Arkib Kategori: BERITA

Mercedes Vision EQXX berjaya jelajah lebih 1,000km, masih berbaki 300km

MERCEDES sekali lagi menghantar kereta elektrik (EV) konsep mereka – Vision EQXX – untuk perjalanan jarak jauh bagi menguji kecekapannya. Kali ini, ia diuji di Semenanjung Arab, dan digunakan bagi membuktikan EV boleh dipandu jauh walaupun dengan kepanasan padang pasir.

Vision EQXX baru-baru ini menjelajah sejauh 627.6 batu (1,010km) dari Mercedes-Benz Center di Riyadh, Arab Saudi ke Mercedes-Benz Brand Center di Dubai, Emiriah Arab Bersatu. Perjalanan itu mengambil masa 14 jam 42 minit.

Walaupun suhu mencecah 34 darjah Celsius, EV itu tetap cekap dengan penggunaan kuasa 7.4kWh per 100km sahaja. Sebagai perbandingan, ia mencatatkan 8.3kWh/100km semasa ujian dari Jerman ke England.

Vision EQXX juga mempunyai baki jarak 192 batu (309km) semasa ia sampai ke destinasi di Dubai. Ini bermakna, secara teori, EV ini mampu dipandu sejauh 820 batu (1,319km) dengan cas penuh.

Ujian ini suatu keputusan positif buat jurutera Mercedes kerana suhu ekstrem (terlalu panas atau sejuk) boleh memberi kesan negatif kepada jarak pemanduan EV.

Bagi mengurangkan kesan suhu kepada bateri, Vision EQXX menggunakan pam haba khas untuk menyejukkan kabin, yang mana Mercedes dakwa hampir tidak memberikan kesan kepada jarak pemanduan.

Untuk lebih menjaga lagi kecekapan kuasa, unit Vision EQXX ujian ini dilengkapi dengan 117 sel solar. Semasa ujian ini, sel itu menjana 1.8kWh tenaga, menambahkan jarak sebanyak 15 batu (24km). Mercedes berkata mereka akan menggunakan ciri ini untuk kereta produksi.

Turut diuji dalam pemanduan ini ialah sistem bantuan pintar padanya. Sistem ini mencadangkan kepada pemandu bagaimana memandu dengan lebih cekap, dan ia memang benar-benar pintar.

Dalam kes ini, ia turut mengambil kira angin lintang dari pantai untuk membantu pemandu memaksimakan jarak dari bateri. Semasa berhenti pula, ia membantu mencari ruang parkir paling ideal untuk mendapat cahaya matahari bagi mengecas sistem solar.

Chery Malaysia buka pusat 3S baharu di Kota Kinabalu

CHERY Malaysia memperkembangkan perniagaannya di Malaysia Timur dengan pembukaan pusat pameran dan pusat servis Chery baharu di Kota Kinabalu, Sabah.

Dimiliki dan dioperasikan oleh Universal Chery Sdn Bhd, pusat 3S baharu itu terletak di Lot 7, Jalan Limau Manis Off Jalan Lintas Inanam, 88450 Kota Kinabalu.

Fasiliti yang mempunyai keluasan 1,400 meter persegi ini menawarkan pengalaman komprehensif dalam perkhidmatan pelanggan dan penyelenggaraan.

Ia mempunyai lapan ruang servis yang dikendalikan juruteknik Chery yang terlatih, dengan kapasiti untuk menyelenggara sehingga 830 kenderaan setiap bulan.

“Kami sangat berbesar hati untuk menetapkan kehadiran kami di Sabah, dengan itu memperluaskan rangkaian kami di seluruh Malaysia, memberikan peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia untuk memiliki rangkaian kenderaan kami,” kata Naib Presiden Chery Malaysia, Lee Wen Hsiang.

“Dengan pembukaan pusat pameran dan servis di Kota Kinabalu, ini seterusnya menunjukkan komitmen kami di Chery Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan yang luar biasa dan kemudahan kepada pelanggan kami di Sabah. Kami juga ingin memperkenalkan jenama kami kepada lebih ramai pelanggan terutamanya di Sabah untuk memandu uji dan mengenali dengan lebih dekat lagi kenderaan Chery,” tambah beliau.

Pusat pameran ini dibuka setiap hari, dari 8.30 pagi hingga 6 petang (Isnin – Jumaat), 8.30 pagi hingga 4 petang (Sabtu) dan dari 10 pagi hingga 3 petang (Ahad dan cuti umum).

Pusat servis pula dibuka dari 8 pagi hingga 5 petang (Isnin – Jumaat) dan dari 8 pagi hingga 3 petang (Sabtu); ditutup pada hari Ahad dan cuti umum.

Dengan pembukaan Chery Kota Kinabalu, Chery Malaysia kini mempunyai 40 wakil pengedar di seluruh negara.

KG Motors, Eneos jalin kerjasama bangunkan EV ultra kompak Minimum Mobility, sasar jual 2025

Jepun sangat terkenal dengan barisan kei car yang mempunyai rekaan yang comel, dimensi yang kompak, dan praktikal dalam masa yang sama.

Namun dalam tempoh setahun dari sekarang, pasaran kereta kecil Jepun akan dimeriahkan dengan kehadiran pendatang baharu, KG Motors.

 

 

Menerusi kerjasama yang terjalin dengan syarikat Eneos, KG Motors akan merealisasikan visi mobiliti mampan menerusi pengenalan model kenderaan elektrik (EV) Minimum Mobility.

Berdasarkan info daripada laman web rasmi KG Motors, Minimum Mobility merupakan sebuah EV satu tempat duduk yang memiliki dimensi sepanjang 2,450 mm, lebar 1,090 mm dan tinggi 1,500 mm – lebih kecil berbanding Smart ForTwo.

Dengan motor elektrik yang mempunyai kuasa puncak 6.7 hp dan pek bateri yang tidak diketahui kapasitinya, Minimum Mobility ini mampu bergerak sejauh 100 km untuk sekali cas penuh.

 

 

Pengecasan AC 100V pula membolehkan pek bateri tersebut dicas penuh dalam masa lima jam sahaja.

Rekaan luaran Minimum Mobility ini mengambil inspirasi daripada kamera polaroid tahun 1980-an.

Dengan hasrat untuk menjadikan masyarakat bebas karbon satu realiti, KG Motors menyasarkan untuk memulakan produksi massa dan jualan EV ultra kompak ini pada tahun 2025 sementara Eneos pula akan menggunakan kepakaran mereka untuk menawarkan perkhidmatan berkaitan mobiliti dan gaya hidup.

 

Permintaan EV makin perlahan di AS, pengeluar mula tambah penawaran hibrid

JUALAN kenderaan elektrik sepenuhnya (EV) di Amerika Syarikat (AS) kian perlahan manakala permintaan hibrid meningkat, kini pengeluar dan pembekal akan meningkatkan pengeluaran kenderaan hibrid.

Jualan hibrid di AS meningkat lima kali lebih pantas berbanding EV pada Februari, kata Morgan Stanley. Versi plug-in hybrid (PHEV) untuk Jeep Wrangler SUV mewakili separuh jualan Wrangler di AS pada separuh kedua 2023, meningkat dari 37 peratus pada enam bulan sebelumnya.

Ford juga mencatatkan trend sama, dimana jualan hibrid meningkat hampir 37 peratus untuk dua bulan pertama tahun ini – dibantu oleh permintaan terhadap trak Maverick yang bermula pada USD25,315.

Maverick hibrid mewakili separuh dari keseluruhan jualan model itu, malah pengedar berkata mereka boleh menjual lebih jika Ford mampu mengeluarkan lebih banyak model itu.

Peralihan ke arah hibrid ini berlawanan dengan polisi pro-EV yang dibawa oleh pentadbiran Biden serta kumpulan-kumpulan alam sekitar yang mahu pengeluar menghentikan jualan kenderaan ICE (enjin pembakaran dalaman).

White House pula dijangkan mengeluarkan standard pelepasan CO2 baharu pada bulan ini bagi memaksa pengeluar menawarkan kenderaan EV sehingga 60 peratus menjelang 2030.

Menurut para penganalisis, kebanyakan pengeluar legasi (lama) mencatatkan kerugian dengan EV, menjadikan hibrid suatu penyelesaian lebih menguntungkan dalam misi mengurangkan pelepasan karbon.

Hyundai lancar kempen recall terbesar di Korea Selatan, libatkan 170 ribu EV

Hyundai Motor Group baru-baru ini melancarkan kempen panggil semula besar-besaran melibatkan beberapa model kenderaan elektrik dari tiga jenama naungannya, berpunca daripada unit kawalan pengecasan bersepadu (ICCU).

Menurut laporan Business Korea, unit ICCU yang bermasalah itu akan mengakibatkan kenderaan hilang kuasa semasa pemanduan.

Kesemua EV yang terjejas merupakan model yang dibina berdasarkan platform E-GMP, termasuklah Hyundai Ioniq 5, Ioniq 6, Genesis GV60 EV, GV70 EV dan G80 EV, serta Kia EV6.

Difahamkan, kempen panggil semula itu terhad untuk 169,932 EV yang dijual di pasaran Korea Selatan.

 

Ia juga dikatakan merupakan kempen panggil semula terbesar melibatkan platform elektrik E-GMP sejak ia dilancarkan pada tahun 2021.

Sementara itu, agensi National Highway Traffic Safety Administration (NHTSA) pada Jun 2023 telah membuka siasatan berasingan berhubung masalah yang sama melibatkan komponen ICCU EV Hyundai.

Laporan awal mencadangkan masalah lebihan arus boleh berlaku pada bahagian tersebut, merosakkan transistor dan menghalang bateri 12V daripada dicas.

 

 

Berdasarkan 30 aduan yang diterima, para pemilik di Amerika Syarikat mendakwa mereka mendengar satu bunyi ‘pop’ yang sangat kuat, diikuti dengan paparan mesej amaran pada papan pemuka.

Tatkala sesetengah pemilik hanya mengalami masalah pengurangan kuasa, ada pemilik yang mendakwa EV mereka hilang kuasa secara keseluruhan.

Sekiranya kempen panggil semula ini diperluaskan ke pasaran lain, angka kenderaan yang perlu dipanggil semula dijangka akan mencecah sehingga 500,000 unit.

Bermaz Auto dilantik jadi pengedar rasmi XPeng di Malaysia

BERMAZ Auto Berhad baru-baru ini mengumumkan ia telah mendapat hak pengedaran, penjualan alat ganti dan perkhidmatan selepas jualan untuk kenderaan elektrik (EV) pintar jenama XPeng di Malaysia.

Kontrak tersebut diberikan oleh Shenzhen Xiaopeng Motors Supply Chain Management Co., Ltd., China (Shenzhen XPeng) dan Guangzhou Xiaopeng Motors Trading Co., Ltd., China (Guangzhou XPeng).

Shenzhen XPeng dan Guangzhou XPeng mengawasi pengedaran dan jualan EV jenama XPeng, jualan alat ganti dan pemasaran, serta penyediaan perkhidmatan selepas jualan di peringkat global.

Kedua-dua syarikat berkenaan merupakan rakan kongsi kepada Guangzhou Xiaopeng Motors Technology Co., Ltd. (XPeng Motors), pengeluar EV pintar XPeng yang berpangkalan di Guangzhou, Guangdong, China.

XPeng Motors juga mempunyai beberapa cawangan di Mountain View, California, Amerika Syarikat dan Munich, Jerman. Sahamnya didagangkan secara terbuka di Bursa Saham New York dan Bursa Saham Hong Kong.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bermaz Auto, Datuk Francis Lee berkata pihaknya teruja mendapat hak pengedaran XPeng di Malaysia.

“Kenderaan XPeng adalah antara EV pintar terbaik di China dan juga di seluruh dunia. Ia dilengkapi dengan ciri ciri terkini seperti teknologi pemanduan autonomi, kokpit digital dan berprestasi tinggi.

“Perisian Navigation Guided Pilot XPeng menawarkan keupayaan pemanduan autonomi dan boleh menavigasi di bandar utama di China seperti Beijing dan Shanghai,” kata beliau.

Sebelum ini, XPeng dilaporkan berhasrat untuk melebarkan sayapnya ke pasaran-pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) seperti Hong-Kong, Thailand, Singapura dan Malaysia.

Beli tayar Continental musim Hari Raya ini, dapat kredit Touch ‘n Go e-Wallet sehingga RM200

DENGAN Hari Raya semakin berdekatan, Continental Tyres Malaysia menawarkan promosi istimewa untuk anda yang mencari tayar baharu.

Continental Tyres menawarkan sehingga RM200 dalam bentuk kredit Touch ‘n Go e-wallet bagi pembelian tayar daripada jenama terpilih Continental, Dunlop, dan Viking di seluruh negara.

Pelanggan akan layak secara automatik untuk menikmati promosi eksklusif Hari Raya dengan mendaftar Total Confidence Plan (TCP) melalui aplikasi Conti TCP.

Memandangkan tawaran istimewa ini diberikan kepada pelanggan baharu serta sedia ada sepanjang tempoh Ramadan dan Aidilfitri, kredit Touch ‘n Go e-wallet tersebut hanya akan diterima oleh pelanggan selepas proses pengesahan dan status penebusan.

TCP ialah suatu pelan yang menawarkan jaminan tambahan serta pakej komprehensif yang membolehkan pelanggan mendapatkan penggantian tayar satu untuk satu sekiranya berlaku kerosakan tayar berpunca daripada keadaan jalan yang tidak dijangka dalam tempoh satu tahun selepas pembelian.

Pengguna Continental, Dunlop, dan Viking boleh mendaftar dan memfailkan tuntutan waranti pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja melalui aplikasi Conti TCP yang tersedia di Apple App Store dan Google Play Store.

Tawaran ini sah dari 15 Mac hingga 30 April, dengan pembelian minimum dua tayar Continental dari 15-inci dan ke atas, atau dua tayar Dunlop dan Viking dari 17-inci dan ke atas.

Khas untuk kereta penumpang, SUV, MPV dan 4×4 daripada mana-mana peniaga yang mengambil bahagian di seluruh negara atau di Shopee dan Lazada rasmi Continental, kedai e-dagang untuk menebus kredit Touch ‘n Go e-wallet sehingga RM200.

Nissan GT-R 2025, ‘Godzilla’ ICE terakhir yang takkan dibawa masuk oleh ETCM

Jika anda perasan, Nissan Malaysia di bawah naungan Edaran Tan Chong Motor mula memperlahankan rentak mereka sejak kebelakangan ini.

Tiada lagi model-model baharu dilancarkan, malah beberapa model SUV yang dijanjikan sebelum ini masih lagi belum menunjukkan bayang di tanah air Malaysia.

Di pasaran Jepun, Nissan baharu sahaja melancarkan kemaskini untuk model berprestasi tinggi GT-R 2025, dan difahamkan ia mungkin akan menjadi model terakhir R35 sebelum ditamatkan produksinya kelak.

 

 

Versi yang dikemaskini ini membawakan kemasan luaran yang hampir sama dengan model facelift tahun lepas.

Untuk varian GT-R Premium Edition ia kini didatangkan dengan opsyen kemasan upholsteri Blue Heaven pada ruang kabin yang tampak klasik itu.

Antara perubahan ‘terbesar’ yang dibawakan ialah penggunaan komponen enjin eksklusif yang sebelum ini hanya ditawarkan untuk Nismo Special Edition.

 

 

Terima kasih kepada penggunaan komponen Nismo seperti cincin omboh, rod penyambung dan aci engkol yang telah diseimbangkan beratnya, enjin 3.8 liter turbo berkembar V6 pada Nissan GT-R Premium Edition T-Spec dan Track Edition mampu menawarkan putaran enjin serta turbo spooling yang lebih pantas.

Kuasa kuda masih lagi sama, iaitu 565 hp pada model standard, dan 600 hp untuk model Nismo.

 

Disebalik perubahan yang kecil itu, harga jualan Nissan GT-R 2025 kini jauh lebih mahal, bermula dari ¥14,443,000 (~RM457,361) untuk versi standard, hinggalah ¥30,613,000 (~RM969,411) untuk versi GT-R Nismo Special Edition.

Bagaimana pula dengan GT-R masa depan?

 

 

Jika anda masih ingat, di Japan Mobility Show hujung tahun lepas Nissan telah memperlihatkan sebuah model konsep Hyper Force berkuasa elektrik sepenuh masa.

Biarpun dengan rupa paras yang terlalu agresif untuk sebuah supercar, Nissan GT-R “R36” itu dikatakan mampu menjana kuasa setinggi 1,341 hp dengan sistem pacuan semua roda e-4ORCE, serta dua mod pemanduan iaitu GT (grand touring) dan R (racing).

Apapun, Nissan GT-R 2025 yang baru dilancarkan di Jepun itu berkemungkinan besar hanya akan muncul di pasaran Malaysia menerusi saluran pihak ketiga, itu pun jika wujud permintaan.

Nissan GT-R 2025

 

Nissan Hyper Force Concept

Hyundai ST1 EV, kuda kerja futuristik, tiga varian didedahkan

Hyundai Staria diperkenalkan pada tahun 2021 sebagai pengganti kepada model pacuan roda belakang Starex.

Selain wujud dalam versi van penumpang (tiga atau empat baris tempat duduk), Hyundai Staria juga turut ditawarkan dalam versi van komersial yang dikhususkan untuk membawa muatan barangan.

Mereka yang berminat untuk menjalankan aktiviti luar boleh mendapatkan Hyundai Staria Lounge Camper, terdiri daripada dua model iaitu Camper 11 dan Camper 4 dengan empat tempat duduk eksklusif.

 

Masuk tahun 2024, Hyundai meluaskan lagi penawaran Staria dengan memperlihatkan model ST1, atau nama penuhnya “Service Type 1”.

Ia merupakan sebuah kuda kerja berkuasa elektrik sepenuh masa dan direka untuk memenuhi keperluan perniagaan kecil di Korea Selatan.

Untuk permulaan, Hyundai bakal menawarkan tiga varian, iaitu versi kargo standard, kargo sejuk serta ‘chassis cab’ yang asas untuk pemilik yang mahu memadankan binaan belakang secara retrofit.

Sesuai sangat untuk mereka yang mahu menjadikan ST1 ini sebagai projek campervan.

 

 

Reka bentuk luaran ST1 ini banyak mengingatkan kita kepada model Staria Load, dengan unit lampu asas yang diposisikan rendah, jalur lampu nyalaan siang LED, rim keluli, serta padanan lapisan perlindungan plastik pada sekeliling badan.

Sama seperti Kona EV, port pengecasan Hyundai ST1 ini terletak pada bahagian muka hadapan.

Buat masa ini, spesifikasi penuh seperti kuasa dan had muatan yang mampu ditampung oleh ST1 masih lagi tidak diketahui, dan perinciannya hanya akan didedahkan dalam tempoh separuh pertama tahun ini.

Selain pasaran Korea Selatan, Hyundai juga merancang untuk menjual ST1 di beberapa pasaran lain.

Hyundai Staria Premium

 

Hyundai Staria 10 tempat duduk

Hyundai Staria Load

Caltex Fuel Your School pupuk minat terhadap sains dalam kalangan pelajar sekolah

CHEVRON Malaysia, syarikat penaung Caltex di Malaysia baru-baru ini melancarkan kempen Caltex Fuel Your School.

Inisiatif ini dijalankan bagi memupuk minat terhadap STEM (sains, teknologi, Bahasa Inggeris, dan matematik) dalam kalangan pelajar sekolah.

Sebanyak 15 sekolah di Muar dan Segamat, Johor akan menjadi ‘anak angkat’ kepada stesen-stesen Caltex berdekatan.

Setiap sekolah diberikan set akuaponik pintar untuk menanam sayur dan memelihara ikan menggunakan ekosistem perladangan simbiotik, lengkap dengan penghantaran, pemasangan, dan latihan.

Selain untuk tujuan akademik, kempen ini juga akan membantu dari segi keperluan masyarakat setempat, terutamanya dalam sekuriti makanan dan pertanian lestari.

“Selain dari menggalakkan pelajar mempelajari STEM, sistem akuaponik pintar ini akan mewujudkan kitaran lestari untuk masyarakat setempat dalam beberapa cara,” kata Dean Gilbert, pengerusi Chevron Malaysia Limited.

“Sebagai contoh, hasilnya nanti boleh digunakan sendiri oleh pelajar, terutamanya mereka yang dalam kategori B40.

“Ia juga boleh didermakan kepada pihak kurang bernasib baik atau dijual kepada masyarakat bagi menyumbang kepada ekonomi setempat,” katanya.

Italjet Dragster edisi Gresini akan diperkenal 

Jenama skuter premium Itali, Italjet telah menjalinkan kerjasama dengan pasukan Gresini Racing-MotoGP bagi memperkenalkan Italjet Dragster edisi khas. 

Dragster edisi Gresini itu dijangka akan lebih menonjol dengan gabungan warna korporat Gresini yang merangkumi biru dan merah yang sama terdapat pada jentera GP23 yang ketika ini ditunggang Marc Marquez dan Alex Marquez.

Untuk rekod, Italjet Dragster ditawarkan dalam dua varian, 125 dan 200 di pasaran global termasuk di Malaysia. 

Presiden dan CEO Italjet, Massimo Tartarini, turut berkongsi keterujaan atas usahama baharu ini. 

“Bagi kami ini adalah satu penghargaan untuk menjadi penaja teknikal pasukan Gresini yang merupakan antara pesaing utama di MotoGP. 

“Kami terikat dengan Gresini menerusi kerjasama erat dan kerjasama ini akan membawa kepada pembangunan Dragster Replica dengan warna Gresini,” jelasnya. 

Chery Malaysia tawar pakej Extra Peace of Mind – pakej servis 7 tahun, waranti enjin 10 tahun

CHERY Malaysia telah memperkenalkan pakej ‘Extra Peace of Mind’ yang ditawarkan khas kepada pemilik baharu Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro.

Dengan bayaran tambahan sebanyak RM11,600, pelanggan akan mendapat pakej servis selama tujuh tahun dan jaminan enjin selama 10 tahun atau 1 juta km.

Pakej servis tersebut merangkumi penggantian item penyelenggaraan berjadual seperti minyak enjin, penapis minyak enjin, coolant radiator, bendalir brek, penapis udara, palam pencucuh, washer minyak enjin dan minyak transmisi untuk tujuh tahun pertama.

Menurut Chery, pakej Extra Peace of Mind menawarkan perlindungan hebat untuk kenderaan baharu, sekali gus membolehkan pemilik memastikan kenderaan mereka beroperasi pada tahap yang terbaik.

Komitmen ini oleh Chery tidak hanya menjamin perkhidmatan berkualiti terbaik tetapi juga meningkatkan nilai jualan semula kenderaan pada masa depan.

Bukan itu sahaja, pelanggan boleh yakin bahawa mereka tidak akan terjejas oleh peningkatan harga alat ganti dan kos penyelenggaraan dari masa ke semasa.

Untuk maklumat lanjut tentang pakej Extra Peace of Mind, layari laman https://www.chery.my/ atau kunjungi pusat pameran Chery di seluruh negara.

Pemilik Audi A4, A5, A6, Q5, TT, R8 diingatkan tukar beg udara Takata

PHS Automotive Malaysia (PHSAM) telah mengeluarkan notis peringatan kepada pemilik Audi untuk segera memeriksa sama ada kenderaan mereka terlibat dengan program panggilan semula yang sedang dijalankan sekarang.

Panggilan semula itu melibatkan 2,297 unit kenderaan, terdiri daripada Q5, A5 Cabriolet dan A5 Sportback yang dihasilkan di antara tahun 2009 dan 2012.

Turut terlibat adalah model TT dan R8 yang dikilangkan bermula tahun 2014 hingga 2017 yang mana beg udara Takata dipasang pada bahagian pemandu.

Program ini juga merangkumi beg udara Takata untuk penumpang hadapan pada A4, A4 Cabriolet dan A6 yang dihasilkan di antara tahun 2005 dan 2011. Setakat ini, tahap penukaran hanyalah 25% iaitu 569 unit daripada jumlah keseluruhan.

Menurut Takata, penjana gas pada beg udara hadapan yang terjejas mungkin pecah apabila beg udara diaktifkan semasa kemalangan jika propelan di dalamnya menunjukkan tanda-tanda dimakan usia berikutan kesan keadaan sekeliling yang ekstrem.

Akibatnya, serpihan-serpihan besi penjana gas boleh masuk ke dalam kabin dan mendatangkan kecederaan parah kepada penumpang.

Justeru, pemilik dinasihatkan supaya memeriksa dan menggantikan beg udara itu secepat mungkin di pusat
servis Audi bagi memastikan kenderaan dapat berfungsi pada standard keselamatan terbaik.

Bergantung kepada pemasangan beg udara Takata dan model kereta, komponen bahan dorong atau modul penuh pemacu beg udara terbabit perlu diganti tanpa sebarang kos. Sebagai tanda penghargaan, para pemilik akan menerima pemeriksaan 20 poin secara percuma.

Pelanggan boleh menyemak sama ada kenderaan mereka terlibat di laman web Audi dengan memasukkan Nombor Pengenalan Kenderaan (Vehicle Identification Number, VIN) yang boleh didapati pada bahagian bawah kiri cermin utama.

Selain itu, pemilik boleh menghubungi Audi Customer Service di talian 1-800-22-2834, emel ke info@phsautomotive.com.my atau kunjungi mana-mana Audi Centre terdekat dan dapatkan temu janji untuk pemeriksaan percuma dan penggantian jika perlu.

Nissan dan Honda bakal hasilkan EV lebih mampu milik, mahu bersaing dengan pengeluar China?

NISSAN, pengeluar kenderaan elektrik (EV) Leaf dan Ariya dilaporkan sedang menilai kerjasama dengan Honda yang akan menjurus kepada pembangunan bersama gandar elektrik (e-axle) baharu. Kerjasama ini juga mungkin menghasilkan pelantar EV, menurut laporan Nikkei Asia.

Buat masa ini, Honda Motor mempunyai dua kenderaan EV di Amerika Syarikat (AS) iaitu Honda Prologue dan Acura ZDX. Di Eropah pula, mereka menjual Honda e, walaupun model itu akan dihentikan penawarannya.

Honda Prologue dan Acura ZDX merupakan hasil kerjasama dengan GM, menggunakan pelantar Ultium. Kerjasama ini sepatutnya sehingga 2027 tetapi dibatalkan tahun lepas.

Kini, Honda mungkin bekerjasama dengan pengeluar senegaranya bagi menjadikan EV lebih mampu milik sebagai realiti. Menurut Nikkei Asia, perbincangan itu masih di peringkat awal.

Sumber-sumber juga melaporkan kedua-dua syarikat itu bakal membuat perolehan bateri bersama selain pembangunan kenderaan yang akan menurunkan kos EV. Ini bagi bersaing dengan pengeluar-pengeluar China seperti BYD.

Honda merancang mahu memperkenalkan sekurang-kurangnya dua EV baharu bermula 2026 yang akan mengambil inspirasi dari konsep-konsep futuristik terkini mereka. Sementara itu, Nissan kini membangunakn beberapa EV yang dibuat di AS.

Apa pendapat anda berkenaan kerjasama ini? Mampukah mereka melawan dengan pengeluar-pengeluar China, dan mungkinkah ini akan menyebabkan rakyat Malaysia lebih cenderung memilih EV?

Beli smart #1 percuma pengecas rumah bernilai RM3,200 sempena menjelang Hari Raya

Hari Raya bakal menjelma tidak lama lagi, dan smart Malaysia kini dengan Kempen ‘smart Ri-Ya’ membawakan tawaran menarik bagi anda yang ingin mencari kenderaan elektrik (EV) baharu.

Berlangsung dari sekarang hingga 30 April depan, anda boleh mendapat kadar faedah rendah dan pengecas rumah smartCharge percuma bernilai RM3,200 dengan jaminan dua tahun.

Tawaran ini khas untuk anda yang membeli smart #1 baharu sama ada varian Brabus, Premium, atau Pro.

Selain itu, anda juga layak mendapatkan kredit pengecasan bernilai RM3,888 dengan pembelian mana-mana varian smart #1.

Untuk melihat smart #1 dengan lebih dekat, Jualan Hujung Minggu Sempena Ramadhan dari 15 sehingga 24 Mac 2024 akan dibuat di pusat cawangan pengedaran smart terpilih, seperti jadual di bawah.

smart #1 ditawarkan pada harga bermula RM189,000 untuk Pro, RM219,000 untuk Premium, dan RM249,000 untuk Brabus.

Varian Pro dan Premium mempunyai motor tunggal berkuasa 272hp/343Nm dna mampu pergi sehingga 440km setiap cas.

smart #1 Brabus pula mempunyai output 428hp dan 543Nm tork hasil dari gabungan dua motor elektrik, dan ia boleh dipandu sehingga 400km setiap cas.

Maklumat lanjut semua varian smart #1 boleh dibaca di sini.

MINI Aceman dipertunjukkan – lebih kecil daripada Countryman, pacuan elektrik sahaja

MINI akan memperkenalkan model terbarunya iaitu Aceman pada 24 April ini di Beijing Motor Show. Bagaimanapun, anda tidak perlu menunggu sehingga April untuk melihat rupa model itu kerana ia telah pun didedahkan sepenuhnya.

Menurut laporan, beberapa gambar luaran Aceman telah dimuat naik oleh Kementerian Industri dan Teknologi Maklumat (MIIT) China sebagai sebahagian daripada proses homologasi yang perlu dilalui oleh setiap kereta baharu yang dijual di sana.

Dalam barisan MINI, Aceman yang dianggap sebagai pengganti Clubman akan diposisikan di antara Cooper dan Countryman. Tidak seperti Cooper yang boleh didapati dengan enjin pembakaran dalaman, Aceman akan ditawarkan sebagai model elektrik sahaja.

Gambar-gambar yang dimuat naik oleh MIIT menunjukkan dua varian iaitu Aceman dan Aceman S. Kedua-duanya mempunyai ukuran lebar 1,754 mm, tinggi 1,515 mm dan tapak roda 2,606 mm.

Bagaimanapun, Aceman mempunyai ukuran panjang 4,076 mm, manakala Aceman S pula sedikit lebih panjang pada overhang hadapan dan belakang dengan ukuran 4,094 mm.

Dari segi penampilan, Aceman mengikuti jejak langkah Cooper dan Countryman dengan menampilkan rekaan lampu yang bersegi dan bukannya bulat seperti sebelum ini.

Sebagai sebuah EV, ia mempunyai gril yang bertutup namun model ini turut menonjolkan karakter lasaknya menerusi kemasan plastik hitam di sekeliling bahagian bawah badannya, ditambah dengan skid plate untuk Aceman S.

Aceman menampilkan motor elektrik tunggal pada gandar hadapan, dengan kuasa sebanyak 181 hp untuk varian asas dan 215 hp untuk varian S. Masing-masing dilaporkan boleh mencapai kelajuan maksimum 160 km/j dan 170 km/j.

Untuk bateri pula, Aceman didatangkan dengan bateri berkapasiti 40 kWj yang menawarkan jarak pandu sekitar 300 km, manakala Aceman S pula mempunyai jarak pandu yang lebih jauh iaitu sekitar 400 km dengan bateri 54.2 kWj.

Menurut CarNewsChina, model ini menggunakan bateri jenis nikel mangan kobalt (NCM) yang dibekalkan oleh anak syarikat milik Great Wall Motor iaitu Svolt.

Porsche Taycan Turbo GT didedahkan – 1,019hp dalam Attack Mode, 0-100 2.2 saat

PORSCHE Taycan varian asas sudah pantass, dengan pecutan 0-100 dalam masa 4 saat. Kemudian ada Taycan Turbo S pula dengan kemampuan mencapai 100km/j dalam 2.3 saat. Jika itu pun belum cukup pantas bagi anda, terimalah Taycan Turbo GT.

Ianya versi paling berkuasa pernah Porsche hasilkan. Ia mampu menghasilkan 777hp dan 1,339Nm tork dalam keadaan standard. Kuasa boleh dinaikkan menjadi 1,019hp dalam Attack Mode. Amacam, cukup?

Sama seperti butang push-to-pass dalam Taycan biasa, Attack Mode ini melonjakkan kuasa selama 10 saat.

Dari segi prestasi, 0-100 kini boleh dicapai dalam masa 2.2 saat. Dan jika anda pilih pakej Weissach, pecutan menjadi 2.1 saat sahaja. Kemudian dalam masa 6.6 saat, Taycan Turbo GT sudah mencapai 200km/j, dan hanya 6.4 saat diperlukan untuk versi Wiessach.

Rahsia utama kepada prestasi gila ini adalah penggunaan silikon karbida pada inverter yang menjana sehingga 900 amps kepada motor belakang, berbanding 600 amps pada model Turbo S. Dipadankan dengan motor elektrik baharu, ianya lebih ringan dan cekap berbanding sebelumnya.

Pengurangan berat juga berlaku di bahagian lain seperti gentian karbon di tiang-B, cermin sisi, dan skirt sisi.

Brek karbon-seramik dan rim 21-inci juga adalah lebih ringan, dan ini dibaluti dengan tayar Pirelli P Zero Trofeo R. Jika anda pilih versi Weissach, ia akan ‘buang’ terus tempat duduk belakang.

Ciri standard lain pada Taycan Turbo GT ini adalah suspensi Active Ride, pakej aerodinamik baharu, dan spoiler belakang dengan jahitan gentian karbon unik. Ini memberikan Taycan Turbo GT Weissach sebanyak 458 pound downforce.

Bahagian kabinnya mendapat balutan kulit Race-tex dan Sports Seats Plus adaptif dengan pelarasan 18-arah dan jahitan logo Turbo GT.

Taycan Turbo GT menjadi model Taycan paling berkemampuan di litar. Dan seperti yang boleh dijangka dari Porsche, mereka telah pun membuktikannya.

Taycan Turbo GT dengan pakej Weissach telah mencatat masa terpantas untuk kereta elektrik EV di Laguna Seca dengan masa 1:27.87.

Model prototaip pula telah mencatatkan masa 7:07.55 di Nurburgring, menjadikannya lebih pantas dari mana-mana model sedan empat-pintu di litar Green Hell itu.

Xpeng bakal masuk pasaran Thailand, Singapura dan Malaysia

PENGELUAR kenderaan elektrik (EV) dari China iaitu Xpeng merancang untuk menembusi pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) bermula separuh kedua tahun ini, lapor South China Morning Post.

Pengasas bersama dan CEO Xpeng, He Xiaopeng berkata mereka mensasarkan pasaran Hong Kong dan Asia Tenggara (Thailand, Singapura dan Malaysia) bagi mengukuhkan imejnya sebagai pengeluar EV pintar terkemuka.

“Sejajar dengan strategi go-global 2.0 Xpeng, kami telah menjalin kerjasama dengan lebih banyak pengedar di luar negara, dengan matlamat utama untuk menjadikan kereta elektrik pintar terbaik dalam kelasnya mudah diakses oleh pelanggan di seluruh dunia,” kata He.

Buat masa ini, Xpeng hanya menghasilkan kenderaan pemanduan sebelah kiri dan kebanyakannya dijual di China. Penawaran kereta RHD di luar China membolehkan Xpeng berhadapan dengan potensi penurunan jualan dalam pasaran sendiri akibat perang harga yang menjejaskan keuntungan hampir semua pengeluar EV, dari BYD kepada General Motors.

Selain Hong Kong dan Asia Tenggara, Xpeng juga merancang untuk meneroka pasaran Eropah seperti Jerman dan Perancis.

Presiden Xpeng, Brian Gu memberitahu Post tahun lalu bahawa kereta RHD pertama syarikat itu nanti adalah model SUV G6 versi dikemaskini. Model itu dikatakan akan memasuki pasaran Hong Kong lewat tahun ini.

Di China, harga jualan G6 bermula dari 209,900 yuan (RM136,790) hingga 276,900 yuan (RM180,453).

Proton import bekalan alat ganti dari China, lebih 100 vendor tempatan terjejas

PRESIDEN Dewan Perniagaan dan Perindustrian Fujian Malaysia, Datuk Low Kok Chuan mendakwa terdapat lebih 100 vendor alat ganti Proton Holdings Bhd sedang menghadapi tekanan kewangan yang teruk akibat perbelanjaan operasi yang semakin meningkat.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata walaupun Persatuan Vendor Proton (PVA) menghubungi pengeluar kereta nasional itu untuk menangani cabaran yang mereka hadapi, rayuan mereka tidak diendahkan.

Low berkata, banyak pembekal dan vendor sedang bergelut dengan masalah kewangan yang disebabkan oleh tempahan yang semakin berkurangan sejak kebelakangan ini.

Beliau memberi amaran bahawa jika keadaan ini berterusan, ia boleh menyebabkan kejatuhan banyak vendor, menjejaskan beribu-ribu pekerja di seluruh rantaian industri automotif.

Menurut Low, punca utama isu berkenaan adalah kegagalan Proton untuk memenuhi kuantiti pesanan alat ganti yang dijanjikan untuk X50, X70 dan X90, yang telah mengabitkan pengurangan ketara sehingga 50 peratus dalam pengeluaran alat ganti.

Akibatnya, banyak vendor mengalami kerugian, memaksa sesetengahnya untuk menghentikan terus operasi mereka.

Tambah Low lagi, keadaan ini bukan sahaja menjejaskan keupayaan pengeluaran vendor tetapi juga menghalang pelaburan modal, rancangan pengembangan dan strategi sumber manusia mereka.

Beliau menegaskan, walaupun mengalami kerugian besar, Proton tidak menunjukkan kesanggupan untuk menangani isu itu.

Beliau turut mengkritik keputusan Proton untuk mengimport alat ganti pemasangan tempatan (CKD) berharga kompetitif dari China, menggunakan keengganan vendor Malaysia untuk menurunkan harga sebagai alasan di sebalik langkah ini.

Malah, ada vendor yang enggan dinamakan mendakwa walaupun dalam perjanjian awal Proton berjanji untuk mendapatkan alat ganti untuk 1,500 unit kereta setiap bulan, jumlah sebenar hanya 200 hingga 300 unit kereta sebulan.

Sementara itu, Proton telah mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu ini:

Kenyataan dari Proton

Proton ingin memberikan respon terhadap laporan media baru-baru ini yang mengetengahkan cabaran yang dihadapi oleh vendor berkaitan dengan syarikat.

Di Proton, kami mewujudkan persekitaran perniagaan yang saksama dan saling hormat menghormati antara rakan kongsi kami yang dibina di atas komitmen kami yang tidak berbelah bahagi terhadap urusan perniagaan yang adil dan teguh.

Untuk mencapai matlamat ini, kami bekerjasama rapat dengan Persatuan Vendor Proton (PVA), wakil rasmi untuk semua 116 vendor Proton, yang kerap mengadakan perbincangan dan inisiatif bersama yang saling memberikan manfaat.

Kami faham terdapat kesukaran yang dihadapi oleh sesetengah vendor dan pintu kami sentiasa terbuka untuk terlibat dalam perbincangan yang saksama dengan semua ahli PVA, kecuali mereka yang tidak dapat memberikan bukti yang jelas mengenai isu yang dihadapi.

Adalah penting untuk menunjukkan Proton mempunyai sejarah dialog terbuka dan membina, dan kami tetap berdedikasi untuk meneruskan pendekatan ini untuk jangka masa panjang.

Kami menyedari kepentingan menyelesaikan perkara ini dengan cepat dengan bekerjasama rapat dengan semua pihak yang terlibat dan menjemput penglibatan melalui saluran rasmi untuk menyelesaikannya pada masa yang sesuai.

HLYM panggil semula Yamaha NVX dan R15M

Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memanggil semula dua model popular, Yamaha NVX dan R15M berdasarkan pengumuman terbaru.

Cyan

Pengumuman tersebut mendedahkan bahawa panggilan semula itu adalah bagi proses menaik taraf Communication Control Unit (CCU) bagi model yang dihasilkan dari 2021 hingga 2023. 

Dalam pada itu, HLYM meminta pemilik yang terlibat dengan panggilan semula itu untuk menghubungi pusat servis dan pengedar rasmi terdekat untuk menetapkan janji temu. 

Sementara itu, pemilik NVX terkesan boleh merujuk kepada nombor casis berikut, PMYSG7410L0000011 – P 0039700 hingga PMYSG7420L0000011 – P0026367 sementara pemilik R15M pula boleh merujuk nombor berikut PMYRG7910N0000011 – N0002990 hingga PMYRG7910P0002991 – P0005190 dan PMYRG7910P0004991.