Arkib Tag: Boon Siew Honda

Honda CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary Edition – RM209k

BOON Siew Honda telah melancarkan model flagship CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary Edition ke pasaran Malaysia.

Jentera istimewa ini boleh didapati dalam satu warna sahaja iaitu Pearl Glare White dan dijual pada harga RM208,800 tidak termasuk insurans.

Secara asasnya, CBR1000RR-R Fireblade SP adalah model yang dibangunkan untuk prestasi semata-mata menggunakan teknologi enjin dan casis RC213V-S, yang secara asasnya merupakan jentera MotoGP jalanan.

Ia dikuasakan oleh enjin 999 cc empat silinder sebaris yang menghasilkan 214 hp pada 14,500 rpm dan 113 Nm pada 12,500 rpm. Enjin ini dilengkapi dengan semi-cam gear train dan con-rod titanium bagi mengurangkan geseran dalaman.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan teknologi quickshifter dan klac jenis Slipper & Assist.

Selain itu, bilangan gigi sprocket belakang bertambah dari 40 ke 43 untuk mendapatkan prestasi pecutan yang lebih baik. Kotak udara dan saluran intake juga direka semula untuk aliran udara yang lebih lancar.

Satu lagi penambahbaikan yang telah dilakukan oleh Honda adalah mengurangkan beban spring Throttle-by-Wire bagi meningkatkan respon pendikit. Honda Selectable Torque Control (HSTC) juga telah ditala semula mengikut maklum balas dari pelumba dari seluruh dunia.

Seperti sebelum ini, terdapat tiga mod tunggangan yang membolehkan penunggang melaraskan aspek kuasa, brek enjin, kawalan wheelie dan HSTC. Pakej elektronik motosikal ini turut merangkumi Start Mode.

Untuk aspek casis pula, CBR1000RR-R Fireblade SP 30th Anniversary Edition kekal dengan kerangka aluminium diamond-style, lengan ayun RC213V-S, Inertial Measurement Unit (IMU) dan Honda Electronic Steering Damper (HESD) dengan tiga peringkat pelarasan.

Suspensi yang digunakan adalah daripada Ohlins yang terdiri daripada fork NPX 43 mm di depan dan penyerap hentak tunggal TTX36 di belakang. Sistem brek pula dibekalkan oleh Brembo.

Bukan itu sahaja, model ini juga mempunyai winglet untuk meningkatkan downforce dan menambah baik kestabilan ketika membrek, skrin TFT lima inci dengan animasi ‘Ring of Fire’, ukiran laser nombor siri produksi pada bar hendal, serta logo ulang tahun pada tangki, kunci dan ekzos Akrapovic.

Honda BeAT 2023 – empat warna cun, harga dari RM5,990

BOON Siew Honda hari ini mengumumkan pilihan warna baharu untuk Honda BeAT, skuter bersaiz kecil yang dilancarkan di Malaysia pada 2015.

Untuk model 2023, BeAT akan ditawarkan dengan empat pilihan warna menarik iaitu merah, biru, hitam dan kuning. Setiap warna dipadankan dengan grafik bertemakan ‘abstrak moden’ yang direka untuk menarik minat pembeli dari kalangan golongan muda.

Model ini akan tersedia di semua pengedar sah Honda bermula 30 Jun 2023. Harga jualannya bermula dari RM5,990 dan ia didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal. BeAT masih dikuasakan oleh enjin 109.5 cc silinder tunggal dengan teknologi suntikan bahan api PGM-FI yang menghasilkan 8.7 hp pada 7,500 rpm dan 9.5 Nm pada 6,000 rpm.

 

Enjin ini mematuhi piawaian emisi Euro 4 ini dan mampu menawarkan penggunaan bahan api serendah 59.1 km per liter.

BeAT mempunyai rangka Smart Architecture Frame (eSAF) dan menggunakan suspensi jenis fork teleskopik dan penyerap hentak tunggal.

Sistem brek adalah jenis kombi (CBS) di mana tuil brek belakang disambung kepada kedua-dua brek depan dan belakang dan akan mengagihkan tekanan secara optimum untuk jarak brek selamat.

Selain itu, BeAT didatangkan dengan ruang simpanan 11.7 liter di bawah tempat duduk, lampu depan LED, kunci brek parkir dan Side Stand Switch yang akan mematikan enjin secara automatik apabila tongkat sisi diturunkan.

Honda CBR150R kini dalam warna Pearl Nightfall Blue, harga RM13,299

BOON Siew Honda (BSH) telah mengumumkan pilihan warna baharu untuk Honda CBR150R iaitu Pearl Nightfall Blue.

Menurut syarikat itu, CBR150R dengan skema warna biru kuning itu akan tersedia di semua pengedar sah Honda di seluruh negara bermula 22 Jun 2023. Harga jualan bermula dari RM13,299 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Spesifikasi tidak berubah, bermakna ia masih dilengkapi dengan lampu LED penuh, panel meter digital yang memaparkan pelbagai informasi penting dan brek cakera beralun dengan ABS dwi saluran.

‘Nadi’ jentera ini adalah enjin sejukan cecair DOHC silinder tunggal bersesaran 150cc yang menghasilkan 16 hp pada 9,000 rpm dan 13.7 Nm pada 7,000 rpm. Enjin ini dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api Programmed Fuel Injection (PGM-Fi).

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan dengan klac jenis ‘slipper’ yang dikatakan mempunyai operasi yang lebih mudah dan selesa.

Untuk sistem suspensi, CBR150R dilengkapi dengan fork teleskopik terbalik dan penyerap hentak Pro-Link. Rim yang digunakan adalah berukuran 17 inci, dibalut tayar bersaiz 100/80 di depan dan 130/70 di belakang.

Bagi model ini, Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Honda RS150R kini dalam warna Mat Charcoal Gray Metallic – RM8,299

BOON Siew Honda baru-baru ini memperkenalkan pilihan warna baharu untuk Honda RS150R iaitu Mat Charcoal Gray Metallic.

Menurut syarikat itu, RS150R dalam warna baharu itu akan tersedia di semua pengedar Honda sah dan terpilih di seluruh negara mulai 3 Jun 2023, dengan harga bermula RM8,299 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Dilancarkan ke pasaran Malaysia pada Januari 2020, RS150R versi facelift dikuasakan oleh enjin sejukan cecair, silinder tunggal bersesaran 149.2 cc yang mampu menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm tork pada 7,000 rpm.

Enjin itu digandingkan dengan kotak gear enam kelajuan, klac manual dan pacuan rantai untuk prestasi tunggangan yang baik sama ada di lebuh raya atau di kawasan bandar.

Untuk model berwarna Charcoal Gray Metallic ini, ciri-ciri lain masih sama iaitu lampu depan LED, panel meter digital dan brek cakera pada bahagian depan dan belakang.

Seperti sebelum ini, RS150R didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua  tahun atau 20,000 km.

Honda Vario 125 dilancarkan pada harga RM7,080

SELEPAS melancarkan ADV 160 dan X-ADV 2023 tempoh hari, Boon Siew Honda kini memperkenalkan pula model Vario 125 baharu ke pasaran tempatan.

Menurut syarikat itu, model ini disasarkan kepada penunggang yang mencari skuter mampu milik dengan ciri-ciri moden dan canggih yang turut terdapat pada skuter premium.

Ia dikuasakan oleh enjin sejukan cecair bersesaran 124.9 cc yang mampu menghasilkan 11.5 hp pada 8,500 rpm dan 11.74 Nm tork pada 5,000 rpm.

Enjin berkenaan dilengkapi dengan teknologi Enhanced Smart Power (eSP) yang memberikan geseran minimum serta ciri Idling Stop System (ISS) untuk kecekapan bahan api.

Apa yang menarik, Vario 125 dikatakan model pertama dalam kategori 125 cc yang didatangkan dengan ciri Honda SMART Key System.

Turut disertakan adalah sistem penggera anti-kecurian yang akan menghidupkan bunyi penggera dan isyarat berkelip apabila motosikal mengesan getaran atau pergerakan.

Sistem jawab balik (Answer Back) pula berfungsi untuk mengesan kedudukan motosikal apabila diletakkan dan pemilik akan dimaklumkan apabila fungsi immobiliser dihidupkan.

Untuk kemudahan penunggang, Vario 125 didatangkan dengan pengecas USB di dalam kotak konsol, serta dua ruang simpanan terbuka yang boleh memuatkan botol air dan barangan lain seperti sarung tangan.

Selain itu, terdapat juga penyimpanan sebesar 18 liter di bawah tempat duduk untuk menyimpan topi keledar serta barangan lain. Ia dikatakan ruang penyimpanan terbesar bagi motosikal kategori 125 cc.

Bagi menarik minat golongan muda, Vario 125 bukan sahaja mempunyai reka bentuk dan grafik yang sporty, malah dilengkapi dengan sistem lampu LED dan panel meter digital yang memaparkan semua maklumat penting.

Ia menggunakan tayar berukuran 90/80-14 di hadapan dan 100/80-14 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal pada kedua-dua bahagian, tetapi ABS tidak disertakan.

Honda Vario 125 boleh didapati dalam tiga warna iaitu merah, biru dan kuning. Harga jualan (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans) adalah RM7,080.

Honda X-ADV 2023 tampil dalam warna baharu Shasta White

BOON Siew Honda telah memperkenalkan Honda X-ADV versi 2023 yang boleh didapati dalam warna putih baharu bergelar Shasta White.

Selain warna baharu itu, X-ADV masih lagi ditawarkan dengan pilihan warna Matte Ballistic Black Metallic dan Pearl Deep Mud Grey.

Seperti sebelum ini, X-ADV dipacu oleh enjin dua silinder selari bersesaran 745 cc yang menghasilkan 57.8 hp pada 6,750 rpm dan 69 Nm pada 4,750 rpm. Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi klac berkembar (DCT) enam kelajuan.

Enjin tersebut bertaraf Euro 5 dan mempunyai sistem penyejukan cecair. Selain itu, ia juga didatangkan dengan pendikit jenis ‘throttle-by-wire’ dan lima mod tunggangan iaitu Standard, Sport, Rain, Gravel dan User. Turut disertakan adalah sistem Honda Selectable Torque Control (HSTC) dengan tiga tetapan berbeza.

Untuk sistem keselamatan, X-ADV dilengkapi dengan ABS dan Emergency Stop Signal (ESS). Sistem brek pula terdiri daripada brek cakera berkembar 296 mm pada bahagian hadapan dan cakera tunggal 240 mm pada bahagian belakang.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada skuter kembara ini termasuklah lampu LED pada bahagian depan dan belakang, lampu nyalaan siang LED, cermin penghadang angin dengan lima tahap pelarasan, ruang simpanan 22 liter dan soket USB.

Satu lagi ciri yang ditawarkan adalah paparan TFT berukuran 5.0 inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar menerusi Honda Smartphone Voice Control System (HSVCS).

Sistem tersebut membolehkan penunggang membuat panggilan, serta mengakses e-mel. muzik dan navigasi menerusi fungsi arahan suara.

Harga jualan (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran) Honda X-ADV 2023 adalah RM68,899. Ia didatangkan dengan waranti pengeluar untuk dua tahun atau 20,000 km.

Peraduan ‘Buy Honda Win Kaw Kaw’ – CBR250RR, Forza, CBR150R dan ADV160 untuk dimenangi!

BERITA baik untuk mereka yang ingin membeli motosikal Honda. Boon Siew Honda kini sedang mengadakan peraduan ‘Buy Honda Win Kaw Kaw’ di mana pelanggan yang membeli motosikal Honda baharu 160 cc ke bawah berpeluang untuk memenangi hadiah berupa Honda CBR250RR, Forza, CBR150R, ADV160 dan banyak lagi hadiah bernilai lebih RM999,999.

Untuk menyertai, anda hanya perlu mengambil gambar paling kreatif dengan motosikal Honda baharu anda dan muat naik gambar tersebut ke akaun Facebook dan/atau Instagram.

Anda juga perlu menyertakan kapsyen berserta tanda pagar #BuyHondaWinKawKaw dan tag @Honda Motorcycle Malaysia.

Seterusnya, isikan borang Google dengan butiran seperti nama penuh mengikut kad pengenalan, nombor kad pengenalan, nombor telefon, alamat surat menyurat, nombor pendaftaran motosikal dan pautan hantaran Facebook atau Instagram.

Pemenang gambar paling kreatif yang memenuhi kriteria tersebut akan diumumkan pada 13 Mac 2023 dan 17 April 2023 di laman Facebook Honda Motorcycle Malaysia.

Peraduan ‘Buy Honda Win Kaw Kaw’ akan berlangsung hingga 31 Mac 2023. Butiran lanjut boleh didapati di pautan ini: https://boonsiewhonda.com.my/en/buy%20honda-win-kaw-kaw/

Honda ADV 160 dilancarkan pada harga RM12,999

BOON Siew Honda telah melancarkan Honda ADV 160 serba baharu bagi menggantikan model terdahulu iaitu ADV 150 yang dilancarkan pada 2021.

Selain reka bentuk yang lebih sporty, skuter kembara ini turut menampilkan enjin berkapasiti lebih tinggi iaitu 157 cc eSP+ silinder tunggal yang menghasilkan 15.8 hp pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm pada 5,500 rpm.

Untuk perbandingan, ADV 150 dikuasakan oleh enjin 149 cc dengan 14.6 hp dan 13.9 Nm.

Turut disertakan pada ADV 160 adalah teknologi Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang bertindak untuk melaraskan kuasa enjin bagi mengoptimumkan tork di tayar belakang, sekaligus mengurangkan kegelinciran.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik dan penyerap hentak berkembar dengan subtangki Showa. Apa yang menarik, ketinggian pelana telah dikurangkan daripada 795 mm kepada 780 mm.

Untuk brek pula, model ini menggunakan brek cakera beralun pada bahagian depan dan belakang.

Naik taraf lain yang terdapat model ini termasuklah lampu LED penuh, cermin depan boleh laras (dua posisi), panel meter LCD, pengecas USB di dalam kotak konsol dan ruang penyimpanan barang sebesar 30 liter.

Sistem keselamatan pula merangkumi ABS pada brek depan, sistem kunci pintar dan penggera.

ADV 160 dijual pada harga RM12,999 dan boleh didapati dalam dua warna iaitu Matte Charcoal Grey Metallic dan Vivacity Red.

Honda Wave Alpha kini dengan enjin Euro 4, tangki lebih besar – RM5,179

BOON Siew Honda telah mengumumkan kemas kini untuk Honda Wave Alpha bagi model tahun 2023. Model ini yang diperkenalkan buat pertama kali pada 2015 ini menampilkan gabungan gaya, kualiti dan nilai yang sangat berpatutan.

Bermula dengan trenkuasa, Wave Alpha kini dikuasakan oleh enjin 110 cc bertaraf Euro 4 yang turut dilengkapi dengan teknologi Programmed Fuel Injection (PGM-FI). Ia menghasilkan 8.7 hp pada 7,500 dan 8.7 N, pada 5,500 rpm.

Penggunaan teknologi suntikan bahan api berkenaan membolehkan Wave Alpha mencatat kadar penggunaan bahan api 70/9 km/l, mewakili peningkatan sebanyak 12.3 km/l berbanding model tahun 2019. Ini menjadikannya salah satu enjin pembakaran dalaman paling cekap dalam kategorinya.

Bukan itu sahaja, model ini juga mendapat tangki bahan api yang lebih besar (4.1 liter) bagi membolehkan ia mencapai jarak tunggangan yang lebih jauh dengan satu isian.

Dari segi penampilan, Wave Alpha dikatakan mempunyai reka bentuk yang lebih langsing, berserta lampu belakang dan panel meter yang direka semula. Model tahun 2023 ini boleh didapati dalam warna Vivacity Red, Pearl Nightfall Blue dan Clipper Yellow.

Turut diberi kemas kini adalah ciri kemudahan penunggang, di mana ruang storan di bawah tempat duduk kini mempunyai kapasiti dua kali ganda lebih besar daripada model sebelumnya iaitu 7.3 liter.

Akhir sekali, harga jualan (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran) Wave Alpha adalah RM5,179. Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Honda RS-X dapat dua warna baharu untuk 2023 – harga dari RM9,698

DILANCARKAN buat pertama kali di Malaysia pada 2021, Honda RS-X kini tampil dengan dua pilihan warna baharu untuk model tahun 2023 iaitu Lemon Ice Yellow dan Candy Caribbean Blue Sea.

Bukan itu sahaja, moped itu juga boleh didapati dalam versi Trico yang menampilkan kombinasi warna ikonik merah, biru dan putih, serta rim berwarna emas yang lebih menonjol.

Selain pilihan warna baharu, ciri-ciri lain RS-X masih kekal sama. Ia dikuasakan oleh enjin sejukan cecair DOHC empat lejang bersesaran 149 cc yang menghasilkan 15.8 hp pada 9,000 rpm dan 13.6 Nm pada 7,000 rpm. Enjin berkenaan digandingkan dengan transmisi enam kelajuan.

RS-X menggunakan kerangka tiub berkembar yang dipadankan dengan fork teleskopik dan lengan ayun, serta rim 17 inci dengan tayar tanpa tiub bersaiz 90/80 di depan dan 120/70 di belakang. Sistem brek pula terdiri daripada cakera hidraulik pada bahagian depan dan belakang, berserta ABS.

Selain itu, RS-X juga dilengkapi dengan lampu LED, panel meter digital dan tangki bahan api 4.5 liter. Menurut Boon Siew Honda, berat keseluruhan model ini adalah 122 kg.

Harga jualan untuk warna Lemon Ice Yellow dan Candy Caribbean Blue Sea bermula dari RM9,698, manakala edisi Trico pula berharga RM9,748. Ia boleh didapati di semua pengedar sah Honda menjelang 4 Januari 2023.

Honda Vario 160 kini dengan kerangka baharu, enjin lebih besar – RM10k

BOON Siew Honda hari ini melancarkan skuter “sporty premium” Honda Vario 160 baharu yang tampil bagi menggantikan model terdahulu iaitu Vario 150.

Seperti yang tertera pada namanya, Vario 160 mempunyai enjin baharu dengan kapasiti lebih tinggi. Enjin 157 cc, silinder tunggal itu menghasilkan 15.1 hp pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm.

Enjin berkenaan dilengkapi dengan teknologi enhanced Smart Power Plus (eSP+) yang direka untuk meningkatkan kecekapan bahan api dan mengurangkan geseran tanpa menjejaskan output.

Selain ‘nadi’ baharu, Vario 160 juga dibina menggunakan kerangka enhandced Smart Architecture Frame (eSAF) yang dikatakan lebih lincah dan senang dikendalikan. Ia dipadankan dengan tayar bersaiz 180/80 di depan dan 120/70 di belakang, serta roda tempaan 14 inci yang menampilkan rekaan terkini.

Sistem brek pula terdiri daripada cakera tunggal pada bahagian depan dan belakang. Bagaimanapun, ABS hanya terdapat pada brek depan.

Ciri-ciri lain yang terdapat pada model ini termasuklah sistem kunci pintar yang dilengkapi dengan penggera, lampu LED depan dan belakang, lampu isyarat membelok LED dan panel meter digital yang memaparkan penunjuk kunci pintar, jam, kadar kecekapan bahan api dan ABS.

Tidak cukup dengan itu, ia juga dilengkapi dengan pengecas USB Type A dan ruang storan 18 liter di bawah pelana.

Vario 160 boleh didapati dalam empat warna iaitu Vivacity Red, Pearl Nightfall Blue, Sword Silver Metallic dan Matte Charcoal Grey Metallic.

Harga (tidak termasuk cukai jalan pendaftaran dan insurans) bermula dari RM9,998, namun pelanggan yang memilih warna Matte Charcoal Grey Metallic dikenakan bayaran tambahan sebanyak RM300.

Seperti model-model lain, Boon Siew Honda menawarkan waranti pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports ditambah baik – RM117,888

EMPAT tahun selepas dilancarkan di Malaysia, Honda CRF1100L Africa Twin Adventure Sports kini diberi penambahbaikan yang melibatkan aspek mekanikal dan juga kelengkapan.

Model ini boleh didapati dalam satu warna sahaja iaitu Pearl White Glare Tricolour dan dijual pada harga RM117,888 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Boon Siew Honda menawarkan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000 km.

Untuk model tahun 2022, transmisi klac berkembar (DCT) pada CRF1100L Africa Twin Adventure Sports telah ditala semula dengan tetapan yang diperhalusi untuk penukaran gear 1 dan 2 yang lebih lancar.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan skrin penghadang angin lebih pendek berukuran 110 mm yang mempunyai lima tahap pelarasan. Menurut Boon Siew Honda, skrin ini meningkatkan keterlihatan penunggang dan pada masa yang sama menawarkan perlindungan dari angin.

Akhir sekali, badannya kini dihiasi dengan grafik ‘Cracked Terrain’ yang memberikan penampilan yang lebih menarik.

Seperti sebelum ini, CRF1100L Africa Twin Adventure Sports dikuasakan oleh enjin 1,084 cc silinder berkembar sebaris yang menghasilkan 100.5 hp pada 7,500 rpm dan 105 Nm pada 6,250 rpm. Ia dipadankan dengan transmisi DCT enam kelajuan.

Jentera ini menggunakan sistem suspensi elektronik Showa yang berupaya untuk menguruskan daya redaman bergantung kepada mod yang dipilih iaitu Soft, Mid, Hard dan Off-Road.

Selain itu, terdapat juga ciri Intertial Measurement Unit (IMU) enam paksi yang ditugaskan untuk mengawal Honda Selectable Torque Control (HSTC), Wheelie Control, Cornering ABS, Rear Lift Control dan transmisi.

Penunggang boleh memilih daripada empat mod tunggangan yang disediakan iaitu Urban, Tour, Gravel dan Off-Road. Turut disertakan adalah dua mod User yang boleh disesuaikan mengikut kehendak penunggang.

Semuanya boleh diakses menerusi paparan sentuh multi-info TFT berukuran 6.5 inci yang turut menyokong Apple CarPlay, Android Auto dan ketersambungan Bluetooth. Penunggang tidak perlu risau tentang bateri telefon pintar kerana motosikal ini didatangkan dengan port pengecas USB.

Honda CBR250R kini dengan fork terbalik Showa – harga dari RM23,999

SELEPAS tiga tahun ‘terbiar’, Honda CBR250R akhirnya menerima kemaskini yang menyaksikan model itu hadir dengan sistem suspensi dan kelengkapan baharu.

Bagi model tahun 2022, jentera yang diberi jolokan ‘Neo Sports Cafe’ ini dijual pada harga RM23,999 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Boon Siew Honda selaku pengedar rasmi menawarkan waranti selama dua tahun atau 20,000 km.

Ia boleh didapati dalam dua pilihan warna, iaitu Matte Gun Powder Black Metallic dan Candy Chromosphere Red.

CBR250R kini dilengkapi dengan fork depan terbalik Separate Function Big Piston (SFF-BP) keluaran Showa bersaiz 41 mm. Peredam pemisahan tekanan di dalam satu tabung fork dan mekanisme spring di dalam tabung satu lagi menawarkan prestasi redaman yang lebih tinggi.

Sementara itu, suspensi jenis monoshock pada bahagian belakang pula mempunyai lima tahap pelarasan untuk pra-muat spring.

Seperti sebelum ini, CBR250R dikuasakan oleh enjin silinder tunggal DOHC bersesaran 250 cc dengan output 27.2 hp pada 9,500 rpm dan 23.4 Nm pada 7,750 rpm. Enjin sejukan cecair itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang dilengkapi dengan klac Assist/Slipper untuk penukaran gear yang lebih lancar.

Selain itu, model ini juga didatangkan dengan ABS dwi-saluran yang diuruskan secara dinamik oleh sistem Internatial Measurement Unit (IMU) bagi memastikan daya brek diagihkan sama rata antara roda depan dan belakang.

Ciri ini juga berupaya untuk meminimumkan lonjakan roda belakang, sekaligus menjadikan penunggang lebih yakin di jalan raya.

Satu lagi ciri baharu adalah paparan meter LCD yang menampilkan grafik lebih moden dengan penunjuk kedudukan gear yang lebih jelas dan mudah dilihat. Turut disertakan adalah lampu LED pada bahagian depan dan belakang.

Honda CBR150R kini dengan livery ikonik Repsol – 800 unit sahaja, RM13,499

Sejak dilancarkan ke pasaran pada September 2021, Honda CBR150R telah memperoleh reputasi dalam segmen supersports dengan keseimbangan prestasi dan gaya yang tersendiri.

Bagi mengukuhkan lagi popularitinya, Boon Siew Honda telah melancarkan Honda CBR150R Edisi Repsol yang hadir dengan livery ikonik Repsol yang menampilkan adunan warna oren, hitam dan putih. Penampilan jentera ini diserlahkan lagi menerusi rim berwarna oren yang sporty.

Seperti versi standard, model ini juga didatangkan dengan lampu LED penuh, brek cakera beralun dengan ABS dwi saluran serta panel meter digital yang memaparkan pelbagai maklumat penting kepada penunggang.

CBR150R dikuasakan oleh enjin sejukan cecair DOHC silinder tunggal bersesaran 150cc yang menghasilkan 16hp pada 9,000 rpm dan 13.7Nm pada 7,000 rpm. Enjin ini dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api Programmed Fuel Injection (PGM-Fi).

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam kelajuan dengan klac jenis ‘slipper’ yang dikatakan mempunyai operasi yang lebih mudah dan selesa.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik terbalik dan lengan ayun monoshock Pro-Link, manakala tayar yang digunakan adalah berukuran 100/80 di depan dan 130/70 di belakang. Rim pula didatangkan dalam saiz 17 inci.

Menurut Boon Siew Honda, hanya 800 unit CBR150R Edisi Repsol akan ditawarkan dan setiap satu dijual pada harga RM13,499 tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans. Ia didatangkan dengan jaminan pengeluar selama dua tahun atau 20,000km.

 

Honda RS150R 2022 dengan warna baharu, enjin lebih berkuasa

BOON Siew Honda telah memperkenalkan Honda RS150R bagi tahun 2022. Perubahan ini dapat dilihat melalui pengenalan tiga warna baharu iaitu Vivacity Red, Pearl Nightafall Blue dan Radiate Grey Metallic.

Untuk model tahun 2022, enjinnya kini mematuhi piawaian pelepasan Euro 4 di samping penambahan muffler baharu.

RS150R ini dikuasakan oleh enjin sejukan cecair 4-lejang DOHC 149.2cc yang menghasilkan kuasa sebanyak 15.8hp dan 13.6Nm tork. Enjin ini dipadankan dengan transmisi 6-kelajuan, klac manual serta pemacu rantai.

Selain dari prestasi tunggangan yang praktikal, Honda RS150R ini turut mempunyai pelbagai ciri menarik seperti meter kelajuan digital dengan paparan pelbagai maklumat, lampu utama LED serta sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang.

Harga yang ditawarkan untuk model ini adalah RM8,299 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Boon Siew Honda juga menawarkan dua tahun waranti atau 20,000km bagi setiap pembelian motosikal ini.

Honda Beat 2022 terima warna baharu, harga RM5,765

BOON Siew Honda memperkenalkan Honda Beat yang kini menerima warna dan kemasan grafik baharu.

Warna baharu itu hadir dengan empat pilihan iaitu Clipper Yellow, Pearl Magellanic Black, Vivacity Red dan Pearl Nightfall Blue.

Tiada perubahan dari segi mekanikal, Honda Beat masih dikuasakan enjin eSP dengan 109.5cc yang menjana 8.7hp pada 7,500rpm dan 9.53Nm tork pada 6,000rpm.

Enjin PGM-FI dengan piawaian Euro 4 ini dikatakan cukup cekap dengan penggunaan bahan api serendah 59.1km per liter (mengikut WMTC).

Honda Beat dibina pada rangka Smart Architecture Frame (eSAF) dan mempunyai kapasiti bahan api 4.2 liter serta ruang simpanan 11.7 liter di bawah tempat duduk.

Sistem brek adalah jenis kombi (CBS) dimana tuil brek belakang disambung kepada kedua-dua brek depan dan belakang dan akan mengagihkan tekanan secara optimum untuk jarak brek selamat.

Ciri lain pada Honda Beat adalah lampu depan LED, kunci brek parkir, dan Side Stand Switch yang akan mematikan enjin secara automatik apabila tongkat sisi diturunkan.

Honda Beat 2022 ditawarkan pada harga RM5,765 dan hadir dengan jaminan dua tahun atau 20,000km (yang mana dahulu).

Honda Rebel 500 terima warna baharu Pearl Organic Green, harga RM33k

SERENTAK dengan pengenalan CBR250RR dan Gold Wing GL1800, Boon Siew Honda juga melancarkan Rebel 500 untuk tahun 2022. Motosikal ini ditawarkan pada harga RM32,899 tanpa cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Apa yang baharu? Rebel 500 2022 mendapat warna baharu Pearl Organic Green sebagai penambahan kepada Matte Jeans Blue Metallic dan Graphite Black sedia ada.

Honda Rebel 500 dikuasakan oleh enjin 471cc parallel-twin dengan sistem PGM-Fi yang mampu menjana 45.59hp pada 8,500rpm dan 43.3Nm tork pada 6,000rpm. Enjin ini – menurut Honda – telah ditala untuk lebih tork pada julat rpm rendah. Kuasa disalurkan ke roda dengan transmisi 6-kelajuan dan klac slipper.

Rebel 500 mendapat lampu LED depan dan belakang, serta kluster instrumen berdiameter 100mm yang ringkas serta memberikan paparan jelas. Ia mampu memaparkan maklumat seperti gear dan penggunaan bahan api.

Rebel 500 menggunakan fork teleskopik di depan berserta penyerap hentak Showa dengan nitrogen untuk keselesaan tunggangan. Brek pula terdiri dari cakera tunggal di depan, manakala rim bersaiz 16-inci dengan tayar 130/90 (depan) dan 150/80 (belakang).

Tempat duduk Rebel 500 ini cukup mesra penunggang dengan ketinggian 690mm, dan mempunyai berat 190kg serta tangki minyak berkapasiti 11.2-liter.

Honda Rebel 500 kini boleh didapati di cawangan Honda BigWing seluruh negara.

Honda CBR150R dilancar di Malaysia – 16hp, ABS, dua warna, RM12,499

BOON Siew telah melancarkan motosikal sport yang dinanti ramai, iaitu Honda CBR150R baharu. Pelancarannya dibuat secara maya dan disiarkan melalui laman Facebook Honda Motorcycle Malaysia.

Honda CBR150R dibangunkan dengan konsep CBR Total Control, menampilkan rupa motosikal sporti dan agresif dengan prestasi dengan ciri-ciri canggih terkini.

CBR150R hadir dengan dua pilihan warna di Malaysia, iaitu Mat Charcoal Grey Metallic dan Candy Scintillate Red dan ditawarkan pada harga RM12,499.

Motosikal sport ini dikuasakan oleh unit 150cc DOHC dengan sejukan cecair yang mampu menjana 12kW (16hp) pada 9,000rpm dan 13.7Nm tork pada 7,000rpm. Enjin ini digabungkan dengan kotak gear 6-kelajuan.

CBR150R juga dilengkapi dengan ABS (Anti-lock Braking System) dua saluran serta klac Assist & Slipper yang mengelakkan gelinciran tayar belakang semasa tunggangan sporti dan menurunkan gear.

Dari segi rupa, Honda CBR150R mendapat lampu depan LED dan rekabentuk badan yang sporti yang pasti membuatkannya nampak serasi di litar.

Suspensi depan terbalik bersama dengan posisi menunggang ‘racy’ ke depan dan fairing penuh menyerlahkan gaya perlumbaannya.

Selain itu, suspensi ini menjadikan pengendalian lincah dan memberikan kestabilan menunggang terutama ketika menunggang pada kelajuan yang lebih tinggi.

Ciri-ciri lain yang turut dilengkapi adalah seperti brek cakera beralun yang menekankan penampilan sporti, papara instrumen digital dan Emergency Stop Signal (ESS).

Tunggangan agresif, santai dengan Honda ADV 150

GABUNGAN ‘motocross’ dan skuter mungkin kedengaran pelik di atas kertas.

Bagaimana ‘motocross’ yang terkenal dengan cara tunggangan lasak boleh digabungkan dengan skuter?

Namun, Honda membuktikan tidak mustahil konsep ‘motocross’ boleh dipadankan dengan skuter.

Honda ADV 150 diperkenal baru-baru ini menjawab segala persoalan terbuku.

Jom kita semak apa yang istimewa dengan ADV 150 ini?

Honda ADV150 menjadi 'buruan' kebanyakan anak muda.

Honda ADV 150

Sebenarnya ini bukan kali pertama Honda menampilkan jentera bercirikan skuter dan motocross.

Tahun lalu, Honda telah melancarkan model X-ADV 750 dengan harga sekitar RM64,000.

Menyedari ramai meminati konsep jentera skuter off-road, Honda tampil dengan ADV 150 tahun ini dengan harga mampu milik.

Sesuai dengan kapasiti enjin 150cc, ADV 150 dijual pada harga sekitar RM12,000 sahaja.

Spesifikasi ADV 150

Honda ADV 150 sesuai untuk kegunaan mereka yang gemar tunggangan secara lasak.

Ia merupakan sebuah skuter yang boleh melalui permukaan jalan gravel mahupun tunggangan dalam bandar.

Justeru, apakah yang membuatkan ADV 150 ini begitu berkuasa?

ADV 150 digerakkan oleh enjin satu silinder suntikan bahan api PGM-Fi SOHC 149.3cc.

Ia juga dipadan dengan transmisi automatik V-Matic bagi menghasilkan kuasa 14.6 hp pada 8,500 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm.

Enjin ini turut didatangkan dengan fungsi Idling Sto System (ISS) yang memudahkan penunggang ketika berhenti di lampu isyarat.

Selain itu, ADV 150 juga didatangkan dengan tangki bahan api 8.0 liter dan fork teleskopik hadapan.

Berikut antara ciri menarik lain yang ada pada ADV 150:

  • Sistem kunci pintar,
  • Brek cakera depan dan belakang
  • ABS two-channel
  • Lampu LED penuh depan dan belakang
  • Suspensi belakang Showa dengan tabung
  • Rim 14 inci di hadapan dan 13 inci di belakang
  • Ruang simpanan 28 liter di bawah tempat duduk

Baru-baru ini EnGear juga berkesempatan menunggang ADV 150. Nak tahu apa yang istimewa?

Saksikan video bersama Anuar Norick yang berpeluang ‘melenjan’ ADV 150.