Arkib Tag: Boon Siew Honda

Boon Siew Honda lancar inisiatif Honda Assist bantu mangsa banjir

Boon Siew Honda memperkenalkan inisiatif khas Honda Assist: Flood Campaign bagi membantu pemilik motosikal jenama Honda memulihkan kenderaan mereka yang terjejas akibat banjir.

Program ini berlangsung dari 8 Disember hingga 31 Disember 2025, menawarkan bantuan seperti:

  • Pemeriksaan motosikal komprehensif untuk semua model terjejas
  • Pakej Pemulihan Asas Banjir percuma untuk motosikal bawah 250 cc merangkumi 1 botol minyak enjin Pro Honda, 1 unit palam pencucuh, 1 pasang pad brek berserta seat set dan 1 botol pencuci enjin Pro Honda
  • Diskaun 20 peratus untuk alat ganti yang terjejas banjir bagi motosikal kecil dan besar

Pemilik motosikal bawah 250cc boleh ke Honda Impian X yang mengambil bahagian, manakala motosikal 250cc ke atas boleh kunjungi mana-mana Honda BigWing di seluruh negara untuk pemeriksaan.

Pengguna perlu membawa salinan laporan polis atau surat pengesahan dari pegawai daerah untuk mengesahkan kawasan mereka terjajas akibat banjir sebagai dokumen sokongan dan membuat janji temu dengan pengedar untuk memudahkan proses pemeriksaan.

Program ini turut mendapat sokongan daripada PETRONAS, ThreeBond, Niterra Malaysia dan Denso.

Honda RS-X Winner Tricolor Edition 2025 – 800 unit, hadir dengan aksesori RCB, harga RM10,298

Boon Siew Honda melancarkan model kapcai RS-X Winner dengan liveri ikonik Honda Tricolor untuk pasaran tempatan bersempena acara Honda Thanks Day baru-baru ini.

Terhad kepada 800 unit sahaja, RS-X Winner Tricolor Edition hadir dengan aksesori RCB seperti berikut:

  • RCB Brake Caliper S-26 Series (30th Anniversary Edition)
  • RCB Handle Grip Nagamaki
  • RCB Lever Guard

 

Setiap pembelian model edisi terhad ini didatangkan dengan jaminan pengeluar dua-tahun atau had perbatuan 20,000 km (yang mana tiba dahulu), serta jaminan tambahan satu tahun tanpa had perbatuan di bawah kempen Honda X-tend.

Spesifikasi asas masih lagi sama, di mana ia kekal dengan enjin silinder tunggal sejukan cecair 149.2 cc menghasilkan kuasa 15.8 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.6 Nm @ 7,000 rpm.

Transmisi pula adalah jenis enam-kelajuan yang dibantu dengan klac Assist & Slipper.

RS-X Winner menggunakan tetapan fork teleskopik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, sementara brek pula menggunakan sistem cakera hidraulik yang dibantu dengan ABS saluran tunggal.

Tangki bahan api adalah sebesar 4.5 liter sementara tinggi pelana pula 795 mm.

Harga jualan bermula dari RM10,298 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

BSH turut menawarkan warna-warna standard seperti Green, Matte Gray dan Blue dengan harga jualan bermula dari RM9,998, atau warna istimewa Yellow dengan harga jualan RM10,298.

Honda BeAT kini boleh didapati dalam warna hitam dan putih, harga dari RM6,090

Boon Siew Honda telah menambah dua pilihan warna baharu untuk Honda BeAT iaitu hitam dan putih.

Kedua-dua rona baharu ini melengkapkan pilihan sedia ada iaitu perak matte dan hijau, menjadikan jumlah keseluruhan empat warna untuk dipilih mengikut cita rasa penunggang.

BeAT dikuasakan oleh enjin 110cc Enhanced Smart Power (eSP) yang menghasilkan 8.7 hp pada 7,500 rpm dan 9.5 Nm pada 5,500 rpm.

Ia diperakui sebagai Kenderaan Cekap Tenaga (EEV), dengan penggunaan bahan api serendah 1.7 liter/100 km.

Dari segi keselamatan, skuter ini dilengkapi sistem brek gabungan (CBS) untuk prestasi membrek yang lebih seimbang, disokong penarafan keselamatan 3-bintang MyMAP.

Ia juga praktikal untuk kegunaan harian dengan kemudahan seperti pengecas peranti, kotak simpanan 12 liter, cangkuk beg, kunci brek tangan, dan pembuka tempat duduk jenis one-touch.

Selain itu, terdapat juga lampu utama LED untuk pencahayaan jelas pada waktu malam, serta panel meter rekaan moden dengan penunjuk ECO dan bateri.

Pilihan warna baharu ini akan mula ditawarkan menerusi Honda Impian X dan pengedar sah dk seluruh negara bermula 20 September.

Ia dijual pada harga bermula dari RM6,090 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran, serta didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km, yang mana terdahulu.

Honda CBR150R kini dengan liveri harimau istimewa – 250 unit terhad, harga RM14,399

Boon Siew Honda Sdn Bhd mengumumkan kemunculan penawaran edisi terhad Honda CBR150R Special Edition untuk pasaran tempatan.

Uniknya, ia kini menampilkan liveri harimau garang lengkap dengan tema warna CyberRoar yang menambahkan lagi imej agresif pada sportsbike 150 cc itu.

Setiap pembelian model edisi istimewa ini akan mendapat hadiah berupa kamera sport, peranti komunikasi intercom, dan juga beg reflektif LED.

Honda CBR150R Special Edition ini akan ditawarkan dalam 250 unit terhad menerusi pusat pameran Impian X bermula 15 Julai, setiap satu berharga RM14,399 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

Sekiranya terlepas peluang, anda masih boleh dapatkan Honda CBR150R standard dengan pilihan warna Honda Tricolor dan Silver, setiap satu berharga RM13,399.

Spesifikasi asas jentera ini masih sama, ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 150 cc menghasilkan 16 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.7 Nm @ 7,000 rpm yang dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan serta klac assist & slipper.

Antara ciri lain termasuklah fork hadapan jenis terbalik, sistem brek cakera depan dan belakang, sistem ABS dua saluran, tangki bahan api 12 liter, sistem pencahayaan LED, dan meter digital penuh.

Untuk makluman, Honda CBR150R telah menerima penarafan keselamatan lima bintang daripada MyMAP.

Dua warna baharu untuk Honda Rebel 500 2025 – harga RM33,899

Boon Siew Honda mengumumkan penawaran warna baharu untuk model cruiser Honda Rebel 2025, iaitu Pearl Sugarcane Beige dan Matte Dim Grey Metallic.

Jentera ini boleh didapati di semua pengedar sah Honda BigWing bermula 18 Jun 2025 dengan harga jualan RM33,899 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran).

Spesifikasi asas Honda Rebel tidak berubah, di mana ia masih lagi dikuasakan oleh enjin parallel-twin 471 cc sejukan cecair dengan hamburan kuasa 45.6 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 43 Nm @ 6,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan dibantu dengan klac Assist/Slipper.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik 41 mm di hadapan, dan penyerap hentak berkembar di bahagian belakang, menawarkan pelana setinggi 690 mm.

Ciri lain termasuklah rim 16 inci, sistem brek angkup dua omboh depan/omboh tunggal belakang, tangki bahan api 11.2 liter, sistem ABS dua saluran, sistem pencahayaan LED penuh, serta skrin paparan LCD negatif.

 

Boon Siew Honda pamer dua konsep motosikal elektrik di Malaysia Autoshow 2025

Selain daripada mempamerkan barisan model terkini, Boon Siew Honda turut mempertontonkan dua buah motosikal konsep di Malaysia Autoshow 2025.

Model yang dimaksudkan itu ialah Honda EV Fun Concept, sebuah jentera naked berkuasa elektrik dan skuter maxi elektrik Honda EV Urban Concept.

Kedua-dua model ini telah pun dipamerkan di acara pameran motosikal antarabangsa EICMA bertempat di Milan, Itali pada bulan November tahun lepas.

 

Honda EV Fun Concept

Ia disifatkan sebagai motosikal sports, menawarkan pengalaman tunggangan yang beremosi dan dalam masa yang sama, senyap!

Jentera naked ini membawakan binaan kerangka badan yang ramping untuk tunggangan yang lebih lincah. Kehadiran sirip pada bahagian kiri dan kanan juga dilihat menyumbang kepada aspek pengendalian yang lebih baik.

Penggunaan trenkuasa elektrik pula melenyapkan unsur gegaran dan haba yang kerap menghantui penunggang motosikal.

Sistem bateri kekal dan pengecasan serasi CCS2 pula menawarkan pengalaman penggunaan yang tidak asing untuk pemilik EV sedia ada.

Menurut Honda, EV Fun Concept ini menawarkan jarak tunggangan melebihi 100 km, selain menyokong pengecasan pantas 30 minit untuk bateri mencapai 80 peratus SoC.

Honda EV Fun Concept ini dijadualkan penjualannya pada tahun 2025.

 

Honda EV Urban Concept

Ini pula sebuah skuter maxi berkuasa elektrik yang menggambarkan visi Honda terhadap mobiliti elektrik urban yang sebenar.

Sama seperti Fun Concept, EV Urban Concept ini memiliki binaan badan yang ramping, namun dengan perkadaran yang lebih muskular terima kasih kepada penggunaan rim 15 inci depan dan 16 inci di belakang, serta tayar yang lebar.

Ia juga turut mempunyai struktur penghadang angin, cermin sisi pada penghujung bar hendal, kemasan warna tembaga, dan sistem pacuan akhir menggunakan tali sawat.

Buat masa ini, tiada sebarang perincian spesifikasi mahupun tarikh pelancaran diumumkan oleh pihak Honda.

 

Honda Gold Wing Tour 2025 sempena ulang tahun yang ke-50 – RM222,888

Selain model CB1000 SP, Boon Siew Honda turut melancarkan model premium Gold Wing Tour 2025 bersempena dengan sambutan ulang tahun Gold Wing yang ke-50.

Jentera touring ini dikuasakan oleh enjin flat-six 1,833 cc dengan janaan kuasa 129 hp @ 5,500 rpm dan 170 Nm @ 4,500 rpm.

Enjin besar itu tadi dipadankan dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan untuk penukaran gear yang lebih lancar, lengkap dengan fungsi undur.

Edisi ulang tahun ke-50 ini menampilkan kemasan eksklusif berupa logo Gold Wing dengan lencana ’50th Anniversary since 1975′, serta kemasan krom pada fob kunci.

Antara ciri lain termasuklah sistem pencahayaan LED, lampu kabus LED, penghadang angin boleh laras, port pengecasan USB Type-C, kotak storan atas sebesar 61 liter, kotak pannier kiri dan kanan sebesar 60 liter, serta kunci pintar.

Unik untuk model Gold Wing ini ialah tetapan suspensi jenis double wishbone untuk roda depan, diikuti dengan tetapan Pro Link dengan larasan spring elektronik bergantung kepada mod tunggangan.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor berkembar 320 mm dengan angkup enam omboh di depan, serta rotor tunggal 316 mm dengan angkup tiga omboh di belakang.

Terdapat skrin paparan TFT berwarna sebesar tujuh inci yang diapit oleh dua meter analog, lengkap dengan sokongan GPS, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), Apple CarPlay dan Android Auto, fungsi intercom Bluetooth, dan sistem audio 55 watt.

Dengan ciri Throttle-by-Wire, Gold Wing Tour menawarkan sehingga empat mod tunggangan iaitu Tour, Sport, Econ dan Rain.

Ciri bantuan elektronik lain termasuklah Honda Selectable Torque Control (HSTC), sistem berhenti melahu (ISS), serta bantuan mula mendaki (HSA).

Tidak ketinggalan beg udara terbina bertujuan untuk mengurangkan kesan kecederaan akibat pelanggaran hadapan.

Honda Gold Wing Tour 2025 boleh didapati dalam pilihan warna Eternal Gold atau Bordeaux Red Metallic, dengan harga jualan RM222,888 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

Honda CB1000 SP 2025 kini di Malaysia – RM69,999

Boon Siew Honda melancarkan jentera berprestasi tinggi Honda CB1000 SP 2025 untuk pasaran Malaysia.

Jentera ini dilengkapi dengan enjin CBR1000RR Fireblade 1,000 cc yang mampu menjana kuasa 155 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas 107 Nm @ 9,000 rpm.

Honda CB1000 SP ini hadir dengan klac assist slipper untuk tunggangan yang lebih lancar, serta tidak ketinggalan fungsi penukaran gear pantas.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 17 liter, sementara tinggi pelana pula 809 mm.

Aspek tunggangan dibantu dengan penggunaan fork hadapan Showa SFF-BP jenis terbalik 41 mm dengan larasan pra-beban, diikuti penyerap hentak tunggal belakang Ohlins TTX36 juga hadir dengan larasan pra-beban.

Sistem brek terdiri daripada rotor berkembar 310 mm dengan angkup empat omboh Brembo di depan, diikuti rotor tunggal 240 mm dengan angkup Nissin omboh tunggal di belakang.

Segala info boleh dibaca menerusi skrin TFT berwarna penuh saiz 5-inci, serta tema paparan yang boleh disesuaikan mengikut kegemaran.

Selain daripada tiga mod tunggangan (Rain, Standard, Sport), terdapat dua mod USER yang boleh disesuaikan dengan mengubah tetapan kuasa (P), Engine Brake (EB) dan HSTC/Wheelice Control (T).

Akhir sekali, ciri keselamatan seperti ABS dua saluran serta lampu berhenti kecemasan (ESS).

Untuk pasaran Malaysia, Honda CB1000 SP dijual pada harga RM69,999 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran.

Honda ADV160 2025 dapat warna baharu, harga dari RM13,249

Boon Siew Honda mengumumkan penawaran warna baharu untuk para peminat skuter kembara Honda ADV160 2025.

Untuk versi standard dengan harga jualan dari RM13,249, terdapat dua warna baharu iaitu hitam kusam dan merah selain warna putih sedia ada.

Sementara edisi khas berharga RM13,549 pula mendapat warna popular kelabu di samping warna hijau kusam sedia ada.

Tiada perubahan dari segi spesifikasi, di mana Honda ADV160 masih lagi kekal dengan enjin silinder tunggal Enhanced Smart Power Plus (eSP+) 157 cc berkuasa 15.8 hp dan 14.7 Nm.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah lampu LED penuh, sistem berhenti melahu (ISS), ruang storan 30 liter, paparan meter LCD, skrin penghadang angin boleh laras, dan sistem kunci pintar.

Honda ADV160 dilengkapi dengan tangki bahan api sebesar 8.1 liter, serta tinggi pelana 780 mm.

Ciri keselamatan yang wujud termasuklah sistem ABS, Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan lampu berhenti kecemasan (ESS).

Honda Vario 160 2025 dapat tiga warna baharu – harga dari RM10,198

Boon Siew Honda mengumumkan tiga pilihan warna menarik untuk dipadankan pada skuter Honda Vario 160, iaitu kuning, perak dan juga merah kusam.

Tidak ada sebarang perubahan dari segi spesifikasi, bermakna ia masih kekal dengan enjin silinder tunggal sejukan cecair 157 cc berkuasa 15.2 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 13.8 Nm @ 7,000 rpm.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 5.5 liter, sementara tinggi pelana pula sekitar 778 mm.

Suspensi Vario 160 terdiri daripada fork teleskopik diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, sementara sistem brek pula menggunakan cakera depan dan belakang, dibantu dengan ABS saluran tunggal.

Ciri lain termasuklah sistem kunci pintar, unit lampu LED penuh, pengecas USB, paparan meter digital, serta ruang storan sebesar 18 liter.

Honda Vario 160 2025 boleh didapati di semua pengedar sah Honda dan Impian X bermula 11 April 2025, dengan harga jualan dari RM10,198 untuk warna kuning, dan RM10,498 untuk warna perak dan merah.

Boon Siew Honda perkenal pasukan ARRC, WSBK dan MSBK

Boon Siew Honda telah memperkenalkan barisan pelumba yang akan bertanding dalam kejohanan FIM Asia Road Racing Championship (ARRC), Superbike World Championship (WSBK), dan Malaysia Superbike Championship (MSBK).

Untuk saingan musim 2025, Boon Siew Honda akan menyertai ketiga-tiga kejohanan tersebut di bawah satu nama ikonik iaitu Idemitsu Honda Racing Malaysia.

Bagi kejohanan ARRC kategori Asia Superbike 1000cc (ASB1000) category, Honda Racing Malaysia akan diwakili oleh Zaqhwan Zaidi dan Azroy Hakeem Anuar menggunakan jentera Honda CBR1oooRR-R 2025.

Dalam kategori SuperSports 600cc (SS600) pula, cabaran Honda Racing Malaysia akan diterajui oleh tiga pelumba iaitu Md Helmi Azman, Syarifuddin Azman (Damok), and Khairul Idham Pawi (KIP). Jentera yang akan digunakan adalah CBR600RR.

Sementara itu, Md Irfan Haykal akan mewakili Honda Racing Malaysia dalam kategori Asia Production 250cc (AP250). Beliau akan bertanding di bawah pasukan satelit Honda Racing Malaysia iaitu SCK Honda Racing, bersama jentera CBR250R.

Di pentas Superbike World Championship (WSBK), cabaran Honda Racing Malaysia akan digalas oleh Md Zaqhwan Zaidi yang bersaing dalam kategori Superbike (SBK), dan Damok dalam kategori World Supersport (WSSP).

Akhir sekali, kejohanan Malaysia Superbike Championship (MSBK) akan menyaksikan Haziq Fairues sebagai wakil Idemitsu Honda Racing Malaysia.

Kunitomo Asano dilantik Pengarah Urusan dan CEO Boon Siew Honda

Boon Siew Honda telah mengumumkan pelantikan Kunitomo Asano sebagai Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif baharunya berkuat kuasa 1 April 2025.

Asano akan menggantikan Mitsuharu Funase, yang telah dilantik sebagai Pengarah Urusan Divisyen Perlumbaan Motosikal di Honda Racing Corporation.

Asano yang sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Jualan dan Pemasaran di Boon Siew Honda memiliki pengalaman selama lebih 20 tahun dalam industri motosikal, iaitu 10 tahun di Jepun dan 10 tahun di pasaran-pasaran antarabangsa termasuk Thailand, India dan Malaysia.

Pemahaman mendalam beliau tentang trend global dan dinamik pasaran tempatan menjadikannya sangat sesuai untuk memacu pertumbuhan Boon Siew Honda.

Kariernya bersama Honda bermula dengan satu penugasan di Malaysia. Beliau kemudiannya terlibat dalam perancangan produk, perniagaan eksport dan strategi pemasaran di pelbagai rantau.

Selama menjawat jawatannya, Asano memainkan peranan penting dalam menstabilkan dan meningkatkan jualan serta mengukuhkan kecekapan operasi.

Di bawah pimpinan beliau, Boon Siew Honda berjaya memperkenalkan model motosikal baru, memperluas rangkaian pengedar BigWing, dan melancarkan kempen tunggang uji strategik.

Sebagai CEO baharu, Asano komited untuk terus memperkukuhkan kehadiran jenama Honda di Malaysia. Beliau juga mensasarkan untuk meningkatkan pengalaman pelanggan, memperbaiki rangkaian perkhidmatan, dan memacu inovasi produk yang berterusan.

Di samping itu, beliau memberi penekanan besar pada keselamatan penunggang, menangani cabaran berkaitan trafik dengan teknologi keselamatan maju dan inisiatif pendidikan.

Honda CBR150R 2025 tiba di Malaysia dengan warna baharu Honda Tricolor – RM13,399

Boon Siew Honda mengumumkan penawaran CBR150R dengan warna baharu Honda Tricolor yang diinspirasikan daripada DNA Honda Racing yang wujud pada CBR1000RR-R, CBR650R dan CBR250RR.

Selain daripada Honda Tricolor, CBR150R juga boleh didapati dalam pilihan warna Silver yang dikemaskan dengan aksen warna kuning terang.

Dari segi spesifikasi, Honda CBR150R dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149.2 cc, menghasilkan kuasa 16 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.7 Nm @ 7,000 rpm yang digandingkan dengan transmisi enam-kelajuan dan klac assist & slipper.

Ia juga masih mengekalkan tetapan suspensi fork hadapan jenis terbalik, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, rim 17 inci, brek cakera depan dan belakang, sistem ABS dua saluran, panel meter digital dan lampu LED.

Ciri lain termasuklah tangki bahan api sebesar 12 liter, serta tinggi pelana 788 mm.

Honda CBR150R 2025 boleh didapati bermula 19 Mac di semua pengedar sah Honda dan IMPIAN X di seluruh negara, dengan tanda harga RM13,399 (tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran).

 

Honda NSS250 2025 rasmi di Malaysia dengan skrin TFT lima inci – harga RM25,888

Boon Siew Honda mengumumkan kehadiran model skuter bersesaran 250 cc yang telah dikemas kini, iaitu Honda NSS250 2025 untuk memeriahkan lagi pasaran skuter tempatan.

Tidak seperti penawaran terdahulu, NSS250 2025 kini dilengkapi dengan skrin paparan TFT berwarna sebesar lima inci yang boleh dikawal menerusi suis bercahaya.

Dengan integrasi Honda RoadSync, penunggang boleh mengakses fungsi navigasi, panggilan suara, serta muzik menerusi sambungan Bluetooth.

Honda NSS250 2025 dikuasakan oleh enjin 249.5 cc yang mampu menjana kuasa 23 hp @ 7,750 rpm dan daya kilas 24 Nm @ 6,250 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT automatik.

Casis kerangka keluli tubular NSS250 ini digandingkan dengan fork teleskopik hadapan 33 mm dan penyerap hentak berkembar di belakang untuk tunggangan yang lebih lincah di dalam laluan urban.

Ciri lain termasuklah skrin penghadang angin boleh laras elektronik (julat 180 mm), unit lampu utama LED, sistem Smart Key, ruang storan yang luas di bawah pelana, serta ruang glovebox berkembar di hadapan.

Selain daripada sistem ABS dua saluran, NSS250 ini turut mendapat ciri Emergency Stop Signal, dan juga Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang boleh dinyahaktif.

Lima warna baharu yang ditawarkan untuk NSS250 termasuklah Pearl Smoky Gray, Matte Gun Powder Black Metallic, Candy Rosy Red, Pearl Jubilee White dan Pearl Shining Black.

Harga jualan Honda NSS250 2025 bermula dari RM25,888.

Honda X-ADV 2025 V3 rasmi di Malaysia – dari RM69,999

Boon Siew Honda mengumumkan ketibaan generasi baharu skuter kembara Honda X-ADV 750 2025 untuk pasaran tempatan.

Jentera kegemaran ramai ini dilihat masih lagi mengekalkan enjin parallel-twin 745 cc SOHC yang mampu menjana kuasa 58 hp @ 6,750 rpm dan daya kilas 69 Nm @ 4,750 rpm.

Enjin tersebut dipadankan dengan sistem DCT (klac berkembar) yang telah dinaik taraf untuk pengedaran kuasa yang lebih lancar, lengkap dengan mod manual atau automatik serta fungsi rev-match automatik semasa downshift.

Berbeza dengan model terdahulu, X-ADV 750 baharu ini membawakan rupa paras yang lebih agresif, terima kasih kepada unit lampu nyalaan siang (DRL) yang mengintegrasikan fungsi lampu membelok.

Perumah lampu utama projektor LED sengaja digelapkan untuk efek yang lebih menonjol.

Dari segi praktikaliti, X-ADV menampilkan skrin penghadang angin yang boleh dilaras tiga tahap menggunakan satu tangan, slot pengecas USB-C, ruang glovebox, serta sistem kunci pintar.

Ruang storan bawah pelana adalah sebesar 22 liter, lengkap dengan sistem pencahayaan LED dan pembahagi ruang untuk mengelakkan barangan daripada bergerak sewaktu tunggangan.

Terdapat skrin paparan TFT lima inci berwarna penuh dengan integrasi peranti pintar menerusi Honda RoadSync untuk kawalan navigasi dan muzik dengan menggunakan sambungan Bluetooth.

Melengkapi penawaran X-ADV ialah sistem Throttle-by-Wire, Automatic Turn Signal Canceller, ABS dua saluran, serta sistem kawalan jelajah berasaskan Human Machine Interface (HMI) untuk mengurangkan kepenatan sewaktu perjalanan jauh.

Ciri lain termasuklah fork hadapan terbalik 41 mm SFF-CA, penyerap hentak tunggal di belakang, rotor brek berkembar 296 mm berserta angkup empat omboh di depan, rotor brek tunggal 240 mm berserta angkup omboh tunggal di belakang, tangki bahan api sebesar 13.2 liter serta tinggi pelana 790 mm.

Terdapat tiga warna pilihan, iaitu Matte Deep Mud Gray, Pearl Glare White dan Graphite Black yang boleh dibeli pada harga RM69,999, serta warna istimewa Matte Goldfinch Yellow pada harga RM70,999.

Honda Wave Alpha 2025 tampil dengan empat warna baharu, dari RM5,259

Boon Siew Honda mengumumkan empat warna baharu tersedia untuk motosikal kapcai Honda Wave Alpha 2025, iaitu perak, biru, merah dan juga hitam.

Honda Wave Alpha 2025 ini boleh didapati di semua pengedar Impian X serta pengedar Honda yang sah di seluruh negara bermula 6 Januari 2025.

Harga jualan bermula dari RM5,309 untuk varian berwarna perak, biru dan merah, serta RM5,259 untuk varian berwarna hitam.

Dari segi spesifikasi, Wave Alpha kekal dengan enjin silinder tunggal sejukan udara 109.2 cc berkuasa 8.7 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 8.7 Nm @ 5,500 rpm, dipadankan dengan transmisi 4-kelajuan.

Motosikal ini menggunakan fork hadapan teleskopik, diikuti dengan penyerap hentak berkembar di belakang, sementara sistem brek pula terdiri daripada brek cakera hadapan dan brek dram mekanikal di belakang.

Ia menawarkan tangki bahan api sebesar 4.0 liter, dengan ruang barangan bawah pelana sebesar 7.3 liter, tinggi pelana sekitar 768 mm dan tempat duduk yang lebih lebar.

 

Honda RS150R kini tersedia dengan White Trico, harga RM8,379

Boon Siew Honda mengumumkan kembalinya pilihan warna White Trico untuk model kapcai Honda RS150R, selain dua warna menarik iaitu Matte Blue dan Silver.

Dengan kemas kini terbaharu ini, harga jualan Honda RS150R kini bermula dari RM8,379 atas jalan tidak termasuk insurans – bermakna ia kini lebih mahal RM80 berbanding penawaran terdahulu.

Seperti biasa, aspek mekanikal motosikal ini masih lagi dikekalkan tanpa sebarang perubahan.

Ini bermakna, RS150R masih mengekalkan enjin silinder tunggal 149.2 cc yang mampu menjana kuasa 15.8 hp @ 9,000 rpm dan daya kilas 13.6 Nm @ 7,000 rpm.

Sistem suspensi terdiri daripada fork teleskopik di hadapan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang, sementara aspek pemberhentian dibantu oleh sistem brek cakera depan dan belakang.

Ciri lain termasuklah sistem lampu utama LED, tangki bahan api sebesar 4.5 liter serta skrin paparan LCD digital.

Cawangan ke-6 Honda BigWing kini dibuka di Melaka

Boon Siew Honda baru-baru ini merasmikan pembukaan pusat pengedaran Honda BigWing Melaka.

Menurut syarikat itu, ini merupakan cawangan BigWing yang keenam di Malaysia sejak ia dilancarkan buat pertama kali pada 2018.

BigWing merupakan cawangan pengedar yang mengkhususkan model-model berkapasiti tinggi daripada Honda. Antara model yang ditawarkan termasuk GL1800, XL750, CB750, CBR250RR, CB350RS, ADV350 dan NSS250.

Dengan konsep ‘destinasi untuk penunggang’, Honda BigWing Melaka menampilkan ruang pameran yang luas, ruang istirahat pelanggan, sudut barangan serta tidak dilupakan pusat servis yang serba lengkap.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Boon Siew Honda, Mitsuharu Funase berkata, “Pembukaan Honda BigWing Melaka menandakan dedikasi kami untuk memenuhi keperluan komuniti motosikal besar Malaysia.”

Kami yakin lokasi baharu ini akan menjadi tempat di mana penunggang Honda boleh mengukuhkan ikatan mereka dan mengalami intipati sebenar semangat Honda.”

Goh Mang Phooh, Pengarah M.P. Goh Motor Sdn Bhd pula berkata, “Honda BigWing Melaka akan memberikan pengalaman yang tiada tandingan, mengukuhkan kedudukan Boon Siew Honda sebagai peneraju dalam industri motosikal besar di Malaysia. Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan penunggang ke lokasi baharu ini.”

Honda BigWing Melaka terletak di No. 1-3, Jalan Kerambit 2, Bandar Baru Sungai Udang, Sungai Udang, Melaka. Ia dibuka dari Isnin hingga Sabtu dari jam 9.00 pagi hingga 6.30 petang, dan Ahad dari 10.00 pagi hingga 5.00 petang.

Honda ADV160, CRF1000L Africa Twin dapat warna baharu

Boon Siew Honda mengemaskini penawaran dua model popular, iaitu Honda ADV160 dan Honda CRF1000L Africa Twin Adventure Sports ES dengan pilihan warna baharu.

Untuk Honda ADV160, skuter itu kini boleh dipilih dengan warna Matte Green dan Matte Red sebagai alternatif kepada warna putih dan kelabu sedia ada.

Sementara untuk Honda CRF1000L Africa Twin, pembeli boleh mendapatkan warna Matte Iridium Gray Metallic, serta warna Pearl Glare White menampilkan grafik yang telah dikemaskini.

 

Spesifikasi asas kedua-dua jentera masih lagi sama seperti model terdahulu.

Honda ADV160 dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 157 cc berkuasa 15.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 14.7 Nm @ 6,500 rpm, dibantu dengan sistem brek ABS dan Honda Selectable Torque Control (HSTC).

Harga jualan bermula dari RM13,549 untuk dua warna baharu, sementara warna sedia ada kekal dengan harga RM13,249.

Honda CRF1000L Africa Twin Adventure Sports ES menggunakan enjin kembar selari 1,084 cc sejukan cecair berkuasa 100.6 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 112 Nm @ 5,500 rpm, dengan peningkatan tork sebanyak 7 peratus berbanding penawaran terdahulu.

Selain itu, ia turut menampilkan roda hadapan 19 inci untuk pengendalian atas jalan dan off-road yang lebih baik, ketinggian pelana boleh laras (820 mm atau 840 mm) serta bentuk kusyen yang telah diubah untuk sokongan tunggangan yang lebih baik.

Harga jualan bermula dari RM119,388 tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran.

 

Honda ADV160 2024

 

Honda CRF1000L Africa Twin Adventure Sports ES

Pusat pameran Honda BigWing Damansara PJ kini rasmi dibuka

Boon Siew Honda mengumumkan pembukaan rasmi pusat pameran Honda BigWing Damansara di Petaling Jaya pada 12 Oktober yang lalu.

Dikendalikan oleh Fast Bikes Sdn Bhd, pusat pameran eksklusif untuk motosikal besar Honda ini menggunakan konsep terbuka yang menawarkan pelbagai jenis model Big Bike Honda termasuklah motosikal touring sehinggalah kepada model adventure.

Fasiliti Honda BigWing yang kelima ini juga menempatkan pusat servis dan ruang menunggu yang selesa, menjadikannya pusat sehenti yang cukup lengkap untuk para peminat dan pemilik Honda Big Bike.

Honda BigWing Damansara terletak di alamat 3, Jalan 13/1, Seksyen 13, 46200 Petaling Jaya, Selangor dan dibuka setiap hari dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang.

Pelanggan dialu-alukan untuk berkunjung dan melihat model yang dipamerkan, atau menempah temujanji slot servis menerusi platform Honda X atau hubungi sahaja 03-79609007 untuk sebarang bantuan.