Arkib Kategori: BERITA

QJMotor SRK 250 RD 2026 rasmi di Malaysia – harga RM21,888

Selain skuter kembara, QJMotor Malaysia turut membawakan model sportsbike SRK 250 RD untuk pasaran tempatan, dengan harga jualan dari RM21,888.

Ia membawakan enjin empat silinder sebaris 249 cc yang mampu menjana 40 hp @ 15,500 rpm dan daya kilas 22 Nm @ 12,500 rpm, dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan.

Jentera ini dilengkapi dengan fork hadapan jenis terbalik Marzocchi, penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban di belakang, serta sistem brek Brembo depan dan belakang.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED, sistem ambilan udara RAM, skrin paparan TFT tujuh inci, tangki bahan api berkapasiti 16.5 liter, pengecas peranti pintar 18W, tinggi pelana 795 mm, rim 17 inci serta winglet aerodinamik.

Ciri keselamatan pula termasuklah ABS dua saluran, kawalan cengkaman (TCS), kamera perakam tunggangan depan dan belakang, dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

QJMotor ATX 250 2026 rasmi di Malaysia – dua varian, harga dari RM12,988

QJMotor Malaysia mengumumkan model skuter terbaharu ATX 250 yang bakal tiba di pasaran Malaysia menjelang Januari 2026.

Skuter ini dikuasakan oleh enjin silinder tunggal 249 cc menghasilkan 25.4 hp @ 8,000 rpm dan daya kilas 24 Nm @ 6,500 rpm, dipadankan dengan transmisi CVT.

Terdapat dua varian ditawarkan untuk pasaran Malaysia.

Varian standard mendapat kelengkapan seperti fork hadapan konvensional, skrin penghadang angin boleh laras manual, rim aloi, crash bar, lampu LED, serta skrin paparan TFT saiz lima inci.

Varian ATX 250X pula mempunyai ciri eksklusif seperti fork hadapan jenis terbalik (USD), penyerap hentak berkembar gas di belakang, rim lidi saiz 14 inci depan/13 inci belakang, serta kotak storan di belakang.

Ciri keselamatan termasuklah sistem ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) serta sistem pemantauan tekanan tayar.

Harga jualan bermula dari RM12,988 untuk versi standard, dan RM13,988 untuk varian ATX 250X.

Geely Starray EM-i PHEV dilancarkan di Indonesia, pasang di Purwakarta, bila giliran Malaysia?

Geely Auto Indonesia telah melancarkan Geely Starray EM-i secara rasmi ke pasaran Indonesia.

Model ini merupakan kenderaan Geely kedua yang diperkenalkan di Indonesia selepas SUV elektrik EX5 atau dikenali sebagai Proton e.MAS 7 di pasaran tempatan

Apa yang menarik Starray EM-i telah mula dipasang di Purwakarta sejak September 2025.

Pasaran Dunia 

Geely Starray EM-i merupakan PHEV pertama yang dibina di atas platform Kenderaan Tenaga Baharu (NEV).

Model ini direka untuk memberikan prestasi yang dinamik serta pengalaman pemanduan yang moden.

Starray EM-i telah dilancarkan di Australia sebulan sebelum pelancaran rasmi di Indonesia. Pelancaran ini menandakan satu langkah penting dalam strategi pengembangan global Geely.

SUV ini dijangka akan tersedia di hampir 20 pasaran di seluruh Asia-Pasifik, Eropah, Amerika Latin dan Afrika.

Untuk pasaran tempatan, tiada lagi pengesahan dari Proton namun unit ujian dengan samaran yang dikatakan Starray EM-i  telah pun ditemui di atas jalan raya.

Spesifikasi Teknikal Sistem Hibrid

  • Enjin petrol 1.5 liter.
  • Motor elektrik berkuasa 160 kilowatt (kW).
  • Bateri berkapasiti 18.4 kilowatt jam (kWj).
  • Sistem transmisi Automatik 1DHT.
  • Kecekapan haba enjin petrol mencapai 46.5 peratus.

Sistem Hibrid Super EM-i membolehkan peralihan kuasa yang lancar merentasi tiga mod pemanduan, iaitu Pure, Hybrid, dan Power, menawarkan keseimbangan optimum antara prestasi, kecekapan dan keselesaan.

Prestasi dan Kecekapan

  • Kecekapan bahan api bersamaan dengan 83 km/liter.
  • Jarak pemanduan elektrik sepenuhnya (EV) sehingga 105 km.
  • Jarak pemanduan keseluruhan melebihi 1,000 km dengan satu kitaran pengisian semula bahan api dan pengecasan penuh.

Reka Bentuk Moden dan Pengiktirafan Antarabangsa

Starray EM-i menampilkan reka bentuk luaran yang kontemporari dan dinamik. Walaupun berkongsi dengan EX5, SUV ini membawa wajah depan dan belakang yang tersendiri.

Reka bentuk Starray EM-itelah mendapat pengiktirafan antarabangsa seperti Red Dot Award, International Design Awards (IDA), Muse Design Awards, dan A’ Design Award.

Kabin Premium dan Ciri Keselesaan

Bahagian dalam juga mengekalkan aura EX5 namun tampil dengan papan pemuka yang berbeza dan begitu juga panel pintu.

Ciri-ciri Dalaman:

  • Tempat duduk direka bentuk seperti marshmallow 8-lapisan untuk sokongan ergonomik maksimum.
  • Susun atur storan gaya jambatan bagi mengekalkan kelapangan dan kefungsian.
  • Tempat duduk hadapan dengan fungsi pengudaraan dan memori.
  • Pencahayaan ambien 256-warna.
  • Paparan pusat skrin sentuh bersaiz 15.4-inci.
  • Kluster instrumen digital bersaiz 10.2-inci.
  • Sistem maklumat hibur Flyme Auto yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.
  • Sistem audio Flyme Sound 16-pembesar suara, termasuk dua pembesar suara di tempat letak kepala dan satu subwoofer, memberikan pengalaman akustik yang mendalam.

Keselamatan dan Rangkaian Sokongan

Dari segi keselamatan, Starray EM-i dilengkapi dengan Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) Tahap 2 yang komprehensif.

Fungsi Keselamatan Utama (14 fungsi aktif):

  • Kawalan Jelajah Adaptif (ACC).
  • Brek Kecemasan Automatik (AEB).
  • Sistem kamera 540 darjah.

Harga

Sempena pelancaran, Starray EM-i ditawarkan pada harga IDR499,000,000 atau bersamaan RM124,117 (OTR Jakarta).

Kredit gambar: Geely Auto Indonesia

Morbidelli T502X 2026 rasmi – harga dari RM28,888

Morbidelli Malaysia melancarkan sebuah lagi motosikal jenis adventure sesaran pertengahan, iaitu Morbidelli T502X 2026.

T502X ini dilengkapi dengan enjin parallel-twin 486 cc sejukan cecair menghasilkan kuasa 47 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 45 Nm @ 6,750 rpm.

Transmisi pula adalah jenis enam-kelajuan dibantu dengan klac slipper.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) saiz 43 mm (jarak pergerakan 180 mm), diikuti penyerap hentak tunggal Pro-Link dengan larasan pra-beban (jarak pergerakan 69 mm).

Sistem brek pula menggunakan angkup dua omboh J.Juan dengan rotor berkembar saiz 300 mm di depan, serta angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.

Antara ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED, skrin paparan TFT tujuh inci menegak, dua mod tunggangan, sokongan Bluetooth dan navigasi, suis bar hendal yang bercahaya dan port pengecasan USB Type-A dan Type-C.

T502X turut dilengkapi dengan ciri keselamatan seperti ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) dan sistm pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Tangki bahan api adalah sebesar 18 liter sementara tinggi pelana 840 mm.

Morbidelli T502X bakal tiba di pasaran Malaysia dengan harga jualan dari RM28,888.

Morbidelli T252X 2026 turut diumumkan untuk pasaran Malaysia – harga RM16,888

Sebuah lagi jentera kembara 250 cc dilancarkan oleh Morbidelli Malaysia, iaitu Morbidelli T252X 2026.

Tidak seperti T250X, T252X ini hadir dengan tetapan enjin parallel-twin 249.5 cc yang mampu menghasilkan 31.5 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas 21 Nm @ 9,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan kepada roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan dibantu dengan klac slipper.

Casis jenis kerangka perimeter itu disokong oleh suspensi fork hadapan jenis terbalik (USD) 41 mm (jarak pergerakan 160 mm), serta penyerap hentak tunggal Pro-Link di belakang.

Sistem brek pula terdiri daripada angkup empat omboh dan rotor 300 mm di depan, dibantu dengan angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.

Morbidelli T252X ini membawakan ciri seperti unit lampu LED, skrin paparan TFT saiz tujuh inci menegak, tiga mod tunggangan (Normal, Sport, Off-Road), serta port pengecasan USB Type-A dan Type-C.

Ciri keselamatan termasuklah ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) serta sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 18 liter sementara tinggi pelana pula sekitar 820 mm.

Morbidelli T252X dijual pada harga bermula dari RM16,888 dan dijangka akan mula diedarkan seawal bulan hadapan.

Morbidelli T250X 2026 bakal tiba di Malaysia – harga dari RM9,888

Morbidelli Malaysia mengumumkan kehadiran model adventure mesra lesen B2, iaitu Morbidelli T250X 2026.

Jentera ini dilengkapi dengan enjin silinder tunggal 249 cc sejukan udara dengan kuasa 24.4 hp @ 7,500 rpm dan daya kilas 22.3 Nm @ 6,000 rpm.

Enjin itu tadi dipadankan dengan transmisi enam-kelajuan.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) saiz 41 mm di depan (jarak pergerakan 177 mm), serta penyerap hentak tunggal dengan larasan pra-beban (jarak pergerakan 55 mm).

Brek pula menggunakan angkup dua omboh di bahagian depan dan belakang, dengan rotor saiz 265 mm di depan dan 220 mm di belakang.

Antara ciri yang hadir pada jentera ini termasuklah skrin paparan menegak jenis LCD tujuh inci, butang kawalan bar hendal bercahaya, port pengecasan USB Type-A, lampu LED depan dan belakang, pelindung bar hendal serta skrin penghadang angin.

Aspek tunggangan dibantu dengan ciri keselamatan ABS dua-saluran serta kawalan cengkaman (TCS).

Untuk pasaran Malaysia, Morbidelli T250X ini dijual pada harga bermula dari RM9,888 untuk versi standard, serta dari RM11,288 untuk versi yang lengkap dengan kotak storan.

Morbidelli F252 rasmi di Malaysia – harga RM14,888

Segmen motosikal naked 250 cc di Malaysia dimeriahkan dengan kehadiran pendatang baharu, iaitu Morbidelli F252.

Jentera gaya streetfighter ini dikuasakan oleh enjin parallel-twin 249.5 cc DOHC dengan janaan kuasa 31.5 hp @ 11,000 rpm dan daya kilas 21.0 Nm @ 9,500 rpm.

Kuasa itu disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi enam-kelajuan dibantu dengan klac slipper.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan jenis terbalik (USD) saiz 41 mm di depan (jarak pergerakan 120 mm), serta penyerap hentak tunggal Pro-Link di belakang (jarak pergerakan 122 mm).

Brek pula menggunakan angkup empat omboh dan rotor terapung saiz 300 mm di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 240 mm di belakang.

Ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED, skrin paparan TFT lima inci, tiga mod tunggangan (Normal, Sport & Expert), serta port pengecasan USB Type-A dan Type-C.

Ciri keselamatan pula termasuklah ABS dua-saluran, serta sistem kawalan cengkaman (TCS).

Kapasiti tangki bahan api adalah sebesar 15 liter sementara tinggi pelana 790 mm.

Morbidelli F252 disahkan masuk pasaran Malaysia menjelang Disember ini dengan harga jualan RM14,888.

Keeway RKR250 2026 – harga dari RM13,888, bakal masuk Malaysia

Sebuah lagi model baharu diumumkan oleh pihak Keeway Malaysia, iaitu sportsbike Keeway RKR250.

Jentera ini dikuasakan oleh enjin parallel-twin 249.3 cc DOHC dengan hamburan kuasa 31.5 hp @ 10,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 9,500 rpm.

Transmisi pula adalah jenis enam-kelajuan yang dibantu dengan klac slipper.

Kerangka jenis diamond itu disokong oleh suspensi fork hadapan jenis terbalik (USD) 40 mm, diikuti dengan penyerap hentak tunggal Pro-Link di belakang.

Brek pula menggunakan angkup empat omboh dengan rotor 320 mm di depan, dibantu dengan angkup omboh tunggal dan rotor saiz 240 mm di belakang.

RKR250 menawarkan tangki bahan api berkapasiti 12 liter, tinggi pelana 770 mm, sistem pencahayaan LED, suis bar hendal bercahaya serta skrin paparan TFT lima inci.

Ciri keselamatan yang disertakan termasuklah ABS dua-saluran, kawalan cengkaman (TCS) dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Keeway RKR250 dijual pada harga RM13,888 dan dijangka akan tiba di Malaysia dalam masa terdekat.

Keeway BX 200i diumumkan untuk pasaran Malaysia – harga dari RM7,988

Mforce Bike Holdings Sdn Bhd mengumumkan pelancaran skuter terbaharu untuk pasaran tempatan, iaitu Keeway BX 200i.

Skuter ini dijana oleh enjin silinder tunggal 174 cc sejukan cecair dengan kuasa 18.2 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 17.2 Nm @ 6,500 rpm.

Kotak gear pula adalah jenis automatik CVT.

Suspensi terdiri daripada fork hadapan teleskopik (jarak pergerakan 75 mm) dibantu dengan penyerap hentak berkembar di belakang (jarak pergerakan 65 mm).

Brek pula menggunakan angkup dua omboh dengan rotor 220 mm di depan, diikuti angkup omboh tunggal dan rotor 220 mm di belakang.

Ciri yang dimuatkan termasuklah unit lampu LED, lampu nyalaan siang DRL, skrin paparan LCD berwarna, port pengecasan USB Type-A dan Type-C, serta ciri keselamatan ABS dua-saluran.

Keeway BX200i akan tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi dengan harga jualan dari RM7,988 hingga RM8,288 untuk versi Special Edition.

Honda Civic Type R ditawarkan stereng kulit dari Honda Access! Pilihan kepada Alcantara®

Honda Access Co., Ltd. memperkenalkan aksesori tulen baharu untuk model Honda Civic Type R sedia ada, iaitu stereng yang dibalut dengan kulit licin.

Aksesori ini dijadualkan untuk dikeluarkan di Jepun pada pertengahan Januari 2026.

Pilihan kepada Alcantara®

Penambahan stereng baharu ini dilakukan sebagai respons kepada permintaan pelanggan yang tinggi yang mahukan pilihan stereng kulit.

Sebelum ini, model standard Civic Type R didatangkan dengan stereng Alcantara®.

Stereng baharu ini mengekalkan reka bentuk dan bentuk sama seperti stereng Alcantara® standard.

Honda CIvic Type R 2023 – Balutan Alcantara®.

Perbezaan utama terletak pada bahan yang digunakan iaitu kulit tulen yang licin, memberikan rasa sentuhan yang lebih lembut dan mewah.

Untuk mengekalkan identiti Civic Type R yang sporti, stereng baharu ini masih menggunakan jahitan merah yang sama seperti model standard.

Penggunaan kulit licin bertujuan untuk menambah sentuhan mewah pada bahagian dalam tanpa menjejaskan estetika unik model prestasi tinggi ini.

Spesifikasi Produk dan Harga

  • Nama Produk: Stereng kulit tulen/hitam dengan jahitan merah

  • Model Yang Berkenaan: Civic Type R (Model yang dikeluarkan selepas September 2022: FL5-100/FL5-110/FL5-120)

  • Harga: 49,500 yen (RM 1,328.67)

Harga yang dinyatakan hanyalah harga runcit cadangan pengeluar. Kos pemasangan perlu ditanggung secara berasingan oleh pembeli.

Keperluan Pemasangan Teknikal

Pemasangan stereng ini melibatkan prosedur teknikal yang khusus:

  • Stereng standard mesti ditanggalkan sebelum proses pemasangan stereng kulit tulen baharu.
  • Kerja penetapan (setting work) atau penyesuaian wajib dilakukan menggunakan peralatan khas pengedar Honda (HDS) untuk memastikan stereng berfungsi dengan betul dan selamat selepas pemasangan.

 

Yamaha YZR-M1 guna enjin V4 pada musim 2026

Yamaha Motor Co., Ltd. secara rasmi mengumumkan penukaran enjin jentera YZR-M1 daripada empat sebaris kepada V4, bermula pada musim Kejuaraan Dunia MotoGP 2026.

Enjin empat sebaris telah menjadi nadi penting dalam identiti perlumbaan Yamaha selama berdekad lamanya dan memacu kejayaan pelumba ikonik seperti Valentino Rossi, Jorge Lorenzo dan Fabio Quartararo.

Gabungan unik ketangkasan dan penyampaian kuasa yang lancar daripada konfigurasi ini telah menghasilkan rekod pencapaian yang cemerlang.

Sepanjang penggunaannya, enjin empat sebaris telah bersaing dalam 429 Grand Prix, mencatatkan 125 kemenangan perlumbaan dan naik ke podium sebanyak 352 kali.

Konfigurasi enjin ini juga membantu Yamaha meraih:

  • 8 Kejuaraan Pelumba
  • 7 Kejuaraan Pasukan
  • 5 Kejuaraan Pengeluar
  • 5 Kejuaraan Triple Crowns MotoGP

Evolusi MotoGP

Seiring dengan perubahan teknologi MotoGP, Yamaha menyahut cabaran teknikal baharu ini sambil mengekalkan identiti jenama mereka.

Peralihan kepada enjin V4 menandakan pencapaian penting dalam usaha Yamaha meningkatkan prestasi dan inovasi.

Konfigurasi enjin V4 baharu dijangka menawarkan beberapa peningkatan teknikal utama, termasuk:

  • Pecutan yang lebih baik
  • Pengendalian yang lebih baik semasa membrek
  • Penyesuaian yang lebih tinggi terhadap keperluan tayar dan aerodinamik terkini

Pembangunan pesat enjin V4 sepanjang 2025 menyerlahkan kesungguhan Yamaha untuk berada di barisan hadapan teknologi MotoGP, sambil tetap menghormati warisan perlumbaan mereka.

Permulaan Era Baharu

Grand Prix Valencia menjadi perlumbaan terakhir bagi empat sebaris ikonik Yamaha di MotoGP.

Sebagai permulaan kepada era baharu ini, semua pelumba MotoGP Yamaha musim 2026 dijadualkan akan menguji jentera yang dikuasakan enjin V4 buat pertama kali semasa Ujian Valencia pada hari Selasa.

Episod baharu ini permulaan yang menarik untuk Yamaha dan peminat di seluruh dunia. Untuk rekod, Yamaha telah memperkenalkan YZR-M1 dengan enjin V4 di Misano pada September lalu.

Yamaha V4

Yamaha YZR-M1 V4 Misano

Ford Ranger Raptor Sport tiba di Malaysia – harga dari RM273,888

Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) selaku pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia mengumumkan pelancaran trak pikap Ford Ranger Raptor Sport 3.0 serba baharu.

Dijual pada harga bermula dari RM273,888, Ford Ranger Raptor Sport dikuasakan oleh enjin EcoBoost V6 3.0 liter turbo berkembar dengan kuasa 397 PS @ 5,650 rpm dan daya kilas 583 Nm @ 3,500 rpm.

Sama seperti Ranger Raptor yang terdahulu, varian Sport ini turut dilengkapi sistem suspensi adaptif Fox dengan penyerap hentak Live Valve Internal Bypass 2.5 inci dan sistem Bottom-Out Control.

Selain itu, terdapat penambahan rekaan decal Raptor khas pada bahagian sisi, Sport Hoop baharu, serta rim gaya beadlock saiz 17 inci yang direka untuk pemanduan off-road.

Terdapat dua warna ditawarkan iaitu Arctic White dan Meteor Grey.

Setiap pembelian Ranger Raptor Sport dilindungi jaminan pengeluar lima-tahun, serta pakej servis percuma dua-tahun.

Pelanggan juga akan diberikan beg penyejuk eksklusif “Live The Ranger Life” sebagai cenderamata penghantaran.

Baca: Ford Ranger Raptor 2022 
Baca: Ford Ranger Raptor 2023 versi diesel

smart #5 rasmi di Malaysia – dua varian, dari RM199,800

PRO-NET selaku pengedar sah kenderaan jenama smart di Malaysia selesai melancarkan sebuah lagi SUV elektrik untuk pasaran tempatan, iaitu smart #5.

Terdapat dua varian yang ditawarkan, dimulakan dengan varian Premium yang dilengkapi motor elektrik tunggal dan sistem pacuan roda belakang (RWD).

Dengan kuasa 358 hp dan daya kilas 373 Nm, #5 Premium boleh memecut sepantas 6.5 saat dari 0-100 km/j.

Pek bateri 100 kWh pula menawarkan jarak pandu sehingga 590 km mengikut data WLTP, selain menyokong pengecasan AC 22 kW dan pengecasan pantas DC sehingga 400 kW (10-80 peratus SoC dalam 15 minit).

Sementara varian Brabus pula dikuasakan oleh dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda (AWD) yang mampu menghamburkan 637 hp dan 710 Nm.

Versi Brabus boleh memecut sepantas 3.8 saat dari 0-100 km/j, dan boleh dipandu sejauh 540 km.

Secara standard, smart #5 mendapat kelengkapan seperti:

  • ruang kargo sebesar 1,530 liter serta ruang frunk 72 liter
  • skrin paparan OLED berkembar 13 inci
  • skrin paparan head-up realiti terimbuh 25.6 inci
  • sokongan Apple CarPlay dan Android Auto
  • sistem audio Sennheiser dengan 20 pembesar suara dan teknologi Dolby Atmos
  • upholsteri kulit Nappa
  • kemasan kayu oak
  • bumbung kaca panorama sebesar 1.7 meter persegi
  • peti pendingin terbina dalam ruang simpanan konsol tengah

Varian Brabus pula mendapat ciri tambahan seperti Launch Mode, kemasan upholsteri mikrofiber Dinamica, angkup brek merah, rim Brabus Monoblock Z 21 inci serta talan suspensi sport.

Ciri keselamatan termasuklah struktur casis keluli berkekuatan tinggi dengan ketegaran sehingga 42,000 Nm, tujuh beg udara, Highway Pilot Assist (HWA) dengan fungsi Stop & Go, serta sistem kamera 360 darjah.

Harga jualan smart #5 bermula dari RM199,800 untuk varian Premium, dan mencecah sehingga RM249,800 untuk varian Brabus.

Varian Premium ditawarkan dalam empat warna iaitu Meta Black, Cyber Silver, Pulsar Ruby, dan Saturn Beige Matte, semuanya dilengkapi dengan bumbung berwarna Eclipse Black.

Varian BRABUS pula menampilkan tiga kemasan eksklusif iaitu Atom Grey Matte, Meta Black, dan Digital White, bersama kemasan bumbung bewarna Eclipse Black.

smart Malaysia turut menawarkan konsep Pemilikan Premium Menyeluruh merangkumi perkara berikut:

  • Jaminan Bateri Bervoltan Tinggi selama 8 Tahun / 200,000km
  • Jaminan Komponen Bervoltan Tinggi selama 8 Tahun / 150,000km
  • Jaminan Kenderaan 4 Tahun tanpa had perbatuan
  • Jaminan Alat Ganti 2 Tahun tanpa had perbatuan
  • Khidmat Bantuan Tepi Jalan 24 jam
  • Pengecas Wallbox percuma bernilai RM3,200
  • Penyesuai Vehicle-to-Load (V2L) percuma bernilai RM800
  • Pakej Aksesori percuma dengan 6 item bernilai RM2,000
  • Data Internet percuma 3 Tahun, 3GB/bulan (108GB)

Bentley Supersports: Continental GT paling padu, Malaysia turut tersenarai!

Satu abad selepas kelahiran Bentley Super Sports pertama, nama legenda tersebut kembali dan persinggahan kali keempat dalam sejarah Bentley.

Bentley Supersports baharu diperkenalkan sebagai Continental GT dan paling berfokuskan pemandu setakat ini, dengan beberapa perubahan radikal termasuk konfigurasi pacuan roda belakang dan penurunan berat kasar di bawah dua tan.

Rangkaian Kuasa dan Transmisi

Supersports baharu mengekalkan rangkaian kuasa pembakaran dalaman (ICE) tanpa sebarang sistem hibrid.

Jentera ini dikuasakan enjin V8 4.0 liter turbo berkembar yang dipertingkatkan, menghasilkan ketumpatan kuasa tertinggi berbanding mana-mana enjin Bentley yang lain.

  • Enjin: V8 4.0 liter turbo berkembar baharu
  • Kuasa Maksimum: 666 ps (657 bhp)
  • Tork Maksimum: 800Nm
  • Ketumpatan Kuasa: 166.5 ps/liter (tertinggi dalam siri enjin Bentley)
  • Transmisi: Kotak gear dua klac lapan kelajuan ZF (dengan klac yang dipertingkat dan strategi penukaran baharu)
  • Pacuan: Roda belakang sahaja (RWD)

Kotak gear ZF telah dibangunkan semula khusus untuk Supersports, menampilkan klac yang dipertingkat dan strategi penukaran baharu.

Ini membolehkan penukaran gear menjadi lebih pantas dan responsif.

Supersports dilengkapi ekzos titanium Akrapovič yang ditala khas, menghasilkan bunyi enjin V8 cross plane yang lebih berkarakter, dalam dan kuat tanpa sebarang penguatan bunyi tiruan dalam kabin (perhatian kepada pengeluar lain).

Prestasi Dinamik dan Casis

Supersports baharu mengutamakan penglibatan pemandu maksimum berbanding kelajuan tertinggi, dicapai melalui gabungan pengurangan berat paling ekstrem dalam sejarah Bentley dan sistem rangkaian kuasa yang baharu.

  • Pecutan 0 100 km/j: 3.7 saat
  • Kelajuan Maksimum: Sekitar 310 km/j

Supersports merupakan Continental pertama dalam sejarah selain kereta lumba GT3 yang menggunakan pacuan roda belakang.

Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui eLSD (pembeza gelinciran terhad elektronik), dengan trek roda belakang ditingkatkan sebanyak 16 mm berbanding Continental GT standard.

Sistem ini dibantu oleh torque vectoring by brake untuk pembelokan yang lebih tajam dan daya cengkaman maksimum.

Casis dilengkapi dengan suspensi double wishbone aluminium di hadapan dan gandar belakang pelbagai pautan, pegas udara, serta peredam dua kebuk baharu yang dikawal ECU secara bebas.

Dengan sistem kawalan anti oleng elektrik 48V Bentley Dynamic Ride, jentera ini dapat memberikan tork tindak balas anti oleng sehingga 1,300Nm dalam tempoh sepantas 0.3 saat.

Brek dan Roda

 

  • Brek: Sistem brek automotif terbesar di dunia dipasang sebagai kelengkapan asas.
    • Hadapan: Cakera Carbon Silicon Carbide (CSiC) 440 mm dengan angkup 10 omboh.
    • Belakang: Cakera 410 mm dengan angkup 4 omboh.
  • Roda: Roda aloi aluminium tempa 22 inci baharu (dibangunkan bersama Manthey Racing).
  • Tayar Pilihan: Pirelli P Zero (standard) atau Trofeo RS (pilihan prestasi).

Tetapan ESC membolehkan pemandu memilih antara Aktif Penuh atau Mod Dinamik yang membenarkan gelinciran dalam lingkungan yang selamat dan nyahaktif penuh terus untuk kawalan sepenuhnya di tangan pemandu.

Tiga konfigurasi Drive Dynamics Controller baharu diperkenalkan:

  • Mod Touring: Padanan prestasi Mod Sport Continental GT Speed, tetapi dengan badan lebih tinggi, redaman lebih lembut dan karakter ekzos yang lebih bersahaja.
  • Mod Bentley: Meningkatkan prestasi melebihi Mod Touring, dengan strategi kotak gear, pedal pendikit dan tetapan casis yang dipertingkatkan. Kawalan mula pandu (launch control) tersedia.
  • Mod Sport: Pengoptimuman tertinggi untuk penglibatan pemandu, ditala untuk tindak balas casis dan rangkaian kuasa maksimum.

Reka Bentuk Luaran dan Pengurangan Berat

Supersports baharu ini hampir setengah tan lebih ringan daripada Continental GT dan mempunyai berat di bawah 2,000 kg, menjadikannya Bentley teringan dalam sejarah 85 tahun.

Di antara ciri luaran baharu yang menonjol dan agresif (semuanya diperbuat daripada gentian karbon untuk penjimatan berat) termasuk:

  • Bumbung gentian karbon (menggantikan aluminium) untuk merendahkan pusat graviti.
  • Bampar hadapan yang lebih rendah baharu dengan pemisah hadapan bersepadu terbesar yang pernah dipasang pada kereta jalanan Bentley.
  • Dive planes bertindan di sudut bampar hadapan.
  • Side sills baharu.
  • Bilah fender berbentuk B baharu di belakang roda hadapan.
  • Penyebar (diffuser) belakang baharu.
  • Spoiler belakang tetap pada penutup but.

Gabungan elemen aerodinamik ini menjana lebih daripada 300 kg lebih daya mendap berbanding Continental GT Speed, memastikan keseimbangan daya angkat yang baik sepanjang kereta.

Pengurangan berat tambahan diperoleh daripada pembuangan kelengkapan kabin belakang, pengurangan penebat bunyi dan penyusunan semula sistem audio hanya untuk kabin hadapan.

Tidak hanya perkakasan, Bentley turut ‘membuang’ sistem bantuan pemandu tertentu yang tidak diperlukan pada GT yang memfokuskan pemandu.

Kabin Dalaman yang Berfokuskan Prestasi

  • Tempat Duduk: Tempat duduk sport ringan baharu untuk pemandu dan penumpang
  • Kabin Belakang: Digantikan dengan tub gentian karbon ringan yang dibalut kulit.
  • Bahan: Penggunaan meluas kulit, Dinamica (bahan teknikal) dan venir gentian karbon berkilat tinggi.
  • Pilihan Dalaman: Skema warna satu tona, dwi tona dan tiga tona baharu.

Ketersediaan

Setiap Supersports akan diberi nombor individu, dengan hanya 500 unit yang akan dibina tangan di Crewe.

Pengeluaran Supersports bermula pada Suku Keempat 2026, dengan penghantaran pertama dijangka pada awal 2027.

Model ini akan tersedia di pasaran terpilih, termasuk United Kingdom, Eropah (EU27, Switzerland, dan Turki), Amerika Syarikat, Kanada, Australia, New Zealand, Oman, Bahrain, UAE, Qatar dan Kuwait.

Ada sebuah lagi negara iaitu Malaysia!

Aveta Vanguard 250 SE dapat warna baharu Twilight Blue – harga kekal dari RM16,388

Aveta Malaysia mengumumkan penawaran warna baharu Twilight Blue untuk skuter maxi Vanguard 250 varian SE sebagai pelengkap kepada warna Majestic Green dan Titanium Grey sedia ada.

Selain warna baharu, Aveta Malaysia turut mengesahkan Vanguard 250 versi Standard tidak lagi ditawarkan secara rasmi.

Vanguard 250 ini didatangkan dengan enjin silinder tunggal 244.2 cc yang mampu menjana kuasa setinggi 24.8 hp @ 8,500 rpm dan daya kilas 22.5 Nm @ 6,500 rpm, serta dilengkapi dengan sistem suntikan bahan api Bosch.

Merujuk kepada spesifikasi yang diumumkan sebelum ini, Vanguard 250 SE hadir dengan kelengkapan seperti fork teleskopik 37 mm, penyerap hentak berkembar gas di belakang, angkup brek empat omboh di depan dan dua omboh di belakang, diikuti dengan padanan rim 15 inci depan dan 14 inci belakang.

Ciri lain termasuklah kamera perakam tunggangan, skrin paparan TFT tujuh inci, sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS), sistem brek ABS dua saluran, serta kawalan cengkaman (TCS).

Harga jualan kekal tidak berubah, bermula dari RM16,388 tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Dalam perkembangan terbaharu, Aveta Malaysia telah diiktiraf oleh syarikat TARO Motor (pengeluar China) sebagai Rakan Jualan Terbaik Global atas kejayaan mencatatkan prestasi jualan luar biasa bagi model Vanguard 250.

Pencapaian ini sekaligus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai peneraju pasaran dalam jaringan global TARO.

BYD Sime Motors lancar siri jelajah BYD Tech Discovery di Malaysia, 14-16 Nov di Plaza Arkadia

BYD Malaysia bersama-sama BYD Sime Motors melancarkan siri jelajah teknologi EV yang digelar sebagai BYD Tech Discovery, bermula di Kuala Lumpur pada 14-16 November ini.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang telah disusun untuk para pengunjung.

Antaranya ialah Zon Pandu Uji & Pandu Percubaan yang menyediakan cabaran Camel Bridge & Cross-Axle yang digerakkan oleh teknologi DMO, serta aksi pusingan 360 darjah & Crabwalk menggunakan Denza Z9GT.

Selain itu, pengunjung berpeluang untuk menimba ilmu tentang teknologi teras Bateri Blade, sistem pengecasan pintar dan ciri keselamatan canggih sambil menikmati hidangan kopi percuma dan mendapatkan barangan eksklusif BYD.

Turut disediakan promosi istimewa untuk model-model terpilih seperti:

  • Penjimatan sehingga RM20,000 dan peluang cabutan bertuah sehingga RM38,888 untuk tempahan model BYD M6, BYD Atto 3 Ultra atau BYD Sealion 7
  • Tawaran trade-in termasuk rebat sehingga RM11,000 untuk BYD Atto 2 dan BYD Seal
  • Rebat RM15,000 atau pembiayaan tanpa faedah untuk Denza D9

Bertempat di Car Park 3 Plaza Arkadia, Desa ParkCity, BYD Tech Discovery ini terbuka kepada semua rakyat Malaysia dari jam 10.00 pagi hingga 8.00 malam.

Enam perkara yang perlu anda tahu tentang trak pikap BYD Shark 6

Bersempena dengan penganjuran acara BYD Tech Discovery 2025 di Plaza Arkadia (14-16 November ini), BYD Sime Motors mengambil kesempatan untuk mempertontonkan trak pikap Shark 6 buat kali pertama.

BYD menggunakan model ini untuk mempamerkan teknologi Dual Mode Off-road (DMO) Super Hybrid kepada umum.

Uunit yang dipamerkan ini merupakan unit pemanduan sebelah kanan (RHD), memberikan petanda ia mungkin sekali akan dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan tidak lama lagi.

Berikut merupakan beberapa fakta ringkas yang perlu anda tahu tentang BYD Shark 6:

 

1. Platform

Trak pikap ini menggunakan binaan casis body-on-frame, berkongsi platform yang sama dengan model SUV Fangchengbao Bao 5 (atau Leopard 5).

Untuk info, SUV Bao 5 pernah dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2024.

 

2. Enjin

Shark 6 bukanlah sebuah trak pikap berkuasa elektrik, akan tetapi trak pikap dengan unit rangkaian kuasa plug-in hybrid (PHEV).

Sistem DMO Super Hybrid itu terdiri daripada:

  • enjin empat silinder sebaris 1.5 liter turbo (181 hp/260 Nm)
  • dua motor elektrik
  • pek bateri LFP 29.58 kWh

Kuasa keseluruhan mencecah 430 hp dan 650 Nm, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam 5.7 saat dan kelajuan maksimum cuma 160 km/j.

 

3. Jarak gerak

Untuk pemanduan sifar emisi, BYD Shark 6 menawarkan jarak sehingga 100 km.

Namun, bila digandingkan dengan tangki bahan api sebesar 59 liter, Shark 6 boleh bergerak sejauh 840 km mengikut data NEDC.

 

4. Pengecasan

Pek bateri LFP itu tadi menyokong pengecasan AC sehingga 7 kW, serta pengecasan pantas DC sehingga 55 kW.

Dengan keupayaan tersebut, bateri boleh dicas sepantas 25 minit dari 30-80 peratus SoC.

Shark 6 turut menawarkan fungsi vehicle-to-load (V2L) sehingga 6.6 kW.

 

5. Dimensi

Dari segi saiz, BYD Shark 6 membawakan ukuran sepanjang 5,457 mm, lebar 1,971 mm, tinggi 1,925 mm dengan jarak antara roda sepanjang 3,260 mm.

Dengan bantuan tetapan suspensi bebas double wishbone di belakang, BYD Shark 6 mempunyai jarak kelegaan tanah 230 mm.

Sudut pendekatan adalah pada 31 darjah, sementara sudut pelepasan pula 19 darjah.

Ruang kargo belakang boleh menampung kapasiti 1,450 liter dengan had muatan 835 kg.

 

6. Kelengkapan

Berdasarkan unit RHD yang dipamerkan ini, antara kelengkapan yang boleh dilihat pada bahagian luar termasuklah unit lampu LED depan dan belakang, rim aloi 18 inci, kehadiran port pengecasan pada bahagian kanan, serta soket V2L.

Ruang kabin pula menempatkan skrin kluster digital 10.25 inci, skrin infohibur 15.6 inci, slot pengecasan peranti pintar tanpa wayar, serta skrin paparan head-up.

Geely hebat, 210 ribu Geely EX5 terjual, hanya 15 bulan selepas pelancaran

Geely Auto baru-baru ini mengumumkan SUV elektrik Geely EX5, telah mencapai kejayaan penting dengan jumlah jualan global sebanyak 210,000 unit sehingga Oktober 2025.

Pencapaian luar biasa ini direkodkan hanya dalam tempoh 15 bulan selepas pelancaran pada Ogos 2024.

Bukan sahaja EX5, kembar di pasaran tempatan iaitu Proton e.MAS 7 juga mencatatkan perkembangan memberangangkan dengan jualan sebanyak 7,413 unit sejak dilancarkan pada Disember 2024.

Direka Untuk Keluarga Muda Global

Geely EX5 direka khusus sebagai SUV elektrik yang menyasarkan keluarga muda di seluruh dunia.

Ia dibangunkan untuk mengatasi isu biasa EV kompak, seperti reka bentuk, ruang dalaman, fungsi pintar, prestasi dan kecekapan tenaga.

EX5 dilengkapi sistem pacuan elektrik pintar 11-dalam-1 dan teknologi pengurusan haba canggih.

 

Ciri-ciri tersebut membolehkan EX5 mencapai penggunaan tenaga yang terkemuka dalam kelasnya, iaitu serendah 12.1 kWj bagi setiap 100 km.

Ini bermakna pemanduan EX5 bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga menjimatkan.

Selain itu, kemas kini Perisian Atas Talian (OTA) yang berterusan memastikan tahap personalisasi dan kemudahan yang dipertingkatkan, membolehkan EX5 sentiasa berevolusi seiring dengan keperluan pemilik.

Merantau ke 33 Negara 

Geely EX5 dibangunkan melalui jaringan R&D global Geely dan sistem teknologi canggih.

Selepas diperkenalkan di Pameran Kenderaan Elektrik EVA Frankfurt, model ini pantas mendapat perhatian dan momentum global.

Penampilan sulung EX5 di UK pada Oktober 2025 merupakan langkah terbaharu yang memperkukuh momentum globalnya.

Sehingga kini, EX5 sudah berada di 33 negara merangkumi rantau Eropah, Asia, Oceania, Timur Tengah dan Amerika.

Dominasi Pasaran Utama

  • Di Greece, EX5 mencatatkan prestasi jualan yang kukuh pada September 2025, mendahului jualan dalam segmennya.
  • Pasaran Australia pula menunjukkan penerimaan yang sangat memberangsangkan dengan pertumbuhan pesat sejak pelancarannya pada Mac 2025.
  • Sementara itu, di Brazil, Geely EX5 mendominasi segmennya, merekodkan kedudukan jualan nombor satu selama dua bulan berturut-turut sejurus selepas pelancaran rasmi.

Barisan NEV Geely Melebihi Sasaran Jualan Sejuta Unit

Didorong oleh prestasi kukuh Geely EX5 dan model popular lain, barisan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) jenama Geely telah melepasi sasaran jualan tahunan lebih awal iaitu satu juta unit pada Oktober 2025. Angka tepat ialah 1,002,461 unit.

Perancangan Masa Depan dan Strategi Global

Geely Auto merancang untuk terus menembusi pasaran utama Eropah, termasuk Jerman, Perancis, Itali, dan Sepanyol.

Pada masa yang sama, syarikat akan memperkukuh kehadiran di pasaran baru muncul seperti Uzbekistan, Afrika Selatan dan Colombia.

Melalui inovasi dan strategi global bernilai tinggi, Geely Auto menyasarkan untuk menawarkan mobiliti yang lebih pintar, hijau,dan menyeronokkan kepada pemandu di seluruh dunia.

Gran Turismo 7 Power Pack DLC bakal tiba 4 Disember ini dengan 50 perlumbaan baharu, AI eksklusif dan 5 juta kredit

Polyphony Digital telah mengumumkan kemas kini berbayar baharu untuk Gran Turismo 7 yang dikenali sebagai Power Pack DLC. Ia akan dilancarkan pada 4 Disember 2025, eksklusif untuk pemain di PlayStation 5.

Digelar sebagai bab baharu dalam francais perlumbaan ikonik ini, Power Pack memperkayakan lagi pengalaman perlumbaan sebenar dengan menambah 50 perlumbaan baharu merentasi enam tema global yang diinspirasikan daripada budaya automotif seluruh dunia.

Bukan itu sahaja, pemain juga boleh menikmati musim perlumbaan penuh yang merangkumi sesi latihan, kelayakan, dan perlumbaan utama.

DLC ini turut memperkenalkan Gran Turismo Sophy 3.0, versi terkini kecerdasan buatan (AI) perlumbaan yang menawarkan pertempuran lebih sengit dan realistik di litar. Menariknya, Sophy 3.0 hanya boleh dimainkan dalam Power Pack.

Selain itu, Power Pack juga menawarkan acara ketahanan (endurance) 24 jam dan kredit dalam permainan berjumlah 5 juta untuk memulakan kerjaya perlumbaan anda.

Harga rasmi DLC ini masih belum diumumkan, namun dengan semua kandungan baharu ini, ia dijangka menjadi salah satu kemas kini terbesar dalam sejarah Gran Turismo 7.

Bagi menjadikannya lebih berbaloi, Power Pack juga bakal hadir bersama kemas kini percuma Spec III, yang akan menambah beberapa litar baharu, kereta tambahan, serta pelbagai kandungan menarik lain.

Subaru BRZ STI Sport Type RA – model edisi terhad 300 unit dengan naik taraf kereta lumba

Subaru Tecnica International (STI), divisyen prestasi dan perlumbaan Subaru, telah memperkenalkan model edisi terhad BRZ STI Sport Type RA (Record Attempt) yang diinspirasikan terus daripada dunia perlumbaan sebenar.

Hanya 300 unit akan dihasilkan, dan ia hanya boleh dibeli melalui sistem undian di pengedar Subaru di seluruh Jepun dari 13 hingga 30 November 2025.

Ia juga akan membuat penampilan umum pertamanya di acara Super Taikyu Series 2025 “S-Tai Final” di litar Fuji Speedway pada 15 dan 16 November.

Di bawah bonet, enjin boxer 2.4 liter empat silinder (FA24) dikekalkan namun setiap komponen utama seperti piston, conrod, aci engkol, roda tenaga dan penutup klac tela ditala semula bagi mengurangkan getaran serta menghasilkan pecutan lebih responsif.

Apa yang menarik, proses penalaan ini sama seperti yang digunakan pada jentera lumba Team SDA Engineering BRZ CNF Concept dalam siri perlumbaan Super Taikyu.

Selain itu, model ini turut dilengkapi dengan perumah differential belakang dengan sirip penyejuk, memastikan prestasi konsisten walaupun dipandu secara agresif.

Sistem Shift Assist dengan fungsi Rev-Sync dan Flat Shift turut disertakan. Rev-Sync berfungsi untuk memadankan rev secara automatik ketika menurunkan gear untuk pertukaran gear lebih lancar, manakala Flat Shift membolehkan menaikkan gear tanpa perlu menekan klac.

Sistem suspensi turut dinaik taraf dalam bentuk penyerap hentak ZF bersama komponen fleksibel STI, menjadikan pengendalian lebih tajam dan lincah.

Dari segi penampilan, model ini tampil lebih garang dengan rim aloi STI BBS 18 inci (matte grey atau bronze), angkup brek Brembo emas, spoiler belakang gentian karbon, serta kit aero STI di sekeliling badan.

Bahagian dalam pula dihiasi upholsteri fabrik hitam dengan jahitan merah, pemegang pintu hitam, dan logo-logo STI.

Setiap unit turut hadir dengan plat khas enjin yang menampilkan logo STI dan TYPE RA, menandakan status eksklusifnya sebagai model edisi terhad.

Harga rasmi bermula dari 4,972,000 yen (sekitar RM133,000) untuk versi tanpa spoiler belakang, manakala varian dengan spoiler gentian karbon berharga 5,478,000 yen (sekitar RM147,000).