Arkib Kategori: MPV/SUV

Mercedes-AMG GLA35: Pau kari yang panas dan pedas – Pandu uji

JUJUR cakap, penulis tak pernah sukakan bentuk Mercedes GLA generasi H247 terbaharu ini. GLA kini dalam generasi kedua, menggantikan generasi X156 sebelum ini.

Bagi penulis, Mercedes GLA yang dulu lebih unik dan berkarakter, dengan rekaan lebih menarik. Cuma ramai yang merungut ruangan dalam kurang memuaskan terutamanya bahagian belakang, selain kualiti ride yang agak ‘keras’ bagi sebuah Mercedes.

Jadi secara dasarnya Mercedes GLA terbaharu akan menyelesaikan masalah itu dengan kabin lebih besar serta pemanduan lebih selesa. Cuma pengorbanannya ialah rekabentuk lebih bulat yang lebih feminine.

Tetapi unit pandu uji yang kami ingin ceritakan ini bukanlah GLA biasa, sebaliknya Mercedes-AMG GLA35 4Matic. Ia merupakan versi paling berkuasa untuk model pasaran Malaysia dengan 302hp dan 400Nm serta kemampuan memecut dari pegun ke 100km/j dalam 5.2 saat.

Anda tidak salah baca. Ya, sebuah crossover keluarga kini mempunyai pecutan lebih pantas dari Honda Civic Type-R FK8 yang merupakan hatchback sports yang begitu fokus.

Pau kari yang panas dan pedas

Penulis kata Mercedes-AMG GLA35 ini ibarat pau kari yang panas dan pedas kerana bentuknya bulat seperti pau, tetapi sangat berkuasa; maka ia panas dan pedas. Boleh terima?

Dari sudut prestasi, GLA35 ini cukup berkebolehan dan hardcore dari segala segi. Ia mempunyai enjin M260 4-silinder yang berkapasiti 2.0-liter. Dengan twin-scroll turbocharger, enjin ini berjaya memerah sehingga 302hp seperti yang disebut tadi.

Malah, enjin ini penulis rasakan bertekanan tinggi jadi ia agak panas, boleh dirasa semasa kereta duduk melahu atau idling. Ia panas seolah-olah harimau yang sedang bernafas, sedia menerkam mangsanya.

Enjin sebegini juga adalah jenis sensitif dengan segala tekanan dan minyak serta bendalir, jadi anda tidak mahu culas bab penyelenggaraan. Tetapi jika dijaga rapi, ia akan ‘menghadiahkan’ anda dengan ledakan kuasa yang mampu membuatkan penumpang anda cemas semasa memecut.

Ia pantas, dan ditemani dengan bunyi garang identiti AMG berserta letupan kecil setiap kali transmisi Speedshift dwi-klac 8-kelajuan naik dari satu gear kepada gear seterusnya. Ia terus menerus melontarkan anda ke depan sehingga anda sampai selekoh atau sehingga anda rasa tidak mahu menambah angka di speedometer.

Mercedes-AMG GLA35 4Matic ini juga seperti pada namanya (4Matic) mempunyai sistem pacuan semua-roda AWD bagi memastikan output dari enjin dapat disampaikan sebaiknya ke permukaan jalan.

Sistem ini secara aktif mengagih kuasa dari depan ke belakang atau kiri ke kanan mengikut situasi pemanduan sama ada anda memecut selepas lampu isyarat bertukar hijau atau memecut keluar selekoh walaupun stereng belum lurus sepenuhnya.

Seterusnya jika anda lihat tayar Continental SportContact 6 dengan profil gemuk 255/40 yang membaluti rim 20-inci serta rupa cakera breknya pun, anda akan tahu bahawa prestasi SUV ini ‘bukan biasha-biasha’.

Beberapa perincian luaran lain yang menampakkan bahawa GLA35 ini jentera istimewa ialah gril depan dengan bilah menegak, rim 20-inci berwarna gelap, ekzos berkembar, dan spoiler kecil dengan sudut agresif di hujung bumbung belakang.

Nampak mahal dan banyak benda tersorok

Baik, Mercedes-AMG GLA35 ini boleh menjadi milik anda dengan harga RM345,048 dan sebenarnya agak sukar untuk menjusifikasikan jentera ini tanpa anda membeleknya dengan teliti. Atau mencuba pandu uji sendiri.

Bila anda lihat GLA35 ini dengan lebih dekat, satu per satu detik anda akan perasan kemana duit anda pergi.

Bahan-bahan yang digunakan pada keseluruhan kereta ini terasa premium dan berkualiti tinggi, walaupun GLA merupakan antara model entry level dalam Mercedes. Tetapi langsung tiada mana-mana bahagian terasa murah. Dan ini juga pasti jauh lebih baik daripada GLA lama.

Duduk sahaja di tempat pemandu, fuh, hampir seperti dalam jentera lumba Mercedes-AMG GT3. Dengan stereng balutan kulit siap dengan penanda merah di jam 12, dan turut menambah rasa premium adalah bahagian paddle shifter dan bilah stereng yang diperbuat dari bahan seperti machined aluminium.

Bila terkena udara pendingin hawa, anda boleh rasa bahagian ini sejuk. Ini memberikan kontra yang menarik untuk stereng kulit AMG Performance itu.

Stereng ini juga mempunyai butang kawalan dan panel sesentuh seperti Mercedes biasa, tetapi khas untuk model AMG ialah butang rotary di bucu kanan bawah stereng untuk penukaran mod-mod pemanduan. Butang ini juga merupakan satu skrin yang memaparkan mod yang anda pilih.

Perincian yang nampak mahal.

Kemudian di bucu kiri pula terdapat lagi beberapa butang kecil untuk tetapan casis dan suspensi, dengan ikon spring. Bolehlah untuk kita acah-acah sedang melaras tetapan jentera lumba GT3.

Seterusnya anda akan perasan bahawa tema kokpit GLA35 ini adalah hitam dan merah. Hitam pada balutan kulit dan sebahagian kecil plastik, kemudian jahitan merah, termasuk warna tali pinggang keledar. Mengingatkan anda ianya jentera yang serius, tetapi masih mewah.

Penulis juga cukup suka dengan beberapa kemasan sporti seperti gentian karbon pada papan pemuka dan tempat duduk balutan Dinamico yang seperti Alcantara. Kemudian seperti Mercedes lain, GLA35 turut mendapat gugusan corong pendingin hawa yang cantik dan skrin melintang yang moden.

Masih ada juga pencahayaan ambien dengan 64 warna, dan skrin melintang tadi mampu memaparkan pelbagai maklumat relevan kepada jentera AMG GLA35 ini seperti peratusan kuasa dan boost turbo, meter tekanan G, suhu minyak enjin, suhu kotak gear, tekanan tayar, dan banyak lagi kandungan di bawah menu AMG Performance.

Dari sini anda semakin sedar tentang justifikasi harga premium tadi.

Berbaloi?

Untuk pembelian jentera prestasi tinggi sebegini, kita tidak perlu alasan berbaloi untuk wang. Ia bukan seperti membeli sedan segmen-B bawah RM100,000.

Sebaliknya, kita nilaikan perasaan kita memandu dan duduk di dalam Mercedes-AMG GLA35 ini. Dan walaupun ia bukan AMG 63 dengan 4.0 V8, GLA35 masih AMG sebenar yang mampu memberi debaran dan senyuman bila diperlukan.

Suspensi adaptif padanya dan pelbagai pilihan mod membolehkannya dipandu dengan selesa untuk ke kedai runcit, tetapi 80 peratus darinya anda mahu pandu ia dalam mod Sport. Ia akan sentiasa ringan, bertenaga, bersedia untuk pergi. Ia menjadi sensitif dan memprovokasi anda untuk menambah kelajuan.

Dan dari situ, ia meninggalkan kesan dan memori tentang prestasi yang mampu ditawarkan, jadi semua itu sahaja cukup untuk membuatkan anda mengorek tabung simpanan untuk menyambar jentera ini.

Spesifikasi Mercedes-AMG GLA35 4Matic

Harga: RM345,048
Enjin: 2.0-liter turbo 4-silinder
Kotak gear: AMG Speedshift 8G dwi-klac 8-kelajuan
Kuasa: 302hp @ 5,800rpm
Tork: 400Nm @ 3,000

Honda HR-V 1.5 Turbo semakin garang dan berani – Pandu uji

BILA kami siarkan beberapa gambar Honda HR-V baharu ini bersama penulisan pendek di Facebook, kami perasan rata-rata tidak menggemari rupa dan penampilan SUV ini. Ada yang berkata bongkok, lampu belakang penyet, dan lebih menggemari rupa bentuk HR-V generasi sebelum ini.

Hairan juga. Ya betul, kecantikan itu sesuatu yang subjektif dan “beauty is in the eye of the beholder” bak kata pepatah orang putih. Tapi bagi penulis, penggayaan Honda HR-V generasi inilah paling kemas setakat ini.

Sporti tanpa terlalu mencuba

Bagi penulis, Honda HR-V generasi baharu ini engan garis-garis lurus, lampu depan dan belakang nipis, tampil cukup moden malah dapat dirasakan sedikit elemen ‘Eropah’ padanya.

Gabungan gril depan dan lampu sepet membuatkan HR-V lebih serasi dengan bahasa rekaan model-model global Honda terkini. Kemudian lampu belakang dengan elemen tiga dimensi dan light bar yang memanjang ke tengah lalu bertemu di lencana, memang cantik dan begitu dinamik.

Pelengkap kepada gaya luaran ini adalah rim hitam 17-ini berwarna hitam serta ekzos berkembar. Honda semakin berani bawakan imej sporti pada model-model seperti HR-V dan Civic 1.5 RS yang mendapat rim hitam, kena dengan jiwa penulis. Tak perlu tukar rim selepas tiga bulan beli kereta.

Dan ekzos berkembar juga memang kena dengan gaya keseluruhan kereta ini. HR-V lama ada ekzos berkembar? Tak ada, bukan. Dan anda semua lihat sahaja HR-V 1.5 Turbo berwarna Meteoroid Grey ini, garang habis.

Oh ya, penulis suka juga sentuhan perincian seperti grafik seolah-olah graf di bahagian bawah gril depan. Menurut Honda, ia merujuk kepada slogan Amp Up Your Life. Gimik atau apa-apa sajalah, tetapi ia memang unik.

Cuma pembuka pintu belakang yang tinggi itu tetap menjadi masalah untuk anak kecil membukanya. Tetapi kita sebagai orang dewasalah yang sepatutnya tolong, bukan? Dan ini juga salah satu ‘pengorbanan’ untuk kita dapat kereta yang berupa sporti.

Kabin tipikal Honda, tapi lebih umph

Kabin tipikal Honda di sini bermaksud ia tetap luas dan mementingkan penumpang dalam. Rekaan papan pemuka dan konsol tengah kini mendapat garis dan permukaan lurus menampakkannya lebih minimalis, moden, dan luas.

Tiada rungutan untuk penumpang depan dan belakang. Konsol tengah memakan ruang kaki sedikit untuk berikan rasa fokus kepada pemanduan, dengan tombol gear agak tinggi.

Cuma warna dalaman serba hitam mungkin nampak sedikit membosankan atau sempit untuk sesetengah orang. Bagi penulis, ia padan dengan mood yang dipaparkan pada rupa luaran, jadi tiada perubahan perasaan bila masuk ke dalam.

Lebih umph pula bermaksud kini terasa semakin premium secara keseluruhan. Sebagai contoh, corong pendingin hawa disepadukan dengan corong mendatar di sepanjang papan pemuka, walaupun bahagian keluar udara masih kecil seperti biasa.

Kemudian rasa kualiti sentuhan butang-butang dan tombol juga lebih baik dari HR-V generasi sebelum ini. Anda cuba sahaja pulas butang pelaras pendingin hawa, fuh puas hati betul. Ada kereta lebih RM150,000 pun tidak rasa sesedap ini.

Dan penulis paling suka sistem peresap udara atau Air Diffusion System, dan HR-V menjadi model Honda pertama dilengkapkan dengan benda alah ini. Sistem ini membolehkan anda melaras aliran udara dari pendingin hawa sama ada mahu udara lurus terus, atau dikitarkan secara menyeluruh dalam kabin.

‘Pergi’ sepadan dengan rupa

Honda HR-V kali ini bukan sekadar gaya, tetapi mampu dipandu sama seperti rupa yang dibawakannya. Buat pertama kali juga, HR-V mendapat pilihan enjin 1.5 turbo seperti yang kami pandu uji ini.

Ianya enjin yang terbukti, sudah dipakai pada CR-V dan Civic FC sejak 2016. Jika dulu enjin ini menerima pandangan skeptikal rakyat Malaysia dan Geng Baik Beli, “Boleh ke bawa body besar”, “Boleh ke panjat Genting”. HR-V pula keluar di zaman enjin 1.5 VTEC Turbo ini sudah mendapat kepercayaan.

Ia mempunyai output 174hp dan 240Nm, sedangkan CR-V yang besar pun tiada masalah, apalah sangat HR-V segmen-B ini. Dan ia sebenarnya menjadikan HR-V lebih mengujakan dipandu dan lincah dalam kebanyakan keadaan.

Ditambah pula dengan adanya mod pemanduan; Normal dan Sport menjadi kegemaran penulis, mengikut kesesuaian. Kotak gear CVT pula boleh dikatakan antara paling baik dalam segmennya.

Hampir tidak terasa rubber band effect, seolah-olah tiada pembaziran kuasa. Jika 174hp dibekalkan, dirasakan seperti kesemua 174hp itu sampai ke tayar, untuk ‘melonjakkan’ kereta ke depan.

Penulis juga cukup seronok bermain dengan paddleshifter HR-V 1.5 Turbo ini. Ia berjaya ‘meniru’ kesan pertukaran gear automatik torque converter, sama ada dalam upshift semasa memecut atau downshift semasa membrek.

 

Kemudian bila anda dalam mod pertukaran gear secara manual dan mod Sport, ‘gear’ akan kekal di situ selagi anda tidak menarik mana-mana paddleshifter kiri atau kanan. Karakter ini biasanya ada pada kereta sports sebenar atau kereta yang lebih premium dimana kotak gear tidak tergesa-gesa mahu kembali ke mod automatik.

Ini secara tidak langsung menjadikan paddleshifter Honda HR-V 1.5 Turbo ini lebih bermakna, bukan hiasan sekadar modal sembang kedai kopi semata-mata.

Oh ya, walaupun boleh dikatakan laju dan bertenaga, ia tetap sebuah enjin yang senyap dalam keadaan pemanduan biasa.

Kesimpulannya, Honda HR-V baharu ini masih membawakan elemen yang disukai pemilik HR-V sebelum ini iaitu ruang yang luas dan praktikal, tetapi kini telah disuntik elemen premium, minimalis, dan sporti. Dan kami rasa ianya pakej yang akan disambut baik oleh pemilik serta peminat Honda.

Spesifikasi Honda HR-V 1.5 Turbo V

Harga: RM134,800
Enjin: 1.5-liter 4-silinder VTEC Turbo
Kotak gear: CVT
Kuasa: 178hp @ 6,000rpm
Tork: 240Nm @ 1,700-4,500rpm

Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid SUV terpaling alim! – Pandu uji

DALAM sesuatu segmen kenderaan, pasti ada model yang menyerlah. Mungkin disebabkan rupa yang sporti dan agresif, atau kerana harga sangat berbaloi, atau boleh jadi kerana sebab apa pun.

Untuk Toyota Corolla Cross ini, ia sedikit ‘play safe’, malah mungkin terlebih sampaikan brek parkir pun masih perlu tekan di kaki macam Perodua Alza 2009!

Corolla Cross berada dalam segmen SUV B atau B+, bersama model-model seperti Proton X50, Honda HR-V, Hyundai Kona, dan Peugeot 2008. Jadi dengan melihatkan model-model ini, sudah nampak betapa konservatifnya Corolla Cross.

SUV yang alim?

Konservatif tidak semestinya ia membosankan atau tidak menarik. Toyota Corolla Cross Hybrid ini masih seronok dipandu dan jika betul-betul ‘disesah’ di selekoh, akan menurut peritah anda dan menakluki selekoh itu dengan bersahaja.

Ini kerana Corolla Cross dibina pada pelantar Toyota New Global Architecture (TNGA), lebih tepat lagi TNGA-C. Ya, pasti anda yang mengikuti perkembangan automotif sudah lali dengar istilah TNGA ini. Penulis tak mahu cerita mendalam bab ini, anda Google sendiri.

Secara asasnya, pelantar TNGA membolehkan kereta-kereta Toyota sekarang mempunyai kabin luas, rasa pemanduan mantap dan ‘solid’, serta pada masa yang sama, selamat.

Cuma bab alim di sini adalah dari segi rekaan luar dan dalam. Segala garisan dan bentuk pada Corolla Cross ini nampak biasa dan seperti boleh dijangka, tiada kejutan.

Bentuk gril depan, lampu depan, garisan tingkap sisi, bumbung, segalanya sangat tradisional. Ibaratnya jika anda lihat bentuk bayang Corolla Cross ini, mirip dengan kebanyakan SUV sedekad yang lepas.

Pada penulis, sedikit elemen unik pada Corolla Cross ini adalah bentuk seakan ‘otot’ pada fender depan dan belakang. Nampak bergaya dan memberikan ilusi pemanduannya yang stabil dan sporti.

Corolla Cross, ambil hibrid atau tidak?

Ini antara soalan popular bila melihat pada Toyota Corolla Cross. Penulis pernah memandu kedua-dua varian iaitu 1.8V biasa (RM129,000) dan 1.8 Hybrid (RM136,500), dan penulis boleh katakan versi Hybrid lebih seronok dipandu.

Ini kerana anda dapat sistem hibrid yang membantu memberi kuasa tambahan pada masa enjin tidak berada pada output optima. Enjin 1.8-liter pada Corolla Cross Hybrid menjana 97hp dan 142Nm sahaja, tetapi motor elektrik memberi tenaga sokongan sebanyak 163Nm.

Pada saat anda mula bergerak, ia akan dipacu oleh motor elektrik jadi pecutan terasa bertenaga, responsif tetapi senyap. Ya, kerana enjin tidak hidup. Dan bila anda memerlukan kuasa maksima sebagai contoh hendak memotong, enjin dan motor elektrik akan bergabung memberikan output penuh.

Sistem hibrid padanya juga tidak memeningkan kepala kerana ‘bekerja’ di sebalik tabir sahaja. Komputer akan menentukan sendiri bila hendak menggunakan motor elektrik, bila hendak menggunakan enjin, atau bila perlu dicaj. Tugas anda hanya tekan pedal minyak.

Anda juga akan dapat penjimatan dengan hibrid, sepanjang beberapa hari penulis memandu, dengan mudah boleh dapat lebih 15km per liter. Dan ini untuk pemanduan biasa, ada kelajuan tinggi, bawa penumpang, dan melalui kawasan sesak.

Untuk perbandingan, jujur kata tak dapat dibuat kerana semasa penulis memandu uji versi 1.8V biasa, ia hanya dalam sesi media dan kami tidak berkesempatan membuat bacaan penggunaan bahan api.

Harus ditekankan juga walaupun Corolla Cross Hybrid mendapat banyak maanfaat hibrid seperti kabin yang lebih senyap, lebih penjimatan, dan pemanduan lebih menyeronokkan, ia tidak dikenakan ‘hukuman’ berat yang lebih tinggi.

Sebaliknya, versi Hybrid hanya 30kg lebih berat dari 1.8V biasa, bukannya tambahan beberapa ratus kilogram seperti kereta hibrid lain. Jadi ini sebenarnya satu pencapaian dari sudut kejuruteraan, bagi mereka yang faham.

Penulis faham bahawa ramai yang risau akan bateri, bila bercakap mengenai hibrid. Mudah sahaja, bateri sekarang teknologinya bukan seperti 10 atau 15 tahun dahulu. Bateri hari ini lebih ringan, lebih berkuasa, dan lebih tahan. Toyota juga memberikan jaminan 8 tahun untuk bateri Corolla Cross ini.

Jika anda sering terfikir untuk mencuba kenderaan hibrid, inilah masa paling sesuai.

Praktikal untuk kegunaan seharian

Toyota Corolla Cross mampu melaksanakan tugas seharian sebagai sebuah SUV yang sangat praktikal dan mudah dipandu.

Saiznya tidak terlalu besar, mudah untuk dikendalikan di kawasan bandar. Ia juga cukup senyap, menjadikan Corolla Cross Hybrid satu kenderaan ideal untuk perjalanan jauh bersama keluarga.

Bab keselamatan? Oh semua ada, jangan risau, Corolla Cross Hybrid dilengkapi dengan pakej Toyota Safety Sense. Kegemaran penulis adalah Dynamic Radar Cruise Control yang membuatkan perjalanan jauh kurang memenatkan, dan Lane Tracing Assist (LTA) yang boleh diakses dengan mudah di stereng.

Kesimpulan

Toyota Corolla Cross sebuah SUV yang ‘alim’, cukup sempurna untuk kenderaan harian dan hujung minggu. Ia menjimatkan bahan api, praktikal, dan seronok dipandu (dalam konteks SUV).

Cuma brek parkir kaki sahaja yang masih pelik bagi penulis.

Spesifikasi Toyota Corolla Cross 1.8 Hybrid

Harga: RM136,550
Enjin: 1.8-liter 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: e-CVT
Kuasa: 97hp @ 5,200rpm
Tork: 142Nm @ 3,600rpm
Output motor elektrik: 163Nm
Kapasiti bateri: 1.3kWh

Hyundai Kona N Line: “Tekan tekan preggy” versi Korea – Pandu uji

BEBERAPA tahun selepas pengenalan Perodua Ativa, bilangan pemilik semakin ramai dan group-group Facebook semakin aktif, banyak lah gelagat dan kerenah dapat kita lihat.

Selain seronok dan teruja dengan SUV berenjin turbo, timbul pula satu trend yang nampaknya telah menjadi meme, iaitu “tekan, tekan preggy”. Bunyi semacam?

Ayat ini kami percaya asalnya adalah “tekan, tekan pergi” untuk menunjukkan kemampuan pecutan Ativa yang mempunyai prestasi agak menarik walaupun berenjin 1.0-liter. Tetapi kemudian mungkin telah berlaku typo “pergi” menjadi “pregi”, maka lahirlah ayat di atas tadi.

Penulis tidak mahu ulas terlalu panjang mengenai hal ini, tetapi kenapa perkara ini disebut dalam laporan pandu uji Hyundai Kona N Line?

Sebabnya penulis rasa Kona N Line ini ibarat SUV “tekan, tekan preggy” versi Korea. Sama seperti Ativa, model ini merupakan SUV kompak, dan mempunyai enjin turbo.

“Nuleuda, nuleuda gasoghada”

Nadi kepada Kona N Line ini ialah enjin 1.6-liter turbo petrol dengan output 195hp pada 6,000rpm dan 265Nm tork pada 1,800rpm.

Kona N Line diasaskan dari varian 1.6 turbo yang duduk di atas varian permulaan 2.0, cuma N Line digayakan dengan kit badan dan rupa lebih sporti. Kami ada pandu uji Kona 2.0 Active kira-kira setahun lepas.

Rupa pada N Line ini mirip dengan Kona N berkuasa 280hp dan 392Nm yang tidak masuk pasaran kita. N Line ialah versi ‘lebih lembut’, sama seperti AMG Line dan M Sport. Apa pun, Kona N Line ini tetap menawarkan prestasi cukup mengujakan untuk segmennya di sini.

Sebagai perbandingan, Honda HR-V 1.5 turbo menghasilkan 174hp dan 240Nm, manakala Mazda CX-3 2.0 menjana 154hp dan 204Nm. Proton X50 hampir menyamai kuasa Kona N Line ini, dengan 175hp dan 255Nm.

Itu dari segi angka, tapi bagaimana dengan ‘feel’ pemanduannya? Pengeluaran kuasa itu dapat kita nikmati dengan lebih jelas disebabkan enjin Kona N Line ini dipadankan dengan kotak gear automatik dwi-klac 7-kelajuan.

Ianya berbeza dengan Kona 2.0 naturally-aspirated yang menggunakan kotak gear automatik 6-kelajuan jenis torque converter. Pecutan Kona N Line adalah lebih direct, terasa lebih clean, malah pertukaran gear jauh lebih pantas.

Semasa upshift, ia tidak menyentap sehingga membuatkan kita rasa tidak selesa atau seolah-olah kotak gear itu didera. Ia masih lancar, tetapi downshift pula cukup sporti, lengkap dengan blip enjin seperti kereta sports.

Bercakap mengenai enjin, ia memberikan bunyi sporti terutamanya semasa cold start. Pertama kali penulis menekan butang Start sewaktu mengambil kereta ini, terdetik “wow” di dalam hati, seperti memberi singkapan awal mengenai prestasi keseluruhan Kona N Line ini.

Kemudian apabila jalan raya mulai berliku, kita dapat rasakan talaan stereng dan suspensi Kona N Line jelas berbeza dari Kona biasa.

Sterengnya lebih berat dan ketat. Semasa penulis mula memandu keluar kereta ini dari perkarangan Hyundai Sime Darby di Ara Damansara, melalui beberapa selekoh sahaja sudah dapat memberikan keterujaan.

“Ok, ini lain macam. Bukan biasa-biasa,” detik hati penulis. Tidak disangka pula perbezaannya agak ketara dari Kona 2.0.

Talaan spring dan penyerap hentak lebih kemas dan tegap, mengingatkan penulis kepada model-model MINI. Gandingan stereng, suspensi, enjin dan kotak gear mampu memberikan kepuasan.

Ibaratnya jika anda sebelum ini semasa bujang memandu hatchback seperti Volkswagen Golf 1.4 atau Polo GTi, atau Honda Civic Type-R (FD2 dan FN2), kemudian sudah berkeluarga, penulis jamin pemanduan Kona N Line dapat mengubat rindu anda terhadap pemanduan penuh sensasi itu.

Jika dilihat pada spesifikasi atas kertas juga memang sukar untuk menjustifikasi harga lebih RM150,000 untuk crossover segmen-B keluarga ini, tetapi bila memandu lebih laju, anda sedar kemana duit dan pelaburan anda pergi.

Praktikal untuk kegunaan seharian?

Dari segi praktikaliti, biasa-biasa sahaja Hyundai Kona N Line. Tiada yang terlalu istimewa, tetapi tiada juga rungutan dari penulis.

Ruang kabin cukup okay, luas dan selesa untuk empat orang dewasa. Ruang kargo juga agak baik, 361 liter. Walaupun model paling sporti dalam kelasnya, tetap tidak mengorbankan aspek ini, ruang kargo Kona lebih besar dari Proton X50 dan Subaru XV.

Pemilihan bahan seperti model-model Hyundai lain, cukup baik. Hyundai Kona N Line tidak berpura-pura menjadi crossover premium atau luas, tetapi ‘berterus-terang’ dengan imej sporti.

Tempat duduk kulitnya berwarna hitam dengan beberapa bahagian mendapat permukaan baldu seperti Alcantara, serta jahitan merah. Begitu juga dengan papan pemuka, roda stereng dan tombol gear. Semuanya hitam berjahitan merah. Cukup jelas.

Penulis cukup suka dengan ergonomik tempat duduk dan pelarasan stereng. Mudah untuk mendapatkan posisi yang sedap dipandu untuk semua keadaan, sama ada ke kedai runcit atau melayan selekoh tajam.

Satu sahaja rungutan dari aspek praktikaliti pada Kona N Line ini ialah dari segi menu sistem keselamatannya.

Kelengkapan keselamatan aktif padanya dikira hampir setanding dengan pesaingnya, dilengkapi dengan ciri seperti Autonomous Emergency Braking dan Lane Departure Warning berserta Steering Assist.

Memang bagus, cuma bila kita tak perlukan sistem-sistem ini contohnya semasa memandu dalam bandar, kitab oleh matikannya, tetapi tetapan ini tidak kekal. Sebaik kita matikan enjin dan hidupkan semula, semua sistem ini akan aktif semula.

Bagi penulis ianya agak menjengkelkan jika kerap keluar masuk kereta untuk pemanduan dekat, dalam bandar yang sibuk. Tak dinafikan sistem-sistem ini berguna bila memandu dalam perjalanan jauh dan di lebuh raya.

Siapa patut beli?

Hyundai Kona N Line ini kami rasa sangat sesuai untuk mereka yang mahukan kelainan, tak sama dengan orang lain, dan yakin dengan pilihan sendiri. Crossover ini juga sesuai untuk mereka yang mahukan pemanduan paling sporti untuk kategori ini.

Spesifikasi Hyundai Kona 1.6 N Line

Harga: RM156,888
Enjin: 1.6-liter turbo 4-silinder suntikan terus bahan api
Kotak gear: Automatik dwi-klac 7-kelajuan
Kuasa: 195hp @ 6,000rpm
Tork: 265Nm @ 1,800rpm

Belajar ‘life hack’ memandu dengan Volvo XC40 Recharge T5 – Pandu uji

BERAPA jauh boleh kita pergi dengan satu tangki petrol? Bergantung kepada jenis kenderaan; sebagai contoh Perodua Myvi dengan kapasiti 36 liter boleh pergi sejauh 468km jika kita memandu dengan kecekapan purata 13km/liter.

Bagi Volvo XC40 ini pula, walaupun tangkinya cuma 49 liter, jika dipandu pada kecekapan 13km/liter, anda bukan hanya boleh pandu sehingga 637km, malah lebih lagi. Anda mahu pandu sehingga 800 atau 900km pun tiada masalah.

Dengan syarat, anda rajin mengecaj bateri hibrid padanya. Life hack?

Sebenarnya ini bukanlah ‘life hack’, tetapi ini cara yang tepat memandu mana-mana model PHEV. Anda kena rajin mengecaj baterinya bila berpeluang agar anda dapat memaksimakan manfaat yang ditawarkan kenderaan sebegini.

Ya, hari ini kita melihat Volvo XC40 Recharge T5, iaitu salah satu model plug-in hibrid (PHEV) dalam pasaran.

Dengan XC40 ini, penulis dapat ‘menambah’ Range atau jarak pemanduan yang dipaparkan tanpa mengisi minyak. Pulang ke rumah, caj sahaja bateri. Maka anda dapat terus memandu lebih jauh tanpa menggunakan petrol.

Maka sebab inilah setangki petrol boleh pergi beratus-ratus kilometer. Malah jika anda memandu setiap hari tapi isi minyak sebulan sekali pun tiada masalah.

Dengan syarat anda pandu kurang 30km satu hala, caj bateri di pejabat, dan caj semula selepas pulang ke rumah.

Kenapa 30km? Volvo menyatakan XC40 T5 ini mempunyai jarak EV 45km dengan bateri penuh, tapi dari pengalaman penulis, hanya mampu mencapai kira-kira 32 hingga 35km. Dan ini normal, kita tak akan dapat jarak penuh seperti yang dinayatakan oleh pengeluar, hampir mustahil.

Secara keseluruhan, dengan isi petrol seperti biasa, caj penuh beberapa kali selama seminggu dan pemanduan bercampur perlahan dan laju, penulis dapat bacaan serendah 6.9 liter/100km bersamaan 14.5 km/liter.

Ini boleh dikatakan satu angka yang sangat baik jika mengambil kira beratnya yang hampir 1.9 tan, prestasi yang ditawarkan, serta tetap selesa setiap masa.

Untuk pengecasan pula, XC40 ini didatangkan dengan kabel pengecaj 3.7kW AC, dan jika dicaj dengan pengecaj berkapasiti 3.7kWh, ia akan mengambil masa kira-kira tiga jam untuk penuh.

Tetapi dengan soket domestik biasa (2.3kW), pengecasan akan mangambil masa sehingga lima jam.

Mentaliti berubah

Selain dari rajin mengecaj, mentaliti juga seakan-akan berubah apabila memandu Volvo XC40 Recharge T5 ini. Enjin 1.5-liter turbo petrol padanya menghasilkan 177hp dan 265Nm tork, kemudian dibantu oleh motor elektrik dengan output 80hp, dikira agak berkuasa.

Tapi entahlah, mentaliti penulis yang biasanya sukakan pemanduan sporti ‘rela’ berubah mengikut rentak XC40 ini.

Bukan sahaja kerana ianya sebuah hibrid maka kita sentiasa menjaga kaki kanan serta memantau kecekapan penggunaan tenaga, tetapi juga dek kerana sifat Volvo XC40 itu sendiri. Volvo moden secara umumnya sangat selesa bukan sahaja untuk dipandu, malah jadi penumpang.

Ibaratnya jika dalam perjalanan pulang dari tempat kerja, anda mahu pandu lebih perlahan dan mungkin ambil jalan lebih jauh.

Kemasan kulit, tema warna kabin, sistem penapis udara untuk penghawa dingin, bahan-bahan yang digunakan, semuanya menyumbang kepada rasa selesa dan nyaman dalam kereta. Ia bukanlah empuk seperti Rolls-Royce, tapi anda rasa tenang walaupun untuk perjalanan jauh.

Seperti dikatakan tadi, varian Recharge T5 ini dikuasakan oleh enjin 1.5-liter dan motor elektrik, yang hanya menghantar kuasa ke roda depan melalui kotak gear dwi-klac 7-kelajuan.

Kotak gear ini cukup pantas tetapi masih lancar menyampaikan kuasa, memberikan pecutan yang terasa efisyen dan tiada pembaziran kuasa.

Suspensi boleh dikatakan lembut dan ke arah keselesaan, tetapi jika anda mahu, XC40 Recharge T5 ini masih boleh dipandu laju sambil mengukir selekoh. Yang penting input stereng anda kekal lancar dan tersusun.

Ibarat anda rancang segala pergerakan, tidak tergopoh-gopoh dan tiada perubahan ‘last minute’.

Gaya kemas Scandinavian

Walaupun Volvo XC40 ini sudah berada dalam pasaran beberapa tahun dan menerima beberapa varian termasuk EV, rupa ini masih tampak segar dan baharu. Ini kerana Volvo mengambil pendekatan rekaan ringkas dan minimalis, tidak terlalu ‘sibuk’ dan bercelaru yang hanya akan bertahan beberapa tahun.

Pakej R-Design menaikkan lagi seri SUV ini berserta rim lima bilah bersaiz 19-inci yang dibaluti tayar Pirelli P Zero berprofil 235/50.

Rekaan dalam kabin juga menggunakan falsafah sama; ringkas dan minimalis. Tetapi mungkin terlalu minimalis hinggakan segala kawalan penting seperti pendingin hawa pun tersorok dalam skrin infotainment.

Ini sahaja rasanya antara satu benda yang penulis kurang berkenan mengenai XC40 ini dan Volvo lain dalam pasaran sekarang.

Tetapi skrin potret menegak ini sangatlah besar dan jelas, ia responsif, dan mudah difahami walaupun mempunyai banyak maklumat.

Oh ya, anda tidak dapat tombol gear kristal Orrefors seperti model-model PHEV 2.0-liter all-wheel drive. Sebaliknya, anda hanya dapat tombol gear bersegi balutan kulit, tetapi ia masih elektronik.

Ciri keselamatan penuh

Akhir sekali bab keselamatan, dan tak sah jika kita bercakap mengenai Volvo tanpa memetik aspek keselamatan.

Ciri keselamatan pasif seperti biasa adalah tujuh beg udara, Hill Start Assist, Hill Descent Control, EBD, dan lain-lain.

Tetapi paling menarik pada Volvo XC40 ini adalah ciri bantuan pemandu seperti Pilot Assist yang membantu anda mengawal stereng dan pedal minyak, terutamanya di lebuh raya. Dan lebih menakjubkan, ciri bantuan ini boleh berfungsi sehingga kelajuan 200km/j.

Ya betul, anda boleh lepaskan kaki dan tangan (untuk masa terhad) sehingga kelajuan itu, terpulang sama ada anda mahu percaya dengan sistem ini atau tidak. Penulis bukan menyuruh anda lakukan perkara merbahaya, tetapi cuma memberitahu kemampuan Pilot Assist.

Untuk lebih komen mendalam dan aksi pandu uji Volvo XC40 Recharge T5 ini, anda boleh tonton video di bawah:

Spesifikasi Volvo XC40 Recharge T5 R-Design

Harga: RM245,818.90
Enjin: 1.5-liter 3-silinder petrol turbo
Kotak gear: Automatik dwi-klac 7-kelajuan
Kuasa: 177hp @ 5,800rpm
Tork: 265Nm @ 1,500rpm
Output motor elektrik: 160hp
Jarak pemanduan mod EV: 45km

Kia Carnival 2022: Ibarat pesawat peribadi dengan empat tayar – Pandu uji

KIA Carnival termasuk dalam situasi dimana rakyat Malaysia sering membeli kereta mengikut persepsi umum. “Beli jenama ini saja senang, rekod baik, tak mudah rosak”, “jangan beli jenama ini, alat ganti mahal dan susah dapat”.

Masalah dengan persepsi ini adalah, ia biasanya persepsi lapuk yang bawaan mulut dari ayah kita atau jiran-jiran. Ia tidak semestinya betul dan tidak semestinya salah. Yang pasti, ia biasanya tidak begitu relevan.

Sayang sekali Kia Carnival termasuk dalam kategori negatif untuk persepsi tadi. Adakah ia benar?

Senang cerita, kita sudah di penghujung 2022 dan sedang memasuki ke tahun 2023, belum ada kereta terbang yang benar-benar menjadi, tapi mari kita jadi pengguna bijak dan tidak terperangkap dalam tahun 2008.

Tiada lagi ‘Grand’, hanya Kia Carnival

Kia Carnival dan model-model lain jenama ini telah mempunyai wajah global malah kualiti binaan juga sangat tinggi dan premium.

Lihat sahaja pada gril depan dan lampu utama Carnival 2022 ini, semuanya nampak sofistikated dan mahal. Ya, versi CKD ini berharga lebih dari RM250,000 tetapi rekaan keseluruhannya nampak ia berharga jauh lebih mahal.

Begitu juga rekaan sisi pada tiang-C dimana terdapat satu bilah yang memisahkan dua cermin sisi belakang, ia tampak begitu unik, berani, dan premium.

Dari jauh, rekaan ini bersama dengan cermin depan yang lebih bersudut serta hud depan yang besar dan hampir rata memberikan Carnival gaya hampir sebuah SUV Amerika. Dalam erti kata lain, imejnya lebih rugged dan tidak seperti van tradisional.

Untuk Kia Carnival 2022 ini, penulis berani jamin tiada siapa pun yang akan kata ia buruk. Buktikan penulis salah.

Kokpit seperti dalam pesawat

Rasa premium dan kualiti binaan baik tadi lebih terasa di bahagian dalam. Anda akan disambut dengan warna coklat cerah yang cukup mewah, dan panel skrin digital melintang yang moden. Berbeza sungguh dengan Carnival 2017 yang tidak berapa lama dulu.

Kemudian tempat duduk depannya terasa seperti anda memikul tugas besar macam ‘pilot darat’: mengoperasikan kenderaan besar berteknologi sambil membawa beban (penumpang) yang banyak. Carnival ini juga tidak ringan ya, ia seberat 2,129kg tanpa penumpang.

Malah, dengan lebar hampir dua meter, terdapat ‘halal gap’ yang cukup besar antara pemandu dengan penumpang depan. Dengan papan pemuka dan konsol tengah yang lebar ini, ia mengingatkan penulis seperti dalam kokpit helikopter VIP atau jet peribadi mewah.

Oh ya, rasa macam ‘pilot darat’, bukan?

Enjin 2.2-liter diesel yang padu

Dan walaupun anda ada tanggungjawab dan beban yang besar untuk dipikul, jangan risau kerana powertrain Carnival ada untuk menjadi kawan karib anda.

Enjin 2.2-liter diesel dengan 199hp dan 440Nm yang melimpah-ruah membuatkan MPV bersaiz Amareka ini terasa ringan dan mudah untuk digerakkan. Mana tidaknya, tork maksima 440Nm itu hadir pada rpm serendah 1,750!

Dipadankan pula dengan kotak gear automatik 8-kelajuan, pecutan Kia Carnival ini sangat bersahaja, lancar, dan mampu membuatkan anda gerun melihat angka kelajuan meningkat melebihi had laju.

Tiada istilah berat atau lemau dalam kamus hidup Carnival ini, dan penulis juga telah menguji prestasinya dengan tiga penumpang bersama bagasi di Lebuhraya Karak. MPV ini mendaki Bukit Tinggi dan ‘mengukir’ jalan berliku ibarat jet peribadi dengan empat tayar.

Cuma tiada enjin turbin dan sayap sahaja.

Oh, jangan risau pula dengan kawalan badan. Penulis memang kagum bagaimana jurutera di Kia dan Hyundai mampu memberikan keseimbangan mantap antara keselesaan dan kawalan badan.

Ingat, MPV ini tidak akan mengambil selekoh seperti Ferrari F8 Tributo atau Porsche 718 Cayman, tetapi asalkan input kaki kanan dan kedua-dua tangan anda kekal tenang dan lancar, Carnival ini tetap mampu dikemudi dengan laju dan terkawal.

Penjimatan juga satu aspek mengagumkan mengenai enjin ini. Walaupun mempunyai berat melebih 2.2 tan, enjin Carnival ini tetap menghirup petrol dengan bersopan dan tidak gelojoh.

Carnival ini selesa meluncur pada 150-160km/j di lebuh raya, tetapi rpm kekal di bawah 3,000 maka anda boleh memperoleh lebih 950km dengan mudah dari tangkinya yang sebesar 72 liter.

Praktikaliti tanpa kompromi

     

Kia Carnival hadir di pasaran Malaysia dengan pilihan model CBU (11 tempat duduk) dan CKD (tujuh dan lapan tempat duduk). Anda rasa ruang akan menjadi masalah padanya?

Ya, tidak sama sekali.

Walaupun kesemua 11 tempat duduk digunakan, ruang kargo masih luas untuk perjalanan jarak dekat. Sudah pasti anda tidak akan boleh membawa 11 penumpang berserta bagasi masing-masing.

Tetapi tiada masalah untuk versi tujuh dan lapan tempat duduk. Kabin cukup luas, anda mudah bergerak antara baris kedua dan ketiga, dan terdapat banyak pelarasan bergantung kepada keperluan.

Bagi penulis, versi lapan tempat duduk paling ideal untuk kegunaan keluarga, manakala versi 11 tempat duduk lebih kepada kenderaan shuttle, sebagai contoh untuk kegunaan syarikat membawa pekerja.

Tetapi versi tujuh tempat duduk pula paling VIP kerana baris kedua dilengkapi tempat duduk kapten Premium Relaxion. Ianya tempat duduk jenis kelas perniagaan lengkap dengan ciri pemanas, penyejuk, dan dengan satu sentuhan butang, mampu dibaringkan dalam keadaan paling relaks.

Masih ingat, penulis kata ibarat memandu jet peribadi?

Berbaloi?

Jika anda mahukan kenderaan yang luas, selesa, mampu memuatkan lebih tujuh orang, inilah dia pilihan terbaik. Terus-terang penulis katakan.

Ia cukup besar, tetapi mudah dipandu. Berkuasa, tetapi masih menjimatkan. Agak laju, dan masih selesa untuk semua penumpang.

Untuk maklumat lanjut mengenai spesifikasi, anda boleh baca laporan pelancaran di sini.

Spesifikasi Kia Carnival 2022

Harga: RM196,340.80 hingga RM261,228.80
Enjin: 2.2-liter diesel turbo, 4-silinder, suntikan bahan api
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 199hp @ 3,800rpm
Tork: 440Nm @ 1,750rpm

Perodua Alza 2022 kereta keluarga yang berbaloi – Pandu Uji

TANPA sebarang keraguan, Perodua Alza baharu adalah kereta yang paling banyak diperkatakan tahun ini. Ini melihat kepada cakap-cakap dalam kalangan netizen di media sosial dan juga trafik dan ‘engagement’ yang dijana setiap kali kami membuat apa-apa kiriman mengenai model itu.

Fenomena ini bukanlah sesuatu yang menghairankan kerana Alza generasi pertama sudah berada di pasaran sejak November 2009 lagi, jadi sudah tentu ramai yang tidak sabar menantikan ketibaan model penggantinya.

Pada Julai lalu, Alza generasi kedua akhirnya dilancarkan dan kali ini, ia tampil dengan pembaharuan menyeluruh yang bukan sahaja melibatkan reka bentuk luaran dan dalaman, malah platform, enjin dan juga teknologi.

Majoriti pengamal media (termasuk Engear) sebenarnya sudah dijemput untuk melihat model itu dengan lebih dekat beberapa minggu sebelum tarikh pelancarannya. Penulis bagaimanapun hanya berpeluang untuk ‘bersuai kenal’ dengannya semasa trip pandu uji media ke Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini.

Jujurnya, penulis berasa agak teruja bukan sahaja kerana destinasi pandu uji yang agak ‘rare’, namun penulis ingin merasai sendiri kehebatan MPV tujuh tempat duduk ini, selain memahami kenapa begitu ramai yang menantikan ketibaannya ke pasaran.

Dari segi reka bentuk, Alza baharu jelas lebih bergaya dan segar jika dibandingkan dengan model sebelum ini. Mungkin ada yang akan mengatakan bahawa ia kelihatan agak berserabut namun bagi penulis, ia membuatkan Alza kelihatan lebih moden, sekaligus lebih sesuai dengan kehendak pembeli masa kini.

Perjalanan bermula dari ibu pejabat Perodua di Rawang, seterusnya melalui Batang Kali untuk tembus ke Lebuhraya Karak. Dari situ, konvoi mengikuti Lebuhraya Pantai Timur 1 dan 2, sebelum keluar menerusi susur Kuala Terengganu. Jarak perjalanan adalah sekitar 650 km.

Oleh kerana tiga pemandu telah ditetapkan bagi setiap kereta, penulis hanya berpeluang untuk mengambil alih stereng Alza selepas berhenti makan tengahari di Kuantan.

Pemanduan sepanjang 200 km itu 100 peratus di atas laluan lurus LPT, namun sekurang-kurangnya penulis dapat merasakan prestasi platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan mengetahui sejauh mana penjimatan yang mampu ditawarkan oleh enjin.

Apa yang penulis boleh katakan, prestasi yang ditunjukkan oleh enjin NA 1.5-liter empat silinder 2NR-VE itu agak memuaskan walaupun dengan ketiadaan pengecas turbo. Apa yang lebih penting, gandingan enjin itu dengan transmisi D-CVT dirasakan sempurna kerana RPM dikekalkan sekitar 2,000 hingga 2,100 pada kelajuan 110 km/j dan ke atas.

Pendek kata, untuk situasi pemanduan di atas lebuh raya, RPM kekal di bawah tahap 2,500 walaupun kenderaan sudah melebihi halaju kebangsaan. Ini bermakna Alza sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah kereta keluarga yang selesa dan menjimatkan.

Bercakap tentang penjimatan, tahap penggunaan bahan api yang ditunjukkan oleh komputer jatuh mendadak akibat ‘didera’ oleh pemandu pertama namun dengan corak pemanduan yang menjimatkan, penulis berjaya mencatat bacaan sekitar 19 km/l sebelum tiba di susur keluar Kuala Terengganu. Tidak jauh berbeza dengan angka yang dicanang oleh Perodua iaitu 22 km/l.

Untuk ‘ride and handling’, platform DNGA terasa selesa walaupun berdepan keadaan permukaan LPT2 yang umum tahu berombak dan tidak rata. Lantunan masih boleh dirasakan di dalam kabin namun tidaklah sehingga menyebabkan ketidakselesaan.

Penggunaan platform baharu itu juga menghasilkan ruang belakang yang lebih besar. Bagi penulis yang mempunyai ketinggian sekitar 167 cm, ruang kaki masih luas walaupun tempat duduk pemandu digelongsorkan ke belakang. Bahagian ‘backrest’ juga tidak terlalu tegak.

Tempat duduk barisan ketiga, seperti yang dijangka, lebih sesuai untuk kanak-kanak kerana saiz kerusinya yang agak kecil. Namun jika tidak digunakan, ia boleh dilipat rata bagi mendapatkan ruang but maksimum dengan kapasiti mencecah hampir 500 liter!

Malah untuk keselesaan seisi keluarga, Alza baharu juga didatangkan dengan corong pendingin hawa belakang yang diletakkan pada bahagian bumbung, lengkap dengan tombol kawalan kelajuan. Selain itu, terdapat juga dua port pengecas USB, serta pemegang cawan pada tempat duduk barisan kedua dan ketiga.

Sebagai konklusi, penulis boleh katakan yang Alza sangat sesuai untuk mereka yang mahukan sebuah kereta keluarga mampu milik. Walaupun mempunyai kekurangan dari segi prestasi enjin, model ini cukup serba serbi dari segi praktikaliti, keselesaan dan teknologi.

Spesifikasi Perodua Alza

Harga: Dari RM62,500 hingga RM75,500
Enjin: 1.5-liter empat silinder Dual-VVTi
Kotak gear: D-CVT
Kuasa: 105 hp
Tork: 138 Nm

Subaru XV crossver paling pentingkan diri sendiri – Pandu uji

PENTINGKAN diri sendiri tidak semestinya bermaksud sesuatu yang negatif. Kadang-kadang ia juga boleh menjadi sesuatu yang baik. Di saat crossover lain menekankan praktikaliti dan keluasan, ada sebuah crossover ini mementingkan perkara lain seperti pengendalian.

Perkenalkan Subaru XV, dan ia ‘mengorbankan’ ruang kargonya untuk pengendalian yang mantap dan seimbang. Pentingkan diri sendiri? Anda tentukan.

Nanti penulis akan ceritakan dengan lebih lanjut bab ini.

Sebelum itu, sedikit latar belakang mengenai Subaru XV. Model yang penulis pandu ini merupakan versi facelift, dan varian tertinggi iaitu 2.0i-P.

Mengapa Subaru XV?

Ia berharga RM131,788 iaitu pada harga antara paling popular dan kompetitif di pasaran Malaysia, tetapi untuk unit ini dengan kit GT Edition, berharga RM146,788. Di julat harga RM120,000 hingga RM150,000, anda ada model-model seperti Honda HR-V, Hyundai Kona, Toyota Corolla Cross, Mazda CX-3, Peugeot 2008, dan banyak lagi.

Tak lupa juga model-model berlainan segmen seperti Proton X70 yang lebih besar, pelbagai trak pikap, dan beberapa sedan segmen-C seperti Honda Civic dan Toyota Corolla.

Jadi, mengapa anda melihat kepada Subaru XV? Jika anda tidak selalu memerlukan ruang yang besar, sering masuk ke laluan off-road separa-mencabar, dan mahukan pengendalian paling seimbang, teruskan membaca.

Silap mata Symmetrical AWD dan enjin Boxer

Ciri utama pada XV ialah sistem pacuan semua-roda Subaru Symmetrical All-Wheel Drive (AWD). Tidak seperti sistem-sistem lain dimana kotak gear tidak berada di tengah kenderaan, panjang drive-shaft berbeza di kiri dan kanan, sistem AWD Subaru ini seimbang kiri dan kanan.

Enjin bentangan Boxer pada XV ini dipadankan kotak gear di belakangnya dan disambung terus kepada sistem pacuan yang sangat simetri jika dilihat dari atas. Ini bermakna, segala penghantaran kuasa di kiri dan kanan adalah sama, begitu juga dengan agihan berat.

Ditambah lagi dengan enjin Boxer itu sendiri yang leper dan rendah, membantu merendahkan pusat graviti kenderaan. Hasilnya, pengendalian Subaru XV ini cukup luar biasa, terutamanya semasa menukar arah dan mengambil selekoh pada kelajuan tinggi.

Dan tidak seperti crossover lain dalam pasaran yang hanyalah menggunakan pacuan roda depan, Subaru dengan sistem AWD ini bermakna ia mempunyai sistem suspensi belakang yang lebih rumit dan memakan ruang.

Ia terdapat sistem pacuan, differential di belakang, dan juga suspensi independent yang menjadikan lantai di ruang kargo belakang agak tinggi dan tidak begitu besar. Mahu lebih ruang semasa pergi berkhemah? Boleh sahaja tambah tong atau kargo di atas bumbung.

Rupa rugged yang sejati

Kita bercerita mengenai rupa pula. Penulis rasakan rugged merupakan tema keseluruhan XV ini kerana rekabentuk luarannya juga begitu rugged. Bampar depan dan belakang, cladding pada sekeliling kenderaan dan rak bumbung membuatkan XV ini sedia meredah laluan mencabar bila-bila masa.

Tetapi tidaklah terlalu hardcore seperti kenderaan untuk Borneo Safari. Subaru XV ini masih nampak bergaya untuk dipandu dalam bandar seperti ke tempat kerja atau minum kopi hujung minggu.

Apa pun, Subaru XV ini secara amnya sebuah crossover yang nampak agak dinamik dengan badan yang sedikit rendah.

Di bahagian dalam, penulis rasakan ianya biasa-biasa sahaja, bukanlah kabin paling cantik dalam segmennya jika hendak berkata jujur. Ia masih selesa dan luas, serta bahan yang digunakan di sini bersesuaian dengan fungsi XV ini. Jahitan oren pada tempat duduk, stereng dan papan pemuka cukup unik dan agak cantik.

Satu perkara yang wajib diceritakan di sini ialah skrin paparan tambahan di atas skrin infotainmen di tengah. Skrin memanjang ini menunjukkan maklumat tambahan seperti sudut dongakan kereta, agihan kuasa pada tayar, suhu minyak, EyeSight, dan peratusan pedal minyak.

Pemanduan serba boleh

Penulis sebenarnya cukup kagum bagaimana jurutera Subaru berjaya membuatkan XV ini serba boleh pemanduannya. Di jalan kasar, ia mampu menyerap dengan baik, kemudian apabila melalui selekoh-selekoh di jalan rata, suspensinya seolah-olah mengeras untuk kawalan badan stabil.

Ibarat ia mampu melembut dan mengeras sendiri apabila diperlukan, padahal tiada sistem elektronik atau adaptif pada suspensinya.

Kemudian transmisinya menggunakan CVT, tetapi CVT pada Subaru ini yang bersifat paling natural yang pernah penulis uji. Hampir tiada langsung rasa slip atau gelinciran semasa memecut dengan mendadak dan ‘pertukaran gear’ juga boleh terasa, tiada ngauman kurang enak didengar.

Berbaloi?

Seperti dinyatakan di atas, jika anda mementingkan aspek pemanduan dan memerlukan kemampuan AWD untuk aktiviti lasak, Subaru XV ini sangat berbaloi dicuba.

Cuma pilih varian 2.0i-P sudah cukup, bagi penulis tidak perlu sangat pakej GT Edition melainkan anda ada bajet lebih dan mahu membuatkan XV anda lebih menyerlah.

Spesifikasi Subaru XV 2.0i-P GT Edition

Harga: RM146,788
Enjin: 2.0-liter 4-silinder Boxer, naturally-aspirated
Kotak gear: CVT Lineartronic 7-kelajuan
Kuasa: 154hp @ 6,000rpm
Tork: 196Nm @ 4,000rpm

Volvo XC40 Recharge EV: Alkisah pemanduan satu-pedal – Pandu uji

BEBERAPA minggu lepas, Volvo Car Malaysia (VCM) melancarkan SUV terkini mereka yang juga sebuah EV atau kenderaan elektrik sepenuhnya.

Perkenalkan XC40 Recharge Pure Electric P8, ya suatu nama yang agak panjang, ia merupakan EV pertama dari Volvo. XC40 ini juga dipasang di Malaysia, jadi ia juga EV CKD pertama negara ini!

Sehari selepas pelancaran, kami telah dijemput oleh VCM untuk memandu uji SUV bergaya ini. Ia pemanduan ringkas satu hari, jadi saya tidak akan bercerita terlalu menyeluruh.

Sebaliknya saya akan ulas tanggapan pertama memandu EV ini, terutamanya mengenai pemanduan satu-pedal (one-pedal driving) dan kerisauan jarak pemanduan (range anxiety).

Latar belakang Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8

Untuk yang belum tahu, VCM pada awalnya memperkenalkan XC40 T5 iaitu versi enjin petrol biasa. Kemudian varian XC40 Recharge T5 ditambah iaitu versi plug-in hybrid (PHEV) gabungan enjin pembakaran dalaman dan sistem janaan elektrik.

Jadi untuk XC40 Recharge Pure Electric, ia menampilkan pek bateri lithium-ion 78kWh yang menghantar kuasa ke dua motor elektrik (satu di gandar depan, satu lagi di gandar belakang), menjadikan jentera ini sebuah all-wheel drive (AWD).

Kuasa oleh motor elektrik adalah setinggi 402hp (300kW) dan 660Nm tork, membolehkan SUV ini memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 4.9 saat. Kelajuan maksima pula – seperti semua model Volvo terkini – dihadkan pada 180km/j.

Dari segi rekabentuk luaran, XC40 Recharge EV ini nampak hampir serupa dengan versi petrol biasa, kecuali pada beberapa bahagian.

Pertamanya, gril depan rata yang bertutup, kemudian tulisan “RECHARGE” pada tiang-C kiri dan kanan, serta tempat mengecaj pada fender depan kiri.

Bahagian dalaman juga serupa dengan XC40 T5, tetapi Recharge EV ini ‘kehilangan’ butang penghidup enjin. Bukan kerana ia tiada enjin, tetapi anda tidak perlu menghidupkannya, XC40 ini terus dalam keadaan bersedia dan ‘hidup’ sebaik sahaja anda masuk ke dalam dengan kunci bersama.

Untuk spesifikasi lanjut, jemput baca di sini.

Sekarang, kita terus ke bab pemanduan.

Sama tapi berbeza

Masuk ke dalam, walaupun ruang kabin dan segala butang kawalan nampak sama, tetapi tidak 100 peratus serupa. Paling ketara seperti dinyatakan di atas, tiada butang penghidup enjin.

Sebaik anda masuk ke dalam, XC40 ini sedia dipandu. Hanya perlu tunggu tukar gear kepada Drive sahaja. Jadi, tiada istilah ‘panaskan enjin’ di sini. Anda nak terus tekan pedal rapat ke lantai pun tiada masalah.

Semasa mula memandu, saya pada awalnya agak berhati-hati dan sentiasa mengingatkan diri bahawa XC40 ini mempunyai lebih 400hp dan 660Nm tork.

Tetapi selepas mengemudi kesesakan trafik keluar dari The Saujana memasuki NKVE, ternyata kuasa dan outputnya mudah dikawal. Ia terasa lancar dan kita boleh hampir terlupa bahawa ia mempunyai kuasa yang mampu menyaingi kereta sports.

Yang pasti, kuasa memang sepantas kilat; tekan sahaja bila-bila masa, anda dapat daya tujahan maksima. Tidak perlu tunggu turbo boost, tidak perlu tunggu rpm tertentu, tork maksima boleh didapati dari 0 rpm.

Ya, itulah magik sebuah kereta elektrik. Cuma Volvo XC40 setakat ini berjaya menyampaikannya dalam satu pakej praktikal dan mudah dipandu.

Tahukah anda kuasa yang tinggi juga meningkatkan keselamatan? Anda dapat pecut dengan mudah untuk susur masuk lebuhraya tanpa pemandu di lorong utama brek, maka aliran trafik lebih lancar, pemandu di sekeliling juga akan lebih tenteram maka semua orang gembira.

Keyakinan untuk memotong juga meningkat, seperti semasa kami di laluan berliku dan berselekoh di Janda Baik. Tork yang tinggi memudahkan kereta keluar dan memecut, maka proses memotong di jalan sempit mengambil masa kurang 10 saat.

Volvo XC40 pada asalnya sudahpun cukup selesa tetapi dengan versi Recharge EV ini, tiada gegaran enjin maka tahap NVH (noise, vibration dan harshness) adalah lebih rendah. Pemanduan jarak jauh pasti lebih nyaman untuk semua.

Cuma disebabkan XC40 Recharge EV ini kira-kira 440kg lebih berat dari versi petrol, penyelenggaraan komponen getah pasti meningkat seperti bushing pada suspensi dan terutamanya tayar. Kenderaan lebih berat bermakna tayarnya lebih cepat haus.

Ya, sememangmanya penyelenggaraan di bahagian lain terutamanya sistem janaan jauh lebih rendah dalam kenderaan EV kerana kurangnya komponen bergerak seperti dalam enjin.

Pemanduan satu-pedal

Satu perkara menarik dengan kereta elektrik ialah anda boleh melakukan pemanduan satu-pedal. Bergantung kepada tetapan dan mod, kereta elektrik mempunyai fungsi regenerative dimana daya kinetik atau haba boleh ditukar semula kepada tenaga elektrik untuk disimpan ke dalam bateri.

Bila diaktifkan, fungsi regenerative akan membantu memperlahankan kenderaan tanpa perlu menggunakan brek kaki.

Tetapi dengan Volvo XC40 Recharge EV ini, sensasi regenerative padanya adalah paling ketara dan paling kuat paling saya pernah rasa sepanjang pengalaman saya bersama kenderaan elektrik hinggakan hampir tidak perlu langsung menekan pedal brek.

Malah, semasa turun dari Genting Highlands selepas makan tengahari di Janda Baik, rasanya kurang dari lima kali saya menekan pedal brek! Ya benar, untuk memasuki selekoh sambil menuruni bukit, jarang perlu menekan brek.

Bagaimana?

Mod pemanduan satu-pedal ini aktif secara default dalam XC40 (anda boleh padamkannya jika mahu) dan jika pada kelajuan 90km/j misalnya dan anda mahu memperlahankan kenderaan, anda tidak perlu mengangkat kaki sepenuhnya dari pedal ‘minyak’.

Apa yang perlu dilakukan ialah angkat kaki mungkin suku sahaja, dan ia sudah cukup untuk memperlahankan kenderaan secara berkadar, dan lampu brek sudahpun menyala.

Mengangkat kaki kanan sepenuhnya dari pedal pendikit akan menyebabkan XC40 ini seolah-olah membrek dengan agak mengejut, malah cukup kuat untuk membrek susur keluar dari jalan utama dan memasuki simpang.

Jadi anda mengawal daya ‘brek’ Volvo XC40 Recharge EV ini dengan melaras input pada pedal pendikit minyak, masuk akal?

Ianya satu pengalaman dan sensasi unik, ada beberapa rakan media tidak menyukainya. Saya secara peribadi lebih gemar pemanduan satu-pedal ini mungkin kerana saya memandu kereta dengan transmisi manual, saya kurang gemar kereta coasting atau meluncur ‘kosong’ seperti tiada gear.

Jadi dengan pemanduan satu-pedal seolah-olah ada rasa dan kesan brek enjin.

Kerisauan jarak pemanduan?

Baik, satu lagi perkara utama memandu kereta elektrik ialah range anxiety, risau adakah bekalan kuasa cukup hingga sampai ke destinasi.

Jika perjalanan harian ke tempat kerja mungkin tidak menjadi isu, tetapi jika bercuti hujung minggu atau pulang ke kampung, pasti akan timbul perasaan ini.

Volvo XC40 Recharge EV dengan bateri 78kWh menawarkan jarak pemanduan sehingga 418km. Perjalanan kami pada hari itu sebenarnya kira-kira separuh sahaja dari jangkauannya.

Tetapi walaupun memandu dengan tidak berhati-hati dan ada beberapa kali menekan pendikit rapat ke lantai (untuk menguji pecutan dan merasai torknya), saya masih dapat pulang ke the Saujana dengan bateri berbaki lebih 40 peratus.

Dari pemanduan singkat sehari ini, saya boleh simpulkan bahawa XC40 ini cukup cekap penggunaan kuasanya dan saya yakin boleh mendapat lebih 418km dengan cara memandu dan pengurusan tenaga yang betul.

Paling menarik, integrase Google Maps dalam sistem infotainmen XC40 ini membolehkannya memaparkan bukan sahaja lokasi-lokasi pengecaj berdekatan, tetapi juga anggaran peratusan bateri yang tinggal semasa anda sampai ke destinasi.

Ini sememangnya satu fungsi yang sangat berguna dalam pemanduan seharian XC40 Recharge EV ini.

Kesimpulan

Adakah saya akan beli Volvo XC40 Recharge EV ini? Jika saya berada dalam pasaran untuk mencari SUV berharga antara RM250,000 hingga RM300,000, saya akan memilih versi EV ini.

Jika dulu mungkin agak keberatan, setelah merasainya dan menilai praktikaliti XC40 ini, saya rasa SUV EV sesuatu yang sangat dekat dengan kita lebih dari kita menyedarinya. Yang penting kita ada pengecaj pantas DC di rumah.

Oh ya, kenderaan petrol biasa sekarang dengan kecekapan anggaran 12km/liter dan harga semasa RON95 pada RM2.05 seliter akan memerlukan 33.33 liter atau RM68.33 untuk jarak pemanduan 400km.

Tetapi bagi Volvo XC40 Recharge EV ini dengan kadar bil elektrik semasa 37.45 sen untuk setiap 1kWh akan memerlukan hanya RM29.21 untuk ‘isian penuh’ 78kWh dan memperoleh 418km.

Amacam?

Spesifikasi Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8

Harga: RM262,459.75
Kapasiti bateri: 78kWh
Kuasa: 300kW (402hp)
Tork: 660Nm

Toyota Harrier yang terlebih muda, terlebih berani – Pandu uji

JIKA anda membesar sebagai remaja pada awal 2000-an, anda pasti perasan kelibat Toyota Harrier yang biasa dipandu pegawai tinggi kerajaan, guru besar, golongan pencen, dan kontraktor.

Cukup mewah, ibarat Toyota Vellfire atau Mercedes C-Class untuk hari ini. Memang sesuai dengan imej pemilik-pemiliknya pada masa itu.

Tetapi kini, cuba anda lihat rupa Toyota Harrier terbaharu ini, sangat berbeza, bukan? Ya, mirip rupa SUV mewah Eropah.

Selain disebabkan ianya lebih baharu, Harrier ini juga terkena ‘tempias’ Toyota Gazoo Racing iaitu falsafah atau semangat yang menjadikan kenderaan-kenderaan Toyota kini lebih mengujakan untuk dipandu.

Mari kita lihatkan beberapa perkara penting yang penulis pelajari atau alami dengan pandu uji Toyota Harrier ini.

1. Harga premium

Sesuai dengan statusnya, Toyota Harrier ini berharga sedikit sahaja di bawah RM250k, iaitu lebih tepat lagi RM249,707. Ini boleh dikatakan harga paling tinggi untuk SUV Toyota di Malaysia sebelum melangkah ke Lexus.

Cuma untuk sebuah Toyota, mungkin ada yang mempertikai harga ini sedikit ‘keras’, lebih-lebih lagi bila anda sudah boleh mendapat sebuah BMW 3-Series G20 320i atau 330e.

Untuk SUV pula, pada harga ini juga anda boleh melihat kepada Mercedes-Benz GLA atau Volvo XC40, juga pilihan menarik.

Jadi, mengapa kita akan pilih Toyota Harrier? Ini yang kita akan rungkaikan dalam hujah-hujah seterusnya.

2. Gaya berani

Susah untuk menafikan bahawa Toyota Harrier generasi ini nampak begitu berani dan berbeza berbanding kebiasaan.

Malah jika anda pertama kali terlihat Harrier ini tanpa mengetahuinya, pasti anda akan menyangka ia sebuah Porsche atau Jaguar.

Terdapat garisan-garisan dramatik ditarik dari lampu depan, melalui tingkap sisi hingga tiang-C, dan diakhiri di lampu belakang dengan nyalaan memanjang yang berhubung dari kiri hingga ke kanan. Sememangnya memberikan aura berlainan untuk Harrier ini.

Penulis juga sukakan rekaan gril depan bertutup yang mengemaskan lagi gaya luaran Harrier ini.

3. Ciri dan kelengkapan setanding jenama premium Jerman

Toyota Harrier ini dilengkapi dengan pelbagai ciri terkini dan premium sepadan dengan harganya.

Terdapat lampu depan bi-LED matriks yang nipis tetapi berkuasa, tempat duduk kulit cukup mewah dan empuk, bumbung panoramik yang besar, ruang dalaman lapang, dan permukaan yang terasa berkualiti.

Unit infotainmen di tengah papan pemuka ialah skrin melintang bersaiz 8-inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, memberikan segala macam fungsi yang anda perlukan dalam sesebuah kenderaan.

Skrin infotainmen ini terletak di atas ruang konsol bersar berbentuk berlian yang menjadi sempadan kedua-dua tempat duduk depan. Rekaan ini cukup kemas dan mewah.

Boleh dikatakan keseluruhan ruang kabin terasa hampir seperti sebuah Lexus. Eh, tapi memang dari segi harga, ia hampir kepada Lexus.

Harrier merupakan SUV Toyota dengan harga paling tinggi, tambah sedikit sahaja dan anda akan terus memasuki ‘wilayah’ Lexus.

Tidak dilupakan, penulis cukup sukakan pendingin hawa Harrier ini yang turut dilengkapi sistem Nanoe X yang akan menapis udara luar, memberikan hanya udara bersih dan nyaman untuk memasuki ruang kabin. Penting untuk situasi pandemik hari ini.

4. Faktor ‘wow’

Dah cukup mewah? Nanti dulu, ada lagi…

Toyota Harrier hadir dengan beberapa ‘party trick’ yang boleh membuatkan rakan anda yang menumpang berkata, “Pergh, boleh tahan…”.

Pertama, terdapat bumbung panoramik kaca yang boleh dimalapkan. Dengan hanya menekan satu butang, cermin elektrokromik ini boleh bertukar daripada cerah jernih kepada kesan ‘tinted’ untuk menapis sinaran matahari.

Ini merupakan ciri yang biasanya ada pada kereta ultra-mewah seperti Rolls-Royce yang berharga jutaan ringgit. Cuma penulis terdetik di dalam hati kos untuk membaiki atau menggantikan cermin ini suatu hari nanti, pasti agak ‘keras’.

Satu lagi ciri ialah cermin pandang belakang digital. Dari cermin biasa, anda boleh tukarkannya menjadi paparan digital yang memaparkan rakaman secara langsung dari kamera di cermin belakang luar kenderaan.

Bila benda ini berguna? Semasa bawa penuh penumpang atau barangan di ruang kargo dan pandangan cermin terhalang, anda boleh guna mod digital ini untuk paparan tanpa gangguan. Ianya tidak terlalu janggal dan agak ‘natural’.

Dan walaupun kadang-kadang ada party trick pada kereta-kereta lain yang lebih kepada gimik, dua teknologi pada Harrier ini nampaknya lebih praktikal dan tidak membosankan untuk digunakan.

5. Pemanduan nyaman selesa

Baik, Toyota Harrier dikuasakan oleh enjin 2.0-liter 4-silinder naturally-aspirated yang mampu menjana 173hp dan 203Nm tork. Tetapi unit M20A-FKS ini sebenarnya satu ‘downgrade’ dari segi kuasa kerana Harrier generasi sebelum ini mendapat enjin turbo dengan output 231hp/350Nm.

Agak banyak berbeza di situ. Tetapi adakah ini benar-benar suatu perkara kurang baik?

Jika angka semata-mata penting untuk anda, maka Toyota Harrier ini mungkin bukan untuk anda.

Tetapi kadang-kala sesuatu kereta – atau apa-apa produk – bukan berkisar mengenai angka semata-mata. Lebih dari itu.

Harus diketahui, Toyota Harrier generasi keempat ini dibina pada pelantar TNGA-K yang juga dikongsi dengan Camry, RAV4, serta Lexus ES dan NX.

Jadi ini memberikan suatu platform cukup teguh bagi memberikan Toyota Harrier ini pemanduan yang mantap dan memuaskan.

Pengalaman pemanduan Harrier ini sangat menyelesakan dengan kabin yang senyap dan mewah, tetapi pada masa yang sama, anda dapat rasakan yang casisnya sebenarnya ‘bersedia’ memberi kestabilan untuk dipandu laju sama ada di jalan lurus atau berselekoh.

Cuma hadnya di sini adalah dari segi ‘powertrain’ iaitu enjin dan kotak gear yang seakan tidak begitu selesa diasak secara agresif.  Enjin dan kotak gearnya seolah-olah lebih selesa apabila anda ‘melayannya’ dengan lembut.

Pandu secara bersahaja, ‘taking our time’ untuk ke tempat kerja atau minum-minum dengan kawan, dan anda akan rasa Toyota Harrier ini cukup sempurna. Di lebuhraya pun sebenarnya boleh dipandu laju, malah selesa meluncur pada 150-160 km/j, cuma kelajuan itu dicapai dengan penuh sabar dan tidak terburu-buru.

Hasilnya bukan sahaja semua orang selesa, malah penggunaan bahan api juga agak baik untuk kenderaan sebesar ini.

6. Ada keburukan?

Ya, ada sedikit. Tiada kereta yang sempurna, bukan?

Pertamanya, but Toyota Harrier ini – pada 396 liter – adalah terlalu kecil untuk SUV sebegini. Sebagai perbandingan, Perodua Bezza yang merupakan sedan segmen-A pun mempunyai but bersaiz 500 liter.

Apa pun, lantai but Harrier ini agak tinggi dan rata, jadi mudah untuk memasukkan atau mengeluarkan barangan berat.

Keduanya, enjin Harrier ini dengan 173hp boleh dikira agak ‘lemau’, tetapi kotak gear CVT Direct Shift ini sekurang-kurangnya menutup kelemahan enjin dengan memberikan output yang optimum setiap masa tanpa perlu enjin bekerja keras.

Lagipun, siapa yang membeli Toyota Harrier untuk dipandu laju, bukan? Jika mahu laju, lebih baik anda pergi ke BMW X3 atau lebih baik lagi, Porsche Macan.

Sebagai kesimpulan, penulis rasakan Toyota Harrier generasi keempat ini masih mempunyai resepi klasik sebuah Harrier yang kita kenali, dengan sedikit elemen sporti dan bergaya.

Spesifikasi Toyota Harrier 2.0 Luxury

Harga: RM249,707
Enjin: 2.0-liter 4-silinder naturally-aspirated
Kotak gear: CVT Direct Shift
Kuasa: 173hp @ 6,600rpm
Tork: 203Nm @ 4,400rpm

Tiguan Allspace R-Line tidak sesuai untuk wanita? Betul ke ni?

MEMILIKI rangka badan besar dan enjin berkuasa tinggi, Volkswagen Tiguan Allspace R-Line 2021 mungkin dianggap kurang sesuai bagi kebanyakan kaum wanita.

Namun, sejauh mana kebenaran dakwaan ini? Adakah ia hanya persepsi atau merupakan satu fakta?

Engear berkesempatan menguji Tiguan Allspace R-Line 2021 dan kami mempertaruhkan Hana Ismail untuk memberikan pandangannya terhadap model ini.

Jom check it out ladies!

Spesifikasi Tiguan Allspace R-Line 2021

Volkswagen Tiguan Allspace R-Line 2021 lebih bergaya dan berkuasa. – Foto ihsan VW

Volkswagen Tiguan Allspace R-Line 2021 dikuasakan oleh enjin turbo 2.0 TSI.

Model ini dipadankan dengan kotak gear klac basah direct shift (DSG) 7-kelajuan yang mampu menjana kuasa mencecah 220PS dan tork 350Nm.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) tujuh tempat duduk ini juga turut didatangkan dengan sistem pacuan semua roda 4MOTION.

Justeru, tidak menjadi masalah untuk kenderaan ini ‘perform’ di semua jenis permukaan jalan di Malaysia!

Selain itu, model ini turut dilengkapi port pengecas data USB-C dan radio dengan ciri App-Connect.

Tiguan Allspace R-Line: Sesuai atau tidak untuk wanita?

Tiguan Allspace R-Line juga sesuai untuk kegunaan ‘santai’. – Foto oleh EnGear

Sesuai dengan fungsi sebagai kenderaan SUV, model ini mempunyai saiz luaran dan ruang dalaman yang luas sekaligus selesa untuk seisi keluarga.

Walaupun begitu, ia tidak bermakna kenderaan ini sukar untuk dikendalikan oleh kaum wanita.

Berdasarkan pengalaman Hana, kenderaan ini mudah dipandu dan tiada masalah baginya untuk melalui jalan yang agak sempit.

Antara ciri menarik lain terdapat pada model ini adalah sistem navigasi yang terletak di panel meter sekaligus memudahkan pemanduan.

Pemandu akan lebih fokus dalam pemanduan dan ini amat penting kepada keselamatan penumpang dan individu lain.

Tiguan Allspace R-Line 2021 dilengkapi sistem gear yang mampu memberi keselesaan pemanduan di atas setiap permukaan jalan raya. – Foto oleh Engear

Sementara itu, pemandu khususnya golongan wanita tidak perlu risau dengan tahap keselamatan model jika berdepan kemalangan jalan raya.

Tiguan Allspace R-Line 2021 mempunyai enam airbags, Automatic Post Collision Brake System dan Rest Assist (Driver Alert System).

Ingin tahu lebih lanjut sejauh mana Tiguan Allspace R-Line 2021 sesuai untuk kegunaan pemandu wanita, saksikan video disediakan.

Chiow!

Harga bermula RM150k, Peugeot 3008 berbaloi untuk dimiliki?

PEMILIHAN kereta yang sesuai adalah proses penting bagi kebanyakan pemandu mengikut pelbagai faktor termasuk usia, jantina dan penggunaan.

Ia tidak hanya melibatkan ‘rupa paras’ sesebuah model kereta tetapi paling penting bagaimana kenderaan itu selesa untuk dipandu dengan ciri-ciri khas menarik.

Justeru, artikel kali ini Engear merungkai sebuah model continental keluaran Peugeot iaitu model 3008!

Peugeot 3008

Model Peugeot 3008 ternyata memiliki ciri menarik bukan sahaja melibatkan kuasa enjinnya malah, mempunyai rekaan dalaman dan luaran yang sangat menarik.

Tergolong dalam keluarga SUV (utiliti sukan), Peugeot 3008 didatangkan dengan enjin 1.6 liter empat-silinder petrol THP atau Turbo High Pressure.

Antara spesifikasi menarik pada enjin Peugeot 3008 ini adalah kuasa kudanya yang boleh mencecah 165 hp pada 6,000 rpm.

Bagaimana pula dengan kuasa pecutan model ini?

Untuk pengetahuan anda, Peugeot 3008 mampu mencapai pecutan 100 km/j hanya dalam 8.9 saat!

Selain itu, model ini turut memiliki kotak gear automatik enam-kelajuan Aisin dengan beberapa pilihan mod seperti snow, mud dan sand.

Rekaan depan model ini menarik dengan gril tanpa bingkai dan lampu utama diod pemancar cahaya (LED).

Berikut antara kelebihan terdapat pada Peugeot 3008

– Paparan kluster instrumen digital 12.3-inci

– Paparan skrin sentuh 10-inci

– Sokongan Apple CarPlay dan Android Auto

– Sistem pemanduan kawalan melayar adaptif dan AEB

– Beg udara kekal

Foto ihsan Wikipedia

Setakat ini, sebuah Peugeot 3008 berharga RM150,888.00 sehingga RM163,888.00

Pelanggan Peugeot juga ditawarkan dengan harga servis kenderaan yang murah dan sangat berbaloi.

Antara warna yang boleh didapati bagi model 3008 ini adalah Amazonite Grey, Pearl White, Cuprite Brown dan Nera Black.

Nak tahu lebih lanjut mengenai model ini, saksikan video bersama Hana Ismail di saluran YouTube Engear!

Chiow…

Land Rover Defender 2021: Masih berjiwa lasak atau dah jadi mainan mahal? – pandu uji

WALAUPUN Land Rover Defender tidaklah begitu dikenali pada orang kebiasaan, tetapi harus kita sedar kenderaan utiliti ini sebenarnya agak sinonim dengan negara Malaysia.

Selama hampir 70 tahun, Defender telah digunakan secara meluas di Malaysia – pernah dijadikan ambulans, kenderaan tunda, bomba, dan tugas-tugas lain oleh pelbagai agensi. Kereta perisai pun ada!

Buat anda yang nakal-nakal tu mungkin pernah ‘diangkut’ menaiki Defender ke balai polis. Boleh dikatakan Land Rover Defender menjadi tulang belakang untuk pembangunan negara kita.

Tetapi itu dulu. Beberapa bulan lepas, Land Rover Defender serba baharu telah dilancarkan di Malaysia.

Ikon British ini telah dirombak sepenuhnya. Ia mendapat platform baharu, rupa lebih moden, pilihan enjin yang cekap dan pelbagai teknologi terkini.

Baru-baru ini kami berpeluang melihat dengan lebih dekat Defender baharu ini dan berpeluang memandu uji varian 110 P300.

Tanggapan pertama penulis ialah walaupun mendapat rupa moden yang dirombak sepenuhnya, masih terdapat banyak ciri-ciri tradisional sebuah Defender. Contohnya tulisan “DEFENDER” di atas hud depan, tingkap Alpine Lights dan tayar ganti di luar pintu kargo belakang.

Cuma persoalannya adakah Defender baharu ini kekal utiliti untuk kegunaan kerja-kerja seperti dulu, atau sudah menjadi kenderaan ‘gaya hidup’ untuk dibawa minum kopi hujung minggu di Publika?

Dalam masa pandu uji singkat ini, kami ingin ketengahkan tiga teknologi menarik pada Land Rover Defender 110 P300 ini.

1. 3D Surround Camera

Fungsi ini membolehkan anda melihat sekeliling kereta bukan sahaja dari kamera 360-darjah seperti biasa, sebaliknya anda mendapat gambaran kenderaan dari ‘bird’s eye view’ seolah-olah ada kamera dron terbang di luar kereta.

Ya, ciri sama seperti pada Proton X70.

Imej ini dipaparkan jelas pada skrin resolusi tinggi pada unit infotainmen dan pastinya berguna untuk memandu atau memarkir Defender ini di kawasan sempit.

2. Terrain Response – Wade Program

Seterusnya ialah Wade Program. Ini merupakan mod terbaharu dalam fungsi Terrain Response. Seperti pada namanya, Wade Program boleh digunakan untuk meranduk air dengan kedalaman sehingga 900mm.

Dalam mod pertama, suspensi udara pada Defender ini akan menambah ketinggian kenderaan sebanyak 75mm. Kemudian jika anda perlu melalui laluan lebih mencabar, mod kedua akan menaikkan kenderaan sebanyak 70mm lagi.

3. ClearSight Ground View

Akhir sekali ialah ClearSight Ground View yang unik pada kenderaan Land Rover. Menggunakan kamera di bawah ruang enjin, ia akan memaparkan rakaman seolah-olah enjin menjadi lutsinar dengan dua tayar depan kiri dan kanan ‘berdiri sendiri’.

Ini pastinya sangat berguna apabila melalui permukaan tidak rata seperti di atas batu atau tanah. Anda boleh memposisikan kenderaan dengan tepat sekiranya perlu melalui jalan sempit seperti jambatan atau titi.

Jemput tonton video di bawah untuk gambaran dan penerangan lebih jelas.

Spesifikasi Land Rover Defender 110 P300

Harga: Bermula RM798,800
Enjin: 2.0-liter Ingenium turbo petrol
Kotak gear: Automatik 8-kelajuan
Kuasa: 300PS @ 5,500rpm
Tork: 400Nm @ 1,500 hingga 4,000rpm
Pecutan 0-100km/j: 8.1 saat

Pandu uji: Hyundai Kona 2.0 – Tak ramai tapi kami ada

TAHUKAH anda pada 2020, Hyundai merupakan antara yang teratas untuk pegangan pasaran kenderaan seluruh dunia? Mereka berada di tempat ketiga, hanya di belakang Toyota dan Volkswagen!

Baru-baru ini juga, dilaporkan bahawa kenderaan Hyundai mempunyai susut nilai hampir sama dengan kenderaan Jepun.

Apakah maksud semua ini? Boleh disimpulkan bahawa Hyundai sebenarnya antara pengeluar paling berjaya di dunia pada masa ini. Mereka membawakan teknologi terkini, rekabentuk tersendiri dan kualiti binaan yang cukup baik. Jadi, mengapa ia ‘suam-suam kuku’ di Malaysia?

Kami bersama Hyundai Kona 2.0 Active dan persoalan ini kerap bermain di fikiran semasa memandunya. Mungkin persepsi masyarakat Malaysia yang masih di takuk lama itu sukar diubah?

Baik, di Malaysia, Kona berada dalam segmen yang bersaing dengan model-model seperti Mazda CX-3, Honda HR-V, Toyota Corolla Cross, Subaru XV dan Proton X50. Harganya bermula pada RM120k dan varian Active ini berharga RM136,888.

Apa pun, mari kita lihatkan beberapa nota ringkas Amirul mengenai SUV kompak ini.

1. Rekaan moden, segar, dan functional

Antara tarikan utama mengenai Hyundai Kona adalah rekaannya yang unik dan tersendiri. Mungkin juga faktor jarang nampak di jalan raya, tapi bagi kami, ianya unik kerana bahasa rekaan yang digunakan oleh Hyundai.

Sebagai contoh, lampu depannya bukan terletak pada bucu atas seperti biasa sebaliknya di bawah berdekatan bampar. Unit lampu di bucu atas hanya menempatkan DRL LED (lampu nyalaan siang) dan lampu posisi.

Rekaan ini sebenarnya dapat dilihat pada model lain seperti Santa Fe.

Lagi satu, kami sukakan elemen rekaan pada Kona ini yang functional, atau mempunyai fungsi dan bukan sekadar ‘tayang’.

Antaranya adalah ‘air curtain’ yang akan menyalurkan udara dari bampar depan ke dalam gerbang roda seterusnya keluar melalui luar rim. Ini menjadikan Kona lebih mudah ‘menebusi’ udara pada kelajuan lebih tinggi.

Satu lagi elemen ialah beberapa benjolan atau bonggol kecil pada tiang-C yang akan membantu aliran udara lebih baik seterusnya mengurangkan ‘turbulence’ di cermin belakang.

2. Kabin tidak mengada, mutu binaan cukup baik

Apa yang kami suka mengenai Hyundai (dan Kia) ialah rekaan kabin mereka selalunya tidak ‘mengada’. Maksudnya di sini tiada garisan atau bentuk-bentuk dramatik dan terlalu luar biasa.

Semuanya tersusun kemas dan lebih ‘straight-forward’, seperti kenderaan Eropah. Tapi pada masa yang sama, mutu binaan cukup baik dengan suis, butang dan tombol yang terasa kemas dan solid.

Keluasannya mungkin tidak boleh lawan Honda HR-V dan Toyota Corolla Cross, tapi masih sangat selesa dan lebih luas sedikit berbanding Proton X50.

3. Korea negara teknologi

Sebagai sebuah pengeluar dari Korea yang terkenal dengan teknologi terkini seperti Samsung dan internet yang super-laju, Hyundai juga padat dengan teknologi.

Model Kona 2.0 Active ini khasnya dilengkapi sistem bantuan pemanduan SmartSense yang merangkumi pelbagai sistem keselamatan terkini.

Antara yang penulis rasakan sangat berguna adalah Blind Spot Monitoring (dengan bantuan stereng), Door Opening Warning dan Rear Seat Reminder terutamanya anda selalu bawa ahli keluarga.

4. Kualiti pemanduan antara terbaik

Ini sesuatu yang tak dapat disampaikan sepenuhnya atas kertas, anda yang perlu cuba sendiri. Pemanduan Hyundai Kona menggabungkan elemen sporti dan keselesaan dengan cukup baik.

Semasa dipandu perlahan, anda boleh rasakan ‘jiwanya’ melalui stereng dan suspensi belakang bila melalui bonggol. “Oh, ini mesti sporti ni..” kata penulis dalam minit pertama memandu Kona ini.

Kemudian bila dipandu lebih laju, SUV kompak ini terasa semakin ‘hidup’ dan tampak selesa diperah dan kemudian mengambil selekoh. Walaupun menggunakan suspensi belakang jenis torsion beam, talaannya cukup baik untuk memberikan kawalan badan yang diperlukan.

Tiada olengan atau pergerakan luar jangkaan. “Boleh potong tang Kona…”

Oh ya, enjin 2.0-liter naturally-aspirated MPI menjana 149hp dan 180Nm tork cukup seimbang dengan Kona, tidak underpowered dan tidak terlalu berkuasa. Ianya menggunakan transmisi automatik 6-kelajuan iVT (dibangunkan sendiri oleh Hyundai), sejenis CVT dengan tali sawat jenis besi.

Kotak gear iVT ini juga sangat cekap dan lancar, antara yang terbaik dalam kelasnya.

5. Berbaloi?

Bagi kami, Hyundai Kona ini sangat berbaloi. Kenapa? Harganya kompetitif berbanding pesaingnya, tidak terlalu mahal. Kemudian ia mendapat jaminan 5-tahun/300,000km serta servis percuma 3-tahun/50,000km.

Hyundai Kona juga merupakan sebuah SUV yang senyap, selesa, dan agak menjimatkan bahan api. Kami tidak sempat habiskan minyak yang diberikan Hyundai-Sime Darby Motors tetapi dengan lebih 400km dipandu, masih berbaki suku dalam tangki.

Paling penting sekali bagi pendapat penulis, tarikan Hyundai Kona adalah kelainan. Ia sebuah kenderaan untuk anda yang mementingkan gaya dan tidak mahu sama macam orang lain.

“Tak ramai, tapi kami ada,” begitu. Boleh?

Jemput ke pautan di sini untuk tonton video ringkas kami.

 

Spesifikasi Hyundai Kona 2.0 Active

Harga: RM136,888
Enjin: 2.0-liter naturally-aspirated Smartstream G20 MPI
Kotak gear: Automatik 6-kelajuan iVT (Intelligent Variable Transmission)
Kuasa: 149hp @ 6,200rpm
Tork: 180Nm @ 4,500rpm
Pecutan 0-100km/j: 9.7 saat

Spesifikasi enjin Jeep Grand Cherokee 4xe masih jadi rahsia

USAHA menghasilkan jentera cekap tenaga terus meriah dengan terbaharu datangnya daripada syarikat pengeluar kenderaan Jeep.

Model Grand Cherokee 4xe buat pertama kali diperkenalkan pada acara Stellantis EV Day 2021.

Mempunyai rekaan luaran yang begitu menarik, Jeep bagaimanapun belum mendedahkan secara terperinci spesifikasi terdapat pada model ini.

Namun, syarikat itu berjanji akan mendedahkan spesifikasi Grand Cherokee 4xe ketika New York International Auto Show 2021 pada akhir Ogos depan.

Rekaan model terbaharu Jeep amat memukau dan mempersonakan. – Foto ihsan Motor Authority

Spekulasi enjin Grand Cherokee 4xe

Walaupun Jeep memaklumkan akan mendedahkan spesifikasi enjin Grand Cherokee 4xe tidak lama lagi, namun masih wujud spekulasi mengenai enjin model kenderaan tersebut.

Pemerhati automotif berpendapat terdapat kemungkinan besar Grand Cherokee 4xe berkongsi penjana kuasa PHEV yang sama dengan Wrangler 4xe.

Ia adalah kombinasi dengan enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol dengan dua motor elektrik.

Enjin itu mampu menjana kuasa 375 PS pada 5,250 rpm dan tork 637 Nm.

Apa yang menarik, output ini disalurkan ke semua roda menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan TorqueFlite sumber-ZF.

Jeep juga mempunyai satu lagi sistem plug-in hybrid menggunakan unit enjin lebih kecil iaitu 1.3 liter turbo-petrol.

Teknologi ini digunakan pada model Renegade dan Compass 4xe.

Enjin model Grand Cherokee 4xe masih belum didedahkan kepada umum. – Foto ihsan Motor Authority

Selain itu, enjin lain yang turut menjana kenderaan utiliti sukan (SUV) keluaran Jeep termasuk unit naturally-aspirated 3.6 liter Petastar petrol V6 dengan 290 PS dan 348 Nm.

Terdapat juga enjin 5.7 liter petrol V8 dengan 357 PS dan 528 Nm.

Kedua-dua penjana kuasa ini dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelajuan.

Enjin varian V6 menggunakan electronically controlled full time active 4WD transfer case. Ia boleh dinaiktaraf dengan electronically controlled transfer case dua-kelajuan dengan jarak rendah.

Gandar hadapan pada model 4WD pula akan diputuskan sambungan secara automatik bagi meningkatkan penjimatan bahan api.

Varian V8 diberi pilihan electronic limited-slip rear differential.

https://www.youtube.com/watch?v=od6s6uEFFYE

Kenali SUV terpantas di dunia, Cayenne Turbo S Coupe!

PEMINAT kenderaan utiliti sukan (SUV) boleh bersiap sedia menanti kemunculan model terbaharu jenis itu di pasaran tidak lama lagi.

Cayenne Turbo S Coupe bakal menemui pengguna dalam tempoh terdekat selepas maklumat mengenai model itu didedahkan di internet baru-baru ini.

Porsche secara ringkas memaklumkan varian baharu ini adalah diasaskan daripada model Cayenne Turbo Coupe.

Ia dilengkapi rim 22 inci yang didatangkan dengan tayar Pirelli P Zero Corsa.

Cayenne Turbo S Coupe dijana oleh enjin V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo berkuasa 640 PS (631 hp) dan tork maksima 850 Nm.

Selain itu, varian ini juga dilengkapi kotak gear automatik lapan kelajuan dan kuasa dialirkan ke ke semua roda.

Cayenne Turbo S Coupe memiliki reka bentuk menawan yang mampu ‘mencairkan’ hati setiap penggemar automotif. – Foto oleh Porsche

Kelebihan Cayenne Turbo S Coupe

Ujian kepantasan keatas model Cayenne Turbo S Coupe di litar ‘The Green Hell’ Nürburgring Nordschleife ternyata membuahkan hasil mengagumkan.

Menerusi ujian itu, Cayenne Turbo S Coupe mencatat masa 7 minit 38.925 saat untuk satu lap pusingan.

Catatan masa itu menyaksikan Cayenne Turbo S Coupe sebagai kenderaan SUV terpantas di dunia.

Ini sekaligus memadam rekod dicatatkan Audi RS Q8 di litar sama dengan keseluruhan masa 7 minit 42.253 saat.

Apa yang lebih mengagumkan, Cayenne Turbo S Coupe turut mencatatkan masa hampir sama dengan sedan BMW Porsche 911 Turbo.

Ruang dalaman yang mewah dan canggih untuk keselesaan pemandu dan penumpang. – Foto oleh Porsche

Pengalaman pandu Cayenne Turbo S Coupe

Pemandu rasmi Porsche, Lars Kern mengakui pengendalian memandu model ini sangat luar biasa terutama dengan kuasa kelajuan dihasilkan.

Jelasnya, model itu antara SUV yang paling stabil pernah dipandu terutama ketika mengambil selekoh tajam.

“Kenderaan ini mampu mengubah haluan dengan cepat. Saya tidak merasakan ada gegaran kuat dan pada masa mampu mengawal dengan baik.

“Saya yakin fenomena understeer pasti sukar atau tidak mungkin berlaku kepada kenderaan SUV ini,” katanya.

Setakat ini, Porsche belum mengumumkan tarikh pelancaran model Cayenne Turbo S Coupe dan harganya juga masih menjadi ‘rahsia’.

Honda BRV Facelift 2020 ‘letih’ daki jalan berbukit?

SEJAK diperkenalkan hampir empat tahun lalu, nama Honda BRV bukan suatu yang asing lagi di Malaysia.

Setiap hari, kenderaan utiliti sukan (SUV) ini dapat dilihat menyusur di jalan raya seluruh negara.

Namun, penulis hanya berpeluang memandu uji kenderaan itu baru-baru ini.

Melihat kepada reka bentuk luaran penulis dapat simpulkan secara ringkas Honda BRV sebagai sebuah kenderaan yang unik.

Tergolong dalam kategori SUV, ia menjadi ‘buruan’ bagi golongan bergelar “ibu” atau “bapa”.

Maka, tidak hairan ia antara model SUV Honda terlaris di Malaysia.

Nafas baharu BRV 2020

Honda BRV 2020 menerima beberapa suntikan pembaharuan terutama membabitkan rekaan luaran dan dalaman.

Pada pendapat penulis, sentuhan facelift untuk bumper hadapan dan bumper belakang cukup sekadar sedap mata memandang.

Namun, kewujudan ‘sirip’ antena radio serta kit badan dan rim baharu berjaya menaikkan ‘seri’ SUV ini.

Untuk bahagian dalaman, BRV memiliki sentuhan premium tersendiri yang ditampilkan kemas.

Prestasi i-Vtec BRV

Saat ditunggu telah tiba yang mana penulis ingin memberi beberapa pandangan mengenai kuasa ditampilkan Honda BRV.

Jika anda seorang ‘kaki lumba’ jangan mengharap untuk mendengar ‘ngauman’ Vtec daripada kenderaan ini.

Bagaimanapun, tidak dinafikan ia menjanjikan satu pemanduan yang selesa dengan kawalan memuaskan.

Penulis juga menguji kenderaan ini melalui jalan berbukit dengan membawa tujuh penumpang.

Agak mengecewakan memandangkan kenderaan ini dirasai sedikit ‘letih’ untuk mendaki, mungkin situasi ini tidak berlaku jika bilangan penumpang dikurangkan.

Dalam fikiran penulis BRV boleh diandaikan sebuah kenderaan yang mempunyai gabungan DNA Jazz, City dan Civic (FD).

Justeru, selepas beberapa hari bersama BRV penulis dapat simpulkan ia sebagai sebuah kenderaan yang sangat praktikal untuk keluarga.

Tidak terlalu ‘power’ tetapi sepadan dengan harga ditawarkan sekaligus mampu dimiliki kebanyakan individu.

Tidak hairan setakat artikel ini ditulis, Honda BRV menjadi SUV jenama import terlaris di pasaran selepas Toyota Avanza.

[thb_image_slider thb_equal_height=”true” images=”472253,472250,472251,472249,472248,472247,472244,472252″]

Volkswagen Tiguan R-Line, SUV ‘boy racer’ berkeluarga

VOLKSWAGEN Tiguan berada dalam pasaran automotif Malaysia sejak tahun 2008.

Ketika itu, Tiguan generasi pertama gagal menarik perhatian saya. Reka bentuk model ini boleh dikatakan langsung tidak menyerlahkan ia sebagai sebuah jentera yang ‘segak’.

Lapan tahun berlalu, Volkswagen memperkenalkan pula Tiguan MK2 di Malaysia.

Sedikit ‘bergaya’ namun, masih kelihatan seperti sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) tipikal yang hanya sesuai untuk individu berkeluarga.

Disebabkan itu juga, Tiguan masih gagal menarik perhatian ramai orang terutama golongan muda.

Bagaimanapun, usaha Volkswagen untuk melakukan penambahbaikan terhadap model Tiguan tidak terus terhenti.

Terbaharu, jenama itu memperkenalkan Tiguan Allspace R-Line yang kelihatan semakin ‘garang’.

Tiguan Allspace R-Line juga sesuai untuk kegunaan 'santai'. - Foto oleh EnGear

Tiguan Allspace R-Line lebih padu, jitu

Pada asalnya, enjin 1.4 Tsi yang dipadankan pada Volkswagen Tiguan ini sudah cukup memadai.

Namun, setelah memandu kereta ini untuk beberapa hari barulah saya faham tujuan variasi R-Line ini dipadankan dengan enjin 2.0 Tsi.

Pertama sekali, rupa luaran Tiguan R-Line ini sememangnya sangat ‘menawan’ apatah lagi dipadankan dengan bodykit lebih ‘garang’.

Lampu belakang jenis diod pemancar cahaya (LED) menyerlahkan lambang kemegahan selain turut memiliki rim bersaiz 19 inci.

Bahagian dalam pula, kenderaan asal Jerman ini sememangnya kelihatan kemas dengan odometer digital serta mempunyai skrin sesentuh yang besar.

Selain itu, pemasangan Apple CarPlay turut memudahkan pemandu menggunakan sistem navigasi dan lain lain fungsi.

Tiguan Allspace R-Line juga lebih ‘panjang’ sekaligus memberi keselesaan kepada pamandu dan penumpang.

Jadi, perlukah Volkswagen mengeluarkan enjin 2.0 ini memandangkan enjin 1.4 sudah memadai?

Saya yakin, jawapannya “perlu”.

Ini kerana Tiguan R-Line ini mempunyai satu ruang khas yang dinantikan oleh kebanyakan peminat Volkswagen.

Istilah 'Allspace' membuktikan kenderaan ini memiliki ruang dalaman sangat luas.

Ruang dalaman Tiguan Allspace R-Line

Bayangkan jika pengguna Volkswagen Golf GTI sudah terbiasa dengan kelajuan kenderaan itu.

Pastinya, individu itu ingin memiliki kuasa yang sama pada Tiguan R-Line.

Tanpa ragu-ragu, saya yakin Tiguan R-Line layak menjadi pengganti kepada Golf GTI bagi mereka yang berkeluarga.

Apabila anda memandu kereta ini, ia sangat selesa dan langsung tidak merasakan ia sebuah SUV.

Kotak gear DSG 7 kelajuan turut membantu pecutan dan kelancaran penukaran gear.

Berdasarkan pengalaman saya, Tiguan R-Line amat berbaloi untuk dimiliki.

Subaru XV GT 2.0 janji kepuasan memandu

SEBUT nama Subaru, ramai antara kita membayangkan model terkenal Subaru Impreza.

Apa tidaknya, ia bukan sahaja terkenal sebagai model rally malah, telah mencipta kejayaan demi kejayaan dalam pelbagai kejohanan rally dunia.

Bermula sebagai syarikat pembinaan pesawat, Subaru semakin menempa nama dalam bidang automotif.

Perkembangan itu menyaksikan pelbagai formula dicuba syarikat ini sehingga semakin menempa nama sebagai pengeluar kenderaan utiliti sukan (SUV) ternama.

Jadi, apa kata kali ini kita celoteh mengenai antara SUV paling terkenal keluaran Subaru iaitu Subaru XV GT.

Subaru XV GT ‘comel’ tetapi berkuasa

Pertama kali melihat Subaru XV GT, penulis mengandaikan ia sebuah kenderaan sesuai untuk golongan suri rumah.

Namun, jangkaan itu meleset sebaik mengetahui perincian enjin SUV ini.

Tidak lari daripada ‘DNA’ Subaru, SUV ini didatangkan dengan enjin 1995cc Direct-Injection 4-cylinder Boxer Engine selain dipadankan dengan kotak gear Lineartronic CVT.

Malah, ia juga merupakan sebuah kenderaan All-Wheel Drive!

Bagaimanapun, penulis tidak akan berceloteh panjang mengenai spesifikasi enjin tetapi lebih kepada berkongsi pengalaman peribadi memandu uji Subaru XV GT.

Perjalanan dari Petaling Jaya, Selangor ke Nilai, Negeri Sembilan membuktikan kepada penulis bahawa SUV ini tidak boleh ‘dipandang sebelah mata’.

Melalui lebuh raya dan jalan bandar, penulis merasakan Subaru XV GT adalah sebuah SUV premium.

Walaupun cuaca hujan, amat mudah dan confident untuk mengendalikan SUV ini.

Sistem penggantungan yang mantap juga menyebabkan ia mampu menyerap lubang kecil di jalan raya dengan begitu baik.

Selain itu, penulis juga berkesempatan menguji Subaru XV GT ini di jalan berliku.

Jalan berliku? Tiada masalah

Jalan Broga-Lenggeng cukup untuk menguji prestasi enjin, kotak gear, sistem gantungan dan brek.

Ramai salah faham yang mana jika hendak menguji sesebuah kenderaan, kita wajib memandu dengan laju.

Salah! Memandu pada kelajuan yang ditetapkan juga sebenarnya mampu menguji sesebuah kenderaan.

Di awal perjalanan lagi, penulis sudah dapat merasakan 156ps yang dihasilkan oleh enjin kereta ini sudah mencukupi.

Memandangkan ia dipadankan dengan kotak gear CVT, maka pemanduan lebih lancar dan tidak agresif.

Bagaimanapun, apabila ia berada pada kelajuan tinggi penulis dapat rasakan impak sistem All-wheel drive terutama ketika mengambil selekoh tajam.

Terus terang penulis katakan, ia sungguh stabil!

Sementara itu, sistem brek terdapat pada Subaru XV GT ini juga amat responsif walau kenderaan dipandu pada kelajuan tinggi.

Bagaimana pula dengan reka bentuk dalaman?

Jawapanya cukup selesa dan cantik.

Justeru, dijual pada harga RM137,788 ia amat berbaloi untuk dimiliki.

Untuk makluman lanjut, anda boleh ke pusat pameran Subaru berdekatan untuk mencuba sendiri pengalaman memandu Subaru XV GT.

[thb_image_slider autoplay=”true” autoplay_speed=”1000″ images=”472039,472041,472040″]

Lexus LM 350 ‘istana bergerak’, harga bermula RM1.15 juta

LAMBAKAN model minivan atau kenderaan pelbagai guna (MPV) jelas membuktikan terdapat permintaan tinggi bagi kenderaan jenis itu di negara ini.

Model Toyota Alphard dan Vellfire antara mendapat permintaan tinggi sesuai dengan harga dan kualiti ditawarkan.

Terkini, sebuah lagi kenderaan MPV terbaharu bakal memasuki pasaran Malaysia tidak lama lagi.

Dikenali sebagai Lexus LM 350, model ini tidak diragui mampu memikat setiap mata memandang.

Lexus LM 350

Tidak keterlaluan jika Lexus LM 350 diibaratkan seperti sebuah ‘istana bergerak’ yang sangat memukau.

Memiliki reka bentuk dan kekemasan hampir sempurna, Lexus LM 350 menyerlahkan kemewahan kepada si pemilik.

Memiliki kerangka badan sama seperti model Alphard, Lexus LM 350 bagaimanapun mempunyai sedikit kelainan pada bahagian lampu depan.

Ia memiliki lampu pemancar cahaya diod (LED) menyerupai bentuk anak panah persis mode Lexus yang lain.

Selain itu, Lexus LM 350 didatangkan dengan rim pelbagai jejari tiga-dimensi berdiameter 18-inci.

Walaupun rim tersebut kecil seinci berbanding yang terdapat pada Alphard, ia bertujuan mengurangkan bunyi dihasilkan tayar.

Setakat ini, hanya terdapat dua warna yang ditawarkan di pasaran Malaysia iaitu hitam dan White Pearl Crystal Shine.

Bagaimana pula dengan bahagian dalaman?

Tergolong sebagai kenderaan MPV, Lexus LM 350 bagaimanapun hanya mempunyai empat tempat duduk.

Ternyata, ia bertujuan untuk memberi keselesaan maksima kepada penumpang dan pemandu.

Secara asas, ia mempunyai konfigurasi sama seperti Alphard Royal Lounge yang mana terdapat bahagian pemisah antara kabin hadapan dan belakang.

Harga pasaran Lexus LM 350

Lexus LM 350 dijual pada harga RM1,148,000 tanpa insurans.

Namun, harga ini adalah termasuk cukai jualan kerana penghantaran pertamanya kepada pelanggan hanya bermula pada Julai nanti.

Sama seperti model Lexus lain, MPV ini mempunyai waranti lima-tahun tanpa had jarak perjalanan.

[thb_image_slider thb_equal_height=”true” autoplay=”true” autoplay_speed=”1000″ images=”472122,472119,472118,472121,472124,472123,472126,472125″]