LOTUS Cars terus mengukuhkan kehadiran jenamanya di Malaysia menerusi pembukaan Lotus Store pertamanya di Pavilion Damansara Heights.
Ruang pameran berkeluasan 173.58 meter persegi itu dibuka kira-kira 10 bulan selepas pelancaran Lotus Eletre. Hyper SUV elektrik itu mendapat permintaan menggalakkan di negara ini dengan lebih 50 unit telah pun diserahkan kepada pelanggan setakat ini dan 200 unit lagi dalam proses penghantaran.
Direka untuk mencerminkan identiti korporat Lotus, ruang pameran tersebut menempatkan dua model terbaharu Lotus yang ditawarkan di pasaran Malaysia iaitu Eletre dan Emira.
Selain itu, Lotus Store turut menyediakan kemudahan seperti bilik konfigurator di mana pelanggan boleh memilih spesifikasi kenderaan masing-masing, ruang khas untuk barangan dan pakaian Lotus, serta ruang istirehat.
Konfigurator Lotus membolehkan pelanggan memilih sendiri trim dan kemasan mengikut citarasa sendiri. Ini termasuk untuk bahagian luaran (trim, warna, rim dan tayar, warna angkup brek, brek karbon seramik dan lencana) dan bahagian dalaman (tema, material, tali keledar, stereng dan kemasan karbon).
Bukan itu sahaja, pelanggan juga boleh memilih tahap kelengkapan seperti cermin sisi, pakej Lotus Dynamic Handling dan bumbung kaca pintar, serta menambah ciri-ciri bantuan pemandu seperti Parking Pack dan Highway Assist Pack.
Dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam, Lotus Store Pavilion Damansara Heights juga merupakan mukadimah kepada pembukaan bilik pameran utama Lotus Cars Malaysia di Glenmarie, Shah Alam yang dijadualkan siap pada suku kedua tahun ini.
Lotus juga berhasrat memperluaskan lagi kehadiran jenamanya di wilayah Utara dan Selatan, selain memperkenalkan perkhidmatan servis mudah alih untuk menambahbaik kemudahan pelanggannya.
PADA November tahun lalu, BMW i5 membuat kemunculan sulungnya di Malaysia dalam versi eDrive40 M Sport. Kini, hanya selepas empat bulan berada di pasaran, sedan elektrik itu telah dinaik taraf dengan keupayaan pengecasan yang lebih tinggi serta beberapa ciri baharu.
Pertama sekali, i5 kini didatangkan dengan pengecas AC berkapasiti 22 kW yang mengambil masa kurang empat jam 15 minit untuk satu cas penuh. Ia empat jam lebih pantas berbanding pengecas AC 11 kW sebelum ini.
Selain itu, model ini akan terus dilengkapi dengan pengecas DC berkuasa tinggi hingga 205 kW, yang boleh melakukan pengecasan dari 0 hingga 80% dalam tempoh 34 minit sahaja.
Seperti sebelum ini, i5 eDrive40 menampilkan motor elektrik tunggal pada gandar belakang yang menjana 313 hp dan 400 Nm. Dengan Launch Control, kuasa akan ditingkatkan kepada 340 hp dan 430 Nm untuk membolehkan ia memecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 6.0 saat dan mencapai kelajuan maksimum 193 km/j.
Jarak pandu juga tidak berubah iaitu 582 km berdasarkan kitaran WLTP, dengan tenaga elektrik dibekalkan oleh bateri berkapasiti 89.3 kWj yang terletak di bahagian bawah kenderaan.
Dari segi kelengkapan, bahagian luaran i5 ditonjolkan menerusi jalur LED vertikal pada lampu hadapan, gril kidney yang diinspirasikan daripada rekaan ikonik ‘Sharknose’, garis kontur BMW Iconic Glow dan pakej Shadow Line M berglos tinggi.
Pilihan warna yang tersedia adalah Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Brooklyn Grey Metallic dan Phytonic Blue Metallic.
Sebagai sebahagian daripada kemaskini ini, BMW Malaysia menawarkan empat pilihan warna baharu iaitu Sophisto Grey Metallic, Oxide Grey Metallic, Cape York Green Metallic dan Fire Red Metallic.
Di dalam, terdapat BMW Curved Display yang terdiri daripada panel instrumen 12.3 inci dan skrin sentuh 14.9 inci, kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Operating System 8.5.
Turut disertakan adalah BMW Intelligent Personal Assistant, BMW Maps, Digital Key Plus dan sistem audio Bowers & Wilkins dengan amplifier 655 W dan 18 pembesar suara.
Untuk ruang kabin, pelanggan boleh memilih untuk mendapatkan upholsteri kulit Merino dalam warna Black, Copper Brown dan Silverstone.
i5 juga didatangkan dengan pelbagai teknologi keselamatan dan sokongan pemanduan termasuk Proactive Care, Driving Assistance Professional, Speed Limit Assist, Side Collision Protection, Road Priority Warning, Wrong-way Warning dan Crossing-traffic Warning.
Harga jualan i5 eDrive40 M Sport yang dinaik taraf bermula dari RM399,800. Untuk waranti lanjutan lima tahun dan pakej servis, pelanggan perlu membayar tambahan RM20,300.
PROTON mengumumkan ia telah melancarkan X90 di Bangladesh pada 29 Februari lalu. Ia merupakan pasaran eksport keempat bagi model SUV itu selepas Mauritius, Afrika Selatan dan Brunei.
Acara yang diadakan di Dhaka, dirasmikan oleh Haznah Md. Hashim, Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Republik Rakyat Bangladesh, Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton dan Romo Rouf Chowdhury, Pengarah Urusan Kumpulan, Rancon Holdings Berhad.
Dua varian X90 iaitu Flagship enam tempat duduk dan Premium tujuh tempat duduk ditawarkan kepada pembeli dan sehingga kini, 25 unit telah didaftarkan dalam tempoh kurang daripada dua minggu selepas pelancarannya.
Proton dalam satu kenyataan berkata mereka yakin bahawa Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) itu akan dapat mencipta niche pasaran sebelum operasi pemasangan tempatan (CKD) bermula akhir tahun ini.
“Proton yakin Rancon Holdings adalah rakan kongsi yang sempurna untuk Proton berjaya di Bangladesh. Mereka sudah pun menubuhkan rangkaian jualan dan selepas jualan dan akan melabur untuk membina barisan pembuatan untuk memasang kenderaan Proton secara tempatan pada masa hadapan,” kata Dr Li Chunrong.
“Dengan lebih banyak tawaran dalam perancangan, serta komitmen kami untuk menyokong semua aspek perkongsian, kami menyasarkan untuk menjadi jenama 3 teratas di Bangladesh dalam tempoh tiga tahun,” tambah beliau.
Menurut Proton, komponen penting untuk mencapai sasaran tingginya di Bangladesh ialah penubuhan barisan pemasangan.
Selain daripada membenarkan produknya layak untuk kadar cukai yang lebih rendah, kilang baharu juga menggalakkan pembangunan pekerja tempatan mahir sambil membangkitkan ekosistem vendor melalui pemindahan teknologi.
Operasi disasarkan bermula seawal 2024, dengan piawaian pengeluaran yang ketat dikuatkuasakan bagi memastikan output sepadan dengan kualiti kenderaan yang dibina di Tanjung Malim.
“Untuk memastikan kualiti produk di pasaran eksport yang dipasang secara tempatan adalah setara dengan kenderaan yang dibina di Malaysia, Proton bersandar pada pengalamannya manggunakan Volvo Global Quality Standard, yang telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti produk kami,” tambah Dr Li.
SEPERTI yang dijanjikan, Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) secara rasminya melancarkan Volkswagen Touareg R-Line, menandakan kemasukan semula SUV flagship itu ke pasaran tempatan selepas 12 tahun.
Untuk pengetahuan, ini merupakan model generasi ketiga versi facelift yang diperkenalkan di peringkat global pada Mei tahun lalu.
Untuk pasaran Malaysia, Touareg R-Line dipasang secara tempatan di Pekan, Pahang dan dijual pada harga bermula dari RM469,990 termasuk Pakej Jaminan Volkswagen (Volkswagen Assurance Package, VAP).
Touareg tampil lebih garang dengan pakej R-Line yang sporty, bahagian hadapan yang telah direka semula, logo ‘R’ pada bahagian pintu dan gril, serta rim aloi Braga berukuran 20 inci.
Ia juga membawakan teknologi pencahayaan tercanggih menerusi lampu IQ.Light HD Matrix yang mempunyai lebih 38,000 unit LED mikro interaktif yang dikatakan dapat menerangi jalan dengan lebih tepat.
Selain itu, terdapat juga lampu lopak yang bertindak untuk menyuluh permukaan jalan dengan logo Volkswagen setiap kali pintu dibuka.
Di dalam, anda akan menemui Innovision Cockpit yang membawakan rekaan satu skrin. Ia terdiri daripada kluster instrumen digital berukuran 12.3 inci untuk pemandu serta skrin sentuh 15 inci bersama sistem infohibur Discover Pro Max dan Wireless App-Connect.
Selain itu, terdapat juga pengecas tanpa wayar, lima port USB-C Type C berkapasiti 45W, sistem pendingin hawa empat zon, kerusi Active Climate untuk pemandu dan penumpang hadapan, dan sistem audio Dynaudio Consequence 730W dengan amplifier 80W dan 13 pembesar suara termasuk subwoofer di dalam but.
Memacu Touareg R-Line adalah enjin TSI 3.0-liter V6 yang menghasilkan 340 PS dan 450 Nm, disalurkan ke roda menerusi transmisi automatik lapan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Motion.
Sistem suspensi udara yang disertakan secara standard boleh mengubah suai ketinggian kenderaan selari dengan keadaan permukaan jalan. Ia juga boleh merendahkan ketinggian sebanyak 40 mm untuk memuatkan dan memunggah barang dari ruang kargo dengan lebih mudah.
Dari segi keselamatan, SUV ini didatangkan dengan sistem IQ.Drive yang menawarkan ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control, Autonomous Emergency Braking Front Assist, Automatic Post-Collision Braking, Lane Assist, Lane Keeping, Park Assist, Front Cross Traffic Assist dan Rear Cross Traffic Alert.
Turut disertakan adalah ciri Night Vision yang menggunakan sensor inframerah untuk mengesan suhu badan manusia atau haiwan sehingga 130 meter untuk memberikan pemandu pandangan yang lebih baik pada waktu malam.
Touareg R-Line boleh didapati dalam lima warna iaitu Lapiz Blue, Silicon Grey, Grenadilla Black, Oryx White dan Dolomite Silver.
Ia didatangkan dengan Pakej Jaminan Volkswagen yang merangkumi penyelenggaraan percuma, jaminan tanpa had perbatuan dan pakej bantuan tepi jalan percuma selama lima tahun.
SIME Darby Auto Connexion-Ford (SDAC-Ford) telah mengumumkan prestasi jualannya bagi tahun 2023 di mana ia berjaya memecahkan rekod dengan 8,858 unit Ford Ranger dan Everest terjual sepanjang tahun lalu.
Menurut SDAC-Ford, pencapaian itu membuktikan prestasi kukuh jenama Ford pada 2023 dan sekali gus memantapkan kedudukannya dalam industri automotif negara.
Satu faktor penyumbang penting kepada kejayaan syarikat ialah perkembangan rangkaian pengedar SDAC-Ford untuk menambah baik pengalaman servis Ford.
Pada tahun lepas, syarikat telah menyempurnakan upacara pecah tanah bagi premis pengedar Ford Signature bernilai RM12 juta yang terletak di Jalan Baru, Seberang Prai.
Kemudahan bertaraf 3S serba canggih ini mempunyai kawasan seluas 46,000 kaki persegi, menampilkan identiti korporat Ford Signature dan menyediakan 16 ruang servis dan empat ruang pameran kenderaan. Ia akan beroperasi sepenuhnya menjelang akhir suku kedua tahun ini.
Selain itu, SDAC-Ford turut memperluaskan kehadirannya di Malaysia Timur. Di Sabah, syarikat itu telah melancarkan dua pusat pengedar utama iaitu Ford Kota Kinabalu (Inanam) dan Ford Kota Kinabalu (Penampang).
Di Sarawak pula, SDAC-Ford membuka Ford Kota Samarahan pada Oktober 2023 bagi terus mengukuhkan kedudukannya di negeri itu.
SDAC-Ford kini mempunyai 38 cawangan pengedar di seluruh negara, dengan sembilan daripadanya terletak di Malaysia Timur.
“Kami amat berbangga dengan kemajuan yang kami capai tahun lepas, yang sesungguhnya merupakan kejayaan hebat bagi SDAC-Ford. Ini jelas membuktikan daya tarikan kenderaan Ford yang memenangi anugerah, disokong oleh kesungguhan dan kegigihan pasukan kami dan sokongan tidak berbelah bagi para pelanggan,” kata Turse Zuhair, Pengarah Urusan, SDAC-Ford.
“Sambil kami bersiap sedia menempuh satu lagi tahun cemerlang, kami yakin bahawa Ford akan terus mempelopori pasaran, sambil kami memenuhi komitmen terhadap kecemerlangan dan memberikan tahap kepuasan yang lebih tinggi kepada pelanggan,” tambahnya.
Ekosistem kereta terpakai iaitu myTukar Powered by Carro telah dijenamakan semula dan kini dikenali sebagai Carro.
Langkah ini menyaksikan ‘Carro’ diimplementasikan dalam rangkaian produk dan perkhidmatan myTukar, bahan pemasaran serta papan tanda fizikal di seluruh Malaysia – satu proses yang akan memakan masa beberapa bulan.
“Usaha menjenamakan semula myTukar menandakan satu kejayaan besar dalam penyepaduan jenama kami, dan kami lebih bersemangat untuk terus mencapai semua matlamat seterusnya dalam pelan hala tuju kami,” kata Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Carro Aaron Tan.
“Kami mencapai keuntungan sebagai sebuah kumpulan syarikat and bersedia untuk Tawaran Awam Permulaan (IPO) untuk menyenaraikan syarikat kami sebaik sahaja mendapat peluang untuk melakukannya,” katanya.
Carro merupakan platform kereta terpakai dalam talian yang kini beroperasi di Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand, Jepun dan Taiwan.
Syarikat startup Singapura ini berada di landasan yang tepat untuk mencapai EBITDA tahun kewangan 2024 terbaik setakat ini iaitu sebanyak hampir AS$40 juta, lebih 10 kali ganda daripada apa yang dicapai untuk keseluruhan tahun kewangan 2023.
Sejak penubuhan myTukar pada 2017, syarikat ini telah mencatatkan pelaburan AS$30 juta daripada Carro untuk merevolusikan dan mendigitalkan industri kereta terpakai yang berpotensi tinggi di Malaysia.
Jenama ini telah berkembang menjadi ekosistem kereta terpakai dalam talian yang pertama dan terbesar di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan jual beli, insurans, pembiayaan dan selepas jualan.
Setakat ini, Carro telah menubuhkan 11 pusat jualan, 27 pusat pemeriksaan, lima bengkel dan dua pusat baik pulih di negara ini.
Pada Januari 2024, segmen jualan myTukar merekodkan prestasi terbaiknya dengan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 55% dan turut mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 40% pada suku lepas.
myTukar sebelum ini memulakan fasa pertama penjenamaan semula pada Jun 2022 apabila ia menukar penampilan korporatnya dengan beralih daripada skema warna biru kehijauan dan kelabu kepada warna utama Carro iaitu jingga untuk papan tanda dan bahan pemasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Carro Malaysia Derrick Eng berkata, “Sebagai sebahagian daripada jenama global, fokus utama kami adalah untuk memacu pertumbuhan yang mampan untuk Kumpulan sambil terus menyediakan kereta terpakai berkualiti Sebaik Yang Baru kepada rakyat Malaysia. Saya teruja untuk mengukuhkan Carro sebagai sebuah jenama di negara ini.”
Berita baik bagi bakal pemilik motosikal Ducati yang dibeli selepas 1 Mac 2024 apabila Ducati Malaysia mengumumkan waranti kilang Ever Red tiga tahun.
Pengumuman terbaru itu menyaksikan kesemua model Ducati termasuk Scrambler Ducati keluaran 2024 antaranya Panigale V4 dan Scrambler termaktub dalam waranti kilang tiga tahun tersebut.
Menurut Ducati, waranti kilang tiga tahun ini adalah khas untuk pemilik Ducati di Malaysia.
Antara ditawarkan menerusi waranti tiga tahun Ever Red ini termasuk perbatuan tanpa had dan pindah milik waranti sekiranya motosikal masih berada dalam lindungan waranti tiga tahun.
LAPORAN penyelidikan AmInvestment Bank menyatakan bahawa 80% pembeli kereta Proton dan Perodua memilih tempoh pembiayaan sehingga sembilan tahun.
Dalam laporan itu, AmInvestment Bank berkata kedua-dua jenama itu menjadi pilihan utama kepada demografi berpendapatan sederhana hingga yang lebih rendah.
Malah bagi golongan tersebut, kereta yang dibeli sebagai barangan keperluan pengguna dan bukan hanya sekadar barangan kehendak.
“Perkara yang menjadi keutamaan kepada mereka adalah bayaran ansuran bulanan. Baki keseimbangan kewangan mereka adalah kadar faedah sedia ada.
“Rakyat biasa memantau dengan rapat OPR (Kadar Dasar Semalaman) memandangkan keadaan kewangan mereka adalah sejajar dengannya. Ia adalah antara faktor yang tidak boleh terlepas pandang oleh kerajaan sekarang.
“Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar OPR tidak berubah pada 3.0 peratus sejak Mei tahun lalu,” katanya.
Menurut bank pelaburan itu lagi, permohonan dan kelulusan untuk pinjaman kereta ketika ini mengekalkan kadar yang kukuh, terutamanya untuk Perodua Myvi yang mengalami penghantaran tertunggak dari tahun sebelumnya.
Ini disebabkan pembeli tergesa-gesa untuk membeli didorong oleh keperluan dan kebimbangan yang berlanjutan terhadap potensi kenaikan seterusnya OPR, yang akan meningkatkan kos pemilikan kereta.
Pembelian untuk kenderaan terpakai juga masih tinggi ketika ini dan tidak menunjukkan ia terkesan. Ini kerana beberapa pengeluar menghadapi masalah rantaian bekalan, mengakibatkan pengeluaran yang lebih rendah, sekali gus menyebabkan permintaan yang berlebihan ke dalam segmen kereta terpakai.
Berdasarkan pemerhatian di bilik pameran, terdapat minat tinggi yang ditunjukkan terhadap kenderaan elektrik bateri (BEV) dan ada antara bakal pembeli yang telah berkira-kira mengenai penjimatan bahan api berbanding kos elektrik.
AmInvestment Bank berkata, tidak dapat dinafikan bahawa BEV ketika ini menjadi tumpuan kepada peminat kereta, terutamanya dalam kalangan golongan T10 yang melihat kenderaan seperti ini sebagai ‘kereta mainan’ untuk hujung minggu.
“Daripada semua EV (kenderaan elektrik) yang dibeli, pelanggan memilih tempoh pinjaman selama lima tahun, malah ada sebahagian yang membayar secara tunai, iaitu perkara biasa yang dibuat oleh golongan elit T1.
“Tambahan pula, pelbagai pengecualian cukai seperti duti eksais, cukai jualan dan cukai jalan menjadikan BEV sesuatu yang berbaloi untuk dimiliki oleh golongan elit,” katanya.
SKIM Galakan Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiicas), yang dilancarkan secara rasmi pada Disember tahun lalu, telah menerima lebih 20,000 pendaftaran.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii), Azrul Reza Aziz, daripada jumah itu, 2,000 permohonan telah diluluskan sekali gus melayakkan pemohon menerima rebat tunai berjumlah RM2,400.
Azrul Reza berkata, rebat tunai itu boleh dimanfaatkan untuk tujuan pembelian atau langganan motosikal elektrik.
“Motosikal yang ada model setakat ini, kita telah luluskan lebih kurang 12 model tetapi kalau pemohon nak lihat boleh pergi ke insentif.marii.my untuk melihat lebih lanjut tentang motosikal yang ada dan juga setiap spesifikasi,” kata beliau.
Mengulas jumlah pendaftaran menggalakkan, jelasnya ia menandakan minat rakyat yang semakin meningkat terhadap kenderaan elektrik (EV).
Selain didorong pemberian pelbagai insentif di bawah Belanjawan 2024, ia turut disokong kerjasama agensi awam dan swasta dalam mengukuhkan ekosistem EV negara.
“Kita boleh tengok dari segi syarikat-syarikat pengeluar pun, banyak membuat kolaborasi atau kerjasama dengan pelbagai syarikat lain. Saya bagi contoh macam ryde EV, dia bekerjasama dengan CelcomDigi untuk membolehkan pembeli melanggan melalui CelcomDigi. Selain rydeEV, kita ada Blueshark bersama dengan Maxis,” tambahnya.
MARiicas menyasarkan tawaran rebat bagi 8,300 unit motosikal elektrik. Tempoh permohonannya akan dibuka sehingga 31 Disember ini.
PROTON telah mengumumkan prestasi jualannya bagi bulan Februari 2024, di mana pengeluar kenderaan nasional itu menjual 13,602 unit kenderaan bagi pasaran domestik dan eksport.
Jumlah jualan untuk dua bulan pertama itu meningkat kepada 26,484 unit, iaitu 3% lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada tahun 2023.
Menurut Proton, pencapaian ini patut diberi perhatian kerana jualan automotif secara tradisinya lebih perlahan pada awal tahun selepas dorongan jualan akhir tahun pada bulan Disember.
Selepas dua bulan pertama tahun 2024, jumlah volum industri (TIV) dianggarkan meningkat sebanyak 13.8% setakat ini kepada 129,353 unit kerana kemasukan jenama baharu bagi pasaran kenderaan tradisional dan EV.
Sementara itu, pegangan pasaran Proton diramalkan berada pada 20.5%, meletakkannya di tempat kedua dalam kedudukan keseluruhan jualan automotif nasional.
Bagi prestasi jualan setiap model, S70 mendapat sambutan daripada pembeli dalam pasaran domestik dan antarabangsa. Hasilnya, jualan sedan itu meningkat 60.5% kepada 2,314 unit pada bulan Februari.
Saga, yang memasuki tahun ke-39 pengeluarannya, kekal sebagai model terlaris Proton dengan 6,212 unit terjual pada bulan lalu. Ini menjadikan jumlah jualan terkumpul untuk dua bulan pertama 2024 adalah 12,341 unit, 10.9% lebih tinggi daripada tahun sebelumnya.
Persona dan X90 turut menerajui kategori masing-masing dengan catatan jualan sebanyak 1,859 unit bagi sedan segmen B itu dan 374 unit bagi SUV itu.
X50 pula berada di tempat kedua dalam kategori SUV segmen B dengan merekodkan jualan sebanyak 1,816 unit. Jualan X70 meningkat 19.6% kepada 445 unit, manakala jualan Iriz bertambah 3.8% kepada 543 unit.
Akhir sekali, sebanyak 39 unit Exora berjaya dijual pada bulan lalu walaupun pengeluarannya telah pun ditamatkan. Sehingga kini, lebih 194,250 unit telah dijual menjadikannya MPV segmen-C dengan jualan paling tinggi dalam sejarah automotif Malaysia.
Pengeluar motosikal India, Bajaj Auto baru-baru ini telah memperkenalkan Pulsar 160 generasi baharu yang dinaik taraf dengan pelbagai ciri terkini.
Pertamanya, Pulsar 160 kini tampil dengan pencahayaan LED menggantikan halogen sementara reka bentuk lampu juga berbeza.
Selain itu, Bajaj turut menaik taraf panel meter kepada digital sepenuhnya yang juga boleh disambungkan kepada telefon pintar bagi mengakses fungsi navigasi jenis ‘turn-by-turn’.
Menariknya, ABS dwi-saluran juga didatangkan secara standard meskipun masih lagi dilengkapi dengan cakera brek tunggal dan fork teleskopik di bahagian depan serta tangki berkapasiti 12L.
Bagaimanapun, Pulsar 160 ini masih lagi dikuasakan enjin satu silinder 160.3cc dengan sistem penyejukan minyak yang berupaya menjana 17hp dan 14.6Nm pada 7,250rpm.
Bagi pasaran India, Pulsar 160 ini dipasarkan pada harga jualan INR145,792 (RM8.2k).
Untuk rekod, Pulsar 160 turut ditawarkan di Malaysia oleh Modenas selaku pengedar rasmi. Bagaimanapun, tiada kepastian sama ada model baharu ini akan turut diperkenalkan disini.
PORSCHE Malaysia yang diwakili oleh Sime Darby Auto Performance (SDAP) bekerjasama dengan Women Photographers Malaysia (WPM) menganjurkan Greatness Through Her Lens, aktiviti fotografi sempena menyambut Hari Wanita Sedunia.
Dalam aktiviti itu, telah diadakan sesi dialog dengan jurugambar-jurugambar wanita dan memfokuskan naratif berbeza dalam industri yang didominasi oleh kaum Adam.
Mereka juga berkesempatan menjadikan Porsche Cayenne baharu sebagai subjek fotografi dimana mereka berhenti di lokasi-lokasi menarik untuk cabaran fotografi.
Para jurugambar dari seluruh Malaysia itu dapat merasai sendiri prestasi dan keselesaan yang ditawarkan oleh Cayenne sambil meneruskan aktiviti di setiap destinasi.
Mereka bergerak dalam konvoi dari Porsche Centre Ara Damansara melalui kawasan pinggir Kuala Lumpur, dari bangunan-bangunan tinggi ke kawasan penuh hijau.
Kesemua peserta diberikan enam kategori berbeza untuk cabaran fotografi, dan pemenang yang dipilih adalah Aun Pein, Fish Quan, Atiqah Is, Joanne James, dan Yuki Eyok.
“Dengan WPM, kami berharap dapat memberi inspirasi kepada wanita di mana sahaja untuk menghayati keunikan mereka dan mempersembahan perspektif masing-masing, sambil mengejar impian dengan yakin,” kata Christopher Hunter, CEO SDAP.
“Dalam sebuah industri yang kurang diceburi oleh wanita, Greatness Through Her Lens menjadi pemangkin untuk perubahan, memberikan jurugambar wanita peluang menyinar dan mencabar stereotaip,” ujar Annice Lyn, pengasas bersama Women Photographers Malaysia.
Porsche Cayenne baharu ditawarkan pada harga bermula RM599,999, anda boleh baca laporan pelancarannya di sini.
ISUZU Malaysia hari ini memperkenalkan FVR 240 yang diperbaharui dengan dua ciri utama iaitu enjin Euro 5 dan kotak gear AMT (automated manual transmission) 6-kelajuan.
Pengenalan transmisi AMT ini bukanlah baharu di Malaysia, kerana Isuzu sebelum ini memberikannya pada trak heavy-duty Giga dan light-duty ELF.
Jadi kali ini, giliran FVR medium-duty pula mendapat kotak gear separa automatik ini. FVR merupakan trak chasis tegar 4×2 dengan kelas 19 tan.
Berkenaan enjin tadi, Isuzu FVR 240 kini dilengkapi dengan penarafan Euro 5. Enjin diesel 6-silinder dengan kapasiti 7.8-liter itu menjana 240hp dan 706Nm tork, dan ia boleh menerima diesel B20.
Transmisi AMT dengan dua-pedal direka untuk mengurangkan beban kepada pemandu dan paling penting, mengurangkan downtime disebabkan penyelenggaraan klac.
Ciri lain pada Isuzu FVR 240 baharu ini adalah lampu depan LED, beg udara SRS, brek ABS, soket pengecasan USB, penggera kabin condong, Hill Start Aid, dan Immobiliser.
Isuzu FVR 240 baharu juga dilindungi dengan jaminan 3-tahun atau 200,000km (yang mana dahulu).
Seorang peminat Yamaha RX-Z di Malaysia baru-baru ini mendedahkan bagaimana di sanggup membelanjakan hampir setengah juta demi motosikal tersebut.
Wan Noor Azmirullah Wan Noor Abidin mendedahkan sanggup mengeluarkan belanja besar demi memenuhi impiannya untuk memiliki kesemua edisi RX-Z yang ada bermula dari keluaran pertama hingga yang terakhir.
Disebabkan itu, Wan Noor, juga seorang mekanik telah menjadikan garajnya di Kampung Gong Badak, Terengganu sebagai lokasi tumpuan yang bertindakan seakan muzium mini bagi peminat motosikal RX-Z tersebut.
“Saya mempunyai lebih 25 unit Yamaha RX-Z termasuk edisi Boss, Catalyzer dan Millennium,” jelas Wan Noor.
Memetik laporan The Star, dia memberitahu bahawa minat mengumpul itu berlaku pada 2013 selepas menyedari terdapat permintaan bagi motosikal berkenaan selepas dihentikan pengeluarkan pada 2010.
“Motosikal ini akan menjalani modifikasi bagi meningkatkan kelajuan dan kos belanja ubah suai boleh mencecah RM40,000 sekaligus menjadikan pasaran motosikal ini lebih tinggi berbanding motosikal baharu,” tambah Wan Noor.
HOT Wheels telah melancarkan Hot Wheels Let’s Race, sebuah siri animasi kanak-kanak terbitan Mattel Television Studios secara global.
Diinspirasikan oleh Hot Wheels, jenama permainan nombor satu di dunia, siri animasi Hot Wheels Let’s Race ini merupakan sebuah siri komedi penuh aksi untuk kanak-kanak yang menggabungkan kenderaan-kenderaan luar biasa, watak-watak yang penuh aksi, perlumbaan, cabaran, dan banyak lagi.
Serentak dengan pelancaran ini, Hot Wheels membawakan unsur-unsur dari siri tersebut di IOI City Mall.
Siri Let’s Race ini memaparkan tentang sekumpulan pelumba generasi baru: Coop, Spark, Mac, Brights, Axle, dan Sidecar menyertai sebuah kem perlumbaan yang sentiasa menguji kemahiran pemanduan mereka,” ujar Encik Murat Ariksoy, Pengurus Besar Mattel Asia Selatan.
“Hot Wheels Let’s Race merupakan satu perkembangan yang memberangsangkan bagi kami di Mattel. Kami berharap semua peminat ternanti-nanti akan kemunculan babak-babak yang penuh aksi dan perlumbaan yang mencemaskan menjadi kenyataan,” tambahnya.
Mattel telah mendedahkan rangkaian produk Hot Wheels yang menampilkan kenderaan, latar set, dan jalan cerita siri animasi tersebut.
Anda boleh membawa pulang aksi siri Let’s Race ke rumah dengan membeli set Hot Wheels seperti Ultimate T-Rex Transporter, Ultimate Garage, City Downtown Ice-Cream Shop, City Nemesis Bat vs. Tire Shop, City Pizza Slam Cobra Attack, Action Hyper Loop Extreme dan pelbagai lagi.
Selain itu, sebuah Kejuaraan Perlumbaan Ultimate Hot Wheels telah diadakan. Peringkat kelayakan telah bermula dari 15 Februari sehingga 3 Mac yang berlangsung di lokasi-lokasi yang terpilih seluruh Malaysia.
Bagi acara kemuncak kejuaraan Hot Wheels Let’s Race ini akan diadakan di ruang legar IOI City Mall bermula dari 5 Mac hingga 10 Mac 2024 dan pertandingan akhir bagi kejuaraan ini adalah pada 9 Mac, diikuti dengan kejuaraan kategori terbuka pada 10 Mac.
Ruang legar IOI City Mall akan berubah menjadi sebuah Bandar Hot Wheels bersaiz sebenar yang penuh keasyikan seperti yang disiarkan dalam siri tersebut.
Pengunjung boleh menantikan sebuah Ultimate Garage sebagai acara tumpuan utama dan pelbagai set permainan lain dari Hot Wheels City.
Acara tersebut akan dibahagikan kepada empat zon bagi para pelumba muda untuk mereka meneroka dan menakluk:
Zon Pitstop Hot Wheels adalah tempat di mana pelumba muda boleh mencuba pakaian perlumbaan untuk sesi bergambar.
Zon Garage Hot Wheels adalah tempat di mana pelumba muda boleh menguji kepantasan tangan mereka untuk menukar tayar semasa perlumbaan besar!
Di Zon Test Drive Hot Wheels, pelumba boleh cuba berlumba dalam permainan Hot Wheels Unleashed 2.0 sebelum perlumbaan besar mereka!
Akhir sekali pelumba akan menerima cabaran Zon Lumba Hot Wheels dengan melaungkan “Challenge Accepted!” ke Raceway Challenge, Cobra Challenge dan Flame Challenge
Pelumba yang berjaya menyelesaikan aktiviti mereka di setiap stesen, akan menerima Hot Wheels Flame Badge sebagai cenderahati untuk dibawa pulang.
GOODYEAR bakal menutup operasinya di Malaysia dengan penutupan kilang pengeluaran di Shah Alam, bermula 30 Jun 2024 dan dijangka selesai sepenuhnya menjelang hujung tahun.
Perkara itu diumumkan oleh Nathaniel Madarang, Presiden Goodyear Asia Pacific dalam satu pengumuman.
Menurut siaran itu, Goodyear sedang dalam usaha mengurangkan kos tahunan sebanyak USD1 bilion (RM4.73 bilion) menjelang 2025.
“Goodyear Forward ialah satu program transformasi direka untuk mengoptimakan portfolio kami, memberi pertambahan keuntungan dan meningkatkan nilai untuk pemegang saham.
“Sebagai sebahagian dari usaha ini, Goodyear telah mengambil keputusan yang sukar tetapi diperlukan dengan menutup kilang pengeluaran di Shah Alam, Malaysia, berkuat kuasa 30 Jun 2024,” tulis siaran itu.
Seperti mana penutupan fasiliti-fasiliti lain, akan terdapat kesan dan dalam kes ini, kira-kira 550 pekerja di Malaysia akan terjejas.
“Kami komited untuk menguruskan pekerja kami dengan baik dan telus dalam proses ini.”
Sebagai penghargaan terhadap jasa Cikgu Ben Zaid dan dua rakan pengajar, Aveta Malaysia telah menghadian tiga unit Aveta Ranger Max Explorer.
Motosikal berkenaan diserahkan dalam satu majlis “Off-Road Education Outreach: Teachers Rally with Aveta” yang berlangsung di Kuala Lumpur, pada Rabu.
Cikgu Ben Zaid dan rakan-rakannya yang sanggup menempuh perjalanan lebih 60km mengharungi laluan berlumpur dan berbukit untuk tiba di Sekolah Kebangsaan Balar, Gua Musang, Kelantan bagi menyampaikan ilmu kepada anak-anak Orang Asli telah mencuri perhatian orang ramai termasuk pihak Aveta sendiri.
Untuk itu, Aveta berasakan sumbangan berupa Aveta Ranger Max Explorer yang didatangkan dengan ciri lasak akan membantu memudahkan perjalanan Cikgu Ben Zaid bersama rakan-rakannya untuk ke sekolah berkenaan.
Difahamkan, jika cuaca baik, perjalanan ke sekolah hanya memakan masa 3 jam namun perjalanan tersebut akan menjadi hampir 10 jam jika cuaca buruk.
Terkenal dengan jolokan “Cikgu Off-Road” di media sosial, Cikgu Ben sering berkongsi video perjalanan ulang alik ke perkampungan Orang Asli.
CHERY Omoda E5 akhirnya dilancarkan secara rasmi hari ini, menjadi pesaing terbaharu dalam segmen SUV segmen-B elektrik sepenuhnya (EV).
Ia ditawarkan dengan harga dan pakej seperti berikut:
RM146,800
Jaminan 7 tahun
Jaminan bateri 8 tahun
Penggantian bateri percuma bila Battery Health menurun kepada 70 peratus
Sebagai tambahan, 2,000 pelanggan pertama juga akan mendapat pemasangan Wallbox percuma V2L Charger percuma, dan kredit pengecasan RM1,000.
Omoda E5 didatangkan dengan bateri 61kWh yang memberikan jarak pemanduan sehingga 430km. Output bagi motor elektrik adalah 201hp dan 340Nm tork.
Dengan pengecasan pantas DC, ia boleh dicas dari 30 hingga 80 peratus dalam masa 28 minit sahaja.
Dari segi rupa, Omoda 5 EV tidak mendapat gril seperti versi petrol, sebaliknya ruang depannya bertutup. Ia juga didatangkan dengan rim aero untuk lebih kecekapan dari segi aerodinamik.
Selain itu, ia juga menampilkan skrin melengkung 2K berdefinisi tinggi berukuran 24.6 inci yang dikuasakan oleh cip Qualcomm. Turut disertakan adalah fungsi Vehicle-to-Load (V2L).
Ciri pemanduan Omoda E5 ini menampilkan fungsi Easy Start-Up, Creep, Pocket Brake, One Pedal Driving, dan AGS Active Air Intake System.
Chery Omoda E5 juga menyokong fungsi V2L iaitu pengecasan perkakasan luaran seperti ketuhar, gril bakar, periuk nasi, malah skuter elektrik.
Empat warna ditawarkan untuk Omoda E5 iaitu Aqua Green, Khaki White, Phantom Grey, dan Dark Black. Terdapat juga dua pilihan warna kabin – Blue & Baige, atau Black.
SUV EV ini boleh mula ditempah sekarang di mana-mana 40 wakil jualan Chery seluruh negara. Apa pendapat anda mengenai Chery Omoda E5 dengan pakej yang ditawarkan?
NAZA Italia hari ini mendedahkan produk legenda dalam nama Maserati, iaitu GranTurismo serba baharu. Jentera grand tourer sports ini ditawarkan dalam dua varian – GranTurismo Trofeo dan GranTurismo Modena.
Maserati GranTurismo dibina dengan bahan komposit aluminium, magnesium, dan besi prestasi tinggi. Ia mengekalkan penampilan klasik dengan bonet depan panjang dan kabin tengah yang diapit oleh empat fender tayar. Bumbung diturunkan dengan dinamik dan menempatkan logo Trident.
Maserati GranTurismo baharu ini dipacu oleh enjin 3.0-liter V6 Nettuno twin-turbo, digandingkan dengan kotak gear automatik 7-kelajuan. Tetapi output dan prestasi berbeza bagi kedua-dua versi.
GranTurismo Modena menghasilkan 490hp pada 6,500rpm dan 600Nm pada 3,000rpm, dengan pecutan 0-100 dalam 3.9 saat dan kelajuan maksima 302km/j.
Sementara itu, GranTurismo Trofeo adalah lebih berprestasi. Enjinnya ditala untuk menghasilkan 550hp pada 6,500rpm dan 650Nm pada 3,000rpm. Ini cukup untuk memberikannya pecutan ke 100km/j dalam masa 3.5 saat sahaja, dengan kelajuan maksima 320km/j.
Suspensi bagi kereta ini adalah double-wishbone di depan dan multi-link di belakang. Brek pula adalah Brembo 6-pot sementara belakang mendapat Brembo 4-pot.
Sudah tentu bunyi menjadi identiti dan ciri utama bagi Maserati. Jadi, model ini ditala khas oleh para jurutera di Maserati Innovation Lab.
Di bahagian kabin, GranTurismo 2024 dilengkapi dengan sistem Maserati Intelligent Assistant (MIA), jam digital, head-up display, dan sistem audio premium Sonus faber.
Berminat? Maserati GranTurismo ditawarkan dengan harga bermula RM758,800 untuk Modena dan RM878,800 untuk Trofeo.
Dodge baru sahaja melancarkan model generasi baharu kereta muscle Dodge Charger EV, di mana versi sifar emisi ini akan dijual seiring dengan versi enjin pembakaran dalaman kelak.
Dodge Charger serba baharu ini dibina menggunakan platform baharu STLA Large yang lebih segar, di mana secara standard ia dibekalkan dengan sistem pacuan semua roda, serta boleh didapati dalam bentuk badan coupe dua pintu atau sedan empat pintu.
Berikut merupakan beberapa info ringkas berkenaan Dodge Charger generasi kelapan.
1. Ukuran
Dodge Charger (baik versi dua atau empat pintu) menampilkan ukuran dimensi jarak antara roda yang sama, iaitu 3,074 mm, atau 20 mm lebih panjang berbanding Charger terdahulu.
Secara keseluruhan, Charger membawakan ukuran sepanjang 5,248 mm, lebar 2,141 mm, dan mempunyai berat sekitar 2,648 kg!
2. Sistem gantungan
Charger Daytona didatangkan dengan tetapan suspensi multi-link di depan, diikuti suspensi bebas di belakang.
Terdapat opsyen untuk melengkapkan jentera ini dengan sistem suspensi semi-aktif injap berkembar dan peredam adaptif untuk varian Scat Pack yang didatangkan dengan Track Package.
3. Sistem AWD standard
Seperti yang disebutkan di atas, Dodge Charger Daytona didatangkan dengan sistem pacuan semua roda, terima kasih kepada padanan dua motor elektrik yang dibantu dengan pek bateri berkapasiti 100.5 kWh.
Ia mampu mencapai jarak gerak sejauh 510 km, sementara versi yang lebih berkuasa pula berupaya bergerak sehingga 418 km.
Selain itu, Charger Daytona turut dilengkapi dengan pembeza gelincir terhad mekanikal pada modul pacuan elektrik (EDM) gandar belakang.
Untuk meningkatkan tahap kecekapan, EDM pada gandar depan boleh dinyahaktifkan semasa bergerak.
4. Kuasa sehingga 670 hp
Terdapat dua varian yang ditawarkan untuk permulaan.
Charger Daytona Scat Pack mampu menjana kuasa setinggi 670 hp/850 Nm, pecutan 0-96 km/j cuma sepantas 3.3 saat, terima kasih kepada kit naik taraf Dodge Direct Connection Stage 2 (+80 hp) yang dipasang terus dari kilang.
Varian R/T dengan kit Stage 1 (+40 hp) pula berkuasa 496 hp/548 Nm, dengan pecutan 0-96 km/j dalam masa 4.7 saat, sebelum mencapai kelajuan tertinggi 220 km/j.
Angka tersebut mampu dicapai dengan hanya menekan butang “PowerShot” pada roda stereng, di mana ia akan menambah boost 40 hp kepada motor elektrik dalam tempoh 15 saat, macam Abang Dom tekan butang NOS dalam Fast Furious.
Menurut Dodge, Charger baharu ini mempunyai satu nisbah gear boleh ubah, sementara tetapan gear dua kelajuan pula hanya akan ditawarkan untuk varian Banshee yang mempunyai tiga motor elektrik.
5. Dodge Charger EV ada sistem ekzos
Seperti yang digembar-gemburkan sebelum ini, Dodge Charger Daytona dilengkapi dengan sistem penjana bunyi Fratzonic Chambered Exhaust System untuk menjadikan kereta muscle ini bising macam model lama.
Menurut CEO Dodge Tim Kuniskis, sistem pembesar suara macam ekzos ini mampu menghasilkan rentak, irama, dan tempo yang sama pada dengan enjin V8 Hemi yang tradisional.
6. Ruang kargo yang besar
Dodge Charger Daytona menawarkan ruang barangan yang besar, bermula dari 643 liter, atau boleh dibesarkan sehingga 1,056 liter apabila tempat duduk belakang dilipat, diikuti dengan ruang frunk sebesar 42 liter.
7. Ruang kabin sama macam versi konsep
Masuk sahaja ke dalam ruang kabin, anda akan dapat melihat persamaan rekaan dan susun atur papan pemuka yang hampir sama dengan model konsep Daytona SRT EV sebelum ini.
Terdapat roda stereng rekaan atas dan bawah rata, skrin kluster digital 10.25 inci (opsyen 16 inci), skrin tengah 12.3 inci, garis papan pemuka yang mengingatkan kita pada model Charger 1968, serta tuil penukaran gear seakan pemegang pistol di konsol tengah.
Ruang itu juga boleh dikemaskan dengan pelbagai jenis bahan termasuklah fabrik, vinil, sehinggalah kepada balutan kulit Nappa.
Terdapat juga ciri pencahayaan dalaman Dodge Attitude Adjustment 64 warna yang mampu berubah mengikut kelakuan pemandu, seperti contoh membuka pintu atau menekan butang pandu mula.
8. Ciri keselamatan standard
Untuk Charger Daytona, Dodge melengkapkan kereta muscle elektrik ini dengan pelbagai ciri keselamatan termasuklah amaran pelanggaran hadapan, brek automatik, kawalan jelajah adaptif, sistem pengecaman papan tanda trafik, bantuan kekal lorong, pengesan titik buta dan pengesan pemandu mabuk.
9. Mahukan enjin pembakaran dalaman?
Untuk model generasi baharu ini, Dodge akan turut menawarkan varian enjin pembakaran dalaman yang digelar sebagai Charger Sixpack yang akan dijual sebagai model tahun 2025.
Ia akan menampilkan enjin Hurricane tetapan enam silinder sebaris 3.0 liter turbo berkembar berkuasa antara 420 hp atau 550 hp.
Sayang sekali, tiada perancangan untuk menghidupkan semula nadi V8 untuk Charger generasi baharu.