Kerajaan telah memperkenalkan Skim Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik dalam usahanya untuk menggalakkan orang ramai menggunakan motosikal elektrik di negara ini.
Di bawah skim berkenaan, rakyat berpendapatan tahunan RM120,000 ke bawah akan menikmati rebat bernilai sehingga RM2,400 untuk pembelian motosikal elektrik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan terus melonjak pembangunan industri kenderaan elektrik (EV) tempatan dan menggalakkan penerimaan rakyat terhadap penggunaan EV.
Justeru itu, kerajaan mengalu-alukan pelaburan melebihi RM170 juta oleh syarikat terkemuka seperti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Gentari dan Tesla Malaysia untuk memasang 180 stesen pengecasan EV, katanya ketika membentangkan Belanjawan 2024 Malaysia Madani di Dewan Rakyat.
PARA jurutera Mercedes-Benz Trucks telah berjaya memandu melintasi pergunungan Alps dengan trak eActros 600 untuk pemanduan jarak jauh.
Prototaip trak elektrik itu dimuatkan dengan beban 40 tan dan dipandu dari Stuttgart, mendaki pergunungan Swabian Jura, melalui lebuh raya Brenner, hingga ke Bolzano di South Tyrol untuk jarak 530km.
Mercedes eActros 600 itu menyempurnakan pemanduan itu tanpa sekali pun dicas di tengah perjalanan, dan ia tiba di destinasi selepas tujuh jam.
Kumpulan jurutera itu mengecas eActros semula untuk pemanduan pulang melalui jalan yang sama. Ini bermakna trak EV eActros 600 telah dipandu melebihi 1,000km dengan hanya satu hentian cas.
Pemanduan ini dapat dijayakan dengan kombinasi cara memandu yang cekap, bateri berkapasiti tinggi, dan penjanaan-semula tenaga prestasi tinggi.
Mercedes eActros 600 dipacu oleh dua motor elektrik dengan output berterusan 400kW dan output maksima 600kW dari tiga pek bateri. Konfigurasi ini membekalkan jarak pemanduan 500km tanpa hentian cas.
Trak eActros 600 akan membuat pelancaran globalnya tidak lama lagi dan pengeluaran dijangka bermula tahun depan.
TESLA dijangkakan akan memperkenalkan Model Y facelift pada tahun hadapan. Diberi kod nama Juniper, ia bakal tampil dengan reka bentuk lebih segar serta beberapa ciri lain seperti yang diperkenalkan menerusi Model 3 ‘Highland’.
Namun sebelum versi facelift itu muncul, Tesla nampaknya telah memberikan sedikit kemaskini terhadap Model Y untuk pasaran China.
Kemaskini ini mungkin tidak signifikan seperti Juniper, namun ia boleh dikatakan agak penting kerana ia memberikan peningkatan dari segi prestasi dan jarak pandu.
Untuk Model Y RWD, jarak pandunya kini meningkat kepada 554 km (ujian CLTC), iaitu 9 km atau 1.7 peratus lebih jauh berbanding sebelum ini.
Versi Long Range AWD pula mempunyai jarak pandu sejauh 688 km, menunjukkan kenaikan sebanyak 28 km atau 4.2 peratus. Jarak pandu Performance pula tidak berubah.
Bukan itu sahaja, versi RWD juga boleh melakukan pecutan 0-100 km/j lebih pantas dengan catatan masa 5.9 saat, kurang 1 saat berbanding sebelum ini.
Dari segi penampilan, bahagian luaran Model Y ini boleh dicam menerusi rim Gemini 19 inci berwarna hitam yang menggantikan warna perak pada model terdahulu.
Ruang dalaman pula tampil lebih meriah dan kemas menerusi kehadiran sistem pencahayaan RGB dan material tekstil pada papan pemuka.
Apa yang lebih menarik, harga jualan Model Y yang dikemaskini ini tidak berubah iaitu 269,900 yuan (RM176,818) untuk RWD, 299,900 yuan (RM196,472) untuk Long Range AWD dan 349,900 yuan (RM229,229) untuk Performance.
SMART Malaysia hari ini mendedahkan smart #1 Brabus di pameran International Electric Mobility Showcase (IEMS) 2023, sekaligus menjadikan ianya penampilan sulung EV prestasi tinggi itu di Asia Tenggara (ASEAN).
Kami sebelum ini telah melaporkan mengenai smart #1 dan #1 Premium beberapa bulan lepas, tetapi perincian model varian Brabus agak terhad pada masa itu. Kini, mari kita lihatkan dengan lebih lanjut.
Di bahagian luar, smart #1 Brabus mendapat kelengkapan yang sama dengan varian Premium. Ini termasuklah lampu LED matriks CyberSparks, dan beberapa bahagian yang menyala seperti di gril depan, pemegang pintu dan logo di tiang-C.
Varian ini juga mendapat bumbung panoramik, rel bumbung, dan pintu but berkuasa. Paling ketara sudah tentu kemasan merah yang dapat dilihat pada bahagian bumbung, perumah cermin sisi, pemegang pintu, rim, angkup brek, dan gril. #1 Brabus juga mendapat tulisan emblem berwarna hitam.
smart #1 Brabus bukan sahaja nampak sporti, ia memang membawakan prestasi agak tinggi. Ia mendapat dua motor elektrik menjadikannya sebuah AWD, dan kuasa dibekalkan oleh bateri 66kWh.
Output maksima adalah 422hp dan 543Nm tork, dan ini membolehkan smart #1 Brabus memecut ke 100km/j dalam masa 3.9 saat. Kelajuan maksima ialah 180km/j dan jarak maksima ialah 400km setiap cas.
Menggunakan pengecasan AC dan kadar 22kW, Brabus ini boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus dalam tiga jam. Tetapi dengan DC 150kW, cas yang sama boleh dilakukan kurang 29 minit.
Di bahagian dalam, ia serupa dengan smart #1 biasa, tetapi terdapat banyak kemasan merah, dan kelengkapan khas Brabus seperti roda stereng dan tempat duduk sports.
Ia masih juga mendapat paparan instrumen digital 9.2-inci, paparan infotainmen 12.8-inci, sistem audio Beats, dan sambungan Apple Carplay serta Android Auto.
Harga bagi smart #1 Brabus ini dianggarkan antara RM200,000 hingga RM250,000 atas jalan tanpa insurans. Jika anda berminat, tempahan boleh dibuat melalui aplikasi smart Hello, dengan bayaran RM1,000 yang boleh dipulangkan semula.
501 pelanggan pertama yang membuat pra-tempahan akan diberikan kredit mengecas sebanyak RM1,001.
Apa pendapat anda dengan smart #1 Brabus, menarik setakat ini? Atau baik beli….?
BYD dijangka mengatasi Tesla sebagai pengeluar kenderaan elektrik (EV) terbesar di dunia, memandangkan jualan pengeluar China itu semakin meningkat.
Ia kebetulan pula dengan sedikit isu di Tesla dimana penutupan sementara kilang menjurus kepada penurunan pengeluaran syarikat itu, kali pertama dalam masa lebih setahun.
Foto: carspiritpk.com
BYD menjual 431,603 kenderaan elektrik sepenuhnya dalam suku ketiga berakhir 30 September, peningkatan 23 peratus dari suku kedua.
Tesla pula mengeksport 435,059 kenderaan di seluruh dunia dalam suku ketiga – dengan perbezaan 3,456 unit antara kedua-dua pengeluar, paling dekat setakat ini.
Walaupun dikenali dengan menjual kenderan mampu milik kepada pasaran, BYD juga mempunyai dua jenama EV mewah, Yangwang dan Fang Cheng Bao. Model paling mampu milik iaitu Seagull dan Dolphin berjaya menyaingi pesaing-pesaingnya.
BYD kini di dalam landasan mencapai angka jualan tiga juta unit untuk tahun ini.
Tesla pula ketinggalan pengeluarannya sebanyak kira-kira 20,000 unit, kerana kilang-kilangnya dalam persediaan mengeluarkan Model 3 yang dikemas kini dan Cybertruck. Elon Musk masih yakin Tesla mampu mencapai sasaran 1.8 juta unit mereka untuk tahun ini.
NISSAN telah mendedahkan imej-imej Hyper Urban Concept, salah satu EV konsep yang akan dipamerkan di Japan Mobility Show hujung bulan ini. Konsep ini membawakan idea reka bentuk dan kemampuan teknologi Nissan untuk masa depan.
Hyper Urban Concept mendapat warna badan kuning limau yang menampilkan sedikit bayangan berbeza pada perubahan sudut cahaya. Pintu depan dan belakang jenis scissor doors yang dramatik menunjukkan ‘keterbukaan’, menurut Nissan.
“Kenderaan ini disasarkan kepada golongan profesional di bandar dan kawasan sekitar yang mengutamakan kelestarian alam sekitar,” kata Nissan dalam siaran media. Hyper Urban Concept ini akan mampu diintegrasikan dalam konsep vehicle-to-home (V2H) dan vehicle-to-grid (V2G).
Fungsi ini akan membolehkan Hyper Urban Concept membekalkan tenaga elektrik kepada rumah menggunakan V2H. Jadi ia akan membantu dalam penjimatan tenaga elektrik bangunan itu.
Sementara itu, V2G pula membolehkan pemandu menyumbang kembali tenaga kepada grid elektrik dan mendapat bayaran.
Intelligent Charging Management System pada kenderaan ini menggunakan AI (artificial intelligence) untuk pengecasan secara autonomi, selain membekalkan kuasa elektrik kepada bangunan.
Dari segi kelengkapan, Nissan Hyper Urban Concept dilengkapi dengan paparan instrumen dengan teknologi terkini dan boleh dikemas kini untuk masa depan.
Ruang dalaman direka untuk serasi dengan suasana bandar dan diinspirasikan dari segitiga kaleidoscopic, tema yang sama dengan rekaan luarannya.
Menurut Nissan, kenderaan ini juga boleh digunakan sebagai ruang berehat. “Bila anda berada luar dari kehidupan seharian, parkir di kawasan apartment atau banglo, ia menjadi ruang selesa untuk berehat dan relaks,” kata Nissan.
Suatu konsep menarik? Bagi kami ia sebuah EV yang menawarkan konsep dan fungsi berbeza dari kebanyakan yang ada dalam pasaran sekarang. Ia juga nampak sangat sesuai sebagai kenderaan dalam bandar di masa depan.
Beliau turut berkata kerajaan akan turut bertindak memperluas usaha serta meningkatkan prasarana berkaitan pengecasan EV di negara ini.
“Dalam mengambil kira masa depan serta Belanjawan 2024, tumpuan kita jelas kepada keterangkuman yang seiring dengan dengan Rangka Kerja Ekonomi MADANI,” katanya semalam.
Tengku Zafrul juga menekankan bahawa pelaksanaan dasar dan inisiatif itu memberi impak positif ke atas industri automotif tempatan, sekali gus memaparkan komitmen kerajaan dalam membangunkan ekosistem EV yang holistik di Malaysia.
Bilangan kenderaan EV berdaftar telah meningkat kepada lebih 3,400 unit pada 2022 dan melebihi 7,500 unit setakat September 2023 berbanding purata 300 unit pada tahun-tahun sebelum ini.
“Malah, pelaburan dalam industri EV kita juga mencecah paras memberangsangkan sebanyak RM26.2 bilion bagi tempoh 2018 sehingga Mac lalu,” katanya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul juga meningatkan bahawa dasar EV perlu seiringan dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Baharu 2030 (NETR 2030) yang dilancarkan baru-baru ini.
“Ini penting kerana tiada gunanya mempunyai ribuan unit EV di atas jalan sekiranya Malaysia tidak bertindak menghijaukan grid tenaga sewajarnya dengan membangunkan lebih banyak sumber tenaga boleh baharu (TBB),” katanya.
Atas alasan itu, beliau berkata, NETR menyasarkan untuk memacu pelaburan dalam infrastruktur grid menerusi inisiatif bagi pembangunan TBB.
PESAING Tesla Model 3 dari China iaitu BYD Seal telah pun dilancarkan secara rasminya ke pasaran Thailand pada 28 September lalu.
Di sana, Seal ditawarkan dalam tiga varian iaitu Dynamic RWD, Premium RWD dan Performance AWD, dengan harga bermula dari 1,325,000 baht hingga 1,599,000 baht (RM169,427 hingga RM204,464).
Menurut CarNewsChina, sedan elektrik itu mendapat lebih 1,100 tempahan dalam tempoh sejam selepas ia dilancarkan. Syarikat itu juga telah menyerahkan 39 unit pertama kepada pemilik dalam majlis pelancaran itu.
Seperti Atto 3 dan Dolphin, Seal juga dibina berasaskan e-platform 3.0 serta mempunyai seni bina Cell-to-Body (CTB) yang menjadikan bateri sebahagian daripada struktur kenderaan, sekali gus meningkatkan ketegaran dan keselamatan.
Dari segi saiz, Seal mempunyai ukuran panjang 4,800 mm, lebar 1,875 mm, tinggi 1,460 mm dan tapak roda 2,920 mm, bermakna ia lebih panjang dan lebar jika dibandingkan dengan Model 3.
Varian Dynamic RWD dilengkapi dengan bateri LFP 61.4 kWj dan sebuah motor elektrik berkuasa 204 hp pada gandar belakang. Ia menawarkan jarak pandu sejauh 510 km dengan satu cas penuh.
Varian kedua iaitu Premium RWD pula mempunyai bateri lebih besar dengan kapasiti 82.5 kWj dan sebuah motor elektrik lebih berkuasa yang menjana 313 hp. Jarak pandu bagi varian ini adalah sekitar 650 km.
Sebagai varian tertinggi, Seal Performance AWD didatangkan dengan bateri 82.5 kWj dan dua motor elektrik yang memberikan kuasa keseluruhan sebanyak 580 hp serta jarak pandu sejauh 580 km.
Untuk perbandingan, harga jualan Model 3 bermula di Thailand dari 1,659,000 baht (RM212,136) untuk varian RWD, 1,879,000 baht (RM240,267) untuk Long Range AWD dan 2,059,000 (RM263,284) untuk Performance AWD.
Sementara itu, BYD Malaysia dijangka melancarkan Seal sekitar suku keempat tahun ini namun spesifikasi dan harga masih menjadi teka-teki setakat ini.
SYARIKAT pelaburan tempatan, Artroniq Bhd baru-baru ini mengumumkan kerjasama United E-Motor, sebuah jenama motosikal elektrik yang bernaung di bawah PT. Terang Dunia Internusa (PT TDI) dari Indonesia.
Kerjasama ini diumumkan dalam satu sidang media yang diadakan di Kedutaan Republik Indonesia di Kuala Lumpur pada 27 September lalu. Ia dihadiri oleh Dato’ Indera Hermono, Duta Besar Khas Republik Indonesia ke Malaysia.
Menerusi kerjasama ini, Artroniq Bhd akan membawa masuk tiga model motosikal elektrik keluaran United E-Motor iaitu TX3000, TX1800 dan M1200.
Sebagai antara model paling berkuasa, TX3000 dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum melebihi 90 km/j. Ia menawarkan jarak gerak sehingga 120 km dengan satu cas penuh.
Model ini mempunyai dua slot bateri dan tahap kuasa setiap bateri boleh dipantau menerusi paparan digital yang tersedia.
Menariknya, motosikal-motosikal elektrik ini telah digunakan sebagai motosikal rasmi di Sidang Kemuncak G20 2022 yang diadakan di Bali tahun lalu, dan telah diuji serta diperakui oleh barisan pemimpin dunia sepanjang acara tersebut.
Selaku pengedar, Artroniq Bhd akan mengumumkan penubuhan kilang pemasangan dan kedai konsep pengedaran di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor.
HANKOOK Malaysia baru-baru ini melancarkan dua tayar baharu iaitu iON evo dan Ventus Prime 4 ke pasaran tempatan.
iON evo dan iON evo SUV merupakan tayar terkini dalam siri iON yang dibangunkan khusus untuk kenderaan elektrik (EV). iON evo boleh didapati dalam saiz 18 hingga 21 inci, manakala iON evo SUV hadir dalam saiz 19 hingga 22 inci.
Hankook iON evo
Menurut Hankook, tayar ini memfokuskan kepada pengendalian, jarak perjalanan, rintangan golekan yang rendah, cengkaman permukaan basah dan kesenyapan.
Ia diperbuat daripada kompaun silika berkonsentrasi tinggi dan bahan mesra alam bagi mencapai ketahanan dan reka bentuk yang ideal untuk menyebarkan tekanan ke atas permukaan jalan dengan sekata, sekali gus memanjangkan jangka hayat tayar.
Teknologi EV Contour akan meningkatkan ketegaran sebanyak 10 peratus ketika mengambil selekoh, manakala tali sawat yang diperkukuhkan dengan gabungan gentian Aramid mengekalkan bentuk yang optimum ketika dipandu pada kelajuan tinggi.
Sebagai tambahan, ketegaran rekaan blok berfungsi meminimumkan masalah gelinciran yang disebabkan oleh kuasa tork EV yang tinggi. Ini dilakukan dengan menambah dinding blok luaran yang lebih panjang untuk titik sentuhan maksimum dengan jalan raya.
Akhir sekali, teknologi Hankook Sound Absorber meminimumkan bising daripada corok bunga bagi memberikan perjalanan yang lebih senyap dalam apa jua kelajuan.
Tayar Ventus Prime 4 pula dibangunkan khusus untuk SUV dengan enjin pembakaran dalaman. Ia boleh didapati dalam lima saiz bermula dari 15 hingga 19 inci.
Hankook Ventus Prime 4
Kompaun bunga tayar Ventus Prime 4 mengandungi kandungan silika baharu yang telah diperkaya yang akan mengeras pada suhu rendah dua kali lebih lama berbanding tayar biasa.
Ini akan meningkatkan gabungan di antara molekul, sekali gus mengukuhkan lagi ketegaran blok bunga tayar, seterusnya mengurangkan haus dan rintangan golekan
Bukan itu sahaja, corak bunga dan kontur tayar Ventus Prime 4 telah dioptimum untuk mencapai titik sentuhan yang lebih tepat, sementara tali sawat kukuh berfungsi memberikan kekuatan corak bunga yang ideal dan menyerap hentakan.
Dengan ciri-ciri inovatif tersebut, tayar Ventus Prime 4 menawarkan ketahanan jauh lebih baik dan pengalaman pemanduan lebih selesa. Ia juga menawarkan jarak perjalanan lebih jauh dan prestasi brek yang lebih baik terutama di atas permukaan basah.
BYD beberapa hari lepas telah ‘melahirkan’ unit ke-500,000 bagi model Dolphin. Ya, 500,000 unit untuk Dolphin sahaja, bukan keseluruhan kenderaan mereka.
Menurut BYD yang kini menjadi pengeluar kenderaan tenaga baharu nombor satu dunia, sejak dilancarkan pada Ogos 2021, model Dolphin terus menjadi hatchback kelas A0 paling laris di China selama 19 bulan berturut-turut.
Di pasaran global, hatchback EV itu turut membuat impak signifikan. Di Brazil, ia terjual lebih 4,000 unit dalam masa dua bulan selepas dilancarkan. Di Thailand pula, BYD Dolphin menjadi model EV kelima paling laris dalam masa sebulan diperkenalkan.
Untuk pasaran Malaysia, Dolphin ditawarkan dalam dua varian iaitu Dynamic Standard Range dan Premium Extended Range, dengan harga runcit yang disyorkan (RRP) dari RM99,900 hingga RM124,900.
Untuk harga on-the-road tidak termasuk insurans, varian Dynamic Standard Range akan menjadi RM100,530 manakala Premium Extended Range pula RM125,530. Ini menjadikan ia model EV kedua paling mampu milik di negara ini selepas Neta V.
Dolphin didatangkan dengan waranti enam tahun/150,000km. Untuk bateri dan unit pacuan pula, Sime Darby Motors menawarkan waranti lapan tahun/160,000km dan lapan tahun/150,000km.
Dalam versi Dynamic Standard Range, Dolphin mendapat pek bateri (Blade Battery) berkapasti 44.92kWh yang menawarkan jarak gerak sehingga 410km berdasarkan kitaran WLTP.
Ia mempunyai motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menghasilkan 94hp dan 180Nm, membolehkan pecutan 0-100km/j dalam 12.3 saat.
Sementara itu, varian Premium Extended Range dengan bateri 60.48kWh pula dikatakan boleh dipandu sejauh 490km dengan satu cas penuh.
Ia juga dilengkapi dengan motor elektrik tunggal namun dengan kuasa yang lebih tinggi iaitu 201hp dan 300Nm, versi ini hanya memerlukan 7.0 saat untuk memecut sehingga 100km/j.
Dari segi pengecasan, Dolphin didatangkan standard dengan pengecasan AC 7kW. Bagaimanapun, untuk pengecasan pantas DC, kapasiti antara kedua-dua varian ini berbeza iaitu 60kW untuk Dynamic Standard Range dan 80kW untuk Premium Extended Range.
Sistem bantuan pemandu (ADAS) disertakan secara standard pada kedua-dua varian. Antara cirinya termasuk Adaptive Cruise Control, Automatic Emergency Braking, Lane Depature Warning, Lane Keeping Support, Lane Change Collision Warning, Rear Cross Traffic Alert dan Blind Spot Detection.
Kami juga telah membuat membuat pandu uji awal dalam sesi untuk media baru-baru ini, boleh baca laporan kami di sini.
NEGARA-negara Kesatuan Eropah (EU) rata-ratanya bersetuju mematuhi cadangan yang dikemukakan oleh Sepanyol berkenaan undang-undang emisi kenderaan baharu.
EU telah sedikit demi sedikit memperketatkan emisi kenderaan mereka sejak piawaian pertama yang dikenali sebagai Euro 1, pada 1992. Piawaian terbaharu Euro 7 mula diperkenalkan pada November tahun lepas, dan ia turut merangkumi pelepasan dari brek dan tayar.
Sekumpulan lapan negara telah memohon untuk undang-undang yang lebih longgar dengan alasan had baharu dari bahan seperti nitrous oxide (N2O) dalam enjin akan mengalih usaha ke arah pelaburan dalam kenderaan elektrik (EV).
Gambar oleh: Scandasia
Jualan kenderaan yang melepaskan karbon akan diharamkan di EU pada 2035. Dalam perkembangan terbaharu Jumaat lepas, perubahan lanjutan untuk penetapan adalah 30 bulan selepas piawaian berkuat kuasa, berbanding 24 bulan sebelum ini (untuk kereta).
Perincian akhir masih perlu diluluskan dalam mesyuarat EU pada Isnin ini sebelum ianya diperdebatkan dalam parlimen.
ANDA mungkin sedia maklum bahawa Volvo merancang untuk hanya menjual kereta elektrik menjelang 2030. Menjelang 2040 pula, ia mensasarkan untuk menjadi sebuah syarikat neutral iklim.
Bagi mencapai matlamat-matlamat berkenaan, pengeluar kenderaan dari Sweden itu mengumumkan bahawa ia akan menghentikan produksi semua model diesel menjelang awal 2024.
Ini bakal menjadikan Volvo antara pengeluar kenderaan pertama di dunia yang mengambil langkah demikian.
Pengumuman terbaru ini adalah susulan keputusan Volvo untuk menghentikan pembangunan enjin pembakaran dalaman (ICE) baharu yang diumumkan pada November tahun lalu.
Menurut Volvo, mereka telah menjual semua pegangan sahamnya di dalam Aurobay, sebuah syarikat trenkuasa yang dibangunkan dengan kerjasama Geely pada 2021.
Volvo EX30
“Trenkuasa elektrik adalah masa depan kami, dan lebih hebat berbanding enjin pembakaran: ia lebih senyap, kurang getaran, lebih murah untuk diselenggara dan tidak menghasilkan sebarang pelepasan,” kata Jim Rowan, Ketua Eksekutif Volvo Cars.
Menurut Volvo lagi, keputusannya untuk menghentikan jualan enjin diesel menggambarkan betapa cepatnya industri kereta dan permintaan pelanggan berubah dalam menghadapi krisis iklim.
Hanya empat tahun lalu, majoriti kereta Volvo yang dijual di Eropah dikuasakan oleh enjin diesel. Kini, trend tersebut telah berubah dengan kebanyakan kereta Volvo di benua itu merangkumi model elektrik sepenuhnya atau hibrid plug-in.
Penurunan jumlah kereta diesel akan memberikan kesan positif terhadap kualiti udara. Walaupun CO2 yang dihasilkan oleh enjin diesel tidak sebanyak enjin petrol, ia melepaskan lebih banyak gas termasuk nitrogen oksida (NOx) yang mempunyai kesan buruk terhadap udara terutamanya di kawasan padat.
LOGO Tesla dilihat sudah dinaikkan dan dipasang di depan bangunan ibu pejabat serantau mereka di Cyberjaya. Gambar itu dikongsi oleh Richard Ker di Facebook miliknya.
Terdapat gambar waktu siang dan malam menunjukkan kerja-kerja pemasangan dan menaikkan logo besar berbentuk huruf T dan tulisan “TESLA” tersebut.
Tesla pada Julai mengumumkan akan menubuhkan ibu pejabat dan pusat perkhidmatannya yang tercanggih di Cyberjaya, Selangor.
Pejabat itu akan digunakan untuk semua operasi korporat, pemasaran, latihan, aktiviti sokongan pelanggan dan perkhidmatan kenderaan, dilengkapi dengan alat diagnostik termaju dan kakitangan dengan juruteknik Tesla yang terlatih.
Ia juga akan menubuhkan pusat pengalaman di kawasan metropolitan utama di seluruh Malaysia, memberikan pelanggan pengalaman secara langsung memandu model EV terkini.
Dalam laporan pada Julai itu juga, Tesla bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia berkata, langkah itu adalah tindak balas langsung kepada inisiatif Peneraju Global Kenderaan Elektrik Bateri (BEV) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
“Memandangkan Tesla berazam untuk memenuhi pelbagai keperluan dan pilihan rakyat Malaysia, lebih banyak modelnya akan diperkenalkan pada masa hadapan.
“Pelanggan Malaysia kini boleh mengakses laman sesawang rasmi Tesla untuk membuat pesanan mereka,” katanya.
Tesla pada masa ini telah melancarkan dua model di Malaysia dalam masa beberapa bulan, bermula dengan Model Y dan terkini, Model 3.
SELEPAS dipertontonkan kepada wakil media Julai lalu, smart #1 kini secara rasminya dibuka untuk tempahan di Malaysia.
Hatchback elektrik itu akan ditawarkan dalam tiga varian iaitu Pro, Premium dan Brabus, dengan harga anggaran bermula dari RM200,000 hingga RM250,000 dengan cukai jualan dan perkhidmatan.
Menurut smart Malaysia, tempahan untuk #1 (disebut hashtag one) boleh dibuat menerusi aplikasi Hello smart dengan bayaran tempahan RM1,000 yang boleh dikembalikan semula.
Apa yang menarik, 501 pelanggan pertama yang membuat pra-pesanan akan menerima manfaat #1 Early-Bird berbentuk kredit pengecasan bernilai RM1,001 yang akan dikreditkan ke akaun pemilik selepas kereta diserahkan.
Varian Pro tampil dengan roda aloi 19 inci seretan rendah untuk kestabilan dan bumbung halo panoramik untuk pencahayaan dan pemandangan semula jadi.
Ia dilengkapi dengan bateri LFP berkapasiti 49 kWj yang menawarkan jarak pandu sejauh 315 km berdasarkan kitaran WLTP.
Varian Premium pula menawarkan ciri-ciri tambahan seperti lampu hadapan CyberSparks LED + Matrix, gril hadapan bercahaya dan bateri NMC berkapasiti 66 kWh dengan jarak pandu sejauh 440 km.
#1 Pro boleh didapati dalam lima warna luaran iaitu Digital White, Laser Red, Cyber Silver, Quantum Blue, dan Future Green. #1 Premium pula menawarkan pilihan Atom Grey-Matte dan Lumen Yellow selain lima warna berkenaan. Kesemua warna ini dipadankan dengan bumbung Eclipse Black kecuali Atom Grey-Matte.
Untuk ruang dalaman,#1 Pro menampilkan trim standard After Dark, manakala varian Premium menerima trim Dark Matter dua tona iaitu putih dan hitam.
Dari segi prestasi, #1 Pro dan Premium kedua-duanya dipacu oleh motor elektrik tunggal yang diletakkan pada gandar belakang. Motor elektrik tersebut menjana 272 PS (200 kW) dan 343 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 6.7 saat dan kelajuan maksimum 180 km/j.
#1 Pro menyokong pengecasan AC 7.2 kW yang memerlukan enam jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus, manakala #1 Premium pula boleh menampung sehingga 22 kW yang boleh melakukan pengecasan yang sama dalam tiga jam sahaja.
Pengecasan pantas DC pula boleh dilakukan pada kapasiti sehingga 150 kW yang boleh memulihkan tenaga bateri dari 10 hingga 80 peratus dalam 22 minit untuk varian Pro dan 29 minit untuk Premium.
#1 Brabus
Sebagai varian sporty, #1 Brabus tampil dengan tujuh kombinasi warna luaran. Jika memilih bumbung Radiant Red, pembeli boleh memilih warna luaran Atom Grey-Matte, Meta Black atau Cyber Silver. Bumbung berwarna hitam pula boleh berpasangan dengan warna Digital White, Laser Red dan Cyber Silver.
Seperti varian Pro dan Premium, mereka yang memilih warna Atom Grey-Matte boleh mendapatkan bumbung yang sama dengan warna badan.
#1 Brabus dipacu oleh dua motor elektrik yang menghasilkan 428 PS (315 kW) dan 543 Nm. Dengan pacuan semua roda (AWD), ia hanya memerlukan 3.9 saat untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Ia dilengkapi dengan bateri NMC 66 kWj yang sama seperti #1 Premium namun jarak pandunya lebih dekat iaitu 400 km.
Prestasi pengecasannya juga sama dengan varian Premium iaitu tiga jam untuk pengecasan 10 hingga 80 peratus menggunakan pengecas AC 22 kW atau 29 minit dengan pengecas DC 150 kW.
BYD baru-baru ini meraikan pencapaiannya mencatat pengeluaran yang ke-500,000 unit Atto 3 di kilangnya di Hefei, hanya 19 bulan selepas model itu dilancarkan ke pasaran.
Sebagai model pertama yang dibangunkan untuk pasaran global, Atto 3 telah menjadi kenderaan tenaga baharu (NEV) terlaris di beberapa negara termasuk Singapura, New Zealand, Thailand, Israel dan Sweden.
Setakat hari ini, BYD beroperasi di lebih 50 buah negara. Atto 3 muncul sebagai NEV terlaris di Israel selama sembilan berturut-turut dan ia kini merupakan kenderaan elektrik tulen paling laku di Thailand sehingga Ogos 2023.
Menurut BYD, pencapaian ini menggariskan pertumbuhan pengaruh syarikat itu dan kejayaannya dalam pasaran automotif di peringkat global.
Dibina menggunakan e-Platform 3.0, Atto 3 menampilkan bahasa reka bentuk ‘Dragon’s Face’ yang menggabungkan elemen kebudayaan China yang berabad lamanya dengan elemen global kontemporari.
Nadi utama Atto 3 sudah tentulah bateri Blade BYD yang menawarkan keselamatan dan jarak pandu yang jauh. Di Malaysia, Atto 3 boleh didapati dengan bateri berkapasiti 49.92 kWj untuk Standard Range dan 60.48 kWj untuk Extended Range, dengan jarak pandu sehingga 480 km.
Gabungan reka bentuk menonjol dan teknologi canggih ini membolehkan BYD merangkul pelbagai anugerah di peringkat antarabangsa termasuk 2022 New Zealand Car of the Year dan VAB Electric Family Car of the Year di Belgium.
Aspek keselamatan model ini juga tidak kurang hebatnya dengan penarafan lima bintang dari Euro NCAP.
BMW Group Malaysia mengumumkan pencapaian mereka sebagai pembekal kenderaan elektrik (EV) premium nombor satu di Malaysia dengan penyerahan kenderaan EV jenama BMW, MINI dan BMW Motorrad melebihi 1,600 unit dalam tempoh lapan bulan.
Menurut syarikat itu, angka tersebut melangkaui 1,557 unit jualan EV BMW dan MINI yang dicapai pada keseluruhan tahun 2022.
Pencapaian itu mencerminkan komitmen BMW Group Malaysia ke atas “Sheer Electric Driving Pleasure” serta memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai pengeluar kenderaan premium nombor satu di Malaysia selama tiga tahun berturut-turut.
Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Dalam sebuah era yang berada di ambang transformasi, kami teruja untuk mengetuai usaha anjakan elektrifikasi di Malaysia – dibantu dengan dukungan daripada para pelanggan, wakil pengedar, dan rakan-rakan kongsi kami.”
Tambah de Visser lagi, pencapaian itu juga mengiktiraf kedudukan BMW Group Malaysia dalam segmen EV premium dan seluruh ekosistem EV di negara ini.
Dalam usahanya untuk memacu peralihan kepada mobiliti elektrik, BMW Group Malaysia meluaskan lagi usaha sama strategik dengan Gentari melalui anak syarikat milik penuhnya iaitu Gentari Green Mobility Sdn Bhd, bagi memudahkan dan meluaskan akses kepada pengecasan EV.
Kedua-dua organisasi ini kini memberi nafas kepada Charge Go, sebuah perkhidmatan pengecasan EV mudah alih yang dapat membekalkan kemudahan pengecasan pantas DC pada bila-bila masa, di mana-mana jua.
Bagi meraikan pencapaiannya, BMW Group Malaysia turut berkerjasama dengan ChargEV di samping JomCharge dan Gentari untuk menawarkan pakej-pakej pengecasan tanpa had kepada pemilik EV BMW dan MINI.
Bermula 1 Oktober hingga 31 Disember 2023, 200 pemilik EV BMW dan MINI terawal yang membuat pendaftaran berpeluang membeli pakej-pakej berkenaan pada harga RM2,400 dan RM1,800 daripada mana-mana pembekal solusi pengecasan tersebut.
Pakej ini menawarkan pengecasan tanpa had di semua fasiliti ChargEV atau JomCharge dan Gentari di seluruh negara selama 12 bulan setelah diaktifkan dan hanya boleh digunakan bagi kenderaan elektrik yang didaftarkan.
SEPERTI yang dijanjikan, Lotus secara rasminya memperkenalkan Emeya, model hyper GT empat pintu yang pertama bagi jenama itu.
Emeya akan memasuki fasa produksi pada tahun hadapan bagi membawa cabaran baharu terhadap pesaing-pesaing terdekatnya seperti Audi e-tron GT, Porsche Taycan dan Tesla Model S.
Sebagai sebuah Lotus, Emeya menjanjikan prestasi pemanduan yang mengujakan. Ini dicapai menerusi sistem aerodinamik canggih yang merangkumi elemen-elemen aktif seperti jeriji, diffuser dan spoiler.
Spoiler berkenaan mempunyai ukuran lebar 11 inci (3.9 inci lebih lebar berbanding spoiler Eletre) dan boleh menjana downforce sehingga 215 kg.
Selain itu, Emeya juga dilengkapi dengan sistem suspensi udara yang dikawal secara elektronik. Sistem tersebut mempunyai sensor canggih yang boleh mengimbas permukaan jalan sebanyak 1,000 kali sesaat dan akan melaras kenderaan secara automatik untuk pemanduan yang paling lancar.
Dalam versi paling berkuasa, model ini mempunyai 905 hp dan 985 Nm yang dibekalkan oleh sepasang motor elektrik. Angka tersebut membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam masa kurang 2.8 saat.
Tidak seperti Eletra yang dilengkapi dengan bateri berkapasiti 112 kWj, Emeya didatangkan dengan bateri 102 kWj yang menyokong pengecasan pantas sehingga 350 kW.
Menurut Lotus, pengecasan selama lima minat akan memberikan jarak pemanduan sejauh 150 km, sementara pengecasan selama 18 minit boleh memulihkan kuasa bateri dari 10 hingga 80 peratus.
Jarak pandu tidak dinyatakan namun ia angkanya dijangka tidak jauh berbeza dengan Eletre yang boleh dipandu sejauh 600 km dengan satu cas penuh.
Emeya dibangunkan menggunakan pelbagai material lestari bagi mengurangkan jejak karbonnya. Ini termasuk benang yang diperbuat daripada gentian yang dikitar semula daripada industri fesyen, aluminium PVD, Alcantara, kulit Nappa dan ultrafabrik PU.
Bagi mereka yang gemar mendengar muzik, Emeya menjanjikan pengalaman audio terbaik menerusi sistem audio yang dibangunkan dengan kerjasama KEF. Sistem ini merangkumi pembesar suara Uni-Q dan subwoofer Uni-Core, serta bunyi 3D Dolby Atmos.
Turut disertakan adalah paparan head-up realiti terimbuh (AR) berukuran 55 inci, cermin digital dan modul LiDar seperti yang terdapat pada Eletre.
BULAN lepas, Tesla Malaysia mengumumkan supercharger mereka di Pavilion Kuala Lumpur telah diaktifkan, dengan ikon dalam peta rangkaian di laman web menyala merah.
Tesla berkata semasa pelancaran bahawa mereka mempunyai 12 supercharger di negara ini. Kini mereka telah menambah dua lagi lokasi baharu, iaitu di Petaling Jaya, Selangor dan Alor Gajah, Melaka.
Supercharger di Petaling Jaya menjadi yang kedua di bandar raya itu. Supercharger di Alor Gajah pula sesuatu yang penting, ia bermakna pemilik-pemilik boleh memandu ke selatan tanah air dengan lebih mudah.
Belum ada maklumat terperinci mengenai lokasi-lokasi lain, tetapi pertambahan rangkain pengecas mereka setakat ini nampak menjanjikan dan agak cepat.
Seperti disebut, lokasi pengecas Tesla Supercharger di Pavilion Kuala Lumpur merupakan satu-satunya yang telah diaktifkan, dengan lapan ruang pengecas yang mampu menyokong sehingga 250kW.
Kadar pengecasan ialah RM1.25/kWh, dan terdapat juga bayaran idle (menunggu) sebanyak RM4 per minit.
UNTUK emisi sifar, BMW percaya ada beberapa cara lain lagi selain elektrik (EV), salah satunya adalah dengan tenaga hidrogen.
BMW iX5 Hydrogen merupakan sebuah platform untuk cara ini, dan baru-baru ini beberapa unit SUV itu telah selesai ujian cuaca panas di Emiriah Arab Bersatu (EAB).
Walaupun berdepan dengan suhu sehingga 45-darjah Celsius serta mengharungi pasir, debu, dan pelbagai permukaan jalan, SUV hidrogen ini tetap cemerlang dan lulus.
Dari sistem bahan api sel, motor elektrik, hingga tangki hidrogen, segala perkakasan berfungsi dengan cara sepatutnya di samping pasukan pembangun terbang dari Munich untuk menjalankan analisis.
Timur Tengah bukan satu-satunya lokasi ujian BMW iX5, kerana terdapat sekumpulan prorotaip sedang diuji di Jepun, China, Korea Selatan, Eropah, dan Amerika Syarikat.
Sebenarnya, belum ada perancangan untuk menjual SUV ini, tetapi pihak atasan BMW ada menyebut untuk menawarkan model hidrogen sebelum penghujung dekad ini (2030).
Untuk spesifikasi, BMW iX5 Hydrogen mempunyai output keseluruhan sebanyak 401hp (295kW) dan menampilkan dua tangki CFRP yang mampu menampung kira-kira 6kg.
Ini memberikan iX5 Hydrogen jarak pemanduan sehingga 504km (menurut kitaran WLTP), iaitu serupa dengan kenderaan enjin pembakaran dalaman. Hanya tiga hingga lima minit masa diperlukan untuk mengisi tangki hidrogen, juga sama dengan mengisi petrol pada kereta biasa.
Walaupun menekankan bab kecekapan, BMW menyebut bahawa iX5 tidaklah perlahan juga. Ia mampu memecut ke 100km/j dalam masa kurang enam saat. Ia juga dilengkapi mod Sport yang akan mengeraskan suspensi dan memberikan kuasa penuh.
Peluang tipis untuk anda menjumpai iX5 ini di jalan raya kerana kurang dari 100 unit sahaja dihasilkan. Kesemuanya dikeluarkan di kilang Spartanburg iaitu di fasiliti pemasangan BMW X5 biasa tetapi perubahan teknikal lain dibuat di Munich.