Arkib Tag: kapcai

Honda Wave Alpha kini dengan enjin Euro 4, tangki lebih besar – RM5,179

BOON Siew Honda telah mengumumkan kemas kini untuk Honda Wave Alpha bagi model tahun 2023. Model ini yang diperkenalkan buat pertama kali pada 2015 ini menampilkan gabungan gaya, kualiti dan nilai yang sangat berpatutan.

Bermula dengan trenkuasa, Wave Alpha kini dikuasakan oleh enjin 110 cc bertaraf Euro 4 yang turut dilengkapi dengan teknologi Programmed Fuel Injection (PGM-FI). Ia menghasilkan 8.7 hp pada 7,500 dan 8.7 N, pada 5,500 rpm.

Penggunaan teknologi suntikan bahan api berkenaan membolehkan Wave Alpha mencatat kadar penggunaan bahan api 70/9 km/l, mewakili peningkatan sebanyak 12.3 km/l berbanding model tahun 2019. Ini menjadikannya salah satu enjin pembakaran dalaman paling cekap dalam kategorinya.

Bukan itu sahaja, model ini juga mendapat tangki bahan api yang lebih besar (4.1 liter) bagi membolehkan ia mencapai jarak tunggangan yang lebih jauh dengan satu isian.

Dari segi penampilan, Wave Alpha dikatakan mempunyai reka bentuk yang lebih langsing, berserta lampu belakang dan panel meter yang direka semula. Model tahun 2023 ini boleh didapati dalam warna Vivacity Red, Pearl Nightfall Blue dan Clipper Yellow.

Turut diberi kemas kini adalah ciri kemudahan penunggang, di mana ruang storan di bawah tempat duduk kini mempunyai kapasiti dua kali ganda lebih besar daripada model sebelumnya iaitu 7.3 liter.

Akhir sekali, harga jualan (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran) Wave Alpha adalah RM5,179. Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Yamaha 125Z mendunia! Lelaki ini import masuk ke Amerika Syarikat

YAMAHA 125Z seperti yang kita semua tahu ialah sebuah model kapcai dua lejang yang sudah dihentikan pengeluarannya di Malaysia.

125Z dijual di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Vietnam dan difahamkan turut dijual di Grece. Ia tidak pernah dijual di negara-negara barat seperti di Eropah atau Amerika kerana 125Z ini pastinya tidak akan melepasi piawaian pelepasan karbon yang ketat di sana.

Tetapi menariknya, seorang lelaki di Amerika Syarikat (AS) telah mengimport masuk sebuah Yamaha 125Z. Lã Trần Quân melalui laman Instagram miliknya telah memuat naik dua video berkenaan kapcai dua lejang tersebut.

“Yamaha 125Z R, motosikal impian jejaka Asia,” tulisnya dalam kapsyen video pertama yang kini telah mendapat lebih 56,000 Like dan hampir 1,000 komen.

Lã Trần Quân menunggang motosikal itu di sekitar taman perumahannya, cukup unik melihat 125Z itu di persekitaran AS, dengan kereta-kereta besar di sana.

Walaupun beliau di AS, sudah tentunya komen di video itu kebanyakannya datang dari pengguna Instagram di Malaysia.

Video kedua pula menunjukkan klip-klip terperinci pada badan 125Z itu seperti badan, enjin, suspensi belakang, tayar, dan panel meter. “Saya baru tahu motosikal ini dipanggil ‘tupai’ di negara kelahirannya,” tulis beliau di kapsyen.

‘Tupai’ merujuk kepada sebutan segelintir rakyat Malaysia dari singkatan ‘one-two-five’, cumanya Malaysia bukanlah negara kelahiran 125Z ini. Cuma mungkin kapcai ini sangat popular di negara kita.

Kami masih tidak pasti bagaimana Lã Trần Quân mengimport Yamaha 125Z itu ke sana kerana beliau tidak berkongsi mengenai perkara itu.

Lã Trần Quân merupakan sorang peminat serta pengumpul motosikal dan kereta. Beliau sering memuat naik gambar dan video mengenai jentera-jentera unik dalam koleksinya. Menarik untuk melihat 125Z menjadi salah satu dari koleksinya.

Yamaha 125Z mula dikeluarkan pada 1998 sebagai pengganti Yamaha Y110SS, model 125Z ini boleh dikatakan mencapai status legenda di negara ini dan boleh mencapai harga gila jika dijual terutamanya dalam keadaan NOS (new old stock).

Supermoped Aveta SVR180 dilancarkan di Malaysia pada harga RM9,988

AVETA Malaysia Sdn Bhd terus menghangatkan pasaran kapcai tempatan dengan melancarkan model baharu iaitu Aveta SVR 180.

Model yang digelar sebagai ” the ultimate supermoped” itu dijual pada harga menarik RM9,988 serta didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km. Terdapat empat warna untuk dipilih iaitu merah, biru, cyan dan hitam.

SVR180 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal empat lejang DOHC bersesaran 175 cc yang mampu menghasilkan 16.8 hp (12.5 kW) pada 8,500 rpm dan 15.5 Nm pada 8,500 rpm. Enjin bertaraf Euro 4 itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik dan penyerap hentak monoshock, manakala untuk roda pula, model ini menggunakan rim 17 inci dan tayar bersaiz 90/80 di depan dan 120/70 di belakang. Ia juga dilengkapi dengan brek cakera pada bahagian depan dan belakang.

Dari segi dimensi, SVR180 berukuran 1,940 mm panjang, 690 mm lebar, 1,055 mm tinggi dan jarak antara rodanya adalah 1,288 mm. Ia mempunyai tangki bahan api sebesar 6.6 liter.

Kelengkapan lain yang tersedia pada model ini termasuk lampu utama berkembar dengan lampu nyalaan siang LED, pelindung radiator, paparan meter digital dan soket pengecas USB.

Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary diperkenal, hanya 5,000 unit, RM11,688

HONG Leong Yamaha mengumumkan satu edisi khas untuk Y16ZR iaitu World GP 60th Anniversary. Hanya 5,000 unit akan dihasilkan dan ia akan hadir dengan beberapa aksesori seperti berikut:

Sijil penghargaan
Tumbler premium World GP 60th Anniversary
Pin edisi khas
Keychan premium

Kesemua aksesori ini juga akan diisi dalam kotak premium khas.

Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary ini tampil dengan livery ikonik merah putih untuk gaya sporti. Skema warna ini dipadankan pula dengan rim berwarna emas yang didatangkan dengan emblem 60th Anniversary.

Yamaha Y16ZR ini dikuasakan oleh enjin 155cc 4-silinder 4-lejang SOHC dengan Variable Valve Actuation (VVA). Ia menjana 17.7hp pada 9,500rpm dan 14.4Nm tork pada 8,000rpm. Output disalurkan melalui transmisi 6-kelajuan.

Sama seperti model-model terkini, Y16ZR juga mendapat sistem klac Assist and Slipper untuk tunggangan dan penukaran gear lebih lancar terutamanya semasa downshifting.

Turut diperkenalkan ialah koleksi pakaian World GP 60th Anniversary yang juga boleh didapati di Genblu Online Shop untuk anda memadankan gaya dengan motosikal ini.

Yamaha Y16ZR World GP 60th Anniversary dijual pada harga cadangan RM11,688 tidak termasuk pendaftaran dan insurans. Anda boleh mula melihat motosikal ini di semua pengedar sah Yamaha seluruh negara.

Seperti biasa, anda juga akan mendapat kunci brek cakera untuk setiap pembelian Yamaha Y16ZR ini.

Haramkan kapcai prestasi tinggi – Ketua Polis Negara

KETUA Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani menyarankan model kapcai lincah yang berkemampuan tinggi yang ditunggang melebihi had laju dilarang berada di jalan raya serta penjualannya di pasaran diharamkan.

Menurut laporan Free Malaysia Today, beliau melahirkan kebimbangan terhadap lambakan motosikal “kapcai” lincah berprestasi tinggi sejak akhir-akhir ini.

Menurutnya, kehadiran kapcai laju itu adalah antara punca utama peningkatan kadar nahas jalan raya.

“Inilah (kapcai laju) antara penyumbang kepada tingginya kemalangan dan kematian dalam kalangan penunggang motosikal dan (kegiatan) merempit,” kata Acryl Sani.

Saranan itu adalah selepas pendedahan beberapa portal berita automotif tempatan yang melaporkan keterujaan peminat permotoran terhadap motosikal tersebut.

Ia susulan tersebarnya video mengenai model keluaran terbaharu, iaitu Suzuki Raider R150 Fi, juga dikenali dalam kalangan peminat motosikal sebagai ‘Si Belang’, yang mencecah kelajuan 177km/j melalui ujian dyno.

“Kenderaan (kapcai) seperti ini wajib diharamkan di Malaysia (kerana) tidak ada relevensi kelajuan 177km/j di jalan raya sedangkan had laju maksimum adalah 110km/j (di lebuh raya),” tegas Acryl Sani.

Menerusi ujian teliti pada mesin dyno, motosikal kapcai yang dipasarkan dengan harga RM8,173 itu mampu merekodkan kelajuan maksimum antara 150km/j hingga 160km/j.

Dalam pada itu, Acryl Sani menggesa Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) memainkan peranan utama mengkaji arah tuju permotoran serta merangka polisi motosikal selamat pada masa hadapan.

“MIROS hendaknya jadi badan pendesak,” tambahnya.

Sejak 2019, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) melancarkan “perang” ke atas kapcai popular Yamaha 15ZR atau lebih dikenali sebagai Y-Suku yang dikatakan mampu mencecah kelajuan 160 km/j setelah diubah suai dan kerap digunakan sebagai kenderaan lumba haram.

Pada mesyuarat agung tahunan Majlis Keselamatan Jalan Raya tiga tahun lalu, seorang pegawai kanan JSPT mencadangkan kepada Kementerian Pengangkutan agar kategori pelesenan motosikal B3 yang baharu diwujudkan untuk golongan belia dengan hanya dibenarkan menunggang motosikal elektrik berkuasa rendah atau motosikal berenjin 100cc ke bawah menjelang 2025.

“Jika kita mempunyai kategori pemegang lesen baharu ini, ia boleh menyelamatkan banyak nyawa. Ia akan memanfaatkan negara. Jika kita mempunyai dasar jangka panjang bagi mengawal kumpulan sasaran 16 hingga 25 tahun dan membentuk budaya baharu untuk mereka hanya menunggang motosikal berkuasa rendah,” kata Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasaan) JSPT Bakri Zainal Abidin.

Sementara itu enam bulan lalu, seorang perancang pengangkutan menyarankan agar motosikal kapcai underbone dihentikan penjualannya di pasaran secara berperingkat dan digantikan dengan motosikal elektrik berkuasa rendah untuk membendung kematian dan nahas jalan raya yang tinggi dalam kalangan pengguna motosikal.

Yamaha 135LC dengan enjin FI baharu, tiga warna, RM7,798

YAMAHA 135LC sememangnya sebuah motosikal kapcai empat-lejang yang cukup berjaya dan mempunyai ramai pengikut di Malaysia.

Untuk 2022, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan 135LC FI baharu dan seperti pada namanya, FI merujuk kepada fuel injection atau suntikan bahan api. Ya, Yamaha 135LC kini dengan enjin baharu yang dibangunkan khas untuk pasaran Malaysia.

Enjin silinder tunggal SOHC 4-injap ini menjana 9.3kW (12.4hp) pada 8,000rpm dan 12.2Nm tork pada 6,000rpm.

Enjin dengan penarafan Euro4 ini dipadankan dengan kotak gear 4-kelajuan seperti sebelumnya. Walaubagaimanapun, tiada lagi pilihan klac manual, hanya klac automatik.

Menurut HLYM, mereka mahu memfokuskan klac manual kepada model Y15ZR, dan klac automatik untuk 135LC FI ini.

Yamaha 135LC FI ini dilengkapi lampu depan dan belakang LED, Pilot Light, tangki minyak 4.6 liter dan panel meter digital baharu untuk paparan maklumat lebih jelas.

Dari segi keselamatan, 135LC kini diberikan brek cakera belakang dan swing arm belakang yang direka semula.

Yamaha 135LC FI dijual pada harga RM7,798 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans) dan didatangkan dengan tiga warna iaitu Ruby Red, Crystal Cyan, dan Midnight Star.

Yamaha 135LC FI

Oh ya, ada satu kejutan, dimana HLYM turut mendedahkan Yamaha 135LC FI Special Edition.

Apa yang istimewa? Pertamanya, ia hadir dengan warna unik Desert Storm matte dengan grafik lebih ringkas, tulisan “135LC” tiga-dimensi pada badan, dan Yamaha Premium Basket.

Bakul ini hanya khas untuk 135LC FI Special Edition dan menurut Yamaha, buat masa ini mereka tidak merancang untuk menawarkannya sebagai aksesori untuk versi biasa.

Bakul ini juga dilengkapi ruang simpanan khas yang boleh melindungi barangan dari terkena hujan, selain slot pengecaj USB.

135LC FI Special Edition ini dijual pada harga RM8,198 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans).

Honda EX-5 edisi terhad diperkenal – warna Extravagant Gold Metallic, RM5,198

BOON Siew Honda hari ini memperkenalkan Honda EX-5 edisi terhad untuk rakyat Malaysia. Sejak memasuki pasaran pada 1987, Honda EX-5 telah menjadi sebahagian besar dari mobiliti rakyat negara ini dengan ketahanan yang terbukti.

EX-5 edisi terhad ini hanya ditawarkan dalam warna khas Extravagant Gold Metallic sempena ulang tahun ke-35 model ini, dan hanya 2,000 unit akan ditawarkan.

Tiada perubahan dari sudut mekanikal, Honda EX-5 edisi terhad ini dipacu oleh enjin 110cc berkuasa 6.37kW pada 7,500rpm dan 8.62Nm tork pada 5,500rpm.

Enjin dengan teknologi Programmed Fuel Injection (PGM-Fi) ini dipadankan dengan kotak gear 4-kelajuan.

Selain dari warna retro dan premium emas metalik itu, EX-5 ini juga didatangkan dengan rim jenis spoke berwarna sama.

Honda EX-5 edisi terhad ini ditawarkan pada harga RM5,198 berserta jaminan pengeluar selama dua tahun atau jarak perbatuan 20,000km (yang mana tiba dahulu).

Wmoto F15 ini pesaing terbaharu Honda RS-X150 dan Yamaha Y15ZR, harga RM6k sahaja

SATU lagi kapcai telah menerpa pasaran Malaysia, iaitu Wmoto F15 dan ia ditawarkan pada harga agak kompetitif, RM5,999 (tanpa insurans, pendaftaran dan cukai jalan). F15 ini akan bersaing dengan motosikal kelas 150cc seperti Honda RS-X150 dan Yamaha Y15ZR.

Wmoto F15 dikuasakan oleh enjin 149.2cc 4-lejang yang berupaya menghasilkan 10.5hp pada 7,000rpm dan 11Nm tork pada 8,000rpm. Ia menggunakan kotak gear 5-kelajuan dan mempunyai berat sekitar 118kg.

F15 mempunyai ketinggian pelana 770mm dan dilengkapi lampu LED untuk depan dan belakang berserta DRL. Tangki bahan apinya adalah berkapasiti 5.5 liter.

Wmoto F15 menggunakan fork teleskopik di depan dan penyerap hentak monoshock di belakang. Untuk brek pula, ia mendapat cakera 290mm di depan dan 190mm di belakang.

Ciri lain adalah meter gabungan analog dan digital, serta paparan paras bateri. Wmoto F15 ini hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km (yang mana terdahulu).

Wmoto F15 kini boleh didapati di kesemua pengedar sah Wmoto seluruh negara dengan tiga pilihan warna iaitu kuning, biru dan turquoise.

Honda RS-X 2021 tiba di Malaysia untuk mencabar Y15ZR, dilengkapi ABS, RM8.7k

BOON Siew Honda hari ini melancarkan sebuah motosikal yang dinanti ramai, iaitu Honda RS-X baharu! Ia bakal memberi saingan terus kepada Yamaha Y15ZR.

Ya, ini juga merupakan kembar kepada Honda Winner X di Vietnam, namun ia tetap menerima beberapa ciri unik khas untuk pasaran Malaysia.

Antaranya adalah bahagian ‘kepala’, ekzos, dan ia dilengkapi ABS (sistem brek anti-kunci) satu-saluran seperti varian tertinggi Winner X Sport ABS.

Honda RS-X boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu Trico Edition (merah), Candy Caribbean Blue Sea dan Lemon Ice Yellow, dengan harga RM8,688. Ia turut hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km.

Dari segi rupa, Honda RS-X menerima cowl badan penuh dengan rekaan aerodinamik, muka depan agresif dengan lampu dwi-LED dan ekor yang tirus. Ekzosnya juga direka seperti motosikal lebih besar, dan menurut Boon Siew Honda, memberikan bunyi menarik.

RS-X dikuasakan oleh enjin 150cc DOHC sejukan cecair yang menghasilkan 15.8hp pada 9,000rpm dan 13.6Nm tork pada 7,000rpm. Enjin Euro 4 ini digandingkan dengan transmisi 6-kelajuan.

Kapcai ini juga hadir dengan beberapa ciri praktikal seperti suis pembuka tempat duduk, rantai bertutup, dan panel meter digital dengan penunjuk gear.

Honda RS-X 2021 ini akan berada di semua pengedar sah tidak lama lagi dan untuk sebarang maklumat lanjut, layari www.boonsiewhonda.com.my.