Volvo akan perkenal sistem PHEV baharu untuk siri model 60 dan 90 – kapasiti lebih besar, jarak EV lebih jauh

VOLVO Car Malaysia memperkenalkan rangkaian kuasa hibrid plug-in (PHEV) yang baru dipertingkatkan untuk semua model Recharge T8 mereka bagi jarak pemanduan EV lebih jauh serta prestasi lebih baik.

Ciri utama untuk sistem PHEV baharu nanti termasuklah:

– Bateri 18.8kWh menggantikan 11.6kWh sebelumnya;

– Motor elektrik belakang baharu 145hp berbanding 88hp sebelumnya;

– Jarak EV meningkat sehingga 90km berbanding 40 hingga 49km sebelumnya;

– Pelepasan CO2 lebih baik;

– Jumlah kuasa meningkat sebanyak 462hp berbanding 407hp sebelumnya;

‘One-pedal driving’ pada model XC60 dan S90 PHEV

Dalam bateri jarak jauh baharu, lapisan ketiga sel dibina untuk meningkatkan tenaga nominal daripada 11.6kWh kepada 18.8kWh, memberikan motor elektrik belakang yang lebih berkuasa sebanyak 145hp.

Kuasa elektrik tambahan memberikan jumlah kuasa yang meningkat sebanyak 462hp, menawarkan jarak pemanduan EV lebih besar antara 70 hingga 90km.

“Barisan PHEV baharu kami akan mengubah cara pelanggan kami menikmati pemanduan elektrik,” kata Charles Frump, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia.

“Rangkaian kuasa yang dipertingkatkan membolehkan pelanggan kami memandu secara mampan pada jarak yang lebih jauh, pada masa yang sama memberikan mereka keyakinan jarak yang sesuai dengan keperluan kehidupan seharian mereka.”

Di samping ciri baharu dan dipertingkatkan, Volvo Car Malaysia telah melaraskan harga semua kenderaan mereka mulai 1 Mei 2022 lepas.

Pelarasan harga akan bermula dengan model semasa Volvo iaitu XC40 T5, XC40 Recharge T5, XC60 B5 dan XC90 B5 manakala barisan baharu siri 90 dan 60 akan dijual pada harga baharu selepas ia dilancarkan.

Harga untuk model Recharge T8 semasa kekal sama dan akan dijual sementara stok masih ada.

65 pelanggan mula terima Volvo XC40 Recharge Pure Electric

VOLVO Car Malaysia (VCM) baru-baru ini telah menyerahkan kumpulan pertama XC40 Recharge Pure Electric kepada pelanggan mereka di negara ini.

Sebanyak 65 pemilik menerima EV pertama keluaran Volvo itu, dan acara penyerahan itu juga menandakan satu detik bermakna untuk Volvo mengorak langkah elektrifikasi mereka.

Setakat ini, VCM telah menerima lebih 300 tempahan untuk XC40 Recharge EV dan dijangka menyerahkan sejumlah 100 unit SUV itu menjelang hujung bulan ini.

Volvo XC40 Recharge Pure Electric dijual pada harga RM262,459.75 dan ditawarkan dalam lima warna iaitu Black Stone, Crystal White Pearl, Denim Blue, Glacier Silver dan Sage Green.

XC40 Recharge EV dilengkapi pek bateri lithium-ion 78kWh yang boleh memberikan jarak pemanduan sehingga 418km. Pecutan ke 100km/j pula boleh dilakukan dalam 4.9 saat sahaja, sementara kelajuan maksima dihadkan kepada 180km/j.

Untuk pengecasan, tahap bateri boleh mencapai 80 peratus dalam hanya 40minit menggunakan pengecaj pantas DC. Jika menggunakan pengecaj AC biasa dengan kapasiti 11kW, pengecasan ke tahap 80 peratus akan mengambil masa kira-kira 7 jam setengah.

Volvo XC40 Recharge EV dilengkapi dengan navigasi yang dikatakan terbaik dalam kelasnya. Google Maps akan diintegrasi sepenuhnya dan disokong oleh Google Assistant yang akan memberikan maklumat seperti trafik dalam masa sebenar.

Kami juga telah memandu uji SUV elektrik ini, anda boleh jemput baca di sini.

Jemput juga tonton video ringkas kami di bawah ini:

Volvo XC40 Recharge EV: Alkisah pemanduan satu-pedal – Pandu uji

BEBERAPA minggu lepas, Volvo Car Malaysia (VCM) melancarkan SUV terkini mereka yang juga sebuah EV atau kenderaan elektrik sepenuhnya.

Perkenalkan XC40 Recharge Pure Electric P8, ya suatu nama yang agak panjang, ia merupakan EV pertama dari Volvo. XC40 ini juga dipasang di Malaysia, jadi ia juga EV CKD pertama negara ini!

Sehari selepas pelancaran, kami telah dijemput oleh VCM untuk memandu uji SUV bergaya ini. Ia pemanduan ringkas satu hari, jadi saya tidak akan bercerita terlalu menyeluruh.

Sebaliknya saya akan ulas tanggapan pertama memandu EV ini, terutamanya mengenai pemanduan satu-pedal (one-pedal driving) dan kerisauan jarak pemanduan (range anxiety).

Latar belakang Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8

Untuk yang belum tahu, VCM pada awalnya memperkenalkan XC40 T5 iaitu versi enjin petrol biasa. Kemudian varian XC40 Recharge T5 ditambah iaitu versi plug-in hybrid (PHEV) gabungan enjin pembakaran dalaman dan sistem janaan elektrik.

Jadi untuk XC40 Recharge Pure Electric, ia menampilkan pek bateri lithium-ion 78kWh yang menghantar kuasa ke dua motor elektrik (satu di gandar depan, satu lagi di gandar belakang), menjadikan jentera ini sebuah all-wheel drive (AWD).

Kuasa oleh motor elektrik adalah setinggi 402hp (300kW) dan 660Nm tork, membolehkan SUV ini memecut dari 0 ke 100km/j dalam hanya 4.9 saat. Kelajuan maksima pula – seperti semua model Volvo terkini – dihadkan pada 180km/j.

Dari segi rekabentuk luaran, XC40 Recharge EV ini nampak hampir serupa dengan versi petrol biasa, kecuali pada beberapa bahagian.

Pertamanya, gril depan rata yang bertutup, kemudian tulisan “RECHARGE” pada tiang-C kiri dan kanan, serta tempat mengecaj pada fender depan kiri.

Bahagian dalaman juga serupa dengan XC40 T5, tetapi Recharge EV ini ‘kehilangan’ butang penghidup enjin. Bukan kerana ia tiada enjin, tetapi anda tidak perlu menghidupkannya, XC40 ini terus dalam keadaan bersedia dan ‘hidup’ sebaik sahaja anda masuk ke dalam dengan kunci bersama.

Untuk spesifikasi lanjut, jemput baca di sini.

Sekarang, kita terus ke bab pemanduan.

Sama tapi berbeza

Masuk ke dalam, walaupun ruang kabin dan segala butang kawalan nampak sama, tetapi tidak 100 peratus serupa. Paling ketara seperti dinyatakan di atas, tiada butang penghidup enjin.

Sebaik anda masuk ke dalam, XC40 ini sedia dipandu. Hanya perlu tunggu tukar gear kepada Drive sahaja. Jadi, tiada istilah ‘panaskan enjin’ di sini. Anda nak terus tekan pedal rapat ke lantai pun tiada masalah.

Semasa mula memandu, saya pada awalnya agak berhati-hati dan sentiasa mengingatkan diri bahawa XC40 ini mempunyai lebih 400hp dan 660Nm tork.

Tetapi selepas mengemudi kesesakan trafik keluar dari The Saujana memasuki NKVE, ternyata kuasa dan outputnya mudah dikawal. Ia terasa lancar dan kita boleh hampir terlupa bahawa ia mempunyai kuasa yang mampu menyaingi kereta sports.

Yang pasti, kuasa memang sepantas kilat; tekan sahaja bila-bila masa, anda dapat daya tujahan maksima. Tidak perlu tunggu turbo boost, tidak perlu tunggu rpm tertentu, tork maksima boleh didapati dari 0 rpm.

Ya, itulah magik sebuah kereta elektrik. Cuma Volvo XC40 setakat ini berjaya menyampaikannya dalam satu pakej praktikal dan mudah dipandu.

Tahukah anda kuasa yang tinggi juga meningkatkan keselamatan? Anda dapat pecut dengan mudah untuk susur masuk lebuhraya tanpa pemandu di lorong utama brek, maka aliran trafik lebih lancar, pemandu di sekeliling juga akan lebih tenteram maka semua orang gembira.

Keyakinan untuk memotong juga meningkat, seperti semasa kami di laluan berliku dan berselekoh di Janda Baik. Tork yang tinggi memudahkan kereta keluar dan memecut, maka proses memotong di jalan sempit mengambil masa kurang 10 saat.

Volvo XC40 pada asalnya sudahpun cukup selesa tetapi dengan versi Recharge EV ini, tiada gegaran enjin maka tahap NVH (noise, vibration dan harshness) adalah lebih rendah. Pemanduan jarak jauh pasti lebih nyaman untuk semua.

Cuma disebabkan XC40 Recharge EV ini kira-kira 440kg lebih berat dari versi petrol, penyelenggaraan komponen getah pasti meningkat seperti bushing pada suspensi dan terutamanya tayar. Kenderaan lebih berat bermakna tayarnya lebih cepat haus.

Ya, sememangmanya penyelenggaraan di bahagian lain terutamanya sistem janaan jauh lebih rendah dalam kenderaan EV kerana kurangnya komponen bergerak seperti dalam enjin.

Pemanduan satu-pedal

Satu perkara menarik dengan kereta elektrik ialah anda boleh melakukan pemanduan satu-pedal. Bergantung kepada tetapan dan mod, kereta elektrik mempunyai fungsi regenerative dimana daya kinetik atau haba boleh ditukar semula kepada tenaga elektrik untuk disimpan ke dalam bateri.

Bila diaktifkan, fungsi regenerative akan membantu memperlahankan kenderaan tanpa perlu menggunakan brek kaki.

Tetapi dengan Volvo XC40 Recharge EV ini, sensasi regenerative padanya adalah paling ketara dan paling kuat paling saya pernah rasa sepanjang pengalaman saya bersama kenderaan elektrik hinggakan hampir tidak perlu langsung menekan pedal brek.

Malah, semasa turun dari Genting Highlands selepas makan tengahari di Janda Baik, rasanya kurang dari lima kali saya menekan pedal brek! Ya benar, untuk memasuki selekoh sambil menuruni bukit, jarang perlu menekan brek.

Bagaimana?

Mod pemanduan satu-pedal ini aktif secara default dalam XC40 (anda boleh padamkannya jika mahu) dan jika pada kelajuan 90km/j misalnya dan anda mahu memperlahankan kenderaan, anda tidak perlu mengangkat kaki sepenuhnya dari pedal ‘minyak’.

Apa yang perlu dilakukan ialah angkat kaki mungkin suku sahaja, dan ia sudah cukup untuk memperlahankan kenderaan secara berkadar, dan lampu brek sudahpun menyala.

Mengangkat kaki kanan sepenuhnya dari pedal pendikit akan menyebabkan XC40 ini seolah-olah membrek dengan agak mengejut, malah cukup kuat untuk membrek susur keluar dari jalan utama dan memasuki simpang.

Jadi anda mengawal daya ‘brek’ Volvo XC40 Recharge EV ini dengan melaras input pada pedal pendikit minyak, masuk akal?

Ianya satu pengalaman dan sensasi unik, ada beberapa rakan media tidak menyukainya. Saya secara peribadi lebih gemar pemanduan satu-pedal ini mungkin kerana saya memandu kereta dengan transmisi manual, saya kurang gemar kereta coasting atau meluncur ‘kosong’ seperti tiada gear.

Jadi dengan pemanduan satu-pedal seolah-olah ada rasa dan kesan brek enjin.

Kerisauan jarak pemanduan?

Baik, satu lagi perkara utama memandu kereta elektrik ialah range anxiety, risau adakah bekalan kuasa cukup hingga sampai ke destinasi.

Jika perjalanan harian ke tempat kerja mungkin tidak menjadi isu, tetapi jika bercuti hujung minggu atau pulang ke kampung, pasti akan timbul perasaan ini.

Volvo XC40 Recharge EV dengan bateri 78kWh menawarkan jarak pemanduan sehingga 418km. Perjalanan kami pada hari itu sebenarnya kira-kira separuh sahaja dari jangkauannya.

Tetapi walaupun memandu dengan tidak berhati-hati dan ada beberapa kali menekan pendikit rapat ke lantai (untuk menguji pecutan dan merasai torknya), saya masih dapat pulang ke the Saujana dengan bateri berbaki lebih 40 peratus.

Dari pemanduan singkat sehari ini, saya boleh simpulkan bahawa XC40 ini cukup cekap penggunaan kuasanya dan saya yakin boleh mendapat lebih 418km dengan cara memandu dan pengurusan tenaga yang betul.

Paling menarik, integrase Google Maps dalam sistem infotainmen XC40 ini membolehkannya memaparkan bukan sahaja lokasi-lokasi pengecaj berdekatan, tetapi juga anggaran peratusan bateri yang tinggal semasa anda sampai ke destinasi.

Ini sememangnya satu fungsi yang sangat berguna dalam pemanduan seharian XC40 Recharge EV ini.

Kesimpulan

Adakah saya akan beli Volvo XC40 Recharge EV ini? Jika saya berada dalam pasaran untuk mencari SUV berharga antara RM250,000 hingga RM300,000, saya akan memilih versi EV ini.

Jika dulu mungkin agak keberatan, setelah merasainya dan menilai praktikaliti XC40 ini, saya rasa SUV EV sesuatu yang sangat dekat dengan kita lebih dari kita menyedarinya. Yang penting kita ada pengecaj pantas DC di rumah.

Oh ya, kenderaan petrol biasa sekarang dengan kecekapan anggaran 12km/liter dan harga semasa RON95 pada RM2.05 seliter akan memerlukan 33.33 liter atau RM68.33 untuk jarak pemanduan 400km.

Tetapi bagi Volvo XC40 Recharge EV ini dengan kadar bil elektrik semasa 37.45 sen untuk setiap 1kWh akan memerlukan hanya RM29.21 untuk ‘isian penuh’ 78kWh dan memperoleh 418km.

Amacam?

Spesifikasi Volvo XC40 Recharge Pure Electric P8

Harga: RM262,459.75
Kapasiti bateri: 78kWh
Kuasa: 300kW (402hp)
Tork: 660Nm

Harga Volvo XC40 Recharge Pure Electric diumum: RM262k, jaminan 5-tahun

VOLVO Car Malaysia (VCM) beberapa minggu lepas telah melancarkan XC40 Recharge Pure Electric yang merupakan SUV elektrik sepenuhnya.

Walaupun spesifikasinya telah diperincikan, harganya belum didedahkan pada masa itu. Pagi ini, VCM secara rasmi mengumumkan harga XC40 ini iaitu pada RM262,459.75.

Harga ini juga termasuk dengan dengan jaminan kenderaan selama 5 tahun, jaminan bateri HV selama 8 tahun, dan pakej bantuan tepi jalan selama 5 tahun.

Volvo XC40 Recharge EV ini dipasang di Malaysia (CKD) dan menariknya, ia merupakan kenderaan EV CKD pertama di negara ini.

XC40 Recharge EV dilengkapi pek bateri lithium-ion 78kWh yang boleh memberikan jarak pemanduan sehingga 418km. Pecutan ke 100km/j pula boleh dilakukan dalam 4.9 saat sahaja, sementara kelajuan maksima dihadkan kepada 180km/j.

Untuk pengecasan, tahap bateri boleh mencapai 80 peratus dalam hanya 40minit menggunakan pengecaj pantas DC. Jika menggunakan pengecaj AC biasa dengan kapasiti 11kW, pengecasan ke tahap 80 peratus akan mengambil masa kira-kira 7 jam setengah.

Volvo XC40 Recharge EV boleh dibezakan dari varian-varian lain melalui satu ciri unik di luar iaitu gril depannya yang bertutup. Bahagian lain nampak serupa dengan varian bukan EV, dimana slot pengecajnya di lokasi sama dengan XC40 Recharge T5 PHEV.

Volvo XC40 Recharge EV dilengkapi dengan navigasi yang dikatakan terbaik dalam kelasnya. Google Maps akan diintegrasi sepenuhnya dan disokong oleh Google Assistant yang akan memberikan maklumat seperti trafik dalam masa sebenar.

Dengan semangat mapan dan mesra alam, Volvo XC40 Recharge EV dibina menggunakan bahan-bahan yang boleh diberbaharui. Sebagai contoh, karpet di dalam kabin adalah dari plastik kitar semula.

Dari sudut praktikaliti, Volvo XC40 versi elektrik ini membawakan rekaan ruang simpanan pintar di dalam kabin. Anda akan jumpa ruang-ruang simpanan ini untuk botol air, beg gymnasium, telefon pintar, komputer riba, makanan bungkus, malah ruang untuk wayar-wayar pengecaj.

Bahagian lain adalah sama dengan XC40 versi enjin biasa, dimana Recharge EV didatangkan dengan panel instrumen digital 12.3-inci, paparan infotainmen Android Automotive OS dan disokong oleh fungsi-fungsi keterhubungan seperti Volvo On Call.

Ciri lain pula adalah sistem pendingin hawa dwi-zon dengan Clean Zone, kemasan kulit Nubuck dan Nappa, bumbung panoramic, dan sistem audio Harman Kardon 600-watt dengan Quantum Logic.

Perkenal satu EV setiap tahun hingga 2025, Volvo mahu jadikan Malaysia hab EV untuk ASEAN

VOLVO Car Malaysia (VCM) hari ini berkongsi hala tuju mereka di negara ini untuk beberapa tahun akan datang.

Perkongsian itu dibuat dalam pelancaran EV pertama mereka, XC40 Recharge EV yang dilengkapi pek bateri 78kWh dan mempunyai jarak pemanduan sehingga 418km. Boleh baca berita lanjut SUV itu di sini.

Kembali kepada pengumuman, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia, Charles Frump berkongsi beberapa perkara seperti berikut:

  1. Volvo Car Malaysia menyasarkan untuk menjadi jenama kereta mewah elektrik terkemuka di Malaysia;
  2. Mulai 2022, Volvo Car Malaysia akan melancarkan satu model kenderaan elektrik (EV) baru setiap tahun;
  3. XC40 Recharge Pure Electric adalah EV pertama Volvo di Malaysia;
  4. Volvo Car Malaysia adalah jenama kereta mewah pertama di negara ini yang membuat pemasangan tempatan EV dalam bentuk unit CKD;
  5. Harga XC40 Recharge Pure Electric akan diumumkan pada 4 April 2022, di mana pelanggan boleh menempah secara dalam talian pada hari yang sama
  6. Penghantaran XC40 Recharge Pure Electric akan bermula pada penghujung April 2022;
  7. Harga mudah (hassle-free) untuk XC40 Recharge Pure Electric di seluruh Malaysia;
  8. Volvo Car Malaysia akan mula mengeksport kenderaan elektrik ke pasaran dalam rantau ASEAN tidak lama lagi.

Frump berkata, “Volvo Car Malaysia bersedia untuk melaksanakan rancangan global Volvo ke arah mengeluarkan kenderaan elektrik sepenuhnya menjelang 2030, bermula dengan pelancaran XC40 Recharge Pure Electric pada hari ini.

“XC40 Recharge Pure Electric hanyalah salah satu daripada pelbagai inisiatif kami untuk menggalakkan para pengguna menggunakan kenderaan elektrik ke arah masa depan yang lebih lestari,” katanya.

“Menjelang pertengahan dekad, kami menyasarkan untuk mengurangkan keseluruhan pelepasan kitaran hayat CO2 bagi setiap kereta sebanyak 40 peratus.

“Untuk mencapai usaha ini, ia lebih daripada sekadar mengurangkan pelepasan paip ekor melalui elektrifikasi tetapi juga melibatkan pengurangan pelepasan CO2 merentasi operasi dan rantaian bekalan kita.”

Volvo XC40 Recharge EV dilancar, jarak pemanduan 418km, 0-100 dalam 4.9 saat

XC40 Recharge EV telah didedahkan secara rasmi oleh Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini. XC40 Recharge EV ini juga merupakan model elektrik sepenuhnya yang pertama untuk Volvo.

Harga untuk SUV masih belum ada, hanya akan diumumkan pada 4 April nanti, tetapi tempahan sudah boleh dibuat. Penghantaran pula akan mula dibuat pada penghujung April.

Volvo XC40 Recharge EV ini dipasang di Malaysia (CKD) dan menariknya, ia merupakan kenderaan EV CKD pertama di negara ini. Syabas Volvo!

Tambahan lagi, XC40 Recharge EV ini juga akan dieksport ke pasaran-pasaran lain di ASEAN, menjadikan Malaysia hab untuk kenderaan EV Volvo.

XC40 Recharge EV dilengkapi pek bateri lithium-ion 78kWh yang boleh memberikan jarak pemanduan sehingga 418km. Pecutan ke 100km/j pula boleh dilakukan dalam 4.9 saat sahaja, sementara kelajuan maksima dihadkan kepada 180km/j.

Untuk pengecasan, tahap bateri boleh mencapai 80 peratus dalam hanya 40min menggunakan pengecaj pantas DC. Jika menggunakan pengecaj AC biasa dengan kapasiti 11kW, pengecasan ke tahap 80 peratus akan mengambil masa kira-kira 7 jam setengah.

Volvo XC40 Recharge EV boleh dibezakan dari varian-varian lain melalui satu ciri unik di luar iaitu gril depannya yang bertutup. Bahagian lain nampak serupa dengan varian bukan EV, dimana slot pengecajnya di lokasi sama dengan XC40 Recharge T5 PHEV.

Volvo XC40 Recharge EV dilengkapi dengan navigasi yang dikatakan terbaik dalam kelasnya. Google Maps akan diintegrasi sepenuhnya dan disokong oleh Google Assistant yang akan memberikan maklumat seperti trafik dalam masa sebenar.

XC40 Recharge EV juga didatangkan dengan fungsi kemaskini automatik over-the-air atau secara online. Walaubagaimanapun fungsi ini belum boleh didapati untuk pasaran Malaysia, dan menurut VCM, “akan datang”.

Dengan semangat mapan dan mesra alam, Volvo XC40 Recharge EV dibina menggunakan bahan-bahan yang boleh diberbaharui. Sebagai contoh, karpet di dalam kabin adalah dari plastik kitar semula.

Dari sudut praktikaliti, Volvo XC40 versi elektrik ini membawakan rekaan ruang simpanan pintar di dalam kabin. Anda akan jumpa ruang-ruang simpanan ini untuk botol air, beg gymnasium, telefon pintar, komputer riba, makanan bungkus, malah ruang untuk wayar-wayar pengecaj.

Bahagian lain adalah sama dengan XC40 versi enjin biasa, dimana Recharge EV didatangkan dengan panel instrumen digital 12.3-inci, paparan infotainmen Android Automotive OS dan disokong oleh fungsi-fungsi keterhubungan seperti Volvo On Call.

Ciri lain pula adalah sistem pendingin hawa dwi-zon dengan Clean Zone, kemasan kulit Nubuck dan Nappa, bumbung panoramic, dan sistem audio Harman Kardon 600-watt dengan Quantum Logic.

Harga rasmi Volvo V60 2022 diumum – RM287k, varian tunggal Recharge T8 Inscription

SELEPAS menyiarkan beberapa gambar Volvo V60 baharu di laman sosial, Volvo Car Malaysia (VCM) hari ini mengumumkan harga rasmi untuk wagon itu, iaitu RM287,434.

Ia hadir dalam varian tunggal Recharge T8 Inscription iaitu trim paling mewah dalam Volvo, tidak seperti S60 sedan yang mendapat kit badan R-Design.

Recharge T8 juga bermakna ini varian dengan janaan kuasan plug-in hibrid (PHEV). Ini merangkumi enjin Drive-E 2.0-liter yang menghasilkan 320hp dan 400Nm tork, kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik 8-kelajuan.

Ini dibantu dengan motor elektrik di roda belakang berkuasa 87hp dan 240Nm, menjadikan kereta ini sebuah pacuan semua-roda (AWD). Output total pula ialah setinggi 407hp dan 640Nm.

Pecutan 0 ke 100km/j boleh dibuat dalam 4.6 saat dengan kelajuan maksima dihadkan pada 180km/j – sejajar dengan inisiatif Volvo.

Perbezaan utama dengan sedan pastinya kapasiti kargo wagon ini yang lebih besar iaitu 529 liter berbanding 442 liter pada S60. Tempat duduk belakang juga boelh dilipat 60:40 untuk memberikan but seluas 1,441 liter.

Ciri lain termasuklah rim lima-bilah 19-inci, kemasan kulit Charcoal dan Linear Lime, skrin infotainmen menegak 9.7-inci dengan perisian Sensus, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, lampu LED adaptif, rel bumbung berwarna perak, tombol gear Orrefors, paparan instrumen 12.3-inci, dan sistem audio Harman Kardon.

Dan sudah tentu, Volvo V60 dilengkapi ciri keselamatan Pilot Assist yang memberikannya kebolehan pemanduan kendiri Level 2.

Volvo V60 Recharge T8 baharu ini dilindungi dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dan jaminan bateri lapan-tahun atau 160,000km.

Volvo V60 2022 bakal dilancar di Malaysia? Varian PHEV T8, 407hp, 640Nm

VOLVO Car Malaysia mula menyiarkan beberapa gambar Volvo V60 generasi kedua di laman media sosial mereka, menyatakan ianya ‘bakal tiba’ tidak lama lagi.

Volvo V60 mula dilancarkan di Malaysia sekitar awal 2018 tetapi jarang kelihatan selepas itu.

Sama seperti versi sedan iaitu S60, wagon yang lebih praktikal ini akan ditawarkan dalam pakej hibrid plug-in (PHEV) iaitu varian Recharge T8. Ianya juga dijangka dipasang secara tempatan (CKD) memandangkan V60 dan S60 kini telah dijual di Thailand dan diimport dari Malaysia.

Janaan kuasa Recharge T8 merangkumi enjin Drive-E 2.0-liter yang menghasilkan 320hp dan 400Nm tork, kuasa disalurkan ke roda depan melalui kotak gear automatik 8-kelajuan.

Ini dibantu dengan motor elektrik di roda belakang berkuasa 87hp dan 240Nm, menjadikan kereta ini sebuah pacuan semua-roda (AWD). Output total pula ialah setinggi 407hp dan 640Nm.

Pecutan 0 ke 100km/j boleh dibuat dalam 4.6 saat dengan kelajuan maksima dihadkan pada 180km/j – sejajar dengan inisiatif Volvo.

Harga bakal diumum semasa pelancaran rasmi nanti. Sebagai perbandingan, Volvo S60 Recharge T8 R-Design dijual pada harga RM282,540 atas jalan tanpa insurans.

Ramai yang berminat?

Volvo XC60 2021 terima kemaskini gaya dan teknologi, dua varian, dari RM292k

VOLVO Car Malaysia (VCM) hari ini memperkenalkan XC60 facelift untuk pasaran ini, dengan dua varian dan harga seperti berikut:

XC60 B5 Momentum: RM292,266.50
XC60 Recharge T8 Inscription Plus: RM325,449.40

Untuk facelift, SUV saiz sederhana dari Volvo ini menerima perubahan kecil dari segi rupa luaran serta naiktaraf di bahagian teknologi infotainmen.

Di luar, ia mendapat bampar yang direka semula lebih bersegi dan gril jaring petak berbanding sirip menegak pada model sebelum ini.

 

Ciri lain adalah lampu LED sepenuhnya dengan fungsi auto-levelling dan Active High Beam, serta rim aloi 19-inci rekaan berbeza untuk B5 Momentum dan Recharge T8.

Perubahan di bahagian dalam pula adalah pada unit infotainmen baharu yang sebelum ini diberikan pada XC40 EV.

Ia kini menampilkan Android Automotive OS yang menyokong integrasi aplikasi Google seperti Maps dan Assistant. Ia boleh diaktifkan dengan sapaan “Hey Google” sama seperti peranti pintar.

Kelengkapan standard termasuklah kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin infotainmen 9-inci, sistem audio Harman Kardon 600W, pendingin hawa dwi-zon dan soket USB.

Dari segi janaan kuasa, kedua-dua varian B5 Momentum dan Recharge T8 hadir dengan enjin 2.0-liter 4-silinder turbo dan kotak gear automatik 8-kelajuan.

B5 Momentum mempunyai output 249hp dan 350Nm tork, manakala Recharge T8 mempunyai kuasa setinggi 407hp dan 640Nm hasil dari bantuan motor elektrik (87hp/240Nm).

Motor elektrik ini mendapat kuasa dari bateri lithium-ion 11.6-kWh dan mampu memberikan jarak pemanduan EV sejauh 54km.

Volvo XC60 facelift ini juga dilengkapi ciri keselamatan termaju Intellisafe yang merangkumi sistem seperti Front & Rear Collision Warning, Driver Alert Control, Lane Keeping Aid, Blind Spot Information System dengan Steer Assist, Cross Traffic Alert, dan Run-off Road Protection.

Spesifikasi dan maklumat lengkap Volvo XC60 facelift boleh didapati di sini.

Volvo lancar model S90 Recharge pertengahan April

VOLVO Car Malaysia bakal memperkenalkan kenderaan model S90 Recharge terbaharu dalam tempoh terdekat.

Tampil dengan reka bentuk lebih elegan, S90 Recharge turut didatangkan dengan keunikan teknologi elektrik hibrid yang dihasilkan demi kepuasan pemanduan.

Memetik kenyataan Volvo Car Malaysia, sesi pelancaran S90 Recharge dijangka diadakan pada 22 April ini.

“Pada acara ini, kami tidak hanya akan melancarkan Volvo S90 Recharge yang baharu tetapi juga bakal membawa anda melihat kesemua ciri-ciri terdapat pada model itu,” memetik kenyataan itu.

Sesi pelancaran Volvo S90 Recharge turut membawakan Pengarah Pemasaran dan Perhubungan Awam Volvo Car Malaysia Akhtar Sulaiman dan Pengurus Produk Volvo Car Malaysia Sharon Wong.

Orang ramai boleh mengikuti sesi pelancaran itu menerusi platform media sosial Facebook, Volvo Car Malaysia.