PRODUKSI bagi model sedan empat pintu Volkswagen Passat akan dihentikan bagi pasaran Eropah.
Langkah itu dibuat Volkswagen dipercayai ada kaitan dengan angka jualan bagi model tersebut.
Pasaran Eropah ketika ini menyaksikan angka jualan model Passat Estate meningkat secara mendadak malah, jauh lebih laris berbanding Passat sedan empat pintu.
Passat Estate semakin diminati pengguna di benua Eropah. – Foto ihsan VW
Selain itu, kemunculan Volkswagen Arteon juga dilihat memberi kesan terhadap terhadap permintaan model Passat empat pintu.
Dalam perkembangan sama, pasaran kereta di Amerika Syarikat juga tidak lagi akan menyaksikan pengeluaran baharu bagi model Passat sedan empat pintu.
Bagaimanapun, pelanggan masih berminat mendapatkan model tersebut boleh berbuat demikian kerana Volkswagen kini memasarkan model Passat Limited Edition 2022.
Model Passat Limited Edition 2022 merupakan versi pengakhiran pengeluaran kenderaan itu di benua Amerika.
Passat Limited Edition 2022 dijual di pasaran benua Amerika. – Foto ihsan Motor1
Kalangan pemerhati automotif percaya, Volkswagen dijangka mengeluarkan generasi baharu Passat pada tahun depan.
Sementara itu, Volkswagen dijangka akan memberi tumpuan terhadap model VW Aero B iaitu sebuah sedan berkuasa elektrik.
Ia dibangunkan berdasarkan model konsep ID. Space Vizzion yang dijangka akan ditawarkan kepada pengguna seawall 2023.
VPCM turut menawarkan pengecualian cukai jualan bagi empat model Volkswagen iaitu Arteon R-Line 4MOTION, Passat Elegance, Tiguan Allspace Highline dan Tiguan Allspace R-Line.
Selain itu, pelanggan yang mendapatkan model Passat Elegance juga menerima penambahan rebat RM2,500 termasuk kad petrol percuma selama setahun!
Pada masa sama, Volkswagen menawarkan pelan pembayaran mudah dengan kadar faedah 0 peratus dengan pilihan ansuran selama enam atau 12 bulan.
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan secara percuma. – Foto ihsan Malay Mail
Sementara itu, VPCM menjanjikan penawaran penyelenggaran percuma selama tiga tahun dan waranti perbatuan tanpa had selama lima tahun.
Justeru, pemilik Volkswagen dinasihatkan membuat janji temu menerusi aplikasi Volkswagen Cares bagi melancarkan sebarang urusan.
Memetik kenyataan dikeluarkan, semua wakil pengedar Volkswagen seluruh negara akan menganjurkan bilik pameran terbuka pada 15 hingga 16 Januari.
BUAT peminat Volkswagen Golf yang lama sudah lama menunggu, berita baik untuk anda. Volkswagen Passenger Cars Malaysia (PVCM) telah mengesahkan kehadiran Golf Mk8 serba baharu.
Setelah kira-kira setahun dilancarkan secara global, Golf Mk8 kini sedia untuk menemui pasaran Malaysia dan setakat ini, dua varian disahkan untuk pelancaran: GTI dan R-Line. Kedua-dua model juga dilaporkan akan terus dipasang secara CKD di fasiliti VPCM di Pekan, Pahang.
Satu pencapaian menarik juga untuk operasi CKD VPCM kerana ini merupakan kali pertama Golf GTI dipasang di sini, jadi tidak hairanlah mereka mengambil sedikit masa sebelum melancarkannya.
Jadi, berkenaan Golf Mk8, hatchback generasi kelapan dibina di atas platform MQB Evo dengan janaan kuasa dari enjin EA888 2.0-liter turbo 4-silinder.
Enjin ini lebih berkuasa dari GTI Mk7.5 sedia ada, membekalkan 245hp da 370Nm tork iaitu 15hp dan 20Nm lebih dari sebelumnya.
Kotak gear masih sama, iaitu DSG dwi-klac 7-kelajuan yang menghantar kuasa ke roda depan. Untuk pengetahuan, Golf GTI Mk8 di pasaran lain mempunyai pilihan manual 6-kelajuan.
Apa pun, Golf GTI Mk8 ini tetap mempunyai prestasi memberangsangkan, dengan pecutan 0-100 dalam 6.2 saat dan kelajuan maksima 250km/j (dihadkan secara elektronik).
Baharu pada Mk8 ialah Vehicle Dynamics Manager yang mengaturkan kawalan differential dan penyerap hentak DCC. Namun belum dipastikan sama ada unit pasaran Malaysia mendapat ciri ini.
Untuk varian R-Line yang lebih mampu milik, ia akan dikuasakan oleh enjin 1.5-liter turbo baharu, menggantikan enjin 1.4-liter pada Mk7 dan Mk7.5 sebelum ini.
Terdapat dua tahap kuasa untuk unit 1.5-liter baharu ini iaitu 130hp/200Nm dan 150hp/250Nm, kami rasa kita akan dapat versi lebih berkuasa, dengan padanan automatik DSG 7-kelajuan.
Dari gambar-gambar yang ditayangkan di laman web Volkswagen, dapat dilihat Golf Mk8 ini menampilkan kluster instrumen digital sepenuhnya, di samping unit infotainmen yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.
Golf ini juga akan mendapat lampu belakang LED rekaan baharu, memberikannya imej lebih segar. Jika anda berminat, klik di sini untuk tempahan dan maklumat lanjut.
Golf Mk8 dijangka mendapat permintaan hebat di pasaran negara ini. – Foto ihsan VW
BILIK pameran Volkswagen kini kembali dibuka kecuali yang terletak di Melaka, Johor, Kedah, Pahang dan Kelantan kerana masih menunggu kelulusan untuk beroperasi.
Ini adalah sebagai sebahagian daripada keputusan kerajaan untuk membuka sektor automotif yang selari dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Bagi memastikan kesihatan serta keselamatan kakitangan dan pengunjung, semua bilik pameran Volkswagen akan mematuhi garis panduan ketat yang ditetapkan oleh kerajaan di samping langkah-langkah #SafeHands yang merangkumi pemeriksaan aplikasi MySejahtera, imbasan suhu, mewajibkan pemakaian pelitup muka, sanitasi bilik pameran dan kereta yang kerap serta banyak lagi.
Hanya pengunjung yang sudah lengkap divaksin dibenarkan masuk. Individu yang ingin mengunjungi bilik pameran boleh berbuat demikian selepas 14 atau 28 hari (bergantung kepada vaksin yang diambil) dari pengambilan dos vaksin yang lengkap.
Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter mengalu-alukan langkah kerajaan untuk membuka semula operasi jualan dan pengilangan.
“Penutupan bilik pameran sejak beberapa bulan lalu nyata memberi kesan ke atas prestasi perniagaan kami. Namun, kami tidak sabar untuk melihat industri kembali dibuka dan terus maju ke hadapan dengan sokongan para pengedar kami.”
Sempena pembukaan semula bilik pameran dan cuti hari Merdeka tidak lama lagi, para pengedar Volkswagen akan menganjurkan acara bilik pameran maya di saluran media sosial masing-masing pada 27 hingga 31 Ogos.
Sebagai sebahagian daripada sambutan itu, Volkswagen akan menawarkan penjimatan dalam talian yang eksklusif sebanyak RM4,500 ke atas Tiguan Allspace Highline dan RM7,500 untuk model Passat R-Line bermula sekarang hingga 31 Ogos.
Para pengunjung digalakkan untuk membuat temu janji sebelum datang dengan menghubungi pengedar Volkswagen yang mereka ingini. Maklumat lanjut mengenai operasi pengedar Volkswagen, sila layari laman web: https://www.volkswagen.com.my/faq.
Volkswagen dan penghasilan kenderaan jenis crossover memang tidak boleh dipisahkan.
Buktinya, bagi pasaran Eropah sahaja jenama itu mempunyai lebih enam model teras crossover berbagai saiz.
Terbaharu, Volkswagen memperkenalkan satu lagi model terkini dikenali sebagai Taigo.
Taigo merupakan crossover kompak coupe pertama dilancarkan Volkswagen di Eropah.
Bagaimanapun, model itu telah pun dijual di Amerika Selatan sejak tahun lalu yang dikenali sebagai Nivus.
Taigo dihasilkan berasaskan platform MQB-A0 sama seperti Polo dan T-Cross serta beberapa model jenama lain termasuk Audi A1, SEAT Ibizas erta Skoda Fabia.
Bahagian depan taigo. – Foto ihsan VW
Bahagian sisi Taigo. – Foto ihsan VW
Taigo versi Eropah memiliki bampar lebih bergaya selain pilihan lampu Matrix LED IQ Light serta jalur lampu LED pada gril dan tailgate.
Ia juga ditawarkan dalam versi R-Line yang membawakan rekaan bampar hadapan dan belakang yang lebih sporty.
Model ini juga mempunyai muncung ekzos berkembar dengan kemasan krom, rim aloi bersaiz besar dan logo ‘R’ pada gril.
Perkataan Taigo tertera di bahagian belakang. – Foto ihsan VW
Rekaan ruang kabin Taigo sama seperti Polo dan T-Cross.
Antara kelengkapan yang disertakan adalah:-
Panel instrumen Digital Cockpit Pro berukuran 10.25 inci
Skrin sentuh yang dikuasakan oleh perisian MIB 3.1
App Connect Wireless
Arahan suara
Apple CarPlay
Android Auto
Taigo juga didatangkan standard dengan pelbagai sistem bantuan pemandu termasuk Front Assist dengan fungsi Emergency City Brake dan Lane Assist.
Sebagai tambahan, pelanggan boleh mendapatkan pakej IQ Drive Travel Assist yang membolehkan ia dipandu secara autonomi pada kelajuan sehingga 210 km/j.
Taigo ditawarkan dengan dua pilihan enjin TSI iaitu 1.0-liter tiga silinder dengan 94 hp atau 109 hp dan 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 148 hp.
Bergantung kepada unit yang dipilih, ia dilengkapi dengan transmisi manual lima, enam atau DSG tujuh kelajuan.
Semuanya dipadankan dengan pacuan roda hadapan.
Ruang hadapan yang cukup selesa. – Foto ihsan VW
Ruang belakang yang agak luas untuk kegunaan seisi keluarga. – Foto ihsan VW
Kerusi yang lebih selesa untuk kegunaan pemandu dan penumpang. – Foto ihsan VW
VOLKSWAGEN Passenger Cars Malaysia (VPCM) berharap kerajaan dapat mempertimbangkan agar industri automotif dibenarkan beroperasi semula.
Pengarah Urusan VPCM Erik Winter berkata, kegagalan pengusaha automotif membuka semula operasi dibimbangi menjejaskan industri itu di negara ini.
“Kami mempunyai rakan dagang yang juga sama terkesan dengan situasi sekarang.
“Jika kami tidak dapat beroperasi, ia akan turut sama menjejaskan rakan dagang yang lain,” katanya.
Winter berkata demikian kepada pemberita ketika sesi pelancaran Arteon R-Line 4MOTION secara dalam talian, hari ini.
Arteon R-Line 4MOTION dilancarkan pada harga RM248,692.67 (tidak termasuk insurans).
Model Arteon R-Line 4MOTION dilengkapi enjin turbo charged TSI dengan kotak gear shift langsung klac basah tujuh kelajuan.
Spesifikasi ini menyaksikan kemampuan pecutan pada kelajuan 0-100 km/j hanya dalam tempoh 5 saat!
VPCM menjangkakan model terbaharu Arteon R-Line 4MOTION bakal mendapat permintaan tinggi di pasaran Malaysia di sebalik kekangan penawaran cip kenderaan.
SETELAH tempahan dibuka kira-kira sebulan lepas, Volkswagen Arteon R-Line facelift didedahkan secara rasmi hari ini.
Pelancaran itu dibuat secara maya oleh Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM). Jujurnya kedatangan Arteon R-Line facelift ini menunjukkan usaha VPCM dalam merancakkan pasaran sedan segmen-D yang kian mengecil.
Oh ya, Volkswagen Arteon ini bukanlah sedan sepenuhnya, tetapi lebih kepada sebuah fastback. Volkswagen Arteon R-Line 2.0 TSI 4Motion ditawarkan pada harga RM247,670.97 dengan pengecualian cukai, dan merupakan model CKD (dipasang di Malaysia). Harga ini juga termasuk jaminan 5-tahun dan pakej penyelenggaraan percuma 3-tahun.
Jangan ingat rupa eksekutif Arteon ini tiada prestasi. Di bawah ‘kulitnya’ terdapat enjin EA888 2.0-liter turbo yang menjana 280hp dari (5,100-6,500rpm) dan 350Nm (1,700-5,600rpm), yang menghantar kuasa ke semua roda melalui DSG 7-kelajuan dan sistem pacuan 4Motion.
Dengan ini, pecutan 0 ke 100km/j boleh dibuat dalam 5.6 saat sahaja. Untuk konteks, pecutan ini lebih pantas dari Honda Civic Type-R (5.8 saat) dan Golf GTi (6.4 saat).
Kelengkapan luaran Arteon termasuklah lampu depan LED sepenuhnya, lampu belakang LED dengan signal sequential, dan rim Montevideo dwi-tona aloi 19-inci. Satu ciri yang menjadi magik untuk Arteon ialah penyerap hentak Dynamic Chassis Control (DCC), menjadikan ia sedap dipandu.
Ciri di bahagian dalaman pula termasuklah kemasan kulit Nappa, sistem audio Harman Kardon 700-watt dengan 12 pembesar suara, kamera 360-darjah, dan sistem infotainmen dengan skrin 9.2-inci yang menyokong Apple CarPlay serta Android Auto.
Arteon baharu didatangkan dalam tiga pilihan warna metalik iaitu kelabu (Manganese Grey), biru (Lapiz Blue) dan perak (Pyrite Silver); serta dua warna mutiara; hitam (Deep Black) dan putih (Oryx White).
Harga Arteon ini sudah memasuki ‘wilayah’ BMW 3-Series G20 dan Mercedes-Benz C-Class W205. Jenama Jerman mana yang jadi pilihan anda?
VOLKSWAGEN (VW) memperkenalkan satu lagi varian terbaharu iaitu Arteon R-Line 4MOTION baru-baru ini.
Mula diperkenalkan di Malaysia tahun lalu, varian pertama berjaya memikat ramai peminat kereta yang gemarkan gaya pemanduan sebenar dengan keselesaan ruang dalaman eksklusif.
Tahun ini, VW sekali lagi ‘melahirkan’ sebuah model Arteon R-Line baharu yang didatangkan dengan pelbagai ciri menarik.
Antara pembaharuan yang dilakukan melibatkan kemas kini bahagian dalaman dan luaran, selain teknologi serta enjin baharu.
Arteon R-Line 4MOTION bukan sahaja power tetapi juga sangat menawan! – Foto oleh VW
Jom kenali Arteon R-Line 4MOTION baharu
Arteon R-Line 4MOTION baharu memiliki karakter lebih sporty.
Pada bahagian luaran, ia dilengkapi gril dan bampar hadapan dengan rekaan baharu lebih mantap bersama lampu utama diod pemancar cahaya (LED) penuh.
Selain itu, bahagian belakang model ini juga dilengkapi LED 3D dengan lampu isyarat membelok berturutan menyerlahkan karekter reka bentuk Arteon.
Bagaimana pula dengan bahagian enjin?
Arteon R-Line 4MOTION sememangnya merupakan kenderaan berprestasi tinggi dengan kuasa enjin turbo 2.0L TSI.
Ia dipadankan bersama kotak gear direct shift klac basah 7-kelajuan DSG dan mampu menghasilkan kuasa 280PS dan tork sebanyak 350Nm di antara 5,100 hingga 6,500rpm.
Jangan terkejut kerana Arteon R-Line 4MOTION hanya memerlukan masa 5.6 saat untuk memecut dari 0-100kmj!
Tidak dinafikan pemandu akan merasai keselesaan sebenar pemanduan dengan Arteon baharu ini. – Foto oleh VW
Sementara itu, ruang kokpit Arteon R-Line 4MOTION baharu tampil menawan dengan perubahan ketara termasuk stereng baharu bersama kawalan sentuhan haptic.
Pemandu dan penumpang juga boleh berasa selesa dengan tempat duduk sports dibaluti kulit Nappa Carbon bersama logo R baharu.
Berikut antara ciri-ciri lain Arteon R-Line 4MOTION baharu:
Sistem audio 12 unit pembesar suara premium berkuasa 700-watt daripada Harman Kardon
Sistem infohibur Discover Pro dengan skrin bersaiz 9.2” didatangkan bersama ciri kawalan gestur dan suara
Sistem Digital Cockpit beresolusi tinggi boleh diubah suai dengan sentuhan jari.
Lane Assist, Side Assist dan Driver Alert
Terdapat lima pilihan warna bagi Arteon R-Line 4MOTION baharu iaitu Lapiz Blue, Manganese Grey dan Pyrite Silver.
Pelanggan yang meminati warna dengan efek mutiara pula boleh dapatkan pilihan Deep Black atau Oryx White.
Harga bagi Arteon R-Line 4MOTION baharu bermula RM245,000 hingga RM255,000.
JIKA membaca pada tajuk penulisan ini pasti ramai tertanya apakah benar Volkswagen Passat 2.0 TSI Elegance menjimatkan bahan api?
Jawapannya adalah “ya, benar”.
Volkswagen Passat 2.0 TSI Elegance ini sebenarnya boleh menjimatkan penggunaan bahan api sekaligus menyelamatkan poket anda.
Berdasarkan pemerhatian penulis, model ini terbukti bukan sahaja mempunyai ‘kuasa’ terbaik malah, jika kena gayanya amat menjimatkan penggunaan petrol.
Mitos atau realiti?
Konsumsi bahan api model ini sangat rendah berbanding kebanyakan kereta jenis lain jika dipandu dalam kelajuan sederhana.
Tangki penuh kereta ini adalah 66 liter dan jika dipandu berhemah ia boleh bergerak sejauh 1000km.
Selain itu, mengambil kira status sebagai kenderaan continental ia jelas tidak terlalu mahal memandangkan harga di pasaran bernilai kurang RM200,000.
Apa yang menarik Volkswagen juga meneruskan pemberian jaminan lima tahun tanpa jarak pembantuan selain servis percuma selama tiga tahun!
Mengapa model ini sangat istimewa?
Kereta ini menggunakan enjin 2.0 TSI turbocharged yang menghasilkan 190hp dan 320nm tork.
Menariknya enjin ini menghasilkan kuasa yang mantap tetapi masih dapat menjimatkan bahan api.
Kereta ini dipadankan dengan DSG 7 kelajuan dan ia sangat lancar selain mempunyai fitur keselamatan tinggi.
Salah satu fitur yang penulis gemar adalah Rear Cross Traffic Alert.
Memandangkan kereta ini agak besar dan panjang, fitur keselamatan akan membantu kenderaan mengundur dengan sempurna.
Rekaan dalaman Volkswagen Passat 2.0 TSI Elegance sangat terbaik!
Kemasan dalaman kereta ini sangat cantik dan moden. Fitur Apple Carplay tanpa wayar juga antara yang disukai pengguna.
Bagaimana pemanduan kereta ini?
Kereta ini bukan direka untuk berlumba tetapi ia masih boleh dikawal pada kelajuan tinggi dan tidak bermasalah untuk mengambil selekoh tajam.
Bagaimanapun, pada pandangan penulis model ini seronok jika dipandu dengan santai.
Maka secara kesimpulan, penulis merasakan kereta ini menjadi contoh segmen D terbaik merangkumi penggunaan bahan api, spesifikasi dan keselesaan.
VOLKSWAGEN Tiguan berada dalam pasaran automotif Malaysia sejak tahun 2008.
Ketika itu, Tiguan generasi pertama gagal menarik perhatian saya. Reka bentuk model ini boleh dikatakan langsung tidak menyerlahkan ia sebagai sebuah jentera yang ‘segak’.
Lapan tahun berlalu, Volkswagen memperkenalkan pula Tiguan MK2 di Malaysia.
Sedikit ‘bergaya’ namun, masih kelihatan seperti sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) tipikal yang hanya sesuai untuk individu berkeluarga.
Disebabkan itu juga, Tiguan masih gagal menarik perhatian ramai orang terutama golongan muda.
Bagaimanapun, usaha Volkswagen untuk melakukan penambahbaikan terhadap model Tiguan tidak terus terhenti.
Terbaharu, jenama itu memperkenalkan Tiguan Allspace R-Line yang kelihatan semakin ‘garang’.
Tiguan Allspace R-Line juga sesuai untuk kegunaan 'santai'. - Foto oleh EnGear
Tiguan Allspace R-Line lebih padu, jitu
Pada asalnya, enjin 1.4 Tsi yang dipadankan pada Volkswagen Tiguan ini sudah cukup memadai.
Namun, setelah memandu kereta ini untuk beberapa hari barulah saya faham tujuan variasi R-Line ini dipadankan dengan enjin 2.0 Tsi.
Pertama sekali, rupa luaran Tiguan R-Line ini sememangnya sangat ‘menawan’ apatah lagi dipadankan dengan bodykitlebih ‘garang’.
Lampu belakang jenis diod pemancar cahaya (LED) menyerlahkan lambang kemegahan selain turut memiliki rim bersaiz 19 inci.
Bahagian dalam pula, kenderaan asal Jerman ini sememangnya kelihatan kemas dengan odometer digital serta mempunyai skrin sesentuh yang besar.
Selain itu, pemasangan Apple CarPlay turut memudahkan pemandu menggunakan sistem navigasi dan lain lain fungsi.
Tiguan Allspace R-Line juga lebih ‘panjang’ sekaligus memberi keselesaan kepada pamandu dan penumpang.
Jadi, perlukah Volkswagen mengeluarkan enjin 2.0 ini memandangkan enjin 1.4 sudah memadai?
Saya yakin, jawapannya “perlu”.
Ini kerana Tiguan R-Line ini mempunyai satu ruang khas yang dinantikan oleh kebanyakan peminat Volkswagen.
Istilah 'Allspace' membuktikan kenderaan ini memiliki ruang dalaman sangat luas.
Ruang dalaman Tiguan Allspace R-Line
Bayangkan jika pengguna Volkswagen Golf GTI sudah terbiasa dengan kelajuan kenderaan itu.
Pastinya, individu itu ingin memiliki kuasa yang sama pada Tiguan R-Line.
Tanpa ragu-ragu, saya yakin Tiguan R-Line layak menjadi pengganti kepada Golf GTI bagi mereka yang berkeluarga.
Apabila anda memandu kereta ini, ia sangat selesa dan langsung tidak merasakan ia sebuah SUV.
Kotak gear DSG 7 kelajuan turut membantu pecutan dan kelancaran penukaran gear.
Berdasarkan pengalaman saya, Tiguan R-Line amat berbaloi untuk dimiliki.
Volkswagen Passenger Cars Malaysia hari ini melancarkan beberapa penambahan ciri baharu bagi model Tiguan Allspace R-Line 2021.
Tiguan Allspace R-Line 2021 dikuasakan dengan enjin turbo 2.0TSI selain dipadankan dengan kotak gear klac basah direct shift (DSG) tujuh kelajuan.
Ia mampu menjana kuasa mencecah 220PS dan tork 350Nm.
Antara ciri penting lain terdapat pada kenderaan utiliti sukan (SUV) ini adalah sistem 4MOTION yang membolehkan ia mengharungi apa jua permukaan jalan.
Selain itu, Tiguan Allspace R-Line 2021 juga dilengkapi dengan port pengecas dan data USB-C termasuk sistem yang mampu disambungkan kepada Apple Car Play.
Tiguan Allspace R-Line 2021 dilengkapi sistem gear yang mampu memberi keselesaan pemanduan di atas setiap permukaan jalan raya.
Aidilfitri bersama Volkswagen
Volkswagen berbesar hati memberi potongan diskaun kepada para pelanggannya bermula hari ini sehingga 13 Jun bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Para pelanggan bakal menikmati potongan 20 peratus bagi setiap penukaran minyak enjin Volkswagen.
Pada masa sama, pelanggan yang berbelanja minimum RM1,200 juga akan menerima satu kit penjagaan kereta secara percuma!
Ia merangkumi penggilap berlilin, syampu, produk penjagaan plastik dan kulit serta sampul wang bersempena Aidilfitri.
Model Passat antara kenderaan 'laku keras' yang ditawarkan oleh Volkswagen. - Foto oleh Volkswagen Malaysia
ACE 2021: Nantikan kemunculan Volkswagen
Auto Car Expo (ACE) yang diadakan pada 17 dan 18 April ini di Setia City Convention Centre bakal menyaksikan penglibatan Volkswagen.
Pelbagai program dan tawaran menarik bakal menanti pengunjung termasuk rebat tunai tambahan RM1,000 bagi setiap pembelian kenderaan Volkswagen.
Pelanggan yang mendapatkan model Passat Elegance dan R-Line pula bakal menikmati hadiah percutian mewah di Pangkor Laut Resort ditaja sepenuhnya oleh Volkswagen.
Sebagai tambahan, Passat Elegance hadir dengan insurans percuma selama setahun bernilai RM5,500.
Manakala Passat R-Line pula, didatangkan bersama petrol percuma selama setahun bernilai RM2,500.
Model keluaran Volkswagen seperti Arteon R-Line, Passat Elegance, Passat R-Line, Tiguan Allspace R-Line dan Highline juga akan dipertontonkan kepada pengunjung.