Zeekr Intelligent Technology Malaysia mengumumkan pencapaian terbaharu di mana sebanyak 2,000 unit kenderaan elektrik telah diserahkan dalam tempoh setahun.
Sebanyak 50 unit Zeekr 7X telah diserahkan kepada pemilik masing-masing dalam satu acara yang berlangsung hujung minggu lalu.
Unit yang ke-2000 telah diserahkan kepada pemiliknya, iaitu Dato’ Sri Siti Nurhaliza.
Menurut Eddy Lu selaku Pengurus Besar Zeekr Intelligent Technology Malaysia berkata, “Untuk mencapai 2,000 orang pemilik dalam masa setahun bukanlah sesuatu yang mudah, dan ia mencerminkan kepercayaan rakyat Malaysia terhadap Zeekr.
“Kami akan terus meningkatkan mutu jualan dan perkhidmatan selepas jualan bagi memastikan setiap perjalanan bersama Zeekr sinonim dengan kemewahan dan ketenangan minda.
Zeekr Malaysia turut berusaha untuk mengembangkan lagi kehadiran jenama itu di seluruh negara.
Bermula Januari 2026, Zeekr akan membuka cawangan pengedar baharu di Johor Bahru, Melaka, Ampang dan Ipoh.
Menjelang akhir 2026, Zeekr akan mempunyai jaringan pengedar yang terdiri daripada 18 buah bilik pameran termasuklah lebih 10 Pusat Badan & Cat di seluruh negara.
Zeekr Malaysia turut menjalankan kempen bersempena musim perayaan Krismas di mana setiap model Zeekr yang didaftarkan sebelum 31 Disember 2025 layak menerima barangan eksklusif TRAPO bernilai sehingga RM1,000.
KINETA Sdn Bhd mengumumkan peluasan perkhidmatan untuk merangkumi pemasangan profesional bagi semua jenama pengecas AC dan DC utama termasuk ZD Energy, Wallbox, Joint, Sino dan lain-lain di seluruh negara.
Dalam kempen terbaharu ini, KINETA menawarkan diskaun RM188 untuk pakej pemasangan berikut:
Pemasangan Fasa Tunggal – RM1,300 (harga asal RM1,488)
Pemasangan Tiga Fasa – RM1,700 (harga asal RM1,888)
Selain itu, KINETA turut menawarkan harga promosi bagi pengecas EV terpilih seperti:
ZD Energy Guardian, 7.4kW, 5m – RM2,888 (harga asal RM3,288)
ZD Energy Explorer, 22kW, 5m – RM3,588 (harga asal RM3,688)
Wallbox Pulsar Plus, 7.4kW, 5m – RM2,999 (harga asal RM3,699)
Wallbox Pulsar Plus, 7.4kW, 7m – RM3,299 (harga asal RM3,999)
Wallbox Pulsar Max, 7.4kW, 7m – RM4,188 (harga asal RM5,299)
Wallbox Pulsar Max, 22kW, 5m – RM4,388 (harga asal RM5,099)
Wallbox Commander 2, 22kW, 5m – RM5,099 (harga asal RM6,599)
Terdapat beberapa perkara yang harus anda tahu:
Kempen ini berlangsung dari 15-31 Disember 2025
Diskaun RM188 tidak sah untuk pembelian dari platform e-dagang
Pelanggan perlu membayar yuran pemeriksaan rumah RM200 (tidak akan dipulangkan) pada 31 Disember untuk menikmati diskaun RM188
Proses pemasangan pengecas EV perlu siap pada 28 Februari 2026. Selepas tarikh tersebut, harga akan kembali menjadi harga asal.
Perodua akhirnya secara rasmi melancarkan kenderaan elektrik (EV) pertamanya, dikenali dengan nama QV-E.
Dengan harga jualan bermula dari RM80,000 (tidak termasuk insurans dan bateri), Perodua QV-E merupakan kereta penumpang pertama di Malaysia yang hadir dengan skim pajakan bateri.
Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:
1. Projek kerjasama dengan Magna Steyr
Untuk makluman, QV-E merupakan projek usahasama antara Perodua dan Magna Steyr!
Untuk itu, sebuah platform serba baharu dibangunkan supaya ia dapat disesuaikan dengan pelbagai jenis bentuk badan kenderaan di dalam segmen A dan B.
Bukan sekadar EV, platform ini juga boleh disesuaikan dengan unit pacuan hibrid, serta EV yang dilengkapi dengan unit penambah jarak (REEV).
2. Dimensi
QV-E membawakan ukuran sepanjang 4,170 mm, lebar 1,800 mm, tinggi 1,502 mm dengan jarak antara roda speanjang 2,680 mm.
Ia juga turut menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 158 mm.
Jika dibandingkan dengan pesaing terdekatnya, QV-E memiliki kelebihan dimensi yang lebih panjang (+35 mm) dan jarak antara roda 30 mm lebih panjang.
QV-E juga jauh lebih panjang, lebih lebar namun sedikit rendah berbanding model Myvi.
3. Prestasi
Perodua QV-E dikuasakan oleh motor elektrik tunggal 201 hp dan daya kilas 285 Nm, membolehkan pecutan sepantas 7.5 saat dari 0-100 km/j dan kelajuan maksimum 165 km/j.
Ini menjadikan QV-E sebagai model Perodua yang paling pantas pernah dihasilkan.
Terdapat tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.
4. Bateri
Pek bateri 52.5 kWh daripada CATL membolehkan EV ini bergerak sejauh 445 km untuk sekali cas penuh (data NEDC).
QV-E menyokong pengecasan AC 6.6 kW di mana bateri boleh dicas penuh 0-100 peratus SoC dalam masa 8 jam.
Untuk memudahkan urusan, pengguna boleh memanfaatkan pengecasan pantas DC 60 kW di mana bateri boleh dicas sepantas 30 minit dari 30-80 peratus SoC.
Bateri ini turut mempunyai sistem sejukan cecair serta penarafan IP68 (air) dan IP69 (habuk).
5. Luaran
Reka bentuk SUV coupe pada QV-E membawakan satu kelainan yang tidak didapati pada mana-mana model Perodua sedia ada.
Secara standard, QV-E mendapat ciri seperti rim aloi 18 inci, lampu utama LED berserta lampu nyalaan siang DRL, pemegang pintu terbenam, plastik pelindung pada bahagian sisi, serta spoiler bumbung.
Port pengecasan pula tersedia pada bahagian dapra hadapan sebelah kiri.
6. Kabin
Untuk ruang kabin pula, terdapat roda stereng jenis bawah rata, skrin kluster digital 10.25 inci TFT, skrin tengah sebesar 10.25 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, serta cermin pandang belakang digital.
QV-E masih lagi mengekalkan butang-butang fizikal untuk fungsi kawalan pendingin hawa di bahagian bawah corong udara, serta tuil pemilihan mod pemanduan dan tombol rotari PRND pada konsol tengah.
Ciri lain termasuklah tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa enam tahap, sistem pendingin hawa automatik, sistem pencahayaan suasana, slot pengecas peranti pintar tanpa wayar, dan tempat duduk balutan kulit separa.
7. Keselamatan
QV-E dibekalkan dengan enam beg udara, ABS, EBD, Bantuan Brek, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Kawalan Cengkaman (TCS), kamera perakam pemanduan, cagak ISOFIX dan sistem kamera pemantauan keliling (SVM).
Aspek keselamatan aktif pula terdiri daripada brek kecemasan autonomi (AEB), kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan kesesakan trafik (TJA), bantuan lebuh raya (HWA), amaran pelanggaran hadapan (FCW), sistem pengesanan titik buta (BSD), amaran keluar lorong (LDW), Bantuan Kekal Lorong (LKA), serta Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).
Terdapat juga ciri pengesan kehadiran kanak-kanak (CPD) untuk tempat duduk baris kedua, serta sistem panggilan kecemasan (SOS).
8. Battery as a Service
Perodua menawarkan khidmat pajakan bateri bagi memastikan prestasi yang terjamin sepanjang tempoh kontrak 9-tahun (108 bulan).
Yuran langganan bateri serendah RM275/bulan itu akan dimasukkan sekali ke dalam pembiayaan kenderaan.
Di bawah program ini, bateri tersebut akan berada di bawah pemilikan Perodua, namun boleh dimiliki sepenuhnya oleh pelanggan selepas 9 tahun.
Selepas bateri tersebut mencapai akhir kitaran hayat (End of Life), ia perlu diserahkan kepada Perodua untuk dilupuskan dengan cara yang betul.
Perodua juga turut memasang peranti penjejak bateri (battery tracker) untuk meminimumkan risiko terhadap alam sekitar sekiranya ia dicabut keluar daripada kenderaan atau tersadai untuk satu tempoh masa yang lama.
Program pajakan bateri ini bertujuan untuk mengurangkan kebimbangan pelanggan terhadap nilai jualan semula EV yang rendah, serta kos penggantian bateri EV yang agak tinggi pada ketika ini.
BYD Malaysia bersama-sama BYD Sime Motors melancarkan siri jelajah teknologi EV yang digelar sebagai BYD Tech Discovery, bermula di Kuala Lumpur pada 14-16 November ini.
Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun untuk para pengunjung.
Antaranya ialah Zon Pandu Uji & Pandu Percubaan yang menyediakan cabaran Camel Bridge & Cross-Axle yang digerakkan oleh teknologi DMO, serta aksi pusingan 360 darjah & Crabwalk menggunakan Denza Z9GT.
Selain itu, pengunjung berpeluang untuk menimba ilmu tentang teknologi teras Bateri Blade, sistem pengecasan pintar dan ciri keselamatan canggih sambil menikmati hidangan kopi percuma dan mendapatkan barangan eksklusif BYD.
Turut disediakan promosi istimewa untuk model-model terpilih seperti:
Penjimatan sehingga RM20,000 dan peluang cabutan bertuah sehingga RM38,888 untuk tempahan model BYD M6, BYD Atto 3 Ultra atau BYD Sealion 7
Tawaran trade-in termasuk rebat sehingga RM11,000 untuk BYD Atto 2 dan BYD Seal
Rebat RM15,000 atau pembiayaan tanpa faedah untuk Denza D9
Bertempat di Car Park 3 Plaza Arkadia, Desa ParkCity, BYD Tech Discovery ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dari jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam.
Great Wall Motor Malaysia (GWM Malaysia) hari ini mengumumkan ketibaan model kenderaan elektrik (EV) dengan spesifikasi yang lebih sporti, iaitu Ora Good Cat GT.
Harga jualan bermula dari RM119,800.
Terdapat beberapa perbezaan antara Ora Good Cat GT dengan varian Ultra yang turut ditawarkan.
Berikut merupakan beberapa perincian ringkas berkenaan Ora Good Cat GT:
1. Dimensi
Berbanding Ora Good Cat Ultra, Ora Good Cat GT membawakan dimensi sepanjang 4,254 mm (+19 mm) dan lebar 1,848 mm (+23 mm).
Ukuran tinggi dan jarak antara roda masih kekal, diikuti dengan jarak kelegaan tanah 135 mm.
2. Prestasi
Ora Good Cat GT dikuasakan oleh motor elektrik yang mampu menjana 171 PS dan daya kilas 250 Nm, atau 28 PS dan 40 Nm lebih bertenaga berbanding varian Ultra.
Namun begitu, kelajuan tertinggi dihadkan kepada 150 km/j sahaja.
Varian GT menawarkan mod pemanduan seperti Normal, Sport, ECO, ECO+, Auto dan Individual.
Sama seperti varian Ultra, Ora Good Cat GT dibekalkan dengan pek bateri lithium iron phosphate (LFP) 57.7 kWh yang mampu membenarkan jarak pandu sejauh 460 km.
Secara standard, Ora Good Cat GT menyokong pengecasan AC 6.6 kW (pengecasan penuh 9 jam), serta pengecasan pantas DC 60 kW di mana pengecasan 30-80 peratus dalam masa 38 minit sahaja.
Ora Good Cat juga hadir dengan sokongan fungsi Vehicle-to-Load (V2L) 3.3 kW.
3. Ciri luaran
Membezakan varian GT dengan varian Ultra ialah penampilan luaran yang lebih sporti.
Varian GT mendapat kelengkapan seperti:
bampar depan dan belakang lebih agresif
angkup brek berwarna kuning
rim aloi hitam dengan trim kuning saiz 18 inci
pintu belakang berkuasa bebas tangan
spoiler belakang GT
aksen kuning pada bampar
perumah cermin sisi berwarna kuning
4. Ruang kabin
Kedua-dua varian Ora Good Cat hadir dengan kemasan warna dua tona, namun varian GT diberikan gandingan warna hitam dan kuning yang lebih menyerlah.
Selain itu, varian GT turut mendapat ciri eksklusif seperti tempat duduk baris depan sporti dengan fungsi pengudaraan dan urut, serta kemasan kulit suede.
Ciri standard lain yang dibekalkan termasuklah:
skrin paparan digital tujuh inci
skrin infohibur 10.25 inci
sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
pengecas peranti pintar tanpa wayar 50W
sistem pendingin hawa automatik dengan penapis PM 2.5
sistem audio enam pembesar suara
bumbung kaca panorama
5. Keselamatan
Ciri keselamatan standard pada kedua-dua varian termasuklah:
enam beg udara
Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS)
Kawalan Cengkaman (TCS)
cagak ISOFIX
kamera 360 darjah
fungsi kamera tembus casis
sistem bantuan parkir pintar (IIP)
Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
Bantuan Kesesakan Trafik (TJA)
Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
Amaran Keluar Lorong (LDW)
Bantuan Pengekalan Lorong (LKA)
Bantuan Pemusatan Tengah Lorong (LCK)
Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
Bantuan Mula Mendaki (HSA)
6. Varian Ultra
Ora Good Cat varian Ultra turut ditawarkan secara rasmi dengan harga jualan bermula dari RM109,800 yang membawakan spesifikasi berikut:
motor elektrik tunggal
kuasa 143 PS, daya kilas 210 Nm
jarak gerak 480 km
mod pemanduan Normal, Sport, ECO, ECO+ dan Auto
rim aloi 18 inci
pilihan kemasan dalaman Green/Grey, Brown/Rice, atau Green/Rice (bergantung warna luaran)
Setelah debut di Malaysia Autoshow 2025, SUV off-road berkuasa elektrik iCaur 03 akhirnya rasmi dilancarkan untuk pasaran tempatan.
Untuk makluman, jenama iCaur ini merupakan hasil kerjasama antara Chery dengan Zhimi Technology, sebuah syarikat subsidiari Xiaomi.
Seperti yang telah dilaporkan sebelum ini, pembeli boleh mendapatkan iCaur 03 dalam varian 2WD, atau pacuan semua roda iWD.
Ia membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,406 mm, lebar 1,910 mm, tinggi 1,715 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,715 mm, serta menawarkan sudut pendekatan 28° dan sudut pelepasan 32°.
Ruang kargo adalah sebesar 450 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,238 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat. Terdapat storan di bahagian luar dengan kapasiti 40 liter.
Untuk permulaan, iCaur 03 boleh didapati dalam varian 2WD, dengan motor elektrik tunggal berkuasa 181 hp/220 Nm, dan pek bateri 65.7 kWh yang menawarkan jarak gerak 426 km.
Terdapat juga varian pacuan semua roda iWD berkuasa 275 hp dan daya kilas 385 Nm, serta mampu mencapai jarak gerak sejauh 418 km terima kasih kepada pek bateri 69.8 kWh.
Casis iCaur 03 diperbuat daripada kerangka aluminium yang menawarkan pengurangan berat sehingga 30 peratus, lebih tegar 30 peratus dan ciri anti-karat sehingga 30 tahun.
Sistem suspensi pula terdiri daripada topang MacPherson di hadapan, diikuti tetapan H-Arm Multi-link di belakang.
Antara ciri lain yang tersedia pada iCaur 03 termasuklah:
– keupayaan pengecasan AC 3 pin 3.3 kW, pengecasan AC 6.6 kW (10 jam), pengecasan pantas DC 80 kW (30 minit)
– fungsi V2L 3.3 kW
– skrin kluster 9.2 inci, skrin tengah 15.6 inci
– fungsi pemanas, ventilasi dan urut untuk tempat duduk depan
– fungsi ventilasi pada tempat duduk belakang
– slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50 W
– bumbung kaca panorama
– bukaan pintu guna suis elektrik
– sistem iROAD dengan 10 mod pemanduan (untuk varian iWD)
– 8 pembesar suara (12 pembesar suara Infinity untuk varian iWD)
Ciri keselamatan ADAS Tahap 2 merangkumi fungsi-fungsi berikut:
Brek Kecemasan Autonomi (AEB)
Maklumat Terlepas Pandu (DAI)
Amaran Pelanggaran Depan (FCW)
Kekalkan Lorong Kecemasan (ELK)
Amaran Keluar Lorong (LDW)
Amaran Pelanggaran Belakang (RCW)
Pencegahan Keluar Lorong (LDP)
Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA)
Kawalan Jelajah Adaptif (ACC)
Bantuan Kesesakan Lalu Lintas (TJA)
Pengesanan Titik Buta (BSD)
Amaran Pembukaan Pintu (DOW)
Untuk pasaran Malaysia, iCaur 03 boleh didapati dalam lima pilihan warna termasuklah perak, kelabu, putih, hitam dan hijau aurora.
Harga jualan bermula dari RM119,800 untuk versi 2WD, dan RM129,800 untuk versi iWD.
Terdapat juga edisi Black Phantom yang hadir dengan kit badan eksklusif, kemasan hitam kusam, rak bumbung, serta tangga sisi dengan kos tambahan RM20,000.
iCaur Malaysia turut menawarkan Program Insurans iCARE yang dirangka dengan kerjasama Allianz General Insurance, Berjaya Sompo, AIG, Etiqa Takaful, Zurich dan Zurich Takaful, merangkumi perlindungan terhadap pengecas dinding dan kabel pengecas mudah alih serta khidmat tunda tanpa had.
Untuk makluman, iCaur 03 akan ditawarkan dalam versi import sepenuhnya (CBU), sementara program pemasangan CKD pula dijangka bermula Januari 2026.
Proton secara rasmi melancarkan pembukaan kilang pengeluaran kenderaan elektrik (EV) yang terletak di Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) Tanjung Malim.
Majlis peluncuran tersebut disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan turut disertai oleh Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Saarani Mohamad; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Dengan bermulanya operasi pada bulan ini, kilang EV tersebut akan menjadi lokasi pemasangan pelbagai model daripada platform Global Modular Architecture (GMA).
Model pertama yang akan dipasang di kilang ini ialah SUV elektrik Proton e.MAS 7, dan bakal disusuli oleh Proton e.MAS 5 kelak.
Untuk permulaan, kilang ini boleh menampung kapasiti pengeluaran sehingga 20,000 unit setahun, dan boleh mencapai sehingga 45,000 unit/tahun mengikut permintaan dalam dan luar negara.
Kilang ini juga mampu menjana lebih 200 peluang pekerjaan untuk komuniti setempat.
Sebuah kapal pengangkut BYD Zhengzhou tiba di Pelabuhan Klang pada 5 Ogos yang lepas.
Kapal roll-on/roll-off (RORO) tersebut mempunyai kapasiti sehingga 7,000 unit kenderaan, dan telah memulakan pelayaran sulungnya menuju ke destinasi di Asia Tenggara seperti Filipina, Indonesia dan Singapura.
Selepas Pelabuhan Klang, kapal tersebut meneruskan perjalanan ke hentian terakhir di Thailand sebelum kembali semula ke China.
BYD Zhengzhou merupakan kapal ketujuh dalam armada kapal pengangkut khas milik BYD, membuktikan keupayaan rantaian bekalan dan logistik syarikat yang kukuh dalam usaha memenuhi permintaan terhadap EV yang semakin meningkat.
Kenderaan yang siap dipasang akan dipandu masuk dan keluar dari kapal, menawarkan manfaat dari segi masa dan kos berbanding penghantaran menggunakan kontena secara tradisional.
Dengan mengendalikan armada penghantarannya sendiri, BYD mempunyai kawalan yang lebih besar terhadap aspek penting dalam rantaian bekalan EV.
Menurut Eagle Zhao, Pengarah Urusan BYD Malaysia berkata, “kapal pengangkut ini memainkan peranan penting dalam merealisasikan aspirasi global BYD dan mengukuhkan lagi hubungan kami dengan Malaysia, yang kamilihat sebagai pasaran utama bagi pertumbuhan kami di Asia Pasifik.
“BYD Zhengzhou membolehkan penghantaran yang lebih pantas dan boleh dipercayai terus kepada pelanggan kami di sini.
Jeffrey Gan, Pengarah Urusan Sime Motors bagi Asia Tenggara berkata, “Dengan pengkukuhan rantaian bekalan serantau melalui kapal pengangkut BYD, kami dapat menjamin masa penghantaran yang lebih singkat, sekaligus mempertingkatkan keupayaan kami untuk memberikan kepuasan pelanggan yang lebih baik.”
BYD Malaysia dan Sime Motors terus memperkukuh kerjasama mereka untuk menyediakan EV kepada rakyat Malaysia dengan lebih pantas dan boleh dipercayai.
Inisiatif ini disokong oleh lebih 35 pusat jualan BYD di seluruh negara, dengan sasaran untuk mencapai 60 pusat jualan menjelang akhir tahun 2026.
Bersempena dengan acara Goodwood Festival of Speed, Hyundai mengambil kesempatan melancarkan sedan elektrik pantas Ioniq 6 N.
Hyundai Ioniq 6 N merupakan model EV berprestasi tinggi yang kedua dihasilkan oleh pengeluar Korea Selatan itu selepas Ioniq 5 N muncul tahun 2023.
Perinciannya seperti berikut:
Kuasa
Ioniq 6 N dipacu dengan dua motor elektrik, dengan kuasa keseluruhan 601 hp dan 740 Nm.
Dengan fungsi N Grin Boost, kuasa itu boleh melonjak kepada 641 hp dan 770 Nm, namun dalam tempoh masa 10 saat sahaja.
Pecutan 0-100 km/j boleh diselesaikan dalam masa 3.2 saat, sebelum mencapai kelajuan maksimum menghampiri 260 km/j.
Casis
Menurut Hyundai, casis Ioniq 6 N ini telah diberikan tumpuan termasuklah geometri suspensi dengan satu tujuan – pengendalian yang lebih baik.
Ia juga turut mendapat unit peredam kawalan elektronik, lengkap dengan penderia yang mampu membenarkan kenderaan membuat larasan redaman berdasarkan keadaan pemanduan semasa.
Pemandu juga boleh memanfaatkan fungsi N Drift Optimizer dan N Torque Distribution untuk kawalan kuasa yang lebih mengujakan.
Sistem brek dan roda
Untuk memberhentikan jentera elektrik N ini, Hyundai telah memadankan angkup empat omboh dan rotor 15.7 inci di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 14.1 inci di belakang.
Keempat-empat sudut dipasangkan dengan rim bersaiz 20 inci.
Hyundai Ioniq 6 N menggunakan tayar Pirelli P-Zero 5 bersaiz 275/35R20 yang dibangunkan khas untuk model ini.
Aerodinamik
Berbanding model Ioniq 6 standard, Ioniq 6 N diberikan kit badan yang lebih sporti, lengkap dengan bampar yang lebih agresif dan splitter di hadapan.
Untuk aspek aerodinamik yang lebih baik, Ioniq 6 N dipadankan dengan sayap belakang leher angsa, serta fender yang lebih lebar.
Untuk pemandu
Tidak cukup dengan fungsi yang disebutkan tadi, Ioniq 6 N turut menampilkan sistem N e-shift yang dinaiktaraf untuk mengurangkan kesan kehilangan prestasi, serta kualiti bunyi yang lebih baik.
Terdapat juga sistem lampu N Ambient Shift Light yang akan disegerakkan dengan sistem pencahayaan ambien apabila ‘penukaran gear’ dibuat.
Akhir sekali, fungsi N Active Sound+ yang menawarkan tiga pilihan unik, iaitu “Ignition” yang diinspirasikan daripada sukan permotoran, bunyi EV nostalgia “Evolution” dan tema futuristik “Lightspeed”.
Berapa jauh boleh pandu?
Hyundai Ioniq 6 N dipadankan dengan pek bateri 84 kWh, menawarkan jarak gerak sehingga 468 km untuk sekali cas penuh berdasarkan data WLTP.
Sebagai perbandingan, Ioniq 5 N boleh bergerak sejauh 356 km menggunakan tetapan bateri yang serupa.
Pilihan warna
EV berkuasa tinggi ini boleh dilayangkan dengan pilihan warna Performance Blue Pearl, Abyss Black Pearl, Serenity White Pearl, Nocturne Gray Metallic, Nocturne Gray Matte dan Gravity Gold Matte.
Zeekr mengumumkan pelantikan Carro Retail Sdn Bhd sebagai pengedar rasmi kenderaan tenaga baharu jenama tersebut di Malaysia.
Majlis tandatangan memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak tersebut berlangsung di Carro Retail Experience Centre Puchong pada 16 Jun 2025.
Ini bermakna, selain daripada tiga pusat pameran Zeekr Space sedia ada, rakyat Malaysia boleh mendapatkan barisan kenderaan baharu jenama Zeekr di empat buah pusat pameran Zeekr baharu yang bakal dibuka di Juru, Lembah Klang dan juga Seremban.
Terdapat juga perancangan untuk mendirikan sehingga tiga bengkel bertauliah Carro Care hasil daripada kerjasama yang terjalin.
Menurut Alex Bao selaku Pengarah Urusan Zeekr Asia Tenggara, “Respons positif yang kami terima daripada pasaran Malaysia dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini mencerminkan penghargaan terhadap kenderaan elektrik premium Zeekr.
“Momentum ini memperkukuhkan komitmen untuk mengembangkan lagi kehadiran kami di Malaysia, dan kerjasama dengan Carro mewakili satu peristiwa penting dalam usaha untuk meningkatkan rangkaian jualan dan keupayaan selepas jualan untuk sokongan terhadap pelanggan yang lebih baik.
Fong Hon Sum, CEO International Marketplace Carro berkata, “Kami melihat pasaran yang semakin berkembang untuk kenderaan elektrik dan hibrid di Malaysia, ditambah dengan infrastruktur yang sedang membangun dan pengecualian cukai, dan kami bersedia untuk menawarkan khidmat kepada rakyat Malaysia yang mahu beralih kepada EV.
“Kepakaran kami di dalam sektor EV menjadikan kami sedia untuk mengendalikan pemeriksaan, pembaikan dan penyelenggaraan, dan kami amat teruja untuk mempunyai Zeekr sebagai rakan kongsi kami.
Buat masa ini, Zeekr Malaysia menawarkan dua buah model iaitu MPV 009 dan SUV X. Model ketiga Zeekr 7X dijangka akan dilancarkan di Malaysia dalam masa terdekat.
Di tengah-tengah kesibukan bergelut dengan isu kewangan, Nissan turut memperlihatkan secara rasmi hatchback bandar generasi keenam, iaitu Nissan Micra 2026.
Tidak seperti lima generasi terdahulu, Nissan Micra kini merupakan model elektrik (EV) sepenuh masa.
Berikut merupakan beberapa fakta pantas yang perlu anda tahu:
1. Platform Renault
Hatchback segmen B ini bukanlah model yang dibangunkan sepenuhnya oleh Nissan, sebaliknya menggunakan pelantar CMF-B (atau AmpR Small).
Selain berkongsi badan yang sama dengan Renault 5, Nissan Micra juga membawakan spesifikasi unit pacuan elektrik yang serupa.
2. Kuasa
Varian asas Nissan Micra dikuasakan oleh motor elektrik 121 hp/225 Nm, dengan pek bateri 40 kWh untuk jarak gerak 310 km.
Versi paling berkuasa mendapat motor elektrik 148 hp/245 Nm, serta pek bateri 52 kWh untuk jarak pandu sejauh 408 km.
3. Dimensi
Tidak seperti Micra generasi ke-5, Micra baharu ini membawakan dimensi yang lebih pendek (3,920 mm) , namun badan lebih lebar (1,800 mm) dan jarak antara roda yang lebih panjang (2,540 mm).
Malah Micra juga lebih lebar jika dibandingkan dengan model penderma asal Renault 5.
4. Rekaan
Disebabkan berkongsi badan dengan Renault 5, beberapa elemen dari model penderma asal masih lagi wujud, seperti kaca tingkap sisi, struktur perumah cermin sisi, tiang C yang lebar serta pemegang pintu penumpang belakang yang tersembunyi.
Unik untuk Nissan Micra ialah rekaan lampu depan dan belakang berbentuk bulat lonjong yang diinspirasikan daripada model Concept 20-23.
Secara standard, EV ini didatangkan dengan rim bersaiz 18 inci dengan tiga pilihan rekaan.
Seperkara lagi, Nissan Micra turut membawakan tetapan suspensi multi-link di belakang – satu ciri yang biasanya wujud untuk segmen kereta yang lebih mahal.
5. Kabin
Susun atur papan pemuka berorientasikan pemandu yang wujud pada Renault 5 diterapkan sepenuhnya pada Nissan Micra EV.
Terdapat skrin kluster digital sebesar 10.1 inci yang disokong dengan skrin tengah juga bersaiz serupa yang sengaja diposisikan menghadap pemandu.
Selain sistem infohibur NissanConnect yang mempunyai perkhidmatan Google terbina, ia juga menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.
Butang pandu mula diposisikan antara dua skrin itu tadi. Tuil transmisi pula terletak di kolum stereng, dengan kedudukan yang hampir dengan butang pandu mula itu tadi.
6. Produksi
Nissan Micra EV akan dipasang di kilang ElectriCity Renault yang terletak di Douai, Perancis – lokasi sama untuk produksi Renault 5 sejak tahun 2024.
EV ini akan mula masuk pasaran Eropah menjelang akhir tahun 2025 sebagai model tahun 2026.
Buat masa ini, Malaysia masih lagi mengekalkan sasaran untuk mewujudkan sehingga 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) menjelang akhir tahun ini.
Perkara tersebut diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air baru-baru ini.
Beliau berkata, Malaysia berhasrat untuk menjadi hab serantau bagi pengeluaran dan inovasi EV, sambil memperkukuh keseluruhan rantaian nilai EV.
“Kerajaan memberi tumpuan kepada usaha menambah baik dan menaik taraf infrastruktur pengecasan di seluruh negara untuk merangsang jualan EV serta menarik pelabur berpotensi ke dalam segmen yang sedang berkembang pesat ini.
gambar hiasan
“Sasaran kita adalah untuk memiliki kira-kira 10,000 stesen pengecas di seluruh Malaysia, termasuk di Sabah dan Sarawak, menjelang akhir tahun ini,” katanya semasa berucap pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Thailand pada Khamis.
Beliau juga percaya Malaysia mempunyai potensi besar di dalam segmen EV, selain mampu menarik minat banyak pihak untuk terus melabur di dalam sektor tersebut.
Dalam masa yang sama, Fadillah mengakui cabaran permintaan tinggi terhadap pengecas arus terus (DC) berbanding pengecas jenis arus ulang alik (AC).
“Kami bekerjasama rapat dengan Petronas dan pihak industri lain untuk menangani isu ini. Kementerian kami memastikan kesalinghubungan pengecasan mencukupi, termasuk di lebuh raya, kawasan luar bandar dan seluruh Malaysia,” katanya.
Ini merupakan satu perkembangan yang cukup menarik datangnya dari negara jiran Thailand.
Menurut laporan terbaharu oleh AutolifeThailand, negara tersebut bakal mempunyai jenama EV nasional yang tersendiri menjelang akhir tahun 2025.
Projek kereta nasional Thailand itu merupakan hasil kerjasama antara Kementerian Perdagangan, Agensi Pembangunan Sains dan Teknologi Negara (NSTDA), King Gen dan juga syarikat automotif dari China, Chery.
Untuk permulaan, tiga buah model dirancang untuk diperkenalkan menjelang akhir tahun ini, terdiri daripada trak pikap, MPV dan juga SUV.
Difahamkan, ketiga-tiga model tersebut bakal mempunyai kandungan tempatan melebihi 50 peratus.
Sebagai ‘kereta Thailand’, projek EV nasional ini bakal mendapat insentif cukai yang tersendiri untuk membolehkan ia dijual pada harga yang lebih mampu milik untuk pengguna di sana.
Perkembangan ini dilihat selari dengan apa yang telah diumumkan oleh Chery sewaktu di Auto Shanghai 2025 tempoh hari.
Ini kerana pengeluar automotif China tersebut mengumumkan pembangunan kenderaan M-Series yang terdiri daripada SUV tujuh tempat duduk, MPV serta trak pikap yang menyokong enjin pembakaran dalaman (ICE), EV, serta nadi plug-in hybrid (PHEV).
Langkah pendekatan ini dilihat menyamai projek IMV yang dirancang oleh Toyota untuk pasaran global dan Asia Tenggara yang terdiri daripada model Innova, Fortuner dan Hilux.
Kereta elektrik bateri Nissan LEAF telah pun berada di pasaran dunia sejak tahun 2010 lagi, dan telah pun bertahan selama dua generasi membawakan bentuk badan hatchback.
Namun untuk generasi ketiga, Nissan LEAF diberikan bentuk badan crossover selari dengan permintaan pasaran yang lebih cenderung ke arah model-model berbadan besar.
Dibina berdasarkan platform CMF-EV yang dimiliki oleh pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, LEAF baharu membawakan ukuran dimensi yang lebih tinggi, namun sedikit pendek berbanding LEAF sedia ada.
Nissan LEAF generasi kedua
Berdasarkan rekaan yang dipamerkan, tidak syak lagi LEAF banyak meminjam elemen penggayaan yang wujud pada Ariya EV, selain mempunyai bentuk badan aerodinamik dengan kadar pekali seretan 0.25.
Nissan tidak mendedahkan spesifikasi LEAF dengan lebih lanjut.
Namun, menurut ketua produk Nissan Eropah Francois Bailly menjelaskan model LEAF baharu ini mampu menawarkan jarak gerak dunia sebenar melebihi 598 km.
Beliau menambah, LEAF akan turut mendapat sistem infohibur terkini berasaskan Google, dibantu dengan sistem bantuan pemandu termaju.
Volvo Car Malaysia mengakhiri tahun 2024 dengan rekod jualan sebanyak 1,953 unit kenderaan, 30 peratus daripadanya terdiri daripada model kenderaan elektrik bateri (BEV), dengan peningkatan sebanyak 18 peratus berbanding tahun 2023.
Secara keseluruhan, model BEV dan plug-in hybrid (PHEV) membentuk 83 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan untuk tahun 2024, berbanding 71 peratus pada tahun terdahulu.
Pencapaian ini adalah seiring dengan hasrat jenama itu untuk menjual antara 90 hingga 100 peratus kenderaan berelektrik menjelang tahun 2030.
Kurang 20 peratus daripada jualan keseluruhan Volvo Car Malaysia terdiri daripada kenderaan hibrid ringan (MHEV), berbanding satu pertiga yang dicatatkan pada tahun 2023.
Di peringkat global, Volvo Cars merekodkan jumlah jualan 763,389 unit kenderaan, peningkatan sebanyak 8 peratus.
Terdapat peningkatan jumlah jualan bagi segmen kenderaan berelektrik, di mana sebanyak 175,194 unit BEV dan 177,593 model PHEV telah terjual, masing-masing mencatatkan peningkatan 54 peratus dan 16 peratus.
Secara keseluruhan, 46 peratus daripada jumlah jualan Volvo global terdiri daripada kenderaan berelektrik, manakala jumlah jualan BEV sahaja merangkumi 23 peratus berbanding 16 peratus pada tahun 2023.
Untuk tahun 2025, Volvo Car Malaysia sedang merancang untuk melancarkan sebuah lagi model BEV, iaitu Volvo EX90, sebuah SUV mewah tujuh tempat duduk.
Hari ini berlangsungnya upacara pecah tanah bagi pembinaan fasa pertama kilang pemasangan kenderaan elektrik (EV) Proton yang terletak di fasiliti berteknologi tinggi Tanjung Malim.
Dengan pelaburan bernilai RM82 juta, fasa pertama kilang pemasangan EV ini dijangka siap pada akhir 2025 dengan kapasiti pengeluaran awal sekitar 20,000 unit setahun.
Ia akan menjadi lokasi pemasangan pelbagai jenis model kenderaan tenaga baharu (NEV) untuk pasaran tempatan dan eksport berdasarkan platform GMA (Global Modular Architecture) yang dimulakan dengan model Proton e.MAS7.
Pelbagai teknologi pembuatan pintar akan digunakan untuk memastikan kilang ini bersedia untuk pengeluaran kenderaan NEV seperti teknologi robotik, pengurusan kilang berasaskan awan, Internet of Things (IoT) dan teknologi berkaitan IR 4.0.
Dalam masa yang sama, kilang baharu Proton ini dijangka akan mewujudkan lebih 200 peluang pekerjaan baharu untuk komuniti tempatan.
Proton juga sudah mempunyai perancangan untuk fasa kedua kilang pengeluaran sebagai persediaan untuk pemintaan EV yang semakin meningkat di dalam dan luar negara, dengan kapasiti pengeluaran akan dinaikkan kepada 45,000 unit setahun.
Menurut Dr. Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton berkata, “PROTON memulakan peralihannya untuk menjadi OEM yang menawarkan model ICE dan EV apabila kami menubuhkan PRO-NET untuk menjual kenderaan pintar sebelum melancarkan Proton e.MAS 7.
“Dengan pengalaman yang kami kumpul sejak beberapa tahun lalu dalam semua aspek kenderaan ini dan keperluan pelanggan, jadi hari ini kami mengambil langkah seterusnya untuk merealisasikan impian kami menghasilkan dan membangunkan model EV di Malaysia.
“Kenderaan yang dikeluarkan di kilang baru ini akan memenuhi keperluan pelanggan di pasaran tempatan dan eksport, serta menjadi pendorong kepada pertumbuhan pasaran EV.
“Setelah siap, pengeluaran di kilang baru ini akan tertumpu pada Proton e.MAS 7 serta tawaran NEV masa hadapan apabila PROTON mengembangkan rangkaian modelnya. Akhirnya, kami berharap kejayaan kami akan mewujudkan ekosistem automotif yang moden dan berkemampuan untuk menggalakkan lebih banyak OEM mempertimbangkan Malaysia dan AHTV sebagai pangkalan serantau bagi EV,” ujarnya lagi.
Kenanga Research menjangkakan kerajaan akan memberikan lebih banyak insentif bagi menggalakkan permintaan kenderaan elektrik (EV) dalam kalangan rakyat Malaysia, lapor Utusan Malaysia.
Firma penyelidikan itu berkata, ini sejajar dengan sasaran nasional untuk EV dan kenderaan hibrid sebanyak 15 peratus daripada jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) menjelang tahun 2030 dan seterusnya sehingga 38 peratus menjelang 2040.
“Sekarang ini jualan kenderaan disokong oleh kenderaan elektrik bateri (BEV) baharu yang menikmati pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) dan insentif kemudahan EV sehingga 2025 untuk CBU (import sepenuhnya) dan 2027 untuk CKD (pemasangan tempatan).
“Pendaftaran baharu untuk BEV melonjak daripada 274 unit pada 2021 kepada lebih 3,400 unit pada 2022, 10,159 unit pada 2023 dan 6,617 unit untuk separuh pertama 2024 (laporan suku tahunan),” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurut Kenanga Research, penyasaran subsidi bahan api petrol yang dijangka dilaksanakan kerajaan juga mungkin meningkatkan minat golongan M40 kepada EV.
“Kumpulan M40 mungkin menahan diri daripada membeli kereta baharu atau mereka mungkin memilih untuk beralih kepada kereta yang lebih kecil atau beralih ke EV untuk mengurangkan bil bahan api mereka selepas pengenalan rasionalisasi subsidi bahan api,” katanya.
Sementara itu, kata firma penyelidikan tersebut, kerajaan Malaysia juga akan mempercepatkan kelulusan untuk stesen pengecas di seluruh negara.
“Jumlah stesen pengecas yang beroperasi kini sebanyak 3,951 dijangka meningkat hampir tiga kali ganda kepada 10,000 menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Firma penyelidikan itu juga turut mengekalkan ramalan jualan kenderaan baharu di Malaysia untuk 2024, yang juga dikenali sebagai TIV sebanyak 740,000 unit (lapan peratus lebih rendah), yang sedikit lebih konservatif berbanding ramalan 765,000 unit oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Secara umum, firma berkata, tahap keterlihatan pendapatan industri mash baik, disokong oleh baki tempahan sebanyak 170,000 unit pada akhir Julai 2024, tidak berubah dari sebulan yang lalu.
“Lebih daripada separuh baki tersebut terdiri daripada model baharu, menunjukkan daya tarikan model baharu kepada pembeli kereta,” jelasnya yang menggariskan rasionalisasi subsidi petrol dan pelaksanaan e-invois boleh memberikan tekanan kepada jualan kenderaan pada suku kedua 2024.
China merupakan antara pasaran yang terpenting buat Volkswagen, dan kini pengeluar Jerman itu telah pun selesai melancarkan SUV coupe berkuasa elektrik yang dinamakan sebagai ID.UNYX.
Dibina menggunakan platform MEB, SUV kompak itu membawakan ukuran dimensi sepanjang 4,663 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,610 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,766 mm.
Dari segi luaran, ID.UNYX menampilkan sepasang mata matriks LED yang tajam, terdiri daripada 13 unit LED dan dihubungkan dengan bar LED melintang.
Sementara bahagian belakang pula tampil lebih kemas dengan struktur lampu yang lebih nipis yang turut disudahi dengan bar LED melintang dan logo VW yang bercahaya.
Elemen mata tajam itu turut dibawakan pada rekaan papan pemuka, di mana anda boleh melihat corong pendingin hawa yang sengaja direka seakan bentuk lampu hadapan ID.UNYX.
Antara kelengkapan yang wujud termasuklah skrin panel instrumen 5.3 inci didepan pemandu, skrin terapung resolusi 2K sebesar 15 inci, paparan head-up realiti terimbuh (AR), serta roda stereng jenis bawah rata.
Selain daripada itu, ID.UNYX turut menawarkan kemudahan seperti pengecas peranti tanpa wayar dan pemegang cawan pada konsol tengah, bantuan AI, tempat duduk boleh laras 12 tahap serta sokongan kepada Apple CarPlay, Baidu CarLife dan Huawei HiCar.
Di China, ID.UNYX ditawarkan dengan pilihan motor elektrik tunggal berkuasa 227 hp, diikuti varian motor elektrik berkembar dengan hamburan kuasa 335 hp.
Pek bateri ternary lithium berkapasiti 82.4 kWh pula membenarkan jarak pemanduan sehingga 621 km, atau 565 km untuk versi dua motor.
Harga jualan bermula dari 209,900 yuan hingga 249,900 yuan (RM135 ribu hingga RM161 ribu) dengan tiga varian tersedia, iaitu Pro, Ultra dan Max.
Pakar konsultansi Alixpartners memberikan ramalan hanya 19 sahaja pengeluar daripada 137 jenama EV China yang akan meraih keuntungan menjelang akhir dekad ini.
Selebihnya mungkin akan dipaksa keluar daripada industri, bergabung atau terus berjuang untuk menguasai secebis kecil pegangan dalam pasaran.
Menurut Stephen Dyer, pengarah urusan Alixpartners menjelaskan, “selagi pemain besar seperti BYD mempunyai margin yang kasar, akan ada ruang untuk perang harga terus berlaku.
Perang harga yang telah berlarutan untuk tempoh hampir dua tahun ini telah memberikan tekanan kepada sesetengah pengeluar EV China, di mana keadaan ini akan berterusan selagi pemain utama seperti BYD dan Tesla berusaha untuk mengukuhkan kedudukan dominan mereka.
Menurut Alixpartners lagi, walaupun purata harga jualan kereta di China menurun 13.4 peratus pada tahun lepas, purata margin pengeluar kereta meningkat 7.8 peratus pada tahun 2023 berbanding 6.3 peratus pada tahun sebelumnya.
Menjelang 2030, pengeluar automotif China diramal akan memegang 33 peratus pegangan dalam pasaran global, dan 45 peratus dalam segmen kenderaan tenaga baharu (NEV).
Firma itu walau bagaimanapun menurunkan unjurannya untuk pasaran Eropah daripada 15 peratus kepada 12 peratus disebabkan oleh tambahan tarif yang dikenakan oleh Kesatuan Eropah (EU) terhadap pengeluar automotif China.
Dahulu, membeli kereta adalah satu proses yang mudah. Namun dengan kemajuan teknologi dalam industri automotif, proses pembelian kereta kini menjadi lebih rumit kerana pengguna perlu mengambil kira banyak perkara sebelum membuat keputusan.
Sebagai contoh, untuk enjin, pilihan yang ada pada masa kini tidak terhad kepada petrol atau diesel sahaja. Bergantung kepada jenama, pengguna kini boleh mendapatkan enjin hibrid yang menawarkan lebih penjimatan.
Atau jika pengguna tidak mahu lagi menggunakan enjin pembakaran dalaman demi alam sekitar, mereka kini boleh mendapatkan kenderaan elektrik (EV) pada harga serendah RM100,000.
Dalam erti kata lain, pengguna perlu mempertimbangkan banyak faktor bagi memastikan kereta yang dibeli dapat memenuhi keperluan mereka.
Oleh itu, perkara pertama yang mereka perlu lakukan untuk memastikan mereka dapat membuat pilihan terbaik adalah memahami perbezaan antara hibrid dan EV.
Definisi hibrid dan EV
Secara asasnya, kereta hibrid mempunyai dua sumber kuasa iaitu enjin pembakaran dalaman (ICE) dan motor elektrik yang mendapat bekalan tenaganya dari pek bateri.
Bergantung kepada jenis sistem hibrid, ICE dan motor elektrik boleh menggerakkan roda secara bersama atau berasingan. Ini bergantung kepada kelajuan kenderaan, baki tenaga bateri dan faktor-faktor lain.
Plug-in hybrid electric vehicle atau PHEV mempunyai jarak gerak elektrik yang lebih jauh kerana ia mempunyai motor dan bateri yang lebih besar. Bateri tersebut boleh dicas dari sumber luaran seperti EV yang sebenar.
Tidak seperti kereta hibrid, EV tidak mempunyai ICE dan bergantung kepada motor elektrik semata-mata untuk bergerak.
Kebanyakan EV mempunyai satu atau dua motor elektrik, serta pek bateri besar yang diletakkan di bahagian bawah casis. Bateri EV biasanya menyokong pengecasan AC dan DC.
Kelebihan hibrid
Tidak kira jenis apa yang dipilih, trenkuasa hibrid dapat mengurangkan penggunaan bahan api, dengan sesetengah sistem turut menjanjikan prestasi pecutan yang lebih baik.
Kadar penjimatan bahan api bergantung kepada jenis sistem hibrid. Sebagai contoh, sistem mild-hybrid tidak menawarkan penjimatan yang ketara jika dibandingkan dengan PHEV kerana ia tidak mempunyai mod elektrik.
Walaupun lebih berat berbanding kereta ICE asli dek kerana bateri, prestasi kereta hibrid boleh dikatakan memuaskan. Ia tidaklah selaju EV namun ia boleh menggabungkan kuasa enjin dan motor elektrik untuk memberikan pecutan yang kuat.
Selain itu, pengguna hibrid tidak perlu pening kepala memikirkan tentang pengecasan kerana bateri hibrid tidak perlu dicas. Ia boleh memulihkan semula tenaganya menerusi sistem brek janaan semula (regenerative braking). Tetapi ini tidak terpakai kepada PHEV kerana baterinya masih perlu dicucuk kepada pengecas jika anda mahu ia dicas sepenuhnya.
Kelebihan EV
Pertama sekali, EV tidak menggunakan setitis bahan api pun jadi ia pilihan yang tepat untuk mereka yang ingin mengurangkan perbelanjaan bulanan mereka, lebih-lebih lagi dengan langkah penyasaran subsidi petrol yang akan berlaku dalam masa terdekat.
Sudah tentu, pengguna masih perlu memikirkan tentang kos pengecasan namun pengguna sekurang-kurangnya boleh memilih stesen pengecas yang menawarkan kadar yang sesuai bajet mereka.
Bercakap tentang bajet, pengguna EV di Malaysia boleh mengurangkan kos operasi mereka kerana cukai jalan untuk EV adalah percuma sehingga penghujung 2025.
Dari segi prestasi pula, EV secara umumnya lebih laju berbanding kereta hibrid disebabkan keupayaan motor elektrik untuk menjana tork maksimum sebaik sahaja pedal ditekan.
Ketiadaan pula ICE membuatkan EV jauh lebih senyap dan lancar. Ini secara tidak langsung membuatkannya rasa lebih mewah dan premium.
Mana yang patut saya pilih?
Anda perlu tahu keperluan anda sebelum membuat keputusan. Hibrid sesuai jika anda inginkan sebuah kereta harian yang boleh dipercayai dan jimat bahan api. Ia menawarkan jarak gerak yang lebih jauh berbanding EV dan anda tidak perlu risau tentang pengecasan.
Hibrid atau lebih tepat lagi PHEV juga dilihat pilihan yang baik bagi mereka yang ingin beralih kepada EV tetapi belum bersedia untuk berbuat demikian. Ini kerana ia mempunyai mod pemanduan elektrik dan pengguna juga boleh belajar cara mengecas dengan kereta PHEV.
EV memang seronok dipandu dan pecutannya boleh membuatkan seseorang itu ketagih tetapi ia juga mempunyai jarak gerak yang terhad. Oleh itu, pilih EV hanya jika anda mempunyai lebih daripada sebuah kereta dan tidak tinggal jauh dari tempat kerja.
Selain jarak, anda juga perlu mengambil kira faktor infrastruktur pengecasan awam yang boleh dikatakan belum lagi cukup bersedia. Ya, bilangan stesen pengecasan semakin lama semakin bertambah namun ada kemungkinan yang pengecas mengalami kerosakan atau isu teknikal.
Jalan yang terbaik untuk mengatasi masalah ini adalah dengan memasang pengecas di kediaman namun ini hanya boleh dilakukan jika anda tinggal di rumah bertanah.