Toyota GR Yaris edisi Sebastien Ogier – mod Seb dan Morizo, terhad 200 unit

Toyota baru-baru ini memperkenalkan GR Yaris Sebastien Ogier 9x World Champion Edition, sebuah model edisi terhad yang dihasilkan bagi meraikan kejayaan Sebastien Ogier merangkul kejuaraan WRC ke-9 beliau baru-baru ini.

Berasaskan GR Yaris Aero Performance, model ini akan dikeluarkan dalam jumlah terhad sebanyak 200 unit, dengan 100 unit diperuntukkan untuk pasaran Eropah, manakala selebihnya akan dijual di Jepun menerusi sistem loteri.

Model ini menampilkan beberapa naik taraf yang membezakannya daripada GR Yaris standard. Antara yang paling menonjol ialah kehadiran dua mod AWD baharu yang dibangunkan dengan kerjasama Ogier sendiri.

Mod Seb, yang menggantikan mod Track, menggunakan pembahagian tork 40:60 depan ke belakang bagi menawarkan karakter pemanduan lebih berorientasikan pacuan belakang tanpa menjejaskan cengkaman bahagian hadapan.

Sementara itu, mod Gravel digantikan dengan mod Morizo yang bertujuan memaksimumkan cengkaman dan prestasi di selekoh, dengan roda depan dan belakang dikunci semasa pecutan. Daya kuncian ini akan dikurangkan secara automatik ketika membrek.

Dari segi penampilan, model ini hadir dengan warna eksklusif Black Gravite, digandingkan dengan rim hitam matte. Angkup brek pula diserlahkan dengan warna biru khas Ogier, manakala gril hadapan dihiasi dengan aksen tiga warna bendera Perancis.

Bahagian kabin menampilkan roda stereng baharu yang diinspirasikan daripada jentera GR Yaris Rally2, dengan diameter lebih kecil, susun atur suis yang diubah suai, serta jahitan merah, biru dan kelabu yang turut digunakan pada brek tangan.

Selain itu, terdapat juga plat nombor siri khas yang menandakan status edisi terhad model ini, sementara paparan meter TFT penuh menampilkan grafik eksklusif untuk dua mod AWD baharu tersebut.

Toyota GR Corolla versi Automatik kini di Malaysia, harga RM378,950

UMT Toyota Motor mengumumkan ketibaan sebuah lagi model berprestasi tinggi, iaitu Toyota GR Corolla dalam versi transmisi automatik.

Spesifikasi asas jentera ini masih lagi sama, didatangkan dengan enjin tiga silinder G16E-GTS 1.6 liter turbo menghasilkan kuasa 300 PS dan 400 Nm.

Seperti GR Yaris AT, GR Corolla AT dibekalkan dengan kotak gear DAT (Direct Automatic Transmission) lapan nisbah kelajuan, lengkap dengan fungsi ekslusif Launch Control.

Pecutan 0-100 km/j memakan masa 5.3 saat.

Sistem pacuan semua roda GR-Four menawarkan tiga tetapan agihan kuasa, iaitu Normal, Gravel dan Track, dibantu dengan tiga mod pemanduan iaitu Sport, Normal dan Eco.

Secara standard, GR Corolla AT didatangkan dengan pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen depan dan belakang.

Antara penambahbaikan yang dibuat termasuklah sistem ABS yang telah ditala untuk kuasa brek yang lebih stabil atas apa jua permukaan serta talaan suspensi untuk pengendalian yang lebih meyakinkan di selekoh.

Untuk ruang kabin, GR Corolla AT 2026 mendapat kelengkapan seperti skrin Display Audio 10 inci, skrin kluster digital 12.3 inci, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar, skrin paparan head-up (HUD), paddle shifter serta penambahan ciri pemantauan titik buta (BSM).

Harga jualan untuk GR Corolla AT bermula dari RM378,950, atau RM10,000 lebih mahal berbanding GR Corolla versi manual.

GR Yaris MORIZO RR dapat input daripada Akio Toyoda, 100 unit khas untuk pasaran Jepun

Toyota GR Yaris bukanlah sebuah hot hatch yang ‘sempurna’ sejak dari awal pengenalannya.

Ini kerana sehingga kini masih wujud ruang untuk pembaharuan dan penambahbaikan yang dibuat oleh Toyota Gazoo Racing bagi menjadikan ia lebih sedap untuk dipandu.

Berbekalkan pengalaman berlumba di Nurburgring 24 Hours 2025, Toyota Gazoo Racing memperkenalkan GR Yaris MORIZO RR yang dibangunkan bersama-sama Master Driver Akio Toyota – atau lebih dikenali dengan nama Morizo.

Dari segi luaran, GR Yaris MORIZO RR mendapat kelengkapan seperti sayap belakang kekal yang lebih besar diperbuat daripada gentian karbon, spoiler depan, skirt sisi, hud enjin gentian karbon, angkup brek kuning, rim Matte Broze, emblem MORIZO RR dan tandatangan Morizo pada cermin hadapan.

Ruang kabin pula didatangkan dengan roda stereng eksklusif GR balutan suede dengan dimensi yang lebih kecil.

Jika anda perasan, susun atur butang fungsi juga berlainan dengan apa yang wujud pada GR Yaris sedia ada, tetapan ini lebih mirip kepada apa yang digunakan pada jentera rali GR Yaris Rally2.

Akhir sekali, tombol pemilihan pacuan GR-Four kini mempunyai fungsi khas “PUSH MORIZO” menggantikan mod Gravel pada kereta GR Yaris standard.

Dalam mod yang dibangunkan khas bersama MORIZO ini, ia akan menetapkan agihan kuasa sebanyak 50:50 untuk roda depan dan belakang.

Aspek pemanduan pula ditambah baik dengan tetapan suspensi yang telah ditala semula berdasarkan permukaan jalan di Nurburgring supaya wujud keseimbangan antara keselesaan dan pengendalian yang sporti.

Sistem stereng kuasa elektrik (EPS) juga turut ditala semula oleh pihak GAZOO Racing.

Toyota GR Yaris MORIZO RR akan diproduksikan sebanyak 100 unit terhad untuk pasaran Jepun, di mana permohonan boleh dibuat menerusi aplikasi rasmi TGR iaitu GR App.

Sebanyak 100 unit lagi akan turut ditawarkan di beberapa pasaran terpilih di Eropah.

TGR Asia Esports 2025: Chong Kai Chang raih kedudukan ketiga, Malaysia nombor dua!

Pelumba Malaysia, Chong Kai Chang berjaya meraih kedudukan ketiga dalam kejohanan Toyota Gazoo Racing (TGR) Asia Esports GT 2025 yang baru sahaja melabuhkan tirainya hujung minggu yang lalu.

Kejohanan tersebut menyaksikan pertempuran sengit antara lima belas pelumba sim dari negara Indonesia, Filipina, Singapura, Thailand dan juga Malaysia (diwakili oleh Taj Aiman, Iqbal Suji, & Chong Kai Chang) menerusi platform Gran Turismo 7.

Dalam kategori individu, pelumba Indonesia Andika Rama menduduki tangga teratas podium dengan jumlah mata terkumpul sebanyak 74 poin, diikuti rakan senegaranya Moreno Pratama (62 poin).

Chong Kai Chang mencatatkan mata terkumpul sebanyak 59 poin.

Dengan dua orang pemandu menguasai podium, Indonesia mencatatkan mata terkumpul 169 poin dalam kategori negara, diikuti Malaysia (151 poin) dan Singapura (93 poin).

Tiga individu dan pasukan teratas masing-masing membawa pulang hadiah tunai bernilai USD 8,000 (RM33,176), USD 4,500 (RM18,662) dan USD 3,000 (RM12,441).

Anugerah khas juga turut diberikan sebagai pengiktirafan ke atas prestasi luar biasa seperti berikut:

  • Driver of the Day: Andika Rama (Indonesia)
  • Best Racecraft Driver: Chong Kai Chang (Malaysia)
  • Fastest Race Pace: Fadtris Isa (Singapura)

Perlumbaan akhir mengambil tempat di tiga lokasi, iaitu Litar Suzuka (Jepun) menggunakan jentera GR Yaris, diikuti Litar Interlagos (Brazil) dengan jentera GR010 Hybrid, dan akhir sekali di Litar Watkins Glen (Amerika Syarikat) menggunakan jentera GR Supra.

Rakaman kejohanan TGR Asia Esports GT 2025 boleh ditonton semula menerusi pautan di bawah:

Nabil Azlan juara kategori Pro Class Toyota GR Malaysia eRacing Championship 2025

Kejuaraan eRacing Toyota Gazoo Racing Malaysia 2025 melabuhkan tirainya hujung minggu lalu menyaksikan aksi hebat daripada barisan pelumba simulasi handalan negara bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM123,000.

Dianjurkan oleh UMW Toyota Motor, kejuaraan ini turut menjadi medan pencarian generasi baharu pelumba negara.

Terdapat dua kategori utama iaitu Pro Championship yang menampilkan pelumba simulasi elit, serta Campus Tour sebagai inisiatif akar umbi yang membawa simulator bertaraf profesional ke universiti tempatan untuk mencari bakat baharu.

Setelah tiga perlumbaan sengit di pusingan akhir yang turut menjadi pusingan keempat dan kelima, adik beradik Nabil dan Naquib Azlan muncul sebagai juara dan naib juara keseluruhan di dalam Pro Class.

Sementara Taj Izrin Aiman pula ditempat ketiga setelah berjaya mempertahankan gelaran GT miliknya.

Taj Aiman, 26 tahun akan mewakili Malaysia ke Toyota GR Asia eSports GT Championship di Bangkok pada bulan November ini bersama-sama Iqbal Suji di tempat kedua dan Chong Kai Chang di tempat ketiga.

Untuk tahun ini, kejuaraan eRacing Toyota Gazoo Racing Malaysia menampilkan format pelbagai platform yang merangkumi Assetto Corsa, RaceRoom, iRacing serta Gran Turismo 7.

Setiap platform menampilkan dinamik pengendalian unik untuk memaksa pelumba menyesuaikan diri dengan pelbagai keadaan perlumbaan, dan lebih mirip kepada standard liga antarabangsa.

Format serba baharu ini juga turut menyaksikan 35 peratus peserta separuh akhir terdiri daripada muka baharu, di mana ramai antara mereka yang telah berpengalaman di dalam perlumbaan sim.

Menurut Nabil yang membawa pulang hadiah bernilai RM25,000, “format kejuaraan pada tahun ini sangat berbeza, di mana ia bukan sahaja lebih baik, malah serba mencabar yang memaksa kami untuk belajar dan menyesuaikan diri.

“Setiap platform menguji pelbagai aspek teknik pemanduan dan strategi perlumbaan. Perlumbaan sim mengajar saya untuk menjadi pelumba yang lebih baik dan berdaya saing,” ujarnya lagi.

Selain daripada itu, terdapat juga perlumbaan akhir siri Campus Tour yang menyaksikan aksi 10 orang peserta terpantas dari setiap universiti, di mana Randy Goh dari INTI Subang muncul sebagai juara.

Tidak ketinggalan, Media Exhibition Race melibatkan 10 pengamal media yang pertama kali merasai pengalaman menggunakan simulator profesional.

Dalam pada itu, Toyota Gazoo Racing Malaysia turut mengumumkan pembukaan pendaftaran bagi program Toyota Gazoo Racing Young Talent Developent bagi sesi pengambilan tahun 2026.

Terbuka kepada pelumba simulasi dan pelumba kart berusia antara 16 hingga 22 tahun, program ini menawarkan pakej latihan menyeluruh di bawah bimbingan mentor profesional.

Ia juga terbukti menjadi sebuah platform yang telah melahirkan ramai pelumba ternama di Malaysia.

Mereka yang berminat boleh mendaftar di laman web tyt.my/rookiesignup2026 sebelum tarikh tutup penyertaan pada 26 Oktober 2025.

Toyota bangunkan GR86 generasi baharu guna platform Mazda MX-5?

Menerusi kerjasama dengan Subaru, Toyota memperkenalkan kereta sports 86 pada Disember 2011 di Tokyo Motor Show.

Generasi kedua 86 (dikenali sebagai GR86) muncul pada tahun 2020 di mana Toyota masih lagi mengekalkan kerjasama dengan Subaru.

Bagaimana pula dengan generasi ketiga?

Laman automotif Jepun Best Car mendakwa Toyota akan membangunkan GR86 baharu secara bersendirian, namun mungkin akan memerlukan bantuan daripada Mazda untuk mengetuai projek tersebut.

GR86 generasi baharu itu akan dibina berdasarkan platform baru serba ringan yang akan turut digunakan untuk pembangunan Mazda MX-5 generasi berikutnya.

Berbeza dengan pendekatan yang digunakan pada GR86/BRZ, GR86 dan MX-5 baharu ini akan menampilkan banyak perbezaan.

Menurut laporan Best Car, MX-5 akan kekal sebagai sebuah kereta sports dua tempat duduk, manakala platform yang sama akan dipanjangkan sedikit untuk membenarkan GR86 kekal sebagai sebuah coupe 2+2.

Kedua-dua model itu juga akan menggunakan enjin yang berbeza, di mana MX-5 akan tampil dengan enjin 2.0L hibrid buatan Mazda, dan GR86 akan menggunakan tetapan enjin 2.0L hibrid Toyota.

Ini bukanlah kali pertama Mazda MX-5 digunakan sebagai tapak untuk pembangunan model pengeluar lain.

Generasi keempat ND menjadi asas untuk pembangunan model Fiat 124 Spider yang menampilkan rupa paras dan nadi kuasa yang berbeza, diikuti oleh pengeluar Jepun Mitsuoka untuk model Rock Star.

 

Selepas GR Yaris, giliran GR Corolla dapat pakej naik taraf di Jepun

Sebagai seorang peminat kereta berprestasi tinggi buatan Jepun, anda seharusnya berterima kasih kepada orang kuat Toyota, iaitu Akio Toyoda.

Akio atau lebih mesra dipanggil Morizo percaya sukan permotoran merupakan pentas paling ideal untuk menghasilkan kereta jalanan yang terbaik.

Disebabkan itu, kita dapat melihat model penting Gazoo Racing termasuklah hot hatch GR Corolla kini menerima penambahbaikan demi penambahbaikan tanpa perlu menunggu masa yang panjang.

Berikut merupakan perubahan yang dibawakan pada GR Corolla:

1. Penambahan perekat struktur casis sebanyak 13.9 meter kepada 32.7 meter untuk casis yang lebih tegar dan stabil bagi menampung tekanan G menegak dan sisi.

2. Saluran penyejukan baharu ditambah pada liang kemasukan kedua bertujuan untuk menstabilkan output enjin pada keadaan pemanduan bersuhu tinggi.

3. Sistem audio JBL Premium telah ditambah baik dengan kehadiran subwoofer pada ruang kargo, diikuti dengan sistem Active Noise Control (ANC).

4. Tidak ketinggalan, sistem Active Sound Control (ASC) untuk penghasilan runut bunyi yang lebih sporti sewaktu pecutan, nyahpecutan. Malah ketika pendikit minyak dilepaskan, sistem ini akan menjana bunyi letupan ekzos.

Dari segi kuasa, GR Corolla 2026 masih kekal dengan enjin G16E-GTS yang mampu menghasilkan 300 hp dan 400 Nm yang dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan atau automatik lapan-kelajuan.

Untuk pemilik GR Corolla sedia ada, Toyota Gazoo Racing akan memperkenalkan program naik taraf yang mampu meningkatkan angka daya kilas daripada 370 Nm kepada 400 Nm.

Sistem pacuan GR-Four juga akan dinaik taraf, di mana nisbah agihan 30:70 akan digantikan dengan mod Gravel (50:50), sementara mod Track (50:50) boleh ditetapkan kepada 60:40 dan 30:70.

Di Jepun, Toyota GR Corolla 2026 dijual pada harga bermula dari 5,680,000 yen (RM161 ribu) untuk versi manual, dan 5,980,000 yen (RM169 ribu) untuk versi automatik.

 

Teksi Toyota GR Corolla memang wujud di Jepun!

Cuba perhatikan gambar di atas. Perasan kewujudannya? Jika anda perasan, syabas kerana mata anda tajam.

Ya, kami ingin kongsikan kepada anda tentang kewujudan sebuah teksi berprestasi tinggi Toyota GR Corolla yang wujud di Bandar Sendai, Jepun.

Kehadiran GR Corolla yang berkhidmat sebagai sebuah teksi merupakan satu pemandangan yang cukup unik kerana rata-rata teksi di sana menggunakan model seperti Toyota Crown Comfort, Toyota Prius dan model khas Toyota JPN Taxi

Berdasarkan carian ringkas di laman X (dulunya dikenali sebagai Twitter), teksi GR Corolla itu merupakan model bertransmisi automatik lapan kelajuan (GR-DAT).

 

Malah, hot hatch itu telah menjalani proses pemasangan meter dan pintu penumpang belakang berkuasa elektrik automatik yang dibuat oleh Futaba System.

Toyota GR Corolla merupakan sebuah hot hatch kompak yang dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris G16E-GTS, menghasilkan 304 PS dan 400 Nm.

 

Pada asalnya ia hanya ditawarkan dalam versi manual enam-kelajuan, namun menerusi pengenalan model facelift pada Ogos 2024, pembeli boleh mendapatkan GR Corolla versi Direct Automatic Transmission (DAT) lapan kelajuan yang lengkap dengan paddle shifter.

Sebagai peminat hot hatch, kami sendiri boleh bayangkan betapa terujanya para penumpang yang berjaya menggunakan perkhidmatan teksi Toyota GR Corolla ini di sana.

Selain Toyota GR Corolla, syarikat teksi Sendai itu turut mempunyai sebuah lagi model teksi unik, iaitu Subaru Levorg GT.

 

Vios Challenge: Pusingan ketiga hujung minggu ini akan jadi penentu

Pusingan ketiga Vios Challenge akan berlangsung di Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang (SIC) pada 8-10 Ogos ini.

Berlangsung serentak dengan Malaysian Touring Car Championship 2025, perlumbaan ini akan menjadi penentu keputusan akhir Vios Challenge merentas tiga kategori, iaitu Super Sporting, Sporting dan Rookie.

Setakat ini, kedudukan mata keseluruhan kekal rapat antara satu sama lain untuk tiga pelumba teratas di setiap kelas.

Kelas Super Sporting bakal menyaksikan persaingan sengit antara bekas juara 2023, Mitchell Cheah (Team Prima Pearl SP Selatan) di tangga pertama (83 mata) dengan Freddie Ang (Telagamas Toyota) dengan 81 mata dan Ady Rahimy (Laser Motor Racing) dengan 72 mata.

Dalam kategori Sporting, Jwan Hii (Hong Kuat X Armada KK Racing) berada di kedudukan selesa dengan 85 mata mendahului Elson Lew (BAE Racing) dengan jumlah mata 76 mata dan Varunchit Wattanathanakun (RUK Team Nexzter PMC) dengan 62 mata.

Kelas Rookie pula memperlihatkan persaingan sengit antara Aydan Khaliq dan Rahul Dev masing-masing berada di tangga teratas dengan kutipan 94 dan 93 mata.

Tempat ketiga disandang oleh Harkiesh Geeva dengan 72 mata, diikuti Ian James (71 mata) dan satu-satunya pelumba wanita dalam kategori tersebut, Genevieve Ooi dengan 66 mata.

Sama seperti pusingan kedua, ketiga-tiga kelas perlumbaan Vios Challenge akan disatukan dalam satu perlumbaan semi-endurans selama satu-jam mengelilingi litar penuh sepanjang 5.543 km.

Jentera Toyota GR Yaris Rally2 H2 Concept bakal beraksi di Rally Finland

Acara Rali Finland yang bakal berlangsung bermula 31 Julai hingga 3 Ogos ini bakal menyaksikan kemunculan sulung jentera yang dibangunkan khas oleh Toyota Gazoo Racing dan dilengkapi dengan enjin hidrogen.

Jentera rali yang dimaksudkan itu ialah Toyota GR Yaris Rally2 H2 Concept yang dibina berdasarkan casis GR Yaris Rally2 yang telah terbukti.

Dibangunkan di ibu pejabat TGR-WRT yang terletak di Jyväskylä, Finland, kemampuan sebenar jentera rali hidrogen ini turut diuji di jalan sekitar kawasan tersebut termasuklah permukaan batu kerikil yang biasa digunakan dalam Rally Finland.

Untuk penampilan umumnya yang pertama, GR Yaris Rally2 H2 Concept ini akan dipandu oleh juara dunia empat kali Juha Kankkunen yang juga merupakan naib prinsipal pasukan TGR-WRT.

Toyota dan enjin hidrogen bukanlah satu gandingan yang asing di dalam dunia sukan permotoran.

Enjin pembakaran dalaman berkuasa hidrogen telah digunakan dalam perlumbaan menerusi jentera Corolla sejak tahun 2021 di siri perlumbaan ketahanan Super Taikyu.

Teknologi tersebut diperlihatkan atas pentas rali Eropah buat pertama kali pada tahun 2022 menerusi jentera eksperimen GR Yaris H2 di FIA World Rally Championship pusingan Belgium yang dipandu oleh Akio Toyoda dan Juha Kankkunen.

Tidak seperti GR Yaris Rally1 yang menggunakan enjin empat silinder sebaris, GR Yaris Rally2 menggunakan enjin yang sama wujud pada GR Yaris versi produksi, iaitu nadi G16E-GTS 1.6 liter turbo.

Namun begitu, sistem bekalan bahan api dan suntikan telah diubahsuai supaya dapat disesuaikan dengan bahan api hidrogen.

Lebih penting, enjin tersebut masih lagi mampu menawarkan prestasi, serta bunyi dan sensasi yang dapat dinikmati oleh peminat rali walaupun dengan pelepasan emisi hampir sifar – sesuatu yang sukar untuk ditawarkan oleh mana-mana EV berprestasi tinggi.

 

Aksi lumba Vios Challenge meriahkan Super GT Malaysia 2025

Perlumbaan jenama tunggal Vios Challenge yang berlangsung kali ini amat unik kerana ia menampilkan format yang berbeza berbanding dua perlumbaan terdahulu.

Buat pertama kalinya, Vios Challenge membuat kemunculan di peringkat antarabangsa serentak dengan Autobacs Super GT pusingan Malaysia yang berlangsung pada 26-28 Jun yang lalu.

Selain itu, Vios Challenge musim 8 pusingan kedua ini menampilkan format perlumbaan selama satu jam menguasai jarak keseluruhan litar sepanjang 5.543 km berbanding perlumbaan pecut 10-lap yang menggunakan separuh litar Sepang.

Untuk menjadikan perlumbaan yang lebih menarik, kesemua 36 pelumba dari tiga kelas perlumbaan (Super Sporting, Sporting dan Rookie) dilepaskan serentak, menjadikannya jauh lebih mencabar dan memberikan peluang yang lebih adil kepada semua pelumba.

Keadaan ini dibuktikan menerusi keputusan akhir kedua-dua perlumbaan di mana kedudukan podium berubah untuk setiap kelas perlumbaan.

Berikut merupakan keputusan perlumbaan Vios Challenge mengikut kelas masing-masing:

 

Kelas Super Sporting

Perlumbaan 1
1. Freddie Ang (Telagamas Toyota)
2. Nabil Azlan (Wheelcorp)
3. William Ho (Toyotsu Toyota)
Perlumbaan 2
1. Mitchell Cheah (Team Prima Pearl SP Selatan)
2. Ady Rahimy (Laser Motor Racing)
3. Freddie Ang (Telagamas Toyota)

Kelas Sporting

Perlumbaan 1
1. Jwan Hii (Hong Huat x Armada KK Racing)
2. Dato Dr Ken Foo (Kulim Top Wheels)
3. Warunchit Wattanathanakun (RUK Team Nexzter PMC 52)
Perlumbaan 2
1. Justin Toh (BAE Racing by ES Yang)
2. Elson Lew (BAE Racing by ES Yang)
3. Warunchit Wattanathanakun (RUK Team Nexzter PMC 52)

Kelas Rookie

Perlumbaan 1
1. Aydan Khaliq
2. Justin Rahul Dev
3. Harkiesh Geeva
Perlumbaan 2
1. Justin Rahul Dev
2. Genevieve Ooi
3. Aydan Khaliq

Vios Challenge masih lagi berbaki dua pusingan, di mana pusingan ketiga akan berlangsung serentak dengan Malaysia Championship Series (MCS) pada 8-10 Ogos ini.

Sementara pusingan keempat dijadualkan berlangsung pada bulan Oktober 2025 di Johor, di mana lokasi dan tarikh akan diumumkan kelak.

Pusingan 3 Super GT Malaysia 2025 menyaksikan Deloitte TOM’s GR Supra dan UPGARAGE AMG GT3 masing-masing mengungguli kelas GT500 dan GT300 dalam keadaan suhu litar mencecah 42℃.

Berikut merupakan keputusan akhir perlumbaan pusingan 3 Super GT Malaysia 2025:

Kelas GT500
1. Deloitte TOM’s GR Supra #37
2. Arta Mugen Civic Type-R GT #8
3. TRS Impul with SDG Z #12

Kelas GT300
1. Upgarage AMG GT3 #18
2. Green Brave GR Supra GT #52
3. Goodsmile Hatsune Miku AMG #4

Setelah tamat pusingan Malaysia, Super GT akan kembali ke Jepun di mana pusingan keempat akan berlangsung di Fuji Speedway pada 2-3 Ogos ini.

Malaysia kekal menjadi satu-satunya lokasi penganjuran perlumbaan Super GT di luar Jepun, dan tahun ini merupakan tahun pertama perlumbaan berprestij itu kembali ke Litar Sepang sejak kali terakhir penganjuran pada tahun 2013.

Pusingan ke-2 Vios Challenge tampil format perlumbaan endurans satu jam!

UMW Toyota dan Toyota Gazoo Racing Malaysia mengumumkan perubahan format perlumbaan Vios Challenge bersempena dengan penganjuran AUTOBACS Super GT Malaysia yang akan berlangsung pada 26-28 Jun ini.

Tidak seperti format perlumbaan pecut 30 minit yang biasa, Vios Challenge kali ini akan menggunakan format perlumbaan endurans satu jam yang meliputi jarak penuh Litar Antarabangsa Sepang sepanjang 5.543 km.

Vios Challenge 2025 akan terus menampilkan tiga kelas perlumbaan iaitu Super Sporting, Sporting dan Rookie.

Ini bermakna, dalam perlumbaan kedua musim ini kelima-lima pelumba kelas Rookie akan menunjukkan bakat di pentas antarabangsa buat kali pertama.

Sehingga kini, seramai 22 orang pelumba telah menamatkan pengajian di dalam Program Pembangunan Bakat Muda Toyota Gazoo Racing sejak dilancarkan pada tahun 2021.

Daripada jumlah tersebut, lebih 10 orang pelumba kini bersaing di peringkat tempatan, dan empat orang pelumba sudah pun mencapai kemenangan dan gelaran kejuaraan di peringkat antarabangsa.

Menurut Datuk Ravindran K selaku Presiden UMW Toyota Motor berkata, “penyertaan kami sebagai Penaja Utama mencerminkan komitmen berterusan UMWT untuk memartabatkan sukan permotoran Malaysia.

“Vios Challenge telah terbukti menjadi batu loncatan untuk bakat tempatan dan ia merupakan satu pencapaian besar di mana para pelumba kami dapat bersaing atas pentas yang sama dengan pasukan antarabangsa di Super GT.

“Festival Super GT Malaysia bukan sekadar pentas persaingan, ia merupakan tapak pelancaran yang dengan bangganya meletakkan nama Toyota Gazoo Racing Malaysia di peta sukan permotoran global dan menunjukkan Toyota Gazoo Racing Malaysia ada di sini, bergerak aktif dan sedia untuk berkembang.”

Jelasnya lagi, terdapat perancangan menubuhkan pasukan pengilang Toyota Gazoo Racing Malaysia (TGRMY) untuk menyertai acara perlumbaan serantau bagi mengukuhkan kehadiran Malaysia di dalam sukan permotoran.

Berbalik kepada perlumbaan Super GT, ini merupakan satu-satunya pusingan perlumbaan yang diadakan di luar Jepun untuk kalendar Super GT 2025.

Pengunjung boleh menyaksikan aksi GR Supra kelas GT500 daripada pasukan Toyota, iaitu GR Supra TOM’s yang sebelum ini memenangi pusingan pertama di Okuyama dan GR Supra KeePer CERUMO yang memenangi pusingan kedua di Fuji Speedway.

Selain itu, terdapat juga pameran barisan model-model GR termasuklah GR Supra, GR Yaris, GR Corolla, GR86, Corolla GR Sport serta Corolla Cross GR Sport HEV.

Pada tarikh yang sama, Litar Sepang akan menjadi lokasi perlumbaan sulung Toyota GR86 Cup Malaysia sebagai perlumbaan sokongan Super GT.

Bukan itu sahaja, pengunjung Festival Super GT Malaysia juga berpeluang untuk menyertai acara kebudayaan dan makanan Jepun, iaitu Nihon Matsuri, serta menyaksikan konsert pasca perlumbaan GT Live! yang membariskan pelbagai artis ternama.

Antaranya ialah trio Tenxi, Naykilla & Jemsii (TNJ), KLP48, Fareed K-Clique, Sabhi Saddi, dan Kaka Azraff.

Festival Super GT Malaysia 2025 tawar Toyota GR Supra sebagai hadiah cabutan bertuah

Pengunjung Festival Super GT Malaysia 2025 yang akan berlangsung pada 26-28 Jun ini berpeluang untuk membawa pulang sebuah Toyota GR Supra bernilai RM650,000.

Hadiah cabutan bertuah itu dibawakan khas oleh HARO Sports & Entertainment selaku pemegang hak dan pempromosi bagi Super GT pusingan Malaysia.

Untuk melayakkan diri, anda hanya perlu membuat pembelian menggunakan Mastercard bermula 1 Jun hingga 28 Jun untuk tiket-tiket berikut:
• Main Grandstand (RM250)
• GT Suite (RM350)
• GT Live! Rock Zone (RM500)
• GT Club Paddock (RM2,000)
• Experience Package (RM5,000)
• Ultimate Package (RM12,000)
• Dream Package (RM15,000)

Pembelian tiket K1 Grandstand tidak layak untuk menyertai cabutan bertuah tersebut.

Nama pemenang bertuah akan diumumkan secara langsung di acara konsert pasca-perlumbaan GT Live!.

Selain daripada perlumbaan GT300 dan GT 500 Super GT, Litar Antarabangsa PETRONAS Sepang akan dimeriahkan dengan perlumbaan Vios Challenge Musim 8 pusingan kedua, serta perlumbaan sulung GR86 Cup Malaysia Series.

Selain daripada itu, rakyat Malaysia juga boleh menyaksikan penyertaan kad liar (wildcard) dua pelumba negara, iaitu Jazeman Jaafar dan Adrian D’Silva di dalam kelas GT300.

Kedua-dua pelumba itu akan berlumba di dalam jentera Aston Martin Vantage GT3 EVO pasukan EBM, di mana Jazeman akan berganding dengan Kerong Li, manakala D’Silva pula dengan Earl Bamber.

Festival Super GT Malaysia 2025 akan turut dimeriahkan dengan kehadiran reruai Persatuan Bola Sepak Jepun (JFA) di mana para peminat boleh mendapatkan barangan eksklusif Samurai Blue seperti uniform replika dan kot happi Jepun.

Tiket masuk boleh dibeli menerusi laman web www.supergtmalaysia.com.

Alternatifnya, anda boleh hadir ke lokasi Festival Super GT Malaysia di Sungei Wang Plaza (29 Mei-1 Jun & 6-8 Jun) dan Lot 10 (3-5 Jun) untuk menyertai pelbagai acara menarik termasuklah peluang memenangi tiket masuk dan barangan eksklusif.

Jam tangan G-Shock edisi Morizo mula dijual – dari RM654 di Jepun

Toyota Gazoo Racing kini menawarkan jam tangan G-Shock edisi terhad bersempena dengan perlumbaan Fuji Super TEC 24 Jam di Fuji Speedway (31 Mei-1 Jun).

Morizo x G-Shock DW-5600 itu akan dijual dalam kuantiti terhad, selain boleh didapati di kedai dalam talian rasmi Toyota Gazoo Racing di Rakuten JP.

Menggunakan model G-Shock DW-5600 sebagai asas, jam tangan edisi istimewa ini direka sendiri oleh Morizo, nama samaran bagi orang besar Toyota, iaitu Akio Toyoda.

Ia menampilkan perincian seperti skema warna kuning, logo G-Shock berwarna kuning, tanda tangan MORIZO yang akan muncul apabila lampu dinyalakan, serta ilustrasi karikatur muka Morizo pada penutup belakang.

Selain itu, ia juga turut mempunyai logo Morizo pada muka jam, serta logo Morizo RR pada tali jam.

Jam tangan Morizo x G-Shock DW-5600 ini dijual dengan harga bermula dari JPY 22,000 (RM654) di laman web Rakuten.

 

Juara 4 kali GR GT Cup tonjol prestasi cemerlang di pusingan pembukaan Vios Challenge 2025

Pusingan pembukaan Vios Challenge 2025 baru sahaja melabuhkan tirainya pada hujung minggu lalu, menyaksikan pertarungan sengit antara generasi muda dan pelumba veteran.

Perlumbaan tahun ini menyaksikan penyertaan seramai 36 orang pelumba, termasuk seorang dari Thailand dan Singapura yang bertempur dalam tiga kelas utama, iaitu Super Sporting, Sporting dan juga Rookie.

Antara yang mencuri tumpuan pada Vios Challenge 2025 ialah kemunculan pertama juara empat kali GR GT Cup, Taj Izrin di dalam kelas Sporting.

Mewakili pasukan Saksama Motorsports, Taj Izrin menonjolkan prestasi cemerlang dengan memperoleh dua kedudukan podium – tempat ketiga untuk Race 1 dan tempat kedua dalam Race 2.

Sementara itu, Kelas Rookie menyaksikan pelumba simulator Ian James meraih tangga pertama meninggalkan pelumba kart Aydan Khaliq dengan kelebihan masa lebih 13 saat.

Satu-satunya pelumba wanita di dalam kelas Rookie, Genevieve Ooi pula meraih tempat ketiga untuk perlumbaan hari kedua.

Aydan merupakan satu-satunya pelumba Rookie yang berjaya mengekalkan kedudukan podium untuk kedua-dua hari perlumbaan.

Untuk makluman, kelas perlumbaan Rookie dikhususkan untuk golongan pelumba muda di bawah program Young Talent Development Program oleh Toyota Gazoo Racing Malaysia.

Berikut merupakan senarai pemenang bagi kedua-dua perlumbaan yang berlangsung pada hujung minggu lalu:

 

Race 1 (Round 1)

Super Sporting Class
1. Ady Rahimy (Laser Motor Racing)
2. Freddie Ang (Telagamas Toyota)
3. Nabil Azlan (Wheelcorp)

Sporting Class
1. Adam Mikhail (G-Mart Motorsport)
2. Jwan Hii (Hong Huat X Armada KK Racing)
3. Taj Izrin Aiman (Saksama Motorsports)

Rookie Class
1. Harkiesh Geeva
2. Aydan Khaliq
3. Justin Rahul Dev

 

Race 2 (Round 1)

Super Sporting Class
1. Mitchell Cheah (Prima Pearl TD Racing)
2. Nabil Azlan (Wheelcorp)
3. Eddie Lew (Laser Motor Racing)

Sporting Class
1. Elson Lew (BAE Racing by ES Yang)
2. Taj Izrin Aiman (Saksama Motorsports)
3. Monai (RUK Team Nexzter PMC 52)

Rookie Class
1. Ian James
2. Aydan Khaliq
3. Genevieve Ooi

 

Toyota GR Supra Track Edition mendarat di Malaysia – RM698,000

Selain kemunculan GR Yaris varian automatik, UMW Toyota Motor (UMWT) turut sama mengumumkan penawaran model terbaharu Gazoo Racing, iaitu Toyota GR Supra Track Edition.

Tidak seperti model standard GR Supra, varian Track Edition ini menjanjikan pemanduan yang lebih mengujakan, terima kasih kepada naik taraf sistem casis, pengendalian dan aerodinamik.

Toyota GR Supra Track Edition dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo dengan hamburan kuasa 388 PS dan 500 Nm, dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan atau automatik 8-kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.1 saat atau 4.3 saat untuk versi manual.

Menjadikan pemanduan GR Supra Track Edition ini lebih mengujakan ialah penggunaan sistem suspensi adaptif yang telah ditala untuk kadar cengkaman yang lebih berkesan, diikuti pemetaan semula eksklusif Track Edition pada sistem stereng kuasa dan pembeza gelincir terhad (LSD).

Sistem brek pula dinaik taraf kepada rotor hadapan 374 mm yang lebih besar, dibantu dengan angkup empat omboh Brembo.

Tidak ketinggalan, aspek aerodinamik yang dipertingkatkan seperti spat tayar yang dilebarkan, sirip aero, dan spoiler ekor itik gentian karbon untuk daya mendap yang lebih besar.

Selain itu, Toyota telah memperkukuh lengan kawalan hadapan dan melaraskan kembali camber negatif hadapan untuk pengendalian yang lebih lincah, diikuti dengan sesendal dan bar pengimbang yang dipertingkatkan untuk respons pengendalian yang lebih tajam.

Toyota GR Supra Track Edition hadir dengan rim aloi hitam kusam bersaiz 19 inci yang dibaluti tayar Michelin Pilot Super Sport.

Untuk ruang kabin pula disediakan kemasan upholsteri kulit dan Alcantara hitam berserta sulaman logo GR, tali pinggang keledar merah, sistem bunyi JBL dengan 12 pembesar suara, skrin paparan head-up berwarna dan tombol gear khas untuk GR Supra versi manual.

Ciri keselamatan standard yang dimuatkan pada kereta sports ini termasuklah amaran pra-pelanggaran, amaran keluar lorong dengan bantuan stereng, kawalan jelajah adaptif, sistem pemantauan titik buta dan brek kecemasan.

Untuk pasaran Malaysia, GR Supra Track Edition dijual pada harga bermula dari RM698,000.

Toyota GR Yaris varian automatik 8-kelajuan kini di Malaysia – RM325,600

UMW Toyota Motor (UMWT) mengumumkan ketibaan hot hatch Toyota GR Yaris facelift yang kini tersedia dalam varian automatik 8-kelajuan.

Kemunculan model ini adalah sebagai pelengkap kepada Toyota GR Yaris facelift versi manual yang telah pun dilancarkan sebelum ini semasa penamat musim ketujuh Festival Toyota Gazoo Racing Malaysia.

GR Yaris masih lagi kekal dengan nadi tiga silinder sebaris 1.6 liter turbo G16E-GTS yang kini mampu menghasilkan 300 PS dan 400 Nm.

Dengan padanan transmisi automatik DAT itu tadi, ia membolehkan GR Yaris ini memecut sepantas 5.2 saat dari 0-100 km/j.

Enjin berkuasa tinggi itu juga dipadankan dengan pakej penyejukan standard termasuklah sub-radiator, penyembur intercooler, serta kombinasi penyejuk ATF udara dan cecair untuk memastikan prestasi yang konsisten terutama di bawah cuaca panas di Malaysia.

Selain daripada itu, GR Yaris varian Automatik ini memperkenalkan ciri baharu seperti fungsi Launch Control serta paddle shifter yang telah ditala berdasarkan pengalaman di dalam sukan permotoran untuk menawarkan pengalaman pemanduan yang lebih beremosi untuk perjalanan seharian.

Akhir sekali, ciri keselamatan Toyota Safety Sense 3.0 yang merangkumi amaran pra-pelanggaran, kawalan jelajah radar, bantuan pengesanan lorong (LTA), dan Expert Mode untuk pemandu yang mahukan kawalan yang lebih dinamik tanpa mematikan sepenuhnya sistem kestabilan kenderaan.

Untuk pasaran Malaysia, Toyota GR Yaris AT ini dijual pada harga RM325,600 dan boleh didapati di semua pengedar GR Garage di seluruh negara.

Toyota GR Yaris 2026 kini dengan kit badan aerodinamik, pemanduan lebih serius

Kira-kira setahun selepas pengenalan model facelift GR Yaris, Toyota masih nampak ada ruang penambahbaikan yang boleh dibuat pada kereta sports kompak tersebut.

Untuk kemas kini terbaharu kali ini, Toyota Gazoo Racing menumpukan perhatian kepada beberapa bahagian.

Antaranya ialah dengan menjadikan kotak gear Direct Automatic Transmission (DAT) lebih responsif terhadap input pemandu.

Selain itu, aspek pengendalian dan kawalan casis telah ditambah baik dengan bolt pengikat komponen suspensi yang lebih besar dimensinya, diikuti talaan semula terhadap penyerap hentak dan sistem stereng elektrik (EPS).

Pembeli juga boleh mendapatkan opsyen brek parkir menegak yang diinspirasikan daripada sukan rali untuk dimuatkan pada GR Yaris baharu ini.

Tidak cukup dengan itu, Toyota juga kini menawarkan kit badan aerodinamik (Aero Performance Package), terdiri daripada hud aluminium berliang, spoiler lip hadapan, liang fender, pelapik tangki bahan api rata, sayap belakang boleh laras dan akhir sekali bukaan liang udara pada bampar belakang.

Toyota GR Yaris masih lagi kekal dengan enjin tiga silinder G16E-GTS menghasilkan 304 PS dan 400 Nm, dipadankan dengan sistem pacuan GR-Four dan pilihan transmisi manual enam nisbah kelajuan atau automatik DAT lapan-kelajuan.

Di Jepun, GR Yaris dijual pada julat harga bermula dari 3,560,000 yen hingga 5,330,000 yen (RM109,859-RM164,480).

Toyota GR86 Yuzu Edition hadir untuk pasaran Amerika

11 tahun yang lepas, Toyota ada membawakan sebuah kereta sports edisi istimewa di bawah jenama ‘anak muda’, iaitu Scion FR-S Release Series 1.0.

Sayang sekali, disebabkan permintaan yang tidak memberangsangkan, jenama Scion digugurkan dalam tempoh dua tahun selepas model FR-S tersebut dilancarkan.

Kini, semangat yang dibawakan oleh kereta edisi terhad itu dikembalikan semula menerusi GR86 Yuzu Edition 2026, khas untuk pasaran Amerika Syarikat.

Bermula dengan varian Premium, Toyota telah menambah Performance Package yang terdiri daripada sistem brek Brembo dan peredam SACHS pada GR86 kuning ini.

Pembeli juga boleh mendapatkan aksesori seperti kit badan dan sistem ekzos empat tip untuk penampilan yang lebih menyerlah.

Akhir sekali, bahagian luaran jentera ini diserikan dengan warna kuning Yuzu diikuti dengan rim aloi 18 inci berwarna hitam kusam.

Ruang kabin GR86 ini turut diserlahkan dengan kemasan jahitan kuning menggantikan benang merah yang terdapat pada model sedia ada.

Dari segi kuasa, GR86 Yuzu Edition ini masih kekal dengan enjin boxer 2.4 liter aspirasi semula jadi menghasilkan 228 hp dan 250 Nm, dengan pilihan transmisi manual enam-kelajuan atau automatik enam-kelajuan.

Secara standard, jentera pacuan roda belakang ini dibekalkan dengan komponen pembeza gelincir terhad (LSD) Torsen.

Tidak seperti FR-S Release Series 1.0 yang dihadkan kepada 1,500 unit, Toyota menjadikan GR86 Yuzu Edition ini lebih istimewa dengan hanya 860 unit sahaja yang akan diproduksikan.

 

Toyota GR86 Yuzu Edition 2026

Scion FR-S Release Series 1.0 2014

Toyota GR Supra edisi penamat ini ada banyak jajan berbanding Supra spesifikasi Malaysia

Diperlihatkan buat kali pertama pada November tahun lepas, Toyota Gazoo Racing akhirnya mengumumkan penjualan model GR Supra A90 Final Edition untuk pasaran Jepun.

Hanya 300 unit model edisi pengakhiran ini akan diproduksikan, di mana 150 unit diperuntukkan untuk negara Matahari Terbit, selebihnya akan dijual di pasaran Eropah.

Apa yang membuatkan GR Supra A90 Final Edition ini lebih istimewa, ialah kelengkapan yang dibawakan secara standard dari kilang berbanding GR Supra versi biasa.

Dari segi prestasi, GR Supra A90 Final Edition ini menampilkan enjin B58 yang telah dinaik taraf kuasa kuda kepada 441 PS dan 571 Nm berbanding 387 PS/500 Nm.

Toyota juga turut mengoptimasikan sistem kemasukan dan sistem penyejukan, sebelum diakhiri dengan unit peredam ekzos titanium Akrapovic.

Tidak cukup dengan itu, casis GR Supra ini telah diperkuatkan dengan pemasangan struktur pendakap pada beberapa tempat, diikuti dengan bar penstabil depan dan belakang menggunakan kurungan yang diperbuat daripada bahan aluminium bertetulang.

Sistem suspensi KW boleh laras digunakan pada keempat-empat sudut, di mana sudut camber bagi roda depan dan belakang turut diubah sama.

Menyumbang kepada pengendalian yang lebih baik ialah kawalan pembeza aktif dan sistem stereng elektronik yang telah dioptimasikan.

Rim aluminium bersaiz 19 inci depan dan 20 inci belakang itu dibaluti dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih lebar 10 mm berbanding tetapan sedia ada.

Penampilan luaran GR Supra A90 Final Edition ini diserikan dengan penggunaan komponen gentian karbon seperti spoiler dan canard hadapan, diikuti dengan sayap belakang leher angsa.

Untuk ruang kabin pula, terdapat tempat duduk bucket penuh Recaro Podium CF, tali pinggang keledar merah, serta kemasan gentian karbon dan balutan bahan Alcantara yang menguasai ruang tersebut.

Dengan penambahbaikan yang ditawarkan pada model ini, tidak menghairankan apabila Toyota mengumumkan harga jualan sekitar 15,000,000 yen (RM443 ribu), lebih mahal berbanding GR Supra gred RZ.

Pihak yang berminat boleh mendaftarkan diri di semua lokasi GR Garage di seluruh Jepun bermula 13 April ini, namun pembeli akan dipilih berdasarkan cabutan undi. Pemenang (merangkap pemilik sah) hanya akan diumumkan pada 9 Mei ini.