Bak kata pepatah Melayu, “biar lambat asal selamat” (sampai).
Setelah lebih tiga tahun membuat kemunculan di peringkat global, pengedar Nissan iaitu Edaran Tan Chong Motor (ETCM) akhirnya bakal melancarkan Serena e-Power secara rasmi Mac ini.
Walaupun kehadirannya boleh dikira agak lewat, namun pihak ETCM mendakwa pihaknya sudah pun menerima 400 tempahan untuk model MPV tersebut.
Sudah tentu ada beberapa perkara pada Serena ePower yang membuatkan pemilik Nissan Serena sedia ada berminat dengan model baharu ini.
Minggu lalu, pihak ETCM menjemput sekumpulan para pengamal media untuk sesi pandu uji dari Petaling Jaya menuju ke Kuantan supaya kami dapat menilai penambahbaikan yang telah dibuat.
Berikut merupakan beberapa perkara positif yang kami dapat korek daripada Serena e-Power:
1. e-Power lebih bertenaga
Salah satu peningkatan terbesar yang wujud pada MPV keluarga ini ialah sistem e-Power (163 PS/315 Nm) bagi menggantikan nadi S-Hybrid pada model C27.
Kalau sebelum ini Serena S‑Hybrid selalu rasa macam “boleh… tapi jangan minta lebih”, sistem e‑Power baharu ini bagi nafas yang jauh lebih yakin.
Motor elektriknya mampu menawarkan respon yang lebih spontan, lebih padu, dan lebih senyap, persis sebuah EV.
Bukan nak kata ia tiba‑tiba jadi MPV laju, tapi kali ini Serena tak lagi rasa berat bila nak memotong atau mendaki berbanding sistem S-Hybrid terdahulu.
Tekan pedal, kereta gerak dengan lancar dan tak perlukan drama. Inilah karakter yang sepatutnya ada pada MPV keluarga moden.
Serena e-Power menawarkan kadar penggunaan bahan api serendah 5.4 liter untuk setiap 100 km, atau jarak pemanduan sehingga 1,000 km.
2. Kabin senyap
Selain daripada sistem e-Power yang ternyata cekap, aspek NVH (kebisingan, gegaran & kekasaran) merupakan satu lagi perkara positif yang kami perasan.
Ruang kabin rasa lebih senyap dan selesa sehinggakan kami terlupa ini sebenarnya bukanlah sebuah MPV elektrik.
Perkara ini disumbangkan oleh beberapa perkara seperti penggunaan kaca akustik serta tirai udara pada bampar depan yang turut menjadikan pemanduan lebih stabil.
Bunyi bising angin hanya jelas kedengaran apabila MPV ini dipandu pada kelajuan yang lebih tinggi – ia bukanlah satu masalah besar kerana kebanyakan masa MPV ini akan dipandu patuh pada had laju kebangsaan yang telah ditetapkan.
Bunyi bising enjin juga tidak begitu ketara apabila sistem e-Power dikerah secara agresif, seolah-olah Nissan meletakkan enjin 1.4L NA tersebut di depan bampar.
Ia tidak mengaum, akan tetapi menghasilkan satu bunyi dengungan rendah yang langsung tidak mengganggu tumpuan pemandu.
3. Kurang perasaan mabuk kereta
Salah satu perkara baharu yang wujud pada Serena e-Power ialah rekaan sistem suspensi hadapan baharu untuk menjadikan pemanduan lebih stabil dan selesa.
Menurut Nissan, Serena e-Power menggunakan asas suspensi SUV untuk mengurangkan kadar olengan badan serta kawalan yang lebih baik.
Secara keseluruhan, talaan suspensi Serena e-Power lebih cenderung untuk menjadikan perjalanan lebih selesa, kurang bergoyang-goyang dan dibantu pula dengan tempat duduk Zero Gravity untuk mengurangkan kesan mabuk kereta terutama untuk penumpang belakang.
4. Juara praktikaliti
Untuk sebuah MPV kegunaan keluarga, Nissan Serena menawarkan banyak tempat untuk meletakkan barang.
Sesuai dengan perkembangan semasa di mana manusia kini banyak bergantung kepada peranti pintar, Serena menawarkan beberapa ruang khas untuk meletakkan telefon bimbit, termasuklah slot pengecasan tanpa wayar dan enam port USB.
Untuk penumpang baris kedua pula disediakan meja lipat, serta tempat duduk baris kedua yang boleh dilaras empat arah.
Selain itu, tidak kurang dari 22 tempat meletakkan cawan disediakan di seluruh kabin.
Boleh dikatakan, Serena ini MPV yang faham realiti hidup: anak ada mainan, ibu ada beg kecil, ayah ada powerbank, semua ada tempat masing‑masing.
5. Kekalkan elemen Serena terdahulu
Walaupun Serena e-Power menawarkan banyak penambahbaikan, identiti sebenar Serena masih lagi berjaya dikekalkan, seperti contoh susun atur tempat duduk yang menyediakan ruang berjalan dari baris pertama ke baris ketiga.
Selain itu, ia masih mempunyai bukaan pintu gelangsar kiri dan kanan yang luas, dimensi kabin yang tinggi, tingkap yang besar, serta akses keluar masuk yang mudah.
Serena turut mengekalkan ciri Dual Back Door dengan dua cara bukaan yang mampu memudahkan urusan untuk mengambil atau meletakkan barang terutama di kawasan parkir yang sempit.
Jadi, golongan bapa mithali usah khuatir kerana identiti Serena yang terdahulu masih lagi diwarisi dan dikekalkan pada Serena baharu.
Kesimpulan
Dengan ciri-ciri praktikaliti dan pembaharuan yang ada, Nissan Serena e-Power mampu menjadi pilihan kereta keluarga yang ideal untuk tahun 2026.
Menurut ETCM, Serena e-Power bakal dijual pada harga anggaran dari RM160,000-RM180,000.
Spesifikasi Nissan Serena e-Power (termasuk ciri keselamatan) boleh dibaca pada pautan INI.
