Arkib Kategori: PANDU

Tiga kelemahan yang wujud pada trak pikap Mitsubishi Triton 2025

Sejujurnya, penulis bukanlah seorang yang gemar memandu trak pikap, tapi pengalaman memandu Mitsubishi Triton 2025 tempoh hari masih lagi segar dalam ingatan.

Selain daripada rupa paras yang lebih malar segar, Triton baharu kini menggunakan platform dan enjin baharu, sistem gantungan yang telah ditala, serta susun atur ruang kabin yang lebih mesra pengguna.

Senang cerita, Triton baharu ini menawarkan pemanduan berprestasi atas jalan raya, dan masih lagi mampu menawan laluan off-road yang lebih sukar dan mencabar.

Cuma pada pendapat penulis, ada tiga kekurangan yang perlu diberikan perhatian oleh Mitsubishi untuk menjadikan penawaran Triton yang lebih bernilai dan berbaloi dengan setiap ringgit yang dibelanjakan.

 

1. Tiada kamera 360 darjah

Tahukah anda, Triton 2025 menggunakan platform baharu yang menawarkan ukuran dimensi yang lebih panjang, lebih lebar dan lebih tinggi.

Ini bermakna, trak pikap generasi keenam ini merupakan model yang paling besar pernah dihasilkan dalam sejarah Triton.

Sayang sekali, peningkatan ukuran dimensi ini tidak disertakan dengan ciri kamera keliling 360 darjah (atau 540 darjah).

Ketiadaan ciri ini membuatkan pemanduan sedikit sukar terutama ketika menempuh lokasi yang sempit, atau ketika menyelusuri laluan semak-samun yang tidak bertar.

Struktur bonet depan yang agak tinggi juga membuatkan penulis ada kalanya kurang yakin untuk meneruskan pemanduan di tempat sempit.

 

2. Getaran stereng yang halus boleh buatkan pemanduan sedikit penat

Berdasarkan pengalaman, penulis mendapati respons stereng Triton baharu ini amat mudah untuk dikendalikan, biarpun Triton kini sudah bertambah besar.

Ciri Amaran Penukaran Lorong (LCA) yang dimuatkan juga menjadikan pemanduan Triton lebih selamat, di mana ia hanya akan bergegar apabila pemandu didapati tidak menggunakan lampu isyarat untuk menukar lorong.

Ketiadaan ciri bantuan pengekalan lorong (LKA) tidak menjadi satu masalah besar pun. Cuma apa yang penulis perasan ialah sistem stereng Triton ini menghasilkan getaran halus semasa berada di lebuh raya.

Untuk pemanduan jarak dekat, getaran halus ini tidak menjadi masalah, cuma pemandu akan menjadi sedikit penat setelah menempuh jarak pemanduan yang jauh.

 

3. Struktur headrest belakang yang tidak mesra penumpang (dan pemandu)

Ketika beralih ke tempat duduk belakang, penulis mendapati kerusi belakang Triton 2025 menawarkan sudut sandaran yang selesa dan tidak terlalu menegak.

Cuma, keselesaan itu tidak disertakan dengan struktur headrest yang mampu menyokong kedudukan kepala yang selesa.

Jika anda perhatikan, headrest penumpang baris kedua mempunyai sudut yang condong ke depan, jadi penumpang belakang akan rasa duduk sedikit tegak berbanding kebiasaan.

Kedudukan headrest tengah juga boleh menghalang medan penglihatan cermin pandang belakang, jadi cabut sahaja headrest tersebut sekiranya trak pikap anda tidak membawa penumpang ekstra.

Anda boleh baca penemuan dan ulasan kami tentang Mitsubishi Triton 2025 pada pautan di bawah:

Mitsubishi Triton 2025, lima perkara baru yang kami jumpa – Pandu Uji Ringkas

 

 

Proton X50 2024, masih lagi berbaloi? – Pandu Uji

Pertengahan tahun yang lalu, Proton telah mengemaskini penawaran bagi model SUV segmen B popularnya, Proton X50 2024.

Sekali imbas, anda mungkin sukar untuk meneka perubahan yang dibawakan, ini kerana rupanya masih lagi sama seperti muka asal yang muncul tahun 2020.

Penawaran enjin juga masih lagi sama, di mana versi Flagship yang kami pandu uji ini dilengkapi dengan enjin 1.5 liter TGDi berkuasa 177 PS @ 5,500 rpm dan daya kilas 255 Nm @ 1,500 rpm – 4,000 rpm.

Sistem gantungan yang asal juga tidak mengalami sebarang perubahan, bermakna ia masih lagi menawarkan aspek pengendalian yang hampir serupa seperti model terdahulu.

Jadi, apa yang berubahnya?

Berdasarkan pemanduan yang dibuat dari Lembah Klang menuju ke selatan tanah air beberapa minggu yang lalu, penulis menemukan satu perkara positif pada X50 – aspek NVH yang menjadi lebih baik!

Aspek NVH (kebisingan, gegaran dan kekasaran) merupakan antara perkara yang dikritik semasa awal-awal model ini keluar.

Namun selepas memandu X50 2024 ini untuk tempoh beberapa hari, kami mengakui bunyi bising yang datang daripada golekan tayar bertemu permukaan jalan raya berjaya ditapis dengan baik, menjadikan ruang kabin lebih senyap.

Bunyi bising angin juga tidak lagi begitu ketara pada kelajuan yang rendah, namun masih lagi wujud apabila X50 ini dipandu melebih kelajuan lebuh raya yang dibenarkan.

Untuk ruang kabin, Proton X50 telah diberikan unit infohibur dengan unit pemprosesan yang lebih berkuasa dan lebih pantas.

Paparan sistem kamera 360 darjah juga telah ditambah baik, di mana ia kini memaparkan imej tiga dimensi kenderaan secara langsung setiap kali tuil indikasi membelok digunakan.

Akhir sekali, Proton X50 dilengkapi dengan pintu tailgate berkuasa secara standard untuk varian Flagship yang menjadikan urusan pemanduan seharian lebih mudah dan menyenangkan.

Ia kini sudah menjadi satu model SUV yang hampir sempurna dan boleh dipertimbangkan, kecuali beberapa perkara yang mungkin akan membuatkan anda berfikir terlebih dahulu:

 

1. Masih lagi bukan SUV jimat bahan api

Penulis sudah mencuba pelbagai jenis model kenderaan SUV yang bukan berprestasi tinggi dilengkapi dengan nadi turbo.

Ada di kalangan model tersebut sebenarnya mampu menawarkan kadar penggunaan bahan api yang munasabah, tapi tidak untuk X50.

Walaupun dipandu secara normal tanpa membuat pecutan mendadak, penulis tetap perlu membuat pengisian bahan api setiap 400 km.

Untuk pemanduan jarak jauh, ini bukanlah satu perkara yang menyenangkan, terutama apabila kawasan yang dituju itu tidak mempunyai banyak kemudahan stesen minyak.

 

2. Masih tiada Apple CarPlay dan Android Auto

HANYA UNTUK PROTON X70 SAHAJA!

Ya, buat masa ini Proton X50 masih lagi tidak dilengkapi dengan fungsi sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara standard.

Alternatifnya, anda boleh menggunakan fungsi MirrorLink dengan kabel pengecas, namun sistem ini dirasakan agak rumit dan menyukarkan. Padam sahaja skrin telefon, sambungan MirrorLink itu tadi akan terputus.

Dan anda perlu mengulang semula segala turutan untuk menghubungkan kembali sistem infohibur dengan peranti pintar.

Alternatif yang lebih murah, beli sahaja pemegang peranti pintar yang boleh ditampal pada cermin hadapan.

Sayang bukan, kereta harga RM100k tapi masih tiada fungsi AACP yang menyenangkan urusan pemandu.

Jika anda masih ingat, Proton X70 2025 facelift dilancarkan secara rasmi pada bulan Ogos yang lalu, kira-kira dua bulan selepas Proton X50 2024 dilancarkan.

Beza tempoh pelancaran cuma beberapa bulan sahaja, tapi kenapa Proton X50 tidak diberikan sahaja fungsi Apple CarPlay dan Android Auto macam Proton X70 facelift?

 

3. Kamera 360 darjah tidak begitu membantu di atas jalan

Kehadiran kamera 360 darjah sememangnya banyak membantu pemandu memastikan tiada sebarang panel badan tercalar semasa masuk kawasan parkir.

Paparan yang lebih jelas dan tajam juga menjadikan X50 terasa lebih mahal di situ, walaupun ia sebuah SUV dalam julat harga RM100 ribu.

Cuma penulis tidak berapa gemar dengan sudut imej lalai (default) yang dipaparkan semasa tuil indikasi membelok digunakan, kerana ia tidak memaparkan sepenuhnya kawasan titik buta kenderaan di bahagian kiri dan kanan. Cermin sisi boleh berperanan, tapi tidak 100 peratus berkesan.

Anda boleh mengubah sudut paparan 3D Live Feed dengan menekan menu pada skrin sentuh, tapi perbuatan ini tidak digalakkan semasa kenderaan sedang meluncur laju atas jalan.

Dalam hal ini, penulis berpendapat ciri Honda LaneWatch lebih banyak membantu walaupun hanya ditawarkan pada sebelah kiri kenderaan sahaja.

Mungkin dalam kemaskini akan datang, Proton boleh ubah sudut paparan lalai 3D Live Feed tersebut supaya ia memaparkan sudut pandangan yang sepatutnya untuk dijadikan sebagai panduan pemandu bagi mengelakkan insiden yang tidak diingini.

Dengan harga jualan yang tidak banyak berubah (RM103 ribu), penulis masih berpendapat X50 merupakan antara model SUV segmen B yang agak berbaloi untuk dimiliki.

Itupun jika anda mampu hidup dan berkompromi dengan tiga kelemahan yang kami telah sebutkan tadi.

Duit anda, pilihan anda untuk bergaya.

Peugeot 408 Premium adalah untuk mereka yang dahagakan kelainan – Pandu Uji

Sejak dahulu lagi, banyak kereta dari jenama Perancis mempunyai reka bentuk yang pelik. Lihat sahaja model-model lama seperti Citroen DS, Panhard Dyna Z dan Renault Megane generasi kedua – memang lain dari yang lain.

Perkara yang sama boleh dikatakan tentang Peugeot 408 baharu, yang menggabungkan tiga bentuk kereta dalam satu iaitu sedan, fastback dan crossover.

Hasilnya agak ganjil berbanding apa yang kita sudah biasa lihat dalam pasaran tetapi pada masa yang sama, ia juga kelihatan cukup menarik.

Penulis boleh katakan sepanjang memandu uji 408, kereta ini mendapat jelingan daripada pengguna jalan raya yang lain ke mana sahaja ia pergi. Malah, ada yang mengatakan ia nampak seperti Lamborghini Urus.

Agak melampau untuk bandingkan sebuah Peugeot dengan Lamborghini namun tidak boleh disalahkan mereka di luar sana kerana sekilas pandang, 408 memang ada iras-iras Super SUV dari Itali itu.

Bentuknya yang unik itu diserlahkan lagi dengan elemen-elemen reka bentuk yang menonjol seperti lampu LED berbentuk taring singa dan spoiler bumbung yang tajam.

Tidak seperti varian tertinggi iaitu GT, lampu belakang 408 Premium tidak mempunyai cakaran efek cakaran 3D namun ini tidak menjejaskan penampilannya.

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan rim lebih kecil berukuran 18 inci namun bagi penulis, rekaannya lebih menarik berbanding rim Monolithe 20 inci pada GT.

408 merupakan kereta segmen C tetapi jika dibandingkan dengan pesaing-pesaing terdekatnya seperti Honda Civic, Mazda 3 dan Toyota Corolla Altis, ukurannya lebih besar iaitu panjang 4,687 mm, lebar 1,859 mm dan tinggi 1,487 mm.

Jarak lega tanahnya juga agak tinggi iaitu 189 mm, jadi pemandu tidak perlu risau sangat jika berhadapan dengan banjir kecil.

Di dalam, varian Premium didatangkan dengan upholsteri kulit, pelarasan elektrik untuk kerusi pemandu dan penumpang depan, dan sistem audio standard dengan enam pembesar suara.

Kelengkapan lain boleh dikatakan sama sahaja seperti GT iaitu skrin sentuh berukuran 10 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, panel instrumen digital 10 inci dan pengecas tanpa wayar.

Jika sekarang anda tertanya-tanya varian mana yang anda patut pilih, jawapannya bergantung kepada bajet anda sendiri.

Varian GT dijual pada harga RM196,055, manakala varian Premium pula berharga RM166,055. Dari satu sudut, RM196k untuk sebuah kereta segmen C memang tidak masuk akal namun untuk perbezaan sebanyak RM30,000, anda mendapat banyak kelengkapan tambahan.

Ini termasuk lampu Matrix LED, rim 20 inci, upholsteri kulit Nappa yang lembut, fungsi urutan dan memori untuk kerusi pemandu, sistem audio Focal dengan 10 pembesar suara termasuk subwoofer, paparan 3D quartz pada panel instrumen digital dan sistem pembersih udara kabin.

Dari sudut lain, jika anda rasa perbezaan harga tersebut terlalu besar, varian Premium sebenarnya sudah memadai kerana bagi penulis, kelengkapan yang disertakan sudah mampu memenuhi keperluan pembeli di dalam segmen ini.

Malah, dengan membeli varian Premium, anda mungkin membantu menyelamatkan akaun bank anda pada masa depan kerana menukar tayar 20 inci bukannya murah.

Satu lagi kelebihan varian Premium berbanding GT adalah ruang butnya yang boleh dibesarkan dari 536 liter kepada 1,611 liter (berbanding 1,583 liter pada GT), memandangkan ia tidak mempunyai subwoofer.

Bukan itu sahaja, ia juga didatangkan dengan tayar ganti space saver berbanding kit pembaikan tayar yang disertakan pada GT.

Cuma agak mengecewakan kerana Premium tidak dilengkapi dengan kamera 360 darjah. Bagi penulis, ini satu kehilangan yang agak besar untuk sebuah kereta yang berharga lebih RM150k.

Namun tidak kira varian apa yang anda pilih, ruang kabin 408 sangat selesa. Kerusinya empuk dan tidak terlalu keras, menjadikan perjalanan jarak jauh selesa dan tidak memenatkan.

Terima kasih kepada ukuran tapak roda yang agak panjang iaitu 2,787 mm, ruang kaki belakang boleh dikatakan sangat luas. Kerusi juga cukup besar, tidak terlalu tegak dan menawarkan sokongan peha yang mencukupi.

Di bawah bonet, semua varian 408 dikuasakan oleh enjin yang sama iaitu enjin 1.6-liter empat silinder turbo yang menghasilkan 215 PS dan 300 Nm. Kuasa disalurkan ke roda depan menerusi transmisi automatik lapan kelajuan.

Jika anda memandu pada kelajuan tinggi, trenkuasa ini sebenarnya sangat lancar dan cukup berkuasa namun ketika sedang merangkak di dalam trafik sesak, kotak gear akan terasa sedikit tersengguk-sengguk.

Pengendaliannya pula boleh dikatakan seimbang – tidak terlalu sporty tetapi tidaklah mengecewakan. Anda masih boleh melayan selekoh dengan tetapi jangan menaruh harapan yang tinggi ia tidaklah selincah kereta sport – mungkin kerana disebabkan kedudukannya yang agak tinggi dan ukuran tapak roda yang panjang.

Walaupun begitu, kadar NVH 408 perlu diberi pujian kerana sepanjang memandunya, penulis mendapati ia mampu menghalang bunyi daripada luar daripada meresap masuk ke dalam kabin dengan baik sekali.

Konklusi

Secara jujurnya, Peugeot 408 mungkin tenggelam dalam pasaran yang kini sarat dengan SUV dan crossover dari China tetapi bagi individu yang dahagakan kelainan, kereta dari jenama Perancis ini nampak seperti pilihan yang tepat.

Spesifikasi Peugeot 408 Premium

Harga: RM166,055
Enjin: Puretech 1.6-liter, empat silinder turbo
Kotak gear: Automatik lapan kelajuan
Kuasa: 218 PS @ 5,750 rpm
Tork: 300 Nm @ 2,000 rpm

MG5, ada buruk dan baiknya – Pandu Uji Ringkas

Dari pertama kali ia dipertontonkan di Malaysia pada Ogos lalu, hingga ke pelancarannya kira-kira dua bulan kemudian, MG5 dilihat menjadi buah mulut netizen.

Ada yang memuji reka bentuknya, ada juga tertarik dengan harganya yang setanding dengan sedan-sedan segmen B walaupun mempunyai saiz yang lebih hampir dengan sedan segmen C.

Walau bagaimanapun, majoriti komen yang dilontarkan adalah mengenai aspek keselamatan kereta ini. Bagi mereka yang terlepas, MG5 menerima penarafan sifar bintang dari Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) pada tahun lalu.

Ketua Pemasaran SAIC Motor Malaysia, Phang Rick Kee baru-baru ini tampil memberikan penjelasan mengenai isu ini. Menurutnya, model yang diuji oleh ANCAP berbeza dengan model yang dijual di Malaysia.

Untuk pasaran Australia, MG5 diimport dari China dan tidak dilengkapi dengan pre-tensioner, manakala pasaran Malaysia mendapat MG5 dari Thailand dan versi ini didatangkan dengan pre-tensioner bagi kesemua tali pinggang keledar.

Sejujurnya, penulis tidak mempunyai harapan yang tinggi terhadap MG5, apatah lagi apabila ia diselubungi isu keselamatan yang boleh dikatakan agak serius ini.

Tetapi setelah memandunya sejauh kira-kira 800 km dari Kuala Lumpur ke Desaru dan balik, penulis mendapati kereta ini ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar dipertimbangkan sekiranya anda ingin sedang mencari sedan segmen B.

Yang pertama, mereka yang sudah bosan dengan jenama T, H mahupun N, wajar melihat MG5 dengan lebih dekat. Penulis mendapati ia nampak lebih cantik ketika menyusur di jalan raya berbanding di atas pentas pelancaran atau di bilik pameran, terutamanya dalam warna Nuclear Yellow yang kelihatan sangat memukau di bawah sinaran matahari.

Penulis secara peribadi begitu tertarik dengan rekaan bahagian depannya yang kelihatan tidak ubah seperti sedan sport dari Maserati. Rekaan bumbung ala coupe pula memberikan sedan ini profil sisi yang menarik cuma rim aloi ‘Tomahawk’ berukuran 17 inci nampak agak kecil untuk kereta dengan saiznya.

Dari belakang, pinggul yang lebar (boleh dilihat dari cermin sisi) membuatkan MG5 nampak tegap dan stabil di atas jalan raya. Bagaimanapun, penulis kurang berkenan dengan rekaan lampu belakangnya yang jelas ditiru dari Peugeot.

Di dalam, butang dan skrin sentuh bukan sahaja diletakkan pada posisi yang mudah untuk dicapai, malah dihalakan ke arah pemandu. Cuma sebelum memandu, penulis memerlukan masa untuk mencari posisi pemanduan paling ergonomik kerana stereng tidak mempunyai pelarasan teleskopik dan ketinggian kerusi tidak boleh diubah.

Bukan itu sahaja, penulis juga mengalami sedikit kesukaran untuk melihat keadaan trafik menerusi cermin pandang belakang kerana bumbung coupenya membuatkan cermin belakang kereta ini agak kecil. Ini diburukkan lagi dengan tiga perehat kepala yang tersembul keluar.

Sebagai penumpang belakang, penulis boleh katakan yang kerusi belakang selesa, tidak terlalu tegak dan menawarkan sokongan peha yang cukup. Kaki juga boleh dilunjurkan ke depan dengan mudah, terima kasih kepada tapak rodanya yang agak panjang iaitu 2,680 mm.

Senarai kelengkapannya agak memuaskan. Selain skrin sentuh, anda mendapat kluster instrumen digital, Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar, pendingin hawa automatik dengan corong belakang, pelarasan enam hala untuk tempat duduk pemandu dan bumbung suria.

Dari segi keselamatan, terdapat enam beg udara dan sistem MG Pilot yang merangkumi ciri-ciri seperti Amaran Keluar Lorong, Bantuan Penukaran Lorong, Sistem Pemantauan Titik Buta, Amaran Pelanggaran Belakang dan Amaran Lintasan Trafik Belakang. Malangnya, tiada Brek Kecemasan Autonomi.

Pada pendapat penulis, kelengkapan yang diberikan agak berbaloi untuk sebuah kereta yang berharga RM87,000 selepas diskaun. Cuma ada beberapa perkara yang penulis tidak begitu gemar. Contohnya, kelajuan kipas pendingin hawa hanya boleh dilaraskan menerusi skrin sentuh.

Selain itu, hanya ada satu corong pendingin hawa untuk penumpang belakang. Ini tidak menjadi masalah bagi mereka yang mempunyai seorang anak sahaja tetapi bagi mereka yang mempunyai dua atau tiga, perebutan mungkin berlaku.

Bagaimana pula dengan pemanduannya? 114 PS dan 150 Nm bukanlah angka yang boleh dilabel sebagai ‘mengagumkan’ dan ini terbukti benar kerana MG5 jelas terasa perlahan dan berat ketika mula bergerak. Mereka yang kurang sabar akan menekan pedal dengan agresif dan ini akan menghasilkan ngauman yang agak kurang enak didengari.

Namun selepas jarum melepasi angka 60 km/j, pecutan terasa lebih lancar dan kereta serta merta terasa lebih ringan. Menerusi pengalaman penulis, MG5 tidak ada masalah untuk mencapai kelajuan tinggi cuma anda perlu sabar sedikit.

Di sini jelaslah yang karakter pemanduan MG5 lebih sesuai untuk pemandu yang santai dan tenang. Jika anda tidak tergolong dalam kumpulan ini, lebih baik tunggu kehadiran versi turbo. Ya, ia akan tiba ke pasaran Malaysia namun tarikh sebenar masih belum diketahui.

Walaupun prestasi pecutannya tidak mengujakan, ada tiga perkara berkaitan pemanduan MG5 yang mengejutkan penulis.

Pertama sekali, kadar Noise, Vibration and Harshness (NVH). Walaupun pada kelajuan melebihi hadlaju kebangsaan, penulis mendapati bunyi angin dari luar, terutamanya pada cermin sisi dan bahagian atas bingkai tingkap, dihalang dengan baik.

Walau bagaimanapun, tayar Maxxis yang dibekalkan agak bising terutamanya ketika melalui permukaan jalan yang tidak rata. Gantikannya dengan tayar yang lebih berkualiti dan anda pasti boleh merasai perbezaannya.

Yang kedua adalah ride and handling. Bagi penulis, jurutera MG nampaknya berjaya mencapai keseimbangan antara keselesaan dan prestasi.

Ketika melalui Lebuhraya Desaru yang agak berombak dan kurang rata, penulis mendapati sistem suspensi kereta ini berupaya meminimumkan hentakan atau lantunan dengan baik. Kawalan badannya juga amat memuaskan ketika kereta dipandu pada kelajuan tinggi – tidak ada sebarang ketidakstabilan yang boleh membuatkan pemandu rasa kurang yakin.

Di selekoh, penulis boleh merasakan sedikit olengan badan tetapi ia masih pada tahap yang boleh diterima. Sekali lagi, MG5 nampaknya cukup sesuai untuk mereka yang suka memandu secara santai.

Yang terakhir adalah kadar kecekapan bahan apinya. Boleh dikatakan 70% daripada perjalanan pergi dan pulang dipandu pada kelajuan melebihi 110 km/j, namun enjin NA 1.5-liter empat silinder itu masih mampu memberikan bacaan sekitar 7.5 l/100 km. Penulis dan dua rakan media lain tiba di Kuala Lumpur dengan jarak berbaki hampir 200 km.

Konklusi

Seperti yang penulis katakan, MG5 ada kelebihannya yang tersendiri dan wajar diberi pertimbangan bagi mereka yang sedang mencari sedan segmen B dengan harga berpatutan. Namun harus diakui bahawa persaingan dalam segmen ini sangat sengit dan berdasarkan pemerhatian penulis, isu berkaitan penarafan ANCAP membuatkan keadaan lebih sukar untuk MG5.

Mitsubishi Triton 2025, lima perkara baru yang kami jumpa – Pandu Uji Ringkas

Mitsubishi Triton generasi baharu telah pun selamat dan selesai dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan minggu lalu setelah lebih setahun diperkenalkan di peringkat global.

Boleh dikatakan, hampir keseluruhan aspek pada trak pikap ini telah dirombak semula, seperti platform, enjin, sistem gantungan, susun atur ruang kabin dan paling penting rupa paras yang nampak lebih gagah dan ‘berani’.

Jadi, adakah perubahan yang disebutkan tadi memberikan kesan yang besar pada trak pikap Triton ini?

Awal bulan yang lalu, penulis bersama rakan-rakan media lain telah dijemput untuk menguji sendiri memandu Mitsubishi Triton 2025 dari ibu kota menghala ke Pantai Timur.

Berikut merupakan input ringkas kami setelah puas melenjan trak pikap ini selama dua hari:

 

1. Pemanduan lebih stabil dan meyakinkan

Mitsubishi Triton 2025 menggunakan platform serba baharu dengan ukuran dimensi yang lebih panjang, lebih lebar dan lebih tinggi, menjadikan penampilan keseluruhan nampak lebih gagah di atas jalan.

Casis ladder-frame yang digunakan pada Triton baharu ini juga lebih tegar, mengutamakan penggunaan keluli tegangan tinggi (1,180 MPa) untuk meminimumkan penambahan berat badan.

Selain itu, Triton baharu juga dilengkapi sistem suspensi dengan jarak gerak yang lebih panjang serta bar penstabil yang lebih tebal, diikuti dengan sistem stereng kuasa elektronik (EPS) sedikit sebanyak menyumbang kepada aspek pemanduan yang lebih stabil dan meyakinkan.

Berdasarkan pengalaman, Triton menawarkan respons stereng yang mudah untuk dikendalikan, tidak terlalu berat atau terlalu ringan sehingga membuatkan pemandu terpaksa bersilat sepanjang masa.

Selain daripada itu, perjalanan juga lebih selesa disebabkan oleh kurang gegaran dan bunyi bising dirasakan dari dalam ruang kabin sepanjang perjalanan, walaupun terpaksa menempuh pelbagai jenis kualiti tar jalan raya.

 

2. Enjin baharu lebih bertenaga

Selain platform, Triton 2025 juga kini menggunakan nadi diesel serba baharu.

Biarpun kapasiti tidak banyak berubah, enjin 2.4 liter turbo MIVEC (kod nama 4N16) itu kini menghasilkan kuasa setinggi 204 PS dan daya kilas 470 Nm.

Dengan kotak gear automatik 6-kelajuan, Triton tidak perlu berusaha lebih untuk memotong geng lori treler kargo atau mereka yang sedang mencari rumah sewa di tengah-tengah lebuh raya.

Pada kelajuan standard lebuh raya, pemanduan Triton dirasakan agak lincah dan bertenaga, macam sedang pandu sebuah SUV pula rasanya.

Ciri Active Yaw Control (AYC) yang biasa didapati pada model berprestasi tinggi Mitsubishi turut ditawarkan pada Triton baharu, memberikan lebih keyakinan terutama ketika melayan laluan yang berliku.

Namun harus diingat, Triton masih lagi sebuah trak pikap, dan anda harus tahu batas dan had yang wujud pada sebuah trak pikap, serta kemahiran pemandu itu sendiri untuk mengendalikan kenderaan yang tinggi titik gravitinya.

 

3. Pemanduan off-road lebih meyakinkan

Kami sempat menguji pengendalian trak pikap Triton ini pada laluan off-road di Janda Baik, diikuti dengan sesi pemanduan off-road khas yang disediakan semasa pelancaran rasmi tempoh hari.

Pada kami, gandingan platform, enjin, sistem gantungan dan sistem 4WD Super Select II itu tadi turut memberikan kelebihan kepada Triton untuk menempuh laluan yang lebih sukar dan mencabar.

Berdasarkan pengalaman, sukar untuk kami merasakan kekasaran yang ketara dari dalam kabin walaupun trak pikap ini dipecut laju atas laluan berdebu, ataupun ketika sedang menempuh laluan yang berbatu.

Kuasa yang diperah daripada enjin diesel 2.4 liter itu juga berjaya disalurkan kepada roda dengan lancar untuk memastikan trak ini terus bergerak ke hadapan atau keluar dari halangan mengikut apa yang diarahkan oleh pemandu.

Dengan penggunaan stereng EPS, pengendalian dalam laluan off-road juga lebih meyakinkan terutama bagi mereka yang mungkin tidak biasa mengendalikan kenderaan yang lebih besar.

Sistem 4WD Super Select II dengan operasi pemilihan mod on-the-fly juga amat mudah untuk digunakan bagi menyesuaikan trak pikap ini dengan pelbagai jenis keadaan permukaan jalan.

Secara standard, Triton menyediakan sehingga tujuh mod pemanduan yang boleh dipilih menerusi pemilihan pacuan 2H, 4H, 4HLc dan 4LLc, tidak ketinggalan ciri Hill Descent Control (HDC) yang membolehkan pemandu mengawal kenderaan semasa menuruni cerun tanpa perlu bergantung kepada brek.

 

4. Beast Mode buatkan Triton nampak lebih gagah

Pada mulanya, sukar juga untuk penulis menerima perubahan rupa yang wujud pada Triton baharu ini.

Jika diletakkan bersebelahan dengan Triton generasi terdahulu, mungkin ramai yang cenderung untuk memilih Triton dengan rekaan Dynamic Shield yang lebih tajam.

Untuk Triton baharu, elemen Dynamic Shield itu telah diperbaharui dengan tema Beast Mode yang buatkan penampilan Triton ini nampak lebih gagah.

Lampu nyalaan siang LED berbentuk L itu sengaja direka seakan renungan mata helang yang tajam, sementara lampu belakang dengan grafik berbentuk T itu menonjolkan lagi kelebaran trak pikap ini.

Selain itu, reka bentuk badan yang agak berpetak ini membuatkan Triton ini nampak macam trak pikap Amerika.

 

5. Ruang kabin lebih moden, lebih mesra pengguna

Triton baharu menerapkan elemen rekaan Horizontal Axis untuk membuatkan susun atur papan pemuka lebih kemas dan tidak menyemakkan pemandangan.

Penulis amat gemar dengan gandingan meter analog dan skrin digital menggunakan latar belakang hitam yang sangat mudah untuk dibaca dan kurang gangguan warna-warna fancy yang boleh mengganggu tumpuan pemanduan.

Triton baharu juga menampilkan butang-butang dan tombol operasi fizikal yang besar dan mudah untuk digunakan.

Ini merupakan satu perkara penting, kerana kebanyakan pemandu olskool seperti penulis bergantung kepada memori otot untuk mengubah tetapan seperti suhu, kelajuan hembusan angin sejuk atau sekadar mengubah arah tiupan angin tanpa perlu kerap mengalihkan tumpuan pandangan semasa memandu.

Skrin tengah juga tidak perlu terlalu besar sehingga mengganggu medan penglihatan, cukup memadai dan dalam masa yang sama masih lagi menawarkan fungsi yang didambakan kebanyakan pengguna – Apple CarPlay dan Android Auto.

Satu perkara yang buatkan penulis suka pada Triton ialah ciri corong pendingin hawa yang terletak pada siling, cuma ia memerlukan sedutan udara yang sejuk dari arah hadapan untuk membuatkan penumpang di belakang rasa selesa.

Tempat duduk baris kedua juga selesa untuk digunakan dengan sudut yang tidak terlalu tegak, cuma struktur headrest itu sendiri membuatkan penumpang duduk sedikit menegak berbanding kebiasaan.

 

Antara kekurangan ketara yang wujud pada Triton baharu ialah ketiadaan ciri kamera keliling 360 darjah mungkin akan membuatkan anda rasa pemanduan Triton terutama di jalan yang sempit atau laluan off-road sedikit sukar, disebabkan dimensi Triton yang sudah bertambah besar, lebar dan tinggi.

Radius putaran trak pikap ini juga telah bertambah besar, disebabkan jarak antara roda yang bertambah panjang berbanding model terdahulu.

Sekiranya tiada penumpang ketiga, anda disarankan untuk mencabut headrest tengah kerana kedudukannya boleh mengganggu medan penglihatan cermin pandang belakang.

 

Mitsubishi Triton 2025, platform & enjin baharu, lima varian, dari RM102k

Jadi, apa pendapat anda tentang Mitsubishi Triton 2025 serba baharu ini? Adakah ia mampu menjadi satu pembelian yang berbaloi untuk tahun ini?

Lebih banyak info dan perincian akan kami kongsikan kepada anda sekiranya diberikan peluang untuk menguji Mitsubishi Triton dengan lebih mendalam pada masa akan datang.

 

Mitsubishi Triton 2025 (Pandu Uji Ringkas)

Tiga benda kami tak suka tentang Volvo EX30

Volvo EX30, yang dilancarkan ke pasaran Malaysia pada September lalu, adalah kereta elektrik yang mengujakan. Pertama sekali, saiznya kecil (ia kereta Volvo paling kecil setakat ini) jadi ia sangat sesuai untuk kegunaan bandar.

Yang kedua, dengan lampu tukul Thor berpiksel, overhang depan dan belakang yang pendek, serta dapra lebar yang diisi tayar bersaiz besar, EX30 tampil begitu moden dan sporty, dan ini sudah pastinya akan memikat golongan muda.

Yang ketiga, jika anda beli varian tertinggi iaitu Ultra Twin Performance, anda boleh mengalahkan kebanyakan kereta sport dan supercar moden dalam pecutan 0-100 km/j. Ini kerana EX30 boleh melakukannya dalam 3.6 saat sahaja namun anda perlu mengaktifkan mod Performance AWD terlebih dahulu.

Walau bagaimanapun, masih ada tiga benda yang penulis tidak suka tentang EX30. Jom kita lihat apakah ia:

Terlalu bergantung kepada skrin

Seperti model-model Volvo yang lain, rekaan ruang kabin EX30 mengetengahkan konsep minimalis. Tetapi tidak seperti C40, XC90 dan beberapa model Volvo lain yang masih mempunyai butang fizikal untuk kawalan audio dan tombol gear, EX30 tidak mempunyai sebarang butang fizikal kecuali butang kecuali dua suis tingkap kuasa pada konsol tengah.

Ini bermakna kawalan untuk sistem infohibur dan pendingin hawa perlu dilakukan menerusi skrin sentuh. Bagi sebuah EV, ini bukanlah sesuatu yang pelik kerana kebanyakan pengeluar lain juga melakukan perkara yang sama namun dengan EX30, anda mungkin akan merasa agak janggal kerana anda juga perlu menggunakan skrin sentuh untuk mengubah cermin sisi dan membuka glove box.

Tiada head up display

Mungkin untuk membuatkan papan pemuka nampak lebih bersih dan kemas, selaras dengan konsep minimalis yang dibawa, EX30 tidak mempunyai panel instrumen digital. Anda mungkin menyangka yang Volvo akan memberikan head up display (HUD) sebagai alternatif, tetapi tidak.

Sebaliknya, semua maklumat berkaitan pemanduan (kelajuan, kedudukan gear dan fungsi ADAS) dipaparkan pada skrin sentuh. Ada dua sebab kenapa ini tidak ideal: Pertama, anda perlu mengalihkan pemandangan dari jalan raya untuk melihat maklumat-maklumat berkenaan. Kedua, semua maklumat tersebut dipaparkan pada bahagian atas skrin dan saiz tulisan juga agak kecil.

Sound bar tidaklah sehebat yang disangka

EX30 tidak mempunyai pembesar suara konvensional pada panel pintu depan dan belakang bagi menghasilkan ruang simpanan tambahan. Sebagai ganti, Volvo meletakkan soundbar Harman Kardon pada bahagian atas papan pemuka.

Ia memang nampak eksklusif dan menarik, dan seperti yang kita tahu, kualiti audio Harman Kardon memang antara yang terbaik dalam industri namun tanpa pembesar suara pada bahagian belakang, pengalaman mendengar muzik sedikit terjejas kerana bunyi yang dihasilkan hanya tertumpu pada bahagian depan kabin.

 

Mitsubishi Xpander 2024 facelift, 3 benda kami kurang gemar – Pandu Uji

Untuk makluman pembaca, Mitsubishi Motors Malaysia telah pun selesai melancarkan Xpander versi facelift beberapa minggu yang lalu.

Laporan pandu uji ringkas juga telah kami siarkan, anda boleh baca perinciannya menerusi pautan INI.

Namun disebalik perkara positif yang kami telah tekankan dalam artikel pandu uji tersebut, ada beberapa kekurangan yang boleh diperbaiki dan ditambah baik untuk manfaat pengguna di Malaysia.

 

1. Pecutan tidak memberangsangkan

Xpander facelift mengekalkan nadi empat silinder sebaris 1.5 liter MIVEC berkuasa 105 PS dan 141 Nm, dipadankan pula dengan kotak gear automatik – sama macam model pra-facelift.

Jadi, dinamik pemanduan tidak banyak berubah, malah aspek pecutan juga bukanlah yang paling berkuasa di dalam kelasnya.

Untuk mereka yang kaki kanan terlebih berat, Xpander facelift ini mungkin tidak mampu memenuhi apa yang diharapkan, terutama ketika menyelusuri laluan berbukit.

Tapi untuk pemanduan santai, ia sudah lebih daripada mencukupi, apatah lagi Xpander boleh tahan jimat bahan api kalau kena dengan cara pemanduan yang betul.

 

2. Lampu utama nampak lebih moden, cuma…

Satu perkara yang penulis gemar pada Xpander facelift ialah rupa paras yang telah diperbaharui menjadi lebih moden dan agresif.

Lampu utama kini berbentuk huruf T melintang, sementara lampu nyalaan siang pula kini lebih canggih dan terang, berbanding model terdahulu menggunakan lampu kabus sebagai lampu DRL.

Cuma kelemahannya, lampu DRL itu digandingkan sekali dengan lampu membelok.

Apabila lampu membelok dinyalakan, ia mungkin sukar untuk dilihat terutama oleh pemandu dari arah hadapan, disebabkan lampu DRL yang tidak dimalapkan sekali.

 

3. Faktor harga dan ciri yang dimuatkan

Faktor harga juga mungkin membuatkan sesetengah pengguna keberatan untuk mendapatkan Xpander terbaharu ini.

Pesaingnya Perodua Alza memiliki tanda harga bermula dari RM62,500 sementara kembarnya Veloz berharga RM95,000.

Untuk golongan baik beli, Mitsubishi Xpander ini mungkin sekali akan diketepikan jauh-jauh disebabkan tag harga yang agak tinggi berbanding model pesaingnya, RM99,980 walaupun ia dipasang di kilang Pekan, Pahang.

Satu lagi perkara yang sukar untuk kami nafikan ialah faktor keselamatan standard yang wujud pada model MPV ini.

Untuk versi facelift, Xpander hanya menawarkan spesifikasi yang sangat asas, dua beg udara sahaja tatkala pesaing lain sudah menawarkan sehingga enam beg udara dan ciri ADAS yang lebih canggih.

Apa pun kelemahan yang kami senaraikan dalam artikel ini serta kelebihan yang wujud pada Xpander, terpulang kepada para pembaca menilai dan memilih mana satu pilihan yang terbaik untuk kegunaan keluarga.

Di penghujung hari (dan bulan), anda juga yang perlu mengeluarkan duit dari poket, bukan?

3 benda yang ‘kureng’ tentang Proton X70 2025

Penulis secara peribadi menyukai Proton X70 2025 yang dilancarkan ke pasaran pada Ogos lalu. Ia bukan sekadar facelift kerana perubahan yang ditampilkan lebih bersifat menyeluruh, melibatkan aspek estetik luaran dan dalaman.

Pertama sekali, ia tampil dengan wajah yang lebih tampan berbanding sebelum ini. Yang kedua, sesi pandu uji media di Kota Kinabalu baru-baru ini membuktikan yang ia sebuah SUV yang cukup selesa.

Sistem suspensi terasa sedikit lebih keras dari versi CBU asal namun ketika melalui jalan berlubang-lubang dalam perjalanan menuju ke Kundasang, hentakan yang terhasil tidaklah terlalu kuat.

Selain itu, bukan sahaja deruman enjin tiga silinder pada kelajuan rendah tidak sejelas sebelum ini, malah bunyi lori dan trak pikap yang banyak di jalan raya di sekitar KK juga dihalang daripada meresap masuk ke kabin dengan baik.

Walau bagaimanapun, masih ada beberapa perkara yang penulis tidak gemar tentang kereta ini:

Rekaan bahagian belakang yang sama

Seperti yang penulis katakan, X70 2025 mempunyai wajah yang lebih tampan berbanding sebelum ini. Rekaan bahagian hadapan itu sebenarnya diambil daripada Geely Boyue facelift yang dikeluarkan dua tahun lalu tetapi bagi penulis, ia masih nampak segar di pandangan mata.

Cuma, bahagian belakang SUV ini seolah-olah tidak disentuh. Ya, Proton telah menambah reflector melintang (sebelum ini menegak) dan liang udara palsu pada bampar bagi membuatkan ia nampak lebih lebar namun tailgate dan lampu dibiarkan begitu sahaja, mungkin atas sebab kekangan daripada Geely.

Jadi jika anda lihat X70 baharu ini di jalan raya, anda mungkin menyangka yang ia adalah versi lama.

Tuil gear baharu yang agak pelik

Selain upholsteri kulit Nappa berwarna Stone Grey dan sistem pencahayaan ambien, benda baru lain yang terdapat di dalam kabin X70 2025 adalah tuil gear.

Rekaannya masih dikekalkan namun pada model facelift ini, butang P telah dialihkan. Ini bukan satu masalah, malah bagi penulis ia lebih mudah untuk digunakan.

Namun apa yang agak pelik di sini adalah paten menukar gear dalam mod manual. Kebiasaannya, anda perlu menolak tuil gear ke bawah untuk menaikkan gear dan ke atas untuk menurunkan gear.

Tetapi dengan X70 facelift, simbol ‘-‘ dan ‘+’ berada pada bahagian kiri dan kanan, bermakna anda perlu menolak tuil gear ke kiri untuk menurunkan gear dan ke kanan untuk menaikkan gear dalam mod manual.

Pintu tailgate kini boleh dibuka secara automatik tetapi…

Untuk memudahkan lagi pengguna, Proton telah menambah ciri Auto Open pada pintu tailgate. Ini bermakna anda tidak perlu lagi menekan apa-apa butang atau pun menghayun kaki di bawah bampar untuk membuka tailgate.

Apa yang anda perlu lakukan adalah berdiri dekat dengan tailgate (pastikan kunci berada di dalam poket) dan ia akan terbuka dengan sendirinya. Ciri ini memang sangat berguna terutamanya jika tangan anda penuh dengan barang.

Tetapi bagi penulis, ia masih boleh ditambah baik kerana tailgate mengambil masa yang agak lama untuk dibuka iaitu lebih lima saat.

@engear.tv 3 Benda Aku TAK SUKA Dengan Proton X70 2025 #fyp #carsoftiktok #proton #protonx70 #protoncars #protonmalaysia #suv #engeartv #malaysia ♬ original sound – Engear TV

Tiga perkara kami kurang suka pada Ora 07 Long Range – Pandu Uji

Sedan elektrik Ora 07, atau nama lainnya Ora Lightning Cat mungkin sekali satu pakej EV yang agak unik di dalam pasaran Malaysia pada ketika ini.

Ia membawakan pakej rupa paras yang diinspirasikan daripada model jutaan ringgit, dalam masa yang sama harga yang cukup mampu beli.

Ulasan pandu uji telah pun kami kongsikan sebelum ini, namun dalam artikel ini kami akan bercerita tiga perkara yang kurang digemari wujud pada model ini.

 

1. Perumah lampu belakang yang ‘terpaling merah’

Rekaan luaran Ora 07 ini memang feminin dan nampak ringkas, siap ada spoiler adaptif lagi.

Namun, perkara yang kurang digemari ialah struktur perumah lampu belakang berwarna merah secara keseluruhannya.

Ketika pemanduan waktu siang, pengguna jalan raya lain mungkin sukar untuk meneka sama ada penulis sudah pun memberikan isyarat membelok atau mungkin masuk simpang menggunakan niat.

 

2. Tiada pilihan tema meter analog

Penulis cukup suka dengan ‘gugusan’ meter stail Porsche 911 yang wujud pada ruang kabin Ora 07 ini.

Nampak klasik dan moden dalam masa yang sama.

Cuma kekurangannya, ia tidak menawarkan pilihan tema meter analog untuk disesuaikan dengan jiwa pemanduan maskulin Ora 07 ini.

Namun sejujurnya penulis akui paparan grafik meter ini jauh lebih kemas berbanding sedan buatan China lain yang wujud di pasaran.

 

3. Kemudahan yang mudah namun rumit untuk digunakan

Sebagai seorang yang tidak mahu tumpuan pemanduan terganggu di atas jalan, penulis amat menghargai kewujudan tombol larasan manual pada bahagian konsol tengah untuk sistem pendingin hawa.

Bermakna, amat mudah untuk melaraskan suhu serta kelajuan tiupan angin sejuk dalam ruang kabin.

Cuma, itu sahaja.

Fungsi lain seperti arah tiupan angin perlu dilaraskan menerusi menu yang tersorok dalam skrin infohibur, dan tiada sebarang tombol manual yang tersedia pada corong angin pun!

Laporan penuh pandu uji Ora 07 anda boleh baca pada pautan di bawah:

Ora 07 Long Range, penampilan feminin tapi pemanduan maskulin – Pandu Uji

Mitsubishi Xpander 2024 facelift, 5 perkara yang perlu anda tahu – Pandu Uji Ringkas

Biarpun Mitsubishi Xpander mendarat agak lewat di pasaran Malaysia, keadaan tersebut tidak menghalangnya daripada terus menjadi model MPV bukan nasional paling laris, dengan lebih 40,000 unit telah terjual.

Kami berpendapat pengaruh Xpander akan menjadi lebih kukuh di sini menerusi kehadiran model Xpander 2024 facelift yang telah dilancarkan pada bulan lepas.

Terutama untuk golongan bapa yang sedang mencari kenderaan yang sesuai untuk kegunaan keluarga.

Minggu lalu Mitsubishi Motors Malaysia telah menjemput para pengamal media untuk merasai sendiri pengalaman pemanduan Xpander facelift menuju ke Melaka Darul Traffic Light.

Berdasarkan pemanduan, apa yang kami boleh simpulkan ialah Xpander facelift masih lagi boleh menjadi sebuah kenderaan yang ideal untuk kegunaan keluarga masa kini.

Berikut merupakan catatan ringkas selepas kami memandu Xpander facelift:

 

1. Rupa luaran lebih moden


Secara keseluruhan, reka bentuk Xpander tidak banyak berubah, melainkan muka hadapan yang kini menggunakan elemen Dynamic Shield yang lebih moden dan lebih kemas.

Unit lampu LED berbentuk T itu dikemaskan dengan gugusan lampu LED yang menggandingkan fungsi lampu nyalaan siang (DRL) dan lampu membelok.

Rekaan jeriji juga nampak lebih kemas pada model facelift.

Untuk bahagian belakang, reka bentuk lampu kini menampilkan grafik berbentuk huruf T yang turut menyumbang kepada perubahan bentuk cermin belakang.

Mereka yang memilih varian Xpander Plus akan mendapat tambahan ciri seperti visor tingkap serta spoiler belakang hitam yang tidak terlalu agresif, namun masih lagi mampu memberikan imej yang sporti.

Akhir sekali, keempat-empat sudut gerbang roda dipasangkan dengan rim bersaiz 17 inci diikuti dengan balutan getah Bridgestone Ecopia.

 

2. Ruang kabin lebih kemas

Perubahan besar dibawakan pada ruang kabin, di mana susun atur papan pemuka kini lebih kemas.

Secara standard, Xpander facelift masih lagi menawarkan skrin infohibur sebesar 9 inci, skrin kluster TFT 4.2 inci dengan paparan meter analog, kawalan iklim dengan paparan digital, dan roda stereng yang diinspirasikan daripada sedan Evo X.

Walaupun datang dengan fungsi asas, tempat duduk balutan leatherette itu tetap selesa untuk digunakan, terutama untuk perjalanan jauh.

Perkara yang paling digemari penulis ialah ruang yang tersedia apabila Xpander facelift baharu ini menggunakan butang brek elektronik bagi menggantikan brek tangan fizikal.

Nampak lebih teratur, dan dalam masa yang sama tidak menjadikan pemanduan Xpander ini kurang praktikal.

Harus anda tahu Xpander facelift juga kini didatangkan dengan beberapa fungsi canggih seperti slot pengecasan peranti pintar Qi tanpa wayar, kamera perakam pemanduan depan dan belakang dan paling penting kamera 360 darjah.

Penggunaan bahan sentuh lembut pada bahagian tertentu juga menjadikan pengalaman pemanduan yang rasa lebih premium.

 

3. Praktikaliti untuk seisi keluarga

Jika dibandingkan dengan model pesaing, Xpander facelift mempunyai kelebihan yang tersendiri, iaitu ruang kabin yang lebih luas disebabkan oleh dimensi yang lebih besar.

Tiada masalah untuk memuatkan penumpang pada tempat duduk baris ketiga kerana ia memang cukup selesa untuk digunakan.

Sekiranya tiada penumpang tambahan, tempat duduk tersebut boleh dilipat untuk menyediakan ruang sebesar 837 liter, selain terdapat tiga ruang tambahan yang boleh disorok pada bahagian kargo.

Tidak cukup dengan itu, terdapat banyak ruang barangan kecil yang disediakan di sekitar kabin, terutama di bahagian panel pintu, dulang kecil pada papan pemuka, laci di bawah tempat duduk penumpang hadapan, dan poket-poket kecil di belakang tempat duduk hadapan.

 

4. Pemanduan Xpander, berubah?


Apa yang tidak berubah pada Xpander facelift ialah unit enjin empat silinder sebaris 1.5 liter berkuasa 105 PS dan 141 Nm yang dipadankan dengan transmisi automatik 4-kelajuan.

Ya, kedengaran agak ketinggalan zaman di situ, memandangkan rata-rata pesaing sudah pun dilengkapi dengan transmisi CVT atau DCT.

Ia bukanlah kotak gear yang paling moden, tapi ia terus dikekalkan supaya pemilik tidak perlu risau akan ketahanan dan kelasakan komponen ini.

Disebabkan itu, boleh dikatakan pemanduan Xpander tidak banyak berubah dari segi hamburan kuasa dan pecutan yang ditawarkan.


Ia masih mampu membuat penukaran gear yang lancar, dan dalam masa yang sama isu ‘gear hunting’ tidak menghantui pemandu semasa downshift atau pemanduan mendaki bukit.

Perkara tersebut dapat kami rasai semasa melalui jalan-jalan berliku di sekitar Hulu Langat, namun untuk pemanduan yang biasa di atas lebuh raya, gandingan enjin dan kotak gear tersebut sudah lebih daripada memadai.

Dalam masa yang sama, kami dapat merasakan aspek kebisingan, gegaran dan kekasaran (NVH) dalam kabin Xpander facelift naik satu tahap yang lebih baik berbanding model terdahulu.

Bunyi enjin ditapis dengan berkesan, manakala bunyi bising angin hanya kedengaran masuk setelah meter kelajuan melepasi paras 160 km/j.

 

5. Pengendalian Xpander, tak padan tinggi!

Satu lagi perkara yang membuatkan penulis kini faham kenapa Xpander menjadi pilihan utama ialah keselesaan yang ditawarkan.

Jika Xpander terdahulu membuktikan keselesaan yang tersendiri untuk perjalanan jauh, Xpander facelift ini naik satu lagi anak tangga lebih baik.

Menurut Mitsubishi, suspensi belakang MPV ini telah ditala semula dengan penyerap hentak yang lebih besar bertujuan untuk memastikan pemanduan yang lebih selesa.

Tidak menghairankan apabila kami sukar untuk merasai sebarang kekasaran yang ketara tatkala tayar bertemu dengan permukaan jalan yang tidak rata.

Nak kata pengendalian macam Evo X, bohong sama sekali. Tapi Xpander facelift nyata boleh dikendalikan dengan baik di atas jalan lurus mahupun di jalan-jalan yang berliku tanpa mengganggu keselesaan penumpang di belakang.

Cuma, disebabkan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi (225 mm), aspek kestabilan dirasakan sedikit kurang terutama ketika menempuh kawasan angin lintang di lebuh raya.

Mungkin juga disebabkan oleh faktor penggunaan tayar Bridgestone Ecopia yang dirasakan tidak cukup mencengkam berbanding tayar Toyo Proxes CR1 yang digunakan pada model terdahulu, walaupun nyata ia lebih senyap.

Satu perkara yang pasti, anda sebagai pemandu Xpander facelift tidak perlu risau untuk meredah laluan yang tidak rata di kawasan kampung dan luar bandar, disebabkan pakej jarak kelegaan tanah yang tinggi berbanding pesaing lain.


Berdasarkan pandu uji ringkas yang dibuat tempoh hari, Mitsubishi Xpander 2024 facelift ini dilihat mampu untuk menjadi pilihan utama keluarga di Malaysia, terutama bagi mereka yang mementingkan aspek keselesaan dan praktikaliti.

Spesifikasi Mitsubishi Xpander 2024 (facelift)
Enjin: empat silinder sebaris 1.5 liter MIVEC
Kuasa: 105 PS @ 6,000 rpm
Daya kilas: 141 Nm @ 4,000 rpm
Transmisi: Automatik 4-kelajuan
Pacuan: Roda depan
Harga: dari RM99,980

Mitsubishi Xpander 2024 facelift, dua varian, harga dari RM99,980

Kami pandu uji kembar Proton e.MAS 7, Geely Galaxy E5 – Pandu Uji Ringkas

Minggu lalu, Proton Centre of Excellence (COE) menjadi destinasi penamat bagi siri jelajah dunia Geely Galaxy E5 yang bermula dari China.

Walaupun digelar sebagai ‘siri jelajah dunia’, konvoi yang terdiri daripada beberapa unit Galaxy E5 pemanduan sebelah kiri itu sebenarnya hanya merentasi tiga negara Asia Tenggara iaitu Laos, Thailand dan Malaysia.

Biar pun begitu, perjalanan sejauh 3,700 km itu dilihat sudah cukup untuk membuktikan kemampuan dan ketahanan Galaxy E5 dalam dunia sebenar.

Menurut wakil dari Geely, konvoi tersebut berjaya melengkapkan perjalanan yang panjang itu tanpa sebarang masalah dan setiap unit berjaya tiba di COE dalam keadaan elok walaupun berhadapan dengan banjir di Laos yang diakibatkan oleh Taufan Yagi.

Mengambil kesempatan yang ada, Proton telah menjemput pihak media untuk memandu uji kembar kepada Proton e.MAS 7 itu di litar ujiannya di COE. Bukan itu sahaja, beberapa media terpilih juga berpeluang untuk memandu EV itu di jalan raya untuk pengalaman pemanduan yang lebih realistik.

Apa yang penulis boleh katakan, sesi pandu uji ini memberikan bayangan yang agak jelas mengenai reka bentuk, teknologi dan prestasi e.MAS 7 yang akan dilancarkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

Reka bentuk luaran sama sahaja?

Proton sebelum ini menekankan bahawa e.MAS 7 bukanlah model rebadge Galaxy E5. Dari sudut teknikal, dakwaan ini benar kerana e.MAS 7 sememangnya dibangunkan serentak dengan Galaxy E5. Menurut Proton, lebih 100 jurutera mereka terlibat dalam projek ini.

Walau bagaimanapun, dari segi reka bentuk luaran, kami tidak rasa Proton boleh membuat terlalu banyak perubahan pada e.MAS 7 kecuali menukar logo dan lencana asal. Elemen Infinite Weave seperti yang digunakan pada model-model lain juga tidak boleh diterapkan kerana e.MAS 7 tidak mempunyai gril.

Cuma, apa yang penulis nampak, e.MAS 7 menggunakan rim satu inci lebih kecil iaitu 18 inci berbanding Galaxy E5 yang didatangkan dengan rim 19 inci.

Ruang dalaman minimalis tetapi mewah

Seperti bahagian luaran, rekaan ruang kabin e.MAS 7 juga dijangka tidak jauh berbeza dengan Galaxy E5. Tetapi ini adalah benda bagus kerana rekaan ruang dalaman EV dari China ini agak mengagumkan, sama ada dari segi susun atur atau bahan yang digunakan.

Upholsteri kulit yang digunakan kelihatan begitu mewah dan terasa cukup lembut pada sentuhan. Paling penting, ia diaplikasikan secara meluas bukan sahaja pada tempat duduk, tetapi bahan itu juga membaluti sebahagian besar papan pemuka dan panel pintu.

Selain daripada warna putih, Geely turut menawarkan pilihan warna merah perang dan biru gelap. Adakah Proton akan menawarkan pilihan warna yang sama? Sama-sama kita nantikan.

Luas dan praktikal, sesuai untuk rakyat Malaysia

Dengan tapak roda berukuran 2,750 mm, Galaxy E5 menawarkan ruang kabin yang luas dan selesa. Penulis amat kagum dengan ruang kaki penumpang belakang yang setanding dengan kereta segmen D walaupun ini merupakan SUV segmen C.

Tempat duduk belakang menawarkan sokongan peha yang mencukupi tetapi apa yang lebih menarik adalah kerusi penumpang hadapan yang didatangkan dengan fungsi Ottoman – satu ciri yang biasanya terdapat pada MPV mewah sahaja.

Bagi mereka yang sering membawa barangan yang banyak, jangan gusar kerana Galaxy E5 mempunyai 33 ruang storan termasuk laci di bawah kerusi belakang. Untuk sebuah SUV, ruang butnya tidaklah begitu besar (461 liter) namun terdapat ruang simpanan tambahan sebesar 51 liter di bawah lantai but.

Sarat dengan teknologi

Galaxy E5 dan e.MAS 7 menggunakan sistem operasi yang sama iaitu Flyme Auto yang dikuasakan oleh cip Longying One Chip 7 nm yang didakwa sebagai cip kokpit pintar pertama dari China. Selain integrasi telefon pintar, sistem operasi ini juga menawarkan ciri arahan suara untuk melakukan pelbagai perkara. Anggap sahaja ia seperti pembantu peribadi anda.

EV ini juga menggunakan sistem audio Flyme Sound berkapasiti 1,000 watt dengan 16 pembesar suara, termasuk pada perehat kepala. Bukan itu sahaja, terdapat juga pembesar suara pada bahagian luar yang berguna jika anda mahu memainkan muzik ketika berparti.

Anda juga boleh menggunakan pembesar suara luaran tersebut untuk membunyikan amaran kepada pejalan kaki atau pengguna jalan raya yang lain. Yang menariknya, pilihan bunyi yang disediakan boleh dikatakan sangat tidak konvensional. Ia termasuk bunyi “Hi”, ngauman harimau, kucing mengiau, deruman enjin supercar dan pelbagai lagi.

Galaxy E5 jelas ditala untuk keselesaan, bagaimana pula dengan e.MAS 7?

Biarpun agak singkat, sesi pemanduan di litar ujian Proton dan di jalan raya berjaya mendedahkan karakter Galaxy E5. Penulis dapat merasakan yang EV ini memang ditala untuk pemanduan yang lebih santai, berbeza dengan EV China lain yang penulis pernah cuba seperti smart #1.

Galaxy E5 didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar depan yang menjana 218 PS dan 320 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.8 saat dan mencapai kelajuan maksimum 184 km/j.

Pada zaman kini, di mana EV sudah mampu menandingi supercar dengan mudah, angka ini tidaklah begitu mengagumkan namun penulis merasakan yang Galaxy E5 sebenarnya sudah cukup pantas untuk kebanyakan pemandu di luar sana. Cuma, tindak balas pendikitnya tenang dan tidak terburu-buru, walaupun ditekan dengan agresif.

Selain itu, sistem suspensi Galaxy E5 juga boleh dikatakan sangat lembut. Dalam perjalanan menuju ke Puncak Alam, kereta ini membuktikan yang ia mampu menyerap hentakan dari permukaan berlubang dengan cukup baik sehinggakan ia hampir tidak terasa di dalam kabin. Walau bagaimanapun, penulis dapat merasakan ada sedikit lantunan ketika bergerak pada kelajuan tinggi atau melalui jalan yang beralun.

Konklusi

Seperti yang dikatakan, sesi pandu uji ini sangat berharga kerana ia dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran mengenai Proton e.MAS 7.

Dari segi reka bentuk luaran dan dalaman, serta sistem infotainment dan teknologi, penulis tidak mengharapkan perubahan yang terlalu ketara kerana pakej yang dibawakan oleh Galaxy E5 sudah cukup menarik.

Bagaimanapun, dari segi pemanduan terutamanya tindak balas pendikit dan talaan suspensi, Proton pastinya akan menggunakan kepakaran mereka bagi memastikan e.MAS 7 sesuai dengan keadaan permukaan jalan raya di Malaysia, selain dapat memenuhi permintaan pembeli EV tempatan.

Ora 07 Long Range, penampilan feminin tapi pemanduan maskulin – Pandu Uji

Kali pertama model ini menerjah dalam kotak ingatan ialah semasa menghadiri acara Auto Shanghai 2023 pada tahun lepas.

Ora 07, atau lebih dikenali dengan nama Ora Lightning Cat di pasaran luar sememangnya membawakan rekaan yang kontroversi, mengingatkan kita pada model sedan Porsche Panamera dan Porsche 911.

Untuk meletakkannya sama aras dengan model harga jutaan ringgit itu mungkin satu perkara yang tidak adil.

Ora 07 merupakan model kenderaan elektrik (EV) kedua yang dibawa masuk oleh pihak GWM Malaysia selepas hatchback comel Ora Good Cat, dengan penawaran harga bawah RM200 ribu (RM169,800).

Berbanding pesaing terdekat seperti BYD Seal dan Tesla Model 3, adakah Ora 07 ini sebuah EV yang biasa-biasa?

Berdasarkan pengalaman pandu uji yang dibuat tempoh hari, jawapan muktamad yang kami boleh bagi, “Tidak!”.

 

1. Reka bentuk feminin

BYD Seal dan Tesla Model 3 membawakan bentuk badan sedan yang lebih tradisional.

Ora 07 pula lebih mengingatkan kita pada bentuk badan Porsche Panamera, dengan garis bumbung yang lebih melandai ke belakang, diikuti dimensi badan yang agak panjang.

Bahagian belakang pula menampilkan spoiler adaptif berkuasa elektrik yang boleh dinaikkan atau diturunkan mengikut keperluan, lampu depan pula kalau dilihat daripada mana-mana sudut pun, macam 911.

Secara keseluruhan, ia bukanlah satu perkara yang negatif pun pada Ora 07 ini. Sesuai untuk mereka yang berjiwa feminin dan individu yang mahukan kelainan dalam segmen sedan elektrik.

Cuma, rekaan perumah lampu belakang yang serba merah itu mungkin akan membuatkan pengguna jalan raya keliru dan sukar untuk menentukan sama ada penulis bagi isyarat membelok atau isyarat kecemasan.

 

2. Dalaman inspirasi daripada Bugatti, Porsche

Tidak cukup dengan bahagian luar, susun atur ruang kabin juga banyak mengambil ilham daripada model ternama.

Konsol tengah yang tinggi itu dilihat mengambil inspirasi daripada Bugatti, sementara skrin kluster digital hadapan pemandu pula memang terang-terang membawakan elemen Porsche.

Setidak-tidaknya, susun atur yang ditunjukkan pada ruang ini jauh lebih baik dan senonoh berbanding kereta yang hanya sekadar menenggekkan skrin iPad pada papan pemuka semasa proses pembangunan dan terus menjualnya kepada umum.

Penulis cukup suka dengan rekaan skrin kluster digital Ora 07 ini, nampak lebih segar.

Cuma, kekurangannya, ia tidak didatangkan dengan pilihan tema yang bersesuaian dengan reka bentuk bulat itu. Malah, tiada opsyen untuk grafik meter analog tersedia pun!

 

3. Mudah dioperasikan, tapi masih menyusahkan

Satu perkara yang penulis hargai pada Ora 07 selain daripada sokongan Apple CarPlay/Android Auto ialah kewujudan tombol larasan manual pada bahagian tengah untuk sistem pendingin hawa.

Ia menawarkan larasan untuk kelajuan tiupan angin sejuk serta suhu kabin. Mudah untuk dioperasikan menggunakan ingatan otot tangan. Namun, itu sahaja manfaat yang diberikan.

Tiada tuil larasan tiupan angin fizikal disertakan pada corong pendingin hawa. Bermakna, jika anda rasa rimas dengan tiupan angin sejuk yang mencucuk hidung, anda perlu menyelongkar menu tambahan bagi sistem kawalan iklim dalam skrin infohibur.

Ya, Ora 07 menyertakan beberapa jenis mod tiupan angin dalam skrin tersebut untuk digunakan semasa musim panas, namun ia bukanlah satu ciri yang mampu menyenangkan pemanduan seharian.

Mujur juga Ora 07 dilengkapi dengan sistem audio 11 pembesar suara Infinity yang mengasyikkan, jadi bolehlah layan lagu kegemaran selepas puas menggodek tetapan kawalan iklim.

 

4. Kabin selesa, tapi…

Penggunaan bahan bersifat premium banyak menguasai ruang kabin Ora 07. Nampak mewah juga.

Tempat duduk sports yang disertakan standard dari kilang turut membantu dari segi aspek keselesaan, sama juga halnya dengan tempat duduk belakang yang agak empuk itu.

Selain jarak antara roda panjang, satu perkara yang membuatkan ruang tersebut nampak lebih luas ialah bumbung kaca panorama yang agak luas dan memanjang ke belakang.

Disebabkan itu, penumpang belakang dapat menikmati ruang kepala yang lebih luas. Cuma elakkan daripada membuat perjalanan jarak jauh untuk tempoh yang lama semasa matahari tegak di atas kepala.

Tiada suis tersedia untuk membuka struktur panel kaca tersebut, dan tiada penghadang cahaya disertakan pada bahagian tersebut untuk menapis sinaran mentari yang mampu membakar rambut anda.

 

5. Akses ruang kargo sedikit terhad

Sedan ini menyediakan ruang kargo sebesar 333 liter, cukup besar untuk kegunaan seharian.

Walaupun Ora 07 secara standard membawakan bentuk badan sedan fastback, ia tidak memberi makna bahagian belakang boleh dibuka dengan luas seperti mana-mana model aeroback yang lain.

Bukaan yang agak terhad mungkin menyukarkan anda untuk memuatkan barangan yang lebih besar.

Mujur juga tempat duduk baris kedua boleh dilipat, jadi anda boleh meletakkan barangan yang jauh lebih panjang pada bahagian belakang.

Tidak cukup dengan itu, terdapat juga beberapa ruang storan kecil tersedia dalam ruang kabin, menambahkan lagi aspek praktikaliti Ora 07.

 

6. Pemanduan maskulin

Secara standard, Ora 07 hadir dengan tetapan motor elektrik tunggal berkuasa 201 hp dan 340 Nm yang memacu roda depan.

Kuasa yang mencukupi untuk menggerakkan sedan elektrik di laluan urban, tiada masalah kekurangan tenaga.

Pecutan agresif juga boleh dibuat dalam keadaan yang cukup lembut dan lancar, tanpa mengakibatkan efek sentakan kuasa yang biasa dialami pada mana-mana kereta elektrik lain.

Apa yang membuatkan penulis rasa teruja dengan sedan elektrik ini ialah pakej pengalaman pemanduan mengujakan yang sukar didapati pada mana-mana kereta elektrik lain.

Walaupun hadir dengan pelbagai ciri-ciri bersifat feminin, aspek pemanduan Ora 07 bersifat lebih jantan. Ibarat sebuah kereta dua alam.

Untuk seketika, penulis langsung terlupa Ora 07 merupakan sebuah sedan elektrik yang berat (2.5 tan) ketika menguji pengendalian kereta ini di laluan yang berliku-liku.

Respons stereng yang cukup bagus untuk memastikan kereta ini berada di landasan yang tepat, selain talaan casis dan sistem gantungan yang membuatkan pemanduan sedan elektrik ini dirasakan cukup seronok ketika meratah jalan-jalan lama di Negeri Sembilan.

Olengan badan juga dirasakan pada tahap minimum, membuatkan penulis lebih ghairah untuk terus menekan pedal pendikit setiap kali jalan lurus dihubungkan dengan selekoh.

Penggunaan tayar Hankook Ventus S1 Evo3 juga turut membantu sedan ini melekat dengan baik atas permukaan aspal.

Menjadikan pemanduan Ora 07 lebih ‘hidup’ ialah iringan simulasi bunyi enjin palsu yang boleh diaktifkan menerusi skrin infohibur.

Setidak-tidaknya, ia dapat mengubati kerinduan anda terhadap kereta enjin, dan penulis kira ciri ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan bunyi kapal angkasa yang wujud pada model EV yang lebih mahal harganya.

Terdapat beberapa mod pemanduan disertakan yang boleh diakses menerusi tombol manual tengah, termasuklah mod Well Being di mana ia akan menyahaktifkan fungsi brek regeneratif dan membolehkan kereta tersebut kekal meluncur pada saat kaki dialihkan daripada pedal pendikit.

Macam kereta ICE, tak begitu?

 

7. Masalah bimbang jarak dipadamkan

Kami menguji varian Long Range yang dipadankan dengan pek bateri 83.5 kWh.

Mengikut data NEDC, sedan ini boleh bergerak sejauh 640 km untuk sekali cas penuh, satu angka yang mungkin sukar tapi tidak mustahil untuk dicapai.

Berdasarkan penggunaan, kami berjaya merekodkan jarak pemanduan sejauh 470 km sebelum bateri mencatatkan baki 15 peratus SoC dengan anggaran jarak tersisa sekitar 102 km.

Pada pendapat kami, Ora 07 sesuai untuk dijadikan sebagai kereta belasahan harian, atau sekali sekala digunakan untuk merentas negeri melebihi dua marhalah.

Pengecasan DC sehingga 88 kW membolehkan bateri dicas 80 peratus dalam tempoh setengah jam sahaja, bermakna anda tidak perlu menunggu lama sekiranya terpaksa melakukan perjalanan jauh dalam Ora 07.

 

8. Keselamatan

Secara standard, Ora 07 hadir dengan ciri keselamatan termaju (ADAS) Tahap 2 yang merangkumi beberapa fungsi penting termasuklah kawalan jelajah adaptif, sistem pemantauan titik buta, brek kecemasan autonomi, sistem pengelakan pintar serta bantuan pengekalan lorong.

Ciri kawalan jelajah adaptif terbukti berkesan semasa berada di atas lebuh raya untuk mengekalkan jarak pemanduan yang selamat.

Cuma cara bantuan pengekalan lorong beroperasi mungkin dirasakan sedikit agresif terutama bagi mereka yang sudah yakin dengan pemanduan masing-masing.

 

Kesimpulan

Dengan harga bermula dari RM169,800, Ora 07 Long Range ini boleh jadi satu alternatif sedan elektrik yang dapat memenuhi cita rasa golongan pembeli yang mahukan kelainan, dan mahu lebih menonjol daripada kebiasaan.

Biarpun ia mempunyai beberapa kekurangan, namun segala permasalahan itu mungkin akan terpadam apabila anda berupaya menikmati pemanduan yang cukup mengujakan dalam sedan ini.

Tak percaya? Sehingga sekarang pun penulis masih tak percaya!

Spesifikasi:

Motor elektrik: Tunggal, pacuan roda depan
Kuasa: 201 hp, 340 Nm
Pecutan: 0-100 km/j 7.9 saat
Kelajuan maksimum: 170 km/j
Bateri: 83.5 kWh
Jarak gerak: 640 km (data NEDC)

Volvo EX30 kecil-kecil cili padi – Pandu Uji Ringkas

Dibangunkan menggunakan platform SEA milik Geely yang turut digunakan oleh smart #1 dan Zeekr X, EX30 merupakan kenderaan Volvo yang paling kecil setakat ini.

Namun ia tidak boleh sekali-kali dipandang remeh kerana walaupun mempunyai saiz yang kompak, EX30 menawarkan semua yang pembeli dalam segmen ini inginkan – rupa, teknologi, praktikaliti dan sudah tentu, prestasi.

Terima kasih kepada aktiviti-aktiviti menarik yang disediakan semasa sesi pandu uji media yang dianjurkan oleh Volvo Car Malaysia baru-baru ini, kami berjaya mendapat gambaran jelas mengenai kemampuan sebenar EX30 dan kenapa ia sangat menarik.

Tetapi sebelum itu, mari kita lihat dulu bahagian luaran dan dalaman EV dari jenama Sweden ini. Dengan ukuran panjang 4,223 mm, lebar 1,837 mm, dan tinggi 1,555 mm, ia sebenarnya lebih kecil berbanding kedua-dua kembarnya iaitu #1 dan X.

Namun bagi penulis EX30 mempunyai perkadaran (proportion) yang cukup seimbang dan sporty, dengan overhang depan dan belakang yang sama panjang, tapak roda yang panjang (2,650 mm) dan rim yang besar.

Walaupun unit-unit pandu uji ini masih dibalut pelekat penyamaran, sekali pandang anda sudah tahu ia sebuah kereta Volvo terima kasih kepada lampu nyalaan siang LED berbentuk tukul Thor yang menonjol. Sudah tentu, logo jenama itu juga terpampang jelas pada bahagian hadapan kereta ini.

Seperti yang boleh dijangka dari jenama ini, ruang dalaman EX30 tampil kemas dan rapi. Selari dengan konsep kelestarian, Volvo memilih untuk menggunakan bahan-bahan yang boleh diperbaharui dan kitar semula di hampir setiap ceruk kabin kereta ini.

Selain butang cermin tingkap pada konsol tengah, anda tidak akan menemui sebarang butang fizikal di dalam EX30. Malah, panel instrumen digital pun tidak ada di dalam kereta ini. Semua fungsi serta maklumat seperti kelajuan kenderaan dan kedudukan gear perlu diakses menerusi skrin sentuh berukuran 12.3 inci.

Pendekatan ini berkesan dalam menghasilkan ruang kabin yang minimalis namun mereka yang old school akan memerlukan sedikit masa untuk membiasakan diri. Manakan tidaknya, untuk mengubah cermin sisi dan membuka glove box juga perlu dilakukan menerusi skrin sentuh berkenaan.

Tidak boleh dinafikan yang ruang dalaman EX30 memang kecil tetapi penulis tidak rasa kebanyakan pengguna akan mempunyai masalah untuk menyimpan barangan mereka.

Ini kerana Volvo telah berfikir di luar kotak untuk menghasilkan sebanyak mungkin ruang penyimpanan barang. Pertama sekali, Volvo menggunakan sound bar Harman Kardon yang diletakkan pada papan pemuka bagi memastikan terdapat ruang yang cukup besar pada panel pintu.

Selain itu, pemegang cawan pada konsol tengah boleh digelongsorkan ke dalam manakala di bawahnya terdapat satu lagi ruang penyimpanan yang agak besar di mana anda boleh meletakkan barang-barang seperti dompet atau tas tangan.

Apa yang menarik, lantai ruang ini boleh dibuka untuk menghasilkan kompartmen yang lebih dalam. Terletak betul-betul di belakang kompartmen ini adalah bekas kecil yang boleh dikeluarkan.

Sekarang, berbalik kepada sesi pandu uji media yang dikatakan tadi. Dari ibu pejabat Volvo Malaysia di Petaling Jaya, kami bertolak ke lapangan terbang lama di Sungai Besi untuk dua aktiviti pemanduan yang menyeronokkan iaitu drag race dan slalom.

Aktiviti slalom bukanlah bukan benda baru untuk penulis tetapi kali ini ia sedikit berlainan kerana kami perlu melakukannya secara mengundur. Imej dari kamera yang cukup terang dan jelas banyak membantu penulis mengelak daripada terlanggar kon.

Seterusnya, aktiviti drag racing dengan Volvo V60 T8 berjaya merungkai kemampuan sebenar EX30 pada laluan lurus. Varian Ultra Twin Performance yang kami pandu mempunyai mod ‘rahsia’ yang perlu diaktifkan bagi membolehkan ia menghasilkan kuasa maksimum 428 PS dan 543 Nm.

Dengan semudah itu sahaja, EX30 boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.6 saat bagi mengalahkan wagon PHEV yang sebenarnya jauh lebih berkuasa itu.

Usai berlumba di Sungai Besi, kami bergerak ke Bamboo Hills untuk demonstrasi ciri Park Pilot Assist. Ciri ini cukup mudah untuk digunakan dan boleh mengesan ruang parkir kosong dengan serta merta. Anda hanya perlu memilih ruang yang dikehendaki dan kereta ini akan melakukan segalanya untuk anda.

Kemudian, kami ke Ikea Damansara untuk aktiviti yang lain dari yang lain iaitu membeli-belah. Setiap pasukan yang terdiri daripada enam media diberikan bajet bernilai RM2,000 untuk membeli sebanyak mungkin barang untuk dimuatkan ke dalam EX30.

Terima kasih kepada ruang but yang mempunyai kapasiti maksimum 904 liter (jika tempat duduk belakang dibaringkan), kompartmen di bawah lantai but sebesar 61 liter, dan frunk sebesar 7 liter, pasukan penulis berjaya menyumbat beberapa buah kerusi, tilam futon, bantal dan banyak lagi barangan lain tanpa sebarang masalah.

Aktiviti ini menunjukkan bahawa walaupun EX30 bersaiz kompak, ruang dalamannya yang cukup versatil dan sesuai digunakan untuk ke destinasi percutian hujung minggu di Lembah Klang dan kawasan sekitar.

Dari Kuala Lumpur, kami kemudiannya menuju ke Janda Baik sebagai hentian terakhir sesi pandu uji ini. Perjalanan dari ibu kota ke pusat peranginan terkenal itu cukup seronok terutamanya ketika menyusuri Lebuhraya Karak memandangkan EX30 mempunyai pengendalian yang stabil dan mantap.

Walaupun dipandu dengan agresif sepanjang hari, ditambah pula dengan perlumbaan drag tersebut, penulis berjaya tiba ke Janda Baik dengan kuasa bateri berbaki sekitar 45%. Bayangkan jika ia dipandu dengan lebih cermat?

Untuk pengetahuan, varian Ultra Twin Performance didatangkan dengan bateri Nickel Manganese Cobalt (NMC) berkapasiti 69 kWj yang menjanjikan jarak pandu sekitar 450 km berdasarkan kitaran WLTP.

Bateri berkenaan boleh dicas dari 10% hingga 80% dalam hanya 28 minit menggunakan pengecas pantas DC 175 kW. Pengecasan AC 11 kW pula memerlukan kira-kira 7.5 jam untuk pengecasan penuh.

Konklusi

Untuk sebuah EV, Volvo EX30 menawarkan banyak kelebihan. Rekaan bahagian luaran dan dalamannya cukup moden dan sangat menarik perhatian tetapi dalam cara yang tidak keterlaluan.

Bercakap tentang ruang dalaman, kekurangan butang fizikal mungkin akan membuatkan sesetengah pelanggan berfikir dua kali sebelum membelinya namun berdasarkan pengalaman penulis, semua fungsi dan ciri yang ada boleh diakses dengan mudah. Anda hanya perlu mengambil sedikit masa untuk belajar menggunakannya.

Bagi penulis, kekuatan utama model ini terletak pada prestasi dan praktikaliti, menjadikannya pilihan yang sesuai untuk golongan muda yang mempunyai gaya hidup aktif.

Haval H6 HEV, SUV hibrid paling berbaloi? – Pandu Uji Ringkas

Beberapa hari lepas, pihak GWM Malaysia telah menjemput kami untuk merasai sendiri pengalaman memandu sebuah SUV hibrid yang bakal dilancarkan kelak, iaitu Haval H6 HEV.

Dengan harga anggaran sekitar RM145,000, ia mungkin sekali satu pembelian yang sangat berbaloi untuk mereka yang mahu mencari SUV yang jimat minyak, besar, dan juga selesa untuk seisi keluarga.

Kita bercerita serba sedikit berkenaan spesifikasi SUV Haval H6 HEV ini.

Dimulakan dengan unit rangkaian kuasa, Haval H6 HEV dikuasakan oleh enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo, dipadankan dengan motor elektrik tunggal dan kotak gear DHT (Dedicated Hybrid Transmission) dua nisbah kelajuan.

Enjin tersebut berupaya menghasilkan 150 PS/230 Nm, sementara motor elektrik pula mampu menjana kuasa tambahan 130 PS/300 Nm.

Secara keseluruhan, Haval H6 HEV ini berkuasa 243 PS dan daya kilas 530 Nm, antara yang paling bertenaga dalam kelasnya.

Berdasarkan pemanduan ringkas selama dua hari merentasi sempadan yang tidak memerlukan buku merah, penulis dapati kuasa yang dihamburkan oleh SUV ini tidak putus-putus terutama saat kita memerlukan kuasa ektra untuk memotong lori balak di hadapan.

Atas kertas, angka 530 Nm itu mungkin agak tinggi, namun sepanjang pemanduan kami tidak merasakan sentakan kuasa yang mampu menyebabkan kesakitan leher.

Ini kerana kuasa yang dihasilkan saat pedal pendikit ditekan itu masuk dengan cara yang lebih lembut dan lancar, tidak agresif seperti kebanyakan kereta elektrik.

Sistem hibrid ini juga sangat cekap, di mana boleh dikatakan penulis dan rakan-rakan langsung tidak merasai bila masa operasi enjin dimulakan.

Tiada gegaran enjin ketara yang dapat dirasakan, malah bunyi bising enjin juga ditapis dengan baik daripada memasuki ruang kabin.

Dengan kadar penggunaan bahan api sekitar 5.8 liter/100 km, GWM mendakwa Haval H6 HEV ini mampu mencapai jarak sejauh 1,000 km untuk setangki penuh.

Perkara ini mungkin kami boleh uji dengan lebih mendalam sekiranya ada peluang untuk memandu SUV ini kelak.

Aspek NVH juga berada di tahap memuaskan, di mana sepanjang masa kami dapat berborak dengan rancak di dalam kabin tanpa perlu meninggikan suara atau menggunakan mikrofon.

Bunyi bising angin yang cuba menerjah masuk kabin tidak berjaya mengganggu tumpuan, cuma bunyi bising tayar sahaja.

Itupun sebab kualiti tar yang digunakan adalah tidak memuaskan di sesetengah tempat.

Dengan sistem gantungan terdiri daripada topang MacPherson di depan dan tetapan multilink di belakang, SUV ini tidak membawakan sebarang masalah besar dari segi pengendalian dan keselesaan.

Untuk jaringan jalan raya di Malaysia, ia menawarkan talaan suspensi yang seimbang untuk pemanduan yang sedikit agresif dan dalam masa yang sama mengekalkan aspek keselesaan untuk seisi keluarga.

Malah, olengan badan yang dihasilkan sewaktu meratah selekoh-selekoh juga berada pada tahap yang boleh diterima, tidak membuatkan badan SUV ini berbuai-buai.

Dari segi dimensi, Haval H6 HEV membawakan saiz yang jauh lebih besar berbanding SUV popular segmen C, iaitu Honda CR-V dan Proton X70.

Jarak antara roda yang panjang juga menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas untuk memuatkan lima orang pada satu-satu masa.

Tidak cukup dengan itu, Haval H6 HEV menyediakan ruang kargo sebesar 560 liter, atau sehingga 1,485 liter apabila tempat duduk baris kedua nisbah 60:40 itu dilipat.

Susun atur papan pemuka juga agak kemas, namun kombinasi tiga warna (hitam, putih dan rose gold) itu mungkin kurang digemari oleh sesetengah pihak.

Terdapat skrin kluster sebesar 10.25 inci (dengan pilihan tema yang agak terhad), diikuti skrin infohibur sebesar 12.3 inci yang turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

Dengan pakej spesifikasi serta harga jualan bermula bawah RM145,000, Haval H6 HEV mungkin sekali mampu menjadi satu pembelian yang cukup berbaloi, terutama bagi mereka yang tidak memiliki bajet untuk membeli SUV hibrid harga cecah RM200,000.

Lebih banyak perincian dan pandangan bakal kami kongsikan sekiranya ada peluang untuk memandu uji Haval H6 HEV ini dengan lebih mendalam pada masa akan datang.

Spesifikasi Haval H6 HEV:

Enjin: empat silinder sebaris, 1.5 liter turbo
Kuasa: 150 PS/230 Nm
Motor elektrik: 130 PS/300 Nm
Kuasa keseluruhan: 243 PS/530 Nm
Kotak gear: Dedicated Hybrid Transmission (DHT) dua-kelajuan
Pecutan 0-100 km/j: 7.7 saat
Kelajuan maksimum: 175 km/j

Proton X70 2025 jelas lebih baik berbanding sebelum ini – Pandu Uji Ringkas

Ia bukanlah model bread and butter seperti Saga tetapi X70 akan selamanya dikenang sebagai model yang memainkan peranan terbesar dalam transformasi Proton.

Seperti yang anda tahu, X70 merupakan model pertama yang ‘dilahirkan’ menerusi kerjasama antara Proton dan Geely yang terjalin pada 2017.

Selain itu, ia juga bertanggungjawab membawa Proton meneroka segmen pasaran SUV yang sangat mencabar. Jadi penulis boleh katakan yang X70 sememangnya mempunyai tempat dalam lipatan sejarah pengeluar kenderaan nasional itu.

Dalam sedar tak sedar, sudah enam tahun X70 berada dalam pasaran Malaysia dan dalam tempoh itu, SUV segmen C itu pernah dikemas kini sekali iaitu pada 2022, di mana ia mendapat enjin tiga silinder X50 dan beberapa ciri baharu lain.

Kini, setelah hampir dua tahun berlalu, X70 sekali lagi diberikan penambahbaikan namun kali ini, perubahan yang ditampilkan lebih bersifat menyeluruh kerana turut melibatkan aspek estetik luaran dan dalaman.

Secara ringkasnya, X70 versi facelift ini tampil dengan ‘wajah’ yang diambil daripada Geely Boyue facelift yang dikeluarkan dua tahun lalu. Rupanya sudah dua tahun berlalu tetapi bagi penulis, ia masih nampak segar di mata.

Dengan lampu LED yang lebih tajam dan langsing, ditemani dengan gril lebih lebar yang dihiasi krom pin ala Mercedes-Benz, X70 kini kelihatan jauh lebih tampan berbanding sebelum ini.

Pendek kata, anda tidak akan mempunyai sebarang masalah mengenal pasti model facelift ini di jalan raya. Namun ia mungkin sedikit sukar jika anda melihatnya dari belakang kerana selain bamparnya yang diubah sedikit, bahagian belakang X70 baharu tidak banyak berubah.

Ruang dalaman turut diberikan penampilan lebih segar. Perkara pertama yang anda akan perasan adalah upholsteri kulit Nappa berwarna kelabu Stone Grey pada tempat duduk, panel pintu dan perehat tangan.

Ia tidak semewah warna coklat sebelum ini namun sekurang-kurangnya penggunaan warna lebih cerah membuatkan ruang kabin terasa seolah-olah lebih luas.

Selain itu, terdapat juga pencahayaan ambien dengan 72 pilihan warna yang boleh berubah mengikut rentak muzik yang dimainkan. Cuma sayangnya, X70 kini tidak lagi menggunakan sistem audio Kenwood sembilan pembesar suara.

Perubahan paling besar bagi penulis adalah ketibaan sistem Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, menjadikan X70 kereta Proton pertama yang mempunyai sistem berkenaan.

Walau bagaimanapun, ciri ini masih belum tersedia atas sebab-sebab tertentu. Proton berkata ia akan dimasukkan ke dalam skrin sentuh 12.3 inci menerusi kemas kini atas udara (OTA) kelak.

Sebenarnya banyak penambahbaikan lain yang diterapkan ke dalam model facelift ini. Menurut Proton, SUV ini mempunyai 360 bahagian baharu, manakala proses R&D pula mengambil masa 290,000 jam.

Penulis rasanya inilah sebabnya kenapa syarikat itu mengadakan sesi pandu uji media di Kota Kinabalu. Kepelbagaian bentuk muka bumi dan keadaan jalan raya yang kononnya tidak sebaik di Semenanjung menjadikan KK ‘lapangan’ terbaik untuk menguji prestasi keseluruhan X70.

Pertama sekali, penulis boleh mengatakan dengan yakin yang X70 adalah sebuah SUV yang selesa. Sistem suspensi terasa sedikit lebih keras dari versi CBU asal namun ketika melalui jalan berlubang-lubang dalam perjalanan menuju ke Kundasang, hentakan yang terhasil tidaklah terlalu kuat.

Pengendaliannya juga dirasakan lebih responsif berbanding sebelum ini tetapi agak mengecewakan kerana stereng masih agak ringan bagi penulis. Menukar mod EPS dari Comfort kepada Sport juga tidak memberikan sebarang perubahan ketara dari segi rasa.

Namun penulis agak berpuas hati dengan aspek NVH. Bukan sahaja deruman enjin tiga silinder pada kelajuan rendah tidak sejelas sebelum ini, malah bunyi lori dan trak pikap yang banyak di jalan raya di sekitar KK juga dihalang dengan baik.

Mereka yang mengharapkan kuasa lebih tinggi akan kecewa kerana enjin TGDI 1.5-liter tiga silinder itu masih menghasilkan kuasa yang sama iaitu 177 PS pada 5,500 rpm dan 255 Nm dari 1,500 hingga 4,000 rpm.

Namun ini tidak bermakna enjin itu tidak disentuh langsung. Menurut Proton, ia telah menambahbaik beberapa aspek seperti kecekapan pembakaran, pengurusan termal dan pengurangan geseran.

Hasilnya, enjin itu mampu memberikan bacaan penggunaan bahan api 4% lebih rendah berbanding sebelum ini iaitu 7.3 liter/100 km. 4% adalah angka yang sangat kecil tetapi lebih baik daripada tak ada langsung kan?

Dari segi kuasa, X70 membuktikan yang ia tidak ada masalah memecut dan memotong kenderaan lain walaupun sedang mendaki bukit dengan empat orang penumpagn dewasa.

Masih tiada paddle shifter, jadi untuk menukar gear secara manual, anda perlu menggunakan tuil cuma anda perlu membiasakan diri menggerakkan tuil ke kiri dan ke kanan dan bukannya ke atas dan ke bawah seperti kebanyakan kereta lain.

Bagi penulis, X70 jauh dari sempurna namun rekaan lebih menonjol, serta pelbagai ciri baharu yang dibawakan menerusi kemas kini terbaru ini menjadikannya satu penawaran yang lebih baik dalam segmen yang sengit.

Spesifikasi Proton X70 2025

Harga: RM98,800-RM126,800
Enjin: TGDI 1.5-liter, tiga silinder
Kotak gear: Automatik tujuh kelajuan
Kuasa: 177 PS @ 5,500 rpm
Tork: 255 Nm @ 1,500-4,000 rpm

Peugeot 408 GT, sang singa untuk sang pemberani – Pandu Uji

Satu fakta perit yang perlu kita hadam pada masa kini ialah semua orang sekarang mahukan kereta spesifikasi redah banjir.

SUV. Crossover. Atau apa jua akronim tiga huruf yang diperkenalkan oleh setiap pengeluar bagi membezakan produk mereka dengan produk lain.

Disebabkan itu, kita sekarang boleh lihat pelbagai jenis model crossover SUV yang wujud di pasaran tempatan, dan yang menjadi mangsa, sudah tentu model sedan.

Peugeot 408 terbaharu yang ada di pasaran Malaysia ini tidak terkecuali daripada menjadi mangsa peng-SUV-an ini.

Adakah ia satu model yang terbaik untuk dibeli? Jemput baca ulasan ringkas kami sampai habis.

 

Reka bentuk luaran

Jika dua generasi terdahulu menampilkan bentuk badan sedan, generasi baharu Peugeot 408 kini merupakan sebuah kereta rojak moden yang dibina untuk mereka yang rasa berani untuk memandunya atas jalan.

Secara asasnya 408 masih lagi mengekalkan bentuk badan sedan, namun dengan rekaan belakang jenis liftback sebelum diserikan dengan elemen crossover keliling badan.

Ia bukanlah satu perkara yang baharu, memandangkan beberapa pengeluar lain juga menggunakan format rekaan yang sama, seperti contoh Citroen dengan C3X, serta Toyota menerusi model Crown Crossover.

Tidak semua orang suka akan format sebegini, namun ia boleh jadi satu model yang sesuai untuk mereka yang inginkan kelainan.

Atas jalan, Peugeot 408 GT memang nampak agresif dengan rekaan lampu utama berbentuk taring singa, lampu belakang dengan grafik kuku singa, serta rim 20 inci Monolithe berwarna hitam dengan rekaan yang sedikit.. aneh.

Dengan dimensi yang sedikit tinggi berbanding sedan dalam segmennya, diikuti dengan jarak kelegaan tanah 189 mm, susah untuk mengklasifikasikan Peugeot 408 ini sebagai sebuah crossover SUV. Penulis lebih senang menggelarkannya sebagai crossover sedan.

Seperti yang telah ditekankan, rekaan yang dibawakan oleh Peugeot 408 ini memang bukan untuk semua orang, hanya untuk sang pemberani sahaja.

 

Kabin serba moden, tapi…

Peugeot 408 GT membawakan susun atur Peugeot i-Cockpit tiga dimensi yang jauh lebih moden berbanding 408 yang terdahulu.

Terdapat roda stereng jenis atas dan bawah rata, skrin kluster digital 10 inci dengan paparan grafik tiga dimensi, skrin infohibur sebesar 10 inci, serta skrin i-Toggles di mana pemandu boleh menetapkan sehingga lima fungsi pintas yang berbeza mengikut keperluan peribadi.

Secara standard, varian Peugeot 408 GT yang kami pandu uji ini turut dilengkapi dengan tempat duduk balutan kulit Nappa yang telah mendapat pengiktirafan daripada badan bebas Aktion Gesunder Rücken (AGR) yang mempromosikan kesihatan tulang belakang.

Ada juga fungsi urut terbina dengan beberapa mod yang diinspirasikan oleh haiwan seperti kucing dan ular yang tersedia untuk pemandu dan penumpang hadapan.

Dengan ciri moden yang disebutkan itu tadi, aspek keselesaan sememangnya bukanlah satu masalah utama.

Biarpun dengan kehadiran panel butang fungsi pintas yang boleh dikustom, penulis tetap berpendapat fungsi-fungsi yang kerap digunakan seperti kawalan iklim tidak perlu disumbatkan ke dalam skrin utama.

Skrin infohibur yang dibekalkan dari kilang itu menawarkan paparan grafik yang agak jelas dan tajam, cuma boleh ditambahbaik dengan pergerakan grafik yang lebih cepat dan lancar.

Agak menjengkelkan apabila kita mahu cepat untuk menurunkan suhu kabin, akan tetapi anda perlu menunggu dalam masa beberapa saat sehingga grafik ‘loading’ tersebut habis dimainkan.

Mujur juga Peugeot 408 datang standard dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar, jadi kebanyakan masa mata hanya perlu memerhati paparan peta nagivasi serta pemilihan muzik yang bersesuaian dialunkan oleh sistem Audio Focal dengan 10 pembesar suara itu.

 

Enjin bertenaga

Untuk pasaran Malaysia, Peugeot 408 hanya didatangkan dengan satu pilihan enjin sahaja, iaitu nadi empat silinder sebaris 1.6 liter turbo PureTech.

Ia mampu menghamburkan kuasa setinggi 218 hp @ 5,750 rpm dan daya kilas 300 Nm @ 2,000 rpm yang disalurkan kepada roda depan menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan.

Pecutan di persimpangan lampu isyarat bukanlah satu kelemahan bagi crossover sedan ini, malah atas lebuh raya Peugeot 408 ini mampu untuk memalukan mana-mana sedan berenjin aspirasi semula jadi.

Untuk setangki penuh, penulis berjaya mencatatkan angka perbatuan sejauh 510 km.

 

Pemanduan

Dari tempat duduk pemandu, penulis sebenarnya perlu mengambil masa untuk membiasakan diri dengan susun atur i-Cockpit 3D Peugeot 408 GT ini.

Ini kerana berbanding kereta-kereta lain, anda perlu membaca skrin kluster digital daripada atas roda stereng. Jika ditetapkan terlalu tinggi posisinya, anda mungkin sukar melihat panel meter tersebut.

Sama seperti skrin infohibur, skrin kluster digital ini juga memaparkan pergerakan grafik yang agak lambat untuk sebuah kereta moden.

Ia masih lagi menawarkan paparan meter stail analog, namun dengan antara muka yang lebih ringkas.

Biarpun datang dengan rekaan roda stereng yang tidak simetri, Peugeot 408 masih lagi menawarkan respons pengendalian yang secukup rasa, tidaklah terlalu sporti namun masih lagi sedap untuk dinikmati terutama apabila bertembung dengan selekoh.

Aspek gantungan Peugeot 408 yang terdiri daripada topang MacPherson dan multilink di belakang itu memadai apabila kereta ini dipandu pada permukaan jalan yang mahal buatannya di mana olengan badan dirasakan pada tahap yang boleh diterima. Almaklumlah, kereta tinggi.

Musuh utama Peugeot 408 ialah permukaan jalan raya yang tidak rata, terutama apabila bertembung dengan lubang jalan serta tahi simen.

Lebih menjengkelkan apabila kita sedang sedap layan selekoh, ada lubang atau tahi simen bertompok di atas jalan di mana sedan ini amat senang untuk meloncat dan ‘keluar dari landasan’ yang ditetapkan oleh pemandu.

Tidak semua perkara negatif dirasakan pada Peugeot 408 ini.

Yang paling dihargai ialah aspek NVH ruang kabin yang agak baik, di mana sebarang kekasaran dan bunyi bising enjin berjaya ditapis dengan baik supaya tidak mengganggu ketenteraman pemandu dan penumpang sepanjang perjalanan.

 

Praktikal

Peugeot 408 GT masih lagi menawarkan ruang kabin yang praktikal untuk seisi keluarga, biarpun kini dengan bentuk badan crossover sedan yang agak berani itu.

Seperti contoh pada konsol tengah, terdapat slot khas untuk pengecasan peranti pintar tanpa wayar, diikuti ruang di bawah untuk meletakkan peranti pintar lain dan ada lubang khas yang boleh digunakan untuk meletakkan peranti SmartTag.

Tuil transmisi yang comel itu turut menyumbang kepada ruang kabin yang lebih luas.

Terdapat juga ruang storan di bawah tempat merehatkan tangan di tengah dengan bukaan terpisah, sementara untuk keselesaan penumpang belakang terdapat corong pendingin hawa baris kedua disediakan.

Walaupun dari luar nampak macam sempit, ruang kabin Peugeot 408 sebenarnya menyediakan ruang kepala dan ruang kaki yang cukup selesa untuk penumpang dewasa.

Cuma, struktur cermin belakang yang agak kecil itu menyukarkan mana-mana pemandu olskool untuk memandang ke belakang sewaktu meletakkan kereta dalam kotak parkir.

Mujur juga Peugeot 408 ini ada kamera keliling 360 darjah yang cukup jelas untuk kita memerhatikan kehadiran bendasing yang wujud di persekitaran.

Tidak cukup dengan itu, Peugeot 408 menawarkan kapasiti ruang kargo sebesar 536 liter, dan boleh mencapai sehingga 1,538 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

 

Harga yang… agak mahal

Disebalik rupa paras yang berani dan ciri-ciri yang serba moden disebutkan tadi, seperkara yang membuatkan Peugeot 408 ini nampak tidak menyelerakan ialah tanda harga yang ditetapkan.

Untuk pasaran Malaysia, anda boleh dapatkan Peugeot 408 versi asas Allure dengan harga jualan bermula dari RM146,055.

Kedengaran munasabah bukan?

Cuma, untuk varian GT yang dilengkapi dengan tambahan ciri yang lebih premium, harga jualan yang ditetapkan ialah bermula dari RM196,055.

Geng baik beli mungkin akan mencadangkan supaya lebih baik tambah duit sikit dan beli sedan segmen D yang jauh lebih besar dan selesa.

Sebab itu penulis lebih gemar untuk mengulangi hujah yang disebutkan di awal penulisan, “Peugeot 408: Sebuah ‘Singa Perancis’ untuk Sang Pemberani”.

 

Spesifikasi Peugeot 408 GT

Enjin: empat silinder sebaris 1.6 liter turbo
Kuasa: 218 hp @ 5,750 rpm, 300 Nm @ 2,000 rpm
Transmisi: Automatik 8-kelajuan
Pacuan: Roda depan
Suspensi: Topang MacPherson/Multilink
Saiz tayar: 245/40 R20
Harga: RM196,555 OTR

4 benda yang tak syok tentang Range Rover Evoque facelift

SEJAK memasuki pasaran buat pertama kali pada 2011, Range Rover Evoque telah diangkat menjadi ikon SUV premium terutamanya dalam kalangan pemandu wanita.

Jika anda fikirkan, Evoque boleh dikatakan tidak ubah seperti sebuah beg tangan mewah. Ia bukan sahaja cantik dan menarik perhatian, tetapi juga praktikal dan mempunyai banyak kegunaan. Mungkin faktor ini yang menjadikannya cukup popular dalam pasaran.

Evoque kini berada dalam generasi keduanya dengan casis, reka bentuk dan teknologi yang lebih baik. Versi facelift yang dilancarkan di Malaysia awal tahun ini membawakan penampilan yang lebih tajam serta ruang kabin yang lebih minimalis.

Dalam erti kata lain, ia kini menjadi penawaran yang lebih menggoda berbanding sebelum ini. Namun bagi penulis, SUV ini masih mempunyai beberapa kelemahan kecil:

Ruang kabin

Evoque merupakan sebuah SUV bersaiz kompak dan ini boleh dilihat dengan jelas pada ruang dalamannya yang agak kecil terutamanya pada bahagian belakang. Untuk dua orang penumpang dewasa masih lagi selesa namun untuk tiga orang, anda akan mula terasa sempit.

Untuk ruang but pula, 591 liter memang kedengaran besar tetapi di dalam Evoque, ia tidak terasa begitu luas. Jelas, ia bukan kenderaan yang sesuai untuk mereka yang mempunyai keluarga besar.

Sistem infohibur Pivi Pro

Selain rekaan ruang dalaman yang lebih ringkas dan minimalis, kemas kini pada awal tahun ini memberikan Evoque skrin sentuh baharu berukuran 11.4 inci.

Ia memberikan pengguna akses kepada sistem infohibur Pivi Pro yang kelihatan cukup cantik pada pandangan mata tetapi sayangnya operasinya tidaklah begitu lancar. Jika dibandingkan dengan sistem infohibur daripada jenama-jenama Jerman, ia agak mengecewakan.

Selain itu, pengguna juga perlu mengawal suhu dan kelajuan kipas sistem pendingin hawa menerusi skrin sentuh berkenaan. Ini sudah tentu akan mengganggu tumpuan pemandu.

Enjin Ingenium petrol

‘Nadi’ Evoque adalah enjin Ingenium 2.0-liter empat silinder turbo yang dipadankan dengan transmisi automatik sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda.

Enjin tersebut menjana 249 PS pada 5,500 rpm dan 365 Nm tork dari 1,300 hingga 4,500 rpm. Angka ini sebenarnya tidaklah terlalu tinggi tetapi tidak juga rendah namun sepanjang memandu Evoque, penulis dapat merasakan ia kurang responsif dan hanya bertindak balas dengan kadar segera sekiranya pedal pendikit dipijak dengan agresif.

Tahap penggunaan bahan api

Dengan pemanduan yang agak agresif untuk ‘menggerakkan’ Evoque, enjin Ingenium itu menunjukkan kadar penggunaan bahan api yang agak tinggi untuk penggunaan di bandar dan lebuhraya.

Sepanjang beberapa hari memandunya, penulis hanya mampu mencapai bacaan sekitar 10.3 hingga 10.5 liter bagi setiap 100 km. Boleh tahan tinggi juga tetapi perlu diingat yang Evoque mempunyai berat sekitar 1.8 tan dan pacuan AWD.

MINI Countryman S Electric 2024 lebih moden dan mesra alam, kekal bergaya dan sporti

JIKA anda seorang yang mementingkan gaya dan mencari sebuah kereta sebagai ekspresi diri anda, maka MINI antara kenderaan sesuai yang boleh dipertimbangkan.

Ini kerana warisan MINI sejak dahulu lagi terkenal dengan gaya yang ranggi, selain pemanduan sporti yang sepadan dengan imej yang dibawa.

Elemen ini dibawakan dalam barisan model-model terkini MINI seperti Countryman S Electric ini. Ia kekal ranggi dan mempunyai pemanduan sporti seperti go-kart, tetapi dikemaskini menjadi lebih moden.

Bahan mesra alam

Menariknya untuk generasi terbaharu, MINI Countryman S Electric menampilkan fabrik dari bahan-bahan kitar semula yang berkualiti tinggi, seperti boleh dilihat pada papan pemuka dan panel pintu. Fabrik ini juga dijahit dengan teknik 2D yang unik.

Hasilnya, permukaan fabrik ini tampil berbeza, tetapi bergaya, dengan rasa yang unik bila disentuh. Kesemua ini menyumbang kepada pengalaman tersendiri bila berada dalam MINI Countryman.

Bercakap mengenai pengalaman, permukaan fabrik di papan pemuka juga menjadi ‘kanvas’ untuk nyalaan lampu berbeza apabila anda menukar MINI Experience Modes yang berbeza.

Jika anda rasa fabrik bergaya ini susah dijaga, jangan risau kerana menurut MINI, bahan ini mudah dicuci. Jadi, anda tidak perlu risau membawa penumpang kanak-kanak bersama MINI Countryman.

Teknologi moden dengan rupa klasik

MINI Countryman S Electric telah dimodenkan dengan paparan OLED Display bulat yang pertama dalam mana-mana kereta.

Skrin resolusi tinggi ini bukan sahaja berfungsi memaparkan pelbagai maklumat dan informasi dengan jelas, tetapi penampilannya merupakan gandingan sempurna untuk gaya ranggi keseluruhan MINI.

Selain itu, paparan OLED ini mengandungi MINI Experience Modes yang terdiri dari pelbagai tema seperti Vivid, Core, Go-Kart, Timeless, Balance, Trail, dan Personal. Setiap tema ini memberikan anda suasana dan pemanduan berbeza untuk disesuaikan dengan mood anda.

Sebagai contoh jika anda penat balik bekerja, anda masuk mod Balance untuk merelakskan diri. Atau bila anda mahu feeling vintaj dan retro, anda boleh guna mod Timeless dan terdapat paparan meter dari MINI Cooper klasik zaman Mr. Bean. Malah, terdapat juga bunyi MINI klasik itu dikeluarkan dari sistem audio!

Lincah seperti go-kart

Tidak sah untuk sebuah MINI jika tidak mempunyai pengendalian dan rasa stereng seperti go-kart. Begitu juga dengan MINI Countryman S Electric baharu ini, walaupun ia lebih besar dari model sebelumnya, malah merupakan model MINI paling besar pernah dihasilkan, ciri pemanduan go-kart tidak dilupakan.

Sistem suspensi dan stereng telah dikalibrasi untuk memberikan respon yang lincah dan tepat. Dipadankan dengan rim stereng yang tebal, seolah-olah mengajak anda untuk memandu Countryman S ini.

Ditambah pula dengan output 313PS dan 494Nm tork dari dua motor elektrik (satu di gandar depan, dan satu di belakang), pacuan semua roda ALL4 menjanjikan pecutan serta-merta dan mengujakan. Prestasi 0-100 boleh dicapai dalam 5.6 saat sahaja, membuatkan anda tersenyum setiap kali memecut dari lampu isyarat atau plaza tol.

Secara keseluruhan, pecutan super-responsif dari sistem janakuasa elektrik dan talaan stereng serta suspensi menjadikan MINI Countryman S seperti sebuah go-kart lima tempat duduk yang anda boleh kongsikan dengan keluarga dan rakan-rakan.

Anda tidak sabar untuk mencari selekoh untuk memastikan sistem regenerative memperlahankan kenderaan kemudian menikmati pengendalian sporti, sebelum memecut semula keluar selekoh dengan bersahaja.

Seperti kenderaan elektrik lain, pek bateri 66.5kWh pada Countryman S Electric ini terletak di bawah casis, jadi ini merendahkan pusat graviti seterusnya menambahkan kestabilannya dalam semua situasi pemanduan.

Bergaya, seronok dipandu, dari RM2,777 sahaja sebulan

Secara keseluruhan, penulis memang senang hati meluangkan masa memandu uji MINi Countryman S Electric baharu ini. Ia bergaya dan menarik perhatian, kemudian senang pula dipandu sama ada dalam kesesakan trafik atau di lebuh raya.

Oh ya, mahu masuk ke tapak perkhemahan atau pantai pun tiada masalah, memandangkan Countryman mempunyai jarak kelegaan tanah lebih tinggi selain gaya rugged di bampar dan skirt sisi.

Countryman juga mampu menjadi sebuah kenderaan yang menambahkan keceriaan dan kegembiraan anda dalam kehidupan seharian. Memandu tidak semestinya membosankan dan memenatkan.

Dengan bahan-bahan lestari dalam kabin dan sistem kuasa elektrik yang mampu pergi sehingga 433km setiap cas, anda tahu bahawa anda membantu menjaga alam sekitar secara tidak langsung.

Berminat memandu uji MINI Countryman S Electric baharu? Anda boleh lawati mana-mana bilik pameran MINI seluruh negara. Countryman ini boleh menjadi milik anda dengan Easy Drive Financing dari RM2,777 sahaja sebulan. Untuk masa terhad, anda juga layak mendapat pengecas Wallbox percuma.

MINI Cooper Electric juga boleh dimiliki dengan Easy Drive Financing dari RM2,021 sebulan berserta pemasangan Wallbox percuma.

Sebarang maklumat lanjut mengenai MINI di Malaysia, anda boleh ikuti laman sosial mereka seperti berikut:

Instagram: mini_malaysia
FB: https://www.facebook.com/MINImalaysia
Youtube: https://www.youtube.com/@minimalaysia/featured

Tekan di sini untuk tempah sesi pandu uji anda sekarang.

3 benda kurang ngam dengan Honda WR-V RS – Pandu uji

HONDA WR-V bukanlah model yang baharu, malah sudah hampir dua tahun dalam pasaran Malaysia. Ia menjadi pengganti Honda BR-V walaupun bukan model dalam segmen yang sama.

Tetapi dari barisan Honda Malaysia, selepas ketiadaan BR-V yang merupakan crossover/MPV tujuh tempat duduk, slot ini diisi oleh WR-V yang merupakan crossover kompak lima tempat duduk. Ini sekaligus meletakkan Honda sebagai pesaing kepada Perodua Ativa.

Kami telah pun memandu uji WR-V RS sebelum ini, tetapi artikel kali ini lebih kepada menyenaraikan perkara yang kami kurang sukai mengenainya. Jom lihatkan tiga perkara utama kurang ngam berkenaan WR-V RS.

1. Kabin potong ‘stim’

Jika dilihat dari rupa luaran Honda WR-V ini, nampak sporti dan premium terutamanya dengan varian RS. Tetapi bila mula-mula masuk ke dalam, rasa sedikit kecewa. Entah kenapa, tapi kabinnya seperti ‘kosong’.

Bila diteliti balik, sebenarnya okay sahaja untuk harga ini. Cuma mungkin penulis terbawa-bawa dengan kecantikan badan luaran, jadi penulis dapat harapan tinggi untuk bahagian dalaman.

Banyak plastik keras pada papan pemuka dan panel pintu, tetapi terdapat elemen hitam glos dan merah dengan balutan kulit lembut di papan pemuka bahagian kiri, sedikit sebanyak menyerikan pemandangan.

Jelas kabin WR-V ini setaraf dengan City walaupun tidak serupa sepenuhnya. Jika dibandingkan, kabin HR-V lebih mempunyai rasa ‘wow’, setaraf dengan Civic. Tetapi harga pun dah jauh berbeza, bukan.

2. Pemanduan tak sepadan nama RS

Apa yang anda bayangkan bila terlihat nama RS pada sesebuah kereta? Racing? Sporti? Ya, penulis pun sama.

Tetapi pemanduan Honda WR-V ini tidak menggambarkan lencana RS yang dipakainya. Bukanlah penulis mengharapkan pemanduan seperti Civic Type R, cuma mungkin boleh tala suspensi dan sterengnya untuk lebih tepat dan jitu.

Atau mungkin maksud RS bagi Honda Malaysia berbeza untuk WR-V ini, bukannya ke arah mutorseport… Jika dilihat pada rupa paras dan kemasan, boleh dikira sepadan dengan nama RS.

Malah, kami juga faham kepada siapa WR-V RS ini disasarkan. Lebih kepada keluarga kecil yang mahukan kenderaan praktikal dan selesa, tetapi disulami elemen dan imej sporti.

Enjin 1.5-liter i-VTEC membekalkan 119hp dan 145Nm tork, lebih dari mencukupi untuk kegunaan harian. Kotak gear CVT pula cukup cekap dan responsif, masih antara yang terbaik dalam segmennya.

Kombinasi enjin 1.5 i-VTEC dengan CVT ini memberikan penjimatan bahan api yang cukup baik, sekitar 13.5km per liter mengikut ujian penulis.

3. Skrin infotainment jimat kos

Yang ketiga dan terakhir ialah skrin infotainment Honda WR-V RS ini yang seperti jimat kos. Entah mengapa, penulis rasa pada harga antara RM89,999 hingga RM107,900 untuk RS ini, skrinnya patut mempunyai resolusi dan paparan lebih baik.

Penulis tidak pasti apa sebenarnya yang perlu ditambah baik, penulis bukannya jurutera bahagian ini. Tetapi seolah-olah kurang nilai di sini. Sebagai contoh, paparan undur sekadar cukup-cukup sahaja, hanya dengan garisan statik untuk panduan.

Tiada masalah dari segi saiz skrin, boleh dikatakan memadai. Kelengkapan juga cukup baik, ia didatangkan dengan sambungan Apple Carplay dan Android Auto, dua soket USB, dan barisan ciri keselamatan Honda Sensing.

Baiklah, cukup rasanya tiga perkara utama berkenaan Honda WR-V RS ini. Jika kita senaraikan lebih-lebih perkara tidak disukai, nanti marah pula geng-geng H di sini.

Di bahagian lain, banyak lagi perkara yang WR-V ini cemerlang seperti kabin yang luas untuk segmen ini dan kelengkapan keselamatan yang cukup lengkap. Pakej pada WR-V menunjukkan Honda Malaysia sangat memahami pasaran dan keperluan pasaran negara ini.

Anda boleh baca laporan penuh pandu uji kami di sini.

Ini 5 benda kami tak suka tentang BYD Seal

Pasaran kenderaan elektrik (EV) di Malaysia semakin lama semakin hangat dengan kehadiran pelbagai model menarik dari serata dunia.

Pada pengamatan penulis, dua jenama EV yang sering menjadi topik bualan ketika ini adalah Tesla dan BYD. Tesla menandakan kemasukannya ke pasaran tempatan menerusi pelancaran Model 3 facelift pada Oktober tahun lalu.

Sementara itu, BYD pula telah membawa masuk tiga model EV setakat ini, dengan Seal sebagai penawaran terbaru yang akan bersaing secara terus dengan Model 3 yang cukup popular itu.

Ketika memandu ujinya tempoh hari, penulis mendapati Seal mempunyai ramuan yang tepat untuk memberikan saingan sengit kepada lawannya itu namun seperti kebanyakan kereta lain, ia masih mempunyai beberapa kelemahan.

Berikut adalah lima perkara yang penulis tidak suka tentang Seal:

Terlalu banyak lencana

Rasanya tidak keterlaluan jika penulis katakan yang Seal adalah kereta yang paling segak dalam segmennya, dengan bentuk sedan empat pintu sporty yang diserlahkan lagi dengan garisan karakter yang kuat, rim 19 inci dan diffuser belakang.

Bagaimanapun, mungkin kerana inginkan orang tahu yang kereta ini adalah buatan BYD, syarikat itu meletakkan dua tulisan ‘BYD’ pada tailgate. Bukan itu sahaja, terdapat juga tulisan ‘3.8s’ di bawah ‘BYD Seal’, iaitu masa yang diambil untuk pecutan 0-100 km/j. Ini sebenarnya tidak perlu kerana entah bagaimana ia membuatkan Seal nampak murah.

Bumbung panoramik besar tapi…

Seal didatangkan standard dengan bumbung suria panoramik yang besar. Ia memberikan pemandangan yang cantik pada waktu malam namun pada waktu siang ketika matahari berada tegak di atas kepala, ruang kabin boleh menjadi agak panas. Terasa seperti tiada sebarang perlindungan UV atau filem penebat haba langsung.

Lebih pelik lagi, kereta ini tidak mempunyai penghadang cahaya matahari automatik seperti kebanyakan kereta yang mempunyai sunroof. Sebaliknya, BYD memberikan dua pelapik yang perlu dipasang secara manual. Untuk kereta yang berharga hampir RM200,000, ini sesuatu yang menjengkelkan.

Canggih sangat pun susah juga

Penulis faham, bagi menghasilkan rekaan ruang kabin yang kemas dan teratur, pengeluar cuba untuk mengurangkan bilangan butang dan tombol fizikal sebanyak mungkin, dan mengintegrasikan fungsi-fungsi tersebut ke dalam sistem infotainmen.

Namun pengeluar perlu tahu bahawa tidak semua benda perlu didigitalkan. Sebagai contoh, sistem pendingin hawa. Di dalam Seal, bukan suhu dan kelajuan kipas sahaja yang perlu dikawal menerusi skrin sentuh, malah corong juga perlu dilaras menggunakan kaedah yang sama.

Pengecasan tak cukup pantas

Seal dibangunkan menggunakan seni bina 800V yang biasa digunakan pada model-model EV mewah namun entah mengapa ia hanya mendapat pengecas pantas sehingga 150 kW sahaja.

Untuk pengecasan AC pula, ia hanya mampu menyokong sehingga 7 kW yang mengambil masa kira-kira 15 jam untuk pengecasan penuh. Sedangkan di Eropah model ini didatangkan dengan pengecas AC 11 kW.

Ruang but yang agak kecil

Seal mempunyai ukuran yang lebih panjang dan lebar berbanding kebanyakan sedan segmen C namun ruang butnya agak kecil iaitu 400 liter sahaja. Ada ruang simpanan tambahan sebesar 53 liter pada bahagian depan namun ia tidaklah seluas mana.

Untuk perbandingan, ruang but Model 3 adalah sebesar 682 liter manakala sedan segmen B iaitu Honda City pula mempunyai but sebesar 519 liter.