Chery Tiggo 7 Pro lancar di Afrika Selatan dengan 1.5-liter dan 147hp, bakal tiba di Malaysia?

CHERY telah melancarkan Tiggo 7 Pro di Afrika Selatan – SUV tersebut menyertai Tiggo 4 Pro dan Tiggo 8 Pro yang sudah mula dijual di sana.

Chery Tiggo 7 Pro membawakan teknologi, kemewahan dan rekabentuk moden dengan dua varian iaitu Distinctive dan Executive.

Seperti Tiggo 4 Pro dan Tiggo 8 Pro, Tiggo 7 Pro direka mengikut falsafah ‘Life in Motion’, merangkumi gril hadapan ‘geometric matrix diamond’ yang diilhamkan oleh galaksi dan lampu hadapan LED.

Tiggo 7 Pro tampil yakin dengan rim aloi 18-inci (beserta kaliper brek merah pada varian Executive), bingkai tingkap hitam dan krom yang mencipta ilusi bumbung terapung, lampu belakang lightbar, spoiler bumbung serta ekzos berkembar.

Ciri standard pada semua varian adalah cermin sisi berkuasa, lampu hadapan dan belakang LED automatik, sill pintu LED, lampu kabus wide-angle, kemasukan dan penghidup enjin tanpa kunci, serta pintu belakang elektrik dengan pelarasan ketinggian.

Ruang bagasi memuatkan 475 liter, atau sehingga 1,500 liter jika tempat duduk belakang 60:40 dilipat.

Tiggo 7 Pro dikuasakan oleh enjin 1.5-liter petrol turbo 4-silinder 1.5 liter yang dibangunkan oleh Chery. Enjin suntikan terus bahan api ini menjana 147hp pada 5,500rpm dan 210Nm tork antara 1,750 hingga 4,500rpm. Kuasa disalurkan ke roda depan melalui transmisi CVT dengan 9-kelajuan maya.

Chery Tiggo 7 Pro dibina pada platform T1X yang ringan dan kukuh. Ia mempunya panjang keseluruhan 4,500mm dengan jarak roda 2,670mm.

Pada bahagian dalaman, terdapat tempat duduk kulit sintetik dengan jahitan kontras. Tempat duduk pemandu boleh dilaraskan enam hala secara elektrik, manakala pada varian Executive, tempat duduk penumpang hadapan juga boleh dilaraskan empat hala secara elektrik.

Stereng kulit dilengkapi dengan kawalan infotainment dan arahan suara, dan boleh dilaraskan dalam empat arah.

Tiggo 7 Pro mempunyai tiga skrin – panel meter digital tujuh inci di hadapan pemandu, LCD konsol tengah 10.25 inci yang memaparkan maklumat kenderaan, infotainment, Apple CarPlay, Android Auto, Bluetooth dan paparan kamera undur, dan di bawahnya, skrin kawalan iklim dwi-zon. Sistem kawalan iklim dilengkapi penapisan udara N95.

Seperti model-model Pro yang lain, Tiggo 7 Pro didatangkan dengan arahan suara yang mampu mengawal fungsi-fungsi seperti kawalan iklim, tingkap elektrik dan (pada varian Executive) bumbung panoramik, manakala pengecasan peranti tanpa wayar dan pencahayaan ambien pelbagai warna turut ada pada semua varian.

Tiggo 7 Pro telah menerima penarafan keselamatan penuh lima-bintang daripada China-New Car Assesment Program (C-NCAP).

Semua varian mempunyai ISOFIX, ABS dengan Electronic Brake-force Distribution (EBD), Emergency Brake Assistance (EBA), Hill Start Assist (HSA), Hill Descent Control (HDC), Rear Cross Traffic Alert (RCTA) dan Blind Spot Detection (BSD).

Varian Executive pula menambah Advanced Driver Assistance System (ADAS) yang merangkumi fungsi-fungsi seperti Lane Departure Warning (LDW), Front Collision Warning (FCW), Automatic Emergency Braking (AEB) serta Around View Monitor 360 darjah. Varian Executive dilengkapi dengan enam beg udara.

Chery Tiggo 7 Pro didatangkan dengan pelan servis lima tahun/60,000 km, bantuan tepi jalan tanpa had perbatuan selama lima tahun, waranti mekanikal am lima tahun/150,000 km dan menawarkan waranti enjin 10 tahun/1,000,000 km yang komprehensif.

Tiggo 7 Pro adalah antara model Pro Family yang sedang dirancang untuk Malaysia.

Chery lancar institut penyelidikan kenderaan tenaga baharu dan sambungan pintar

CHERY Group baru-baru ini melancarkan Institut Penyelidikan Industri Kenderaan Tenaga Baharu dan Kenderaan Bersambung Pintar Anhui, menandakan langkah strategik Chery dalam pembangunan teknologi dan inovasi.

Setelah usaha keras yang berterusan terhadap kenderaan bahan api tradisional, Chery sedang meningkatkan usahanya dalam bidang tenaga baharu, sambungan pintar serta platform transit dan ekologi berkongsi.

Berdasarkan Platform Pembangunan Teknologi dan Perkhidmatan Awam Tenaga Baharu dan Kenderaan Sambungan Pintar China (Anhui), institut penyelidikan tersebut bertujuan untuk memacu pencapaian teknologi dalam bidang tenaga baharu dan kenderaan sambungan pintar.

Merangkumi institut penyelidikan automotif serta pusat inkubasi industri, ia akan terlibat dalam fungsi-fungsi seperti pembangunan trenkuasa dan platform, Makmal STELLAR Chery dan litar ujian kenderaan swapandu.

Chery Group akan menumpukan perniagaan masa hadapannya kepada pembangunan tenaga baharu dan sambungan pintar, termasuk bidang-bidang seperti pembangunan platform elektrik pintar, platform berprestasi tinggi dan platform elektrik hibrid; penggunaan sistem kawalan bateri, motor dan elektrik ke arah integrasi teknologi bateri yang lebih menyeluruh, teknologi pemanduan elektrik, perisian domain trenkuasa serta teknologi pengecasan/penukaran bateri, teknologi OTA, data besar dan ekologi interaktif.

Setakat ini, Chery telah menubuhkan enam pusat penyelidikan dan pembangunan (R&D) utama di Amerika Utara, Eropah dan Shanghai.

Lebih 14,000 daripada 23,000 paten yang dimohon oleh Chery telah diluluskan, termasuk hampir satu pertiga daripada paten inovasi.

Chery juga telah mengungguli Paten Ciptaan 100 Teratas China (Anhui) selama lapan tahun berturut-turut dan telah menjalankan lebih 170 program termasuk Program R&D Teknologi Utama Negara dan Program Penyelidikan Asas Negara.

Chery kembali ke Indonesia, jadi negara hab pengeluaran di Asean

PEMBUAT kereta asal China Chery secara rasmi kembali ke pasaran negara jiran, Indonesia.

Majlis pelancaran dilakukan bersempena Indonesia International Motor Show (IIMS) 2022 di Kemayoran, Jakarta.

Chery dalam satu kenyataan memaklumkan Indonesia merupakan antara negara yang mempunyai potensi tinggi di dunia serta rantau ini.

Model Chery Tiggo 8 Pro. – Foto ihsan Chery

Jelas Presiden Chery International Zhang Guibing, pihaknya akan terus memberi perkhidmatan terbaik buat para pelanggan di Indonesia.

Malah, Chery juga akan terus menawarkan teknologi canggih serta terkini kepada pengguna di Indonesia.

Sementara itu, Chery juga akan menjadikan Indonesia sebagai hab mengeksport produknya ke negara Asean lain selain menyasarakan penambahan rangkaian di negara itu.

“Chery berharap untuk membawa kenderaan berteknologi tinggi, termasuk elektrik ke Indonesia.

“Kami akan menyediakan teknikal sokongan untuk rakan kongsi dan mengambil bahagian secara aktif dalam transformasi industri automotif Indonesia.

“Chery menyasarkan mencapai rangkaian lebih 100 cawangan di seluruh Indonesia dalam dua tahun akan datang,” memetik kenyataan itu.

Chery Tiggo 7 Pro. – Foto ihsan Chery

Antara lokasi rangkaian Chery yang dijangka dibina termasuk di Jawa, Sumatera, Kalimantan, Sulawesi dan Bali.

Sementara itu, Chery juga turut memperkenalkan beberapa model baharu di IIMS 2022.

Model yang dipamerkan seperti Tiggo 8 Pro, Tiggo 7 Pro, OMODA 5 dan EQ1.

Chery Tiggo 8 Pro dilancar di Afrika Selatan dengan jaminan 1,000,000km!

CHERY telah melancarkan Tiggo 8 Pro di Afrika Selatan sebagai langkah pertama ke benua itu selepas menembusi pasaran-pasaran lain seperti Amerika Selatan, Rusia dan Timur Tengah.

Chery Tiggo 8 Pro ditawarkan dalam dua varian iaitu Distinctive dan Executive, membawakan “Movement Design” iaitu bahasa rekaan terbaharu jenama ini.

Gril tiga-dimensi yang diilhamkan oleh galaksi serta lampu hadapan LED matriks automatik dan DRL berkembar, standard untuk kedua-dua varian.

Tiggo 8 turut dilengkapi krom satin yang menghiasi salur masuk udara rendah (yang turut berfungsi sebagai plat gelincir), lampu kabus, gril, tingkap dan bahagian bawah pintu.

Terdapat juga rel bumbung krom untuk muatan tambahan, serta rim aloi hitam dan krom 18-inci dan bumbung panoramik (varian Executive sahaja).

Pada bahagian dalaman, semua fungsi kenderaan dikawal melalui tiga skrin – panel meter mendatar 12.3-inci, skrin kawalan iklim 8-inci dan skrin infotainment terapung 10.25-inci yang memaparkan Apple CarPlay, Android Auto dan kamera undur.

Terdapat pada semua varian adalah sistem kawalan iklim automatik dwi-zon dilengkapi dengan sistem penapis udara gred N95.

Varian Executive pula menambah sistem penghawa dingin bagi barisan penumpang ketiga. Semua varian menawarkan pengecasan tanpa wayar, kawalan suara pintar dan lapan pembesar suara surround SONY.

Tempat duduk kulit diberikan pada semua varian (dengan corak jahitan berbentuk berlian pada varian Executive).

Pemandu juga boleh melaraskan tempat duduknya secara elektrik dengan enam pelarasan dan terdapat fungsi memori (Distinctive sahaja). Sementara itu untuk Executive, tempat duduk penumpang hadapan mempunyai pelarasan empat arah, juga berkuasa elektrik.

Ciri-ciri dalaman lain termasuk tempat duduk belakang yang boleh dilipat 60:40, port USB dan 12V, serta pencahayaan ambien.

Dari sudut keselamatan, Chery Tiggo 8 Pro dibekalkan dengan ciri keselamatan standard seperti berikut:

Enam beg udara
Traction Control (TCS)
Roll Stability Control (RSC)
ISOFIX

Varian Executive pula mendapat ciri keselamatan tambahan lebih menyeluruh, iaitu:

Lane Departure Warning (LDW)
Automatic Cruise Control
Automatic Emergency Braking (AEB)
Traffic Sign Recognition (TSC)
Intelligent High-beam Control (IHC)
Blind Spot Monitoring (BSD)
Front Collision Warning (FCW)
Emergency Brake Override System (BOW)

Tiggo 8 Pro dikuasakan oleh enjin suntikan-terus 1.6-liter turbo yang menjana 197PS pada 5,500rpm dan 290Nm antara 2,000 dan 4,400rpm.

Enjin yang pernah memenangi anugerah China Heart ini dipadankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan. Terdapat mod pemanduan Standard, Eco dan Sport serta mod stereng Eco dan Sport.

Mengikuti jejak langkah Tiggo 4 Pro, Tiggo 8 Pro didatangkan dengan waranti enjin komprehensif 10 tahun/1,000,000 km di Afrika Selatan, bagi pemilik asal.

Waranti kenderaan lima tahun/150,000 km, bantuan kecemasan tepi jalan selama lima tahun serta pakej servis komprehensif lima tahun/60,000 km turut ditawarkan.

Menurut kenyataan media yang kami perolehi, Tiggo 8 Pro adalah antara model Chery yang dirancang untuk pelancaran di Malaysia.

Chery eksport lebih 20,000 unit kenderaan pada Januari 2022, jualan meningkat di beberapa pasaran utama

CHERY Group menyaksikan permulaan tahun yang menggalakkan dengan jualan sebanyak 107,710 unit pada Januari 2022, mewakili peningkatan 20 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Daripada jumlah tersebut, 26,900 unit dijual di luar China, memaparkan trend perkembangan stabil, terutamanya di pasaran-pasaran utama seperti Rusia, Chile, Brazil dan Mesir.

Di Rusia – dimana Chery telah beroperasi selama 17 tahun – jualan Januari 2022 telah melonjak 47 peratus, menempatkannya di kedudukan ke-10 antara semua jenama automotif, menurut data Persatuan Perniagaan Eropah (AEB).

Tiggo 7 Pro merupakan model terlaris Chery di Rusia pada Januari.

Di Chile pula, Chery menduduki tempat kedua pada Januari dengan jualan 2,969 unit dan mewakili 8 peratus bahagian pasaran.

Chery turut mengungguli segmen SUV pada Januari dengan 20.5 peratus bahagian pasaran – model Tiggo 2 menjadi penyumbang terbesar.

Di Brazil, Chery kekal di antara 10 jenama kenderaan penumpang terlaris dengan jualan 3,131 unit (peningkatan 36.6 peratus) untuk menguasai 3.4 peratus pasaran pada Januari (menurut Fenabrave).

Arrizo 6 Pro menduduki tempat keempat dalam segmen kereta dengan 6.47 peratus penguasaan pasaran, manakala Tiggo 3X, Tiggo 8, Tiggo 5X serta model lain terus mendapat sambutan baik.

Sementara itu di Mesir, jualan Chery turut mencatat peningkatan stabil dengan 1,658 unit (lonjakan 87.3 peratus) pada Januari, setelah mencapai rekod pada Disember 2021 dengan menduduki tempat ketiga keseluruhan jualan kenderaan.

Menurut jenama media Mesir tersohor, Contactcars, 2,186 kenderaan Chery didaftarkan pada Januari.

Setakat ini, terdapat lebih 10 juta pengguna Chery di seluruh dunia, termasuk 1.95 juta pengguna di luar China.

Pada 2022, dengan perasmian Chery’s Future Factory of Intelligent Connected Vehicles, penambahbaikan dari segi teknologi, produk dan jenama, pelancaran produk baharu seperti OMODA 5 serta pembangunan produk adaptif dan usaha globalisasi, jualan Chery Group dijangka melangkah ke tahap baharu.

Kembali ke Malaysia, Chery pertaruh Omoda 5 saingi HR-V, X50?

JENAMA automotif China iaitu Chery mengesahkan bakal membawa masuk model kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen-B, Omoda 5 ke pasaran Malaysia.

Sejak mengumumkan kembali ke pasaran negara ini penghujung tahun lalu, Chery sedia memberi saingan sengit kepada jenama lain menerusi Omoda 5.

Omoda 5 dijangka menjadi tumpuan golongan muda selain menjadi pesaing kepada model seperti Proton X50 dan Honda HR-V.

Model ini bukan sahaja akan berada di pasaran Malaysia malah, turut berkelana ke beberapa negara Eropah dan Australia.

Foto ihsan Chery

Ciri-ciri menarik Omoda 5

SUV Omoda 5 dibina bersandarkan kepada falsafah rekaan dikenali sebagai “Art in Motion”.

Rekaan hadapan luaran Omoda 5 didatangkan dengan gril hadapan besar tanpa bingkai dan lampu nyalaan siang diod pemancar cahaya (LED) nipis.

Sementara itu, lampu hadapan utama LED pula diletakkan pada bahagian bampar sama seperti rekaan terkini Mitsubishi dan Hyundai.

Foto ihsan Chery

Saiz Omoda 5 pula adalah 4,400mm panjang, 1,830mm lebar dan 1,585mm tinggi dengan jarak roda sejauh 2,630mm.

Justeru, ia sedikit besar berbanding Honda HR-V yang mempunyai dimensi 4,330mm panjang, 1,790mm lebar, 1,590mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,610mm.

Bagaimana pula dengan enjin Omoda 5?

Chery telah menggunakan unit 1.6 liter turbo dengan sistem suntikan bahan api terus (TGDI) berkuasa 197 PS dan 290 Nm pada Omoda 5 ini.

Pada masa sama, ia digandingkan bersama kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh kelajuan.

Foto ihsan Chery

Berikut antara ciri menarik lain terdapat pada Omoda 5:

  • Roda stereng balutan kulit rata
  • Skrin berkembar 12.3-inci
  • Kawalan pusat untuk media dan pendingin hawa
  • Terowong tengah tinggi untuk memisahkan ruang pemandu dan penumpang hadapan
  • Tempat duduk sport kelihatan mewah.