WALAUPUN mempunyai enjin yang lebih kecil, sesetengah motosikal mempunyai kuasa pecutan yang setanding atau lebih hebat berbanding supercar dengan enjin lapan, 10 atau 12 silinder. Ini kerana motosikal mempunyai badan yang kecil dan ringan, sekaligus memberikannya kelebihan dari segi nisbah kuasa-berat.
Dalam video Sembang Engear ini, hos Shamshul Yunos membincangkan lima model motosikal ‘road legal’ yang boleh memecut dari 0 hingga 60 bsj (0-96 km/j) dalam masa kurang dari tiga saat. Jika diikutkan, ada kira-kira 20 model namun kami memilih lima model yang terhebat yang dijual di pasaran Malaysia.
Suzuki Hayabusa (2002)
Nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam dunia dua roda, Suzuki Hayabusa keluaran tahun 2002 boleh mencapai kelajuan 96 km/j dalam hanya 2.47 saat dan kelajuan maksimum 312 km/j.
Kawasaki Z1000 (2014)
Satu-satunya model ‘naked’ dalam senarai ini, Kawasaki Z1000 hanya memerlukan 2.5 saat untuk memecut dari 0 hingga 96 km/j walaupun tidak dilengkapi dengan fairing.
BMW S1000RR (2016)
S1000RR pada asalnya dibangunkan oleh BMW pada 2009 bagi memenuhi syarat homologasi Kejohanan Superbike Dunia (WSBK). Dengan nadi empat silinder bersesaran 1,000 cc yang mampu mencapai redline 14,200 rpm, pe
Ducati 1199 Panigale (2014)
Diperkenalkan di Pertunjukan Motosikal Milan (EICMA) 2011, Ducati 1199 Panigale hanya sempat berada di pasaran selama empat tahun sebelum digantikan oleh 1299 Panigale. Walaupun begitu, ia memastikan namanya sentiasa diingati dengan prestasi pecutan 0-96 km/j dalam hanya 2.6 saat.
Honda CBR1000RR-SP (2013)
Lebih mesra dengan jolokan Fireblade, jentera keluaran Honda ini membuktikan yang ia sama hebat dengan pesaing-pesaingnya dari Itali dan Jerman dengan pecutan 0-96 km/j dalam 2.6 saat.
ROYAL Enfield telah memperkenalkan satu lagi model roadster dalam barisan mereka iaitu Hunter 350. Ia boleh didapati dalam dua versi iaitu Retro dan Metro. Retro hadir sebagai ‘Factory Series’, manakala Metro pula mempunyai dua varian di bawahnya iaitu ‘Dapper Series’ dan ‘Rebel Series’.
Dari segi penampilan, Hunter 350 hadir dengan penggayaan neo-retro dengan suntikan elemen baharu sambil mengekalkan DNA jenama Royal Enfield. Kedua-dua versi ditawarkan dengan pilihan warna dan livery yang berbeza, menjadi kombinasi keseluruhan sebanyak 23.
Lampu depan untuk kedua-dua versi adalah jenis halogen, manakala lampu belakang pula adalah jenis halogen untuk versi Retro dan LED untuk Metro. Lampu isyarat LED ditawarkan sebagai opsyen.
Seperti Classic 350 dan Meteor 350, model terbaharu ini dikuasakan oleh enjin J-Series 349 cc silinder tunggal. Ia menghasilkan 20.2 bhp pada 6,100 rpm dan 27 Nm pada 4,000 rpm. Dengan transmisi lima kelajuan, Hunter 350 dikatakan mampu mencapai redline 7,000 rpm dan memecut sehingga 114 km/j.
Sumber foto: bikedekho.com
Hunter 350 Retro dilengkapi dengan brek cakera depan dengan ABS dan brek gelendong belakang, manakala versi Metro pula mendapat brek cakera depan dan belakang, serta ABS dwi-saluran. Untuk roda pula, versi Retro didatangkan dengan rim jenis spoked manakala Retro dengan rim aloi berwarna hitam.
Berat keseluruhan roadster ini adalah sekitar 181 kg, menjadikan ia 14 kg lebih ringan berbanding Classic 350. Ini juga bermakna ia adalah yang paling ringan dan kecil berbanding mana-mana model dalam barisan Royal Enfield.
Jika dibandingkan dengan Classic 350 dan Meteor 350 yang berharga antara RM23,500 hingga RM24,300 di Malaysia, Hunter 350 mempunyai harga yang lebih mampu milik. Ia dijual pada harga bermula dari 149,900 rupee (RM8,418) untuk Hunter 350 Factory Series hingga 168,900 rupee (RM9,486) untuk versi Metro Rebel.
SEORANG lagi penunggang motosikal yang terbabit dalam kemalangan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di Pulau Pinang, meninggal dunia ketika dalam rawatan kecemasan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
Ia menjadikan keseluruhan empat maut akibat nahas terbabit, manakala tiga lagi masih dalam rawatan di hospital, selepas sekumpulan mat rempit terbabit dalam kemalangan.
Gambar oleh: Facebook
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata mangsa keempat yang meninggal dunia ialah Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17 tahun.
“Mohd Haziq bin Harris, 34, masih dirawat di zon merah akibat kecederaan di kepala, manakala Muhammad Rahimi Shukor, 19 di zon kuning akibat kecederaan di muka dan kepala,” kata Soffian.
“Sementara Muhammad Shazwan Hafiz Mohd Abdul Sani, 22, juga dirawat di zon kuning akibat kecederaan di bahagian kaki, tangan dan muka,” tambahnya.
Menurutnya, kesemua mangsa yang terbabit nahas itu berasal dari Negeri Pulau Pinang dan Kedah.
Terdahulu, media melaporkan tiga penunggang motosikal terbabit dalam nahas itu maut di lokasi.
Mengulas lanjut, Soffian berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kemalangan itu pada jam 4:30 pagi membabitkan laluan di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu menghala ke pusat bandar.
Katanya, kemalangan itu membabitkan beberapa motosikal yang disyaki menyertai aktiviti lumba haram.
“Beberapa penunggang motosikal dipercayai hilang kawalan dan merempuh antara satu sama lain.
“Dalam kejadian itu, dua kenderaan jenis Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan,” katanya lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
EDARAN Modenas Sdn Bhd (EMOS) secara rasmi merupakan pengedar eksklusif baharu Kawasaki di Malaysia.
Ia turut menyaksikan Kawasaki Motors Ltd (KMC) kini memiliki 30 peratus ekuiti dalam Modenas bersama DRB-HICOM Berhad sebagai pemegang saham majoriti.
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Roslan Roskan berkata, pihaknya akan terus memastikan produk dan perkhidmatan pelanggan kekal berada pada tahap tertinggi.
Justeru, para pelanggan atau pemilik kenderaan Kawasaki tidak perlu bimbang dengan pengurusan baharu ini.
Kawasaki Z900 SE merupakan versi istimewa bagi Z900 di Eropah. – Foto fail ihsan Kawasaki
“Pemilik motosikal Kawasaki tidak perlu bimbang kerana di bawah pengurusan baharu, tahap unggul produk dan perkhidmatan pelanggan akan dikekalkan.
“Rancangan kami termasuk juga untuk memperluaskan operasi, membangun, mengeluar dan menjual motosikal Kawasaki untuk peminatnya,” katanya.
Selain itu, Modenas bakal memperkenalkan model terbaharu Kawasaki selain melancarkan bilik pameran eksklusif baharu secara berperingkat.
Modenas juga akan mula memasang model Kawasaki terpilih dan pada masa sama mengimport model dengan enjin yang lebih besar.
Model Modenas Kriss keluaran tahun 1996. – Foto ihsan Wikipedia
Kerjasama Modenas – KMC bukan suatu yang baharu memandangkan kedua syarikat telah menjalani kolaborasi sejak tahun 1996 lagi.
Ianya bermula semenjak koloborasi menghasilkan model paling ikonik Modenas iaitu Kriss.
EMOS melalui pengedarnya bukan sahaja akan menjual motosikal Kawasaki malah, mengedarkan alat ganti dan aksesori di Malaysia.
Pada masa sama, EMOS juga akan menyediakan perkhidmatan pelanggan yang meliputi semua perkara teknikal dan isu panggil semula atau “recall”.
HONDA CBR150R yang dilancarkan sejak tahun lalu tidak dinafikan menerima pelbagai pujian daripada penggemar roda dua.
Rata-rata menyifatkan model Honda ini antara sport bike paling kacak pernah dihasilkan Honda.
Namun, bagaimana pula dengan prestasi enjin?
Adakah prestasi enjin yang dimiliki sepadan dengan rupa parasnya?
Nak tahu apakah jawapannya, jom ikuti review daripada Engear!
Pengalaman pandu uji Honda CBR150R
Foto ihsan Honda
Sebelum ini, Engear diberi kesempatan menguji jentera 150cc keluaran Honda yang dilancarkan tahun lalu.
Secara asas, pengalaman menguji CBR150R sangat memuaskan walaupun jentera ini hanya memiliki 16 kuasa kuda pada 9,000 rpm dan 13.7 Nm tork pada 7,000 rpm.
Walaupun jentera ini hanya menggunakan sama enjin seperti Honda RS150 namun, apa yang membezakan adalah corak tunggangan.
Paling mengujakan adalah ketika mengambil selekoh yang membuatkan penunggang berasa sangat confident.
Foto ihsan Honda
Selain itu, cara ‘kerja’ enjin jentera ini juga boleh dikatakan hampir sempurna kerana tidak terlalu ‘kasar’ sekaligus memberi keseronokan menunggang.
Bagaimanapun, tidak dinafikan jentera ini mengalami sedikit gegaran apabila kelajuan mencecah 130 km/j sehingga 140 km/j.
Namun, perlu adil kepada jentera ini kerana apa yang anda harapkan pada sebuah motosikal 150cc bukan?
Rekaan Honda CBR150R yang memukau
Foto ihsan Honda
Model ini didatangkan dengan dua warna iaitu Candy Scintillate Red dan Matte Charcoal Grey Metallic.
Ia dilengkapi unit digital dengan pelbagai informasi termasuk kedudukan gear dan tahap rpm.
Secara jujur, Engear sukakan panel meter yang dihasilkan Honda ini kerana sangat interaktif dan cantik berbanding pesaingnya daripada jenama lain.
Sementara itu, jentera seberat 139 kilogram ini juga didatangkan dengan tangki bahan api berkapasiti 12 liter.
Foto ihsan Honda
Berikut beberapa ciri menarik lain terdapat pada Honda CBR150R:
Suspensi unit fork Showa USD berwarna emas
Monoshock pelarasan pra beban di belakang
Brek cakera ABS two-channel
Rim 17 inci
Tayar IRC 100/80 (hadapan) dan 130/70 (belakang)
Untuk review lebih menyeluruh mengenai CBR150R, saksikan video yang telah kami sediakan.
YAMAHA 135LC sememangnya sebuah motosikal kapcai empat-lejang yang cukup berjaya dan mempunyai ramai pengikut di Malaysia.
Untuk 2022, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan 135LC FI baharu dan seperti pada namanya, FI merujuk kepada fuel injection atau suntikan bahan api. Ya, Yamaha 135LC kini dengan enjin baharu yang dibangunkan khas untuk pasaran Malaysia.
Enjin silinder tunggal SOHC 4-injap ini menjana 9.3kW (12.4hp) pada 8,000rpm dan 12.2Nm tork pada 6,000rpm.
Enjin dengan penarafan Euro4 ini dipadankan dengan kotak gear 4-kelajuan seperti sebelumnya. Walaubagaimanapun, tiada lagi pilihan klac manual, hanya klac automatik.
Menurut HLYM, mereka mahu memfokuskan klac manual kepada model Y15ZR, dan klac automatik untuk 135LC FI ini.
Yamaha 135LC FI ini dilengkapi lampu depan dan belakang LED, Pilot Light, tangki minyak 4.6 liter dan panel meter digital baharu untuk paparan maklumat lebih jelas.
Dari segi keselamatan, 135LC kini diberikan brek cakera belakang dan swing arm belakang yang direka semula.
Yamaha 135LC FI dijual pada harga RM7,798 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans) dan didatangkan dengan tiga warna iaitu Ruby Red, Crystal Cyan, dan Midnight Star.
Yamaha 135LC FI
Oh ya, ada satu kejutan, dimana HLYM turut mendedahkan Yamaha 135LC FI Special Edition.
Apa yang istimewa? Pertamanya, ia hadir dengan warna unik Desert Storm matte dengan grafik lebih ringkas, tulisan “135LC” tiga-dimensi pada badan, dan Yamaha Premium Basket.
Bakul ini hanya khas untuk 135LC FI Special Edition dan menurut Yamaha, buat masa ini mereka tidak merancang untuk menawarkannya sebagai aksesori untuk versi biasa.
Bakul ini juga dilengkapi ruang simpanan khas yang boleh melindungi barangan dari terkena hujan, selain slot pengecaj USB.
135LC FI Special Edition ini dijual pada harga RM8,198 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans).
PASARAN motosikal terpakai tidak dinafikan amat ‘meriah’ sekali di negara ini.
Melihat daripada sudut positif, ia bukan sahaja memberi banyak pilihan kepada pengguna tetapi lebih penting menjanjikan persaingan harga yang cukup kompetetif.
Bercakap mengenai motosikal, mungkin ada dalam kalangan kita berniat memiliki kenderaan itu tetapi berdepan masalah kekurangan ‘bajet’.
Ramai sedia maklum pandemik Covid-19 yang melanda dunia termasuk Malaysia telah menjejaskan sumber pencarian bagi kebanyakan individu.
Sedar akan hal ini, Engear ingin bantu anda untuk memilihi beberapa model motosikal berharga bawah RM10,000.
Jom check it out!
Kawasaki Ninja 250
Foto hiasan ihsan Wikipedia
Suatu ketika dahulu model Ninja 250 antara yang menjadi rebutan bagi kebanyakan peminat motosikal.
Sejak diperkenalkan pada tahun 1983, model ini dikatakan antara paling berjaya pernah dihasilkan oleh Kawasaki.
Menerusi pencarian kami di internet, sebuah Kawasaki Ninja terpakai boleh dimiliki pada harga kurang daripada Rm10,000.
CF Moto 250
Foto hiasan ihsan Wikipedia
Memiliki reka bentuk yang menawan, mungkin ramai yang terpesona apabila terpandang akan model ini.
Mempunyai kapasiti enjin 250, model ini kelihatan persis sebuah motosikal berkuasa tinggi.
Setakat ini, kami berjaya menemui sebuah model CF Moto 250 pada harga RM10,000 di media sosial.
Jadi, jika anda berani dan yakin dengan motosikal keluaran syarikat China ini, tidak salah untuk mencuba nasib.
Kawasaki KRR 150
Foto hiasan ihsan Wikipedia
Model Kawasaki KRR 150 antara motosikal “legend” yang pernah kami temui dengan harga kurang RM10,000.
Mungkin ramai yang tidak berminat untuk memiliki model Kawasaki ini.
Bagaimanapun, perlu diingat masih ramai juga yang mempunyai hobi mengumpul model motosikal lama sebagai hobi.
Yamaha R15
Foto hiasan ihsan Wikipedia
Yamaha R15 antara motosikal menjadi kegilaan ramai khusus golongan muda yang baru ingin berjinak dengan dunia sport bike.
Reka bentuk model tampak ‘garang’ dan sesuai untuk mereka yang ingin berjinak dengan motosikal berkuasa tinggi.
Setakat ini, sebuah R15 tahun 2021 boleh didapati di pasaran terpakai pada harga RM10,000.
Yamaha MT15
Foto hiasan ihsan Wikipedia
Satu lagi model Yamaha yang mempunyai peminat tersendiri adalah MT15.
Motosikal ini semakin banyak di jalan raya dek kerana mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rider.
Hasil carian kami di media sosial menemui sebuah MT15 tahun 2021 yang ingin dijual pada harga RM10,000.
Walau apa jua matlamat anda untuk memiliki motosikal, pastikan ia tidak membebankan sumber kewangan anda.
Ingin tahu lebih lanjut ayuh kita tonton video di bawah bersama Abang Shamsul.
TAHUN 2021 menyaksikan pelbagai model motosikal sama ada berkuasa tinggi atau dalam kategori “kapcai” telah diperkenal oleh kebanyakan pengeluar.
Rata-rata pengeluar dilihat begitu kompetitif dengan menghasilkan jentera berkualiti sesuai dengan minat serta cita rasa pengguna.
Jadi, bersempena kita bakal memasuki tahun baharu tidak lama lagi, Engear ingin throwback lima motosikal dirasakan teramat “mantul” sepanjang tahun 2021.
Jom terus membaca!
Yamaha R15M si adik R1M?
Tidak dapat dinafikan nama Yamaha bukan calang-calang dalam industri pengeluaran motosikal dunia.
Yamaha bukan sahaja menghasilkan motosikal “biasa-biasa” malah, turut mempelopori jentera berkuasa tinggi yang tersangat “mantul”.
Pada tahun ini, salah satu motosikal keluaran Yamaha berjaya mencuri perhatian Engear adalah model R15M.
Terdapat dua sebab mengapa R15M ini menarik perhatian Engear iaitu reka bentuk seakan “abang sulong” R1M dan fungsi quickshifter pada sistem gear.
Apa yang dilakukan Yamaha ini adalah bijak bagi menarik minat pelanggan yang tidak mampu mendapatkan model R1M.
Justeru, Yamaha menghasilkan jentera berkuasa rendah (155 cc) tetapi menyerupai rupa paras ala model R1M.
Selain itu, penggunaan quickshifter yang kebiasaan ada pada jentera berkuasa tinggi sedikit sebanyak menyerlahkan lagi kelebihan terdapat pada model ini.
MT-09 serba baharu
Masih dengan jentera keluaran Yamaha yang mana kali ini model MT-09 baharu menarik perhatian Engear.
Model naked keluaran Yamaha ini bukan sahaja memiliki rupa paras “garang” tetapi lebih penting harganya yang boleh dianggap sangat berbaloi.
Dijual pada harga RM54,998 jentera ini memiliki pelbagai fungsi menarik yang ditambah baik oleh Yamaha berbanding model sebelumnya.
Selain itu, enjin MT-09 2021 ini juga direka dengan mematuhi standard Euro 5.
Suzuki GSX S750 memang berbaloi
Suzuki GSX S750 dengan enjin 4-stroke liquid-cooled 4-cylinder DOHC memang tersangat berbaloi untuk dimiliki.
Setelah krew Engear menguji jentera ini, tidak keterlaluan mengatakan motosikal ini boleh menandingi mana-mana superbike 1000 cc lain.
Apa yang menarik jentera ini mempunyai saiz radiator agak kecil namun, mampu melakukan ‘kerja’ penyejukkan sangat efisyen.
Sementara itu, hasil ujian tunggangan dibuat terhadap motosikal ini mendapati sistem Suzuki’s Advanced Traction Control tersangat berfungsi dengan baik.
Ia memberikan satu pengalaman luar biasa bagi sebuah motosikal naked apatah lagi harganya hanya sekitar RM44,000 sahaja!
Belum terlambat jika anda ingin mendapatkan jentera ini pada tahun 2022 nanti…
Dominar D400 2021 pilihan ramai
Syarikat pengeluar motosikal iaitu Modenas sekali lagi berjaya “menggegarkan” pasaran tempatan dengan kemunculan model Dominar D400 terbaharu.
Kali ini, Modenas memberi beberapa suntikan pembaharuan bermula daripada warna badan sehingga aspek teknikal.
Menawarkan dua warna badan baharu iaitu Savanna Green dan Charcoal Black, teknologi klac assist and slipper antara yang menarik untuk diperkatakan.
Sistem ini membantu melancarkan pertukaran gear secara mengejut sekaligus amat penting untuk keselesaan dan keselamatan penunggang.
Dominar D400 juga didatangkan dengan lampu hadapan automatic jenis “LED mosaic” yang mampu memberikan pencahayaan lebih jelas pada waktu malam.
Menurut Modenas, lampu ini memberikan jarak penglihatan penunggang sejauh 1.5 kilometer.
Makanya, untuk harga sekitar RM14,000, apa lagi anda mahu?
KTM RC 8C laku keras
Jentera terpaling “mantul” pada tahun 2021 pada pendapat Engear adalah KTM RC 8C yang dilancarkan pada awal bulan Julai lalu.
Apa yang menarik, kesemua 100 unit dilancarkan habis terjual dalam masa kurang dari lima minit!
Mendapat kemasan badan ala MotoGP, jentera ini dijual pada harga sekitar RM178,400.
Harga ini tidak keterlaluan jika dibandingkan dengan motosikal berkuasa tinggi lain memandangkan badannya diperbuat daripada glass reinforced plastic.
Selain itu, jentera ini juga diperkukuh dengan Kevlar serta lengkap dengan winglet aerodinamik.
Bagaimana pula dengan kuasa enjin? KTM RC 8C mencatatkan kuasa enjin 126hp dan 101Nm tork!
Itu antara lima motosikal paling mantul yang Engear rasakan sangat berbaloi bukan sahaja daripada prestasi malah, sesuai dengan harganya…
Jika anda ada senarai motosikal “mantul” sepanjang 2021, sila tinggalkan komen di platform media sosial kami.
KETAHANAN Modenas Dominar D400 tidak dapat disangkal apabila jentera itu berjaya menempuh cabaran konvoi sepanjang 1,600 kilometer.
Konvoi dianjurkan pada bulan lalu itu mengambil masa hanya dalam tempoh 24 jam dengan penyertaan 10 peserta termasuk para wartawan.
Modenas berkata, cabaran ini bukan sahaja menguji ketahanan jentera Dominar D400 tetapi turut memberi ruang syarikat itu terus bekerjasama dengan pihak media.
Foto ihsan Facebook/Modenas
Ketua Pegawai Eksekutif Modenas Roslan Roskan turut berharap program seumpama itu diteruskan di masa depan.
“Saya percaya ia kali pertama bagi mana-mana pengeluar motorsikal menganjurkan acara seperti ini secara rasmi.
“Modenas mengucapkan terima kasih kepada mereka yang telah menyahut cabaran…kami berharap dapat menganjurkan lagi acara seperti ini dengan model motosikal Modenas lain,” katanya.
Pada 18 November lalu, Modenas menerusi kerjasama syarikat Petron Malaysia menganjurkan program Cabaran 1,600 KM Modenas Dominar D400.
Cabaran pada masa sama menguji ketahanan mental dan fizikal peserta selain melihat keupayaan Modenas Dominar D400.
Foto ihsan Facebook/Modenas
Secara keseluruhan, konvoi menempuh perjalanan sejauh 1,619 kilometer hanya dalam tempoh masa 23 jam 8 minit.
Konvoi bermula dari Petron Subang Jaya menuju ke kilang Modenas dekat Gurun, Kedah dengan jarak perjalanan lebih 399 kilometer.
Perjalanan kemudian diteruskan ke Jerteh melalui Banjaran Titiwangsa dan kawasan hutan simpan Royal Belum dengan jarak 315 kilometer.
Selepas berehat di Jerteh, konvoi diteruskan ke Kijal, Terengganu yang memakan jarak perjalanan lebih 234 kilometer.
Selepas tiba di Terengganu, peserta meneruskan lagi konvoi ke Mersing sebelum tiba di Simpang Renggam, Johor dengan jarak perjalanan 533 kilometer.
Walaupun kepenatan, kesemua peserta meneruskan lagi perjalanan ke Melaka dan terus menuju ke Kuala Lumpur bagi menamatkan cabaran.
Kami di Engear mengucapkan tahniah dan syabas buat penganjur kerana berjaya menganjurkan program seperti ini dan diharap ia diteruskan lagi pada masa depan.
Jadi, adakah anda sudah bersedia untuk memiliki sebuah Modenas Dominar D400?
PASCA pembentangan Belanjawan 2022, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat meluahkan rasa kecewa dengan pengurangan peruntukan dalam usaha meningkatkan keselamatan jalan raya.
Tan Sri Lee Lam Thye mendakwa, tiada peruntukan khas bagi melaksanakan projek keselamatan jalan raya walau angka kematian akibat nahas amat membimbangkan.
Katanya, Ikatan Komuniti Selamat telah menghantar cadangan kepada kerajaan agar memberi peruntukan terutama membabitkan pembinaan serta penyelenggaraan lorong khas motosikal.
“Nampaknya tiada langsung kemahuan politikal untuk menyediakan peruntukan kewangan bagi menyiapkan lorong motosikal.
“Kalau dilaksana boleh menyelamatkan ribuan nyawa, terutamanya warga muda.
“Ini dapat dibuktikan bukan sahaja berdasarkan kajian berterusan Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), tetapi juga pemikiran waras,” katanya.
Lorong khas motosikal penting sebagai usaha mengurangkan kemalangan kalan raya.
Ini memandangkan kenderaan motosikal akan diasingkan dengan kenderaan lain di jalan raya yang saiznya jauh lebih besar.
Terdahulu, Lam Thye berharap kerajaan serta ahli politik memainkan peranan lebih besar agar kemalangan motosikal dapat dibanteras.
“Tujuh daripada 10 kematian atas jalan raya adalah daripada pengguna motosikal, sekaligus menjadikan Malaysia semakin hampir kepada Thailand.
“Populariti servis penghantaran semakin meningkat sekarang, jumlah kematian juga akan naik.
“Sehinggalah kerajaan dan pemimpin politik sedar realiti sebenar kematian yang boleh dibendung ini banyak memberikan impak sosial dan ekonomi kepada negara,” katanya lagi.
Demikian luahan bekas pelumba Moto3 Khairul Idham Pawi yang kembali membuat penampilan semula dalam kejohanan perlumbaan motosikal.
Jelas Khairul atau lebih dikenali dengan jolokan Super KIP, dirinya bakal bersaing pada Kejohanan Superbike Malaysia (MSBK) 2021 pada 15 hingga 17 Oktober ini.
Perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu nanti akan menyaksikan Super KIP mewakili pasukan TKKR Racing bagi kategori 600cc.
Mengulas lebih lanjut mengenai kerjayanya, Super KIP berkata sudah tiba masa untuk dirinya kembali bergelar pelumba memandangkan itu merupakan cita-cita diidamkan sejak kecil.
“Saya rindu untuk berlumba, itu cita-cita saya masa kecil dan ini mungkin waktunya untuk saya kembali berlumba,” katanya, semalam.
Tahun lalu, Super KIP mengejutkan peminat sukan permotoran tempatan apabila mengumumkan persaraannya.
Khairul Idham Pawi pernah meraih kemenangan podium pada perlumbaan motosikal Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring pada 2016. – Foto ihsan Malay Mail
Super KIP enggan dabik dada
Super KIP merupakan antara pelumba kelahiran Malaysia yang berbakat besar dan dilihat berpotensi besar untuk mencetak pelbagai kejayaan dalam sukan permotoran.
Terdahulu, Super KIP memaklumkan tidak meletakkan sebarang sasaran sebaliknya hanya mahu memberi tumpuan untuk mencapai keserasian bersama jentera.
Hal ini kerana dirinya perlu mencari momentum baharu untuk mencipta kejayaan selepas hampir setahun tidak terlibat dalam perlumbaan kompetitif.
“Saya pun tak berani nak cakap besar juga sebab pelumba-pelumba sekarang banyak dah laju, ramai yang sudah bertambah baik.
“Jadi saya cuma nak ‘enjoy riding’ semula, cari balik saya punya ‘feeling’ dekat atas motor sebab bila lama tinggal saya rasa agak sedikit sukar untuk dapatkan ‘feel’ itu,” katanya lagi.
Khairul Idham Pawi antara pelumba yang berbakat besar. – Foto ihsan Malay Mail
Angkat tandan sawit kekal stamina
Sementara itu, Super KIP turut berkongsi rahsia dirinya kekal bertenaga walau tidak menyertai kejohanan motosikal selama setahun.
Antara aktiviti dilakukan termasuk memunggah dan mengangkat tandan buah kelapa sawit di kampung halamannya.
Mungkin kedengaran agak ganjil namun, Super KIP mengakui ia secara tidak langsung sangat membantu dirinya mengekalkan kekuatan mental dan fizikal.
SUZUKI tidak dinafikan merupakan sebuah syarikat pengeluar motosikal amat disegani dalam industri permotoran.
Ini kerana kebanyakan jentera dihasilkan Suzuki bukan sahaja memiliki trademark tersendiri malah, mempunyai ketahanan luar biasa.
Memperkatakan mengenai produk Suzuki, salah sebuah jentera menarik perhatian Engear adalah model GSX S750 ABS.
Foto ihsan Suzuki
Pertama kali krew Engear menguji jentera ini ternyata segala kehebatan teknologi yang diperkatakan mengenai Suzuki adalah benar belaka.
Mempunyai enjin 4-stroke (liquid-cooled, 4-cylinder, DOHC) dengan 749cc, motosikal ini mampu mencapai lebih 114 kuasa kuda pada 10,500 rpm dan 81 Nm torque pada 9,000 rpm.
Kuasa pick up dan pecutan tidak keterlaluan jika dikatakan setanding dengan kebanyakan jentera 1000cc lain yang berada di pasaran.
Ciri-Ciri GSX S750 ABS
Model GSX S750 ABS didatangkan dengan tayar depan 120mm dan belakang 180mm.
Ia mempunyai berat lebih 213 kilogram dan ketinggian (seat height) 820mm.
Apa yang menarik jentera ini mempunyai saiz radiator yang agak kecil namun, mampu melakukan ‘kerja’ penyejukkan yang sangat efisyen.
Bagaimana pula dengan saiz tank? Ya, saiz tank juga tidak begitu mengecewakan kerana ia mampu menampung lebih 16 liter petrol.
Selain itu, GSX S750 ABS ini mempunyai sistem Suzuki’s Advanced Traction Control System.
Foto ihsan Suzuki
Sistem ini menawarkan tiga mod tunggangan seperti berikut:
Mod 1
Mod ini sesuai kepada individu yang inginkan kepada tunggangan sport
Mod 2
Mod ini sesuai untuk permukaan jalan raya biasa seperti di jalan Persekutuan atau lebuhraya
Mod 3
Mod ini sesuai untuk permukaan jalan yang tidak sekata seperti menaiki bukit atau jalan berbatu
Setakat ini, terdapat empat warna pilihan bagi model GSX S750 ABS iaitu metallic Triton Blue, Metallic Matte Black, Pearl Glacier White and Pearl Glacier White/Glass
Sparkle Black.
Harga di pasaran pula bermula RM44,000 sahaja!
Foto ihsan Suzuki
Skor rating GSX S750 ABS
Berikut pula adalah skor rating Engear terhadap jentera GSX S750 ABS.
Hujung Minggu
Gaya 6.5/10
Pecutan 8.5/10
Pengendalian 7/10
Fun 7/10
Cool 6.5/10
Tunggangan Harian
Ciri 7.5/10
Keselesaan 7/10
Keselamatan 7/10
Praktikaliti 5/10
Saiz 5/10
Nak tahu lebih lanjut review jentera GSX S750 ABS ini jangan lupa saksikan video bersama hos Mr. Rocket di platform YouTube EnGear!
KURANG tiga bulan menjengah tahun 2022, pengeluar motosikal Kawasaki tampil memperkenalkan model baharu dikenali sebagai Z650RS.
Mengetengahkan konsep retro moden, jentera ini menyasarkan pengguna berusia lebih muda yang meminati gaya tunggangan santai.
Justeru, apa kelebihan jentera ini?
Foto ihsan Kawasaki
Z650RS dikuasakan dengan enjin parallel-twin 649cc iaitu sama seperti terdapat pada model Z650 dan Ninja 650.
Ia mampu menghasilkan kuasa lebih 68 PS dan daya kilas 64 Nm.
Sementara itu, sistem suspensi hadapan Z650RS ini menggunakan fork konvensional 41mm dengan penyerap hentak jenis horizontal link.
Sistem brek hadapan pula menggunakan angkup berkembar dua omboh dan rotor retro bersaiz 300mm sementara, bahagian belakang dilengkapi angkup omboh tunggal rotor 200mm.
Foto ihsan Kawasaki
Terdapat tiga warna yang diperkenalkan iaitu Metallic Spark Black, Candy Emerald Green dan Metallic Moondust Gray/Ebony.
Harga yang ditawarkan bermula dari dari £7,549 atau bersamaan RM42,421.
Setakat ini, belum ada perkembangan sama ada Kawasaki akan memperkenalkan jentera ini ke Malaysia atau sebaliknya.
BUKANLAH satu rahsia yang Perancis dianggap sebagai hab fesyen dunia dan apa sahaja produk yang direka dan dihasilkan oleh negara itu pastinya tampil unik dan penuh berseni. Malah, itulah antara dua perkara yang boleh diperkatakan tentang Ducati 750SS kustom rekaan Cevennes Retro Motors ini.
Diasaskan oleh Cedric Tenquir, Cevennes Retro Motors merupakan syarikat motosikal kustom kecil-kecilan yang beroperasi dari sebuah bengkel usang yang terletak di kaki pergunungan Cevennes di Ales, selatan Perancis.
Biarpun kecil dan sederhana, bengkel itu menjadi tempat Cedric mendapatkan ilham untuk menghasilkan jentera-jentera dua roda kustom yang lain dari kebiasaan. Ini dibantu dengan kepakarannya dalam membentuk aloi mentah.
Bagaimanapun, hasil tangan terbaharunya ini dikatakan antara yang terbaik pernah dihasilkan oleh Cedric. Ini kerana selain enjin, hampir semua komponen yang digunakan direka dan diolah semula oleh beliau.
Menggunakan Ducati 750SS sebagai asas, Cedric memulakan projek ini dengan menghasilkan kerangka daripada besi Chromoly. Namun ia tidak boleh direkabentuk secara sembarangan kerana enjin perlu dipasang sebagai sebahagian daripada kerangka (stressed member) untuk mendapatkan pengendalian yang mantap.
Menurut pemuda itu, bahagian hadapan kerangka tersebut dipanjangkan bagi memberikan motosikal ini stance yang rendah dan panjang, manakala bahagian ekornya pula disokong oleh sub-rangka dengan rekaan yang minimal, sekaligus menghasilkan efek terapung.
Untuk sistem suspensi, Cedric menggunakan fork 750SS yang asal pada bahagian hadapan, manakala bahagian belakang pula menampilkan gabungan lengan ayun tunggal daripada Monster S4R dan penyerap hentak Fournales. Lengan ayun tersebut menjadi pilihan kerana reka bentuknya yang menjalar seperti akar, sesuai dengan rangka dan subrangka jentera ini.
Selain itu, penggunaan tapak kaliper brek kustom membolehkan café racer ini menggunakan rim dan cakera brek berkembar daripada model 1098. Sudah tentu, kaliper brek tersebut bukanlah keluaran Brembo kerana menurut Cedric, motosikal ini tidak direka untuk ditunggang pada kelajuan 300 km/j. Pun begitu, bentuk badannya membuatkan ia kelihatan pantas walaupun tidak bergerak.
Turut memainkan peranan dalam menjadikan rekaan ini lebih unik adalah perincian-perincian seperti kemasan kayu pada bar hendal, pelana dan tempat letak kaki, serta penutup tangki bahan api yang tidak pernah dilihat pada mana-mana motosikal sebelum ini.
Akhir sekali, Cedric turut menaik taraf enjin 748cc V-berkembar itu dengan memasang intake kustom yang diperbuat daripada aloi dan karburetor Dellorto DHLA 40 yang asalnya direka untuk enjin kereta. Jumlah kuasa yang dihasilkan tidak diketahui, namun untuk sebuah motosikal secantik ini, ia tidak begitu penting.
BERITA gembira untuk semua pemilik jentera Ducati di Malaysia.
Ducati Malaysia menawarkan diskaun sehingga 15 peratus untuk alat ganti bagi sebarang pembaikan yang tidak lagi dilindungi waranti.
Selain itu, syarikat berkenaan turut menawarkan diskaun khas sehingga 35 peratus bagi aksesori dan pakaian kepada pelanggan yang membuat temujanji.
Pengurus Besar Ducati Malaysia Dennis Michael berkata, tawaran ini sebagai penghargaan kepada para pelanggan yang sentiasa menyokong jenama itu.
“Ini adalah tanggungjawab kami kepada para pelanggan dan pemilik jenama Ducati dalam mengharungi pandemik Covid-19 yang mencabar ini,” katanya.
Foto ihsan Ducati Malaysia
Sementara itu, Ducati Malaysia turut menawarkan lanjutan masa sehingga tiga bulan bagi kenderaan yang tempoh jaminannya berakhir antara Ogos 2021 hingga September 2021.
Lanjutan jaminan ini khusus kepada pemilik jentera yang berdepan masalah menghantar motosikal untuk diselenggara ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Bagaimanapun, para pelanggan dinasihatkan membuat temujanji dengan pusat servis Ducati berdekatan.
Program lanjutan jaminan berakhir 15 Oktober 2021.