Arkib Kategori: BERITA

Audi RS Q8 performance rampas takhta SUV terpantas di Nurburgring

APA yang anda lihat ini adalah SUV enjin pembakaran dalaman yang paling berkuasa pernah dihasilkan oleh Audi Sport GmbH iaitu RS Q8 performance.

Di bawah bonetnya terdapat enjin 4.0-liter twin-turbo V8 yang ditala bagi menghasilkan 640 PS dan 850 Nm. Dengan transmisi automatik Tiptronic lapan kelajuan dan sistem pacuan quattro, ia hanya memerlukan 3.6 saat untuk memecut dari 0 hingga 100 km/j.

Lebih hebat lagi, jentera itu juga telah merangkul gelaran SUV terpantas di Nurburgring dengan masa 7 minit 36.698 saat, dua saat lebih pantas berbanding pemegang rekod sebelum ini iaitu Porsche Cayenne Turbo GT dan hampir enam saat lebih pantas berbanding RS Q8 yang terdahulu.

Di samping enjin yang berkuasa, sebahagian besar prestasi RS Q8 performance di litar Neraka Hijau itu disumbangkan oleh sistem suspensi udara adaptif dengan talaan spesifik untuk model RS.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan differential mekanikal pada bahagian tengah yang merupakan sebahagian daripada sistem pacuan quattro. Ia ditugaskan untuk mengagihkan kuasa enjin ke gandar depan dan belakang pada nisbah 40:60.

Jika berlaku gelinciran, tidak lebih daripada 70% tork akan disalurkan ke gandar depan, dan sehingga 85% disalurkan ke gandar belakang. Ini memberikan pengendalian yang lebih tepat dan responsif, serta mengurangkan understeer.

Audi turut menawarkan RS Q8 performance dengan penstabil olengan aktif elektromekanikal (eAWD) yang secara asasnya berfungsi untuk mengurangkan pergerakan lateral badan.

Sebagai alternatif kepada versi performance, pelanggan boleh mendapatkan varian asas yang mempunyai 600 PS dan 800 Nm ‘sahaja’.

Pecutan 0-100 km/j dilakukan dalam 3.8 saat, manakala kelajuan maksimum dihadkan kepada 250 km/j namun boleh dinaikkan kepada 280 km/j atau 305 km/j.

Untuk prestasi yang lebih berbisa, RS Q8 asas boleh dilengkapi dengan dynamic plus package yang merangkumi eAWS, differential quattro sport dan sistem brek seramik (didatangkan standard pada RS Q8 performance).

Sementara itu, sistem stereng empat roda, yang berfungsi untuk mengurangkan radius putaran, disertakan secara standard pada kedua-dua versi.

Di Jerman, RS Q8 boleh ditempah mulai 27 Jun tahun ini dengan harga dari 141,900 euro (RM716,317) untuk versi asas dan 155,700 euro (RM785,960) untuk performance.

22 maut dalam kebakaran di kilang pembuatan bateri litium Korea Selatan

Sebuah kilang pembuatan bateri utama di selatan Seoul terbakar menyebabkan sekurang-kurangnya 22 individu terbunuh dan tiga lagi cedera.

Menurut Jurucakap Bomba dan Penyelamat, Kim Jin-young, lapan daripada mangsa yang terkorban disahkan pekerja warga China, manakala seorang lagi rakyat Laos.

“Kita mungkin akan mengambil sedikit masa untuk mengenal pasti identiti mangsa memandangkan keadaan mayat yang sudah rentung,” katanya pada Isnin.

Kebakaran bermula di kilang pengeluar bateri litium Aricell di Hwaseong, kira-kira 45 km’ di selatan Seoul, sekitar jam 10.30 pagi waktu tempatan.

Kebakaran dilaporkan bermula di bangunan tiga tingkat berstruktur konkrit bertetulang yang mempunyai keluasan lantai kira-kira 2,300 meter persegi.

Pihak bomba menghadapi kesukaran memadamkan kebakaran sepenuhnya kerana bateri litium yang terbakar sukar dikendalikan dengan kaedah pemadam kebakaran konvensional.

Balai bomba menyatakan bahawa api merebak dengan cepat kerana sel bateri di dalamnya meletup secara berterusan, menyukarkan operasi mencari dan menyelamat di dalam kilang.

Sekurang-kurangnya 35,000 bateri dipercayai berada di dalam kilang itu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Lee Sang-min meminta pihak berkuasa tempatan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan yang sewajarnya bagi mengelak bahan kima daripada kilang itu mencemari kawasan sekeliling.

Ford mahu hidupkan semula jentera rali ikonik Escort Mk1, RS200!

Jika anda perasan, sejak kebelakangan ini terdapat usaha untuk menghidupkan semula semangat jentera-jentera rali klasik yang disuntik dengan elemen kemodenan.

Dengan jumlah wang yang mencukupi, anda kini boleh mendapatkan sebuah jentera Kimera EVO37 yang diinspirasikan daripada Lancia 037, serta Prodrive P25 yang diinspirasikan daripada Subaru Impreza 22B STi.

 

 

Bagi para peminat Ford, usah risau kerana pengeluar tersebut memberikan lampu hijau kepada syarikat UK Boreham Motorworks untuk menghasilkan semula dua jentera ikonik rali era 70-an dan 80-an yang halal digunakan atas jalan raya, iaitu Escort Mk1 dan RS200.

Ford Escort Mk1 merupakan bintang yang pernah menguasai pentas rali di Britain era 60-an dan 70-an, sementara Ford RS200 pula merupakan hero 80-an yang bertempur di dalam Group B menentang pesaing seperti Audi Quattro dan juga Lancia 037.

 

 

Berdasarkan imej teaser yang dibekalkan, kedua-dua jentera ikonik dilihat cuba sedaya upaya untuk mengekalkan bentuk badan yang asal, namun ditambah dengan ciri moden seperti unit lampu LED serta mungkin sekali kelengkapan yang lebih selesa.

Tiada sebarang perincian berkenaan unit rangkaian kuasa yang bakal digunakan pada kedua-dua model, namun Boreham mendedahkan model RS200 yang dihasilkan semula itu akan mengekalkan susun atur enjin yang asal serta sistem pacuan semua roda.

 

 

Manakala untuk model Escort pula akan dibina setepat mungkin mengikut pelan blueprint yang asal, serta mempunyai sambungan nombor VIN daripada siri nombor yang asal.

Buat masa ini, tiada sebarang tanda harga diumumkan dan bertepatan dengan ‘undang-undang’ yang tidak tertulis, kedua-dua model ini akan dihasilkan dalam unit yang agak terhad.

Selain daripada dua model yang disebutkan tadi, Boreham Motorworks akan menghasilkan beberapa model ikonik Ford yang lain, di mana setiap pembeli akan diberikan keahlian kelab eksklusif Boreham High Performance yang menawarkan pengalaman pemanduan yang unik serta berpeluang menghadiri pelbagai acara di seluruh dunia.

 

 

JPJ umum kempen panggilan semula untuk Toyota, Mercedes-Benz dan Chery

JABATAN Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan kempen panggilan semula Siri 2/2024 yang melibatkan beberapa model kenderaan daripada tiga jenama iaitu Toyota, Mercedes-Benz dan Chery.

Menurut JPJ, panggilan semula bagi model-model terlibat telah dilaksanakan oleh pihak pengeluar kenderaan tersebut sejak dari bulan Mac 2024 dan masih berlangsung sehingga kini.

Berikut adalah semua model yang terlibat dengan kempen panggilan semula:

Toyota

  • Corolla Cross (tahun pengeluaran Julai-September 2023) – 2,379 unit

Mercedes-Benz

  • C 200 (Januari-Julai 2023) – 1 unit
  • CLA 200, CLA 45 AMG 4Matic, A 250, A 45 AMG 4Matic dan S 400 Hybrid (Jun 2012-Januari 2021) – 11 unit
  • EQS 500 4Matic, EQS 580 4Matic, GLC 300 4Matic, GLC 350 E 4Matic, AMG EQE 53 4Matic+, AMG EQS 53 4Matic+, AMG SL 43 Roadster, Maybach S 580 4Matic dan S 580 E (Januari-November 2023) – 1,297 unit
  • GLE 450 4Matic dan GLS 450 4Matic (Februari 2018-November 2023) – 1,302 unit

Chery

  • Omoda 5 (November 2023-April 2024) – 600 unit

Jabatan itu turut memaklumkan bahawa berikutan isu kegagalan gandar belakang Omoda 5 yang tular baru-baru ini, pihak Chery Auto Malaysia Sdn Bhd telah segera melaksanakan aktiviti panggilan semula sejak 3 Mei 2024.

Sehingga 7 Jun 2024, Chery telah memeriksa sebanyak 592 unit daripada 600 unit (98.67%) Omoda 5 yang terlibat dalam aktiviti panggilan semula itu.

“Baki pemilik kenderaan telah dihubungi bagi melengkapkan jadual pemeriksaan dan dijangka aktiviti ini akan diselesaikan pada akhir Jun 2024,” kata JPJ.

Tesla Cybertruck kini bertugas sebagai kereta peronda Polis Dubai

Pasukan Polis Dubai sememangnya sangat terkenal dengan barisan kereta peronda yang paling pantas atas muka bumi ini, terdiri daripada bermacam-macam kereta eksotik yang mahal seperti Bugatti Veyron dan Lamborghini Aventador.

Dengan kewujudan model-model pantas yang telah dipamerkan sebelum ini, sudah pasti ramai yang ternanti-nantikan model pantas terbaharu yang bakal ditampal dengan liveri hijau Polis Dubai.

 

 

Sayang sekali, pendatang terbaharu dalam armada kereta peronda Polis Dubai nampaknya bukanlah sebuah supercar atau hypercar, sebaliknya mereka membuat keputusan untuk menggunakan sebuah trak pikap berkuasa elektrik Tesla Cybertruck.

Tidak seperti kebanyakan kereta peronda Polis Dubai, MPV Cybertruck ini dipadankan dengan warna putih yang tradisional, diikuti dengan liveri hijau yang lebih ringkas pada bahagian sisi.

 

Menurut Polis Dubai, Tesla Cybertruck ini kebanyakan masa akan diletakkan di kawasan tumpuan utama pelancong seperti pusat membeli belah untuk dijadikan sebagai prop penggambaran.

Spesifikasi kereta peronda Cybertruck ini tidak didedahkan, namun dalam varian yang paling tinggi Cyberbeast, ia dilengkapi dengan motor elektrik berkuasa sehingga 845 hp, dengan jarak gerak sejauh 515 km untuk sekali cas penuh.

 

Batik Air, Kia jalin kerjasama sedia khidmat pemindahan terminal dengan EV9, Carnival

BATIK Air memperkenalkan perkhidmatan pemindahan terminal khusus untuk penumpang Kelas Perniagaan syarikat penerbangan itu.

Menerusi kerjasama dengan pengedar rasmi jenama Kia iaitu Dinamik Jaya Motors Sdn Bhd, Batik Air akan meningkatkan pengalaman perjalanan bagi penumpang Kelas Perniagaan Promo dan Flexi dengan menawarkan pemindahan premium antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit Terminal 1 KLIA.

Penumpang akan dibawa menggunakan SUV elektrik Kia EV9 dan MPV Kia Carnival antara lokasi pengambilan yang terletak di Gate G1 di Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit.

Menurut Batik Air, perkhidmatan ini adalah sebagai tambahan kepada perkhidmatan pemindahan menggunakan bas yang disediakan oleh Malaysia Airports (MAHB) berikutan penggantungan sementara perkhidmatan aerotren.

Datuk Chandran Rama Muthy, Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air berkata pihaknya mengambil langkah proaktif untuk mengurangkan impak alam sekitar sambil memastikan pelanggan mereka dapat menikmati keselesaan dan kemewahan yang tiada tandingan.

“Inisiatif ini selaras dengan dengan visi jangka panjang kami untuk mencapai masa depan yang lebih mampan dalam penerbangan,” katanya.

Sementara itu, Kevin Ahn, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kia Asia Pasifik berkata perkongsian dengan Batik Air itu sejajar dengan visi korporat Pelan S Kia dan komitmen mereka untuk mencapai neutraliti karbon menjelang 2045.

Tesla kini tiba di Pulau Pinang, Cybertruck dipamerkan

SETELAH lama dinanti-nantikan oleh para pemilik Tesla dan warga Pulau Pinang, Tesla telah dilancarkan secara rasmi di Pulau Pinang.

Perasmian ini turut menampilkan Model 3 Performance 2024, Model Y dan Cybertruck. Ketiga-tiga model ini dipamerkan di Aras G, Centre di Gurney Plaza, George Town bermula 21 Jun hingga 30 Jun ini.

Menurut Tesla, pelancaran ini penting kerana mereka mempunyai perancangan untuk meluaskan pasaran dan perkhidmatannya di negeri-negeri utara Malaysia.

Tesla juga telah mengumumkan rancangannya untuk membuka lokasi perkhidmatan selepas jualan khas di Pulau Pinang tidak lama lagi.

Orang ramai di Pulau Pinang kini boleh memandu uji Model 3 dan Model Y, hubungi 1800-81-0655 atau layari tesla.com/en_my/event/tesla-penang-testdrive untuk mengetahui lebih lanjut dan menjadualkan pandu uji.

Tesla kini mempunyai tiga buah tapak pengecasan di Pulau Pinang iaitu di The Ship Campus, All Seasons Place dan Sunway Carnival yang menyediakan sejumlah 12 buah Pengecas Destinasi (Wall Connectors) dan 4 buah Pengecas Super V3.

Tesla juga telah mengesahkan projek pemasangan stesen pengecasan V4 pertama di Pulau Pinang di Gurney Plaza.

Stesen pengecasan ini akan memudahkan lagi orang ramai untuk memiliki Tesla di Pulau Pinang. Rancangan untuk mengembangkan lagi infrastruktur pengecasan juga akan dilaksanakan pada masa hadapan.

Tempahan Voge FR150 kini melebihi 5,000 unit 

Pemain baharu dalam segmen supermoped di Malaysia, Voge Formica Rossa 150 (FR150) bakal tiba di pengedar tempatan seluruh negara hujung bulan ini. 

Menariknya, menurut laporan rakan media PanduLaju, MForce telah pun menerima lebih 5,000 tempahan setakat ini dengan kumpulan pertama sebanyak 1,300 akan tiba di pengedar Julai ini. 

Sambutan yang diterima itu ternyata satu perkembangan menarik apatah lagi pasaran tempatan yang ketika ini didominai motosikal ‘supermoped’ dari Honda dan Yamaha. 

Untuk rekod Voge FR150 dipacu enjin satu silinder 149.6cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair yang berupaya menjana 15.4hp dan 13.5Nm. Kami dimaklumkan enjin tersebut dibina menyerupai enjin Honda RS150 namun telah ditambah baik agar penyakit yang sering berlaku pada kapcai Honda itu tidak berlaku. 

Seperti Honda RS150/RS-X, FR150 juga dipadankan dengan transmisi manual 6-kelajuan namun dipertingkat dengan sistem klac slipper.

Antara ciri lain ditawarkan termasuk panel meter digital, lampu LED dengan DRL (daytime running light), smartkey (keyless), port USB ,fork teleskopik dengan jarak pergerakan 83mm, berat 123kg, tangki bahan api 5.8L dan ABS dwi-saluran. 

(sumber: PanduLaju)

Jepun berdepan masalah kekurangan pemandu trak yang serius menjelang 2030

Negara Jepun bakal berdepan masalah kekurangan pemandu trak yang kritikal bagi memenuhi keperluan pengedaran logistik pada tahun fiskal 2030 disebabkan oleh populasi yang semakin menua, lapor akhbar Japan Today.

Menurut data kajian daripada Nomura Research Institute, jumlah pemunggahan muatan kargo menggunakan jalan raya pada tahun fiskal berakhir Mac 2031 diunjurkan sebanyak 1.40 bilion tan, menurun sedikit berbanding 1.43 bilion tan pada fiskal 2020.

Sementara itu, jumlah pemandu trak dijangka turun mendadak daripada 660,000 orang pada tahun fiskal 2020 kepada hanya 480,000 orang pada tahun fiskal 2030.

Ini bermakna, Jepun bakal mengalami kekurangan sebanyak 36 peratus tenaga pekerja yang diperlukan untuk mengendalikan 1.40 bilion tan kargo.

 

sumber gambar: CNBC

 

Antara wilayah yang paling teruk terkesan ialah Tohoku di timur laut Jepun dan Shikoku di wilayah barat dengan masing-masing mencatatkan penurunan sebanyak 41 peratus, diikuti Kyushu sebanyak 40 peratus.

Jepun baru-baru ini telah melaksanakan peraturan baharu yang mengenakan had lebih masa sebanyak 18 jam per minggu untuk pemandu trak, teksi dan bas.

Walaupun ia bertujuan untuk membendung masalah kerja berlebihan, ada pihak bimbang peraturan baharu ini akan menyumbang kepada penurunan kapasiti penghantaran barangan, kadar keuntungan pengendali yang semakin mengecil serta caj yang lebih mahal dikenakan kepada pengirim barang.

Firma kajian itu turut meramalkan kos pengangkutan yang terpaksa ditanggung oleh pengirim akan meningkat 34 peratus antara fiskal 2022 dan fiskal 2030.

Mercedes-Benz GLB-Class 2024 dikemaskini, dari RM291 ribu, dua varian

Mercedes-Benz Malaysia mengemaskini penawaran model SUV mewah GLB-Class untuk model tahun 2024 dengan pakej yang lebih menarik untuk para pelanggan.

Sama seperti penawaran terdahulu, Mercedes-Benz GLB-Class 2024 boleh didapati dalam dua varian utama, iaitu GLB 200 berharga RM290,888 dan GLB 250 4MATIC berharga RM341,888.

 

 

Dari segi luaran, GLB 200 2024 membawakan bampar hadapan yang telah direka semula, diikuti dengan empat struktur kekisi melintang dan kit badan Progressive Line yang menjadikan penampilan SUV ini yang lebih elegan.

Sementara GLB 250 4MATIC pula membawakan kekisi jeriji hadapan melintang tunggal berserta kemasan krom, pakej AMG Line, Night Package, serta kemasan paip ekzos berwarna hitam berkilat.

Secara standard, GLB 200 dipasangkan dengan rim aloi 5 jejari berkembar bersaiz 18 inci, sementara GLB 250 4MATIC pula mendapat rim aloi AMG bersaiz 19 inci.

 

 

Terdapat beberapa pembaharuan yang dibuat pada ruang kabin, seperti contoh roda stereng sports balutan kulit untuk GLB 200 (kulit Nappa untuk GLB 250 4MATIC), diikuti penambahan port pengecasan USB-C, kuasa pengecasan yang dipertingkatkan dan kesemua slot USB yang bercahaya.

Sama seperti model terdahulu, GLB 2024 menampilkan skrin berkembar masing-masing bersaiz 10.25 inci, lengkap dengan sistem infohibur MBUX, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto secara nirwayar.

Antara ciri lain termasuklah trim Star Pattern (tambahan fungsi cahaya untuk GLB 250), tempat duduk balutan kulit (atau gandingan kulit ARTICO/MICROCUT untuk GLB 250), sistem pencahayaan ambien 64 warna dan kawalan iklim automatik.

 

 

Dari segi kuasa, Mercedes-Benz GLB 200 datang dengan nadi empat silinder sebaris 1.3 liter turbo yang mampu menjana kuasa setinggi 163 hp dan 270 Nm, dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DCT tujuh kelajuan.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 9.3 saat sebelum mencapai kelajuan tertinggi 207 km/j.

Sementara Mercedes-Benz GLB 250 4MATIC pula dibekalkan dengan enjin bersesaran 1,991 cc berkuasa 224 hp @ 5,500 rpm dan 350 Nm @ 2,000-4,000 rpm, dengan padanan transmisi DCT lapan nisbah kelajuan.

Eksklusif untuk varian GLB 250 ialah ciri pacuan semua roda 4MATIC, dan sistem hibrid BSG 48 voltan yang mampu memberikan kuasa ekstra 13.4 hp dan 150 Nm, menjadikan pecutan 0-100 km/j sepantas 7 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 236 km/j.

Ciri keselamatan yang dimuatkan termasuklah Parking Package, Active Parking Assist, Blind Spot Assist, Exit Warning Assist, Active Brake Assist, serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

 

Mercedes-Benz GLB 200 2024

 

Mercedes-Benz GLB 250 4MATIC 2024

Mercedes-AMG GLA35 4Matic 2024 terima rupa baru, MBUX terkini, RM364k

SELAIN C43 dan A35, Mercedes-Benz Malaysia (MBM) juga melancarkan satu lagi model iaitu Merc-AMG GLA35 4Matic yang juga hadir sebagai CKD (dipasang tempatan).

Seperti pada namanya, Mercedes-AMG GLA35 4Matic merupakan varian GLA paling berkuasa untuk pasaran Malaysia, di atas GLA200 dan GLA250 AMG Line.

Untuk AMG GLA35, ia mendapat enjin 2.0-liter 4-silinder turbo yang menghasilkan 306hp dan 400Nm. Ia juga digandingkan dengan sistem mild-hybrid 48-volt, dan mampu memecut ke 100km/j dalam masa 5.2 saat.

Prestasi ini dicapai dengan bantuak kotak gear automatik dwi-klac 8-kelajuan AMG Speedshift dan sistem pacuan semua-roda 4Matic. Terdapat juga lima mod pemanduan dari menu AMG Dynamic Select.

Kelengkapan standard luaran termasuklah gril AMG dengan apron baharu, grafik lampu depan dan belakang baharu, sistem lampu LED Multibeam dengan Adaptive Highbeam Assist Plus, rim AMG 20-inci 5-bilah, dan kaliper brek berwarna merah.

Sebagai sebuah SUV keluarga (walaupun berprestasi), GLA35 dilengkapi dengan sistem penghawa dingin Thermotronic, lampu ambien 64 warna, tempat duduk sports balutan kulit, Keyless-Go, Easy-Pack, Hands-Free, dan kemasan Carbon-structure serta tali pinggang Manufaktur berwarna merah.

Ciri dari segi teknologi pula terdiri dari sistem MBUX terkini, paparan menu AMG, sambungan Apple Carplay dan Android Auto tanpa-wayar, Augmented Reality Navigation, dan sistem audio Burmester 710 watt.

Mercedes-AMG GLA35 4Matic 2024 boleh menjadi milik anda dengan harga RM363,888.

Baca juga: Pandu uji Mercedes-AMG GLA35 4Matic

Institut memandu terlibat sindiket ‘lesen terbang’ berdepan pembatalan lesen

MENTERI Pengangkutan, Anthony Loke memberi amaran kepada Institut Memandu (IM) supaya tidak terlibat dengan sindiket lesen terbang atau lesen ‘kopi O’.

Loke berkata, IM yang didapati bersalah bakal berdepan pembatalan lesen pengoperasian serta-merta.

Tambah beliau lagi, kegiatan rasuah dalam industri pengujian pemanduan perlu dihapuskan kerana tindakan itu akan membahayakan nyawa pengguna jalan raya terutama golongan muda.

“Institut memandu jangan terlibat rasuah, jika ia tidak dibanteras, anak muda menjadi mangsa, kita mahu menyelamatkan nyawa manusia.

“Rakyat juga dinasihatkan tidak mudah tertipu dengan tawaran lesen terbang ini menerusi iklan di media sosial,” katanya pada Ahad.

Susulan itu, beliau menjelaskan, pelaksanaan Sistem Latihan dan Pengujian Memandu Secara Elektronik (eTesting) menjadi langkah proaktif dan berintegriti yang diperkenalkan bagi menghapuskan gejala rasuah dalam industri pengujian memandu.

Beliau menyeru institut memandu untuk membiasakan penggunaan sistem itu sebelum penggunaannya diwajibkan pada 2030.

“Kementerian bersungguh-sungguh melaksanakan eTesting supaya dapat memastikan satu sistem lebih berintegriti.

“Gejala lesen terbang sudah lama kita dengar, tapi saya lihat ada perkembangan positif walaupun tidak dinafikan mungkin ada lagi sindiket cuba mengambil kesempatan, kita akan teruskan usaha membanteras rasuah,” katanya.

Loke berkata, pihaknya menerima banyak permohonan institut memandu bagi pelaksanaan eTesting sejak diperkenalkan pada April lepas.

Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) sedang memproses permohonan itu dan kumpulan pertama bakal menerima surat dalam masa terdekat.

Petron Rinching sedia terima e-waste secara pandu lalu

Petron Malaysia baru-baru telah bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor untuk mewujudkan pusat pengumpulan sisa elektronik (e-waste) secara pandu lalu bagi menyemai tabiat pelupusan melalui kaedah betul di kalangan masyarakat.

Kempen terbaharu itu telah dirasmikan oleh YB Puan Jamaliah Jamaluddin selaku Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, serta turut dihadiri oleh Puan Nor Aziah Jaafar, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Selangor dan Puan Shaliza Mohd Sidek, Ketua Perniagaan Runcit Petron Malaysia bertempat di stesen minyak Petron Rinching, Semenyih.

Menurut Shaliza Mohd Sidek, “Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar Selangor untuk meluaskan kemudahan dan pengumpulan e-waste di kalangan komuniti kami.

 

 

“Sejak 2021, kakitangan Petron Malaysia telah berjaya mengumpul sebanyak 4,500 kg e-waste menerusi pelbagai aktiviti operasi dalam syarikat. Kami berharap agar rangkaian stesen minyak kami boleh dijadikan sebagai tempat kutipan e-waste yang mudah untuk para pelanggan Petron.

YB Jamaliah Jamaluddin yang juga Adun Bandar Utama dalam ucapannya berkata, “Saya amat berbesar hati dan teruja kerana Petron telah menyahut cabaran untuk bersama-sama Kerajaan Negeri untuk menjayakan projek perintis ini.

“Saya berharap inisiatif ini dapat berjalan dengan lancar dan seterusnya dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga Selangor tentang tanggungjawab memelihara alam sekitar melalui pengurusan e-waste yang baik, sekaligus dijadikan sebagai satu gaya hidup dan budaya,” ujarnya lagi.

Puan Nor Aziah Jaafar dalam ucapannya menyebut, “menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), e-waste adalah aliran sisa pepejal yang paling pesat berkembang di seluruh dunia. Jika kita gagal mengitar semula e-waste secara bertanggungjawab, ia akan menjadi bahan pencemar yang amat teruk dan memberikan impak negatif kepada kesihatan orang ramai.

 

 

Penduduk berhampiran Semenyih boleh membawa barangan elektronik dan elektrik yang sudah rosak atau tidak lagi digunakan ke stesen minyak Petron Rinching.

Pihak Jabatan Alam Sekitar telah melantik satu syarikat pengumpulan e-waste yang berlesen untuk menukar e-waste dengan wang tunai, serta memastikan e-waste tersebut dilupus atau dikitar semula dengan kaedah yang betul.

Petron Malaysia turut menggalakkan semua kakitangannya mengambil bahagian dalam inisiatif pengumpulan e-waste secara aktif.

Satu ceramah kesedaran e-waste telah diberikan oleh wakil Jabatan Alam Sekitar Selangor, diikuti dengan pengumpulan e-waste oleh semua kakitangan Petron Malaysia bermula 30 Mei hingga 22 Jun 2024.

 

Mitsubishi hidupkan semula plet nama Montero, Lancer Sportback – laporan

Jenama Mitsubishi sebelum ini pernah mengecewakan para peminatnya menerusi penamatan produksi siri sedan sports Lancer Evolution selepas generasi ke-10.

Kemudian, mereka menghidupkan semula plet nama kereta sports ikonik Eclipse dengan cara yang tidak sepatutnya dilakukan – menampal nama itu pada sebuah crossover.

Nasib yang sama mungkin akan menimpa dua plet nama yang cuba dihidupkan semula oleh Mitsubishi, iaitu Montero dan Lancer Sportback.

 

Menurut laporan Motor1, Mitsubishi baru-baru ini telah mendaftarkan tanda dagang bagi nama Montero dan Lancer Sportback di bawah kategori automobil di pejabat US Patent and Trademark Office (USPTO).

Mitsubishi Lancer Sportback merupakan varian hatchback lima pintu bagi sedan Lancer generasi kesembilan, di mana model ini juga pernah dijual secara rasmi di pasaran Malaysia pada tahun 2010.

Penemuan pendaftaran bagi nama Lancer Sportback ini agak menarik perhatian, memandangkan kita semua tahu Mitsubishi telah menjalin bekerjasama dengan Nissan untuk menawarkan pelbagai model-model hibrid dan elektrik untuk beberapa pasaran dunia, termasuklah model yang menggunakan asas Nissan LEAF generasi baharu.

Terdapat ura-ura plet nama Lancer Sportback ini akan digunakan semula oleh Mitsubishi untuk model crossover elektrik generasi baharu itu.

 

 

Bagi mereka yang tidak biasa mendengar nama Montero, ia merupakan nama khusus yang digunakan oleh Mitsubishi untuk model SUV saiz penuh Pajero di pasaran seperti Amerika Utara, Amerika Latin dan Sepanyol.

Mitsubishi Pajero telah pun wujud di pasaran sejak generasi pertama muncul pada tahun 1981, sebelum ia ditamatkan produksi pada tahun 2021 disebabkan permintaan yang semakin berkurangan.

 

 

Adakah nama Montero ini bakal digunakan kembali untuk model Pajero Sport generasi baharu?

Sama seperti Montero, Pajero Sport merupakan sebuah SUV dengan binaan ladder-frame namun ia menggunakan casis Triton sebagai asas.

Untuk makluman, generasi ketiga Pajero Sport (asas Triton generasi kelima) masih lagi dijual di beberapa pasaran utama dunia termasuklah Australia, Indonesia dan Thailand sehingga kini.

 

 

Dalam strategi jangka sederhana “Challenge 2025” yang dibentangkan tahun lalu, tidak kurang dari 16 buah model baharu yang bakal dilancarkan oleh Mitsubishi dalam tempoh lima tahun akan datang.

Antaranya ialah trak pikap generasi baharu Triton (yang sudah dilancarkan tahun lepas), serta sebuah SUV PPV (Pickup Platform Vehicle) yang mungkin dibina berdasarkan platform Triton generasi keenam.

 

Mercedes-AMG A35 4Matic akhirnya tiba, 306hp, RM344k

SELEPAS lebih setahun pengenalan Mercedes A-Class facelift, kini Mercedes-Benz Malaysia (MBM) membawa pula AMG A35 yang terkini.

Sedan kompak ini dipasang di Malaysia (CKD) dan boleh menjadi milik anda pada harga RM343,888 (harga atas jalan tanpa insurans).

Nadi kepada A35 ini ialah enjin 2.0-liter turbo 4-silinder berkuasa 306hp dan 400Nm tork. Enjin ini mendapat tambahan kuasa sehingga 10kW dan 150Nm dari sistem elektrik hibrid 48volt untuk bantuan semasa mula bergerak.

Kesemua output disalurkan ke empat-empat roda menggunakan kotak gear 8-kelajuan AMG Speedshift dan sistem pacuan 4Matic.

Dari segi rekaan luaran, Mercedes-AMG A35 4Matic mendapat gril AMG, lencana bulat AMG, apron depan baharu, spoiler belakang, rekaan lampu depan dikemas kini, ekzos bulat, rim AMG 19-inci 5-bilah, kaliper brek merah, dan Adaptive Highbeam Assist Plus.

Di dalam kabin, sedan kompak sporti ini dilengkapi dengan roda stereng berserta suis AMG Dynamic Select, panel sesentuh pada stereng, balutan kulit Nappa, tempat duduk sports, kemasan AMG Design berwarna hitam dan perak, tali pinggang merah, lampu ambien 64 warna, dan pemijak sisi menyala.

Sama seperti model-model lain, A35 juga didatangkan dengan sistem MBUX NTG7 terkini dengan pelbagai ciri dipertingkat, selain sistem audio Burmester dan USB Package Plus.

Honda mahu tamatkan pengeluaran motosikal 50 cc di Jepun 2025

Honda Motor dilapor akan menghentikan pengeluaran motosikal bersesaran kecil pada Mei 2025 disebabkan undang-undang pelepasan emisi lebih ketat yang bakal dilaksanakan pada tahun yang sama.

Menurut laporan Nikkei Asia, langkah tersebut akan memberikan kesan kepada model-model moped dengan enjin bersesaran 50 cc dan ke bawah.

Di Jepun, motosikal bersesaran 50 cc merupakan antara tunjang utama sistem pengangkutan di Jepun semasa ledakan ekonomi pasca perang. Disebabkan harga yang mampu milik dan jimat bahan api, ia juga merupakan antara pilihan yang popular di kalangan golongan pekerja dan pelajar.

 

 

Honda mendahului pasaran dengan melancarkan model ikonik Super Cub C100 bersesaran 49 cc pada tahun 1958, di mana siri Super Cub kemudiannya menjadi model dua tayar yang paling laris terjual di seluruh dunia dengan lebih 110 juta unit terjual.

Tidak menghairankan apabila Honda sendiri menguasai 80 peratus pegangan pasaran domestik dalam kelas kenderaan ini.

Selain daripada faktor undang-undang emisi yang semakin ketat, pengeluar Jepun turut berdepan dengan angka jualan yang merudum saban tahun.

 

 

Menurut data daripada Japan Automobile Manufacturers Association, sebanyak 2.5 juta unit motosikal di dalam kategori tersebut (termasuk pengeluar selain Honda) telah dipasarkan pada tahun 1980.

Namun angka tersebut menjunam kepada 150,000 unit pada tahun 2022, diikuti 90,000 unit pada tahun 2023 disebabkan oleh populariti e-bike dan skuter elektrik.

Untuk memenuhi piawaian emisi baharu sudah pasti memerlukan kos pembangunan yang besar, dan tidak dapat tidak Honda perlu menaikkan harga jualan bagi mengimbangi kos pembangunan yang telah dilaburkan.

 

 

Selain daripada itu, format motosikal 50 cc yang cukup unik untuk pasaran Jepun menyebabkan Honda melihat keadaan ini sebagai satu penghalang besar untuk memasarkannya di peringkat global.

Di Jepun, motosikal bersesaran 50 cc ini dijual pada harga bermula dari 200,000 yen hingga 300,000 yen (RM5,892 hingga RM8,838).

Dengan penambahbaikan yang perlu dibuat, harga jualan tersebut berkemungkinan besar akan melonjak lebih mahal daripada motosikal bersesaran 125 cc (julat harga 300,000 yen-450,000 yen atau RM8,838 hingga RM13,257).

 

Chery Tiggo 7 Pro rasmi dilancarkan, RM120k untuk 2,000 pelanggan pertama

PRODUK ketiga Chery Auto Malaysia iaitu Chery Tiggo 7 Pro telah dilancarkan secara rasmi pada harga RM123,800.

Walau bagaimanapun, 2,000 pelanggan pertama akan menikmati harga istimewa RM119,800.

Dari segi saiz, Tiggo 7 Pro mempunyai ukuran panjang 4,513 mm, lebar 1,862 mm dan tinggi 1,696 mm, menjadikan ia lebih pendek tetapi lebih lebar dan tinggi berbanding pesaing terdekatnya iaitu Proton X70.

Menariknya, ukuran tapak roda bagi kedua-dua model adalah sama iaitu 2,670 mm.

Untuk kelengkapan luaran, Tiggo 7 Pro tampil dengan lampu LED hadapan dan belakang, lampu membelok berjujukan, kemasan ala permata pada gril dan rim aloi dua tona berukuran 18 inci.

Ia boleh didapati dalam empat warna iaitu Bloodstone Red dengan bumbung hitam, Vanilla Blue, Carbon Black dan Khaki White dengan bumbung hitam.

Masuk ke dalam, terdapat paparan lebar berukuran 24.6 inci dengan sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas wayarles 50W, sistem pencahayaan ambien dengan 64 pilihan warna dan sistem audio Sony dengan lapan pembesar suara.

Tempat duduk depan dan belakang, trim pintu serta stereng dibalut upholsteri kulit sintetik berwarna hitam.

Kelengkapan lain yang disertakan secara standard termasuk port USB Type A dan Type C, bumbung panoramik, Remote Engine Start dan Walk Away Auto Lock.

Terletak di bawah bonet Tiggo 7 Pro adalah enjin 1.6-liter empat silinder turbo yang menghamburkan 197 PS dan 290 Nm.

Dengan transmisi klac berkembar (DCT) tujuh kelajuan yang memacu roda depan, SUV ini boleh memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 9.5 saat dan mencapai kelajuan maksimum 205 km/j.

Menurut Chery, model ini boleh merekodkan tahap kecekapan bahan api serendah 7.0 liter/100 km. Ia juga didatangkan dengan tiga mod pemanduan iaitu Eco, Normal dan Sport.

Dari segi keselamatan, Tiggo 7 Pro mempunyai ADAS tahap 2.5 yang merangkumi ciri-ciri seperti berikut:

  • Autonomous Emergency Braking
  • Multi Collision Brake
  • Blind Spot Detection
  • Door Opening Warning
  • Traffic Jam Assist
  • Intelligent High Beam Control
  • Front Collision Warning + Rear Collision Warning
  • Adaptive Cruise Control + Integrated Cruise Control
  • Lane Departure Warning + Lane Departure Prevention
  • Lane Change Assist + Emergency Lane Keep Assist
  • Rear Cross Traffic Alert + Rear Cross Traffic Brake

Turut disertakan adalah tujuh beg udara, sistem kamera panoramik 540 darjah, Hill Start Assist Control dan Hill Descent Control.

Mercedes-AMG C43 4Matic 2024 dilancarkan – 408hp/500Nm, CKD, RM444k

Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini memperkenalkan versi paling berkuasa setakat ini untuk C-Class iaitu Mercedes-AMG C43 4Matic. Ia dipasang di kilang pemasangan MBM di Pekan dan ditawarkan pada harga RM443,888.

Tidak seperti generasi sebelum ini yang mempunyai enjin V6 biturbo, C43 2024 dipacu oleh enjin M139I 2.0-liter turbo yang tetap berkuasa, dengan output 408hp pada 6,750rpm dan 500Nm tork pada 5,000rpm.

Enjin 4-silinder yang dipasang secara longitudinal ini merupakan enjin produksi pertama dengan turbo yang menggunakan pengecas gas ekzos elektrik. Teknologi yang diambil dari dunia Formula 1 ini direka untuk respon pantas pada semua rpm.

Mercedes-AMG C43 4Matic ini juga mempunyai motor elektrik berkuasa 10kW dan 150Nm. Dipadankan dengan sistem pacuan semua-roda 4Matic dan kotak gear AMG Speedshift MCT 9G 9-kelajuan, membolehkan sedan ini memecut ke 100km/j dalam 4.6 saat sahaja. Kelajuan maksima ialah 250km/j.

Ciri lain pada casis C43 baharu ini termasuklah Dynamic Body Control dengan Adaptive Damping System, dan rim AMG 19-inci 5-bilah.

Ia juga mendapat perkakasan AMG lain seperti paparan khas, tempat duduk, roda stereng, butang-butang khas, kemasan kulit Nappa, dan sistem brek sports berwarna perak dengan tulisan “AMG” hitam, dan sistem ekzos khas.

Kemasan luar terdiri dari gril AMG dengan bilah menegak, lip depan AMG, ruang udara sporti, diffuser, dan ekzos quad. C43 juga didatangkan dengan bumbung panoramik dengan teknologi Digital Light.

Mod pemanduan AMG Dynamic Select juga didatangkan standard. AMG Track Pace pula merupakan sistem data logger untuk kegunaan litar yang mampu merakam lebih 80 parameter kereta seperti kelajuan, pecutan, sudut stereng, input brek, kesemuanya boleh digunakan untuk analisis (jika anda mahu rasa seperti pemandu lumba).

Teknologi pada C43 4Matic 2024 termasuklah sistem MBUX terkini, pengesan cap jari, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, serta lampu ambien.

Ciri keselamatan pula merangkumi Driving Assistance Package Plus, Active Parking Assist dengan Parktronic, kamera 360 darjah, dan Guard 360.

DAMD tawar kit badan 80’s Side Kick untuk Daihatsu Taft

Firma penala Jepun, DAMD sangat terkenal dengan pelbagai jenis aksesori dan kit badan untuk dipadankan pada kereta-kereta moden, terutama kei-car.

Tinggal sediakan duit sahaja, dan anda boleh memandu sebuah kereta yang sangat cool di atas jalan raya.

DAMD kini mengumumkan variasi baharu kit badan gaya klasik 80’s yang sebelum ini pernah ditawarkan untuk kei-car Daihatsu Taft, dikenali sebagai 80’s Side Kick.

 

 

Pakej ini masih lagi mengekalkan grafik badan klasik yang diinspirasikan daripada Toyota Land Cruiser 60 Series, namun dengan penawaran rim DAMD Cantabile berwarna hitam, serta jeriji hadapan gunmetal grey dengan aksen hitam.

Untuk imej yang lebih ranggi, pemilik boleh memadankan tayar off-road Toyo Open Country seperti yang dipaparkan pada imej promosi.

Selain daripada gaya luaran, DAMD turut menawarkan sarung tempat duduk dengan dua pilihan corak, sama ada corak houndstooth berwarna kuning hitam, atau corak kotak-kotak kelabu merah.

 

 

Harga jualan untuk pakej lengkap yang tidak bercat bermula dari 319,000 yen (RM9,461).

Anda juga boleh mendapatkan barangan tersebut secara berasingan, di mana kit ubah muka dijual pada harga 173,800 yen (RM5,154) sementara jalur vintaj 80-an itu pula berharga 52,800 yen (RM1,566).

 

 

Kit badan 80’s DAMD (2021)

Kekalkan enjin ICE, Bugatti sanggup bina stesen minyak khas depan rumah anda

Bugatti baharu sahaja selesai melancarkan supercar hibrid terbaharu, Bugatti Tourbillon sebagai salah satu komitmen untuk mengekalkan kewujudan enjin pembakaran dalaman (ICE).

Dalam satu temubual yang bertempat di FT Future of the Car Summit di London pada bulan lepas, Mate Rimac selaku CEO Rimac Group yang turut sama menaungi jenama Bugatti mendedahkan pihaknya akan terus kekal menawarkan kereta petrol untuk jangka masa panjang.

“Saya tidak melihat apa-apa sebab untuk menghalang (penawaran kereta petrol) melangkaui tahun 2035. Kami telah pun selesai membangunkan enjin serba baharu dan kami mahu menggunakannya untuk tempoh beberapa ketika.

 

 

“Saya telah pun membaca undang-undang dan tidak melihat sebab kenapa ia mustahil – tajuk utama menyatakan kereta berenjin pembakaran akan diharamkan bermula 2035, tapi jika anda membaca dengan teliti dan ia tidak dinyatakan sedemikian di mana-mana – anda masih dapat memproduksikan (kereta ICE) namun mungkin ada penalti yang bakal dikenakan.

Mate Rimac turut memberikan cadangan untuk membina stesen minyak khas untuk setiap rumah pemilik Bugatti di mana jentera-jentera Bugatti boleh terus dipandu pada masa depan menggunakan bahan api sintetik.

Apa yang pasti, sebarang penambahan kos yang bakal diperkenalkan kelak (termasuklah pembinaan stesen minyak khas jika perlu) tidak akan mendatangkan masalah atau rungutan di kalangan para pemilik jentera eksklusif Bugatti.