VERSI baharu model XMax yang dikenali dengan nama XMax SP mula dipasarkan di pasaran negara jiran, Thailand.
Terdapat beberapa ciri menarik pada model ini antaranya termasuk penyerap hentak belakang boleh laras jenama Ohlins.
Apa yang menarik, Yamaha turut memberikan penyerap hentak asal jika pemilik berhasrat untuk menggunakannya kelak.
Foto ihsan Yamaha Thailand
Berdasarkan maklumat diterima, XMax dijual di pasaran Thailand menggunakan enjin 292cc dengan 27.6 kuasa kuda pada 7,250 rpm dan 29 Nm tork pada 5,750 rpm.
Model XMax SP didatangkan dengan warna kelabu manakala, rim diwarnakan dengan warna merah sekaligus menyerlahkan gaya ‘sporty’.
Foto ihsan Yamaha Thailand
Berikut antara spesifikasi lain terdapat pada Yamaha XMax SP di Thailand:
Tangki bahan api 13 liter
Brek cakera ABS depan dan belakang
Sistem kawalan cengkaman
Lampu hadapan dan belakang LED
Soket 12V
Fork teleskopik
Sebuah Yamaha XMax SP dijual pada harga 209,000 baht atau RM26,332.
YAMAHA 135LC sememangnya sebuah motosikal kapcai empat-lejang yang cukup berjaya dan mempunyai ramai pengikut di Malaysia.
Untuk 2022, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) melancarkan 135LC FI baharu dan seperti pada namanya, FI merujuk kepada fuel injection atau suntikan bahan api. Ya, Yamaha 135LC kini dengan enjin baharu yang dibangunkan khas untuk pasaran Malaysia.
Enjin silinder tunggal SOHC 4-injap ini menjana 9.3kW (12.4hp) pada 8,000rpm dan 12.2Nm tork pada 6,000rpm.
Enjin dengan penarafan Euro4 ini dipadankan dengan kotak gear 4-kelajuan seperti sebelumnya. Walaubagaimanapun, tiada lagi pilihan klac manual, hanya klac automatik.
Menurut HLYM, mereka mahu memfokuskan klac manual kepada model Y15ZR, dan klac automatik untuk 135LC FI ini.
Yamaha 135LC FI ini dilengkapi lampu depan dan belakang LED, Pilot Light, tangki minyak 4.6 liter dan panel meter digital baharu untuk paparan maklumat lebih jelas.
Dari segi keselamatan, 135LC kini diberikan brek cakera belakang dan swing arm belakang yang direka semula.
Yamaha 135LC FI dijual pada harga RM7,798 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans) dan didatangkan dengan tiga warna iaitu Ruby Red, Crystal Cyan, dan Midnight Star.
Yamaha 135LC FI
Oh ya, ada satu kejutan, dimana HLYM turut mendedahkan Yamaha 135LC FI Special Edition.
Apa yang istimewa? Pertamanya, ia hadir dengan warna unik Desert Storm matte dengan grafik lebih ringkas, tulisan “135LC” tiga-dimensi pada badan, dan Yamaha Premium Basket.
Bakul ini hanya khas untuk 135LC FI Special Edition dan menurut Yamaha, buat masa ini mereka tidak merancang untuk menawarkannya sebagai aksesori untuk versi biasa.
Bakul ini juga dilengkapi ruang simpanan khas yang boleh melindungi barangan dari terkena hujan, selain slot pengecaj USB.
135LC FI Special Edition ini dijual pada harga RM8,198 (tidak termasuk pendaftaran dan insurans).
TOYOTA telah bekerjasama dengan Yamaha bagi menghasilkan enjin pembakaran dalaman yang dikuasakan oleh gas hidrogen termampat.
Yamaha telah memilih asas enjin petrol 2UR-GSE yang diguna pakai oleh model produksi Lexus RC F 5.0-liter V8 bagi projek ini. Dengan menggunakan blok enjin yang sama, modifikasi dilakukan di bahagian penyuntik bahan api, kepala silinder dan manifold kemasukan.
Kombinasi enjin yang dilengkapi dengan sistem ekzos lapan-kepada-satu, menghasilkan kuasa 444hp, kurang 13hp dari enjin asal. Namun tork yang dihasilkan pula adalah 540Nm, lebih 20Nm berbanding versi petrol.
Apa yang menarik, Lexus RC F versi enjin petrol boleh diubah suai kepada versi hidrogen dengan perubahan minima. Ini adalah disebabkan oleh kedudukan cagak enjin yang sama seperti versi petrol, hanya sedikit modifikasi diperlukan dari segi tempat simpanan bahan api hidrogen menggantikan tangki petrol yang sedia ada.
Menurut Takeshi Yamada dari Bahagian Pembangunan Automotif, Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Teknikal Yamaha, enjin baharu ini akan membuat pengguna berasa seronok untuk menggunakannya.
“Enjin hidrogen lebih mesra digunakan. Rata-rata yang sebelum ini berasa skeptikal, bertukar seronok setelah memandu uji kereta prototaip,” jelas Yamada.
Projek ini merupakan sebahagian dari kolabrasi antara Kawasaki, Subaru, Toyota dan Mazda yang diumumkan pada November lalu untuk tujuan penyelidikan serta penggunaan sumber alternatif bagi enjin pembakaran dalaman secara karbon neutral.
HAMPIR setahun keberadaan Yamaha NVX 2021 di pasaran Malaysia, permintaan terhadap model ini tidak kurang hebatnya.
Dijual pada harga RM8,998 sehingga RM10,998 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), NVX 2021 mempunyai pelbagai kelebihan tersendiri.
Jadi, Apakah kelebihan NVX 2021 ini? Jom kita check it out!
Foto ihsan Yamaha
Sistem keyless ignition
Menarik mengenai NVX 2021, model ini mempunyai sistem keyless ignition.
Ini bermaksud, pengguna tidak perlu menggunakan kunci seperti kebanyakan motosikal lain sekaligus memberi sentuhan ‘moden’ dan canggih.
Foto ihsan Yamaha
Sistem Yamaha Y-Connect
Yamaha NVX 2021 juga didatangkan dengan dengan panel instrumen digital LCD yang boleh disambungkan dengan sistem Y-Connect.
Y-Connect membolehkan motosikal disambung dengan aplikasi dalam telefon bimbit dan memberikan beberapa informasi penting.
Antara informasi diperoleh menerusi sistem Y-Connect termasuk maklumat tahap minyak enjin, peringatan waktu servis, kedudukan lokasi terakhir motosikal dan penggunaan bahan api.
Selain itu, ia juga memberikan notifikasi panggilan dan mesej yang dipaparkan di panel instrumen.
Foto ihsan Yamaha
Apa kelebihan lain NVX?
Yamaha NVX 2021 masih menggunakan unit enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api 155 cc dengan sistem VVA.
Bagaimanapun, kuasa model baharu ini bertambah sedikit menjadi 15.4 PS pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm.
Berikut kelebihan lain ada pada Yamaha NVX 2021:
Tangki 5.5 liter
Brek hadapan jenis cakera
Brek belakang dram
Soket pengecas USB
Fork teleskopik
Dua penyerap hentak di belakang
Sementara itu, versi ABS mendapat kelebihan brek ABS one-channel di hadapan, sistem start dan stop serta suspensi belakang dengan subtank.
Pada masa sama, Yamaha NVX 2021 sangat ringan dan pastinya sesuai untuk kegunaan kaum wanita.
Foto ihsan Yamaha
Untuk informasi lebih lanjut saksikan review yang telah kami sediakan
ADA sebab mengapa motosikal Yamaha XSR155 begitu digemari di pasaran-pasaran Asia seperti Thailand. Ia dijual pada harga yang mampu milik, mudah dikendalikan dan mungkin yang paling menarik untuk pembeli-pembeli daripada golongan muda, mempunyai potensi tinggi untuk dikustomkan.
Menyedari potensi yang ada pada model ini, Yamaha Thailand menjalinkan kerjasama dengan Zeus Custom, pembuat motosikal kustom yang cukup popular di negara itu, untuk menawarkan XSR155 edisi khas.
Hanya 100 unit akan dihasilkan dan menurut laporan, kesemuanya habis terjual dalam masa beberapa jam selepas pelancaran.
Sentuhan pakar-pakar dari Zeus Custom berjaya mengubah penampilan XSR155 dari sebuah motosikal standard kepada café racer retro yang bergaya.
Secara keseluruhannya, imej baharu model ini tidaklah keterlaluan namun cukup untuk membuatkan ia menonjol biarpun dikelilingi oleh jentera-jentera lain di jalan raya.
Bagi mendapatkan penampilan ini, bar hendal yang asal dibuang dan digantikan dengan bar hendal jenis clip-on yang lebih rendah, manakala fender hadapan dan belakang dipotong.
Ini secara tidak langsung membuatkan motosikal ini kelihatan lebih kompak dan sporti pada masa yang sama.
Selain itu, Zeus Custom turut menggunakan unit baharu untuk lampu utama bagi memastikan ia berada pada ketinggian yang sama dengan bar hendal tersebut.
Sudah tentu, penampilannya sebagai sebuah café racer tidak akan lengkap tanpa kehadiran pelana nipis dengan tekstur ribbed serta balutan kulit hitam dan coklat.
Akhir sekali, bahagian-bahagian yang berwarna hitam seperti enjin, ekzos dan rim dipadankan dengan skema warna kelabu matte.
Logo Zeus Custom pada tangki minyak pula memberikan peringatan kepada sesiapa sahaja yang melihatnya bahawa motosikal ini merupakan hasil tangan mereka yang pakar.
Bagaimanapun, sentuhan Zeus Custom terhad kepada aspek penampilan sahaja. Seperti versi standard, XSR155 edisi khas ini dikuasakan oleh enjin empat lejang bersesaran 155cc silinder tunggal dengan teknologi VVA yang menjana 19hp.
Ia juga kekal dengan fork teleskopik di hadapan, penyerap monoshock di belakang, brek cakera tunggal serta rim aloi berukuran 17-inci.
Harga XSR155 yang dikustomkan oleh Zeus Custom ini tidak dinyatakan, namun ia sudah pastinya lebih mahal jika dibandingkan dengan versi standard yang dijual pada harga 91,500 baht (kira-kira RM11,488).
BARU-BARU ini Hong Leong Yamaha (HLYM) telah melancarkan sebuah lagi jentera terbaharu di pasaran negara.
Mula diperkenalkan di peringkat global pada penghujung 2019, TMax 560 dibawakan dengan dua varian warna untuk pasaran Malaysia iaitu Tech Kamo dan Power Grey.
Model terbaharu kali ini, Yamaha membuat beberapa penambahbaikan terutama melibatkan bahagian enjin.
Foto ihsan Yamaha
Kapasiti enjin dipertingkatkan iaitu dari 530cc kepada 562cc dengan 47.6 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm.
Berdasarkan reka bentuk model kali ini, ternyata Yamaha telah memberi banyak sentuhan baharu termasuk bahagian lampu hadapan dan belakang.
Foto ihsan Yamaha
Selain itu, bahagian tempat duduk juga direka semula menjadikan jentera ini lebih ergonomik dan selesa.
Berikut antara ciri istimewa lain terdapat pada TMax 560:
Brek cakera berkembar 267 mm di hadapan
Brek cakera berkembar 267 mm di belakang
Rim 15 inci
Tangki bahan api 15 liter
Penghadang angin kawalan elektrik
Cruise control
Pemanas tangan dan tempat duduk
Suspensi belakang boleh laras
Fork berwarna emas
Dua pilihan mod tunggangan
Kawalan cengkaman dan brek ABS
Foto ihsan Yamaha
Setakat ini harga ditawarkan bagi seunit TMax adalah RM72,288 tidak termasuk insurans.
SYARIKAT pengeluar motosikal terkemuka Yamaha memperkenalkan model baharu YZF-R15M yang kelihatan lebih ‘garang’.
Terdapat beberapa penambahbaikan bagi model supersport ini terutama membabitkan ciri dalaman pada bahagian enjin.
Model ini masih hadir dengan enjin berkapasiti 155cc sejukan cecair dengan teknologi Variable Valve Actuation atau VVA.
Enjin ini mampu menghasilkan 18.3 kuasa kuda dan 14.1 Nm.
Bagaimanapun, apa yang menarik kali ini Yamaha mula memperkenalkan sistem quickshifter yang mana kebiasaannya digunakan oleh motosikal jenis superbike.
Selain itu, aspek tunggangan juga telah ditambah baik dengan penggunaan fork hadapan jenis terbalik (USD).
Berikut antara ciri lain boleh didapati pada YZF-R15M:
Kawalan cengkaman
Brek cakera depan / belakang ABS dua saluran
Lampu diod pemancar cahaya (LED)
Lampu nyalaan siang LED berkembar
Foto ihsan Yamaha
Model YZF-R15M juga didatangkan dengan paparan LCD yang boleh dioperasikan menerusi butang pada bar hendal.
Pada masa sama, ia juga didatangkan dengan sokongan aplikasi peranti pintar Y-Connect menerusi sambungan Bluetooth.
SERENTAK dengan kemaskini MT-15, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut memperkenalkan MT-25. Untuk 2021, jentera hyper naked ini hadir dengan dua warna baharu iaitu Yamaha Blue dan Storm Fluo.
Seperti adiknya yang lebih kecil, harga cadangan untuk Yamaha MT-25 juga tidak berubah, iaitu RM21,500 (tanpa cukai jalan, pendaftaran dan insurans). Setiap pembelian juga akan menerima pengunci cakera Yamaha bernilai RM100.
Naked itu menggunakan enjin 249cc yang menyalurkan 35.5hp pada 12,000rpm dengan tork mencecah 23.6Nm pada 10,000rpm.
Kuasa itu disalurkan ke transmisi 6-kelajuan dan mempunyai berat basah sehingga 169kg. Ia menggunakan kerangka jenis Diamond yang mana sistem suspensi hadapan menggunakan fork terbalik.
Bagi kuasa hentiannya, ia dilengkapi dengan cakera brek bagi hadapan dan belakang. Selain itu, MT-25 menggunakan rim 17 inci padanan tayar 110/70R17 bahagian hadapan, manakala belakang bersaiz 140/70R17.
Bagi memberi jarak tunggangan lebih jauh, jentera itu didatangkan dengan tangki bahan api berkapasiti 14 liter.
Yamaha MT-25 ini akan mula berada di pengedar Yamaha bermula hari ini.
YAMAHA secara rasmi menamatkan kontrak bersama pelumbanya Maverick Vinales berkuatkuasa serta-merta.
Keputusan itu hadir selepas Yamaha memutuskan tidak menggunakan khidmat Vinales pada perlumbaan British Grand Prix MotoGP pada 26 sehingga 29 Ogos ini.
Tindakan Yamaha itu sememangnya sudah dijangka walaupun Vinales membuat keputusan menamatkan kontrak setahun lebih awal yang berakhir hujung musim ini.
“Di Assen kami telah capai kata sepakat bahawa kontrak akan ditamatkan setahun lebih awal iaitu pada hujung musim ini.
“Bagaimanapun, amat mengecewakan perlumbaan tidak berlaku dengan baik di GP Styria dan lebih baik kedua pihak (Vinales) tamatkan perjanjian lebih awal.
“Ia juga bagus untuk Vinales menentukan haluannya tanpa sebarang kekangan dan terus fokus mencorak kerjayanya,” kata Pengarah Urusan Yamaha Moto Racing, Lin Jarvis.
Maverick Vinales pelumba paling kontroversi pada musim ini. – Foto ihsan Wikipedia
Konflik Yamaha dan Vinales bukan lagi rahsia apabila pelumba itu disering meluahkan rasa kecewa dengan pasukan diwakilinya.
Pada perlumbaan Styria, Vinales dilihat cuba melakukan kerosakan pada jenteranya sekaligus mengundang bahaya.
Susulan insiden itu, Vinales yang pada mulanya ‘mengunci’ mulut meluahkan rasa kesal dan memohon maaf kepada Yamaha.
Pelumba kelahiran Sepanyol itu mengakui tindakan dilakukan kerana sukar untuk membendung kekecewaan terhadap pasukannya.
Maverick Vinales ketika di MotoGP TT Assen yang merupakan perlumbaan terakhirnya bersama pasukan Monster Energy Yamaha. – Foto ihsan Malay Mail
Terdahulu, Vinales dalam satu kenyataan mengambil maklum mengenai keputusan terbaharu Yamaha.
Vinales mengucapkan terima kasih kepada Yamaha di atas peluang diberikan selama ini selain mendoakan agar pasukan diwakilinya sejak 2017 terus berjaya dalam MotoGP.
“Terima kasih kepada Yamaha untuk tempoh lebih empat tahun ini dan segala kejayaan pernah tercipta akan terus dikenang.
“Saya sentiasa menghormati Yamaha dan mendoakan yang terbaik buat pasukan ini,” katanya.
YAMAHA India terus mengembangkan perniagaan mereka di pasaran negara itu dengan pengenalan model terbaharu FZ-X.
Berada dalam ‘keluarga’ naked bike, FZ-X memiliki gaya retro sama seperti model XSR 155.
FZ-X didatangkan dengan enjin satu silinder SOHC penyejukan udara berkapasiti 149 cc.
Sama seperti model FZS-FI, ia juga dikatakan dapat menghasilkan kuasa 12.4 PS pada 7,250 rpm dan 13.3 Nm tork pada 5,500 rpm.
Bagaimanapun, FZ-X hanya mempunyai transmisi lima kelajuan dan tidak didatangkan dengan sistem Variable Valve Actuation (VVA).
Memiliki look and feel retro, FZ-X masih mempunyai beberapa sentuhan moden.
Ia termasuk penggunaan lampu diod pemancar cahaya (LED) dengan DRL, brek ABS serta panel meter LCD yang mempunyai sistem Y-Connect.
Secara tidak langsung, ia dapat disambungkan kepada telefon pintar dan memaparkan fungsi seperti penggunaan bahan api, waktu servis serta notifikasi mesej atau panggilan.
Model Yamaha FZ-X mempunyai rekaan retro yang ‘disulami’ teknologi moden. – Foto ihsan Facebook/Maxabout.com
Berikut antara ciri-ciri menarik lain terdapat pada FZ-X:
• Tangki bahan api 10 liter
• Fork teleskopik 41 mm
• Monoshock di belakang
• Tempat dengan ketinggian 810 mm bagi penunggang utama
• Berat keseluruhan 139 kilogram
• Brek cakera depan dan belakang
• Rim 17 inci
Setakat ini, harga model FZ-X di pasaran India sekitar Rs1,19,800 atau bersamaan RM6,702.
Namun, persoalan paling penting yang perlu dijawab adalah, “adakah model ini akan memasuki pasaran Malaysia?”
KEHADIRAN Yamaha YZF-R15 atau R15 di jalan raya Malaysia bukan suatu yang baharu.
Tidak keterlaluan jika model ini boleh dikatakan ‘bersepah’ serata pelosok negara sejak dilancarkan beberapa tahun lalu.
Walaupun mempunyai kapasiti enjin yang kecil (155cc) namun, reka bentuk sportbike ala superbike ini membuatkan ia diminati ramai.
Pelbagai modifikasi dilakukan sebilangan besar pemilik R15 sama ada melibatkan bahagian enjin atau komponen lain.
Berdasarkan research dilakukan EnGear, berikut antara modifikasi yang sering dilakukan pemilik R15 ke atas jentera mereka.
Ekzos
Rata-rata pemilik R15 pasti menukar ekzos asal kepada aftermarket.
Terdapat pelbagai jenama ekzos aftermarket antaranya seperti Akrapovic, SC Project, AHM, Sakura, Kozi, R9, MHR dan banyak lagi.
Bagaimanapun, perlu diingat penukaran ekzos adalah suatu tindakan yang salah di sisi undang-undang.
Bak kata bidalan, “berani buat berani tanggung”.
Uma Racing antara syarikat menghasil dan mengedar ECU atau Engine Control Unit.
ECU
Pemilik R15 yang telah menukar ekzos asal kebanyakannya pasti akan menggunakan ECU aftermarket bagi jentera mereka.
Apakah itu ECU? ECU bermaksud Engine Control Unit.
Komponen ini merupakan peranti kawalan elektronik yang mengawal penggerak dalam enjin seperti kadar kemasukan udara, bahan api dan tekanan bahan api dalam sistem.
Monoshock
Salah satu komponen yang sering ditukar pemilik R15 adalah monoshock.
Monoshock ditukar kepada jenama aftermarket mengikut cita rasa masing-masing.
Bagi kebanyakan ‘kaki leper’, penukaran monoshock adalah suatu yang wajib.
Namun, ini tidak bermakna monoshock asal keluaran Yamaha tidak berkualiti ya!
Tayar
Penukaran tayar sering dilakukan juga bagi kebanyakan motor R15.
Menerusi pemerhatian EnGear di media sosial, terdapat sebilangan pemilik mendakwa tayara asal (keluaran kilang) tidak begitu sesuai untuk gaya tunggangan agresif.
Antara jenama tayar boleh didapati di pasaran adalah Timsun, Bridgestone, Pirelli, Metzeler dan banyak lagi.
Jentera R15 kelihatan lebih 'garang' tanpa mudguard belakang.
‘Sunat ekor’
‘Sunat ekor’ adalah tindakan mengeluarkan komponen mudguard terdapat di bahagian belakang motosikal.
Tindakan ini tidak memberi kesan kepada kelajuan motosikal tetapi tidak lain hanya untuk kelihatan lebih ‘garang’.
Oh ya! Jika mudguard dikeluarkan maka apabila waktu hujan faham-faham sahajalah.
Sebenarnya ada banyak modifikasi lain sering dilakukan pemilik R15 yang tidak dapat disenaraikan di sini.
Apa pun, apa yang EnGear senaraikan di atas adalah modifikasi yang sering dilakukan pemilik R15.
Memang seronok untuk melakukan sebarang modifikasi terhadap jentera kesayangan tetapi perlu diingat jangan sampai langgar undang-undang okey!