak menawarkan sokongan bawah peha yang mencukupi.

Jadi, sepanjang masa kaki pemandu dan penumpang akan rasa tergantung dan ini akan membuatkan kita rasa lebih cepat penat.

Faktor dimensi yang besar membolehkan Haval H6 menyediakan ruang kaki dan kepala yang besar dan selesa, cuma ia tidak diseimbangkan dengan balutan upholsteri yang menyenangkan.

Terdapat fungsi ‘boss switch’ membolehkan pemandu melaraskan kedudukan kerusi penumpang hadapan sekiranya penumpang di sebelah terlena akibat kepenatan – ciri yang sangat diperlukan oleh suami mithali.

Dari segi praktikaliti pula, Haval H6 HEV menyediakan ruang kargo sebesar 560 liter, cukup besar untuk memuatkan barangan seperti beg bagasi dan plastik bungkusan dari pusat membeli belah terkemuka.

Jika anda mahukan ruang yang lebih besar, lipat sahaja tempat duduk baris kedua, dan anda akan diberikan ruang kargo sebesar 1,485 liter.

Akhir sekali, kami dapati aspek NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) Haval H6 HEV berada di tahap yang agak memuaskan.

Dengan penggunaan tayar yang lebih senyap, ia sedikit sebanyak membantu menjadikan ruang kabin Haval H6 yang lebih selesa, bunyi bising angin yang menderu juga turut ditapis dengan berkesan.

Cuma satu perkara yang penulis harus ingatkan, walaupun senyap, tayar standard yang digunakan pada Haval H6 HEV ini tidak sesuai untuk mereka yang menggemari corak pemanduan yang agresif.

Sedikit pelaburan besar amatlah diperlukan supaya anda boleh menikmati pemanduan berprestasi Haval H6 HEV yang lebih seimbang.

 

6. Hibrid, tapi boleh pandu macam EV!

Anda mungkin tertanya-tanya kenapa Haval H6 HEV hanya didatangkan dengan kotak gear 2 nisbah kelajuan sahaja.

Jawapannya mudah, Haval H6 HEV bergantung hampir sepenuhnya pada motor elektrik untuk bergerak dan tidak memerlukan nisbah gear yang terlalu banyak.

Enjin 1.5 liter turbo itu hanya akan dihidupkan sekiranya pemandu memerlukan kuasa ekstra untuk pemanduan agresif.

Kapasiti pek bateri yang dibekalkan agak kecil, sekitar 1.7 kWh sahaja namun sudah cukup untuk membenarkan Haval H6 HEV ini berperangai macam sebuah EV tulen!

Jarak gerak yang ditawarkan tidaklah terlalu jauh sehingga berbelas-belas kilometer, namun penulis perasan Haval H6 HEV ini langsung tidak menggunakan kuasa enjin semasa memandu di tengah-tengah ibu kota pada julat kelajuan yang rendah.

Sehinggakan ada yang bertanya, “SUV ni elektrik ke?” disebabkan operasinya yang agak senyap.

 

7. Harga yang agak berbaloi

Pada ketika ini, harga jualan Haval H6 HEV untuk pasaran Malaysia bermula dari RM139,800, menjadikannya sedikit murah berbanding Toyota Corolla Cross Hybrid (RM142,000).

Sebuah lagi SUV segmen C popular, Honda CR-V e:HEV RS dijual pada harga RM195,900 di mana ia hadir dengan rupa paras yang lebih agresif, namun kurang berkuasa berbanding Haval H6 HEV.

Ini secara tidak langsung meletakkan Haval H6 HEV sebagai sebuah model pesaing yang cukup ampuh untuk menentang dua model buatan Jepun, dengan kelebihan dari segi harga, kuasa, dan praktikaliti yang ditawarkan.

 

Persoalannya, dengan kelebihan yang disebutkan di atas, adakah kehadiran Haval H6 HEV mampu menggoncangkan asas yang sudah dibina kukuh oleh dua pengeluar Jepun itu tadi?

Bagi penulis, jawapan sebenar kepada persoalan itu mungkin sukar untuk menggembirakan hati semua pihak.

Ini kerana setelah menilai antara ketiga-tiga SUV tersebut, penulis lebih menggemari aspek pemanduan yang ditawarkan oleh model buatan Jepun yang rasa lebih hidup dan terhubung dengan pemandu, keselesaan penumpang yang jauh lebih baik selain fungsi-fungsi penting yang lebih mudah untuk dioperasikan tanpa perlu bergantung harap sepenuhnya skrin tengah.

Penulis tidak menolak sepenuhnya kelebihan yang wujud pada Haval H6 HEV, namun faktor kepuasan pemanduan adalah lebih penting, jauh mengatasi apa yang cuba digula-gulakan oleh GWM pada model ini.

 

Spesifikasi Haval H6 HEV:

Enjin: Empat silinder sebaris, 1.5 liter turbo
Kuasa: 150 PS/230 Nm
Motor elektrik: 130 PS/300 Nm
Kuasa keseluruhan: 243 PS/530 Nm
Kotak gear: Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua-kelajuan
Pecutan 0-100 km/j: 7.7 saat
Kelajuan maksimum: 175 km/j

 

Tiga benda kami kurang gemar tentang MG5 – Pandu Uji

Baru-baru ini, penulis berkesempatan memandu uji sedan segmen B yang menjadi topik bualan hangat netizen sejak beberapa bulan lalu iaitu MG5.

Sejujurnya, penulis tidak mempunyai harapan yang tinggi terhadap MG5, apatah lagi apabila ia diselubungi isu keselamatan yang boleh dikatakan agak serius.

Tetapi setelah memandunya sejauh kira-kira 800 km dari Kuala Lumpur ke Desaru dan balik, penulis mendapati kereta ini ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar dipertimbangkan sekiranya anda ingin sedang mencari sedan segmen B.

Walau bagaimanapun, semasa sesi pandu uji tersebut, penulis juga menemui tiga perkara yang kurang enak mengenai kereta ini:

Lampu belakang

Secara peribadinya, penulis cukup menggemari rekaan bahagian depan MG5 yang kelihatan tidak ubah seperti Maserati Quattroporte atau Ghibli. Rekaan bumbung ala coupe pula memberikan sedan ini profil sisi yang menarik cuma rim aloi ‘Tomahawk’ berukuran 17 inci nampak agak kecil untuk kereta dengan saiznya.

Dari belakang, pinggul yang lebar (boleh dilihat dari cermin sisi) pula membuatkan MG5 nampak tegap dan stabil di atas jalan raya.

Bagaimanapun, penulis kurang berkenan dengan rekaan lampu belakangnya yang jelas ditiru dari Peugeot. Ia tidaklah hodoh cuma entah mengapa lampu belakang ini sedikit sebanyak mencacatkan penampilan kereta ini.

Ergonomik dan keterlihatan

Di dalam, butang dan skrin sentuh bukan sahaja diletakkan pada posisi yang mudah untuk dicapai, malah dihalakan ke arah pemandu. Namun oleh kerana stereng tidak mempunyai pelarasan teleskopik dan ketinggian kerusi juga tidak boleh diubah, penulis memerlukan masa untuk mencari posisi pemanduan paling ergonomik sebelum memandu.

Bukan itu sahaja, penulis juga mengalami sedikit kesukaran untuk melihat keadaan trafik menerusi cermin pandang belakang kerana bumbung coupenya membuatkan cermin belakang kereta ini agak kecil. Ini diburukkan lagi dengan tiga perehat kepala kerusi belakang yang agak tinggi.

Sistem pendingin hawa

Untuk sebuah kereta berharga RM87,000 (selepas diskaun), penulis berpendapat yang kelengkapan yang disertakan pada MG5 agak berbaloi dan mampu memenuhi keperluan pelanggan.

Cuma, penulis kurang gemar yang kelajuan kipas pendingin hawa hanya boleh dilaraskan menerusi skrin sentuh. Bukan itu sahaja, hanya ada satu corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Ini tidak menjadi masalah bagi mereka yang mempunyai seorang anak sahaja tetapi bagi mereka yang mempunyai dua atau tiga, perebutan mungkin berlaku.

Kia Carnival adalah alternatif kepada Alphard/Vellfire yang berbaloi – Pandu Uji

Di Malaysia, jika bercakap tentang MPV mewah, suka atau tidak suka model-model yang akan terlintas di fikiran adalah Toyota Alphard dan Vellfire.

Sekali sekala, Mercedes-Benz Vito dan Lexus LM akan meniti di bibir mereka yang bercitarasa kayangan tetapi selain daripada itu, memang Alphard dan Vellfire sentiasa menjadi sebutan.

Tiada salahnya kerana penulis pasti kedua-dua model berkenaan memang hebat dan berbaloi untuk dibeli tetapi jika anda inginkan kelainan, pesaing terdekat mereka iaitu Kia Carnival memang berbaloi untuk dimiliki.

Kenapa?

Pertama sekali, saiz. Penulis berpendapat mereka yang membeli MPV biasanya meletakkan ‘saiz’ sebagai antara kriteria tertinggi sebelum membuat keputusan.

Oleh itu jika anda inginkan sebuah kenderaan yang cukup besar dan luas, dapatkan Carnival kerana ia sebenarnya lebih besar berbanding Alphard/Vellfire.

Sebagai perbandingan, Carnival mempunyai ukuran panjang 5,155 mm, lebar 1,995 mm, tinggi 1,740 mm dan jarak roda 3,090 mm.

Kembar Alphard/Vellfire pula berukuran panjang 5,010 mm (5,005 mm untuk Vellfire), lebar 1,850 mm, dan tinggi 1,950 mm, dengan jarak roda 3,000 mm.

Dari segi reka bentuk pula, Carnival membawakan rekaan lebih sporty yang nampak lebih seperti sebuah wagon panjang kerana badannya yang rendah dan lebar. Ini diserlahkan lagi dengan rim aloi 19 inci berwarna hitam, yang menggantikan rim 18 inci sebelum ini.

MPV-MPV Toyota itu pula tidaklah hodoh tetapi rekaan berkotaknya membuatkan kedua-duanya nampak sedikit konvensional jika diletakkan bersebelahan lawannya dari Korea itu.

Untuk ruang dalaman, penulis boleh katakan yang kualiti dan ciri-ciri yang ditawarkan oleh Carnival setanding dengan model-model Jepun itu walaupun hakikatnya perbezaan harga antara model-model ini mencecah hampir RM300,000!

Ya, harus diakui bahawa Alphard/Vellfire terasa lebih mewah sedikit memandangkan ia menampilkan sentuhan Lexus dan material lebih premium seperti balutan kulit Nappa, namun Carnival juga tidak kurang hebatnya.

Material yang membaluti tempat duduk, papan pemuka dan panel pintu dirasakan cukup berkualiti, begitu juga dengan segala butang fizikal yang ada.

Kelengkapan yang ada juga cukup banyak. Antaranya termasuk kluster instrumen digital 12.3 inci, skrin sentuh 12.3 inci, Apple CarPlay dan Android Auto, sistem pendingin hawa tiga zon, fungsi pemanas dan ventilasi tempat duduk pemandu dan penumpang depan, serta sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara.

Bukan itu sahaja, Carnival varian High juga mendapat sistem Blind Spot View Monitor (BVM) yang berfungsi untuk memaparkan paparan video dari kamera cermin sisi pada kluster instrumen digital. Ciri ini boleh diaktifkan dengan menggunakan lampu isyarat membelok.

Secara ringkasnya, penulis boleh katakan kualiti dan kelengkapan yang ditawarkan oleh Carnival berbaloi dengan harganya yang hampir mencecah RM250,000.

Unit yang penulis pandu uji baru-baru ini adalah varian 8 tempat duduk yang mempunyai konfigurasi 2-3-3. Kerusi tengah pada tempat duduk barisan kedua cukup besar untuk penumpang dewasa tetapi jika ia tidak digunakan, ia boleh dilipat menjadi meja kecil, lengkap dengan dua pemegang cawan.

Apa yang lebih menarik, kerusi itu juga boleh dipusingkan ke belakang bagi menghadap tempat duduk barisan ketiga atau ditanggalkan terus.

Bagi mana-mana MPV pun, tempat terbaik untuk duduk adalah di belakang sebagai penumpang. Sama sahaja dengan Carnival, di mana keselesaan penumpang terjamin dengan adanya kawalan pendingin hawa sendiri pada bahagian bumbung, penghadang cahaya matahari dan bumbung suria.

Tidak cukup dengan itu, anak-anak juga tidak perlu berebut port untuk mengecas gajet masing-masing kerana di dalam Carnival, setiap tempat duduk mempunyai port USB masing-masing.

Menjadi perkara lazim bagi mana-mana kenderaan tiga barisan tempat duduk mempunyai ruang kargo yang terhad apabila semua kerusi dinaikkan. Dengan Carnival, ini bukan satu masalah kerana di bawah tempat duduk barisan ketiga adalah ruang storan yang besar dan dalam.

Bagaimana dengan prestasi pemanduannya?

Carnival dikuasakan oleh enjin turbodiesel Smartstream 2.2-liter empat silinder yang dipadankan dengan transmisi automatik lapan kelajuan yang ditugaskan untuk menggerakkan roda depan.

Enjin ini menghasilkan 202 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm yang boleh diakses sepenuhnya seawal 1,750 rpm. Jika dibandingkan dengan enjin turbo 2.4-liter pada Alphard, kuasa kudanya lebih rendah namun jumlah torknya lebih tinggi sedikit sebanyak 10 Nm.

Seperti yang boleh dijangka dari enjin diesel, ketersediaan tork pada julat rpm rendah membuatkan Carnival terasa lancar sewaktu mula bergerak. Malah cara ia memecut langsung bukan seperti sebuah kenderaan dengan berat melebihi dua tan.

Ketika menyusuri lebuh raya, enjin terasa begitu senyap. Jika anda perlu memotong, jangan risau tentang kuasa kerana ia sentiasa terasa cukup walaupun dalam mod Normal.

Kotak gear agak responsif, bermakna anda boleh tekan pedal bila-bila masa sahaja dan ia akan segera menurunkan gear bagi memberikan hamburan kuasa yang diperlukan bagi membolehkan Carnival memotong dengan mudah.

Dengan penyelarasan harga diesel, mungkin ada di antara anda yang khuatir tentang kadar penggunaan bahan api Carnival.

Untuk pengetahuan anda, penulis mencatat penggunaan bahan api sekitar 15 km/l atau 6.7 l/100 km untuk pemanduan bercampur iaitu di bandar dan lebuh raya.

Carnival mempunyai tangki bahan api sebesar 72 liter, bermakna secara teorinya, penulis boleh memandu sejauh kira-kira 1,080 km sebelum perlu membuat pengisian semula.

Sekiranya anda membayar harga diesel tanpa subsidi iaitu RM3.35 seliter, anda perlu membelanjakan sebanyak RM241.20 untuk isian penuh. Adakah berbaloi membayar RM241.20 untuk jarak pemanduan melebihi 1,000 km? Terpulang kepada anda.

Akhir sekali, talaan suspensi dan NVH Carnival juga patut dipuji. Suspensinya agak lembut, bermakna anda boleh melalui permukaan tidak rata dengan yakin dan tanpa perlu menekan brek dengan terlalu kerap.

Walaupun begitu, ada sesuatu pada talaan suspensi yang membuatkan ia Carnival terasa cukup kukuh dan stabil pada kelajuan tinggi. Ini sebenarnya yang membuatkan MPV ini sedap untuk dilenjan.

Aspek NVH dijaga rapi dan sebagai penumpang, anda pastinya akan mengalami perjalanan yang selesa kerana bunyi angin dan tayar diminimumkan dengan cemerlang. Bunyi enjin diesel itu juga jarang kedengaran, kecuali jika anda berdiri di luar.

Konklusi?

Tidak banyak perkara yang penulis boleh katakan tentang Carnival kecuali ia cukup bagus, seronok untuk dipandu dan ada segalanya untuk memenuhi keperluan pembeli. Dan yang paling bagus, harganya yang kompetitif bermakna ia lebih mudah diakses oleh lebih ramai pembeli dalam segmen MPV.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan yang penyelarasan harga diesel mungkin membuatkan sesetengah pihak berfikir dua kali untuk mendapatkan kereta ini.

Tetapi bagi penulis, jika anda boleh berkira-kira untuk membeli sebuah MPV besar dengan harga melebihi RM200,000, anda sebenarnya sudah mampu untuk membayar bahan api tanpa subsidi.

Spesifikasi Kia Carnival 8-Seater High

Harga: RM245,888
Enjin: Smartstream 2.2-liter, empat silinder turbodiesel
Kotak gear: Automatik lapan kelajuan
Kuasa: 202 PS @ 3,800 rpm
Tork: 440 Nm @ 1,750 rpm

Nissan Kicks e-Power mampu pacu kebangkitan Tan Chong? – Pandu uji ringkas

Pengedar rasmi jenama Nissan iaitu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) agak senyap sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Model serba baharu terakhir yang dilancarkan oleh syarikat itu adalah Almera sekitar penghujung 2020. Selepas itu, Nissan seolah-olah hilang dari radar.

Usah ditanya apa yang terjadi sepanjang tempoh itu kerana apa yang lebih penting adalah untuk terus melihat ke depan.

Ini kerana ETCM nampaknya masih belum berputus asa dan sebagai ‘penjaga’ jenama Nissan di Malaysia sejak lebih 60 tahun lalu, syarikat itu bertekad bahawa mereka akan terus berada di sini.

Langkah pertama dalam usaha untuk bangkit semula ini adalah dengan membawa masuk crossover segmen B yang diperkatakan sejak dahulu lagi iaitu Nissan Kicks e-Power.

Kicks e-Power untuk pasaran Malaysia akan diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand. Ini bermakna kita akan mendapat model generasi pertama versi facelift yang sebenarnya telah dilancarkan di negara itu empat tahun lalu.

Ya, kereta yang anda lihat ini bukanlah produk yang paling segar di pasaran namun sekurang-kurangnya bagi jenama Nissan, ia menawarkan sesuatu yang baharu iaitu trenkuasa e-Power.

Lebih menarik lagi, model facelift ini dilengkapi dengan sistem e-Power generasi kedua yang telah dipertingkatkan.

Namun sebelum penulis ulas lebih lanjut tentang e-Power, berapa besar saiz Kicks sebenarnya? Ia mempunyai ukuran panjang 4,290 mm, lebar 1,760 mm dan tinggi 1,605 mm, hampir 100 mm lebih pendek berbanding Honda HR-V.

Dari segi reka bentuk, ada yang mengatakan ia tampak seperti Nissan X-Trail versi mini namun apa-apa pun, penulis merasakan Kicks nampak sudah agak ‘berusia’ walaupun belum lagi dilancarkan ke pasaran.

Jangan salah sangka, penampilannya bukan tidak menarik tetapi ia tidak mempunyai sebarang elemen yang boleh membuatkannya kelihatan lebih menonjol di bilik pameran.

Namun seperti yang anda sedia maklum, penampilan, reka bentuk dan hal-hal yang sewaktu dengannya adalah subjektif. Tidak semua mahukan kereta yang terlampau flashy – ada yang lebih gemar tampil lebih kasual dan bersahaja.

Ruang dalaman Kicks tampil kemas dan ringkas tetapi seperti bahagian luarannya, ia sudah mula menampakkan usianya.

Ini kerana susun aturnya boleh dikatakan 95% hampir sama dengan ruang kabin Almera cuma Kicks mempunyai tombol gear yang nampak lebih canggih tetapi terasa agak janggal digunakan.

Antara kelengkapan yang diberikan secara standard termasuk kerusi Zero Gravity, skrin sentuh lapan inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, paparan meter TFT tujuh inci, tiga port USB dan pelarasan manual tempat duduk pemandu dan penumpang depan.

Varian tertinggi iaitu VLT mendapat sentuhan premium dalam bentuk upholsteri kulit dua tona yang membaluti tempat duduk dan papan pemuka.

Namun masih ada sudut-sudut tertentu yang membuatkan Kicks nampak dan rasa murah. Salah satunya adalah kemasan plastik keras pada panel pintu. Rekaan suis kawalan pendingin hawa juga perlukan kemaskini segera.

Walaupun ukuran jarak rodanya 5 mm lebih panjang berbanding HR-V, ruang dalaman Kicks, terutamanya untuk penumpang belakang, dirasakan sedikit sempit. Ini diburukkan lagi dengan tempat duduk yang agak tegak.

Namun ruang butnya agak besar, dengan kapasiti mencecah 423 liter. Menurut Nissan, ia mampu memuatkan dua buah beg golf bersaiz standard, sebuah bagasi besar dan sebuah bagasi sederhana.

Kicks mungkin tiba agak lewat ke pasaran namun seperti yang penulis katakan, ia membawakan sesuatu yang mungkin dapat menarik minat pembeli iaitu trenkuasa e-Power.

Apakah itu e-Power?

Nissan berkeras untuk tidak memanggilnya hibrid namun trenkuasa ini menggabungkan enjin pembakaran dalaman (ICE), motor elektrik dan bateri. Jadi secara teknikalnya, ia sebuah hibrid.

Namun tidak seperti sistem hibrid konvensional, enjin ICE di dalam sistem e-Power tidak menggerakkan tayar. Tugasnya adalah untuk mengecas bateri berkapasiti 2.1 kWj itu. Tayar dipacu oleh motor elektrik yang mendapat kuasanya daripada bateri tersebut.

Dalam erti kata lain, tayar digerakkan 100% oleh motor elektrik, memberikan feel pemanduan yang seakan-akan kenderaan elektrik. Namun ini lebih baik kerana anda tidak perlu risau tentang pengecasan.

Bagaimana dengan prestasinya dalam dunia sebenar?

Sebaik sahaja pedal pendikit ditekan, penulis boleh rasakan kuasa pecutan yang lancar tanpa deruman enjin yang sudah biasa didengari pada kereta-kereta ICE.

Seperti sebuah EV sebenar, trenkuasa ini memberikan pendikit yang responsif dan tujahan tork segera, memudahkan penulis memotong kenderaan-kenderaan lain walaupun dengan ruang agak terhad.

Namun jangan terlalu berharap kerana kuasa pecutannya tidaklah seperti EV berprestasi tinggi. Kicks e-Power hanya mempunyai 129 PS dan 280 Nm – tidak tinggi tetapi bagi penulis sudah cukup untuk memenuhi keperluan pengguna dalam segmen ini.

Kicks e-Power mempunyai tiga mod pemanduan iaitu Normal, Eco dan Sport. Berdasarkan pengalaman penulis, mod Normal sudah cukup bagus untuk pemanduan biasa namun jika anda perlukan lebih kuasa, mod Sport cukup berguna.

Satu lagi kelebihan e-Power adalah sistem pemanduan pedal tunggal iaitu e-Pedal Step. Sistem ini diaktifkan dalam mod Eco dan Sport sahaja, di mana daya brek janaan semula (regenerative braking) lebih tinggi bagi membolehkan pemandu memperlahankan kenderaan tanpa perlu menekan pedal brek.

Bukan itu sahaja, dengan daya brek janaan semula yang lebih tinggi, bateri juga akan dicas dengan lebih cepat. Dengan bateri penuh, anda boleh mengatifkan mod EV di mana kereta boleh bergerak dengan kuasa elektrik sejauh 2.5 km pada kelajuan 40 km/j, dengan enjin dimatikan.

Selain pemanduan yang lancar, Kicks juga seronok untuk dipandu terutamanya di jalan-jalan berliku. Entah apa resepi yang digunakan oleh jurutera Nissan untuk menala sistem suspensi namun crossover ini terbukti begitu cekap apabila berhadapan dengan selekoh-selekoh tajam.

Aspek NVH juga sangat memuaskan. Bergerak pada kelajuan yang agak tinggi, bunyi angin dan tayar dapat dihalang dengan baik. Cuma kadang-kala bunyi enjin bekerja keras mengecas bateri ketika pedal ditekan dengan agresif akan didengari.

Konklusi

Sama ada model ini mampu membantu ETCM bangkit semula atau tidak, masih sukar untuk dikatakan namun dengan Kicks, syarikat itu mempunyai produk yang cukup mantap walaupun sudah sedikit berusia.

Penulis percaya, dengan menguar-uarkan kelebihan e-Power dan strategi harga yang berkesan, ETCM mungkin mempunyai peluang untuk mendapatkan semula tempatnya di hati pembeli.

Tiga kelemahan yang wujud pada trak pikap Mitsubishi Triton 2025

Sejujurnya, penulis bukanlah seorang yang gemar memandu trak pikap, tapi pengalaman memandu Mitsubishi Triton 2025 tempoh hari masih lagi segar dalam ingatan.

Selain daripada rupa paras yang lebih malar segar, Triton baharu kini menggunakan platform dan enjin baharu, sistem gantungan yang telah ditala, serta susun atur ruang kabin yang lebih mesra pengguna.

Senang cerita, Triton baharu ini menawarkan pemanduan berprestasi atas jalan raya, dan masih lagi mampu menawan laluan off-road yang lebih sukar dan mencabar.

Cuma pada pendapat penulis, ada tiga kekurangan yang perlu diberikan perhatian oleh Mitsubishi untuk menjadikan penawaran Triton yang lebih bernilai dan berbaloi dengan setiap ringgit yang dibelanjakan.

 

1. Tiada kamera 360 darjah

Tahukah anda, Triton 2025 menggunakan platform baharu yang menawarkan ukuran dimensi yang lebih panjang, lebih lebar dan lebih tinggi.

Ini bermakna, trak pikap generasi keenam ini merupakan model yang paling besar pernah dihasilkan dalam sejarah Triton.

Sayang sekali, peningkatan ukuran dimensi ini tidak disertakan dengan ciri kamera keliling 360 darjah (atau 540 darjah).

Ketiadaan ciri ini membuatkan pemanduan sedikit sukar terutama ketika menempuh lokasi yang sempit, atau ketika menyelusuri laluan semak-samun yang tidak bertar.

Struktur bonet depan yang agak tinggi juga membuatkan penulis ada kalanya kurang yakin untuk meneruskan pemanduan di tempat sempit.

 

2. Getaran stereng yang halus boleh buatkan pemanduan sedikit penat

Berdasarkan pengalaman, penulis mendapati respons stereng Triton baharu ini amat mudah untuk dikendalikan, biarpun Triton kini sudah bertambah besar.

Ciri Amaran Penukaran Lorong (LCA) yang dimuatkan juga menjadikan pemanduan Triton lebih selamat, di mana ia hanya akan bergegar apabila pemandu didapati tidak menggunakan lampu isyarat untuk menukar lorong.

Ketiadaan ciri bantuan pengekalan lorong (LKA) tidak menjadi satu masalah besar pun. Cuma apa yang penulis perasan ialah sistem stereng Triton ini menghasilkan getaran halus semasa berada di lebuh raya.

Untuk pemanduan jarak dekat, getaran halus ini tidak menjadi masalah, cuma pemandu akan menjadi sedikit penat setelah menempuh jarak pemanduan yang jauh.

 

3. Struktur headrest belakang yang tidak mesra penumpang (dan pemandu)

Ketika beralih ke tempat duduk belakang, penulis mendapati kerusi belakang Triton 2025 menawarkan sudut sandaran yang selesa dan tidak terlalu menegak.

Cuma, keselesaan itu tidak disertakan dengan struktur headrest yang mampu menyokong kedudukan kepala yang selesa.

Jika anda perhatikan, headrest penumpang baris kedua mempunyai sudut yang condong ke depan, jadi penumpang belakang akan rasa duduk sedikit tegak berbanding kebiasaan.

Kedudukan headrest tengah juga boleh menghalang medan penglihatan cermin pandang belakang, jadi cabut sahaja headrest tersebut sekiranya trak pikap anda tidak membawa penumpang ekstra.

Anda boleh baca penemuan dan ulasan kami tentang Mitsubishi Triton 2025 pada pautan di bawah:

Mitsubishi Triton 2025, lima perkara baru yang kami jumpa – Pandu Uji Ringkas

 

 

Proton X50 2024, masih lagi berbaloi? – Pandu Uji

Pertengahan tahun yang lalu, Proton telah mengemaskini penawaran bagi model SUV segmen B popularnya, Proton X50 2024.

Sekali imbas, anda mungkin sukar untuk meneka perubahan yang dibawakan, ini kerana rupanya masih lagi sama seperti muka asal yang muncul tahun 2020.

Penawaran enjin juga masih lagi sama, di mana versi Flagship yang kami pandu uji ini dilengkapi dengan enjin 1.5 liter TGDi berkuasa 177 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 255 Nm @ 1,500 rpm – 4,000 rpm.

Sistem gantungan yang asal juga tidak mengalami sebarang perubahan, bermakna ia masih lagi menawarkan aspek pengendalian yang hampir serupa seperti model terdahulu.

Jadi, apa yang berubahnya?

Berdasarkan pemanduan yang dibuat dari Lembah Klang menuju ke selatan tanah air beberapa minggu yang lalu, penulis menemukan satu perkara positif pada X50 – aspek NVH yang menjadi lebih baik!

Aspek NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) merupakan antara perkara yang dikritik semasa awal-awal model ini keluar.

Namun selepas memandu X50 2024 ini untuk tempoh beberapa hari, kami mengakui bunyi bising yang datang daripada golekan tayar bertemu permukaan jalan raya berjaya ditapis dengan baik, menjadikan ruang kabin lebih senyap.

Bunyi bising angin juga tidak lagi begitu ketara pada kelajuan yang rendah, namun masih lagi wujud apabila X50 ini dipandu melebih kelajuan lebuh raya yang dibenarkan.

Untuk ruang kabin, Proton X50 telah diberikan unit infohibur dengan unit pemprosesan yang lebih berkuasa dan lebih pantas.

Paparan sistem kamera 360 darjah juga telah ditambah baik, di mana ia kini memaparkan imej tiga dimensi kenderaan secara langsung setiap kali tuil indikasi membelok digunakan.

Akhir sekali, Proton X50 dilengkapi dengan pintu tailgate berkuasa secara standard untuk varian Flagship yang menjadikan urusan pemanduan seharian lebih mudah dan menyenangkan.

Ia kini sudah menjadi satu model SUV yang hampir sempurna dan boleh dipertimbangkan, kecuali beberapa perkara yang mungkin akan membuatkan anda berfikir terlebih dahulu:

 

1. Masih lagi bukan SUV jimat bahan api

Penulis sudah mencuba pelbagai jenis model kenderaan SUV yang bukan berprestasi tinggi dilengkapi dengan nadi turbo.

Ada di kalangan model tersebut sebenarnya mampu menawarkan kadar penggunaan bahan api yang munasabah, tapi tidak untuk X50.

Walaupun dipandu secara normal tanpa membuat pecutan mendadak, penulis tetap perlu membuat pengisian bahan api setiap 400 km.

Untuk pemanduan jarak jauh, ini bukanlah satu perkara yang menyenangkan, terutama apabila kawasan yang dituju itu tidak mempunyai banyak kemudahan stesen minyak.

 

2. Masih tiada Apple CarPlay dan Android Auto

HANYA UNTUK PROTON X70 SAHAJA!

Ya, buat masa ini Proton X50 masih lagi tidak dilengkapi dengan fungsi sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard.

Alternatifnya, anda boleh menggunakan fungsi MirrorLink dengan kabel pengecas, namun sistem ini dirasakan agak rumit dan menyukarkan. Padam sahaja skrin telefon, sambungan MirrorLink itu tadi akan terputus.

Dan anda perlu mengulang semula segala turutan untuk menghubungkan kembali sistem infohibur dengan peranti pintar.

Alternatif yang lebih murah, beli sahaja pemegang peranti pintar yang boleh ditampal pada cermin hadapan.

Sayang bukan, kereta harga RM100k tapi masih tiada fungsi AACP yang menyenangkan urusan pemandu.

Jika anda masih ingat, Proton X70 2025 facelift dilancarkan secara rasmi pada bulan Ogos yang lalu, kira-kira dua bulan selepas Proton X50 2024 dilancarkan.

Beza tempoh pelancaran cuma beberapa bulan sahaja, tapi kenapa Proton X50 tidak diberikan sahaja fungsi Apple CarPlay dan Android Auto macam Proton X70 facelift?

 

3. Kamera 360 darjah tidak begitu membantu di atas jalan

Kehadiran kamera 360 darjah sememangnya banyak membantu pemandu memastikan tiada sebarang panel badan tercalar semasa masuk kawasan parkir.

Paparan yang lebih jelas dan tajam juga menjadikan X50 terasa lebih mahal di situ, walaupun ia sebuah SUV dalam julat harga RM100 ribu.

Cuma penulis tidak berapa gemar dengan sudut imej lalai (default) yang dipaparkan semasa tuil indikasi membelok digunakan, kerana ia tidak memaparkan sepenuhnya kawasan titik buta kenderaan di bahagian kiri dan kanan. Cermin sisi boleh berperanan, tapi tidak 100 peratus berkesan.

Anda boleh mengubah sudut paparan 3D Live Feed dengan menekan menu pada skrin sentuh, tapi perbuatan ini tidak digalakkan semasa kenderaan sedang meluncur laju atas jalan.

Dalam hal ini, penulis berpendapat ciri Honda LaneWatch lebih banyak membantu walaupun hanya ditawarkan pada sebelah kiri kenderaan sahaja.

Mungkin dalam kemaskini akan datang, Proton boleh ubah sudut paparan lalai 3D Live Feed tersebut supaya ia memaparkan sudut pandangan yang sepatutnya untuk dijadikan sebagai panduan pemandu bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.

Dengan harga jualan yang tidak banyak berubah (RM103 ribu), penulis masih berpendapat X50 merupakan antara model SUV segmen B yang agak berbaloi untuk dimiliki.

Itupun jika anda mampu hidup dan berkompromi dengan tiga kelemahan yang kami telah sebutkan tadi.

Duit anda, pilihan anda untuk bergaya.

Peugeot 408 Premium adalah untuk mereka yang dahagakan kelainan – Pandu Uji

Sejak dahulu lagi, banyak kereta dari jenama Perancis mempunyai reka bentuk yang pelik. Lihat sahaja model-model lama seperti Citroen DS, Panhard Dyna Z dan Renault Megane generasi kedua – memang lain dari yang lain.

Perkara yang sama boleh dikatakan tentang Peugeot 408 baharu, yang menggabungkan tiga bentuk kereta dalam satu iaitu sedan, fastback dan crossover.

Hasilnya agak ganjil berbanding apa yang kita sudah biasa lihat dalam pasaran tetapi pada masa yang sama, ia juga kelihatan cukup menarik.

Penulis boleh katakan sepanjang memandu uji 408, kereta ini mendapat jelingan daripada pengguna jalan raya yang lain ke mana sahaja ia pergi. Malah, ada yang mengatakan ia nampak seperti Lamborghini Urus.

Agak melampau untuk bandingkan sebuah Peugeot dengan Lamborghini namun tidak boleh disalahkan mereka di luar sana kerana sekilas pandang, 408 memang ada iras-iras Super SUV dari Itali itu.

Bentuknya yang unik itu diserlahkan lagi dengan elemen-elemen reka bentuk yang menonjol seperti lampu LED berbentuk taring singa dan spoiler bumbung yang tajam.

Tidak seperti varian tertinggi iaitu GT, lampu belakang 408 Premium tidak mempunyai cakaran efek cakaran 3D namun ini tidak menjejaskan penampilannya.

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan rim lebih kecil berukuran 18 inci namun bagi penulis, rekaannya lebih menarik berbanding rim Monolithe 20 inci pada GT.

408 merupakan kereta segmen C tetapi jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekatnya seperti Honda Civic, Mazda 3 dan Toyota Corolla Altis, ukurannya lebih besar iaitu panjang 4,687 mm, lebar 1,859 mm dan tinggi 1,487 mm.

Jarak lega tanahnya juga agak tinggi iaitu 189 mm, jadi pemandu tidak perlu risau sangat jika berhadapan dengan banjir kecil.

Di dalam, varian Premium didatangkan dengan upholsteri kulit, pelarasan elektrik untuk kerusi pemandu dan penumpang depan, dan sistem audio standard dengan enam pembesar suara.

Kelengkapan lain boleh dikatakan sama sahaja seperti GT iaitu skrin sentuh berukuran 10 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, panel instrumen digital 10 inci dan pengecas tanpa wayar.

Jika sekarang anda tertanya-tanya varian mana yang anda patut pilih, jawapannya bergantung kepada bajet anda sendiri.

Varian GT dijual pada harga RM196,055, manakala varian Premium pula berharga RM166,055. Dari satu sudut, RM196k untuk sebuah kereta segmen C memang tidak masuk akal namun untuk perbezaan sebanyak RM30,000, anda mendapat banyak kelengkapan tambahan.

Ini termasuk lampu Matrix LED, rim 20 inci, upholsteri kulit Nappa yang lembut, fungsi urutan dan memori untuk kerusi pemandu, sistem audio Focal dengan 10 pembesar suara termasuk subwoofer, paparan 3D quartz pada panel instrumen digital dan sistem pembersih udara kabin.

Dari sudut lain, jika anda rasa perbezaan harga tersebut terlalu besar, varian Premium sebenarnya sudah memadai kerana bagi penulis, kelengkapan yang disertakan sudah mampu memenuhi keperluan pembeli di dalam segmen ini.

Malah, dengan membeli varian Premium, anda mungkin membantu menyelamatkan akaun bank anda pada masa depan kerana menukar tayar 20 inci bukannya murah.

Satu lagi kelebihan varian Premium berbanding GT adalah ruang butnya yang boleh dibesarkan dari 536 liter kepada 1,611 liter (berbanding 1,583 liter pada GT), memandangkan ia tidak mempunyai subwoofer.

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan tayar ganti space saver berbanding kit pembaikan tayar yang disertakan pada GT.

Cuma agak mengecewakan kerana Premium tidak dilengkapi dengan kamera 360 darjah. Bagi penulis, ini satu kehilangan yang agak besar untuk sebuah kereta yang berharga lebih RM150k.

Namun tidak kira varian apa yang anda pilih, ruang kabin 408 sangat selesa. Kerusinya empuk dan tidak terlalu keras, menjadikan perjalanan jarak jauh selesa dan tidak memenatkan.

Terima kasih kepada ukuran tapak roda yang agak panjang iaitu 2,787 mm, ruang kaki belakang boleh dikatakan sangat luas. Kerusi juga cukup besar, tidak terlalu tegak dan menawarkan sokongan peha yang mencukupi.

Di bawah bonet, semua varian 408 dikuasakan oleh enjin yang sama iaitu enjin 1.6-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 215 PS dan 300 Nm. Kuasa disalurkan ke roda depan menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.

Jika anda memandu pada kelajuan tinggi, trenkuasa ini sebenarnya sangat lancar dan cukup berkuasa namun ketika sedang merangkak di dalam trafik sesak, kotak gear akan terasa sedikit tersengguk-sengguk.

Pengendaliannya pula boleh dikatakan seimbang – tidak terlalu sporty tetapi tidaklah mengecewakan. Anda masih boleh melayan selekoh dengan tetapi jangan menaruh harapan yang tinggi ia tidaklah selincah kereta sport – mungkin kerana disebabkan kedudukannya yang agak tinggi dan ukuran tapak roda yang panjang.

Walaupun begitu, kadar NVH 408 perlu diberi pujian kerana sepanjang memandunya, penulis mendapati ia mampu menghalang bunyi daripada luar daripada meresap masuk ke dalam kabin dengan baik sekali.

Konklusi

Secara jujurnya, Peugeot 408 mungkin tenggelam dalam pasaran yang kini sarat dengan SUV dan crossover dari China tetapi bagi individu yang dahagakan kelainan, kereta dari jenama Perancis ini nampak seperti pilihan yang tepat.

Spesifikasi Peugeot 408 Premium

Harga: RM166,055
Enjin: Puretech 1.6-liter, empat silinder turbo
Kotak gear: Automatik lapan kelajuan
Kuasa: 218 PS @ 5,750 rpm
Tork: 300 Nm @ 2,000 rpm

MG5, ada buruk dan baiknya – Pandu Uji Ringkas

Dari pertama kali ia dipertontonkan di Malaysia pada Ogos lalu, hingga ke pelancarannya kira-kira dua bulan kemudian, MG5 dilihat menjadi buah mulut netizen.

Ada yang memuji reka bentuknya, ada juga tertarik dengan harganya yang setanding dengan sedan-sedan segmen B walaupun mempunyai saiz yang lebih hampir dengan sedan segmen C.

Walau bagaimanapun, majoriti komen yang dilontarkan adalah mengenai aspek keselamatan kereta ini. Bagi mereka yang terlepas, MG5 menerima penarafan sifar bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) pada tahun lalu.

Ketua Pemasaran SAIC Motor Malaysia, Phang Rick Kee baru-baru ini tampil memberikan penjelasan mengenai isu ini. Menurutnya, model yang diuji oleh ANCAP berbeza dengan model yang dijual di Malaysia.

Untuk pasaran Australia, MG5 diimport dari China dan tidak dilengkapi dengan pre-tensioner, manakala pasaran Malaysia mendapat MG5 dari Thailand dan versi ini didatangkan dengan pre-tensioner bagi kesemua tali pinggang keledar.

Sejujurnya, penulis tidak mempunyai harapan yang tinggi terhadap MG5, apatah lagi apabila ia diselubungi isu keselamatan yang boleh dikatakan agak serius ini.

Tetapi setelah memandunya sejauh kira-kira 800 km dari Kuala Lumpur ke Desaru dan balik, penulis mendapati kereta ini ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar dipertimbangkan sekiranya anda ingin sedang mencari sedan segmen B.

Yang pertama, mereka yang sudah bosan dengan jenama T, H mahupun N, wajar melihat MG5 dengan lebih dekat. Penulis mendapati ia nampak lebih cantik ketika menyusur di jalan raya berbanding di atas pentas pelancaran atau di bilik pameran, terutamanya dalam warna Nuclear Yellow yang kelihatan sangat memukau di bawah sinaran matahari.

Penulis secara peribadi begitu tertarik dengan rekaan bahagian depannya yang kelihatan tidak ubah seperti sedan sport dari Maserati. Rekaan bumbung ala coupe pula memberikan sedan ini profil sisi yang menarik cuma rim aloi ‘Tomahawk’ berukuran 17 inci nampak agak kecil untuk kereta dengan saiznya.

Dari belakang, pinggul yang lebar (boleh dilihat dari cermin sisi) membuatkan MG5 nampak tegap dan stabil di atas jalan raya. Bagaimanapun, penulis kurang berkenan dengan rekaan lampu belakangnya yang jelas ditiru dari Peugeot.

Di dalam, butang dan skrin sentuh bukan sahaja diletakkan pada posisi yang mudah untuk dicapai, malah dihalakan ke arah pemandu. Cuma sebelum memandu, penulis memerlukan masa untuk mencari posisi pemanduan paling ergonomik kerana stereng tidak mempunyai pelarasan teleskopik dan ketinggian kerusi tidak boleh diubah.

Bukan itu sahaja, penulis juga mengalami sedikit kesukaran untuk melihat keadaan trafik menerusi cermin pandang belakang kerana bumbung coupenya membuatkan cermin belakang kereta ini agak kecil. Ini diburukkan lagi dengan tiga perehat kepala yang tersembul keluar.

Sebagai penumpang belakang, penulis boleh katakan yang kerusi belakang selesa, tidak terlalu tegak dan menawarkan sokongan peha yang cukup. Kaki juga boleh dilunjurkan ke depan dengan mudah, terima kasih kepada tapak rodanya yang agak panjang iaitu 2,680 mm.

Senarai kelengkapannya agak memuaskan. Selain skrin sentuh, anda mendapat kluster instrumen digital, Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa automatik dengan corong belakang, pelarasan enam hala untuk tempat duduk pemandu dan bumbung suria.

Dari segi keselamatan, terdapat enam beg udara dan sistem MG Pilot yang merangkumi ciri-ciri seperti Amaran Keluar Lorong, Bantuan Penukaran Lorong, Sistem Pemantauan Titik Buta, Amaran Pelanggaran Belakang dan Amaran Lintasan Trafik Belakang. Malangnya, tiada Brek Kecemasan Autonomi.

Pada pendapat penulis, kelengkapan yang diberikan agak berbaloi untuk sebuah kereta yang berharga RM87,000 selepas diskaun. Cuma ada beberapa perkara yang penulis tidak begitu gemar. Contohnya, kelajuan kipas pendingin hawa hanya boleh dilaraskan menerusi skrin sentuh.

Selain itu, hanya ada satu corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Ini tidak menjadi masalah bagi mereka yang mempunyai seorang anak sahaja tetapi bagi mereka yang mempunyai dua atau tiga, perebutan mungkin berlaku.

Bagaimana pula dengan pemanduannya? 114 PS dan 150 Nm bukanlah angka yang boleh dilabel sebagai ‘mengagumkan’ dan ini terbukti benar kerana MG5 jelas terasa perlahan dan berat ketika mula bergerak. Mereka yang kurang sabar akan menekan pedal dengan agresif dan ini akan menghasilkan ngauman yang agak kurang enak didengari.

Namun selepas jarum melepasi angka 60 km/j, pecutan terasa lebih lancar dan kereta serta merta terasa lebih ringan. Menerusi pengalaman penulis, MG5 tidak ada masalah untuk mencapai kelajuan tinggi cuma anda perlu sabar sedikit.

Di sini jelaslah yang karakter pemanduan MG5 lebih sesuai untuk pemandu yang santai dan tenang. Jika anda tidak tergolong dalam kumpulan ini, lebih baik tunggu kehadiran versi turbo. Ya, ia akan tiba ke pasaran Malaysia namun tarikh sebenar masih belum diketahui.

Walaupun prestasi pecutannya tidak mengujakan, ada tiga perkara berkaitan pemanduan MG5 yang mengejutkan penulis.

Pertama sekali, kadar Noise, Vibration and Harshness (NVH). Walaupun pada kelajuan melebihi hadlaju kebangsaan, penulis mendapati bunyi angin dari luar, terutamanya pada cermin sisi dan bahagian atas bingkai tingkap, dihalang dengan baik.

Walau bagaimanapun, tayar Maxxis yang dibekalkan agak bising terutamanya ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata. Gantikannya dengan tayar yang lebih berkualiti dan anda pasti boleh merasai perbezaannya.

Yang kedua adalah ride and handling. Bagi penulis, jurutera MG nampaknya berjaya mencapai keseimbangan antara keselesaan dan prestasi.

Ketika melalui Lebuhraya Desaru yang agak berombak dan kurang rata, penulis mendapati sistem suspensi kereta ini berupaya meminimumkan hentakan atau lantunan dengan baik. Kawalan badannya juga amat memuaskan ketika kereta dipandu pada kelajuan tinggi – tidak ada sebarang ketidakstabilan yang boleh membuatkan pemandu rasa kurang yakin.

Di selekoh, penulis boleh merasakan sedikit olengan badan tetapi ia masih pada tahap yang boleh diterima. Sekali lagi, MG5 nampaknya cukup sesuai untuk mereka yang suka memandu secara santai.

Yang terakhir adalah kadar kecekapan bahan apinya. Boleh dikatakan 70% daripada perjalanan pergi dan pulang dipandu pada kelajuan melebihi 110 km/j, namun enjin NA 1.5-liter empat silinder itu masih mampu memberikan bacaan sekitar 7.5 l/100 km. Penulis dan dua rakan media lain tiba di Kuala Lumpur dengan jarak berbaki hampir 200 km.

Konklusi

Seperti yang penulis katakan, MG5 ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar diberi pertimbangan bagi mereka yang sedang mencari sedan segmen B dengan harga berpatutan. Namun harus diakui bahawa persaingan dalam segmen ini sangat sengit dan berdasarkan pemerhatian penulis, isu berkaitan penarafan ANCAP membuatkan keadaan lebih sukar untuk MG5.

Mitsubishi Triton 2025, lima perkara baru yang kami jumpa – Pandu Uji Ringkas

Mitsubishi Triton generasi baharu telah pun selamat dan selesai dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan minggu lalu setelah lebih setahun diperkenalkan di peringkat global.

Boleh dikatakan, hampir keseluruhan aspek pada trak pikap ini telah dirombak semula, seperti platform, enjin, sistem gantungan, susun atur ruang kabin dan paling penting rupa paras yang nampak lebih gagah dan ‘berani’.

Jadi, adakah perubahan yang disebutkan tadi memberikan kesan yang besar pada trak pikap Triton ini?

Awal bulan yang lalu, penulis bersama rakan-rakan media lain telah dijemput untuk menguji sendiri memandu Mitsubishi Triton 2025 dari ibu kota menghala ke Pantai Timur.

Berikut merupakan input ringkas kami setelah puas melenjan trak pikap ini selama dua hari:

 

1. Pemanduan lebih stabil dan meyakinkan

Mitsubishi Triton 2025 menggunakan platform serba baharu dengan ukuran dimensi yang lebih panjang, lebih lebar dan lebih tinggi, menjadikan penampilan keseluruhan nampak lebih gagah di atas jalan.

Casis ladder-frame yang digunakan pada Triton baharu ini juga lebih tegar, mengutamakan penggunaan keluli tegangan tinggi (1,180 MPa) untuk meminimumkan penambahan berat badan.

Selain itu, Triton baharu juga dilengkapi sistem suspensi dengan jarak gerak yang lebih panjang serta bar penstabil yang lebih tebal, diikuti dengan sistem stereng kuasa elektronik (EPS) sedikit sebanyak menyumbang kepada aspek pemanduan yang lebih stabil dan meyakinkan.

Berdasarkan pengalaman, Triton menawarkan respons stereng yang mudah untuk dikendalikan, tidak terlalu berat atau terlalu ringan sehingga membuatkan pemandu terpaksa bersilat sepanjang masa.

Selain daripada itu, perjalanan juga lebih selesa disebabkan oleh kurang gegaran dan bunyi bising dirasakan dari dalam ruang kabin sepanjang perjalanan, walaupun terpaksa menempuh pelbagai jenis kualiti tar jalan raya.

 

2. Enjin baharu lebih bertenaga

Selain platform, Triton 2025 juga kini menggunakan nadi diesel serba baharu.

Biarpun kapasiti tidak banyak berubah, enjin 2.4 liter turbo MIVEC (kod nama 4N16) itu kini menghasilkan kuasa setinggi 204 PS dan daya kilas 470 Nm.

Dengan kotak gear automatik 6-kelajuan, Triton tidak perlu berusaha lebih untuk memotong geng lori treler kargo atau mereka yang sedang mencari rumah sewa di tengah-tengah lebuh raya.

Pada kelajuan standard lebuh raya, pemanduan Triton dirasakan agak lincah dan bertenaga, macam sedang pandu sebuah SUV pula rasanya.

Ciri Active Yaw Control (AYC) yang biasa didapati pada model berprestasi tinggi Mitsubishi turut ditawarkan pada Triton baharu, memberikan lebih keyakinan terutama ketika melayan laluan yang berliku.

Namun harus diingat, Triton masih lagi sebuah trak pikap, dan anda harus tahu batas dan had yang wujud pada sebuah trak pikap, serta kemahiran pemandu itu sendiri untuk mengendalikan kenderaan yang tinggi titik gravitinya.

 

3. Pemanduan off-road lebih meyakinkan

Kami sempat menguji pengendalian trak pikap Triton ini pada laluan off-road di Janda Baik, diikuti dengan sesi pemanduan off-road khas yang disediakan semasa pelancaran rasmi tempoh hari.

Pada kami, gandingan platform, enjin, sistem gantungan dan sistem 4WD Super Select II itu tadi turut memberikan kelebihan kepada Triton untuk menempuh laluan yang lebih sukar dan mencabar.

Berdasarkan pengalaman, sukar untuk kami merasakan kekasaran yang ketara dari dalam kabin walaupun trak pikap ini dipecut laju atas laluan berdebu, ataupun ketika sedang menempuh laluan yang berbatu.

Kuasa yang diperah daripada enjin diesel 2.4 liter itu juga berjaya disalurkan kepada roda dengan lancar untuk memastikan trak ini terus bergerak ke hadapan atau keluar dari halangan mengikut apa yang diarahkan oleh pemandu.

Dengan penggunaan stereng EPS, pengendalian dalam laluan off-road juga lebih meyakinkan terutama bagi mereka yang mungkin tidak biasa mengendalikan kenderaan yang lebih besar.

Sistem 4WD Super Select II dengan operasi pemilihan mod on-the-fly juga amat mudah untuk digunakan bagi menyesuaikan trak pikap ini dengan pelbagai jenis keadaan permukaan jalan.

Secara standard, Triton menyediakan sehingga tujuh mod pemanduan yang boleh dipilih menerusi pemilihan pacuan 2H, 4H, 4HLc dan 4LLc, tidak ketinggalan ciri Hill Descent Control (HDC) yang membolehkan pemandu mengawal kenderaan semasa menuruni cerun tanpa perlu bergantung kepada brek.

 

4. Beast Mode buatkan Triton nampak lebih gagah

Pada mulanya, sukar juga untuk penulis menerima perubahan rupa yang wujud pada Triton baharu ini.

Jika diletakkan bersebelahan dengan Triton generasi terdahulu, mungkin ramai yang cenderung untuk memilih Triton dengan rekaan Dynamic Shield yang lebih tajam.

Untuk Triton baharu, elemen Dynamic Shield itu telah diperbaharui dengan tema Beast Mode yang buatkan penampilan Triton ini nampak lebih gagah.

Lampu nyalaan siang LED berbentuk L itu sengaja direka seakan renungan mata helang yang tajam, sementara lampu belakang dengan grafik berbentuk T itu menonjolkan lagi kelebaran trak pikap ini.

Selain itu, reka bentuk badan yang agak berpetak ini membuatkan Triton ini nampak macam trak pikap Amerika.

 

5. Ruang kabin lebih moden, lebih mesra pengguna

Triton baharu menerapkan elemen rekaan Horizontal Axis untuk membuatkan susun atur papan pemuka lebih kemas dan tidak menyemakkan pemandangan.

Penulis amat gemar dengan gandingan meter analog dan skrin digital menggunakan latar belakang hitam yang sangat mudah untuk dibaca dan kurang gangguan warna-warna fancy yang boleh mengganggu tumpuan pemanduan.

Triton baharu juga menampilkan butang-butang dan tombol operasi fizikal yang besar dan mudah untuk digunakan.

Ini merupakan satu perkara penting, kerana kebanyakan pemandu olskool seperti penulis bergantung kepada memori otot untuk mengubah tetapan seperti suhu, kelajuan hembusan angin sejuk atau sekadar mengubah arah tiupan angin tanpa perlu kerap mengalihkan tumpuan pandangan semasa memandu.

Skrin tengah juga tidak perlu terlalu besar sehingga mengganggu medan penglihatan, cukup memadai dan dalam masa yang sama masih lagi menawarkan fungsi yang didambakan kebanyakan pengguna – Apple CarPlay dan Android Auto.

Satu perkara yang buatkan penulis suka pada Triton ialah ciri corong pendingin hawa yang terletak pada siling, cuma ia memerlukan sedutan udara yang sejuk dari arah hadapan untuk membuatkan penumpang di belakang rasa selesa.

Tempat duduk baris kedua juga selesa untuk digunakan dengan sudut yang tidak terlalu tegak, cuma struktur headrest itu sendiri membuatkan penumpang duduk sedikit menegak berbanding kebiasaan.

 

Antara kekurangan ketara yang wujud pada Triton baharu ialah ketiadaan ciri kamera keliling 360 darjah mungkin akan membuatkan anda rasa pemanduan Triton terutama di jalan yang sempit atau laluan off-road sedikit sukar, disebabkan dimensi Triton yang sudah bertambah besar, lebar dan tinggi.

Radius putaran trak pikap ini juga telah bertambah besar, disebabkan jarak antara roda yang bertambah panjang berbanding model terdahulu.

Sekiranya tiada penumpang ketiga, anda disarankan untuk mencabut headrest tengah kerana kedudukannya boleh mengganggu medan penglihatan cermin pandang belakang.

 

Mitsubishi Triton 2025, platform & enjin baharu, lima varian, dari RM102k

Jadi, apa pendapat anda tentang Mitsubishi Triton 2025 serba baharu ini? Adakah ia mampu menjadi satu pembelian yang berbaloi untuk tahun ini?

Lebih banyak info dan perincian akan kami kongsikan kepada anda sekiranya diberikan peluang untuk menguji Mitsubishi Triton dengan lebih mendalam pada masa akan datang.

 

Mitsubishi Triton 2025 (Pandu Uji Ringkas)

3 benda yang ‘kureng’ tentang Proton X70 2025

Penulis secara peribadi menyukai Proton X70 2025 yang dilancarkan ke pasaran pada Ogos lalu. Ia bukan sekadar facelift kerana perubahan yang ditampilkan lebih bersifat menyeluruh, melibatkan aspek estetik luaran dan dalaman.

Pertama sekali, ia tampil dengan wajah yang lebih tampan berbanding sebelum ini. Yang kedua, sesi pandu uji media di Kota Kinabalu baru-baru ini membuktikan yang ia sebuah SUV yang cukup selesa.

Sistem suspensi terasa sedikit lebih keras dari versi CBU asal namun ketika melalui jalan berlubang-lubang dalam perjalanan menuju ke Kundasang, hentakan yang terhasil tidaklah terlalu kuat.

Selain itu, bukan sahaja deruman enjin tiga silinder pada kelajuan rendah tidak sejelas sebelum ini, malah bunyi lori dan trak pikap yang banyak di jalan raya di sekitar KK juga dihalang daripada meresap masuk ke kabin dengan baik.

Walau bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang penulis tidak gemar tentang kereta ini:

Rekaan bahagian belakang yang sama

Seperti yang penulis katakan, X70 2025 mempunyai wajah yang lebih tampan berbanding sebelum ini. Rekaan bahagian hadapan itu sebenarnya diambil daripada Geely Boyue facelift yang dikeluarkan dua tahun lalu tetapi bagi penulis, ia masih nampak segar di pandangan mata.

Cuma, bahagian belakang SUV ini seolah-olah tidak disentuh. Ya, Proton telah menambah reflector melintang (sebelum ini menegak) dan liang udara palsu pada bampar bagi membuatkan ia nampak lebih lebar namun tailgate dan lampu dibiarkan begitu sahaja, mungkin atas sebab kekangan daripada Geely.

Jadi jika anda lihat X70 baharu ini di jalan raya, anda mungkin menyangka yang ia adalah versi lama.

Tuil gear baharu yang agak pelik

Selain upholsteri kulit Nappa berwarna Stone Grey dan sistem pencahayaan ambien, benda baru lain yang terdapat di dalam kabin X70 2025 adalah tuil gear.

Rekaannya masih dikekalkan namun pada model facelift ini, butang P telah dialihkan. Ini bukan satu masalah, malah bagi penulis ia lebih mudah untuk digunakan.

Namun apa yang agak pelik di sini adalah paten menukar gear dalam mod manual. Kebiasaannya, anda perlu menolak tuil gear ke bawah untuk menaikkan gear dan ke atas untuk menurunkan gear.

Tetapi dengan X70 facelift, simbol ‘-‘ dan ‘+’ berada pada bahagian kiri dan kanan, bermakna anda perlu menolak tuil gear ke kiri untuk menurunkan gear dan ke kanan untuk menaikkan gear dalam mod manual.

Pintu tailgate kini boleh dibuka secara automatik tetapi…

Untuk memudahkan lagi pengguna, Proton telah menambah ciri Auto Open pada pintu tailgate. Ini bermakna anda tidak perlu lagi menekan apa-apa butang atau pun menghayun kaki di bawah bampar untuk membuka tailgate.

Apa yang anda perlu lakukan adalah berdiri dekat dengan tailgate (pastikan kunci berada di dalam poket) dan ia akan terbuka dengan sendirinya. Ciri ini memang sangat berguna terutamanya jika tangan anda penuh dengan barang.

Tetapi bagi penulis, ia masih boleh ditambah baik kerana tailgate mengambil masa yang agak lama untuk dibuka iaitu lebih lima saat.

@engear.tv 3 Benda Aku TAK SUKA Dengan Proton X70 2025 #fyp #carsoftiktok #proton #protonx70 #protoncars #protonmalaysia #suv #engeartv #malaysia ♬ original sound – Engear TV