Arkib Kategori: BERITA

Castrol umum dua pelumba baharu untuk pasukan Cub Prix tempatan

Castrol mengumumkan barisan pelumba baharu untuk pasukan Castrol Power1 Honda Yuzy Racing yang akan bersaing di dalam Kejohanan Cub Prix Malaysia Petronas MAM 2025.

Dua pelumba yang dimaksudkan itu ialah Muhammad Haziq Hakimy Kamaruddin dan Aisy Izz Hafiy Hairul Hafiz.

Kedua-dua pelumba itu akan menyertai penunggang sedia ada Aqeel Danish Zaiermanhady untuk berentap dalam kategori CP125.

Haziq Hakimy dan Aisy masing-masing membawa pencapaian cemerlang daripada Honda One Make Challenge, di mana Hakimy berjaya menamatkan persaingan di tempat ketiga pada tahun 2022, dan Aisy pula pernah muncul naib juara pada tahun 2021.

Kehadiran mereka menandakan permulaan baharu dan semangat untuk merebut kedudukan podium pada musim ini, susulan kejayaan Md Haziq Hamdan meraih tempat ketiga dalam pusingan kesembilan musim 2024.

“Kami optimis dengan barisan baharu musim ini dan yakin bahawa ketiga-tiga pelumba akan menunjukkan prestasi luar biasa dan menjadi pencabar utama untuk merebut podium,” kata Pengurus Pasukan Castrol Power1 Honda Yuzy Racing, Shahrol Yuzy Ahmad Zaini.

“Prestasi latihan mereka baru-baru ini sangat memberangsangkan, dan kami percaya pasukan ini akan mencapai keputusan cemerlang sepanjang musim,” katanya.

Pengarah Pemasaran Castrol Malaysia & Singapura, Keow Mei-Shan menambah, “Barisan penunggang baharu ini mencerminkan komitmen kami terhadap usaha memupuk bakat-bakat baharu, di samping terus berusaha mencapai kejayaan di litar perlumbaan. Kami sangat gembira dengan penyertaan Aqeel, Haziq Hakimy, dan Aisy untuk mewakili pasukan Castrol Power1 Honda Yuzy Racing.

Di peringkat antarabangsa, Castrol menjadi penaja utama dan rakan teknikal pasukan Honda Racing Corporation (HRC) Factoy MotoGP untuk musim MotoGP 2025.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Castrol akan membekalkan pelincir dan bahan api, serta menyediakan sokongan teknikal kepada pasukan tersebut.

Kerjasama ini menandakan lembaran baharu dalam hubungan jangka panjang antara Castrol dan Honda, selain memperkukuhkan lagi komitmen bersama mereka terhadap kecemerlangan dalam sukan permotoran.

Pasukan itu telah membuat penampilan sulung semasa ujian pra musim MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang pada 5 Februari 2025.

“Castrol mempunyai sejarah panjang dalam menggunakan sukan permotoran untuk mempamerkan keupayaan teknikal dan teknologi baharu yang dibangunkan bersama. Kerjasama ini merupakan peluang terbaik untuk menjalinkan hubungan yang lebih erat dengan para peminat perlumbaan motosikal dan peminat jentera dua roda di seluruh dunia,” ujar Ketua Pegawai Pemasaran Castrol, Sandeep Sangwan.

“HRC dan Castrol berkongsi komitmen padu terhadap prestasi dan inovasi. Kami pernah mencapai kejayaan besar bersama sebelum ini, maka tidak hairanlah jika kami memilih untuk memperbaharui kerjasama ini,” jelas Presiden Honda Racing Corporation, Koji Watanabe.

Mercedes-Benz G 580 with EQ Technology kini di Malaysia, dari RM958,888

Mercedes-Benz Malaysia baru sahaja melancarkan model SUV off-road berkuasa elektrik Mercedes-Benz G 580 with EQ Technology untuk pasaran tempatan.

Dibina berdasarkan platform G-Class sedia ada, G 580 EQ menampilkan tetapan empat motor elektrik dengan kuasa mencecah 587 hp dan daya kilas 1,164 Nm.

Pecutan 0-100 km/j adalah sepantas 4.7 saat dan kelajuan maksimum dihadkan kepada 180 km/j.

Terdapat beberapa mod pemanduan Electric Dynamic Select yang boleh dipilih termasuklah Comfort, Sport, Individual, serta mod pemanduan off-road Trail dan Rock.

G 580 EQ ini dipadankan dengan pek bateri 116 kWh, menawarkan jarak gerak sejauh 473 km untuk sekali cas penuh.

Ia turut menyokong pengecasan AC sehingga 22 kW dengan tempoh pengecasan 0-100 peratus SoC dalam masa 12 jam, serta pengecasan pantas DC 200 kW yang membolehkan bateri dicas 10-80 peratus dalam masa 32 minit sahaja.

Biarpun berkuasa elektrik, G 580 EQ ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri unik yang pada pada G-wagen termasuklah bentuk badan kotak.

Cuma ia dikemaskan dengan pendekatan yang lebih moden seperti panel jeriji hadapan hitam, serta kotak storan di belakang.

Sistem suspensi G 580 ini terdiri daripada tetapan double-wishbone di depan, diikuti dengan tetapan suspensi De Dion di bahagian belakang, menawarkan jarak kelegaan tanah 250 mm, mampu meredah air sedalam 850 mm, dan berkeupayaan mendaki cerun sehingga 35 darjah.

Sudut penting off-road G 580 EQ ini adalah seperti berikut:
– sudut pendekatan 32 darjah
– sudut pelepasan 30.7 darjah
– sudut breakover 20.3 darjah

Ia juga turut menawarkan fungsi khas untuk kegunaan off-road seperti:
– fungsi merangkak
– fungsi pusing setempat G-Turn
– fungsi G-Steering untuk mengurangkan radius putaran di tempat sempit
– sistem bunyi artifisial G-Roar AMG
– sistem pandangan tembus bonet hadapan

Untuk ruang kabin, G 580 EQ ini masih mengekalkan susun atur papan pemuka yang sama seperti G-Class standard, dengan skrin berkembar 12.3 inci, sistem bunyi Burmester 3D, sistem infohibur belakang berasingan, serta sokongan Apple CarPlay dan Android Auto.

Ciri keselamatan termasuklah Active Distance Assist DISTRONIC, Active Steering Assist, Active Lane Keeping Assist, Parking Package dengan kamera 360 darjah serta sistem Pre-Safe.

Selain daripada spesifikasi standard, pembeli juga boleh mendapatkan edisi eksklusif Edition One yang menawarkan ciri berikut:
– tiga warna istimewa
– jalur biru di bahagian sisi badan
– angkup brek berwarna biru
– perkataan Mercedes-Benz di hadapan

Terdapat juga pilihan untuk penyesuaian yang lebih meluas menerusi program Manufaktur yang menyediakan pelbagai pilihan warna cat, grafik tempat duduk, jahitan hiasan, serta bahan balutan panel instrumen khusus untuk model ini.

Harga jualan Mercedes-Benz G 580 with EQ Technology bermula dari RM958,888 sementara G 580 with EQ Technology Edition One pula berharga RM998,888. Harga yang disebutkan tadi adalah termasuk dengan kos pemasangan pengecas dinding.

Toyota Land Cruiser versi ‘van panel’ kini dijual di Eropah

Mahukan sebuah kuda kerja yang lasak dan bergaya tapi bukan trak pikap? Toyota Eropah ada jawapan untuk anda.

Inilah dia Toyota Land Cruiser spesifikasi kenderaan komersial ringan (LCV) yang khusus untuk pasaran UK dan dibina di kilang Burnaston Toyota yang terletak di Derbyshire.

Land Cruiser LCV ini disasarkan kepada golongan professional yang mahukan keupayaan off-road, dengan kapasiti kargo tertutup sebesar 2,000 liter.

Tempat duduk baris kedua yang asal telah dibuang, dan digantikan dengan panel keluli, lantai kargo yang rata serta besi pemisah antara ruang tersebut dengan kabin hadapan.

Selain itu, Toyota turut melengkapkan Land Cruiser LCV ini dengan rim aloi 18 inci, tempat duduk pemandu boleh laras berkuasa elektrik, fungsi pemanas tempat duduk dan roda stereng, serta pintu tailgate berkuasa dengan tingkap kaca boleh dibuka.

Tidak ketinggalan, cermin pandang belakang auto kelam, brek parkir elektronik, kawalan iklim dua zon, skrin infohibur sebesar 9 inci dan kelengkapan keselamatan Toyota Safety Sense.

Dari segi kuasa, Land Cruiser versi panel ini dikuasakan oleh enjin diesel 2.8 liter turbo yang dipadankan dengan sistem pacuan empat roda sepenuh masa – tiada sebarang perubahan dari segi kuasa (201 hp/500 Nm), keupayaan off-road, had muatan tunda sehingga 3.5 tan, dan keupayaan meredah air sedalam 700 mm.

Menurut Toyota, Land Cruiser LCV ini akan mula dijual pada Ogos ini dengan harga jualan dari £51,729 (RM299 ribu).

Toyota turut mengumumkan kemas kini penawaran Land Cruiser sedia ada, di mana enjin 2.8 liter diesel turbo itu akan digantikan dengan unit hibrid ringan 48V yang menambah 16 hp dan 65 Nm.

Versi hibrid ringan itu dikatakan mampu menawarkan enjin yang lebih senyap, lancar dan lebih responsif, serta dijangka mengurangkan emisi CO2 berbanding tetapan terdahulu.

Sisma Auto lancar bilik pameran Denza di Glenmarie

Sisma Auto melancarkan bilik pameran Denza serba baharu yang terletak di Glenmarie, Shah Alam.

Fasiliti dua tingkat bernilai RM25 juta ini memiliki keluasan sebesar 20,000 kaki persegi dan menampilkan identiti terkini jenama Denza yang mewah dan canggih.

Pengunjung berpeluang untuk melihat dengan lebih dekat model EV Denza D9 dan memandu uji sendiri kenderaan tersebut.

Selain ruang pameran yang cukup besar, terdapat juga pusat servis yang dilengkapi dengan kemudahan tercanggih bagi menyediakan perkhidmatan lepas jualan yang menyeluruh.

Selain itu, pengunjung Denza Sisma Auto Glenmarie boleh mendapatkan perkhidmatan mengambil dan menghantar kenderaan dari pintu ke pintu untuk diservis sama ada terus dari rumah atau pejabat pelanggan.

Pengarah Urusan Kumpulan SISMA Auto, Syed Khalil bin Syed Ibrahim menjelaskan beliau teruja untuk mengembangkan penawarannya dalam pasaran kenderaan mewah.

“Keyakinan global terhadap jenama BYD semakin meningkat, Denza sebagai sub-jenama BYD pula berada pada kedudukan terbaik untuk menarik perhatian pemilik kenderaan premium dan mewah.

“Dengan pelancaran Denza Sisma Auto, kami menjadikan pengalaman Denza yang dapat diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia.”

Pengarah Urusan BYD Malaysia Sdn Bhd, Eagle Zhao berkata, ” Dengan pembukaan rasmi lima pengedar baharu DENZA— ianya menjadi bukti atas komitmen kami dalam menyediakan pengalaman pelanggan yang luar biasa—baru-baru ini kami sedang memperluaskan akses kepada mobiliti elektrik premium yang lebih peribadi, dipercayai dan mudah dicapai.

“BYD Malaysia akan terus memperluaskan rangkaian pengedar dan pusat servis kami bagi memastikan kenderaan elektrik berkualiti tinggi – termasuk untuk pasaran umum dan premium – mudah didapati bagi memenuhi keperluan pengguna Malaysia yang semakin berkembang.”

Pusat pameran dan servis Denza Sisma Auto ini terletak di alamat No. 21, Jalan Perintis U1/52, Seksyen U1, Bandar Glenmarie, Shah Alam dan dibuka setiap hari mulai jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

Pelajar sekolah vokasional ubah wagon Skoda Superb jadi trak pengangkut basikal

Tahukah anda, Skoda asalnya bukanlah bermula sebagai sebuah pengeluar kenderaan?

Mula beroperasi sejak 1895, pengasas jenama Skoda iaitu Václav Laurin and Václav Klement membentuk syarikat Laurin & Klement dan produk pertama mereka: basikal!

Hanya pada tahun 1905, baharulah mereka memulakan pengeluaran kereta sebelum syarikat tersebut dikenali sebagai Skoda Auto pada tahun 1925.

Bersempena dengan sambutan ulang tahun yang ke-130, Skoda menghasilkan sebuah kenderaan khas L&K 130 sebagai satu penghormatan kepada sejarah awal syarikat tersebut.

Ia asalnya merupakan sebuah wagon Superb yang diubah menjadi sebuah trak ute oleh para pelajar Sekolah Vokasional Skoda Auto dengan kerjasama para jurutera Skoda itu sendiri.

Antara perubahan yang dibuat termasuklah tiang B dan C yang telah diubah semula, serta seksyen belakang yang telah dibuang untuk memberi laluan kepada rak basikal kustom.

Dengan adanya rak tersebut, ‘trak’ ini boleh memuatkan sehingga tiga buah basikal pada satu-satu masa.

Lebih menarik, pintu belakang kini dengan bukaan stail minivan dengan dua tempat pemegang pintu disertakan.

Tempat duduk baris kedua kini hanya boleh memuatkan seorang penumpang sahaja, memandangkan bahagian kiri telah dimuatkan dengan kotak penyejuk dan kit pembesar suara.

Di ruang kokpit, terdapat unit komunikasi radio serta tablet untuk paparan video yang dihantar daripada kamera belakang.

Menurut Skoda, projek L&K 130 ini memerlukan masa lebih 2,000 jam untuk disiapkan dan ia akan dipamerkan di acara Tour de France yang ke-112 bulan depan.

BMW lancar sedan M340i xDrive M Sport Pro 2025 untuk pasaran Malaysia – harga dari RM388,800

BMW Malaysia secara rasmi mengumumkan model sedan BMW M340i xDrive M Sport Pro sebagai pelengkap kepada penawaran 3 Series sedia ada.

Penampilan luaran M340i ini boleh diserikan dengan pilihan warna Alpine White, Black Sapphire, Arctic Race Blue atau M Brooklyn Grey, diikuti dengan rim aloi M 19 inci, serta pakej M Aerodynamics termasuklah spoiler belakang dan tip ekzos berkembar.

Untuk ruang kabin pula, terdapat pilihan warna upholsteri Tacora Red atau hitam klasik, tempat duduk sports dengan fungsi memori, panel melengkung yang terdiri daripada skrin kluster 12.3 inci dan skrin infohibur 14.9 inci yang dikuasakan oleh BMW Operating System 8.5.

Ia juga turut menerima kelengkapan istimewa seperti tali pinggang keledar M, trim Aluminium Rhombicle Anthracite M, headliner anthracite, serta roda stereng tiga jejari M dengan penanda pukul 12.

Ciri lain termasuklah sistem pencahayaan ambien, bumbung kaca berkuasa elektrik, serta sistem audio Harman Kardon 464W dengan 16 pembesar suara.

BMW M340i xDrive ini dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris 3.0 liter turbo menghasilkan 387 hp dan 500 Nm yang dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport lapan-kelajuan.

Dengan sistem pacuan semua roda xDrive, pecutan 0-100 km/j hanyalah sekitar 4.4 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250 km/j.

Aspek pemanduan dipertingkatkan dengan sistem suspensi adaptif M, pembeza sport M dan sistem stereng sport berbilang (VSS).

Dari segi keselamatan, M340i turut dilengkapi dengan ciri bantuan pemandu termaju Driving Asisstant yang merangkumi fungsi amaran keluar lorong (LDW), amaran pelanggaran hadapan (FCW), kawalan jelajah aktif (ACC), serta fungsi Parking Assistant Plus.

BMW M340i xDrive M Sport Pro ini dijual pada harga dari RM388,888 tidak termasuk pakej servis dan pembaikan (RM26,400).

Hyundai Staria Prestige 2025 diperlihatkan di Malaysia, pelancaran rasmi 2 Julai ini

Jika anda perasan, MPV Hyundai Staria merupakan antara model Hyundai yang paling laris terjual di Malaysia sejak diperkenalkan secara rasmi tiga tahun lepas.

Jualan bagi model tersebut akan diteruskan di bawah Hyundai Motor Malaysia (HMY), di mana versi kemas kini akan dilancarkan secara rasmi pada 2 Julai nanti.

Turut dipamerkan ialah varian paling premium Prestige yang menawarkan konfigurasi tujuh tempat duduk.

Ia membawakan ciri unik seperti kemasan Brass Chrome pada bahagian luaran termasuklah perumah cermin sisi dan perumah lampu, pemegang pintu dan juga emblem.

Selain daripada Staria Prestige 7-tempat duduk, terdapat juga versi Prestige 10 tempat duduk yang akan turut ditawarkan kelak, serta dua lagi varian 10 tempat duduk Style dan Prime.

Bergantung kepada varian, Staria juga turut dilengkapi dengan ciri seperti bumbung kaca panorama berkembar, tempat duduk Premium Relaxation, kawalan iklim automatik, skrin sentuh 8 inci, sistem audio Bose dengan 12 pembesar suara, dan ruang kargo sebesar 431 liter.

Kesemua varian masih lagi kekal dengan enjin diesel 2.2 liter CRDi menghasilkan kuasa 177 PS dan 430 Nm yang memacu roda depan sahaja.

Menariknya, dalam siaran media HMY ada menyebut tentang kemunculan varian hibrid Prestige HEV.

Berdasarkan spesifikasi model pasaran global, Hyundai Staria HEV dikuasakan oleh enjin Smartstream G1.6 T-GDi berkuasa 245 PS dan 367 Nm, dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan.

Ciri keselamatan Hyundai SmartSense merangkumi fungsi seperti Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA), Amaran Tumpuan Pemandu (DAW), Amaran Pelanggaran Titik Buta (BCW), Bantuan Keluar Selamat (SEA), Kawalan Jelajah Pintar (SCC), Bantuan Mengikut Lorong (LFA), Bantuan Pengekalan Lorong (LKA), Bantuan Pengelakan Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang (RCCA), sistem pemantauan keliling, sistem pemantauan titik buta dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Lebih banyak info termasuk harga jualan akan diketahui pada acara pelancaran rasmi yang berlangsung 2 Julai ini.

Hyundai Tucson 2025 facelift dipertontonkan, pelancaran rasmi 2 Julai ini

Sebuah lagi model baru yang bakal dilancarkan secara rasmi oleh Hyundai Motor Malaysia (HMY) bulan depan ialah SUV segmen C Tucson 2025.

Berbeza dengan apa yang pernah ditawarkan sebelum ini oleh Hyundai Sime Darby, Hyundai Tucson 2025 merupakan versi facelift yang membawakan beberapa perubahan bersifat kosmetik.

Antaranya ialah jeriji hadapan Parametric Jewel yang menyembunyikan lampu nyalaan siang (DRL) yang lebih besar dimensinya, rim yang direka semula, serta bampar depan lebih bersegi.

Perubahan yang lebih ketara boleh dilihat pada ruang kabin, di mana susun atur telah diubah sepenuhnya.

Tucson 2025 facelift kini membawakan papan pemuka yang lebih kemas, dengan skrin berkembar 12.3 inci dalam satu panel melengkung, roda stereng tiga jejari tanpa logo H italik, serta panel 6.6 inci berasingan untuk kawalan iklim.

Di bahagian konsol tengah pula menempatkan slot pengecasan peranti tanpa wayar, serta ruang barangan yang lebih besar terima kasih kepada tuil penukaran gear yang telah dialih ke bahagian kolum stereng sebelah kanan.

Terdapat tiga varian Tucson yang bakal dilancarkan kelak, iaitu Style dengan enjin 2.0 liter (156 PS/192 Nm), serta Prime dan Prestige (4WD) yang dikuasakan oleh enjin 1.6 liter turbo (180 PS/264 Nm).

Terdapat juga pilihan enjin 1.6 liter turbo hibrid berkuasa 235 PS/367 Nm yang ditawarkan khusus untuk varian Prestige HEV.

Varian Style dan Prestige HEV itu tadi dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan, sementara varian Prime dan Prestige pula dibekalkan dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan.

Dari segi ukuran, Tucson 2025 membawakan dimensi sepanjang 4,640 mm, lebar 1,865 mm, tinggi 1,665 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,755 mm.

Ciri keselamatan yang wujud pada Tucson 2025 termasuklah enam beg udara, sementara varian tertinggi Tucson pula didatangkan dengan kelengkapan Hyundai SmartSense yang merangkumi fungsi seperti Bantuan Pengelakan Pelanggaran Hadapan (FCA),  Bantuan Pengelakan Pelanggaran Titik Buta (BCA), Peringatan Penumpang Belakang (ROA), Bantuan Pengekalan Lorong (LKA), Bantuan Mengikut Lorong (LFA), Amaran Tumpuan Pemandu (DAW), Bantuan Pengelakan Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang (RCCA), sistem pemantauan titik buta dan paparan keliling 360 darjah.

Harga jualan hanya akan diumumkan secara rasmi pada acara pelancaran berlangsung 2 Julai ini.

Hyundai Santa Fe 2025 tiba di Malaysia, bakal dilancarkan 2 Julai ini

Hyundai Motor Malaysia (HMY) bakal melancarkan beberapa model baharu bulan depan.

Salah satu daripadanya ialah Hyundai Santa Fe 2025, crossover segmen pertengahan tujuh tempat duduk generasi baharu yang membawakan rekaan badan berkotak.

Santa Fe generasi baharu berukuran sepanjang 4,830 mm, lebar 1,900 mm, tinggi sehingga 1,780 mm dan jarak antara roda sepanjang 2,815 mm.

Untuk pasaran tempatan, ia bakal ditawarkan dalam tiga varian iaitu Prime, Prestige dan Calligraphy (enam tempat duduk).

Terdapat dua pilihan enjin, iaitu nadi 2.5 liter turbo menghasilkan kuasa 281 PS @ 5,800 rpm dan daya kilas 422 Nm @ 1,700-4,000 rpm dipadankan dengan transmisi automatik 6-kelajuan atau enjin hibrid 1.6 liter turbo dengan kuasa 235 PS @ 5,500 rpm dan 367 Nm @ 1,000-4,000 rpm dengan transmisi DCT 8-kelajuan.

Ciri luaran Santa Fe termasuklah rekaan lampu LED dengan grafik H depan dan belakang, kemasan krom gelap pada jeriji radiator, serta penyeka kaca belakang tersembunyi.

Semasa sesi pratonton, kami tidak dibenarkan untuk melihat susun atur ruang kabin Santa Fe.

Namun, berdasarkan model pasaran global, kita boleh jangkakan SUV ini dilengkapi dengan panel melengkung yang terdiri daripada dua skrin 12.3 inci, serta panel berasingan untuk kawalan iklim kabin.

Difahamkan, Hyundai Santa Fe 2025 ini akan dilancarkan pada 2 Julai ini dalam unit import sepenuhnya (CBU), sementara versi pemasangan tempatan (CKD) pula akan ditawarkan bermula suku ketiga tahun ini.

Spesifikasi penuh Hyundai Santa Fe 2025 akan kami siarkan menjelang pelancaran rasmi minggu depan.

Jenama Indian Motorcycle di Malaysia kini dikendalikan oleh Spirit Lake Motor Sdn Bhd

Jenama motosikal pertama dari Amerika Syarikat, Indian Motorcycle kini kembali semula ke pasaran Malaysia.

Ia kini dikendalikan oleh pengurusan baharu Spirit Lake Motor Sdn Bhd, sebuah syarikat di bawah kumpulan AFY Mobility Industries (AMI).

Nama Spirit Lake Motor itu diambil sebagai satu rujukan kepada kilang Indian Motorcycle di Spirit Lake, Iowa, Amerika Syarikat.

Ia juga merupakan satu penghormatan terhadap warisan dan komitmen jenama ini terhadap mutu kerja dan seni pembuatan motosikal lagenda.

Sebagai pengedar eksklusif, Spirit Lake Motor bukan sahaja menawarkan rangkaian produk premium, malah turut menyediakan manfaat pemilikan menyeluruh termasuklah perkhidmatan selepas jualan, alat ganti, sokongan teknikal, jaminan dan perlesenan barangan aksesori rasmi.

Semua ini demi memastikan pengalaman pemilikan penuh yang lancar dan sempurna buat semua pemilik Indian Motorcycle di Malaysia.

Turut dipamerkan ialah barisan penuh model-model ikonik seperti:
• Chieftain Dark Horse
• Springfield Dark Horse
• Scout
• Scout Bobber Twenty
• Scout Rogue
• Scout Bobber

Buat masa terdekat, Indian Motorcycle Malaysia beroperasi secara rasmi di ruang pameran AMI Showroom di PJ222, Petaling Jaya.

Spirit Lake Motor turut merancang untuk membuka pusat 3S (jualan, servis dan alat ganti) serba baharu menjelang hujung tahun ini.

Toyota Century SUV 2026 kini lebih pentingkan privasi VIP

Tidak sampai dua tahun selepas diperkenalkan, Toyota mengumumkan kemas kini penawaran bagi model ultra-mewah Century SUV.

Ciri baharu yang wujud pada Century SUV 2026 ialah tingkap kaca privasi untuk penumpang belakang dengan larasan tiga tahap (jernih, separa lutsinar dan legap penuh) menggunakan lapisan filem khas.

Bahan khas yang diapit antara dua lapisan kaca itu dikatakan sukar untuk dilihat dengan mata kasar dan mampu menahan sehingga 99 peratus sinaran ultraungu.

Namun, teknologi yang sama tidak diaplikasikan pada bumbung kaca panorama.

Ia bertujuan untuk memastikan aspek privasi penumpang belakang (VIP) lebih terjaga sepanjang perjalanan dan dalam masa yang sama tidak mengorbankan sumber cahaya asli – persis suasana dalam bilik tradisional Jepun.

Sebagai kenderaan yang dikhaskan untuk membawa orang kenamaan, tempat duduk belakang Century SUV boleh dibaringkan hampir rata untuk posisi rehat yang lebih selesa.

Tidak ketinggalan, senarai kelengkapan yang cukup panjang termasuklah tempat pemijak sisi boleh lipat, sistem pencahayaan ambien, sistem audio 18 pembesar suara, cangkuk kot, dan juga sistem infohibur berasingan.

Sebagai sebuah jawapan kepada Rolls-Royce Cullinan, Toyota Century SUV dikuasakan oleh enjin bentangan V6 PHEV 3.5 liter yang mampu menghasilkan 406 hp, dengan jarak gerak sifar emisi sejauh 69 km.

Harga jualan Toyota Century SUV 2026 di Jepun kini bermula dari 27 juta yen (RM784,839).

CFMoto 675NK 2025 rasmi di Malaysia – dari RM33,888

CFMoto Malaysia melancarkan sebuah lagi model baharu iaitu CFmoto 675NK bersempena dengan pembukaan CFMoto Flagship Store di Ipoh, baru-baru ini.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin tiga silinder sebaris 675 cc DOHC dengan sistem sejukan cecair, menghasilkan kuasa 93.9 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas 70 Nm @ 8,250 rpm.

Kuasa disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan, klac slipper dan pacuan akhir rantai.

Turut disertakan ialah fungsi penukaran gear lebih tinggi dengan pantas (quickshifter).

Sistem suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik 41 mm boleh laras penuh, diikuti dengan penyerap hentak tunggal – kedua-dua menawarkan jarak pergerakan roda 130 mm.

Sistem brek J.Juan merangkumi rotor berkembar 300 mm dan angkup empat omboh di depan, serta rotor tunggal 240 mm dan angkup omboh tunggal di belakang yang dibantu dengan sistem ABS dua saluran.

Antara ciri lain termasuklah kawalan cengkaman (TCS) dua tahap, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), lampu LED, port pengecas USB Type-A dan Type-C, rim 17 inci, serta skrin paparan TFT lima inci yang menyokong aplikasi CFMoto Ride App.

675NK ini mempunyai tangki bahan api sebesar 15 liter, dan tinggi pelana 810 mm.

Terdapat dua warna iaitu Glacier White dan Tundra Grey, dengan harga jualan dari RM33,888 tanpa insurans dan cukai jalan.

 

Shell Malaysia lancar kempen “Feel It All”, peluang rasai pengalaman VIP F1 di Singapura

Shell Malaysia melancarkan kempen “Feel It All” yang menawarkan ganjaran lumayan kepada pengguna Shell V-Power.

Kempen tersebut dianjurkan bersempena dengan sambutan ulang tahun kerjasama yang ke-75 antara Shell dan Ferrari.

Bermula 16 Jun hingga 10 Ogos 2025, pelanggan Shell yang berdaftar sebagai ahli Shell Loyalty boleh menyertai kempen ini dengan membuat pembelian:
• bahan api Shell V-Power 97 (nilai minimum RM80) untuk lima penyertaan, atau
• bahan api V-Power Racing (RM100) untuk 10 penyertaan, atau
• minyak enjin 4L Shell Helix Fully Synthetic untuk 15 penyertaan

Enam orang pemenang utama akan menikmati pengalaman VIP F1 Shell Motorsport di Singapura, lengkap dengan hospitaliti kelas pertama dan akses eksklusif termasuklah berpeluang berjumpa sendiri pelumba F1 Lewis Hamilton dan Charles Leclerc.

Sementara 30 orang pemenang lagi akan mendapat topi istimewa yang bertandatangan selain berpeluang untuk menyertai sesi soal jawab maya dengan pemandu pasukan F1 Scuderia Ferrari HP.

Setiap minggu, 20 orang pemenang akan diumumkan di mana seorang akan dipilih menjadi jutawan BonusLink.

Pelanggan juga boleh mendapatkan model kereta edisi terhad Ferrari F1 SF-24 dengan membuat pembelian dua botol produk Shell Helix Power atau Shell Helix Ultra, di mana Malaysia merupakan pasaran pertama di dunia yang menerima model ini.

Lexus perkenal IS500 Climax Edition, kemuncak tertinggi sedan V8 berprestasi tinggi

Lexus menamatkan era sedan berprestasi dengan enjin V8 di Jepun dengan model edisi terhad yang dinamakan IS500 Climax Edition.

Secara asasnya, ia sama sahaja dengan IS500 Ultimate Edition yang diperkenalkan untuk pasaran Amerika Syarikat beberapa minggu lalu, cuma Climax Edition ini dikhaskan untuk pasaran Jepun.

Walaupun namanya kedengaran lebih sesuai untuk filem ‘satu warna’ berbanding sebuah sedan mewah berprestasi tinggi, IS500 Climax Edition merupakan sebuah jentera yang benar-benar mantap.

Ia masih menggunakan enjin 5.0-liter V8 naturally aspirated yang sama seperti varian IS500 lain, menghasilkan 472 hp dan 535 Nm tork. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui transmisi automatik lapan kelajuan, membolehkan pecutan 0–100 km/j dicapai dalam sekitar 4.5 saat.

Dari segi penampilan, IS500 Climax Edition hampir menyamai versi Ultimate di Amerika. Ia hadir dengan warna luaran kelabu matte (dikenali sebagai ‘Incognito’ di AS dan ‘Wind’ di Jepun), rim tempaan BBS bersaiz 19 inci, serta brek Brembo enam piston berwarna merah di bahagian hadapan.

Bahagian dalaman pula menampilkan lencana siri pengeluaran, upholsteri kulit hitam dengan jahitan merah kontras, serta kemasan krom yang ringkas, cukup untuk membezakannya daripada model IS500 biasa.

Walaupun harga rasmi masih belum diumumkan, Climax Edition dijangka lebih mahal daripada IS500 First Edition yang pernah dilancarkan di Jepun pada harga sekitar 9 juta yen (RM263,370).

Dengan jumlah pengeluaran yang dihadkan kepada 500 unit dan statusnya sebagai salah satu sedan V8 terakhir daripada Lexus, permintaan untuk model ini dijangka tinggi, lebih-lebih lagi dengan nama yang mungkin mengundang senyuman atau kontroversi.

Tidak diketahui secara rasmi mengapa Lexus memilih nama ‘Climax’ untuk model ini, namun tekaan kami adalah ia mungkin bertujuan untuk melambangkan kemuncak kepada platform dan enjin ini.

Selepas bertahun-tahun penambahbaikan, IS500 dan enjin 5.0-liter V8 ini boleh dianggap telah mencapai versi terbaik dan terakhirnya.

Nama Climax boleh dianggap sebagai simbol kepada pencapaian itu, menandakan bahawa inilah titik tertinggi dan masa yang paling sesuai untuk menamatkannya dengan penghormatan yang selayaknya.

Volkswagen Golf GTI Edition 50 diperkenalkan sebagai GTI paling power setakat ini

Volkswagen menyambut ulang tahun ke-50 hatchback ikonik Golf GTI dengan pelancaran versi paling berkuasa setakat ini iaitu Golf GTI Edition 50.

Model edisi khas ini diperkenalkan semasa perlumbaan 24 jam Nurburgring dan akan mula diproduksi di kilang Volkswagen di Wolfsburg pada akhir 2025, dengan penghantaran kepada pelanggan dijangka bermula awal 2026.

Dikuasakan oleh enjin 2.0-liter turbo empat silinder, Golf GTI Edition 50 menghasilkan 325 PS dan 420 Nm tork, sekaligus menjadikannya GTI versi produksi paling berkuasa pernah dihasilkan oleh Volkswagen.

Sebagai perbandingan, Golf GTI standard menghasilkan 265 PS dan 370 Nm, manakala versi Clubsport menawarkan 300 PS dan 400 Nm.

Golf GTI Edition 50 lebih rendah sebanyak 15 mm berbanding versi asas dan menampilkan talaan casis yang diambil daripada Golf GTI Clubsport Mk7, menggabungkan sistem suspensi MacPherson di hadapan dan jenis four-link di belakang.

Selain itu, prestasi cengkaman turut dipertingkatkan dengan differential lock hadapan, sistem peredam adaptif (DCC), dan sistem stereng progresif.

Pakej tambahan GTI Performance, yang ditawarkan sebagai pilihan, memberikan peningkatan lebih ekstrem. Ia merangkumi spring yang lebih keras, penurunan tambahan 5 mm (jumlah keseluruhan 20 mm), penyerap hentak yang diubah suai, serta tayar semi-slick Bridgestone Potenza Race yang digandingkan rim tempa 19 inci yang ringan.

Turut bersama pakej berkenaan adalah sistem ekzos titanium Akrapovic yang bukan sahaja menghasilkan runut lebih merdu, tetapi turut membantu mengurangkan berat sebanyak 11 kg.

Apa yang mengagumkan, Golf GTI Edition 50 bukan sahaja model Golf terpantas dalam sejarah Volkswagen, malah yang paling laju di Nurburgring. Ini terbukti apabila pemandu ujian Volkswagen, Benjamin Leuchter, mencatat masa pusingan 7:46.13 minit di litar Neraka Hijau itu.

Beliau menyifatkan kereta ini sebagai Volkswagen paling tepat dan sporty yang pernah beliau pandu, mengingatkan beliau kepada Clubsport S tetapi lebih padu.

Dari segi penampilan, ia boleh dibezakan menerusi bumbung hitam, lencana GTI 50, cermin sisi hitam, dan jalur sisi unik. Bahagian dalaman pula menampilkan tempat duduk tartan, tali pinggang keledar merah, kemasan velour, dan stereng GTI 50 dengan paddle shifter.

Lima pilihan warna ditawarkan, termasuk dua warna eksklusif untuk Edition 50 iaitu Dark Moss Green Metallic dan Tornado Red. Warna-warna ini pernah digunakan pada model GTI berprestasi tinggi terdahulu seperti Golf 16V dan Golf GTI TCR.

Armor All, Oracle Red Bull Racing lancar pakej penjagaan kereta Siri Podium

Rakyat Malaysia kini boleh mendapatkan pakej penjagaan kereta Siri Podium terbaharu yang diperkenalkan oleh Armor All dengan kerjasama Oracle Red Bull Racing.

Siri Podium Armor All menampilkan formula seramik hibrid SiO2 (silikon oksida) premium yang memberikan perlindungan terhadap permukaan yang lebih tahan lama serta kalis air.

Setiap produk juga menggabungkan teknologi pembungkusan pintar termasuklah botol PET yang boleh dikitar semula dan picu semburan tersuai untuk rutin penjagaan kereta yang lebih premium.

Produk dalam Siri Podium Armor All terdiri daripada:
• Hybrid Ceramic Wash & Shine
• Hybrid Ceramic Tire Shine
• Hybrid Ceramic Exterior Detailer
• Interior Detailer
• Hybrid Ceramic Protectant

Serentak dengan pelancaran tersebut, pihak Armor All menawarkan sesi cucian kereta dan pembersihan asas dalaman secara percuma di tempat letak kereta terbuka Elmina Lakeside Mall pada 21 dan 22 Jun ini.

Sesi tersebut dibuka dari jam 10.00 pagi hingga 10.00 malam, di mana pengunjung boleh menikmati manfaat yang ditawarkan oleh produk Siri Podium dari Armor All.

 

Aksesori off-road ARB ini boleh buatkan anda terlupa seketika rupa sebenar Kia Tasman

Untuk mereka yang terlepas berita, Kia ada menghasilkan produk trak pikap ladder-frame yang sebenar bagi melawan pesaing seperti Toyota Hilux dan Ford Ranger.

Ia menjadi buah mulut ramai disebabkan oleh pendekatan rekaan yang agak aneh dibuat oleh Kia.

Namun, jika anda masih berminat dengan produk Kia dan mahu menyembunyikan rupa paras yang pelik itu, terdapat penawaran aksesori oleh syarikat aksesori off-road ARB.

Antaranya ialah bull bar hadapan yang lengkap dengan skid plate dan titik pemulihan.

Terdapat juga bull bar yang lebih besar dan mempunyai bar fender disambungkan kepada struktur pemijak sisi untuk penampilan yang lebih agresif.

Selain itu, ARB turut menawarkan beberapa pilihan struktur untuk bed belakang termasuklah ruang kargo tertutup untuk memuatkan perkakasan perkhemahan atau pertukangan.

Ia juga boleh diperibadikan mengikut keperluan masing-masing.

Antara aksesori lain yang boleh dipasang termasuklah rak bumbung, lampu LED tambahan serta tangga boleh lipat.

Melihatkan kepada jarak kelegaan tanah yang lebih tinggi yang dipaparkan dalam imej janaan ini, tidak mustahil ARB bakal menawarkan set naik taraf suspensi untuk model Kia Tasman ini.

Selain ARB, Kia sendiri ada menawarkan pelbagai pakej aksesori yang boleh dimuatkan terus dari kilang termasuklah bar sport, bampar off-road, snorkel serta aksesori untuk kanopi dan bed belakang.

Suzuki Jimny 55th Anniversary Edition – edisi penamat, 55 unit khas untuk pasaran Perancis

Suzuki baru sahaja melancarkan model Jimny edisi ulang tahun ke-55 (Jimny 55th Anniversary Edition) untuk meraikan SUV off-road ikonik tersebut yang akan dihentikan jualannya di pasaran Eropah.

Sejak generasi pertama mula diperkenalkan pada tahun 1970, Suzuki Jimny berjaya dijual lebih tiga juta unit di seluruh dunia.

Untuk model edisi khas tersebut, ia juga akan turut ditawarkan dalam 55 unit terhad, dan khas untuk pasaran Perancis sahaja.

Setiap model tersebut mempunyai ciri-ciri unik seperti jeriji hadapan rekaan retro, decal sisi rekaan retro, pelindung tayar simpanan Rhino, serta mudflap merah berlogokan Jimny untuk roda depan dan belakang.

Masuk ke dalam kabin, Jimny edisi 55 tahun ini diberikan alas lantai getah pada ruang penumpang dan ruang kargo belakang.

Tidak dilupakan, pembeli akan diberikan buku log dengan penutup kulit timbul untuk mencatatkan memori terindah, rantai kunci istimewa, serta plak peringatan pada konsol tengah.

Terdapat empat pilihan warna iaitu Bluish Black, Jungle Green, Medium Gray dan White.

Setiap pembeli juga akan diberikan peluang untuk mengikuti kursus pemanduan 4×4 untuk memantapkan lagi skill pemanduan off-road masing-masing.

Secara asasnya, Suzuki Jimny masih kekal dengan enjin 1.5 liter menghasilkan 102 hp @ 6,000 rpm dan daya kilas 138 Nm @ 4,400 rpm, dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan.

Di pasaran Perancis, Jimny edisi ulang tahun yang juga merangkap edisi penamat ini dijual pada harga €28,955 (RM141,428).

Tempahan sudah pun ditutup, dan pelanggan akan menerima unit masing-masing pada bulan ini.

Nissan Leaf 2026 – bukan lagi hatchback tapi crossover elektrik, jarak gerak 487 km

Ini bukan lagi kereta elektrik Leaf yang anda kenal sejak dulu, akan tetapi generasi ketiga Nissan Leaf yang telah berubah menjadi sebuah SUV elektrik.

Crossover subkompak (segmen B) ini berkongsi platform AmpR Medium yang sama digunakan oleh Nissan Ariya EV.

Berikut merupakan info ringkas yang perlu anda tahu:

 

1. Kuasa

Versi asas Nissan Leaf dikuasakan oleh motor elektrik pacuan depan 174 hp/344 Nm, dengan pek bateri 52 kWh.

Sementara varian tertinggi pula dijana dengan motor elektrik 214 hp/354 Nm berserta pek bateri lithium-ion sejukan cecair berkapasiti 75 kWh.

 

2. Jarak gerak

Nissan Leaf boleh bergerak sejauh 487 km, lebih jauh jika dibandingkan dengan model Leaf 2024.

Versi yang dilengkapi dengan rim saiz besar pula boleh mencapai jarak antara 416 km hingga 463 km.

Jarak gerak varian paling rendah akan diumumkan kelak.

 

3. Pengecasan

Nissan Leaf menyokong pengecasan pantas di mana bateri boleh dicas 10-80 peratus dalam masa 35 minit.

Menariknya, Leaf spesifikasi Amerika didatangkan dengan dua port pengecasan, iaitu port NACS (serasi dengan pengecas Tesla) dan port J1772.

Sementara Leaf untuk pasaran Eropah kekal dengan port CCS, versi Jepun pula mendapat port CHAdeMO.

 

4. Badan aerodinamik

Binaan badan Nissan Leaf nyata mengambil inspirasi daripada model EV popular buatan Amerika.

Bahagian muka depan dihiasi dengan lampu LED yang tajam dihubungkan bar LED melintang, sementara bahagian belakang pula menampilkan spoiler terbina dan perumah lampu yang sengaja digelapkan.

Menurut Nissan, Leaf 2026 menawarkan angka pekali seretan serendah 0.25.

 

5. Dimensi

Nissan Leaf 2026 membawakan ukuran sepanjang 4,350 mm, lebar 1,810 mm, tinggi 1,550 mm dengan jarak antara roda 2,690 mm.

Sebagai perbandingan, Nissan Leaf generasi kedua berukuran 4,490 mm, lebar 1,788 mm, tinggi 1,530 mm dengan jarak antara roda 2,700 mm.

Lebih pendek berbanding Leaf terdahulu, namun dengan dimensi yang lebih tinggi.

 

6. Kabin

Platform baharu ini memberikan kelebihan pada Leaf 2026 dari segi struktur lantai yang lebih rata.

Ia turut mendapat sepasang skrin paparan 12.3 inci atau skrin 14.3 inci untuk varian tertinggi yang lengkap dengan perisian Google terbina, dan tidak ketinggalan Apple CarPlay/Android Auto.

Varian tertinggi juga turut mendapat sistem audio Bose 10 pembesar suara, dan skrin paparan head up.

Terdapat juga opsyen bumbung panorama dengan teknologi elektrokromik yang tidak memerlukan tirai fizikal untuk menghalang sinaran suria.

Ruang kargo Nissan Leaf adalah sebesar 437 liter.

 

7. Keselamatan

Secara standard, kesemua varian Leaf 2026 mendapat kelengkapan ProPilot Assist yang merangkumi fungsi seperti amaran pelanggaran hadapan, brek kecemasan automatik, bantuan suluhan tinggi, serta amaran keluar lorong.

Tidak ketinggalan sistem pemantauan keliling 3D, sistem pandang telus hud dan fungsi pemandangan lebar bahagian depan.

Yadea GT20 2025 rasmi di Malaysia, jarak gerak 105 km, harga RM4,998

Yadea Malaysia baru sahaja melancarkan skuter elektrik GT20 untuk pasaran tempatan.

Ia boleh didapati dengan tiga pilihan warna, iaitu Metal Grey, Dark/Orange serta Green/Gold, dengan tag harga bermula dari RM4,998 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

Yadea GT20 dikuasakan oleh motor elektrik yang dipasang dalam hab roda, menghasilkan kuasa puncak 4.3 hp dan daya kilas 160 Nm.

Ia berkeupayaan untuk mendaki laluan condong sehingga 15 darjah, dan boleh gerak sejauh 105 km untuk sekali cas penuh.

GT20 dilengkapi dengan bateri jenis graphene 38 Ah 72 V yang boleh dicas dalam masa enam hingga lapan jam dan mempunyai kitaran hayat bateri sehingga 500 kali pengecasan.

Antara ciri yang dibawakan pada GT20 termasuklah lampu LED dengan kadar kecerahan sehingga 22,000 CD, ruang bawah pelana 28 liter, paparan digital, slot pengecasan USB Type-A, tempat penyandar dan pemegang untuk pembonceng belakang, serta cangkuk barang tersembunyi.

Selain itu, GT20 hadir dengan fungsi pemotongan kuasa secara automatik apabila tongkat sisi diturunkan, selain fungsi paparan sistem tenaga dan amaran kerosakan.

Ia juga mempunyai pelana setinggi 768 mm yang sangat sesuai digunakan oleh kebanyakan penunggang.

Yadea GT20 menggunakan sistem brek cakera depan dan belakang yang digabungkan dengan teknologi CBS untuk tahap keselamatan yang lebih baik, serta sistem penjanaan semula tenaga semasa membrek atau menurun cerun.