Arkib Kategori: BERITA

Daihatsu mengaku ‘menipu’ dalam ujian perlanggaran keselamatan

DAIHATSU telah mengaku akan ‘kesalahan’ dalam ujian keselamatan perlanggaran yang dibuat untuk pematuhan piawaian melibatkan empat model. Ini merangkumi Perodua Axia 2023, Toyota Vios (dikenali sebagai Yaris Ativ di beberapa pasaran seperti Thailand), Toyota Agya, dan sebuah model yang belum dilancarkan.

Anak syarikat Toyota itu mengakuinya dalam satu kenyataan, dan menambah bahawa lebih 88,000 unit berkenaan setakat ini telah terjual di Malaysia, Thailand, Indonesia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, dan Mexico. Penghantaran baharu telah dihentikan.

“Kami benar-benar minta maaf kerana mengkhianati kepercayaan pelanggan dan pemegang saham kami dan kerana mengakibatkan kesulitan serta kerisauan,” tulis kenyataan oleh Daihatsu itu.

Sementara itu, Toyota juga mengeluarkan kenyataan berasingan. “Kesalahan Daihatsu melibatkan hal keselamatan, iaitu aspek paling penting bagi kenderaan.

“Kami menganggap ini sebagai sesuatu yang tidak dapat diterima kerana ia mengkhianati kepercayaan pelanggan-pelanggan kami,” kata Akio Toyoda, Pengerusi Ahli Lembaga Toyota.

“Kami akan bermula dengan membuat siasatan terperinci dengan mengumpul data bagi memahami situasi, menentukan penyebab sebenar, dan bekerja keras mengelakkan ia dari berulang.

“Kami juga akan secepat mungkin memaklumkan kepada umum perkara-perkara yang kami temui sepanjang siasatan kami,” tambah Akio.

Menurut Reuters, kenderaan yang terlibat dikatakan telah dimodifikasi dengan “lekuk” untuk mengurangkan risiko dalam ujian agar bahagian dalam pintu tidak pecah dengan serpihan tajam dan mencederakan penumpang jika beg udara sisi diaktifkan dalam perlanggaran.

Modifikasi ujian itu tidak menjadi sebahagian dari kenderaan produksi.

Toyota berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan kemalangan atau kecederaan membabitkan perubahan bahagian sisi itu.

Juga masih belum jelas siapa bertanggungjawab mengubah pintu itu untuk ujian perlanggaran, seberapa ramai dalam Daihatsu yang tahu akan perkara ini, dan sama ada terdapat pihak atasan yang meluluskan perubahan ini.

Polis buru pemandu biar kanak-kanak berpaut di pintu

POLIS kini mengesan seorang pemandu trak pikap yang disyaki memandu secara cuai sehingga mendedahkan kanak-kanak kepada bahaya di jalan raya.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, pemandu Nissan Navara itu dikehendaki selepas perbuatannya telah tular dalam video di media sosial baru-baru ini.

Katanya, pihaknya telah terkesan satu rakaman video berdurasi 12 saat di media sosial yang dimuat naik memaparkan insiden pemandu Nissan Navara berwarna putih telah bersikap cuai dan mendedahkan bahaya kepada kanak-kanak.

“Penelitian dalam video itu mendapati pemandu itu bersikap cuba dengan cara memaut seorang kanak-kanak menggunakan tangan kanan di sebelah pintu pemandu ketika kenderaan sedang bergerak.

“Hasil siasatan awal yang dijalankan kejadian tersebut berlaku di Taman Industri Bolton, Batu Caves,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Noor Ariffin, polis juga mengesan pemilik akaun media sosial berkenaan yang bertanggungjawab merakam dan menularkan video itu serta pemilik kenderaan yang terlibat dalam insiden itu.

Kes berkenaan sedang disiasat secara mendalam di bawah Seksyen 336 Kanun Keseksaan.

Pada masa yang sama, orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dan boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-6645812 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03-61262222.

Volvo EX90 terlalu laku, tempahan dihentikan sementara waktu

NAMPAKNYA SUV elektrik flagship keluaran Volvo iaitu EX90 mendapat sambutan yang terlalu menggalakkan, sehinggakan syarikat itu terpaksa berhenti mengambil tempahan buat sementara waktu.

Volvo dalam satu kenyataan berkata langkah itu diambil kerana permintaan untuk model itu telah melepasi unjuran syarikat dan kelompok pertama produksi telah pun habis dijual.

Walau bagaimanapun, pengeluar kereta dari Sweden itu berkata tempahan untuk EX90 akan dibuka semula, namun tidak menyatakan bila ia akan berbuat demikian.

Diperkenalkan di peringkat global pada November tahun lalu, EX90 mempunyai reka bentuk seakan XC90 namun ia dibina menggunakan platform serba baharu untuk trenkuasa elektrik sepenuhnya.

Ia dilengkapi dengan sepasang motor elektrik, iaitu satu pada setiap gandar. Varian Twin Motor mempunyai kuasa keseluruhan berjumlah 408 PS dan 770 Nm, manakala varian Twin Motor Performance mempunyai 517 PS dan 910 Nm.

Kedua-dua varian dilengkapi dengan bateri berkapasiti 111 kWh yang menawarkan jarak sehingga 600 km bagi Twin Motor dan 590 km bagi Twin Motor Performance. Pengecasan dari 10 hingga 80 peratus mengambil masa kira-kira 30 minit menerusi pengecas pantas DC.

Untuk keselamatan pula, EX90 tampil dengan kamera, radar dan sensor LiDAR yang membolehkan SUV itu ‘melihat’ keadaan sekeliling secara 360 darjah, di samping meningkatkan keupayaan sistem bantuan pemandu iaitu Pilot Assist.

EX90 akan dihasilkan di kilang Volvo di Charleston, South Carolina, Amerika Syarikat dan juga di Chengdu, China.

Suami isteri buat aksi ‘wheelie’ ditahan polis

SELEPAS dua hari menghilangkan diri, pasangan suami isteri yang terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya Isnin lepas akhirnya tampil menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu pada Khamis (27 April).

Menurut Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun, pasangan yang berusia 17 dan 16 tahun itu hadir ke IPD berkenaan pada jam 10 pagi dan kemudian ditahan Unit 42 Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang dengan aksi berbahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini pasangan itu diburu polis selepas video berdurasi 28 saat yang menunjukkan mereka membuat aksi ‘wheelie’ tular di media sosial. Kejadian itu dipercayai berlaku di Jalan Pasir Puteh, Kampung Peringat di Kota Bharu.

Hyundai Creta dilancarkan di Malaysia – RM149,888

PESAING terbaru dalam pasaran SUV segmen B iaitu Hyundai Creta telah pun dilancarkan di Malaysia oleh Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) selaku pengedar rasmi jenama itu.

Untuk pasaran tempatan, Creta ditawarkan dalam satu varian sahaja iaitu Plus, dengan harga bermula dari RM149,888. Apa yang menarik, 150 pembeli pertama akan mendapat pakej waranti lanjutan selama 5 tahun/300,000 km dan pakej servis percuma selama 3 tahun/50,000 km.

Saiz Creta sedikit lebih besar jika dibandingkan dengan satu lagi SUV segmen B dalam barisan HSDM iaitu Kona. Ia mempunyai ukuran panjang 4,315 mm, lebar 1,790 mm, tinggi 1,630 mm dan tapak roda 2,610 mm.

Model ini menampilkan ‘wajah’ Parametric Jewel seperti Tucson, di mana lampu nyalaan siang LED digabungkan dengan gril. Lampu projektor LED pula diletakkan pada bahagian kiri dan kanan bampar.

 

Varian Plus didatangkan dengan rim 17 inci, serta lima pilihan warna iaitu Dragon Red Pearl, Galaxy Blue Pearl, Titan Grey Metallic, Midnight Black Pearl dan Creamy White Pearl.

Masuk ke dalam, anda akan menemui upholsteri fabrik serba hitam pada tempat duduk dan kemasan kulit pada stereng dan tombol gear.

Kelengkapan yang disertakan termasuklah kluster instrumen TFT LCD berukuran 10.25 inci, skrin sentuh sistem infohibur 8 inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto wayarles, ciri pengecaman suara, pendingin hawa automatik dengan corong belakang, Keyless Entry dan brek parkir elektronik dengan Auto Hold.

Creta menampilkan ruang but sebesar 416 liter, atau 1,384 liter jika tempat duduk belakang dibaringkan.

Untuk trenkuasa pula, ia hadir dengan enjin petrol Smartstream G 1.5-liter empat silinder yang menghasilkan 115 PS pada 6,300 rpm dan 144 Nm tork pada 4,500 rpm. Ia dipadankan dengan Intelligent Variable Transmission (IVT) yang memacu roda hadapan.

Pemandu boleh memilih daripada empat mod pemanduan yang disediakan (Eco, Normal, Sport dan Smart) dengan menggunakan tombol pada konsol tengah.

Dari segi keselamatan, Creta mempunyai enam beg udara serta sistem Hyundai SmartSense yang merangkumi Forward and Blind Spot Collision-Avoidance Assist, Lane Keeping Assist, Lane Following Assist, Leading Vehicle Departure Alert, Rear Cross Traffic Collision-Avoidance Assist, Safe Exit Warning dan High Beam Assist.

Volkswagen ID.7 ada 286 PS, mampu bergerak sejauh 700 km

VOLKSWAGEN telah memperkenalkan model terbaru dalam barisan kenderaan elektrik mereka iaitu ID.7. Merupakan EV Volkswagen pertama dalam kelas saiz pertengahan atas, ID.7 akan dilancarkan pada tahun ini untuk pasaran Eropah dan China, dan tahun hadapan untuk Amerika Utara.

Seperti model-model ID yang lain, ID.7 dibina berasaskan platform Modular Electric Drive Matrix (MEB). Walau bagaimanapun, ia didatangkan dengan trenkuasa elektrik generasi baharu dikenali sebagai AP550 yang menawarkan output sehingga 286 PS.

Mengenai jarak pula, model ini dikatakan mampu bergerak sehingga 700 km dengan satu cas penuh, bergantung kepada saiz bateri yang dipilih. Ia juga menyokong ciri pengecasan pantas dengan kapasiti sehingga 200 kW.

Selain bateri, Volkswagen mendakwa jarak pemanduan itu disokong oleh faktor reka bentuk ID.7 yang panjang (hampir lima meter) dan bumbung ala coupe yang memberikannya kadar pekali seret serendah 0.23.

Di dalam, ID.7 membawakan konsep operasi dan paparan baharu. Ia merangkumi skrin sistem infohibur berukuran 15 inci, paparan head-up dengan realiti terimbuh (AR), sistem kawalan baharu untuk pendingin hawa dan butang “Favourite” yang b0leh dikonfigurasikan.

Selain itu, terdapat juga bumbung panoramik yang boleh dimalapkan yang boleh dikawal sama ada menerusi panel sentuh atau arahan suara.

Volkswagen turut menawarkan beberapa ciri opsyen seperti fungsi Climatronic dengan ciri penyejukan, pemanas dan pengering untuk tempat duduk hadapan, fungsi urut, serta sistem audio Harman Kardon 700 watt dengan 14 pembesar suara.

Sistem bantuan pemandu menampilkan ciri Travel Assist yang mempunyai keupayaan untuk membantu pemandu menukar lorong di lebuh raya pada kelajuan melebihi 90 km/j. Ciri ini dikatakan dapat mengurangkan tekanan pemandu dengan ketara.

Kereta ini juga didatangkan dengan sistem bantuan parkir dengan fungsi memori sehingga 50 meter. Pemandu boleh duduk di dalam kereta atau memantau proses ini dari luar kenderaan menerusi aplikasi telefon pintar.

ID.7 akan dihasilkan di kilang Volkswagen di Emden, Jerman untuk pasaran Eropah dan Amerika Utara. Untuk pasaran China pula, sedan ini akan dipasang secara tempatan.

14,514 notis pelbagai kesalahan dikeluarkan JPJ dalam 8 hari

PROGRAM Advokasi dan Op Motosikal sempena Aidilfitri 2023 menyaksikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengeluarkan sebanyak 14,514 notis pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) dari 18 hingga 25 April.

Bukan itu sahaja, jabatan itu turut menyita 500 unit motosikal dalam tempoh yang sama.

Menurut Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasa JPJ, Datuk Lokman Jamaan, notis dikeluarkan hasil pemeriksaan terhadap 51,039 motosikal manakala sitaan kerana kesalahan tiada perlindungan insurans, lesen memandu dan lain-lain membabitkan 291 lokasi Point of Duty (POD) di seluruh negara.

Enam kesalahan utama yang dikesan ialah tiada lesen memandu (4,583 notis), lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh (2,600 notis), tiada insurans (2,364 notis), lesen memandu tamat tempoh (168 notis), tidak memakai topi keledar (160 notis) dan tidak mematuhi lampu isyarat (120 notis).

Tambah Lokman, kajian menunjukkan penggunaan topi keledar yang betul dapat mengurangkan kecederaan sehingga 25 peratus kepada pengguna motosikal.

Sumber gambar: Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia

“Oleh itu, langkah-langkah advokasi dan penguatkuasaan tegas akan terus dilaksanakan JPJ dari semasa ke semasa bagi menurunkan kadar kemalangan dan kemalangan maut membabitkan pengguna motosikal,” katanya.

Bagi Op Khas Motosikal Perak dari 18 hingga 25 April, Lokman berkata sebanyak 7,146 motosikal diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,313 motosikal diambil tindakan di bawah Akta 333.

Sementara itu, Lokman berkata dalam usaha meminimumkan kadar kemalangan dan kemalangan maut pada musim perayaan ini, tindakan advokasi serta penguatkuasaan secara bersasar difokuskan kepada penunggang atau pembonceng motosikal di seluruh negara.

Katanya, ia berdasarkan rekod kemalangan maut pengguna motosikal bagi tempoh 2010 hingga 2022 adalah paling tinggi jika dibandingkan dengan pengguna kenderaan lain iaitu melebihi 60 peratus.

Justeru, katanya, melalui Op Bersepadu peringkat kebangsaan 2023, JPJ melaksanakan strategi penguatkuasaan dan advokasi khas kepada pengguna motosikal bagi membudayakan pematuhan undang-undang jalan raya serta penerapan rasa bersalah apabila melakukan pelanggaran peraturan khususnya punca kemalangan maut serta membahayakan pengguna lain.

McLaren 750S tampil sebagai pengganti 720S

SETELAH enam tahun berada di pasaran, supercar flagship keluaran McLaren iaitu 720S akhirnya mendapat pengganti yang lebih ringan, lebih berkuasa dan lebih canggih. Memperkenalkan, McLaren 750S yang hadir dalam versi Coupe dan Spider.

Anda mungkin sudah dapat mengagak jumlah kuasa yang jentera ini ada menerusi namanya. Ya, 750S mempunyai 750 PS dan 800 Nm yang dibekalkan oleh enjin 4.0-liter twin-turbo V8.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding enjin P1 yang menghasilkan 737 PS dan 720 Nm, tidak termasuk kuasa tambahan daripada sistem hibrid.

Kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik tujuh kelajuan dengan nisbah pacuan akhir yang lebih pendek, membolehkan 750S memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam hanya 2.8 saat. Kelajuan maksimum adalah 332 km/j bagi Coupe dan Spider.

Menurut McLaren, 30 peratus daripada komponen 750S adalah baharu atau telah dipertingkatkan. Hasilnya, 750S adalah 30 kg lebih ringan berbanding 720S dengan berat keseluruhan hanya 1,277 kg.

Sementara itu, versi Spider yang mempunyai struktur gentian karbon pada bahagian atas dan bumbung jenis hard top hanya 49 kg lebih berat berbanding versi Coupe.

Casis pula menampilkan sistem suspensi Proactive Chassis Control III dengan geometri baharu serta gegelung yang lebih lembut (3 peratus) pada gandar hadapan dan lebih keras (4 peratus) pada gandar belakang.

Stereng bantuan hidraulik ditala semula dengan nisbah lebih pantas, manakala jarak antara roda kiri dan kanan pada gandar hadapan bertambah sebanyak 6 mm. Turut disertakan adalah sistem lift yang boleh menaikkan ketinggian suspensi dalam hanya empat saat, enam saat lebih pantas berbanding 720S.

Untuk sistem brek pula, McLaren kini menawarkan pakej naik taraf yang merangkumi cakera karbon seramik dan angkup monobloc seperti yang digunakan oleh Senna. Apa yang menarik, cakera tersebut mengambil masa selama tujuh bulan untuk dihasilkan.

Walaupun begitu, ia dikatakan 60 peratus lebih kuat dan mempunyai empat kali ganda kekonduksian termal jika dibandingkan dengan cakera konvensional.

Penampilan luaran 750S mungkin tidak ubah seperti model yang digantikannya, namun McLaren mendakwa jentera baharu ini lebih cekap dari segi aerodinamik.

Sebagai contoh, bampar hadapan direka semula bagi membolehkan udara menghala ke arah liang intake dan seterusnya ke radiator bagi tujuan penyejukan.

Splitter pada bahagian hadapan pula bertindak untuk memberikan kestabilan aerodinamik, bersama dengan spoiler aktif pada bahagian belakang yang mempunyai permukaan yang lebih besar sebanyak 20 peratus. Ia boleh dinaikkan dalam masa setengah saat untuk meningkatkan downforce ketika membrek.

Di dalam, terdapat paparan baharu untuk pemandu yang dipasang pada kolum stereng. Butang untuk mod Handling dan Power diletakkan pada bahagian kiri dan kanan bagi membolehkan pemandu menukar mod tanpa perlu melepaskan stereng.

Satu lagi ciri yang disertakan adalah McLaren Control Launcher (MCL), yang membolehkan pemandu menyimpan tetapan aerodinamik, suspensi, enjin dan transmisi kegemaran mereka. Sistem infohibur boleh diakses menerusi skrin menegak pada konsol tengah yang menawarkan grafik yang lebih tajam dan terperinci.

Tempahan untuk 750S kini dibuka, dengan harga bermula dari $324,000 (RM1.44 juta) untuk Coupe dan $345,000 (RM1.53 juta) untuk Spider.

Land Rover Defender 130 dapat versi Outbound dan enjin V8

LAND Rover telah mengemaskini barisan Defender untuk model tahun 2024, di mana varian 130 kini ditawarkan dalam versi Outbound dan V8, manakala varian 110 boleh didapati dengan County Exterior Pack.

Untuk Defender 130 Outbound, model edisi terhad ini hanya ditawarkan dalam konfigurasi lima tempat duduk, dengan dua pilihan enjin Ingenium iaitu petrol P400 dan diesel D300.

Menurut Land Rover, Defender 130 Outbound dibangunkan untuk mereka yang ingin mengembara dalam keadaan yang selesa namun sebahagian besar pembaharuan adalah dari aspek kosmetik sahaja.

Ini termasuk kemasan Shadow Atlas Matt pada bahagian bampar dan gril, manakala liang udara sisi diberi kemasan Anthracite. Pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan rim 20 inci berwarna Gloss Black atau rim 22 inci berwarna Shadow Atlas Matt.

Terdapat empat warna luaran untuk dipilih iaitu Fuji White, Santorini Black, Carpathian Grey dan Eiger Grey. Turut ditawarkan adalah Satin Protective Film untuk perlindungan terhadap kesan calar.

Di dalam, pelanggan boleh mendapatkan upholsteri kulit Windsor yang serba mewah atau fabrik Resist yang tahan lasak. Kedua-duanya didatangkan dalam warna Ebony, dengan pelapik bumbung, Ebony Morzine, veneer Robustec dan kemasan Satin Black Powder Coat Brushed pada papan pemuka.

Defender 130 V8

Sebagai pelengkap pakej, Land Rover turut menyertakan pelapik lantai getah, jaring kargo dan lashing points bagi memastikan muatan dapat diikat dengan selamat.

Selain versi Outbound, Defender 130 kini juga mendapat pilihan enjin supercharged 5.0-liter V8 yang menjana 500 PS dan 610 Nm. Ini membolehkannya melakukan pecutan 0-100 km/j dalam hanya 5.7 saat.

Defender 110 County Exterior Pack

Sementara itu, pembeli Defender 110 boleh memesan County Exterior Pack yang diinspirasikan daripada Defender Country. Pakej itu merangkumi grafik retro pada bahagian sisi kenderaan, treadplate pada bahagian hadapan, serta rim 20 inci dalam dua kemasan termasuk Gloss White.

Pakar keselamatan jalan raya gesa kerajaan henti beri diskaun saman trafik

DISKAUN saman trafik bukanlah satu perkara yang asing di negara ini. Malah, ia sudah menjadi sesuatu yang sering ditunggu-tunggu oleh pengguna jalan raya terutamanya mereka yang memiliki banyak saman tertunggak.

Amalan ini perlu dihentikan segera kerana menurut dua pakar jalan raya, ia hanya akan menyebabkan pengguna bersikap acuh tak acuh terhadap undang-undang.

Bercakap kepada FMT, Law Teik Hua dari Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata “budaya” menawarkan diskaun untuk saman mengurangkan impak penguatkuasaan undang-undang.

“Tiada siapapun akan menghormati undang-undang jika mereka tahu bahawa kerajaan akhirnya akan memberikan diskaun,” katanya.

Tambah Law, kerajaan melihat saman sebagai kaedah meraih pendapatan dan bukannya penalti bagi mereka yang melanggar undang-undang. Bagaimanapun, katanya, saman sepatutnya bersifat tegas supaya mengekang pesalah melanggar peraturan.

Law turut berkata sistem demerit yang kini digunakan juga wajar dikuatkuasakan dengan lebih meluas untuk mengekang kesalahan jalan raya.

Katanya, kesukaran akibat lesen memandu digantung atau ditarik balik mampu menjadi pengajaran yang memastikan pematuhan peraturan lalu lintas.

Gambar oleh: MalayMail

Sementara itu, Tengku Ahmad Marwan Tengku Mahmud, ahli bersekutu Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) bersetuju dengan Law bahawa sistem demerit patut lebih dikuatkuasakan.

Malah beliau berkata, pemberian diskaun bagi saman lalu lintas tidak diamalkan di negara maju.

“Di UK, orang ramai mematuhi peraturan lalu lintas kerana sedar walaupun mampu membayar saman, mereka tidak dapat mengelak sistem markah demerit.

“Jadi orang kaya sekalipun tidak sanggup melanggar peraturan kerana tahu sebaik kehilangan markah kerana kesalahan dilakukan, lesen mereka akan ditarik balik atau dibatalkan pihak berkuasa,” katanya.

Minggu lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kadar khas bayaran saman berjumlah hanya RM50 bagi semua saman trafik PDRM yang dikeluarkan pada tahun 2022 dan sebelumnya. Tawaran ini bermula dari 21 April hingga 21 Mei 2023.

BMW K 1600 GT, K 1600 GTL dilancarkan di Malaysia

SEGMEN motosikal touring tempatan kini menjadi lebih hangat dengan kehadiran dua model baharu daripada BMW Motorrad Malaysia iaitu BMW K 1600 GT dan K 1600 GTL.

Kedua-dua model berkenaan hadir dengan ciri-ciri kefungsian yang dikemas kini, serta enjin sebaris enam silinder langsing yang menawarkan keupayaan jelajah yang luar biasa.

BMW K 1600 GTL

K 1600 GT merupakan varian yang tangkas dan dinamik, tampil dengan lampu hadapan LED yang telah dinaik taraf sepenuhnya, manakala K 1600 GTL pula dibangunkan khas untuk tunggangan berdua bersama pembonceng.

Kedua-duanya dilengkapi dengan komponen pelindung enjin, penghadang angin rendah yang boleh dilaras secara elektrik, lampu membelok adaptif, lampu nyalaan siang, lampu tambahan LED, serta lampu kabus tambahan.

Untuk pilihan warna, K 1600 GT ditawarkan dalam warna Black Storm Metallic dan Style Sport yang menggabungkan warna putih, biru metalik, merah dan kemasan emas pada angkup brek hadapan.

K 1600 GTL pula tersedia dalam warna Black Storm Metallic dan Gravity Blue Metallic (Style Exclusive). Turut ditawarkan adalah untuk GT dan GTL adalah warna Option 719 Meteoric Dust edisi khas yang baharu.

Selain itu, terdapat empat butang “Favourite” yang boleh dikonfigurasikan, dan skrin paparan TFT berwarna 10.25 inci dengan aplikasi BMW Motorrad Connected, fungsi Bluetooth dan juga sambungan Wifi untuk navigasi.

K 1600 GT dan GTL dikuasakan oleh enjin enam silinder sebaris bersesaran 1,649 cc yang mampu menghasilkan 160 hp pada 6,750 rpm dan 180 Nm pada 5,250 rpm.

Enjin empat lejang dengan teknologi penyejukan minyak/air itu digandingkan dengan transmisi klac multicakera enam kelajuan. Menurut BMW, kelajuan maksimum jentera-jentera ini mencecah 200 km/j manakala kadar penggunaan bahan api adalah 5.9 liter bagi setiap 100 km.

Sistem suspensi K 1600 GT terdiri daripada BMW Motorrad Duolever di hadapan, dan lengan ayun aluminium tunggal berserta BMW Motorrad Paralever di belakang.

Untuk K 1600 GTL pula, ia mendapat BMW Motorrad Duolever yang sama, cuma pada bahagian belakang terdapat spring sentral dengan fungsi peredam lantunan dan pra-beban.

Di samping BMW Motorrad Integral ABS Pro, kedua-dua model ini turut didatangkan dengan mod tunggangan Rain, Road dan Dynamic. Ciri-ciri elektronik lain seperti kawalan cengkaman, kawalan brek enjin, Hill Start Control dan Dynamic ESA Next Generation turut disertakan.

Aspek keselesaan turut diberi naik taraf menerusi fungsi penghangat pada bar hendal dan tempat duduk, brek tangan dan tuil klac boleh laras serta ciri Cruise Control. Untuk hiburan pula, K 1600 GTL dilengkapi dengan Audio System 2.0 dengan pembesar suara pada fairing hadapan.

Apa yang menarik, ciri-ciri yang sebelum ini ditawarkan sebagai opsyen kini dijadikan standard bagi kedua-dua varian. Ia termasuk tunggangan tanpa kunci, sistem pengunci sentra, Gear Shift Assist Pro dan penggera antikecurian.

Harga jualan (atas jalan, dengan waranti serta program bantuan tepi jalan tiga tahun oleh BMW Motorrad Malaysia, tanpa insurans) bermula dari RM174,500 untuk K 1600 GT dan RM183,500 untuk K 1600 GTL.

Honda S2000 akhirnya dapat versi Type R

TANYA sahaja mana-mana peminat Honda sekalipun, pasti ramai yang bersetuju bahawa S2000 merupakan antara model paling mengujakan pernah dihasilkan jenama itu.

Namun, entah mengapa sepanjang sembilan tahun ia dipasarkan, model roadster itu tidak pernah mendapat versi Type R seperti Civic atau Accord.

Jentera yang anda lihat ini secara asasnya layak digelar sebagai S2000 Type R atau S2000R namun ia bukanlah model rasmi yang dibangunkan oleh Honda. Sebaliknya, ia adalah hasil tangan Evasive Motorsports yang berpangkalan di California.

Sudah tentu, modifikasi pertama yang dilakukan melibatkan enjin. ‘Nadi’ asal F20 telah dikeluarkan dan digantikan dengan enjin turbo K20 2.0-liter empat silinder yang diambil daripada Civic Type R FK8.

Proses penukaran enjin tersebut turut melibatkan komponen-komponen lain termasuk intake manifold yang dihasilkan oleh Evasive, downpipe, intake gentian karbon keluaran Mugen dan sistem pengurusan enjin MoTec M140.

Seperti versi standard, kuasa disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi manual enam kelajuan. LSD dinaik taraf untuk pengurusan kuasa yang lebih baik, manakala angkup Brembo enam omboh dipasang pada gandar hadapan bagi memastikan ia boleh berhenti dalam jarak terdekat.

Sistem suspensi turut dipertingkatkan menerusi set coilover KW, sway bar Eibach dan bushing khas.

Seterusnya, penampilan jentera ini diberi sentuhan agresif menerusi bampar S2000 20th Anniversary, fender hadapan lebar, rim aloi 18 inci serta pelbagai bahagian gentian karbon seperti bonet, but, penutup tonneau dan spoiler belakang.

Warna pilihan? Apa lagi kalau bukan Championship White.

Tema Type R diteruskan pada bahagian dalaman dengan kerusi Recaro berwarna merah, balutan Alcantara pada papan pemuka dan stereng Momo, tombol gear FK8 serta panel gentian karbon. Apa yang menarik, kluster instrumen asal digantikan dengan paparan digital MoTec.

Evasive berkata mereka akan menghasilkan S2000R untuk mereka yang berminat namun harga untuk keseluruhan modifikasi masih belum diumumkan.

Honda Civic Type R kereta FWD terpantas di Nurburgring

HONDA dengan bangganya mengumumkan bahawa Civic Type R FL5 telah muncul sebagai kereta pacuan roda hadapan (FWD) terpantas di Nurburgring Nordschleife dengan catatan masa 7 minit 44.881 saat.

Dengan catatan masa ini, hot hatch generasi baharu itu telah berjaya mengalahkan pemegang rekod terdahulu iaitu Renault Megane R.S. Trophy R yang merekodkan masa 7 minit 45.39 saat pada 2019.

Anda pasti ingat bahawa Civic Type R FK8 pernah membuat catatan masa 7:43.8 pada 2017, bukan?

Benar, tetapi FL5 masih dianggap lebih pantas kerana pada 2019, litar Nurburgring telah menetapkan peraturan baharu di mana peserta perlu melengkapkan pusingan sejauh 20.832 km berbanding 20.600 km sebelum itu.

Untuk rekod baharu ini, Honda menggunakan versi lebih ringan yang dikenali sebagai Civic Type R S yang akan dijual di pasaran pemanduan sebelah kiri (LHD) di Eropah.

Bukan itu sahaja, tayar Michelin Pilot Sport 4 S yang didatangkan standard juga telah digantikan dengan tayar Pilot Sport Cup 2 Connect yang dikatakan mampu meningkatkan prestasi jentera itu dengan tahap cengkaman yang lebih tinggi.

Menurut Honda, tayar Pilot Sport Cup 2 Connect ditawarkan sebagai opsyen dan boleh dipesan menerusi wakil pengedarnya.

Tiada sebarang modifikasi dilakukan pada enjin untuk catatan masa ini. Civic Type R, dengan ‘nadi’ 2.0-liter turbo empat silindernya, mempunyai 330 PS pada 6,500 rpm dan 420 Nm dari 2,600 hingga 4,000 rpm. Kuasa disalurkan ke roda hadapan oleh transmisi manual enam kelajuan.

Jika dibandingkan dengan versi terdahulu, model FL5 menikmati peningkatan kuasa sebanyak 10 PS dan 20 Nm. Sebahagian besar daripadanya disumbangkan oleh pengecas turbo yang direka semula, serta intake dan ekzos yang dipertingkatkan.

Kurang oksigen, empat sekeluarga pengsan dalam Proton Exora

EMPAT sekeluarga termasuk dua kanak-kanak ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dalam sebuah kereta yang merempuh pintu Plaza Tol Bentong, arah barat, pada Selasa (24 April).

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong, Supt Zaiham Mohd Kahar, kejadian berlaku pada 2.40 petang dan disedari anggota polis yang menjalankan rondaan Op Selamat serta kakitangan tol.

Kesemua mangsa kemudiannya dikeluarkan daripada kereta jenis Proton Exora itu dengan bantuan orang awam.

“Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari Tok Bali, Kelantan ke Balakong, Selangor dan pemeriksaan perubatan mengesahkan mereka tidak sedarkan diri akibat kekurangan oksigen dalam badan.

“Keadaan itu seterusnya mengakibatkan kenderaan terlibat melanggar pintu tol tersebut,” katanya menerusi kenyataan ringkas.

Semua mangsa, bagaimanapun, difahamkan telah sedarkan diri dan berada dalam keadaan selamat.

Fasiliti pengecasan MINI dibuka di Sanctuary Mall, Kota Kemuning

WHEELCORP Premium telah melancarkan sebuah fasiliti pengecasan terbaharu untuk kenderaan jenama MINI di Kota Kemuning, menawarkan pemilik kenderaan elektrik (EV) di kawasan ini akses yang lebih baik ke atas infrastruktur pengecasan.

Terletak di Sanctuary Mall @ Eco Sanctuary, fasiliti baharu yang dikuasakan oleh JomCharge ini menampilkan dua lot parkir, seunit pengecas DC 50 kW dengan dua pendakap DC, serta seunit pengecas AC 22 kW.

Ia kini dibuka untuk kegunaan awam dengan kadar pengecasan berjumlah RM1.20 bagi setiap minit penggunaan.

Jayden Liew, Pengarah Urusan Wheelcorp Premium menyatakan, “Sejajar dengan kenaikan penerimagunaan kenderaan berelektrik di Malaysia, kita, selaku pembekal kenderaan ini, memiliki satu tanggungjawab yang besar untuk menampung permintaan dengan menyediakan infrastruktur yang bersesuaian.”

Sementara itu, Max Leong Yew Mun, Pembantu Pengurus Besar di Eco Sanctuary pula berkongsi, “Dengan menyokong usaha Wheelcorp Premium dalam menggiatkan pengerahan fasiliti pengecasan, kami juga dapat maju ke arah sasaran ESG kami, iaitu untuk memastikan kesemua projek EcoWorld sekurang-kurangnya didatangkan bersama satu stesen pengecasan EV.”

Fasiliti pengecasan baharu ini juga merupakan sebahagian daripada strategi BMW Group Malaysia untuk membangunkan infrastruktur yang diperlukan bagi pengecasan EV.

Setakat ini, lebih daripada 670 buah fasiliti pengecasan telah disediakan oleh BMW Group Malaysia buat para pemilik EV di Malaysia, di mana lebih 70 daripadanya ditawarkan menerusi usaha sama dengan JomCharge.

Porsche Cayenne 2023: Kabin baharu, lebih power, Turbo GT 650hp!

SELEPAS beberapa kali imej acah didedahkan, Porsche Cayenne dan Cayenne Coupe 2023 kini muncul secara rasmi. Kemas kini untuk 2023 termasuklah rupa luaran facelift, rekaan papan pemuka baharu, dan naik taraf untuk janaan kuasa.

Cayenne 2023 mengekalkan penampilan yang kita kenali, tetapi ada perubahan kecil seperti lampu LED Matrix sebagai standard, lampu berbentuk lebih tajam, hud dan bentuk baharu pada fender, dan lampu belakang baharu.

Tiga warna baharu diperkenalkan: Algarve Blue Metallic, Montego Blue Metallic, dan Arctic Grey. Untuk Cayenne Coupe, akan terdapat pilihan Lightweight Sport Package yang dikatakan 72 pound lebih ringan.

Papan pemuka menerima rombakan terbesar. Pemandu kini mendapat skrin instrumen melengkung 12.6-inci, dan tombol baharu di kiri stereng untuk mengawal sistem bantuan pemandu. Lane Change Assist dan Lane Keep Assist kini standard.

Konsol tengah pula mendapat skrin 12.3-inci, manakala tombol gear diletakkan di antara dua skrin tengah. Butang-butang kawalan pendingin hawa kini adalah jenis haptik, dan terdapat juga pengecas tanpa-wayar 15 watt.

Jika tidak cukup, anda boleh pilih untuk menambah satu lagi skrin di hadapan penumpang depan. Panel 10.9-inci ini boleh mengawal fungsi tertentu seperti sistem navigasi dan multimedia.

Akhir sekali, untuk aspek mekanikal. Cayenne model asas kekal dengan 3.0-liter V6 turbo, tetapi output kini pada 348hp dan 500Nm. Cayenne E-Hybrid juga dikuasakan oleh turbo V6 tetapi mendapat gandingan motor elektrik lebih berkuasa. Output keseluruhannya kini mencecah 463hp.

Kemudian, Cayenne S pula dipacu enjin 4.0-liter V8,menggantikan V6 sebelumnya. Enjin ini menghasilkan 468hp dan 600Nm, membolehkan model ini memecut ke 100km/j dalam hanya 4.4saat. Kelajuan maksima ialah 272km/j.

Akhir sekali, model prestasi Cayenne Coupe Turbo GT, dikuasakan enjin 4.0-liter V8 dengan 650hp. Cayenne Coupe ini mampu memecut ke 100km/j dalam 3.1saat, dan mempunyai kelajuan maksima 300km/j.

Cayenne Turbo GT ini juga hadir dengan ciri prestasi seperti stereng roda belakang, suspensi udara, brek komposit seramik, dan ekzos titanium.

Cayenne, S, dan E-Hybrid menerima penyerap hentak dua-injap baharu, dan Porsche Active Suspension Management (PASM) sebagai standard.

Untuk Turbo GT pula, sistem suspensi udara baharu padanya mempunyai perbezaan lebih ketara untuk setiap mod pemanduan (Normal, Sport, dan Sport Plus).

Smart #3 didedahkan di Auto Shanghai, akan dilancarkan di Malaysia kelak

PAMERAN Industri Automobil Antarabangsa Shanghai ke-20 atau Auto Shanghai 2023 menyaksikan kemunculan Smart #3 sebagai Sports Utility Coupe pertama jenama itu.

Menurut Proton, yang mengimport dan mengedar kenderaan jenama smart di Malaysia dan Thailand melalui anak syarikatnya PRO-NET, model terbaru ini akan menuju ke Malaysia selepas ia dilancarkan di China dan Eropah.

Buat masa ini, Proton masih dalam persiapan untuk pelancaran Smart #1 di Malaysia pada suku keempat tahun ini.

“Proton akan memasuki pasaran NEV di Malaysia tidak lama lagi menyahut seruan kerajaan untuk memajukan negara menjadi hab serantau untuk kenderaan generasi akan datang (NxGV),” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif, Proton, dan Pengerusi, PRO-NET.

Setakat ini, spesifikasi Smart #3 masih samar-samar namun menurut laporan, ia dibina berasaskan platform Sustainable Experience Architecture (SEA) milik Geely yang turut digunakan oleh Smart #1.

Ia lebih panjang, lebar dan rendah berbanding Smart #1, dengan ukuran panjang 4,400 mm, lebar 1,844 mm, tinggi 1,556 mm, serta tapak roda 2,785 mm.

Bentuk kedua-dua model ini tidak jauh berbeza namun Smart #3 mempunyai profil fastback yang menjadikan ia lebih menonjol.

Selain itu, ia juga didatangkan dengan lampu LED Cybersparks, gril berbentuk A dan bumbung hitam yang boleh dipadankan dengan pilihan warna baharu termasuk Photon Orange Metallic dan Electric Blue Matte.

Ruang dalaman pula menampilkan reka bentuk sporty dengan motif bujur yang diinspirasikan daripada intake turbin. Jika diperhatikan dengan teliti, rekaan papan pemukanya yang bujur tidak jauh berbeza jika dibandingkan dengan model Mercedes-Benz.

Antara kelengkapan yang disertakan pada Smart #3 adalah skrin tengah berukuran 12.8 inci, sistem audi Beats dengan 13 pembesar suara dan pencahayaan ambien pelbagai warna.

Maklumat mengenai motor elektrik dan bateri juga masih belum didedahkan, namun tidak mustahil jika ia ditawarkan dengan pilihan motor elektrik tunggal pada gandar belakang dan motor elektrik berkembar.

Untuk perbandingan, Smart #1 didatangkan dengan motor elektrik gandar belakang dengan 268 hp dan 343 Nm, serta bateri 66 kWh yang memberikan jarak pemanduan antara 535 km hingga 560 km. Bateri itu menyokong pengecasan DC 150 kW.

Rider didakwa bakar motosikal, skuter elektrik depan KLCC

AZRIL Kamarunzaman didakwa di Mahkamah Sesyen atas pertuduhan membakar 11 motosikal dan empat skuter elektrik di luar pusat beli-belah Suria KLCC minggu lepas.

Penghantar makanan berusia 34 tahun ini bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa melakukan khianat dengan api iaitu membakar kenderaan terbabit di parkir motosikal di hadapan Suria KLCC, Jalan Ampang pada 3.30 petang, 13 April lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan (KK) memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Nurul Amalina Abu Hanifah menawarkan jaminan RM12,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Azril, Muhamad Ridzuan Umar merayu supaya jumlah ikat jamin itu dikurangkan atas alasan anak guamnya perlu menanggung isteri serta ibu bapanya.

Hakim kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 22 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Renault Clio 2023 kini dengan varian Esprit Alpine, pilihan NA, turbo, diesel, dan CNG

RENAULT mendedahkan Clio generasi kelima lebih empat tahun lepas, dan kini mereka memberikan facelift untuk hatchback itu agar kekal kompetitif dengan pesaing seperti Volkswagen Polo, Skoda Fabia dan SEAT Ibiza.

Bahagian rupa luarannya telah diberikan rombakan menyeluruh, kini mendapat lampu depan lebih nipis, gril lebih lebar dengan corak berkotak, dan DRL seperti logo Renault dipotong separuh. Nampaknya mereka cuba membuatkan rekaan lampu belakang jernih cool semula.

Diffuser belakang mempunyai sehingga enam rekaan berbeza bergantung kepada varian, dan sama ada ia hibrid atau bukan. Model yang dilihat ini ialah Esprit Alpine, iaitu versi flagship yang menggantikan RS.

Untuk enjin dan janaan kuasa, terdapat banyak pilihan. Pertamanya, petrol 1.0-liter NA 3-silinder dengan 65hp dan 95Nm, pacuan roda depan, dengan manual 5-kelajuan. Seterusnya, 1.0-liter 3-silinder turbo, output 90hp/160Nm, dan manual 6-kelajuan.

Seterusnya, Clie E-Tech Full Hybrid 145 dengan gabungan enjin 1.6-liter NA dan motor elektrik serta bateri lithium-ion 1.2kWH. Ia menjana 145hp, dan kuasa disalurkan melalui kotak gear 2-kelajuan untuk EV, dan 4-kelajuan untuk enjin pembakaran dalaman.

Terdapat juga varian diesel dengan 100hp dan manual 6-kelajuan serta gas CNG dengan output 170Nm dan jarak pemanduan sehingga 1,000km.

Ruang kabinnya dilengkapi dengan bahan gentian polyester organik baharu, iaitu TEP. Varian Esprit Alpine mendapat tempat duduk sports dengan sokongan lebih baik.

Dari segi teknologi, Renault Clio 2023 dilengkapi paparan instrumen 7- atau 10-inci, dan skrin infotainmen 7- atau 9.3-inci. Ia menyokong Android Auto dan Apple CarPlay, selain navigasi, kamera 360-darjah, dan lebih 20 sistem bantuan pemandu.

Toyota bZ3 terima 5,000 tempahan pada hari pertama jualan

MODEL kedua dalam siri kenderaan elektrik bZ (beyond Zero) iaitu Toyota bZ3 mendapat sambutan yang amat menggalakkan di China apabila menerima lebih 5,000 tempahan pada hari pertama ia dibuka untuk jualan, lapor CarNewsChina.

Dibangunkan bersama oleh Toyota, BYD Toyota EV Technology (BTET) dan FAW Toyota, sedan elektrik itu dijual pada harga bermula dari 169,800 yuan (RM109,395) untuk varian asas hingga 199,800 yuan (RM128,720) untuk varian tertinggi.

bZ3 dibina menggunakan platform e-TNGA yang menawarkan pusat graviti yang rendah untuk pengendalian yang lebih responsif, stabil serta selesa.

Ia juga mempunyai profil ala fastback, selain mempunyai kadar pekali seretan (Cd) 0.28 yang disumbangkan oleh elemen-elemen seperti pemegang pintu yang rata, tirai udara dan bampar, serta rim aluminium yang direka secara aerodinamik.

Di China, bZ3 ditawarkan dengan dua pilihan jarak pemanduan. Varian asas mempunyai motor elektrik tunggal dengan 174 hp dan 303 Nm, dengan bateri 49.92 kWh yang membolehkan ia dipandu sejauh 517 km.

Varian Long Range pula dilengkapi dengan motor elektrik yang lebih berkuasa dengan output mencecah 241 hp dan 303 Nm. Kapasiti baterinya juga lebih besar iaitu 65.3 kWh yang menawarkan jarak pemanduan sehingga 616 km.

Apa yang menarik, bZ3 menggunakan sistem elektrik yang terdiri daripada bateri LFP (ion litium fosfat) keluaran BYD, teknologi Toyota dan motor elektrik keluaran anak syarikat BYD iaitu Fudi Motor.