Arkib Kategori: BERITA

Yamaha FZ versi hibrid ringan muncul di pasaran India

Tidak seperti segmen motosikal dan skuter elektrik, kita mungkin sukar untuk mencari jentera dua roda yang dipacu oleh enjin hibrid.

Kawasaki sebelum ini pernah mendedahkan dua buah model hibrid, iaitu Ninja 7 Hybrid dan Z7 Hybrid.

Bagaimana pula dengan Yamaha?

Bertempat di Bharat Mobility Expo 2025 yang berlangsung pada bulan lepas, Yamaha Motor India tampil dengan sebuah motosikal naked yang pernah popular di Malaysia suatu ketika dahulu – FZ.

Lebih tepat lagi, Yamaha FZ-S Hybrid serba baharu yang dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 149 cc sejukan udara dengan kuasa 12.4 hp dan 13.3 Nm.

Tidak seperti sistem hibrid yang wujud pada jentera Kawasaki, FZ-S Hybrid ini bergantung kepada sistem hibrid ringan (mild-hybrid), di mana tujahan kuasa ekstra dibekalkan oleh komponen Integrated Starter Generator (ISG).

Biarpun tiada kelebihan dari segi tunggangan sifar emisi yang lebih jauh, bantuan daripada motor elektrik tersebut boleh mengubah karakteristik enjin 150 cc menjadi seakan 200 cc terutama ketika pecutan atau memotong kenderaan.

Dengan sistem hibrid ringan ini, tidak mustahil setangki penuh 13 liter boleh mencapai jarak tunggangan sejauh lebih 480 km.

Ciri lain termasuklah:

  • fork teleskopik hadapan 41 mm
  • penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban 7 tahap
  • rim aloi 17 inci
  • tinggi pelana 790 mm
  • kawalan cengkaman (TCS)
  • rotor brek 282 mm depan, 220 mm belakang
  • sistem brek ABS saluran tunggal

Di pasaran India, Yamaha FZ-S Hybrid dijual pada harga INR130,700 (RM6.6 ribu).

10 kereta paling popular di Malaysia tahun 2024

Berdasarkan data pendaftaran yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi laman sesawang data.gov.my, tahun 2024 merupakan satu tempoh yang cemerlang buat Perodua.

Sepanjang tempoh tersebut, jenama itu mencatatkan pendaftaran kenderaan sebanyak 358,100 unit, sekaligus menduduki tangga pertama untuk kesekian kalinya.

Tempat kedua pula disandang oleh Proton dengan jumlah pendaftaran mencecah 147,587 unit, manakala Toyota pula di tempat ketiga dengan 127,202 unit didaftarkan.

Menariknya, dalam senarai 10 pengeluar teratas, jenama automotif China juga sudah mula memunculkan diri bagi mengenepikan jenama yang suatu ketika dahulu popular.

Seperti contoh, Chery berada di tempat kelima mengalahkan Mitsubishi dan Mazda, manakala BYD pula berjaya menyelit di tempat kesepuluh bagi mendahului Nissan yang berada di tangga ke-11.

Namun, tahukah anda senarai 10 buah kereta paling popular di Malaysia untuk tahun 2024?

 

1. Perodua Bezza (100,814 unit)


2. Perodua Axia (88,137 unit)

 

3. Perodua Myvi (72,214 unit)


4. Proton Saga (69,863 unit)

 

5. Perodua Alza (44,374 unit)

6. Perodua Ativa (36,039 unit)

7. Honda City (29,246 unit)

 

8. Toyota Vios (28,667 unit)

 

9. Toyota Hilux (26,738 unit)

 

10. Proton X50 (22,674 unit)

Honda kini kuasai 40 peratus pasaran motosikal global

Jika pasaran kenderaan penumpang global dikuasai oleh abang besar Toyota, segmen motosikal global pula nampaknya didominasi oleh Honda.

Menurut laporan Japan Times, jualan motosikal global Honda diunjurkan mencapai 20.2 juta unit untuk tahun fiskal yang berakhir pada Mac tahun ini.

Ini bermakna, Honda kini menguasai sehingga 40 peratus pegangan di dalam pasaran motosikal global!

Perkembangan ini disokong oleh permintaan yang tinggi dari beberapa pasaran seperti India, Indonesia, Filipina, Brazil, serta beberapa negara di Amerika Tengah dan Selatan.

Honda juga berazam untuk meningkatkan sasaran penguasaan sehingga 50 peratus pasaran yang turut merangkumi motosikal elektrik, dengan jumlah jualan mencecah 60 juta unit menjelang 2030.

Untuk itu, sebuah kilang pemasangan baharu yang dikhususkan untuk motosikal berkuasa elektrik akan didirikan di India dan mula beroperasi pada tahun 2028.

Sebagai sebahagian daripada dorongan elektrifikasi yang serius, pengeluar itu juga merancang untuk melancarkan sehingga 30 buah model elektrik bagi mencapai sasaran jualan tahunan motosikal EV sebanyak empat juta unit menjelang 2030.

Antara inisiatif lain yang bakal dibuat termasuklah mengusahakan penggunaan dan kitar semula bateri, mengurangkan kos e-bike dan memastikan fasiliti sedia ada yang lebih mesra alam, selain meluaskan lagi jaringan stesen perkongsian dan penukaran bateri sedia ada.

Sehingga kini, Honda mempunyai sebanyak 37 buah fasiliti pemasangan di 23 buah negara.

Honda, Nissan mungkin tidak jadi bergabung

Laman Asahi Shimbun hari ini melaporkan rancangan gabungan antara dua syarikat besar automotif Jepun, Nissan dan Honda mungkin akan dibatalkan.

Menurut sumber yang rapat dengan perkara tersebut, kedua-dua syarikat akan mengadakan satu perjumpaan untuk membincangkan pembatalan rundingan gabungan tersebut.

Difahamkan, Honda mahu menjadikan Nissan sebagai sebuah anak syarikat (subsidiari), namun rancangan tersebut ditentang keras kerana tidak selari dengan apa yang telah dibincangkan sebelum ini.

Apabila pelan gabungan diumumkan dalam satu sidang media bersama yang dibuat Disember lepas, sebuah syarikat induk akan terbentuk untuk menaungi kedua-dua buah jenama itu, dan bakal menjadi kumpulan automotif ketiga terbesar di dunia selepas Toyota dan Volkswagen.

Lebih mengejutkan apabila perkembangan terbaharu ini timbul tidak sampai beberapa hari selepas laporan di mana Honda dan Nissan mahu menangguhkan pengumuman keputusan untuk bergabung hingga pertengahan Februari ini.

Nissan kini sedang bergelut dengan usaha penstrukturan semula termasuklah membuang sehingga 9,000 orang pekerja di seluruh dunia.

Namun begitu, syarikat tersebut tidak menjelaskan dengan terperinci perancangan tersebut kepada rakan perniagaan berpotensinya, dan pihak atasan Honda turut mengadu Nissan bergerak terlalu perlahan.

Dalam sidang akhbar pada Disember lepas, Presiden Nissan Makoto Uchida menekankan yang kedua-dua syarikat akan berada pada kedudukan yang sama.

 

Aprilia SR GT 200 Replica, harga RM20,900, terhad 32 unit sahaja

Didi Group selaku pengedar dan pengimport rasmi motosikal berjenama Aprilia di Malaysia semalam (4 Februari 2025) mengadakan sesi ‘Meet & Greet’ bersama pelumba MotoGP musim 2025, iaitu Jorge Martin dan Marco Bezzecchi.

Sesi yang berlangsung di Litar Karting RUD, Sepang tersebut turut disertai oleh Massimo Rivola selaku pengarah pasukan MotoGP Aprilia dan Lorenzo Savadori (pelumba uji).

Dalam masa yang sama, pihak Didi Group turut memperlihatkan skuter edisi terhad SR GT 200 Replica yang membawakan liveri merah dan ungu, diinspirasikan daripada grafik yang terdapat pada jentera MotoGP musim 2024.

Spesifikasi asas masih lagi sama tidak berubah, di mana ia membawakan enjin silinder tunggal bersesaran 174 cc SOHC dengan sejukan cecair yang mampu menjana kuasa 17.4 hp dan daya kilas 16.5 Nm.

Sistem gantungan terdiri daripada fork teleskopik hadapan bersaiz 33 mm, dibantu dengan penyerap hentak berkembar dengan larasan pra-beban.

Kelengkapan lain termasuklah rim bersaiz 14 dan 13 inci, rotor brek hadapan 220 mm dengan ABS saluran tunggal, lampu LED, paparan meter digital, ruang simpanan sebesar 25 liter dan sambungan kepada peranti pintar menerusi aplikasi Aprilia MIA.

Aprilia SR GT 200 Replica dijual pada harga RM20,900, dan difahamkan hanya 32 unit sahaja yang akan ditawarkan.

 

Tabiat ‘lane hogging’ boleh dikenakan saman sehingga RM2,000 – JSPT Bukit Aman

Mungkin masih ramai yang tidak tahu, memandu secara perlahan di lorong tengah atau lorong kanan merupakan satu tindakan yang menyusahkan ramai pengguna jalan raya lain.

Sikap pemanduan yang dikenali sebagai lane hogging ini juga sebenarnya mampu meningkatkan risiko kemalangan.

Menurut laporan BuletinTV3 yang memetik kata-kata Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, sikap lane hogging ini adalah tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan tegas.

“Jika pemandu ingin mengurangkan kelajuan, mereka hendaklah beralih ke lorong kiri untuk memberi laluan kepada pemandu lain agar perjalanan dapat diteruskan dengan lancar,” katanya.

 

Tambahnya, tindakan saman dan kompaun antara RM300 hingga RM2,000 boleh dikenakan kepada pemandu yang didapati bersalah.

Perkara ini turut disokong oleh kajian yang dibuat oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) di mana lane hogging sering berpunca daripada kurangnya disiplin pemanduan serta kesedaran pengguna terhadap fungsi setiap lorong yang wujud.

Menurut Pegawai Penyelidik Kanan MIROS, Norfaizah Mohamad Khaidir berkata, ramai pemandu beranggapan mereka berhak menggunakan lorong laju selagi mereka tidak memandu melebihi had laju.

“Jika ditanya, rakyat Malaysia tahu bahawa memandu melebihi had laju adalah salah, tetapi ramai tidak sedar bahawa memandu perlahan di lorong laju juga satu kesalahan,” katanya.

Sime Darby Auto Connexion-Ford perluas rangkaian di Malaysia Timur

Sime Darby Auto Connexion-Ford (Auto ConneXion), pengedar tunggal Ford di Malaysia, telah meluaskan rangkaian pengedarannya di Malaysia Timur menerusi pembukaan dua pusat servis baharu di Kapit dan Mukah.

Menurut syarikat itu, peluasan rangkaian ini sejajar dengan usaha untuk menyediakan perkhidmatan dan produk berkualiti yang boleh dinikmati oleh pelanggannya yang semakin meningkat di Malaysia Timur.

Dengan pembukaan dua pusat servis baharu itu, terdapat 11 pengedar yang bersedia untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat di Sabah dan Sarawak.

Buat masa ini, rangkaian pengedar di Sarawak merangkumi Kuching (SDAC), Sibu (Ngu Brothers), Miri (ALV Brothers), Bintulu (Ngu Brothers), Kota Samarahan (Jimisar Motors) dan dua pusat servis khusus di Kapit dan Mukah.

Manakala di Sabah, terdapat dua pengedar di Kota Kinabalu (Boston Auto and Rightpower Corporation), serta di Sandakan (Boston Auto) dan Tawau (TB Automotive).

Rangkaian pengedar komprehensif dan pusat servis khusus di serata Malaysia Timur ini membolehkan para pelanggan Ford di dalam dan luar bandar mendapatkan perkhidmatan yang mudah dan boleh dipercayai.

Turse Zuhair, Pengarah Urusan, Auto ConneXion berkata, “Malaysia Timur terus menjadi pasaran pertumbuhan utama bagi Auto ConneXion seperti yang dilihat daripada permintaan kukuh dan konsisten pada 2024. Dipacu oleh permintaan ini, kami terus menambah baik perkhidmatan dan titik capaian pelanggan bagi memenuhi permintaan pelanggan kami yang semakin meningkat.”

Pelanggan dijemput untuk mengunjungi pusat pengedar baharu ini untuk meninjau tawaran terbaharu Ford, termasuk penjimatan sehingga RM8,000 atau Pelan Servis Ford Blue Oval selama 5 tahun serta penjimatan sehingga RM2,000.

Bagi meningkatkan pengalaman pemilikan, alat ganti tulen Ford Motorcraft Genuine boleh didapati di semua wakil penjual sah Ford di Malaysia Timur pada harga berpatutan.

Op Selamat 23: Polis keluarkan 104,234 saman dalam tempoh lima hari

Sebanyak 104,234 saman atas pelbagai kesalahan telah dikeluarkan sepanjang Op Selamat 23/2025 yang diadakan selama lima hari sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), Datuk Sri Mohd Yusri Hassan Basri, jumlah itu menunjukkan pengurangan sebanyak 43% atau (78,798 saman) berbanding 183,033 saman yang direkodkan sepanjang Op Selamat 21/2024.

Katanya, terdapat enam kesalahan utama bagi Op Selamat 23/2025 ialah memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong kenderaan di garisan berkembar dan memotong barisan, melanggar lampu isyarat dan memandu menggunakan alat komunikasi atau telefon bimbit.

“Saman memandu melebihi had laju mendahului enam kesalahan utama bagi Op Selamat 23/2025 sehingga semalam yang membabitkan jumlah saman paling tinggi sebanyak 44,940 saman.

“Ini diikuti dengan saman bagi kesalahan melanggar lampu isyarat sebanyak 2034 saman, memandu menggunakan alat komunikasi (869), memandu di lorong kecemasan (602), memotong barisan (573) diikuti memotong garisan berkembar (321),”katanya.

Tambah Mohd Yusri lagi, Op Selamat 23/2025 yang dilancarkan pada 28 Januari yang lalu akan berakhir pada hari ini (2 Februari) bertujuan untuk meminimumkan kes kemalangan jalan raya dan memastikan kelancaran aliran trafik serta mencegah jenayah pecah rumah ketika musim perayaan.

Katanya, pelaksanaan Op Selamat 23 adalah di bawah JSPT di seluruh negara dan turut berkolaborasi dengan Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) untuk menyelaraskan operasi terbabit dengan tema ‘Rumah Selamat dan Selamat Sampai Ke Destinasi’.

“Untuk Op Selamat kali ini, pihak JSPT telah menugaskan 3609 pegawai dan anggota untuk memastikan penugasan Op Selamat berjalan dengan lancar dan mencapai objektif,” katanya.

BYD Atto 3 2025 dikesan di China – wajah baharu dan ADAS yang dinaik taraf

BYD Atto 3 model tahun 2025 telah dikesan sedang menjalani ujian jalan raya di China, di mana ia dijual sebagai Yuan Plus.

Menurut CarNewsChina, Atto 3 akan tampil dengan bahagian luaran dan sistem bantuan pemandu yang dikemas kini. Ia dijangka dilancarkan ke pasaran negara itu sekitar suku kedua tahun ini.

Ini bukan kali pertama dunia melihat Atto 3 2025  – Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat China sebelum ini telah pun mendedahkan sepenuhnya reka bentuk SUV elektrik itu dan sebab itulah hanya sebahagian kecil kereta itu masih dilindungi pelekat penyamaran.

 

Seperti yang boleh dilihat, Atto 3 kini mendapat ‘wajah’ yang lebih segar dengan rekaan bampar lebih sporty dan liang ambilan udara trapezoid yang lebih besar.

Bahagian sisinya menunjukkan kemasan krom baharu pada tiang C dan bahagian bawah badan. Di belakang, bampar  diberikan sentuhan semula namun apa yang lebih ketara di sini adalah spoiler bumbung baharu yang menempatkan sepasang lampu brek.

Untuk 2025, Atto 3 akan ditawarkan dalam satu warna baharu iaitu beige, manakala pilihan warna sedia ada iaitu putih, hitam, ungu, biru, hijau dan kelabu dijangka dikekalkan.

 

Selain itu, Atto 3 baharu dilihat mempunyai kamera baharu pada bampar depan, menunjukkan bahawa sistem ADAS-nya telah dipertingkatkan.

Tiada sebarang perubahan untuk trenkuasa. Di Malaysia, Atto 3 boleh didapati dalam varian tunggal Extended Range yang dilengkapi dengan motor elektrik gandar depan dengan 204 PS/310 Nm, dan bateri Blade LFP berkapasiti 60.48 kWj yang menawarkan jarak sejauh 480 km (NEDC).

Dacia Sandero dinobatkan kereta paling laris di Eropah tahun 2024

Tahukah anda, kereta apakah yang paling laris terjual di Eropah untuk tahun 2024?

Ia bukanlah kereta buatan Jepun, bukan juga kereta rakyat jenama Jerman, tapi sebaliknya ia sebuah kereta daripada negara Romania.

Lebih tepat lagi, Dacia Sandero (good news! bak kata James May).

Menurut data daripada penganalisa industri Jato Dynamics, sebanyak 268,101 unit Dacia Sandero telah didaftarkan di Eropah sepanjang tahun lalu.

Tempat kedua pula disandang oleh Renault Clio, dengan perbezaan melebihi 50,000 unit berbanding Dacia Sandero, diikuti dengan Volkswagen Golf (215,715 unit).

Jualan model paling popular tahun 2023, iaitu Tesla Model Y turun sebanyak 17 peratus kepada 209,214, namun ia masih lagi kekal juara di dalam kategori kenderaan elektrik yang paling popular.

Sebut pasal EV, pegangan pasaran bagi kenderaan sifar emisi tersebut menurun daripada 15.7 peratus (2023) kepada 15.4 peratus untuk tahun lepas, manakala peratusan model berenjin petrol pula meningkat daripada 47.8 peratus kepada 48.4 peratus.

Punca kemerosotan EV adalah disebabkan oleh penarikan insentif serta harga jualan purata yang masih lagi tinggi dan diluar kemampuan, menurut analisis Jato Dynamics.

Sementara itu, permintaan terhadap kenderaan hibrid meningkat daripada 9.9 peratus kepada 11.8 peratus, manakala kenderaan plug-in hybrid (PHEV) pula sekadar menguasai 7.3 peratus (turun daripada 7.7 peratus).

Baru dilancarkan di Jepun, tempoh menunggu Jimny Nomade kini cecah 3.5 tahun!

Suzuki Jimny Nomade, atau lebih tepat lagi Jimny 5-pintu yang lebih praktikal baru sahaja dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Jepun.

Namun dalam tempoh empat hari sahaja, permintaan yang diterima cukup menggalakkan di mana 50,000 tempahan telah pun dicatatkan.

Keadaan ini memaksa pihak Suzuki Jepun menutup sementara buku tempahan bagi model tersebut.

Dalam satu mesej yang disiarkan dalam laman web rasmi, Suzuki memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh pelanggan yang mahu menempah Suzuki Jimny Nomade.

“(Suzuki) Jimny Nomade mendapat sambutan yang cukup baik, dan kami menerima tempahan yang jauh melebihi kapasiti produksi (yang ditetapkan).”

“Disebabkan itu, kami akan menutup sementara buku tempahan, dan akan mengemas kini bila tempahan akan dibuka semula dengan mengambil kira situasi produksi akan datang.”

Populariti tinggi di kalangan pembeli Jepun adalah disebabkan oleh penawaran Jimny 5-pintu itu sendiri yang jauh lebih praktikal.

Ini kerana penambahan dua pintu penumpang ekstra dan jarak antara roda yang lebih panjang membuatkan ruang kabin yang lebih besar dan bermanfaat untuk aktiviti seisi keluarga berbanding Jimny (kei car) dan Jimny Sierra tanpa mengorbankan kelebihan pemanduan off-road yang sudah sinonim dengan nama Jimny.

Untuk makluman, tidak seperti Suzuki Jimny 3-pintu yang dipasang di Jepun, Suzuki Jimny 5-pintu (termasuk unit yang sudah mendarat di Malaysia) dibina di kilang Gurugram yang terletak di India.

Dengan produksi yang dihadkan sebanyak 1,200 unit untuk pasaran Jepun, tempoh menunggu kini mencecah sehingga tiga tahun setengah!

Penghantaran pertama Suzuki Jimny Nomade di Jepun akan dibuat pada 3 April ini.

Disebabkan permintaan yang terlampau memberangsangkan, Suzuki juga terpaksa membatalkan kesemua acara pameran yang telah dirancang untuk Suzuki Nomade di Jepun.

Pelajar perakaunan maut, motosikal dinaiki bertembung Perodua Alza makan jalan

Seorang pelajar cemerlang dalam bidang perakaunan maut dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Jalan Hulu Langat – Ampang pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof, kemalangan yang membabitkan empat motosikal dan dua kereta itu berlaku pada jam 4.45 petang.

Ketika kejadian, empat motosikal dinaiki enam individu termasuk dua pembonceng serta sebuah kereta dalam perjalanan dari arah Hulu Langat menghala ke Ampang.

“Sebuah kereta jenis Perodua Alza yang datang dari arah Ampang telah masuk ke laluan bertentangan dan merempuh kelima-lima kenderaan sehingga menyebabkan salah seorang penunggang motosikal tercampak dan jatuh di tepi jalan.

“Akibat kemalangan itu, seorang lelaki berusia 20 tahun yang menunggang sebuah motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Lima lagi penunggang dan pembonceng motosikal yang lain cedera dan di bawa ke Hospital Ampang untuk rawatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, pemandu kedua-dua kereta tidak cedera. Semua yang terbabit kemalangan berusia 17 hingga 38 tahun.

“Buat masa ini kita sedang menjalankan siasatan lanjut berhubung punca bagaimana Perodua Alza terbabit boleh masuk ke laluan bertentangan.

“Kenderaan terbabit akan dihantar untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan Jabatan Kimia untuk siasatan lanjut,” katanya.

Naazron berkata pemandu Perodua Alza, seorang lelaki berusia 27 tahun ditahan dan akan direman hari ini dengan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Narolhisyam Endi di talian 019-5897115,” katanya.

Untuk pengetahuan pembaca, Allahyarham Aysar Zahran bin Saiful Alimin yang meninggal dunia dalam kemalangan ini merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Sains Hulu Selangor (SEMASHUR).

Orang ramai yang ingin membuat sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun berikut:

Maybank
Persatuan Alumni Semashur
No. Akaun: 564397202247
REF: Aysar Zahran 1822

Tabung sumbangan akan ditutup pada:
Jumaat, 7 Februari 2025
Jam 6 petang

Polis Terengganu rampas 11 Yamaha RX-Z diseludup dari Thailand

Kegiatan penyeludupan motosikal jenis Yamaha RX-Z berjaya ditumpaskan oleh Polis Terengganu susulan penahanan seorang lelaki di Kampung Padang Luas, Jertih, di Besut pada Sabtu.

Menurut Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin, kegiatan penyeludupan itu terbongkar hasil pemeriksaan ke atas sebuah rumah yang dijadikan bengkel kenderaan di kampung berkenaan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bengkel yang turut disaksikan oleh suspek menemukan 11 buah motosikal jenis Yamaha RX-Z, empat casis dan enam komponen enjin motosikal jenis tidak pasti.

“Kita percaya kesemua barangan tersebut dibawa masuk dari Thailand tanpa dokumen sah,” katanya.

Beliau berkata, suspek berusia 41 tahun berasal dari Jertih yang mengaku sebagai pemilik rumah itu telah ditahan pada hari sama.

“Suspek didapati mempunyai tiga rekod jenayah di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan, Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil dan Seksyen 61 (1) LLPK (Langkah-Langkah Pencegahan Khas).

“Hasil siasatan mendapati suspek mengaku terlibat dalam kes yang disiasat manakala ujian saringan air kencing dijalankan ke atasnya adalah negatif,” ujarnya.

Honda, Nissan tangguh umum pelan gabungan hingga pertengahan bulan ini

Laman berita Japan Today semalam (2 Februari) melaporkan Honda dan Nissan akan mengumumkan pelan gabungan kedua-dua syarikat itu pada pertengahan bulan ini.

Mengikut perancangan asal, syarikat pengeluar automotif kedua dan ketiga terbesar itu mahu berbuat demikian pada penghujung bulan Januari.

Dalam sidang media yang dianjurkan pada bulan lepas, kedua-dua pihak bersetuju untuk memulakan perbincangan untuk membentuk syarikat baharu pada tahun 2026.

Ketua eksekutif Honda, Toshihiro Mibe berkata, pihaknya mahukan Nissan untuk membuat tindakan yang sewajarnya di dalam penstrukturan semula sebagai pra-syarat untuk penggabungan.

Pada bulan November, Nissan mengumumkan pengurangan sehingga 9,000 pekerjaan di seluruh dunia serta mengurangkan kapasiti produksi global sebanyak 20 peratus selepas syarikat itu dilapor mengalami penurunan keuntungan lebih 90 peratus untuk tempoh April hingga September.

Sebagai sebahagian daripada langkah pembaikpulihan, Nissan turut merancang untuk menawarkan program persaraan awal untuk pekerja di tiga kilang di Amerika Syarikat dan membuang sebilangan pekerja di Thailand.

Honda nampaknya tidak begitu yakin dan menyeru langkah yang lebih drastik diambil untuk memastikan pemulihan Nissan berjaya.

Menurut satu sumber lagi, rakan sepakatan Nissan, Mitsubishi lebih cenderung untuk tidak menyertai syarikat gabungan baharu itu.

 

Tiga kit badan DAMD untuk Suzuki Jimny Nomade, inspirasi daripada Defender, G-wagen

Bersempena dengan pelancaran Suzuki Jimny Nomade (5-pintu) untuk pasaran Jepun, syarikat penala DAMD menyediakan sehingga tiga pakej kit badan untuk dipadankan pada SUV off-road tersebut.

Pemilik Suzuki Jimny 5-pintu di Jepun boleh memilih untuk memadankan kit badan “little D”, “little G. ADVANCE” dan “little G. TRADITIONAL”.

“little D” membawakan bampar hadapan dan belakang baharu, serta unit lampu yang sememangnya mengambil inspirasi daripada Land Rover Defender klasik.

Bagi mereka yang inginkan imej G-wagen, terdapat dua pilihan kit badan.

“little G. TRADITIONAL” membawakan imej luaran seakan sebuah Mercedes-Benz G-Wagen generasi terawal, lengkap dengan struktur jeriji hadapan baharu dan plastik fender yang lebih lebar.

Pemilik yang mahukan imej G-wagen moden dan lebih sporti pula boleh mendapatkan “little G. ADVANCED”, dengan padanan tayar yang lebih sesuai untuk kegunaan dalam bandar, muka depan mirip G63 AMG, lampu membelok yang bertenggek atas hud enjin, dan penutup tayar simpanan belakang yang lebih kemas.

Menurut laporan Response.jp, pihak DAMD sudah pun memulakan projek pembangunan bagi ketiga-tiga kit badan Suzuki Jimny Nomade dan menyasarkan pelancarannya dalam tahun ini.


SUZUKI JIMNY NOMADE 2025 (Jepun)

 

Alfa Romeo batal hasrat jual EV sahaja menjelang 2027

Nampaknya semakin lama semakin banyak pengeluar mula menyedari yang pendekatan EV sahaja mungkin bukan strategi terbaik untuk jangka masa panjang.

Terbaru, Alfa Romeo dilaporkan telah membuat pusingan U berhubung hasratnya untuk menjual EV sahaja menjelang 2027.

Pengeluar dari Itali itu menyertai jenama-jenama seperti Audi, Lotus, Mercedes-Benz, Porsche dan Volvo dalam membuat keputusan berkenaan berikutan penurunan permintaan dan saingan hebat daripada jenama-jenama China.

Bercakap kepada Automotive News, ketua Alfa Romeo Amerika Utara, Chris Feuell mengakui sukar untuk rangkaian pengedar Alfa Romeo di Amerika Syarikat untuk bertahan dengan portfolio yang terdiri daripada kenderaan elektrik bateri (BEV) sahaja.

Sebagai ganti, Alfa Romeo akan mengamalkan strategi “berbilang tenaga” yang dimuktamadkan baru-baru ini. Strategi ini merangkumi gabungan trenkuasa petrol, hibrid dan elektrik.

“Perkara terbesar dalam peta jalan produk dan teknologi kami ialah beralih daripada strategi BEV sahaja kepada strategi berbilang tenaga,” kata Feuell.

Toyota kekal pengeluar nombor satu dunia untuk lima tahun berturut-turut

Sepanjang tahun 2024, Toyota Motor Corp telah menjual sebanyak 10.82 juta unit kenderaan, menyaksikan pengeluar itu kekal menjuarai takhta global untuk tahun kelima berturut-turut.

Biarpun angka tersebut turun 3.7 peratus berbanding tahun 2023, Toyota menjelaskan terdapat permintaan yang tinggi terhadap kenderaan hibrid jenama itu.

Tempat kedua disandang oleh kumpulan Volkswagen, dengan jumlah jualan 9.03 juta unit manakala kumpulan Hyundai pula mencatatkan angka 7.23 juta unit.

BYD buat kali pertama berjaya memintas Honda, Nissan dan Suzuki dengan jumlah jualan sebanyak 4.27 juta unit pada tahun lepas.

Sebagai perbandingan, Honda menjual sebanyak 3.81 juta unit, diikuti Nissan sebanyak 3.35 juta unit dan Suzuki sebanyak 3.25 juta unit.

Tidak termasuk jenama-jenama di bawah naungan seperti Hino dan Daihatsu, angka jualan kenderaan jenama Toyota sahaja sudah mencecah angka 10.16 juta unit, turun 1.4 peratus selepas terbabit dalam isu skandal pensijilan kenderaan, diikuti produksi sesetengah model yang terpaksa dihentikan buat sementara waktu.

Di pasaran utama, Toyota mencatatkan peningkatan jualan sebanyak 4.3 peratus kepada 2.73 juta unit kenderaan di Amerika Utara, diikuti peningkatan 3.6 peratus kepada 1.17 juta unit kenderaan di Eropah.

Angka jualan Toyota di China menyaksikan penurunan 6.9 peratus kepada 1.78 juta unit kenderaan disebabkan oleh perang harga berterusan oleh pengeluar utama domestik.

Sangat penting untuk terus kekalkan transmisi manual – bos GT Porsche

Porsche merupakan salah satu daripada sebilangan pengeluar kereta sports yang masih lagi setia menawarkan model bertransmisi manual.

Di sesetengah pasaran, anda masih lagi boleh mendapatkan 718 manual, namun untuk keluarga 911 pilihan tersebut kini terhad kepada varian GT3 dan Carrera T sahaja.

Biarpun disifatkan sebagai transmisi yang hampir pupus, pengarah GT Model Line Porsche Andreas Preuninger berpendapat adalah penting untuk beliau terus berjuang bagi mempertahankan transmisi manual di Porsche.

Memetik laporan Motor1, Preuninger berkata, “Dari sudut pandangan peribadi, adalah sangat penting untuk mempunyai sebuah model manual.

“Saya lebih gemar manual, dan tidak kisah untuk menukar gear sendiri terutama di dalam litar, walaupun sebetulnya saya tahu (kotak gear) PDK lebih pantas,” ujarnya lagi.

Preuninger juga tidak berpendapat undang-undang emisi yang lebih ketat bakal membunuh kotak gear manual.

“(Manual) lebih ringan, jadi ia menyumbang kepada pengurangan emisi dan penggunaan bahan bakar yang lebih cekap, dan anda juga mempunyai lebih banyak kuasa pada roda disebabkan rintangan kuasa pada kotak gear manual lebih rendah berbanding PDK,” ujarnya.

“Dalam dunia sebenar, kereta manual kurang menggunakan gasolin, dan kurang menghasilkan emisi berbanding PDK. Itu adalah fakta.”

Suzuki Jimny Nomade mendarat di Jepun, import dari India, harga dari RM76k

Suzuki akhirnya melancarkan varian SUV off-road Jimny 5-pintu yang lebih praktikal untuk pasaran Jepun, dikenali sebagai Jimny Nomade.

Berbanding Jimny Sierra 3-pintu yang masih dijual di sana, Jimny Nomade membawakan ukuran sepanjang 3,890 mm atau 340 mm lebih panjang, menjadikan jarak antara roda kini menjadi 2,590 mm.

Manfaatnya? Ruang untuk penumpang belakang yang lebih luas, serta kapasiti kargo menjadi lebih praktikal.

Jimny Nomade ini boleh dibezakan penampilannya seperti struktur jeriji dengan kemasan Gun Metallic, serta pilihan warna baharu termasuklah Sizzling Red Metallic dan Celestial Blue Pearl Metallic.

Dari segi kuasa, Suzuki Jimny Nomade kekal dengan enjin 1.5 liter menghasilkan kuasa 103 hp dan 134 Nm, dipadankan dengan kotak gear manual 5-kelajuan atau automatik 4-kelajuan.

Selain itu, Jimny Nomade juga didatangkan standard dengan sistem pacuan empat roda (4WD) separuh masa, serta mengekalkan sudut pendekatan 36 darjah dan sudut pelepasan 47 darjah.

Di Jepun, Suzuki menjual Jimny Nomade dengan harga bermula dari ¥2,651,000 (RM75,643).

Untuk makluman, Suzuki Jimny Nomade merupakan unit import sepenuhnya dari kilang pemasangan Gurugram, India berbanding Jimny Sierra (versi 3-pintu) yang dipasang di Jepun.

BMW M3 CS Touring – wagon jahat untuk geng ‘ayah ayah’

Pada pertengahan 2022, BMW M memperkenalkan M3 Touring, iaitu M3 berbadan wagon yang pertama dalam sejarah jenama itu. Ini disusuli dengan varian M3 yang paling hardcore dalam barisannya iaitu M3 CS sedan.

Kini, divisyen itu membawakan pula M3 CS Touring, yang secara asasnya adalah gabungan kedua-dua model berkenaan.

Dalam erti kata lain, ia menawarkan prestasi tinggi yang mengghairahkan seperti M3 CS sedan (dan M4 CS) tetapi dalam bentuk yang lebih praktikal.

Ini bermakna, seperti dua model yang disebutkan itu, M3 CS Touring juga dikuasakan oleh enjin 3.0-liter twin-turbo enam silinder sebaris yang telah ditala bagi menghasilkan 550 PS pada 6,250 rpm dan 650 Nm dari 2,750 rpm hingga 5,950 rpm.

Jika dibandingkan dengan M3 Touring versi facelift (BMW panggil Life Cycle Impulse atau LCI), model ini mempunyai 20 PS kuasa tambahan.

Gabungan transmisi M Steptronic lapan kelajuan dan pacuan semua roda M xDrive membolehkan jentera seberat 1,850 kg ini memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 3.5 saat dan 0 hingga 200 km/j dalam 11.7 saat.

Kelajuan maksimum pula dihadkan secara elektronik pada 300 km/j dengan M Driver’s Package yang disertakan secara standard.

Bercakap tentang berat, BMW berjaya menyingkirkan kira-kira 15 kg menerusi penggunaan komponen-komponen yang diperbuat daripada gentian karbon (CFRP) seperti bonet, splitter, liang ambilan udara, cermin sisi, diffuser, kerusi bucket dan stereng.

Walaupun mempunyai bentuk badan yang sama dengan M3 Touring, versi CS tampil lebih menyerlah dengan kit badan yang lebih agresif, lampu nyalaan siang berwarna kuning, perincian merah pada gril dan spoiler, serta rim double spoke berukuran 19 inci di depan dan 20 inci di belakang.

Pilihan warna terhad kepada empat sahaja iaitu British Racing Green, Laguna Seca Blue, Sapphire Black, dan Frozen Solid White. Tak kira warna apa yang dipilih, bumbung dan spoiler didatangkan dalam kemasan hitam berkilat.

Di dalam, selain kerusi bucket tadi, ia juga boleh dibezakan dengan stereng flat bottom dengan penanda jam 12 berwarna merah dan logo ‘CS’ pada konsol tengah.

BMW tidak memberitahu jumlah M3 CS Touring yang akan dihasilkan seperti versi sedan, pengeluarannya dijangka dihadkan kepada kurang 2,000 unit.