HLYM serah 200 unit Yamaha Tracer 9 GT kepada PDRM

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) menyerahkan 200 unit Tracer 9 GT kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ia menandakan penyerahan terbesar yang dibuat oleh HLYM kepada PDRM setakat ini.

Jentera ini dipilih atas faktor keselesaan tunggangan, prestasi tinggi, teknologi canggih, ketahanan dan kebolehpercayaan.

Selain daripada itu, PDRM juga yakin akan reputasi Yamaha dalan aspek kualiti dan kebolehpercayaan, disokong rangkaian selepas jualan Yamaha Quality Service (YQS) yang meluas di seluruh negara.

Yamaha Tracer 9 GT ini akan digunakan dalam tugasan iringan peringkat tinggi dan rondaan khas.

 

Yamaha PG-1 2026 dapat dua warna baharu, harga RM6,998

Hong Leong Yamaha Motor mengumumkan dua warna baharu tersedia untuk motosikal Yamaha PG-1 2026.

Dua pilihan warna yang dimaksudkan itu ialah Classic Black dan Sky Blue.

 

Spesifikasi kekal tidak berubah

Yamaha PG-1 masih dijana dengan enjin silinder tunggal 114 cc sejukan udara dengan kuasa 8.9 hp @ 7,000 rpm dan daya kilas 9.5 Nm @ 5,500 rpm.

Kerangka backbone itu disokong dengan suspensi fork teleskopik di depan, dibantu dengan penyerap hentak berkembar di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada tetapan cakera tunggal dan gelendong di belakang.

Secara keseluruhan, berat PG-1 cuma 107 kg dengan tangki bahan api 5.1 liter dan tinggi pelana 795 mm.

Harga jualan cuma RM6,998 atas jalan tanpa insurans dan pendaftaran.

Yamaha Tracer 9 GT 2026 kini di Malaysia – harga dari RM71,888

Hong Leong Yamaha Motor hari ini melancarkan model baharu Yamaha Tracer 9 GT 2026 untuk pasaran Malaysia.

Berbeza dengan model terdahulu, Tracer 9 GT membawakan perubahan dari segi reka bentuk yang lebih garang serta teknologi yang lebih moden.

 

Enjin

Tracer 9 GT dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 890 cc DOHC menghasilkan kuasa 119 PS @ 10,000 rpm dan daya kilas 93 Nm @ 7,000 rpm.

Enjin itu dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan dan menawarkan penggunaan bahan api 5.0L/100 km.

 

Suspensi & Brek

Tetapan suspensi pula terdiri daripada fork teleskopik jenis terbalik (USD) di depan dan lengan-ayun berserta penyerap hentak tunggal di belakang.

Ciri Yamaha Ride Control (YRC) yang dibangunkan oleh KYB akan mengubah tetapan redaman secara automatik berdasarkan mod tunggangan dan keadaan jalan.

Brek pula menggunakan tetapan rotor berkembar 298 mm di depan dan rotor tunggal 267 mm di belakang.

 

Ciri tersedia

Tracer 9 GT serba baharu hadir dengan ciri moden seperti lampu LED Matriks adaptif, sistem quickshifter generasi ketiga, sistem kunci pintar, serta skrin penghadang angin boleh laras secara elektronik.

Segala info boleh diakses menerusi skrin paparan TFT tujuh inci, lengkap dengan sokongan navigasi Garmin dan aplikasi Y-Connect.

Tiga mod tersedia iaitu Sport, Street dan Rain serta dua mod kustom.

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 19 liter sementara tinggi pelana pula 845 mm.

 

Pilihan warna & harga

Terdapat dua pilihan warna iaitu Ceramic Ice dan Tech Black.

Harga jualan bermula dari RM71,888 tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

Yamaha NMAX ABS 2026 dapat 2 warna baharu, harga RM11,499

Hong Leong Yamaha Motor mengumumkan dua warna baharu untuk skuter Yamaha NMAX ABS 2026.

Warna baharu yang dimaksudkan itu ialah Icon Blue dan Crystal Graphite.

Harga jualan Yamaha NMAX ABS 2026 bermula dari RM11,498 (tidak termasuk yuran pendaftaran dan insurans).

Spesifikasi asas NMAX kekal tidak berubah, di mana ia dikuasakan oleh enjin silinder tunggal SOHC 155 cc menghasilkan kuasa 15.2 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 14.2 Nm @ 6,500 rpm.

Suspensi skuter ini menggunakan tetapan fork teleskopik di depan dan penyerap hentak berkembar di belakang, sementara brek pula menggunakan tetapan cakera tunggal 230 mm depan dan belakang.

Berat keseluruhan skuter ini cuma 131 kg, dengan tinggi pelana 775 mm dan kapasiti tangki bahan api sebesar 7.1 liter.

Yamaha YZF R25 70th Anniversary Edition, 400 unit untuk Jepun!

Yamaha Motor Jepun secara rasmi melancarkan varian eksklusif Yamaha YZF R25 70th Anniversary Edition sebagai penghormatan kepada ulang tahun ke 70 penubuhan syarikat.

Reka bentuk edisi ulang tahun ini mengambil inspirasi daripada jentera lumba RD56 tahun 1964 yang merupakan motosikal juara dunia pertama Yamaha dalam kelas 250cc.

Estetik Eksklusif Edisi 70th Anniversary

Bagi varian 70th Anniversary Edition, perbezaan paling nyata adalah pada skema warna ikonik putih dengan garisan merah.

Selain grafik retro tersebut, edisi ini dilengkapi dengan perincian khas yang tidak terdapat pada model standard:

  • Emblem khas ulang tahun ke 70 yang dipasang pada bahagian atas tangki minyak.
  • Logo Yamaha berwarna emas pada sisi tangki bagi membangkitkan aura jentera pasukan perlumbaan kilang.

Edisi khas ini ditawarkan dalam unit yang sangat terhad iaitu hanya 400 unit sahaja bagi pasaran Jepun.

Rangkaian Kuasa

Sistem rangkaian kuasa kekal digerakkan oleh unit 249cc dua silinder sebaris, 4 lejang, DOHC dengan 4 injap bagi setiap silinder serta sistem penyejukan cecair.

Teknologi seperti omboh aluminium tempa yang ringan dan tahan haba tinggi serta silinder DiASil jenis offset terus dikekalkan untuk memastikan kelancaran prestasi.

Yamaha membekalkan tangki dengan kapasiti 14 liter.

  • Kuasa maksimum: 35hp pada 12,000 rpm
  • Tork maksimum: 23Nm pada 10,000 rpm
  • Sistem ekzos: Kekal dengan reka bentuk jenis pendek yang dipasang rapat ke bahagian tengah bawah badan motosikal bagi membantu pemusatan jisim dan memberikan bunyi ekzos yang tajam.

Transmisi Dan Kawalan

R25 dilengkapi dengan sistem Assist dan Slipper Clutch sebagai ciri standard. Teknologi ini memberikan operasi tuas klac yang lebih ringan serta membantu menstabilkan tingkah laku jentera ketika penurunan gear yang agresif untuk mengelakkan roda belakang terkunci.

Berbanding model tahun 2019, rekaan tuas klac telah diubah suai dan diletakkan 5 mm lebih dekat dengan hendal bagi meningkatkan keselesaan penunggang.

Beban operasi tuas klac juga berjaya dikurangkan sebanyak 11 peratus. Selain itu, sistem penukar cepat ditawarkan sebagai aksesori pilihan untuk pertukaran gear ke atas yang lebih pantas.

Kerangka Dan Sistem Suspensi

Bahagian kerangka dan pengendalian jentera ini kekal menggunakan struktur jenis diamond daripada keluli berdiameter 35 mm yang menawarkan keseimbangan ketegaran yang baik.

Sistem suspensi juga tidak berubah dengan penggunaan sepit udang hadapan jenis terbalik berukuran 37 mm untuk kestabilan tunggangan yang sporti.

Bahagian belakang menggunakan suspensi jenis monocross dan lengan ayun asimetri sepanjang 573 mm bagi memastikan penyampaian kuasa ke permukaan jalan dengan cekap.

Teknologi Digital Dan Ergonomik

R25 dilengkapi Unit Kawalan Komunikasi atau CCU. Ciri ini membolehkan jentera disambungkan ke aplikasi Yamaha Motorcycle Connect untuk paparan makluman telefon pada panel meter LCD.

  • Soket USB Type A yang kini disediakan pada bahagian kiri panel meter untuk pengecasan peranti.
  • Lampu penunjuk arah hadapan dan belakang yang kini menggunakan unit LED sepenuhnya.
  • Tempat duduk pembonceng lebar dengan kusyen yang lebih tebal untuk keselesaan.
  • Rekaan badan yang lebih langsing sebanyak 6 mm pada bahagian tempat duduk dan 13 mm pada panel sisi berbanding sebelum ini bagi memudahkan kaki penunggang mencecah bumi.

Harga Dan Ketersediaan

Yamaha YZF R25 70th Anniversary Edition dijadualkan mula dipasarkan di Jepun secara rasmi pada 27 Februari 2026.

Model standard Yamaha YZF R25 ABS ditawarkan pada harga 690,800 Yen (RM 17,739.74).

Varian eksklusif Yamaha YZF R25 70th Anniversary Edition ABS pula boleh dimiliki pada harga 712,800 Yen (RM 18,304.70).

Yamaha Ego Avantiz 2026 hadir dengan 3 warna baharu – harga RM5,998

Hong Leong Yamaha Motor mengumumkan kemas kini penawaran bagi skuter Yamaha Ego Avantiz 2026.

Model tersebut kini ditawarkan dalam tiga pilihan warna baharu, iaitu hitam, biru dan hijau.

Harga jualan pula bermula dari RM5,998 atas jalan tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

Spesifikasi asas skuter ini kekal sama tidak berubah, dimana ia masih dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 125 cc sejukan udara menghasilkan 9.4 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 9.6 Nm @ 5,500 rpm.

Kerangka keluli underbone itu disokong dengan fork teleskopik di depan dibantu dengan penyerap hentak tunggal di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada rotor tunggal hidraulik untuk roda depan, dan brek jenis gelendong di belakang.

Tangki bahan api adalah sebesar 4.2 liter sementara tinggi pelana pula sekitar 773 mm.

Yamaha Ego Gear Pro rasmi di Malaysia – harga RM6,198

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan ketibaan skuter baharu Yamaha Ego Gear Pro dengan harga jualan RM6,198 tidak termasuk insurans.

Skuter ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 125 cc Blue Core Hybrid dengan bantuan Smart Motor Generator (SMG), menghasilkan kuasa 8.4 PS @ 6,500 rpm dan daya kilas 9.9 Nm @ 5,000 rpm.

Enjin ini turut mendapat fungsi Power Assist untuk pecutan yang lebih bertenaga, diikuti operasi Start & Stop yang lebih lancar.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan dibantu dengan tetapan lengan ayun dan penyerap hentak tunggal di bahagian belakang.

Antara ciri yang tersedia termasuklah unit lampu LED, lantai pijak anti-gelincir yang lebar, ruang storan bawah pelana 18.6 liter, tangki bahan api sebesar 5.1 liter, skrin paparan LCD serta sokongan sambungan kepada aplikasi Y-Connect.

Terdapat tiga warna iaitu Stellar White, Navy Green dan Cosmic Blu.

Yamaha YZR-M1 guna enjin V4 pada musim 2026

Yamaha Motor Co., Ltd. secara rasmi mengumumkan penukaran enjin jentera YZR-M1 daripada empat sebaris kepada V4, bermula pada musim Kejuaraan Dunia MotoGP 2026.

Enjin empat sebaris telah menjadi nadi penting dalam identiti perlumbaan Yamaha selama berdekad lamanya dan memacu kejayaan pelumba ikonik seperti Valentino Rossi, Jorge Lorenzo dan Fabio Quartararo.

Gabungan unik ketangkasan dan penyampaian kuasa yang lancar daripada konfigurasi ini telah menghasilkan rekod pencapaian yang cemerlang.

Sepanjang penggunaannya, enjin empat sebaris telah bersaing dalam 429 Grand Prix, mencatatkan 125 kemenangan perlumbaan dan naik ke podium sebanyak 352 kali.

Konfigurasi enjin ini juga membantu Yamaha meraih:

  • 8 Kejuaraan Pelumba
  • 7 Kejuaraan Pasukan
  • 5 Kejuaraan Pengeluar
  • 5 Kejuaraan Triple Crowns MotoGP

Evolusi MotoGP

Seiring dengan perubahan teknologi MotoGP, Yamaha menyahut cabaran teknikal baharu ini sambil mengekalkan identiti jenama mereka.

Peralihan kepada enjin V4 menandakan pencapaian penting dalam usaha Yamaha meningkatkan prestasi dan inovasi.

Konfigurasi enjin V4 baharu dijangka menawarkan beberapa peningkatan teknikal utama, termasuk:

  • Pecutan yang lebih baik
  • Pengendalian yang lebih baik semasa membrek
  • Penyesuaian yang lebih tinggi terhadap keperluan tayar dan aerodinamik terkini

Pembangunan pesat enjin V4 sepanjang 2025 menyerlahkan kesungguhan Yamaha untuk berada di barisan hadapan teknologi MotoGP, sambil tetap menghormati warisan perlumbaan mereka.

Permulaan Era Baharu

Grand Prix Valencia menjadi perlumbaan terakhir bagi empat sebaris ikonik Yamaha di MotoGP.

Sebagai permulaan kepada era baharu ini, semua pelumba MotoGP Yamaha musim 2026 dijadualkan akan menguji jentera yang dikuasakan enjin V4 buat pertama kali semasa Ujian Valencia pada hari Selasa.

Episod baharu ini permulaan yang menarik untuk Yamaha dan peminat di seluruh dunia. Untuk rekod, Yamaha telah memperkenalkan YZR-M1 dengan enjin V4 di Misano pada September lalu.

Yamaha V4

Yamaha YZR-M1 V4 Misano

Yamaha Y15ZR kini dengan tiga warna baharu, harga dari RM8,998

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan kemaskini penawaran bagi model kapcai Yamaha Y15ZR dengan tiga warna baharu.

Warna yang dimaksudkan ialah Blue Spark, Aqua Violet dan Mecha Green.

Yamaha Y15ZR dengan warna baharu ini sudah tersedia di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 6 November lalu, dengan harga jualan dari RM8,998 tidak termasuk pendaftaran dan insurans.

Spesifikasi asas Yamaha Y15ZR masih kekal dengan nadi silinder tunggal 150 cc sejukan cecair SOHC menghasilkan 15.2 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 13.8 Nm @ 7,000 rpm.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik di depan diikuti dengan lengan ayun di belakang, manakala sistem brek pula menggunakan tetapan rotor tunggal untuk kedua-dua roda.

Y15ZR menawarkan tangki sebesar 4.2 liter dengan tinggi pelana 780 mm.

Yamaha YZF-R25 2025 rasmi di Malaysia – harga RM23,098

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) secara rasmi melancarkan jentera 250 cc Yamaha YZF-R25 2025 yang telah dipertingkatkan.

Perubahan besar yang dibawakan pada versi facelift ini sudah pasti rupa paras dengan muka depan yang diinspirasikan daripada model R yang lebih besar, lampu depan yang lebih tajam serta lampu belakang baharu.

Seperkara lagi, skrin paparan LCD kini dilengkapi dengan sambungan kepada aplikasi peranti pintar Y-Connect.

Dari segi kuasa, R25 menggunakan enjin 249.5 cc yang mampu menjana kuasa 35.4 hp @ 12,000 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 10,000 rpm dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan serta klac assist/slipper.

Suspensi terdiri daripada fork teleskopik jenis terbalik di depan, diikuti penyerap hentak tunggal di belakang.

Sistem brek pula menggunakan angkup dua omboh di depan dan angkup omboh tunggal di belakang, dibantu dengan sistem brek ABS dua saluran secara standard.

Kapasiti tangki bahan api sebesar 14 liter sementara tinggi pelana pula 780 mm.

Untuk pasaran Malaysia, terdapat dua pilihan warna iaitu Pearl Blue dan Racing Blue, dengan harga jualan bermula dari RM23,098.

Yamaha NVX 2025 dilancar – enjin 155cc VVA, teknologi Turbo Y-Shift, harga dari RM11,998

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) baru-baru ini melancarkan Yamaha NVX generasi baharu untuk pasaran tempatan, menampilkan reka bentuk lebih sporty, teknologi moden serta pilihan dua varian iaitu NVX ABS dan NVX SP.

Skuter automatik ini dikuasakan enjin Blue Core 155cc dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA) yang dipadankan bersama Yamaha Electric CVT (YECVT), menawarkan prestasi bertenaga dan kecekapan bahan api lebih baik.

Varian SP mempunyai dua mod tunggangan iaitu Town Mode untuk perjalanan bandar yang lebih lancar dan jimat minyak, serta Sport Mode untuk memberikan tindak balas pendikit lebih responsif.

Menariknya, ia turut dilengkapi dengan teknologi Turbo Y-Shift yang dikawal melalui suis ibu jari, membolehkan penunggang memilih tiga tahap pecutan dan nyahpecutan.

Dari segi teknologi, kedua-dua varian didatangkan dengan sistem Yamaha Y-Connect yang membolehkan sambungan telefon pintar bagi fungsi seperti sejarah tunggangan, peringatan penyelenggaraan dan rekod penggunaan minyak.

Untuk varian SP, Y-Connect turut menyokong navigasi Google Maps yang dipaparkan melalui skrin TFT cockpit dengan tiga mod paparan berbeza, menjadikannya lebih premium dan mesra pengguna.

Aspek keselamatan juga dititikberatkan dengan penggunaan brek cakera hadapan dan belakang, ABS satu saluran bagi varian ABS, manakala varian SP mendapat tambahan sistem Traction Control (TCS).

Kedua-dua varian turut dilengkapi dengan Emergency Stop Signal (ESS) serta rangka baharu yang lebih kukuh.

Dari seg kelengkapan pula, NVX baharu menawarkan sistem keyless start, fungsi henti-mula automatik serta port pengecasan USB-C untuk kemudahan mengecas peranti mudah alih.

Yamaha NVX ABS 2025 ditawarkan pada harga RM11,998 manakala model lebih premium, NVX SP 2025, dijual pada harga RM14,498. Kedua-dua varian kini boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara.

HLYM lancar Yamaha TMax Tech Max 2025 – RM75,888

Selain skuter 250 cc Yamaha Xmax 2025, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut sama melancarkan sebuah lagi skuter maxi, iaitu Yamaha TMax Tech Max 2025.

Skuter ini dikuasakan enjin dua silinder sebaris 562 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 47.6 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 55.7 Nm @ 5,250 rpm yang dipadankan dengan transmisi CVT dan pacuan tali sawat.

Untuk model tahun 2025 ini, Yamaha TMax Tech Max membawakan beberapa perubahan, seperti unit lampu nyalaan siang (DRL) yang direka semula, diikuti dengan tempat duduk bertekstur untuk keselesaan penunggang.

Skuter ini turut menampilkan rekaan corong pengambilan yang dipertingkatkan untuk runut bunyi yang lebih mengujakan terutama ketika sedang memecut atau memotong kenderaan di hadapan.

TMax Tech Max masih kekal dengan penggunaan rim saiz 15 inci, namun untuk model 2025 ini ia diberikan unit rim machine-cut untuk kemasan yang lebih menyerlah.

Aspek tunggangan dibantu dengan ciri elektronik seperti unit pengukuran inersia (IMU), Yamaha Brake Control (BC) atau Cornering ABS, kawalan jelajah yang ditambah baik, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Skrin TFT bersaiz tujuh inci itu kini menampilkan unit kawalan komunikasi (CCU) yang serasi dengan aplikasi Y-Connect, serta aplikasi Garmin Motorize yang boleh dipasang pada peranti pintar.

Ciri lain masih lagi dikekalkan termasuklah skrin penghadang angin larasan elektrik, fork hadapan teleskopik, lengan ayun belakang, tangki bahan api sebesar 15 liter, serta tinggi pelana 800 mm.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha TMax Tech Max boleh didapati dalam pilihan warna Magma Black atau Ceramic Grey, dengan harga jualan RM75,888 tidak termasuk insurans dan pendaftaran.

Yamaha XMax 2025 rasmi dilancarkan – RM24,888

Bertempat di Malaysia Autoshow 2025, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) secara rasmi membawakan skuter maxi Yamaha XMax 2025 untuk pasaran tempatan.

Dari segi kuasa, ia kekal dengan enjin silinder tunggal 250 cc menghasilkan kuasa 22.5 hp @ 7,000 rpm dan 24.3 Nm @ 5,500 rpm.

Perubahan yang dibawakan pada XMax 2025 adalah lebih bersifat kosmetik, seperti contoh skrin penghadang angin larasan elektrik yang lebih pendek dan lebar, diikuti dengan perumah tunggal yang menempatkan paparan TFT dan LCD.

Selain daripada itu, XMax 2025 turut dilengkapi dengan lampu isyarat berhenti kecemasan (ESS) yang akan diaktifkan sewaktu sistem mengesan skuter ini berhenti lebih pantas berbanding jangkaan.

Untuk kemudahan sewaktu perjalanan, terdapat port pengecasan USB Type-C disediakan untuk mengecas peranti pintar atau peranti yang bersesuaian.

Yamaha XMax 2025 boleh didapati dalam pilihan warna Icon Red atau Ceramic Grey, dengan harga jualan RM24,888 tidak termasuk pendaftaran dan insurans.

Yamaha MT-15 2025 tersedia dengan warna Ice Storm – harga RM12,498 di Malaysia

Selain daripada kemas kini untuk model kapcai Y15ZR, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) turut mengumumkan penawaran warna baharu Ice Storm untuk Yamaha MT-15 2025.

Selain Ice Storm, pembeli juga masih boleh mendapatkan warna Midnight Black sedia ada, dengan harga jualan RM12,498 tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran.

Jentera bersesaran 155 cc ini mampu menghasilkan kuasa 19 hp @ 10,000 rpm dan daya kilas 14.7 Nm @ 8,500 rpm.

Ciri lain termasuklah fork teleskopik hadapan, penyerap hentak tunggal di belakang, sistem brek cakera, pelana setinggi 810 mm dan tangki bahan api sebesar 10 liter.

Yamaha MT-15 2025 boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha bermula 8 April 2025.

Yamaha Y15ZR SE 2025 kini dengan warna Bronze Fury – RM9,498 di Malaysia

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mengumumkan model Yamaha Y15ZR edisi khas (SE) yang tersedia dalam warna Bronze Fury.

Setiap pembelian Yamaha Y15ZR SE akan disertakan dengan visor sporti, serta bakul premium Yamaha yang lengkap dengan slot pengecas USB C.

Yamaha Y15ZR SE ini boleh didapati di semua pengedar sah Yamaha di seluruh negara bermula 7 April 2025, dengan harga bermula RM9,498 tidak termasuk insurans dan yuran pendaftaran.

Pemilik Yamaha Y15ZR SE akan turut mendapat pakej kunci cakera brek bernilai RM100 secara percuma.

Untuk spesifikasi, ia masih lagi kekal dengan enjin silinder tunggal 150 cc sejukan cecair menghasilkan 15.2 hp @ 8,500 rpm dan 13.8 Nm @ 7,000 rpm.

Hong Leong Yamaha lancar kempen keselamatan jalan raya bertemakan ‘Terang Dalam Gelap’

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal & Skuter Malaysia (MMSDA) melancarkan kempen keselamatan tahunan bertemakan ‘Terang Dalam Gelap’ bertempat di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, baru-baru ini.

Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang keselamatan menunggang pada waktu malam, selain menawarkan inisiatif keselamatan termasuklah program penukaran helmet, pemeriksaan keselamatan motosikal dan aktiviti interaktif awam.

HLYM menggunakan pendekatan baharu dengan mengadakan kempen pada waktu petang, selari dengan aktiviti komuniti tempatan dan kawasan bazar yang sibuk.

 

Selain daripada itu, ia juga menggunakan pendekatan cerita yang kreatif menggunakan watak bergambar dan penglibatan digital yang interaktif untuk mengukuhkan mesej keselamatan jalan raya.

Dengan cara ini, HLYM berharap kempen yang dilaksanakan ini dapat memberikan impak yang lebih berkesan, selain memastikan motosikal untuk perjalanan balik kampung yang lebih selamat dan lancar.

Menurut Dato’ Professor Dr. Jim Khor, Pengarah Urusan Kumpulan, Hong Leong Industries Berhad berkata, “Di HLYM, peranan kami lebih dari sekadar membekalkan motosikal, kami prihatin terhadap keselamatan penunggang kami.

“‘Terang Dalam Gelap’ lebih dari sekadar kempen, ia adalah cara kami menjaga komuniti dan membekalkan mereka dengan pengetahuan serta alat yang betul untuk menunggang dengan selamat,” ujarnya.

HLYM turut meneruskan inisiatif kempen keselamatan ini dengan menganjurkan Kempen Pemeriksaan Motosikal Percuma di semua pengedar Yamaha yang sah di seluruh negara bermula 20 hingga 27 Mac 2025.

Penunggang motosikal yang menyertai kempen ini akan menerima pemeriksaan motosikal secara percuma dan berpeluang memenangi hadiah menarik yang ditaja oleh Genblu Reward.

Yamaha dedah prototaip sistem hibrid siri selari untuk skuter saiz pertengahan

Tidak cukup dengan sistem hibrid ringkas yang telah digunakan pada model-model produksi sedia ada, Yamaha kini memperlihatkan prototaip Series Parallel Hybrid Electric Vehicle (SPHEV) yang direka untuk skuter kelas pertengahan.

Sistem hibrid siri selari ini menggandingkan enjin dengan dua motor elektrik yang dipadankan pada skuter XMAX yang telah diubahsuai.

Salah satu daripada motor elektrik tersebut digunakan untuk menggerakkan roda, manakala sebuah lagi motor elektrik dihubungkan terus dengan enjin untuk menjana kuasa elektrik.

Sama seperti mana-mana unit rangkaian kuasa hibrid, sistem SPHEV ini menawarkan mod pemanduan elektrik tanpa menggunakan khidmat enjin, mod pemanduan hibrid bersiri untuk tunggangan yang lebih cekap, atau operasi enjin pada kelajuan yang lebih tinggi.

Menariknya, sistem SPHEV ini juga menawarkan mod tujahan (boost).

Mod dual boost akan menggunakan kuasa daripada enjin dan motor pacuan, manakala mod triple boost pula akan menggunakan kuasa daripada motor penjana

Selain daripada skuter, Yamaha juga sedang meneroka potensi unit rangkaian kuasa ini untuk dipadankan pada model lain seperti streetbike dan juga sportsbike.

Yamaha FZ versi hibrid ringan muncul di pasaran India

Tidak seperti segmen motosikal dan skuter elektrik, kita mungkin sukar untuk mencari jentera dua roda yang dipacu oleh enjin hibrid.

Kawasaki sebelum ini pernah mendedahkan dua buah model hibrid, iaitu Ninja 7 Hybrid dan Z7 Hybrid.

Bagaimana pula dengan Yamaha?

Bertempat di Bharat Mobility Expo 2025 yang berlangsung pada bulan lepas, Yamaha Motor India tampil dengan sebuah motosikal naked yang pernah popular di Malaysia suatu ketika dahulu – FZ.

Lebih tepat lagi, Yamaha FZ-S Hybrid serba baharu yang dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149 cc sejukan udara dengan kuasa 12.4 hp dan 13.3 Nm.

Tidak seperti sistem hibrid yang wujud pada jentera Kawasaki, FZ-S Hybrid ini bergantung kepada sistem hibrid ringan (mild-hybrid), di mana tujahan kuasa ekstra dibekalkan oleh komponen Integrated Starter Generator (ISG).

Biarpun tiada kelebihan dari segi tunggangan sifar emisi yang lebih jauh, bantuan daripada motor elektrik tersebut boleh mengubah karakteristik enjin 150 cc menjadi seakan 200 cc terutama ketika pecutan atau memotong kenderaan.

Dengan sistem hibrid ringan ini, tidak mustahil setangki penuh 13 liter boleh mencapai jarak tunggangan sejauh lebih 480 km.

Ciri lain termasuklah:

  • fork teleskopik hadapan 41 mm
  • penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban 7 tahap
  • rim aloi 17 inci
  • tinggi pelana 790 mm
  • kawalan cengkaman (TCS)
  • rotor brek 282 mm depan, 220 mm belakang
  • sistem brek ABS saluran tunggal

Di pasaran India, Yamaha FZ-S Hybrid dijual pada harga INR130,700 (RM6.6 ribu).

Yamaha Y16ZR 6MRO dilancarkan – 3,000 unit sahaja, RM13,668

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) mencatat sejarah dengan pengeluaran motosikal yang ke-6 juta unit baru-baru ini.

Bagi meraikan pencapaian itu, HLYM telah melancarkan model edisi terhad Yamaha Y16ZR 6th Million Roll Out (6MRO) ke pasaran tempatan.

Jika dibandingkan dengan versi standard, Y16ZR 6MRO tampil lebih menonjol dengan livery dwi warna serta grafik dengan efek khas “chameleon” yang boleh bertukar warna.

Selain itu, model ini juga boleh dibezakan menerusi logo ‘glow in the dark’ pada bahagian sisi dan lencana khas yang tertera nombor siri pengeluaran.

Tiada sebarang perubahan dari segi mekanikal. Y16ZR 6MRO mengekalkan enjin 155 cc SOHC VVA silinder tunggal yang mampu menghasilkan 17.7 hp dan 14.4 Nm.

Menurut HLYM, pengeluaran model ini akan dihadkan kepada 3,000 unit sahaja. Harga jualan bermula dari RM13,668 (harga atas jalan tidak termasuk insurans).

Setiap pembelian didatangkan dengan pakej eksklusif yang terdiri daripada kotak paparan, seutas jam tangan Casio G-Shock, plat sijil pemilikan logam dan model die-cast.

Tidak cukup dengan itu, pembeli juga akan menerima sebuah topi keledar Tekhne dalam warna yang sedondon dengan motosikal.

HLYM rai pengeluaran motosikal ke-6 juta, lancar pembukaan muzium Space Y

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) meraikan pencapaian pengeluaran motosikal yang ke-6 juta, bertempat di kilang Sungai Buloh.

Model yang ke-6 juta ini merupakan sebuah Yamaha Y16ZR dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Dato’ Prof. Dr. Jim Khor selaku Pengarah Urusan Hong Leong Industries Bhd; Katsuaki Watanabe, Pengerusi, Pengarah dan Presiden Yamaha Motor Jepun; Datuk Kwek Leng San, Presiden dan CEO Hong Leong Manufacturing Group dan Datuk Wee Hong, Pengerusi Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia.

Menurut Dato’ Jim Khor, “Sebelum ini, angka produksi 5 juta merupakan satu pencapaian yang membanggakan yang dicapai dalam tempoh masa 46 bulan.

“Hari ini, kami meraikan pencapaian 6MRO hanya dalam tempoh masa 37 bulan sahaja, menandakan produksi jutaan terpantas di dalam sejarah industri motosikal Malaysia.

Serentak dengan pencapaian tersebut, HLYM turut secara rasmi membuka muzium motosikal yang pertama di Malaysia, Space Y yang turut diiktiraf oleh Malaysia Book of Records.

Terletak di HQ Yamaha Motor Lifestyle Station, Space Y menawarkan ruang seluas 9,000 kaki persegi yang menyediakan pameran yang menarik, termasuklah ruang sejarah dan perlumbaan, terowong inovasi, ruang seni interaktif, teater dan kedai barangan eksklusif Space-Y.

Dibuka setiap hari kecuali Ahad (10.00 am-5.00 pm), pengunjung tidak akan dikenakan yuran kemasukan sehingga 31 Disember 2024.

Bermula Januari 2025, yuran kemasukan sebanyak RM5 untuk dewasa dan RM3 untuk kanak-kanak akan dikenakan.

 

HLYM Space Y