Bersempena dengan penganjuran Karnival Omoda | Jaecoo di Desa ParkCity, Omoda | Jaecoo Malaysia turut mempamerkan secara rasmi model baharu Jaecoo J5 yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.
Sebagai sebuah SUV segmen B, Jaecoo J5 bakal diposisikan sebagai alternatif yang lebih kecil kepada SUV Jaecoo J7 sedia ada.
Lima fakta ringkas berkenaan Jaecoo J5 yang perlu anda tahu:
1. Dimensi
Jaecoo J5 berukuran 4,380 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,650 mm dan menawarkan jarak antara roda 2,620 mm.
Antara pesaing di dalam kategori SUV segmen B, J5 memiliki panjang yang sama dengan Proton X50, dan pendek sedikit berbanding Chery Omoda 5, Chery Tiggo Cross dan Honda HR-V.
Namun, J5 memiliki kelebihan dari segi jarak antara roda yang lebih panjang, menyumbang kepada kabin yang lebih lapang.
Selain itu, ruang kargo J5 adalah sebesar 480 liter, dan mampu mencapai kapasiti 1,180 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat dengan nisbah 60:40.
2. Enjin
J5 dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo yang mampu menjana 147 PS dan 210 Nm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi CVT. Kadar bacaan penggunaan bahan api pula adalah sekitar 7.5 liter/100 km.
3. Casis
Unik di dalam segmennya, Jaecoo J5 menawarkan tetapan suspensi topang MacPherson untuk gandar depan, dan tetapan multi-link di belakang.
Sebagai perbandingan, rata-rata model pesaing SUV segmen B dilengkapi dengan tetapan torsion beam yang lebih ringkas.
4. Luaran
Sama seperti model Jaecoo yang lain, J5 membawakan penampilan luar premium yang diilhamkan daripada jenama SUV Britain.
Keempat-empat sudut dilengkapi dengan rim 18 inci serta balutan tayar 235/55 R18 untuk imej yang lebih bergaya.
Ciri lain termasuklah lampu utama berserta lampu nyalaan siang dalam perumah tunggal, struktur jeriji yang agak besar, pemegang pintu konvensional, serta spoiler di bahagian belakang.
5. Dalaman
Bahagian kabin J5 didatangkan dengan kelengkapan seperti skrin kluster LCD 8 inci, skrin tengah 13.2 inci resolusi 2K dengan sokongan WiFi, Apple CarPlay dan Android Auto, serta sistem audio 8-pembesar suara.
J5 juga menggunakan bahan kemasan mesra haiwan peliharaan yang mendapat pensijilan TUV, tidak ketinggalan ciri ADAS Tahap 2.5 dan sistem kamera keliling 540 darjah.
Bakal dilancarkan tidak lama lagi, Jaecoo J5 dianggarkan berharga sekitar RM120,000.
Mampukah model baharu Jaecoo ini memberikan saingan kepada model-model SUV sub-kompak yang lain?
iCaur Malaysia mengumumkan pembukaan rasmi Hab Komponen iCaur yang terletak di Taman Perindustrian Hicom Shah Alam.
Fasiliti seluas 88,000 kaki persegi itu mampu menempatkan lebih 10,000 alat ganti dan komponen terpilih yang diuruskan oleh Chery Corporate Malaysia dan dikongsi bersama oleh Omoda | Jaecoo Malaysia.
Dengan adanya kemudahan berpusat ini, ia bakal menyokong operasi selepas jualan iCaur dan memperkukuh kesediaan rangkaian menjelang pelancaran model pertama iCaur 03 pada suku ketiga tahun ini.
Menurut Naib Presiden iCaur Malaysia, Emily Lek berkata, “Gudang Chery Corporate Malaysia ini memainkan peranan penting untuk menyokong rangkaian pengedar iCaur yang semakin meluas.
“Ia akan merangkumi tidak kurang daripada 16 rakan pengedar tidak lama lagi dengan pengembangan selanjutnya dirancang pada tahun 2026.
“Falsafah ‘Born to Play’ iCaur bermaksud kami bersedia sejak mula lagi. Dengan membina portfolio alat ganti dan komponen secara beransur-ansur disokong oleh pemain automotif bertaraf dunia dengan rangkaian bekalan global yang kukuh, iCaur Malaysia bersedia untuk melangkah maju seiring rangkaian kami sambil mengukuhkan piawaian perkhidmatan selepas jualan yang diharapkan oleh para pelanggan kami,” ujarnya lagi.
iCaur Malaysia turut menjemput orang ramai untuk merasai pengalaman pemanduan berhalangan iCaur Experience di Karnival Omoda | Jaecoo Plaza Arkadia, Desa ParkCity dari 21-24 Ogos ini.
Di sana, iCaur Malaysia akan menyediakan model iCaur 03 versi pacuan dua roda (2WD) berkuasa 235 hp (harga anggaran dari RM145,000), serta varian iWD berkuasa 275 hp (harga anggaran dari RM155,000).
Selain pelbagai aktiviti interaktif yang telah disusun, pengunjung juga dijemput untuk menyertai cabaran ‘Teka Harga’ dan berpeluang menebus cenderahati eksklusif iCaur.
30 orang pelanggan pertama yang membuat tempahan model iCaur sepanjang tempoh acara tersebut berlangsung akan menerima model skala iCaur 03 edisi terhad (bernilai RM1,388).
Segmen SUV di Malaysia sememangnya rancak dengan kehadiran pelbagai model dan jenama, baik dari lencana buatan tempatan mahupun jenama luar.
Boleh jadi rambang mata dibuatnya jika anda sendiri tidak tahu kriteria yang perlu dipertimbangkan.
Katakanlah anda mahukan sesuatu yang lebih menonjol daripada kebiasaan tipikal SUV yang ada di jalanan, kami boleh sarankan Kia Sportage 1.6T AWD ini sebagai pilihan yang tepat.
Ia ada segalanya yang anda perlukan untuk sebuah kenderaan kegunaan harian dan paling penting kepuasan pemanduan yang didambakan.
Beli kereta mahal-mahal tapi tak puas memandu, apa gunanya kan?
Berikut merupakan pendapat kami setelah seminggu meminjam Kia Sportage ini daripada Kia Malaysia.
Rekaan luar, terlebih menonjol?
Untuk makluman, Kia Sportage yang dipasarkan di sini merupakan versi pra-facelift yang telah pun wujud sejak 2021 lagi.
Versi facelift yang lebih garang telah pun dilancarkan di Korea Selatan pada penghujung tahun 2024, namun nak kata rekaan Sportage ini ketinggalan zaman mungkin satu kenyataan yang tidak tepat.
Ini kerana dalam versi pra-facelift sekalipun, Kia Sportage tetap menonjol bila meluncur di atas jalan raya.
Dengan grafik LED boomerang di depan dan belakang, serta garis bumbung yang rendah di belakang sekaligus memberikan imej sporti yang diperlukan pada Sportage.
Setidak-tidaknya, ia merupakan satu rekaan asli yang mampu membuatkan pemilik berpuas hati tatkala memandangnya, dan bukannya meniru mana-mana model.
Tak menoleh ke arah kereta sendiri selepas parkir? Anda mungkin dah beli kereta yang salah.
Dimensi
Kia Sportage versi AWD ini berukuran sepanjang 4,660 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,665 mm dan menawarkan jarak antara roda sepanjang 2,755 mm.
Sebagai sebuah SUV segmen C, Kia Sportage sedia menawarkan ruang kabin yang selesa untuk seisi keluarga.
Tiada bumbung kaca panorama bukanlah satu masalah besar, kerana ruang kepala yang disediakan dalam kabin ini cukup luas.
Penumpang belakang juga boleh melaraskan sudut sandaran kerusi belakang untuk postur duduk rehat yang lebih selesa, jadi mereka tidaklah perlu duduk dengan tegak sepanjang masa.
Bagaimana dengan ruang kargo?
Kia Sportage menawarkan ruang barangan sebesar 543 liter secara standard, dan kapasiti itu boleh mencecah sehingga 1,829 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.
Pelbagai ciri yang menyenangkan
Salah satu perkara yang membuatkan penulis senang dengan Kia Sportage ini ialah susun atur papan pemuka yang mesra pemandu.
Selain skrin berkembar 12.3 inci melengkung, papan pemuka Sportage ini turut menyediakan panel kawalan berasaskan sentuhan yang lengkap dengan tombol fizikal.
Di situ, anda boleh memilih untuk menjalankan operasi larasan suhu kabin, atau mengubah kandungan media yang dimainkan menerusi lapan pembesar suara sistem audio Harman Kardon.
Bagi penulis, ini merupakan satu ciri yang memudahkan dan amat dialu-alukan.
Ini kerana kebanyakan pengeluar kini lebih gemar menyumbat segala macam butang fungsi ke dalam skrin tengah. Perlu diselongkar dan mampu mengakibatkan tumpuan pemandu lebih terganggu.
Konsol tengah juga turut menempatkan beberapa butang fungsi yang penting, mudah untuk dibaca dan dicapai.
Dial PRND shift-by-wire itu ternyata menjadikan ruang kokpit nampak lebih lapang, cuma ada ketikanya penulis rasa janggal sedikit dek penukaran gear yang tidak konvensional itu.
Paparan skrin kluster digital Sportage ini masih lagi setia menawarkan grafik meter analog dengan beberapa tema yang boleh dipilih mengikut mod pemanduan (Eco, Normal, Sport, Smart).
Usah risau, skrin infohibur turut menyediakan sokongan sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto secara standard. Tak perlu nak tunggu kemas kini over-the-air (OTA) pun.
Jika anda perasan, bahagian belakang tempat sandar kepala penumpang hadapan mempunyai cangkuk yang agak besar yang sangat sesuai digunakan untuk menyangkut beg atau tudung.
Tidak ketinggalan, terdapat beberapa cangkuk teh tarik yang turut disediakan – menjadikan Kia Sportage ini lebih mesra rakyat Malaysia berbanding SUV jenama Malaysia itu sendiri yang ada di pasaran.
Bagaimana dengan pemanduan?
Unit yang kami pandu uji ini dilengkapi dengan enjin empat silinder sebaris 1.6 liter turbo Gamma II T-GDI menghasilkan 177 hp @ 5,500 rpm dan daya kilas 265 Nm @ 4,500 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada sistem pacuan semua roda (AWD) menerusi transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan.
Seperti yang dialami oleh penulis sewaktu sesi pandu uji media tempoh hari, Kia Sportage 1.6T AWD ini ternyata menawarkan respons yang kurang bertenaga untuk julat rpm yang rendah.
Ini mendatangkan sedikit kesukaran untuk pengendalian di kawasan berkelajuan rendah seperti tempat parkir, di mana kuasa itu teragak-agak untuk dihamburkan oleh Sportage ini.
Namun bila SUV ini sudah mencapai kelajuan meluncur yang normal, ruang kabin dirasakan lebih senyap, di mana kadar gegaran dan kekasaran juga berada pada tahap yang minima.
Ini kerana tetapan sistem suspensi topang MacPherson di depan dan multi-link di belakang Sportage ini bekerja dengan baik untuk menyerap segala kekasaran yang wujud di atas jalan raya.
Ia juga mampu membuatkan SUV ini rasa melekat di kawasan berselekoh dengan olengan badan yang tidak terlalu ketara, menjadikan pemanduan Sportage ini lebih menyeronokkan.
Namun, jika ia dipandu dengan lebih agresif, segala kelebihan itu tadi akan lenyap. Jadi, anda harus tahu had dan batasan yang wujud pada Kia Sportage ini.
Penulis tidak mempunyai sebarang komen terhadap aspek pengendalian SUV ini, kerana ia menepati apa yang dijangkakan daripada sebuah kenderaan jenama Kia.
Talaan stereng yang cukup tepat dan hidup itu membuatkan penulis langsung lebih fokus melayan jalan raya yang berliku di hadapan, ia patuh pada setiap sudut yang diarahkan oleh tangan pemandu.
Ada ketikanya, sistem pembetulan stereng bekerja untuk memastikan SUV ini berada di landasan yang tepat, namun cara operasinya itu tidaklah membuatkan penulis rasa penat dan jengkel sepanjang masa.
Membezakan antara Kia Sportage 1.6T AWD dengan varian 2WD ialah kehadiran ciri kekunci pembeza dan sistem pacuan semua roda (AWD) yang menawarkan kadar cengkaman yang lebih baik untuk pemanduan off-road ringan.
Jadi, ditambah dengan jarak kelegaan tanah setinggi 181 mm, tiada sebarang masalah untuk anda pandu Kia Sportage ini meredah laluan yang tidak berturap tar untuk tujuan merehatkan minda di hujung minggu.
Sportage untuk ‘healing’ hujung minggu
Seperkara lagi yang membuatkan penulis suka pada Kia Sportage ini ialah tempat duduk baris kedua yang boleh dilipat rata.
Tidak perlu untuk perhabis duit untuk beli dan pasang khemah, anda boleh jadikan bahagian belakang Kia Sportage ini sebagai ‘khemah sementara’ untuk aktiviti santai di hujung minggu.
Pada bahagian ruang kargo, ada soket kuasa 12V yang boleh digunakan untuk pengecasan peranti pintar atau dijadikan sumber kuasa untuk perkakasan ringan.
Terdapat juga ciri bunyi-bunyian ‘Sound of Nature’ yang ada di dalam skrin infohibur Sportage ini sebagai peneman aktiviti.
Gembira, gembira juga. Kewajipan sebagai seorang muslim usah dilupakan.
Jadi jika anda mahu tunaikan kewajipan solat di tempat berkhemah, Kia Sportage turut mempunyai fungsi kompas arah kiblat yang boleh digunakan sebagai petunjuk.
Ciri keselamatan
Kia Sportage menawarkan pelbagai ciri keselamatan yang menyeluruh termasuklah enam beg udara, ABS, ESC, serta tidak ketinggalan ciri keselamatan termaju yang cukup panjang senarainya.
Apa yang penulis mahu tekankan di sini ialah sistem pemantauan titik buta (BVM) yang akan memaparkan apa yang wujud di ruang sebelah kiri dan kanan kenderaan apabila lampu membelok dihidupkan.
Sistem yang wujud pada mana-mana model Kia (termasuk Hyundai) ini ternyata lebih memudahkan kita untuk mengesan benda (kereta, penunggang motosikal) yang biasanya terhalang dalam medan titik buta.
Ada pengeluar lain yang menawarkan kamera 360 darjah yang lebih canggih, lengkap dengan sudut pandang daripada mata burung.
Namun kebanyakan masa ia lebih bersifat syok sendiri kerana ia memaparkan imej kereta yang kita dipandu, dan bukannya apa yang tersembunyi pada medan titik buta.
Kesimpulan
Adakah Kia Sportage 1.6T AWD ini sebuah SUV terbaik di dalam kelasnya?
Tidak dinafikan, Kia Sportage mempunyai kelebihan yang tersendiri jika dibandingkan dengan model pesaing dalam pasaran.
Ada rupa, pakej yang praktikal, ruang kabin yang cukup luas dan selesa, dan hadir dengan pakej keselamatan yang hampir menyeluruh.
Namun, jika anda boleh berkompromi dengan kelemahan yang disebutkan tadi, kami kira Kia Sportage mampu menjadi satu pembelian yang cukup berbaloi.
Spesifikasi Kia Sportage 1.6T AWD (RM186,899)
Enjin: Gamma II 1.6 liter turbo, empat silinder sebaris
Kuasa: 177 hp @ 5,500 rpm, 265 Nm @ 1,500-4,500 rpm
Transmisi: DCT tujuh-kelajuan
Pacuan: Semua roda (AWD)
Suspensi: Topang MacPherson/Multi-link
Kargo: 543 liter-1,829 liter
Setelah lebih setahun sejak pertama kali dipertontonkan, Omoda | Jaecoo Malaysia akhirnya secara rasmi melancarkan model SUV kedua mereka, iaitu Jaecoo J8 pada bulan lepas.
Masih lagi dengan tema off-road, namun Jaecoo J8 membawakan imej yang lebih elegan dan mewah berbanding adiknya J7.
Malah semasa pelancaran, J8 ini disifatkan sebagai sebuah kenderaan lasak dengan pengalaman penumpang kelas pertama.
Untuk membuktikan kemampuan sebenar SUV ini di laluan yang lebih mencabar, pihak Omoda | Jaecoo Malaysia menganjurkan satu sesi pengalaman pemanduan off-road bertempat di Sepang Bay 13.
Terdapat beberapa halangan yang disediakan, dimulakan dengan seksyen Rock Crawl, Side Slope dengan curam bersudut 30 darjah, Log Run yang mensimulasikan laluan atas kayu balak, serta seksyen Water Wading.
Cuaca yang hujan sejak awal pagi menyediakan permukaan laluan yang lebih mencabar berbanding hari sebelumnya.
Biarpun hanya dilengkapi dengan tayar standard Michelin e-Premacy, tidak menjadi masalah besar bagi Jaecoo J8 ini untuk meredah cabaran yang disebutkan tadi.
Jadi, apakah rahsia yang membuatkan Jaecoo J8 ini tidak membuatkan pemandu berpeluh-peluh?
1. Enjin yang bertenaga
Nadi empat silinder sebaris 2.0L turbo yang mampu menghamburkan kuasa setinggi 249 PS dan 385 Nm itu tidak memerlukan sela masa yang agak lama untuk bertindak.
Hanya perlukan kawalan pendikit yang konsisten, SUV ini berjaya meredah kesemua seksyen cabaran yang diberikan.
Paling penting, sukar untuk kami rasakan gelinciran tayar berlaku melihatkan kepada kecekapan sistem yang ditawarkan.
2. Sistem AWD dengan Torque Vectoring Control
Untuk cabaran kali ini, kami diberikan peluang memandu Jaecoo J8 versi AWD yang turut dilengkapi dengan fungsi Dynamic Torque Vectoring Control.
Menurut Jaecoo, sistem AWD ini mempunyai tetapan dua klac yang dapat mengagihkan daya kilas secara bebas, membolehkan kuasa enjin dihantar 100 peratus kepada roda belakang yang mempunyai tahap cengkaman yang lebih baik.
3. Suspensi adaptif CDC
Secara standard, Jaecoo J8 dilengkapi dengan tetapan suspensi topang MacPherson di hadapan, dibantu dengan tetapan multi-link di belakang.
Ia turut dibantu dengan ciri CDC, atau nama penuhnya Continuous Damping Control.
Ciri CDC ini akan melaraskan tetapan redaman suspensi sepantas 0.002 saat bergantung kepada mod pemanduan yang dipilih serta keadaan jalan semasa.
Terdapat tiga tahap iaitu Soft, Medium dan Hard.
Apa yang kami perasan, ruang kabin ternyata tidak menghasilkan gegaran dan bunyi bising yang ketara akibat hentakan permukaan jalan yang tidak rata, terutama ketika meredah seksyen Rock Crawl.
Rasa macam tiada apa-apa yang berlaku di dalam kabin walaupun pada hakikatnya di luar kami melihat sendiri casis Jaecoo J8 sedang beroleng dan meloncat cuba melepasi laluan berbatu yang agak besar itu.
Pemandu masih lagi boleh mengawal kenderaan dengan tenang, yakin dan lancar, dalam masa yang sama aspek keselesaan tidak dikorbankan.
4. Senjata ampuh untuk redah banjir kilat di ibu kota
Jaecoo J8 menawarkan jarak kelegaan tanah setinggi 170 mm, boleh dikatakan biasa-biasa sahaja berbanding SUV off-road lain.
Namun, dengan berkeupayaan untuk meredah air pada kedalaman sehingga 450 mm, ia merupakan satu ciri yang sangat berguna untuk rakyat Malaysia sekali sekala menempuh laluan banjir kilat di ibu kota.
Atau mungkin sekali terpaksa menempuh jalan kampung pedalaman untuk menyelesaikan tugas di sana.
Atau sekali sekala jika anda mahu merehatkan minda di kawasan perkhemahan yang rata-rata jauh dari akses jalan utama, dengan permukaan jalan yang tidak begitu manis dipandang mata.
Kesimpulan
Anda kini tidak perlu berbelanja besar sampai RM400k-RM500k untuk menikmati pengalaman off-road yang menyeronokkan.
Cukup dengan bajet cuma bermula dari RM198,800 untuk versi AWD, anda akan dapat merasai sendiri sebuah pakej SUV urban premium yang cukup bergaya dan selesa.
Dalam masa yang sama, ia juga menawarkan keyakinan untuk menawan apa jua bentuk permukaan bumi yang perlu ditempuh.
Tidak ada pengalaman off-road? Usah risau, kerana dengan teknologi moden yang disebutkan tadi anda sebenarnya boleh mengendalikan pemanduan Jaecoo J8 ini dengan baik.
Sedang pening memikirkan EV mana yang sesuai untuk digunakan sebagai kereta basahan?
Bawah julat harga RM150,000, kita sudah dihidangkan dengan bermacam jenis model seperti BYD Atto 3, Proton e.MAS7 dan yang terbaharu MG S5 EV.
Dilancarkan secara rasmi bulan Mei 2025, MG S5 EV ditawarkan dalam tiga varian utama, dengan versi paling asas dijual pada harga bermula RM115,900 dan versi paling premium pula berharga RM135,900.
Engear TV telah dijemput sendiri oleh pihak MG Malaysia dalam satu sesi pandu uji untuk merasai sendiri pengalaman memandu EV ini dari Damansara menuju ke Kuantan, Pahang.
Adakah ia mampu menjadi satu pilihan yang berbaloi di dalam segmennya? Jemput baca ulasan ringkas di bawah:
Reka bentuk
Kita mula dengan reka bentuk luaran, di mana MG S5 menggunakan pendekatan yang lebih selamat tanpa garis badan yang agresif dan keterlaluan.
Trend lampu berlapis di bahagian hadapan masih wujud, diikuti lampu LED dengan bar nipis melintang penuh di bahagian belakang.
Terdapat dua pilihan saiz rim, iaitu 17 inci serta 18 inci yang wujud pada varian Lux Long Range yang kami pandu uji ini.
Seperti yang anda lihat, MG S5 merupakan sebuah SUV elektrik saiz kompak, membawakan ukuran sepanjang 4,476 mm, lebar 1,849 mm, tinggi 1,621 mm dan jarak antara roda 2,730 mm.
Berbanding pesaing, MG S5 kecil sedikit daripada Proton e.MAS7, namun memiliki kelebihan jarak antara roda 10 mm lebih panjang berbanding BYD Atto 3.
Ruang kargo adalah sebesar 453 liter, atau sehingga 1441 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata.
Kabin canggih dan mesra pemandu
Untuk bahagian kabin, MG S5 menyediakan skrin kluster instrumen 10.25 inci dengan tema paparan yang agak ringkas, diikuti skrin tengah 12.8 inci yang lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.
Tidak dinafikan, segala macam fungsi kenderaan telah disumbatkan ke dalam skrin tengah, namun paparan menu mudah untuk diakses.
Paling penting, terdapat butang kawalan fizikal yang tersedia di bawah skrin tersebut untuk fungsi penting seperti kawalan suhu dan kelajuan tiupan angin, butang kelantangan audio, serta butang lampu kecemasan.
Kedudukannya mudah untuk dilihat dan dicapai oleh pemandu.
Di bahagian konsol tengah pula menyediakan tombol rotari PRND, ruang meletak cawan, slot untuk peranti pintar serta slot pengecasan tanpa wayar. Ringkas, namun memudahkan.
Ini sekaligus menjadikan MG S5 EV sebuah kereta elektrik moden yang sangat mesra pemandu.
Keselesaan
Salah satu perkara yang harus dipuji pada MG S5 ini ialah aspek keselesaan untuk kegunaan keluarga.
Tempat duduk dengan upholsteri kombinasi kulit dan fabrik itu ternyata menawarkan tahap keselesaan yang tersendiri.
Dimensi kusyen yang panjang menyokong bahagian bawah peha menjadikan perjalanan yang tidak memenatkan.
Ruang kepala dan kaki juga bukan satu masalah besar, memandangkan MG S5 ini mempunyai bumbung kaca panorama beralas, serta struktur lantai yang rata.
Sudut sandaran untuk penumpang belakang juga tidak terlalu menegak. Penulis juga tidak mempunyai komen untuk bahagian ruang belakang, memang selesa!
Aspek kebisingan, kekasaran dan gegaran (NVH) juga berada di tahap memuaskan, malah kami sebagai penumpang boleh berehat dengan aman sepanjang menempuh laluan Lebuhraya Pantai Timur yang beralun itu.
Tahap kecekapan sistem pendingin hawa zon tunggal juga diuji sepanjang perjalanan, di mana ia berfungsi dengan baik sepanjang menempuh keadaan cuaca yang panas membahang.
Cuma satu sahaja rungutan kami: corong pendingin hawa yang agak kecil bukaannya, dan ada kalanya sukar untuk dilaras arah tiupan angin sejuk.
Pemanduan
Secara standard, MG S5 dibekalkan dengan motor elektrik berkuasa 170 PS dan 250 Nm yang memacu roda belakang – ciri unik dalam segmennya.
Kami tidak sempat untuk menguji prestasi pecutan 0-100 km/j, namun kuasa yang dihasilkan oleh SUV kompak elektrik ini sudah memadai untuk kegunaan harian.
Aliran kuasanya lancar dan tidak terlalu menyentak, malah respons stereng juga boleh dilaras sedikit berat mengikut kehendak.
Selain pacuan belakang, ia juga mempunyai ciri sebuah kereta sports, iaitu nisbah agihan berat 47:53 yang menjadikan pemanduan rasa sporti, namun tidaklah sama tahap dengan kereta sports di luar sana.
Tapi untuk mereka yang mendambakan sebuah SUV keluarga yang sedap dipandu, MG S5 ini salah satu calon yang sesuai.
Talaan pada suspensi topang MacPherson dan tetapan multi-link di belakang menyediakan keseimbangan antara keselesaan dan dinamik pemanduan yang mampu membuatkan kita tersenyum.
Tiada masalah untuk SUV ini melayan selekoh di Litar Antarabangsa Karak, atau dibawa menempuh permukaan jalan yang tidak rata, seperti contoh memasuki kawasan kebun durian (dah musim kan?).
MG S5 turut menawarkan sistem brek pemulihan tenaga dan ciri pemanduan pedal tunggal dengan tetapan yang boleh dilaras mengikut kemahuan.
Sesuai untuk jalan jauh?
Dengan pek bateri berkapasiti 62 kWh, MG S5 ini boleh mencapai jarak sejauh 430 km (data WLTP).
Ia menyokong pengecasan pantas DC sehingga 150 kW, cuma sayang sekali pengecasan AC hanyalah serendah 7 kW sahaja.
Bagi kami, tiada masalah untuk anda pandu MG S5 ini merentas sempadan negeri untuk pulang ke kampung.
Dengan kehadiran beberapa kemudahan pengecasan pantas di sepanjang laluan utama, anda kini boleh merancang perjalanan dengan lebih baik.
Untuk perjalanan pulang semula, kami memandu MG S5 ini dari Kuantan dengan kapasiti bateri 96 peratus, mengekalkan corak pemanduan pada kelajuan yang sekata sepanjang perjalanan dan tiba di Kuala Lumpur dengan kapasiti bateri tinggal 16 peratus.
Dengan kemudahan pengecasan pantas DC Handal di Bamboo Hills, kami mengambil kesempatan untuk berehat seketika dan menambah jarak dalam tempoh masa kurang 15 minit untuk memastikan kami sempat tiba di majlis pelancaran sebuah lagi model baharu di Shah Alam.
Keselamatan
Secara standard, MG S5 EV mempunyai kelengkapan keselamatan yang panjang, termasuklah 7 beg udara, kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan kekal lorong (LKA), bantuan kesesakan trafik (TJA) serta brek kecemasan autonomi (AEB).
Ia juga mempunyai sistem kamera keliling 360 darjah yang sangat membantu terutama ketika kelajuan rendah dan menghadapi kesesakan trafik.
Sekiranya anda mahu mengubah laluan, hidupkan sahaja lampu isyarat membelok, dan sistem kamera akan memaparkan imej jelas di luar medan titik buta.
MG S5 EV juga merupakan sebuah kereta yang mahu anda pandu dengan selamat.
Sistem amaran had kelajuan akan berbunyi sekiranya EV ini dipandu melebihi had yang dibenarkan, dan boleh membuatkan anda rasa terganggu sepanjang perjalanan.
Berita baik, tahap kelantangan bunyi amaran ini boleh direndahkan. Usah risau dan nikmati sahaja alunan muzik daripada enam pembesar suara tanpa gangguan.
Kesimpulan
Berdasarkan pemanduan ringkas, MG S5 EV ini boleh dipertimbangkan sebagai satu pilihan untuk mereka yang mahukan sebuah SUV elektrik yang unik.
Ciri yang biasanya wujud pada SUV segmen yang lebih besar seperti nisbah agihan berat serta pacuan roda belakang kini sudah didapati pada SUV ini.
Sudah pasti tiada ciri yang terlebih canggih dan ‘fancy’, namun pada harga yang lebih mampu milik, MG S5 menyediakan pakej praktikaliti, keselesaan dan pemanduan yang boleh buatkan anda tersenyum.
Usah tertipu dengan rupanya yang biasa-biasa itu, kami sarankan anda cuba sendiri pandu uji MG S5 ini sebelum membuat keputusan.
Spesifikasi MG S5 EV (harga RM135,900)
Nadi penggerak: motor elektrik tunggal
Pacuan: roda belakang (RWD)
Kuasa: 170 PS, 250 Nm
Bateri: LFP, kapasiti 69 kWh
Pengecasan AC: 7 kW
Pengecasan DC: 150 kW
Jarak gerak: 430 km (data WLTP)
Suspensi: Topang MacPherson/Multi-link
Kargo: 453 – 1441 liter
Zeekr Malaysia mengumumkan pembukaan pusat pameran Zeekr Space bernilai RM10 juta terletak di Sunway City dan dikendalikan oleh rakan pengedar Sunway Marketing.
Terletak di Persiaran Lagoon, Zeekr Space Sunway City mempunyai keluasan 11,100 kaki persegi di lokasi yang sebelum ini menjadi helipad ikonik.
Selain ruang pameran kenderaan, Zeekr Space Sunway turut mempunyai ruang rehat pelanggan premium, kemudahan empat titik pengecasan AC, serta pengecasan DC yang akan ditambah kelak.
Terdapat juga pusat servis Zeekr canggih di fasiliti berasingan yang terletak di Jalan Lagoon Selatan.
Ia bukan sahaja menawarkan khidmat servis dan diagnosis kenderaan, pusat servis itu juga turut menyediakan ruang storan alat ganti mencukupi yang dapat memenuhi keperluan selepas jualan bagi kenderaan Zeekr di Malaysia.
Melihatkan kepada komuniti Zeekr yang semakin berkembang, pusat seluas 10,000 kaki persegi itu direka supaya boleh diperluas kepada 20,000 kaki persegi pada masa hadapan.
Pusat pameran Zeekr Space Sunway City ini dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 malam setiap Isnin hingga Sabtu, dan dari jam 10.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari Ahad.
Pusat servis Zeekr Sunway pula dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang pada hari biasa, dan dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang setiap Sabtu.
Bersempena dengan pembukaan Zeekr Space Sunway City, Sunway Marketing mengumumkan kempen “Win-a-Zeekr” yang menawarkan hadiah berupa sebuah Zeekr X Premium serba baharu.
Kempen cabutan bertuah ini terbuka kepada mana-mana pelanggan yang sudah membuat pembelian dan menerima penghantaran kenderaan Zeekr dari Zeekr Space Sunway City atau Petaling Jaya sebelum 30 September 2025.
Siapa sangka, crossover cilik lincah berlencanakan Lexus ini datangnya daripada permintaan orang kuat Toyota itu sendiri, iaitu Akio Toyoda.
Ketika awal pembangunan, Akio atau lebih dikenali dengan nama Morizo meminta pasukan R&D untuk menghasilkan sebuah kereta kasual yang boleh dipandu pada hujung minggu persis kasut kegemaran.
Hasilnya, sebuah crossover saiz kompak mewah dengan penampilan menarik dan seronok untuk dipandu – Lexus Breakthrough Cross(X)- over atau LBX.
Lexus LBX merupakan kereta produksi yang paling kecil pernah dihasilkan oleh Lexus dan diposisikan di bawah Lexus UX.
Walaupun dibina berdasarkan platform GA-B yang menjadi tunjang untuk model Yaris Cross pasaran Eropah, LBX bukanlah sekadar sebuah produk kejuruteraan tukar lencana semata-mata.
Rekaan
Berbanding Yaris Cross spesifikasi Eropah, LBX mempunyai penampilan yang lebih gagah.
Ia disumbangkan oleh rekaan gerbang roda yang lebih bulat, fender yang lebih lebar dan menonjol, serta saiz tayar yang lebih besar.
Malah, garis bahu LBX lebih rendah jika dibandingkan dengan Yaris Cross, mewujudkan penampilan seakan orang salji dua-bebola dari sudut pandang depan, sisi dan belakang.
Masahiro Sasaki, seorang pelumba yang turut merangkap pemandu uji Toyota menjelaskan rekaan sebegini menampakkan LBX lebih seimbang dan mempunyai titik graviti yang lebih rendah.
Disebabkan itu, penampilan LBX nampak gagah walaupun hanya duduk diam di tempat parkir, apatah lagi apabila dipandu di atas jalan raya.
Ruang kabin
Bagi penulis, Lexus LBX lebih sesuai disifatkan sebagai sebuah kereta kasual untuk dipandu pada hujung minggu tanpa mengorbankan aspek praktikaliti.
Ya, ruang penumpang belakang mungkin nampak kecil, dan ianya lebih sesuai digunakan oleh kanak-kanak atau orang dewasa bersaiz kerdil.
Ruang kargo? Adalah dalam 315 liter untuk memuatkan barangan dapur. Atau lipat sahaja kerusi baris kedua, dan anda akan dapat ruang barangan sebesar 992 liter.
Fokus Lexus nampaknya lebih tertumpu kepada konsep Tazuna terutama untuk bahagian kokpit pemandu.
Tidak banyak butang fungsi fizikal disediakan, hanya fungsi-fungsi penting sahaja dikekalkan.
Tujuannya? Untuk memastikan tumpuan pemandu kekal fokus di atas jalan raya.
Butang kawalan pada stereng pula nampak macam kosong tanpa sebarang fungsi, tapi sebenarnya anda boleh tetapkan butang fungsi pintas untuk beberapa operasi dengan mudah.
Cuma, anda kena perhati pada skrin paparan head-up untuk melihat operasi apa yang akan diaktif atau nyahaktif seperti naik atau turunkan kelajuan tiupan angin, atau menukar alunan muzik yang sedang dimainkan.
Untuk permulaan, mungkin agak sukar untuk membiasakan diri, namun lama kelamaan penulis lebih suka cara ini yang dapat meminimumkan pergerakan mata semasa sedang memandu.
Selain itu, Lexus LBX menawarkan tempat duduk yang cukup empuk, selesa dan memegang erat pemandu – ciri yang sukar didapati pada mana-mana kereta dalam segmen serupa.
Skrin tengah 9.8 inci itu memaparkan menu yang mudah untuk diakses, selain menyokong sambungan kepada Apple CarPlay dan Android Auto.
Skrin kluster digital 12.3 inci itu juga amat menyenangkan mata pemandu, paling penting masih lagi wujud tema meter analog!
Butang pandu mula juga diposisikan agak tinggi bersebelahan dengan meter kluster yang amat mudah dilihat dan dicapai oleh pemandu.
Secara jujurnya, inilah apa yang penulis harapkan daripada sebuah Lexus, sebuah kereta mewah yang masih mengutamakan keperluan seseorang pemandu.
Ciri moden yang memudahkan
Dalam ruang kabin LBX, terdapat sehingga empat port pengecasan USB Type C, dan tidak ketinggalan slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar Qi yang turut disediakan.
Sistem audio Mark Levinson dengan 13 pembesar suara sedia untuk menemani anda sepanjang pemanduan bersemangat di hujung minggu.
Urusan bukaan pintu dimudahkan dengan operasi e-Latch, hanya tekan tuil pada panel pintu (dan pemegang pintu di luar) dengan hanya satu jari dan pintu akan terus terbuka.
Meskipun konsol tengah nampak agak sempit untuk memuatkan dua lengan pada satu-satu masa, ia masih lagi dilengkapi dengan butang operasi yang diperlukan oleh pemandu.
Enjin hibrid, tapi perangai macam EV
Salah satu perkara yang membuatkan penulis teruja ya amat bila dapat pandu Lexus LBX ialah prestasi enjin hibrid yang cukup bertenaga.
Tidak seperti tipikal kereta hibrid China yang menggunakan enjin turbo, LBX hanya tampil dengan tetapan enjin hibrid aspirasi semula jadi (NA) 1.5 liter kod M15A-FXE.
Nadi berkuasa 90 hp/120 Nm itu dipadankan dengan motor elektrik 93 hp/185 Nm, menghasilkan output keseluruhan sekitar 136 hp.
Sistem transmisi eCVT yang cekap itu memastikan setiap pecutan lincah LBX dapat dinikmati sepenuhnya oleh pemandu, terutama sewaktu ‘berlepas’ dari persimpangan lampu isyarat atau plaza tol.
Setelah puas melayan selekoh, penulis kembali bertenang membawa LBX melalui jalan sekitar ibu kota, dan kebanyakan masa ia akan mengutamakan mod pemanduan EV, menjadikan suasana yang lebih senyap dan selesa.
Malah, ada ketikanya penulis mencatatkan nisbah pemanduan sifar emisi sebanyak 50 peratus untuk perjalanan sejauh 78 km.
Jimat minyak? Itu sudah pasti!
Pengendalian dan keselesaan, seimbang!
Secara standard, Lexus LBX dilengkapi dengan tetapan topang MacPherson di depan diikuti sistem torsion beam yang lebih ringkas di belakang.
Atas kertas, memang nampak biasa. Sama macam SUV segmen B yang ada di pasaran pada ketika ini.
Namun, apa yang pasti talaan pengendalian yang diberikan oleh Lexus mampu membezakan prestasi LBX dengan SUV lain.
Sukar untuk penulis merungut negatif sepanjang memandu uji LBX ini, ia rasa stabil dan melekat di setiap selekoh, dan bekerja dengan baik untuk menyerap segala ketidakrataan jalan yang muncul.
Pendek kata, ia memberikan keseimbangan antara kestabilan pengendalian serta keselesaan pemanduan, ditambah pula dengan fungsi Vehicle Braking Posture Control untuk mengurangkan kesan pitch & roll.
Selain itu, respons stereng juga cukup rasa dan input, patuh pada setiap arahan pemandu tanpa rasa ringan yang melampau.
Gandingan harmoni antara casis dengan jarak antara roda yang pendek, enjin bertenaga, transmisi dan sistem gantungan yang cekap itu membuatkan Lexus LBX ini sebuah produk yang istimewa dalam segmennya.
Sukar untuk digambarkan perasaan ini dengan kata-kata, anda perlu masuk dan rasa sendiri pengalaman pemanduan LBX ini jika diberikan peluang.
Deruman enjin tiga silinder tersebut juga kurang kedengaran, hanya sayup-sayup di telinga terutama ketika pedal pendikit ditekan rapat. Namun kebanyakan masa suasana dalam kabin kekal senyap dan selesa.
Keselamatan
Secara standard, LBX hadir dengan kelengkapan keselamatan termasuklah lapan beg udara, serta Lexus Safety System+ yang merangkumi fungsi seperti:
• brek kecemasan autonomi
• kawalan jelajah adaptif dengan fungsi berhenti dan pergi
• bantuan kekal korong
• bantuan membelok aktif
• sistem pengecaman papan tanda trafik
• sistem pemantauan titik buta
• amaran bukaan pintu
• bantuan suluhan tinggi automatik
Kesimpulan
Dengan tanda harga RM268,888, penulis terpaksa akui LBX bukanlah sebuah kereta mewah yang direka untuk semua orang, dan tidak juga sesuai dijadikan sebagai calon kereta pertama.
Ia mempunyai kelemahan yang mungkin sukar untuk dikompromi, namun hadir dengan pakej yang mampu membuatkan pemandu tersenyum gembira di hujung minggu setelah lima hari bekerja memandu SUV atau MPV.
Ibarat kasut kegemaran, ia amat sesuai dipakai bila mana anda memerlukannya.
Spesifikasi Lexus LBX (RM268,888)
Enjin: tiga silinder sebaris, 1.5 liter NA (kod M15A-FXE)
Kuasa: 90 hp/120 Nm
Motor elektrik: 93 hp/185 Nm
Kuasa keseluruhan: 136 hp
Transmisi: eCVT
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson/torsion beam
Proton secara rasmi membuka tempahan bagi model SUV segmen B X50 2025 facelift pada hujung minggu lalu.
10,000 orang pelanggan pertama akan menerima tawaran eksklusif berupa rebat tunai bernilai RM1,000, kad Touch ‘n Go edisi terhad serta tawaran “Gempak” yang akan diumumkan sewaktu pelancaran rasminya kelak.
Buat masa ini, Proton masih lagi merahsiakan harga jualan X50 2025, namun difahamkan terdapat tiga varian utama iaitu Executive, Premium dan Flagship.
Secara standard, ketiga-tiga varian dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo yang mampu menjana kuasa 181 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 290 Nm @ 2,000-3,500 rpm.
Kuasa itu disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi klac berkembar (DCT) tujuh-kelajuan.
Pecutan 0-100 km/j kini sepantas 7.6 saat, dan dikatakan 4.7 peratus lebih jimat minyak berbanding model terdahulu.
Berikut merupakan perincian baharu bagi setiap varian:
X50 Executive
– lampu hadapan LED baharu berserta lampu nyalaan siang
– lampu belakang LED baharu
– jeriji hadapan baharu
– rim aloi 17 inci baharu
– papan pemuka baharu
– konsol tengah dengan ruang storan bawah sebesar 10 liter
– skrin infohibur 14.6 inci dan skrin kluster 8.88 inci
– sokongan Hi Proton dalam Bahasa Malaysia
– sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
– tempat duduk fabrik
– enam pembesar suara
– sistem pendingin hawa automatik dengan penapis kabin N95
– enam beg udara
– kamera undur
– bantuan tukar lorong (LCA), amaran pelanggaran belakang (RCW), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), amaran bukaan pintu (DOW)
X50 Premium(tambahan kepada ciri di atas)
– rim aloi 18 inci
– pintu tailgate berkuasa
– rak bumbung
– angkup brek merah
– sistem pencahayaan ambien 72 warna
– tempat duduk balutan kulit leatherette
– kamera HD 360 darjah + paparan telus pandang 180 darjah
– brek kecemasan autonomi (AEB), amaran pelanggaran hadapan (FCW), kawalan jelajah adaptif (ACC) dan pintar (ICC), amaran dan pengelakan keluar lorong (LDW & LDP), kawalan pemusatan lorong (LCC), informasi papan tanda trafik (TSI), bantuan suluhan tinggi (IHBC) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS)
X50 Flagship(tambahan kepada ciri di atas)
– spoiler bumbung sporti
– kemasan dua tona di luar
– kemasan hitam berkilat pada cermin sisi
– visor matahari separa telus
– slot pengecasan tanpa wayar
– bumbung kaca panorama
– kemasan dalaman dua tona
– Auto Park Assist (APA)
Terdapat lima warna yang ditawarkan untuk Proton X50, iaitu Snow White, Passion Red, Jet Grey, Armour Silver serta warna baharu Teal Bayou Green.
Menurut Proton, model X50 2025 mempunyai kira-kira 245 komponen baharu dengan tempoh pembangunan memakan masa selama 412,000 jam dan telah menjalani ujian atas jalan raya sejauh 4.3 juta km.
Proton terus memperluas jalinan strategik mereka bersama Grab Malaysia dengan memperkenalkan lebih banyak pilihan model untuk keperluan pemandu e-hailing platform tersebut.
Selain daripada Proton Saga, rakan-pemandu Grab ini boleh memilih untuk mendapatkan sedan Proton S70 dan barisan model premium Siri X (Proton X50, Proton X70 dan Proton X90) untuk disesuaikan di bawah kategori GrabCar Plus dan GrabCar (6-seater).
Kerjasama ini turut menawarkan insentif menarik seperti rebat tunai sehingga RM13,000, serta diskaun servis sebanyak 5 peratus untuk dua tahun pertama atau sehingga 40,000 km.
Ia juga turut menawarkan sokongan minyak petrol bernilai RM500 untuk meringankan kos operasi pada peringkat awal pemilikan.
Ong Chee Wooi, Timbalan Pengarah Jualan, Proton EDAR berkata, “Kerjasama yang diperkukuh bersama Grab Malaysia ini merupakan satu langkah penting dalam mengukuhkan sektor e-hailing. PROTON berbesar hati dapat menawarkan model S70 dan siri premium X kepada rakan-pemandu Grab.
“Bagi pekerja gig, program komprehensif ini bukan sahaja menyediakan kelebihan eksklusif tetapi juga jaminan dari segi kebolehpercayaan dan kos penyelenggaraan yang mampu milik – faktor penting bagi mereka yang menggunakan kenderaan sebagai alat utama dalam mencari rezeki.”
Rashid Shukor, Pengarah Operasi Negara dan Mobiliti, Grab Malaysia pula berkata, “Kami berbesar hati dapat memperkukuh kerjasama bersama PROTON, yang mencerminkan komitmen berterusan kami dalam memberi peluang fleksibel kepada rakyat Malaysia.
“Inisiatif ini telah memudahkan rakan-pemandu kami mendapatkan kenderaan, sekali gus membolehkan mereka menjana pendapatan dan menyara keluarga sambil memenuhi permintaan penumpang yang semakin meningkat.
“Dengan peluasan kerjasama ini – merangkumi model S70 dan siri premium X – rakan-pemandu kini berpeluang meningkatkan pengalaman pemanduan mereka, menaik taraf kenderaan, dan memenuhi keperluan pelanggan yang lebih pelbagai. Kami berharap dapat terus melangkah bersama dalam usaha membina masa depan yang lebih inklusif dan penuh peluang untuk semua.”
Siapa sangka, segmen off-road yang sebelum ini dikuasai oleh jenama Jepun kini sudah mula ditembusi oleh model terbaharu daripada pengeluar China.
Namun, tidak seperti kelaziman SUV off-road yang hadir dengan bantuan enjin diesel, pengeluar dari Tanah Besar menumpukan perhatian kepada enjin hibrid serta plug-in hybrid.
Kelebihannya? Enjin bersesaran kecil yang menyumbang kepada kos cukai jalan yang lebih rendah, dan keupayaan yang jauh lebih berkuasa dan bertenaga untuk kegunaan di laluan yang sukar.
Salah satu pengeluar yang tampil dengan penyelesaian off-road moden ialah GWM, menerusi produk SUV saiz penuh Tank 500 HEV.
Jadinya, jika anda sudah mula bosan dengan model buatan Jepun, tidak salah untuk cuba sendiri SUV off-road Tank 500 yang sudah rasmi berada di Malaysia.
Baru-baru ini kami dijemput sendiri oleh GWM Malaysia untuk memandu SUV hibrid mewah ini dari Bandar Elmina menuju ke Pulau Pinang, dan ini merupakan pendapat awal kami berkenaan Tank 500 HEV:
Dimensi yang gagah perkasa
Atas jalan, Tank 500 HEV nampak macam sekumpulan delegasi luar negara yang sedang melawat Malaysia, terutama apabila ia dipandu dalam kelompok konvoi.
Tidak seperti Tank 300 yang nampak seperti SUV retro, Tank 500 pula membawakan imej SUV yang lebih moden dan bersih dengan rekaan badan tanpa garis bercelaru.
Jika dibandingkan dengan pesaingnya (apa lagi kalau bukan Land Cruiser), Tank 500 memiliki dimensi yang sedikit kecil.
Namun Tank 500 mempunyai ukuran panjang melebihi lima meter, terima kasih kepada ruang simpanan tayar saiz penuh di bahagian belakang.
Bukaan pintu belakang juga tidak seperti tipikal SUV yang ada di pasaran, ia mempunyai engsel di bahagian sisi lengkap dengan fungsi tutup lembut.
Penulis tiada masalah untuk membiasakan diri dengan rupa paras SUV ini, cuma lebih enak di pandangan mata jika kebanyakan elemen krom itu dikusamkan.
Ruang kabin ada elemen olskool
Penulis tidak begitu menggemari susun atur papan pemuka yang mementingkan segala fungsi disumbatkan ke dalam skrin paparan.
Jadi, bila masuk ke dalam kabin Tank 500, penulis mampu melepaskan nafas lega kerana kebanyakan fungsi masih boleh dioperasikan dengan hanya menekan butang fizikal.
Selain butang kawalan sistem pendingin hawa, terdapat juga butang fungsi penting yang diletakkan pada konsol tengah, lengkap dengan tombol gear saiz besar.
Di depan pemandu disediakan skrin paparan sebesar 12.3 inci dan skrin paparan head-up, manakala skrin tengah pula sebesar 14.6 inci lengkap dengan fungsi Apple CarPlay dan Android Auto.
Tempat duduk hadapan balutan kulit Nappa disediakan bermacam fungsi keselesaan (ventilasi, urut, larasan elektronik).
Untuk peneman sepanjang perjalanan, Tank 500 dipadankan dengan sistem audio Infinity dengan 12 pembesar suara untuk alunan muzik yang kena dengan jiwa.
Untuk keluar dari kabin dengan selesa, terdapat tempat pemijak sisi yang akan muncul secara automatik saat pintu dibuka.
Keselesaan penumpang dibantu dengan sistem pendingin hawa automatik tiga-zon. Penumpang belakang diberikan panel kawalan berasingan, serta empat corong udara untuk memastikan udara sejuk sampai ke tempat sepatutnya.
Perkara yang paling digemari penulis? Jam analog di bawah skrin infohibur itu tadi. Satu sentuhan kecil yang boleh buatkan suasana dalam kabin rasa macam kereta yang lebih mahal.
Kemasan kayu pada beberapa sudut turut menyumbang kepada pengalaman yang lebih mewah untuk sebuah SUV berharga bawah RM400 ribu.
Pengalaman duduk sebagai penumpang
Satu perkara yang membuatkan perjalanan yang lebih selesa dalam Tank 500 ini ialah tahap NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) yang cukup baik untuk sebuah SUV binaan ladder-frame.
Pada kelajuan meluncur yang sederhana tinggi, kami dapat rasakan suasana dalam kabin agak senyap.
Bunyi bising angin luar sukar untuk menerjah masuk, dan kurang bunyi bising yang datang dari arah gerbang tayar.
Sebagai penumpang, penulis mendapati Tank 500 menawarkan ruang kepala dan kaki yang cukup luas tanpa membuatkan rasa terkepit.
Bagaimana dengan tempat duduk baris ketiga? Penulis berpendapat ia lebih sesuai jika anda membawa kanak-kanak, atau lipat sahaja untuk ruang kargo 795 liter, atau sehingga 1,498 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat sekali.
Pemanduan lancar dan bertenaga, cuma…
Saat penulis memegang stereng, terdapat beberapa perkara yang berjaya memadamkan tanggapan awal.
Satu: Tank 500 HEV memang cukup stabil dan selesa walaupun dipandu pada kelajuan melebihi had kebangsaan di lebuh raya.
Dua: Kawalan badan yang mudah untuk dijangka, walaupun tidak dilengkapi dengan suspensi yang canggih.
Tiga: SUV ini memang berat, tapi ia tidaklah malas untuk bergerak.
Secara standard, Tank 500 dilengkapi dengan enjin empat silinder sebaris 2.0 liter turbo hibrid (HEV).
Atas kertas, Tank 500 menghasilkan 346 PS dan daya kilas 648 Nm, di mana kuasa itu disalurkan kepada sitem pacuan empat roda (4WD) menerusi transmisi automatik hibrid sembilan-kelajuan (9HAT).
Namun, ada satu perkara yang harus anda tahu.
Tidak seperti sistem HEV pada Haval H6 yang direka untuk penjimatan, sistem hibrid pada Tank 500 ini lebih bertindak sebagai penambah kuasa untuk memastikan badan seberat 2.5 tan ini bergerak dengan lancar.
Tiada masalah untuk bergerak dari pegun, namun Tank 500 dirasakan tidak cukup bertenaga bila penulis mahukan tujahan ekstra untuk memotong kenderaan berat di hadapan.
Anehnya, tujahan ekstra tersebut hadir pada masa yang salah – ketika SUV sedang meluncur dengan tenang pada kelajuan melebihi had laju kebangsaan.
Bukan penulis seorang sahaja yang perasan, perkara itu turut dikongsikan oleh beberapa rakan media yang lain.
Ia bukanlah satu masalah, cuma penulis lebih gemar jika bantuan kuasa tambahan tersebut hadir pada masa yang tepat.
Secara purata, dengan pola pemanduan yang bercampur-campur di atas lebuh raya kami berjaya mencatatkan kadar penggunaan bahan api sekitar 11.5 liter untuk setiap 100 km.
Dari segi aspek kawalan pula, ada beberapa perkara yang boleh ditambah baik.
Satu daripadanya ialah respons stereng, dan yang kedua ialah sistem brek yang kosong di mana ada kalanya sukar untuk penulis tentukan titik gigit brek yang diperlukan.
Tank 500 HEV secara standard hadir dengan tetapan suspensi double wishbone di depan dan tetapan multi-link di belakang tanpa sebarang larasan elektronik yang lebih canggih.
Biarpun dengan tetapan konvensional, sistem suspensi tersebut telah ditala dengan baik untuk keselesaan dan keyakinan di atas pelbagai jenis permukaan jalan.
Cuma ada ketikanya karakteristik SUV ladder-frame masih lagi dapat dirasakan terutama ketika kelajuan rendah. Ia sesuatu yang sukar utuk dielak, terutama untuk SUV dengan binaan badan sebegini.
SUV hibrid sedia untuk pemanduan off-road
Biarpun dengan pelbagai ciri mewah, GWM masih tidak lokek untuk melengkapkan SUV ini dengan bermacam ciri dan fungsi yang sangat berguna untuk laluan off-road.
Antaranya ialah kotak gear low-range, tiga kekunci pembeza (diff-lock) di bahagian depan, tengah dan belakang, fungsi tank-turn dan juga kawalan jelajah off-road.
Ia juga mampu meredah air sedalam 800 mm. Mungkin satu hari nanti kami akan kongsikan pengalaman pemanduan off-road di dalam Tank 500.
Ciri keselamatan
Selain itu, Tank 500 juga hadir dengan pelbagai ciri keselamatan termaju, seperti brek kecemasan automatik, kawalan jelajah adaptif (ACC), bantuan pengekalan lorong, amaran keluar lorong, amaran lintasan trafik, sistem pemantauan titik buta, serta sistem parkir automatik.
Selain itu, terdapat enam beg udara serta dua cagak ISOFIX untuk kerusi kanak-kanak disediakan.
Ciri yang paling berguna untuk SUV saiz besar ini sudah pasti sistem kamera keliling 360 darjah yang lengkap dengan fungsi pandang telus bonet.
Kesimpulan
GWM Tank 500 boleh jadi satu alternatif untuk mereka yang mahu tampil berbeza daripada pilihan yang wujud di pasaran.
Berdasarkan pemanduan ringkas sepanjang tempoh dua hari sukar untuk kami meneroka potensi SUV ini dengan lebih mendalam.
Namun yang pasti, dengan spesifikasi serta jaminan menyeluruh daripada pengeluar, serta harga jualan bawah RM350 ribu, GWM Tank 500 mampu menawarkan pengalaman yang tidak anda jangkakan daripada pengeluar China sebelum ini.
Ia bukan produk cap ayam yang boleh anda perlekehkan. Ia sebuah GWM Tank 500.
Spesifikasi GWM Tank 500 HEV (RM328,000 OTR)
Enjin: empat silinder sebaris, 2.0 liter turbo (244 PS/380 Nm)
Motor elektrik: 106 PS/268 Nm
Kuasa keseluruhan: 346 PS/648 Nm
Transmisi: Automatik sembilan-kelajuan
Sistem pacuan: empat roda
Pek bateri: Lithium-ion, 1.67 kWh
Dimensi: 5,078 mm x 1,934 mm x 1,905 mm
Jarak antara roda: 2,850 mm
Jarak kelegaan tanah: 224 mm
Suspensi: Double-wishbone depan/multi-link belakang
Tatkala pengeluar lain sudah mula mengabaikan segmen sedan, masih terdapat beberapa pihak yang percaya masih wujud permintaan terhadap model tersebut.
Salah satu daripadanya ialah Geely, di mana pengeluar itu tampil dengan model sedan baharu Galaxy A7.
Sedan segmen D yang bakal memberikan cabaran kepada Honda Accord dan Toyota Camry ini ditawarkan secara eksklusif dalam versi plug-in hybrid (PHEV) yang menawarkan jarak gerak mencecah 2,100 km.
Galaxy A7 menggunakan tetapan PHEV yang terdiri daripada enjin 1.5 liter, motor elektrik dan pek bateri, di mana Geely mendakwa kadar penggunaan bahan api adalah serendah 2 liter/100 km.
Beberapa laporan media tempatan mencadangkan Geely akan menawarkan Galaxy A7 dengan beberapa pilihan pek bateri LFP (lithium-iron phosphate), dengan jarak gerak sifar emisi mencecah 120 km.
Dari segi dimensi, Galaxy A7 berukuran sepanjang 4,918 mm, lebar 1,905 mm, tinggi 1,495 mm dengan jarak antara roda sepanjang 2,845 mm.
Rekaan luaran A7 ini, terutama bahagian depan sedikit sebanyak mengingatkan kita kepada rekaan Proton Perdana versi facelift yang muncul pada tahun 2016.
Perumah lampu depan tampil lebih ringkas, namun berbeza dengan unit lampu belakang dengan grafik yang agak kompleks.
Secara standard, Galaxy A7 boleh didapati dengan pilihan rim bersaiz 17 hingga 19 inci.
Ruang kabin pula menempatkan susun atur papan pemuka yang minimalis, dengan kehadiran skrin kluster dan skrin infohibur yang agak besar, diikuti dengan butang kawalan fizikal pada konsol tengah.
Sedan PHEV ini bakal dilancarkan secara rasmi pada tahun ini, dengan harga jualan anggaran sekitar RMB100,000 (RM58,801), jauh lebih murah berbanding Camry berharga RMB179,800 (RM105,725).
Adakah sedan ini akan dijelmakan semula sebagai pengganti kepada Proton Perdana kelak?
Pejabat Menteri Pengangkutan mengumumkan pelaksanaan ujian rintis sistem pemantauan had laju berasaskan kaedah ‘point-to-point‘ masih belum dimulakan, lapor Berita Harian.
Buat masa ini, tiada ada maklumat berkenaan tarikh sistem baharu itu dijadualkan bermula, dan sebarang perkembangan akan diumumkan kelak.
Dalam laporan terdahulu, sistem berasaskan kepintaran buatan (AI) itu akan diuji di dua lokasi lebuh raya utama, iaitu dari Terowong Genting Sempah-Hentian Rehat Gombak (KLK), serta Plaza Tol Senawang-Plaza Tol Simpang Ampat (PLUS).
Terdapat juga perancangan untuk memasang sistem tersebut di lokasi yang sering berlaku kemalangan, seperti contoh di lokasi Terowong Menora-Hentian Rehat Sungai Perak (PLUS).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke sebelum ini menyatakan pelaksanaan sistem berkenaan dijangka bermula Jun ini.
Sistem terbaharu itu dirangka untuk menggantikan kaedah kamera statik sedia ada yang disifatkan tidak lagi berkesan untuk mengurangkan kelajuan kenderaan.
Sekiranya pemandu dikesan tiba lebih awal daripada masa sepatutnya, saman akan dikeluarkan secara automatik menerusi sistem pengesanan nombor pendaftaran kenderaan.
Sistem itu juga mampu mengesan sekiranya pemandu berhenti sebagai helah untuk mengelak daripada dikesan.
Bagi kebanyakan VIP, VVIP dan VVVIP di Malaysia, kenderaan lalai (default) yang selalu sangat digunakan atas jalan raya tidak lain dan tidak bukan MPV berkotak yang paling popular: Toyota Alphard/Vellfire.
Ia sudah menjadi satu pemandangan yang lazim sejak 23 tahun yang lalu, membuktikan betapa pentingnya kenderaan segmen sebegini untuk kegunaan golongan tersebut.
Namun keadaan tersebut mungkin akan berubah dengan kehadiran beberapa buah model minivan premium dalam pasaran sedia yang boleh didapati dengan pilihan rangkaian kuasa elektrik (EV) dan juga plug-in hybrid (PHEV).
Salah satu model yang sedia memberikan cabaran ialah minivan premium daripada cabang jenama mewah BYD, iaitu Denza D9.
Dilancarkan secara rasmi awal tahun yang lalu, Denza D9 merupakan sebuah MPV tiga baris tempat duduk premium yang membawakan tanda harga lebih murah berbanding duo Alphard/Vellfire – bermula dari RM259,000 hingga RM309,000 untuk varian yang paling tinggi.
Untuk sesi pandu uji ringkas selama dua hari satu malam kali ini, kami berpeluang untuk merasai sendiri pakej premium yang cuba ditawarkan oleh Denza D9, bermula dari bilik pameran Denza Jalan Klang Lama menuju ke Desaru, Johor.
Hari pertama: Pengalaman sebagai seorang bos
Buka sahaja pintu gelangsar, Denza D9 akan menyediakan baris kedua berupa tempat duduk kapten dengan pakej yang cukup lengkap: ada perehat kepala dan perehat kaki, fungsi pemanas, ventilasi, urut 10 titik dan tetapan sifar graviti yang boleh ditetapkan menerusi skrin berasingan pada perehat tangan.
Terdapat juga slot pengecas peranti pintar tanpa wayar serta port USB Type C untuk kedua-dua tempat duduk baris tengah.
Rasa haus setelah seharian bermesyuarat? Denza D9 ada menyediakan peti sejuk 6.8 liter yang boleh ditetapkan suhu antara negatif 6 hingga 50 darjah Celcius. Cukup untuk memuatkan beberapa botol air bersaiz kecil.
Terdapat juga meja piknik yang boleh dibuka dari belakang tempat duduk baris depan. Cuma pada pendapat kami, meja tersebut mungkin lebih praktikal jika posisinya lebih rapat dengan tempat duduk baris kedua. Barulah rasa macam penerbangan kelas perniagaan yang sebenar.
Mahu maksimumkan baris kedua dengan sebaik mungkin? Denza D9 tidak menyediakan fungsi ‘boss switch‘ pada tempat duduk penumpang hadapan. Sebaliknya, anda boleh akses menu ‘boss key‘ menerusi skrin kecil itu tadi.
Penggunaan bahan upholsteri premium Nappa menjadikan pengalaman perjalanan yang lebih selesa dan tidak memenatkan.
Selain daripada itu, tahap NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) kabin Denza D9 berada pada tahap yang baik.
Bunyi bising tayar tidak jelas kedengaran, malah penggunaan kaca jenis double glaze juga memastikan bunyi hentaman air hujan lebat tidak membuatkan tidur penumpang rasa terganggu.
Apa yang penting, dengan tetapan sistem suspensi adaptif pintar DiSus-C secara standard, Denza D9 berupaya menawarkan tahap keselesaan yang tersendiri sepanjang perjalanan.
Hari kedua: Bertugas sebagai drebar orang kenamaan
Setelah puas menikmati pengalaman sebagai seorang VIP, hari kedua penulis ‘bertukar kerjaya’ menjadi pemandu yang diberikan tanggungjawab membawa dua orang VIP pulang semula ke Kuala Lumpur.
Masuk sahaja ruang kokpit, perkara pertama yang penulis mahu puji ialah tetapan tempat duduk pemandu yang cukup sifat dan sempurna untuk tugasan pemanduan selama berjam-jam merentas empat negeri.
Ia menawarkan sokongan yang sangat diperlukan oleh pemandu, ada fungsi lapan tahap larasan, lengkap dengan sokongan untuk tulang belakang, fungsi ventilasi, serta headrest yang boleh diubah.
Konsol tengah masih lagi menempatkan tombol gear serta beberapa butang fizikal untuk fungsi utama seperti pilihan mod pemanduan, membuka pintu gelangsar sisi, pintu belakang, bahkan terdapat juga butang khas untuk membuka peti sejuk di tengah.
Skrin kluster sebesar 10.25 inci tu menawarkan grafik yang mudah untuk dibaca, cuma mungkin lebih baik jika ia didatangkan dengan pilihan tema analog yang lebih ringkas. Tidak semua pemandu sukakan paparan skrin yang penuh dengan bermacam-macam info.
Mujur juga ada skrin paparan head-up (HUD) yang disediakan, jadi segala info penting boleh dibaca tanpa memerlukan pergerakan mata yang ketara sewaktu pemanduan.
Skrin tengah sebesar 15.6 inci itu memang cukup besar, lengkap dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, ditambah pula dengan paparan menu yang mudah untuk dicari serta mempunyai beberapa butang pintas (shortcut).
Sebagai seorang pemandu, susun atur sebegini sememangnya amat dihargai kerana penulis tidak perlu terkial-kial untuk mencari dan mengubah tetapan kenderaan untuk memastikan dua orang VIP di belakang kekal selesa tanpa gangguan.
Pemanduan
Dari segi dimensi, Denza D9 sememangnya jauh lebih besar berbanding duo Alphard/Vellfire yang sangat banyak di atas jalan raya pada ketika ini.
Namun, tidak sukar untuk penulis mengendalikan MPV premium ini disebabkan sudut pandang keluar yang cukup besar, dibantu pula dengan kamera keliling bagi memastikan tiada sebarang panel badan tercalar sewaktu memasuki kawasan yang sempit.
Anda boleh memilih untuk talaan stereng yang lebih lembut dan santai (mod Comfort) atau sedikit berat (mod Sport) bergantung kepada keadaan. Namun kebanyakan masa penulis lebih gemar menggunakan mod Sport untuk respons yang lebih natural.
Mod pemanduan yang disediakan pada Denza D9 ini tidaklah menawarkan tetapan menyeluruh.
Ini kerana jika mod Sport dipilih, ia hanya akan mengubah tetapan ECU semata-mata dan anda masih perlu untuk masuk ke dalam menu skrin utama untuk mengubah tetapan suspensi, stereng dan juga respons brek yang diperlukan.
Sebut pasal tetapan suspensi, berdasarkan pemanduan untuk tempoh dua hari ini kami mendapati Denza D9 lebih selesa jika menggunakan tetapan Sport.
Dalam keadaan ini, olengan badan MPV premium ini berada pada tahap yang boleh diterima, tidak seperti mod Comfort dimana olengan badan dirasakan lebih ketara. Mungkin mod ini lebih sesuai untuk keadaan jalan raya yang lebih rata dan baik kualiti turapan tarnya.
EV VIP sesuai untuk jalan jauh
Denza D9 ini ada kelebihan dari segi sistem rangkaian kuasa yang cukup bertenaga.
Unit yang kami pandu sepanjang tempoh dua hari ini merupakan varian Premium AWD, didatangkan dengan tetapan dua motor elektrik, satu untuk setiap gandar.
Gandar depan dikuasakan oleh motor elektrik 308 hp dan 360 Nm, manakala gandar belakang pula mendapat motor elektrik 60 hp dan 110 Nm. Kuasa keseluruhan? 369 hp dan 470 Nm dengan prestasi pecutan sepantas 6.9 saat dari 0-100 km/j.
Berdasarkan pengalaman pemanduan tempoh hari, pecutan Denza D9 dirasakan cukup bertenaga, lancar dan linear. Untuk mencapai kelajuan melepasi had laju kebangsaan juga tidak memerlukan aksi tekan pendikit yang terlalu agresif.
Cukup sekadar menekan pendikit dengan lembut, MPV premium ini boleh mencapai kelajuan tiga angka dengan mudah, dan paling penting penumpang di belakang tidak terkesan langsung dengan tindakan pemandu itu tadi.
Adakah Denza D9 ini sesuai untuk perjalanan jauh? Ya!
Masalah kebimbangan jarak bukanlah satu isu yang perlu anda fikirkan, kerana MPV ini boleh bergerak sejauh 580 km (data NEDC) untuk sekali cas penuh, terima kasih kepada pek bateri berkapasiti 103.36 kWh yang dibekalkan secara standard.
Apatah lagi pada ketika ini sudah banyak kemudahan pengecasan pantas tersedia di sepanjang laluan utama di Semenanjung Malaysia, ia lebih memudahkan urusan anda untuk membawa VIP ke destinasi yang dituju tanpa perlu rasa risau.
Berhenti sahaja di mana-mana kemudahan pengecasan pantas seperti contoh di Johor Premium Outlet atau Hentian Rehat & Rawat (R&R) utama, anda boleh mengecas bateri Denza D9 ini dari 30 hingga 80 peratus SoC dalam tempoh masa 30 minit sahaja.
Ini kerana secara standard MPV Denza D9 ini boleh menyokong pengecasan pantas DC sehingga 166 kW.
Kesimpulan
Berdasarkan pemanduan ringkas yang dibuat tempoh hari, kami berpendapat Denza D9 ini mampu menjadi satu pilihan MPV premium yang boleh dipertimbangkan, terutama untuk mereka yang mahu lari daripada tipikal kenderaan VIP yang ada di pasaran.
Ia ada pakej pemanduan sifar emisi yang cukup bertenaga, ruang kabin yang cukup selesa, senyap dan sarat dengan bermacam-macam ciri premium, dan paling penting dengan tanda harga yang tidak terlalu mahal.
Bermula dengan harga serendah RM259,000, anda boleh dapatkan Denza D9 versi pacuan roda depan, atau pilih sahaja varian Premium AWD untuk menikmati kesemua ciri yang telah kami sebutkan tadi.
Paling menarik, Denza D9 ditawarkan dengan jaminan merentas sempadan tiga negara (Singapura, Malaysia dan Thailand).
Ini bermakna jika anda secara kebetulan berkelana di dua negara jiran tersebut, anda masih boleh menikmati bantuan tepi jalan dan khidmat selepas jualan yang sama seperti yang ditawarkan di Malaysia.
Spesifikasi Denza D9
Nadi penggerak: dua motor elektrik
Kuasa: 369 hp, 470 Nm
Pacuan: semua roda (AWD)
Pecutan: 6.9 saat (0-100 km/j)
Bateri: LFP Blade, kapasiti 103.36 kWh
Pengecasan AC: 11 kW
Pengecasan DC: 166 kW
Jarak gerak: 580 km (data NEDC)
Suspensi: Topang MacPherson/Multi-link, sistem adaptif DiSus-C
Dimensi: 5,250 mm x 1,960 mm, 1,920 mm
Jarak antara roda: 3,110 mm
Radius putaran: 5.95 m
Kargo: 410 liter – 2,310 liter
Mahukan jentera kegunaan harian yang lebih berkuasa pada harga yang lebih mampu milik?
Ucapkan selamat datang kepada CFLite, sub-jenama terbaharu daripada CFMoto yang direka khusus untuk menawarkan motosikal bersesaran kecil pada harga mampu milik.
CFMoto menyasarkan sub-jenama CFLite ini untuk pasaran baharu seperti Asia Tenggara dan Amerika Latin.
Serentak dengan pelancaran skuter SYM ADXTG 400 dan QJMotor AX200S, MForce Bike Holdings memperkenalkan model terbaharu CFMoto 250NK Lite, berharga RM9,888 atas jalan tanpa insurans.
Naked bike ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 249 cc sejukan cecair dengan janaan kuasa 27.4 hp @ 9,750 rpm dan daya kilas 22 Nm @ 7,500 rpm.
Suspensi terdiri daripada fork teleskopik saiz 37 mm dan penyerap hentak tunggal di belakang.
Sistem brek pula menggunakan rotor 292 mm dengan angkup berkembar, diikuti rotor 220 mm belakang dengan angkup omboh tunggal yang dibantu dengan fungsi ABS dua saluran.
Rim 17 inci itu dibaluti tayar bersaiz 110/70 R17 di depan, dan 140/60 R17 di belakang.
Jentera ini turut dilengkapi dengan skrin paparan LCD, sistem pencahayaan LED penuh, serta slot pengecasan USB Type-A dan Type C.
Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 12.3 liter, sementara tinggi pelana pula 795 mm.
Terdapat empat pilihan warna iaitu Zephyr Blue, Bordeaux Red, Nebula Black dan Nebula White.
SUV elektrik saiz penuh Volvo EX90 dinobatkan sebagai pemenang anugerah World Luxury Car of the Year 2024.
Pengiktirafan berprestij ini diumumkan sempena New York International Auto Show oleh barisan juri yang terdiri daripada 96 wartawan automotif terkemuka dari 30 buah negara.
Volvo EX90 dipuji kerana membawakan gabungan kemewahan Scandinavia yang diperhalusi, prestasi elektrik bertenaga serta inovasi keselamatan bertaraf dunia.
Dilancarkan secara rasmi pada April yang lalu, Volvo EX90 dijual dalam varian tunggal Ultra Twin, dengan motor elektrik berkembar menghasilkan 517 hp dan 910 Nm.
Pek bateri NMC berkapasiti 111 kWh pula menawarkan jarak pandu sejauh 623 km untuk sekali cas penuh.
Sebagai sebuah SUV yang paling canggih, Volvo EX90 disifatkan sebagai komputer bergerak dengan unit pemprosesan NVIDIA DRIVE AI yang mengendalikan setiap aspek kenderaan termasuklah infohibur, bantuan pemanduan lanjutan sehinggalah kepada ciri keselamatan.
Selain daripada fungsi pengesan penumpang, Volvo EX90 hadir dengan ciri pemahaman pemandu, di mana sistem ini akan mematau secara masa nyata, memberikan amaran atau menghentikan kenderaan dengan selamat sekiranya berlaku kecemasan.
Volvo EX90 juga dilengkapi dengan rangkaian penderia lengkap merangkumi radar, kamera, penderia ultrabunyi serta unit LIDAR yang direka untuk menyokong pemanduan autonomi yang lebih tinggi pada masa hadapan.
Untuk pasaran Malaysia, Volvo EX90 dijual pada harga RM442,888, lengkap dengan jaminan kenderaan tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan 24 jam dan perkhidmatan digital percuma lima tahun.
50 pelanggan terawal akan menerima baucar pengecas dinding serta penghadang matahari panoramik lipat bernilai RM5,000 secara percuma.
Bentley Kuala Lumpur baru-baru ini meraikan ketibaan model grand tourer (GT) yang paling berkuasa pernah dihasilkan, iaitu Bentley Continental GT Speed.
Generasi keempat Continental GT Speed ini dikuasakan oleh nadi V8 plug-in hybrid (PHEV) ‘Ultra Performance Hybrid’ yang mampu menjana kuasa keseluruhan 782 PS dan daya kilas 1,000 Nm.
Enjin V8 turbo berkembar itu sendiri berupaya menghasilkan 600 PS dan 800 Nm yang dipadankan dengan motor elektrik 190 PS/450 Nm yang dipasang dalam perumah transmisi untuk mengurangkan kesan turbo lag.
Secara keseluruhan, tetapan PHEV ini menawarkan peningkatan kuasa sebanyak 19 peratus serta daya kilas 11 peratus lebih tinggi berbanding Continental GT Speed yang dilengkapi enjin W12.
Tiada lagi fungsi penyahaktifan silinder diperlukan, kerana sistem hibrid pada Continental GT Speed ini boleh menghentikan terus fungsi enjin ketika motor elektrik sedang beroperasi.
Kuasa itu tadi disalurkan kepada roda menerusi transmisi klac berkembar lapan nisbah kelajuan, dibantu dengan pembeza gelincir terhad elektronik (eLSD).
Disebabkan itu, pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 3.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 335 km/j.
Pek bateri 25.9 kWh pula membenarkan GT ini dipandu dalam mod sifar emisi sejauh 80 km pada kelajuan sehingga 140 km/j.
Continental GT Speed ini turut dilengkapi dengan sistem pacuan semua roda aktif, sistem stereng semua roda, torque vectoring, Bentley Dynamic Ride dan perisian kawalan ESC generasi baharu.
Untuk memastikan jentera GT ini berhenti dengan cemerlang, Bentley memadankan sistem brek terdiri daripada angkup 10 omboh dan rotor bersaiz 420 mm di depan, diikuti angkup empat omboh dan rotor 380 mm di belakang.
Terdapat juga opsyen untuk memadankan sistem brek carbon-silicon-carbide dengan rotor bersaiz 440 mm depan dan 410 mm di belakang.
Bentley Continental GT generasi keempat ini merupakan model Bentley pertama yang menampilkan tetapan lampu utama tunggal bagi menggantikan tetapan lampu bulat berkembar.
Unit lampu matriks LED itu menampilkan 120 unit LED berasingan yang boleh dikawal secara digital untuk memaksimumkan pencahayaan.
Sementara unit lampu belakang pula mempunyai corak berlian tiga dimensi yang membawakan efek seakan lava cair apabila bernyala.
Keempat-empat sudut gerbang roda dihiasi dengan rim rekaan baharu saiz 22 inci yang diinspirasikan daripada harimau.
Ruang kokpit Bentley Continental GT Speed ini menyediakan tempat duduk boleh laras sehingga 20 tahap yang cukup selesa untuk perjalanan jauh, gugusan butang fungsi untuk HVAC pada konsol tengah, serta kehadiran jam analog di tengah-tengah corong pendingin hawa.
Untuk pemandu disediakan skrin kluster digital, manakala di bahagian tengah pula terdapat Bentley Rotating Display yang menyediakan tiga sisi berbeza: skrin infohibur 12.3 inci, tiga dial analog atau panel kosong sekiranya anda tidak mahu pemanduan terganggu sepanjang perjalanan.
Terdapat tiga pilihan sistem audio ditawarkan untuk Continental GT:
– Standard 650W dengan 10 pembesar suara
– Bang & Olufsen 1,500W dengan 16 pembesar suara dan jeriji bercahaya
– Naim 2,200W, 18 pembesar suara, Active Bass Transducers dan sehingga lapan mod disediakan untuk golongan audiophile
Aspek keselesaan dalam kabin dipertingkatkan dengan penggunaan kaca akustik berlamina yang menawarkan sehingga 9 dB lebih senyap berbanding kaca bukan akustik.
GT Bentley ini juga turut dilengkapi dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, kemas kini over-the-air (OTA), sistem pencahayaan ambien, serta ciri Intelligent Park Assist.
Untuk pasaran Malaysia, Bentley Continental GT Speed dijual pada harga bermula dari RM3,120,000 tidak termasuk insurans, cukai jalan dan pendaftaran, serta opsyen penyesuaian bersifat peribadi.
Semasa pelancaran Jetour Dashing awal April lepas, Jetour Malaysia turut mendedahkan perancangan untuk membawakan barisan model crossover dan SUV off-road untuk pasaran tempatan.
Salah satu SUV off-road yang disahkan masuk Malaysia ialah Jetour T2, atau lebih dikenal dengan nama Traveller di pasaran China.
Jetour T2 merupakan sebuah SUV segmen saiz pertengahan, dibina berdasarkan platform unibodi Kunlun dan mempunyai elemen rekaan yang diinspirasikan daripada SUV off-road popular Land Rover Defender.
Ia membawakan ukuran sepanjang 4,785 mm, lebar 2,036 mm, tinggi 1,960 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,800 mm.
Jetour T2 menawarkan sudut pendekatan 28 darjah, sudut pelepasan 30 darjah, jarak kelegaan tanah setinggi 220 mm selain dibantu dengan suspensi topang MacPherson di depan dan tetapan multilink di belakang.
Sama seperti Dashing, rekaan T2 dihasilkan oleh bekas pereka Porsche Hakan Saracoglu.
Dari segi kuasa, Jetour T2 ditawarkan dengan pilihan enjin 1.5 liter turbo (181 hp/290 Nm) dengan padanan transmisi DCT tujuh-kelajuan.
Terdapat juga pilihan enjin 2.0 liter turbo (251 hp/390 Nm) yang boleh dipadankan dengan transmisi DCT 7-kelajuan atau automatik 8-kelajuan.
T2 versi plug-in hybrid (PHEV) pula dikuasakan oleh enjin 1.5 liter turbo dipadankan dengan dua motor elektrik dan transmisi DHT tiga kelajuan, menghasilkan kuasa keseluruhan 375 hp dan 610 Nm.
Dengan pek bateri 26.7 kWh, T2 PHEV (atau T2 i-DM) mampu bergerak sejauh 139 km untuk pemanduan sifar emisi, atau jarak keseluruhan mencecah 1,000 km.
Buat masa ini, pihak Jetour Malaysia belum mengumumkan spesifikasi T2 yang bakal dilancarkan kelak.
Bertempat di Hilton Shanghai Hongqiao, pihak Jetour ada mempamerkan T2 versi pemanduan sebelah kanan (RHD) – difahamkan ia masih lagi berstatus prototaip
Selain daripada posisi stereng di sebelah kanan, Jetour T2 RHD dilengkapi dengan skrin kluster digital 10.25 inci, skrin tengah 15.6 inci, bumbung kaca panorama, serta tempat duduk balutan kulit.
Di bahagian konsol tengah, terdapat butang rotari untuk pemilihan mod pemanduan (economy, standard, sports, snow, mud, sand, rock, dan mod adaptif X), serta tombol penukaran gear yang agak besar.
Selain ruang kargo sebesar 580 liter, Jetour T2 turut menyediakan kotak storan luaran yang dipasang pada pintu tailgate.
Sesuai dengan sifatnya sebagai sebuah SUV off-road, Jetour turut menyediakan pelbagai jenis aksesori yang boleh dipasang termasuklah rak bumbung, kotak storan pada tiang C/D, tangga boleh lipat, dan bermacam-macam lagi.
Ciri keselamatan canggih yang dimuatkan termasuklah amaran pelanggaran hadapan (FCW), amaran keluar lorong (LDW), sistem pemantauan titik buta (BSD), amaran bukaan pintu (DOW), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), brek kecemasan autonomi (AEB), bantuan pengekalan lorong (LKA) dan kawalan jelajah adaptif (ACC).
Satu persoalan, berapakah harga jualan yang bakal diletakkan oleh Jetour Malaysia pada SUV T2 ini?
Berita baik buat mereka yang sedang mencari sebuah kenderaan elektrik jenama Jepun.
Honda Malaysia kini membuka tempahan bagi model SUV elektrik pertama mereka, iaitu Honda e:N1 yang bakal dilancarkan secara rasmi pada suku kedua (Q2) 2025.
Dibina berdasarkan platform e:N Architecture F, Honda e:N1 dikuasakan oleh motor elektrik pacuan roda depan 201 hp dan 310 Nm.
Pek bateri lithium-ion 68.8 kWh pula membenarkan jarak pandu sejauh 500 km untuk sekali cas penuh (data NEDC).
Ia membawakan ukuran sepanjang 4,380 mm, tinggi 1,592 mm, dengan jarak antara roda sepanjang 2,610 mm, menyamai saiz HR-V versi petrol.
Antara ciri yang dimuatkan pada e:N1 termasuklah rim aloi dua tona 18 inci, unit lampu LED depan dan belakang, slot pengecasan pada jeriji hadapan, lencana Honda berwarna putih dan emblem perkataan ‘Honda’ di belakang.
Tidak ketinggalan, ciri keselamatan termasuklah informasi titik buta (BSI), sistem pemantauan trafik lintang (CTM), berserta sembilan fungsi keselamatan termaju Honda SENSING.
Para pelanggan Honda boleh membuat tempahan e:N1 di laman web https://prebook.honda.com.my/ atau menerusi aplikasi HondaTouch.
Honda Malaysia turut melantik lapan pusat pengedar sah untuk mengendalikan sebarang urusan berkenaan e:N1 seperti berikut:
Kereta elektrik bateri Nissan LEAF telah pun berada di pasaran dunia sejak tahun 2010 lagi, dan telah pun bertahan selama dua generasi membawakan bentuk badan hatchback.
Namun untuk generasi ketiga, Nissan LEAF diberikan bentuk badan crossover selari dengan permintaan pasaran yang lebih cenderung ke arah model-model berbadan besar.
Dibina berdasarkan platform CMF-EV yang dimiliki oleh pakatan Renault-Nissan-Mitsubishi, LEAF baharu membawakan ukuran dimensi yang lebih tinggi, namun sedikit pendek berbanding LEAF sedia ada.
Nissan LEAF generasi kedua
Berdasarkan rekaan yang dipamerkan, tidak syak lagi LEAF banyak meminjam elemen penggayaan yang wujud pada Ariya EV, selain mempunyai bentuk badan aerodinamik dengan kadar pekali seretan 0.25.
Nissan tidak mendedahkan spesifikasi LEAF dengan lebih lanjut.
Namun, menurut ketua produk Nissan Eropah Francois Bailly menjelaskan model LEAF baharu ini mampu menawarkan jarak gerak dunia sebenar melebihi 598 km.
Beliau menambah, LEAF akan turut mendapat sistem infohibur terkini berasaskan Google, dibantu dengan sistem bantuan pemandu termaju.
Penggunaan nombor plat kustom pada kereta-kereta mewah bukanlah satu perkara baharu, ia juga satu pemandangan yang biasa di Malaysia.
Namun, tahukah anda, terdapat satu nombor pendaftaran khas yang hanya wujud di UK, dengan nilai mencecah jutaan ringgit?
Inilah dia nombor plat “1M” milik Kedutaan Malaysia.
Berdasarkan video @numberplatehistory di TikTok, nombor plat dalam format tanpa tarikh ini dikeluarkan khas oleh kerajaan UK untuk Kedutaan Malaysia.
@numberplatehistory £1M Plate You will never be able to buy! This number plate, with a dateless format, was especially issued to the Malaysian Embassy. As it an embassy plate, it is non transferable outside of their vehicles. Over the years, it has been on a variety of vehicles from London Taxis to Mercedes Benz S Classes, currently sitting on an S450. Although it is impossible to say when the registration was issued, documents tell us it was already in use by 1974 through the amazing researcher late Noel Woodall. If this registration ever came to market, not that it can, it would likely sell for over seven figures – or a million pound number plate! It’s value comes inherently from it’s initial, number, and character length. Number Plates / Registration value can be established by a few factors: 🔴 Popularity of Initials 🔴 Number of Characters 🔴 Quality of Numbers As it is impossible in the United Kingdom to have a two digit number plate, this is the shortest possible M alongside the privately owned M1. If you would like to find out more about number plates, check out my other videos! I am not associated nor apart of this plates sale, this video is a showcase of a unique plate. #foryoupage#fyp#cars#privatenumberplate#privateplate#licenseplates#numberplate#licenseplatetok#carcontent#numberplates♬ Paris – Else
Nilai nombor pendaftaran ini – sekiranya boleh dijual – mampu mencecah angka £1 juta (RM5.71 juta).
“Memandangkan ia sebuah nombor pendaftaran kedutaan, ia tidak boleh dipindah milik,” jelasnya.
Tidak dapat dipastikan bilakah nombor khas ini dikeluarkan, namun berdasarkan dokumen penyelidikan Car Numbers oleh Noel Woodall, nombor 1M ini sudah digunakan sejak tahun 1974 lagi.
Di UK, penggunaan nombor pendaftaran khas melambangkan simbol status dan pelaburan bernilai tinggi.
Selain daripada 1M, terdapat juga nombor plat khas yang didaftarkan di UK dengan nilai yang cukup tinggi melebihi lima angka seperti M1, F1, S1, 1D dan juga VIP 1.