Arkib Tag: jualan

Perodua tingkatkan sasaran 240,000 unit untuk 2022, rancang eksport kereta terpakai ke luar negara

PERODUA kini dalam landasan untuk melepasi sasaran 200,000 unit jualan bagi tahun 2021. Kini mereka meningkatkan sasaran kepada 240,000 unit untuk 2022, iaitu tambahan 20 peratus dari tahun ini.

Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata angka 240,000 itu adalah jangkaan awal namun mereka akan berkongsi ramalan lebih tepat pada Januari 2022 depan.

Presiden dan CEO Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad

Menurut Dato’ Zainal, tahun 2021 merupakan ‘tahun paling mencabar setakat ini’ dan 2022 dijangkakan menjadi ‘tahun pemulihan’.

“Kami percaya perkara buruk telah berlalu (lockdown berkaitan Covid-19) dan insya-Allah, walaupun ada risiko lain dalam pasaran, kami melihat 2022 sebagai tahun pemulihan,” katanya kepada para media dalam sesi pandu uji Myvi facelift di Johor Bahru.

“Jualan kenderaan dijangka meningkat dalam tempoh enam bulan pertama 2022 kerana pembeli mahu mendapat manfaat dari insentif pengecualian cukai oleh kerajaan,” katanya.

Angka 240,000 sebenarnya sasaran jualan Perodua untuk 2020 sebelum berlakunya Covid-19 dan memaksa mereka mengubah semula sasaran kepada 210,000.

Sasaran sama ditetapkan untuk 2021, tetapi masalah lain pula berlaku seperti lockdown dan isu-isu bekalan komponen menyebabkan angka sasaran diturunkan kepada 214,000.

Mungkin mereka dapat mencapai 240,000 untuk 2022? Sama-sama kita lihat.

Eksport kereta terpakai ke luar negara

Jadi, dengan sasaran jualan yang tinggi dan menjadi antara jenama paling popular di Malaysia, sudah tentu terdapat lambakan kenderaan Perodua di sini.

Bagi membolehkan pelanggan menaik taraf atau menukar kereta lama mereka kepada kenderaan baharu, Perodua mempunyai saluran untuk berbuat demikian iaitu Perodua Pre-Owned Vehicle (POV).

Jadi, apa berlaku kepada kenderaan terpakai yang tidak habis dijual? Ada sebarang cara pelupusan?

Perodua Myvi S-Edition di Brunei. Sumber: Motoqar

Menariknya, Dato’ Zainal berkata, “Kami sedang melihat kepada kemungkinan untuk mengeksport kereta-kereta terpakai ini ke luar negara.”

“Saya tidak boleh umumkan lagi negara mana, tetapi kami masih mengkaji, malah telah menghantar beberapa unit kereta untuk ujian dan penilaian.”

Perodua pecah rekod jualan, tercatat dalam Malaysia Book of Records!

PERODUA mendaftarkan 27,858 kenderaan pada Oktober 2021, memecahkan rekod terdahulu dicatatkan tepat pada 12 bulan sebelumnya dengan 26,848 kenderaan dijual pada Oktober 2020.

Rekod ini turut disenaraikan dalam Malaysia Book of Records sebagai rekod tertinggi kenderaan terjual dalam sebulan.

Rekod baharu ini tercatat dengan peningkatan pengeluaran dan penghantaran kenderaan yang pantas kepada para pelanggan. Ini kerana pengeluar kereta kompak tersebut mensasarkan untuk menghantar sebanyak mungkin kenderaan pada suku keempat 2021.

“Pencapaian ini adalah komitmen kami terhadap para pelanggan kami dan ianya mewakili peningkatan sebanyak 90.67 peratus daripada 14,160 unit yang dijual pada September 2021, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad berkata.

“Kami kini sedang berusaha untuk meningkatkan lagi pengeluaran terutamanya untuk tahun ini,” tambahnya.

KUALA LUMPUR, 8 Jan — Perodua Bezza model baharu iaitu Perodua Bezza 2020 yang dilancarkan secara rasminya hari ini.
–fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA

Daripada 27,858 kenderaan Perodua yang didaftarkan, 8,761unit adalah Myvi, 5,973 unit Axia, 5,257 unit Bezza, 3,973 unit Ativa, 2,553 unit Alza dan 1,341 unit Aruz.

Dari segi pengeluaran, beliau berkata Oktober 2021 juga menyaksikan jumlah kenderaan tertinggi yang pernah dikeluarkan dengan catatan sebanyak 29,803 unit dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata pencapaian 29,803 unit itu adalah di luar kapasiti pengeluaran semasa Perodua, namun kakitangannya mampu meningkatkan produktiviti mereka dengan tahap kualiti yang sama walaupun tanpa kakitangan, peralatan atau jentera baharu.

Dato’ Zainal berkata lanjutan Pengecualian Jualan Cukai yang diumumkan baru-baru ini amatlah dialu-alukan kerana ia membolehkan ekosistem automotif mempunyai lebih banyak ruang untuk pulih ekoran penutupan baru-baru ini serta mengejar permintaan.

“Lanjutan Pengecualian Jualan Cukai juga akan memberi manfaat kepada semua, daripada pengguna kepada pengeluar komponen asli serta para pembekal yang juga turut terjejas akibat kekurangan bekalan semikonduktor di peringkat global,” tambahnya.

Setakat tahun ini, Perodua mencatatkan 146,951 unit dari Januari hingga Oktober tahun ini, iaitu 14.5 peratus di bawah 171,861 yang didaftarkan pada tempoh yang sama 2020.

“Kami berterima kasih kepada Malaysian Book of Records kerana mengiktiraf pencapaian kami tahun lepas dan kami akan terus membina pengiktirafan tersebut dengan menghasilkan dan mendaftar sebanyak mungkin kenderaan pada masa akan datang dan dengan berbuat demikian, ianya membuktikan komitmen kami kepada para pelanggan kami,” Dato’ Zainal berkata.

Jualan Toyota melonjak pada September, tawar promosi Kunjung & Menang dengan hadiah lebih RM30,000

DENGAN situasi pandemik Covid-19 yang perlahan-lahan bertambah baik serta kehidupan yang mula kembali normal, perniagaan juga memperlihatkan peningkatan dari sudut jualan.

UMW Toyota Motor (UMWT) mencatatkan jumlah jualan keseluruhan sebanyak 8,033unit, peningkatan 5,509unit berbanding Ogos. Ini terdiri daripada 7,931unit Toyota dan 102 kenderaan Lexus.

Jumlah ini juga 43 peratus lebih tinggi berbanding bulan sama tahun 2020 yang hanya mencatatkan 5,605unit kenderaan terjual.

Secara terkumpul, jualan semasa tahunan (year-to-date) bagi kenderaan Toyota dan Lexus di Malaysia mencecah 43,594unit pada penghujung September.

Bagi tempoh sembilan bulan yang sama pada 2020, jumlah keseluruhan tersebut hanya mencatatkan 25,978unit. Ini menjadi petunjuk yang jelas terhadap situasi buruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada separuh kedua tahun 2020.

Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K. juga berkata, “Bilik pameran kami telah dibuka dan menerima kunjungan ramai pelanggan setiap hari, dengan tempahan juga semakin meningkat.”

Beliau juga berkata, bahkan sebelum larangan pergerakan di mansuhkan, semua kemudahan syarikat ini telah disanitasi dan bersedia untuk menerima pengunjung dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan.

Kunjung & Menang

Untuk mengalu-alukan semula kedatangan pengunjung ke bilik pameran seluruh negara, UMWT kini sedang menganjurkan promosi “Kunjung & Menang” dengan hadiah keseluruhan bernilai RM30,000 untuk dimenangi. Tiada pembelian yang perlu dibuat.

Pelanggan boleh mengambil bahagian dengan cara berkunjung ke bilik pameran rasmi, ambil gambar dan muat naik ke media sosial (seperti Facebook dan Instagram) berserta kapsyen. Kemudian, maklumkan kepada UMWT URL hantaran terbabit agar ia boleh dinilai.

38 hadiah untuk dimenangi itu termasuklah hadiah utama iPhone 12 (64 GB), dua hadiah tempat kedua berupa TV Samsung 4K LED 55-inci dan dua hadiah ketiga berupa pengering rambut Dyson Supersonic.

Hadiah saguhati pula terdiri daripada kerusi TT Racing Maxx untuk gaming, headphone Bose Quiet Comfort 35 tanpa wayar, papan kekunci gaming Kingston Hyper X, alat sanitasi udara mudah alih untuk kereta Philips dan kad Touch N’ Go kustom dengan nilai terisi sebanyak RM100.

Mereka yang merancang untuk membeli kenderaan baru Toyota pula boleh menikmati ansuran bulanan rendah dengan Toyota EZ Beli.

Untuk pegawai kerajaan, UMWT juga menawarkan program Jom Drive (dengan kerjasama Toyota Capital Malaysia) dengan manfaat istimewa dan sepilihan pelan pembiayaan.

Permohonan (dengan dokumen sokongan) sangat ringkas dan akan diproses segera agar pembeli boleh menikmati kenderaan Toyota baru mereka dalam masa yang singkat.

Proton mahu pulun habis sehingga hujung tahun, Pakistan bakal terima stok baharu X70 dan Saga

SETELAH hampir tiga bulan mengharungi keadaan pasaran yang amat sukar disebabkan pencegahan penularan Covid-19, Proton kini mensasarkan untuk mengakhiri tahun 2021 dengan impak yang nyata.

Ini berikutan aktiviti pengeluaran, jualan dan eksport kembali beroperasi yang dijangkakan akan meningkatan hasil jualan bermula bulan September.

Dari bulan Jun hingga Ogos 2021, Proton berjaya memperolehi jumlah jualan sebanyak 5,354 unit yang merangkumi campuran pendaftaran dalam talian dan eksport.

Produksi terhad telah dijalankan di kilang Tanjung Malim selepas pegumuman negeri Perak sebagai negeri Fasa 2 pada 5 Julai, tetapi ini hanya untuk seketika akibat kekurangan bekalan dari pembekal di Selangor.

Sehingga penghujung Ogos, jumlah jualan adalah sebanyak 63,637 unit, iaitu satu peningkatan sebanyak 1.6 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Tahun 2021 amat mencabar bagi industri automotif kerana perintah kawalan pergerakan, kekurangan bekalan cip dan beberapa isu lain yang merencatkan perkembangan jualan, namun kita yakin jualan industri akan meningkat secara keseluruhan dalam tempoh empat bulan terakhir tahun ini,” kata Roslan Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton Edar.

Dengan kedua-dua kilang kini beroperasi, Proton juga boleh memulakan kembali aktiviti eksport ke pasaran luar negara.

Sebagai contoh, Pakistan akan menerima tiga penghantaran Proton X70 sebanyak 108 unit pada bulan September termasuk pek CKD untuk model Saga. Operasi CKD sedan segmen-A itu akan bermula di sana pada akhir Oktober.

Salah satu kunci kepada kebolehupayaan syarikat untuk membuka semula kilang adalah atas kejayaan pelan vaksinasi PIKAS.

Data terkini menunjukkan lebih 93 peratus daripada warga kerja Proton telah divaksinasi sepenuhnya manakala lebih 75 peratus pekerja dari pembekal dan wakil jualan juga talah mendapat vaksin penuh.

Oleh itu, keseluruhan ekosistem PROTON hampir dibenarkan untuk beroperasi dengan kapasiti 100 peratus berdasarkan SOP semasa untuk pembukaan kilang dan premis perniagaan.

Perodua tingkatkan pengeluaran, catat 6,988 unit jualan untuk Ogos

Perodua mendaftarkan 6,988 kenderaan pada bulan Ogos berbanding 655 unit pada Julai. Peningkatan ini berpunca daripada peningkatan produksi dan pembukaan pusat jualan secara beransur-ansur sejak 16 Ogos lalu.

“Kami menjangkakan jumlah pengeluaran dan pendaftaran akan meningkat berkali ganda pada bulan September apabila keadaan kembali normal,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

Semua operasi Perodua dihentikan berikutan penutupan di seluruh negara yang diperkenalkan pada 1 Jun 2021 untuk mengawal penyebaran Covid-19.

Setakat tahun ini (year-to-date), Perodua mendaftarkan 104,933 kenderaan dengan penurunan 12.5 peratus ​​berbanding 119,977 kenderaan yang dijual untuk tempoh sama tahun lalu.

“Kami sedang berusaha untuk mengecilkan jurang ini dengan meningkatkan lagi pengeluaran kenderaan kami dan juga menambahbaik prosedur operasi kami untuk memastikan keselamatan para kakitangan dan pelanggan kami,” kata Dato’ Zainal.

“Berdasarkan faktor waktu dan sumber yang sedia ada, kami menurunkan sasaran jualan kami sebanyak 10.8 peratus kepada 214,000 kenderaan tahun berbanding sasaran 240,000 unit yang diumumkan sebelum ini,” tambah beliau.

“Keutamaan kami kini adalah memastikan industri automotif dapat terus beroperasi dan bertahan tahun ini. Antara ancaman kepada sektor pengeluaran domestik dan antarabangsa termasuklah peningkatan kes Covid-19 dan juga kekurangan bekalan semikonduktor,” kata Dato’ Zainal.

Mengenai kekurangan cip semikonduktor, Dato’ Zainal berkata bahawa Perodua masih memperolehi bekalan yang cukup untuk memastikan pengeluaran berjalan lancar tahun ini dan sebahagian besar tempahan Perodua yang tertunggak akan dapat dipenuhi dalam tahun ini.

“Buat masa ini, bekalan cip semikonduktor masih menjadi isu global dan kami bekerjasama dengan rakan kongsi dan para pembekal kami untuk menghadkan sebarang gangguan yang timbul,” katanya.

Nak beli Lamborghini Countach 2022? Maaf, dah habis!

LAMBORGHINI menghidupkan semula nama Countach selepas kira-kira 30 tahun. Dengan pelancarannya di Monterey Car Week, Lamborghini hanya akan membina 112 unit Countach.

Dan seperti dijangka, semua unit telah habis dijual dan ditempah. Jadi kalau anda berminat nak beli satu, dah terlambat.

Kesemua 112 pembeli bertuah itu akan memiliki cebisan warisan antara model paling ikonik Lamborghini. Di bawah ‘kulit’ penampilan retro itu ialah Lamborghini Aventador.

Tetapi ia tetap mempunyai banyak perubahan khas untuk Countach, seperti janaan kuasa hibrid dari Sián FKP 37 yang menggandingkan enjin V12 dengan motor elektrik.

Gambar oleh: Lamborghini

Konfigurasi ini cukup untuk membekalkan 803hp dan 719Nm tork, yang membolehkan Countach melonjak ke 100km/j dalam 2.8 saat dan terus mencapai 200km/j hanya 8.6 saat.

Kotak gear automatik 7-kelajuan membantu menyalurkan kuasa ke semua roda, yang semestinya membantuk pecutan.

Antara ciri rekaan unik adalah lampu belakang, ekzos quad, dan rim 20-inci depan dan 21-inci belakang dengan tema retro.

Pemilik akan mula menerima Countach mereka hujung tahun. Harga tidak didedahkan, tetapi ura-ura mengatakan ia melebihi USD1 juta (lebih RM4.24 juta), dan ada juga berkata ia sehingga USD3.5 juta (RM14.8 juta).

Pengeluaran dan servis Toyota, Lexus kembali beroperasi

KERAJAAN telah membenarkan operasi beberapa sektor ekonomi bermula 16 Ogos lalu dan aktiviti pengeluaran, jualan dan pusat servis Toyota serta Lexus kembali dibuka.

Kesemua aktiviti ini dihentikan sejak 1 Jun 2021 dalam mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Ravindran K, Presiden UMW Toyota Motor berkata: “Kami mengalu-alukan kelonggaran ini dimana sekatan sebelumnya telah memberi cabaran kepada perniagaan kami dua bulan kebelakangan ini.”

Tambahnya, syarikat itu akan menjalankan operasi mereka dengan mematuhi dengan teliti segala garis panduan dan prosedur yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini penting bagi memastikan keselamatan dan kesihatan pelanggan serta pekerjanya.

Pemilik kenderaan yang berhasrat membawa kenderaan ke pusat servis perlu membuat temujanji terlebih dahulu.

Ravindran turut berkata untuk bahagian pengeluaran, kelonggaran ini pastinya membantu mereka memenuhi segala tempahan yang telah tertangguh.

Gambar: Malay Mail

Dua kilang pengeluaran UMW Toyota dan fasiliti berkaitan akan mampu beroperasi pada kapasiti tertentu bergantung kepada peratusan pekerja yang telah divaksinasi. Mereka boleh beroperasi sepenuhnya jika vaksinasi mencapai lebih 80 peratus.

Sementara itu, Akio Takeyama, Naib Pengerusi UMW Toyota Motor berkata, “Dengan kelonggaran ini, kami pastinya mempunyai banyak perancangan penting.

“Contohnya, kami telah membuat persediaan pemasangan tempatan (CKD) untuk Toyota Hybrid Electric Vehicle dan kami akan meneruskannya secepat mungkin selepas tertangguh.”

Ativa terima permintaan tinggi, Perodua catat peningkatan jualan 29 peratus

PERODUA Ativa menjadi kenderaan utiliti sukan (SUV) paling laris di negara ini sejak dilancarkan awal bulan lalu.

Dibuka untuk tempahan pada 19 Februari, terdapat lebih 14,574 tempahan diterima bagi model Perodua Ativa.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya akan terus berusaha memenuhi permintaan tinggi bagi model SUV Ativa walau terpaksa berdepan rintangan tertentu termasuk kekurangan bekalan komponen.

“Buat masa ini, tentangan terbesar adalah kekurangan cip semikonduktor yang memberi kesan berbeza pada pembuat kenderaan pada skala global.

“Kami bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk mencari bekalan alternatif dan pada masa yang sama memantau keadaan setiap hari untuk memastikan operasi pengeluaran kami berterusan,” katanya dalam satu kenyataan.

Untuk rekod, Perodua berjaya mencatatkan peningkatan 29 peratus jualan bagi suku pertama tahun ini.

Jumlah itu bersamaan dengan 57,911 kenderaan berbanding 44,977 dalam tempoh sama tahun lalu.

Perodua menyasarkan pengeluaran sebanyak 272,000 unit tahun ini berbanding 220,968 pada 2020.