Andika Rama juara TGR Asia Esports GT 2026, Malaysia keempat kategori negara
Pelumba Indonesia, Andika Rama mempertahankan kejuaraan TGR Asia Esports GT Championship 2026 selepas menyapu bersih kemenangan dalam ketiga-tiga perlumbaan.
Berlangsung di JioSpace pada 15 November, saingan akhir itu menghimpunkan 15 pelumba dari Malaysia, Indonesia, Singapura, Thailand dan Filipina menerusi Gran Turismo 7, dengan jumlah hadiah AS$31,000 (RM126,889).
Keputusan kejuaraan
Rama meraih gelaran ketiganya selepas mengumpul 75 mata, diikuti Ar Muhammad Aleef dari Singapura dengan 52 mata dan Russel Reyes dari Filipina dengan 43 mata.
Indonesia turut menjuarai kategori negara dengan 122 mata, mengatasi Filipina yang mengumpul 105 mata.
Malaysia dan Singapura masing-masing memperoleh 81 mata, namun Singapura menduduki tempat ketiga menerusi penentuan pemecah seri.
Bekas juara kembali bersaing
Edisi kali ini menampilkan tiga bekas juara:
- Andika Rama (Indonesia): Juara 2023 dan 2025, sebelum menambah gelaran ketiga pada 2026
- Taj Aiman (Malaysia): Juara 2024 serta pemenang emas Gran Turismo 7 di Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026
- Ar Muhammad Aleef (Singapura): Juara 2020 yang kembali selepas berehat lima tahun untuk menyambung pengajian di Amerika Syarikat
Aleef membuktikan keupayaannya dengan menaiki podium dalam ketiga-tiga perlumbaan serta menerima anugerah Best Racecraft.
Bakat baharu menyerlah
Lima pelumba membuat penampilan sulung di pentas akhir Asia:
- Nabil Azlan (Malaysia)
- Ethen Low (Malaysia)
- Michael Velasquez (Filipina)
- Jirat Pakjilayuwat (Thailand)
- Stanislas Yuveardhitra (Indonesia)
Nabil terus mencuri perhatian apabila menduduki tempat kedua dalam perlumbaan pembukaan, mengatasi Aleef dengan beza hanya 0.037 saat.
Pelumba Filipina berusia 16 tahun, Enzo Ison pula meraih petak pertama dan mendahului peringkat awal perlumbaan kedua sebelum menamatkannya di tempat kelima. Beliau turut menerima anugerah Rookie of the Day.
Kejohanan ini terus menjadi platform pembangunan bakat simulator serantau, dengan pelumba muda berpeluang menguji kemampuan menentang juara berpengalaman.
Seorang yang minat memandu kereta manual, namun lebih gemar memilih skuter automatik. Faktor usia, mungkin.



