Arkib Tag: Mitsubishi

Mitsubishi Delica D:5 2026 diperkenal di Jepun, kekal garang, 2.2L diesel, dari RM118 ribu

Mitsubishi Motors Corporation memperkenalkan van serba guna Delica D:5 2026 yang telah menerima penambahbaikan ketara.

Model ini akan mula dijual melalui rangkaian pengedar di seluruh Jepun bermula pada 9 Januari 2026.

Nama Delica yang diambil daripada singkatan delivery car telah membina reputasi kukuh sebagai kenderaan yang mampu membawa penumpang dan kargo dalam pelbagai keadaan jalan raya dengan jualan terkumpul melebihi 1.38 juta unit.

Evolusi Generasi Kelima dan Kejayaan Siri Delica

Delica D:5 yang pertama kali diperkenalkan pada Januari 2007 direka khusus untuk menggabungkan ciri mesra pengguna sebuah van dengan keteguhan sebuah SUV.

Sepanjang 19 tahun dalam pasaran model ini telah terjual melebihi 300,000 unit di Jepun sahaja.

Kejayaan ini diteruskan oleh model Delica Mini, sebuah wagon kei-car yang mula dijual pada 29 Oktober tahun ini dan memenangi anugerah 2026 RJC Car of the Year.

Reka Bentuk Luaran Menonjol

Tumpuan utama Delica D:5 2026 adalah pada penampilan yang lebih berkuasa dan berkemampuan tinggi melalui beberapa perubahan pada bahagian luaran.

  • Jeriji serta bampar hadapan dan belakang menggunakan rekaan tiga dimensi yang lebih menonjol.
  • Pendakap gerbang roda baharu pada sisi badan untuk memberikan imej yang lebar dan stabil.
  • Rrim aluminium 18 inci rekaan baharu.
  • Pintu kargo belakang  dengan logo DELICA yang disatukan pada kemasan (garnish) pintu.
  • Pilihan warna dua tona baharu Black Mica yang dipadankan bersama warna istimewa Moonstone Gray Metallic dengan kesan kebiruan.
  • Sembilan pilihan warna yang terdiri daripada lima warna dua tona dan empat warna tunggal.

Ruang Dalaman Moden dan Premium

Suasana kabin Delica D:5 kini lebih mewah dan praktikal dengan tumpuan kepada kualiti bahan dan kemudahan pengguna.

  • Meter LCD warna bersaiz 8 inci yang meningkatkan tahap penglihatan pemandu.
  • Panel instrumen menerima kemasan metalik manakala panel tengah menggunakan warna kelabu gelap yang tahan calar.
  • Tempat duduk gred tertinggi menggunakan gabungan bahan suede kalis air pada bahagian tengah dan kulit sintetik pada bahagian lain.
  • Kemasan jahitan warna khaki yang popular dalam barisan CHAMONIX digunakan untuk gaya lebih berfungsi.
  • Penambahan dua port pengecasan USB Type C pada bahagian bawah konsol tengah dan konsol lantai.

Prestasi Pemanduan dan Teknologi S AWC

Dari aspek mekanikal Delica D5 dilengkapi sistem kawalan dinamik kenderaan bersepadu S AWC Super All Wheel Control yang mengawal keempat-empat roda secara bebas.

  • Sistem ini menjamin kestabilan pemanduan di jalan lurus serta memberikan pengendalian yang responsif di permukaan lasak.
  • Pemandu boleh memilih daripada empat mod pemanduan iaitu ECO, NORMAL, GRAVE dan SNOW mengikut kesesuaian permukaan jalan.
  • Ciri Kawalan Penurunan Curam membolehkan menuruni cerun curam pada kelajuan tetap secara automatik.

Peningkatan Tahap Keselamatan Mitsubishi e-Assist

Aspek keselamatan dipertingkatkan melalui teknologi bantuan pemanduan Mitsubishi e-Assist dengan tambahan fungsi.

  • Sistem Brek Mitigasi Pelanggaran kini mampu mengesan kehadiran basikal selain kenderaan dan pejalan kaki.
  • Fungsi Pencegahan Salah Pandu kini bertindak balas jika pemandu terpijak pedal pendikit secara tidak sengaja semasa sedang mengundur.
  • Sensor parkir sonar dipasang pada bampar hadapan dan belakang dengan amaran melalui paparan meter dan bunyi.
  • Sistem Multi Around Monitor menawarkan kualiti imej kamera tiga kali ganda lebih jelas dengan paparan mata burung (bird’s eye view) serta fungsi mengesan objek bergerak.
  • Penambahan ciri Leading Vehicle Departure Notification bagi memberi peringatan kepada pemandu sekiranya kenderaan di hadapan sudah mula bergerak.

Enjin Diesel Bersih

Delica D5 baharu digerakkan enjin 2.2L DOHC 16 injap 4 silinder common rail DI -D intercooler turbo diesel bersih yang dipadankan dengan transmisi automatik 8 kelajuan mod sport dan sistem pacuan 4WD.

Harga Jualan Delica D:5 2026

  • Delica D:5 P (7/8 tempat duduk): 4,944,500 yen (RM129,793)
  • Delica D:5 G Power Package (7/8 tempat duduk): 4,746,500 yen (RM124,596)
  • Delica D:5 G (7/8 tempat duduk): 4,510,000 yen (RM118,388)

Mitsubishi Destinator dilancar di Filipina, 2/6 beg udara, RM97 ribu – RM126 ribu

Mitsubishi Motors Philippines Corporation (MMPC) telah memulakan jualan SUV Destinator serba baharu pada 20 November.

Mitsubishi merancang untuk memperkenalkan model tujuh tempat duduk ini ke Vietnam dan negara-negara ASEAN lain serta Asia Selatan, Amerika Latin, Timur Tengah dan Afrika.

Meskipun Malaysia tidak disenaraikan secara khusus, Mitsubishi mahu melancarkan Destinator di kira-kira 70 buah negara secara keseluruhan.

Destinator dihasilkan oleh Mitsubishi Motors Krama Yudha Indonesia di Bekasi, Jawa Barat.

SUV ini dibangunkan dengan konsep produk Confidence Booster for Energetic Families (Penggalak Keyakinan untuk Keluarga Bertenaga).

Nama Destinator dipilih dengan harapan model ini akan memperkasa pemandu dan keluarga mereka untuk mengejar destinasi baharu dengan penuh keyakinan.

Ciri-ciri Utama

Destinator menggabungkan reka bentuk SUV yang tulen dengan ruang dalaman premium dan luas, memastikan keselesaan untuk semua penumpang.

Ia turut menawarkan pecutan yang berkuasa dan mengujakan dari enjin 1.5 liter turbo, serta prestasi pemanduan yang selamat dan boleh dipercayai dalam pelbagai keadaan jalan raya dan cuaca.

Di Indonesia, Destinator telah menunjukkan permulaan yang baik sejak pelancarannya pada Julai lalu, dengan kira-kira 12,000 tempahan dalam tempoh empat bulan.

Model ini juga memenangi anugerah berprestij Car of the Year 2025 dan Best Medium SUV di GridOto Awards 2025.

Reka Bentuk dan Dalaman

Reka bentuk luaran Destinator mengikut konsep GRAVITAS & DYNAMISM.

  • Gravitas merujuk kepada kehadiran dan penampilan SUV yang teguh dengan perkadaran SUV yang mantap dan kedudukan yang lebar.
  • Dynamism diluahkan melalui tenaga dan keupayaan reka bentuk luaran bagi mengatasi cabaran di jalan raya.

Ciri luaran dan dalaman termasuk:

  • Rekaan depan Dynamic Shield yang lebih berani dan anggun, melambangkan prestasi dan perlindungan.
  • Lampu hadapan dan lampu belakang berbentuk T yang menyerlahkan kedudukan lebar kenderaan.
  • Reka bentuk belakang Hexaguard Horizon yang menarik perhatian.
  • Roda aloi 18-inci.
  • Paparan dalaman Monolithic Display Panel yang menggabungkan SDA 12.3-inci dan meter LCD 8-inci (GT dan GLS). Varian GLX menggunakan meter jenis analog.
  • Bumbung panoramik untuk varian GT, ruang dalaman dengan cahaya semula jadi.
  • Varian GT menampilkan kulit sintetik dua tona (Maroon & Hitam) dengan teknologi Heat Guard (kalis haba).
  • Varian GLS dan GLX menampilkan warna dalaman hitam klasik.

Rangkaian Kuasa dan Pengendalian

  • Jenis Enjin: 1.5 liter turbo (4B40) Euro-4.
  • Kuasa Maksimum: 163 ps pada 5,000 rpm.
  • Tork Maksimum: 250Nm pada 2,500-4,500 rpm.
  • Transmisi: CVT.
  • Sistem Brek: Cakera di bahagian hadapan dan belakang.
  • Suspensi: MacPherson dengan pegas gelung dan penstabil di hadapan, torsion beam di belakang.

Ciri Pemanduan dan Kawalan:

  • Jarak Kelegaan Tanah (Minimum): 214 mm (terbaik dalam kelas).
  • Mod Pemanduan (5 Mod): Normal, Wet, Gravel, Tarmac dan Mud.
  • Active Yaw Control (AYC): Meningkatkan kestabilan pada selekoh tajam atau semasa pergerakan kecemasan pantas.

Kelengkapan Keselamatan dan Bantuan Pemandu

Destinator dilengkapi dengan sistem Mitsubishi Motors Safety Sensing (MMSS).

Sistem Bantuan Pemandu MMSS (Untuk Varian GT dan GLS)

  • Adaptive Cruise Control (ACC) with Stop and Go Function (Hanya untuk GT).
  • Forward Collision Mitigation System (FCM)(Hanya untuk GT).
  • Rear Cross Traffic Alert (RCTA) (Untuk GT dan GLS).
  • Leading Car Departure Notification (LCDN) (Hanya untuk GT).
  • Automatic High Beam (AHB) (Hanya untuk GT).
  • Blind Spot Warning (BSW) (Untuk GT dan GLS).

Ciri Keselamatan Standard dan Tambahan

  • Multi Around Monitor (MAM) (Untuk GT dan GLS). Varian GLX dilengkapi dengan Kamera Mengundur.
  • Parking Sensors (Penderia Tempat Letak Kereta) (Untuk GT dan GLS).
  • Beg Udara:
    • GT dan GLS: Pemandu, Penumpang, Sisi, Tirai (6 beg udara).
    • GLX: Pemandu, Penumpang (2 beg udara).
  • Brek Anti-Kunci (ABS), Bantuan Brek (BA) (semua varian).
  • Active Stability and Traction Control (ASTC), Hill Start Assist (HSA), dan ISO Fix dan Tether Anchor (semua varian).
  • Pintu Belakang Bebas Tangan (Untuk GT).

Promosi Pelancaran

Pelanggan di Filipina yang menempah dan membeli Destinator dalam tempoh 12 November 2025 hingga 31 Januari 2026, layak menikmati harga promosi pengenalan istimewa dan barangan eksklusif.

Destinator GLX 1.5G Turbo 2WD CVT:

  • 1,389,000 PHP (RM 97,553.11)
  • Harga Pengenalan Istimewa: 1,289,000 PHP (RM 90,530.14)

Destinator GLS 1.5G Turbo 2WD CVT

  • 1,599,000 PHP (RM 112,301.99)
  • Harga Pengenalan Istimewa: 1,499,000 PHP (RM 105,279.02)

Destinator GT 1.5G Turbo 2WD CVT (Harga untuk warna tunggal)

  • 1,929,000 PHP (RM 135,420.94)
  • Harga Pengenalan Istimewa: 1,799,000 PHP (RM 126,358.98)

Nissan Navara generasi keempat diperkenalkan sebagai Triton yang di-rebadge

Perkongsian platform bukan perkara baharu dalam dunia trak pikap. Lihat sahaja Volkswagen Amarok yang diasaskan daripada Ford Ranger, atau Mazda BT-50 yang berkongsi DNA dengan Isuzu D-Max.

Nissan Navara generasi keempat ini pula dibina di atas platform sama yang digunakan oleh Mitsubishi Triton generasi ketiga yang diperkenalkan dua tahun lalu.

Perkara ini bukan pelik kerana Nissan dan Mitsubishi sememangnya berada dalam pakatan bersama Renault. Ini membolehkan ketiga-tiga itu berkongsi teknologi bagi mengurangkan kos, serta masa pembangunan.

Bakal memasuki pasaran Australia dan New Zealand menjelang akhir suku pertama 2026, Navara baharu tampil dengan identiti tersendiri menerusi gril V-motion yang diinspirasikan daripada model D21.

Selain itu, ia juga mempunyai lampu utama LED berbentuk C, manakala varian Pro-4X yang ditampilkan ini tampil lebih agresif dengan trim hitam, dan rim 17 inci yang dipadankan dengan tayar all-terrain bersaiz 265/65.

Bahagian dalamannya pula jelas berkongsi banyak elemen dengan Triton, termasuk skrin sentuh 9 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, panel instrumen digital 7 inci dan pengecas tanpa wayar.

Untuk keselamatan pula, Navara didatangkan dengan lapan beg udara dan rangkaian ciri ADAS seperti Emergency Lane Assist, Blind Spot Warning dan Front/Rear Cross Traffic Alert.

Kuasa dibekalkan oleh enjin 2.4-liter turbodiesel dengan 204 PS dan 470 Nm, dipadankan transmisi automatik 6-kelajuan. Gabungan ini dikatakan mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api sekitar 7.7 liter/100 km.

Suspensi model ini ditala oleh Premcar, syarikat kejuruteraan Australia yang turut membangunkan Navara Pro-4X Warrior sebelum ini. Program ujian melibatkan jarak lebih 18,000 km merangkumi jalan bandar, trek berbatu, dan permukaan beralun Outback. Hasilnya, semua varian Navara menawarkan kapasiti menunda sehingga 3,500 kg.

Selain itu, Navara baharu juga didatangkan dengan dua sistem 4WD, termasuk pilihan “Super 4WD” untuk varian lebih tinggi yang menawarkan mod pacuan sepenuh masa, Torsen LSD dan tujuh mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Grave, Snow, Mud, Sand dan Rock.

Pusat 3S Mitsubishi rasmi dibuka di Teluk Panglima Garang

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) mengumumkan pembukaan rasmi pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) di Teluk Panglima Garang, Selangor.

Dikendalikan oleh MN Wheels Sdn Bhd, pusat 3S terbaharu Mitsubishi Motors ini mempunyai tanah berkeluasan 27,000 kaki persegi dan saiz bangunan sekitar 10,000 kaki persegi yang bukan sahaja menempatkan pusat pameran yang selesa, malah juga terdapat pusat servis yang lengkap dengan peralatan diagnostik.

Shinya Ikeda, CEO MMM berkata, “Bagi pihak Mitsubishi Motors Malaysia, kami amat menghargai sokongan dan komitmen MN Wheels terhadap jenama ini.

“Pembukaan outlet baharu ini bakal membawakan produk dan perkhidmatan kami lebih dekat dengan komuniti, memastikan para pelanggan kami di Teluk Panglima Garang berada di pihak yang tepat,” ujarnya.

Pusat 3S Mitsubishi Motors yang terbaharu ini terletak di No. 4, Jalan Gangsa, Kawasan Perindustrian Teluk Panglima Garang, 42500 Teluk Panglima Garang, Selangor.

Untuk makluman, Mitsubishi Motors kini mempunyai sebanyak 18 buah pusat pengedar bertaraf 3S di sekitar Lembah Klang.

EON sumbang 62 kenderaan untuk mangsa insiden Putra Heights

Syarikat Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) menyumbang sebanyak 62 unit kenderaan untuk kegunaan mangsa insiden Putra Heights selama sebulan tanpa sebarang caj.

Sebanyak 40 buah kenderaan terdiri daripada sedan, SUV dan kenderaan pelbagai fungsi daripada jenama runcit EON seperti Proton, Mitsubishi dan Volkswagen, dan menerusi subsidiari sewa kenderaan EON, iaitu Avis Malaysia.

Selain itu, 22 unit kenderaan yang terdiri daripada trak pikap termasuklah empat unit kenderaan elektrik (EV) jenama smart turut disediakan untuk kegunaan agensi kerajaan dan organisasi yang menghulurkan bantuan kepada mangsa.

Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, “Ramai keluarga yang bukan sahaja kehilangan tempat tinggal, malah kehilangan pengangkutan utama disebabkan insiden kebakaran.

“Sebagai syarikat pengedar pelbagai jenama kenderaan terbesar di negara, EON rasa bersyukur kerana berada di posisi untuk memberikan sedikit kelegaan dalam tempoh yang sukar ini.

“Bagi pihak EON Group, saya ingin menyampaikan rasa simpati yang mendalam kepada semua mangsa yang terjejas. Kami mendoakan mereka yang mengalami kecederaan agar cepat sembuh, dan berharap semua yang terkesan mempunyai kekuatan, keberanian dan sokongan yang diperlukan untuk membina semula kehidupan.

Beliau yang juga ketua unit pengedaran automotif DRB-HICOM menambah, “buat masa ini, EON akan menyediakan kenderaan kepada mangsa yang terjejas dan NGO tanpa sebarang caj selama satu bulan. Bantuan ini mungkin akan dilanjutka bergantung kepada keperluan tertentu.”

Akkbar turut melahirkan rasa terima kasih kepada Pejabat Menteri Besar Selangor, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Majlis Perbandaran Subang Jaya kerana menyokong EON untuk inisiatif ini dan menyeru pelbagai pihak untuk bertindak segera dalam memastikan kesejahteraan masyarakat setempat susulan insiden malang tersebut.

Honda, Nissan tangguh umum pelan gabungan hingga pertengahan bulan ini

Laman berita Japan Today semalam (2 Februari) melaporkan Honda dan Nissan akan mengumumkan pelan gabungan kedua-dua syarikat itu pada pertengahan bulan ini.

Mengikut perancangan asal, syarikat pengeluar automotif kedua dan ketiga terbesar itu mahu berbuat demikian pada penghujung bulan Januari.

Dalam sidang media yang dianjurkan pada bulan lepas, kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan perbincangan untuk membentuk syarikat baharu pada tahun 2026.

Ketua eksekutif Honda, Toshihiro Mibe berkata, pihaknya mahukan Nissan untuk membuat tindakan yang sewajarnya di dalam penstrukturan semula sebagai pra-syarat untuk penggabungan.

Pada bulan November, Nissan mengumumkan pengurangan sehingga 9,000 pekerjaan di seluruh dunia serta mengurangkan kapasiti produksi global sebanyak 20 peratus selepas syarikat itu dilapor mengalami penurunan keuntungan lebih 90 peratus untuk tempoh April hingga September.

Sebagai sebahagian daripada langkah pembaikpulihan, Nissan turut merancang untuk menawarkan program persaraan awal untuk pekerja di tiga kilang di Amerika Syarikat dan membuang sebilangan pekerja di Thailand.

Honda nampaknya tidak begitu yakin dan menyeru langkah yang lebih drastik diambil untuk memastikan pemulihan Nissan berjaya.

Menurut satu sumber lagi, rakan sepakatan Nissan, Mitsubishi lebih cenderung untuk tidak menyertai syarikat gabungan baharu itu.

 

Mitsubishi tidak akan sertai pakatan Honda-Nissan – laporan

Laman berita Japan Today melaporkan Mitsubishi Motors Corp tidak akan menyertai syarikat gabungan yang terbentuk antara Nissan Motor Co dan Honda Motor Co.

Sebaliknya, syarikat itu akan memberikan fokus kepada memperkukuhkan kerjasama dengan dua syarikat tersebut, menurut sumber yang rapat dengan perkara itu pada Jumaat lalu.

Perkembangan terbaharu ini dilihat mencerminkan kebimbangan Mitsubishi terhadap risiko kehilangan kawalan pengurusan sekiranya mereka menyertai gabungan Honda-Nissan.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat lepas, Mitsubishi sedang mempertimbangkan pelbagai kemungkinan dan belum memutuskan hala tuju yang spesifik.

CEO Mitsubishi, Takao Kata memberitahu wartawan di Tokyo, “Tiada apa-apa yang telah diputuskan.”

Honda dan Nissan, pengeluar automotif kedua dan ketiga terbesar di Jepun pada tahun lepas mengumumkan langkah penggabungan di bawah syarikat baharu yang akan membentuk kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia untuk melawan saingan yang diberikan oleh pengeluar kenderaan elektrik Amerika Syarikat dan China.

Pada ketika itu, Mitsubishi Motors belum bersedia dan hanya akan mengumumkan keputusan untuk menyertai pakata baharu itu akan dibuat pada akhir Januari 2025.

Sepanjang tahun 2023, jumlah jualan Honda, Nissan dan Mitsubishi mencecah lapan juta unit, itu pun masih belum dapat mengatasi angka jualan Toyota (11.23 juta unit) dan Volkswagen AG (9.24 juta unit).

Honda dan Nissan mahu memuktamadkan segala perbincangan penggabungan pada Jun 2025.

Honda, Nissan mulakan perbincangan bergabung, Mitsubishi turut serta?

Honda Motor Co. dan Nissan Motor Co. dalam satu kenyataan mengesahkan perbincangan yang sedang berlangsung untuk membentuk sebuah syarikat baharu yang bakal dimuktamadkan pada tahun 2026.

Menurut laporan Mainichi JP, langkah tersebut dilihat mampu mencipta kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia di belakang Toyota dan Volkswagen bagi melawan pengeluar kenderaan Amerika Syarikat dan China dalam segmen kenderaan elektrik.

Honda dan Nissan, masing-masing pengeluar kedua dan ketiga terbesar di Jepun berazam untuk memuktamadkan perbincangan pada bulan Jun tahun depan.

Sementara syarikat Mitsubishi Motors Corp akan membuat keputusan pada akhir bulan Januari 2025 sama ada untuk menyertai syarikat baharu itu ataupun tidak.

Dalam usaha untuk menjadi lebih kompetitif di dalam pasaran, Honda dan Nissan bersetuju untuk menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) secara bersama, menyeragamkan platform kenderaan dan perkongsian komponen untuk pelbagai segmen produk, selain mengoptimumkan sistem dan kemudahan pengeluaran sedia ada.

Gabungan antara Honda dan Nissan mampu menjadi kisah pembentukan semula terbesar yang berlaku di dalam industri automotif global selepas Fiat Chrysler Automobiles dan PSA bergabung menjadi Stellantis pada tahun 2021.

Mitsubishi Motors Malaysia lancar pusat 4S baharu di Kota Samarahan

Mitsubishi Motors Malaysia (MMM), dengan kerjasama rakan pengedar Auto Pacifica Sdn Bhd, telah melancarkan pusat 4S kedua Mitsubishi di Sarawak.

Dengan pembukaan kemudahan terbaharu ini, MMM kini mempunyai lapan pusat 4S di seluruh negara.

Beralamat di Lot 4168, Block 24, Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan, pusat 4S ini terletak secara strategik di sepanjang jalan yang menghubungkan Kota Samarahan dan Kuching, memberikan akses mudah kepada pelanggan di kawasan sekitar.

Pusat yang berkeluasan 21,700 kaki persegi ini menampilkan identiti korporat Mitsubishi Motors yang selari dengan mesej global jenama iaitu ‘Drive Your Ambition’.

Ia juga mempunyai pelbagai kemudahan seperti pusat servis, pusat cat dan badan, ruang rehat lengkap dengan Wi-Fi, serta ruang bermain-kanak.

“Pembukaan bilik pameran baharu di Kota Samarahan ini merupakan satu langkah strategik ke arah mencapai lokasi yang belum diterokai dan meluaskan perkhidmatan kami,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

Tambah Ikeda lagi, Auto Pacifica telah menjadi rakan kongsi Mitsubishi yang dipercayai sejak 2009, dan ini
merupakan cawangan ketiga syarikat itu di Bumi Kenyalang.

“Dengan bilik pameran moden dan kelengkapan servis yang canggih, kami yakin bahawa pelanggan Mitsubishi di Kota Samarahan akan menerima perkhidmatan dan sokongan luar biasa,” katanya lagi.

Mitsubishi dedah model konsep SUV 7 tempat duduk, pengganti Outlander?

Mitsubishi bakal memperlihatkan sebuah model konsep SUV tujuh tempat duduk dalam acara pameran Philippine International Motor Show 2024 pada 24-27 Oktober ini.

Berdasarkan imej teaser yang dimuat naik, model baharu itu dilihat mempunyai persamaan rekaan muka hadapan dengan SUV Xforce, manakala rekaan jeriji pula menyamai model Outlander.

Sementara sebuah lagi imej memaparkan rekaan tiang C yang agak stailo, diikuti dengan garis bahu yang jauh lebih menonjol.

Seperti biasa, tiada sebarang butiran terperinci berkenaan model tersebut didedahkan, sama ada dari segi saiz mahupun asas yang digunakan (monocoque atau trak pikap) buat masa ini.

Salah satu kemungkinan ialah model ini dijangka menggantikan penawaran Outlander sedia ada, disebabkan oleh Outlander generasi baharu kini jauh lebih canggih dan premium untuk pasaran Asean.

Melihatkan kepada persamaan rekaan, kami menjangkakan model konsep ini merupakan petunjuk kepada kehadiran Xforce versi tiga baris tempat duduk, bertepatan dengan komitmen jenama itu untuk menghasilkan model yang bersesuaian untuk pemandu Asean.

Jika benar, model konsep ini mungkin sekali akan berkongsi nadi 1.5 liter yang sama digunakan pada Xforce, menghasilkan 103 hp yang dipadankan dengan transmisi CVT memacu roda depan.

Lebih banyak info bakal diketahui menjelang akhir bulan ini.

Mitsubishi Outlander PHEV dikemaskini untuk 2025 – bateri lebih besar, casis lebih mantap

Mitsubishi telah memperkenalkan Outlander PHEV versi dinaik taraf yang akan mula dijual di Jepun pada musim luruh ini, diikuti dengan 20 pasaran Eropah pada musim bunga tahun depan.

Menurut Mitsubishi lagi, varian petrol pula akan dilancarkan pada 2025. Kedua-dua versi akan memasuki pasaran Amerika Utara, Australia dan New Zealand tidak lama lagi.

Seperti sebelum ini, Outlander PHEV dikuasakan oleh enjin petrol 2.4-liter empat silinder yang menghasilkan 134 hp dan 203 Nm. Ia dibantu oleh motor elektrik depan yang menjana 114 hp/255 Nm, dan motor elektrik belakang yang menyumbang sebanyak 134 hp/195 Nm.

Gabungan enjin pembakaran dalaman dan motor elektrik berkembar ini memberikan Outlander PHEV kuasa keseluruhan sebanyak 302 hp, membolehkan SUV itu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 7.9 saat.

Dengan tangki bahan api yang lebih besar iaitu 53 liter, Mitsubishi mendakwa model ini mampu mencapai jarak pandu hibrid sejauh 844 km. Ujian juga menunjukkan yang ia mempunyai tahap penggunaan bahan api serendah 0.8 l/100 km dan emisi 18 g/km.

Apa yang baharu pada trenkuasa Outlander PHEV adalah pek bateri litium-ion, kini 40% lebih besar dengan kapasiti 22.7 kWj, memberikan jarak pandu elektrik sejauh 86 km berdasarkan kitaran WLTP.

Kecekapan dan prestasinya boleh dimaksimumkan lagi dengan tiga mod trenkuasa iaitu EV, Series Hybrid dan Parallel Hybrid.

Mod EV bermakna kereta bergerak dengan kuasa elektrik sepenuhnya, manakala mod Series Hybrid pula menyaksikan enjin menjana kuasa elektrik apabila perlu. Dalam mod Parallel Hybrid, motor elektrik dan enjin beroperasi secara serentak.

Selain itu, Outlander PHEV juga didatangkan dengan mod Normal, EV, Save dan Charge. Dalam mod EV, ia boleh mencapai kelajuan maksimum 135 km/j.

Pek bateri berkenaan boleh dicas menggunakan pengecas Type 2 dan CHAdeMO. Ia juga menyokong fungsi pengecasan kenderaan-ke-rumah yang boleh digunakan dalam situasi kecemasan.

Untuk casis, Mitsubishi berkata ia telah menala tayar, penyerap hentak dan kadar spring itu meningkatkan keselesaan, manakala sistem stereng kuasa elektrik diberi penambahbaikan untuk memperbaiki pengendalian.

Selain itu, sistem pacuan S-AWC (Super All Wheel Control) kini menawarkan lebih cengkaman dalam semua situasi pemanduan. Terdapat tujuh mod yang boleh dipilih iaitu Normal, Eco, Power, Tarmac, Gravel, Snow dan Mud.

Dari segi penampilan, tidak banyak yang berubah untuk model tahun 2025 kecuali gril dan penambahan rim 20 inci. Di dalam, Outlander PHEV kini mendapat panel instrumen digital dan skrin sentuh 12.3 inci, serta sistem audio Dynamic Sound dengan 12 pembesar suara dari Yamaha.

Sistem keselamatan pula terdiri daripada ciri-ciri seperti Forward Collision Mitigation, Rear Automatic Emergency Braking, Blind Spot Warning dengan Lane Change Assist, Lane Departure Warning, Lane Keeping Assist, Adaptive Cruise Control, Traffic Sign Recognition dan Driver Monitoring System.

Mitsubishi Triton Black Edition dilancarkan di Thailand, dari RM133k

Mitsubishi Triton generasi baharu masih lagi belum dilancarkan di Malaysia namun di Thailand, trak pikap itu sudah pun mendapat model edisi terhad yang dikenali sebagai Black Edition.

Dibangunkan berasaskan varian Double Cab Plus Ultra AT, Triton Black Edition ditawarkan dengan dua pilihan warna luaran iaitu Graphite Grey dan White Diamond.

Tidak kira warna apa yang dipilih, model ini didatangkan dengan kemasan berwarna hitam pada gril Dynamic Shield, pelindung lampu kabus, rim aloi 18 inci, cermin sisi, pemegang pintu dan pemegang tailgate.

Sementara itu, pemijak sisi dan bampar belakang pula diberikan aksen titanium untuk penampilan yang lebih menyerlah.

Untuk ruang kabin pula, penampilan serba hitam pada tempat duduk, panel pintu dan papan pemuka dikonstraskan dengan jahitan dan pelapik bumbung berwarna putih.

Antara kelengkapan yang disertakan adalah skrin sentuh sembilan inci dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, dan sistem ADAS yang merangkumi ciri-ciri seperti Forward Collision Mitigation System (FCM), Blind Spot Warning (BSW), Lane Change Assist (LCA), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan pelbagai lagi.

Triton Black Edition dikuasakan oleh enjin turbodiesel Hyper Power 2.4-liter empat silinder yang menghasilkan 184 PS dan 430 Nm. Model ini hanya boleh didapati dengan transmisi automatik enam kelajuan.

Harga jualan bermula dari 1,027,000 baht (RM132,666). Menurut Mitsubishi, model ini akan ditawarkan dalam bilangan yang terhad namun angka sebenar tidak didedahkan.

Mitsubishi Xpander capai 40,000 unit pengeluaran dalam tempoh 4 tahun

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) hari ini mengumumkan bahawa pengeluaran Xpander di Malaysia telah mencapai 40,000 unit.

MPV tujuh tempat duduk itu dilancarkan ke pasaran tempatan pada November 2020.

Bagi meraikan pencapaian ini, MMM telah melancarkan kempen untuk mencari pemilik Xpander yang ke-40,000. Pemenang akan membawa pulang hadiah utama baucar perjalanan bernilai RM10,000 di destinasi pilihan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Shinya Ikeda berkata pencapaian jualan unit ke-40,000 adalah bukti kepercayaan dan kesetiaan pelanggan mereka.

“Sejak pengenalan Xpander ke jalan raya di Malaysia pada 2020, MPV yang dipasang secara tempatan itu telah menawan pelanggan dengan reka bentuk bergaya, pengendalian yang baik dan pemanduan yang unggul,” tambah Ikeda.

Menurut MMM, Xpander berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai MPV bukan nasional No.1 di Malaysia bagi separuh pertama tahun ini iaitu dari Januari hingga Jun 2024.

Dari 13 hingga 28 Julai 2024, wakil pengedar MMM akan mengadakan promosi di bilik pameran masing-masing di mana pengunjung berpeluang menikmati rebat istimewa dan bonus.

Honda, Mitsubishi bentuk syarikat ALTNA, urus bateri EV dengan lebih cekap

Honda Motor Company dan Mitsubishi Corporation telah mengumumkan penubuhan syarikat kerjasama baharu 50:50 yang dinamakan sebagai ALTNA di Jepun pada bulan Julai 2024.

Matlamat syarikat baharu ini adalah untuk membantu mengoptimumkan kos penggunaan kenderaan elektrik (EV), meningkatkan nilai hayat bateri serta peredaran sumber dalam Jepun serta membantu menampung peningkatan permintaan tenaga menerusi penggunaan bateri simpanan grid.

Tiga perniagaan utama yang bakal diperkenalkan oleh ALTNA kelak, iaitu perniagaan pajakan bateri EV, perniagaan guna semula bateri, serta pelan pengecasan pintar.

 

 

ALTNA akan mula menawarkan pelan pajakan bateri EV menerusi model Honda N-VAN e:, di mana mereka akan mengawal sepenuhnya proses pemilikan bateri EV yang dipajak serta memantau tahap penggunaan sepanjang tempoh pajakan.

Data yang dikumpul akan digunakan untuk tujuan penambahbaikan tahap kebolehpercayaan yang diukur menerusi pelbagai parameter.

Apabila bateri tersebut sudah mencapai penghujung kitaran hayat, ia akan digunakan semula sebagai bateri storan grid. ALTNA juga akan memastikan bateri-bateri ini dikitar semula mengikut kaedah yang betul.

 

 

Menerusi perniagaan pengecasan pintar pula, ALTNA akan menawarkan pelan yang dapat membantu pengguna mengelakkan pengecasan waktu puncak, sekaligus mengurangkan kos secara keseluruhan.

Selain itu, pelan pengecasan ALTNA juga akan mengutamakan penggunaan tenaga hijau yang boleh diperbaharui untuk pengecasan EV sekiranya terdapat lebihan tenaga tersebut pada grid kuasa.

 

Mitsubishi Xpander kekal MPV bukan nasional terlaris di Malaysia

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) mengumumkan bahawa Xpander berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai MPV bukan nasional paling laris di negara ini dengan jualan sebanyak 11,384 unit dalam tahun kewangan 2023 (April 2023 hingga Mac 2024).

“Kami teruja menyaksikan penguasaan berterusan Xpander di Malaysia. Pencapaian ini adalah bukti komitmen kami dalam memberikan kenderaan berkualiti tinggi yang dapat memenuhi keperluaan dan keutamaan pelanggan Malaysia,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

“Tempat No.1 ini juga menunjukkan bahawa Xpander adalah pilihan utama dalam kalangan keluarga Malaysia yang mencari MPV serba boleh,” tambah beliau.

Sementara itu, Triton pula merekodkan jualan sebanyak 8,636 unit dalam tahun kewangan 2023, membolehkannya terus berada di kedudukan dua teratas dalam segmen trak pikap.

Tambah Ikeda lagi, “Mitsubishi Motors Malaysia ialah tiga jenama bukan nasional teratas di Malaysia. Untuk 2024, Mitsubishi Motors terus memulakan perubahan ke arah yang lebih baik dan pengalaman pemilikan dengan standard tertinggi. Kami teruja untuk terus maju dan menghargai semua pelanggan kami atas sokongan setia mereka terhadap jenama Mitsubishi.”

EON & Sahabat Autofest 2024 tawar jualan pelbagai jenama kereta, 1-3 Mac 2024

EON & Sahabat Autofest 2024 dirasmikan hari ini, berlangsung di ibu pejabat EON di Glenmarie.

Acara jualan itu adalah bersempena dengan ulang tahun EON yang ke-40 tahun ini, dan akan diadakan bermula hari ini, Jumaat, 1 Mac hingga hujung minggu ini, 3 Mac 2024. Ia dibuka dari 10 pagi hingga 6 petang.

CEO EON, Akkbar Danial berkata: “Kami telah menyerahkan kereta kepada rakyat Malaysia selama empat dekad. Sepanjang tempoh itu, kami telah berevolusi dari pengedar eksklusif Proton sehingga hari ini – pengedar pelbagai jenama terbesar di Malaysia, bawah satu bumbung.”

“EON & Sahabat Autofest 2024 dengan pelbagai diskaun dan pakej menarik adalah cara kami mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan dan penyokong kami,” katanya.

Di acara Autofest ini, anda akan disajikan dengan pameran dan jualan jenama-jenama di bawah EON seperti Proton, Volkswagen, Mitsubishi, smart, Audi, Isuzu, Honda, Daihatsu, dan Kawasaki (Modenas).

Anda juga berpeluang memandu uji dan tunggang uji model-model terpilih, kemudian jika berkenan, boleh terus buat tempahan.

Wakil-wakil seperti Avis, Petromin, Pos Malaysia, Puspakom, dan DRB-Hicom University of Automobile Malaysia juga ada membuat pameran.

Semasa hari pelancaran pagi tadi, EON memperkenalkan platform pembiayaan digital mereka, iaitu EON Capital. Ia menawarkan kelulusan pinjaman dan pembiayaan dengan pantas dari pihak bank.

Tidak dilupakan, bagi anda yang membuat tempahan dan memohon pembiayaan melalui platform digital EON semasa hari carnival sehingga 3 Mac ini, akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah berjumlah RM100,000. Hadiah utama adalah sebuah Proton S70 baharu.

Pelbagai jualan dan pameran lagi turut diadakan seperti Bazaar Raya, makanan, penampilan selebriti, dan zon kanak-kanak.

Mitsubishi Xpander HEV, Xpander Cross HEV dilancarkan di Thailand

MITSUBISHI Motors Corporation secara rasminya melancarkan Xpander dan Xpander Cross versi hibrid (Hybrid Electric Vehicle atau HEV) di pasaran Thailand.

Ini merupakan kali pertama crossover tujuh tempat duduk itu menerima trenkuasa hibrid elektrik sejak ia memasuki pasaran pada 2017.

Tidak seperti versi petrol yang dikuasakan oleh enjin 1.5-liter, kedua-dua model baharu ini menampilkan enjin 1.6-liter yang secara sendirinya menghasilkan 95 hp dan 134 Nm.

Apabila digandingkan dengan motor elektrik, Xpander HEV mendapat kuasa keseluruhan sebanyak 116 hp dan 255 Nm yang disalurkan ke roda hadapan.

Enjin kitaran Atkinson itu mempunyai kecekapan pembakaran yang lebih tinggi dan pam air elektrik yang dikatakan dapat mengurangkan penggunaan bahan api sehingga 34 peratus untuk pemanduan urban dan 15 peratus untuk pemanduan dalam situasi bercampur-campur.

Trenkuasa hibrid yang digelar sebagai e:Motion itu menawarkan tujuh mod pemanduan iaitu Normal, Tarmac, Gravel, Mud, Wet, Charge dan EV.

Selain itu, ia juga mempunyai Active Yaw Control (AYC) yang bertindak untuk mengawal daya brek di antara tayar hadapan kiri dan kanan.

Dari segi rekaan, model-model HEV ini mengekalkan rupa facelift yang diperkenalkan pada 2022. Bagaimanapun, ia boleh dibezakan dengan versi petrol menerusi lencana HEV pada gril dan tailgate, dan lencana Hybrid EV pada pintu hadapan.

Bukan itu sahaja, Mitsubishi turut memberikan aksen biru pada bampar hadapan dan belakang, skirt sisi dan rim.

Ruang dalaman pula menampilkan meter LCD berukuran lapan inci, skrin sentuh berukuran 9.0 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, brek parkir elektronik dan tuil gear baharu dengan teknologi Shift-by-Wire.

Menurut Mitsubishi, material penyerap dan penebat bunyi juga telah ditambah pada bahagian-bahagian penting untuk memastikan kabin sentiasa senyap terutamanya semasa memecut dan memandu pada kelajuan tinggi.

Di Thailand, Xpander dan Xpander Cross HEV masing-masing dijual pada harga 933,000 baht (RM124,544) dan 961,000 baht (RM128,282).

Mitsubishi Triton AT Premium dinaik taraf jadi lebih sporty – RM136k

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) hari ini memperkenalkan Mitsubishi Triton AT Premium yang telah dinaik taraf dengan pelbagai elemen sporty.

Menurut MMM, varian yang dinaik taraf ini akan ditawarkan dalam jumlah yang terhad namun bilangan sebenar yang akan dikeluarkan tidak didedahkan.

 

Varian eksklusif ini didatangkan dalam satu warna sahaja iaitu White Diamond, dengan kemasan bampar depan yang lebih bergaya, set pelekat eksklusif, gerbang roda hitam, sports barvisor dan juga rim 18 inci yang dibalut tayar Yokohama Geolander AT G015.

Sementara itu, susasana ruang kabin pula dipertingkatkan menerusi plat ambang pintu yang bercahaya dan rekaan perehat kepala baharu. Semua aksesori ini dipasang oleh pengedar sah MMM.

 

Tiada sebarang penambahbaikan untuk enjin, bermakna varian ini mengekalkan ‘nadi’ turbodiesel 2.4-liter MIVEC dengan teknologi Variable Valve Timing  yang menghasilkan 181 PS dan 430 Nm.

Ia juga didatangkan dengan ciri-ciri yang sedia ada pada varian AT Premium yang termasuk Easy Select 4WD, Hill Descent Control, ABS, EBD, Brake Assist, Active Stability Control, Traction Control, Rest Reminder, Hill Start Assist dan Trailer Stability Assist.

 

Harga jualan Triton AT Premium yang dinaik taraf ini bermula dari RM135,900.

Dalam pada itu, MMM akan mengadakan siri jelajah ‘Roar of a Champion’ bermula 27 Januari ini di lokasi-lokasi berikut:

No Dates Showroom Address
1 27 January Lajina Motors Sdn Bhd

(Kuala Terengganu)

Lot 22049, Banggol Beruas, Mukim Kuala Nerus, 21300 Kuala Terengganu, Terengganu
2 3 February Okuan Motors Sdn Bhd (Kuantan) Lot 2104, Jalan Beserah, 25300 Kuantan, Pahang
3 4 February Auto Raya Timur Sdn Bhd (Temerloh) Lot 9301 & 9297, Batu Tiga, Jalan Mentakab, 28000 Temerloh, Pahang
4 17 February EON Auto Mart Sdn Bhd (Johor Bahru) No. 197-A, Jalan Skudai Kiri, Batu 4 1/2, Tampoi, 81200 Johor Bahru, Johor
5 18 February MM Supreme Sdn Bhd (Johor Bahru) 4C, PLO 136, Jalan Angkasa Mas 2, Kawasan Perindustrian Tebrau 2, 81100 Johor Bahru, Johor
6 24 February Sing Kwung Jidosha Sdn Bhd (Melaka) No. 2B, Jalan IMJ1, Taman Industri Malim Jaya, 75250 Malacca
7 25 February Ban Lee Heng Motor (Nilai) Sdn Bhd (Nilai) Lot 27447, Jalan BBN 5/1a, Bandar Nilai Utama, 71800 Nilai, Negeri Sembilan

Selain Triton AT Premium yang dinaik taraf ini, pengunjung boleh melihat dengan lebih dekat replika Triton yang menjuarai kejohanan Asia Cross Country Rally 2022. Pelanggan yang menempah kenderaan Mitsubishi juga akan mendapat hadiah eksklusif berupa bag Thous Winds.

Pusat 3S Mitsubishi Motors kini dibuka di Nilai, N9

MITSUBISHI Motors Malaysia (MMM) bersama pengedar sah Ban Lee Heng Motor (Nilai) Sdn Bhd baru-baru ini melancarkan pusat 3S Mitsubishi Motors pertama di Nilai.

Outlet baharu ini beralamat di Lot 27447, Jalan BBN 5/1a, Bandar Nilai Utama, Nilai. Dengan pembukaannya, MMM kini mempunyai 59 bilik pameran di seluruh negara.

Outlet baharu ini mempunyai keluasan 6,400 kaki persegi, dengan kemudahan seperti ruang rehat pelanggan, ruang bermain kanak-kanak dan di pusat servisnya pula, terdapat tiga ruang servis.

Selain itu, pusat 3S ini juga membawa identiti jenama Mitsubishi Motors dengan mesej global ‘Drive Your Ambition’.

“Selaras dengan rancangan perniagaan Mitsubishi Motors dan sambil kami berusaha secara progresif untuk memperkenalkan model Mitsubishi Motors baharu di Malaysia, kami akan terus mengembangkan rangkaian pengedar untuk meningkatkan pengalaman pelanggan kami,

“Melalui langkah strategik ini, kami menyasarkan untuk meliputi lokasi yang belum diterokai dan mengembangkan jualan dan perkhidmatan kami bagi memenuhi keperluang pelanggan jenama Mitsubishi yang semakin meningkat,” kata Shinya Ikeda, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

Menurut Ikeda, Ban Lee Heng Motor sudah berada dalam perniagaan automotif sejak 1976 dan sangat berpengalaman di dalam industri.

Mitsubishi Triton terima penarafan lima bintang ASEAN NCAP

MITSUBISHI mengumumkan bahawa trak pikap Triton serba baharu telah menerima penarafan keselamatan lima bintang dalam Program Penilaian Kereta Baharu untuk Negara Asia Tenggara (ASEAN NCAP).

Apa yang menarik, Triton generasi keenam itu merupakan trak pikap pertama yang diuji di bawah protokol penilaian 2021-2025.

Menurut laporan rasmi ASEAN NCAP, trak pikap tersebut mendapat markah keseluruhan sebanyak 74.71 mata, melayakannya mendapat penarafan lima bintang.

Jumlah mata keseluruhan yang dicapai adalah daripada empat kategori penilaian iaitu kategori penilaian iaitu perlindungan penumpang dewasa (AOP), perlindungan penumpang kanak-kanak (COP), bantuan keselamatan (SA) dan keselamatan penunggang motosikal (MS).

Dalam kategori AOP, Triton mencapai 32.52 mata daripada 40 mata keseluruhan, manakala dalam kategori COP pula ia mendapat 17.54 mata daripada 20. Untuk kategori BA dan MS pula, model itu meraih 14.44 mata daripada 20 dan 10.22 mata daripada 20.

Semua varian Triton dilengkapi dengan tiga beg udara, Anti-lock Braking System (ABS), Electronic Stability Control (ESC), Seat Belt Reminder System (SBR) untuk pemandu dan penumpang hadapan, dan teknologi Pedestrian Protection.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan beberapa teknologi bantuan keselamatan yang disertakan secara standard atau pilihan.

Ini termasuk Autonomous Emergency Braking (AEB) City, AEB Inter-Urban, AEB Pedestrian, Lane Departure Warning, Forward Collision Warning, Blind Spot Detection (BSD) dan Auto High Beam (AHB). Sesetengah varian juga didatangkan standard dengan tujuh beg udara dan SBR untuk penumpang belakang.