SELEPAS beberapa kali penangguhan, dua unit pertama helikopter tempur T129 ATAK akan diterima oleh Filipina. Perkara ini disahkan oleh wakil dari Turkish Aerospace (TAI).
Temel Kotil, pengurus TAI berkata dua unit yang diterima pada Sabtu lepas merupakan kumpulan pertama dari enam unit yang dibeli oleh Tentera Udara Filipina yang sepatutnya diterima pada Disember lepas.
T129 ATAK. Sumber: Tentera Udara Filipina
Sementara itu, Arsenio Andolong, jurucakap Department of National Defense (DND) sebelum ini berkata dua unit seterusnya dijangka diterima pada 2023, manakala baki dua unit pada 2024.
Apabila memasuki perkhidmatan nanti, kesemua enam helikopter tempur itu akan ditempatkan di 15th Strike Wing of the Philippine Air Force.
Pada Julai 2020, DND menandatangani kontrak perolehan enam T129B ATAK dari firma TAI, dengan perjanjian kerajaan-ke-kerajaan bernilai P13.7 bilion (RM1.12 bilion) dengan kementerian pertahanan Turki.
TAI T129B ialah helikopter tempur dari versi asal AgustaWestland A129 Mangusta buatan Itali, tetapi telah diberikan sistem dan persenjataan Turki.
Ianya merupakan helikopter tempur berenjin kembar, pelbagai fungsi, menggunakan konfigurasi tempat duduk tandem dan mampu melaksanakan misi dalam semua keadaan cuaca, siang dan malam.
DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) sedang bekerjasama memperkenalkan had laju 30 dan 50km/j di kawasan terpilih di Kuala Lumpur.
Ini lanjutan dari kunjungan hormat Pengerusi MIROS Suret Singh dan Ketua Pengarahnya Khairil Anwar Abu Kassim ke atas Datuk Bandar Kuala Lumpur, Mahadi Che Ngah.
Kerjasama dua badan itu melibatkan mengenal pasti jalan raya di mana had laju berkenaan boleh dilaksanakan sebagai langkah keselamatan.
Suret dalam satu ciapan di Twitter mengumumkan institusi berkenaan akan bekerjasama dengan DBKL untuk menjadikan perancangan itu satu realiti.
Ini termasuk rakaman kamera litar keselamatan tertutup (CCTV) bagi kesalahan trafik yang dilakukan di ibu negara.
MIROS kini dalam peringkat akhir merangka cadangan untuk had laju standard 30km/j bagi kawasan kediaman dan penduduk, bandar serta kampung sebagai sebahagian daripada pelan keselamatan jalan raya kebangsaan 2022-2023.
Malaysia antara negara yang meratifikasi Deklarasi Stockholm berhubung keselamatan jalan raya, dalam persidangan menteri global yang diadakan pada Feb 2020.
80 menteri yang menghadiri persidangan itu berikrar mengurangkan sehingga separuh bilangan kematian jalan raya menjelang 2030.
Turut dicadangkan, had laju 30km/j sebagai “norma baharu” di kawasan lazim digunakan bersama oleh penunggang motosikal, pemandu kereta, pejalan kaki dan penunggang basikal.
UMW Toyota menutup tirai 2021 dengan jualan memberangsangkan untuk setiap segmen bagi kategori jenama bukan nasional.
Toyota masih menjadi jenama paling laris untuk keseluruhan bukan-nasional, dan juga bagi segmen-B, trak pikap dan hatchback.
Toyota Vios terus menjadi model Toyota paling laris dengan 31 peratus jumlah jualan adalah dari model ini. Hilux pula masih raja trak pikap dalam segmennya di Malaysia.
Untuk sepanjang 2021, Toyota merekodkan jualan sebanyak 72,394 iaitu peningkatan 22 peratus berbanding 2020.
Jualan bulan Disember juga mencatatkan sedikit peningkatan iaitu 9,289 unit berbanding 9,246 pada tahun sebelumnya.
Sementara itu, Toyota kini sedang giat mempersiapkan untuk 2022 dengan mobiliti lestari, bermakna kenderaan hibrid dan elektrik (EV).
Menurut Akio Takeyama, Naib Pengerusi UMW Toyota Motor, tempahan untuk Corolla Cross Hybrid terus meningkat sejak tempahannya dibuka beberapa bulan lepas.
SUV hibrid CKD (pemasangan tempatan) pertama syarikat itu dijangka dilancarkan dalam masa terdekat ini.
MFORCE Bike Holdings Sdn Bhd, syarikat pengeluar motosikal tempatan telah dilantik menjadi pengedar tunggal motosikal Moto Morini di Malaysia.
Moto Morini merupakan pengeluar motosikal Itali yang dibangunkan oleh Alfonso Morini di Bologna, pada tahun 1937.
Pada tahun 1946, Moto Morini mula menghasilkan enjin silinder tunggal, dua-lejang dengan trasmisi tiga kelajuan pada model T125. Kemudian, mereka fokus dari segi pembangunan dan penambahbaikan sehingga berjaya menghasilkan enjin dari dua-lejang kepada empat-lejang iaitu Corsaro Gran Turismo.
Moto Morini juga telah memenangi beberapa kejuaraan Itali dari tahun 1951 sehingga 1967 dan juga Grand Prix. Sehingga kini, Moto Morini masih lagi diiktiraf sebagai salah satu daripada 10 jenama terbaik Eropah.
Menurut Ketua Pegawai Operasi MForce, Asri Ahmad, pelantikan ini secara tidak langsung meningkatkan kedudukan MForce sebagai antara pengedar motosikal terkemuka di Malaysia.
Sebelum memasuki pasaran tempatan, model-model dari jenama ini akan melalui ujian ketahanan terlebih dahulu untuk memastikan kualiti keseluruhan berada dalam keadaan yang terbaik.
Peminat motosikal akan dapat menyaksikan dan boleh memiliki motosikal X-Cape 650 pada suku kedua tahun ini di pengedar-pengedar sah MForce seluruh negara.
Pada masa ini, barisan Moto Morini terdiri daripada kategori berkuasa tinggi, iaitu Corsaro ZT, Corsaro ZZ, Milano, dan Super Scrambler dimana semuanya menggunakan enjin 1,200cc V-twin yang besar.
Moto Morini juga telah melancarkan motosikal “middleweight adventure” iaitu X-Cape 650 pada bulan November tahun lepas.
VPCM turut menawarkan pengecualian cukai jualan bagi empat model Volkswagen iaitu Arteon R-Line 4MOTION, Passat Elegance, Tiguan Allspace Highline dan Tiguan Allspace R-Line.
Selain itu, pelanggan yang mendapatkan model Passat Elegance juga menerima penambahan rebat RM2,500 termasuk kad petrol percuma selama setahun!
Pada masa sama, Volkswagen menawarkan pelan pembayaran mudah dengan kadar faedah 0 peratus dengan pilihan ansuran selama enam atau 12 bulan.
Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) menawarkan perkhidmatan pemeriksaan kenderaan secara percuma. – Foto ihsan Malay Mail
Sementara itu, VPCM menjanjikan penawaran penyelenggaran percuma selama tiga tahun dan waranti perbatuan tanpa had selama lima tahun.
Justeru, pemilik Volkswagen dinasihatkan membuat janji temu menerusi aplikasi Volkswagen Cares bagi melancarkan sebarang urusan.
Memetik kenyataan dikeluarkan, semua wakil pengedar Volkswagen seluruh negara akan menganjurkan bilik pameran terbuka pada 15 hingga 16 Januari.
PORSCHE Malaysia hari ini memperkenalkan Macan yang dikemaskini untuk 2022. Ia membawakan pembaharuan luar dan dalam termasuk enjin yang dinaiktaraf.
Rekaan luarannya kini menampilkan muka depan baharu yang membuatkan Porsche Macan nampak lebih lebar. Bukaan gril juga lebih besar dengan rekaan elemen tiga-dimensi untuk gaya lebih garang.
Bahagian belakang mengekalkan rekabentuk lampu LED bar nipis memanjang manakala di bawah menempatkan diffuser.
Macan juga mendapat lampu depan LED Porsche Dynamic Light System (PDLS) dan cermin sisi Sport Design sebagai standard. Rim lebih besar juga kini standard, bersaiz 19-inci dan ke atas.
Terdapat pilihan 14 warna untuk Porsche Macan 2022 kali ini termasuklah warna baharu Papaya Metallic dan Gentian Blue Metallic, manakala Pyhton Green adalah khas untuk Macan GTS.
Untuk bahagian kabin, Porsche Macan mendapat konsol tengah yang lebih moden dimana kebanyakan butang kini diganti dengan skrin sesentuh.
Tombol gear juga lebih pendek, manakala jam analogue di atas papan pemuka kini didatangkan secara standard.
Unit infotainmen adalah skrin bersaiz 10.9-inci dengan sistem Porsche Communication Management dan fungsi arahan suara. Selain itu, Macan juga mendapat stereng GT Sport dari 911.
Dari segi janaan kuasa, Macan dipacu oleh enjin 2.0-liter 4-silinder turbo yang ditala semula untuk menghasilkan 261hp dan 400Nm. Ini adalah peningkatan sebanyak 13hp dan 30Nm berbanding sebelum ini.
Macan S pula dikuasakan oleh enjin 2.9-liter V6 biturbo, cukup untuk 375hp iaitu 26hp lebih berbanding sebelum ini. Pecutan 0-100km/j boleh dibuat dalam 4.6 saat sahaja, dan kelajuan maksima ialah 259km/j.
Varian paling sporti ialah macan GTS yang mendapat enjin 2.9-liter V6 sama dengan Macan S, tetapi ditala untuk menghamburkan 434hp (59hp tambahan). Pecutan 0-100km/j boleh dicapai dalam 4.3 saat dan kelajuan maksima pada 272km/j.
Semua varian Macan dilengkapi dengan kotak gear PDK 7-kelajuan dan sistem pacuan semua-roda Porsche Traction Management (PTM).
EDARAN Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) mengalu-alukan kedatangan Tahun Baharu Cina 2022 dengan promosi untuk Nissan X-Trail 2.0L Mid dan Serena 2.0L S-Hybrid Premium Highway Star.
Mengikut kalendar, tahun ini merupakan tahun Harimau Air dan untuk itu, ETCM menawarkan kadar faedah rendah 1.88 peratus untuk model-model terpilih. Mereka yang membeli dan mendaftar kereta baharu juga berpeluang memenangi baucar Lazada bernilai sehingga RM50,000.
Nissan X-Trail dilengkapi dengan sistem keselamatan termaju Nissan Intelligent Mobility (NIM) yang merangkumi ciri seperti Forward Collision Warning, Cruise Control, Lane Departure Warning, Blind Spot Warning dan Rear Cross Traffic Alert.
Kini, ia hadir dengan warna baharu Monarch Orange untuk varian X-Trail 2.0L Mid.
Nissan Serena pula menampilkan warna dwi-tona Radiant Red baharu dengan bumbung hitam. MPV ini menawarkan penggunaan bahan api terbaik dalam kelasnya iaitu 14.2km/liter.
Ia hadir dengan pelbagai ciri praktikal seperti dua pintu gelungsur berkuasa Hands-free, Dual Back Door, 7 soket USB, Intelligent Around View Monitor (I-AVM), Intelligent Moving Object Detection (I-MOD), dan sambungan telefon pintar dengan Apple CarPlay dan Android Auto.
Menurut Nissan, kedua-dua warna baharu untuk X-Trail dan Serena adalah stok model tahun 2022.
Sebagai tambahan, pelanggan yang memandu uji Almera Turbo baharu dalam tempoh kempen berpeluang memenangi baucar Watsons bernilai RM500.
Untuk maklumat lajut, layari www.nissan.com.my atau hubungi 1-800-88-3838.
GEMILANG International Ltd (GML) dijangka menghantar lebih 140 unit bas sekolah elektrik (electrical vehicle) ke Amerika Syarikat (AS).
Syarikat terkemuka berpangkalan di Johor itu berkata, ia merupakan sebahagian misi mempromosikan penggunaan kenderaan mesra alam untuk bas dan badan bas.
Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Pang Chong Yong mengakui pesanan diterima dari AS adalah suatu yang membanggakan.
Ia bukan hanya sebagai pencapaian dalam usaha penembusan ke pasaran AS malah, menjadi kuantiti terbesar dalam satu pesanan bas EV pernah diterima pihaknya.
“GML telah membekalkan badan bas untuk pelbagai pembuat EV seperti BYD Auto dan CRRC Electric Vehicle Ltd bagi beberapa pasaran.
“Kami menjangkakan lebih banyak negara menjejaki peralihan kepada EV,” katanya.
Foto ihsan Facebook/GML
GML disenaraikan di Bursa Hong Kong telah membekalkan bas EV ke AS sejak 2016, lapor Bernama.
Tidak dinafikan, pasaran bas sekolah EV di AS sangat besar dengan aspek pertumbuhan eksponen.
Ini susulan Perjanjian Infrastruktur Bipartisan diumumkan menjadi undang-undang oleh Presiden AS Joe Biden.
Ia melibatkan komitmen US$2.5 bilion untuk membeli bas sekolah elektrik untuk daerah di seluruh AS.
“Berdasarkan rancangan baharu untuk menukar 500,000 bas sekolah AS kepada kenderaan pelepasan sifar karbon, kami yakin dapat menguasai lebih,” katanya lagi.
Projek utama GML termasuk Transit Aliran Bas Iskandar Malaysia (IMBRT) dan bas bandar elektrik pertama Sarawak untuk Kuching Metro.
Selain itu, ia turut meliputi projek rintis bas elektrik oleh kerajaan Sabah untuk pengangkutan awam.
GML juga telah membekalkan bas aluminium untuk Go KL, Rapid KL, Rapid Penang dan bas pengantara MRT sejak 13 tahun lepas.
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM atau Maritim Malaysia) telah berjaya menemui ‘kapal hantu’ di perairan Kuala Terengganu, semalam.
Istilah ‘kapal hantu’ di sini merujuk kepada kapal yang hanyut tanpa kru untuk mengendalikannya.
Krew APMM dan helikopter AW139 sebelum memulakan operasi. Gambar oleh: ANTARA News
Menurut Maritim Malaysia, anggota Pasukan Tindakan Khas (PTK) telah diturunkan dari helikopter AW139 ke kapal WINPOSH RAMPART pada pukul 3.30 petang semalam (4 Januari 2022).
“Kapal Winposh Rampart telah ditunda oleh kapal ICON LOTUS dan dalam perjalan menghala ke Kemaman Supply Base, Terengganu. Perjalanan dijangka mengambil masa hampir 65 jam,” katanya.
Kapal Winposh Rampart yang hanyut. Gambar oleh: Airtimes News Network
Maritim Malaysia mengesahkan insiden kapal hantu berlaku di 120 batu nautika dari Kuala Terengganu. Winposh Rampart hanyut ke perairan Malaysia selepas terputus tali tunda di perairan Vietnam, kelmarin.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som dalam satu kenyataan berkata, penilaian risiko oleh pihaknya mendapati kapal sepanjang 72 meter itu mengancam keselamatan operasi pelantar minyak milik Petronas.
“Winposh Rampart berpotensi melanggar pelantar minyak Telok A milik Petronas dan boleh mengakibatkan pelantar minyak tersebut meletup serta melibatkan kemalangan nyawa sekiranya tiada bantuan awal diberikan,” katanya.
Lantaran daripada itu, Maritim Malaysia mengkoordinasikan bantuan bersama Petronas bagi mencari dan menunda kapal terbabit.
BUAT pertama kalinya dalam tempoh hampir satu abad, sebuah pengeluar asing telah mengambil tempat pertama di Amerika Syarikat (AS).
General Motors (GM) telah menjadi pengeluar paling laris di negara Uncle Sam itu sejak 1931 tetapi selepas 90 tahun, takhtanya telah dirampas oleh Toyota.
Toyota hari ini mengumumkan mereka telah menjual lebih 2.3 juta kenderaan di AS pada 2021 sahaja, iaitu 10 peratus lebih tinggi dari 2020. Angka ini mengalahkan jualan GM iaitu 2.2 juta unit kenderaan pada 2021, penurunan sebanyak 13 peratus dari 2020.
Sementara itu, Ford belum mendedahkan laporan jualan penuh mereka untuk 2021 tetapi sehingga November, mereka menjual 1.7 juta kenderaan iaitu agak jauh di belakang Toyota.
Penganalisis ada yang berbahas mengenai prestasi Toyota itu tetapi antara faktor utama ialah pemberhentian operasi pengeluaran disebabkan pandemik Covid-19 dan isu logistik dalam industri automotif melibatkan cip semikonduktor.
Toyota berjaya mengekalkan kelancaran operasi pengeluaran mereka lebih baik dari GM dan Ford, lantas membantu syarikat itu menghasilkan dan menjual lebih kenderaan.
Model paling popular Toyota iaitu RAV4 mencatatkan penurunan jualan sebanyak 5 peratus, tetapi model-model utama lain seperti Camry, Corolla, Highlander dan Tacoma semua mencatatkan peningkatan.
Chevrolet Silverado dan GMC Sierra.
Bagi GM pula, jualan Chevrolet Silverado dan GMC Sierra masing-masing menurun manakala pesaing RAV4 iaitu Chevrolet Equinox mengalami penurunan 39 peratus.
Jurucakap Toyota berkata kepada Car and Driver, “Menjadi nombor satu tidak pernah menjadi fokus atau keutamaan.
“Fokus syarikat sentiasa – dan akan terus menjadi – salah satu jenama terbaik dari segi keselamatan dan kualiti untuk pelanggan.”
MERCEDES-Benz mempersembahkan model terulung bagi kecekapan penggunaan tenaga, iaitu Vision EQXX yang merupakan sedan EV (elektrik sepenuhnya). Nama Vision bermaksud ia masih sebuah konsep tetapi versi produksi dikatakan bakal tiba.
Mercedes Vision EQXX direka dengan kecekapan maksima yang membolehkannya mencapai jarak pemanduan sehingga 621 batu (1,000km) dengan setiap caj.
Ini pasti cukup untuk pandu dari Johor Bahru melalui Kuala Lumpur, hingga ke Padang Besar, Perlis! Mercedes berkata untuk pemandu di Amerika secara purata hanya perlu mengecaj dua kali sebulan.
Mercedes belum mendedahkan sebarang spesifikasi untuk kapasiti bateri EQXX ini tetapi mereka ada mengatakan ia kurang dari 100kWh.
Tetapi ada juga perincian menarik mengenai pakej sumber kuasa EQXX ini. Baterinya dikatakan 50 peratus kurang dan 30 peratus lebih ringan dari EQS. Kuasa maksima ialah 900 volt.
Bateri dan bingkainya adalah seberat 495kg dan kuasa disalurkan ke motor elektrik yang menjana 210hp (150kW). Mercedes juga berkata sistem kuasa ini mempunyai tahap kecekapan setinggi 95 peratus.
Selain itu, terdapat panel solar 117 sel di bumbung yang akan membekalkan kuasa kepada sistem elektrik kereta seperti pendingin hawa, lampu dan unit infotainmen. Sistem solar ini mampu menjimatkan sehingga 25km jarak pemanduan.
Jika dilihat pada foto-foto, EQXX nampak agak kompak. Ia mempunyai panjang sekitar 4,630mm iaitu kira-kira 120mm lebih pendek dari C-Class.
Ia juga agak ringan bagi sebuah EV, dengan berat sekitar 1,750kg. Ini cuma lebih berat sedikit sahaja dari Mercedes C300 (1,675kg).
Paling menarik pada rekaan luaran EQXX ialah bentuknya yang sangat ‘licin’ atau aerodinamik, malah ia mempunyai drag coefficient hanya 0.18. Badannya sangat licin dan mempunyai bentuk air mata dari bumbung ke belakang. Bahagian depannya lebih rendah dari model-model Smart.
Untuk lebih aerodinamik, Mercedes EQXX dilengkapi ‘air curtain’ di bampar depan, penutup rim, gril depan dengan penutup aktif dan diffuser belakang yang akan dinaikkan pada kelajuan tinggi.
Tayar juga adalah jenis kurang rintangan golekan, yang direka khas bersama Bridgestone.
Bahagian dalam EQXX berukuran 1,206mm lebar dan mempunyai skrin resolusi 8k dan menggunakan sistem navigasi 3-dimensi yang mampu memberikan imej satelit jelas.
Kabinnya juga dibina dari bahan-bahan lestari yang dikitar semula, termasuklah fabrik seperti sutera Biosteel, balutan kulit dari cendawan, kulit bebas-haiwan dari gentian kaktus, dan karpet berasaskan buluh.
Mercedes belum mendedahkan sebarang harga atau bila mereka akan menjadikan EQXX model produksi.
BMW memperkenalkan model terbaharunya iaitu BMW iX M60 yang mampu memenuhi ‘nafsu’ individu yang sukakan kelajuan.
Menariknya, model ini bukan sahaja dapat mencapai kelajuan tinggi malah, didatangkan dengan rekaan menarik.
BMW iX M60 dihasilkan dengan mempunyai ciri teknologi moden termasuk rangka aluminium spaceframe, sangkar karbon dan panel plastik bertetulang gentian karbon.
Foto ihsan BMW
Bagaimana pula dengan keupayaan enjin?
Model BMW iX M60 ini dilengkapi dengan dua motor elektrik Msekaligus menjana kuasa setinggi 610 kuasa kuda dan daya kilas 1,100 Nm bagi mod Sport.
Bagi mod standard, ia mampu mencapai 533 kuasa kuda dan daya kilas 1,015 Nm. Hebat bukan?
Selain itu, antara bukti kehebatan enjin BMW iX M60 ini adalah ia mampu mencapai pecutan 0-100 km/j hanya dalam masa 3.6 saat!
Pek bateri berkapasiti 106.3 kWh pula membolehkan kereta ini dipandu sejauh 450 kilometer.
Foto ihsan BMW
Berikut antara ciri lain terdapat pada BMW iX M60:
Tetapan suspensi double-wishbone di hadapan
Gandar five-link di belakang
Sistem stereng Integral Active dan M Sport Brakes
Setakat ini, harga jualan BMW iX M60 2023 bermula $105,100 atau bersamaan RM440,527.
UMUM mengetahui pengeluaran model Alza yang berusia lebih 12 tahun di pasaran Malaysia akan dihentikan tidak lama lagi.
Bagaimanapun, model telah banyak berjasa kepada kebanyakan rakyat Malaysia ini nampaknya masih mendapat permintaan tinggi.
Terbaharu, Perodua mengumumkan model Alza telah terjual lebih 14,828 unit sepanjang tahun lalu.
Apa lebih membanggakan, rekod jualan Alza hanya berbeza 500 unit jika dibandingkan dengan model Aruz pada tahun lalu.
Sebelum ini, Perodua memaklumkan tidak lagi akan menghasilkan model Alza bermula hujung Februari depan.
Keputusan itu dibuat bagi mematuhi undang-undang emisi ekzos ditetapkan kerajaan yang beralih dari Euro 2 kepada Euro 4.
Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad mengakui Alza masih mempunyai peminat tersendiri. – Foto oleh Engear
Bagaimanapun, Perodua mengakui berjaya memohon untuk meneruskan produksi Alza sehingga hujung Januari ini.
Justeru, terdapat lebih 1,100 unit terakhir akan dipasang sehingga hujung bulan ini selain Perodua dibenarkan menjual model Alza masih dalam simpanan mereka.
Alza diperkenalkan tahun 2009 dengan dijana oleh enjin 3SZ-VE 1.5 liter.
Sepanjang penjualan model ini, tiada sebarang kemas kini mekanikal diberikan pada Alza melainkan penambahbaikan design versi facelift 2014 dan 2018.
Setakat ini, tiada sebarang perincian rasmi oleh Perodua mengenai model baharu yang akan menggantikan Alza.
Pemerhati automotif bagaimanapun percaya, model bmenggantikan Alza adalah “kembar” kepada Dihatsu Xenia dan Toyota Avanza generasi baharu.
PASUKAN bomba Republik Czech telah menerima Toyota Hilux yang dikustom khas menjadi 6×6 untuk operasi kebakaran kereta elektrik (EV) dan di kawasan-kawasan dengan permukaan sukar.
Jentera pacuan enam-roda ini mempunyai tahap kelegaan tanah sehingga 185cm, memudahkannya pergi ke kawasan yang sukar dilalui jentera bomba biasa.
Casis tiga-gandar padanya direka dan dibekalkan oleh sebuah firma Republik Czech iaitu Dajbych dan setiap unit kustom akan dibina mengikut kehendak pelanggan sama ada mahukan single- atau double-cab.
Casis ini juga menepati piawaian Euro 6, dan ia 1,230mm lebih panjang dari Hilux 4×4 dan mempunyai kapasiti kargo sehingga 3 tan.
Casis 6×6 ini telah dibina dengan empat bingkai tubular untuk lebih ketegaran manakala transmisinya dibangunkan dan mempunyai pengunci pembeda belakang.
Kedua-dua pembeda depan dan belakang mempunyai pengunci berasingan, membolehkannya menggunakan konfigurasi 6×4 atau 6×6.
Untuk lebih kapasiti muatan, suspensi depan telah diubahsuai dan casis diberikan sistem suspensi udara boleh-laras yang akan mengesan muatan di belakang.
Hilux 6×6 ini boleh dikuasakan oleh dua pilihan enjin; 2.4-liter turbodiesel dengan 147hp dan 400Nm tork atau enjin 4.0-liter petrol 6-silinder dengan 224hp.
Untuk kegunaan bomba, Hilux 6×6 ini dilengkapi juga dengan bampar depan lebih kukuh, winch, lampu beacon, dan kamera infra-merah.
Kabinnya mempunyai empat pintu dan di belakangnya dipasang dengan struktur tambahan untuk pasukan bomba. Ini menempatkan segala alatan untuk pelbagai tugas, antaranya sistem pemadaman api bertekanan tinggi CCS Cobra.
Alatan lain termasuklah alat penyelamatan tanpa wayar, hos-hos tekanan tinggi, alat pengesan dan beberapa kelengkapan untuk Rapid Emergency Vehicle.
MODEL Toyota Corolla Cross Hybrid bakal dilancarkan di Malaysia pada 14 Januari ini.
Tarikh itu diumum Toyota Malaysia menerusi satu hantaran teaser di laman Facebook rasminya.
Sejak tempahan dibuka pada Oktober tahun lalu, model ini dijangka ditawarkan pada harga RM137,000 (tidak termasuk insuran).
Toyota Corolla Cross Hybrid menggunakan enjin 2ZR-FXE 1.8 liter kitaran Atkinson empat-silinder petrol.
Berdasarkan penggunaan enjin tersebut, ia mampu menghasilkan 98 PS pada 5,200 rpm dan 142 Nm tork pada 3,600 rpm.
Menerusi bantuan motor elektrik 53 kW (72 PS) dan 163 Nm juga, keseluruhan sistem kereta ini menghasilkan 122 PS yang mana kuasa dihantar ke roda depan melalui e-CVT.
Sementara itu, bateri nickel-metal hydride 6.5 Ah mempunyai jaminan lapan tahun tanpa had perbatuan.
Para pelanggan berminat melanjutkan jaminan bagi bateri hibrid selama dua tahun lagi boleh berbuat demikian dengan membayar sekitar RM2,950.
Berikut merupakan ciri lain terdapat pada Toyota Corolla Cross Hybrid:-
Paparan multi-maklumat tujuh-inci di kluster instrument
Peninjau pandangan panoramik 3D (PVM)
Peninjau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang
Sistem Telematik Kenderaan (VTS)
Sistem bantuan pemandu Toyota Safety Sense
Terdapat lima pilihan warna untuk versi hybrid iaiatu Red Mica Metallic, Nebula Blue Metallic, Platinum White Pearl dan Silver Metallic.
Warna Celestite Grey Metallic pula ditawarkan untuk varian hibrid.
SYARIKAT Perodua menunjukkan momentum positif apabila berjaya menghasilkan jualan lebih 22,940 unit pada bulan lalu.
Angka itu adalah lebih tinggi berbanding bulan November 2021 yang mana Perodua hanya mencatatkan jualan 20,299 unit kenderaan.
Walaupun terdapat peningkatan jualan namun, Perodua gagal melepasi rekod memasarkan lebih 200,000 kenderaan seperti dicatat pada tahun 2020.
Presiden dan Ketua Pegawai Operasi (CEO) Perodua, Datuk Zainal Abidin Ahmad. – Foto oleh Engear
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perodua Datuk Zainal Abidin Ahmad menjelaskan, hal ini mempunyai kaitan dengan isu kekurangan bekalan cip semikonduktor dan bencana banjir.
“Rantaian bekalan industri automotif tempatan terkesan dengan teruk sejak beberapa tahun ini.
“Ada rahmat tersendiri memandangkan jumlah tempahan kenderaan Perodua kekal sihat dan pelanggan masih memberi sambutan yang baik terhadap pengecualian cukai jualan,” katanya.
Secara keseluruhan, Perodua menjual 190,291 unit kenderaan tahun lalu dan tidak mendedahkan pecahan jualan mengikut model.
Bagaimanapun, Perodua memaklumkan Myvi terus mendahului industri kereta tempatan secara keseluruhan dengan penjualan melebihi 47,525 unit.
Sementara itu, Perodua kembali meletakkan sasaran 240,000 unit jualan bagi 2022.
Sebahagian Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) yang ditutup kepada pengguna sebelum ini telah dibuka semula.
Pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan LPT1 ANIH Berhad berkata, pengguna kini boleh melalui laluan di kilometer 77 sehingga 78 yang ditutup akibat banjir sebelum ini.
Jelas ANIH, segala kerja pembersihan telah selesai termasuk proses membaiki kerosakan sepanjang laluan tersebut.
Sebelum ini, laluan di kilometer 77 sehingga 78 ditutup kerana dinaiki banjir sehingga merosakkan struktur jalan.
Bagaimanapun, pengguna jalan raya menghala ke Kuala Lumpur dari Karak masih perlu menggunakan laluan alternatif dengan membuat pusingan ‘U’ di Plaza Tol Karak.
Justeru, pengguna jalan raya dinasihati barhati-hati ketika menghampiri lorong kontra bermula dari Sungai Dua di Kilometer 74.8 hingga 77.3.
Sebarang maklumat lanjut boleh didapati di laman sesawang dan semua platform media sosial ANIH.
Untuk sebarang kecemasan atau pertanyaan lanjut, sila hubungi talian 1800-88-7752 atau 09 5479111 / 1-700-818-700.
FORD Australia berdepan tamparan hebat selepas didapati bersalah mengelirukan pelanggan berhubung penjualan model Mustang Mach 1.
Australian Competition & Consumer Commission (ACCC) menetapkan denda AU$53,000 atau RM169,000 ke atas Ford kerana memberi maklumat salah mengenai model itu.
Pengerusinya Rod Sims berkata, ciri terdapat pada Mustang Mach 1 merupakan elemen penting kepada penjualan model itu.
Justeru, maklumat ciri yang tidak wujud menyebabkan pelanggan keliru kerana kemungkinan besar mereka boleh memilih membeli kereta lain, lapor Drive AU.
Foto ihsan Ford
Berdasarkan fakta kes, Ford didakwa memberi maklumat salah dalam brosur Mustang Mach 1 sekaligus mengelirukan pengguna.
Pada tahun 2020 dan 2021, Ford dikatakan mencetak informasi kelengkapan yang tidak wujud pada model Mustang Mach 1.
Maklumat tersebut adalah penderia parkir belakang, lampu kabus diod pemancar cahaya, sistem pencahayaan ambien pada poket pintu, alas kaki dan LSD Torsen.
Apa yang lebih malang, Ford juga terpaksa membayar pampasan sejumlah AU$4.5 juta (RM13.6 juta) kepada para pembeli Mustang Mach 1.
Pelanggan juga diberi pilihan sama ada mengembalikan semula kereta dibeli dan mendapat pulangan wang penuh atau menerima wang pampasan $5,400 (RM16,261).
Selain itu, pelanggan ditawarkan pakej servis percuma tiga tahun, peluang menyertai acara hari litar serta berpeluang menaiki jentera lumba Ford.
SEKILAS pandang, VonMercier Arosa kelihatan seperti kereta beroda tiga keluaran Morgan namun ia sebenarnya sebuah hoverkraf sport mewah pertama di dunia. Dua objek bulat itu bukanlah roda, sebaliknya adalah perumah untuk kipas.
Ya, kenderaan mirip roadster dua tempat duduk ini rupa-rupanya adalah sebuah hoverkraf amfibia yang bukan sahaja boleh bergerak di atas jalan, malah air, rumput, pasir dan pelbagai jenis permukaan lagi. Dalam erti kata lain, ia adalah sebuah jentera off-road sejati.
Menurut pengeluarnya iaitu VonMercier – sebuah syarikat yang berpengkalan di Amerika Syarikat – Arosa dibangunkan khas untuk mereka yang gemarkan pengembaraan tetapi ingin melakukannya dengan penuh bergaya.
Anda mungkin tertanya-tanya bagaimana ia boleh bergerak tanpa roda. Seperti hoverkraf konvensional, Arosa bergerak di atas kusyen udara yang berada di dalam skirt fabrik fleksibel yang terletak di bawah badannya.
Hoverkraf sering kali dikatakan sukar untuk dikawal, namun dengan sistem kawalan arah lanjutan (Advanced Directional Control System) yang dibangunkan sendiri oleh VonMercier, Arosa boleh bergerak ke hadapan dan sisi, berhenti serta mengundur dengan mudah.
VonMercier berkata pembikinan Arosa melibatkan gabungan teknik pembinaan daripada industri automotif, marin dan aeroangkasa, serta bahan-bahan berkualiti tinggi seperti karbon dan aloi. Deck atas dan pemijak sisi memudahkan pengguna untuk keluar dan masuk dari jeti dan tanah.
Ruang dalamannya pula menampilkan konfigurasi tempat duduk tandem, di mana kerusi penumpang diletakkan di belakang kerusi pemandu seperti di dalam jet pejuang.
Oleh kerana ia tidak mempunyai bumbung, sistem pendingin hawa tidak disertakan namun anda mendapat stereng Momo dan juga panel instrumen digital.
Kuasa dibekalkan oleh trenkuasa hibrid elektrik yang merangkumi enjin petrol dan tiga motor elektrik.
Jumlah kuasa yang dihasilkan tidak diketahui namun Arosa dikatakan boleh mencapai kelajuan maksimum hampir 130km/j. Apabila pandu pada kelajuan sekitar 64km/j, ia boleh mencapai jarak sejauh 193km.
Pengeluaran Arosa akan dihadkan kepada 50 unit sahaja dan setiap satu akan dijual pada harga bermula dari $100,000 (kira-kira RM418,200).
Sama ada ia boleh dipandu di atas jalan raya atau tidak, bergantung kepada undang-undang negara masing-masing namun memandangkan ia diklasifikasikan sebagai bot, anda mungkin hanya boleh melihatnya beraksi di kawasan-kawasan seperti pantai, tasik atau padang rumput.
KIRA-KIRA enam bulan yang lalu, Kementerian Dalam Negeri Perancis menyatakan minat untuk mendapatkan kereta baharu untuk pasukan polis negara itu.
Setelah melalui proses rundingan, Alpine akhirnya dipilih untuk membekalkan kereta sport dua tempat duduk mereka iaitu A110.
Daripada 26 unit yang ditempah, dua telah pun diserahkan kepada polis Perancis baru-baru ini, manakala baki selebihnya akan dihasilkan dalam tempoh empat tahun. Penghantaran unit-unit selebihnya ini dijangka bermula awal tahun hadapan.
A110 akan digunakan oleh pasukan Gendarmerie untuk tugas-tugas campur tangan pantas (rapid intervention), kejar-mengejar dalam operasi narkotik dan juga misi-misi lain yang sesuai.
Berbeza dengan Police Nationale yang menjaga Paris dan bandar-bandar besar lain, Gendarmerie merupakan pasukan polis Perancis yang bertanggungjawab ke atas bandar-bandar kecil dan kawasan luar bandar dengan jumlah penduduk kurang dari 20,000 orang.
Berbalik kepada A110 itu, setiap unit didatangkan dalam warna biru gelap, dengan pelekat reflektif, tulisan ‘Gendarmerie’ pada bahagian depan, sisi dan belakang, serta slogan dalam bahasa Perancis yang bermaksud “Komitmen Kami, Keselamatan Anda”.
Sudah tentu, sebagai kereta polis, ia dilengkapi dengan lampu siren berwarna biru di atas bumbung. Apa yang menarik, A110 didatangkan standard dengan rim berukuran 17-inci namun untuk pembelian ini, kerajaan Perancis memilih untuk mendapatkan rim 18-inci.
Ruang dalamannya pula seperti yang boleh dijangka dengan mana-mana kereta jabatan penguatkuasa. Ia telah dinaik taraf dengan sistem radio polis dan juga tablet untuk memberikan akses kepada pengkalan data.
Bagaimanapun, tiada sebarang penambahbaikan diperlukan untuk enjinnya. Ini kerana A110 sudah cukup berkuasa, dengan 252PS dan 320Nm yang dibekalkan oleh enjin turbo 1.8-liter empat silinder.
Dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan yang memacu roda belakang, jentera ini boleh memecut dari 0 hingga 100km/j dalam 4.5 saat sebelum mencapai kelajuan maksimum 250km/j.
Sebagai pengeluar kenderaan dari Perancis, ini bukanlah kali pertama Alpine atau Renault Group dipilih sebagai pembekal kereta untuk pasukan polis negara itu.
Model asal A110 pernah menjadi kenderaan Rapid-Intervention Brigade yang pertama pada 1966, diikuti dengan A310 dan Renault 18 Turbo serta beberapa lagi model lain.