Arkib Tag: kapcai

AFAZ Kencana Sport 115 rasmi di Malaysia – harga RM5,799

Malaysia kini mempunyai sebuah lagi jenama motosikal baharu, iaitu AFAZ yang merupakan kerjasama antara pihak AFY Mobility Industries dan Suzuki.

Model pertama yang dilancarkan untuk tahun ini ialah AFAZ Kencana Sport 115, sebuah kapcai bersesaran 115 cc dengan harga jualan RM5,799.

Ia hadir dengan enjin silinder tunggal SOHC piawaian Euro4 yang mampu menjana kuasa setinggi 9.1 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 9.0 Nm @ 6,500 rpm yang dipadankan dengan kotak gear empat-kelajuan.

Enjin itu tadi turut mendapat sistem sejukan minyak Suzuki (SOCS).

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik depan diikuti penyerap hentak berkembar KYB di belakang.

Brek pula menggunakan rotor tunggal bersaiz 220 mm di depan, dibantu dengan brek gelendong di belakang.

Antara ciri yang tersedia termasuklah unit lampu LED depan belakang, paparan meter analog yang mudah untuk dibaca, tangki bahan api sebesar 4.2 liter dan tinggi pelana 760 mm.

Dua warna menarik ditawarkan iaitu Delima Red dan Laguna Blue.

Yamaha Y15ZR kini dengan tiga warna baharu, harga dari RM8,998

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan kemaskini penawaran bagi model kapcai Yamaha Y15ZR dengan tiga warna baharu.

Warna yang dimaksudkan ialah Blue Spark, Aqua Violet dan Mecha Green.

Yamaha Y15ZR dengan warna baharu ini sudah tersedia di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 6 November lalu, dengan harga jualan dari RM8,998 tidak termasuk pendaftaran dan insurans.

Spesifikasi asas Yamaha Y15ZR masih kekal dengan nadi silinder tunggal 150 cc sejukan cecair SOHC menghasilkan 15.2 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 13.8 Nm @ 7,000 rpm.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan diikuti dengan lengan ayun di belakang, manakala sistem brek pula menggunakan tetapan rotor tunggal untuk kedua-dua roda.

Y15ZR menawarkan tangki sebesar 4.2 liter dengan tinggi pelana 780 mm.

MODENAS Z15GT 2025 rasmi dilancarkan – harga RM8,288

MODENAS hari ini secara rasmi melancarkan model supermoped yang ditunggu-tunggu ramai – MODENAS Z15GT 2025 untuk pasaran Malaysia.

Ia mendapat enjin silinder tunggal sejukan cecair 149.5 cc yang mampu menjana kuasa 16.8 hp @ 9,500 rpm dan daya kilas 13.5 Nm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi enam-kelajuan.

Z15GT membawakan ukuran sepanjang 1,980 mm, lebar 670 mm, tinggi 1,100 mm dengan jarak antara roda 1,315 mm dan berat sekitar 128 kg.

Kapasiti tangki bahan api pula sebesar 5.7 liter, sementara tinggi pelana pula 780 mm.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, sementara brek pula menggunakan tetapan cakera depan dan belakang.

Cuma sayang sekali, ia hanya hadir dengan bantuan ABS saluran tunggal.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah:

  • sistem pencahayaan LED depan dan belakang termasuk DRL dan lampu membelok
  • lampu kecemasan
  • sistem kunci pintar
  • panel meter instrumen LCD
  • soket pengecasan jenis USB Type-A

Untuk info, MODENAS Z15GT menampilkan DNA Kawasaki dalam rekaannya, terutama elemen Sugomi daripada model Z yang boleh dilihat pada lampu depan serta lampu belakang.

Selain itu, motif ikan arowana juga turut mempengaruhi rekaan Z15GT yang agresif dan aerodinamik, dan dalam masa yang sama mempunyai personaliti yang tersendiri.

Terdapat tiga warna pilihan iaitu Graphite Grey, Nardo Grey dan juga Rosso Red.

Untuk pasaran Malaysia, MODENAS Z15GT 2025 dijual pada harga bermula dari RM8,288.

Honda RS-X Winner Tricolor Edition 2025 – 800 unit, hadir dengan aksesori RCB, harga RM10,298

Boon Siew Honda melancarkan model kapcai RS-X Winner dengan liveri ikonik Honda Tricolor untuk pasaran tempatan bersempena acara Honda Thanks Day baru-baru ini.

Terhad kepada 800 unit sahaja, RS-X Winner Tricolor Edition hadir dengan aksesori RCB seperti berikut:

  • RCB Brake Caliper S-26 Series (30th Anniversary Edition)
  • RCB Handle Grip Nagamaki
  • RCB Lever Guard

 

Setiap pembelian model edisi terhad ini didatangkan dengan jaminan pengeluar dua-tahun atau had perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu), serta jaminan tambahan satu tahun tanpa had perbatuan di bawah kempen Honda X-tend.

Spesifikasi asas masih lagi sama, di mana ia kekal dengan enjin silinder tunggal sejukan cecair 149.2 cc menghasilkan kuasa 15.8 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.6 Nm @ 7,000 rpm.

Transmisi pula adalah jenis enam-kelajuan yang dibantu dengan klac Assist & Slipper.

RS-X Winner menggunakan tetapan fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, sementara brek pula menggunakan sistem cakera hidraulik yang dibantu dengan ABS saluran tunggal.

Tangki bahan api adalah sebesar 4.5 liter sementara tinggi pelana pula 795 mm.

Harga jualan bermula dari RM10,298 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

BSH turut menawarkan warna-warna standard seperti Green, Matte Gray dan Blue dengan harga jualan bermula dari RM9,998, atau warna istimewa Yellow dengan harga jualan RM10,298.

SYM VFE 185i 2025 mendarat di Malaysia – harga RM9,988

Pasaran motosikal Malaysia dihangatkan lagi dengan pelancaran model kapcai berkapasiti tinggi oleh Mforce Bike Holdings, iaitu SYM VFE 185i.

Moped ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 183 cc sejukan cecair yang mampu menghasilkan 19.7 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 17.5 Nm @ 7,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda menerusi transmisi enam-kelajuan serta sistem pacuan akhir jenis rantai.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan (jarak pergerakan 80 mm) dan penyerap hentak tunggal di belakang (jarak pergerakan 32 mm).

Brek pula terdiri daripada rotor bersaiz 250 mm di depan dan rotor 200 mm dibelakang, dibantu dengan sistem ABS dua saluran.

Antara kelengkapan termasuklah rim 17 inci, sistem pencahayaan LED, paparan meter jenis LCD, sistem kunci pintar, serta kehadiran port pengecasan USB Type-A QC 3.0.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 7 liter, sementara tinggi pelana pula 800 mm. Berat keseluruhan cuma 135 kg, menjadikannya mudah untuk dikawal.

Ditawarkan dengan harga RM9,988, VFE 185i ini boleh didapati dalam tiga pilihan warna iaitu putih, hijau dan juga biru.

Modenas Kriss 125 Fi dilancarkan ke pasaran – RM5,620

Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (Modenas) memulakan tahun baru dengan melancarkan Kriss 125 Fi ke pasaran tempatan.

Kapcai itu dijual pada harga RM5,620 tidak termasuk insurans dan cukai jalan, dan boleh di dalam dua warna iaitu Glacier Emerald Green dan Graphite Grey.

‘Nadi’ Kriss 125 Fi adalah enjin satu silinder, empat lejang, dua injap SOHC bersesaran 124 cc yang mampu menjana 8.4 hp pada 8,000 rpm dan 8.5 Nm pada 6,000 rpm.

Menurut Modenas, enjin sejukan udara tersebut menampilkan nisbah mampatan 9.3:1, sistem suntikan bahan api dan boleh dihidupkan secara elektrik atau kick start.

Ia dipadankan dengan transmisi empat kelajuan dan mendapat bekalan bahan api daripada tangki berkapasiti 4.2 liter.

Selain itu, Kriss 125 Fi didatangkan dengan fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar, manakala rim pula berukuran 17 inci yang dibalut tayar bersaiz 70/90 di depan dan 80/90 di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik tunggal berukuran 220 mm yang diapit oleh angkup dua piston untuk bahagian depan, dan dram untuk bahagian belakang.

“Kriss 125 Fi adalah lebih dari sekadar model baru—ia mewakili hasrat Modenas untuk menyediakan solusi mobiliti yang boleh dipercayai, berpatutan, dan efisien yang disesuaikan untuk penunggang dan jalan raya Malaysia. Memasuki segmen ini melambangkan komitmen kami terhadap inovasi dan kepuasan pelanggan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Modenas, Roslan Roskan.

Honda Wave Alpha 2025 tampil dengan empat warna baharu, dari RM5,259

Boon Siew Honda mengumumkan empat warna baharu tersedia untuk motosikal kapcai Honda Wave Alpha 2025, iaitu perak, biru, merah dan juga hitam.

Honda Wave Alpha 2025 ini boleh didapati di semua pengedar Impian X serta pengedar Honda yang sah di seluruh negara bermula 6 Januari 2025.

Harga jualan bermula dari RM5,309 untuk varian berwarna perak, biru dan merah, serta RM5,259 untuk varian berwarna hitam.

Dari segi spesifikasi, Wave Alpha kekal dengan enjin silinder tunggal sejukan udara 109.2 cc berkuasa 8.7 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 8.7 Nm @ 5,500 rpm, dipadankan dengan transmisi 4-kelajuan.

Motosikal ini menggunakan fork hadapan teleskopik, diikuti dengan penyerap hentak berkembar di belakang, sementara sistem brek pula terdiri daripada brek cakera hadapan dan brek dram mekanikal di belakang.

Ia menawarkan tangki bahan api sebesar 4.0 liter, dengan ruang barangan bawah pelana sebesar 7.3 liter, tinggi pelana sekitar 768 mm dan tempat duduk yang lebih lebar.

 

Honda RS150R kini tersedia dengan White Trico, harga RM8,379

Boon Siew Honda mengumumkan kembalinya pilihan warna White Trico untuk model kapcai Honda RS150R, selain dua warna menarik iaitu Matte Blue dan Silver.

Dengan kemas kini terbaharu ini, harga jualan Honda RS150R kini bermula dari RM8,379 atas jalan tidak termasuk insurans – bermakna ia kini lebih mahal RM80 berbanding penawaran terdahulu.

Seperti biasa, aspek mekanikal motosikal ini masih lagi dikekalkan tanpa sebarang perubahan.

Ini bermakna, RS150R masih mengekalkan enjin silinder tunggal 149.2 cc yang mampu menjana kuasa 15.8 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.6 Nm @ 7,000 rpm.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, sementara aspek pemberhentian dibantu oleh sistem brek cakera depan dan belakang.

Ciri lain termasuklah sistem lampu utama LED, tangki bahan api sebesar 4.5 liter serta skrin paparan LCD digital.

MODENAS lancar kempen tukar kapcai dengan Ninja ZX-25R

Syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) melancarkan promosi terbaharu yang menawarkan ganjaran tambahan bernilai RM888 khusus untuk pemilik kapcai yang mahu membeli sportsbike ZX-25R.

Kempen “Next Level Trade-In: Unlock RM888 Extra” itu hanya sah bermula sehingga hujung tahun ini (31 Disember 2024).

Menerusi kempen terbaharu ini, MODENAS akan menambah RM888 ke atas nilai tukar-beli motosikal underbone bersesaran 110cc-200cc) tanpa mengira jenama, dan hanya sah untuk pembelian model ZX-25R SE dan ZX-25RR sahaja.

Para pelanggan perlu melengkapkan proses trade-in motosikal lama dalam tempoh masa yang telah ditetapkan. Motosikal jenis skuter tidak layak untuk menyertai tawaran trade-in terbaharu ini.

Sebagai info, Modenas Ninja ZX-25R dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 249 cc yang mampu menghasilkan kuasa setinggi 51 hp dan 22.9 Nm, dipadankan dengan transmisi enam nisbah kelajuan.

Varian RR pula lebih istimewa kerana ia didatangkan dengan fork hadapan jenis terbalik 37 mm SFF-BP, serta penyerap hentak Showa BFRC lite dengan larasan pra-bebanan.

Yamaha Y15ZR 2024 dapat tiga warna baharu, harga RM8,998

Hong Leong Yamaha Motor mengumumkan kemaskini penawaran model moped popular Yamaha Y15ZR dengan tiga warna menarik.

Tiga warna baharu yang dimaksudkan itu ialah kelabu, biru dan juga cyan, di mana semua pilihan warna itu boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha bermula hari ini (2 Mei 2024).

 

Sama seperti penawaran terdahulu, HLYM masih lagi mengekalkan spesifikasi asas Y15ZR, dengan enjin silinder tunggal 150 cc berkuasa 15.6 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 14.4 Nm @ 6,500 rpm.

Harga jualan Yamaha Y15ZR 2024 juga masih lagi kekal RM8,998, tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans.

Setiap pembelian akan disertakan dengan kunci brek cakera bernilai RM100.

Wanita ini redah 300km setiap minggu cari rezeki di Kuala Lumpur

Seorang penunggang motosikal, Siti Norol Salwani Ismail telah menunggang motosikal hampr  300km setiap minggu agar dapat menjual sayur di Kuala Lumpur demi menanggung anak berusia 10 tahun. 

Wanita berusia 29 tahun itu bertolak dari Changkat Jering ke Kuala Lumpur dan menempuh perjalanan empat jam setiap minggu menggunakan kapcai jenis Honda Dash.

Siti Norol memulakan pengembaraan itu ketika masih seorang ibu tunggal sebagai usaha untuk menanggung anaknya. Walaupun baru sahaja selesai berkahwin untuk kali kedua pada Jumaat, dia berharap dapat meneruskan aktiviti tersebut. 

“Saya terlintas untuk menjual sayuran segar di Kuala Lumpur kerana mudah untuk mendapatkan sayuran tersebut di Changkat Jering dan Bukit Gantang.

“Awalnya agak memenatkan tetapi saya tidak sangka perniagaan kecilan ini akan berjaya,” jelasnya. 

Bagaimanapun, Siti Norol mengakui antara cabaran utama menunggang motosikal sejauh itu setiap minggu adalah cuaca buruk dan tayar pancit. 

Motosikal yang digunakan sebelum ini juga telah rosak namun dia juga telah menggantikan dengan yang baru agar dapat meneruskan perniagaan tersebut. 

“Suami baru saya sangat menyokong perniagaan ini dan dia bercadang untuk membantu saya,” tambah Siti Norol. 

WMoto SM125i dilancarkan pada harga bermula RM5,888

DI SAMPING melancarkan model skuter RT1, MForce Bike Holdings Sdn Bhd selaku pengedar rasmi jenama WMoto di Malaysia turut memperkenalkan motosikal jenis kapcai terbaru iaitu SM125i.

Menguasakan SM125i adalah enjin 123.7 cc silinder tunggal, empat lejang SOHC dengan suntikan bahan api elektronik yang mampu menghasilkan 7.8 hp pada 8,000 rpm dan 8.5 Nm pada 6,000 rpm. Enjin ini dipadankan dengan transmisi empat kelajuan.

Menurut MForce Bike, model ini menggunakan suspensi jenis fork teleskopik di hadapan dan penyerap hentak berkembar di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera di hadapan, manakala bahagian belakang masih menggunakan jenis dram.

Selain itu, SM125i turut didatangkan dengan lampu LED penuh pada bahagian depan dan belakang, serta untuk lampu isyarat membelok. Ia juga dikatakan motosikal kapcai 125 cc pertama yang menggunakan panel meter pelbagai warna.

Ciri-ciri lain yang disertakan termasuk sistem kunci anti-kecurian, soket pengecas dan ruang simpanan di bawah tempat duduk. Motosikal ini mempunyai tangki bahan api berkapasiti empat liter dan berat keseluruhannya adalah 96 kg.

WMoto SM125i boleh didapati dalam tiga warna iaitu Radiant Yellow, Luminous Blue dan Blazing Red. Harga jualannya bermula dari RM5,888 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Ia didatangkan dengan waranti selama dua tahun atau 20,000 km.

Honda RS-X terima empat warna baharu – dari RM9,698

Kapcai popular, Honda RS-X telah dikemas kini dengan pilihan warna baharu bagi tahun 2024. 

Menurut Boon Siew Honda (BSH), RS-X kini hadir dengan empat pilihan warna, bermula dengan Mat Charcoal Grey Metallic (Gold) yang boleh didapati di pasaran bermula 4 Januari diikuti  Candy Scintillate Red, Force Silver Metallic (Red) dan Force Silver Metallic (Blue) yang akan ditawarkan bermula 18 Januari.

Dalam pada itu, Mat Charcoal Grey Metallic (Gold) boleh didapati pada harga RM9,848 manakala Candy Scintillate Red, Force Silver Metallic (Red) dan Force Silver Metallic (Blue) pula akan dijual pada harga RM9,698.

Bagaimanapun, tiada perubahan terhadap spesifikasi enjin dengan model 2024 ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 150cc DOHC dengan 6-kelajuan yang menawarkan 16hp dan 13.6Nm. 

Ini rupa jelas ‘Supermoped’ WMOTO, lancar tak lama lagi

Beberapa minggu ini tular ‘spy shot’ daripada warga media sosial yang memaparkan sebuah motosikal ‘supermoped’ yang sedang menjalani ujian jalan raya di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Terbaru, pemilik akaun Facebook Najwa Syafiqah berjaya merakam gambar jelas motosikal berkenaan di salah sebuah stesen minyak di Gopeng, Perak. 

Didakwa sebagai ‘supermoped’ terbaru dari WMOTO, gambar terbaru itu memberitahu kami beberapa ciri menarik yang ditawarkan.

Pertamanya, motosikal berkenaan hadir dengan pencahayaan LED penuh termasuk lampu hadapan yang seakan diilhamkan daripada Ducati Panigale V4. Lampu hadapan juga dilengkapi dengan ciri DRL (daytime running light). 

Panel meter pula jenis digital penuh dan menunjukkan info yang penuh termasuk paras minyak, suhu enjin, volt bateri, odometer, waktu, dan meter RPM. Tinjauan di bahagian rim pula menunjukkan kehadiran sensor ABS sekaligus merujuk kepada adanya sistem keselamatan ABS. Namun, tidak dipastikan sama ada ABS tersebut adalah satu atau dua saluran. 

Antara ciri lain kelihatan termasuk brek jenis axial di bahagian depan dengan cakera brek tunggal di depan dan belakang serta tork teleksopik.  Transmisi pula jenis manual namun tidak dapat dipastikan jumlah gear yang tersedia. 

Honda RS-X kini dalam warna Trico White Edition, Radiate Gray Metallic

SELEPAS melancarkan Repsol Edition pada Oktober, Boon Siew Honda kini memperkenalkan dua lagi pilihan warna baharu untuk Honda RS-X iaitu Trico White Edition dan Radiate Gray Metallic.

Walaupun tampil lebih segar dengan skema warna baharu, aspek mekanikal RS-X kekal buat masa ini. Ia masih dikuasakan oleh enjin 150 cc DOHC bertaraf Euro 4 yang memberikan kuasa maksimum 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm pada 7,000 rpm.

RS-X menggunakan kerangka tiub berkembar yang dipadankan dengan fork teleskopik di hadapan dan lengan ayun di belakang.

Kapcai ini didatangkan dengan rim 17 inci bersama tayar tanpa tiub bersaiz 90/80 di depan dan 120/70 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik pada bahagian depan dan belakang, berserta ABS.

Selain itu, RS-X juga dilengkapi dengan lampu LED, panel meter digital dan tangki bahan api 4.5 liter. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 122 kg.

RS-X dalam dua warna baharu akan tersedia di semua pengedar sah Honda di seluruh negara mulai hari ini (24 November 2023), pada harga RM9,748 bagi Trico White Edition dan RM9,698 bagi Radiate Gray Metallic.

Yamaha Y15ZR SE tampil dengan kit aero dan warna baharu – RM9,498

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini melancarkan Yamaha Y15ZR SE baharu yang tampil lebih sporty dengan warna menarik serta kit aero.

Model ini boleh didapati di semua wakil pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 15 Ogos 2023, dengan harga jualan bermula dari RM9,498 tidak termasuk pendaftaran dan insurans. Setiap pembelian didatangkan dengan kunci cakera brek bernilai RM100.

Sebagai perbandingan, Y15ZR versi standard yang dilancarkan pada Disember 2022 dijual pada harga RM8,998.

Untuk perbezaan sebanyak RM500 itu, anda mendapat sebuah kapcai yang bergaya dengan kit aero yang merangkumi tiga komponen iaitu visor pada bahagian hadapan, serta skup udara pada bahagian sisi dan ekor.

Selain itu, Y15ZR SE juga didatangkan dengan skema warna baharu yang merangkumi warna biru, merah dan hitam, serta tidak ketinggalan warna emas pada rim.

Untuk enjin, model edisi istimewa ini kekal dengan enjin silinder tunggal SOHC bersesaran 150 cc yang menghasilkan 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 14.4 Nm pada 6,500 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi lima kelajuan.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan lengan ayun di belakang, manakala sistem brek merangkumi cakera hidraulik pada bahagian hadapan dan belakang. Rim yang digunakan adalah berukuran 17 inci.

Ciri-ciri lain termasuk lampu utama LED, meter LCD digital, pemula enjin elektrik, butang passing light dan butang killswitch.

Suzuki Raider R150 Fi kini dalam dua warna menarik – RM8,838

SUZUKI Malaysia telah mengumumkan ketibaan Suzuki Raider R150 Fi versi baharu yang dijual pada harga bermula dari RM8,838 tidak termasuk pendaftaran dan insurans.

Model yang lebih dikenali dengan jolokan Belang ini boleh didapati dalam dua skema warna menarik iaitu Bright Ivory/Titan Black dan Matte Bordeaux Red/Metallic Matte Fibroin Grey.

Dua warna baharu ini menggantikan warna Titan Black dan Metallic Matte Stellar Blue/Titan Black yang ditawarkan semasa ia dilancarkan di Malaysia pada Mac tahun lalu.

Untuk enjin, ia masih lagi dikuasakan oleh enjin empat lejang silinder tunggal bersesaran 147 cc yang menghasilkan 18.2 hp pada 10,000 rpm dan 13.8 Nm pada 8,500 rpm.

Enjin ini dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api dan penyejukan cecair untuk prestasi yang optimum. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan.

Raider R150 Fi dibina menggunakan kerangka Suzuki Advance Twin-Spar yang dipadankan dengan fork teleskopik Showa pada bahagian hadapan dan penyerap hentak monoshock pada bahagian belakang.

Untuk brek pula, ia menggunakan cakera pada bahagian hadapan dan belakang, dengan angkup Nissin dua piston pada bahagian hadapan.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada model ini termasuk lampu LED, panel instrumen LCD dan rekaan rantai tertutup yang dikatakan dapat meningkatkan ketahanannya.

Honda RS150R kini dalam warna Mat Charcoal Gray Metallic – RM8,299

BOON Siew Honda baru-baru ini memperkenalkan pilihan warna baharu untuk Honda RS150R iaitu Mat Charcoal Gray Metallic.

Menurut syarikat itu, RS150R dalam warna baharu itu akan tersedia di semua pengedar Honda sah dan terpilih di seluruh negara mulai 3 Jun 2023, dengan harga bermula RM8,299 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Dilancarkan ke pasaran Malaysia pada Januari 2020, RS150R versi facelift dikuasakan oleh enjin sejukan cecair, silinder tunggal bersesaran 149.2 cc yang mampu menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm.

Enjin itu digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan, klac manual dan pacuan rantai untuk prestasi tunggangan yang baik sama ada di lebuh raya atau di kawasan bandar.

Untuk model berwarna Charcoal Gray Metallic ini, ciri-ciri lain masih sama iaitu lampu depan LED, panel meter digital dan brek cakera pada bahagian depan dan belakang.

Seperti sebelum ini, RS150R didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua  tahun atau 20,000 km.

MODENAS Kriss 110 dipertingkat untuk 2023 – harga dari RM3,917

Motosikal & Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS), anak syarikat DRB-HICOM Berhad, baru-baru ini mengumumkan pelancaran Kriss 110 dan Kriss 110 Disc Brake versi 2023.

 

Moped kegemaran sepanjang zaman itu menerima beberapa ciri baharu termasuk lampu depan yang direka bentuk semula serta port pengecasan USB untuk kemudahan penunggang.

Selain itu, kedua-dua varian juga menerima warna dan skema grafik baharu yang dikemas kini dengan harga mampu milik baharu seperti berikut:

Kriss 110 dikuasakan oleh enjin 108 cc satu silinder, 4 lejang, SOHC yang mampu menghasilkan kuasa maksimum 4.9 kW (6.57 hp) pada 8,000 rpm dan tork maksimum 6.7 Nm pada 6,000 rpm. Model ini diiktiraf sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV).

Untuk sistem suspensi, ia menggunakan fork teleskopik pada bahagian depan dan penyerap hentak berkembar pada bahagian belakang. Sistem brek pula terdiri daripada brek gelendong untuk Kriss 110 dan brek cakera depan untuk Kriss 110 varian Disc Brake.

Kelengkapan lain yang turut disertakan termasuklah  lampu isyarat LED, ruang penyimpanan 6.6 liter, suis lampu kecemasan serta indikator gear dan meter minyak digital.

Kedua-dua model ini didatangkan dalam tiga warna dan akan tiba di semua pengedar sah MODENAS di seluruh negara bermula minggu ini. Setiap pembelian didatangkan dengan waranti selama dua tahun atau 20,000 km.

Yamaha EZ115 dilancarkan sebagai pengganti Lagenda – RM5,598

HONG Leong Yamaha Motor (HLYM) telah pun secara rasminya melancarkan kapcai terbaharu Yamaha EZ115 ke pasaran tempatan.

Tiba sebagai pengganti Lagenda, model ini menjanjikan prestasi yang versatil bagi memenuhi keperluan harian pengguna.

EZ115 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal bersesaran 114 cc yang dilengkapi dengan teknologi suntikan bahan api. Enjin bertaraf EU4 itu menghasilkan 8.7 PS pada 7,000 rpm dan 9.5 Nm pada 5,500 rpm, serta digandingkan dengan transmisi empat kelajuan.

Untuk casis, model ini dilengkapi dengan fork teleskopik pada bahagian hadapan dan di belakang pula, ia menggunakan penyerap hentak berkembar dan lengan ayun.

Rim yang digunakan adalah bersaiz 17 inci, manakala sistem brek pula merangkumi cakera tunggal di hadapan dan gelendong di belakang.

Selain itu, ia juga mempunyai ketinggian pelana 775 mm dan tangki bahan api 3.9 liter untuk perjalanan yang lebih jauh. Berat keseluruhan EZ115 adalah sekitar 98 kg.

Turut disertakan adalah penunjuk ECO pada panel meter dan ruang simpanan di bawah tempat duduk yang boleh diakses dengan menggunakan kunci.

Boleh didapati dalam warna merah, biru dan cyan, EZ115 dijual pada harga bermula dari RM5,598 tidak termasuk pendaftaran dan insurans. Setiap pembelian didatangkan dengan kunci cakera secara percuma.