Arkib Tag: jualan

Jualan kenderaan menurun 0.8% pada Ogos 2024 – MAA

Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengumumkan bahawa bagi tempoh Januari hingga Ogos 2024, industri automotif tempatan mencatatkan jualan sebanyak 533,301 unit iaitu 6% lebih tinggi berbanding 503,783 unit yang dicatatkan bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut persatuan itu, daripada jumlah itu 488,277 unit mewakili kenderaan penumpang, manakala baki 45,024 unit adalah kenderaan komersial, berbanding masing-masing 451,403 unit dan 52,380 unit yang dicatatkan dalam lapan bulan pertama 2023.

Tambah MAA lagi, jualan kenderaan bagi Ogos 2024 bagaimanapun mencatatkan penurunan marginal 0.8% kepada 71,162 unit berbanding 71,730 unit yang dicatatkan pada bulan sebelumnya, namun kekal melebihi 70,000 unit sebulan.

“Bagi perbandingan bulan ke bulan, jualan Ogos menurun berbanding 72,844 unit yang dicatatkan pada Ogos 2023,” kata persatuan itu.

Mengikut pecahan, kenderaan penumpang dan komersial, masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 65,637 unit dan 5,525 unit pada Ogos 2024, lebih rendah berbanding 65,709 unit dan 7,135 unit yang dicatatkan pada Ogos tahun lalu.

Dari aspek pengeluaran pula, sejumlah 73,966 unit kenderaan dihasilkan pada Ogos 2024, lebih tinggi berbanding 67,912 unit pada Ogos 2023.

Kenderaan penumpang mewakili 69,624 unit daripada jumlah pengeluaran keseluruhan pada Ogos, manakala kenderaan komersial pula sebanyak 4,342 unit.

Bagi tempoh Januari hingga Ogos 2024, sejumlah 536,313 unit kenderaan telah dihasilkan, angka yang lebih tinggi berbanding 497,309 unit yang dihasilkan pada tempoh sama tahun lalu.

Ia mewakili 506,374 unit kenderaan penumpang dan 29,939 unit kenderaan komersial.

Jualan Proton lepasi angka 100,000 unit untuk tahun ke-6 berturut-turut

Proton mengumumkan ia menjual 12,690 unit kenderaan (domestik dan eksport) untuk bulan Ogos 2024, menjadikan jumlah jualan setakat ini mencecah 101,489 unit.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, ini merupakan tahun keenam berturut-turut ia berjaya merekodkan jualan melebihi 100,000 unit.

Pencapaian ini membolehkan Proton kedudukan kedua dalam keseluruhan jadual kedudukan jualan automotif nasional dengan bahagian pasaran dianggarkan sebanyak 19%.

Jumlah volum industri (TIV) untuk pasaran automotif Malaysia dianggarkan telah meningkat sebanyak 1.3% bulan ke bulan kepada kira-kira 72,678 unit pada bulan Ogos.

Secara keseluruhan, angka tahun hingga kini (YTD) untuk TIV dianggarkan sebanyak 534,766 unit, bersamaan dengan peningkatan sebanyak 6.2% berbanding tahun 2023.

Proton X50 2024 yang dilancarkan pada Jun lalu mendapat sambutan hangat daripada pembeli dengan 2,440 unit diserahkan pada bulan lalu – kali ketiga jualannya mencecah angka 2,000 pada tahun ini. Jualan YTD kini berjumlah 15,229 unit, menjadikan X50 sebagai SUV paling popular dalam rangkaian Proton.

Jualan Saga pula mencecah 6,211 unit, menjadikan jumlah jualan tahun sehingga kini sebanyak 48,904 unit. Ini adalah peningkatan sebanyak 6.7% berbanding YTD tahun lepas.

Sementara itu, Persona mencatatkan jualan sebanyak 1,452 unit, menjadikan jumlah jualan sehingga kini sebanyak 13,116 unit, manakala Iriz menambah 403 unit kepada volum jualan Ogos, menjadikan jumlah jualan sehingga kini 3,719 unit.

“Memandangkan ekonomi domestik yang berdaya tahan, dengan pertumbuhan KDNK diunjurkan pada 4% hingga 5%, Proton bersetuju dengan keputusan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk meningkatkan unjuran TIV setahun penuh kepada 765,000 unit dan kami kekal optimistik mengenai potensi pertumbuhan lanjut dalam industri automotif tempatan,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Untuk eksport pula, Brunei mencatatkan prestasi jualan bulanan tertinggi dengan 120 unit terjual. Model eksport paling laris ialah Proton Saga, yang sekali lagi mendahului kumpulan model lain dengan 140 unit dieksport pada bulan Ogos.

Model-model lain juga mencatatkan peningkatan dalam penghantaran eksport pada bulan Ogos, menjadikan jumlah keseluruhan jualan eksport Proton kepada pengedar sebanyak 2,110 unit sejak Januari tahun ini.

Proton jual 15,103 unit kenderaan pada Julai, tertinggi sejak September 2022

PROTON mencatatkan permulaan yang kukuh bagi separuh kedua tahun ini dengan jualan mencecah 15,103 unit kenderaan pada bulan Julai (domestik dan eksport).

Angka tersebut adalah yang tertinggi sejak September 2022 dan bersamaan peningkatan sebanyak 37.3% berbanding bulan Jun.

Menurut Proton lagi, jumlah jualan tahun sehingga kini (YTD) adalah sebanyak 88,799 unit, membolehkannya mengekalkan kedudukannya di tempat kedua dalam carta jualan automotif.

Jumlah volum industri (TIV) untuk bulan tersebut dianggarkan sebanyak 73,761 unit, meningkat sebanyak 27.1% berbanding bulan sebelumnya, manakala bahagian pasaran Proton pada bulan Julai telah meningkat kepada 20.5%.

Pertumbuhan jualan Proton pada bulan Julai diterajui oleh Proton Saga dengan 7,855 unit terjual, pencapaian terbaik untuk model tersebut sejak Oktober 2013.

Ini membawa jumlah jualan YTD untuk Saga kepada 42,693 unit, yang merupakan 8.8% lebih tinggi daripada jualan pada tahun 2023.

Model-model lain dari Proton juga mencapai keputusan yang cemerlang. X50 mencatat jualan terbaiknya tahun ini dengan jualan sebanyak 2,585 unit pada Julai, menjadikan jumlah jualan YTD kepada 12,789 unit.

Persona juga mencatatkan jualan terbaiknya untuk tahun 2024 dengan 1,911 unit terjual, menjadikan jumlah jualan YTD sebanyak 11,664 unit.

S70 pula mencatat 1,636 unit jualan pada bulan Julai dan mempunyai jumlah kumulatif YTD sebanyak 12,550 unit.

“Julai telah menjadi bulan jualan terbaik untuk Proton pada tahun 2024 setakat ini, menetapkan arah bagi separuh kedua tahun 2024 yang produktif.

“Proton sedang merangka banyak rancangan yang akan dilaksanakan dalam bulan-bulan akan datang, dimulakan dengan pelancaran Proton X70 2025 pada bulan Ogos. Pada masa yang sama, kerja asas untuk pelancaran model EV pertama Proton juga sedang dijalankan dengan pantas sebagai persediaan untuk pelancaran EV pertama Malaysia,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif , Proton Edar.

Volvo Cars catat untung tertinggi untuk Q2 2024, jualan model EV meningkat 26 peratus

VOLVO Cars mengumumkan bahawa mereka mencatat SEK8.2 bilion (RM3.61 bilion) keuntungan untuk suku kedua 2024. Angka ini merupakan yang tertinggi dalam satu suku dan peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.

Pencapaian ini adalah hasil dari fokus Volvo terhadap disiplin, kawalan kos dalaman, dan pertambahan kukuh jualan.

Jualan kenderaan global meningkat 15 peratus sepanjang suku kedua ini, dengan jumlah keseluruhan 205,400 unit.

48 peratus dari keseluruhan jualan Volvo Cars pada Q2 ini adalah dari kenderan plug-in hybrid (PHEV) dan elektrik sepenuhnya (EV). Jualan EV khususnya meningkat sebanyak 26 peratus.

Volvo EX30

Permintaan tinggi ini adalah dari SUV kecil EX30 yang menjadi antara tiga model terlaris di Eropah. Sementara itu, XC60 terus menjadi PHEV paling laris di Eropah dalam beberapa bulan kebelakangan ini.

”Kami mencatatkan prestasi suku kedua 2024 yang memberangsangkan, menunjukkan kebolehan kami memberikan nilai walaupun dalam keadaan ekonomi dan geopolitik kompleks,” kata Jim Rowan, Chief Executive Volvo Cars.

”Jenama dan nilai kami adalah berkisar dengan keselamatan dan kelestarian, selain pendekatan teknologi unik, terus selari dengan pelanggan,” tambahnya.

Melihat ke depan

Menurut Volvo, tarif dari EU yang memberi kesan kepada EV dari China akan turut memberi kesan kepada EX30.

Walaubagaimanapun, Volvo berkata mereka akan terus mengeluarkan EX30 di kilang Ghent, Belgium sebagai sebahagian dari strategi ”bina dimana kami jual”. Mereka merancang untuk memulakan pengeluaran EX30 di Ghent pada awal 2025.

Kita boleh jangkakan Volvo EX30 juga tiba ke Malaysia sekitar separuh masa pertama 2025 nanti.

Jualan Toyota menurun hampir 10% pada Jun 2024

UMW Toyota Motor (UMWT) telah mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan Jun 2024, di mana syarikat itu mencatat jualan sebanyak 7,600 unit.

Angka itu menunjukkan penurunan sebanyak 9.8% berbanding 8,422 unit yang dicatatkan pada Mei. Dengan pencapaian terbaru ini, angka jualan keseluruhan bagi enam bulan pertama 2024 melonjak kepada 47,000 unit.

Menurut UMWT, ia mencerminkan inisiatif syarikat dan promosi berfokuskan pelanggan yang berjaya. Syarikat itu menyifatkan prestasi jualan pada Jun sebagai sesuatu yang positif, didorong oleh promosi dan fokus pada kepuasan pelanggan dan tanggungjawab sosial.

Datuk Ravindran K., Presiden UMWT berkata,” Kami bersyukur atas kepercayaan yang diberikan oleh pelanggan, yang ditunjukkan menerusi prestasi jualan bulan ini. Amanah ini mengukuhkan komitmen kami kepada masyarakat dan sejajar dengan visi kami untuk ‘Move Your World’.”

Untuk memantapkan lagi pengalaman pembelian, bulan ini UMWT memperkenalkan promosi ‘Peace of Mind with Every Drive’ yang menawarkan pembiayaan sehingga 100% untuk model terpilih.

Selain itu, pelanggan juga boleh menikmati pelbagai penjimatan lain, termasuk promosi bernilai sehingga RM7,500 untuk Yaris, dengan ansuran bulanan serendah RM688.

Program Toyota Service Savers pula menawarkan ansuran bulanan serendah RM31.

Berikutan sambutan hangat terhadap acara Toyota Showroom Weekender yang diadakan pada 13 dan 14 Julai lalu, UMWT berkata ia akan terus mengadakan acara berkenaan setiap bulan.

Proton jual 73,696 unit kenderaan sepanjang enam bulan pertama 2024

PROTON mengumumkan bahawa untuk bulan Jun 2024, ia berjaya menjual sebanyak 10,999 unit kenderaan bagi pasaran domestik dan eksport. Pencapaian itu membolehkan pengeluar kereta nasional itu mengekalkan kedudukan kedua dalam carta jualan automotif.

Jumlah jualan Jun dilihat sedikit lebih rendah berbanding Mei di mana Proton merekodkan jualan sebanyak 12,522 unit. Menurut Proton, jualan untuk bulan lepas terganggu akibat penutupan kilang selama seminggu yang dirancang untuk peningkatan operasi berjadual.

Bagaimanapun, secara keseluruhan syarikat itu mencapai pegangan pegangan pasaran sebanyak 19.1% untuk bulan lalu, sama dengan angka pegangan pasaran tahun sehingga kini (YTD). Jumlah jualan untuk separuh pertama tahun 2024 ditutup pada 73,696 unit.

Menurut syarikat itu lagi,  jumlah volum industri (TIV) untuk Jun dijangka terendah untuk mana-mana bulan tahun ini. Sebanyak 57,700 unit dianggarkan terjual bulan lepas, lebih rendah daripada April yang sebelum ini digelar sebagai bulan terendah akibat cuti perayaan yang panjang.

Walau bagaimanapun, angka TIV untuk enam bulan pertama tahun 2024 dianggarkan sebagai 386,600 unit, hampir 20,000 unit lebih daripada tempoh yang sama pada tahun 2023 ketika TIV mencapai rekod tertinggi yang baru.

Jun merupakan bulan yang sibuk bagi Proton. Selain daripada melancarkan jenama EV e.MAS, ia juga meraikan pelancaran kenderaan ke-5 juta dari barisan pengeluarannya dan melancarkan Proton X50 baharu.

Hasilnya adalah peningkatan serta-merta dalam volum jualan X50 dimana ia kembali ke tangga teratas kelas SUV segmen B dengan 1,711 unit terjual, prestasi terbaiknya dalam tiga bulan.

Satu lagi model yang menjadi peneraju segmennya adalah S70 dengan 1,440 unit dijual pada bulan lalu. Model baharu itu mendahului jualan sedan segmen C setiap bulan pada tahun 2024.

Saga pula mencatatkan jualan sebanyak 5,441 unit, menjadikan jumlah jualan YTD kepada 34,838 unit. Secara purata, lebih daripada 5,800 unit telah dijual setiap bulan, menjadikannya salah satu kenderaan yang terlaris di negara.

“Enam bulan pertama tahun 2024 adalah tempoh konsolidasi bagi Proton kerana kami melabur dalam langkah- langkah strategik yang akan memanfaatkan masa depan kami.

“Jadi, walaupun penutupan kilang memberi kesan jangka pendek terhadap jumlah jualan kami, kecekapan yang diperoleh hasil daripada kerja yang dilakukan akan membantu kami mengejar volum pada separuh kedua tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Volvo S60 akan dihenti jualannya di AS, jualan sendu, beri laluan kepada EX90

VOLVO S60 di Amerika menjadi alternatif yang sepi kepada BMW 3-Series dan Mercedes-Benz C-Class. Kini sedan eksekutif itu tiba ke akhir hayatnya.

Volvo mengesahkan bahawa jualan S60 akan ditamatkan di Amerika Syarikat (AS) selepas 24 tahun, merangkumi tiga generasi.

“Selepas lima tahun Volvo Cars mengakhiri pengeluaran sedan S60 di Ridgeville, South Caroline pada Jun 2024 untuk AS dan beberapa pasaran untuk memberi fokus kepada EX90 serba baharu,” jurucakap Volvo memberitahu Motor1.

Volvo S60 generasi ketiga mula dilancarkan sebagai model tahun 2019 dan dikeluarkan di fasiliti South Carolina. Beberapa varian ditawarkan sepanjang pengeluaran, dari versi asas T5 berkuasa 252hp hinggalah model prestasi Polestar Engineered.

Berbanding pesaing-pesaingnya, jualan Volvo S60 agak sendu di AS. Jualannya tidak pernah melebihi 20,000 unit setahun. Secara purata ia dijual sekitar 10,000 hingga 12,000 unit setahun.

Sebagai perbandingan, BMW dan Mercedes masing-masing menjual 33,000 unit 3-Series dan C-Class tahun lepas.

Pada masa yang sama, penamatan Volvo S60 diharapkan membuka ruang kepada lebih banyak keuntungan buat Volvo apabila mereka memperkenalkan EX90 nanti.

EX90 ialah SUV elektrik sepenuhnya (EV) tiga-baris pertama Volvo, dibekalkan dengan bateri 111kWh dengan output 496hp dan jarak pemanduan sehingga 480km.

Jualan UMW Toyota cecah 8,422 unit pada Mei

UMW Toyota menutup tirai bulan Mei 2024 dengan prestasi jualan positif, mencapai jualan sebanyak 8,422 unit bagi kenderaan jenama Toyota dan Lexus.

Dengan pencapaian itu, jualan bagi lima bulan pertama tahun ini kini berjumlah 39,211 unit.

Presiden UMWT, Datuk Ravindran K. berkata, prestasi kukuh pada bulan Mei menyerlahkan komitmen mereka untuk menyediakan kenderaan dan perkhidmatan luar biasa yang memenuhi pelbagai keperluan pelanggan.

“Kejayaan program komuniti mengukuhkan dedikasi kami terhadap kemampanan alam sekitar dan tanggungjawab sosial, mengukuhkan peranan kami sebagai peneraju dalam industri automotif dan merangkumi falsafah ‘Gerakan Dunia Anda’ kami,” katanya.

Komitmen UMWT terhadap komuniti dan kemampanan alam sekitar ditunjukkan menerusi program Toyota Eco Youth (TEY) ke-23 yang dilancarkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan.

Program peringkat nasional ini memperkasakan pelajar berumur 13 hingga 17 tahun dari 16 sekolah di seluruh negara, memfokuskan kepada Kaedah 8 Langkah Penyelesaian Masalah (PSM) Toyota untuk menggalakkan pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah.

Sejak penubuhannya pada 2001, TEY telah melibatkan lebih 300,000 pelajar dari 521 sekolah, memupuk legasi penjagaan alam sekitar.

Selain itu, UMWT turut mengumumkan Toyota Start Your Impossible Outrun 2024, sebuah acara larian amal bertujuan untuk meningkatkan kesedaran mengenai kanser.

Bakal diadakan di Dataran Merdeka, acara tahunan ini menyokong Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) melalui dana yang dikumpul.

Di samping itu, UMWT turut memperkenalkan promosi “Peace of Mind” bagi bulan Jun 2024 yang menawarkan pembiayaan sehingga 100% bagi model terpilih.

Pelanggan juga boleh menikmati penjimatan sehingga RM7,500 untuk Yaris baharu, serta ansuran bulanan serendah RM688 untuk Vios. Program Toyota Service Savers pula menawarkan ansuran bulanan bermula dari RM31.

Perodua mahu perluas pasaran eksport Alza dan Axia ke Brunei, sasar kenaikan jualan pasaran asing 79 peratus

PERODUA pada 3 Mei lepas  telah memperkenalkan Alza AV dan H serta Axia AV dan G ke Brunei dengan sasaran jualan masing-masing sebanyak 120 unit serta 40 unit.

Syarikat itu juga akan meningkatkan jualan eksport tahun ini sebanyak 79 peratus kepada 1,960 unit berbanding 1,094 unit pada tahun 2023. Ini berikutan sasaran yang dibuat oleh syarikat kereta kompak itu untuk meluaskan pasaran luar negaranya.

Di samping itu, Perodua turut mengeksport model Bezza 1.0L G ke Brunei dengan jangkaan jualan sebanyak 300 unit, menjadikan jumlah sasaran keseluruhan jualan tahun 2024 di negara berkenaan sebanyak 460 unit.

Pada tahun 2023, Perodua telah mencatat jualan sebanyak 300 unit Bezza 1.0L G ke Brunei, menjadikannya pasaran eksport terbesar syarikat berkenaan pada tahun lalu.

“Kami menjangkakan tahun 2024 akan menjadi tahun pertama pengembangan pasaran eksport kami kerana kami kini berada di tahap yang mana ekosistem automotif Malaysia sudah mampu untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat terhadap kenderaan kami, sama ada di dalam mahupun di luar negara,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Sri Zainal Abidin Ahmad.

Beliau menjangka pertumbuhan yang berterusan di dalam pasaran eksport Perodua berikutan pengembangan agresif yang dijalankan oleh syarikat berkenaan di dalam operasinya di samping keupayaan pengeluaran para pembekalnya.

“Brunei adalah pasaran eksport pertama dipilih bagi tujuan pengembangan operasi tanpa menjejaskan peruntukan domestik kenderaan kami.

“Malah, kami telah berjaya mengurangkan tempoh menunggu untuk semua model popular kami dan mempunyai stok tersedia bagi sesetengah model kenderaan.

“Di samping itu, sasaran kami untuk meningkatkan pasaran eksport juga akan memberikan peluang yang lebih besar kepada para pembekal kami untuk turut sama meningkatkan jumlah jualan mereka selaras dengan keperluan bagi komponen alat ganti,” kata Dato’ Sri Zainal.

Berikut adalah harga model-model Perodua yang dijual di Brunei:

Alza AV – B$30,900 (RM108,510)
Alza H – B$27,900 (RM97,975)
Axia AV – B$21,900 (76,905)
Axia G – B$17,900 (RM62,859)
Bezza 1.0L G – B$16,900 (RM59,347)

Kesemua harga yang disenaraikan adalah termasuk cukai jalan dan insurans.

Jualan Proton meningkat 17.1% pada April

PROTON telah mengumumkan prestasi jualannya untuk bulan April 2023, yang menyaksikan pengeluar kereta nasional itu merekodkan jualan sebanyak 11,025 unit untuk pasaran domestik dan eksport.

Angka tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 17.1% berbanding 9,415 unit yang dicapai pada April tahun lalu.

Selain itu, jualan bagi empat bulan pertama tahun 2024 juga meningkat kepada 50,175 unit, lebih tinggi daripada 49,702 unit yang terjual dari Januari hingga April 2023.

Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) bagi pasaran automotif Malaysia juga meningkat kepada anggaran 59,100 unit untuk tempoh yang sama, dengan jumlah kumulatif sebanyak 261,345 unit bagi tahun ini.

Pegangan pasaran Proton dianggarkan pada 18.7% pada bulan April, manakala pegangan pasaran dalam tahun ini dijangka pada 19.2%, mengekalkan kedudukan kedua dalam tangga jualan automotif negara.

Menurut Proton, X50 mencapai jualan sebanyak 1,642 unit pada bulan April, sekali gus membolehkan model itu mendahului semula jualan SUV segmen B.

 

Sementara itu, S70 terus menerajui jualan sedan segmen C dengan 1,635 unit terjual pada bulan lalu. Ini melonjakkan jualan kumulatif sedan itu kepada 7,463 unit.

Saga pula kekal sebagai model Proton terlaris dengan merekodkan jualan sebanyak 5,031 unit pada April, dengan jualan awal tahun sehingga kini meningkat 8.8% kepada 23,278 unit.

X70 mencapai 552 unit, manakala Persona dan X90 masing-masing mencatatkan jualan sebanyak 1,429 unit dan 312 unit. Iriz menambah 424 unit kepada jumlah jualan April.

“Penurunan dalam jualan automotif pada bulan April, di mana TIV menyusut sebanyak 16.8% berbanding Mac
2024, mungkin disebabkan oleh tempoh cuti panjang sambutan Hari Raya Aidilfitri, di mana OEM, pengedar, dan
pengusaha dalam ekosistem automotif tempatan lain tidak beroperasi sempena cuti,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Jualan eksport pula menyaksikan peningkatan sebanyak 38.5% kepada 835 unit berbanding 603 unit yang didaftarkan dalam tempoh yang sama tahun lalu.

Mendahului carta jualan eksport adalah Saga dengan 427 unit terjual sejak awal tahun, diikuti dengan X50 dengan 176 unit dan S70 dengan 89 unit dalam pasaran eksport tunggalnya iaitu Brunei.

Pengeluaran dan jualan kereta di Malaysia untuk 2024 menurun berbanding 2023

PENGELUARAN dan jualan kenderaan di Malaysia rata-ratanya menurun bagi segmen kenderaan penumpang dan komersial.

Kenderaan penumpang

Menurut laporan yang disiarkan oleh Malaysian Automotive Association (MAA) hari ini, pengeluaran kenderaan penumpang bagi bulan Mac 2024 adalah sebanyak 63,778 unit, penuruan sebanyak 11 peratus berbanding 71,731 unit pada bulan sama tahun lepas.

Jualan kenderaan penumpang pula adalah 64,760 unit untuk Mac 2024, berbanding 70,940 unit pada Mac 2023, bersamaan penurunan sebanyak sembilan peratus.

Pengeluaran year-to-date setakat ini bagi 2024 pula adalah 199,199 unit, peningkatan tujuh peratus berbanding 186,237 unit dari Januari hingga Mac 2023.

Jualan kenderaan penumpang juga meningkat tujuh peratus secara keseluruhan year-to-date, iaitu 184,994 unit berbanding 171,964 unit.

Kenderaan komersial

Sementara itu, untuk kategori kenderaan komersial pula, pengeluaran pada Mac 2024 hanyalah sebanyak 3,145 unit, penururan 28 peratus berbanding 4,338 unit pada bulan sama 2023.

Jualan juga menurun 21 peratus, iaitu 6,292 unit pada Mac tahun ini berbanding 7,941 unit pada Mac 2023.

Pengeluaran year-to-date kenderaan komersial menurun lapan peratus, iaitu 11,232 unit untuk tiga bulan pertama 2024 berbanding 12,157 unit tahun lepas.

Jualan untuk suku pertama 2024 juga menurun sebanyak 16 peratus, iaitu 17,251 unit berbanding 20,651 pada 2023.

Menurut MAA, jumlah keseluruhan industri (TIV) untuk Mac 2024 meningkat 10 peratus berbanding Februari 2024.

Ini disebabkan pengeluar-pengeluar bergegas mahu menutup tahun kewangan mereka pada 31 Mac 2024, selain kempen serta promosi sempena Hari Raya.

MAA menjangkakan jualan kenderaan pada April 2024 ini lebih rendah memandangkan bilangan hari bekerja yang lebih rendah disebabkan cuti musim perayaan.

Nombor plat hijau punya pasal, jualan kereta mewah merosot di Korea

JUALAN kenderaan berjenama mewah seperti Bentley, Porsche dan Rolls-Royce dilaporkan jatuh merudum di Korea Selatan.

Ini bukan disebabkan rakyat di sana sudah tidak mampu tetapi peraturan penggunaan nombor plat berwarna hijau untuk kereta syarikat membuatkan ramai tidak senang duduk.

Menurut laporan Korea Times, peraturan itu dikuatkuasakan awal tahun ini oleh Kementerian Tanah, Infrastruktur dan Pengangkutan bagi menghalang pemilik perniagaan daripada membeli supercar sebagai kenderaan syarikat untuk mengelak daripada membayar cukai.

Di bawah peraturan itu, semua kereta syarikat berharga lebih 80 juta won (RM276,850) dikehendaki menggunakan plat nombor pendaftaran berwarna hijau untuk membezakannya dengan kenderaan persendirian.

Laporan itu berkata, pembeli nampaknya tidak senang duduk kerana orang akan mengetahui kereta mewah yang mereka pandu itu sebenarnya bukan milik mereka. Bukan itu sahaja, plat hijau itu juga akan menarik perhatian pegawai cukai.

Kesan peraturan plat hijau ke atas jualan kereta mewah dan eksotik sangat ketara. Sebagai contoh, pendaftaran kenderaan Bentley di Korea merosot 77% untuk tiga bulan pertama 2024 berbanding tempoh sama tahun lalu.

Jualan Rolls-Royce dan Porsche masing-masing jatuh 35% dan 23%, manakala jualan Lamborghini turun 22 peratus dari Januari hingga Mac.

Menurut Korea Times lagi, tahun lalu kereta syarikat menyumbang 40% kepada jumlah keseluruhan pendaftaran tahun lalu namun tahun ini, angka tersebut turun kepada 28%.

Namun ada pengeluar yang mengatakan kemerosotan jualan itu berpunca daripada faktor ekonomi.

“Memandangkan ekonomi tidak menunjukkan tanda-tanda pemulihan segera, permintaan untuk kenderaan mahal merosot,” kata seorang eksekutif yang tidak dinamakan.

 

Proton catat jualan 12,666 unit pada Mac, 39,150 unit bagi Q1 2024

PROTON mengakhiri bulan Mac dengan catatan jualan sebanyak 12,666 unit bagi pasaran domestik dan eksport, sekali gus melonjakkan angka jualan suku pertama kepada 39,150 unit.

Setelah mencatat rekod jualan baharu pada tahun 2023, jumlah volum industri (TIV) untuk pasaran automotif Malaysia dianggarkan berjumlah 202,492 unit untuk tiga bulan pertama tahun 2024, bersamaan dengan pertumbuhan 5.1%.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, pegangan pasarannya dianggarkan pada 19.3%, kedua tertinggi di antara semua jenama automotif.

Saga membuktikan ia masih mendapat permintaan kukuh dengan 18,247 unit terjual pada tiga bulan pertama tahun ini, prestasi suku pertama tertingginya dalam 12 tahun.

Pada bulan Mac, 5,906 unit Saga berjaya dijual termasuk 93 unit untuk pasaran eksport, meletakkan model itu di tempat kedua dalam pasaran sedan segmen A.

Sementara itu, sebanyak 2,072 unit S70 telah dijual (termasuk 35 unit untuk pasaran eksport) pada bulan lalu, menjadikan jumlah jualan bagi suku pertama 5,828 unit.

Bagi model-model SUV pula, bulan Mac menyaksikan X50 mencapai jualan sebanyak 1,626 unit, manakala X70 mencatat 603 unit, menunjukkan peningkatan sebanyak 35.5% berbanding bulan sebelumnya.

X90, yang juga merupakan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) pertama Proton, mengekalkan kedudukan kukuhnya di
pasaran SUV segmen D dengan 326 unit diserahkan kepada pelanggan pada bulan Mac.

Persona dan Iriz pula masing-masing merekodkan jualan sebanyak 1,665 unit dan 468 unit pada bulan Mac. Ini menjadikan jumlah jualan suku pertama meningkat kepada 5,370 unit bagi Persona dan 1,534 unit bagi Iriz.

“Suku pertama tahun 2024 berakhir secara positif untuk Proton. Tanpa faktor luaran yang meggalakkan pertumbuhan jualan tahun ini, angka yang dicapai menawarkan bacaan permintaan pasaran yang lebih tepat. Industri automotif di Malaysia terus rancak dan ini terbukti dengan pertumbuhan keseluruhan dalam TIV,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

UMW Toyota Motor jual 9,688 unit kenderaan pada Mac

UMW Toyota Motor (UMWT) menutup tirai Mac 2024 dengan jualan sebanyak 9,688 unit iaitu 9,471 unit bagi kenderaan jenama Toyota dan 217 unit bagi Lexus.

Dengan pencapaian positif ini, jualan tahunan (YTD) UMWT setakat ini telah mencecah 23,444 unit.

Dalam menuju ke arah mobiliti mampan, UMWT baru-baru ini menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan menyerahkan sebuah sedan yang dikuasakan hidrogen iaitu Toyota Mirai.

Inisiatif ini adalah sebahagian daripada komitmen lebih meluas terhadap neutraliti karbon, sejajar dengan
Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).

Menurut UMWT, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim berpeluang memandu uji Toyota Mirai tersebut bersama dengan Menteri MOSTI, Chang Lih Kang.

Presiden UMWT, Datuk Ravindran K. berkata pihaknya percaya dalam menawarkan pelbagai pilihan ke arah neutraliti karbon, di mana pihaknya menawarkan penyelesaian elektrifikasi berbeza termasuk tenaga alternatif yang lebih bersih.

“Peranan kami melangkaui pengilangan, kami melihat diri kami sebagai rakan dalam perjalanan Malaysia ke arah masa depan yang mampan dan mesra alam. Kami komited untuk terus memupuk dunia yang lebih mampan, hijau dan terhubung, sejajar dengan slogan ‘Move Your World’ kami,” tambah beliau.

Dalam sektor komersial, UMWT baru-baru ini melancarkan Toyota HiAce Panel Van 3.0L baharu yang hadir dengan pelbagai ciri menarik termasuk enjin turbodiesel yang menghasilkan 136 PS/300 Nm, serta ruang barangan sepanjang 2.9 meter.

Selain itu, UMWT juga telah membuka tempahan untuk Toyota HiAce Super Long Wheelbase (SLWB) yang menawarkan ruang yang lebih luas untuk penumpang dan kargo. Ia dikuasakan oleh enjin turbodiesel 2.7-liter yang mampu menjana kuasa sebanyak 177 PS dan 450 Nm.

Sempena sambutan Hari Raya, syarikat itu memperkenalkan promosi “Kegembiraan Aidilfitri Bersama Toyota” bagi bulan April 2024 yang menawarkan pembiayaan sehingga 100% untuk model terpilih. Penjimatan sehingga RM7,500 untuk Yaris turut ditawarkan.

Permintaan EV makin perlahan di AS, pengeluar mula tambah penawaran hibrid

JUALAN kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) di Amerika Syarikat (AS) kian perlahan manakala permintaan hibrid meningkat, kini pengeluar dan pembekal akan meningkatkan pengeluaran kenderaan hibrid.

Jualan hibrid di AS meningkat lima kali lebih pantas berbanding EV pada Februari, kata Morgan Stanley. Versi plug-in hybrid (PHEV) untuk Jeep Wrangler SUV mewakili separuh jualan Wrangler di AS pada separuh kedua 2023, meningkat dari 37 peratus pada enam bulan sebelumnya.

Ford juga mencatatkan trend sama, dimana jualan hibrid meningkat hampir 37 peratus untuk dua bulan pertama tahun ini – dibantu oleh permintaan terhadap trak Maverick yang bermula pada USD25,315.

Maverick hibrid mewakili separuh dari keseluruhan jualan model itu, malah pengedar berkata mereka boleh menjual lebih jika Ford mampu mengeluarkan lebih banyak model itu.

Peralihan ke arah hibrid ini berlawanan dengan polisi pro-EV yang dibawa oleh pentadbiran Biden serta kumpulan-kumpulan alam sekitar yang mahu pengeluar menghentikan jualan kenderaan ICE (enjin pembakaran dalaman).

White House pula dijangkan mengeluarkan standard pelepasan CO2 baharu pada bulan ini bagi memaksa pengeluar menawarkan kenderaan EV sehingga 60 peratus menjelang 2030.

Menurut para penganalisis, kebanyakan pengeluar legasi (lama) mencatatkan kerugian dengan EV, menjadikan hibrid suatu penyelesaian lebih menguntungkan dalam misi mengurangkan pelepasan karbon.

Proton jual 13,602 unit kenderaan pada Februari, S70 terus laris

PROTON telah mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan Februari 2024, di mana pengeluar kenderaan nasional itu menjual 13,602 unit kenderaan bagi pasaran domestik dan eksport.

Jumlah jualan untuk dua bulan pertama itu meningkat kepada 26,484 unit, iaitu 3% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.

Menurut Proton, pencapaian ini patut diberi perhatian kerana jualan automotif secara tradisinya lebih perlahan pada awal tahun selepas dorongan jualan akhir tahun pada bulan Disember.

Selepas dua bulan pertama tahun 2024, jumlah volum industri (TIV) dianggarkan meningkat sebanyak 13.8% setakat ini kepada 129,353 unit kerana kemasukan jenama baharu bagi pasaran kenderaan tradisional dan EV.

Sementara itu, pegangan pasaran Proton diramalkan berada pada 20.5%, meletakkannya di tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan jualan automotif nasional.

Bagi prestasi jualan setiap model, S70 mendapat sambutan daripada pembeli dalam pasaran domestik dan antarabangsa. Hasilnya, jualan sedan itu meningkat 60.5% kepada 2,314 unit pada bulan Februari.

Saga, yang memasuki tahun ke-39 pengeluarannya, kekal sebagai model terlaris Proton dengan 6,212 unit terjual pada bulan lalu. Ini menjadikan jumlah jualan terkumpul untuk dua bulan pertama 2024 adalah 12,341 unit, 10.9% lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.

Persona dan X90 turut menerajui kategori masing-masing dengan catatan jualan sebanyak 1,859 unit bagi sedan segmen B itu dan 374 unit bagi SUV itu.

X50 pula berada di tempat kedua dalam kategori SUV segmen B dengan merekodkan jualan sebanyak 1,816 unit. Jualan X70 meningkat 19.6% kepada 445 unit, manakala jualan Iriz bertambah 3.8% kepada 543 unit.

Akhir sekali, sebanyak 39 unit Exora berjaya dijual pada bulan lalu walaupun pengeluarannya telah pun ditamatkan. Sehingga kini, lebih 194,250 unit telah dijual menjadikannya MPV segmen-C dengan jualan paling tinggi dalam sejarah automotif Malaysia.

EON & Sahabat Autofest 2024 tawar jualan pelbagai jenama kereta, 1-3 Mac 2024

EON & Sahabat Autofest 2024 dirasmikan hari ini, berlangsung di ibu pejabat EON di Glenmarie.

Acara jualan itu adalah bersempena dengan ulang tahun EON yang ke-40 tahun ini, dan akan diadakan bermula hari ini, Jumaat, 1 Mac hingga hujung minggu ini, 3 Mac 2024. Ia dibuka dari 10 pagi hingga 6 petang.

CEO EON, Akkbar Danial berkata: “Kami telah menyerahkan kereta kepada rakyat Malaysia selama empat dekad. Sepanjang tempoh itu, kami telah berevolusi dari pengedar eksklusif Proton sehingga hari ini – pengedar pelbagai jenama terbesar di Malaysia, bawah satu bumbung.”

“EON & Sahabat Autofest 2024 dengan pelbagai diskaun dan pakej menarik adalah cara kami mengucapkan terima kasih kepada semua pelanggan dan penyokong kami,” katanya.

Di acara Autofest ini, anda akan disajikan dengan pameran dan jualan jenama-jenama di bawah EON seperti Proton, Volkswagen, Mitsubishi, smart, Audi, Isuzu, Honda, Daihatsu, dan Kawasaki (Modenas).

Anda juga berpeluang memandu uji dan tunggang uji model-model terpilih, kemudian jika berkenan, boleh terus buat tempahan.

Wakil-wakil seperti Avis, Petromin, Pos Malaysia, Puspakom, dan DRB-Hicom University of Automobile Malaysia juga ada membuat pameran.

Semasa hari pelancaran pagi tadi, EON memperkenalkan platform pembiayaan digital mereka, iaitu EON Capital. Ia menawarkan kelulusan pinjaman dan pembiayaan dengan pantas dari pihak bank.

Tidak dilupakan, bagi anda yang membuat tempahan dan memohon pembiayaan melalui platform digital EON semasa hari carnival sehingga 3 Mac ini, akan berpeluang memenangi pelbagai hadiah berjumlah RM100,000. Hadiah utama adalah sebuah Proton S70 baharu.

Pelbagai jualan dan pameran lagi turut diadakan seperti Bazaar Raya, makanan, penampilan selebriti, dan zon kanak-kanak.

Isuzu catat jualan memberangsangkan untuk 2023, no.1 untuk segmen trak

ISUZU Malaysia sekali lagi merekodkan prestasi luar biasa dengan mencatatkan jualan trak paling tinggi berbanding jenama-jenama lain bagi tahun 2023.

Pencapaian itu meletakkan Isuzu di kedudukan No. 1 dalam segmen trak secara keseluruhan selama 10 tahun berturut-turut serta jenama trak tugas ringan (light duty) selama 14 tahun berturut-turut di Malaysia.

Kedudukan pasaran terkemuka Isuzu diperkukuhkan dengan pretasi jualan keseluruhan sebanyak 7,209 unit, termasuk trak ringan, sederhana, dan berat untuk tahun lalu. Ini mewakili 44.9 peratus pegangan pasaran segmen trak keseluruhan di Malaysia.

Sementara itu, segmen trak ringannya mencatatkan jualan sebanyak 6,864 unit, adalah merupakan jualan tertinggi di Malaysia untuk segmen itu.

Isuzu Malaysia mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.7 peratus berbanding tahun kewangan terdahulu, sekaligus membuktikan satu perkembangan yang positif berterusan daripada Isuzu Malaysia.

Dari segi jualan pula, Isuzu Malaysia memperoleh pertumbuhan positif sebanyak 11 peratus dalam segmen trak sederhana, trak berat, dan prime mover untuk 2023.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, “Kami sangat berbesar hati kerana berjaya mencapai kejayaan luar biasa ini untuk sekali lagi menjadi jenama trak paling laris di Malaysia. Mengekalkan kejayaan selama lebih sedekad ini sudah pasti melangkaui jangkaan kami.

“Pada masa yang sama, kami sangat teruja apabila mengetahui bahawa penguasaan berterusan di pasaran jelas menunjukkan komitmen Isuzu Malaysia yang menawarkan rangkaian trak paling luas dan termaju kepada para pelanggan, meskipun terpaksa mengharungi perubahan landskap industri.”

“Faktor kestabilan ekonomi dan juga pemulihan rantaian bekalan telah menyumbang kepada peningkatan positif pasaran kenderaan komersial, terutama dalam segmen trak tugas ringan. Prestasi positif ini menyerlahkan lagi kehadiran kami di pasaran ini,” tambah Okazoe.

Proton jual 12,882 unit kenderaan pada Januari 2024

PROTON telah mengumumkan prestasi jualan bagi bulan Januari 2024, yang menyaksikan mereka berjaya menjual sebanyak 12,882 unit kenderaan bagi pasaran domestik dan eksport.

Menurut pengeluar kereta nasional itu, ia merupakan permulaan tahun terbaiknya sejak 2013. Angka berkenaan menunjukkan peningkatan sebanyak 1.3% berbanding bulan Disember 2023 dan 10.3% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Sementara itu, pegangan pasaran syarikat bagi bulan Januari dianggarkan sebanyak 19.5%, iaitu 3.3% lebih tinggi berbanding bulan sebelumnya.

Jumlah Volum Industri (TIV) dianggarkan sebanyak 66,134 unit, yang bersamaan dengan penurunan sebanyak 15.6% berbanding bulan Disember, di mana jumlah itu meningkat akibat dorongan jualan kenderaan akhir tahun yang lebih tinggi untuk penutupan tahun 2023.

Melihat kepada pecahan mengikut model, Saga mengekalkan popularitinya dengan 6,129 unit dijual, diikuti dengan SUV paling popular di Malaysia iaitu X50 dengan 2,002 unit dan pendahulu sedan segmen B iaitu Persona dengan 1,846 unit.

Di tangga keempat adalah model terbaharu Proton iaitu S70, yang merekodkan jualan sebanyak 1,442 unit pada bulan lalu. Sedan itu kini mempunyai lebih 8,000 tempahan, mencerminkan permintaan kukuh dan positif yang diterima daripada pelanggan.

Bukan itu sahaja, S70 telah memasuki pasaran eksport pertamanya di Brunei, apabila 15 unit telah dihantar sebelum pelancaran rasminya di sana pada bulan Februari.

Model teratas Proton iaitu X90 turut mencatatkan prestasi yang baik dengan 365 unit berjaya dijual bulan lalu, membolehkan ia kekal sebagai peneraju pasaran SUV segmen D.

Proton Commerce beri 27,288 pinjaman pada 2023, angka tertinggi sejak ditubuhkan

TAHUN 2023 menandakan tahun kejayaan bagi Proton dengan jualan terkumpul melonjak kepada 154,611 unit, menandakan angka jualan tertinggi syarikat itu sejak 2012.

Pencapaian itu juga membolehkan pengeluar kenderaan nasional itu mengekalkan kedudukannya sebagai jenama kedua tertinggi dalam industri automotif negara.

Sejajar dengan itu, cabang pembiayaan Proton iaitu Proton Commerce Sdn Bhd turut mendapat manfaat daripada pertumbuhan dalam jualan dengan mencapai jumlah pengeluaran pinjaman yang tertinggi.

Sepanjang tahun lalu, Proton Commerce mengeluarkan sejumlah 27,288 pinjaman kepada pembeli Proton, iaitu satu jumlah pengeluaran tertinggi yang direkodkan sejak penubuhannya.

Lapan daripada dua belas bulan menyaksikan lebih daripada 2,000 pengeluaran, dengan pencapaian bulan Mac tertinggi iaitu sebanyak 2,934.

Menurut syarikat itu, angka berkenaan dicapai kerana menghantar tempahan yang dibuat dalam tempoh insentif PENJANA.

Mooi Fi Phang, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Commerce berkata, pegangan pasaran tahunan syarikat telah menunjukkan trajektori menaik yang stabil dengan peningkatan daripada 9 peratus pada 2018 kepada 18 peratus menjelang akhir tahun 2023.

“Dalam bulan Januari dan Mac 2023, kedudukan pasaran kami patut diberi perhatian, meletakkan kami sebagai entiti kedua terbesar dari segi pegangan pasaran dalam tempoh ini,” katanya lagi.

Untuk tahun 2024, Proton Commerce menyasarkan untuk mencapai prestasi lebih tinggi sebagai sebahagian daripada usahanya untuk menjadi pembiaya nombor satu kenderaan Proton.

Memandangkan 2024 menandakan Ulang Tahun ke-20 Proton Commerce, syarikat telah menyediakan pelan strategik untuk meningkatkan perniagaannya ke tahap yang lebih tinggi.

“Di samping menjaminkan kadar faedah yang ditawarkan pada masa kelulusan, kami juga akan menawarkan pakej kewangan yang kompetitif untuk model terbaharu Proton seperti X90 dan S70 sambil juga menghubungi pelanggan EV yang berminat untuk membeli smart #1” kata Mooi.

“Dengan pembiayaan kadar tetap kami, pelanggan boleh yakin dengan pembayaran bulanan yang konsisten, memberikan kemudahan kepada mereka yang menunggu kenderaan Proton mereka dan memudahkan pengurusan bajet yang lebih baik,” tambahnya lagi.