MENTERI Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan bahawa jemaah menteri akan menggunakan kenderaan elektrik (EV) bermula tahun depan.
Bercakap kepada media pada majlis perasmian pejabat Khidmat Malaysia di Batu Caves semalam (9 Ogos 2022), Tuan Ibrahim berkata, “Mulai tahun depan, semua perolehan kerajaan akan bergerak kepada kereta elektrik.”
Bagaimanapun, menurut Tuan Ibrahim kos untuk peralihan ke arah EV ini masih belum diperincikan kerana ia masih di peringkat awal.
Sumber foto: Facebook/Kementerian Alam Sekitar dan Air
“Secara butirannya belum diputuskan lagi. Oleh kerana tidak banyak lagi kereta elektrik, maka kosnya agak tinggi tetapi apabila pengguna lebih ramai, kos akan jadi lebih murah,” katanya.
Tambah Tuan Ibrahim lagi, isu yang perlu ditangani adalah stesen pengecas, jadi fasiliti perlu dibina terlebih dahulu sebelum peralihan ini dapat dilaksanakan.
Selain itu, beliau turut menyebut hasrat pihaknya untuk menjadikan pulau-pulau peranginan seperti Pulau Langkawi sebagai lokasi projek rintis penggunaan motosikal elektrik.
Honda U-Be
“Kita akan beri 100 buah motosikal elektrik kepada penduduk untuk ditukarkan dengan motosikal lama mereka,” kata beliau.
Tuan Ibrahim berkata kementeriannya juga menyasarkan untuk menjadikan Putrajaya sebagai bandar bebas karbon dengan memperbanyakkan penggunaan EV.
FORD SuperVan merupakan siri model one-off yang menggabungkan badan Ford Transit dengan casis dan enjin kereta sport. Ia dibangunkan oleh Ford UK untuk tujuan promosi dan belum pernah lagi memasuki fasa produksi.
Diperkenalkan pada 1971, SuperVan yang pertama menggunakan casis dan enjin V8 Ford GT40, manakala SuperVan yang kedua pula muncul pada 1984 dengan casis kereta lumba C100 dan enjin Cosworth DFL.
Ford SuperVan 1971
10 tahun kemudian, syarikat itu memperkenalkan SuperVan yang ketiga yang menggunakan enjin Cosworth HB baharu. Model ini paling lama membuat kemunculan awam, iaitu sehingga 2001.
Sekarang, sudah 28 tahun berlalu dan Ford telah menghidupkan kembali van berprestasi tinggi itu dengan versi keempat yang dikenali sebagai Ford Pro Electric SuperVan. Ia membuat kemunculan awam di Goodwood Festival of Speed di UK baru-baru ini.
Ya, seperti yang tertera pada namanya, versi terbaharu ini digerakkan sepenuhnya oleh kuasa elektrik. Ia dibangunkan secara rahsia oleh Ford Performance dengan kerjasama pakar perlumbaan dari Austria, STARD. Rekaan luarannya pula dihasilkan oleh pasukan Ford Design di Cologne, Jerman.
Apa yang mengagumkan tentang Pro Electric SuperVan adalah ia mempunyai bukan satu atau dua tetapi empat buah motor elektrik yang bergabung untuk menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 2,000PS!
Dengan sistem pacuan semua roda, van elektrik ini dikatakan boleh melakukan pecutan 0-100km/j dalam kurang dua saat. Kelajuan maksimum tidak didedahkan namun tidak mengejutkan jika ia mampu mencapai kelajuan melebihi 200km/j – cukup mengagumkan untuk sebuah EV.
Bekalan tenaga untuk motor-motor elektrik tersebut datang daripada sebuah bateri berkapasiti 50kWh yang dilengkapi dengan teknologi sejukan cecair. Pek bateri itu diletakkan di tengah-tengah casis bagi tujuan mendapatkan pengagihan berat yang optimum dan merendahkan pusat graviti.
Dari segi pengecasan, Ford mendakwa bateri tersebut boleh dicas sepenuhnya dalam masa 45 minit dengan menggunakan pengecas pantas.
Pro Electric SuperVan sebenarnya dibangunkan berasaskan model E-Transit Custom yang diperkenalkan pada Mei lalu namun seperti yang boleh dilihat, penampilan luarannya jauh berbeza dengan model asal.
Ini kerana ia memakai kit badan aerodinamik yang merangkumi splitter depan, skirt sisi, diffuser serta spoiler besar pada bahagian belakang. Di sebalik kit badan yang agresif ini, Ford berkata ia dilengkapi dengan sistem suspensi double-wishbone, subframe dan brek “gred sukan permotoran”.
Ruang dalaman pula menampilkan sangkar keselamatan dan kerusi bucket yang diiktiraf FIA, serta tidak dilupakan sistem infohibur SYNC 4 dengan skrin sentuh besar. Menerusi skrin tersebut, pemandu boleh memilih mod pemanduan Road, Track, Drag, Drift dan Rally.
Turut disertakan adalah mod Tyre Cleaning yang membolehkan van ini melakukan burnout bagi membersihkan dan memanaskan tayar sebelum mula beraksi. Hebat, bukan?
TOYOTA meneruskan langkah berani dengan memperuntukan dana cukup besar bagi projek pembangunan penghasilan bateri kenderaan elektrik.
Memetik laporan media, syarikat itu dikatakan telah memperuntukan lebih AS$3.4 bilion bagi projek tersebut.
Projek dijangka mengambil masa lebih 10 tahun itu turut melibatkan pembinaan kilang di Amerika Syarikat khusus bagi memproduksi bateri kenderaan elektrik.
Setakat ini, Toyota menyasarkan keseluruhan projek pembinaan fasiliti pengeluaran bateri kenderaan elektrik akan bermula seawal tahun 2025.
Bagi tujuan itu, lebih 1,750 peluang pekerjaan juga bakal diwujudkan oleh Toyota.
Sebelum ini, Toyota mendedahkan memperuntukan dana keseluruhan 1.5 trilion yen atau RM54.65 bilion untuk pembangunan dan pembekalan bateri kenderaan elektrik.
Menjelang tahun 2030, Toyota mensasarkan penjualan sebanyak 2 juta unit kenderaan elektrik.
Ia turut melibatkan penghasilan 15 buah model kenderaan elektrik sebelum tahun 2025.
USAHA menghasilkan jentera cekap tenaga terus meriah dengan terbaharu datangnya daripada syarikat pengeluar kenderaan Jeep.
Model Grand Cherokee 4xe buat pertama kali diperkenalkan pada acara Stellantis EV Day 2021.
Mempunyai rekaan luaran yang begitu menarik, Jeep bagaimanapun belum mendedahkan secara terperinci spesifikasi terdapat pada model ini.
Namun, syarikat itu berjanji akan mendedahkan spesifikasi Grand Cherokee 4xe ketika New York International Auto Show 2021 pada akhir Ogos depan.
Rekaan model terbaharu Jeep amat memukau dan mempersonakan. – Foto ihsan Motor Authority
Spekulasi enjin Grand Cherokee 4xe
Walaupun Jeep memaklumkan akan mendedahkan spesifikasi enjin Grand Cherokee 4xe tidak lama lagi, namun masih wujud spekulasi mengenai enjin model kenderaan tersebut.
Pemerhati automotif berpendapat terdapat kemungkinan besar Grand Cherokee 4xe berkongsi penjana kuasa PHEV yang sama dengan Wrangler 4xe.
Ia adalah kombinasi dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan dua motor elektrik.
Enjin itu mampu menjana kuasa 375 PS pada 5,250 rpm dan tork 637 Nm.
Apa yang menarik, output ini disalurkan ke semua roda menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan TorqueFlite sumber-ZF.
Jeep juga mempunyai satu lagi sistem plug-in hybrid menggunakan unit enjin lebih kecil iaitu 1.3 liter turbo-petrol.
Teknologi ini digunakan pada model Renegade dan Compass 4xe.
Enjin model Grand Cherokee 4xe masih belum didedahkan kepada umum. – Foto ihsan Motor Authority
Selain itu, enjin lain yang turut menjana kenderaan utiliti sukan (SUV) keluaran Jeep termasuk unit naturally-aspirated 3.6 liter Petastar petrol V6 dengan 290 PS dan 348 Nm.
Terdapat juga enjin 5.7 liter petrol V8 dengan 357 PS dan 528 Nm.
Kedua-dua penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.
Enjin varian V6 menggunakan electronically controlled full time active 4WD transfer case. Ia boleh dinaiktaraf dengan electronically controlled transfer case dua-kelajuan dengan jarak rendah.
Gandar hadapan pada model 4WD pula akan diputuskan sambungan secara automatik bagi meningkatkan penjimatan bahan api.
Varian V8 diberi pilihan electronic limited-slip rear differential.
HONDA buat julung kali mengumumkan nama bagi kenderaan elektrik pertamanya.
Model dikenali sebagai Prologue dijangka akan memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) pada awal tahun 2024.
Selain itu, Honda turut bercadang akan membawa masuk kenderaan elektrik pertamanya itu ke Amerika Utara di bawah jenama Acura.
Pembangunan kenderaan elektrik ini adalah hasil kerjasama strategic antara Honda dan General Motors (GM).
Setakat ini, Honda hanya mendedahkan nama model tersebut namun, masih belum memperkenalkan perincian lain terutama membabitkan bahagian enjin dan reka bentuk.
Model Prologue bakal menemui pengguna di Amerika Syarikat (AS) tidak lama lagi. – Foto ihsan Facebook/Oleole Live
Honda x GM
Kerjasama Honda dan GM meliputi dua komponen iaitu bahagian enjin dan interior dalaman.
Memetik laporan media, GM bertanggungjawab membangunkan platform EV modular dan akan menggunakan teknologi bateri ultium.
Bagaimanapun, rekaan luaran dan dalaman dibangunkan oleh Honda.
Menerusi satu kenyataan, Honda menjangkakan akan terus memperkukuh sistem hibrid dalam usaha menarik minat pelanggan untuk mendapatkan kenderaan elektrik keluaran mereka.
Sebelum ini, Presiden dan Ketua Pegawai Operasi Honda memaklumkan syarikat itu merancang meningkatkan pengeluaran model AV.
Toshihiro Mibe yang berkata demikian pada April lalu turut memaklumkan Honda serius untuk meneroka lebih luas pasaran kenderaan elektrik di AS dan China menjelang 2030.
Jelasnya, menjelang tahun 2040, Honda berharap mampu mengeluarkan 100 peratus kenderaan jenis elektrik di seluruh dunia.
FISKER Automative yang merupakan antara syarikat pengeluar kenderaan elektrik terbesar dunia memaklumkan telah menerima lebih 14,000 tempahan bagi model SUV, Fisker Ocean.
Syarikat asal Amerika Syarikat (AS) itu memaklumkan, terdapat lebih 80 peratus tempahan datangnya dari negara Uncle Sam sementara baki selebihnya adalah daripada pelanggan menetap di Kanada dan Eropah.
Mula dikenali sejak muncul kali pertama di Pameran Auto Antarabangsa Amerika Utara pada 2008, Fisker Automative hanya berjaya melakukan penghantaran pertama kepada pelanggan tiga tahun kemudian.
Bagaimanapun, syarikat itu kini semakin melebar sayap dalam pembuatan kenderaan elektrik selain menjadi ‘buruan’ kepada mereka yang berduit.
Jadi, tidak hairan jika Fisker Automotive terkenal sebagai jenama mewah dalam penghasilan jentera elektrik berkuasa penuh.