Volvo ES90 2026 rasmi di Malaysia – unit CKD, harga RM339,888

Volvo Car Malaysia baru sahaja melancarkan sedan elektrik Volvo ES90 untuk pasaran tempatan.

Dipasang di kilang Shah Alam, Volvo ES90 ini dijual pada harga bermula dari RM339,888.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas tentang ES90 yang perlu anda tahu:

 

1. Dimensi

ES90 berukuran sepanjang 5,000 mm, lebar 2,120 mm, tinggi 1,550 mm dengan jarak antara roda melebihi 3 meter (3,102 mm), menyumbang kepada ruang kabin yang lebih lapang.

Secara standard, ES90 menawarkan ruang kargo sebesar 424 liter dan boleh mencapai sehingga 904 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat.

Ruang frunk pula adalah sebesar 27 liter.

Keempat-empat gerbang roda dihiasi dengan rim saiz 22 inci.

Angka pekali seretan pula adalah serendah 0.25 sahaja.

 

2. Varian tunggal Single Motor Extended Range

Untuk pasaran Malaysia, Volvo ES90 hanya ditawarkan dalam varian tunggal Single Motor Extended Range.

Sedan ini digerakkan oleh motor elektrik pacuan roda belakang menghasilkan 333 hp dan 480 Nm.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 6.6 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 180 km/j.

 

3. Bateri & pengecasan

ES90 dibekalkan dengan pek bateri NCM berkapasiti 92 kWh dan senibina elektrik 800-voltan yang membenarkan jarak pandu sejauh 651 km (data WLTP).

Sedan elektrik ini menyokong pengecasan AC 11 kW (cas penuh 100 peratus dalam 10 jam), serta pengecasan DC sehingga 350 kW.

Ini bermakna, bateri boleh dicas 10-80 peratus SoC dalam masa sepantas 22 minit sahaja.

 

4. Kelengkapan standard

Volvo ES90 didatangkan dengan tetapan suspensi udara aktif, lampu utama dengan rekaan grafik tukul Thor, serta lampu belakang LED berbentuk C.

Ruang kabin pula mendapat ciri seperti bumbung kaca panorama dengan fungsi elektrokromik, skrin paparan digital 9-inci, skrin tengah sebesar 14.5 inci, sistem audio Bowers & Wilkins 1,610 Watt dengan pengalaman bunyi Dolby Atmos dan Abbey Road Studios, serta kawalan iklim 4-zon.

ES90 juga merupakan model pertama Volvo yang dilengkapi sistem perkomputeran NVIDIA DRIVE AGX Orin, lengkap dengan keupayaan 5G serta sokongan kemas kini over-the-air (OTA).

 

5. Keselamatan

Selain kerangka yang kukuh, Volvo ES90 dilengkapi dengan tujuh kamera, lima radar, dan 12 penderia ultrabunyi, serta sistem yang dapat mengesan tahap tumpuan pemandu di atas jalan raya.

Antara ciri keselamatan yang dimuatkan pada Volvo ES90 termasuklah 9 beg udara, sistem pengelakan pelanggaran, brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran belakang, sistem informasi titik buta, amaran lintasan trafik belakang, amaran bukaan pintu, serta bantuan berhenti kecemasan.

Selain itu, sedan ini hadir dengan ciri kamera keliling 360 darjah tiga-dimensi untuk memudahkan urusan pengendalian di ruang yang sempit.

Volvo EX60 serba baharu: Enam perkara yang anda perlu tahu

Volvo akhirnya secara rasmi memperkenalkan SUV elektrik saiz pertengahan EX60 untuk pasaran global.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Tiga pilihan output kuasa

Untuk permulaan, Volvo EX60 boleh didapati dalam tiga varian rangkaian kuasa dengan nama baharu, perinciannya seperti berikut:

P6 Electric
– Motor elektrik tunggal 374 hp/480 Nm
– Pecutan 0-100 km/j 5.9 saat
– Pek bateri 83 kWh
– Jarak pandu 620 km

P10 AWD Electric
– Motor elektrik berkembar 510 hp/710 Nm
– Pecutan 0-100 km/j 4.6 saat
– Pek bateri 95 kWh
– Jarak pandu 660 km

P12 AWD Electric
– Motor elektrik berkembar 680 hp/790 Nm
– Pecutan 0-100 km/j 3.9 saat
– Pek bateri 117 kWh
– Jarak pandu 810 km

Menurut Volvo, secara keseluruhan EX60 boleh didapati dalam tujuh varian yang mampu memenuhi keperluan dan gaya hidup pelanggan.

 

2. Kereta pertama daripada platform SPA3

Volvo EX60 merupakan model pertama yang lahir daripada senibina SPA3 dan dikuasakan oleh sistem perkomputeran HuginCore.

Sistem ini memanfaatkan teknologi seperti cell-to-body, motor elektrik yang dibangunkan sendiri, serta ‘mega casting’ yang lebih ringan dan menawarkan kadar kecekapan tenaga yang lebih baik.

Ia juga membantu EX60 untuk mencapai jejak karbon yang paling rendah untuk sebuah kereta elektrik Volvo, menyamai nilai yang dicapai oleh EX30.

 

3. Pengecasan 400 kW

Menurut Volvo, EX60 boleh menambah jarak sejauh 340 km dalam tempoh 10 minit sahaja dengan menggunakan pengecasan pantas 400 kW.

Varian P6 dan P10 AWD menyokong pengecasan DC 300 kW (10-80 peratus dalam 18 minit), sementara varian P12 AWD pula menyokong pengecasan DC sehingga 400 kW (10-80 peratus SoC dalam 19 minit).

 

4. Luaran

Dari sudut luaran, EX60 ini masih lagi mengekalkan pendekatan rekaan Scandinavia yang minimalis seperti yang diterapkan pada model-model EV seperti EX30 dan EX90.

Disebabkan itu, Volvo EX60 mampu mencapai angka pekali seretan serendah 0.26 sahaja, menyumbang kepada jarak pandu keseluruhan yang terbaik di dalam kelasnya.

Volvo EX60 berukuran sepanjang 4,803 mm, lebar 1,908 mm, tinggi 1,635 mm dengan jarak antara roda sepanjang hampir 3 meter (2,970 mm).

 

5. Kabin

Disebabkan jarak antara roda yang panjang itu tadi serta rekaan lantai rata, ia menyumbang kepada penawaran ruang kaki yang lebih luas dan banyak ruang penyimpanan tersedia.

Sayang sekali, Volvo masih lagi kekal menyumbatkan segala kawalan fungsi utama kenderaan di dalam skrin infohibur di bahagian tengah.

Antara ciri lain yang dimuatkan termasuklah sistem audio Bowers & Wilkins dengan 28 pembesar suara, Apple Music serta pengalaman bunyi Dolby Atmos.

Volvo EX60 juga merupakan kereta Volvo pertama yang dilengkapi dengan ciri kepintaran buatan Gemini AI daripada Google.

Ruang kargo adalah sebesar 634 liter dan boleh mencapai kapasiti sehingga 1,647 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat. Sementara ruang frunk pula sebesar 58 liter.

 

6. Trim Cross Country tersedia

Volvo turut mengesahkan kemunculan EX60 varian Cross Country yang hadir dengan ciri-ciri berikut:
– jarak kelegaan tanah 20 mm lebih tinggi
– suspensi boleh laras dengan tambahan larasan 20 mm
– skid plate bawah badan
– gerbang roda yang lebih lebar
– warna eksklusif Forest Green
– sistem pacuan AWD
– pilihan trim P10 & P12

Volvo ES90 2026: Bakal dilancarkan bulan ini, pendaftaran minat kini dibuka

Volvo Car Malaysia membuka pendaftaran minat bagi model sedan elektrik Volvo ES90 yang bakal dilancarkan pada bulan ini.

Sedan tersebut bakal ditawarkan sebagai model pemasangan tempatan (CKD) menyertai barisan model CKD Volvo sedia ada di Malaysia.

Menurut Pengarah Jualan & Pemasaran Volvo Car Malaysia, Patricia Yaw berkata, “tahun ini amat bermakna buat kami kerana Volvo menyambut ulang tahun ke-60 di Malaysia.

“Lebih istimewa, pencapaian ini diraikan dengan Volvo ES90 CKD, sedan elektrik penuh pertama kami.”

Volvo ES90 berkongsi platform SPA2 (Scalable Product Architecture) yang sama dengan Volvo EX90, menampilkan ciri-ciri berikut:

  • senibina elektrik 800V
  • pengecasan pantas DC sehingga 350 kW (10-80 peratus SoC dalam 22 minit)
  • kuasa 333 PS dan 480 Nm
  • jarak pandu 651 km (data WLTP)
  • sistem perkomputeran NVIDIA DRIVE AGX Orin
  • sokongan kemas kini perisian over-the-air (OTA)

Pendaftaran minat boleh dibuat menerusi pautan volvocars.com/my/cars/es90-electric

Volvo Car Malaysia turut mengumumkan insentif awal sebanyak 2 peratus bagi setiap pembelian ES90, terhad kepada 100 unit pertama yang ditempah sehingga 31 Mac 2026.

Volvo Malaysia perkenal semula jaminan sepanjang hayat untuk alat ganti tulen

Volvo Car Malaysia memperkenalkan semula inisiatif jaminan selepas jualan yang pertama dalam industri di bawah nama Program Jaminan Lanjutan Alat Ganti Volvo.

Program ini menawarkan jaminan seumur hidup tanpa caj tambahan untuk alat ganti Volvo yang dipasang di semua pengedar sah Volvo di seluruh negara.

Program ini direka khas untuk pelanggan yang kenderaan Volvonya telah tamat tempoh jaminan standard, menegaskan komitmen berterusan Volvo terhadap kualiti produk, kepuasan pelanggan, serta pengurangan kos pemilikan jangka panjang dengan alat ganti yang dijamin “Untuk Sepanjang Hayat”.

Berbeza dengan jaminan standard yang datang bersama pembelian kereta baharu, Jaminan Lanjutan Alat Ganti Volvo menawarkan perlindungan seumur hidup termasuk kos buruh untuk semua alat ganti Volvo yang dipasang oleh pengedar sah di luar tempoh jaminan pengeluar asal.

Semua alat ganti Volvo dilindungi di bawah jaminan lanjutan ini, kecuali alat ganti jualan borong, pembelian di-atas kaunter, barangan guna habis, bateri, aksesori, serta komponen yang tertakluk kepada haus dan lusuh.

Alat ganti yang dilindungi di bawah program ini boleh diganti semula tanpa had, tertakluk kepada pengecualian yang telah ditetapkan.

Jaminan lanjutan ini turut meliputi Alat Ganti Volvo yang dibaik pulih (remanufactured parts) yang dijual dan dipasang melalui pengedar sah Volvo.

Ia juga terpakai bagi alat ganti yang diganti oleh bengkel sah Volvo di negara lain yang mengambil bahagian dalam program ini, sekiranya kerosakan berlaku ketika kenderaan berada di sana.

Jika alat ganti yang rosak dan dilindungi di bawah program ini menyebabkan kerosakan pada alat ganti lain yang turut layak menerima perlindungan, alat ganti tersebut juga akan digantikan secara percuma.

Untuk layak menerima perlindungan ini, alat ganti mesti dibeli dan dipasang pada atau selepas 1 Oktober 2021 di pengedar sah Volvo, dengan invois sah sebagai bukti pemasangan.

Jaminan seumur hidup ini tidak boleh dipindah milik dan hanya sah untuk satu pemilik, termasuk bagi kenderaan milik syarikat atau fleet. Pelanggan juga perlu memastikan kenderaan diselenggara mengikut jadual penyelenggaraan yang disyorkan oleh Volvo.

Kenderaan yang tidak dihantar ke bengkel sah Volvo selama lebih dua tahun selepas tamat jaminan standard perlu menjalani pemeriksaan kesihatan kenderaan atas kos pemilik bagi memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik dan tidak diubah suai.

Kesahan program Jaminan Lanjutan Alat Ganti Volvo tertakluk kepada penyelenggaraan berterusan di rangkaian servis sah Volvo.

Untuk menyemak sama ada alat ganti Volvo anda layak di bawah program ini, sila kunjungi pengedar sah Volvo terdekat.

Maklumat lanjut boleh didapati di: https://www.volvocars.com/my/l/volvo-genuine-parts-extended-warranty/.

 

Inilah model terakhir Volvo V90, tamat sudah era wagon jenama Sweden

Tamat sudah era wagon besar Volvo setelah unit produksi terakhir Volvo V90 meluncur keluar dari barisan pemasangan di kilang Torslanda, Sweden.

Unit terakhir Volvo V90 berwarna hitam itu kini menjadi sebahagian daripada Volvo Heritage Collection yang akan dipamerkan di World of Volvo bersama-sama model wagon terdahulu.

Wagon mewah saiz pertengahan itu diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2016, kira-kira dua bulan selepas pengenalan sedan S90.

Selain versi standard, terdapat juga versi Cross Country dengan jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi, dan penampilan yang lebih lasak.

Volvo V60

Setelah model V90 ditamatkan pengeluarannya, jenama Sweden yang sangat sinonim dengan rekaan wagon ikonik itu kini hanya mempunyai sebuah model wagon dalam portfolionya – Volvo V60.

Sama seperti V90, nasib V60 tidak akan bertahan lama.

Ini kerana CEO Volvo Jim Rowan memberitahu Autocar model V60 masih lagi dikeluarkan, namun ia tidak akan diperbaharui setelah kitaran hayatnya tamat.

Rowan juga turut mencadangkan model XC60 diposisikan semula dengan varian seperti Black Edition atau Cross Country untuk menarik minat golongan pembeli wagon.

Pengunduran Volvo V90 daripada pasaran jelas memberikan khabar gembira buat model pesaing seperti Audi A6 Avant, BMW 5 Series Touring, dan Mercedes-Benz E-Class Estate yang masih lagi kekal ditawarkan di pasaran Eropah.

Namun bagi para peminat wagon Volvo, perkembangan terbaharu ini nyata merupakan satu lagi berita sedih yang pahit untuk ditelan.

Tidak perlu salahkan Volvo dalam hal ini memandangkan dunia sekarang lebih cenderung ke arah model-model crossover dan SUV.

Sekiranya model wagon tersebut berterusan menunjukkan rekod jualan yang memberangsangkan, sudah pasti nama ikonik V90 tidak akan terpahat lebih awal pada batu nisan.

Volvo XC60 2025 tiba di Malaysia – 2 varian, harga anggaran dari RM334 ribu

Volvo Car Malaysia mengumumkan ketibaan SUV paling popular, XC60 yang telah dikemas kini untuk model tahun 2025.

Sejak dilancarkan untuk pasaran tempatan, Volvo XC60 sudah terjual lebih 6,200 unit – mengukuhkan reputasinya sebagai SUV pilihan utama untuk mereka yang mengutamakan keselesaan, kualiti dan keyakinan pemanduan.

Volvo XC60 2025 ditawarkan dalam dua varian, iaitu varian hibrid ringan B5 AWD dengan anggaran harga dari RM333,888 serta varian plug-in hybrid (PHEV) T8 AWD dengan harga jualan anggaran dari RM367,888.

Harga rasmi akan diumumkan kelak.

Berikut merupakan spesifikasi ringkas unit rangkaian kuasa bagi kedua-dua varian:

XC60 B5 AWD

  • Enjin 2.0L hibrid ringan + sistem hibrid ringan 48V
  • Kuasa 249 hp
  • Pecutan 0-100 km/j 6.9 saat
  • Kadar penggunaan bahan api 7.6L/100 km

XC60 T8 AWD

  • Enjin 2.0L berkuasa 317 hp
  • Motor elektrik 145 hp
  • Kuasa keseluruhan 462 hp
  • Pecutan 0-100 km/j 4.8 saat
  • Kadar penggunaan bahan api 1.6L/100 km
  • Bateri 19 kWh
  • Jarak gerak sifar emisi 89 km

 

Sama seperti kemas kini pada model XC90, XC60 turut diberikan perubahan kosmetik seperti jeriji hadapan rekaan baharu, lampu ikonik Tukur Thor, serta perumah lampu belakang yang digelapkan.

Selain rim baharu, Volvo XC60 turut diberikan pilihan warna Forest Lake dan Bright Dusk.

Khas untuk varian T8 AWD ialah sistem suspensi udara yang ditawarkan secara percuma untuk tempoh terhad.

Ruang kabin pula diberikan nafas baharu, seperti contoh pengecas tanpa wayar yang diposisikan semula untuk ergonomik yang lebih baik, pemegang cawan direka semula, serta ruang kargo lebih fleksibel.

Selain itu, terdapat teknologi penulenan udara kabin, skrin tengah 11.2 inci dengan sokongan Google terbina, dan sistem audio Bowers & Wilkins High Fidelity.

Secara standard, Volvo XC60 2025 dilengkapi dengan ciri keselamatan pintar termasuklah kawalan jelajah adaptif, bantuan pengekalan lorong, serta bantuan pengelakan pelanggaran.

Era wagon Volvo berakhir: V90 tamat produksi September ini

Volvo mengesahkan bahawa pengeluaran V90 akan berakhir pada bulan September ini. Penamatan ini menandakan berakhirnya model wagon terbesar jenama tersebut, dan kali ini ia tidak akan digantikan oleh model baharu.

Dalam kenyataan kepada Autocar, Volvo berkata keputusan ini dibuat selaras dengan “pelan kitaran global” syarikat. Ia juga mencerminkan hala tuju Volvo yang semakin beralih daripada model wagon tradisional kepada SUV dan kenderaan elektrik.

CEO Volvo, Jim Rowan, menjelaskan pendirian syarikat apabila ditanya mengenai masa depan wagon: “Ya, sebab saya rasa keadaan sudah berubah, kan? SUV kini sudah berubah dengan ketinggian badan.”

Sementara itu, S90 masih lagi ‘terselamat’ namun hanya di beberapa pasaran terpilih. Tempat sedan itu di peringkat global kini mula diambil alih oleh model elektrik sepenuhnya iaitu ES90.

Ia hadir dengan pintu belakang jenis hatchback serta tempat duduk belakang boleh lipat, menjadikannya lebih praktikal seperti sebuah wagon sebenar.

Rowan turut mencadangkan bahawa XC60 boleh diposisikan semula untuk menarik minat pembeli wagon, dengan varian seperti Black Edition dan Cross Country ditawarkan untuk menambah kepelbagaian.

Buat masa ini, model wagon yang lebih kecil iaitu V60 masih dikeluarkan dan tersedia di beberapa pasaran seperti UK. Namun, Rowan memberi bayangan bahawa model tersebut juga mungkin tidak akan diperbaharui selepas kitaran hayatnya tamat nanti.

Pengunduran V90 menunjukkan perubahan trend industri automotif secara menyeluruh. Wagon, yang dahulunya menjadi identiti Volvo, kini semakin sukar bersaing dengan SUV. Walaupun masih ada peminat setia di Eropah, angka jualannya yang tidak memberangsangkan.

Bagi mereka yang masih berminat, Volvo UK menasihatkan supaya segera menghubungi pengedar kerana stok terakhir V90 dijangka habis sebaik sahaja produksi dihentikan bulan ini.

Di Malaysia, V90 telah lama tidak ditawarkan, manakala jualan V60 dihentikan pada tahun 2024 selepas kelompok terakhir habis dibeli.

Volvo XC70 2026 mula dijual di China, harga dari RM177k

Volvo akhirnya secara rasmi mendedahkan SUV terbaharu XC70 2026, sekaligus memulakan sesi pra-jualan untuk pasaran China.

Dibina berdasarkan platform Scalable Modular Architecture (SMA), Volvo XC70 kini bukan lagi sebuah wagon tinggi seperti penawaran terdahulu.

Untuk pasaran China, Volvo XC70 dilengkapi dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV) yang terdiri daripada enjin 1.5 liter turbo (161 hp/255 Nm) yang dipadankan dengan motor elektrik serta transmisi 3DHT.

Perinciannya seperti berikut:

Varian pacuan dua roda

  • kuasa 318 hp
  • pecutan 0-100 km/j dalam 8 saat
  • pek bateri 21.2 kWh
  • jarak gerak sifar emisi 116 km
  • penggunaan bahan api 1.27L/100 km

Varian pacuan empat roda

  • kuasa 462 hp
  • tiga motor elektrik
  • pecutan 0-100 km/j dalam 5.3 saat
  • pek bateri 39.6 kWh
  • jarak gerak sifar emisi 212 km
  • penggunaan bahan api 0.98L/100 km

 

Antara perincian lain termasuklah sokongan pengecasan AC 7 kW, pengecasan pantas DC 87 kW (0-80 peratus sepantas 23 minit), tangki bahan api sebesar 60 liter, serta empat mod pemanduan (Hybrid, Sport, Electric dan Off-road).

Sebagai sebuah crossover saiz pertengahan, XC70 mempunyai dimensi sepanjang 4,815 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,650 mm dan jarak antara roda 2,895 mm.

Untuk ruang kabin pula, terdapat skrin kluster digital 12.3 inci, skrin tengah sebesar 15.4 inci, skrin paparan HUD 92 inci dengan realiti terimbuh (AR), sistem audio Harman Kardon 23 pembesar suara, bumbung kaca panorama, dan pengecasan peranti pintar tanpa wayar 50W.

Harga jualan Volvo XC70 PHEV 2026 ini bermula dari 299,900 yuan (RM177 ribu) untuk versi 2WD, dan mencecah sehingga 329,900 yuan (RM196 ribu) untuk versi 4WD.

Volvo Selekt tawar kereta pra-milik pada harga serendah RM160k

Bersempena dengan sambutan bulan kemerdekaan, Volvo Car Malaysia mengumumkan kempen jualan istimewa Volvo Executive Merdeka Sales yang akan diadakan pada 16 & 17 Ogos ini.

Bertempat di Symphony Square, Petaling Jaya, jualan eksklusif tahun ini menjanjikan lebih banyak pilihan menarik pada harga bermula serendah RM160,000.

Ia termasuklah rangkaian kereta pra-milik daripada barisan armada korporat Volvo Car Malaysia termasuklah model kenderaan yang digunakan oleh pasukan pengurusan syarikat.

Setiap kereta di bawah Volvo Selekt akan melalui proses pemeriksaan dan pengujian menyeluruh untuk memastikan kualiti dan ketahanan pada tahap tertinggi.

Ada juga model yang hanya mencatatkan perbatuan sekitar 5,000 km, dan semua masih dilindungi oleh baki jaminan tanpa had perbatuan selama lima tahun, bantuan tepi jalan 24 jam dan sambungan perkhidmatan digital Volvo.

Antara model yang ditawarkan termasuklah SUV kompak EX30, XC40 Recharge, XC60 dan XC90, serta model eksklusif S60, S90 dan juga V60.

Menerusi Volvo Car Finance, anda boleh mendapatkan kadar faedah serendah 2 peratus dan kelulusan pada hari yang sama.

Untuk mendaftar, anda hanya perlu mengisi borang dalam talian pada pautan https://forms.volvocarmalaysia.com/executive-sales.

Volvo EX30 punya potensi luar jangkaan – Pandu Uji

Penulis pernah berkesempatan memandu uji beberapa buah model Volvo bersaiz kecil sebelum ini, iaitu Volvo V40 serta crossover Volvo XC40 dan C40.

Kali ini, tiba giliran model produksi yang paling kecil pernah dihasilkan oleh pengeluar Scandinavia itu, iaitu Volvo EX30.

Dan ia hadir dalam bentuk crossover berkuasa elektrik, tiada pilihan model enjin pembakaran dalaman.

Biarpun hanya wujud dalam versi EV, EX30 bukanlah satu model yang boleh dipandang rendah.

Ia mempunyai pakej yang mampu memenuhi keperluan setiap pengguna – ada gaya, ruang praktikal, dan prestasi yang mampu mengalahkan SUV saiz besar, terutama sekali apabila anda memilih varian Ultra Twin Performance seperti yang kami pandu uji kali ini.

Berikut merupakan catatan pengalaman kami setelah beberapa hari menikmati pemanduan EX30 yang berharga RM228,888 ini.

 

Rupa luaran

Ya, dari segi rekaan, sukar untuk anda nafikan ia bukan sebuah SUV Volvo.

Lihat saja pada unit lampu utama dengan grafik LED berbentuk tukul Thor, bahagian hadapan tanpa jeriji yang memaparkan logo minimalis Volvo, serta lampu belakang – kesemuanya mirip kepada Volvo EX90.

Saiznya memang agak kompak, dengan ukuran sepanjang 4,223 mm, lebar 1,837 mm, tinggi 1,555 dan jarak antara roda sepanjang 2,650 mm, lebih kecil berbanding kembar XC40 dan C40.

Kecil bukanlah bermaksud EX30 ini kurang praktikal, perinciannya anda boleh baca pada poin seterusnya.

 

Praktikaliti

Volvo nampaknya bijak dalam menyediakan ruang kabin EX30 yang selesa dan praktikal dalam masa yang sama.

Disebabkan tiada sistem pembesar suara (hanya ada sound bar Harman Kardon atas papan pemuka), ia mencipta ruang yang cukup besar pada panel pintu.

Konsol tengah nampak ringkas, tapi bila cuaca panas anda boleh letakkan minuman sejuk pada ruang pemegang yang boleh ditarik keluar dan disorokkan kembali apabila tidak digunakan.

Tak cukup? Konsol lantai turut disediakan, serta ruang ekstra tersembunyi untuk meletakkan barang yang lebih kecil, serta ruang pada terowong konsol.

Kotak simpanan glovebox pula diposisikan di tengah supaya ia mudah dicapai oleh pemandu dan penumpang hadapan.

Nampak je kecil dari luar, tapi Volvo EX30 menawarkan ruang kargo sebesar 318 liter atau sehingga 718 liter apabila tempat duduk baris kedua dilipat rata dengan nisbah 60:40.

Cukup besar untuk memuatkan barangan sehingga 1.64 meter panjang dan 0.86 meter tinggi.

Jika anda perlu ke Ikea untuk membeli perabot, boleh rujuk kepada grafik panduan storan yang disediakan pada pintu tailgate belakang.

Tak cukup? Ada ruang frunk yang menawarkan kapasiti tujuh liter.

 

Terlalu minimalis yang boleh bikin kepala pusing

Nak tahu sebab apa Volvo boleh menyediakan ruang sebanyak itu?

Ini kerana Volvo menerapkan tema minimalis ke satu tahap yang lebih tinggi, sehinggakan penulis terpaksa ‘reset’ semula minda setiap kali sebelum memulakan perjalanan.

Butang tingkap telah dialihkan ke bahagian tengah – macam kereta zaman dulu-dulu, dan hanya ada dua sahaja butang disediakan.

Anda perlu menekan satu lagi butang ekstra untuk membuka tingkap penumpang belakang.

Untuk kawal suhu sistem pendingin hawa? Skrin paparan tengah.

Untuk ubah tetapan stereng dan skrin sisi? Skrin paparan tengah.

Mahu buka glovebox? Ya, juga perlu tekan menu dalam skrin tengah.

Mujur juga untuk memulakan perjalanan penulis tidak perlu menatal skrin tengah untuk masuk kepada mod D. Tuil penukaran gear ada disediakan di ruang kolum stereng, lengkap dengan mod kawalan jelajah (hanya perlu tarik tuil ke bawah sekali selepas masuk mod D).

 

Kemasan

Salah satu perkara yang boleh dipuji pada Volvo EX30 ialah penggunaan bahan lestari yang cukup meluas pada ruang kabin.

Seperti contoh, upholsteri tempat duduk, papan pemuka dan pintu diperbuat daripada bahan kitar semula seperti denim, rami dan campuran bulu.

Penggunaan bahan yang disebutkan itu tadi tidak langsung mengorbankan aspek keselesaan sepanjang pemanduan.

Paling penulis suka, tempat duduk yang menyokong penuh bahagian bawah kaki, diikuti dengan panel perehat tangan pada pintu yang cukup selesa.

Cuma jika anda lihat dengan lebih dekat, kemasan plastik pada sesetengah tempat nampak tidak seimbang dengan imej mewah yang cuba ditampilkan pada EX30 ini. Dah namanya pun plastik kitar semula.

 

Pemanduan lincah atas jalan

EX30 varian Ultra Twin Performance ini didatangkan dengan dua motor elektrik berkuasa 422 hp dan daya kilas 543 Nm, membolehkannya memecut sehingga 100 km/j sepantas 3.6 saat dari pegun.

Dengan pakej badan yang kecil dan lincah, tidak sukar untuk EX30 ini memalukan mana-mana kereta sports yang ada di luar sana.

Talaan suspensinya cukup bagus untuk menyerap segala ketidakrataan yang wujud di atas jalan raya, malah talaan respons stereng yang sedap dikendalikan bila sekali sekala ia bertemu dengan selekoh.

Terus terang cakap, penulis berpendapat talaan suspensi yang wujud pada EX30 ini jauh lebih baik jika dibandingkan dengan abang besarnya XC40 dan C40.

Kebanyakan masa, kuasa yang dihamburkan oleh motor belakang itu sudah memadai dan penulis tidak langsung bergantung kepada mod Performance untuk sistem AWD (yang perlu diakses daripada skrin tengah).

Pek bateri NMC 69 kWh pula membolehkan anda mencapai jarak pemanduan sejauh 450 km, cukup sesuai untuk pemanduan urban.

 

Kemampuan off-road yang diluar jangkaan

Ternyata, Volvo EX30 mempunyai kelebihan yang tersendiri untuk dijadikan sebagai kereta basahan setiap hari.

Namun, satu kelebihan yang tidak dijangka oleh penulis ialah keselesaan yang ditawarkan apabila Volvo EX30 ini dibawa memasuki laluan off-road (lebih sesuai soft-road).

Penulis akui EV ini sudah cukup selesa dipandu atas jalan tar namun saat tayar mencecah laluan berkerikil, sistem suspensi EX30 mampu menapis segala kekasaran jalan yang tidak berturap dengan berkesan.

Sesuai sangat sekiranya EX30 ini dipandu merentas laluan yang tidak bertar untuk anda menikmati aktiviti luar hujung minggu seperti berkelah di tepi sungai atau berkhemah di tepian pantai.

Melihatkan potensi yang luar biasa ini, tidak menghairankan apabila Volvo pada awal tahun yang lalu memperlihatkan EX30 versi Cross Country untuk mereka yang mahu menikmati pemanduan yang lebih lasak di dalam EV kecil ini.

Adakah EX30 Cross Country ini akan direalisasikan kelak? Kita hanya boleh tunggu dan lihat apakah perancangan Volvo untuk SUV elektrik ini.

 

Pengecasan

Bateri NMC 69 kWh yang dibekalkan pada Volvo EX30 ini menyokong pengecasan AC 11 kW, mengambil masa lapan jam untuk cas penuh.

Jika anda tidak mempunyai masa, cas sahaja EX30 di mana-mana stesen pengecasan pantas, memandangkan EV ini menyokong pengecasan DC sehingga 153 kW.

Jadi dalam tempoh masa hanya setengah jam, bateri 69 kWh itu boleh dicas dari 10 hingga 80 peratus SoC.

Atau pergi sahaja ke mana-mana pusat membeli belah yang mempunyai kemudahan pengecasan pantas, sambil mengecas anda boleh berjalan-jalan mencari barang idaman.

Seperkara yang buatkan penulis suka akan EV ini ialah sistem pemetaan berasaskan Google yang akan memaparkan anggaran kadar SoC bateri sekiranya sudah tiba di destinasi atau selepas melakukan perjalanan dua hala.

 

Keselamatan

Sebagai sebuah Volvo, EX30 mempunyai kelengkapan keselamatan yang hampir menyeluruh dalam pakej yang serba kecil ini.

Antaranya termasuklah kawalan jelajah adaptif, bantuan kesesakan trafik, bantuan pengelakan pelanggaran, brek kecemasan autonomi, bantuan kekal lorong, amaran keluar lorong, pemantauan titik buta serta araman lintasan trafik belakang.

Ironinya, ia turut mempunyai ciri sistem pemantauan tumpuan pemandu yang akan memberikan amaran sekiranya sistem mendapati pemandu tidak memberikan perhatian sepenuhnya atas jalan.

Apa yang anda boleh jangkakan daripada sebuah kereta yang menyumbat segala macam tetapan dan fungsi dalam sebuah skrin tunggal bersaiz 12.3 inci itu?

Info penting seperti kelajuan, tahap SoC bateri, notifikasi lampu isyarat dan kedudukan gear pemanduan (RND) semuanya diletakkan pada bahagian atas skrin.

Sepanjang pemanduan, penulis perlu menoleh ke kiri untuk memastikan EV ini dipandu pada kelajuan yang dibenarkan oleh undang-undang.

Atau setiap kali jari kiri menolak tuil untuk menghidupkan lampu isyarat.

Atau setiap kali penulis rasakan suhu kabin terlalu sejuk dan mahu melaraskan kembali sistem pendingin hawa.

Adalah lebih menyenangkan apabila EX30 ini mempunyai skrin berasingan di belakang stereng, jadi pergerakan mata adalah lebih minima berbanding perlu bergantung sepenuhnya pada skrin tengah.

Memasang terus skrin paparan head-up mungkin sekali lebih adfal.

 

Kesimpulan

EX30 memang sesuai dijadikan sebagai kereta basahan, seronok untuk dipandu, dan paling penting tidak mengorbankan langsung aspek praktikaliti dan elemen keselamatan yang menjadi tunjang utama jenama Volvo.

Untuk sebuah EV kegunaan urban, penulis kira Volvo EX30 sudah mempunyai asas dan pakej rupa yang cukup menarik sesuai untuk golongan muda yang mempunyai gaya hidup aktif.

Itupun jika anda tidak kisah dengan susun atur papan pemuka yang terlebih minimalis dibawakan pada Volvo ini.

Cuba ambil masa untuk biasakan diri, dan ia tidak akan menjadi satu masalah besar.

Cuma untuk pemandu olskool seperti penulis, masih lagi rasa janggal untuk menyesuaikan diri kerana sudah terbiasa dengan butang dan tombol kawalan fizikal.

Namun jika anda tidak ambil kisah akan prestasi sistem pacuan semua roda atau bumbung kaca panorama, pilih sahaja varian yang lebih rendah (harga dari RM189k) untuk menikmati jarak pemanduan yang lebih jauh.

Spesifikasi Volvo EX30 Ultra Twin Performance (RM228,888)
Unit pemacu: Dua motor elektrik
Kuasa: 422 hp, 543 Nm
Pecutan: 3.6 saat dari 0-100 km/j
Bateri: NMC 69 kWh
Jarak gerak: 450 km
Suspensi: Topang MacPherson/Multi-link
Rim: 19 inci
Tayar: Goodyear EfficientGrip Performance SUV, 245/45R19
Ruang kargo: 318 liter, atau sehingga 718 liter

 

XC60 dinobatkan sebagai kereta Volvo paling laris mengalahkan model ikonik 240

Tamat sudah legasi model ikonik Volvo 240 sebagai kereta Volvo yang paling laris terjual dalam sejarah.

Ini kerana gelaran tersebut telah dipegang secara rasmi oleh Volvo XC60 dengan lebih 2.7 juta unit terjual di seluruh dunia sejak diperkenalkan pada tahun 2008.

SUV saiz sederhana ini pada mulanya dihasilkan untuk pasaran Eropah sebelum dijadikan sebagai model global Volvo yang pertama yang dipasang di negara China.

Ia juga turut dinamakan sebagai World Car of The Year pada tahun 2018.

Ketika Volvo 240 dilancarkan pada tahun 1974, model tersebut meletakkan standard baharu dalam keselamatan termasuklah rekaan badan yang mampu menyerap hentakan depan dan belakang.

Ia juga merupakan antara yang terawal memperkenalkan perlindungan hentakan sisi yang kemudian dikembangkan menjadi sistem perlindungan impak sisi (SIPS).

Tahun 1978, Volvo memperkenalkan inovasi baharu kusyen booster kanak-kanak (Child Booster Cushion).

Legasi kereta selamat ini diteruskan dengan XC60 menerusi pengenalan pelbagai teknologi canggih seperti contoh sistem brek automatik (City Safety) yang dapat mengelak atau mengurangkan pelanggaran pada kelajuan sehingga 30 km/j.

Pada tahun 2017, XC60 menjadi model pertama di dunia yang memperkenalkan sistem pengelakan pelanggaran lorong bertentangan (Oncoming Lane Mitigation).

Menurut Susanne Hägglund selaku Ketua Penawaran Global Volvo Cars, “Ketika membesar di Sweden pada era 1980-an, Volvo 240 merupakan kereta keluarga yang ikonik – hampir setiap rumah memilikinya.

“Hari ini, XC60 mengambil peranan tersebut – bukan sekadar sebagai pilihan keluarga, tetapi juga sebagai model paling berjaya dalam sejarah kami.

Volvo EX60 bakal dapat tali pinggang keledar multi-adaptif, ciri pertama di dunia!

Tahun 1959, Volvo mencipta sejarah dengan memperkenalkan tali pinggang keledar tiga titik moden yang telah terbukti menyelamatkan lebih sejuta nyawa.

Tahun 2025, Volvo sekali lagi menempa sejarah dengan memperkenalkan inovasi baharu tali pinggang keledar multi-adaptif yang dapat meningkatkan lagi aspek keselamatan pengguna.

Ciri pertama seumpamanya di dunia ini akan diperkenalkan dalam Volvo EX60 yang dijadualkan pelancarannya pada tahun 2026.

Apa yang anda perlu tahu tentang inovasi terbaharu Volvo ini?

1. Sistem ini memanfaatkan data daripada pelbagai penderia (luaran, dalaman, kemalangan) di mana dalam masa kurang sekelip mata, sistem ini akan menganalisa aspek seperti arah hentaman dan kelajuan dalam masa nyata.

2. Selain itu, sistem ini juga boleh menilai profil individu berdasarkan ketinggian, berat badan, bentuk tubuh serta posisi duduk.

Segala maklumat ini akan dikongsi dengan sistem tali pinggang keledar untuk memilih tetapan yang sesuai.

Dalam situasi yang tidak diduga, penumpang bersaiz besar akan menerima tetapan beban tali pinggang yang lebih tinggi untuk mengurangkan risiko kecederaan kepala.

Dalam situasi pelanggaran ringan pula, penumpang bersaiz kecil akan menerima beban tali pinggang yang lebih rendah untuk mengurangkan risiko patah tulang rusuk.

3. Sistem tali pinggang moden menggunakan pengehad beban untuk mengawal daya hentakan ke atas tubuh manusia semasa pelanggaran.

Jadi, Volvo meningkatkan profil had beban daripada tiga dalam sistem sedia ada kepada sebelas, membolehkan perlindungan dioptimumkan mengikut situasi dan individu.

4. Ia juga boleh diperbaharui menerusi kemas kini perisian over-the-air (OTA).

Berdasarkan data yang dikumpulkan oleh Volvo, kenderaan akan menjadi lebih pintar dalam memahami penumpang, senario baharu dan strategi tindak balas yang lebih tepat.

Inovasi terbaharu ini telah diuji dan dibangunkan di makmal pelanggaran Volvo Cars Safety Centre yang akan menyambut ulang tahun ke-25 pada tahun ini.

Di situ, jurutera keselamatan Volvo boleh mencipta semula hampir semua jenis kemalangan jalan raya dan menjalankan ujian melebihi keperluan peraturan rasmi.

Fasiliti ini juga memainkan peranan penting dalam mengekalkan kedudukan Volvo Cars sebagai peneraju di dalam keselamatan automotif.

Volvo XC70 muncul kembali sebagai SUV PHEV

Awal bulan yang lalu, Volvo mengumumkan kemunculan semula plet nama ikonik XC70 sebagai pelengkap kepada barisan model SUV sedia ada.

Ya, XC70 bukan lagi sebuah crossover wagon, sebaliknya ia berubah menjadi sebuah model SUV yang sebenar.

Volvo XC70 merupakan model pertama Volvo yang dibina berdasarkan platform Scalable Modular Architecture (SMA).

Platform tersebut sebelum ini menjadi asas bagi model Lynk & Co 07 dan juga 08.

Berdasarkan maklumat yang didedahkan di laman web Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China, Volvo XC70 PHEV bakal membawakan ukuran sepanjang 4,815 mm, lebar 1,890 mm, tinggi 1,650 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,895 mm.

Terdapat pilihan rim bersaiz 19 inci atau 20 inci.

Dengan menggunakan platform SMA, Volvo XC90 membawakan sistem plug-in hybrid (PHEV) yang terdiri daripada motor elektrik dan enjin 1.5 liter yang dibina oleh Aurobay.

Untuk makluman, Aurobay kini merupakan sebahagian daripada syarikat kerjasama Geely-Renault yang dikenali sebagai Horse Powertrain.

Untuk pasaran China, terdapat dua pilihan pek bateri.

Varian paling rendah mendapat bateri LFP CATL berkapasiti 21.22 kWh yang membenarkan jarak gerak sifar emisi sejauh 100 km (data CTLC).

Sementara varian paling atas pula mendapat pek bateri NMC 39.63 kWh yang membolehkan XC70 bergerak sejauh 180 km tanpa setitik petrol.

Dari segi reka bentuk, XC70 menggunakan pendekatan rekaan yang diguna pakai pada XC90 facelift, seperti unit lampu utama rekaan tukul Thor, dan grafik lampu belakang LED menegak.

Ia juga turut menampilkan pemegang pintu tersembunyi, serta rekaan pintu tanpa bingkai tingkap.

Buat masa ini, Volvo XC70 dibangunkan khas untuk pasaran China memandangkan terdapat permintaan terhadap model PHEV dengan jarak gerak lebih jauh yang semakin meningkat di sana.

Volvo EX90 pemenang anugerah World Luxury Car 2024

SUV elektrik saiz penuh Volvo EX90 dinobatkan sebagai pemenang anugerah World Luxury Car of the Year 2024.

Pengiktirafan berprestij ini diumumkan sempena New York International Auto Show oleh barisan juri yang terdiri daripada 96 wartawan automotif terkemuka dari 30 buah negara.

Volvo EX90 dipuji kerana membawakan gabungan kemewahan Scandinavia yang diperhalusi, prestasi elektrik bertenaga serta inovasi keselamatan bertaraf dunia.

Dilancarkan secara rasmi pada April yang lalu, Volvo EX90 dijual dalam varian tunggal Ultra Twin, dengan motor elektrik berkembar menghasilkan 517 hp dan 910 Nm.

Pek bateri NMC berkapasiti 111 kWh pula menawarkan jarak pandu sejauh 623 km untuk sekali cas penuh.

Sebagai sebuah SUV yang paling canggih, Volvo EX90 disifatkan sebagai komputer bergerak dengan unit pemprosesan NVIDIA DRIVE AI yang mengendalikan setiap aspek kenderaan termasuklah infohibur, bantuan pemanduan lanjutan sehinggalah kepada ciri keselamatan.


Selain daripada fungsi pengesan penumpang, Volvo EX90 hadir dengan ciri pemahaman pemandu, di mana sistem ini akan mematau secara masa nyata, memberikan amaran atau menghentikan kenderaan dengan selamat sekiranya berlaku kecemasan.

Volvo EX90 juga dilengkapi dengan rangkaian penderia lengkap merangkumi radar, kamera, penderia ultrabunyi serta unit LIDAR yang direka untuk menyokong pemanduan autonomi yang lebih tinggi pada masa hadapan.

 

Untuk pasaran Malaysia, Volvo EX90 dijual pada harga RM442,888, lengkap dengan jaminan kenderaan tanpa had perbatuan, bantuan tepi jalan 24 jam dan perkhidmatan digital percuma lima tahun.

50 pelanggan terawal akan menerima baucar pengecas dinding serta penghadang matahari panoramik lipat bernilai RM5,000 secara percuma.

Volvo S90 2026 tiru rekaan SUV XC90 facelift

Sedan eksekutif Volvo S90 telah pun wujud di pasaran sejak tahun 2016 sebagai alternatif kepada sedan mewah buatan Jerman.

Setelah dikemas kini pada tahun 2020, Volvo sekali lagi cuba menjadikan penawaran S90 ini lebih malar segar menerusi model facelift kedua.

Seperti yang dijangka, ia membawakan pendekatan rekaan yang hampir serupa dibuat pada model SUV XC90 facelift sebelum ini.

Perubahan yang boleh dikesan di bahagian luar termasuklah unit lampu baharu dengan grafik LED tukur Thor, struktur jeriji dan bampar baharu, diikuti dengan lampu belakang dengan grafik berbentuk tukul.

Untuk kabin, Volvo S90 dibekalkan dengan skrin tengah sebesar 11.2 inci yang turut hadir dengan fungsi kemas kini over-the-air (OTA), selain fungsi penebatan bunyi untuk kabin yang lebih senyap.

Penggunaan sistem suspensi adaptif menyumbang kepada tahap keselesaan yang lebih baik.

Dari segi kuasa, S90 facelift ini boleh didapati dengan pilihan enjin 2.0 liter hibrid ringan, atau versi PHEV yang menawarkan jarak pandu sifar emisi sejauh 80 km.

Berita kurang enak, Volvo S90 facelift ini tidak akan muncul di Amerika Syarikat dan Eropah, sebaliknya Volvo akan menumpukan jualan S90 di pasaran China serta beberapa pasaran utama Asia.

Volvo EX90, XC90 kini boleh ditempah di Malaysia – harga dari RM450k

Volvo Car Malaysia mengumumkan bahawa ia telah membuka tempahan untuk dua SUV tujuh tempat duduknya yang akan dilancarkan tidak lama lagi iaitu Volvo EX90 dan XC90.

Harga rasmi kedua-dua model ini belum didedahkan namun menurut Volvo, EX90 dan XC90 dijangka dijual pada harga sekitar RM450,000.

Perincian mengenai varian dan spesifikasi namun bagi EX90, Volvo Car Malaysia berkemungkinan besar akan menawarkan varian Twin Motor Performance. Ini berdasarkan unit yang dipratonton kepada media pada minggu lalu.

Dengan sepasang motor elektrik (satu pada setiap gandar) yang menjana 517 PS dan 910 Nm, EX90 Twin Motor Performance mampu memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 4.9 saat sahaja.

Varian Twin Motor juga mempunyai dua motor elektrik, namun dengan kuasa lebih rendah iaitu 408 PS dan 770 Nm. Oleh itu, masa pecutan 0-100 km/j juga lebih lama iaitu 5.9 saat.

Untuk bateri, EX90 didatangkan dengan bateri jenis NMC berkapasiti 111 kWj yang menawarkan jarak sehingga 600 km bagi Twin Motor dan 590 km bagi Twin Motor Performance. Pengecasan dari 10 hingga 80 peratus mengambil masa kira-kira 30 minit menerusi pengecas pantas DC.

Dibina menggunakan platform SPA2 (berlainan dengan XC90 yang menggunakan platform SPA), EX90 mempunyai ukuran panjang 5,037 mm, lebar 1,964 mm dan tinggi 1,747 mm, bermakna ia lebih panjang, lebar dan rendah jika dibandingkan dengan XC90. Ukuran tapak rodanya adalah 2,985 mm, hanya 1 mm lebih panjang berbanding XC90.

Seperti yang boleh dilihat, reka bentuk luarannya tidak ubah seperti EX30 dengan logo Iron Mark pada bahagian hadapan, lampu nyalaan siang LED piksel berbentuk tukul Thor dan lampu LED belakang berbentuk C. Anda tidak akan nampak lampu utama (kecuali apabila ia dipasang) kerana ia ‘disorokkan’ di sebalik barisan lampu piksel tersebut.

Di dalam, EX90 menampilkan tema minimalis yang sudah cukup sinonim dengan jenama dari Sweden itu. Antara kelengkapan utama adalah skrin sentuh berukuran 14.5 inci yang dikuasakan oleh perisian Android Automotive OS, panel instrumen digital 9.0 inci, sistem audio Bowers & Wilkins dan bumbung kaca panoramik.

Volvo X90 facelift

Untuk XC90 pula, versi facelift ini dijangka akan terus ditawarkan dalam versi PHEV yang dikenali sebagai T8. Ia dikuasakan oleh gabungan enjin 2.0-liter empat silinder dan motor elektrik pada gandar belakang yang menghasilkan 455 PS dan 709 Nm.

Chris Wailes, Pengarah Urusan Volvo Car Malaysia berkata, “Dengan pelancaran Volvo EX90 dan XC90 baharu dalam masa tedekat ini, kami akan terus maju ke arah sasaran global untuk mencapai 90 hingga 100 peratus jualan kenderaan elektrifikasi sebelum akhir dekad ini. Tahun lalu, model BEV dan PHEV kami sudah pun mewakili lebih 80 peratus daripada jumlah jualan.”

Bolehkah anda terima masa depan Volvo tanpa wagon?

Sejujurnya, kami berpendapat Volvo merupakan salah satu daripada pengeluar yang pandai menghasilkan rekaan wagon yang cukup cantik sejak model pertama (Duett) muncul tahun 1953 sehinggalah sekarang.

Namun, kepakaran yang dimiliki oleh Volvo itu tidak lagi diperlukan pada masa akan datang.

Menurut CEO Volvo Jim Rowan dalam satu temubual bersama AutoExpress, masa depan Volvo tidak lagi memerlukan model wagon, sebaliknya jenama itu akan menumpukan perhatian kepada model sedan dan SUV.

Ini merupakan satu anjakan yang cukup besar oleh jenama yang sangat terkenal dengan tradisi wagon yang anggun sejak bertahun-tahun lamanya.

Rowan menjelaskan, agak mahal untuk membawa model kenderaan yang berbeza ke pasaran, dan mengekalkannya di dalam pasaran.

“Ia lebih menjimatkan kos untuk memacu volum yang lebih tinggi menerusi platform dan bentuk faktor yang sama,” jelasnya lagi.

Tanpa kehadiran model wagon, Volvo mahu memposisikan model sedia ada (SUV) menerusi penawaran varian yang berbeza seperti Black Edition dan Cross Country yang lebih sesuai untuk golongan tertentu.

Menariknya, berita terbaharu ini timbul tidak lama selepas kenyataan yang dikeluarkan oleh pengarah komersial Volvo UK, Robert Deane yang mengakui langkah menghentikan jualan model V60 dan V90 pada tahun 2023 adalah satu kesilapan.

“Apabila anda memberitahu pelanggan model (wagon) tidak lagi dijual, mereka akan pergi mencari model daripada jenama lain,” jelasnya lagi.

Tidak dinafikan, selain daripada Volvo, beberapa pengeluar lain seperti Audi dan BMW masih lagi menawarkan model-model wagon biarpun pasaran tersebut semakin mengecil saban tahun.

Menghuraikan dengan lebih lanjut, Rowan berkata Volvo sengaja mengecilkan tumpuannya pada ketika ini.

“Kami membuat pilihan yang wajar tentang di mana kami mahu bermain. Dengan menumpukan perhatian kepada SUV yang lebih selamat dan mempunyai ketinggian yang baik, kami fikir kami dapat mempertahankan kekuatan ini berbanding pesaing lain.

“Ia lebih mudah bagi kami daripada terus terganggu dengan kehadiran terlalu banyak model kenderaan.”

Untuk tahun 2025, Volvo sudah merancang untuk memperkenalkan lima model baharu, termasuklah sedan ES90 dan SUV elektrik EX60 yang bakal tiba kelak.

Yang pasti, wagon sudah tidak lagi termasuk dalam senarai keutamaan Volvo pada ketika ini.

Volvo ES90 didedahkan, boleh dipandu sejauh 700 km dengan satu cas

Ini dia, kenderaan elektrik keenam dalam barisan model Volvo iaitu ES90. Seperti EX90 yang diperkenalkan hampir tiga tahun lalu, ES90 merupakan model flagship yang bermakna ia sarat dengan pelbagai ciri dan teknologi termaju.

Namun sebelum itu, perhatikan dahulu bentuknya. Volvo tidak menyatakan secara jelas sama ada ES90 merupakan sebuah sedan, fastback atau pun SUV namun menurut syarikat itu, ia menggabungkan kualiti-kualiti terbaik daripada ketiga-tiga jenis badan itu.

Wajah ES90 agak mirip dengan EX90 dan EX30, menampilkan lampu utama berbentuk tukul Thor, simbol Iron Mark pada bahagian tengah dan bukaan kecil pada bahagian bawah bampar.

Di belakang, anda akan nampak lampu berbentuk C yang tidak jauh berbeza dengan lampu belakang kedua-dua model EX yang lain itu. ES90 tidak mempunyai pintu but seperti sedan konvensional, sebaliknya ia didatangkan dengan tailgate hatch yang menawarkan bukaan lebih luas.

Tailgate hatch berkenaan memberikan akses kepada ruang but seluas 424 liter, atau 733 liter jika tempat duduk belakang dilipat sepenuhnya. Jika anda perlukan lebih banyak ruang, kereta ini juga mempunyai frunk 22 liter yang boleh memuatkan kabel pengecas.

Untuk bahagian dalaman, tidak mengejutkan yang ES90 mengikuti jejak langkah EX90 dengan mengenengahkan konsep minimalis. Elemen utama di sini adalah skrin 14.5 inci dengan sistem infohibur Google yang membolehkan pemandu menggunakan Maps, Assistant serta pelbagai lagi aplikasi lain yang boleh didapati menerusi Google Play.

Selain itu, model ini juga didatangkan dengan paparan digital pemandu berukuran sembilan inci, head-up display, sistem pencahayaan ambien dengan enam tema warna, sistem pendingin hawa empat zon dan bumbung panoramik dengan fungsi electrochromic.

Untuk sistem audio, Volvo menawarkan tiga peringkat, termasuk sistem Bowers & Wilkins dengan 25 pembesar suara (termasuk pada perehat kepala dan siling) untuk peringkat tertinggi. Sistem audio ini juga mempunyai mod khas untuk meniru kualiti audio Abbey Road Studios di London.

ES90 dibina di atas platform SPA2 dan merupakan kereta Volvo pertama yang menggunakan seni bina 800V. Terdapat tiga rangkaian kuasa yang boleh dipilih iaitu Single Motor, Twin Motor dan Twin Motor Performance.

Seperti namanya, Single Motor didatangkan dengan motor elektrik tunggal pada gandar belakang. Motor tersebut menjana 333 PS (245 kW) dan 480 Nm, membolehkannya memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.9 saat.

Versi Twin Motor pula mempunyai dua motor elektrik yang menjana 177 PS (130 kW)/265 Nm pada gandar hadapan dan 272 PS (200 kW)/405 pada gandar belakang. Dengan kuasa keseluruhan berjumlah 449 PS dan 670 Nm, ia memerlukan 5.5 saat untuk mencapai kelajuan 100 km/j.

Twin Motor Performance juga mempunyai sepasang motor elektrik tetapi ia telah ditala bagi menghasilkan 299 PS (220 kW)/390 Nm pada gandar hadapan dan 381 PS (280 kW)/480 Nm pada gandar belakang. Ini memberikannya kuasa keseluruhan sebanyak 680 PS dan 870 Nm, yang membolehkan ES90 melakukan pecutan 0-100 km/j dalam 4.0 saat.

Untuk bateri, versi Single Motor didatangkan dengan bateri 92 kWj yang memberikan jarak gerak 650 km berdasarkan kitaran WLTP. Twin Motor dan Twin Motor Performance pula dikatakan boleh dipandu sejauh 700 km dengan satu cas penuh dengan adanya bateri 106 kWj.

Versi Single Motor menyokong pengecasan pantas sehingga 300 kW, manakala Twin Motor dan Twin Motor Performance boleh menampung sehingga 350 kW. Masa pengecasan dari 10% hingga 80% bagi ketiga-tiga versi adalah sama iaitu 20 minit, menurut Volvo.

Volvo EX90, XC90 facelift bakal dilancarkan tidak lama lagi

Volvo Car Malaysia mengumumkan dua buah model SUV daripada siri 90 akan tiba lama lagi, iaitu SUV elektrik EX90 dan SUV plug-in hybrid XC90.

Buat masa ini, Volvo Malaysia tidak mengumumkan bilakah tarikh pelancaran bagi kedua-dua model tersebut, namun maklumat lanjut akan dihebahkan menerusi laman web rasmi.

 

Volvo EX90

Diumumkan buat kali pertama pada tahun 2022, Volvo EX90 direka untuk menjadi kenderaan Volvo yang paling selamat pernah dihasilkan.

SUV elektrik tujuh tempat duduk ini dilengkapi dengan teknologi keselamatan aktif bertujuan untuk mengurangkan dan mengelakkan kemalangan.

Ia juga merupakan kenderaan Volvo pertama mengguna pakai teknologi LIDAR, model pertama menggunakan teknologi perkomputeran termaju dan model pertama yang dilengkapi dengan perkakasan pemanduan autonomi penuh.

Malaysia merupakan antara pasaran pertama Asia Pasifik yang menerima kehadiran Volvo EX90 selepas Thailand.

 

Volvo XC90

Ini merupakan Volvo XC90 facelift kedua yang diperkenalkan pada tahun 2024, membawakan beberapa perubahan bersifat kosmetik yang lebih tertumpu kepada muka hadapan dan sistem infohibur pada ruang kabin.

Untuk makluman, Volvo XC90 PHEV merupakan kenderaan plug-in hybrid pertama yang dipasang di Malaysia pada tahun 2016.

Menurut Volvo Malaysia, kedua-dua model bertaraf flagship ini menawarkan jarak pemanduan yang luar biasa, selamat serta praktikal untuk kegunaan keluarga.

Volvo EX90 bakal menyertai keluarga kenderaan elektrik Volvo yang kini terdiri daripada Volvo EX30, Volvo XC40 Recharge Pure Electric dan Volvo EC40 (Volvo C40 Recharge Pure Electric).

Pelanggan yang berminat boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web https://www.volvocars.com/my/ex90-electric

Volvo ES90 2026 debut Mac ini, guna platform 800V, jarak gerak 700 km

Selepas EX90 dan EX30, Volvo nampaknya sudah bersedia untuk melancarkan sebuah lagi model kenderaan elektrik, kali ini dalam bentuk badan sedan ES90.

Dibina berdasarkan senibina elektrik 800 voltan, Volvo ES90 didakwa mampu menawarkan jarak gerak sejauh 700 km berdasarkan data kitaran WLTP, atau 86 km lebih jauh berbanding jarak gerak EX90.

Dengan senibina 800V itu tadi, ia membolehkan Volvo ES90 mencapai tempoh masa pengecasan yang lebih singkat.

Menggunakan pengecasan DC 350 kW, bateri ES90 boleh dicas 10-80 peratus dalam masa 20 minit sahaja.

Berdasarkan gambar acah yang dibekalkan, Volvo ES90 membawakan perkadaran bentuk badan sedan tiga kotak, namun dengan garis bumbung yang lebih aerodinamik dan melandai ke belakang.

Antara ciri lain yang boleh dikesan termasuklah unit lampu LED tambahan pada bahagian cermin belakang, cermin sisi fizikal yang lengkap dengan unit kamera, serta perumah modul LIDAR pada bahagian bumbung.

Selain daripada LIDAR, Volvo ES90 akan dilengkapi dengan pelbagai komponen termasuklah lima unit radar, lapan kamera, 12 penderia ultrabunyi serta Safe Space Technology yang disokong oleh kepintaran buatan (AI).

Volvo ES90 juga merupakan model Volvo pertama yang akan dilengkapi dengan sistem Nvidia Drive AGX Orin berkembar untuk keupayaan perkomputeran yang paling canggih.

Difahamkan, Volvo juga akan mengemas kini penawaran sedan ICE Volvo S90 sebagai alternatif kepada mereka yang masih lagi ragu-ragu terhadap EV – pendekatan sama yang diguna pakai untuk model EX90 dan XC90 sebelum ini.

 

Berdasarkan gambar yang tertiris di media sosial, Volvo S90 facelift akan membawakan muka hadapan yang telah direka semula, mirip kepada perubahan yang wujud pada XC90 facelift.

Lebih banyak informasi bakal diketahui menjelang pengenalan rasmi ES90 pada bulan hadapan.